Cari Artikel

Tuesday, May 17, 2016

Adakah Boleh Daging Korban Dijadikan Upah Untuk Penyembelih?


Adakah Boleh Daging Korban Dijadikan Upah Untuk Penyembelih? Ada yang bertanya, menjadi amalan sesetengah masyarakat memberikan sebahagian dari daging korban kepada pihak yang menguruskan terutama penyembelih dan pelapah.

Ada yang kata tidak dibolehkan, betulkah begitu? Mengapa?

Adakah Bolehkah Daging Korban Dijadikan Upah Untuk Penyembelih?

Ibadah korban adalah ibadah tuntutan bagi umat Islam.

Ya, menjelang musim hariraya korban, maka mungkin beberapa peringata patut diulangi agar amalan korban kita benar-benar memenuhi tuntutan syarak. Antaranya,

1. Daging korban tidak boleh dijual oleh pembuat korban, sama ada dengan cara tukaran wang atau tukaran tenaga kerja. Apa sahaja transaksi yang membawa erti ‘menjual binatang yang telah dikorbankan’ samada dengan tukaran duit atau tenaga atau selainnya, adalah dilarang.

Para fuqaha (sarjana fekah) telah bersependapat bahawa adalah haram hukumnya daging sembelihan korban (al-adhiyah) itu dijual. Kata Ibn Rusy di dalam Bidayah al-Mujtahid:

“Pada pengetahuanku para ulama telah sepakat bahawa tidak diharuskan menjual daging korban”1/703, Beirut: Dar al-Khair

2. Secara umumnya menjual daging korban oleh pembuat korban itu dilarang ini telah diketahui oleh kebanyakan kita.

Namun ada yang terlupa bahawa syarak juga menetapkan bahawa memberi daging korban kepada penyembelih atau pelapah atau sebagai sebagai upah hasil kerja yang mereka lakukan adalah termasuk juga dalam hukum jual beli. Iaitu menjual daging untuk membeli tenaga kerja.

3. Larangan memberikan daging atau selainnya sebagi upah kerja kepada penyembelih adalah termaktub dalam hadis-hadis yang sahih yang diriwayat oleh al-Bukhari dan Muslim.

Daripada `Ali bin Abi Talib r.a, katanya:

“Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. telah memerintahkan aku menyembelih unta-untanya (sembelihan ketika haji). Baginda memerintahkan agar aku membahagikan kesemuanya; daging, kulit dan apa yang menutupi belakang unta-unta itu (seperti pelana dan seumpamanya).
Baginda juga memerintahkan agar aku tidak memberikan kepada jazzar (penyembelih dan pelapah) sedikit pun darinya.”Riwayat al-Bukhari Muslim

Di dalam riwayat al-Imam Muslim ditambah dengan ucapan Saidina `Ali:

“Kami memberikan kepada penyembelih dan pelapah upah daripada (harta) kami sendiri”.

4. Ya, walaupun hadis di atas berkaitan dengan sembelihan haji namun sama juga hukumnya dalam masalah korban. Apa yang penting ialah larangan menjadikan sembelihan yang disembelih bagi melaksanakan suatu tuntutan ibadat sebagai bahan jual beli, iaitu membeli tenaga kerja dengan bayaran daging sembelihan korban atau al-hadi (sembelihan haji).

5. Ini telah dijelaskan oleh al-Imam as-Son`ani dalam Subulus as-Salam, katanya:

“Hadis ini menunjukkan bahawa disedekahkan kulit dan apa yang menutupi binatang korban sepertimana disedekahkan dagingnya.

Ianya tidak boleh diberikan kepada penyembelih atau pelapah sedikitpun darinya. Ini kerana termasuk dalam hukum jualan disebabkan kedudukannya sebagai upah.

