Cari Artikel

Friday, November 27, 2015

Malaysia gesa PBB tegas cari penyelesaian isu Palestin


Malaysia gesa PBB tegas cari penyelesaian isu Palestin
Malaysia menggesa siasatan segera dilakukan terhadap penemuan Amnesty International mengenai pembunuhan yang sengaja dilakukan, dilaksanakan atas perintah kerajaan atau pegawai tentera yang dilarang dan dianggap jenayah oleh undang-udang antarabangsa.

Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dan setiausaha agungnya digesa tegas dalam melaksanakan mandat, tanggungjawab dan komitmennya bagi mencari penyelesaian dan keamanan berkekalan untuk Palestin.

Timbalan Wakil Tetap Malaysia ke PBB Raja Reza Raja Zaib Shah membuat gesaan itu sekali gus mengesahkan sokongan penuh Malaysia untuk memberi hak yang sah kepada rakyat Palestin bagi mendapatkan negara Palestin berdaulat.

“Sejak Oktober 2015, lebih daripada 1,520 rakyat Palestin, dengan 60 peratus daripadanya kanak-kanak, telah ditahan oleh tentera Israel. Di Timur Baitulmuqqadis, seramai 110 kanak-kanak ditahan yang meningkat 56 peratus berbanding pada suku tahun sebelumnya.

“Kita perlu segera meredakan dan menghentikan gelombang keganasan yang berlaku kini bagi mengelak lebih banyak nyawa terkorban, selain menolak keganasan peneroka Israel, penggunaan tahanan pentadbiran yang diperbaharui terutamanya terhadap kanak-kanak, penempatan paksaan kepada penduduk Palestin, dan eksploitasi sumber asli di tanah Palestin.

” … Malaysia akan terus mendesak supaya ditarik balik sekatan ke atas Gaza, dan menghentikan hukuman tidak berperikemanusiaan oleh Israel terhadap penduduk Gaza,” katanya dalam kenyataan pada Mesyuarat Pleno Sesi Ke-70 Perhimpunan Agung PBB di New York, lapor Bernama.

Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serbuan tentera Israel di sekolah dan hospital yang melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa, dan jelas tidak menghormati Konvensyen Keempat Geneva bagi perlindungan dan menghormati hospital awam oleh pihak terbabit dalam konflik.

Justeru itu, beliau menggesa siasatan segera dilakukan terhadap penemuan Amnesty International mengenai pembunuhan yang sengaja dilakukan, yang dilaksanakan atas perintah kerajaan atau pegawai tentera yang sememangnya dilarang dan dianggap penjenayah oleh undang-udang antarabangsa.

Tambahnya lagi, Malaysia turut mengutuk sekeras-kerasnya tindakan provokasi, hasutan dan keganasan di tanah suci bandar lama Baitulmuqqadis oleh semua pihak, kerana ia hanya mencetuskan lagi ketegangan dan memburukkan keadaan keselamatan di sana.

“Malaysia turut mengutuk tindakan Israel yang terus memperluas penempatan haram dan merobohkan bangunan di tanah Palestin termasuk di Timur Baitulmuqqadis, yang merupakan tindakan yang dilarang mengikut undang-undang antarabangsa, yang terus mengancam usaha penyelesaian kedua-dua negara,” katanya.

Mengulangi pesanan perpaduan yang dibuat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Raja Reza juga berkata, Malaysia bersama-sama dengan penduduk Palestin dan komited untuk menjalinkan kerjasama dengan negara yang mempunyai pendirian sama ke arah menangani punca konflik itu.


Kevin Morais tidak terbabit dengan siasatan 1MDB-Apandi


Kevin Morais tidak terbabit dengan siasatan 1MDB-Apandi
Mendiang telah dipindahkan kembali ke Jabatan Peguam Negara pada awal Julai 2014 dan ketika itu, laporan 1MDB masih belum dibuat.

Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali menafikan dakwaan mendiang Timbalan Pendakwa Raya, Anthony Kevin Morais pernah terlibat dalam siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Jelasnya, Kevin telah dipindahkan kembali ke Jabatan Peguam Negara pada awal Julai 2014 dan ketika itu, laporan 1MDB masih belum dibuat.

Menurut Utusan Online, pihaknya mendapat reaksi itu dari Mohamed Apandi melalui khidmat pesanan ringkas (SMS).

Susulan itu dibuat berikutan kenyataan adik mendiang, Charles Suresh Morais yang mengaitkan kematian abangnya dengan siasatan 1MDB.

Sebelum ini, dia melalui satu sidang media mendakwa memiliki pemacu USB yang mengandungi maklumat terkini berhubung satu kes yang sebelum ini dikendalikan Kevin dan boleh dikaitkan dengan kematiannya.


