Cari Artikel

Monday, November 30, 2015

Bekas CEO 1MDB selesai beri kenyataan kedua


Bekas CEO 1MDB selesai beri kenyataan kedua
Selepas memberi kenyataan keduanya dalam siasatan PAC berhubung 1MDB, Shahrol memberi jaminan akan terus bekerjasama membantu siasatan tersebut.

Bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Shahrol Halmi menyatakan rasa puas hatinya selepas memberi kenyataan buat kali kedua kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Bercakap kepada pemberita di Parlimen, Shahrol mengesahkan bahawa dia telah memberikan jawapan yang cukup panjang kepada jawatankuasa itu pada Isnin.

“Saya bersedia untuk terus membantu dalam siasatan berhubung 1MDB ini,” katanya memberi jaminan.

Walau bagaimanapun, Shahrol enggan mendedahkan soalan yang ditanya dalam perbicaraan tersebut.
“Saya bukan dalam kedudukan untuk mendedahkan soalan-soalan itu,” katanya.

Beliau turut mengelak daripada menjawab soalan tentang jenis dokumen yang dibawa bersama dalam sesi perbicaraan dan meminta agar pemberita menunggu prosiding selesai sebelum mendedahkannya.
“Kami akan tunggu sehingga semua siasatan dan laporan selesai,”
“Maaf saya tidak boleh menjawab lagi,” katanya.

Pengerusi PAC, Hasan Ariffin mengesahkan sebelum ini bahawa Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB semasa Arul Kanda sedia memberi keterangan kepada pihaknya pada Selasa, 1 Disember.

Hasan juga berkata, bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB dari April 2013 hingga Disember 2014, Hazeem Abdul Rahman akan memberi keterangan kepada PAC pada 14 Disember manakala bekas lembaga pengarah 1MDB (BOD), Mohd Bakke Salleh dan Azlan Zainol serta lembaga pengarah semasa, Lodin Wok Kamaruddin akan memberi kenyataan mereka pada 15 Disember.


Anak Ku Nan ditanya siapa pemimpin paling berani di Malaysia?


Anak Ku Nan ditanya siapa pemimpin paling berani di Malaysia?
Seorang pensyarah di universiti tempatan menyifatkan Anwar Ibrahim sebagai pemimpin paling berani di negara ini.

Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor membidas sesetengah pensyarah yang bermain politik dan cuba mempengaruhi golongan muda supaya menyokong pembangkang.

Menteri Wilayah Persekutuan itu menceritakan pengalaman anaknya yang sedang menuntut di salah sebuah universiti tempatan.

“Saya beri contoh, macam anak saya baru-baru ini di universiti di tanya, siapa pemimpin di Malaysia yang berani?

“Dia (pensyarah) bagitahu jawapannya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, jadi macam mana?.. Anda tahu karekter si polan (Anwar) ini…jika itu ikon awak, apa akan jadi kepada anak anda,” katanya ketika berucap dalam Majlis Konvensyen Kebangsaan Kesejahteraan Sosial Komuniti Bandar: Ke Arah Pengukuhan Agenda Berpaksikan Rakyat di Hotel Istana.

Tengku Adnan atau Ku Nan berpandangan pemimpin yang berani di negara ini bukan Anwar sebaliknya bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Pemimpin paling berani bukan Anwar Ibrahim, tetapi sebenarnya Tun Mahathir.

“Pensyarah-pensyarah ini semua akan tukar pemikiran anda…Tapi ingat jika anda tukar pemikiran anak anda hari ini, apa akan jadi masa akan datang.

“Inilah masalah kita hadapi.. saya merayu dan minta pensyarah di Malaysia lebih berjaga-jaga,” katanya.


Khairuddin sudah insaf


Khairuddin sudah insaf
Pengalaman ditahan dalam penjara mungkin telah menyedarkan Khairuddin Abu Hassan apabila mendesak kerajaan membebaskan Anwar Ibrahim.

Bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan mungkin sudah insaf apabila menggesa kerajaan membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim dari penjara.

Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, pengalaman merasai sendiri penderitaan di dalam penjara mungkin telah menjadikan Khairuddin insaf dan memahami penderitaan yang ditanggung Anwar di penjara.

“Bila kena tahan (lokap), kena denggi mungkin beliau (Khairuddin) sudah insaf,” katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen pada Isnin.

Mengulas lanjut, Azizah tetap dengan pendirian beliau sebelum ini bahawa Anwar tidak bersalah dan perlu dibebaskan.

“Anwar tidak bersalah sepatutnya dibebaskan, berilah keadilan bukan sahaja pada Anwar dan Keadilan untuk warga negara Malaysia termasuk mereka yang dikenakan SOSMA. Pendakwaan terpilih tidak sepatutnya terjadi,” katanya.

Baru-baru ini, Khairuddin menggesa kerajaan membebaskan Anwar daripada tahanan penjara kerana tiba masanya Anwar menyemarakkan lagi landskap serta senario politik tanah air.


UMNO pecat Anina secara salah – Peguam


UMNO pecat Anina secara salah – Peguam
Surat pemecatan tidak menyatakan kesalahan yang dilakukan dan fasal dalam Perlembagaan yang telah dicabuli.

Anina Saadudin dipecat secara salah kerana surat pemecatan tidak menyatakan secara terperinci kesalahan yang dilakukan dan fasal dalam Perlembagaan yang telah dicabuli.

Peguam Anina, Hanif Khatri Abdulla memberitahu Pesuruhjaya Kehakiman, S. Natha Balan bahawa dua surat yang dihantar kepada Anina yang ditandatangani Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bertarikh 1 dan 2 September adalah samar-samar.

Ini kerana, katanya, Tengku Adnan atau Ku Nan tidak menyatakan Anina dipecat mengikut fasal berapa dan atas kesalahan apa.

“Perkataan yang digunakan dalam surat itu yang menyatakan ‘dipecat sebagai ahli oleh ibu pejabat’ adalah salah.

“Hanya Majlis Tertinggi boleh mengarahkan Jawatankuasa Disiplin untuk membuat keputusan mengenai keahlian termasuk memecat mengikut Fasal 20.9 Perlembagaan UMNO.

“Ku Nan tidak mempunyai kuasa untuk memecat keahlian,” katanya sambil menambah surat pemecatan itu telah diedarkan di laman sosial sebelum diserahkan kepada Anina.

Datuk Hafarizam Harun yang mewakili Ku Nan dan Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Abd Rauf Jusoh berkata, keahlian Anina terbatal secara automatik selepas dia memfailkan saman terhadap Presiden, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Katanya, perkara itu dinyatakan dalam Perlembagaan parti Fasal 20.7.
Katanya, mengikut Seksyen 18C AktaPertubuhan, mahkamah tiada kuasa untuk menentukan pertikaian dalam parti.

“Anina telah melakukan kesalahan apabila membawa isu parti ke mahkamah,” kata Hafarizam.
S. Nantha Balan menetapkan 7 Disember depan untuk membuat keputusan.

Anina memfailkan saman terhadap Najib pada 28 Ogos lalu berkaitan derma RM2.6 billion.
Dia kemudian dipecat sebagai ahli UMNO kerana didakwa melanggar Perlembagaan parti.
Anina kemudian memfailkan saman terhadap Ku Nan dan Abd Rauf untuk mendapatkan pengistiharan bahawa pemecatan itu tidak sah.


Kuantan bakal berdepan banjir lumpur bauksit


Kuantan bakal berdepan banjir lumpur bauksit
Fuziah Salleh khuatir hujan yang semakin kerap berikutan musim tengkujuh berpotensi memburukkan keadaan semasa di Kuantan dengan banjir lumpur tercemar daripada aktiviti bauksit.

Semua aktiviti perlombongan bauksit di Kuantan perlu digantung operasinya sebelum keadaan menjadi lebih parah.

Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh membuat gesaan itu kepada Putrajaya berikutan musim tengkujuh yang dihadapi sekarang berkemungkinan besar boleh menyebabkan risiko banjir yang membawa air tercemar lumpur bauksit memasuki kediaman penduduk kawasan terlibat.