Hukum sembelihan korban sama juga dengan hukum sembelih haji dimana daging dan kulitnya tidak boleh dijual juga tidak boleh diberikan kepada penyembelih dan pelapah sedikitpun daripadanya.4/148. Beirut: Dar al-Ma’rifah
6. Dengan hadis di atas jelas bahawa dilarang sesiapa yang melakukan korban memberikan daging atau apa-apa bahagian yang boleh dimanfaatkan dari binatang korban kepada penyembelih atau pelapah sebagai upah, seperti memberi daging atau kulit atau apa yang ada dibelakang binatang tersebut seperti pelana dan lain-lainnya.

Sehingga al-Imam an-Nawawi dalam Syarh Sahih Muslim mengkritik pendapat Hasan al-Basri yang membenarkan diberikan kulit kepada penyembelih atau pelapah. Al-Imam an-Nawawi terus mengulas ringkas pendapat ini dengan katanya:

“Pendapat ini telah memcampakkan (membelakangi) sunnah.”9/435 Beirut: Dar al-Khair
7. Ketika mengulas Saidina Ali bin Abi Talib di atas, al-Imam al-Imam an-Nawawi menyatakan dalam Syarah Sahih Muslim:

“Hadis ini meminta agar kita tidak memberikan kepada penyembelih dan pelapah bahagian dari sembelihan korban kerana jika diberi kepadanya sebagai ganjaran kepada pekerjaannya sama ertinya dengan menjual satu juzuk darinya. Ini adalah tidak dibolehkan”(9/435)
Maksud al-Nawawi ialah dengan perbuatan ini bererti kita telah menjual daging korban sebagai tukaran dengan khidmat penyembelihan.

8. Al-Imam al-Nawawi dalam kitabnya yang lain iaitu al-Majmu’ sekali lagi menegaskan pendirian al-Mazhab al-Syafi`, katanya:

“Telah sepakat al-Imam al-Syafi`i dan tokoh-tokoh mazhab al-Syafi`i bahawa tidak boleh sedikit pun dari sembelihan semasa haji dan `umrah dan sembelihan korban dijual.
Samada ia korban nazar atau sunat. Ini termasuk daging, lemak, kulit, tanduk, bulu dan sebagainya. Tidak boleh pula kulit atau selainnya dijadikan upah untuk penyembelih..”8/419-420. Beirut: Dar al-Fikr
9. Kata al-Imam Taqiyuddin al-Syafi`i di dalam kitabnya Kifayah al-Akhyar:

“Tidak boleh dijadikan bahagian dari korban itu sebagai upah untuk penyembelih walaupun korban itu adalah korban sunat.m.s 149. Beirut: Dar So`ab
10. Kata al-Syeikh Muhammad Abd al-Qadir Abu Faris dalam kitabnya Ahkam al-Zabaih fi al-Islam:

“Tidak halal (haram) bagi sesiapa yang melakukan korban memberi walaupun sedikit bahagian korban kepada penyembelih sebagai upah sembelihan atau melapah.m.s. 143. Jordan: Maktabah al-Manar
11. Seperti yang ditegaskan tadi bahawa termasuk dalam larangan ini ialah memberikan bahagian korban kepada sesiapa sahaja yang terlibat dalam pengurusan korban atas dasar upah atau kerja yang dilakukannya

12. Mungkin akan timbul persoalan apakah para petugas sembelihan tidak memperolehi apa-apa ganjaran dari kerja yang mereka lakukan? Kita perlu jelas bahawa hadis-hadis tersebut bukan melarang memberikan upah kepada para peneyembelih atau pelapah.

Larangan dalam hadis-hadis berkenaan hanya jika upah itu diambil dari bahagian korban. Adapun jika upah itu berbentuk wang atau selainnya yang tidak dari bahagian korban maka itu adalah tidak termasuk dalam larangan, bahkan adalah sepatut kerja dan tenaga seseorang itu dibayar upah.

