Cari Artikel

Saturday, October 20, 2007

Antara Hati Tunku & Hati Dato Onn


Tajuk filem: 1957 - Hati Malaya
Pengarah/ Produser: Shuhaimi Baba
Pelakon : Maya Karin, Rusdi Ramli, Adlin Aman Ramlie, Sharifah Amani, Kamarulzaman Taib, Zaefrul Nordin, Ida   Nerina,Nanu Baharuddin, Kavita Sidhu, Kee Thuan Chye, Nasrizal Ngasri
Produser Eksekutif: Aida Fitri Buyong
Produser Bersama: Kavita Sidhu
Genre: Sejarah / doku-drama
Klasifikasi: Tayangan Umum [U]
Tarikh Tayangan: Mulai 25 Oktober 2007

Sekali Imbas

Kepada generasi muda atau sesiapa saja yang ingin mengenali Datuk Onn Ja'afar dan Almarhum Tunku Abdul Rahman serta bagaimana UMNO mula terbentuk, inilah filem yang terbaik setakat ini.

Antara Hati Tunku & Hati Dato Onn


Boleh dikatakan, gaya serta tingkah setiap tokoh negara terutama Tunku dan Dato' Onn mampu divisualkan dengan agak terperinci, bercampur elemen fiksyen. Filem ini asasnya menyelami rasa hati Tunku dan Datuk Onn dalam memerdekakan anak bangsa.

Ulasan Penuh

Ketika sidang media 1957: Hati Malaya, Shuhaimi Baba (Shumi) berkata,  kira-kira 100 pelakon terlibat dalam filem yang menelan belanja RM3.6 juta  ini. Terfikir pula apa pula yang dimaksudkan oleh Shumi itu kerana kalau dilihat daripada barisan pelakonnya, jelas beberapa pelakon utamanya memegang dua watak yakni dua nama.

Antara mereka ialah Rusdi Ramli, Sharifah Amani, Adlin Aman Ramlie, dan Maya Karin.

Mungkin lebih menarik andai Shumi membezakan wajah-wajah anak generasi masa kini dengan zaman klasik. Tidak dapat dipastikan samada ada Shumi ingin 'jimat pelakon' atau menonjolkan versatiliti pelakonnya.

Pun begitu usaha Shumi memperkenalkan bakat baru, Zaefrul Nordin sebagai Dato' Onn dan Kamarulzaman Taib/ Che Kem (Tunku) boleh dipuji kerana mereka dapat mampu menggugat.

Melihat filem mini secara keseluruhan, ia bukanlah satu kerja enteng. Penyelidikan, pemilihan pelakon dan lokasi memang tugas yang rumit. Malah, Datuk Yusof Haslam yang sudah lama mengarah dan  pernah berlakon dalam filem perang Bukit Kepong pun turut mengakui 1957: Hati Malaya sebuah filem yang hebat dan membakar semangat jati diri.

Paling mengharukan, Yusof dan isterinya, Datin Fatimah Ismail sebak beberapa kali sehingga menitiskan air mata apabila menonton babak-babak dramatik dalam filem ini.

Watak Tunku dimainkan dengan cukup berkesan oleh Che Kem. Selama ini orang lebih kenal nama Che Kem sebagai penulis lirik lagu berentak Melayu etnik. Nah, sekali diberi peluang berlakon, bakat kakitangan Akademi Seni Kebangsaan (ASK) itu terus menyerlah!

"Saya sendiri gugup sebelum berlakon. Maklumlah saya orang Kelantan, Tunku pula orang Kedah, takut nanti jadi lain. Cabaran juga dirasai ketika saya di lokasi. Saya terpaksa buat sendiri banyak improvisasi kepada skrip atau dialog yang diberikan," ujar Che Kem.

Peranan Dato' Onn pula berjaya dilakonkan dengan baik oleh Zaefrul.  Nasrizal Ngasri kelihatan tidak banyak masalah melakonkan watak Sardon Jubir berdasarkan pengalaman seninya selama bertahun-tahun.

Gandingan Maya (Salmi/Normala) dan Rusdi (Hali/ Zahari) seakan dibayangi aura mereka dalam Pontianak Harum Sundal Malam 2 dan Waris Jari Hantu. Kadangkala terasa seperti melihat Meriam dan bukannya Normala. Nanu Baharuddin mampu memberikan persembahan yang baik sebagai isteri Tunku, Sharifah Rodziah, lengkap berloghat Kedah.

Penampilan Kavita Sidhu sebagai Khalilah, penjual laksa di kampong, tidak begitu menonjol. Dia hanya digambarkan sebagai wanita bencikan politik dan pergaduhan. Selain itu, filem ini diwarnai lagi dengan kemunculan bintang veteran yang membawa watak sultan dan raja-raja Melayu.

Babak yang paling mengundang sebak penonton ialah ketika Tunku dengan terus terang meminta bantuan bagi membolehkan rombongannya berlepas ke London bagi menuntut kemerdekaan. Semua penyokong terus menderma apa yang termampu. Ia begitu menyentuh perasaan dan membakar semangat.

Dari sudut props, filem Shumi seperti biasa, suka menampakkan binaan yang teratur dan seperti disusun-susun. Ini kurang bersahaja. Susun letak kampung dan kedai kopi tampak seperti baru dicat serta permukaan tanah yang semacam baru ditimbus dengan pasir. Itu belum lagi kain batik yang dijadikan langsir rumah kampung.

Kelihatan juga kalung mutiara yang dipakai Ida Nerina turut digayakan Joanna Bessey (setiausaha British). Bagi menyelamatkan filem ini dari sudut bajet, Shumi terpaksa menggunakan banyak kesan khas CGI bagi babak-babak tertentu seperti perarakan, demonstrasi rakyat dan malam menyambut kemerdekaan.

Apapun, dari segi isi penceritaan, lakon layar dan pengarahan, inilah karya terhebat Shumi setakat ini yang seharusnya ditonton semua rakyat Malaysia terutama golongan pelajar. Merdeka! Merdeka! Merdeka!

Sinopsis

Filem ini memfokus kepada usaha Almarhum Tunku Abdul Rahman, memperjuangkan kemerdekaan bersama UMNO dan Parti Perikatan, sehingga menjadi Perdana Menteri pertama pada 1957. Sebelum itu, Dato' Onn Ja'afar, tampil menubuhkan UMNO yang berjaya membakar semangat nasionalisme orang Melayu menentang Malayan Union pada 1946.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Rujukan