Cari Artikel

Friday, October 30, 2015

Mufti Perlis ditegur EXCO Pahang


Mufti Perlis ditegur EXCO Pahang
Syed Ibrahim Syed Ahmad berpendapat terdapat percanggahan mengenai fatwa ‘Larangan Berzikir’ yang dikeluarkan oleh Mufti Perlis.

Seorang EXCO Negeri Pahang menegur mufti di negara ini supaya supaya tidak mengeluarkan fatwa dengan sewenang-wenangnya sebaliknya perlu merujuk kepada ajaran Islam sebenar.

Exco Dakwah Islamiah dan Tugas-Tugas Khas Negeri Pahang, Datuk Syed Ibrahim Syed Ahmad menegaskan, mufti juga tidak seharusnya mengeluarkan sesuatu fatwa atas arahan daripada mana-mana individu mahupun berdasarkan pendapat sendiri.

Syed Ibrahim mengulas mengenai fatwa yang telah dikeluarkan oleh Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin (Dr Maza) baru-baru ini yang berkata menari untuk berzikir melanggar hukum syarak.

Syed Ibrahim berpendapat terdapat percanggahan mengenai fatwa ‘Larangan Berzikir’ yang dikeluarkan oleh Mufti Perlis itu.

Katanya, apabila terdapat perkara yang disifatkan bercanggah di antara fikrah dan fatwa sejak kebelakangan ini membuatkan institusi agama disalahguna untuk kepentingan pihak tertentu.

“Sebelum ini mereka pernah melarang berzikir dan sepakat mengatakan zikir itu adalah bidaah. Kini, amalan zikir dibolehkan tetapi dikeluarkan pula fatwa larangan zikir menari.

“Apa-apa sahaja perbuatan yang tidak elok ketika beribadah sememangnya sudah jatuh pada hukum haram dan tiada penjelasan untuk hal itu lagi.

“Selain itu, banyak lagi hukum yang dizahirkan semata-mata untuk mengeluarkan fatwa yang terang-terangan bercanggah setiap hari. Hal ini menyebabkan ramai orang Islam kita menjadi keliru,” katanya yang dipetik daripada Sinar Harian Online.

Baru-baru ini, Dr Maza menerusi kenyataannya menyatakan satu gerakan yang berlaku secara spontan (tamayul) tanpa niat untuk beribadah semasa berzikir atau membaca Al-Quran dan lain-lain adalah tidak dilarang.

Mengulas perkara itu lagi Ibrahim menyatakan kenyataan yang dibuat menyebabkan timbul kekeliruan dalam kalangan umat Islam serta boleh mewujudkan pertelingkahan dan perpecahan ummah.

“Kita menyeru agar fatwa celaru yang dikeluarkan ini bukan untuk meraih sokongan populariti. Isu ini perlu diperbetulkan untuk menghentikan kekeliruan di kalangan umat Islam,” kata Syed Ibrahim.

Bung Mokhtar – Tony Pua hanya tahu cakap besar


Bung Mokhtar – Tony Pua hanya tahu cakap besar
Bung Mokhtar mendakwa Tony Pua hanya tahu bercakap besar tetapi suka berdolak dalih apabila cabarannya untuk berdebat mengenai 1MDB diterima Arul Kanda.

Pemimpin pembangkang dinasihatkan supaya berhenti cakap besar dan menumpukan usaha membantu rakyat seperti yang telah dijanjikan.

Nasihat itu diberikan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Bung Mokhtar Radin yang merujuk kepada sikap Ahli Parlimen Petaling Utara, Tony Pua yang didkwanya suka cakap besar dan berdolak-dalih.

Beliau mendakwa, Tony Pua hanya pandai cakap besar dengan membuat pendedahan-pendedahan berhubung isu 1MDB tetapi tidak berani apabila dicabar.

Ahli Parlimen Kinabatangan itu berkata, pemimpin DAP itu telah mencabar Arul Kanda untuk berdebat dan tiba masanya dia menyahut cabaran itu supaya rakyat tahu cerita sebenar.

“Tony Pua suka berdolak dalih. Saya setuju Arul Kanda menerima cabaran tersebut (Tony Pua) dengan syarat dia kena letak jawatan dari PAC bagi mengelak jawatankuasa bebas itu terlibat secara langsung kerana PAC adalah badan yang diiktiraf kerajaan untuk menyiasat dan mengaudit 1MDB.

“Pemimpin pembangkang (Tony Pua) jangan hanya tahu bercakap besar tetapi perlu berani menegakkan kata-kata mereka. Kata mesti dikota, biar rakyat tahu perkara sebenar dan biarlah kes 1MDB ini selesai dengan pengetahuan rakyat,” katanya ketika dihubungi FMT.

Arul Kanda telah menerima cabaran Tony Pua untuk berdebat secara langsung mengenai isu 1MDB dengan syarat Setiausaha Publisiti DAP itu meletak jawatan dalam PAC terlebih dahulu.

Zam - Muhyiddin akan dipecat sebelum Perhimpunan Agung UMNO


Zam - Muhyiddin akan dipecat sebelum Perhimpunan Agung UMNO
75 peratus ketua UMNO bahagian malah ada yang mendakwa 95 peratus telah bersiap sedia bagi menyokong untuk menyingkirkan Muhyiddin sebagai Timbalan Presiden UMNO.

Pemimpin UMNO seluruh negara dikatakan sedang berusaha keras untuk menyingkirkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai ahli parti itu sebelum Persidangan Agung UMNO, Disember ini.

Bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin atau Zam mendakwa, kira-kira 75 peratus ketua UMNO bahagian malah ada yang mendakwa 95 peratus telah sedia untuk menyokong menyingkirkan Muhyiddin.

Katanya, Muhyiddin tidak boleh dipecat sebagai Timbalan Presiden kerana beliau dipilih dalam Perhimpunan Agung UMNO tetapi dengan cara memecat keahlian UMNO secara automatik akan menggugurkannya dari jawatan penting itu.

Zam berkata, kenyataan Muhyiddin dalam sebuah forum di Johor baru-baru ini yang menganggap pemimpin UMNO yang menyokong Presiden sebagai pengecut, telah mendorong penyokong-penyokong Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi semakin agresif.

“Langkah mencantas Muhyiddin mesti dilakukan sebelum Perhimpuan Agung UMO tidak lama lagi kerana kehadiran Muhyiddin sebagai Timbalan Presiden mungkin akan menimbulkan kekecohan yang boleh menjatuhkan maruah Najib sebagai Presiden UMNO jika berlaku tindakan provokasi antara kedua pihak.

“Mencantas Muhyiddin juga perlu dilakukan lebih awal supaya bakal Timbalan Presiden UMNO dapat dipromosikan sebelum Perhimpunan Agung UMNO menjelang pilihanraya umum akan datang dan supaya Najib dapat berkuasa sehingga pilihanraya umum itu,” katanya menerusi entri terbarunya zamkata.blogspot.my.

Beliau berkata, pemecatan Muhyiddin akan memberi peluang kepada Najib memperkuatkan kekuatannya dalam parti dan memperbaiki ekonomi negara.

“Tetapi ini belum pasti akan dapat mempastikan pemulihan sokongan orang Melayu kepada UMNO untuk terus bekuasa kerana semangat bahagian dan ahli-ahi UMNO adalah sangat rendah kerana kerosakan imej kepimpinan negara yang sangat parah,” katanya.

Menurutnya, selain daripada Muhyiddin, beberapa orang yang turut merancang untuk menjatuhkan Najib juga bersedia untuk disingkirkan kerana merosakkan imej UMNO walaupun niat mereka yang sebenar adalah mahu menyelamatkan parti.

“Ketua-ketua bahagian UMNO melihat bahawa langkah menyelamatkan kepentingan peribadi Najib adalah perlu untuk kekuatan parti dari menyelamatkan parti untuk kepentingan seluruh rakyat.

“Keputusan ini kerana Najib adalah King of Money yang mempunyai pengalaman lama dalam UMNO bahawa Money Is The King,” jelasnya.

Tun M diugut Ali Tinju


Tun M diugut Ali Tinju
Dia sedia menggerakan Gerakan Merah untuk mendesak Perdana Menteri menggugurkan Mukhriz Mahathir sebagai Menteri Kedah jika Tun M terus menyerang Najib.

Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad didesak supaya berhenti menghasut rakyat membenci Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ingatan itu dibuat oleh Presiden Persatuan Veteran Angkatan Tentera Melayu, Ali Baharom atau Ali Tinju.

Katanya, jika Dr Mahathir berdegil dan meneruskan serangan terhadap Najib, pihaknya akan mendesak Perdana Menteri menggugurkan Datuk Seri Mukhriz sebagai Menteri Besar Kedah.

Katanya, dia tidak teragak-agak untuk menggerakkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dikenali Gerakan Merah untuk melancarkan desakan itu.

“Jika Tun masih kacau dan menghasut rakyat supaya membenci Perdana Menteri Malaysia yang sah, Datuk Seri Najib Tun Razak, kami NGO Melayu #Gerakan Merah akan membuat bantahan supaya Perdana Menteri gugurkan anak Tun Mahathir sebagai Menteri Besar Kedah,” katanya kepada FMT.

Ali Tinju berkata, peringatan itu penting kerana Dr Mahathir masih ghairah menyerang kepimpinan Najib dengan melemparkan segala tuduhan dan tohmahan tidak berasas.

Pesalah Lelaki tampar imam didenda RM12,000


Pesalah Lelaki tampar imam didenda RM12,000
Hukuman denda sebanyak RM12,000 itu dijatuhkan terhadap Shabir Ahmad Khan selepas mahkamah mendapati laporan psikiatri menunjukkan tertuduh layak dibicarakan.

Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada Jumaat menjatuhkan hukuman denda RM12,000 kepada seorang lelaki warga India kerana menampar Imam Masjid Negara, bulan lalu.

Majistret Siti Radziah Kamarudin menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh Shabir Ahmad Khan, 31, selepas laporan psikiatri menunjukkan tertuduh layak dibicarakan.

Mahkamah turut memerintahkan lelaki itu dipenjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda.

Tertuduh didakwa telah menyebabkan kecederaan terhadap imam berkenaan, Mohd. Zuhairee Mohd. Yatim, 39, di Masjid Negara, Jalan Perdana, Dang Wangi, pada jam 1.30 petang, pada 18 September lepas.

Dia turut didakwa mengganggu perjalanan solat Jumaat dan tinggal lebih masa di negara ini di tempat, waktu dan tarikh sama.

Noh Omar - Arul Kanda tidak perlu letak syarat


Noh Omar - Arul Kanda tidak perlu letak syarat
Tiada bezanya status Tony Pua sebagai ahli PAC tetapi yang penting rakyat tahu perkara yang sebenar tentang 1MDB.

Debat terbuka antara Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda dan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua perlu dilakukan tanpa syarat.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata, permintaan Arul yang mahu Pua meletakkan jawatan sebagai ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dianggap sebagai tidak perlu.

“Debat terbuka itu perlu dilakukan tanpa syarat walaupun Arul Kanda ada mengemukan syarat supaya Tony melepaskan jawatan sebagai ahli PAC. Tiada bezanya status dia sebagai ahli PAC tetapi yang penting rakyat tahu perkara yang sebenar tentang 1MDB,” katanya yang dipetik daripada sebuah laman portal.

Beliau berkata demikian mengulas cabaran Arul kepada Tony untuk berdebat selepas Tony banyak kali mengkritik syarikat pelaburan strategik negara yang dilanda kontroversi itu.

Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang kagum dengan usaha berterusan Arul memulihkan kepercayaan rakyat terhadap 1MDB.

“Saya menyokong penuh jawapan daripada Arul yang menerima cabaran daripada Tony untuk berdebat secara terbuka tentang 1MDB,” ujarnya.

Jamal panggil Tony Pua ‘Ahli Parlimen Celaka’


Jamal panggil Tony Pua ‘Ahli Parlimen Celaka’
Dia mencabar Tony Pua untuk berdebat dengannya mengenai 1MDB dan berhenti membuat tuduhan tidak benar terhadap syarikat milik negara itu.

Datuk Jamal Yunos memanggil Tony Pua sebagai Ahli Parlimen Celaka kerana didakwa sering membuat dakwaan dan tuduhan tidak berasas berkenaan 1MDB.

Ketua UMNO Sungai Besar itu meluahkan tidak puas hati terhadap Ahli Parlimen DAP dari Petaling Utara itu kerana mencabar 1MDB untuk berdebat.

Menerusi aplikasi WhatsApps, Jamal berkata, selain Arul Kanda, beliau sendiri juga sanggup berdebat dengan Tony Pua berkenaan 1MDB.

“Bukan sahaja Arul Kanda berani menyahut cabaran Tony Pua, saya sebagai ketua UMNO juga sanggup berdebat dengannya berkenaan isu 1MDB.

“Jika dia benar-benar anak jantan, mari kita bersemuka, Jangan hanya tahu buat tuduhan dan menipu rakyat.

“Saya anggap Tony Pua sebagai Ahli Parlimen celaka,” katanya.

Jamal meluahkan kemarahan itu susulan Tony Pua mencabar Arul Kanda untuk berdebat dengannya dalam program bual bicara yang disiarkan secara langsung.

Arul, Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1MDB menyahut cabaran itu dengan syarat Tony Pua meletak jawatan dalam Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) terlebih dahulu untuk mengelak pertembungan kepentingan peribadi.

Friday, October 16, 2015

UMNO gagal dalam perjuangan politik – Saifuddin


UMNO gagal dalam perjuangan politik – Saifuddin
Bekas Ahli Parlimen Temerloh itu mendakwa pembangkang lebih menonjol dalam perjuangan politik untuk membawa perubahan kepada rakyat dan negara.

Bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah menjelaskan tindakannya meningalkan UMNO kerana parti itu dilihat telah gagal dalam perjuangannya untuk membela rakyat dan negara.

Sebaliknya, pembangkang khususnya PKR yang didakwanya mempunyai matlamat yang jelas untuk membawa perubahan politik.

“Saya tidak melihatnya dibincangkan secara substantif atau komprehensif oleh UMNO-BN (walaupun ramai ahli UMNO-BN, sebenarnya, jauh di lubuk hatinya, punya aspirasi yang hampir sama).

“Untuk mencapai perubahan sebenar, kita perlu kepada “gabungan minda” (coalition of minds) antara parti-parti pembangkang, masyarakat sivil (CSO), semua pihak berkepentingan dan seluruh rakyat (termasuk ahli-ahli UMNO/BN),” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Jelasnya lagi, untuk mencapai matlamat tersebut, pemerintahan perlu bebas daripada skandal bersar sehingga boleh memeberi kesan kepada rakyat seperti isu, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan derma 2.6 bilion yang berlaku di bawah pentadbiran kerajaan UMNO dan BN.

Pemandu teksi rayu polis bersihkan namanya


Ahli keluarga Hanizan mendapat malu selepas dia ditahan reman bagi membantu siasatan penculikan kanak-kanak di Kajang.

Pemandu teksi yang direman bagi membantu siasatan kes penculikan seorang kanak-kanak di Kajang merayu polis membersihkan namanya yang telah tercemar.

Hanizan Mohamed Radzi juga berkata, penahanan dia sebagai suspek telah memalukan keluarganya.

Dia membuat rayuan itu kepada pegawai polis ketika dibawa ke Mahkamah Majistret di sini untuk pembebasannya selepas seminggu ditahan.

“Anak-anak mendapat malu kerana saya. Tolong…tolong bersihkan nama saya.

“Saya hanya pemandu teksi. Saya tidak melakukan apa-apa kesalahan, “katanya seperti dilaporkan The Star online.

Dia dibebaskan dengan jamiman mengikut Seksyen 49 Kanun Acara Jenayah.

Manakala tiga lagi suspek didakwa mengikut Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961 kerana menahan secara salah dan meminta wang tebusan.

Empat suspek termasuk Hanizan ditahan dalam tempoh 24 jam selepas kanak-kamak itu diculik di hadapan sebuah tadika Sungai Chua.

Kejadian itu berjaya dirakam CCTV yang memudahkan polis memburu suspek terbabit.

Suspek meminta wang tebusan sebanyak RM300,000 daripada bapa mangsa.

Hanizan menghantar pulang kanak-kanak lelaki itu ke rumah keluarganya dan mendakwa dia menemui mangsa di tepi jalan.

Peguam Negara gagal kesan masalah 1MDB


Peguam Negara gagal kesan masalah 1MDB
Pas menempelak Apandi kerana menjadikan Bank Negara sebagai kambing hitam.

Pas mempersoalkan kewibawaan Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali kerana dikatakan gagal mengesan masalah yang membebani 1MDB.

Sebaliknya, beliau menuding jari kepada Bank Negara yang didakwanya sebagai cuai.

Dalam kenyataannya, Timbalan Presiden Pas Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata disebabkan 1MDB, nasib ramai pihak telah berubah.

“Namun nasib 1MDB dan juga Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak masih kelihatan teguh kerana Peguam Negara tidak dapat menghidu ada masalah terhadap 1MDB.

“Ternyata hidung Peguam Negara tidak sesensitif hidung Majlis Raja-Raja yang turut menggesa agar krisis 1MDB diselesaikan dengan cepat,” katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Menurutnya, sehingga kini 1MDB masih lagi tidak perlu berdepan dengan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan Perdana Menteri juga masih lagi belum disoal oleh polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Jikalau semua kejadian ini dijadikan kayu ukuran kepada 1MDB, ini boleh dikira sebagai krisis terbesar negara,” ujarnya.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim turut mengalu-alukan mana-mana pihak yang ingin bersama menuntut kebenaran dalam isu 1MDB bersama-sama dengan pembangkang terutamanya kumpulan yang pro kepada UMNO dan Barisan Nasional.

“Dalam sudut ini, Pas menegaskan kami mengalu-alukan kesudian mana-mana NGO untuk bersama pembangkang menentang UMNO dalam isu 1MDB dan kepentingan rakyat.

“Tapi Pas tidak akan sesekali mengadakan kerjasama politik dengan NGO yang bersentimenkan perkauman,” katanya.

Tegasnya, sekiranya ada di kalangan NGO cuba untuk mengapi-apikan dan melaga-lagakan kaum dan agama, Pas adalah musuh yang pertama kepada NGO itu kerana Islam melarang perkara ini dengan jelas.

“Pas akan menjadi benteng pertama menghalang NGO tersebut daripada merosakkan kehormonian kaum dengan politik perkauman yang melampau,” ujarnya.

SKMM siasat laporan palsu Apandi dan Zeti


SKMM siasat laporan palsu Apandi dan Zeti
Mereka yang melakukan kesalahan berkenaan boleh dikenakan hukuman di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan menyiasat penyebaran kenyataan palsu membabitkan Ketua Peguam Negara, Tan Sri Apandi Ali terhadap Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz yang dikatakan dimuat naik dalam sebuah portal berita tempatan.