Sebab itu dalam riwayat tambahan al-Imam Muslim yang disebutkan tadi, Saidina Ali menyebut:

“Kami memberikan kepada penyembelih atau pelapah dari harta kami sendiri”.
Ertinya mereka akan tetap mendapat ganjaran dari hasil kerja mereka melalui upah yang beri dari wang atau sebagainya tetapi bukan upah itu tidak diambil dari bahagian korban.

13. Setelah melihat penjelasan ringkas ini maka perlulah kita sedari kalaulah amalan ini diteruskan iaitu mengambil mana-mana bahagian dari binatang korban yang disembelih samada daging, kulit atau sebagai upah bererti kita telah merosak pahala korban yang dijanji.

Kata Mustafa al-Khin dan Mustafa al-Bugha dalam Al-Fiqh al-Manhaji ketika menjelas fiqh korban di dalam mazhab al-Syafi`i:

“Tidak boleh untuk sesiapa yang melakukan korban itu menjual atau memberinya kepada penyembelih sebagai upah sembelihan, kerana ini mengurangkan apa yang dikorbankan dan merosakkannya”.1/235. Ctk. Dar al-Qalam, Damsyik.
14. Walau bagaimanapun pemberian kepada penyembelih dari bahagian korban dibolehkan sekiranya ia diberikan bukan di atas dasar upah. Perkara ini dapat diukur dengan diandaikan sekiranya penyembelih atau pelapah tidak melakukan kerja-kerja tersebut pun sememangnya bahagian tersebut ingin diberikan kepadanya.

Sebaliknya jika diandaikan jika tidak kerana kerja yang dilakukan maka sudah tentu dia tidak memperolehi bahagian tersebut, maka ini dianggap sebagai upah. Ia merosakkan korban. Kata Wahbah al-Zuhaili dalam Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh:

“Jika diberi kepada penyembelih dari apa yang dikorban disebabkan kefakirannya atau sebagai hadiah maka ini tidak mengapa“.3/633. Damsyik: Dar al-Fikr
Ertinya, ini seperti memberikan kepada penyembelih sebab kemiskinan atau persahabatan yang sekirannya tanpa kerja yang telah dilakukan pun dia tetap akan diberikan.

Dalam contoh yang lain, diberikan kepada penyembelih atau pelapah atau petugas upah mereka dalam bentuk wang umpamanya, kemudian ketika dibahagi-bahagikan daging kepada orangramai maka turut diberikan kepada penyembelih atau pelapah atas dasar pemberian biasa, setelah mereka memperolehi upah yang sebenar dalam bentuk wang.

Perkara seperti ini tentulah dibolehkan kerana pemberian itu tidak lagi di atas dasar upah dari bahagian korban kerana upah yang sebenar telah mereka perolehi.

15. Kata as-Syaukani dalam Nail al-Autar bahawa diriwayatkan daripada Ibn Khuzaimah dan al-Baghawi bahawa dibolehkan memberi bahagian korban kepada penyembelih jika dia adalah seorang yang fakir dan setelah diberi kepadanya upah yang lain (selain dari bahagian korban). (5/221. Beirut: Dar al-Jil)

16. Apa yang dikehendaki dari keterangan di atas, agar bahagian yang diperolehi oleh penyembelih atau pelapah atau petugas itu tidak disebabkan oleh kerja yang dilakukannya. Jika ini berlaku bererti telah melanggar larangan Rasulullah dan membatalkan korban.

17. Setelah kita melihat dalil yang sohih iaitu larangan baginda Nabi dalam hal ini serta ulasan yang jelas yang dibuat oleh para ulama, maka hendaklah kita menjaga agar tidak melanggarnya.

Cara penyelesaiannya telah ditunjukkan oleh Saidina `Ali di dalam hadis yang yang diriwayatkan oleh al-Imam Muslim tadi iaitu kita memberikan upah dari duit kita sendiri bukan dari bahagian korban yang mengakibatkan rosaknya korban yang kita lakukan.