Polis berjaya selesaikan kes culik bayi 12 hari


Polis berjaya selesaikan kes culik bayi 12 hari
Polis mengesahkan bapa saudara bayi turut menjadi dalang di sebalik penculikan bayi yang bermotifkan wang tebusan.

Kes penculikan seorang bayi lelaki berusia 12 hari dari sebuah rumah di Kota Laksamana dipercayai dapat diselesaikan selepas polis berjaya menahan empat suspek termasuk seorang dalang.

Kejadian yang berlaku pada 24 November lepas membabitkan penahanan empat suspek warga tempatan, tiga wanita dan seorang lelaki yang berusia dalam lingkungan 21 hingga 25 tahun.

Ketua Polis Melaka Datuk Chua Ghee Lye berkata, dengan penahanan itu, polis dapat menyelesaikan kes itu dalam tempoh kurang daripada 48 jam.

“Susulan kejadian pada Selasa lepas, ibu mangsa menerima khidmat pesanan ringkas daripada suspek pukul 6.52 petang meminta beliau menyerahkan wang tebusan RM300,000 dan selepas berbincang penculik terbabit bersetuju mengurangkan jumlah itu kepada RM200,000.

“Keluarga mangsa kemudian membuat bayaran tebusan di sebuah premis pusat tuisyen di Pulau Gadong di sini kira-kira 10.30 malam tadi seperti yang dikehendaki suspek berkenaan.

“Polis kemudian menyerbu premis tersebut serta menahan tiga wanita dan menyelamatkan bayi tersebut. Polis turut menahan seorang lelaki yang dipercayai bapa saudara mangsa,” katanya dalam sidang akhbar pada Khamis, lapor Bernama.

Siasatan lanjut juga mendapati dua daripada empat suspek adalah ahli keluarga kepada mangsa berumur 25 dan 24 tahun.

Ghee Lye berkata, bayi berkenaan dibawa ke Hospital Melaka untuk pemeriksaan kesihatan dan motif penculikan dipercayai disebabkan suspek mempunyai masalah kewangan.

Beliau berkata kesemua suspek kini direman seminggu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 3(1) Akta Culik 1961 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup, jika sabit kesalahan.


Najib, Mustapa digesa siasat di bawah Akta Hasutan


Najib, Mustapa digesa siasat di bawah Akta Hasutan
MITI seolah-olah memberi gambaran bahawa sistem kehakiman Malaysia kurang kompeten sehingga tidak boleh dipercayai. Ini satu penghinaan terhadap sistem mahkamah kita.

Tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mustapa Mohamed menandatangani Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) dianggap sebagai menghina sistem kehakiman negara.

Ini kerana perjanjian perdagangan itu mengandungi peruntukan yang mempunyai kebolehan untuk menyekat bidang kuasa mahkamah sekali gus menghina sistem kehakiman negara dan menjejaskan kedaulatan negara.

Ekoran itu, Ahli Parlimen Sungai Siput, Dr Micheal Jeyakumar Devaraj mendakwa kedua-dua Menteri itu perlu disiasat di bawah Akta Hasutan.

“MITI seolah-olah memberi gambaran bahawa sistem kehakiman Malaysia kurang kompeten sehingga tidak boleh dipercayai. Ini satu penghinaan terhadap sistem mahkamah kita,” katanya semasa sidang media selepas membuat laporan polis terhadap Najib dan Mustapa di IPD Sentul pada Khamis.

Beliau yang mewakil Parti Sosialis Malaysia (PSM) berkata, kewajaran di sebalik tuntutan Perdana Menteri dan Mustapa perlu disiasat di bawah Akta Hasutan apabila sebelum ini aktivis pembangkang S.Arutchelvan juga disiasat di bawah akta yang sama kerana mempersoal ketelusan hakim yang mengadili kes Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Bila Arutchelvam mengatakan dakwaan terhadap Anwar tidak adil, beliau dikenakan Akta Hasutan.”

“Akta Hasutan mengatakan sesiapa yang menimbulkan perasaan negatif terhadap kerajaan mereka boleh dikenakan akta tersebut.

“Jika mereka boleh mendakwa Arul, maka menteri juga perlu didakwa di bawah akta itu kerana menteri menyatakan sistem kehakiman kita tidak boleh pakai sama sekali. Ini lebih teruk,” katanya.


Pembunuhan Anthony Kevin Morais:Buat laporan polis dulu sebelum menuduh


Pembunuhan Anthony Kevin Morais:Buat laporan polis dulu sebelum menuduh
Sehingga kini polis masih menunggu laporan daripada Charles Morais

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed memberikan pandangan serupa dengan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar apabila meminta adik mendiang Kevin Morais membuat laporan polis.

