Cari Artikel

Sunday, April 17, 2016

PRN Sarawak: Peguam PAS siap sedia bantu jentera pilihanraya


Jabatan Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (JUHAM) PAS kini dalam persiapan membantu jentera kempen parti itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-11.

Setiausaha PAS Sarawak, Mukhtar Suhaili berkata, bantuan akan bertumpu kepada aspek undang-undang memantau perjalanan pilihan raya, terutama pada hari penamaan calon dan hari mengundi serta nasihat perundangan.

“Mesyuarat penyelarasan antara barisan peguam PAS bersama Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat telah diadakan bagi membincangkan gerak kerja dan penyusunan tugas.

“Ketua Pengarah Pilihan Raya, Datuk Mustafa Ali telah memberi taklimat berhubung persiapan itu. Pengarah JUHAM, Wan Rohimi Wan Daud pula membincangkan koordinasi tugasan dan isu berkaitan tugasan peguam,” katanya dalam satu kenyataan.

Kata AJK PAS Pusat itu lagi, mobilisasi peguam-peguam PAS akan dibuat secara berperingkat bermula pada hari penamaan calon di 11 DUN tersebut.

PAS adalah parti pertama yang mengemukakan senarai lengkap calon di 11 DUN yang akan ditandinginya, iaitu DUN Pantai Damai (N4), Samariang (N7), Muara Tuang (N16), Sadong Jaya (N24), Sebuyau (N27), Beting Maro (N29), Kakus (N60), Jepak (N67), Samalaju (N70), Lambir (N72) dan Pujut (N74).

Pada 14 April lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh 25 April sebagai hari penamaan calon, dan 5 Mei sebagai hari mengundi.

PRN Sarawak: Peguam PAS siap sedia bantu jentera pilihanraya
Bantuan akan bertumpu kepada aspek undang-undang memantau perjalanan pilihanraya, terutama pada hari penamaan calon dan hari mengundi serta nasihat perundangan.

Ulat parkir `naik minyak’ di KL


Bayar atau cermin kereta pecah!

Itu ugutan ‘ulat parkir’ yang menjadikan pemilik kereta sebagai mangsa di beberapa kawasan di ibu kota terutamanya apabila tempat letak kereta adalah terhad.

Kalangan pekerja pejabat di sini menceritakan pengalaman menakutkan berhadapan dengan `ulat parkir’ yang dulunya hanya meminta beberapa ringgit untuk `menjaga’ kereta anda. Kini mereka berani memeras ugut.

Seorang pegawai pentadbiran berumur 29 tahun menceritakan kejadian menakutkan dialaminya baru-baru ini semasa dia meletakkan keretanya di Jalan Maharajalela, tempat dia bekerja dengan sebuah agensi kerajaan.

“Seorang remaja lelaki yang kurus dan tinggi meminta RM20 daripada saya,” kata Wong Siow Mei.

“Saya tanya dia kenapa saya perlu bayar kepadanya. Dia menunjukkan dengan jarinya ke arah dua buah kereta, sebuah daripadanya cermin pecah dan sebuah lagi empat tayar dibocorkan. Saya terus bayar.” Katanya.

Itulah kali terakhir Wong meletakan kereta Myvinya di situ. Dia kini meletakkan keretanya kira-kira satu kilometer dari pejabatnya.

Wong berkata, dia masih tidak dapat melupakan dan pulih daripada trauma pengalaman buruk itu.

“Saya masih nampak beberapa `ulat parkir’ di kawasan itu, dan berasa takut. Saya akan menjauhkan diri daripada mereka,” ujarnya.

Tinjauan Bernama mendapati, antara kawasan yang menjadi tumpuan ‘ulat parkir’ ialah pusat beli-belah Bangsar, Dataran Merdeka dan Kampung Baru.

Kebanyakan ‘ulat parkir’ berumur bawah 30 tahun dan dikatakan turut termasuk warga asing.

Sesetengah mereka ini malah, turut meminta bayaran daripada orang ramai yang meletakkan kenderaan di tempat letak kereta milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Pegawai Undang-undang Siti Nor Haryani Mat Noor, 27, berkata, cermin kereta Vivanya pernah dipecah pada satu malam di Sentul kerana dia tidak membayar kepada mereka.