18. Sesungguhnya sikap bakhil atau mengambil kesempatan melepaskan diri dari upah wang ringgit kepada penyembelih atau pelapah dan seumpamanya dengan cara memberikan daging atau bahagian korban kepada mereka adalah lambang ketidaktulusan.

Ibu Beranak16 Anak, Kesemuanya Berjaya Ke Universiti, Saya mempunyai 16 orang adik beradik dengan seorang ibu dan bapa. Anak pertama sehingga ke-11 adalah lelaki dan anak ke-12 sehingga ke-16 semuanya perempuan. Kami hidup dengan serba kekurangan kerana pendapatan ayah teramat sedikit.

Ibu Beranak16 Anak, Kesemuanya Berjaya Ke Universiti, Saya mempunyai 16 orang adik beradik dengan seorang ibu dan bapa. Anak pertama sehingga ke-11 adalah lelaki dan anak ke-12 sehingga ke-16 semuanya perempuan. Kami hidup dengan serba kekurangan kerana pendapatan ayah teramat sedikit.

Suasana hari raya, saya bergambar bersama adik beradik lain, 16 orang semuanya.

Saya masih ingat ketika saya berusia 7 tahun, keadaan bertambah teruk apabila ayah diserang penyakit strok dan lumpuh semasa emak sedang mengandungkan anak yang ke-16. Jadi emak saya terpaksa menyara keluarga membesarkan anak-anak sambil menjaga ayah yang lumpuh.

Kisah Ketabahan Emak

Artikel kisah ketabahan emak saya diterbitkan dalam Utusan Malaysia pada 31/10/2013, nukilan Noor Fazrina Kamal.

*****

KINI segala pengorbanan Fatimah berbalas apabila kesemua 16 anaknya berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti dan menyandang jawatan penting dalam sektor swasta mahupun kerajaan.

“Ibu saya berkahwin dengan ayah, Ismail Abdullah pada Januari 1967. Ketika itu usia ibu 17 tahun manakala ayah 34 tahun.

“Mereka kemudiannya menetap di Kampung Padang Bongor, Kota Bharu, Kelantan dan ayah saya berkhidmat sebagai imam di masjid kampung tersebut ,” cerita anak ke-11 Fatimah, Mohd. Yazid Ismail, 29, ditemui di Bandar Seri Putra, Selangor, baru-baru ini.

Sebelas orang anak Fatimah memasuki universiti tempatan, manakala lima lagi di universiti luar negara.

Anak sulungnya, Lokman, 45, merupakan setiausaha politik kepada seorang tokoh terkenal, manakala anak kedua, Mohd. Azmi, 44, (penceramah motivasi), Mohd. Jurik, 42, (pegawai kerajaan), Mohd. Sabri, 41, (seorang hakim), Mohd. Khairul Bahri, 39, (guru) dan Mohd. Rusli, 38, (pensyarah).

Diikuti Khairul Anuar, 35, (ejen takaful), Mohd. Juneed, 34, (guru), Mohd. Shahruddin, 32, (ahli perniagaan), Mohd. Abdul Hadi, 31, (guru), Mohd. Yazid, 29, (perunding kewangan), Siti Sarah, 28, (guru), Siti Aisah, 27, (ahli perniagaan), Siti Zakiah, 25, (menuntut di Universiti Islam Antarabangsa), Radiah, 23, (pelajar Kolej Universiti Insaniah) dan Nur Suhaila, 21, (pelajar Universiti Sains Islam Malaysia).

Daripada kesemua anak pasangan tersebut, 14 sudah berkahwin dan kini cucunya mencecah 60 orang.

Ujian Yang Dilalui

Menurut Mohd Yazid lagi, sekitar tahun 1990-an, kerjaya sebagai imam di Kelantan tidak bergaji sebaliknya hanya diberi elaun berjumlah kurang daripada RM300.