Menurut Nur Jazlan, Charles Morais sepatutnya membuat laporan terlebih dahulu sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.

Katanya, Charles tidak seharusnya memberikan sebarang kenyataan terbuka kepada pihak media mengenai isu yang dikaitkan dengan kematian abangnya.

“Polis tidak dapat meneruskan siasatan dan akan menganggap pendedahan dan dakwaan Charles Suresh Morais sebagai satu tuduhan liar. Prosedurnya ialah buat laporan polis. Polis tidak akan siasat berdasarkan khabar angin dan polis tidak dapat bertindak terhadap tuduhan seperti itu.

“Dia tidak sepatutnya buat tuduhan melainkan dia ada bukti sokongan berserta laporan rasmi polis, barulah kita mula siasat,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, pada Khamis.

Nur Jazlan yang juga ahli Parlimen Pulai berkata, sehingga kini pihak polis juga masih menunggu laporan daripada Charles.

Mengenai kemungkinan Charles yang memilih untuk mendedahkan kepada media berbanding membuat laporan polis kerana ragu-ragu dengan pihak berkuasa itu, Nur Jazlan berkata: “Dia boleh dedahkannya kepada media tetapi tanpa laporan polis kita tak akan mulakan siasatan…kita anggap tohmahan”.

Pada Rabu, Charles melalui satu sidang media mendakwa dia kini memiliki pemacu USB yang mengandungi maklumat terkini berhubung satu kes yang sebelum ini dikendalikan mendiang dan boleh disabitkan dengan kematiannya.

Katanya, kandungan pemacu USB itu jelas dan tanpa ragu-ragu mendedahkan siasatan yang mengaitkannya dengan individu tertentu.


PAU 2015: UMNO benar media buat liputan


PAU 2015: UMNO benar media buat liputan
Media diberi kebenaran untuk membuat liputan sebagaimana PAU sebelum ini

UMNO membenarkan semula media membuat liputan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang bermula 8 Disember ini, termasuk ketika perbahasan perwakilan.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, keputusan itu dibuat selepas pihaknya mendapat maklum balas daripada para perwakilan negeri yang mahukan liputan secara langsung perhimpunan terbesar orang Melayu itu.

“Ini bermakna media pun boleh melaporkan secara terbuka. Liputan media adalah sama seperti perhimpunan-perhimpunan agung lepas,” katanya yang dipetik Utusan Online.

Pengumuman itu menyusul sehari selepas Tengku Adnan membuat kenyataan di Parlimen di mana media dikenakan sekatan pada PAU tahun ini.

Ia dikatakan dibuat bagi mengelak media mensensasi berita.


Siasatan polis tidak terjejas dengan saman Nurul Izzah


Siasatan polis tidak terjejas dengan saman Nurul Izzah
KPN menegaskan Ahli Parlimen perlu memberi jawapan mengenai pertemuannya dengan Jacel walaupun beliau sendiri disaman

Siasatan polis terhadap Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar tidak terjejas walaupun dia telah menfailkan saman terhadap Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Khalid Abu Bakar.

Dalam reaksinya terhadap tindakan undang-undang ke atasnya,, Khalid berkata, Nurul Izzah perlu menjawab tujuan dia berjumpa dengan waris Kesultanan Sulu, Jacel Kiram.

“Dia nak saman, samanlah. Siasatan tetap diteruskan dan Nurul Izzah perlu jawab apa sebab dia jumpa Jacel,” kata Khalid menerusi aplikasi Whatsapp yang dipetik dari laman portal BNBBC.

Selain Khalid, Ahli Parlimen Lembah Pantai itu turut menfailkan saman fitnah Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung kenyataan kedua-dua mereka mengenai gambarnya dengan Jacel.

Sementara itu, Ismail Sabri seperti dilaporkan Utusan Malaysia, mengatakan beliau bersedia menghadapi saman daripada Nurul Izzah.

Menurut Ismail, sekiranya Nurul Izzah bertegas mahu meneruskan tindakan undang-undang tersebut, beliau sedia mempertahankan kenyataannya itu.

“Kalau dia rasa tindakannya tidak mengkhianat, mesti orang Sabah akan marah dengannya. Kalau nak saman, samanlah.

“Dalam ramai-ramai individu yang menyelar tindakan beliau, mungkin kenyataan saya memberi impak kepadanya,” kata Ismail.


UMNO Bahagian Gopeng cadang pecat Tun M, Muhyiddin


UMNO Bahagian Gopeng cadang pecat Tun M, Muhyiddin
Syor itu timbul semula selepas Datuk Hamidah Osman dipecat

UMNO Bahagian Gopeng mengesyorkan supaya Majlis Tertinggi (MT) parti itu memecat bekas presidennya, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Cadangan itu muncul semula selepas Ketua Wanita UMNO Bahagian, yang juga bekas Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datuk Hamidah Osman dipecat.