“Saya melihat ada beberapa lelaki muda sedang meminta sesuatu daripada seorang lelaki. Saya meletakkan kereta saya di sisi jalan dan segera beredar dengan berjalan kaki ke rumah saya berdekatan,” katanya.

“Namun pada keesokkan harinya, saya dapati cermin depan kereta saya dipecahkan. Smart Tag saya juga telah diambil. Cermin dua lagi kereta di hadapan kereta saya turut dipecahkan,” katanya.

Pesara syarikat swasta Mohd Baharudin Ismail, 61, berkata anak perempuannya pernah mengalami trauma ketika meletakkan keretanya di kawasan sunyi di belakang barisan kedai di Bangsar.

“Mereka (ulat parkir) mengugut untuk mencalarkan kereta anak saya jika tidak membayar RM50. Bimbang dengan keselamatan dirinya, dia bayar sahaja,” katanya.

Pengurus restoran Muhammad Izzat Izudin, 41, berkata beliau pernah mendapat aduan daripada pelanggannya yang dikenakan bayaran oleh ulat parkir di hadapan premis makanan itu di Wangsa Maju.

Ada juga pelanggan yang mengadu kepadanya yang kereta mereka dicalarkan dan tayar dibocorkan kerana tidak membayar kepada ulat parkir.

“Saya perhatikan ulat-ulat parkir ini berkeliaran menunggu mangsa mereka… sesetengah mereka dalam lingkungan awal 20-an tetapi kebanyakannya remaja,” katanya.

“Daripada cara mereka, mereka seperti mengikut arahan. Saya fikir ada seseorang atau kumpulan yang mengawal mereka,” ujarnya.

Ulat parkir `naik minyak’ di KL
Mereka akan bertindak memecah cermin atau membocorkan tayar kereta jika mangsa tidak membayar kepadanya.

Banduan mati ditikam di dalam penjara


Seorang banduan lelaki maut ditikam oleh dua banduan lain dalam satu pergaduhan melibatkan dua kumpulan di Penjara Sungai Buloh di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superitendan Mohd Rozi Jidin berkata, siasatan awal mendapati, mangsa berusia 20 tahun itu maut ditikam suspek menggunakan senjata tajam di bahagian belakang badan dalam kejadian pada 12.30 tengah hari.

“Mangsa dimasukkan ke penjara itu atas kesalahan kes culik,” katanya dalam satu kenyataan.
Mohd Rozi berkata, proses bedah siasat terhadap mangsa akan dilakukan hari ini.

Banduan mati ditikam di dalam penjara
Mangsa yang berusia 20 tahun itu maut ditikam suspek menggunakan senjata tajam di bahagian belakang badan.

1MDB: Rafizi buru Jho Low


Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli, akan mula memburu individu-individu yang bertanggungjawab terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menurutnya, gerakan memburu individu terlibat akan dibuat menerusi kempen #1MDBWanted, dimana jutawan, Low Taek Jho antara individu pertama akan disenarai berdasarkan laporan yang dikeluarkan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

“Esok Isnin 18 April, saya akan mulakan kempen #1MDBWanted dengan laporan terhadap Jho Low. Setiap minggu ita tumpu kepada individu berbeza berdasarkan penemuan di dalam Laporan PAC mengenai 1MDB.

“Laporan polis terhadap Jho Low akan dibuat di Balai Polis Dang Wangi pada jam 11.30 pagi,” katanya menerusi kenyatan hari ini.

 Rafizi yang juga Naib Presiden PKR, menyeru pimpinan Pakatan Harapan, serta aktivis pro pembangkang untuk turut serta membuat laporan polis terhadap individu yang terlibat, kerana padanya hanya dengan cara itu sahaja dapat mengheret mereka memberi penjelasan berhubung penglibatan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam skandal 1MDB.

“Saya minta jasa baik mereka yang membuat laporan #1MDBWanted menghantar maklumat laporan (seperti nombor laporan dan lain-lain) kepada saya di pautan yang saya akan umumkan esok.

