Cari Artikel

Sunday, August 30, 2015

Himpunan sejuta baju merah sokong Najib Oktober ini


Himpunan sejuta baju merah sokong Najib Oktober ini
Jamal Md Yunos yakin himpunan itu mampu mengatasi jumlah peserta Bersih 4.

Himpunan satu juta menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan diadakan pada Oktober ini untuk mengatasi jumlah peserta perhimpunan Bersih 4.

Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Jamal Md Yunos berkata himpunan sejuta orang menyokong Najib itu akan diadakan pada 10 Oktober ini dengan memakai t-shirt merah.

Jamal berkata, beliau sangat yakin dapat mengatasi jumlah peserta yang berkumpul di Dataran Merdeka bagi bersih 4.

“Kami telah memilih 10 Oktober untuk perhimpunan kami. Kami akan berkumpul di Low Yat, Bukti Bintang dan 1 juta ‘Baju Merah’ akan turun bagi menunjukkan sokongan terhadap Najib”, katanya selepas perasmian mesyuarat UMNO bahagiannya.

Jamal baru-baru ini menubuhkan kumpulan Anti Bersih bagi berhadapan dengan peserta Bersih tetapi dibatalkan di saat-saat akkhir selepas dinasihat polis.

Tetap sayang Tun M walau dia hadir Bersih – Shahidan


Tetap sayang Tun M walau dia hadir Bersih – Shahidan
Beliau yakin Tun M tidak berniat untuk menjatuhkan kerajaan.

Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, kasih sayangnya terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad sedikitpun tidak berubah biarpun bekas Perdana Menteri itu menghadiri perhimpunan Bersih 4.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, walaupun pelbagai fitnah dilemparkan terhadap Dr Mahathir, beliau yakin bekas Perdana Menteri Keempat itu tidak berniat menjatuhkan kerajaan.

Beliau bagaimanapun mengakui terkilan dengan tindakan Dr Mahathir menghadiri perhimpunan Bersih 4 pada Sabtu dan merayu agar Dr Mahathir tidak lagi hadir ke perhimpunan Bersih 4.

“Wahai TM (Tun Dr Mahathir Mohamad) sayang, bahawa kasih sayang pada Tun tidak berubah walau ribuan nista dilemparkan. Saya tahu Tun bukan hendak jatuhkan kerajaan.

“Cuma saya terkilan kerana Tun hadir perjumpaan DAP yang anti negara Islam. Namun kasihku pada Tun tidak akan berubah.. I love U Tun.

“Permintaan saya sebagai pejuang kecil ini ialah, tolong jangan hadir lagi. Please Tun,” tulis Shahidan yang dimuatnaik di Facebooknya.

Dr Mahathir dijangka hadir sekali lagi di perhimpunan Bersih 4 kira-kira jam 4.30 petang pada Ahad.

Kereta milik peserta Bersih terbakar


Kereta milik peserta Bersih terbakar
Thomas Chia Weng meninggalkan kereta di Jalan Sultan Salahuddin
untuk menyertai Bersih 4 di Dataran Merdeka pada awal pagi Ahad.

Seorang peserta perhimpunan Bersih 4 kerugian kira-kira RM70, 000 apabila kereta miliknya terbakar di Jalan Sultan Salahuddin di sini.

Thomas Chia Weng, 26, berkata dia meninggalkan keretanya di situ untuk menyertai himpunan Bersih di Dataran Merdeka kira-kira jam 2.30 pagi Ahad.

Kira-kira jam 7.00 pagi, dia bersama rakannya bersedia untuk pulang ke rumah tetapi terkejut apabila mendapati bahagian depan enjin kereta hangus terbakar.

“Tetapi bahagian belakang kereta saya masih elok dan sempurna,” katanya yang tidak menolak kemungkinan ia perbuatan khianat dan membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi.

Perancang utama Bersih 4 patut diambil tindakan – Zahid Hamidi


Perancang utama Bersih 4 patut diambil tindakan – Zahid Hamidi
Mereka yang terlibat dalam penganjuran Bersih 4 boleh dikenakan tindakan
mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012, Akta Hasutan, Kanun Keseksaan dan Akta Polis.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pihak berkuasa perlu mengambil tindakan tegas terhadap perancang utama perhimpunan Bersih 4.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, pihak berkuasa juga perlu memantau pemimpin-pemimpin yang terlibat di sebalik perhimpunan itu.

“Kita juga mengikuti setiap perkataan yang mereka ucapkan, kita tahu tindakan yang mereka ambil,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Ipoh Timur, lapor Bernama.

Mengulas tindakan yang boleh dikenakan terhadap pihak yang terlibat dalam perhimpunan haram itu, Naib Presiden UMNO itu berkata, mereka yang terlibat boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012, Akta Hasutan, Kanun Keseksaan dan Akta Polis.

Bersih 4.0: Akhbar UMNO persoal dominasi kaum Cina


Bersih 4.0: Akhbar UMNO persoal dominasi kaum Cina
Utusan Malaysia turut mempersoalkan ketelusan penganjur Bersih
yang sebelum ini menyatakan perhimpunan itu tidak bermotifkan politik.

Akhbar milik UMNO, Utusan Malaysia mempersoalkan kehadiran orang Cina yang lebih ramai berbanding kaum lain sekaligus mendominasi peserta perhimpunan Bersih 4.0.

Persoalan itu dibangkitkan oleh akhbar berkenaan susulan hampir 80 peratus daripada lebih 50,000 peserta perhimpunan itu terdiri daripada kaum Cina.

“Apakah benar Bersih 4.0 bertujuan menuntut sebuah pilihan raya bersih seperti mana asal penubuhan pertubuhan haram tersebut? Atau ia menjadi medan kepada kaum tertentu untuk menunjukkan kekuatan mereka atau melunaskan agenda pembangkang bagi meracuni fikiran rakyat?, tulis akhbar itu di muka hadapan edisi Mingguan Malaysia.

Akhbar itu melaporkan mereka difahamkan sebahagian besar yang menyertai perhimpunan adalah penyokong-penyokong DAP khususnya yang datang dari Lembah Klang, Johor dan Pulau Pinang.

Akhbar itu menyatakan, tidak keterlaluan jika ada tanggapan bahawa orang Cina mula mengambil kesempatan daripada perpecahan yang berlaku dalam parti politik Melayu khususnya melibatkan Pas memandangkan jumlah penyokong parti itu sama sekali tidak ada dalam perhimpunan itu.

“Yang hadir hanyalah kelompok orang Melayu yang menyokong Gerakan Harapan Baru (GHB) di bawah pimpinan Mohamad Sabu atau penyokong PKR,” kata akhbar itu.

Utusan Malaysia juga mempersoalkan ketelusan penganjur perhimpunan itu yang sebelum ini menyatakan ia tidak bermotifkan politik.

“Ini kerana, Pengerusi Bersih, Maria Chin sendiri dalam ucapannya menyerang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak habis-habisan,” kata akhbar itu.

Selain Maria Chin, Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali turut menyampaikan ucapan berbaur politik yang menggesa seluruh rakyat bangkit menyingkirkan Najib manakala Penasihat DAP, Lim Kit Siang pula mendakwa perhimpunan itu bertujuan menyelamatkan negara daripada krisis politik dan ekonomi.

“Apa masalah Cina ramai? Mereka juga rakyat Malaysia”


“Apa masalah Cina ramai? Mereka juga rakyat Malaysia”
Hatta Ramli mengakui himpunan kali ini kurang
mendapat sambutan dalam kalangan orang Melayu.

“Apa masalah jika orang Cina lebih ramai sertai perhimpunan Bersih 4.0? Mereka juga rakyat Malaysia,” kata Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Mohd Hatta Ramli.

Dia mengakui kehadiran orang Melayu dalam himpunan Bersih 4.0 kurang mendapat sambutan berbanding orang Cina tetapi ia bukan masalah kerana orang Cina juga rakyat Malaysia yang bertanggungjawab terhadap masa depan negara ini.

“Kita harap semua pihak dan ahli politik berhenti memainkan isu perkauman.

“Kita tidak mahu pemikiran sempit ini berada dalam diri rakyat Malaysia dan kita mahu rakyat berhenti memainkan isu perkauman,” katanya dihadapan 10,000 peserta Bersih di Dataran Merdeka pada Ahad.

Bekas Pengarah Pilihanraya Pas itu turut memuji bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali yang hadir ke perhimpunan Bersih semalam.

“Kita memuji sikap Tun Mahathir yang berani datang ke himpunan ini,” katanya sambil menyeru peserta Bersih 4.0 terus berkumpul sehingga jam 12 tengah malam ini.

Aksi pijak gambar Najib, Hadi jadi viral


Aksi pijak gambar Najib, Hadi jadi viral
Gambar menunjukkan seorang wanita memakai t-shirt Bersih memijak
gambar Najib dan Hadi mula diperkatakan pengguna media sosial.

