Cari Artikel

Tuesday, December 1, 2015

Video wanita curi sayur raih simpati netizen


Video wanita curi sayur raih simpati netizen
Rakaman yang menyayat hati pengguna laman sosial dikongsi dalam Facebook Viral Video menggambarkan wanita itu mencuri beberapa barangan makanan seperti sayur mentah, makanan dalam tin dan makanan mentah.

Satu rakaman video insiden seorang wanita pertengahan tahun mencuri dipercayai di sebuah pasar raya mengundang rasa kasihan daripada orang ramai khususnya pengguna laman sosial.

Rakaman yang menyayat hati pengguna laman sosial dikongsi dalam Facebook Viral Video menggambarkan wanita itu mencuri beberapa barangan makanan seperti sayur mentah, makanan dalam tin dan makanan mentah.

Kejadian dipercayai berlaku di Jerantut, Pahang.

“Mohon pihak2 berkenaan turun padang dan lihat apa masaalah rakyat…mungkin kakak ni dan keluarganya hidup dlm keadaan terdesak sehingga sanggup melakukan kerja2 begini….kami dpt info lokasi berlaku di Jerantut…,” muat naik status video berkenaan.

Para netizen memberi respon yang pelbagai, rata-rata mengkasihani situasi wanita itu.

Pengguna yang menggunakan ID, Ahmad Yau Azis dalam komennya berkata, “Makin ramai mencuri sebab desakan hidup. Yg kat atas maharajalela rembat duit rakyat.”

Manakala Puzz Lip pula berpendapat tiada alasan yang patut digunakan untuk mencuri kerana Islam melarang perbuatan itu sebagai satu dosa.

“Tiada alasan mencuri…dlm Islam kan tahu bedosa…sihat tubuh anggota…klau ada anak didik kasi pandai…biar besar nasihat anak tu klau susah terdesak suruh curi dan menyamun semua masaalah selesai…kes nie buat lah tauladan supaya kita anak melayu gigih usaha semuga berjaya..doa dan usaha mesti ada jalan kluar insyaallah ..kakak oiii…jgn malukan bangsa sendiri!!!” katanya.
Cindy Cindy pula menulis, “Kasihan mungkin anak2 nya dah kelaparan..”

Tidak ketinggalan ada yang mengaitkannya dengan keadaan sosio ekonomi rakyat pada masa kini sehingga mendesak mereka berkelakuan begitu di samping meminta perhatian pusat zakat terhadap keadaan individu seperti itu.








PAU sudah tidak seronok – Tun M


PAU sudah tidak seronok – Tun M
Dr Mahathir juga mengakui bahawa ahli Majlis Tertinggi (MT) kini cuba menyekat idea ahli-ahli UMNO untuk membina negara dan bangsa.

Tindakan sesetengah pemimpin UMNO yang seolah-olah menutup ruang kepada ahli-ahlinya menyuarakan pandangan amat dikesali.

Bekas Presiden UMNO, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau sangat kurang senang melihat Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang sangat berbeza.

“Saya kesal ia (PAU) kini kurang terbuka. PAU adalah salah satu perkara yang menyeronokkan.

“Ramai yang datang memberi idea dan bertukar-tukar pandangan bahawa apa yang mereka lakukan adalah untuk negara,” katanya kepada pemberita di Pusat Kecemerlangan Proton pada Selasa.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir juga mengakui bahawa ahli Majlis Tertinggi (MT) kini cuba menyekat idea ahli-ahli UMNO untuk membina negara bangsa.

“Sekarang ini, idea untuk membina negara telah disekat,” ujarnya.

Ketika diaju soalan oleh pemberita mengenai kehadirannya di PAU, bekas Perdana Menteri itu mengesahkan beliau akan hadir namun, menegaskan tidak akan memberi sebarang ucapan.

“Saya tidak menerima sebarang surat jemputan lagi. Tetapi saya menerima pelawaan dari Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai pelawaan terbuka.

“Tidak mengapa kalau tiada surat jemputan. Saya tetap akan pergi,” katanya lagi.

PAU dijadualkan akan berlangsung pada 8 hingga 12 Disember ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).


Tol naik, musim debat pun bermula!


Tol naik, musim debat pun bermula!
Kerajaan Barisan Nasional memberikan rakyatnya satu lagi halwa sebagai hadiah tahun baharu, 2016 menerusi berita kenaikan harga tol

Saya secara peribadi sangat tersentuh melihat setiap strategi kerajaan dalam memastikan rakyat semakin jauh daripada Barisan Nasional (BN). Kalau tradisinya kerajaan akan berusaha untuk memberikan khidmat pentadbiran yang terbaik dan memuaskan menjelang musim pra pilihanraya, kerajaan BN pula bertindak sebaliknya.

Pelik, tetapi kalau strategi ini tetap memenangkan BN, sudah pasti langkah luar biasa kerajaan ini berjaya, bukan setakat berjaya, tetapi, berjaya dengan gilang gemilangnya. Ya, kerana strategi paling tidak mesra rakyat ini kalau diterapkan di negara lain, tak perlulah tunggu sampai pilihan raya, kerajaan itu sudah lama terkubur dan mereput.

Tetapi di Malaysia, kerajaan amat beruntung mendapat rakyat yang bukan sahaja bertolak-ansur malah, kekal sabar dan mesra kerajaan, kerana kita hanya beremosi tetapi tidak bertindak.
We dont walk the talk!