Ketua UMNO Bahagian Gopeng, Datuk Hamzah Kasim berkata, pihaknya telah mengesyorkan perkara itu empat bulan lalu supaya tindakan diambil ke atas kedua-dua tokoh berkenaan kerana telah melanggar perlembagaan dan etika parti.

“Itu keputusan mesyuarat UMNO Bahagian Gopeng yang kita dah buat empat bulan sudah. Bukan keputusan pada malam ini.

“Semua ahli UMNO mesti patuh pada perlembagaan dan etika parti. Sekiranya langgar, perkara sebegini kita cadangkan kepada MT,”katanya yang dipetik daripada portal Perak Today.

Menurut Hamzah, walaupun perbezaan pendapat bukan sesuatu yang luar biasa, namun mereka sepatutnya bertindak mengikut peraturan parti dan menggunakan saluran yang betul apabila menyuarakan rasa tidak puas hati dengan pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.


Rahman Dahlan anggap pendedahan Charles Morais satu ‘wayang’


Rahman Dahlan anggap pendedahan Charles Morais satu ‘wayang’
Rahman Dahlan mempersoalkan sebab Charles menunggu sekian lama sebelum mendedahkan maklumat mengenai pemacu USB yang disifatkan sengaja dilakukan kebetulan pada waktu Perhimpunan Agung Umno (PAU) dilangsungkan.

Pendedahan pemacu USB milik Kevin Morais yang didakwa mengandungi keterangan tentang seorang personaliti politik kanan kerajaan hanyalah ‘wayang’.

Demikian kata Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan menerusi status yang dimuat naik di laman Twitter miliknya.

Beliau menulis, “Satu lagi wayang dengan skrip yang buruk dan pelakon yang sama-sama buruk” merujuk kepada pendedahan terbaharu oleh adik Timbalan Pendakwa Raya (TPR) yang dibunuh, Charles Suresh Morais, dalam Twitternya pada Khamis.

Dalam akuan bersumpah (SD) awam yang dibuat pada Rabu, Charles mendakwa, pembunuhan Kevin berhubung kait dengan kertas pertuduhan yang disediakan oleh TPR terhadap seorang pegawai kerajaan berpangkat tinggi yang didedahkan kepada Kevin semasa dia berkhidmat di Jabatan Peguam Negara (JPN).

Bagaimanapun, Rahman membalas tuduhan-tuduhan ini dengan berkata; “SPRM menyatakan kertas pertuduhan itu tidak berasas. Semua orang kecuali Charles tahu siasatan SRC masih berterusan. Bagaimana boleh ada kertas pertuduhan?”.

Beliau juga mempersoalkan sebab Charles menunggu sekian lama sebelum mendedahkan maklumat mengenai pemacu USB yang disifatkan sengaja dilakukan kebetulan pada waktu Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang dijangka berlangsung dari 8-12 Disember ini.

“Dakwaan yang tidak masuk akal oleh Charles Morais tentang pembunuhan yang muncul sekian lama selepas kejadian tetapi sebelum PAU UMNO. Tepat pada masanya!”. katanya.

Kevin diculik oleh beberapa lelaki pada 4 September yang lalu sewaktu sedang memandu ke tempat kerjanya di Putrajaya dari kediamannya.

Kereta miliknya kemudian ditemui terbakar dan ditinggalkan di sebuah ladang kelapa sawit.
Mayat Kevin pula ditemui disimen dan disumbat ke dalam drum minyak, dijumpai pada 16 September.


Isu sekolah vernakular:KPM tiada kuasa ambil tindakan pada pemimpin politik


Isu sekolah vernakular:KPM tiada kuasa ambil tindakan pada pemimpin politik
Hanya kepimpinan parti politik sahaja yang boleh mengambil tindakan terhadap ahli politik dan bukannya kementerian

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana pemimpin parti politik yang meminta agar sekolah vernakular dihapuskan.

Timbalan Menteri Pendidikan, Chong Sin Woon berkata, kewujudan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) juga tidak menjadi batu penghalang kepada perpaduan negara.

“Tindakan yang diambil terhadap mana-mana pemimpin parti politik itu terpulang kepada kepimpinan parti politik. Bukan dari kementerian.

“Kewujudan SJKC yang dikatakan jadi batu penghalang kepada perpaduan negara juga tidak betul sebab hingga hari ini lebih kurang 15 peratus murid SJKC adalah bukan dari masyarakat Cina. Ia menunjukkan bahawa ia jadi pilihan lain,” katanya.