Perserta Bersih 4.0 didakwa mula bertindak kurang ajar apabila melakukan aksi memijak gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Perbuatan itu berjaya dirakam dan mula menjadi viral di media sosial.

Gambar ‘yang dihasil menggunakan teknik ‘superimpose’ itu memaparkan Abdul Hadi dan Najib seolah-olah sedang berpelukan. Terdapat bunga yang ditelakkan di kiri dan kanan gambar itu seolah-olah berkabung.

Antara kapsyen lain pada gambar itu tertera tulisan “Puak DAP pijak gambar Tuan Guru Hadi ketika demonstrasi Bersih‎4, puak biadap ini makin kurang ajar!”.

Berdasarkan tinjauan FMT pada Sabtu, mendapati gambar Abdul Hadi dan Najib berpelukan itu wujud dan gambar tersebut diletakkan di Jalan Tun Perak.

Kehadiran Tun M bukti hanya rakyat boleh ubah Malaysia


Kehadiran Tun M bukti hanya rakyat boleh ubah Malaysia
Kehadiran Tun M ke perhimpunan Bersih 4.0 merupakan
peristiwa bersejarah kepada rakyat Malaysia.

Kehadiran bekas Perdana Menteri,Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali selama 20 minit di perhimpunan Bersih 4.0 pada Sabtu merupakan ‘saat bersejarah bagi rakyat Malaysia’.

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago berkata, kedatangan Dr Mahathir ke perhimpunan itu juga adalah bukti beliau telah berubah pendirian.

“Ia adalah saat bersejarah bagi Malaysia dan saya fikir ia adalah satu detik bersejarah untuk Tun (Mahathir) sendiri.

“Beliau pernah menentang kebebasan bersuara dan perhimpunan seperti ini suatu masa dahulu. Kehadiran beliau menunjukkan Dr Mahathir telah berubah dan ‘taubat’ (bertaubat).

“Lebih penting, beliau mengakui satu-satunya kumpulan yang (boleh) membawa perubahan kepada Malaysia adalah rakyat Malaysia. Ia adalah satu pengakuan daripada Tun sendiri. Ini satu pengiktirafan kepada kuasa rakyat melalui Bersih 4,” katanya.

Anak perempuan Dr Mahathir yang juga aktivis sosial, Marina, menghadiri perhimpunan Bersih 4.0 bersama rakyat Malaysia di Kota London.

Charles Santiago berkata, kehadiran Dr Mahathir akan membawa kesan positif kepada rakyat dan perhimpunan tersebut.

“Saya merasakan Najib kini akan duduk dengan penasihatnya dan memikirkan apa yang perlu dilakukan, kerana sokongan Tun M membawa maksud besar kepada Malaysia”.

Dr Mahathir yang hadir di Dataran Merdeka pada Sabtu malam hanya berkata-kata ‘teruskan, teruskan’ kepada peserta Bersih manakala isterinya pula berkata ‘this is people power’ (Ini kuasa rakyat).

Bersih 4.0 tiada sambutan, hanya 22,000 sertai – Berita Harian


Bersih 4.0 tiada sambutan, hanya 22,000 sertai – Berita Harian
Akhbar itu melaporkan ketiadaan sokongan Pas dalam
perhimpunan itu menyebabkan sambutan dingin.

Akhbar Berita Harian versi Online melaporkan perhimpunan Bersih 4.0 pada Sabtu tidak mendapat sambutan apabila hanya kira-kira 22,000 menyertainya dan 80 peratus adalah Cina.

Akhbar itu melaporkan himpunan haram itu yang lebih bermotif politik diterajui parti pembangkang, menerima tamparan hebat apabila bekas rakan pakatan iaitu Pas tidak menyokong dan keadaan itu menjelaskan sambutan dingin yang diterima berbanding hampir 100,000 dalam himpunan seumpamanya sebelum ini.

Akhbar itu menyatakan dengan ketiadaan Pas, Bersih 4 turut dilihat sebagai medan pembangkang untuk mempromosikan platform gerakan siasah diterajui bekas pimpinan Pas yang kecewa iaitu Gerakan Harapan Baru (GHB) yang dizahirkan dengan kehadiran Pengerusinya, Mohamad Sabu.

Laporan berita itu dimuatnaik di laman Facebook BH Online dan menerima lebih 5,000 komen yang hampir kesemua mempertikaikan angka itu.

Pengguna media sosial memperikaikan angka yang diberikan itu yang sama sekali jauh berbeza dengan gambar-gambar yang menunjukkan lautan manusia berbaju kuning di Dataran Merdeka.
Malah, media antarabangsa seperti Al Jazeera melaporkan lebih 50,000 menyertai perhimpunan aman itu.

Bagaimanapun, setakat ini penganjur belum mengeluarkan angka rasmi kerana perhimpunan itu diadakan selama dua hari, Sabtu dan Ahad.

“Berita harian ni lebih kurang dgn berita tv3suku je. Korang tak payah ambil port sngt laa. Hahaha,” tulis pengguna Facebook Izzudin Ismail.

“Berita Harian.. jgn buat karangan spt tingkatan satu.. yg tiada idea dan tdk ada fakta.. semua auta.. lihat dgn mata hati sndiri bukan dilihat dr kedudukan takut kena pecat akibat myiarkan pkara yg betul…,” komen Afendi Mumin.

“Berita harian online…jgn nk memperbodohkan orang awam dgn berita yg di spin….sekarang zaman teknologi….org tua kt pendalaman pn da pakai phone pintar n da siap ada wifi bagai….bagi la berita yg sahih n betul xpayah la nk sorok2 lagi…..bukan zaman makan ubi kayu….,” tulis Lia Zarif.

“Hahhaha… fakta dari mane kurang sambutan… nak video tak.. please jgn buat laporan yg palsu…” tulis Lisa Ang.

“Ayat ni memang dah disimpan dari dulu lagi ..dan akan diulang tayang setiap kali ada perhimpunan,” komen Pak the Shah.

Melayu tak sertai Bersih 4.0 tak bermakna sokong Najib


Melayu tak sertai Bersih 4.0 tak bermakna sokong Najib
Kira-kira 30 peratus peserta perhimpunan Bersih 4.0 adalah orang
Melayu sekaligus menafikan wujudnya propaganda perkauman.

Orang Melayu yang tidak menyertai perhimpunan Bersih 4.0 pada Sabtu dan Ahad tidak bermakna mereka menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkata, tuduhan kononnya perhimpunan itu didominasi kaum Cina dan wujudnya propaganda perkauman adalah tidak benar.

Katanya, tuduhan itu sengaja dicetuskan sedangkan hakikatnya 30 peratus daripada 200,000 peserta Bersih 4.0 adalah orang Melayu.

“Bukan semua Melayu yang tak hadir itu menyokong dan bersama Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Apa yang saya sendiri tinjau ialah 30 peratus peserta perhimpunan adalah orang Melayu. Jadi tidak timbul sama sekali propaganda perkauman.

“Oleh kerana perhimpunan kali ini bertambah ramai, jumlah 30 peratus orang Melayu daripada 200,000 ribu nampak kecil bilangannya,” katanya ketika berucap kepada peserta Bersih 4.0 yang bermalam di Dataran Merdeka, pagi ini.

Thailand berkas suspek serangan bom


Thailand berkas suspek serangan bom
Lelaki berusia 28 tahun didapati menggunakan pasport Turki palsu

Pihak berkuasa Thailand mengesahkan dia telah menahan suspek yang disyaki terbabit dalam serangan bom di tengah Bandaraya Bangkok.

Menurut laporan yang dipetik daripada BBC, lelaki berkenaan seorang warga asing, telah ditahan di Nong Jok, di kawasan pinggir ibu negara itu.

Dalam serbuan yang dilakukan pada Sabtu, pihak berkuasa turut menemui beberapa bahan yang digunakan untuk membuat bom yang menyerupai kandungan yang digunakan pada 17 Ogos lalu.

Turut ditemui 10 pasport asing yang dipercayai palsu.

Bagaimanapun, ia tidak menyatakan identiti lanjut lelaki yang berusia 28 tahun itu yang didakwanya memegang pasport palsu Turki.

Tun M minta ahli politik UMNO kembali ke pangkal jalan


Tun M minta ahli politik UMNO kembali ke pangkal jalan
Tun M mengingatkan perjuangan UMNO untuk ahli
dan orang Melayu bukan untuk pemimpin parti.

Beberapa pemimpin politik telah lupa tanggungjawab mereka kepada rakyat selepas bergelar wakil rakyat.

Dalam tegurannya, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad meminta mereka yang telah menyimpang supaya kembali ke pangkal jalan.

“Kembalilah ke pangkal jalan. Kamu telah tersasar,” katanya.

Dalam ucapannya pada sesi Bicara Negarawan di Stadium Pasir Gudang, Johor Bahru, beliau menegaskan UMNO sepatutnya berjuang untuk ahli-ahli dan orang Melayu, bukan hanya untuk pemimpin parti.