Apapun pelaksanaan yang menderitakan sekalipun, kita akhirnya redha. Kita terima selepas bising seketika di laman sosial atau kedai kopi, itu sahaja kuasa rakyat. Eloklah, bersyukurlah, sekurang-kurangnya kita masih diberi kebebasan untuk bercakap sesama sendiri mengenainya, bukannya terus dihalang atau tidak diberi peluang langsung!

Musim debat tiba

Sedari pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) sehingga pemansuhan subsidi bahan api, kenaikan harga tol, kenaikan caj pengangkutan awam, diikuti pula skandal melibatkan wang rakyat seperti 1Malaysia Development Malaysia (1MDB) dan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) misalannya, semua itu sudah pasti menjarakkan rakyat daripada kerajaan setengah abad ini.

Terbaru, pengumuman kenaikan kadar tol sebanyak lima peratus di semua lebuhraya PLUS bermula tahun hadapan oleh Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin membuka lagi ruang debat.

Pada Oktober lepas, debat dan ketidakpuasan terhadap berita 18 lebuh raya, hampir kesemuanya melibatkan laluan di Lembah Klang selain laluan KL-Karak dan Lingkaran Luar Butterworth di Pulau Pinang baru sahaja reda.

Kini muncul satu lagi kenaikan. Perjanjian terkini menetapkan kenaikan kadar tol sebanyak lima peratus setiap tiga tahun mulai 2016 hingga tamat tempoh konsensi pada 31 Disember 2038.

Tidak tahulah jika tempoh konsesi akan benar-benar tamat pada 2038 atau akan dipanjangkan lagi di masa akan datang. Persoalannya, mengapa kita perlu berdepan dengan begitu banyak kenaikan yang dilakukan begitu kerap selain ketiadaan jalan alternatif yang baik sebagai pilihan?

Jika dibandingkan dengan negara-negara dunia yang lain ataupun setakat sekadar negara yang pernah saya lawati, saya tidak pernah melihat tol yang banyak seperti di negara sendiri. Adakah ia sesuatu yang harus dibanggakan atau tidak, saya pun tak tahu!
Tol setiap 5 hingga 10 kilometer

Lazimnya, di luar negara, kita membayar tol sama ada di sempadan sesuatu negeri atau selepas keluar dari lapangan terbang. Jarang sekali saya berdepan dengan tol setiap lima hingga 10 kilometer sepanjang perjalanan seperti di bumi bertuah ini.

Malah, laluan bertol di Indonesia dan Thailand hanya digunakan jika jalan umum tersangat sibuk dan sesak. Tetapi di Malaysia atau Selangor, lebih tepatnya Lembah Klang, di mana ada tol, di situlah jalan penuh sesak.

Menurut kajian, sebanyak 31 buah lebuh raya dibina sehingga ke hari ini dengan hampir 90 peratus lebuh raya di Malaysia dimiliki oleh syarikat swasta dan GLC.

Menurut satu laporan, kerajaan menganugerahkan konsesi dengan hak eksklusif kepada mereka untuk membina, mengendali dan menyelenggara lebuh raya bagi tempoh konsesi yang dipersetujui. Ia disifatkan sebagai salah satu bentuk Public-Private Partnership yang dipelopori kerajaan sejak zaman pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad lagi.

Terma ‘tempoh konsesi’ ini merujuk kepada tempoh yang diberi oleh kerajaan kepada syarikat untuk mengutip dan menyelenggara lebuhraya. Soalnya, mengapa pihak kerajaan tidak pernah mendedahkan tempoh konsesi yang diberikan kepada setiap lebuhraya secara telus? Persoalan ini bukan sahaja menyentuh isu tempoh tetapi keseluruhan intipati perjanjian dalam konsesi antara kerajaan dan syarikat terlibat.

Rakyat bukannya hamba yang tiada hak untuk mengetahui kandungan perjanjian, bukan? Jadi, salahkah sebagai rakyat, kita mahu tahu tempoh dan isi kandungan perjanjian yang semakin hari semakin menekan ekonomi rakyat?

Perjanjian berat sebelah?

Malah sebelum ini, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara pernah menyatakan bahawa perjanjian konsesi tol terlalu memihak kepada syarikat-syarikat lebuh raya sedangkan kerajaan punya pilihan untuk menamatkan perjanjian pada bila-bila masa dan hanya membayar pampasan untuk kos lebuh raya sahaja tidak termasuk nilai geran yang diberikan kerajaan.

Langkah itu satu pendekatan yang mampu diambil oleh kerajaan sekaligus meringankan beban pengguna lebuhraya.

Bagaimanapun, dalam hal ini, kerajaan dilihat enggan berbuat demikian dan lebih berpihak kepada syarikat konsesi kerana tidak mahu kehilangan keuntungan masa hadapan. Malah, kerajaan juga dikatakan terpaksa membayar pampasan sekiranya unjuran jumlah kenderaan yang disasar oleh konsesi tidak tercapai.

Apalah agaknya rupa unjuran yang di’jangka’kan konsesi walaupun hakikatnya kenderaan di jalan raya dilihat semakin hari semakin bertambah berkali-kali ganda, dibuktikan pula dengan kesesakan lalu lintas yang bagai nak rak.