Mengulas lanjut, isu SJKC itu tidak akan menjadi besar sekiranya sesetengah pihak tidak melaga-lagakan perkara berkenaan sekaligus menghalang perpaduan negara.

“Kalau kita tidak melaga-lagakan isu ini, maka ia tidak akan jadi isu sebagai batu penghalang kepada perpaduan negara,” ujarnya.

Sin Woon berkata demikian menjawab pertanyaan ahli Parlimen Gopeng, Dr Lee Boon Chye yang bertanyakan, apakah pendirian ahli Parlimen dari Barisan Nasional (BN) mengenai sekolah vernakular.

“Ramai ahli yang berhormat dari sekolah vernakular. Memandangkan pendirian BN itu, apakah tindakan kerajaan terhadap mereka khususnya pimpinan UMNO dalam 16 September yang secara terang meminta sekolah vernakular dihapuskan?” soal Boon Chye.


Kos cari MH370 meningkat kerana tiada dana kecemasan – Nasruddin


Kos cari MH370 meningkat kerana tiada dana kecemasan – Nasruddin
Laporan Ketua Audit Negara menunjukkan perbelanjaan jabatan dan kementerian yang melebihi peruntukan yang diluluskan telah memaksa agar diberi peruntukan tambahan.

Ketiadaan dana kecemasan yang sepatutnya diuruskan dengan baik oleh kerajaan menjadi punca pembiayaan kos mencari dan menyelamat pesawat MH370 dan MH17 meningkat.

Ketua Penerangan Pas Pusat, Nasruddin Hassan At-Tantawi berkata, peruntukan tambahan kepada Kementerian Luar berhubung perkara itu hanya menyebabkan peningkatan hutang negara.

Beliau yang merujuk perkara berkenaan menerusi laporan Ketua Audit Negara baru-baru ini berkata, perbelanjaan jabatan dan kementerian yang melebihi peruntukan yang diluluskan telah memaksa diberi peruntukan tambahan.

“Ia ditunjukkan seperti Kementerian Luar Negeri yang terpaksa memohon peruntukan tambahan bagi menanggung kos mencari dan menyelamat MH370 dan MH17,” katanya menerusi kenyataan di Facebook pada Khamis.

Dalam perkembangan lain, Nasrudin mendakwa, analisis audit juga mendapati, kelemahan pengurusan dalam perbelanjaan pembangunan negara adalah disebabkan kelewatan pelaksanaan projek, tiada kelulusan penyelarasan akhir harga projek dan bayaran kurang daripada anggaran keperluan semasa.

Katanya, semua itu membuktikan kegagalan pengurusan kewangan kerajaan saban tahun.

“Lebih malang lagi apabila kerajaan mengenakan langkah konsolidasi fiskal dengan memperkenalkan pula GST bagi menampung pendapatan negara disebabkan keborosan dan kelompongan dalam pengurusan kewangan yang dijana sendiri oleh kerajaan,” ujarnya.


Calon PRU14: Pas Selangor masih belum buat keputusan


Calon PRU14: Pas Selangor masih belum buat keputusan
Ia hanya menetapkan untuk bertanding di semua kawasan sebelum ini dan senarai calonnya masih belum diputuskan

Pesuruhanjaya Pas Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad menyangkal khabar angin kononnya beliau akan bertanding di kerusi Parlimen Tanjung Karang atau Kota Raja pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

Jelasnya, spekulasi timbul apabila dia kelihatan acap kali turun ke kawasan berkenaan.
Mengulas lanjut mengenai senarai calon, beliau menegaskan Pas masih belum membuat keputusan mengenainya.

“Saya ingin menegaskan di sini bahawa Pas Selangor belum lagi membuat sebarang keputusan tentang calon-calon pilihan raya umum yang akan datang.

“Begitu juga keputusan belum dibuat tentang kerusi-kerusi tambahan, sama ada Dewan Undangan Negeri atau Parlimen, yang mungkin ditandingi.

“Setakat ini Pas Selangor hanya membuat keputusan untuk bertanding di semua kerusi yang ditandingi pada pilihan raya umum 2013,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak terpengaruh dengan khabar angin tersebut kerana perkara itu terlalu awal untuk dibincangkan.

“Sekarang adalah masa untuk memberi tumpuan kepada usaha-usaha membela nasib rakyat dan membangunkan negeri,” katanya.


MKN bakal awasi ancaman keselamatan Google Map dan Waze


MKN bakal awasi ancaman keselamatan Google Map dan Waze
Sim Tze Tzin mempersoal jika terdapat sebarang kajian dan pengharaman yang dilakukan oleh pihak kerajaan tentang aplikasi yang kemungkinan boleh digunakan untuk mengintip danmengancam keselamatan negara.