Dalam sidang media di majlis yang sama, beliau mengulas lanjut mengenai kepimpinan Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak yang kemungkinan berdepan dengan usul undi tidak percaya di Parlimen.

“Hakikatnya untuk singkirkan Najib sahaja, kerana kerajaan BN dia masih mempunyai majoriti, jadi Barisan Nasional perlu pilih pemimpin mereka yang baru.

“Rakyat tiada masalah dengan BN ataupun dengan UMNO tetapi rakyat ada masalah dengan Najib,” katanya.



Orang Asli tuntut Najib berundur


Orang Asli tuntut Najib berundur
Mereka mendakwa Perdana Menteri banyak menyeleweng,
gagal menjawab pelbagai isu termasuk dana derma RM2.6 bilion.

Lebih 500 Orang Asli tidak terkecuali menyertai bantahan aman Bersih 4.0 yang diadakan berhampiran Dataran Merdeka.

Naib Presiden Jaringan Orang Asli Semalaysia (JOAS), Yusri Ahon, 50, berkata kehadiran mereka ke perhimpunan kali ini adalah untuk mendesak Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak berundur daripada jawatan Perdana Menteri.

Katanya, di bawah pentadbiran Najib telah berlaku banyak kepincangan antaranya kemerosotan ekonomi, rasuah dan hak mereka untuk mendapatkan tanah turut diabaikan.

“Kerajaan sekarang banyak menyeleweng, banyak isu-isu yang gagal dijawab antaranya RM2.6 billion.

“Kerajaan dilihat tidak bertindak adil kepada kami terutamanya melibatkan hak pemilikan tanah. Apabila kerajaan memberi satu-satu benda kepada kami, mereka akan mengambil sembilan daripada apa yang kami ada.

“Jadi kami merasakan ia adalah ketidakadilan kepada masyarakat orang asli dan disebabkan itu kami menghadirkan diri dalam perhimpunan pada hari ini,” katanya ketika ditemui pemberita di Dataran Merdeka Pada Sabtu.

Ditanya, samaada kehadiran beliau ditaja atau sebaliknya, Yusri berkata mereka hanya disediakan pengangkutan untuk datang ke Kuala Lumpur menyertai Bersih 4.0.

“Memang Bersih 4.0 yang taja kita datang sini, cuma dari segi pengangkutan baslah, dari Temerloh sehingga ke sini,” katanya.

Tun M datang jengah Bersih 4.0


Tun M datang jengah Bersih 4.0
Beliau menjelaskan datang untuk meninjau keadaan.

Peserta perhimpunan Bersih 4.0 dikejutkan dengan kehadiran negarawan Tun Dr Mahathir Mohamad.
Beliau yang tiba sekitar jam 7.15 beredar 30 minit kemudian.

Ketika ditanya tujuan beliau datang, bekas Perdana Menteri itu memberikan jawapan ringkas
“ Saya hanya datang untuk tengok,” katanya.

Ketika diajukan soalan mengenai Bersih 4.0, dia memberikan jawapan ini.

Sementara itu, isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali menyifatkan tunjuk bantahan sebagai kuasa rakyat.

“This is people power,” katanya.

Saturday, August 29, 2015

Bersih 4.0 di luar negara jatuhkan imej Malaysia – Reezal Merican


Bersih 4.0 di luar negara jatuhkan imej Malaysia – Reezal Merican
Wisma Putra sedang kenal pasti identiti mereka yang terbabit dan
diserahkan kepada pihak berkuasa negara berkenaan untuk tindakan selanjutnya.

Kementerian Luar akan mengumpul maklumat rakyat Malaysia yang terlibat dengan perhimpunan haram Bersih 4 di luar negara untuk tindakan undang-undang ke atas mereka selepas itu.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, pemantauan sedang dilakukan oleh Wisma Putra dan identiti mereka akan diserahkan kepada pihak berkuasa negara itu untuk diambil tindakan sewajarnya mengikut undang-undang negara berkenaan.

Rakyat Malaysia terbabit tidak seharusnya dilepaskan daripada tindakan kerana mereka telah melakukan perbuatan yang boleh menjatuhkan imej negara di peringkat antarabangsa, katanya.

“Saya juga dimaklumkan ada negara yang tidak mengizinkan kancah politik domestik dibawa ke negara mereka. Saya meminta rakyat kita yang berada di luar sana untuk menjaga adat dan nama negara.

“Kita bukan tidak mempunyai ruang yang luas untuk mana-mana pihak bercakap. Ini bukan negara kuku besi atau negara yang menutup ruang demokrasi,” katanya selepas merasmikan persidangan perwakilan Pemuda Umno Bahagian Rompin.

Reezal Merican juga berkata amat tidak wajar bagi rakyat Malaysia menggunakan ‘pentas’ di luar negara untuk menyuarakan ketidakpuasan hati mereka kepada kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Saya sendiri ada masanya mempunyai pandangan yang kritikal tetapi saya mengikut saluran yang difikirkan wajar dan mematuhi undang-undang. Jangan sampai merosakkan negara dan menyusahkan umum.

“Malah tindakan ini (berhimpun) jika di negara tertentu ada yang boleh dikenakan tindakan lebih keras. Kebebasan bersuara tidak boleh dilihat sebagai kebebasan mutlak untuk menyuarakan apa jua perkara melalui apa jua cara.

Adakah kita akan menghalalkan segalanya atas nama kebebasan bersuara atau hak asasi manusia?,” katanya.

Perhimpunan Bersih 4 di ibu kota juga tidak bersikap adil kepada peniaga dan pengunjung di kawasan yang terlibat serta membuka ruang kepada pihak tidak bertanggungjawab termasuk media asing untuk memburuk-burukkan negara, katanya.

Reezal Merican yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno turut menyifatkan tindakan mereka yang terlibat dalam perhimpunan itu sebagai tidak patriotik kerana pemilihan tarikh yang terlalu hampir dengan ulang tahun sambutan Hari Kebangsaan.

“Mengapa mereka tidak memilih tarikh lain? Kita juga ada Akta Perhimpunan Aman. Jika mereka benar-benar mahu berhimpun, kita ada beberapa buah stadium di negeri pembangkang. Berhimpun di sana, itu jauh lebih baik untuk dipuji,” katanya.

– Bernama

Singapura beri amaran keras kepada peserta Bersih


Singapura beri amaran keras kepada peserta Bersih
Ia akan bertindak di bawah Akta Ketenteraman Awam sekirangnya
penyokoh Bersih cuba anjurkan demonstrasi di republik itu.

Singapura hari ini memberi amaran agar orang ramai tidak menganjurkan atau menyertai mana-mana perhimpunan haram di republik ini bagi menyokong perhimpunan Bersih 4.0 di Malaysia.

Dalam satu kenyataan, pasukan itu berkata mereka telah dimaklumkan mengenai seruan menggalakkan rakyat Malaysia di luar negara untuk menganjurkan dan menyertai acara seperti itu di Singapura berhubung demonstrasi jalanan di Malaysia.

“Polis ingin mengingatkan orang ramai bahawa menganjur atau menyertai perhimpunan awam tanpa permit polis di Singapura adalah haram dan merupakan satu kesalahan di bawah Akta Ketenteraman Awam.

“Warga asing yang bekerja atau tinggal di sini perlu mematuhi undang-undang kami. Mereka tidak sepatutnya membawa isu-isu dari negara mereka ke Singapura yang boleh mengganggu ketenteraman awam,” kata kenyataan itu.Polis berkata mereka yang melanggar undang-undang akan dikenakan tindakan tegas dan ini mungkin termasuk menamatkan visa atau pas kerja atau mana-mana yang berkenaan.

-Bernama

ROS tolak permohonan GHB guna nama parti Islam


ROS tolak permohonan GHB guna nama parti Islam
Keputusan itu dibuat bagi mengelak kekeliruan kerana Islam adalah hak semua bukan parti politik

Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) menolak permohonan Gerakan Harapan Baru (GHB) untuk menggunakan nama Parti Progresif Islam sebagai nama parti baharu yang hendak ditubuhkan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ini kerana Islam adalah hak untuk semua yang beragama Islam dan penggunaan nama itu pada parti politik hanya boleh menyebabkan kekeliruan.

“Mereka mengharapkan agar golongan yang berada dalam PAS tetapi tidak setuju dengan ulama tetapi setuju dengan Islam yang progresif, dapat menyokong parti itu.

Saya ingin nyatakan bahawa kita tidak akan benarkan mana-mana parti menggunakan nama agama kerana Islam bukan untuk mereka sahaja, tetapi juga untuk kita dan untuk orang Islam yang tidak ada parti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Marang di Dewan Utama Majlis Daerah Marang, Kampung Paya, Marang.

Majlis turut dihadiri oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu yang juga Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman dan Ketua UMNO Bahagian Marang A Latif Awang.

