Cari Artikel

Wednesday, December 2, 2015

Terengganu terima tempias aktiviti bauksit di Pahang


Terengganu terima tempias aktiviti bauksit di Pahang
Tindakan syarikat yang beroperasi di Pahang menggunakan Pelabuhan Kemaman memberi kesan kepada aktiviti harian dan keselesaan penduduk setempat negeri itu yang turut berhadapan pencemaran alam sekitar yang teruk.

Kerajaan Terengganu dan penduduk setempat negeri itu kesal kerana terpaksa menerima tempias akibat aktiviti pengeluaran dan pengangkutan bauksit yang dilakukan di negeri Pahang.

Ini kerana tindakan syarikat yang beroperasi di Pahang menggunakan Pelabuhan Kemaman sekali gus memberi kesan kepada aktiviti harian dan keselesaan penduduk setempat.

Berikutan itu, kerajaan Terengganu digesa mengambil tindakan tegas untuk menghentikan pengeksportan bauksit yang menggunakan pelabuhan di negeri itu.

Anggota Dewan Undangan Negeri Kawasan (ADUN) Air Putih Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar berkata, walaupun rakyat maklum dengan dasar kerajaan negeri yang tidak membenarkan sebarang perlombongan bauksit di negeri ini, namun tindakan syarikat yang beroperasi di Pahang menggunakan Pelabuhan Kemaman, meresahkan mereka.

“Mereka sangat tertekan dengan pencemaran alam sekitar yang sangat teruk dan jalan raya yang rosak serta sangat berharap masalah ini dapat diselesaikan dengan segera.

“Kita sudah hantar surat kepada kerajaan negeri untuk hentikan pengeksportan bauksit di sini. Jadi, kita minta Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman untuk berbincang dengan rakan sejawatnya di Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob supaya permit pengeluaran bauksit di Kuantan itu tidak membabitkan kawasan kita.

“Di samping itu, kita juga berharap campur tangan kerajaan Pusat dalam isu ini kerana pengangkutan bauksit ke Kemaman membabitkan jalan Persekutuan. Kalau Pusat boleh mengasingkan laluan itu maka selesai lah masalah kita,” katanya kepada pemberita di luar Persidangan Dewan Undangan Negeri Ke-13, lapor Bernama.

Mengulas lanjut, Wan Abdul Hakim berkata saman yang dikeluarkan atas pelbagai kesalahan kepada pihak tidak bertanggungjawab itu juga tidak relevan kerana pihak terlibat tidak serik dan akan meneruskan aktiviti mereka apabila kelibat pihak berkuasa tidak lagi kelihatan.

Katanya, pihaknya menerima ratusan kes dan saman hasil operasi bersepadu yang disertai polis, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Majlis Perbandaran Kemaman (MPK), Pejabat Tanah dan Galian (PTG) serta Pejabat Daerah.

“Paling penting sekarang ini, penduduk perlu terus membantah tindakan tidak bertanggungjawab berkenaan bagi memastikan pihak berwajib memandang serius perkara tersebut.

“Penguatkuasaan tidak mampu menghalang mereka, sekalipun kita menyaman sehingga maksimum RM15,000, namun tidak menjadi masalah kepada mereka kerana saya difahamkan pendapatan mereka cukup tinggi dalam sehari.

“Saya dimaklumkan penduduk di sekitar Neram, Jabor dan Air Putih sedang mengumpul ribuan tandatangan untuk disampaikan kepada Menteri Besar supaya hentikan apa-apa permohonan bauksit di Terengganu ekoran pencemaran yang diakibatkan aktiviti itu,” katanya.


Isu SRC International: SPRM tunggu respon PM


Isu SRC International: SPRM tunggu respon PM
SPRM akui Najib sibuk tetapi berharap beliau segera memberi maklum balas dengan segera.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih‎ menunggu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak‎ untuk memberi respon mengenai syarikat SRC International Sdn Bhd dan dana politik sebanyak RM2.6 bilion.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Operasi), Datuk Seri Mohd Shukri Abdull berkata, SPRM berharap Perdana Menteri akan memberi respon secepat mungkin.

“Semuanya terserah kepada beliau memandangkan beliau agak sibuk pada masa ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis makan malam gala Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia di sini, malam tadi.

Pada 12 November lepas, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkata, ‎SPRM telah menghubungi Pejabat Perdana Menteri berhubung perkara itu, dan Najib bersetuju untuk kenyataan beliau dirakamkan.

Beliau berkata SPRM menunggu tarikh untuk menemubual Najib mengenai isu yang berkaitan dengan siasatan itu.

Najib pada hari yang sama, berkata beliau akan memberi kenyataan kepada SPRM ‎selepas Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali memberitahunya bahawa beliau perlu memberi kenyataan kepada SPRM berhubung isu berkaitan dana politik supaya siasatan dapat diselesaikan secepat mungkin.

Sebelum itu, Mohd Shukri mengesahkan SPRM telah merakamkan kenyataan daripada ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho‎ Low dan Pengarah SRC International Sdn Bhd Datuk Suboh Md Yassin di luar negara, pada Ahad lepas mengenai syarikat itu dan dana politik sebanyak RM2.6 bilion.

Katanya, kenyataan itu dirakamkan oleh pegawai SPRM, sambil menambah bahawa beliau belum membaca kenyataan yang dibuat oleh Jho Low dan Suboh.

Beliau, bagaimanapun tidak mendedahkan lebih lanjut mengenai kenyataan tersebut.

SRC International adalah anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), sehingga ia diletakkan di bawah Kementerian Kewangan pada 2012.

– Bernama


Beratus penumpang AirAsia terkandas di KLIA2


Beratus penumpang AirAsia terkandas di KLIA2
Ia berlaku apabila berbelas juruterbangnya tidak sihat akibat selsema

Beratus-ratus penumpang AirAsia terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) terkandas pada Selasa selepas berbelas juruterbangnya kurang sihat. Menurut laporan yang dipetik daripada Mstar Online,

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Bhd, Tan Sri Tony Fernandes mengesahkan sekurang-kurangnya 12 daripada mereka menghidap selsema.

Selain membabitkan laluan domestik, ia turut membabitkan penerbangan antarabangsa iaitu ke ke Lapangan Terbang Don Meuang di Bangkok, Thailand.

Keadaan itu menyebabkan kekecohan apabila penerbangan terpaksa dijadualkan semula.

Situasi yang berlaku turut menyebabkan penumpang terpaksa bermalam di terminal selepas usaha memindahkan mereka ke penerbangan lain berdepan dengan masalah yang sama.


RM4.97 bilion tertunggak, 607,842 gagal bayar PTPTN


RM4.97 bilion tertunggak, 607,842 gagal bayar PTPTN
Kegagalan bayaran balik pinjaman yang berleluasa dalam kalangan graduan bukan semata-mata berpunca daripada sikap culas mereka, tetapi daripada hakikat bahawa mereka tidak mampu membayarnya.