Bersandarkan wang elaun tersebut ayahnya menyara keluarga dalam serba kekurangan. Mereka tiada tanah untuk bercucuk tanam dan hanya mampu menyewa tanah orang kampung untuk bertani bagi menambah rezeki

“Abang-abang saya walau masih bersekolah semua membantu ayah bertani dan hasil sayur dijual keliling kampung.

“Pada tahun 1991 ketika emak mengandung adik bongsu ayah pula diserang strok dah lumpuh. Ayah terpaksa berhenti kerja.

“Emak saya yang ketika itu sarat mengandung terpaksa mengambil alih tugas ayah menyara kami adik-beradik yang masih kecil dan pada masa sama menjaga ayah yang lumpuh.

“Tiada duit pencen yang kami terima sekadar duit ehsan daripada pihak masjid berjumlah RM150 sebulan. Pada waktu itu seorang abang sahaja yang sudah bekerja manakala yang lain masih di sekolah dan universiti.

“Cuba bayangkan macam mana emak nak sara ayah yang lumpuh dan 15 anak dengan RM150,” imbas Mohd. Yazid mengimbau kisah lama.

Menurut Mohd. Yazid, ketika itu wang simpanan langsung tidak ada, jadi walaupun masih sekolah semua anak-anak terpaksa berkerja bagi mencari duit.

“Macam-macam kerja kami lakukan lepas waktu sekolah. Bertani, mengambil upah membersihkan reban ayam, kutip botol, tin serta besi buruk untuk dijual dan sebagainya.

“Kadang-kadang kami naik basikal sejauh 12 kilometer untuk balik ke kampung ibu di Bachok semata-mata untuk menangkap ikan di sawah bagi dibuat lauk.

“Tiada bantuan kewangan khusus kami terima dari mana-mana agensi, hanya sekadar bantuan persekolahan yang bersifat sekali sekala.

Nasi Tanpa Lauk

“Makanan kami juga kadang-kadang tidak cukup. Makan nasi tanpa lauk sudah jadi kebiasaan. Sekadar nasi campur air, garam dan sedikit gula sudah memadai. Mujur di sekolah ada rancangan makanan tambahan, dapatlah kami rasa makan yang sedap secara berterusan,” cerita Mohd. Yazid lagi.

Walau keadaan hidup begitu susah, menurut Mohd. Yazid, tidak pernah sekalipun ibunya berhenti berjuang mahupun mengaku kalah dalam membesarkan anak-anaknya.

Ibunya juga jarang berkeluh-kesah di hadapan anak-anak, biarpun menurut Mohd. Yazid, beberapa kali dia melihat ibunya menangis mungkin kerana tidak tertahan menanggung keperitan hidup.

“Kami anak-anak yang masih kecil ketika itu hanya boleh menahan sedih melihat keadaan emak.

“Ketika itu memang tidak banyak yang boleh kami bantu, malah untuk angkat ayah yang lumpuh untuk dimandikan pun susah. Mujur abang-abang di sekolah menengah banyak tolong dengan penuh kesabaran tetapi apabila mereka masuk universiti, tinggal kami yang kecil-kecil sahaja di rumah,” jelasnya.

Sehingga tahun 2001, ibunya masih memasak menggunakan dapur kayu api. Bukan tidak ada dapur gas tetapi mahu menjimatkan wang daripada membeli gas.

Kalau bekalan kayu api berkurang, mereka adik beradik akan masuk hutan mencari kayu api. Ketika itu tiada lagi orang kampung yang mengutip kayu api, hanya keluarganya sahaja.

“Emak pula pegang prinsip tidak akan hutang duit orang. Hidup dengan sekadar apa yang ada. Alhamdulillah, beban emak sedikit ringan apabila abang-abang di universiti mengirim duit biasiswa masing-masing untuk adik-adik di kampung.

“Pernah abang saya cerita, dia sanggup ikat perut semata-mata untuk hantar duit ke kampung,” imbas Mohd. Yazid sambil memberitahu bapanya telah meninggal dunia pada tahun 2000 akibat penyakit yang dihidapi .