Kerajaan akan mengkaji kemungkinan ancaman aspek keselamatan dan privasi dari aplikasi Google Map dan Waze melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari berkata demikian ekoran kebimbangan yang disuarakan oleh ahli-ahli Parlimen mengenai ancaman anasir luar menggunakan aplikasi internet dan telefon pintar.

“Pihak kementerian melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sememangnya terlibat sama dalam menasihat perkara-perkara yang berkaitan komunikasi.

“Jika Yang Berhormat (YB) rasa perkara ini perlu ditangani, maka MKN wajar melihat perkara ini secara keseluruhan,” katanya sewaktu menjawab pertanyaan lisan Ahli Parlimen Tenom, Datuk Raime Unggi di Dewan Rakyat pada Khamis.

Sebelum itu, Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Irmohizam Ibrahim menyuarakan kebimbangan mengenai dua aplikasi popular yang sering digunakan oleh rakyat Malaysia ini.

“Malaysia sebuah negara merdeka, sejauh mana peruntukkan undang-undang sedia ada dapat membendung kebocoran maklumat?” soalnya.

Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin turut menyuarakan kebimbangan yang sama dengan mempersoal jika terdapat sebarang kajian dan pengharaman yang dilakukan oleh pihak kerajaan tentang aplikasi yang kemungkinan boleh digunakan untuk mengintip dan mengancam keselamatan negara.

Menjelaskan perkara itu, Jailani yang juga merupakan Ahli Parlimen Hulu Terengganu menerangkan penggunaan aplikasi seperti Waze dan Google Map tertakluk kepada polisi privasi di antara pemberi perkhidmatan dan pengguna.

“Tidak ada sebarang perjanjian di antara Google dan Malaysia, tetapi isu sebenar adalah pada para pengguna gemar berkongsi data peribadi di internet, sekaligus mendorong kepada salah guna.

“Tidak boleh salahkan kerajaan semata-mata. Pengguna internet harus bijak malah ibu bapa kena pantau penggunaan internet anak-anak,” katanya lagi.


Nurul Izzah laksana hasrat saman Khalid, Ismail Sabri


Nurul Izzah laksana hasrat saman Khalid, Ismail Sabri
Saman itu difailkan ekoran fitnah kedua-dua pemimpin tertinggi kerajaan itu yang mengatakan dirinya melakukan pengkhianatan

Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar melaksanakan hasratnya untuk memfailkan saman fitnah terhadap Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Saman itu difailkan pagi ini di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi berhubung dakwaan dirinya telah melakukan pengkhianatan kerana bertemu dengan anak perempuan Sultan Sulu, Puteri Jacel Kiram baru-baru ini..

Dalam pernyataan tuntutannya, Nurul Izzah menyatakan bahawa kedua-dua individu berkenaan telah menuduhnya sebagai ‘pengkhianat’ dan melakukan ‘jenayah’ yang serius.

Peguamnya N. Surendran berkata, dakwaan mereka yang mengatakan Nurul Izzah melakukan ‘pengkhianatan’ hanya kerana memenuhi permintaan anak perempuan Sultan Sulu itu adalah karut.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu turut memohon ganti rugi am dan agregat serta injunksi terhadap Khalid dan Ismail Sabri sebagai menghalang mereka daripada membuat sebarang kenyataan fitnah lagi terhadap dirinya.

Surendran berkata, beliau tidak menawarkan sebarang tuntutan maaf kerana tuntutan mahkamah telah difailkan tanpa mengeluarkan surat tuntutan lain kepada kedua-dua defendan.

“Beliau (Nurul Izzah) berhak untuk memfailkan tuntutan mahkamah terhadap mereka tanpa mengeluarkan surat tuntutan kerana tuduhan itu sangat serius,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Nurul Izzah berkata, dia akan ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman petang esok (Jumaat) untuk dirakamkan kenyataan.

“Saya bersedia untuk menjawab” katanya.

Pada 22 November lalu, Khalid berkata, beliau mahu tahu daripada Nurul Izzah, dengan memanggilnya bagi diambil kenyataan, jika terdapat pihak-pihak tertentu di negara ini yang merancang pencerobohan di Lahad Datu pada 2013.

Dia mungkin disiasat di bawah Sosma, kata Khalid.

Pada hari yang sama, Ismail Sabri turut berkata, bahawa pertemuan Nurul Izzah dengan Puteri Jacel Kiram III itu sebagai satu pengkhianatan kerana mereka dan juga keluarga yang terlibat dengan tragedi di Lahad Datu pasti akan tersinggung dengan perbuatan Nurul Izzah itu.


