Cari Artikel

Tuesday, November 24, 2015

Pemilikan ekuiti Bumuputera semakin meningkat


Pemilikan ekuiti Bumuputera semakin meningkat
Maklumat pemilikan ekuiti Bumiputera yang terkini bagi 2014 masih dalam pengiraan dan penganalisaan data.

Pemilikan ekuiti Bumiputera sejak 2000 sehingga 2011 semakin meningkat, kata Menteridi Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Seri Abdul Wahid.

Katanya, mengikut rekod Unit Perancang Ekonomi (UPEN) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), pegangan ekuiti Bumiputera pada 2000, 2009, dan 2011 mencatatkan peningkatan.

Manakala, pegangan ekuiti Cina bagi tahun-tahun yang sama pula mencatatkan penurunan.

Bagaimanapun, katanya, maklumat kawalan pengurusan termasuk pemilikan ekuiti Bumiputera yang terkini bagi 2014 masih dalam proses pengiraan dan penganalisaan data.

Jelas Abdul Wahid, dalam RMK-11, beberapa rancangan dan tindakan untuk meningkatkan pemilikan ekuiti beserta penguasaan efektif Bumiputera untuk mencapai sasaran sekurangnya 30 peratus pada 2020 akan dilakukan.

“Memperluas strategi pelaburan, meningkatkan pelupusan aset dan aktiviti bukan teras syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC),” ujarnya lagi.

Katanya, usaha untuk memperkukuh peluang komuniti ekonomi Bumiputera dalam aspek penyediaan bantuan kewangan, pemilikan aset, pekerjaan berpendapatan tinggi dan penguasaan dalam rantaian nilai akan dilaksanakan.

“Ia dilakukan di bawah strategi memperkasa modal insan Bumiputera, memperluas syer pemilikan kekayaan Bumiputera, memperkasa komuniti ekonomi Bumiputera dan memperkukuh keberkesanan penyampaian program berorientasikan Bumiputera,” katanya.

Wahid berkata demikian bagi menjawab pertanyaan lisan Ahli Parlimen Jasin, Datuk Wira Ahmad Hamzah yang bertanyakan nilai dan peratus pemilikan ekuiti ke atas syarikat mengikut kaum dan warga asing pada tahun 2000, 2009, dan 2014.


Pendekatan anti rasuah di IPT oleh SPRM


Pendekatan anti rasuah di IPT oleh SPRM
Struktur mekanisme MESPR ialah, ketua sekretariat di semua IPT secara automatik akan mewakili universiti itu dalam Majlis Perwakilan Pelajar.

Satu Majlis Eksekutif Sekretariat Pencegahan Rasuah (MESPR) akan ditubuhkan di Institusi Pengajian Tinggi (IPT), bermula tahun depan, bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan generasi muda agar tidak terjebak dengan gejala rasuah.

MESPR yang akan dikelolakan sepenuhnya oleh oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dijangka akan memberi penekanan terhadap usaha penerapan nilai anti rasuah dalam kalangan mahasiswa.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Datuk Seri Mustafar Ali berkata, SPRM akan mengemukakan cadangan iaitu ketua sekretariat di semua IPT secara automatik akan mewakili universiti itu dalam Majlis Perwakilan Pelajar (MPP).

“Secara khususnya, struktur mekanisme MESPR ialah di setiap IPT mempunyai wakil daripada SPRM dalam MPP,” katanya, lapor Bernama.

Mustafar berpendapat, pendekatan menerusi pendidikan merupakan cara terbaik untuk menimbulkan kesedaran tentang bahaya amalan rasuah kepada generasi muda supayamembenci rasuah dan membesar menjadi individu yang lebih bertanggungjawab,
amanah serta ikhlas.

Katanya pihak SPRM akan mengadakan pelbagai program sebagai inisiatif meningkatkan pengetahuan mahasiswa mengenai jenayah rasuah dan berharap menerusi penyertaan mereka dalam sekretariat itu sebagai penyampai mesej anti rasuah kepada masyarakat.