Berkongsi sebuah imej gambar foto yang menunjukkan dinding pada kolam kawasan perlombongan bauksit yang retak, Fuziah khuatir kerosakkan itu boleh menyebabkan air lumpur merah mengalir keluar dari tapak perlombongan ke kawasan perumahan.

“Ia adalah gambar sebuah kolam perlombongan bauksit yang tercemar dengan lumpur.

“Dinding penghalang kolam perlombongan didapati retak pada awal pagi Ahad pukul 2:45 pagi, kira-kira empat jam selepas hujan lebat pada hari malam Sabtu, jam 10 malam.

“Ini menyebabkan lumpur toksik yang mengandungi zarah logam berat memasuki rumah-rumah di kawasan sekitar,

“Yang menyedihkan ialah kawasan perlombongan itu beroperasi secara sah dengan kelulusan undang-undang,” katanya.

Fuziah juga tidak menolak situasi sebenar jauh lebih buruk daripada yang dilapor kerana ia tidak termasuk tapak perlombongan haram yang lebih banyak beroperasi di sekitar kawasan itu.

“Bagaimana pula dengan lombong haram? Mereka berada di luar kawalan,” kata sambil mengingatkan bahawa ini adalah permulaan musim tengkujuh.

Oleh yang demikian, Fuziah menyeru kerajaan negeri supaya membuat pemberhentian sementara semua aktiviti perlombongan di kawasan tersebut sehingga lombong dibaiki sepenuhnya.

“Kita bernasib baik kerana hujan telah berhenti semalam. Cuba bayangkan apa yang akan berlaku jika hujan berterusan selama 4 hari?” soal beliau.

Kerajaan Persekutuan juga diminta bertindak seadilnya dengan menggantung lesen eksport perdagangan syarikat-syarikat perlombongan sehingga satu undang-undang peraturan alam sekitar dibuat.


Singkir Pas dari Selangor, fitnah jahat blogger – Wan Azizah


Singkir Pas dari Selangor, fitnah jahat blogger – Wan Azizah
Wan Azizah bersetuju dengan kenyataan Azmin, bahawa perlunya kerjasama dengan gabungan parti pembangkang termasuk Pas untuk menjatuhkan BN.

Dakwaan kononnya kerajaan negeri Selangor pimpinan Mohamed Azmin Ali bersetuju menghalau Pas daripada kerajaan negeri tidak benar sama sekali.

Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, beliau bersetuju dengan kenyataan Azmin sebelum ini bahawa Pas diperlukan bagi menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN), selain melakukan kerjasama dengan gabungan dalam Pakatan Harapan.

“Semalam Azmin sudah mengatakan bahawa kita (pakatan pembangkang) perlu bersatu dalam usaha untuk menjatuhkan BN. Saya bersetuju,” katanya ketika ditemui pemberita di Lobi Parlimen pada Isnin.

Mengulas lajut, Wan Azizah berkata, dakwaan kononnya Azmin akur dengan desakan DAP untuk menghalau Pas dari pentadbiran kerajaan Selangor hanyalah fitnah jahat yang dibuat blogger-blogger yang didakwa pro BN.

“Tidak benar (Azmin tunduk kepada desakan DAP), blogger-blogger ini mengambil upah, jadi kita tidak boleh ambil (dengar) apa yang mereka katakan sebagai fakta,” katanya.

Terdahulu, blogger pro BN mendakwa, kerajaan negeri Selangor di bawah pentadbiran Azmin berada dalam tekanan hebat berikutan desakan DAP yang mahu kerajaan Selangor mengiktiraf Parti Amanah Negara (PAN) sebagai parti gabungan DAP dan PKR dalam membentuk Pakatan Harapan serta desakan DAP yang mahu Azmin mengiktiraf kewujudan Pakatan Harapan.