Kita nak tahu juga perkiraan syarikat-syarikat ini terhadap sasaran unjuran yang nampaknya sangat tidak masuk akal, sekurang-kurangnya bagi saya yang lemah kira-kira.


NOW bakal dedah pembaziran terbaharu YaPEIM


NOW bakal dedah pembaziran terbaharu YaPEIM
NOW juga mengatur siri-siri penerangan ke seluruh negara untuk menerangkan kedudukan sebenar isu pembaziran YaPEIM.

National Oversight and Whistleblowers (NOW) akan membuat pendedahan terbaharu berhubung pembaziran oleh Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEM).

Pengarah NOW, Akmal Nasir berkata, pendedahan terbaharu itu akan dibuat dalam satu forum pada malam esok (Rabu) di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Selangor (KLSCAH).

Katanya, walaupun beberapa siri pendedahan dilakukan dilakukan namun (YaPEIM) bukan sahaja tidak menjawab perkara-perkara yang dibangkitkan.

YaPEIM juga katanya, gagal memberi komitmen yang jelas untuk mengubah keadaan dan penambahbaikan terhadap pengurusan dan pentadbiran institusi tersebut.

Katanya, maklum balas yang diterima daripada orang ramai terutamanya pencarum menunjukkan mereka kecewa dengan pihak terbabit yang tidak menunjukkan keinsafan terhadap teguran yang dibuat.

“Saya percaya sudah menjadi tanggungjawab kita semua untuk memastikan peranan YaPEIM kembali kepada tujuan asalnya yang berteraskan kepada amal jariah.

“Setiap pencarum yang dianggarkan sebelum ini seramai 588,930 orang berhak mengetahui hak-hak mereka dan peranan yang boleh dilaksanakan bagi memastikan nasib yang susah dan memerlukan dapat dibantu melalui YaPEIM,” katanya menerusi kenyataan media.

Katanya, NOW mengatur beberapa siri penerangan di seluruh negara bagi menjelaskan isu YaPEIM seperti di Alor Star dan Padang Serai, Kedah (4 Disember), Jerai dan Merbok (5 Disember), Perak (9 Disember), Muar dan Segamat (12 Disember) dan Pahang (13 Disember).

NOW sebelum ini mendedahkan beberapa siri pembaziran YaPEIM melibatkan program-program di luar negara seperti di Washingston, Paris dan Australia.

Wartawan Al-Jazeera boleh memudaratkan negara


Wartawan Al-Jazeera boleh memudaratkan negara
Ketua Pengarah Imigresen mempunyai kuasa untuk menyekat kemasukan warganegara asing yang dipercayai boleh memudaratkan negara

Langkah tidak membenarkan wartawan Al-Jazeera, Mary Ann Jolley masuk ke negara ini adalah disebabkan dia boleh memudaratkan keselamatan negara dan ketenteraman awam.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Akta Imigresen 1959/63 memberi kuasa kepada Ketua Pengarah Imigresen menyekat kemasukan mana-mana warganegara asing ke negara ini setelah mempercayai individu berkenaan boleh memudaratkan keselamatan negara.

Beliau bekata demikian dalam jawapan bertulis kepada pertanyaan Hee Loy Sian (DAP-Petaling Jaya Selatan) meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan alasan mengapa Ann Jolley dilarang memasuki negara ini berikutan penyiaran rancangan 101 East ‘Murder in Malaysia’ pada September lalu yang mengaitan kes pembunuhan warga Mongolia, Shaariibuu Altantuya.

Loy Sian turut meminta Kementerian Dalam Negeri menjelaskan adakah siasatan terhadap Sirul Azhar Umar ditutup sejak beliau melarikan diri ke Australia.

“Siasatan ke atas kes yang melibatkan Sirul Azhar telah selesai dan hukuman telah pun dijatuhkan oleh Mahkamah Persekutuan ke atas tertuduh. Sehubungan dengan itu, tidak timbul lagi isu berkaitan penutupan siasatan kes berkenaan,” kata Ahmad Zahid.


BNM selesai siasat 1MDB – Zeti


BNM selesai siasat 1MDB – Zeti
Terdapat beberapa kemajuan dalam tindakan-tindakan yang sedang diambil yang berkaitan dengan beberapa kelulusan yang berikan BNM kepada 1MDB.

Bank Negara Malaysia (BNM) ‘telah mencapai kemajuan’ dalam siasatan terhadap syarikat pelaburan milik penuh kerajaan, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Bercakap kepada media selepas majlis Leadership Energy Summit Asia pada Selasa, Gabenor BNM, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz berkata, beliau tidak boleh mengulas lanjut sehingga proses itu selesai sepenuhnya.

“Kami telah menyelesaikan siasatan. Sekarang terdapat beberapa kemajuan dalam tindakan-tindakan yang sedang diambil yang berkaitan dengan beberapa kelulusan yang kami berikan kepada 1MDB,” kata Zeti.

Ditanya mengenai dua bekas pegawai tertinggi MDB yang dicari BNM untuk membantu dalam siasatan mereka, Zeti menjelaskan bahawa BNM tidak membuat apa-apa ‘komunikasi langsung’

“Kami tidak membuat sebarang hubungan terus dengan mereka lagi,” katanya yang enggan mengulas lanjut mengenai dua individu itu.