Ahmad Zahid berkata sebagai Menteri Dalam Negeri yang bertanggungjawab, beliau tidak mahu mengulangi kesilapan lepas yang membenarkan sebuah parti politik menggunakan nama Islam sehingga menimbulkan kekeliruan dalam kalangan orang Islam di negara ini.

“Kita tidak mahu kesalahan dulu yang memberikan keizinan kepada sebuah parti menggunakan nama Islam sehingga memberi tanggapan seolah-olah hanya dengan menyertai parti itu kita memperjuangkan Islam dan masuk syurga.

Sehubungan itu, katanya ROS akan memberikan surat kepada pemimpin GHB agar memilih nama lain untuk digunakan pada parti baharu berkenaan.

Ahmad Zahid berkata, sebagai sebuah negara yang demokratik, kerajaan tidak pernah menghalang mana-mana pihak untuk menubuhkan parti politik baharu di negara.

Namun dalam masa yang sama, katanya beliau berharap parti baharu yang ditubuhkan itu tidak memecah-belahkan orang Melayu.

“Jangan cuba memecah belahkan perpaduan orang Melayu. Kita mahu seluruh Melayu, jika atas agenda memperkasakan Melayu dan negara, perlu bersatu hati tidak kira dalam parti politik mana sekalipun (kita) berada,” katanya.

Dalam masa yang sama Ahmad Zahid turut mengulangi gesaan supaya anggota UMNO supaya kembali memperkukuhkan parti untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang, tidak kira apa permasalahan yang sedang dihadapi kini.

“Kita sukar tumbang jika diserang dari luar, tetapi akan mudah hancur jika kita berperang sesama sendiri.

Jadi kita asahlah kuku dan tanduk dari sekarang agar jangan parah diserang musuh nanti. Gunakan ia untuk menyerang musuh di luar supaya UMNO dapat rampas kerusi yang dimenangi pembangkang sebelum ini,” katanya.

Dataran Merdeka mulai sesak



Keadaan di tengah ibu negara khususnya di sekitar Dataran Merdeka masih terkawal walaupun dilapor mula sesak menjelang jam 1 petang.

Segalanya berjalan lancar tanpa sebarang insiden yang tidak diingini walaupun terdapat sorakan dan pekikan.

Selain berbaju kuning sebahagian mereka turut tampil dengan kreativiti sendiri termasuk menyolek muka dengan pewarna kuning.

Berikut laporan daripada krew FMT di lokasi:



1:00 petang : Lebih kurang 2,000 peserta berkumpul di sekitar stesyen LRT Masjid Jamek. Jumlah mereka yang ramai menyebabkan laluan di kawasan berkenaan terganggu.


1:15 petang : Polis membuat kawalan ketat di kawasan pintu masuk Dataran Merdeka di mana dianggarkan lebih 200 anggota ditempatkan.



Orang ramai bergerak dan mengosongkan kawasan berkenaan selepas diarahkan berbuat demikian.



Sementara itu, di Brickfield hanya Ahli Parlimen Kapar, G. Manivannan kelihatan dengan jumlah penyokong yang dianggarkan sekitar 200 orang.



1:30 petang : Peserta Bersih cuba berpatah balik ke Dataran Merdeka daripada kawasan sekitar Menara Maybank.

1:45 petang : Krew yang membuat tugasan memaklumkan internet mula perlahan khususnya di sekitar Sogo.



2.00 petang : Penasihat DAP, Lim Kit Siang tiba di luar kawasan Masjid Negara. Sebelum itu lebih 100 penyokong Bersih 4.0 yang membawa bendera Terengganu berada di kawasan berkenaan.



Pada masa yang sama, Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail bersama anaknya, Nurul Hana Anwar tiba di Sogo.



2:10 petang : Bekas Pengerusi Bersama Bersih, Datuk Ambiga tiba di Brickfield dan berjalan kaki menuju Pasar Seni sebelum ke Dataran Merdeka.



2:17 petang : Pengerusi Gerakan Harapan Baru (GHB) Mohamad Sabu menyampaikan ucapan di luar perkarangan Masjid Negara.



2:30 petang : Lebih 10 ribu peserta dilaporkan berkumpul dan menghala ke lokasi utama di luar Dataran Merdeka






3.00 petang : Dianggarkan lebih 30,000 peserta tiba dan jumlah itu dijangka terus bertambah berikutan kebanjiran mereka yang datang dari arah Brickfield dan Masjid Negara.
Keadaan dilaporkan masih terkawal.
Berita lanjut menyusul

Kedai nombor ekor antara tumpuan peserta Bersih


Kedai nombor ekor antara tumpuan peserta Bersih
Kedai nombor ekor di Jalan Tun H.S Lee beroperasi seperti
biasa dan dikunjung peserta Bersih untuk mencuba nasib

Kegiatan harian di tengah Bandaraya Kuala Lumpur khususnya di sekitar kawasan Dataran Merdeka dilapor berjalan seperti biasa termasuk premis perniagaan.

Tidak terkecuali kedai nombor ekor di Jalan Tun H.S Lee.

Krew FMT yang membuat liputan di kawasan berhampiran sempat merakam gambar beberapa peserta bantahan Bersih 4.0 mencuba nasib.

Dalam gambar berkenaan, kelihatan para penyokong yang memakai baju kuning berurusan di luar kaunter kedai nombor ekor.

Ia antara kesempatan yang digunakan mereka ketika cuba berkumpul di lokasi utama, iaitu berhampiran Dataran Merdeka.

Interpol tolak permohonan Malaysia tahan Clare


Interpol tolak permohonan Malaysia tahan Clare
Keputusan Interpol itu dikeluarkan pada 27 Ogos lalu selaras
dengan standard operasi prosedur polis antarabangsa itu.

Interpol secara rasmi menolak permohonan Kerajaan Malaysia untuk menahan Editor Sarawak Report, Clare Brown.

Menerusi noti bertarikh 27 Ogos lalu, Interpol memaklumkan menerima Red Notice dari kerajaan Malaysia untuk menahan Clare pada 9 Ogos lalu.

Bagaimanapun, Interpol memaklumkan permohonan kerajaan Malaysia itu ditolk selari dengan standard operasi prosedur (SOP).

Ia ditandatangan oleh Setiausaha Agung Interpol, Jorger Stock.

Interpol telah memaklumkan keputusan itu kepada 190 negara lain dan meminta memadam semua data mengenai permohonan Malaysia itu dari pangkalan data maklumat masing-masing.

Clare diburu kerajaan Malaysia susulan laporan yang didakwa tidak benar tentang 1MDB dan dana RM2.6 bilion yang dianggap boleh menjejaskan kestabilan negara.

Mengulas keputusan Interpol itu, bekas Naib Ketua UMNO Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata, ia membawa makna semua pertuduhan terhadap Clare Brown tidak mempunyai asas kebenaran serta tidak mempunyai bukti yang kukuh.

“Semua reka cerita Putrajaya tidak menjadi. Semua penipuan Putrajaya tidak menjadi. Ini kemungkinannya semua penasihat Datuk Seri Najib Tun Razak hakikkatnya adalah kalangan kaki bodek minda lemah berotak udang.

“Imej Putrajaya, PDRM dan menteri kabinet ‘half past six’ yang mengeluarkan pelbagai kenyataan kononnya semua laporan yang ditulis oleh Clare Brown di portal Sarawak Report tidak tepat dan berteraskan matlumat palsu kini telah terbukti tidak benar sama sekali,” tulisnya di Facebook.

Peserta perhimpunan haram miskin semangat cinta negara-Najib


Peserta perhimpunan haram miskin semangat cinta negara-Najib
Najib menyelar penganjur dan peserta Bersih 4.0 kerana memalukan negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak menyelar penganjur dan peserta perhimpuan Bersih 4.0 yang bermula hari ini.

Beliau menyifatkan mereka yang terbabit sebagai miskin semangat cintakan negara.

Katanya, mereka sepatutnya menyambut Hari Kebangsaan Isnin ini, dengan mengibar Jalur Gemilang dengan mengetepikan perbezaan ideologi politik.

“Orang ini (penganjur dan peserta perhimpunan haram) tidak ada nilai kasih sayang kepada negara dan perbuatan mereka hanya bagi malu kepada negara,” katanya yang dipetik daripada Berita Harian Online.

Presiden UMNO itu berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Jerantut di Pejabat Majlis Daerah Jerantut.

Dalam bantahan yang diadakan, desakan supaya Najib meletak jawatan sebagai Perdana Menteri antara salah satu tujuan.

Muhyiddin tidak sertai Bersih 4.0


Muhyiddin tidak sertai Bersih 4.0
Muhyiddin berada di luar negara ketika perhimpunan aman diadakan.

Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak menyertai perhimpunan BERSIH 4.0 malah beliau tidak pernah menyatakan persetujuan untuk menyertai perhimpunan itu di ibu negara.