Solat Berjemaah

Sepanjang ingatan Mohd. Yazid, semasa bapanya masih hidup dan sihat, dia tidak pernah bertanya tentang pencapaian anak-anak di sekolah kerana bapanya lebih mengutamakan solat berjemaah di masjid.

“Arwah ayah selalu pesan, ‘tidak guna belajar tinggi dan pangkat tinggi tapi solat jemaah tidak dijaga. Arwah ayah memang sangat menekankan pendidikan agama dan praktikalnya.

“Justeru, walaupun kami masa masih bersekolah dan sangat sibuk dengan mencari duit tapi kami tetap ke masjid solat jemaah. Kami cuma dapat belajar ketika di sekolah sahaja kerana di rumah kami sibuk dengan kerja dan mengasuh adik-adik yang masih bayi. Namun, syukur semuanya kini cemerlang dalam pelajaran.

“Apa pun saya tidak pernah lupa pesanan emak. Katanya, bagi mendapat keluarga yang bahagia di dunia dan akhirat berilah penekanan pada pendidikan agama terutamanya solat. Anak-anak lelaki mesti dibiasakan dengan solat jemaah,” katanya mengakhiri bicara.

Sumber: Utusan Malaysia

*****

Kutip Sisa Epal Untuk Dimakan

Masa saya kecil dulu, saya sangat jarang dapat makan makanan yang sedap dan mewah. Antara makanan yang saya anggap sedap ialah epal. Tapi sangat susah untuk dapatkan buah epal, kalau mak beli sebulan sekali pun kira bertuah.

Saya sangat cemburu melihat rakan-rakan yang selalu makan epal. Nak minta dengan mereka, terbit rasa malu. Tambahan lagi kalau mak tahu mesti dia marah apabila saya meminta-minta dengan kawan.

Saya sangat sukakan epal sampai sanggup makan sisanya.

Saya sangat sukakan epal sampai sanggup makan sisanya.

Jadi saya sanggup tunggu mereka sampai habis dan apabila sisa epal dibuang, barulah saya senyap-senyap kutip dan makan sisa tersebut! Biasalah, waktu tu masih kecil yang tidak tahu fikir mana baik dan buruk. Dapat makan sisa pun satu kepuasan yang besar.

Sampai sekarang saya sangat suka buah epal. Saya selalu beli dan makan bersama anak sulung saya Bashir sambil bercerita mengenai kisah saya dahulu terpaksa kutip sisa epal untuk dimakan. Walaupun sekarang hidup saya senang, tapi saya tak akan lupa asal usul saya.

Maafkan Abah Tak Pandai Azan


Maafkan Abah Tak Pandai Azan, Hari yang cukup meletihkan. Menyakitkan. Memeritkan. Empat jam penuh debaran dan bergelut dengan nyawa akhirnya disudahkan dengan tangisan.

Tangisan seorang bayi lelaki. Tangisan kegembiraan diri sendiri juga. Suami di sisi juga mengalirkan air mata. Anak sulung kami.

Ajaib. Terasa hilang seketika seluruh kesakitan melahirkan tadi tatkala melihat bayi lelaki yang masih kemerahan kulit badannya di depan mataku sendiri.

Maafkan abah kerana abah tak reti nak azan.

Bayi yang baru lahir di ibaratkan kain putih tanpa sebarang dosa.

Alhamdulillah. Syukur yang tak terhingga. Jururawat membawa anak sulungku itu ke sisiku.
Ku kucup pipinya yang comel. Bayi yang tengah menangis tadi mereda tangisannya. Mungkin mengenali aku ini ibunya.

“Mama dan abah tunggu kamu sembilan bulan, tau.”
Bergenang air mataku sekali lagi mengingatkan peritnya dan besarnya dugaan selama mengandungkan anak pertama. Dengan pelbagai ragam diri sendiri, asyik nak muntah, cepat sensitif, cepat nangis, cepat marah, asyik nak pitam pening kepala. Tuhan sajalah yang tahu. Nasib baik dapat suami yang memahami.