Dua individu itu ialah Casey Tang Keng Chee, 50, dan Jasmine Loo Ai Swan, 42.

Tang dipercayai adalah antara perintis kepada penubuhan Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA), yang kemudiannya menjadi 1MDB.

Loo pula dilaporkan mula menyertai 1MDB pada 2011 bagi menggantikan Tang.
Kedua-duanya dicari bagi membantu siasatan mengikut Akta kawalan Pertukaran Wang 1953.


Isu gambar: Nurul Izzah jumpa speaker hari ini


Isu gambar: Nurul Izzah jumpa speaker hari ini
Izzah menegaskan bahawa beliau lebih cenderung untuk memberi penjelasan di dalam dewan

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar akan berjumpa dengan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia hari ini bagi memberi penjelasan berhubung pertemuannya dengan Puteri Sultan Sulu, Jacel Kiram.

Katanya, pertemuannya itu adalah secara peribadi dan tidak mahu menyatakan secara terperinci akan perkara tersebut.

“Hari ini Insyallah saya akan berjumpa dengan Speaker dan saya mahukan hak saya untuk bagi penerangan dalam dewan.

“Saya tak akan bagitahu lagi buat masa ini, tunggu sampai saya dapat pengesahan,” katanya ketika ditemui pemberita di Lobi Parlimen pada Selasa.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Lembah Pantai itu menegaskan bahawa beliau lebih cenderung untuk memberi penjelasan di dalam dewan.

“Saya akan minta untuk diberikan penerangan kepada seluruh dewan, bagi saya selesaikan dulu dan kita akan tahu nanti,” katanya.

Terdahulu, Izzah menyatakan kesediaan beliau untuk memberi penjelasan berhubung pertemuan dengan Jacel Kiram baru-baru ini kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.

Beliau berkata demikian ketika mengulas desakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said yang menyarankan agar Nurul Izzah menggunakan platform jawatankuasa itu untuk membela diri berhubung pertemuan beliau dengan anak perempuan bekas ketua kumpulan pengganas Sulu yang menceroboh Sabah pada 2013.

Jawatankuasa berkenaan terdiri daripada pimpinan kerajaan dan pembangkang dimana Speaker sendiri bertindak sebagai pengerusi jawatankuasa tersebut.

Isu NFCorp selesai, laporan patut dibentang di Parlimen


Isu NFCorp selesai, laporan patut dibentang di Parlimen
Kes itu sudah selesai di mahkamah dan sepatutnya tiada masalah untuk dibentangkan kepada semua ahli parlimen untuk diteliti.

Walaupun isu National Feedlot Corporation (NFCorp) telah selesai di mahkamah namun laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) masih belum dibentangkan kepada ahli parlimen.

Laporan itu sepatutnya dibentangkan di Parlimen pada 2014 tetapi dihalang oleh Pejabat Peguam Negara kerana kes itu masih berjalan di mahkamah.

Memandangkan kes itu telah selesai pada 24 November lalu, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Aman Mulia digesa supaya membenarkan pembentangan laporan kepada ahli parlimen.
Desakan itu dibuat oleh Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua.

“Siasatan sudah selesai pada penggal lalu 2013. PAC telah siapkan dan memutamadkan laporan NFCorp dan perkara itu sudah sampai kepada Pejabat Speaker pada awal 2014 tetapi PAC diberitahu bahawa laporan itu tidak akan dibentangkan dalam Parlimen akibat kes NFCorp masih berjalan di mahkamah (pada waktu itu).

“Pada ketika itu, Speaker memberitahu Peguam Negara menasihatkan supaya pembentangan laporan ditangguhkan sehingga kes selesai. Kita sudah tahu kes sudah selesai.

“Kita harap Speaker selesai sesi ini, esok atau lusa membenarkan pembentangan laporan NFCorp kepada semua ahli dewan supaya dapat diteliti dalam dewan termasuk pihak berkuasa supaya tindakan susulan dapat dijalankan,” katanya yang juga Ahli Jawatankuasa PAC di Lobi Parlimen pada Selasa.

Pada 24 November lalu, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur melepas dan membebaskan Pengerusi Eksekutif National Feedlot Corporation Sdn. Bhd. (NFCorp), Datuk Seri Dr. Mohamad Salleh Ismail daripada dua pertuduhan pecah amanah membabitkan RM49.7 juta.

SPR kaji persempadanan semula Parlimen dan DUN


SPR kaji persempadanan semula Parlimen dan DUN
Azalina berkata kerja-kerja tersebut membabitkan pengumpulan maklumat pembangunan, pertambahan penduduk dan bilangan pengundi semasa.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sedang melaksanakan kerja-kerja pentadbiran sebagai persiapan awal untuk memulakan kajian urusan persempadanan semula bahagian-bahagian Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) termasuk di Sabah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said berkata kerja-kerja tersebut membabitkan pengumpulan maklumat pembangunan, pertambahan penduduk dan bilangan pengundi semasa.

“(Kerja-kerja itu) seterusnya menyediakan draf laporan awal urusan persempadanan sebelum cadangan persempadanan SPR dimaklumkan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Perdana Menteri berdasarkan peruntukan Seksyen 4 Bahagian II Jadual Ketiga Belas Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam jawapan bertulis yang diedarkan di Dewan Rakyat hari ini.