Bekas Setiausaha Politik beliau, Datuk Mohd Nardin Awang berkata, berita yang disebarkan menerusi media sosial yang mendakwa Muhyiddin bersetuju menyertai Bersih 4.0 adalah palsu dan berniat jahat..

Katanya, bekas Timbalan Perdana Menteri tidak pernah menyatakan persetujuan melalui mana-mana bekas Setiausaha Politik beliau untuk menyertai Bersih 4.0

“Tiada sebarang komunikasi dibuat antara mana-mana mantan Setiausaha Politik beliau dengan pihak penganjur Bersih seperti yang didakwa. Tambahan pula Muhyiddin berada di luar negara pada tarikh perhimpunan Bersih diadakan,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Pelajar terbeban dengan kejatuhan Ringgit


Pelajar terbeban dengan kejatuhan Ringgit
Selain duit daripada keluarga mereka terpaksa
melakukan kerja sambilan untuk menampung perbelanjaan

Kejatuhan Ringgit memberi kesan ketara kepada pelajar Malaysia yang menyambung pelajaran di luar negara.

Keperitan itu dikongsi Nur Izzyana Zulkifli, pelajar Pergigian dan Surgeri,Universiti Assiut, Mesir.
Katanya, berbeza sebelum ini, kelemahan dan kejatuhan matawang ringgit, berkata, kos perbelanjaan harian di negara itu, melebihi RM350 sebulan.

Malah yuran pengajian mereka meningkat sebanyak RM8,000 selepas kejatuhan ringgit.
“Jika sebelum ini kos sara hidup di Mesir bagi seorang mahasiswa cukuplah sekitar RM300-RM350. Hari ini jumlah itu semakin tidak relevan lagi.

“Sebelum ini didapati dalam akaun mempunyai 300 malaysia ringgit bermakna pelajar boleh mengeluarkan sebanyak Egypt Pound 600. Tapi pada hari ini, dengan RM 300 membolehkan pengeluaran hanya Egypt Pound 550.”

“Tahun pertama saya iaitu pada 2012 adalah AS$8,000 iaitu sama RM26,000. Tahun ini tahun keempat saya, kosnya juga sama iaitu AS$8,000, tetapi bila tukar ke ringgit ia jadi RM34,000. Kalau dah sampai beza lapan ribu pun ada pihak yang berkata tiada kesan, kami hanya mampu geleng kepala. Itu baru yuran belum sewa rumah, sara hidup, buku dan sebagainya,”katanya kepada FMT.

Katanya, keluarga mereka di kampung juga turut terbeban apabila terpaksa menghantar wang tambahan bagi menampung kos perbelanjaan.

“Sedangkan pelajar tajaan zakatpun terpaksa meminta duit poket lebih dari ibu bapa, apatah lagi pelajar persendirian yang tidak mendapat mana-mana bantuan,” katanya.

Sementara itu bagi, Mohd Hasnan Naiem, pelajar University of Sheffield, United Kingdom berkata beliau terpaksa mencari pekerjaan sampingan bagi menampung kos sara hidup yang meningkat susulan kejatuhan ringit.

Katanya tindakan tersebut merupakan cara terbaik bagi memstikan keluarga mereka di kampung tidak terbeban dengan krisis yang berlaku.

“Saya terpaksa berjimat dan mula mencari kerja sampingan bagi menampung kehidupan saya di sini. itu adalah jalan terbaik yang mampu saya fikirkan.

“..Tetapi ai sedikit sebanyak menggangu fokus pelajaran saya sini,” katanya.

Bagi, Nurhilya Ahmad Damiri, pelajar tahun dua Orange Coast, California, kejatuhan ringgit tidak memberi kesan kepada beliau kerana dia merupakan pelajar tajaan Majlis Amanah Rakyat (MARA).

“Saya tajaan MARA. MARA telah memberi wang mengikut nilai mata wang negara ini (USD) dan isu kejatuhan ringgit tidak menjejaskan saya,” katanya.

Pelancong jatuh di tengah Bersih 4.0


Pelancong jatuh di tengah Bersih 4.0
Mangsa mengalami cedera di kepala dikatakan tergelincir
ketika melalui kawasan kaki lima dekat Masjid Jamek

Wartawan dan mereka yang datang untuk menyertai Bersih 4.0 dikejutkan dengan insiden wanita jatuh di kaki lima.

Ia berlaku sekitar jam 11:15 pagi, ketika mangsa melintasi kawasan berhampiran Masjid Jamek.

Wanita yang dipercayai pelancong asing itu dilaporkan mengalami cedera di bahagian kepala dan telah diberikan rawatan segera oleh peserta demonstrasi yang berada berhampiran.

Setakat ini, identiti dan status kewarganeraannya masih belum dipastikan.

Anina : Srikandi dari Langkawi


Anina : Srikandi dari Langkawi
Keberanian Anina mengambil risiko untuk menyeret Najib
ke muka pengadilan, memberi impak kepada UMNO.

Kepimpinan Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak terusik lagi.

Jika sebelum ini, nama-nama besar daripada dalam parti seperti Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, dan lain-lain termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad kerap dikaitkan dengan kritikan terhadap isu dana RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun beliau hanya berakhir dengan kenyataan demi kenyataan.

Bagaimanapun, tindakan saman Anina Saadudin membuka perspektif baru terhadap imej kepimpinan anak bangsawan berdarah Bugis itu.

Berbeza dengan pengkritik yang lain, dia hanya sekadar ahli UMNO Cawangan Padang Mat Sirat, Langkawi. Bukannya satu nama besar atau menyandang sebarang jawatan penting dalam organisasi parti.

Bahkan namanya hanya mula dikenali lebih dua minggu lalu apabila menuduh Najib kuat kencing ketika menyampaikan ucapan penangguhan Mesyuarat Wanita UMNO Bahagian Langkawi.

Kata-kata di pentas terbuka apatah perkataan ‘kencing’ yang dianggap luar biasa bagi kaum ibu dalam parti orang Melayu itu. Apapun dek dorong rasa ketidak puasan, dia meluahkan amarah selepas Presiden UMNO berterusan mendakwa tiga juta ahli parti masih menyokongnya.

Kelantangannya dimuat naik di laman Youtube menjadikan Anina popular dalam sekelip mata.
Jika dilihat dari sudut maknawi kata-kata yang disampaikan bukan setakat sedap mulut tetapi itulah rintihan daripada mereka yang mewakili golongan marhain yang kecewa, marah dan terkilan terhadap pemimpin tertinggi parti.

Mereka mungkin tidak berpelajaran tinggi atau ghairah bersembang dalam ‘sleng’ atau berterabur cakap mat salleh, namun golongan ini tahu menilai bahawa ucapan demi ucapan yang disampaikan orang Najib hanya sekadar retorik.

Ramai yang menjangkakan apa yang dilepaskan Anina sebelum ini akan berakhir di pulau Mahsuri, namun tindakannya menfailkan saman di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap Najib dan Setiausaha Kerja UMNO Datuk Ab Rauf Yusof pada Jumaat membuka mata banyak pihak.

Bahkan beritanya di portal berita menenggelamkan tumpuan terhadap Bersih 4.0.

Jika dinisbah dengan jumlah keahlian seramai tiga juta orang ahli UMNO, wa ima daripada Pemuda UMNO yang pernah satu ketika dahulu pernah dilabel sebagai kumpulan pendesak, berapa kerat yang berani bertindak sepertinya. Ramai yang merungut, mengkritik dan mengutuk Najib, tetapi itu sekadar cakap-cakap atau lebih tepat lagi, setakat mengumpat sahaja.

Siapa yang di belakang tindakannya bukan persoalan, sebaliknya keberanian Anina mengambil risiko untuk menyeret Najib ke muka pengadilan, sesuatu yang perlu difikirkan. Berapa keratkah ahli dalam UMNO yang sanggup mengadai masa depan dalam parti dengan tindakan sebegini? Dalam erti kata lain, dia berani menghulur lehernya demi mencari kebenaran.

Masa depannya dalam UMNO mungkin telah berakhir, tetapi tindakan yang dibuat memberi isyarat jelas kepada Perdana Menteri, bahawa dia mewakili mereka yang meluat dengan kenyataan yang tiada logik.

Kita tengok sahaja nanti, apa reaksi orang penting dalam parti terhadap Anina. Selepas ini pasti ada pelbagai cerita sensasi tentang dirinya. ‘Pencacai’ tidak akan berdiam diri dan akan berusaha 1001 cara untuk mempertahankan Najib.

Apa yang dilakukan Anina hanya satu permulaan dan menjadi inspirasi kepada golongan akar umbi yang lain. Cuma yang kita tunggu apakah selepas dipecat secara rasmi nanti, bagaimana nasib dirinya kerana takut ditimpa ‘tulah’. Bak kata Presiden UMNO, orang Melayu akan bangsat tanpa parti itu.