Katanya, Tony Pua selaku Pengerusi DAP Selangor turut mendesak Azmin menyingkirkan Pas dan semua EXCO Pas yang dilantik bagi membolehkan Pakatan Harapan mentadbir Selangor secara solid tanpa ada sebarang campur tangan Pas di negeri itu.


Ucapan penggulungan Muhyiddin: MT akan putuskan


Ucapan penggulungan Muhyiddin: MT akan putuskan
Perlembagaan parti tidak menyatakan ucapan penggulungan mesti dilakukan oleh Timbalan Presiden dan Naib-naib Presiden

Tiada dalam Perlembagaan UMNO yang mewajibkan Timbalan Presiden dan Naib-naib Presiden membuat ucapan penggulungan pada hari terakhir Perhimpunan Agung UMNO.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, memadai jika hanya Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak membuat ucapan penggulungan.

Bagaimanapun, katanya, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada Majlis Tertinggi UMNO untuk membuat keputusan.

“Dalam Perlembagaan tiada tertera yg mengatakan si polan (orang) ini kena bercakap.

“Saya lihat kebanyakan, bertahun-tahun saya jadi Setiausa Agung dan Setiausaha Kerja dulu, ucapan penggulungan jadi medan untuk siapa bercakap paling terbaik. Ini sebenarnya tak baik untuk parti.

“Bagi saya yang sepatutnya berucap seorang sajalah. Presiden (Najib)… tak perlu orang lain…(Tapi) terserah pada Presiden dan juga Majlis Tertinggi untuk putuskan,” katanya dalam satu sidang media selepas merasmikan Majlis Konvensyen Kebangsaan Kesejahteraan Sosial Komuniti Bandar: Ke Arah Pengukuhan Agenda Berpaksikan Rakyat di Hotel Istana.

Beliau diminta mengulas desas-desus yang mendakwa Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak akan dibenarkan membuat ucapan penggulungan.

Sebelum ini, Majlis Tertinggi UMNO mengumumkan Timbalan Presiden tidak perlu merasmikan persidangan sayap-sayap UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO.

Ku Nan berkata, isu melibatkan ucapan perasmian sayap-sayap UMNO dan ucapan penggulungan tidak dilihat sebagai satu keperluan berdasarkan Perlembagaan parti.

“Pada saya ni bukan satu keperluan dalam Perlembagaan.

“Saya akan buat perubahan-perubahan yang tidak perlu dalam Perlembagaan macam mana yang dilakukan untuk persidangan sayap.

“Apa yang penting adalah PAU 2015 kali ini dapat dijalankan dengan baik,” katanya.


Lebih ramai Ketua UMNO cawangan akan dikenakan tindakan


Lebih ramai Ketua UMNO cawangan akan dikenakan tindakan
Perbuatan mendesak Najib Tun Razak berundur adalah melanggar disiplin parti dan boleh menghancurkan parti serta negara.

Lebih ramai Ketua UMNO cawangan akan dikenakan tindakan disiplin kerana mendesak Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak berundur.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, mendesak Najib berundur bukan sahaja melanggar disiplin malah boleh menghancurkan negara dan parti.

“Ramai lagi yang akan di bawa ke Jawatankuasa Disiplin… ketua cawangan ini semua tak ada disiplin.

“Saya perlu orang yang berdisiplin dalam parti,” katanya dalam satu sidang media selepas merasmikan Majlis Konvensyen Kebangsaan Kesejahteraan Sosial Komuniti Bandar: Ke Arah Pengukuhan Agenda Berpaksikan Rakyat di Hotel Istana pada Isnin.

Tengku Adnan atau Ku Nan berkata, anggaran sembilan ketua cawangan akan dikenakan tindakan tidak tepat kerana bilangannya lebih ramai.

“Lebih baik tak ramai ahli tetapi komited daripada ramai ahli yang beragenda menghancurkan negara dan juga menghancurkan parti,” katanya.

Sebelum ini Ketua Cawangan UMNO Teluk Kemang berkata pihaknya akan dihadapkan ke Jawatankuasa Disiplin parti ekoran desakan secara terbuka supaya Najib berundur.