Sehingga 30 September tahun ini, jumlah keseluruhan bayaran balik pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) hanya RM6.71 bilion sahaja, atau 45.8 peratus, dari RM14.65 bilion yang harus diterima kerajaan.

Dari 1,792,919 jumlah peminjam keseluruhan, sejumlah 607,842 peminjam gagal membuat bayaran balik.

Jumlah tunggakan yang ditanggung kerajaan: RM4.97 bilion.

“Kegagalan bayaran balik pinjaman yang berleluasa dalam kalangan graduan bukan semata-mata berpunca daripada sikap culas mereka, tetapi daripada hakikat bahawa mereka tidak mampu membayarnya.

“Misalnya, jika seseorang graduan itu bergaji RM2,000 sebulan, kadar bayaran bulanan sebanyak RM200 pun sudah mencecah 10 peratus daripada pendapatan, dan ini belum mengambil kira komitmen lain seperti KWSP, sewa, hutang kenderaan, bil telefon dan sebagainya,” tegas Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari di Dewan Rakyat, pada petang Selasa.

Beliau menyarankan pemerintah supaya mengambil berat aras pendapatan permulaan siswazah, serta masalah pengangguran dan guna tenaga tidak penuh yang menggusarkan.

Kira-kira 161,000 orang dari 400,000 penganggur di negara ini merupakan siswazah.

Beliau mencadangkan Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia supaya beralih dari kaedah gadai janji (mortgage-type loan) ke kaedah bersyarat pendapatan (income-contingent repayment) supaya kadar bayaran balik diukur mengikut kemampuan dibawah skim yang mesra rakyat.

“Sistem ini adalah jauh lebih progresif kerana setiap graduan memulakan kerjaya dengan bidang, jawatan dan tangga gaji yang berbeza.

“Selain mengurangkan beban pembayaran balik, pendekatan ini juga akan mengurangkan tempoh bayaran balik sejajar dengan peningkatan pendapatan graduan,” katanya.


Persatuan pengguna bantah kenaikan mendadak tambang ERL


Persatuan pengguna bantah kenaikan mendadak tambang ERL
SPAD sepatutnya tidak membenarkan kenaikan mendadak itu yang akan mengurangkan minta orang ramai untuk menggunakan perkhidmatan awam.

Persatuan pengguna membidas Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) ekoran kenaikan tambang baharu berkuat kuasa 1 Januari 2016 dengan kenaikan RM20 bagi penjalanan sehala.

Setiausaha Agung Gabungan Persatuan Penguna-penguna Malaysia (FOMCA), Datuk Paul Selvaraj menyifatkan kenaikan itu sebagai melampau.

Katanya, kenaikan itu akan menambah lagi beban rakyat dan menghalang orang ramai menggunakan perkhidmatan ERL.

“Kenaikan ini sepatutnya dibuat secara beransur-ansur. Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) sepatutnya memantau perkara ini dengan lebih baik dan tidak membenarkan kenaikan mendadak,” katanya.

Presiden Persatuan Pengguna Pengangkutan Awam (4PAM), Ajit Johl berkata, ERL perlu mengkaji semula perkara itu kerana kenaikan baharu sehingga 55 peratus tidak masuk akal.

Katanya, kerajaan perlu menubuhkan Jawatankuasa Semakan Tarif yang dianggotai semua pihak berkepentingan untuk memastikan kenaikan tambang pengangkutan awam munasabah.

ERL mengumumkan kadar baharu perjalanan ke KLIA/KLIA2 dari KL Sentral dan sebaliknya kepada RM55 bagi perjalanan sehala, naik sebanyak RM20 berbanding RM35 sekarang.

ERL bagaimanapun menjelaskan kenaikan itu lebih rendah berbanding jika mengikut perjanjian asal konsesi iaitu RM64 pagi perjalanan sehala.

Kenaikan itu pertama kali berlaku sejak perkhidmatan ERL diperkenalkan 14 tahun lalu.


Tidak wajar Mat Sabu kaitkan Pas dengan IS – Penganalisis


Tidak wajar Mat Sabu kaitkan Pas dengan IS – Penganalisis
Mat Sabu harus lebih cermat dalam membuat kenyataan berhubung isu berkenaan bagi mengelak berlakunya salah faham.

Langkah Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu atau lebih dikenali Mat Sabu yang mengaitkan Pas dengan militan Negara Islam Iraq dan Syam (IS) disifatkan sebagai satu tuduhan tidak cermat dan tidak wajar.

Penganalisis politik tempatan dan antarabangsa, Dr Maszlee Malik berkata, contoh-contoh yang disebut oleh Mat Sabu tidak wajar dijadikan ukuran untuk memukul rata parti Islam itu dengan menyamakannya dengan IS.

“Perlu diakui bahawa walaupun aspirasi Pas untuk menubuhkan negara Islam yang melaksanakan hudud dan juga sikap fanatik ahli-ahli Pas kepada parti mereka lantas bersikap keras terhadap fikrah yang berlainan adalah mirip kepada pendekatan IS.

“Namun, Pas dengan jelas menolak perjuangan bersenjata di Malaysia dan juga memilih cara ‘muwajahah silmiyyah’ (penentangan secara aman) berdasarkan sistem demokrasi.

“Hal ini merupakan garis pemisah utama di antara Pas dengan IS. IS diketahui umum bahawa mereka menolak proses demokrasi malah mengkafirkan sistem demokrasi dan juga sesiapa yang terlibat dengannya. Ini bukanlah sikap Pas semenjak hari pertama ia ditubuhkan sehingga kini,” katanya dalam kenyataan yang disiar di laman portal Sinar Harian Online.

Mengulas lanjut, Dr Maszlee berkata,tidak dinafikan terdapat segelintir ahli-ahli Pas dan juga pemimpin parti itu yang bersimpati dengan IS atau mempunyai fikrah yang cenderung kepada ‘takfiri’ (mengkafirkan sesama Muslim) seperti IS, namun itu tidak boleh dijadikan ukuran.

Dalam pada itu, Dr Maszlee turut menegur Mat Sabu dan memberikan nasihat kepadanya agar lebih cermat dalam isu berkenaan.

Katanya, kenyataan pukul rata yang digunakannya itu tidak akan membantu usaha pihak berwajib dalam menangani isu IS.

“Bagi pihak Pas juga, mereka hendaklah bersikap lebih pro-aktif di dalam membantu kerajaan dan pihak keselamatan di dalam melakukan kempen anti-keganasan dan anti-IS sebagai sebahagian dari usaha mereka untuk menasihati kerajaan BN dan menjaga keamanan negara,” ujarnya.