Jangan kambing hitamkan saya dan ayahanda, nasihat TMJ


Jangan kambing hitamkan saya dan ayahanda, nasihat TMJ
Baginda menasihatkan masa yang dihabiskan untuk serang menyerang
antara satu sama lain digunakan bagi menyelesaikan masalah negara.

Tunku Mahkota Johor (TMJ), Brigadier Jeneral Tuanku Ismail Ibni Sultan Ibrahim berharap baginda dan ayahandanya, Sultan Johor, Tuanku Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar tidak dijadikan ‘kambing hitam’ bagi menutup permasalahan yang berlaku dalam negara ketika ini.

Baginda sebaliknya menasihatkan supaya masa yang dihabiskan untuk serang menyerang antara satu sama lain digunakan untuk menyelesaikan permasalahan negara.

“Janganlah kami dijadikan kambing hitam sedangkan keadaan semasa terus melarat. Daripada hendak serang-menyerang antara satu sama lain, lebih baik masa dan tenaga tersebut dimanfaatkan untuk menangani permasalahan negara,” titah baginda menerusi akaun Facebook Johor Southern Tigers.

Baginda mengulas wujudnya pihak tertentu yang diarahkan untuk ‘menyerang’ baginda dan ayahandanya kerana terlalu vokal dalam memperjuangkan isu rakyat.

TMJ bertitah, baginda dan ayahandanya hanya memperjuangkan kesejahteraan rakyat selain menasihati pemimpin negara supaya menjalankan tugas dengan telus dan berintegriti demi rakyat.
Baginda amat sedih melihat sesetengah pihak yang hanya memikirkan kedudukan, kuasa dan kepentingan peribadi dan melihat baginda dan ayahandanya seolah-olah mencabar kerajaan.

“Jikalau nasihat dan pandangan ayahanda saya sebagai Sultan, dan saya sebagai Tunku Mahkota, hendak disekat serta dipertikaikan, apalah pula harapan rakyat?

“Lebih baik kita berusaha mencari jalan penyelesaian mengatasi permasalahan negara, kerana bertelagah sesama sendiri tidak membawa ke mana pun,” titah baginda.

Sehubungan itu, TMJ mengingatkan semua pihak agar tidak menimbulkan isu baginda dan ayahandanya semata-mata untuk mengalih perhatian daripada isu-isu yang lebih menekan rakyat.

“Saya berdoa agar Allah SWT sentiasa berkati rakyat Johor dan Malaysia. Allah peliharakan Sultan. Hidup Johor,” titah baginda.

Kenyataan Timbalan Menteri Pendidikan bercanggah dengan kerajaan – Mahdzir


Kenyataan Timbalan Menteri Pendidikan bercanggah dengan kerajaan – Mahdzir
Kerajaan menegaskan melarang sebarang penyertaan dari mahasiswa
atau mana-mana IPT untuk menyertai himpunan haram termasuk Bersih 4.0

Kerajaan mengulangi ketegasan melarang sebarang penyertaan dari mahasiswa atau mana-mana Institusi Pengajian Tinggi (IPT) untuk menyertai perhimpunan Bersih 4.0.

Reaksi itu dibuat Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid terhadap kenyataan timbalannya, Chong Sin Woon yang memberi kebenaran kepada mereka untuk berbuat demikian.

“Kalau betullah itu statementnya, dia bercanggah dengan keputusan kerajaan.

“Kerajaan jelas melarang sebarang penyertaan dari mahasiswa atau mana-mana institusi pengajian kepada sebarang perhimpunan haram,” katanya ketika dihubungi Free Malaysia Today pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Choong yang mengatakan mahasiswa bebas untuk menyertai protes kerana sekatan di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 telah dimansuhkan.

Mahdzir menambah, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh juga telah menyatakan mana-mana pelajar atau pensyarah di IPT yang menyertai himpunan haram termasuk Bersih 4.0 boleh dikenakan tindakan.

“Datuk Seri Idris Jusoh dah sebut tidak boleh mana-mana pelajar atau pensyarah di institusi pengajian tinggi turut serta mana-mana perhimpunan haram termasuk Bersih, malah boleh dikenakan tindakan sebab telah ada arahan,” katanya.

Sultan Johor nasihat Nazri Aziz jangan angkuh


Sultan Johor nasihat Nazri Aziz jangan angkuh
Baginda mengingatkan Nazri supaya sentiasa berpegang kepada
pepatah Melayu 'kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa',

Sultan Johor, Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar memberi amaran kepada Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz supaya jangan angkuh.

Beliau bertitah demikian susulan Nazri yang dilaporkan mahu menyerang anakanda baginda,, Tuanku Mahkota Johor (TMJ), Tuanku Ismail ibni Sultan Ibrahim.

Baginda mempersoalkan adakah pemimpin yang bersikap seperti itu patut dihormati?

“Ingatlah pepatah Melayu sering menyebut kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa,” titah baginda titah baginda sempena Majlis Perasmian Masjid Tunku Laksamana Abdul Jalil, di Ibu Pejabat Polis Kontijen Johor pada Jumaat.

Sultan Ibrahim juga sekali lagi mengingatkan ahli politik supaya tidak mencampuri urusan Istana Johor dan membuat sebarang kenyataan yang mengaitkan dengan Istana Johor.

Baginda turut menegaskan tidak akan sesekali mencampuri urusan mana-mana parti politik.
“Oleh itu suka saya nasihatkan di sini kepada mana-mana ahli-ahli politik, antaranya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Datuk Tengku Putra Haron Aminnurashid Jumat supaya tidak membuat kenyataan yang mengaitkan pihak Istana Johor.

“Walaupun banyak pemimpin politik yang datang berjumpa saya, saya hanya mendengar cerita mereka dan tidak akan memihak kepada mana-mana parti atau individu,” titah baginda.

Baginda juga menasihatkan kerajaan bersikap telus dan berterus terang kepada rakyat kerana di dalam dunia moden ini, tidak ada apa-apa yang boleh disembunyikan.

“Apa yang saya pentingkan adalah kesejahteraan hidup rakyat saya dan kemakmuran negeri Johor mesti dijaga melalui perpaduan dan pengukuhan muafakat bangsa Johor,” titah baginda.

RM2.6 bilion cubaan heret Malaysia ke kancah perang IS?


RM2.6 bilion cubaan heret Malaysia ke kancah perang IS?
Fenomena yang sama telah ditunjukkan menerusi tangkapan polis
terhadap rakyat negara ini untuk ke negara tersebut bagi
menyertai IS dan telahpun ada usaha untuk mengebom negara ini.

Adakah Pengakuan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa beliau telah pergi berjumpa dengan salah seorang ahli keluarga diraja Arab Saudi yang menderma RM2.6 bilion kepada Datuk Seri Najib Tun Razak adalah bukti jelas cubaan UMNO untuk mengheret Malaysia ke dalam kancah peperangan dengan militan negara Islam (IS)?

Keluarga Diraja Arab Saudi memang menjadi sasaran IS kerana dituduh mengkhianati Islam berikutan hubungan rapatnya dengan Barat dan IS hendak menggantikannya dengan pemerintahan di bawah kuasa seorang khalifah.

Putera Mohamed menggesa negaranya lebih berwaspada, meningkatkan persediaan dan keperluan bagi menghadapi serangan IS selanjutnya.

Reuters melaporkan beliau berkata demikian selepas serangan IS khamis lalu ke atas sebuah masjid anggota keselamatan yang mengorbankan 15 orang.

Serangan Mei lalu ke atas sebuah masjid Syiah mengorbankan 25 orang terbunuh, selain beberapa lagi insiden tembakan dan pengeboman.

Insiden itu membuktikan gesaan pemimpin IS, Abu Bakar al-Baghdadi tahun lalu supaya penduduk Arab menyerang sendiri penduduk Syiah, sasaran kerajaan dan warga Barat di negara itu berbanding pergi ke Syria atau Iraq untuk menyertai IS.

Fenomena yang sama telah ditunjukkan menerusi tangkapan polis terhadap rakyat negara ini untuk ke negara tersebut bagi menyertai IS dan telahpun ada usaha untuk mengebom negara ini.

Sebelum ini, Malaysia juga telah mengisytiharkan Syiah adalah sesat dan diharamkan di Malaysia.
Najib Razak adalah Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO. Apa-apa yang dilakukannya adalah mempertaruhkan seluruh rakyat dan negara ini. Derma tersebut kononnya adalah untuk membantu Malaysia menentang IS.

Dalam satu tuntutan saman yang dikemukakan terhadapnya, Najib secara terbuka menyatakan bahawa RM2.6 bilion itu adalah sumbangan derma daripada dermawan Timur Tengah yang tidak dinamakan.

Sudah tentu derma tersebut bukan diterimanya bagi pihak kerajaan atau rakyat Malaysia kerana bukan sahaja tidak diserahkan malah, tidak diberitahupun kepada kerajaan dan rakyat Malaysia.