Ketua Pegawai Sektor Keselamatan Rangkaian, Penguatkuasaan dan Advokasi SKMM, Zulkarnain Mohd Yasin menegaskan pihak yang bertanggungjawab menyebarkan berita palsu itu akan dibawa ke muka pengadilan.

Menurut Zulkarnain, mereka yang melakukan kesalahan berkenaan boleh dikenakan hukuman di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Jangan sesekali menyebarkan berita-berita yang tidak dipastikan kesahihannya. Ini kerana tindakan sedemikian boleh mencetuskan keadaan yang tidak diingini.

“SKMM ingin menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpengaruh atau mempercayai kandungan serta paparan dalam media sosial,” katanya dalam catatan di laman Facebook SKMM tanpa merujuk kepada mana-mana kenyataan khusus.

Sambil berkata mereka perlu terlebih dahulu menyemak berita-berita berkenaan dengan sumber yang betul, beliau menegaskan bahawa SKMM memandang serius penyebaran berita palsu di media sosial.

– Bernama

Terima kasih Saifuddin kerana selamatkan UMNO


Terima kasih Saifuddin kerana selamatkan UMNO
Saifuddin Abdullah dikatakan menjadi duri dalam daging kerana pemikiran liberalnya tidak lagi sesuai dengan jalan sederhana yang dibawa UMNO.

Tindakan bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah yang keluar UMNO bagi menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) merupakan ‘blessing in disguise’ atau hikmah kepada UMNO.

Blog pro-UMNO, MYKMU.NET melaporkan, bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu menjadi duri dalam daging kepada parti itu sejak akhir-akhir ini.

Saifuddin yang berpegang kepada pemikiran liberal tidak lagi sesuai dengan UMNO yang sentiasa membawa jalan sederhana dalam isu agama dan kaum.

Sebaliknya, kecenderungan ideologi Saifuddin kepada Islam dan Melayu Liberal dikatakan sangat cocok kepada kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Blog itu berkata, pengumuman Saifuddin meninggalkan UMNO untuk menyertai PKR sedikit pun tidak mengejutkan.

“Pengumuman lebih mengejutkan apabila bekas Ahli Parlimen Temerloh tersebut menulis dalam akaun twitternya (pada Rabu) bahawa tidak akan sesekali keluar UMNO.

“Ramai dalam UMNO dan PKR yang kecewa dengan kenyataan semalam (Rabu). Akar umbi UMNO mengharapkan beliau keluar dari parti kerana sering membawa pandangan liberal. PKR pula sangat memerlukan Saifuddin seorang orator dan pemikir yang gah,” lapor blog itu.

Blog itu mendakwa, tindakan Saifuddin meninggalkan UMNO sebenarnya menyelamatkan parti itu.
“Terima kasih Saifuddin kerana menyelamatkan UMNO,” tulis blog itu lagi.

Saifuddin musuh dalam selimut- Bung Mokhtar


Saifuddin musuh dalam selimut- Bung Mokhtar
Tindakan Saifuddin keluar UMNO tidak akan menjejaskan parti itu kerana beliau sendiri telah ditolak oleh penduduk Temerloh

Tindak-tanduk bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah ketika masih dalam UMNO sama seperti musuh dalam selimut.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Bung Mokhtar Radin berkata, kebenarannya terserlah selepas bekas Ahli Parlimen Temerloh itu memutuskan untuk menyertai pembangkang, PKR.

“Saya tidak hairan Saifuddin keluar UMNO, kerana sikap Saifuddin dan menampakkan reaksi yang cukup menyakinkan yang dia tidak serasi dengan perjuangan Barisan Nasional (BN).

“Pada saya adalah lebih baik kita (UMNO dan BN) berlawan dengan lawan yang terang daripada berlawan dengan musuh dalam selimut. Saya ucap terima kasih kerana Saifuddin ‘be a gentlement’,” katanya ketika dihubungi FMT.

Malah Ahli Parlimen Kinabatangan itu berkata, tindakan Saifuddin keluar menyertai PKR lansung tidak menjejaskan UMNO, kerana beliau sendiri ditolak oleh rakyat semasa Pilihan Raya Umum (PRU) lepas.

“Saya tidak nampak UMNO pada keseluruhannya terjejas, sebab Saifuddin pun pemimpin yang kalah dalam PRU,” katanya.

Kenaikan tol tidak sepatutnya berlaku di Selangor-Jamal


Kenaikan tol tidak sepatutnya berlaku di Selangor-Jamal
Kerajaan Negeri Selangor menikmati royalti dan memegang 30 peratus saham syarikat konsesi, maka tidak salah diberikan subsidi bagi megelak kenaikan tol.

Kenaikan tol tidak sepatutnya berlaku di Selangor memandangkan kerajaan negeri itu dan saham ke atas syarikat konsesi tersebut.

Pengerusi Gabungan NGO Melayu Malaysia, Datuk Jamal Md Yunos berkata, sebagai penyelesaian mengurangkan beban tol yang mahal ditanggung rakyat di negeri itu, kerajaan negeri Selangor seharusnya membayar subsidi kepada syarikat konsesi tersebut.

“Kerajaan negeri Selangor menikmati royalti dan memegang 30 peratus saham daripada syarikat tersebut, jadi apa salahnya beri subsidi kepada mereka?

“Inipun Kerajaan Pusat masih memberi subsidi, jika ditarik semua itu, ia pasti akan menjadi cabaran besar kepada kerajaan negeri Selangor yang selama ini hanya pandai bercakap sahaja,” katanya kepada pemberita di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya pada Khamis.

Pada Rabu, Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali mengarahkan dua syarikat milik negeri yang mempunyai kepentingan minoriti dalam Lebuhraya Kesas dan Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) untuk beri penjelasan berhubung kenaikan tol di kedua-dua lebuh raya tersebut.

Azmin Ali berkata Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang memiliki 30 peratus saham minoriti dalam konsesi Lebuhraya Kesas sejak 1993 dan Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (KPS) sebanyak 20 peratus sejak 1999 memaklumkan bahawa sehingga kini tiada sebarang mesyuarat lembaga pengarah diadakan membincangkan kenaikan tol ia sekadar makluman.

Justeru kedua-dua syarikat konsesi itu diarah menghadiri mesyuarat khas lembaga pengarah bagi membantah kenaikan kadar tol.

Dakwaan Tun M buat laporan polis, palsu


Dakwaan Tun M buat laporan polis, palsu
Perkara itu dinafikan pegawai khas kepada bekas Dr Mahathir.

Dakwaan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersama dua lagi pemimpin UMNO akan membuat laporan Polis secara berasingan terhadap 1MDB, pada Jumaat disahkan palsu.

Penafian itu dibuat, Pegawai Media beliau, Sufi Mohd Yusof.

“Berita itu tidak benar,’ katanya ringkas ketika dihubungi FMT.

Dua pemimpin UMNO yang dikatakan akan membuat laporan itu, bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Sementara itu, Muhyiddin menerusi kenyataan di Facebooknya turut menafikan perkara sama.

“Whatsapp yang tersebar mengenai laporan polis oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah PALSU,” katanya.

Berdasarkan, maklumat yang dihantar menerusi aplikasi itu, laporan polis akan dibuat secara serentak di tiga lokasi berbeza yang akan diwakili pemimpin berkenaan.

Takut didenda punca pelajar Orang Asli lari diri


Punca pelajar-pelajar itu melarikan diri adalah disebabkan takut dengan hukuman oleh warden sekolah selepas mandi di sungai

Polis mendedahkan mengenai kejadian sebenar kehilangan tujuh murid Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi yang melarikan diri dari asrama pada 23 Ogos lepas.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, rentetan kejadian itu bermula sehari sebelum itu apabila sekumpulan 25 murid sekolah berkenaan keluar mandi ke sungai berdekatan pada pukul 1 tengah hari.

Hal itu kemudiannya dimaklumkan kepada seorang warden sebelum tiga daripada 25 murid berkenaan dipanggil.

“Kira-kira jam 9 malam, 23 daripada 25 murid berkenaan telah berbincang dan merancang untuk melarikan diri ke kampung mereka iaitu Kampung Penad dan Kampung Gawin pada keesokan pagi,” katanya yang dipetik daripada Bernama.

Mengulas lanjut, Mazlan berkata pada jam 7 hingga 9 pagi, 23 Ogos pula warden telah membuat pemeriksaan dan mendapati seramai 23 orang murid asrama telah melarikan diri dan warden bersama Pembantu Pengurusan Asrama, pengawal keselamatan dan dua orang penduduk kampung telah mencari murid-murid berkenaan.

“Mereka kemudiannya telah bertemu dengan 16 murid-murid ini di satu lokasi pada pukul 6 petang dan memujuk mereka untuk pulang ke asrama, bagaimanapun tujuh belum ditemui sebelum pihak sekolah yang dibantu penduduk kampung melakukan gerakan awal mencari mereka pada pukul 9 malam sehingga pukul 12.30 pagi keesokannya (24 Ogos),” ujarnya.

Beliau berkata, rancangan murid-murid berkenaan melarikan diri daripada asrama sekolah itu diketahui hasil temubual yang dijalankan ke atas 16 murid yang kembali ke asrama selepas dipujuk oleh guru mereka.

Katanya, pada 24 Ogos, pihak sekolah dan penduduk kampung meneruskan usaha pencarian bermula pukul 8 pagi hingga 3 petang dalam lingkungan 1 kilometer dari kawasan sekolah serta berjumpa dengan ibu bapa murid-murid berkenaan di Kampung Penad dan Kampung Gawin.