Ketua Cawangan Taman TKK Teluk Kemang, Kamarul Azman Habibur Rahman pula berkata, kepimpinan UMNO terpaksa mengambil tindakan itu kerana tercabar dengan desakan supaya Najib berundur.

Tiada tarikh akhir siasat 1MDB – Nancy Shukri


Tiada tarikh akhir siasat 1MDB – Nancy Shukri
Memandangkan kes ini melibatkan ramai saksi dan dokumen termasuk yang berada di luar negara, maka tiada jangka masa tertentu yang ditetapkan untuk penyelesaian kes 1MDB.

Tiada tempoh akhir yang ditetapkan oleh Pasukan Petugas Khas untuk menyiasat isu berhubung syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri berkata, pasukan itu masih lagi dalam proses melengkapkan siasatan dan perkara itu akan hanya selesai setelah keterangan kesemua saksi dirakam serta dokumen berkaitan diperolehi.

“Memandangkan kes ini melibatkan ramai saksi dan dokumen termasuk yang berada di luar negara, maka tiada jangka masa tertentu yang ditetapkan untuk penyelesaian kes itu,” katanya menerusi jawapan bertulis kepada Datuk Zainudin Ismail (BN-Jelebu) pada Isnin.

Zainudin dalam soalannya meminta penjelasan menteri mengenai status terkini siasatan yang dibuat Pasukan Petugas Khas yang ditubuhkan Peguam Negara bagi menyiasat kes 1MDB dan tarikh laporan itu dijangka dapat diselesaikan.

Beliau juga turut mempersoal jikalau hasil siasatan tersebut akan dibentang di parlimen atau sebaliknya.

Menurut Nancy, perkara itu hanya akan diputuskan oleh Peguam Negara sebaik siasatan 1MDB selesai.

“Hasil siasatan Pasukan Petugas Khas itu akan dikemukakan kepada Peguam Negara untuk tindakan lanjut,” katanya ringkas.


PAU 2015: Muhyiddin kekal duduk sebelah Najib


PAU 2015: Muhyiddin kekal duduk sebelah Najib
Ahmad Zahid meminta semua orang menghormati kedudukan kerusi itu kerana ia merupakan hieraki dalam parti.

Kedudukan Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan kekal bersebelahan kerusi Presiden dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2015, yang dijangka bermula pada 8 Disember ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan tiada sebarang perubahan kerusi yang akan dilakukan kelak.

“Timbalan presiden mesti didudukkan di sebelah kanan presiden. Naib presiden satu mesti didudukkan di sebelah kanan timbalan presiden begitu juga naib-naib presiden lain,” tegasnya, lapor Bernama.

Beliau berkata demikian kepada media Malaysia ketika mengulas mengenai kedudukan susun atur kerusi kepimpinan UMNO berikutan situasi semasa selepas menghadiri majlis penutupan Mesyuarat Ketua-Ketua Negara Komanwel (CHOGM) di Malta.

Kedudukan kerusi itu, katanya mesti dihormati oleh semua pihak kerana ia merupakan hieraki dalam parti.

Beliau juga menegaskan UMNO sebuah parti dinamik yang mendengar pandangan pelbagai tokoh atau mereka yang pernah menjadi tokoh di dalam UMNO.

Namun, beliau melihat masalah ketidakadilan berlaku apabila keputusan yang dibuat oleh kepimpinan parti terhadap seseorang dalam parti, dianggap sebagai suatu penganiayaan.

“Apapun, yang penting ialah kebersamaan mendukung kepimpinan. Perbezaan pendapat biarpun diraikan, akhirnya UMNO diperkukuhkan…pemimpin itu hendaklah diberi sokongan sepenuhnya,” katanya.

Menurut Ahmad Zahid, apabila sesuatu keputusan itu dibuat, ia perlu dihormati dan semangat itu harus ada pada kepimpinan UMNO sama ada di peringkat nasional, negeri, bahagian atau akar umbi.