Najib lantik 69 anggota Kabinet untuk keamanan Malaysia


Najib lantik 69 anggota Kabinet untuk keamanan Malaysia
Perdana Menteri mempunyai hak prerogatif untuk menentukan bilangan menteri kabinet dan anggota pentadbiran kerajaan di bawah beliau.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memerlukan 37 menteri dan 32 timbalan menteri dalam kabinetnya bagi memenuhi keperluan semasa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata dalam keadaan dunia tanpa sempadan yang serba moden, pelbagai cabaran dan tanggungjawab harus dipikul oleh kerajaan.
Katanya, ia juga demi memastikan Malaysia terus aman, makmur dan sentosa.

“Malaysia adalah sebuah negara yang mempunyai pelbagai latar belakang dan budaya. Sejak dari dahulu hingga sekarang, negara kita semakin berkembang dengan pesat dan maju.

“Maka kerana itulah kita tidak boleh semata-mata membandingkan bilangan menteri antara pentadbiran Perdana Menteri sekarang dan yang lepas-lepas,” katanya.

Jelas Azalina lagi, Najib juga mempunyai hak prerogatif untuk menentukan bilangan menteri kabinet dan anggota pentadbiran kerajaan di bawah pimpinan beliau.

“Menteri dan timbalan menteri telah dilantik di bawah portfolio masing-masing untuk memastikan segala perancangan dan agenda yang dirangka dapat dilaksanakan dengan berkesan seterusnya memberi manfaat kepada rakyat keseluruhannya,” katanya.

Azalina berkata demikian bagi menjawab pertanyaan lisan Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham yang menyatakan mengapakah Najib memerlukan seramai 37 menteri dan 32 timbalan menteri.


Menteri nafi kertas UPSR bahasa Cina bertaraf SPM


Menteri nafi kertas UPSR bahasa Cina bertaraf SPM
Mahdzir menjelaskan bahawa sumber petikan dari negara China boleh digunakan untuk membuat soalan kertas bahasa Cina.

Dakwaan kertas soalan bagi subjek bahasa Cina untuk Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) yang dikatakan sama taraf dengan soalan bahasa berkenaan untuk Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) adalah tidak benar.

Dalam penafiannya, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid menjelaskan, kertas soalan bahasa Cina bagi UPSR 2015 telah dibuat berdasarkan sukatan pelajaran mata pelajaran bahasa berkenaan.

Selain itu, Lembaga Peperiksaan (LP) juga mempunyai piawaian untuk menetapkan kriteria pemilihan petikan teks.

“Dakwaan bahasa kertas soalan bahasa Cina UPSR mengandungi soalan yang berdasarkan bahasa Cina SPM adalah tidak benar,” ujarnya.

Bagaimanapun, Mahdzir menjelaskan bahawa sumber petikan dari negara China boleh digunakan untuk membuat soalan kertas bahasa Cina.

“Kandungan dalam buku teks atau sumber yang terhad, petikan dari mana-mana sumber yang authentic, termasuk sumber petikan dari negara China boleh digunakan.

“Asalkan pemilihan tersebut bersesuaian dan memenuhi kriteria yang ditetapkan,” katanya dalam satu jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Mahdzir berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Sibu, Oscar Ling Chai Yew yang meminta beliau menjelaskan dakwaan kertas soalan UPSR bagi kertas bahasa Cina yang dikatakan bertaraf soalan SPM.


PKR sokong tindakan lima ADUN di Pulau Pinang


PKR sokong tindakan lima ADUN di Pulau Pinang
PKR puas hati penjelasan lima ADUN itu kerana pengundian 'mengikut suara hati' adalah amalan demokrasi.

Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyokong tindakan lima Ahli Dewan Undangan (ADUN) di Pulau Pinang yang tidak mengundi usul yang dibawa seorang ADUN UMNO pada Jumaat lalu.

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata, parti itu membenarkan pengundian ‘mengikut suara hati’ dalam isu-isu tertentu.

“Pengundian lima ADUN PKR pada Jumaat lalu adalah berdasarkan “conscience vote” kerana ia merupakan isu alam sekitar yang rumit,” katanya menerusi kenyataan media.