“Namun, selepas gagal menemui ketujuh-tujuh murid berkenaan di kampung masing-masing, pihak sekolah kemudiannya membuat laporan polis pada pukul 2.25 pagi pada 25 Ogos sebelum Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang menghantar lima anggotanya ke Pos Tohoi pada pukul 9.30 pagi untuk menjalankan operasi pencarian di kawasan berdekatan,” katanya lagi.

Jelas beliau, bermula pada 25 Ogos, operasi mencari dan menyelamat (SAR) ketujuh-tujuh murid-murid berkenaan telah digerakkan, sekaligus menolak dakwaan di laman-laman sosial yang mendakwa pasukan SAR hanya melaksanakan operasi berkenaan pada 27 Ogos.

“Pihak sekolah juga lambat membuat laporan polis kerana pernah ada kejadian murid bertindak melarikan diri dari asrama, namun ditemui ketika mencari murid berkenaan di rumah mereka,” katanya.

Mazlan berkata, lebih daripada 350 anggota daripada pelbagai agensi keselamatan dan awam telah terlibat dalam operasi berkenaan sehinggalah pasukan SAR menemui mayat pertama pada 7 Oktober lepas.

Miksudiar Alui, 11, dan Norieen Yaakob, 10, ditemui selamat oleh pasukan SAR pada Jumaat lepas.
Mereka adalah antara tujuh murid SK Tohoi di Gua Musang yang dilapor melarikan diri dari asrama sekolah pada 23 Ogos lepas kerana takut dikenakan tindakan oleh guru kerana mandi di sungai berdekatan tanpa kebenaran.

Dua lagi murid, Sasa Sobrie, 8, dan Ika Ayel, 9, disahkan meninggal dunia manakala dua rangka turut ditemui tetapi masih belum dikenal pasti.

Tiga lagi murid dalam insiden itu adalah Linda Rosli, 8, Haikal Yaakob, 8, dan Juvina
David, 7.


Jamal pertikai bidang kuasa polis


Jamal pertikai bidang kuasa polis
Menurut Jamal kelulusan untuk mengadakan perhimpunan itu bukan urusan mereka kerana ia tanggungjawab polis.

Perhimpunan ‘Selamatkan Negeri Selangor Daripada Kerajaan Pakatan Caca-marba’ akan tetap diteruskan pada Ahad ini walaupun tidak mendapat permit daripada pihak berkuasa.

Pengerusi Gabungan NGO Melayu Malaysia, Datuk Jamal Md Yunos berkata, mendapat kelulusan untuk mengadakan perhimpunan itu bukan urusan mereka kerana ia tanggungjawab pihak polis.

“(Memperoleh kelulusan) itu kerja polis. Biar dia buat kerja, kami bawa suara rakyat. Polis ada tanggungjawab dan kami juga ada tanggungjawab.

“Saya tidak berniat untuk mencabar polis atau pihak berkuasa cuma mahu beritahu, 18 Oktober ini kami tetap adakan himpunan itu,” katanya kepada pemberita di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya.

Jamal yang juga Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar berkata, perhimpunan itu diadakan ekoran pelbagai masalah tidak berkesudahan di Selangor khususnya masalah denggi, sampah dan lif rosak di kawasan rumah pangsa yang tidak diselenggara.

“Itu merupakan sebab untuk kami mengadakan himpunan ini,” katanya.

Jamal mensasarkan kira-kira 5,000 peserta akan menyertai himpunan yang akan diadakan di Bandar Baru Ampang itu.

Bukan itu sahaja, Jamal juga bercadang mengadakan himpunan yang sama di dua kawasan yang lain iaitu Kelana Jaya dan Subang.

“Himpunan ini dijangka diatur dalam masa enam bulan akan datang,” ujarnya.

Thursday, October 15, 2015

UMNO tidak terjejas tanpa Saifuddin – Syed Ali


UMNO tidak terjejas tanpa Saifuddin – Syed Ali
Saifuddin dikatakann hanya inginkan jawatan di dalam PKR selain berhasrat untuk menjadi calon pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

Tindakan bekas Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Saifuddin Abdullah yang menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak merugikan UMNO malah tidak memberi kesan langsung kepada parti itu.

Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata, tindakan bekas Ahli Parlimen Temerloh itu tidak mengejutkan kerana sebelum ini sudah menampakkan tanda-tanda awal akan meninggalkan parti itu.

“Dah boleh tahu dia (Saifuddin) akan keluar, awal-awal kita dah nampak gerak geri yang dia akan pergi ke pihak pembangkang.

“Semasa dia menjadi Timbalan Menteri Pengajian Tinggi pun kita sudah nampak. Bagi saya UMNO tidak kehilangan apa-apa kerana dia tidak pernah menyumbang apa-apa untuk kita,” ujarnya.

Sewaktu dihubungi Free Malaysia Today, Syed Ali mendakwa tindakan Saifuddin yang keluar dari UMNO dan menyertai PKR hanyalah kerana beliau inginkan jawatan di dalam PKR selain berhasrat untuk menjadi calon pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

“Beliau beranggapan BN akan kalah pada PRU14, sebab itu dia nak lompat jadi ahli PKR, nak jadi calon. Kerana dia tahu jika bersama UMNO, beliau tidak akan dapat. Ini orang yang gilakan jawatan,” katanya.

Sebelum ini, Saifuddin berkata, PKR menjadi pilihannya kerana parti itu bersifat pelbagai kaum, sederhana dan terbuka.

Beliau juga berkata akan meletak jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (GMM) sebaik sahaja pengerusinya, Tan Sri Razali Ismail kembali dari luar negara.

Pakatan Harapan: PKR terus tagih simpati Pas


Pakatan Harapan: PKR terus tagih simpati Pas
PKR memaklumkan mereka belum menerima keputusan secara rasmi dari Pas berhubung penolakan parti itu untuk sertai Pakatan Harapan.

PKR terus menagih simpati Pas untuk menyertai Pakatan Harapan walaupun parti Islam itu bertegas tidak akan menjalinkan kerjasama dengan DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) di bawah satu gabungan.

Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali berkata, parti itu masih belum menerima sebarang keputusan rasmi daripada Pas berhubung penolakan tersebut.

“Kita belum dimaklumkan secara rasmi (Pas tidak akan menyertai Pakatan Harapan), setakat ini perbincangan (dengan Pas) masih berjalan seperti biasa.

“Kita sentiasa bersikap terbuka untuk bekerjasama dengan semua parti politik (pembangkang) dan individu yang berpegang kepada prinsip untuk membawa perubahan,” katanya ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat PKR pada Khamis.

Terdahulu, Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Pas serik dengan permainan politik DAP dan menegaskan tidak akan menyertai Pakatan Harapan walaupun PKR masih mengharapkan parti itu akan menyertai pakatan pembangkang berkenaan.

Katanya,Pas tiada masa untuk melayan kerenah bekas rakan komponennya dalam Pakatan Rakyat, DAP yang kerap menjadikan Pas sasaran serangan.

Kerajaan diminta henti ugut rakyat guna SOSMA


Kerajaan diminta henti ugut rakyat guna SOSMA
Kerajaan dituduh menyalahgunakan SOSMA bagi menyekat suara pembangkang.

Kerajaan diminta supaya berhenti daripada mengugut rakyat dengan menyalahguna Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau SOSMA.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad mendakwa, kerajaan dilihat telah menggunakan akta berkenaan bagi mengelak pihak tertentu daripada diambil tindakan kehakiman.

“Jelas terdapat corak penyalahgunaan undang-undang apabila integriti pihak berkuasa dipersoal dan ini boleh dibuktikan dengan penggunaan SOSMA ke atas individu padahal niat pembentukan undang-undang itu adalah untuk menyekat aktiviti keganasan,” katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Menurut Nik Nazmi lagi, penggunaan Akta Hasutan yang semakin menjadi-jadi pada masa ini untuk menyekat suara pembangkang.

Katanya, langkah yang diambil oleh kerajaan itu dalam melakukan perkara berkenaan dengan tujuan politik dianggap sebagai satu tindakan kolot.

Jelasnya, apa yang berlaku itu sememangnya bertentangan dengan hak asasi rakyat seperti mana yang telah ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri telah berjanji untuk memansuhkan tetapi tidak menepatinya apabila mendapati kedudukan beliau sudah tidak selamat,” katanya.

Nik Nazmi turut mengambil contoh terhadap apa yang berlaku kepada aktivis Khalid Ismath apabila dia dikatakan telah dipaksa mengaku bersalah di atas dakwaan tertentu.

Katanya, apa yang berlaku itu merupakan ugutan dan ia telah melanggar hak pihak yang tertuduh.

Laporan nahas MH17 berat sebelah -Duta Rusia


Laporan nahas MH17 berat sebelah -Duta Rusia
Rusia turut menafikan bahawa pesawat Malaysia Airlines Penerbangan MH17 ditembak oleh peluru berpandu BUK buatan Rusia.

Rusia kecewa dengan laporan Lembaga Keselamatan Belanda berhubung nahas MH17, yang disifatkannya sebagai berat sebelah.

Kekesalan itu disuarakan dutanya ke Kuala Lumpur, Valery N Yermolov.

Beliau menegaskkan peluru berpandu BUK yang dikatakan buatan republik itu tidak lagi digunakan Rusia dan ia telah dimusnahkan sejak 2011.

“Laporan Lembaga Keselamatan Belanda menyatakan peluru berpandu BUK dicipta pada tahun 1986 semasa perang saudara dengan pihak Kesatuan Soviet dan selepas pengisytiharan kemerdekaan, ia mempunyai jaminan selama 25 tahun.