Gabungan Ketua Cawangan gerak penyokong ke Ibu Pejabat UMNO


Gabungan Ketua Cawangan gerak penyokong ke Ibu Pejabat UMNO
Ia bagi memberi sokongan kepada sembilan ketua UMNO cawangan di Bahagian Teluk Kemang yang dipanggil Lembaga Disiplin UMNO

Gabungan Ketua Cawangan Malaysia (GKCM) meminta ahli UMNO yang sependirian dengannya supaya berkumpul di perkarangan Ibu Pejabat UMNO.

Seruan itu dibuat bagi menyuarakan sokongan kepada sembilan ketua UMNO cawangan di Bahagian Teluk Kemang yang dipanggil oleh Lembaga Disiplin UMNO.

Hebahan mengenainya dimuat naik di laman Facebooknya, meminta mereka yang bersimpati dan menyokong datang ke lokasi berkenaan pada jam 12.30 tengahari, pada Rabu.

Selain itu, mereka juga diminta memakai baju berwarna putih sebagai tanda simbolik.

“Jika anda berkelapangan jom sokong pemimpin kecil yg berjuang utk rakyat ini… ada pemimpin tinggi umno yg perlekehkan Ketua2 Cawangan spt yg kena hadap lembaga disiplin ni… tp pemimpin tinggi ni lupa siapa yg letakkan mereka di situ… ‪#‎BeraniKeranaBenar,” tulis pengendalinya.

“Buktikan umno bukan parti yang bertunjangkan duit…bangkit anak melayu jangan biarkan bangla menguasai negara kita,” tulis Abu Adli.

Mereka berdepan dengan tindakan itu susulan sidang media pada 24 Oktober lalu yang mendesak supaya Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak supaya meletak jawatan.

Selain sembilan ketua UMNO cawangan bahagian berkenaan, Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilapor turut dipanggil Lembaga Disiplin pada Rabu.


Jho Low, Suboh sudah beri keterangan pada SPRM


Jho Low, Suboh sudah beri keterangan pada SPRM
SPRM masih menunggu Najib untuk memberi respons supaya pihaknya dapat mengambil keterangan beliau secepat mungkin.

Ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low dan Pengarah SRC International Sdn Bhd, Datuk Suboh Md Yassin sudah memberi keterangan mengenai syarikat itu dan dana politik sebanyak RM2.6 bilion.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan rakaman kenyataan itu dilakukan pada Ahad lepas oleh pegawai SPRM.

Namun, Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Operasi), Datuk Seri Mohd Shukri Abdull menyatakan beliau belum membaca kenyataan yang dibuat oleh Jho Low dan Suboh.

Tanpa mendedahkan lebih lanjut mengenai kenyataan tersebut, Shukri juga ditanya tentang hasrat SPRM merakam kenyataan daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai isu itu.
“SPRM masih menunggu Najib untuk memberi respons terhadap perkara itu.

“Saya berharap Perdana Menteri akan memberi respons secepat mungkin tetapi semuanya terserah kepada beliau memandangkan beliau agak sibuk pada masa ini,” katanya, lapor Bernama.

Pada 12 Nov lepas, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkata SPRM telah menghubungi Pejabat Perdana Menteri berhubung perkara itu, dan Najib bersetuju untuk kenyataan beliau dirakamkan.

SPRM masih menunggu tarikh untuk menemubual Najib mengenai isu tersebut berkaitan dengan siasatan itu.

Pada hari yang sama juga, Najib telah memberi jaminan bahawa beliau akan memberi kenyataan kepada SPRM selepas Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali memberitahunya bahawa beliau perlu memberi kenyataan kepada SPRM berhubung isu berkaitan dana politik supaya siasatan dapat diselesaikan secepat mungkin.


Kenaikan tol PLUS belum muktamad


Kenaikan tol PLUS belum muktamad
Berdasarkan perjanjian dengan konsesi kenaikan kadar tol PLUS Highways hanya dibenarkan 10 peratus sahaja seperti mana diputuskan Perdana Menteri

Tidak ada sebarang kenaikan automatik kadar tol bagi Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) sebagaimana yang digembar-gemburkan sebelum ini.

Bagaimanapun, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof menerusi kenyataan berkata, sebuah jawatankuasa akan ditubuhkan sebelum akhir tahun ini bagi merundingkan semula kadar tol baharu.

Katanya, pihak yang terlibat dalam jawatankuasa itu terdiri daripada pemegang kepentingan utama seperti Kementerian Kerja Raya, Kementerian Kewangan (MOF), Unit Kerjasama Awam Swasta Pejabat Perdana Menteri, Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Peguam Negara, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan PLUS Highways Bhd.

Beliau berkata demikian susulan spekulasi dalam media baru-baru ini bahawa kadar tol bagi lebuh raya milik PLUS akan dinaikkan tahun depan.

Fadillah berkata, kerajaan pada 2013 telah memberi jaminan bahawa kadar tol antara bandar akan dikurangkan secara beransur-ansur menjelang 2018 dan mengulangi bahawa kerajaan berhasrat untuk memenuhi janjinya.

Beliau juga mengesahkan bahawa PLUS Highways Bhd, yang dimiliki 51 peratus oleh UEM Bhd, 100 peratus syarikat Khazanah Malaysia di bawah MOF dan 49 peratus oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah merundingkan semula perjanjian konsesi yang memperuntukkan kenaikan tol lima peratus bagi setiap tiga tahun.

“Perjanjian konsesi PLUS Highways dirundingkan semula berdasarkan perjanjian konsesi sebelum ini yang membenarkan kenaikan 10 peratus kadar tol setiap tiga tahun seperti diputuskan di bawah Perdana Menteri sebelumnya.

“Apabila PLUS Highways Bhd dimiliki sepenuhnya oleh UEM Berhad dan KWSP pada 2011, perjanjian ini dirundingkan semula dan kenaikan tol dikurangkan kepada lima peratus setiap tiga tahun,” katanya.

Fadillah berkata, kali terakhir kenaikan tol PLUS Lebuh Raya ialah pada 2005 dan sejak itu, kadar tol tidak dinaikkan walaupun perjanjian memperuntukkan kenaikan tol pada 2008 dan 2011.

“Kerajaan berjaya merundingkan semula dan telah memberi pampasan kepada PLUS Highways Bhd untuk memastikan kadar tol kekal sejak 10 tahun lalu,” katanya.


Apa jaminan UMNO menang jika Najib berundur?


Apa jaminan UMNO menang jika Najib berundur?
Kemelut yang berlaku dalam UMNO sekarang ini bukanlah disebabkan faktor kelemahan kepimpinan Najib sebaliknya kegagalan ahli menjawab serangan pembangkang.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Bung Mokhtar Radin berkata, apakah jaminan UMNO akan menang dalam PRU-14 sekiranya Datuk Seri Najib Razak meletak jawatan.

Beliau berkata demikian bagi menjawab kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa UMNO akan kalah pada pilihan raya nanti sekiranya terus mempertahankan Najib sebagai Perdana Menteri dan Presiden parti.