Siasatan dakwaan Mashitah bahawa Quran dibakar selesai


Siasatan dakwaan Mashitah bahawa Quran dibakar selesai
Polis memandang serius perkara-perkara berkaitan hasutan terutamanya yang melibatkan sensitiviti kaum dan agama tanpa mengira status orang yang terlibat.

Siasatan berhubung dakwaan Ketua Wanita Umno Baling, Dr Mashitah Ibrahim bahawa seorang individu berbangsa Cina di Alor Setar bertindak membakar Al-Quran dalam satu upacara sembahyang berjaya diselesaikan oleh polis.

Menteri Dalam Negeri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dalam jawapan bertulisnya kepada Ahli Parlimen Alor Setar, Gooi Hsiao-Leung, berkata, siasatan itu telah dirujuk kepada Peguam Negara (AG) pada 5 Februari.

“Sebanyak 10 laporan polis telah dibuat oleh pelbagai pihak sebagai menentang kenyataan yang dibuat oleh suspek (Mashitah).

“Siasatan telah dijalankan berdasarkan Laporan Sentul 20032/2015 bertarikh 5 Disember 2014 di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan yang melibatkan kenyataan-kenyataan yang boleh membawa kerosakan awam,” kata Zahid.

Gooi dalam soalannya meminta Zahid mendedahkan tindakan lanjut yang telah diambil oleh Peguam Negara bersama-sama kertas siasatan yang dikemukakan oleh pihak polis berikutan kenyataan kontroversi Mashitah.

“Polis memandang serius perkara-perkara berkaitan hasutan terutamanya yang melibatkan sensitiviti kaum dan agama tanpa mengira status orang yang terlibat. Siasatan akan dilakukan berdasarkan laporan secara adil,” kata Zahid.

Pada Perhimpunan Agung UMNO yang lalu (26 November 2014) Mashitah dilaporkan mendakwa seorang individu berbangsa Cina bertindak membakar al-Quran di Kedah dan menggesa perwakilan Wanita Umno untuk bersuara.

Beliau berkata, Islam dan keistimewaan orang Melayu sentiasa dicabar.


Bekas pegawai diplomatik mengaku salah melakukan serangan seksual


Bekas pegawai diplomatik mengaku salah melakukan serangan seksual
Muhamad Rizalman berhadapan hukuman penjara maksimum tujuh tahun penjara.

Bekas Pegawai Diplomatik, Mohamed Rizalman Ismail mengaku salah atas tuduhan membuat serangan seksual terhadap seorang wanita warga New Zealand tahun lalu.

Dia yang bertugas di bahagian ketenteraan di Kedutaan Malaysia di sini mencetuskan kontroversi apabila pulang ke Malaysia untuk mendapatkan imuniti diplomatik.

Dia bagaimanapun telah diekstradisi dan dihadapkan ke mahkamah dan didakwa melakukan cubaan merogol dan pecah rumah.

Bagaimanapun, Rizalman hanya didakwa dengan satu tuduhan iaitu melakukan serangan seksual terhadap mangsa, Tania Bilingsley , selepas tertuduh berumur 39 tahun itu mengaku salah di mahkamah selepas perbicaraan yang bermula Isnin lalu.

Dalam perbicaraan itu, peguam Rizalman, Donald Stevens mendakwa tertuduh mengalami tekanan mental tetapi alasan itu dibantah oleh pihak pendakwaan.

Mengikut fakta kes,kejadian berlaku pada 9 Mei tahun lalu di rumah wanita terbabit yang berdekatan dengan Pejabat Kedutaan Malaysia.

Rizalman yang tidak memakai seluar cuba menyerang wanita itu dan berlaku pergelutan sebelum wanita berjaya menelefon polis.

Steven berkata, Rizalman memberitahu polis, dia dan mangsa telah keluar bersama untuk menonton wayang sebelum kejadian serangan itu tetapi tidak dinyatakan sama ada mangsa keluar secara rela atau dipaksa.

Undang-undang New Zealand menetapkan hukuman maksimum penjara tujuh tahun bagi kesalahan melakukan serangan seksual.