Azalina berkata demikian bagi menjawab soalan Dr Mohd Hatta Md Ramli (Amanah-Kuala Krai) yang ingin tahu setakat manakah persediaan yang dilakukan SPR bagi proses persempadanan semula kawasan pilihan raya.

Menyentuh mengenai negeri Sarawak, Azalina memaklumkan bahawa kajian telah selesai dilaksanakan apabila laporan akhir diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 21 Ogos lepas.

“Tarikh tersebut juga diwartakan sebagai tamatnya tempoh urusan Kajian Semula Persempadanan Bahagian-bahagian Pilihan Raya bagi Negeri Sarawak,” katanya.

– BERNAMA


Parkir hospital dicaj, elak salah guna awam


Parkir hospital dicaj, elak salah guna awam
Kementerian Kesihatan sedang menawarkan tender terbuka bagi syarikat yang ingin menguruskan tapak parkir di hospital secara sementara dengan kadar yang ditetapkan kementerian.

Sebagai langkah mengelak mereka yang tidak mempunyai urusan di hospital daripada menggunakan tempat parkir di hospital, Kementerian Kesihatan memutuskan untuk mengenakan caj.

Bayaran tersebut akan dikenakan bagi tempat letak kereta di kawasan hospital di zon tengah Semenanjung.

Sehubungan dengan itu, Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata, kementeriannya sedang menawarkan tender terbuka bagi syarikat yang ingin menguruskan tapak parkir di hospital secara sementara dengan kadar yang ditetapkan kementerian.

“Kadar tempat letak kereta akan kita tetapkan dan penender yang ingin libatkan diri kena ikut kadar yang telah ditetapkan,” katanya, lapor Mstar.

Hilmi berkata demikian menjawab soalan Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad (BN-Kuala Kangsar) yang mempersoalkan tentang penyalahgunaan parkir di hospital oleh orang awam yang tidak mempunyai urusan di hospital.

Dalam pada itu, Dr Hilmi juga mengesahkan pihaknya sedang berurusan mengeluarkan tender bagi menambah bilangan parkir tambahan di semua hospital diseluruh negara.

Turut dipersoal ialah status Hospital Sarawak oleh Julian Tan Kok Ping (DAP-Stampin).

“Kementerian sedang dalam perancangan untuk membina blok jagaan harian, blok patologi dan tempat letak kereta bertingkat yang bakal dilaksanakan secara kerjasama pihak awam dan swasta.

“Pembinaan blok jagaan harian akan melibatkan tujuh buah dewan pembedahan, empat bilik endoskopi serta kemudahan wad yang diperlukan untuk memberi rawatan harian,” katanya lagi.

Blok tempat letak kereta bertingkat yang menelan kos RM351 juta itu dijangka memuatkan 1,750 lot yang turut melibatkan pembinaan kemudahan medihotel dengan kapasiti 160 bilik.


Pas yakin rampas kembali Kedah dan Terengganu – Nik Abduh


Pas yakin rampas kembali Kedah dan Terengganu – Nik Abduh
Keyakinan itu dilihat apabila Pas sudah mula diterima rakyat setelah menolak mereka UMNO dan Barisan Nasional

Pas yakin akan merampas kembali negeri Kedah dan Terengganu yang pernah dimenangi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) nanti selain, mengekalkan negeri Kelantan yang ditadbir sejak 1990.

Keyakinan itu disuarakan, Ketua Pemudanya, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz apabila menyatakan, aura parti Islam itu semakin diterima rakyat.

“Pas insyallah, akan memenangi PRU-14 nanti dan akan kembali menguasai negeri Terengganu dan Kedah selain terus mengekalkan kemenangannya di Kelantan. Pas juga akan menambah kekuatannya di beberapa negeri termasuk di pantai barat,” katanya menerusi kenyataan di Facebook pada Selasa.

Jelas Ahli Parlimen Pasir Mas itu, peluang Pas untuk menawan hari rakyat amat terbuka, setelah rakyat sudah mula menolak UMNO susulan daripada pelbagai kememelut yang dihadapi pada ketika ini, termasuklah skandal yang melibatkan syarikat pelaburan kerajaan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan isu derma RM2.6 bilion.

“Selain saingan Pas iaitu UMNO yang semakin gagal menawan hati rakyat dengan persembahan semakin buruk, kami yakin rakyat Malaysia, terutama jentera dan kaki tangan kerajaan telah bersedia untuk menerima kehadiran Pas dalam pemerintahan di seluruh negara.

“Rakyat Malaysia baik. Hanya yang sedang merosakkannya adalah anasir-anasir perosak yang tidak dihalang, bahkan dijaga oleh UMNO dan BN,” tulisnya.

Terdahulu, Nik Abduh berkata,rakyat Kelantan sesekali tidak akan membenarkan kerajaan Pas tumbang, apabila UMNO negeri itu menyuarakan keyakinan untuk menang setelah ketiadaan Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.


Rakyat tidak mahu Perdana Menteri yang jadi bahan lawak


Rakyat tidak mahu Perdana Menteri yang jadi bahan lawak
Negara dan parti boleh diselamatkan jika Najib Tun Razak berundur dalam waktu terdekat ini.

Ketua-ketua UMNO cawangan seluruh negara menolak kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak kerana tidak mahu mempunyai Perdana Menteri yang menjadi bahan lawak di seluruh dunia.