Katanya, kemelut yang berlaku dalam UMNO bukan disebab faktor kelemahan kepimpinan Najib, sebaliknya kelemahan ahli parti dalam menyelesaikan isu rakyat dan menjawab segala tuduham pembangkang.

“Apa jaminan UMNO akan menang dalam PRU-14 sekiranya Najib Razak berhenti jadi PM?

“Isunya bukan terletak kepada kelemahan Najib sendiri. Kesemua ahli UMNO perlu berubah dan mempertahankan apa jua bentuk serangan dan fitnah dari pembangkang dan cuba menyelesaikan isu-isu semasa dengan cepat,” katanya kepada FMT.

Jelas Ahli Parlimen Kinabatangan itu, beliau yakin bahawa rakyat masih setia kepada UMNO.
Namun, katanya, apa yang perlu dilakukan ialah kesemua pemimpin UMNO harus turun padang bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat.

Ditambah pula dengan kegagalan parti pembangkang membawa perubahan di negeri-negeri yang dimenangi mereka pada pilihan raya lepas.

“Kita telah melihat kegagalan parti pembangkang selama ini dan tidak ada apapun yang boleh dibanggakan di negeri-negeri mereka perintah.

“Dalam dua tahun ini adalah masa yang sesuai untuk UMNO menyusun strategi dan menyelesaikan kemelut yang berlaku,” katanya.


Ketua UMNO cawangan desak Najib sudah sedia dipecat


Ketua UMNO cawangan desak Najib sudah sedia dipecat
Mereka mempersoalkan mengapa jika akar umbi mengkritik pemimpin dianggap sebagai pengkhianat parti.

Ketua-Ketua UMNO cawangan yang mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak supaya berundur sudah bersedia dikenakan tindakan tegas oleh parti termasuk dipecat.

Ketua UMNO Cawangan Kampung Railway, Bahagian Puchong, Mohd Said Amidon berkata, ketua-ketua UMNO cawangan yang terlibat tidak gentar sekiranya Jawatankuasa Disiplin mengambil tindakan terhadap mereka.

Ini kerana, katanya, desakan itu bertujuan menyelamatkan UMNO bukannya berniat untuk merosakkan parti.

“Kita tidak faham kenapa apabila ahli akar umbi di bawah ini yang ingin menyelamatkan parti dikatakan cuba merosakkan parti.

“Apapun keputusannya nanti… kita tidak gentar dan sudah bersedia untuk dipecat keahlian kami,” katanya kepada FMT.

Said berkata demikian ketika diminta mengulas sembilan Ketua UMNO Cawangan Teluk Kemang akan diambil tindakan oleh Jawatankuasa Disiplin pada Rabu ini.

Mengulas lanjut, Said juga berkata, desakan terhadap Najib tetap akan diteruskan walaupun tindakan dikenakan terhadap mereka.

“Kita tahu tindakan yang diambil oleh Jawatankuasa Disiplin parti hanyalah satu usaha untuk mengalihkan perhatian orang ramai.

“Kita tetap dengan usaha supaya Najib berundur dan tidak akan mengalah,” tegasnya sambil menafikan ketua-ketua cawangan yang membuat desakan itu kerana kecewa kalah dalam pertandingan peringkat bahagian masing-masing.


Pengundi muda Lembah Pantai mahu ‘hukum’ Izzah


Pengundi muda Lembah Pantai mahu ‘hukum’ Izzah
Izzah digesa meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Lembah Pantai selepas bergambar dengan Puteri Sultan Sulu Jacel Kiram.

Gabungan pengundi muda Lembah Pantai mendesak Nurul Izzah Anwar melepaskan jawatannya sebagai wakil rakyat di kawasan itu selepas gambar kontroversinya dengan Puteri Sultan Sulu, Jacel Kiram pada 9 November lalu. 

Pengerusinya Mohd Nazri Abdul Rahman berkata, sekiranya Nurul Izzah meletakkan jawatan, pengundi muda di kawasan itu bersedia untuk ‘menghukumnya’ jika diadakan pilihan raya kecil

“Kami menyeru kepada Nurul Izzah dengan apa yang telah dibuat bersama dengan Jacel Kiram kalau dia berani, dia lepaskan jawatan wakil rakyat.

“Pengundi-pengundi muda di Lembah Pantai dah siap sedia untuk menghukum Nurul Izzah di Lembah Pantai. Jangan tunggu sampai lima tahun,” katanya pada sidang medianya di Apartment Abdullah Hukum pada Selasa.

Mohd Nazri turut mendakwa Naib Presiden PKR itu juga tidak melakukan apa-apa perkara yang berbakti kepada kawasan terbabit sejak menjadi Ahli Parlimen.

“Nurul Izzah di Lembah Pantai memang gagal jaga kebajikan di Lembah Pantai. Dia lebih tumpukan kepada kawasan di luar. Apa yang kita dapat di luar sana mengetahui Nurul Izzah ini seorang yang tidak berbakti kepada Lembah Pantai.

“Nurul Izzah ini lebih hebat atau dimomokkan dengan media sosial seperti facebook, twitter, instagram dan sebagainya.

Tetapi di Lembah Pantai bagi kami pengundi-pengundi muda ini, dia dalam seminggu memang tidak ada dalam Lembah Pantai,” dakwanya.

Tambahnya, pihaknya akan berterusan mendesak Ahli Parlimen Lembah Pantai itu melepaskan jawatannya dengan memasang kain rentang di sekitar kawasan terbabit. Katanya kira-kira 20 kain rentang akan dipasang agar Nurul Izzah meletakkan jawatannya.


Tambang ERL naik RM20 bermula 1 Januari 2016


Tambang ERL naik RM20 bermula 1 Januari 2016
Kenaikan pertama kali sejak perkhidmatan itu diperkenalkan 14 tahun lalu.

Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) mengumumkan kenaikan tambang sebanyak RM20 berkuatkuasa 1 Januari 2016 selepas mendapat kelulusan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat(SPAD). 

Kadar tambah baharu itu melibatkan perjalanan sehala dari Stesen KL Sentral ke KLIA/KLIA2 kepada RM55 berbanding RM35 ketika ini.

Ketua Pegawai Eksekutif ERL, Noormah Mohd Noor berkata, kadar baharu itu lebih rendah jika mengikut perjanjian konsesi iaitu kenaikan kepada RM64 bagi perjalanan sehala.

Katanya, ERL memahami kesukaran rakyat yang berdepan kos sara hidup yang tinggi. Sehubungan itu, pihaknya akan bekerjasama dengan rakan korporat untuk membantu meringankan beban pengguna susulan kenaikan itu.

“Kami akan terus mencari jalan untuk mengurangkan kesan kenaikan ini tanpa berkompromi dengan mutu perkhidmatan dan piawaian keselamatan, ” katanya menerusi kenyataan media.