Fahmi berkata, PKR berpuas hati dengan penjelasan lima ADUN tersebut, dan beranggapan “conscience vote” ini adalah amalan demokrasi biasa yang perlu digalakkan di negara ini.

“Meskipun PKR tidak bersetuju dengan pendirian UMNO di dalam isu ini, namun usul yang memohon supaya projek tebus guna tanah pada masa akan datang melalui proses kaji selidik alam sekitar yang menyeluruh adalah baik,” katanya.

Fahmi berkata, pemimpin PKR perlu berhenti membuat kenyataan mengenai perkara itu kerana ia boleh dibincangkan lebih lanjut di peringkat Pakatan Harapan.


Mampukah UMNO cawangan ubah pimpinan parti?


Mampukah UMNO cawangan ubah pimpinan parti?
Jika dinisbah dengan 21,000 UMNO cawangan di seluruh negara, jumlah mereka yang menentang masih kecil tetapi ia memberi kesan kepada kekuatan parti itu

Penentangan UMNO cawangan terhadap pucuk pimpinan parti yang semakin meningkat tidak boleh dipandang ringan.

Bekas Naib Ketua Pemuda UMNO Wangsa Maju, Shahbudin Husin berkata, meskipun nisbahnya dianggap kecil berbanding 21,000 jumlah UMNO cawangan di seluruh negara tetapi ia memberi impak besar kepada kekuatan parti khususnya bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

“Dari segi logik, memanglah daripada kira-kira 21 ribu Cawangan UMNO yang ada keseluruhannya, angka 200 atau 2000 sekali pun masih boleh dikira kecil jumlah atau peratusannya.

“Tetapi, dengan angka itu, yang harus difikirkan ialah bagaimana kedudukan UMNO dan BN untuk menghadapi PRU 14 akan datang? Makin selesa atau makin sukar?,” tulisnya di shahbudindotcom.

Katanya lagi, bermula dengan bantahan 13 UMNO Cawangan dari Bahagian Teluk Kemang, ia menunjukkan peningkatan apabila lebih banyak bangkit menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap pucuk pimpinan parti, termasuk 10 UMNO Cawangan dari UMNO Bahagian Sepang.

Rentetan daripada itu, lebih banyak penentangan dibuat dan dirancang untuk diadakan secara besar-besaran daripada UMNO cawangan dari seluruh negara.

“Perjumpaan Ketua-Ketua Cawangan pada 27 November nanti yang masih dirahsiakan tempatnya, tentu saja menarik kerana ia berlaku selepas mesyuarat MT di Bangunan Parlimen esok (24 November) yang dijangka memutuskan pemecatan atau penggantungan dua pemimpin kanan UMNO iaitu Muhyiddin Yassin dan Shafie Apdal.

“Apakah selepas Muhyiddin dan Shafie dikenakan tindakan yang semata-mata kerana menegur untuk kebaikan, jumlah Ketua Cawangan yang berani tampil itu akan terus bertambah lagi?,” tulisnya.

Katanya lagi, jika bantahan itu didalangi pihak tertentu seperti yang didakwa Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, hakikatnya, ia bukan dibuat calang-calang orang.

Bahkan mereka yang di belakangnya mudah dikenal pasti kerana ia dibuat dengan tidak begitu berahsia.

“Tetapi kenapa Zahid Hamidi hanya dapat mencium baunya sekarang ini? Mengapa tidak dikesan sebelum ini?

“Mengapa hanya setelah satu demi satu kumpulan Ketua Cawangan tampil secara terbuka mendedahkan diri masing-masing, barulah Zahid Hamidi mengatakan dapat mencium bau siapa dalangnya?,” Soal Shahbudin.


Edra Energy jual semua aset kepada CGN Group dari China


Edra Energy jual semua aset kepada CGN Group dari China
Arul Kanda menyifatkan pembelian oleh CGN Group membawa komitmen pelaburan langsung asing yang penting ke Malaysia dan menunjukkan keyakinan kepada ekonomi.