Kami bernikah tahun lepas. Terus bunting pelamin. Suamiku orang biasa saja. Bukan ‘suamiku ustaz’ bagai tu semua. Taklah kaya. Cukuplah apa adanya. Cukup ada rumah sewa untuk didiami, cukup makan pakai sekadarnya.

Aku pun biasa-biasa. Macam orang keramaian saja. Tudung pun tak betul lagi. Suamiku kata, ‘nanti awak dah ready, pakailah betul-betul.’ Dia sendiri pun masih dengan seluar pendeknya bila keluar dari rumah. Aku pernah tegur. Dia kata, dia pun tak ready lagi. Sama macam aku tak ready.

Jururawat dah selesai mencuci bersih anak kami, berbungkus selimut. Dah wangi-wangi. Menyerahkannya kepada kami.

Doktor pun sudah menyelesaikan tugasnya, cuci luka dan sebagainya yang berkaitan. Aku dipindahkan ke katil dan wad lain yang telah siap disediakan.

Mertuaku dan ayah mak dah ada di sisi. Semua orang ada. Dengan muka gembira. Yang tua, happy dapat timang cucu. Aku dan suami happy dengan orang baru dalam keluarga kami. Dipeluk cium bayiku yang comel tu.

“Azankanlah di telinga budak tu.”

Ibuku bersuara. Diserahkan bayi dalam dakapannya tadi kepada suamiku.
Suamiku menyambutnya dengan cermat.

“Kena azan ke?” Suami bertanya. “Wajib eh?”
Doktor lelaki yang ada di situ mencelah.

“Ustaz Zahazan kata, apabila anak itu lahir, maka hendaklah diazankan pada telinga kanan bayi dan diiqamatkan pada telinga kirinya seperti hadis diriwayatkan al-Baihaqi dalam kitab asy-Syu’ab daripada hadis Hasan bin Ali RA daripada Nabi SAW bersabda yang bermaksud:

“Sesiapa yang dianugerahkan seorang bayi, lalu dia mengumandangkan azan di telinga kanannya dan iqamat di telinga kirinya, maka bayi itu akan dijauhkan daripada Ummu Syibyan.”

Menurut sebahagian ulama, Ummu Syibyan adalah jin perempuan. Ada yang mengatakan apa saja yang menakutkan anak dan ada yang mengatakan angin yang menyebabkan sakit.”
Suamiku terdiam seketika.

Maafkan abah kerana abah tak reti nak azan.

Maafkan abah kerana abah tak reti nak azan.

Dalam 10 minit dia diam. Ibu bapaku dah rasa pelik. Dah kenapa pula dengan menantunya itu.

Tiba-tiba suamiku itu menangis. Menitiskan air matanya. Jatuh menitik ke muka anak kami.

“Maafkan abah. Abah tak pandai nak azan. Sungguh, abah tak reti.”
Aku sebak. Ibu bapaku terkejut sedikit. Namun, tenang saja. Mentuaku nampak seakan dah tahu.

“Abah tak jujur pada mama kamu. Bila masuk waktu solat, abah kata nak pergi masjid. Tapi, sebenarnya abah tak pergi pun.

Abah keluar lepak dengan kawan-kawan. Abah tak pernah jadi imam di rumah untuk mama kamu. Apatah lagi mengajar mama Al-Quran. Abah tak reti. Maafkan abah. Maafkan abah.”

Suamiku itu terus menangis sambil mendakap anak lelaki sulungnya itu. Anak itu tidak pula menangis. Seakan-akan memahami ayahnya sedih.

“Maafkan saya, ma, abah. Maafkan saya.”

Suamiku itu meminta maaf dengan parentsku dan mentuaku. Aku turut menitiskan air mata. Selama ini, suamiku itu tak pernah macam hari ni.