“Hanya tekanan rakyat yang akan menggoncang mereka yang terlibat di dalam 1MDB untuk tampil memberi kenyataan mengenai penglibatan Datuk Seri Najib Tun Razak di dalam skandal ini,” katanya.

Sebelum ini, Rafizi mengugut akan mengeluarkan Senarai Rakyat Dikehendaki yang mengandungi nama-nama individu ada kaitan dengan 1MDB.

Menurutnya, senarai itu akan disiarkan, jika mereka yang melindungi individu bertanggungjawab terhadap hutang 1MDB tidak tampil dan mendedahkan maklumat yang boleh membuktikan salah laku “orang-orang atasan”.

Beliau kemudiannya menamakan jutawan, Low Taek Jho; Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy; bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan Pengarah Eksekutif Pembangunan Perniagaan, Casey Tang sebagai orang yang diburunya.

1MDB: Rafizi buru Jho Low
Laporan polis itu akan dibuat terhadap individu yang terlibat dengan skandal 1MDB, berdasarkan laporan yang dikeluarkan PAC.

Curi Nescafe untuk anak di universiti


Seorang ibu dan anak perempuannya yang belajar di sebuah universiti awam di Shah Alam, Selangor ditangkap kerana dikatakan mencuri 17 paket Nescafe di sebuah pasar raya besar dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superiten Ng Kong Soon berkata, kedua-duanya yang berumur 56 dan 22 tahun mengaku bersalah melakukan perbuatan itu di Pasaraya Giant kira-kira 1.45 tengah hari.

“Kedua-duanya dalam perjalanan dari Sg Jawi, Pulau Pinang menghala ke rumah anggota keluarga mereka di Lumut dan singgah di pasar raya berkenaan.

“Si ibu mengaku melakukan jenayah tersebut kerana tidak mempunyai wang yang mencukupi untuk menampung belanja harian anaknya di universiti tersebut,” katanya yang dipetik dari Bernama.

Ng berkata, penyelia pasar raya tersebut pada mulanya mendapati 17 paket Nescafe hilang daripada rak jualan semasa dia membuat semakan barangan.

“Berdasarkan kamera litar tertutup di premis tersebut didapati barangan itu dicuri oleh dua wanita dengan mengepit bungkusan berkenaan di ketiak mereka, menyoroknya di dalam tudung dan dalam beg tangan mereka.

“Kedua-dua suspek dapat dikesan dan dihubungi berdasarkan nombor pendaftaran kenderaan mereka,” katanya dan menambah anak beranak itu kini direman.

Curi Nescafe untuk anak di universiti
Barangan itu dicuri dengan cara mengepit bungkusan di ketiak dan menyorokannya di dalam tudung serta dalam beg tangan mereka.

Henti keluar kenyataan kes banglo Guan Eng – SPRM


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menasihati semua pihak agar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung isu pembelian banglo oleh Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.

Dalam satu kenyataan di sini hari ini, SPRM berkata ini adalah kerana kenyataan-kenyataan itu boleh mengelirukan orang ramai kerana proses siasatan masih berjalan.

“Perlu diingatkan bahawa setiap siasatan kes rasuah mempunyai perbezaan melibatkan pengumpulan bukti, pengesahan dokumen serta mengambil keterangan saksi yang menyebabkan tempoh siasatan terbabit turut berbeza-beza,” katanya yang dipetik dari Bernama.

SPRM berkata demikian mengulas dakwaan segelintir pihak bahawa SPRM tidak tegas dan melengah-lengahkan siasatan berkaitan isu banglo itu.

Dalam pada itu, SPRM sekali lagi menegaskan bahawa kes banglo tersebut mahupun kes penyelewengan dana kerajaan oleh pegawai Kementerian Belia dan Sukan langsung tiada kaitan dengan pegawai SPRM yang dijatuhkan hukuman berhubung rasuah oleh mahkamah baru-baru ini.

Justeru, SPRM meminta semua pihak agar tidak membuat spekulasi dan mempolitikkan kes yang melibatkan pegawai SPRM tersebut.