Persoalannya adakah benar derma tersebut untuk `membantu’ Malaysia menentang IS atau sebagai `upah’ untuk membantu mereka menentang IS? Dua perkara yang sama sekali berbeza.

Orang yang waras tahu bahawa jika bukan kerana kedudukannya sebagai Perdana Menteri tidak ada orang yang akan mendermanya sebanyak RM2.6 bilion. Apakah tujuan sebenarnya derma tersebut?

Najib dan UMNO sedang mempertaruhkan rakyat dan negara ini serta meletakkannya dalam kedudukan yang amat merbahaya demi kepentingan peribadinya dengan mengheret kemelut, permusuhan dan peperangan di Timur Tengah ke dalam negara ini.

Amatlah ditakuti jika Najib mengheret negara ini ke arah peperangan secara terbuka dengan IS sepertimana negara-negara Timur Tengah.

Oleh yang demikian, bagi mententeramkan kerisauan rakyat, polis dan Zahid mesti menjelaskan siapakah keluarga Arab yang ditemuinya itu.

Bukankah tugas polis untuk menjaga ketenteraman awam rakyat negara ini?
Penasihat dan perunding bebas, Abdul Hamid Yeop Zainuddin

Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT.

Keahlian Anina dalam UMNO gugur secara automatik


Keahlian Anina dalam UMNO gugur secara automatik
Perlembagaan parti menetapkan semua ahli tidak
boleh membawa kes berkaitan parti ke mahkamah.

Keahlian Anina Saadudin sebagai ahli UMNO gugur secara automatik selepas dia memfailkan saman terhadap Presiden parti, Datuk Seri Mohd Najib Razak.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Bung Mokhtar Radin berkata, tindakan Anina itu mengheret Presiden dan UMNO ke mahkamah melanggar Perlembagaan parti.

Anina yang memfailkan saman terhadap Najib berkaitan dana RM2.6 bilion merupakan Ahli UMNO cawangan Padang Mat Sirat, Langkawi.

“Tidak perlu dipecat, keahlian dia (Anina) akan tergugur secara automatik.

“Dia membawa ke mahkamah maka dia akan kehilangan hak, sebab Perlembagaan kita jelas, mana-mana ahli tidak boleh membawa isu UMNO ke mahkamah,” katanya ketika dihubungi FMT.

Ahli Parlimen Kinabatangan berkata, tindakan Anina itu juga telah membuka peluang kepada parti pembangkang untuk menyerang UMNO.

“Tidak elok isu parti disuarakan secara terbuka, apabila dibuat secara terbuka ia memberi peluang kepada musuh politik menjahanamkan parti kita sendiri,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan ahli UMNO supaya menggunakan saluran yang betul untuk mengkritik parti bukannya menyerang secara terbuka.

“Nasihat saya gunalah saluran yang betul untuk mengkritik parti, apa yang dilakukan (Anina) tidak dapat menyelesaikan isu yang dibangkitkan bahkan akan menambahkan lagi kemelut yang berlaku.

“(Dan) .. itu boleh membantu mengurangkan keraguan kepada penyokong UMNO, bukan ahli yang berada di atas pagar,” katanya.

Restoran mamak tidak terjejas dengan Bersih 4.0


Restoran mamak tidak terjejas dengan Bersih 4.0
Peserta yang menyertai himpunan Bersih 4.0 akan berasa
lapar dan makan ke kedai pada waktu petang dan malam.

Himpunan Bersih 4.0 yang diadakan pada hujung minggu ini tidak akan menjejaskan perniagaan restoran mamak di ibu negara.

Sebaliknya perniagaan mereka akan berjalan seperti biasa kerana peserta yang lapar akan makan di restoran berkenaan.

Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim (Presma), Noorul Hassan Saul, mengakui ia mungkin terjejas pada masa tertentu tetapi akan dapat ditampung di sebelah malam.

“Dia (Perhimpunan Bersih 4.0) tidak jejaskan perniagaan. Memang pada sebelah pagi dan tengah hari kita rasa perniagaan terjejas tapi perniagaan itu dapat ditampung dengan perniagaan sebelah malam dan petang.

“Orang-orang yang terlibat itu mereka mula lapar dan datang makan ke kedai kita,” katanya kepada Free Malaysia Today di sini pada Jumaat.

Ketika ditanya sama ada pihaknya mengeluarkan arahan supaya menutup premis, Noorul menjelaskan ia tidak akan dibuat.

Sebaliknya memberi peringatan supaya langkah berwaspada diambil.

“Kita tak keluarkan arahan. Apa yang kita minta mereka berjaga-jaga supaya tidak ada kecurian,” katanya.

Sebagai langkah berhati-hat, akan bekerjasama dengan pihak berkuasa dan turut berharap tidak ada kejadian yang tidak diingini berlaku pada himpunan itu.

Anina saman Najib kerana sayangkan UMNO


Anina saman Najib kerana sayangkan UMNO
Dia menjelaskan sangat khuatir dengan tindak tinduk presiden
 parti itu yang disifatkan boleh menjejaskan imej UMNO

Keputusan untuk menyaman Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dibuat kerana mahu menjaga kepentingan dan nama baik UMNO.

Dalam kenyataannya, ahli UMNO Cawangan Padang Matsirat, Langkawi, Anina Saadudin menjelaskan tindakan itu dibuat selepas tidak ada seorang pun ahli UMNO yang berkepentingan mengambil tindakan terhadap Najib berhubung derma politik berjumlah RM2.6 bilion yang disalur masuk ke dalam akaun peribadinya.

Katanya, dia sangat khuatir dengan tindak tinduk presiden parti itu yang disifatkan boleh menjejaskan imej UMNO.

“Saya lakukan semua ini kerana saya sayangkan UMNO. Saya percaya semua ahli UMNO sayangkan UMNO.

“Saya merayu agar mahkamah dapat memberikan keadilan kepada kami ahli-ahli UMNO dan memohon Datuk Seri Najib sebagai presiden bersikap jujur, amanah dan adil kepada ahli-ahli parti.
“Saya berdoa agar Allah S.W.T memberkati usaha saya ini dan memberikan petunjuk dan hidayahnya kepada kita semua, Insyaallah,” katanya.

Dalam pada itu Anina mendakwa, Perdana Menteri telah melakukan pecah amanah dan melanggar Perlembangaan UMNO dalam menerima dan membelanjakan wang RM2.6 bilion yang diterimanya itu.

Katanya, dia amat kecewa dengan apa yang berlaku kepada parti itu sekarang ini dan merasakan semakin ramai ahli parti yang rimas dengan isu yang timbul.
Jelasnya, tindakan yang dibuat mewakili tiga juta ahli UMNO yang mahukan penjelasan mengenai dana itu.

Ahli UMNO saman Najib tidak mengejutkan – Hatta Ramli


Ahli UMNO saman Najib tidak mengejutkan – Hatta Ramli
Tindakan itu sudah dijangkakan berdasarkan keluhan yang
disuarakan oleh UMNO dalam mesyuarat bahagian di seluruh negara.

Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Mohd Hatta Ramli berkata dia tidak terkejut dengan tindakan ahli UMNO yang memfailkan saman ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Katanya, tindakan itu sudah dijangkakan berdasarkan keluhan yang disuarakan ahli UMNO di peringkat akar umbi dalam mesyuarat bahagian seluruh negara sejak awal bulan ini.

“Perkara ini merupakan lanjutan teriakan, bukan sahaja oleh pembangkang dan rakyat, tetapi juga ahli UMNO sendiri dalam mesyuarat bahagian.

“Sebenarnya tindakan memfailkan saman ini adalah tindakan yang wajar dari pihak UMNO sendiri. Ini tidak mengejutkan sebenarnya,” katanya ketika dihubungi Free Malaysia Today.

Bekas Pengarah pPlihanraya Pas berpendapat, antara punca yang menyebabkan ahli UMNO tersebut memfailkan saman ke atas Najib adalah kerana mungkin ada sesetengah pihak yang “tidak berpuas hati dengan kaedah pembahagian wang derma RM2.6 bilion itu”.

Dalam laporan oleh Wall Street Journal sebelum ini mendedahkan RM2.6 bilion telah dipindahkan ke akaun peribadi Najib namun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) kemudiannya mengeluarkan kenyataan bahawa wang tersebut adalah hasil derma dari penderma Timur Tengah bagi membantu UMNO memenangi pilihan raya.

“Mungkin orang-orang yang tertentu sahaja yang dapat wang tersebut dan mereka yang lain tidak dapat. Ini menunjukkan bahawa ketelusan itu amat penting dan saya percaya kita perlu menyokong usaha menyaman Perdana Menteri ini,” kata Hatta.

Ahli UMNO cawangan Padang Mat Sirat, Anina Saabudin memfailkan saman terhadap Najib selaku Presiden UMNNO berkaitan derma RM2.6 billion tersebut yang telah mencetuskan kontroversi di Mahkamah Tinggi pada Jumaat.