Sultan Johor taja kereta mewah kepada polis


Sultan Johor taja kereta mewah kepada polis
Gambar kereta sport Nissan Skyline GTR-35 dimuat naik dan dikongsi di laman Facebook Friends of PDRM

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar berkenan untuk menaja sebuah kereta mewah kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) di negeri itu.

Gambar kereta sport Nissan Skyline GTR-35, kemudian dimuat naik dan dikongsi di laman Facebook Friends of PDRM.

“Meanwhile in Johor Bahru…Royal Malaysian Police using sponsored by our very own Sultan Johor..Daulat Tuanku!!!! ‪#‎JDT‪#‎GTR ‪#‎Nissan ‪#‎Skyline ‪#‎SouthernTigers, tulis status pemilik akaunnya.

Bagaimanapun, ia tidak menyatakan untuk tujuan apa kereta dengan nombor pendaftaran JZ 42 itu akan digunakan.

Berdasarkan carian, harga sebiji model berkenaan mececah RM600,000 dan mempunyai kuasa pecutan sehingga 300 kilometer sejam.


Sabah nafi terbabit dengan penjualan tanah luar bandar


Sabah nafi terbabit dengan penjualan tanah luar bandar
Ketua Menteri Sabah berikrar akan mengambil tindakan kepada ejen yang menjual beribu tanah penduduk luar bandar di negeri itu

Terdapat pihak tertentu dikatakan cuba memanipulasi penduduk luar bandar supaya menjual tanah mereka kepada orang luar di Sabah.

Dalam kenyataan kerasnya, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman menafikan pihaknya terbabit dan menegaskan mereka yang berkenaan tidak akan terlepas.

“Itu bohong, saya tahu ada yang jadi ejen dan (memanipulasi dan) menjual tanah-tanah orang kampung ini, mereka pungut tandatangan kemudian jual beribu ekar tanah,” katanya dalam sesi penggulungan pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah.

Ketua Menteri berkata demikian bagi menjawab kenyataan Datuk James Ratib (PKR-Sugut) mengenai tanah yang dijual kepada orang luar terutamanya di kawasan Sugut.

Musa berkata, kerajaan Sabah semasa di bawah pemerintahan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) sebelum ini telah memberikan tanah kepada banyak penduduk luar bandar tetapi kemudian tanah itu dijual kepada pihak luar dan kerajaan disalah erti dalam hal berkenaan.

“Beratus ribu ekar diberi kepada orang kampung tetapi sebaik sahaja tanah itu diberikan, mereka jual kepada orang luar,” katanya.

Bagi mengawal penjualan tanah luar bandar daripada terus berleluasa, katanya kerajaan negeri telah mewujudkan geran komunal.

Beliau berkata geran komunal ini akan terus diberi kepada penduduk asal di luar bandar yang tidak memiliki tanah termasuk penduduk miskin tegar dan syarat dikenakan pada geran komunal itu mencegah mereka daripada menjual tanah itu.

Geran komunal diwujudkan sebagai usaha kerajaan membasmi kemiskinan serta menaik taraf hidup penduduk luar bandar.

– Bernama


Lim Kok Wing, Paul Stadlen tidak terima gaji dan elaun


Lim Kok Wing, Paul Stadlen tidak terima gaji dan elaun
Lim Kok Wing dipercayai bertanggungjawab menjalankan kempen politik sepenuhnya untuk Najib yang yang kini berdepan dengan pelbagai cabaran terutama kritikan daripada Mahathir dan isu 1MDB.


Bekas Penasihat Khas Program kepada Perdana Menteri, Tan Sri Dr Lim Kok Wing dan perunding perhubungan awam, Paul Stadlen tidak menerima sebarang gaji dan elaun sepanjang tempoh tugas.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said mengesahkan Lim Kok Wing tidak diberikan sebarang gaji sepanjang menjawat jawatan penyelaras program khas kepada Perdana Menteri.

“Selaku seorang bukan kakitangan kerajaan, Paul Stadlen pula tidak diberikan sebarang elaun dan gaji oleh kerajaan,” katanya dalam satu jawapan bertulis.

Azalina berkata demikian menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng yang memintanya menyatakan tentang jenis tugas yang dikendalikan oleh Lim Kok Wing dan Paul Stadlen selain gaji dan elaun yang diterima oleh mereka sebelum meletakkan jawatan.

Stadlen adalah bekas ketua cawangan Kuala Lumpur bagi firma perhubungan awam antarabangsa, Apco Worldwide.

Beliau juga dikatakan salah seorang daripada pasukan komunikasi Pejabat Perdana Menteri.

Manakala, Lim Kok Wing dipercayai bertanggungjawab menjalankan kempen politik sepenuhnya untuk Najib yang yang kini berdepan dengan pelbagai cabaran terutama kritikan daripada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isu 1MDB.