Pembelian banglo di Pulau Pinang oleh Lim dengan harga RM2.8 juta mencetuskan kontroversi apabila Anggota Parlimen Tasek Gelugor Datuk Shabudin Yahaya membangkitkannya pada persidangan Dewan Rakyat, dan mendakwa harga itu adalah di bawah nilai pasaran.

Henti keluar kenyataan kes banglo Guan Eng – SPRM

Empat lagi memeluk Islam pada ceramah Dr Zakir


Selepas seorang gadis bukan Islam memeluk Islam pada ceramah pendakwah terkenal dari India Dr Zakir Naik di Kemaman Khamis lepas, empat lagi mengucapkan dua kalimah syahadah pada ceramah ilmuan Islam itu di Stadium Hoki Bukit Jalil di sini malam tadi.

Seorang daripada mereka ialah Hurender Bal Singh, 23, dari India yang membuat keputusan itu selepas berpuas hati dengan penjelasan diberikan Dr Zakir berhubung bukan Islam memeluk agama Islam untuk berkahwin.

Sebelum membimbing lelaki itu mengucapkan dua kalimah syahadah, Dr Zakir berulang kali bertanyakan kepadanya jika ada sesiapa yang memaksanya memeluk agama Islam.

“Tidak, tiada siapa yang paksa saya. Saya percaya kepada Allah dan Nabi Muhammad ialah pesuruh Allah dan saya dengan rela hati mahu menjadi seorang Muslim,” kata lelaki Punjabi itu dalam sesi soal-jawab pada ceramah yang dihadiri lebih 30,000 orang.

Sejurus selepas Hurender Bal Singh mengucapkan dua kalimah syahadah, seorang wanita yang memakai jubah dan skaf hitam, tanpa menyatakan nama dan dari mana, telah menyatakan keinginannya untuk memeluk agama Islam.

Dr Zakir kemudian bertanya kepada wanita itu sekiranya beliau percayakan Allah dan Nai Muhammad sebagai pesuruh Allah, dan dijawab wanita itu ‘ya’ dan terus membimbingnya mengucapkan dua kalimah syahadah dengan disusuli sorakan pengunjung sebagai memberi semangat dan ada antara mereka dilihat menitiskan air mata.

Selepas bertanyakan beberapa soalan, seorang lagi wanita yang mahu dikenali sebagai Muchelle mengumumkan ingin mengucapkan dua kalimah syahadah dan dibimbing oleh pendakwah itu untuk berbuat demikian.

Seorang lelaki dari Sarawak, Joel anak Along, 26, berasal dari Miri yang menyatakan telah mempelajari tentang agama Islam sejak beberapa tahun lepas turut memutuskan untuk memeluk Islam selepas bertanyakan kepada Dr Zakir tentang hikmah syahadah.

Khamis lepas, Wu Nina Grace, 19, memeluk Islam dengan mengucapkan dua kalimah syahadah pada ceramah Dr Zakir dengan disaksikan hampir 40,000 orang di Padang Astaka, Kemaman, Terengganu.
Dr Zakir sedang dalam rangka mengadakan syarahan di seluruh negara yang telah menarik kedatangan ribuan orang untuk mendengar ceramahnya.

Beliau dijadual mengadakan syarahan di Melaka esok.

– BERNAMA

Empat lagi memeluk Islam pada ceramah Dr Zakir

Maut terkena renjatan ketika buat panggilan telefon


Isteri seorang anggota polis maut selepas terkena renjatan elektrik semasa membuat panggilan telefon bimbit yang sedang dicas di kediamannnya di Taman Desa Baiduri, Cheras.

Wanita itu Suhana Mohamad, 30, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital susulan insiden pada 11.30 malam pada Jumaat lepas.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Superitendan Abdul Ghani Mohamad Ji berkata suami wanita itu yang bertugas di Bukit Aman terus membawa isterinya ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia di sini untuk rawatan.

“Mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital itu dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Abdul Ghani berkata, jenazah wanita itu dibawa pulang ke kampung halamannya di Gua Musang, Kelantan petang semalam dan akan dikebumikan pada pagi ini.