Dalam writ saman itu, dia mendakwa Najib telah melanggar Perlembagaan UMNO, peruntukan-peruntukan Akta Pertubuhan 1966 dan tanggungjawabnya sebagai seorang pemegang amanah berdasarkan Common Law dan menuntut pembayaran balik sejumlah USD650 juta yang didakwa telah dikirim keluar oleh beliau ke satu akaun di bank Singapura yang bukan milik UMNO pada 30 Ogos 2013.

Wajarkah perhimpunan diadakan pada waktu ini? – Najib


Wajarkah perhimpunan diadakan pada waktu ini? – Najib
Perdana Menteri mengesyorkan penganjur memilih masa dan kawasan
yang sesuai kerana tidak mahu Hari Kebangsaan dijadikan pentas perselisihan politik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mempersoalkan keperluan mengadakan perhimpunan tunjuk perasaan pada waktu yang sama dengan Sambutan Kemerdekaan ke-58.

“Dalam masa beberapa hari lagi kita akan menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-58.

“Namun, kita semua sedia maklum bahawa sebuah perhimpunan tunjuk perasaan telah dirancang untuk diadakan pada masa dan tempat di mana persediaan perarakan Hari Kemerdekaan akan dijalankan.

“Jika mahu berhimpun sekalipun, pilihlah masa dan kawasan yang tidak mencetus satu provokasi. Walau apapun perbezaan pendapat atau fahaman di antara kita, hari kebangsaan tidak seharusnya dijadikan pentas perselisihan politik,” kata Perdana Menteri menerusi blognya.

Najib berkata, semua rakyat Malaysia sepatutnya mengenepikan perbezaan dan sama-sama meraikan dengan penuh rasa patriotik dan cintakan negara.

“Sedarlah bahawa, terdapat ramai yang berhak menerima penghormatan dan penghargaan menjelang sambutan Hari Kemerdekaan ini.

“Daripada wira-wira negara yang pernah memperjuangkan kemerdekaan hinggalah kepada warga sekolah, pihak logistik dan seluruh kontinjen perarakan lain yang bertungkus-lumus membuat persediaan meraikan Sambutan Kemerdekaan tahun ini.

“Apakah wajar perhimpunan ini dijalankan pada masa dan tempat yang begitu hampir dengan Hari Kemerdekaan kita? Fikirkanlah,” katanya.

Perubahan besar berlaku hujung tahun ini -Azmin Ali


Perubahan besar berlaku hujung tahun ini -Azmin Ali
Beliau menjangkakan undi tidak percaya terhadap Najib Tun Razak akan berlaku.

Parti Keadilan Rakyat (PKR) menjangkakan perubahan besar dalam sistem pemerintahan negara ini akan berlaku menjelang akhir tahun ini.

Timbalan Presidennya, Mohamed Azmin Ali berkata, perubahan itu akan berlaku apabila diadakan undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sehubungan itu, Menteri Besar Selangor mengajak Ahli Parlimen UMNO dan Barisan Nasional (BN) bekerja sama untuk membawa perubahan kepada negara.

“Kita akan bekerjasama dengan semua Ahli Parlimen yang mahukan perubahan dan saya mengajak Ahli Parlimen UMNO dan Barisan Nasional (BN) supaya ada bangkit untuk menyelamatkan negara dan memulihkan ekonomi.

“Pada ketika ini pakatan pembangkang ada 88 Ahli Parlimen…kita perlukan hanya 30 lagi,” katanya kepada pemberita selepas menandatangani Skim Pembiayaan Perumahan Kerajaan negeri Selangor bersama Maybank Berhad pada Jumaat.

Azmin berkata, di bawah kerajaan Najib, negara dalam keadaan yang teruk dan keadaan ekonomi yang semakin merosot dengan nilai Ringgit yang merundum dan keadaan itu boleh menghancurkan negara.

Sementara itu, mengulas isu Bersih 4.0 yang akan diadakan pada Sabtu dan Ahad ini, Azmin berkata, beliau akan menyertainya bersama ahli PKR lain.

“Ya, saya akan sertainya.. PKR Selangor pun akan turut turun ke perhimpunan itu kerana ia dilihat sebagai hak mereka bukan sahaja dalam kalangan penyokong pembangkang atau perjuangan yang dibawa Bersih,” katanya.

Pelajar USM sertai perhimpunan akan diambil tindakan


Pelajar USM sertai perhimpunan akan diambil tindakan
Tindakan tatatertib boleh diambil ke atas pelajar tersebut berdasarkan
kepada kaedah-kaedah Universiti Sains Malaysia (Tatatertib Pelajar-Pelajar) 1999.

Universiti Sains Malaysia (USM) memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap pelajarnya yang menyertai perhimpunan haram.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar USM, Prof Datuk Dr Adnan Hussen berkata, larangan itu dikeluarkan kerana perhimpunan tersebut boleh menjejaskan keselamatan negara.

Pelajar USM sertai perhimpunan akan diambil tindakan


“Semua pelajar Universiti Sains Malaysia adalah dilarang sama sekali hadir atau terlibat dengan sebarang perhimpunan haram atau sebarang gerakan yang boleh mengancam keselamatan negara dan apa jua aktiviti yang melanggar undang-undang,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, pihak USM juga tidak teragak-agak untuk mengenakan tindakan tatatertib kepada pelajar yang terlibat mengikut Akta Universiti dan Kolej 1971.

“Tindakan tatatertib boleh diambil ke atas pelajar tersebut berdasarkan kepada kaedah-kaedah Universiti Sains Malaysia (Tatatertib Pelajar-Pelajar) 1999, Perlembagaan Universiti Sains Malaysia dan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971,” katanya.

Sultan Johor hero rakyat, bukan saya – Zam


Sultan Johor hero rakyat, bukan saya – Zam
Beliau menjawab kritikan pembantu peribadi isteri Perdana Menteri
yang menganggap Zam cuba menjadi hero kepada Sultan Johor.

Bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin menegaskan sokongannya terhadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ismail Ibni Almarhum Sultan Iskandar bukan untuk menjadi hero.

Sebaliknya, Sultan Johor, Sultan Ibrahim adalah hero sebenar kepada rakyat kerana baginda prihatin dan bertanggungjawab serta berani mengingatkan pemimpin supaya tidak memperbodohkan rakyat.

Katanya, rakyat Johor dan Malaysia sewajarnya berbangga mempunyai seorang raja berjiwa rakyat.

“Baginda telah bercakap bagi pihak rakyat dan rakyat yang berada dalam keadaan amat tertekan amat menilainya. Dengan tindakan itu juga baginda menyedarkan rakyat bahawa raja sebagai simbol kedaulatan rakyat tidak hanya retorik semata-mata,” katanya.

Zainuddin atau Zam membuat kenyataan itu bagi membalas kritikan pembantu peribadi isteri Perdana Menteri,  Datuk Rizal Mansor yang menuduh beliau cuba menjadi hero.

“Janganlah Pembantu peribadi kepada Datin Seri Rosmah Mansor, Datuk Rizal Mansor memikirkan saya hendak menjadi hero kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim kerana hendak mendapat gelaran dan sebagainya kerana saya sudah cukup dengan segala gelaran yang tidak terpakai oleh saya.

“Saya tidak boleh menghadiahkan satu pun darinya kepada Rizal kerana itu adalah amanah dari Sultan-Sultan, Gabenor dan juga Seri Paduka-Seri Paduka Yang Di Pertuan Agong kepada saya.

“Saya menjalankan tugas saya sebagai wartawan dengan kesedaran berada di bawah naungan Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong dan saya serta seluruh rakyat yang sedang berada dalam keadaan duka nistapa sekarang tidak ada lagi tempat untuk mengadu dan menaruh harapan kecuali kepada Majlis Raja-Raja yang amat dihormati dan disanjung tinggi,” katanya.

Bekas Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Melayu itu menerusi blognya berkata, sokongannya terhadap baginda itu adalah pandangan yang ikhlas.

“Saya tidak tahu kiranya ingatan ini ada pada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak atau isteri, Datin Seri Rosmah Mansor sehingga pembantu Rosmah merasa sensitif untuk memberikan reaksi kepada pandangan saya yang ikhlas itu,” katanya.

Zam berkata, pandangan-pandangan beliau itu disertakan dengan contoh terbaik tradisi di Great Britain yang mengamalkan hak demorasi yang luas.

“Ini kerana mereka berpegang kepada kepercayaan dengan adanya Queen maka Perdana Menteri tidak merasakan bahawa dia mempunyai kuasa mutlak, walaupun berkuasa dari segi perlembagaan, sebaliknya selalu ingat ada kuasa yang lebih tinggi daripadanya, walaupun kuasa itu bersifat Raja Berperlembagaan,” kata Zam.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Rujukan