Edra Global Energy Bhd, anak syarikat 1Malaysia Development Bhd (1MDB), menjual semua asetnya kepada China General Nuclear Power Corp dan anak syarikatnya (CGN Group) secara tunai pada nilai ekuiti RM9.83 bilion, menjadikan perjanjian gabungan dan pembelian terbesar dalam sektor tenaga Asia setakat ini.

Transaksi itu, yang dijangka selesai pada Februari 2016 juga satu kejayaan besar dalam pelan rasionalisasi 1MDB, sebagaimana dibentangkan kepada kabinet pada 29 Mei 2015.

“CGN Group adalah pemenang jelas dalam tender antarabangsa ini, berdasarkan objektif diumumkan 1MDB sebelum ini, iaitu memaksimumkan nilai, terma komersil yang boleh diterima dan kepastian pelaksanaan transaksi,” kata Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1MDB, Arul Kanda, dalam kenyataan bersama pada Isnin.

Pembelian oleh CGN Group membawa komitmen pelaburan langsung asing yang penting ke Malaysia dan menunjukkan keyakinan kepada ekonomi, katanya.

1MDB, Edra dan anak syarikatnya telah memetrai perjanjian jual beli saham dengan CGN Group untuk jualan 100 peratus pemilikan dalam semua aset tenaganya, iaitu Edra Solar Sdn Bhd, Edra Energy Sdn Bhd, Powertek Energy Sdn Bhd, Jimah Teknik Sdn Bhd, Jimah O&M Sdn Bhd, Mastika Lagenda Sdn Bhd dan Tiara Tanah Sdn Bhd (syarikat operasi Edra).

CGN Group akan membayar dalam tunai, nilai ekuiti RM9.83 bilion dan akan menanggung semua hutang kasar berkaitan dan tunai syarikat operasi Edra, berdasarkan tarikh penilaian pada 31 Mac 2015.

Kenyataan itu berkata, tawaran indikatif untuk syarikat operasi Edra diterima pada Jun 2015 melalui proses tender yang ketat, berdaya saing dan antarabangsa yang dijalankan penasihat kewangan 1MDB, Maybank Investment BankBhd.

Rothschild bertindak sebagai penasihat kewangan kepada Edra.

“Pelaburan ini merupakan komitmen besar oleh CGN Group sebagai sebahagian daripada inisiatif jangka panjang dan kepelbagaian global,” kata Pengerusi Lembaga Pengarahnya, He Yu.

He berkata, kumpulan itu amat kagum dengan rangka kerja pengeluar tenaga bebas yang dikawal selia rapi, stabil dan telus di Malaysia, yang memberikan syarikat itu keyakinan untuk membuat pelaburan jangka panjang di negara ini.

“CGN Group adalah pelabur yang bertanggungjawab. Kami akan bekerjasama rapat dengan Edra, platform global berpangkalan di Malaysia dan dijalankan Malaysia, dan secara bersama akan membawanya ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

Yang paling penting, CGN Group akan memastikan bekalan tenaga yang tidak terganggu, menggunakan teknologi mesra alam dan mematuhi terma tetap perjanjian pembelian tenaga, untuk faedah rakyat Malaysia, katanya.

– BERNAMA


7 ribu UMNO cawangan desak perubahan pimpinan parti


7 ribu UMNO cawangan desak perubahan pimpinan parti
Mereka menafi ditaja pihak tertentu sebaliknya dibuat atas kepentingan parti dan orang Melayu

81 ketua UMNO cawangan dari lapan UMNO Bahagian Johor menyuarakan rasa tidak puas hati dan mendesak supaya perubahan dibuat dalam pimpinan tertinggi demi kebaikan parti.

Mereka mendakwa lebih banyak gerakan besar-besaran akan dibuat di mana tujuh ribu UMNO cawangan seluruh negara akan berbuat demikian selepas merasakan diri disisih.

“Kami tak mahu Presiden dan orang-orang Presiden menggadaikan masa depan kami,” kata Ketua UMNO Cawangan Kulai Jaya 2, Zainuddin Abdul Hamid.

“Berdasarkan maklumat risikan yang kami ada, sudah 200 cawangan bersama kami dan selepas perbincangan ada tujuh ribu lagi cawangan termasuk dari Sabah,” tambahnya.