Noormah berkata, antara usaha itu ialah mengadakan kerjasama dengan MasterCard untuk menawarkan potongan harga yang menarik. Sebagai contoh, katanya, penumpang yang menggunakan MasterCard hanya perlu membayar RM40 iaitu RM5 lebih mahal daripada harga lama RM35.

Katanya, potongan harga sehingga 20% bagi pengguna sesetengah kad kredit juga akan disediakan dan ERL sedang berbincang dengan bank-bank terlibat.

Bagi pengguna yang membeli tiket secara dalam talian, aplikasi di telefon bimbit dan kioks ERL akan menikmati diskaun 10% sama seperti pengguna yang menggunakan Kad Touch N Go.


PAC ‘lega’ 1MDB buat pelaburan dengan syarikat bereputasi


PAC ‘lega’ 1MDB buat pelaburan dengan syarikat bereputasi
Arul Kanda Kandasamy akan dipanggil sekali lagi pada 18 Disember blbagi menyambung semula prosiding.
Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) ‘lega’ kerana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menjalankan urusniaga dengan syarikat asing yang mempunyai reputasi. 

“Secara keseluruhannya, PAC lega 1MDB membuat urus niaga dan pelaburan luar negara dengan syarikat luar negara yang mempunyai reputasi,” katanya Pengerusi PAC, Datuk Hasan Arifin.

Beliau membuat kenyataan itu selepas selesai mendengar penjelasan Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1MDB,

Arul Kanda. Hasan bagaimanapun berkata, PAC akan memanggil semula Arul Kanda pada 18 Disember ini bagi menyambung semula prosiding.

Sementara itu, Arul Kanda telah menyatakan kesediaan beliau untuk memberi kerjasama sekali lagi kepada PAC bagi meneruskan prosiding.

1MDB: Arul akan dipanggil kali kedua oleh PAC


1MDB: Arul akan dipanggil kali kedua oleh PAC
Pelbagai soalan telah diajukan oleh PAC dan Arul Kanda telah memberi segala penjelasan yang diperlukan secara sebaiknya kepada badan itu namun tidak boleh mendedahkannya kepada umum.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Arul Kanda Kandasamy diumum akan dipanggil buat kali kedua untuk memberi penjelasan lanjut setelah baru sahaja selesai memberi keterangan pertamanya kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) pada Selasa.

Bagaimanapun tarikh baru untuk beliau beri penjelasan kedua kepada PAC masih belum diputuskan.

“Saya diminta datang kembali untuk memberi penjelasan lanjut. Saya akan guna peluang tersebut sebaiknya. Tarikh belum ditentukan, saya akan tunggu surat daripada urusetia PAC,” katanya kepada pemberita selepas selesai memberi penjelasan kepada PAC di Parlimen.

Katanya, pelbagai soalan telah diajukan oleh PAC dan dia telah memberi segala penjelasan yang diperlukan secara sebaiknya kepada badan itu namun tidak boleh mendedahkannya kepada umum.
Keterangan yang diberikan itu berhubung skandal yang berlaku dalam syarikat pelaburan tempatan, 1MDB.

“Rata-rata soalan itu membabitkan maklumat mengenai operasi kami dalam 1MDB sejak ia ditubuh hingga sekarang. Tetapi maklumat yang dikongsi dalam sesi siasatan tidak boleh dibincangkan.

“Apa yang penting ialah kerjasama penuh telah diberikan kepada PAC,” katanya.

Pengerusi PAC, Datuk Hasan Arifin turut menyampaikan rasa puas hati beliau terhadap penjelasan yang dikongsi oleh Arul kepada pihaknya pada Selasa.


TPPA: Jabatan Peguam Negara kemuka bantahan awal terhadap tiga NGO


TPPA: Jabatan Peguam Negara kemuka bantahan awal terhadap tiga NGO
Langkah memfailkan permohonan bantahan awal itu adalah dengan alasan mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar dan memutuskan permohonan berkaitan TPPA kerana ia melibatkan perjanjian antara negara.
Jabatan Peguam Negara pada Selasa mengemukakan bantahan awal terhadap permohonan kebenaran semakan kehakiman yang difailkan tiga badan bukan kerajaan (NGO) bagi menghalang kerajaan daripada menandatangani Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA). 

Bantahan dikemukakan Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan ketika kes itu disebut di dalam kamar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Asmabi Mohamad dengan dihadiri peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla, yang mewakili tiga NGO berkenaan.

Shamsul mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, serta kerajaan Malaysia. Dalam kes ini, Mohamed Haniff Khatri mewakili Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Mohamad Raimi Ab Rahim,

Presiden Urusetia Menangani Gejala Sosial (Unggas Malaysia) Nurfitri Amir Muhammad dan Naib Presiden Persatuan Pendidikan dan Kebajikan Melayu Malaysia (Teras) Ahmad Tarmizi Sulaiman.

Shamsul ketika ditemui pemberita berkata, pihaknya memfailkan permohonan bantahan awal itu dengan alasan mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar dan memutuskan permohonan berkaitan TPPA kerana ia melibatkan perjanjian antara negara.

“Ia tidak termasuk dalam bidang kuasa mahkamah untuk mendengar perkara berkaitan keputusan dasar mengenai perjanjian antarabangsa. “Mahkamah biasanya tidak mengganggu pemeteraian perjanjian oleh kerajaan,” kata Shamsul.

Beliau berkata mahkamah menetapkan 12 Januari tahun depan untuk mendengar permohonan bantahan awal itu.

Tiga wakil NGO itu yang memfailkan permohonan pada 4 November lepas, memohon mahkamah mengeluarkan perintah penggantungan terhadap ketiga-tiga responden daripada meneruskan proses menandatangani TPPA sehingga permohonan semakan kehakiman diputuskan oleh mahkamah.

NGO itu turut memohon deklarasi bahawa menandatangani TPPA adalah tindakan yang bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan boleh menggugat kedaulatan negara.

Selain Malaysia, negara-negara yang terlibat dalam rundingan TPPA ialah Amerika Syarikat, Australia, Brunei, Chile, Jepun, Kanada, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura dan Vietnam.

– Bernama

Kerajaan baharu Suu Kyi diharap iktiraf Rohingya


Kerajaan baharu Suu Kyi diharap iktiraf Rohingya
Ali Rustam mahu kerajaan baharu itu menepati resolusi Konvensyen DMDI Ke-16 di Jakarta (Indonesia) pada Oktober lepas yang mahukan Myanmar mengambil tanggungjawab ke atas etnik Rohingya.
Kerajaan baharu pimpinan aktivis politik, Aung San Suu Kyi diharap lebih bersifat terbuka, demokratik dan mengiktiraf etnik Rohingya bagi membolehkan mereka dapat hidup seperti rakyat biasa di Myanmar. 