UMNO jangan jadi Si Tanggang


UMNO jangan jadi Si Tanggang
Sejak lebih 60 tahun lalu, wartawan telah memainkan peranan penting yang mendokong perjuangan UMNO.

Jika dibandingkan dengan puluhan siri Perhimpunan Agung UMNO (PAU) sebelumnya, pendekatan yang dibuat pada tahun ini amat ‘ganjil’ sekali.

Satu persatu kepelikan diumumkan dengan pelbagai alasan yang menguji rasional dan kepintaran minda.

Entah di mana silapnya, kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bahawa perhimpunan kali ini, media tidak akan dibenarkan membuat liputan semasa persidangan di Dewan Merdeka, dilarang berlegar-legar dan lebih mengejutkan, tiada siaran langsung daripada televisyen litar dari dalam dewan kepada mereka yang bersimpuh di lobi, bermundar-mandir di kaki lima atau kepada mereka yang menghirup kopi di Riverside.

Kata-kata beliau yang dirakam wartawan di Parlimen menimbulkan banyak persoalan daripada jawapan.

Paling tidak kepada perwakilan. Jika tiada lagi litar televisyen, apakah pengisian kepada mereka.
Adakah Mak Jemah akan duduk bersembang sambil mengira gelang di lengan, membanding beg tangan, membelek telefon pintar atau mereka akan melepak ke kompleks membeli belah sementara menunggu PAU selesai?

Bagi kaum Adam pula, adakah mereka berterusan lepak dengan bercawan teh dan kopi dengan asap berkepul-kepul sementara menunggu masa berlalu?

Imaginasi itu terbayang sebaik Ku Nan membuat kenyataan yang dianggap lebih banyak halusinasi berbanding realiti.

Jika benar seperti yang beliau kata, maka begitu hebat sekali peraturan pada PAU tahun ini khususnya kepada media.Hilanglah kemesraan yang terjalin selama ini antara UMNO dan media. Segalanya akan renggang.

Alasan Ku Nan bahawa tindakan itu dibuat bagi mengelak berita daripada PAU kali ini disensasi ada logiknya. Tetapi adakah beliau lupa, dengan sekatan yang dibuat akan lebih banyak akan disensasi kerana itu fitrah manusia. Makin dilarang, makin dicari.

Kenyataan Setiausaha Agung UMNO itu yang sememangnya dikenali dengn sikap tegas dan lepas cakap itu membuatkan ramai wartawan dan pengamal media sentap.Dalam masa yang singkat segalanya menjadi viral.

Maklumlah, larangan ini membabitkan media sendiri, tidak kira sama ada mereka pro kerajaan, pro pembangkang atau jenis atas pagar. Kecoh memang kecoh bila ia kena atas batang hidung wartawan sendiri.

Di hari yang sama, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengeluarkan kenyataan yang cuba menjernihkan keadaan dan menjelaskan perkara itu masih belum diputuskan Majlis Tertinggi.

Satu lagi persoalan timbul. Jika benar seperti yang dikata beliau, Ku Nan membuat kenyataan bagi pihak mana?

Adakah kenyataan itu bersifat peribadi atau Zahid cuba bermain tarik tali?

Tulisan ini tidak menyentuh mengenai pelbagai peraturan “luar tabie” pada PAU kali ini, termasuk Timbalan Presiden UMNO tidak lagi merasmikan mesyuarat sayap sayap parti dan hanya dua daripada tiga Naib Presiden UMNO akan memberi kenyataan kepada media setiap hari. Itu berita realiti yang sememangnya sudah cukup sensasi.

Sekiranya larangan kepada media diteruskan juga, ia bermakna kepimpinan UMNO sendiri yang cuba mengasingkan parti. Di mana secara diam merekalah yang merosakkan reputasi parti di kaca mata wartawan.

Tidakkah mereka ingat lagi bahawa UMNO itu sendiri diasaskan bersama oleh bekas salah seorang wartawan, Datuk Onn Jaafar. Bahkan ramai pahlawan UMNO teridiri daripada insan dari pihak media sendiri.

Mereka bukan calang-calang, mata pena yang digunakan lebih tajam daripada ucapan bergegar di dalam dewan.

Parti orang Melayu itu berkembang kerana tulisan wartawan, daripada huruf jawi ke rumi, daripada surat khabar ke tv dan kini di atas talian.

Apakah ini pembalasan yang diberikan kepada pihak media yang saban tahun berhimpun bersama, membuat liputan dan memberi ulasan.

Jangan kerana nyamuk seekor habis kelambu dibakar….renungkanlah sejak lebih 60 tahun lalu, tanpa tulisan wartawan, UMNO tidak akan berada di tempat sekarang.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Rujukan