Dia berkata semua cabang yang hadir bersamanya terdiri dari Bahagian Gelang Patah, Tebrau, Pasir Gudang, Pagoh, Labis, Kulai, Segamat dan Kluang.

Mereka menafikan tindakan itu dibuat ekoran khabar angin kononnya Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin bakal dipecat dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) parti itu petang Selasa.

Mereka turut menafikan dakwaan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang dilaporkan dalam media semalam bahawa kesemua ketua-ketua cawangan yang ‘anti Najib’, didana oleh pemimpin tertentu.

“Ku Nan (Tengku Adnan) keluar kenyataan kata kami didana. Bagi kami itu adalah pembohongan.Kita tetap dengan perjuangan atas nawaitu kita sendiri.

“Kenyataan Setiausaha Agong UMNO (yang) menyatakan kami didalangi mana-mana pihak dan dibiayai adalah kenyataan tak berasas dan tak bertaggungjawab. Kami bergerak guna kudrat dan kemampuan kami sendiri atas niat pertahankan bangsa Melayu dan Malaysia,” tegas Zainuddin.

Mesyuarat MT UMNO pada Selasa dijangka ‘panas’ berikutan khabar angin bertiup kencang beberapa tindakan bakal diambil terhadap Muhyiddin, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan beberapa lagi yang dilabel sebagai ‘pemberontak’ dalam parti.

Minggu lalu, beberapa ketua UMNO dari Bahagian Teluk Kemang dan Sepang mengadakan sidang media melahirkan rasa tidak puas hati mereka terhadap kepimpinan Najib.


Gerakan Merah ancam ‘rusuhan’ di PWTC


Gerakan Merah ancam ‘rusuhan’ di PWTC
Muhyiddin Yassin dan Shafie Apdal didakwa terlibat dalam gerakan mendesak Najib Tun Razak berundur oleh ketua-ketua UMNO cawangan.

Gerakan Merah yang diketuai Ali Tinju mengancam mengadakan rusuhan sekiranya ketua-ketua UMNO cawangan membuat kecoh pada Perhimpunan Agong UMNO, bulan depan.

Presiden Persatuan Veteran Tentera Melayu (PVTM), dia akan melakukan apa sahaja bagi mempertahankan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak daripada kumpulan itu.

“Saya akan mengetuai rusuhan di hadapan PWTC sekiranya ketua-ketua UMNO cawangan tersebut membuat kecoh untuk mendesak Datuk Seri Najib berundur.

“Saya juga akan bertanggungjawab untuk mempertahankan Presiden UMNO dari sebarang ancaman. Kalau apa-apa berlaku nanti jangan salahkan pihak Gerakkan Merah,” katanya kepada FMT.

Mengulas lanjut, dia mendakwa Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Shafie Apdal dalang utama di sebalik desakan itu.

“Bekas Setiausaha Politik Muhyiddin, juga terlibat. Gerakan ini (cawangan yang mendesak Najib letak jawatan) didalangi oleh pemimpin tertinggi UMNO yang kecewa iaitu Muhyiddin, Shafie dan lain-lain.

“Mereka ini sedang mengumpul 3,000 cawangan untuk mendesak Najib letak jawatan,” katanya.
Katanya, ketua-ketua UMNO bahagian perlu bertindak segera dengan mengambil tindakan kepada ketua-ketua cawangan yang terlibat.

“Saya minta barua-barua Muhyiddin ini supaya berhenti mendesak Perdana Menteri meletak jawatan, jika kamu tidak berhenti, kamu akan berhadapan kumpulan Gerakan Merah,” katanya.


Chegubard tuduh Azmin terlibat kemelut PKR-DAP di Pulau Pinang


Chegubard tuduh Azmin terlibat kemelut PKR-DAP di Pulau Pinang
Dia mendakwa Azmin Ali menyerang DAP di Pulau Pinang bagi mempertahankan kerjasama antara PKR dengan Pas di Selangor.

Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali dituduh terlibat dalam kemelut antara PKR dan DAP di Pulau Pinang.