“Peluru berpandu BUK telah dihapuskan oleh tentera Rusia, tetapi, pihak kami mendapat tahu bahawa (tentera) Ukraine masih memiliki 520 biji peluru berpandu jenis itu dan masih digunakan hingga kini,” katanya dalam satu sidang media di Kedutaan Rusia pada Khamis.

Menerusi laporan pasukan penyiasat yang diterajui oleh negara Belanda, peluru yang menembak jatuh pesawat MH17 yang mengorbankan 298 nyawa anak kapal dan penumpang di atas ruang utara Ukraine merupakan peluru berpandu jenis 9N314M.

Mengulas lanjut, Yermalov turut menyatakan negara bekas Republik Kesatuan Soviet termasuk negara perikatan NATO seperti Greece turut memiliki peluru berpandu BUK.

“Ini bermakna peluru berpandu BUK itu bukan sahaja dimiliki oleh Rusia tetapi turut dimiliki oleh negara bekas Kesatuan Soviet yang lain,” ujarnya.

Valery juga mengesahkan peluru berpandu milik Rusia tidak akan menyebabkan serpihan letupan paten kupu-kupu seperti yang dijumpai pada badan pesawat MH17.

“Peluru berpandu kita hanya mengandungi serpihan melintang dan serpihan dijumpai di badan pesawat MH17 pula sejenis peluru digunakan dengan meluas oleh puak pemisah yang lain,” katanya.

Belanjawan Alternatif 2016 fokus Sabah dan Sarawak


Belanjawan Alternatif 2016 fokus Sabah dan Sarawak
Pendekatan itu diambil bagi mengurangkan jurang pendapatannya dengan Semenanjung Malaysia

Pakatan Harapan akan membentangkan Belanjawan Alternatif 2016 dengan memberi tumpuan kepada pembangunan Sabah dan Sarawak.

Pendekatan itu diambil bagi mengurangkan jurang pendapatannya dengan Semenanjung Malaysia.
Perinciannya akan dibuat Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu.

Ahli Parllimen Petaling Jaya Utara (PJU) Tony Pua berkata, belanjawan alternatif itu memperbanyakkan peluang pelaburan di Sabah dan Sarawak sebagai usaha untuk meingkatkan taraf hidup penduduk di sana.

“Kita tengok mereka terpinggir dari segi peluang pekerjaan dan ekonomi. Kita mahu lebih banyak pelaburan ke sana untuk meningkatkan taraf hidup rakyat,” katanya.

Mengulas perkara yang sama, Ahli Parlimen Kelana Jaya, Wong Chen pula menyatakan bahawa Pakatan Harapan mencadangkan pendekatan berdisiplin bagi belanjawan negara dan secara umumnya tidak mencadangkan agar pakej ransangan digunakan pada tahun hadapan.

“Fokus kami juga untuk mengurangkan ketirisan dan aktiviti rasuah.

Ketua Eksekutif Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor, Dr Fahmi Ngah pula berkata belanjawan alternatif pembangkang turut menyentuh mengenai keupayaan dan ketidaktentuan ekonomi yang melanda negara ekoran kelesuan ekonomi China.

“Langkah-langkah untuk menangani masalah tersebut adalah kita harus berbelanja lebih baik dan menumpukan usaha bidang ekonomi baru selain membina ketahanan yang lebih baik,” katanya.

Perbentangan belanjawan itu juga dua hari lebih awal daripada yang akan dibentangkan oleh kerajaan.

Saifuddin kecewa dengan UMNO


Saifuddin kecewa dengan UMNO
Bekas Ahli Parlimen Temerloh itu menyertai PKR selepas tidak lagi serasi dengan UMNO serta BN walaupun telah lama berada dalam parti itu.

Bekas Ahli Parlimen Temerloh yang juga bekas Timbalan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah sah menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Pengumuman rasminya dibuat oleh Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ibrahim, di ibu pejabat parti itu,di Petaling Jaya.

Mengulas mengenainya, Saifuddin berkata, PKR menjadi pilihan kerana bersifat pelbagai kaum, sederhana dan terbuka.

“ Namun begitu saya telah sekian lama dalam UMNO dan Barisan Nasional, saya tidak dapat ia dilakukan secara konklusif dan subtensif menyebabkan saya tidak serasi dengan UMNO,” katanya.

Beliau juga berkata akan meletak jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (GMM) sebaik sahaja pengerusinya, Tan Sri Razali Ismail kembali dari luar negara.

Saifuddin sebelum ini menerima surat tunjuk sebab oleh UMNO kerana menghadiri persidangan meja bulat pihak pembangkang pada 21 September lalu.

Guna dana RM2.6 bilion untuk tampung kenaikan tol


Guna dana RM2.6 bilion untuk tampung kenaikan tol
Dana yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri jauh daripada mencukupi untuk menampung kesan kenaikan kadar tol.

Dana RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak boleh digunakan untuk menampung kenaikan kos.

Cadangan itu dibuat Timbalan Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah), Muhammad Faiz Fadzil yang perbandangan, jumlah berkenaan jauh melebihi kos yang terpaksa ditanggung kerajaan kepada pemegang konsesi lebuhraya.

“Pagi tadi Datuk Wahid berkata bahawa kerajaan perlu membayar RM510 juta kalau tak menaikkan harga tol dan jika dibandingkan dengan RM2.6 bilion dalam akaun peribadi Perdana Menteri, RM510 juta itu dapat ditampung.

“Kami mendesak agar kenaikan harga tol ini dikaji semula dan segala perjanjian dengan konsesi lebuh raya dikaji semula demi kebajikan dan kepentingan rakyat,” katanya dalam sidang media di luar perkarangan Istana Negara.

Jelasnya lagi, kadar baru yang berkuatkuasa hari ini menambahkan lagi beban sedia ada yang ditanggung rakyat.

“Saya percaya kutipan tol ini amat tinggi dan tiada keperluan untuk kenaikan dibuat walaupun ada perjanjian dimeterai antara kerajaan dengan konsesi . Social duty perlu dibuat oleh konsesi, mereka telah dapat keuntungan yang banyak dan ia adalah facilities untuk rakyat dan kerajaan perlu ambil peduli hal ini,” jelasnya dengan nada kesal.

Amanah desak kerajaan tubuh RCI siasat 1MDB


Amanah desak kerajaan tubuh RCI siasat 1MDB
Penubuhan Suruhanjaya Diraja itu penting kerana siasatan yang dibuat oleh pihak berkuasa sebelum ini tidak mendatangkan sebarang hasil.

Kerajaan didesak supaya menubuhkan sebuah Suruhanjaya Diraja (RCI) bagi menyiasat skandal syarikat milik negara, 1MDB.

Timbalan Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah), Muhammad Faiz Fadzil mendakwa cadangan itu dibuat selepas siasatan yang dilakukan oleh pihak berkuasa sebelum ini tidak mendatangkan sebarang hasil.

Menurutnya lagi, dengan adanya RCI itu nanti, siasatan terhadap skandal yang mendapat perhatian masyarakat dunia itu akan menjadi telus.

“Kami percaya penubuhan RCI ini amat penting untuk mengembalikan keyakinan rakyat terhadap negara.

“Kami juga memohon pertimbangan Majlis Raja-Raja Melayu untuk menasihatkan Perdana Menteri supaya meletakkan jawatan dengan segera,” katanya.

Muhammad Faiz berkata demikian kepada pemberita selepas menghantar memorandum (MOU) kepada Pegawai Tadbir Kanan Istana Negara, Zainaldin Mohd Noor.

Dalam pada itu dia berkata, desakan supaya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meletakkan jawatan dibuat agar siasatan itu turut dapat dijalankan dengan bebas.

“Ini kerana beliau (Najib) terlibat secara langsung sebagai Menteri Kewangan dan Pengerusi 1MDB. Saya percaya peletakan jawatannya sebagai Perdana Menteri amat penting.

Lanun cuba tawan kapal tangki di Selat Melaka


Lanun cuba tawan kapal tangki di Selat Melaka
Kapal MT Almi Spirit yang didaftar di Liberia menjadi mangsa terbaru serangan lanun di berhampiran Singapura

Sekumpulan lanun dilaporkan telah berjaya menaiki sebuah kapal tangki, MT Almi Spirit ketika ia melepasi Selat Singapura pada Khamis.

Bagaimanapun percubaan itu berjaya dipatahkan.

Kejadian itu disahkan Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Laksamana Maritim Datuk Ahmad Puzi Ab Kahar menerusi catatan akaun twitter beliau.

“Almi Spirit dinaiki 6 perompak di Selat Singapura 7am tadi, dipintas KM Rawa dan Bot Kilat APMM di Tanjung Pelepas Johor,” tulisnya yang kemudian dilapor Bernama.

Kadar tol sedia ada bebani kerajaan - Abdul Wahid


Kadar tol sedia ada bebani kerajaan - Abdul Wahid
Bagi tempoh Januari hingga Oktober, kerajaan telah membayar RM510 juta susulan keputusan menangguhkan langkah itu yang sepatutnya dilaksana pada Januari lalu

Kerajaan tidak perlu menanggung pampasan tinggi untuk membayar kepada syarikat konsesi lebuh raya sebagai usaha mengekang kenaikan kadar tol.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata, bagi tempoh Januari hingga Oktober, kerajaan telah membayar RM510 juta susulan keputusan menangguhkan langkah itu yang sepatutnya dilaksana pada awal tahun ini.

Jelasnya, jumlah itu lebih tinggi berbanding RM403 juta pampasan yang dibayar kepada syarikat konsesi pada tahun lepas.

“Kerana itulah kita membenarkan syarikat konsesi menaikkan kadar tol,” katanya sambil menambah kenaikan itu dilakukan mengikut perjanjian konsesi yang dimeterai sebelum ini.