Mangsa meninggalkan seorang anak lelaki berumur lima tahun dan seorang anak perempuan berumur dua tahun.

-BERNAMA

Maut terkena renjatan ketika buat panggilan telefon

Bank of Johor perlu fokus kepada pertanian, industri kecil sederhana


DAP Johor berharap cadangan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar yang mahu membentuk Bank of Johor di negeri jajahannya akan turut memberi fokus dalam membantu industri kecil dan sederhana serta pertanian untuk berubah.

Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong berkata, terdapat keperluan mendesak untuk membantu industri dan sektor pertanian untuk bergerak dan bersaing dengan harapan rakyat di Johor tidak perlu berhijrah ke negeri lain untuk mendapatkan pekerjaan.

Menurutnya, ia juga mampu mengelak kebergantungan kepada tenaga kerja asing di Johor selain menamatkan kitaran gaji rendah.

Beliau mendakwa, bank perdagangan tidak memberi tumpuan untuk mengembangkan industri berkenaan kerana terlalu memanjakan sektor hartanah serta hanya memberi pinjaman kenderaan atau pinjaman kepada syarikat-syarikat berskala besar sahaja.

 “Kita menjangkakan Bank of Johor ini mampu membantu dan mengubah negeri ini menjadi sebuah negeri yang hebat untuk pertanian dan industri kecil dan sederhana agar ia berkembang maju.
“Bank ini juga harus mengurangkan fokus kepada pinjaman hartanah atau harta,” katanya menerusi kenyataan.

DAP menyeru Kerajaan Negeri untuk berunding secara meluas dan meneroka kemungkinan inisiatif untuk menubuhkan bank itu agar dapat membantu potensi pertumbuhan di Johor dalam jangka masa panjang.

Sultan Ibrahim ketika merasmikan pembukaan penggal Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri Johor ke-13 yang lalu, mencadangakan agar kerajaan negeri menubuhkan bank sendiri atau `Bank of Johor’.

Ia bagi memudahkan rakyat negeri itu membuat pinjaman perumahan ekoran masih ramai yang tidak dapat memiliki rumah walaupun kerajaan Negeri dan Persekutuan membina banyak rumah mampu milik untuk rakyat berpendapatan rendah.

p/s: jangan dok mengajar Sultan. Baginda Sultan tahu apa yg baginda buat.

Bank of Johor perlu fokus kepada pertanian, industri kecil sederhana

Dua rakyat Malaysia hilang, percutian di Flores bertukar tragedi


JAKARTA: Percutian lima warga Malaysia di kawasan air terjun Cunca Wulang, daerah Mebeliling di wilayah Flores, bertukar tragedi apabila dua daripada mereka hilang selepas terjun ke dalam kolam air itu, semalam.

Duta Besar Malaysia di Indonesia, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim berkata, dua mangsa yang hilang itu dikenali sebagai Mohamad Azfar Tahir, 23, dari Kuala Lumpur dan Mohammad Ezzaq Azumi, 23, berasal dari Kelantan.

Mereka dipercayai datang ke Flores untuk bercuti.

Dalam kejadian 10.30 pagi itu, kedua-dua mangsa dikatakan hilang setelah terjun ke dalam kolam air terjun itu sebaik tiba di kawasan berkenaan.

Setelah melihat kejadian, seorang rakyat tempatan yang dipercayai pemandu pelancong, Wenseslaus Hendro Akung, 39, cuba menyelamatkan mereka tetapi beliau juga dilaporkan hilang sebaik terjun ke dalam kolam untuk membantu mangsa.

Tiga lagi rakan mangsa dari Malaysia yang melihat kejadian itu kemudian meminta bantuan orang awam dan menghubungi polis.

Zahrain berkata, kerja-kerja mencari dan menyelamat oleh pihak berkuasa tempatan dimulakan sejak pukul 3 petang dan terpaksa diberhentikan pada pukul 5 petang setelah cuaca gelap.

“Saya dimaklumkan kerja-kerja mencari dan menyelamat akan bersambung semula esok pagi (hari ini),” katanya.

– BERNAMA

Dua rakyat Malaysia hilang, percutian di Flores bertukar tragedi

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Rujukan