Ketua UMNO Cawangan Rista Villa Perdana, Bahagian Sepang, Rushdan Mohamed berkata, rakyat akan menolak UMNO pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang kerana tidak mahu memiliki Perdana Menteri yang dihina oleh negara luar.

“Jika Najib terus menerajui UMNO dan BN, saya percaya rakyat akan menolak BN secara total dalam PRU-14 nanti.

“Siapa yang inginkan seorang Perdana Menteri dan Presiden parti yang dijadikan bahan ‘lawak’ dan dihina bukan sahaja di Malaysia tetapi seluruh dunia mentertawakan kita,” katanya kepada FMT.

Katanya, tindakan ketua-ketua UMNO cawangan mendesak Perdana Menteri meletak jawatan ketika ini sangat berkait rapat dengan kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad yang tidak mahu parti terbesar itu terkubur dalam pilihanraya nanti.

“Disebabkan kemungkinan ini (UMNO kalah PRU-14) jugalah kami ketua-ketua Cawangan seluruh tanah air menyatakan secara terbuka supaya Datuk Seri Najib berundur.

“Kalau Datuk Seri Najib berundur dalam masa terdekat ini, kerosakan yang telah dilakukan beliau sempat diperbetulkan seterusnya membawa kejayaan kepada UMNO dan BN menang dalam PRU-14,” katanya.

Menerusi surat terbukanya kepada ahli UMNO yang disiarkan di blognya, Dr Mahathir meramalkan parti itu akan kalah pada PRU-14 berdasarkan kecenderungan UMNO yang dilihat mendukung kepimpinan Perdana Menteri dan melupakan perjuangan agama dan bangsa.


Sokong Anwar bukan sebab sudah insaf, kata Khairuddin


Sokong Anwar bukan sebab sudah insaf, kata Khairuddin
Beliau mahu menyatukan pemimpin Melayu yang semakin berpecah dan membangunkan negara yang kini di ambang kehancuran.

Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan menyokong supaya bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dibebaskan dari penjara bukan disebabkan sudah insaf atau disebabkan rasa bersalah.

Bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan itu berkata, beliau mahu Anwar dibebaskan kerana ingin menyatupadukan pemimpin-peminpin Melayu yang dilihat semakin berpecah.

Selain itu, beliau mahu membangunkan semula negara yang dilihat di ambang kehancuran.
“Atas dasar inilah saya kata menyokong mana-mana usaha untuk membebaskan Anwar dari Penjara Sungai Buloh.

“Ia tiada kaitan dengan perasaan rasa bersalah ataupun insaf. Ini bukan isunya,” tulisnya di laman Facebook.

Beliau berkata demikian menafikan kenyataan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang mendakwa Khairuddin mungkin sudah insaf apabila menggesa kerajaan membebaskan Anwar dari penjara.

Mengulas lanjut, Khairuddin juga berkata, sudah masanya untuk semua pemimpin-pemimpin Melayu bersatu padu dan mengenepikan agenda bagi kepentingan politik masing-masing.

Beliau juga mahu cara pentadbiran negara yang progresif serta berdaya maju seperti ketika zaman Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memerintah negara selama 22 tahun diwujudkan semula.

“Kita tidak harus toleh ke belakang tetapi kena pandang jauh ke hadapan untuk menyelamatkan negara ini dari terus terhumban ke lembah kehancuran.

“Bersatu hati secara jujur dan bertanggungjawab untuk kita sama-sama singkirkan semua pemimpin-pemimpin yang korup dan tidak amanah. Rasuah dan penyelewengan mesti dibanteras hingga ke akar umbi.

“Perpaduan ummah akan menguatkan semula kita secara bersama tanpa kira apa bangsa ataupun agama kita,” tegasnya.


Amanah tak mampu menang kerusi di Sarawak


Amanah tak mampu menang kerusi di Sarawak
Sebagai parti baharu, Pas yakin Amanah sukar untuk memenangi sebarang kerusi dalam PRN Sarawak.

Pas tidak percaya dan tidak yakin Parti Amanah Negara (Amanah) boleh menang kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ini kerana Amanah parti baharu dan belum layak untuk bertanding dalam PRN Sarawak.

Beliau merujuk kepada kenyataan Pengerusi Amanah, Mohamad Sabu yang dilaporkan berkata, parti itu akan melahirkan ‘anak sulung’ di Sarawak.

“Kita tengok mengandung ke tidak….Kita turun ke Sarawak dan Pas kita sudah bertanding banyak kali di Sarawak dan bukan mudah bagi satu parti baru untuk menang.

“Bagaimanapun bagi Pas kita akan bertanding kerusi-kerusi yang Pas akan buat keputusan kelak,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Pas mendakwa PRN Sarawak juga akan dijadikan sebagai ‘kayu ukur’ dalam menentukan masa depan parti Islam itu dalam pakatan pembangkang.

“Kita tengok macam mana, yang terdekat ini ialah Sarawak dan DAP sudah istiharkan bertanding 30 kerusi…Bagi kami kita akan tengok Sarawak ini sebagai contoh sejauh mana DAP boleh menghoramati parti-parti lain,” katanya.


Ibu Pejabat UMNO makin merepek


Ibu Pejabat UMNO makin merepek
Khairuddin Abu Hassan mendakwa Ibu Pejabat UMNO bertindak sesuka hati dan tidak mengikut Perlembagaan parti.dalam mengambil tindakan terhadap ahli.