Beliau berkata, kenaikan itu hanya melibatkan lebuh raya dalam bandar dengan kadar kenaikan maksimum RM1.

Menurut Abdul Wahid, langkah itu membolehkan kerajaan membelanjakan sumber kewangannya untuk kepentingan rakyat seperti menyediakan kemudahan seperti sekolah dan klinik.

Dalam perkembangan lain, Abdul Wahid yakin usaha kerajaan untuk memantapkan ekonomi dan kewangan negara akan mengembalikan ringgit ke paras yang sepatutnya.

Bagaimanapun katanya, beliau tidak mahu membuat sebarang spekulasi mengenai paras mata wang negara seperti menyatakan bila ia sepatutnya berlaku.

Malaysia terima manfaat daripada TPPA – Abdul Wahid


Malaysia terima manfaat daripada TPPA – Abdul Wahid
Penyertaan Malaysia sebagai negara awal membolehkannya meningkatkan profil negara serta daya tarikannya terhadap pelabur asing.

Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) dijangka akan memberi lebih banyak peluang kepada syarikat tempatan untuk mengembangkan lagi aktiviti perniagaan mereka di luar negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata, perjanjian itu jika ditandatangani oleh Malaysia akan membawa kepada kebaikan ekonomi.

Beliau yang menyangkal pendapat sesetengah pihak yang mendakwa Malaysia adalah Pak Turut’ Amerika Syarikat sekiranya bersetuju menandatangani perjanjian tersebut berkata, penyertaan Malaysia sebagai negara awal membolehkannya meningkatkan profil negara serta daya tarikannya terhadap pelabur asing.

“Selain itu, antara kelebihan menjadi antara negara terawal dalam TPPA ialah membolehkan kita merundingkan terma yang sesuai dan terbaik untuk negara termasuklah mengambil kira eksklusiviti dan dasar Bumiputera serta perusahaan kecil dan sederhana,” katanya dalam Rancangan Soal Jawab terbitan TV3 berkaitan topik, ‘Ekonomi Negara’.

Sebagai contoh beliau merujuk kepada sektor elektrik dan elektronik (E&E), yang akan mendapat kelebihan berikutan jumlah eksport yang tinggi dicatatkan iaitu sekitar 35 peratus hingga 36 peratus.

“Jika kita lihat daripada jumlah eksport iaitu sebanyak 35 peratus hingga 36 peratus, adalah daripada produk E&E dan ini disebabkan terdapat banyak syarikat tempatan melabur di negara luar antaranya Amerika Syarikat.

“Sekiranya Malaysia tidak termasuk dalam perjanjian ini, dominasi kita dalam industri ini akan terjejas dan memberi kesan kepada ekonomi negara,” katanya yang dipetik daripada Bernama.

Terdapat 12 negara TPPA iaitu lima negara daripada benua Amerika; Amerika Syarikat, Kanada, Mexico, Peru dan Chile, empat negara ASEAN; Malaysia, Singapura, Brunei dan Vietnam dan tiga negara lain iaitu Jepun, Australia dan New Zealand yang menyumbang kepada 40 peratus kepada ekonomi dunia.

Ditetak selepas menegur lelaki mabuk


Ditetak selepas menegur lelaki mabuk
Sekumpulan lelaki mabuk yang berang selepas perbuatan mereka ditegur bertindak membelasah dan menetak mangsa.

Seorang lelaki mengalami kecederaan selepas menegur sekumpulan lelaki yang sedang mabuk.
Kejadian dikatakan berlaku di di sebuah flat kos murah di Kepong, Kuala Lumpur.

Detik-detik mangsa ditetak berjaya dirakam oleh seorang saksi dan kemudian dikongsi di Facebook.
“Geng mabuk kena tegur, org yg tegur kena tetak. Intan Baiduri, Kepong,” tulis Memerang Desa.

Bagaimanapun berdasarkan maklumat yang dikongsi di Facebook Friends of PDRM, ia tidak memberi penjelasan lanjut mengenai keadaan mangsa.



PAS - Kadar baru tol hadiah buat rakyat Terengganu


PAS - Kadar baru tol hadiah buat rakyat Terengganu
Fasa kedua kutipan tol bagi LPT2 akan bermula selepas September.

Rakyat Terengganu bakal menerima hadiah baru apabila apabila Kutipan tol bagi Lebuhraya Pantai Timur (LPT2) akan bermula selepas September menjadi hadiah baru kepada rakyat Terengganu.

Sindiran itu dibuat Ketua Penerangan Pas Terengganu, Mohd Nor Hamzah dalam reaksinya terhadap kenaikan tol yang bermula pada hari ini.

Jelasnya lagi, pengumuman yang dibuat pada awal minggu ini adalah siri pengingkaran janji Barisan Nasional (BN) terhadap ikrar yang dibuatnya pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang lalu.

Katanya lagi, apa yang berlaku menambahkan lagi beban yang ditanggung rakyat yang telah berdepan dengan pelbagai kesulitan ekoran kenaikan harga minyak dan bahan api.

“Apatah lagi kenyataan Menteri Besar (Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman) dalam Sidang Dun, Mei lalu, yang memaklumkan kutipan tol LPT2 akan bermula selepas September. Saya yakin rakyat Terengganu akan dihadiahkan dengan kadar tol baru.

“Ia menambah lagi keperitan rakyat kerana baru minggu lepas, kerajaan umum kenaikan harga minyak, walaupun harga minyak di pasaran dunia hanya berlegar di bawah USD50 sebarrel,” katanya yang dipetik Sinar Harian.

Jelasnya lagi, kerajaan menaikkan harga bahan api mengikut harga pasaran semasa harga minyak dunia tinggi, namun ketika harga minyak dunia turun, kerajaan menggunakan alasan nilai ringgit pula jatuh.

“Persoalan sekarang, kenapa RM jatuh? Apa penyebab utama? Mungkin faktor kenaikan harga

Masalah 1MDB selesai hujung tahun


Masalah 1MDB selesai hujung tahun
Kerajaan mengambil langkah proaktif apabila mahu menjual aset 1MDB bagi membayar hutang.

Kemelut berkaitan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) akan diselesaikan sebelum akhir tahun.
Janji itu diberikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar.

“Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) telah memberi kenyataan bahawa isu 1MDB akan diselesaikan dalam masa enam bulan bermakna sebelum hujung tahun ini,” katanya.

Ia diberi penekanan lagi apabila kerajaan mengambil langkah proaktif antaranya menjual aset 1MDB dan menggunakan hasilnya untuk membayar dan mengurangkan hutang.

“Proses ini akan dijalankan secara mesra pasaran dan telus,” katanya ketika ditemu bual dalam Rancangan Soal Jawab TV3 berkaitan topik, ‘Ekonomi Negara’.

Baru-baru ini, 1MDB mengumumkan bahawa paras hutangnya akan dikurangkan kepada kira-kira RM16 bilion daripada paras hutang syarikat.

Ini menunjukkan kejayaan pelan rasionalisasi 1MDB, yang turut mencerminkan minat pelabur antarabangsa dan domestik yang kukuh dalam Edra Energy dan Bandar Malaysia.

-BERNAMA

Saifuddin Abdullah sertai PKR?


Saifuddin Abdullah sertai PKR?
PKR akan mengumumkan penyertaan pemimpin UMNO ke dalam parti itu pada Khamis.

Bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO yang juga bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah didakwa bakal menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Beliau didakwa akan mengumumkan menyertai PKR pada Khamis.

Dakwaan kemasukkan bekas Ahli Parlimen Temerloh itu ke dalam PKR tersebar meluas di laman sosial dan applikasi WhatsApps.

Bagaimanapun terdapat percanggahan maklumat dalam mesej yang disebarkan itu sekaligus membuktikan dakwaan berita itu meragukan.

Mengikut jemputan yang dihantar kepada media, PKR mengadakan sidang akhbar bagi mengumumkan penyertai bekas pemimpin UMNO ke dalam parti itu di Ibu Pejabat PKR di Tropicana.

Manakala maklumat yang disebarkan menerusi WhatsApps pula mendakwa pengumuman penyertaan Saifuddin ke dalam PKR akan diadakan di Bangunan Manulife Damansara Height.

Safiuddin bagaimanapun telah menafikan akan menyertai PKR.

“Tidak, saya tidak (menyertai PKR). Terima Kasih.” tulis Saifuddin menerusi WhatsApps seperti dilaporkan Astro Awani.

Saifuddin baru-baru ini diberi surat tunjuk oleh UMNO kerana menghadiri Sidang Meja Bulat anjuran pembangkang bagi membincangkan penubuhan Pakatan Harapan.

Beliau mempertahankan kehadirannya kerana mewakili pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Akademi Belia bukan atas kapasiti politik.

Saifuddin sering membuat kenyataan yang bertentangan dengan pendirian parti dan pemerhati politik menjangkakan hayatnya bersama UMNO tidak kekal lama.

Sementara itu, pengumuman penyertaan bekas pemimpin UMNO ke dalam PKR akan dihadiri Presiden, PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah dan Timbalan Presiden, Mohamed Azmin Ali pada jam 12 tengahari.

Pas rugi enggan kerjasama dengan Perkasa


Pas rugi enggan kerjasama dengan Perkasa
Pas bakal hilang sokongan pengundi Melayu pada PRU14 termasuk undi ahli Perkasa.

Keengganan Pas menjalin sebarang bentuk kerjasama dengan Perkasa bakal merugikan parti itu pada Pilihan Raya Umum ke14 (PRU14).