“Takpe. Biar ayah saja azankan. Tapi, janji dengan ayah dan mak, lepas ni kamu berdua kena sama-sama pergi belajar agama. Kamu suami adalah pemimpin keluarga.

Baiki diri. Jangan selesa dengan perangai zaman bujang. Dah tak sama dengan zaman berkeluarga. Dekatkan diri dengan Allah. Kamu yang akan bawa anak dan isteri kamu kepada Syurga Allah.

Kita keturunan Nabi Adam dan Hawa yang berasal dari Syurga. Kampung asal kita di sana. Kita tak nak balik ke kampung yang satu lagi tu.”

Suamiku bangun dan memeluk ayahku, memeluk ayahnya. Berjanji akan berubah sepenuh hati. Menangis-nangis menyesal dan insaf.

Syukur. Anak yang baru lahir itu adalah pencetus hidayah Allah kepada suami dan aku sendiri.

Aku tersenyum dalam tangisan. Moga semua lelaki di dunia ini persiapkan diri dengan agama sebelum berkeluarga. Jangan diharap pada si isteri yang kena merubah suami.

Mohon sayangi isteri dan suami masing-masing walaupun tidak sempurna sikapnya, soleh atau solehahnya. Allah dah satukan kamu berdua kerana Dia tahu pilihan-Nya terbaik. Sama-sama berubah ke arah lebih baik.

**
Kisah benar ini diceritakan oleh kawan penulis Muhammad Rusydi. Moga Allah reda.

Petua Untuk Istiqamah Ke Masjid


Petua Untuk Istiqamah Ke Masjid, Singgah di masjid, tengok ada seorang abang yang selalu saja ada di masjid pada lima-lima waktu solat. Asyik muka dia saja. Hairan. Lalu aku mendekatinya.

Petua Untuk Istiqamah Ke Masjid, Singgah di masjid, tengok ada seorang abang yang selalu saja ada di masjid pada lima-lima waktu solat. Asyik muka dia saja. Hairan. Lalu aku mendekatinya.

Alangkah bagusnya andaikata kita dapat istiqamah solat di masjid.

Tanya apa petuanya sampai dapat istiqamah ke masjid untuk solat berjemaah tu?

“Mula-mula latih diri, dalam sehari, pergi ke masjid sekali. Sebulan abang buat macam tu. Sehari, pergi sekali.

Bulan kedua, tambah satu kali lagi. Dua waktu sehari pergi masjid. Dua bulan abang ambil masa. 
Bulan keempat, tambah lagi satu. Jadi, tiga waktu. Tiga bulan latih diri istiqamahkan 3 waktu sehari. 
Bulan ketujuh, tambah lagi satu. Yang ni, lama sikit masa ambil. Memang lama. Bermacam-macam dugaan ditempuhi. Dugaan paling besar adalah malas. Dugaan tayar pancit, demam, kerja banyak tu semua dugaan kecil. 
Tahun yang kedua, baru dapat cuba 5 waktu dan abang cuba istiqamahkan sampailah sekarang. Masih mencuba sedaya upaya lawan nafsu. Nak pupuk dan didik diri, inilah perkara paling menyeronokkan dalam sehari-hari. Lebih seronok dari pergi melancong. ‘Melancong’ ke masjid 5 kali sehari. Indah. 
Perjuangan ni akan berlangsung seumur hidup. Biarlah dalam hidup ni banyak duka lara sekalipun, tapi bila pergi ke masjid hati rasa terubat, hati gembira. Hidup ni tak lama. Kalau abang tak mampu buat yang lima di masjid ni, entahlah abang nak balik ke akhirat sana dengan berbekalkan apa.”

Aku tengok wajahnya. Cerah. Sejuk mata dan hati. Mungkin berkat dari ketabahan dan kerajinannya ke masjid. Dari malas menjadi ikhlas.

Indahnya bila nur telah melimpah di hati.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Rujukan