Ibu Pejabat UMNO dikatakan semakin merepek kerana membuat keputusan sewenang-wenangnya tanpa merujuk kepada Perlembagaan parti.

Bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata, ibu Pejabat UMNO tidak menghormati serta tidak mengikut Perlembagaan untuk mengambil tindakan disiplin terhadap sesiapa saja yang tidak sehaluan dengan kepimpinan parti.

“Hakikatnya, Ibu Pejabat UMNO ingat parti ini milik bapa mereka kot?

“Sekiranya inilah sikap pemimpin-pemimpin tertinggi UMNO masa kini; yakinilah parti UMNO akan hanya menjadi sebuah pertubuhan kebajikan saja suatu hari nanti tanpa mendapat sokongan lagi dari akar umbi serta rakyat jelata.

“Ibu Pejabat UMNO kini suka bertindak mengikut selera ataupun citarasa mereka sendiri. Perlembagaan, praktis serta tradisi UMNO seringkali diketepikan,” tulisnya di Facebook.

Khairuddin berkata, kejadian yang menimpa Tan Sri Muhyiddin Yassin apabila amalan praktis serta hak Timbalan Presiden UMNO untuk merasmikan Perhimpunan sayap-sayap parti telah disekat.

Katanya, majoriti ahli-ahli UMNO tidak puashati serta membuat protes secara senyap.

“Dalam apa jua keadaan sekalipun; puak-puak korup dan kaki bodek minda lemah otak udang ini bakal jatuh tersungkur. Hanya masa ketika saja yang bakal menentukannya.

“Lawan tetap lawan demi menegakkan kebenaran seperti mana yang dituntut oleh agama Islam. Pantang ‘anak Melayu berundur sebelum lawan’ tetapi dasar bacul anak Bugis saya tak tahulah,” katanya.

Husam dan kerajaan Kelantan diarah ‘kunci mulut’


Husam dan kerajaan Kelantan diarah ‘kunci mulut’
Tindakan itu diambil bagi memudahkan Pas menjalankan siasatan berhubung dakwaan Husam Musa terhadap kerajaan Kelantan.

Datuk Husam Musa dilarang membuat sebarang kenyataan kepada media sehingga dakwaannya terhadap kerajaan Kelantan dan pimpinan Pas selesai disiasat.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata arahan itu bagi mengelak berlaku sebarang polemik antara kedua-dua pihak.

Katanya, keputusan yang diambil itu juga telah dipersetujui oleh kedua-dua pihak.

“Kita juga bersetuju bahawa perkara-perkara yang melibatkan urusan dalaman parti, kerajaan negeri dibuat menggunakan platform parti dan diselesai mengikut saluran parti serta tidak diviralkan kepada umum.

“Kita juga bersetuju tidak akan ada sebarang kenyataan daripada beliau (Husam) dan kerajaan negeri yang boleh menimbulkan polemik,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Pas di Jalan Raja Laut di sini, pada Isnin.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata buat masa ini tidak ada sebarang tindakan lagi yang dibuat terhadap Husam.

Beliau juga mengesahkan telah menerima dokumen dan bukti berhubung kenyataanya Husam itu.

“Hari ini tidak ada sebarang keputusan dibuat terhadap beliau sebab ini bukan jawatankuasa disiplin.

“Kita juga telah menerima segala dokumen serta bukti daripada beliau dan pertemuan hari ini sangat baik….Dokumen tersebut juga akan diteliti dalam masa terdekat,” tambahnya lagi.

Sementara itu, Setiausaha Agung Pas Pusat, Datuk Takiyuddin Hassan berkata segala penjelasan beserta bukti yang dikemukakan oleh Husam akan disiasat dengan teliti.

Beliau juga tidak menolak sekiranya Husam akan dipanggil semula bagi memberi penjelasan berhubung kenyataan itu.

“Parti akan teliti bukti yang dikemukakan itu dan jika dirasakan perlu kita akan panggil Husam semula,” katanya.


Ketua Audit Negara serah laporan akhir 1MDB 17 Disember ini – PAC


Ketua Audit Negara serah laporan akhir 1MDB 17 Disember ini – PAC

Ketua Audit Negara dijangka akan menyerahkan laporan akhir siasatan terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pada 17 Disember ini.

“PAC dimaklumkan bahawa laporan akhir Katua Audit Negara berkenaan 1MDB akan siap dan diserahkan kepada PAC untuk dibantangkan pada 17 Disember 2015,” kata Pengerusi PAC, Datuk Hasan Ariffin menerusi kenyataan pada Isnin.

Hasan berkata, PAC telah mendengar pengurusan kawalan tadbir urus syarikat 1MDB yang diberikan oleh bekas Presidennya , Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi.

Katanya, siasatan tersebut akan diteruskan apabila pihaknya akan memanggil Presiden 1MDB, Arul Kanda untuk memberi keterangan bermula esok.(Selasa).

“PAC menegaskan keutamaan adalah untuk menjalankan siasatan yang adil dan menyeluruh keatas 1MDB. Laporan lengkap untuk 1MDB disasarkan untuk siap pada Mac 2016,” katanya.