Yang Dipertua Perkasa Selangor, Abu Bakar Yahya berkata, kenyataan Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Iskandar Samad bahawa Pas enggan bekerjasama kerana Perkasa membawa sentimen perkauman telah menyinggung perasan pengundi Melayu.

Katanya, kenyataan Iskandar itu bakal memberi kesan kepada Pas apabila pengundi Melayu tidak menyokong parti itu pada pilihan raya akan datang.

Ini kerana, katanya, ahli-ahli Perkasa bebas memilh mana-mana calon sama ada parti kerajaan atau pembangkang pada pilihan raya.

“Iskandar adalah pemimpin sebuah parti di Selangor. Parti ini sepatutnya menjaga perasaaan orang lain terutamanya perasaan pengundi kerana Pas akan bertanding dalam pilihan raya.

“Kenyataan dia (Iskandar) yang menyatakan bahawa Perkasa membawa sentimen perkauman menunjukkan sebenarnya dia tak pernah mendampingi Perkasa, tidak mendalami perjuangan Perkasa, tidak pernah tahupun tentang Perkasa,” katanya kepada FMT.

Abu Bakar berkata, perjuangan yang dibawa Perkasa adalah melibatkan perkara-perkara yang temaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Iskandar membuat kenyataan itu kerana mendakwa media tersilap lapor bahawa Pas dan Perkasa setuju untuk menjalinkan kerjasama membabitkan isu nasional tetapi tidak melibatkan kerjasama politik.

Persetujuan itu dicapai selepas Perkasa diketuai Datuk Ibrahim Ali melakukan kunjungan hormat kepada Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Selasa.

Abu Bakar berkata, Naib Presiden Pas itu sepatutnya tidak boleh menafikan laporan yang dibuat kerana media berada di tempat pertemuan itu.

“Dia tidak boleh nafikan kenyataan media kerana media berada bersama Presiden Perkasa dan Presiden Pas membuat kenyataan akhbar . Dia tidak boleh menafikan. Wartawan ada kat sana,” katanya.

Ahli UMNO perlu bangkit menentang penyelewengan – Muhyiddin


Ahli UMNO perlu bangkit menentang penyelewengan – Muhyiddin
Beliau tidak mahu ahli UMNO berdiam diri dan bersekongkol dengan petualang negara.

Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyeru ahli parti itu supaya tidak membiarkan jiwa perjuangan yang mengalir dalam darah dibeli dengan harga murah.

Beliau berkata, setiap pejuang UMNO bertanggungjawab untuk bangkit menentang penyelewengan dan perompakan harta negara oleh pihak-pihak tertentu.

“(Menentang penyelewengan harta negara) Barulah UMNO akan disegani dan dihormati oleh rakyat seluruhnya dan diberkati perjuangannya oleh Allah S.W.T,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau merujuk kepada tindakan kerajaan menahan dan mendakwa bekas Naib Ketua UMNO, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan peguamnya Matthias Chang yang didakwa di mahkamah kerana cuba mensabotaj ekonomi negara.

Muhyiddin berkata, adakah 1MDB terlalu kebal sehingga pihak yang mengkritik dan membuat laporan terhadapnya didakwa di mahkamah.

“Seorang yang berfikiran waras pastinya akan bertanya siapakah yang sebenarnya mensabotaj sistem perbankan dan perkhidmatan kewangan negara?

“Orang yang membuat laporan kepada pihak berkuasa supaya menyiasat dakwaan salah laku 1MDB atau orang yang mengakibatkan berbillion Ringgit wang rakyat dalam 1MDB lesap?

“Apakah pemimpin UMNO harus berdiam diri dalam hal ini dan bersekongkol dengan para petualang?,” soalnya.

Dalam masa sama, bekas Timbalan Perdana Menteri itu mempertahankan pendirian yang dibuatnya bahawa Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) telah disalahgunakan terhadap Khairuddin dan Matthias.

Beliau berkata, tindakan yang dibuat oleh kedua-dua individu tersebut yang membuat laporan berkenaan dakwaan salah laku 1MDB kepada pihak-pihak berkuasa dalam dan luar negara bukan merupakan satu tindakan sabotaj di bawah Seksyen 124L Kanun Keseksaan yang membolehkan penggunaan SOSMA.

“Bukankah mereka sekadar melaksanakan tanggungjawab sebagai warganegara yang prihatin? Pendirian saya ini adalah selari dengan jaminan kerajaan ketika akta ini digubal bahawa ia tidak akan disalah gunakan untuk tujuan-tujuan lain.

“Terutamanya yang bermotifkan politik termasuk mendiamkan pengkritik dan menyekat kebebasan rakyat untuk bersuara dan memberikan pandangan. Jaminan ini adalah selaras dengan langkah transformasi politik yang diambil oleh kerajaan,” katanya.

Selangor bantah kenaikan tol


Selangor bantah kenaikan tol
PKNS dan KPS yang mempunyai saham minoriti dalam KESAS dan LDP akan dipanggil menghadiri MTES pada Khamis untuk memberi maklum balas kepada kerajaan negeri.

Kerajaan Selangor membantah kenaikan kadat tol di 12 lebuh raya bermula Khamis ini kerana ia membebankan rakyat, kata Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali.

Katanya, dasar kerajaan negeri adalah membantah kenaikan tol yang membebankan rakyat.

Sehubungan itu, beliau telah meminta Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan Kumpulan Perangsang Selangor (KPS) untuk menghadiri Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negeri Selangor (MTES) pada Khamis.

PKNS dan KPS mempunyai kepentingan minoriti dalam Lebuhraya Klang Shah Alam (KESAS) dan Lebuhraya Damansara Puchong (LDP).

“MTES akan meneliti maklumbalas dari PKNS dan KPS. Dasar Kerajaan Negeri adalah jelas membantah sebarang kenaikan tol yang membebankan Rakyat,” tulisnya di akaun Facebook.
Kenaikan kadar tol yang diumumkan baru-baru ini melibatkan lebuh raya antara bandar.

Persatuan Syarikat-syarikat Konsesi Lebuh Raya Malaysia (PSKLM) menafikan dakwaan bahawa penyelarasan kadar tol baharu yang diumumkan akan memberi keuntungan besar kepada pemegang konsesi.

PSKLM dalam kenyataan pada Rabu sebaliknya menegaskan, penyelarasan kadar tol itu bagi membolehkan anggota syarikat konsesi terus menyediakan perkhidmatan dan kemudahan yang selamat dan selesa kepada pengguna lebuh raya.

Wednesday, October 14, 2015

Ubat demam kanak-kanak ada alkohol


Ubat demam kanak-kanak ada alkohol
Kementerian Kesihatan telah mengarahkan syarikat berkenaan menarik balik semua produk itu kerana tidak mematuhi syarat pelabelan.

Ubat demam untuk kanak-kanak, sirap Paracetamol keluaran syarikat Royce Pharma Sdn Bhd disahkan mengandungi alkohol.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi kenyataan media memaklumkan, pihaknya telah mengarahkan syarikat berkenaan menarik balik semua produk itu kerana tidak mematuhi syarat pelabelan.

“Syarikat berkenaan tidak menyatakan kandungan alkohol pada label dan sisip bungkusan dan ini melanggar syarat pendaftaran,” kata KKM.

Menurut KKM, berdasarkan spesifikasi kementerian, produk yang dikeluarkan syarikat itu tidak seharusnya mengandungi alkohol.

Bagaimanapun, kandungan alkohol pada produk berkenaan pada had yang dibenarkan dan tiada isu keselamatan kerana produk itu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) serta mematuhi keperluan kualiti, keselamatan dan keberkesanan.

Jangan bersekongkol hancurkan negara – Najib


Jangan bersekongkol hancurkan negara – Najib
Umat Islam perlu mempertahankan negara ini kerana Malaysia merupakan sebuah negara yang membawa sinar harapan kepada dunia Islam

Rakyat diingatkan agar tidak bersekongkol dengan mana-mana pihak sama ada dalam mahupun luar untuk menghancurkan apa yang telah dikecapi negara selama ini.

Peringatan itu disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurut Najib, umat Islam perlu mempertahankan negara ini kerana Malaysia merupakan sebuah negara yang membawa harapan kepada dunia Islam.

“Jangan biarkan siapa-siapa bersekongkol dengan pihak dalam atau luar negara untuk menghancurkan apa yang dah dicapai.

“Sinar harapan dunia Islam adalah negara Malaysia kita ini. Inilah yang wajib kita pertahankan dengan kekuatan yang ada,” katanya sambil menambah, atas alasan itu Malaysia membela hak Palestin.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perhimpunan Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan yang bertemakan ‘Perpaduan Nadi Transformasi Negara’ di Masjid Negara pada Rabu.

Dalam masa sama, Perdana Menteru menyeru ulama dan profesional muslim di negara ini supaya proaktif dalam memberikan respon segera bagi melumpuhkan idea-idea keganasan dan gerakan ekstremis.

“Usaha membanteras keganasan tidak cukup setakat menumpaskan kumpulan militan dan ekstremis tetapi perlu berusaha mematikan idea-idea keganasan dan ideologi yang mereka anuti.

“Kita berdepan dengan idea-idea keganasan gerakan ekstremis dan gerakan-gerakan ini boleh membawa kesan yang cukup buruk kepada Islam,” katanya.

Najib berkata, Malaysia seharusnya menggunakan segala medium yang ada khususnya generasi muda agar memahami apa yang terkandung dalam Islam yang sebenar.

“Perlu sampaikan kerana Islam adalah agama yang tidak memusuhi agama lain,” ujarnya.