Presiden Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) Senator Tan Sri Mohd Ali Rustam mahu kerajaan baharu itu menepati resolusi Konvensyen DMDI Ke-16 di Jakarta (Indonesia) pada Oktober lepas yang mahukan Myanmar mengambil tanggungjawab ke atas etnik Rohingya.

“Diharapkan agar parti NLD (National League for Democracy) di bawah kepimpinan Suu Kyi dapat mengiktiraf Rohingya sebagai sebahagian daripada rakyatnya dan jangan membiarkan mereka sebagai pelarian,” katanya, lapor Bernama.

Pada November lepas NLD pimpinan Suu Kyi memenangi pilihan raya Myanmar dan pada masa ini parti itu sedang mengadakan rundingan dengan kerajaan Myanmar sekarang untuk peralihan kuasa bagi membentuk kerajaan baharu.

Rakyat minoriti Myamar iaitu etnik Rohingya dibelenggu isu memperoleh hak asasi rakyat sehingga menyebabkan mereka lari mencari perlindungan keselamatan di negara-negara jiran di Asia Tenggara (Asean) yang lain.

Buktikan kami dipengaruhi fahaman ISIS – Pas


Buktikan kami dipengaruhi fahaman ISIS – Pas
Pas memecat ahlinya yang menyertai ISIS di Syria kerana percaya pertubuhan itu didalangi musuh-musuh Islam.

Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dicabar membuktikan dakwaan Pas telah diresapi pemikiran Kumpulan Militan Negara Islam Iraq dan Syria (ISIS).

Mohamad Sabu atau Mat Sabu membuat dakwaan itu kerana Pas dikata mengkafirkan orang Islam dari kumpulan yang berbeza dengan perjuangan parti itu.

Ketua Dewan Pemuda Pas, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, tuduhan mengatakan Pas menyeleweng telah mengiyakan dakwaan bahawa Amanah ditubuh atas dasar yang yang salah.

“Mat Sabu dan rakan-rakan Amanah menuduh Pas mirip ISIS. Buktikan siapa dan mana ahli Pas yang mengkafirkan (musuh), itu cerita zaman 80-an dia nak hidupkan balik. Dia tidak ada isu (serang Pas).

“Kafir itu telah lama hilang dalam Pas dan apabila budaya ini disebut kembali oleh Amanah membuktikan Amanah ini hidup dalam zaman 80-an. Dia guna hujah yang UMNO guna masa zaman 80-an, malah UMNO sendiri sudah tidak pakai tiba-tiba dia pakai,” katanya ketika ditemui FMT di Lobi Parlimen pada Selasa.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata, perjuangan Pas tidak pernah berubah dan mereka tetap dengan dasar parti yang telah ditetapkan sebelum ini.

Katanya, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sudah beberapa kali menegaskan bahawa bahayanya ISIS yang perlu dibanteras.

Pendapat sama diutarakan Naib Presiden Pas, Idris Ahmad.

Menurutnya, Pas menentang ISIS kerana percaya pertubuhan itu didalangi
musuh-musuh Islam.

“Pas menentang ISIS kerana kita anggap di belakangnya musuh-musuh Islam. Pas pecat mereka yang terlibat dalam peperangan di Syria,” katanya.

Terdahulu Mat Sabu mendedahkan di antara punca Amanah ditubuhkan kerana Pas sudah diresapi pemikiran ISIS.

Dia turut menuntut siasatan terperinci dibuat pasukan keselamatan negara ke atas penyusupan pemikiran ISIS yang menyebabkan suburnya budaya “takfiri” dalam Pas iaitu mengkafirkan kumpulan yang berbeza.


Graduan jangan suarakan pendapat di jalanan – Rosmah Mansor


Graduan jangan suarakan pendapat di jalanan – Rosmah Mansor
Graduan harus bertindak dengan lebih rasional dalam membuat pertimbangan

Negara memerlukan graduan yang bijak membuat pertimbangan dengan tidak menyuarakan pendapat dan ketidakpuashatian menerusi demonstrasi di jalanan.

Malah, mereka juga perlu menjadi individu yang memahami erti perpaduan serta mempunyai sifat toleransi yang tinggi.

Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berkata, disebabkan itu, ilmu pengetahuan sangat penting dan ia merupakan faktor yang dapat membezakan para graduan supaya bertindak lebih rasional dalam membuat pertimbangan.

“Anak-anak muda seperti graduan di hadapan saya ini (graduan PICOMS) merupakan kelompok penting yang bakal menjadi penggerak kepada segala usaha pihak kerajaan.

“Atas sebab itulah, ilmu adalah faktor yang membezakan kita. Tanpa ilmu, sudah tentu manusia akan hilang pertimbangan, seterusnya bertindak di luar kewajaran dan rasional,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Konvokesyen Ketiga Kolej Sains Perubatan Antarabangsa Pusrawi (PICOMS) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, pada Selasa.

Dalam pada itu, menurut Rosmah, hanya dengan ilmu pengetahuan, negara dapat melahirkan anak muda yang berupaya untuk memimpin seterusnya menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang dihormati dan disegani.

Justeru, beliau meminta PICOMS menyediakan landasan kepada para pelajar dan graduan dengan bukan hanya menjadikan institusi itu sebagai tempat untuk mengasuh minda anak-anak muda tetapi juga harus diselitkan dengan nilai-nilai murni ke arah penjanaan generasi yang berakhlak dan mempunyai keperibadian yang tinggi.

“Ini kerana, dalam negara menuju ke status negara maju, apa yang penting dalam pembangunan negara adalah pembangunan modal insan dan potensi diri.

“Oleh itu, anak muda generasi 1Malaysia mestilah berwawasan, berdaya saing, cekal, bekerja keras, kreatif, berakhlak mulia serta gigih berusaha mencungkil potensi dan mengembangkan keupayaan diri,” katanya.

– BERNAMA


SPRM tiada kuasa mulakan pendakwaan kes rasuah


SPRM tiada kuasa mulakan pendakwaan kes rasuah
Kerajaan tidak bercadang berbuat demikian kerana penyiasatan dan pendakwaan sesuatu kes dijalankan berlandaskan prinsip 'check and balance'.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak akan diberikan kuasa memulakan pendakwaan kes rasuah secara penuh tanpa perlu merujuk Peguam Negara.

Perkara itu disahkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low Seng Kuan yang menyifatkannya sebagai amalan setiap negara di dunia.

“Kerajaan tidak bercadang berbuat demikian kerana penyiasatan dan pendakwaan sesuatu kes dijalankan berlandaskan prinsip ‘check and balance’.

“Ia juga menjadi amalan hampir setiap negara di dunia ini bahawa keputusan untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding sesuatu kesalahan dibuat oleh Pendakwa Raya dan tidak dipengaruhi agensi penyiasatan,” katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan William Leong Jee Keen (PKR-Selayang) di Dewan Rakyat, lapor Bernama.