Bekas Ketua Cabang PKR Rembau, Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard mendakwa, Azmin bertindak menyerang DAP di Pulau Pinang bagi mempertahankan kerjasama antara PKR dengan Pas di Selangor.

Dia mendakwa, seorang wakil rakyat PKR Selangor telah mengadakan pertemuan dengan beberapa wakil rakyat PKR Pulau Pinang sebelum usul tambakan laut itu dibuat dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 20 November lalu.

“Jika ini benar ia keadaan lebih parah dari apa yang kita jangka….Maknanya Azmin bukan sahaja membuat celaru dalam parti tetapi juga peranan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menghancurkan Pakatan Rakyat (PR) kini dimainkan Azmin dalam Pakatan Harapan (PH),” katanya menerusi kenyataan.

Pada masa sama, Chegubard kecewa setelah Angkatan Muda Keadilan (AMK) lambat mengeluarkan kenyataan berhubung isu lima wakil rakyat PKR berkecuali terhadap usul tambakan laut.

Katanya, AMK Pulau Pinang sepatutnya mengeluarkan kenyataan dengan segera bagi memberi penjelasan kepada rakyat.

“Selaku anggota PKR saya merakamkan rasa kecewa apabila ini bukan sekali berlaku di mana kelihatan PKR agak lambat respon.

“Selepas apa belaku, PKR peringkat negeri sudah tampil dengan penjelasan kepada rakyat. Takkanlah perkara seperti ini juga memerlukan campur tangan peringkat pusat ?,” katanya.

Sebelum ini, DUN Pulau Pinang mengundi usul kontroversi dikemukakan Adun Muhammad Farid Saad (BN – Pulau Betong) mengenai isu tebus guna tanah seluas lebih 2,600 hektar berhampiran muara Sungai Pinang.

Lima wakil rakyat PKR bersikap berkecuali iaitu Ong Chin Wen (PKR-Bukit Tengah), Dr Norlela Ariffin (PKR-Penanti), Lee Khai Loon (PKR-Machang Bubuk), Cheah Kah Peng (PKR-Kebun Bunga) dan Dr T.Jayabalan (PKR-Batu Uban).

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang tidak puas hati dengan tindakan itu melabelkan lima wakil rakyat PKR itu menyokong UMNO.


Pas ramal jangka hayat Pakatan Harapan tidak lama


Pas ramal jangka hayat Pakatan Harapan tidak lama
Jangkaan itu berdasarkan konflik yang berlaku antara parti gabungan dalam PH dan masalah dalaman setiap parti.

Pas menjangkakan jangka hayat gabungan pakatan pembangkang, Pakatan Harapan (PH) lebih pendek berbanding Pakatan Rakyat (PR).

Pengarah Pusat Penyelidikan (PPP) Pas, Dr Mohd Zuhdi Marzuki berkata, jangkaan itu berdasarkan konflik yang berlaku antara parti gabungan dalam PH dan masalah dalaman setiap parti.

“Dijangkakan paling lama hayat PH boleh bertahan ialah sebaik sahaja selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14).

“Malah PPP tidak menolak, kemungkinan gabungan itu berakhir lebih awal dari PRU14 juga adalah tinggi, berikutan satu demi satu konflik di kalangan mereka timbul,” katanya.

Zuhdi berkata, PH juga dilihat masih tidak mempunyai keputusan bersama dalam beberapa isu antaranya berhubung Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).

“Sehingga hari ini, PH masih belum mempunyai keputusan bersama terhadap TPPA walaupun setelah hampir sebulan dokumen perjanjian tersebut didedahkan.

“DAP dilihat cenderung untuk menyokong TPPA, manakala PKR sehingga hari ini masih berdiam meskipun sebelum ini mereka mahu menunggu sehingga dokumen itu didedahkan. PAN pula, hanya segelintir pimpinan pemudanya kelihatan membantah, manakala pimpinan utamanya masih tunggu dan lihat,” katanya lagi.

Zuhdi berkata, berbeza dengan Pas yang secara kosisten telah membantah sekeras-kerasnya keputusan kerajaan untuk terlibat dengan perundingan TPPA.