Hamzah Zainuddin menteri angkuh – ADUN DAP


Hamzah Zainuddin menteri angkuh – ADUN DAP
Peniaga pasti akan menaikkan harga barang ekoran penggunaan lori yang menggunakan tol untuk mengangkut barang-barang

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Hamzah Zainuddin dituduh seorang yang angkuh kerana mengeluarkaan kenyataan meminta peniaga tidak menaikkan harga barang berikutan penyelarasan kadar tol.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balakong, Ng Tien Chee berkata, Zainuddin telah menunjukkan kelemahan kerajaan Barisan Nasional dalam mengurus ekonomi negara.

Beliau berkata, alasan Zainuddin bahawa penyelarasan itu tidak melibatkan semua tol selain mempertikai jumlah lori yang menggunakan lebuh raya adalah sesuatu yang tidak wajar.

“Saya ingin bertanya kepada Menteri adakah lori-lori yang menggunakan lebuh raya ini tidak perlu membayar ataupun tidak berdepan kenaikan harga?

“Sekiranya mereka terkesan, apakah rasional bagi menteri menghalang peniaga menaikkan harga barangan dengan kadar yang munasabah memandangkan kos pengangkutan terpaksa naik berikutan kenaikan tol yang dibenarkan oleh kerajaan pusat?

“Walaupun bukan semua lebuh raya terlibat, apa yang nyata adalah lebuh raya yang menaikkan harga merupakan lebuh raya yang utama di sekitar Lembah Klang. Kenyataan beliau seperti pepatah Cina yang membawa maksud Rakyat tidak dibenarkan untuk menyalakan lampu ketika kerajaan sedang membakar,” katanya menerusi kenyataan kepada FMT.

Tien Chee berkata, kerajaan tidak sepatutnya memberikan tekanan kepada rakyat selepas gagal mengurus ekonomi negara dengan baik.

Katanya, penjelasan yang pelbagai untuk dijadikan alasan bagi menaikkan kadar tol merupakan satu kelaziman apabila setiap kali kerajaan mengumumkan sesuatu yang akan meningkatkaan beban rakyat jelata.

“Alasan yang sama diberikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 31 Disember 2014 bagi menjelaskan sebab pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang dilaksanakan pada 1 April lalu,” katanya.

Syarikat konsesi lebuh raya pertahan kenaikan tol


Syarikat konsesi lebuh raya pertahan kenaikan tol
Penyelarasan kadar tol adalah bagi membolehkan syarikat konsesi menambah perkhidmatan dan kemudahan yang selamat dan selesa kepada pengguna.

Persatuan Syarikat-syarikat Konsesi Lebuhraya Malaysia (PSKLM) menafikan dakwaan bahawa penyelarasan kadar tol baharu yang diumumkan akan memberi keuntungan besar kepada pemegang konsesi.

Sebaliknya, penyelarasan kadar tol itu bagi membolehkan anggota PSKLM terus menyediakan perkhidmatan dan kemudahan yang selamat dan selesa kepada pengguna lebuh raya.

PSKLM menerusi kenyataan pada Rabu berkata, adalah tidak benar untuk membuat tuduhan seperti itu yang seolah-olah mahu memberi gambaran bahawa konsesi cuba mengaut keuntungan dikala berlaku kenaikan terhadap perkara-perkara tertentu yang menekan pengguna ketika ini.

“PSKLM memahami dan memberi perhatian serius kepada semua reaksi yang diberikan.

“Di bawah Dasar Penswastaan Lebuh Raya Bertol pada awal 1980an, usaha membangunkan lebuh raya adalah sesuatu yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan dengan penglibatan terus pihak swasta.

“Di bawah dasar ini, syarikat konsesi akan menanggung segala perbelanjaan untuk membina sesebuah sesuatu lebuh raya dan sebagai balasannya, dibenarkan untuk mengutip tol untuk satu tempoh konsesi yang telah ditetapkan,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, ramai mendakwa kenaikan harga barang akan berlaku akibat dari penyelarasan kadar tol.

Bagaimanapun, kenaikan harga barang dicatatkan setiap tahun walaupun tanpa penyelarasan kadar tol.

“Kenaikan harga barang adalah ekoran daripada pelbagai faktor, antaranya kenaikan harga minyak global dan sikap mereka yang ingin mengambil kesempatan untuk membuat keuntungan yang berlebihan dari penyelarasan kadar tol ini.

“ Sehubungan itu, kami ingin menyeru agar pihak berkuasa turut sama memantau akan kenaikan harga barang yang menggunakan penyelarasan kadar tol sebagai alasan,” katanya.

MH17 ditembak peluru berpandu BUK Russia


MH17 ditembak peluru berpandu BUK Russia
Laporan akhir nahas itu bagaimanapun tidak menyatakan siapa yang melancarkan peluru berpandu berkenaan.

Pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 disahkan ditembak jatuh di timur Ukraine dengan peluru berpandu BUK buatan Russia.

Pengesahan itu terkandung dalam laporan akhir mengenai nahas yang mengorbankan 298 penumpang dan anak kapal itu yang dikeluarkan Lembaga Keselamatan Belanda (OVV).

Hasil siasatan yang ditunggu-tunggu itu, bagaimanapun tidak menyatakan siapa yang melancarkan peluru berpandu itu.

AFP melaporkan, Pengerusi OVV, Tjibbe Joustra, berkata peluru berpandu itu dilancarkan dari lokasi dalam kawasan seluas 320 kilometer (km) persegi.

“Pesawat itu berkecai dengan serpihan berselerak seluas 50 kilometer persegi,” katanya.

Dalam laporan itu juga, Joustra mengesahkan tiga anak kapal mati di dalam kokpit terkena serpihan peluru berpandu itu.

Beliau berkata, siasatan menolak andaian bahawa terdapat bom di dalam pesawat, serangan udara ke udara atau perlanggaran meteor.

“Serpihan berimpak tinggi daripada peluru berpandu ditemui dalam badan anak kapal yang terbunuh dalam kokpit.

“Serpihan juga ditemui di dalam kokpit yang dikesan menerusi cat yang dikaitkan dengan bahagian depan BUK,” katanya.

Sementara itu, Joustra mengesahkan bahawa kerajaan Russia mencabar hasil siasatan akhir berkenaan.

Bagaimanapun, OVV menolak bantahan itu.

Pas tidak rela bekerjasama dengan Perkasa


Pas tidak rela bekerjasama dengan Perkasa
Pas menolak sebarang kerjasama dengan pihak-pihak yang membawa sentimen perkauman.

Pas tidak sanggup menjalinkan kerjasama dengan Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) kerana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu membawa sentimen perkauman.

Naib Presiden Pas, Datuk Iskandar Samad berkata, laporan media bahawa Pas menjalinkan kerjasama dengan Perkasa pada Selasa adalah tidak benar.

Beliau yang juga Pesuruhjaya Pas Selangor berkata, pihaknya telah mendapatkan penjelasan daripada Pas Pusat berhubung laporan media itu.

“Pas Selangor telah menerima penjelasan bahawa Pas Pusat hanya menerima kunjung hormat daripada Perkasa.

“Mereka telah membincangkan 3 perkara iaitu 1MDB, SOSMA dan TPPA. Tidak ada persetujuan untuk mewujudkan sebarang kerjasama seperti yang dilaporkan oleh media.

“Sehubungan itu, ingin ditegaskan di sini bahawa Pas Selangor tidak bersetuju dengan sebarang kerjasama dengan Perkasa.

“Walaupun PAS Selangor bersedia mewujudkan kerjasama untuk menentang Barisan Nasional (BN) dengan mereka yang menghormati prinsip-prinsip dan dasar perjuangan Pas tetapi kami menolak sama sekali mana-mana pihak yang membawa sentimen perkauman,” katanya.

Iskandar berkata, abaikan sentimen perkauman kerana seluruh tenaga rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa, agama dan kedudukan sosial perlu digembelingkan untuk berhadapan dengan penyelewengan dan salahguna kuasa BN,” katanya.

FMT melaporkan Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, Pas dan Perkasa bersetuju menjalinkan kerjasama melibatkan isu nasional bukan kerjasama politik.

Katanya, kerjasama sejajar dengan dasar terbuka parti yang sedia menjalinkan kerjasama dengan mana-mana pihak untuk kebaikan rakyat.

Hanya warga Nepal boleh jadi pengawal keselamatan


Hanya warga Nepal boleh jadi pengawal keselamatan
Orang ramai perlu melaporkan kepada KDN atau polis jika terdapat pengawal keselamatan warga asing selain Nepal.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata hanya warga Nepal sahaja yang sah menjadi pengawal keselamatan warga asing dalam negara ini.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai membuat aduan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan polis sekiranya mendapati warga asing selain Nepal bekerja sebagai pengawal keselamatan.

“Selain warga Nepal, warga asing yang bekerja sebagai pengawal keselamatan adalah pekerja haram dan bekerja untuk syarikat keselamatan yang tidak berlesen.

“Kalau nampak pengawal keselamatan warga asing selain warga Nepal, mereka bukannya pengawal keselamatan yang sah,” katanya dalam sidang media di Dewan Merdeka PWTC.

Dalam perkembangan berkaitan, Nur Jazlan berkata, bermula pada tahun ini KDN mewajibkan semua ahli lembaga pengarah dan pemegang saham syarikat kawalan keselamatan untuk mengikuti kursus pengurusan syarikat kawalan keselamatan sebagai salah satu syarat untuk memperbaharui Lesen Agensi Persendirian untuk 2016.

“Kursus itu diadakan bertujuan membolehkan setiap ahli lembaga pengarah dan pemegang saham syarikat mempunyai “Up-To-Date Knowledge” atau maklumat terkini dalam pengurusan kawalan keselamatan,” katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Rujukan