Leong bertanya sebab-sebab kerajaan enggan memberi SPRM kuasa pendakwaan serta langkah-langkah untuk melindungi pegawai pendakwaan.

Low berkata sebagai sebuah negara yang mengamalkan demokrasi yang mana prinsip pengasingan kuasa menjadi tunjangnya, maka amalan yang diterima sebagai terbaik ialah pihak yang membuat siasatan tidak memutuskan hasil
siasatan mereka sendiri.

“Walau bagaimanapun, bagi memudahkan urusan penelitian dan rujukan kertas siasatan, Timbalan Pendakwa Raya daripada Jabatan Peguam Negara ditempatkan di ibu pejabat SPRM dan sebahagian besar negeri-negeri,” katanya.


Analisis Kos dan Faedah TPPA akan diedar minggu ini


Analisis Kos dan Faedah TPPA akan diedar minggu ini

Hasil analisis terhadap kos dan faedah Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) dijangka diedarkan di Parlimen minggu ini. 

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, analisis mengenai pakatan perdagangan serantau abad ke-21 yang dilakukan dua firma bebas iaitu Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) serta PricewaterhouseCoopers (Pwc) itu telah siap dan kini sedang dalam proses percetakan.

“Hasil kajian ini dalam proses percetakan dan akan diedarkan ke Parlimen selewat-lewatnya minggu ini.

“Selepas itu taklimat penuh kepada semua Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang akan dibuat pada Januari tahun depan sebelum diputuskan sama ada Malaysia akan menandatangani perjanjian itu atau tidak,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri seminar TPPA di Hotel Istana pada Selasa.

Negara-negara yang terlibat dalam TPPA ialah Australia, Amerika Syarikat, New Zealand, Kanada, Mexico, Peru, Chile, Brunei, Singapura, Jepun, Vietnam dan Malaysia. Mustapa juga menaruh keyakinan bahawa analisis itu nanti akan difahami dengan baik oleh semua ahli Parlimen.

“Saya yakin 700 muka surat analisis kos perjanjian TPPA akan sempat dibaca oleh semua ahli Parlimen. “Sama ada Malaysia menandatangani TPPA atau tidak hanya akan diputuskan selepas perbincangan penuh dan meluas di dalam negara…

Ia akan menjadi keputusan kolektif,” katanya.

Peniaga vape di Muar diberi tempoh seminggu habiskan stok


Peniaga vape di Muar diberi tempoh seminggu habiskan stok
Notis akan dikeluarkan kepada peniaga selain, denda yang boleh dikenakan kepada peniaga vape ingkar

Majlis Perbandaran Muar (MPM) memberi tempoh sebulan kepada peniaga vape di daerah itu agar menghabiskan stok bahan berkenaan di premis masing-masing sebelum pengharaman penjualannya pada 1 Januari tahun depan. 

Yang Dipertuanya, Jamaludin A. Hamid berkata, pihaknya akan mengeluarkan notis mengenai perkara itu dengan memberikan amaran mana-mana peniaga vape yang ingkar akan didenda serta lesen perniagaan boleh ditarik.

“Denda sehingga RM2,000 boleh dikenakan selain barang-barang mereka boleh dirampas.

Sehingga tempoh itu mereka perlu menjual stok sedia ada atau mencari alternatif untuk menghabiskan stok.

“Larangan penjualan vape nanti akan dikuatkuasakan melalui Undang-undang Kecil Tred Perniagaan, Industri dan Profesion di bawah MPM,” katanya yang dipetik daripada Bernama.

Semalam (Isnin), kerajaan Johor memaklumkan akan mengeluarkan pekeliling baharu untuk mengharamkan penjualan vape menerusi undang-undang kecil pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam masa terdekat. Langkah tersebut berikutan titah Sultan Johor,

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada Ahad lepas yang mengarahkan produk vape diharamkan di negeri ini berkuat kuasa 1 Januari 2016.

Jamaludin berkata, selepas penguatkuasaan itu, MPM akan bekerjasama dengan bahagian farmasi dan jabatan kesihatan daerah untuk menyerbu dan merampas produk vape mengikut Akta Racun 1952.

Katanya, ketika ini mereka yang menjual produk vape di daerah ini menggunakan lesen barangan serbaneka dan berharap semua peniaga vape mematuhi peraturan baharu itu.

Beliau berkata, MPM boleh mendapatkan perintah mahkamah untuk menutup premis jika pengusaha masih ingkar mengikut arahan itu.

Kerajaan penyebab harga kereta Proton mahal


Kerajaan penyebab harga kereta Proton mahal
Pihak Kerajaan telah mencukaikan kenderaan itu sehingga 300 peratus 

Orang ramai tidak seharusnya menyalahkan Proton Holdings Bhd. (Proton) ekoran harga tinggi kereta itu di pasaran tempatan. 

Sebaliknya, mereka wajar menuding jari dengan menyalahkan kerajaan ekoran cukai yang dikenakan terhadap kereta itu terlalu tinggi dan tidak masuk akal sekaligus menyebabkan perkara itu berlaku. Perkara itu didedahkan oleh Pengerusi Proton,

Tun Dr Mahathir Mohamad yang mahu tuduhan terhadap Proton mengenai perkara berkenaan dihentikan.

“Proton selalu dipersalahkan ekoran harga kenderaan yang mahal. Ia bukan salah Proton. Pihak Kerajaan yang mahu mencukaikan kenderaan sehingga 300 peratus.

“Kerajaan mahukan pendapatan. Kita (Proton) bukan punca kepada harga kenderaan yang tinggi,” katanya dalam sidang media di Pusat Kecemerlangan Proton pada Selasa.

Selain itu, Dr Mahathir yang merupakan bekas Perdana Menteri turut mendedahkan bahawa terdapat kempen yang menggesa agar rakyat Malaysia tidak membeli kereta buatan Proton.

“Terdapat kempen untuk rakyat Malaysia supaya tidak membeli kereta buatan Proton,” ujarnya. Pada masa sama, Dr Mahathir juga menyatakan sehingga kini, pihak kerajaan juga tidak memperuntukkan sebarang peruntukkan kepada Proton untuk kereta elektrik.

“Tiada peruntukan khas untuk kereta elektrik. Cukuplah agar kerajaan tidak menggalakkan rakyat di negara ini untuk membeli kereta import,” ujarnya.

Bukan setakat itu, malah, beliau turut menyatakan sehingga kini pihak kerajaan masih belum membuat apa-apa bayaran royalti terhadap kereta elektrik buatan Proton.

“Kerajaan mahukan kita buat sebuah kereta elektrik, setelah kita buat dan harumkan nama negara, kita masih tidak menerima apa-apa bayaran.

“Sebaliknya, kita pula keluarkan duit sendiri untuk menghasilkan kereta hybrid, dan kereta elektrik,” ujarnya lagi.