Beliau yang juga, Ahli Parlimen Rompin berkata, PAC akan mendengar keterangan Pengerusi 1MDB, Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin selepas membuat pendengaran akhir Ketua Audit Negara melibatkan 1MDB yang sarat dengan hutang itu.


Husam Musa serah ‘nota cinta’


Husam Musa serah ‘nota cinta’
Nota cinta itu diberikan keada PAS berhubung pandangannya terhadap Kerajaan Negeri Kelantan dan bagaimana menyatukan padukan ahli-ahli parti Islam itu

Datuk Husam Musa mendakwa beliau telah memberi ‘nota cinta’ kepada PAS dalam pertemuannya dengan Dewan Harian Pas Pusat pada Isnin.

Dalam sidang medianya di Ibu Pejabat PAS, Husam yang juga bekas Naib Presiden PAS berkata nota cinta itu diberikan kepada PAS berhubung cabaran Kerajaan Negeri Kelantan untuk terus mengurus tadbir dan bagaimana parti Islam itu boleh menyatukan kembali perpaduan ahli-ahlinya.

“Dalam pertemuan tadi, semua berjalan dengan baik dan mesra… Saya telah sampaikan sedikit nota cinta kepada anggota pusat.

“Nota itu mengenai macam mana kerajaan kelantan boleh survive (meneruskan urus tadbir) … Dan parti (PAS) boleh mengekalkan perpaduan ahli-ahli semula,” katanya di Ibu Pejabat PAS.

Dalam ada itu, Husam juga mendakwa PAS telah menerima baik nota yang diberikan kepada partinya itu.

Katanya, semua pandangannya telah diterima baik oleh PAS dan menafikan bahawa beliau akan diambil tindakan berhubung teguran beliau terhadap kerajaan Kelantan.

“Pas terima nota itu.. Saya secara keluruhan berpuas hati, dan berterima kasih kepada Pas Pusat kerana menyediakan saluran ini untuk menyampaikan apa-apa pandangan sendiri.

“Alhamdulilah, mereka boleh mendengar, dan mungkin akan ada perjumpaan susulan lepas ini,” jelasnya.

Husam Musa yang juga ADUN Salur hadir ke ibu pejabat PAS untuk mengadap Jawatankuasa Dewan Harian PAS Pusat bagi memberi penjelasan berhubung teguran beliau terhadap kerajaan Kelantan.

Beliau yang hadir sekitar jam 1.50 petang itu turut ditemani lebih 100 penyokong beliau yang datang dari Kubang Kerian dan kawasan Dewan Undangan Negeri Salor.

Sementara itu, beberapa penyokong tegar bekas pemimpin PAS itu yang ditemui pemberita yakin Husam tidak bersalah.

Salah seorang penyokong Husam, Shamsul Bahri Daud, 50, dari Kubang Kerian berkata beliau menyokong penuh tindakan Husam itu hanya mahu membawa kebenaran dalam politik.

“Saya menyokong sepenuhnya Datuk Husam kerana dia membawa kebenaran dalam politik. Kita tak nak parti PAS berpecah kerana ada unsur-unsur lain dan saya yakin Datuk Husam adalah benar sebab dia berkeyakinan penuh dia adalah seorang yang benar,” katanya.


Tol PLUS naik lima peratus bermula 2016


Tol PLUS naik lima peratus bermula 2016
Perjanjian 2011 menetapkan PLUS hanya boleh menaikkan tol sebanyak lima peratus setiap tiga tahun bermula 2016 sehingga tamat konsesi pada 2038.

Semua lebuhraya di bawah PLUS akan mengalami kenaikan sebanyak lima peratus bermula tahun hadapan, kata Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin di Parlimen pada Isnin.

Beliau bagaimanapun berkata kadar tol Jambatan Pulau Pinang terkecuali dan kadar sedia ada kekal sehingga 31 Disember 2018.

“Perjanjian terkini juga menetapkan kenaikan kadar tol sebanyak lima peratus sahaja setiap tiga tahun mulai 2016 hingga tamat tempoh konsensi pada 31 Disember 2038,” katanya menerusi jawapan bertulis kepada Ahli Parlimen Setiawangsa, Datuk Johari Abdul Ghani.
Johari dalam soalannya meminta kerajaan menjelaskan, benar atau tidak kenaikan tol akan berterusan sehingga 2038.

Menurut Rosnah, berdasarkan perjanjian konsensi tambahan PLUS yang ditandatangani pada November 2011, kerajaan dan PLUS Expressway Berhad (PEB) bersetuju untuk tidak menaikkan kadar tol bagi semua lebuh raya PLUS bagi tempoh lima tahun sehingga 2015.

Sebelum 2011, kenaikan kadar tol ialah sepuluh peratus untuk setiap tiga tahun bagi PLUS.

“Bagaimanapun kerajaan akan menyemak dahulu permohonan PLUS untuk kenaikan tol dengan memgambil kira ‘consumer price index (CPI) dan ini bermakna tiada kenaikkan secara outomatik untuk PLUS,” katanya.

Lebuhraya yang terlibat ialah Lebuhraya Baru Lembah Klang  (NKVE), Lebuhraya Persekutuan Laluan Dua, Lebuhraya Seremban-Port Klang, Lingkaran Tengah Lebuhraya Utara-Selatan, Lingkaran Kedua Malaysia-Singapura dan Lebuhraya Butterworth-Kulim.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Rujukan