Hakim David Collins menetapkan Jumaat ini untuk mendengar sebarang pertikaian mengenai kes itu sebelum menjatuhkan hukuman.

Sekiranya tertuduh dijatuhkan hukuman tahanan dalam rumah, dia mungkin dibenarkan menjalani hukuman itu di Kedutaan Malaysia di sini.

– AFP


Edra dijual selepas syarikat China setuju serap hutang


Edra dijual selepas syarikat China setuju serap hutang
Semua pihak perlu sedar bahawa keputusan menjual Edra terpaksa dilakukan bagi mengurangkan hutang serta sejajar penstrukturan semula 1MDB.

Penjualan anak syarikat 1Malaysia Development Bhd (1MDB), Edra Global Energy Bhd, dilakukan dengan kerana syarikat dari China itu bersetuju untuk menyerap hutang syarikat berjumlah hampir RM8 bilion.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Johari Abdul Ghani berkata, China General Nuclear Power Corp dan anak syarikatnya (CGN Group) yang membeli kesemua aset Edra pada harga RM9.83 bilion mengambil kira liabiliti atau hutang syarikat itu.

“Ia tawarkan RM9.83 bilion dan ambil alih hutang hampir RM8 bilion. Jadi kita mesti lihat nilai digabungkan (hampir RM18 bilion).

“Hutang adalah liabiliti yang diambil kira dalam pengambilalihan sesebuah syarikat dan orang tidak akan bayar sebegitu banyak dan hutangnya diserap kalau syarikat itu tiada nilai,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pesta Sukan Kementerian Kewangan, di Institut Penilaian Negara (Inspen), lapor Bernama.

Beliau berkata demikian, mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam laman blognya yang mempersoalkan penjualan Edra pada harga RM9.83 bilion bagi mengurangkan hutang 1MDB, sedangkan ia dibeli pada harga RM18 bilion.

Beliau juga mahu semua pihak sedar bahawa keputusan menjual Edra terpaksa dilakukan bagi mengurangkan hutang serta sejajar penstrukturan semula 1MDB.

“Jika tidak, ia dalam keadaan hutang tidak boleh dibayar dan terpaksa diambil alih oleh kerajaan. Jika ini terjadi, ia akan hanya menambah defisit fiskal dan inilah yang cuba dielakkan.

“Secara peribadi, saya berasakan ianya situasi yang mana 1MDB tiada pilihan…hendak membuat IPO (tawaran awam permulaan) tiada respon, hendak dijual kepada pelabur tempatan pula harganya murah dan tidak cukup bagi membayar hutang. Akhirnya ia dibuka kepada pembida luar,” katanya.

Pada 23 Nov lepas, 1MDB, Edra dan anak syarikatnya memeterai perjanjian jual beli saham dengan CGN Group untuk jualan 100 peratus pemilikan dalam semua aset tenaganya, iaitu Edra Solar Sdn Bhd, Edra Energy Sdn Bhd, Powertek Energy Sdn Bhd, Jimah Teknik Sdn Bhd, Jimah O&M Sdn Bhd, Mastika Lagenda Sdn Bhd dan Tiara Tanah Sdn Bhd (syarikat operasi Edra).

CGN Group akan membayar dalam tunai, nilai ekuiti RM9.83 bilion dan akan menanggung semua hutang kasar berkaitan dan tunai syarikat operasi Edra, berdasarkan tarikh penilaian pada 31 Mac 2015.

“Penglibatan syarikat asing dalam industri penjanaan tenaga juga bukanlah sesuatu yang baharu.
“Masyarakat perlu faham industri itu sebenarnya banyak melibatkan syarikat asing. Kadang-kadang kita panggil syarikat seperti Mitsui dan Sumitomo dan CGN berpengalaman luas dalam bidang ini,” katanya.

Beliau turut menggesa masyarakat agar tidak bimbang kerana sebagai Penjana Tenaga Bebas (IPP), Edra hanya terlibat dalam aktiviti penjanaan manakala aspek pengedaran tenaga masih dikawal sepenuhnya oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB).


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Rujukan