Gobind bangkit isu ‘deraf pendakwaan terhadap Najib’ di Parlimen


Gobind bangkit isu ‘deraf pendakwaan terhadap Najib’ di Parlimen
Adakah Ahli Parlimen Pekan akan terus menjadi Perdana Menteri? Boleh kita, sebagai rakyat mengharapkan siasatan secara bebas dan adil?

Kesahihan deraf pendakwaan yang dikatakan disediakan mendiang Anthony Kevin Morais terhadap ‘pegawai tertinggi kerajaan’ kerana terlibat dalam rasuah dibangkitkan pembangkang di Parlimen. 

Ahli Parlimen DAP dari Puchong, Gobind Singh Deo menuntut jawapan sama ada deraf pertuduhan itu benar wujud atau atau sekadar rekaan. “Kami mahu tahu sama ada deraf pertuduhan itu benar atau tidak.Kami tidak mahu tahu masalah keluarga Morais,” katanya.

Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dari Kuala Kangsar, Mohamad Khairil Anuar mencelah dan berkata, masalah keluarga Morais lebih besar berbanding laporan polis yang dibuat oleh seorang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menafikan kewujudan deraf pendakwaan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Jawapan ini membuktikan pandangan yang saya mahu sampaikan. Kuala Kangsar mahu selesaikan masalah keluarga Morais. Sila selesaikan masalah itu.

“Tetapi sekarang saya di Parlimen dan saya mahu tahu sama ada kertas pendakwaan ini wujud atau tidak

“Berhenti menukar tajuk  cerita dan mengalih tumpuan rakyat. Akuan Bersumpah (SD) sudah ada. Mengapa anda lari daripada menjawab persoalan sebenar,” kata Gobind.

Gobind berkata, jika merujuk kepada SD 18 muka surat oleh Charles Morais , dia mendakwa kematian Kevin ada kaitan dengan siasatan terhadap ‘pegawai tertinggi kerajaan’.

“Ini adalah isu yang sensitif kerana siasatan membabitkan Perdana Menteri. Bagaimana jika deraf pendakwaan ini benar-benar wujud?

“Adakah Ahli Parlimen Pekan akan terus menjadi Perdana Menteri? Boleh kita, sebagai rakyat mengharapkan siasatan secara bebas dan adil?,” katanya.

Peguam Negara, Tan Sri Apandi Mohamed Ali telah menafikan kewujudan deraf pendakwaan itu dan menganggap dakwaan Charles Morais itu sebagai tidak munasabah.

Mayat Kevin ditemui pada 4 September lalu di mana mayatnya disimen dalam sebuah tong dram dan dicampak di dalam sungai di USJ1.

Enam lelaki termasuk seorang bekas doktor tentera didakwa kerana membunuh Kevin.

Azalina sahkan Najib belum dipanggil FBI


Azalina sahkan Najib belum dipanggil FBI
Najib tidak menghadapi sebarang masalah semasa melakukan lawatan rasmi ke Amerika Syarikat baru-baru ini di sebalik siasatan Jabatan Kehakiman AS terhadap dakwaan beliau terlibat dalam rasuah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, tidak pernah dipanggil oleh mana-mana wakil kerajaan termasuk Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI), walaupun Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat sedang menyiasat dakwaan rasuah terhadap beliau dan keluarga beliau. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said mengesahkan bahawa Najib tidak berdepan dengan sebarang masalah mengadakan lawatan rasmi di negara itu (AS).

“Sehingga kini tidak ada wakil kerajaan AS sama ada dari FBI atau Justice Department yang telah menghubungi Perdana Menteri berkaitan isu ini.

“Perdana Menteri juga tidak menghadapi sebarang masalah semasa melakukan lawatan rasmi ke AS baru-baru ini,” katanya dalam jawapan bertulis menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar.

Izzah dalam soalanya bertanya mengenai jaminan kerajaan bahawa Perdana Menteri tidak mempunyai risiko untuk ditangkap semasa lawatan rasmi ke AS.

Dalam satu laporan akhbar New York Times (NYT) sebelum ini, jemaah juri persekutuan di AS dikatakan sedang meneliti dakwaan rasuah melibatkan Najib dan beberapa individu yang dekat dengannya.

Menurut akhbar itu, inkuiri bertumpu kepada pembelian hartanah di AS dalam beberapa tahun kebelakangan oleh sebuah syarikat ‘bayangan’ yang tidak aktif didakwa milik anak tiri Najib selain beberapa hartanah yang dikaitkan dengan rakan-rakan keluarganya.

Tindakan tegas jika PKR Cabang Sepang berniat jahat


Tindakan tegas jika PKR Cabang Sepang berniat jahat
PKR Cabang Sepang sepatutnya membawa perkara itu kepada parti menggunakan saluran yang betul bukannya membuat aduan kepada RoS.

Cabang PKR Sepang berniat jahat apabila membuat laporan kepada Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) mendakwa Kongres Nasional PKR baru-baru ini tidak sah. 

Naib Presiden PKR, Shamsul Iskandar Mat Akin berkata, cabang tersebut sepatutnya merujuk perkara itu kepada pucuk pimpinan sebelum membuat aduan kepada RoS. 

Katanya, parti akan menyiasat tindakan segelintir ahli PKR Cabang Sepang itu sebelum mengambil tindakan kerana perbuatan itu tidak berakhlak. 

“Kalau itu cubaan jahat, mereka akan dikenakan dengan tindakan tegas sebab banyak saluran yang sepatutnya boleh digunakan,” katanya di Lobi Parlimen pada Selasa. Mengulas lanjut, dia berkata, aduan yang dibuat wakil cabang itu langsung memberi tidak kesan kepada parti kerana akhirnya RoS akan merujuk perkara itu kepada parti. 

“Kita tak boleh halang mana-mana pimpinan atau individu untuk membuat aduan ke RoS, itu hak mereka. 

“Tapi kalau bawa ke RoS sekalipun, ia takkan kemana sebab RoS tentunya akan meminta kertas-kertas dari sekretariat,” katanya. 

Ahli Parlimen Bukit Katil itu menegaskan, kongres itu sah kerana senarai perwakilan yang datang adalah sah. Sebelum ini, bekas Ahli Jawatankuasa (AJK) Cabang Sepang, 

Nasiruddin Mohamed telah membuat aduan kepada ROS mendakwa 10 perwakilan Cabang Sepang telah menghadiri kongres itu. 

Nasiruddin mempersoalkana bagaimana perwakilan Sepang boleh menghadiri kongres itu sedangkan Cabang Sepang telah digantung sejak September lalu kerana disyaki berlaku penipuan dalam pemilihan serta audit kewangan yang meragukan. 

Dia mendakwa telah mengadu perkara itu kepada Setiausaha Agung PKR, 

Rafizi Ramli pada awal pagi sebelum kongres bermula, namun tiada tindakan yang diambil.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Rujukan