Katanya, Pas juga telah memberi komitmen kuat bersama-sama dengan NGO dalam Kongres Rakyat untuk menentang TPPA.


Apa rasional Izzah didakwa di bawah SOSMA?


Apa rasional Izzah didakwa di bawah SOSMA?
Prof Madya Dr Azmi Sharom berpandangan, SOSMA hanya digunakan kepada individu yang melakukan keganasan dan perbuatan Nurul Izzah bergambar adalah subjektif

Cadangan supaya Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dikenakan dakwaan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan Seksyen 124 Kanun Keseksaan kerana menderhaka dianggap mengelirukan.

Pensyarah Undang-undang Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Azmi Sharom berpandangan, SOSMA hanya digunakan kepada individu yang melakukan keganasan.

“Soalan itu tidak dijawab..berasaskan kesalahan apa dia (Nurul Izzah) dituduh? Sebelum kita menyiasat sesuatu, kita ada kesalahan seperti mencuri ke, bunuh ke..jadi apa kesalahan dia?Saya tak faham.

“Saya rasa soalan itu perlu ditanya kepada Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar. Apakah kesalahan dia yang menjustifikasikan penggunaan SOSMA untuk menyiasat dia. Sebab SOSMA itu seharusnya digunakan atas kesalahan keganasan dan sebagainya,” katanya kepada FMT.

Azmi berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Khalid, di mana Nurul Izzah boleh ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan Seksyen 124 Kanun Keseksaan berikutan pertemuannya yang dibuatnya dengan waris kesultanan Sulu, Jacel Kiram pada 9 November lalu.

Ditanya apakah tindakan Nurul Izzah bergambar itu boleh dianggap menderhaka?

Pensyarah undang-undang itu berpendapat ia sesuatu yang subjektif.

“Kita tidak tahu situasinya. Mungkin perkara itu berlaku secara spontan. Bukan dia yang jemput (ke majlis itu). Mereka semua tetamu kepada kerajaan Filipina.

“Kerana dia bergambar dengan anak Sultan Sulu bukan semestinya dia menyokong Sultan Sulu. Kitapun tak tahu anak Sultan Sulu sokong bapa dia atau tidak. Kalau macam itu, kalau saya ambil gambar dengan Marina Mahathir, adakah saya menyokong (Tun Dr) Mahathir Mohamad,” soalnya.


Utusan Melayu bakal berhentikan pekerja


Utusan Melayu bakal berhentikan pekerja
Syarikat penerbit akhbar Utusan Malaysia itu menghadapi masalah kewangan yang semakin tenat.

Syarikat penerbitan akhbar pro-UMNO, Utusan Melayu (Malaysia) Berhad dikatakan bakal memberhentikan lebih 200 pekerjanya dalam tempoh terdekat ekoran menghadapi masalah kewangan yang semakin tenat.

Menurut sumber, Utusan Melayu yang menerbitkan Utusan Malaysia dan Kosmo! dengan kakitangan seramai 1,400 orang terpaksa mengurangkan jumlah pekerjanya sekurang-kurangnya 20 peratus ekoran masalah yang dihadapi itu.

Katanya, pekerja yang akan diberhentikan itu melibatkan banyak bahagian termasuk Jabatan Pengarang.

Ujarnya, semua itu berlaku disebabkan syarikat terbabit tidak lagi dapat menanggung kos operasi yang semakin meningkat terutama melibatkan bahan-bahan yang digunakan untuk percetakan akhbar.

“Pada masa ini kilang percetakan akhbar milik Utusan yang terletak di Tebrau telah ditutup dan pekerja-pekerja yang terbabit kini terpaksa menganggur.

“Manakala sebuah lagi kilang yang terletak di Gong Badak (Terengganu) yang digunakan untuk mencetak akhbar edaran Pantai Timur akan ditutup,” kata sumber berkenaan kepada FMT.

Sumber itu menyatakan, keadaan Utusan Melayu menjadi teruk sejak awal tahun ini dengan bermacam langkah diambil oleh pihak pengurusan, namun, segala usaha yang dilakukan tidak berjaya.

Jelas sumber itu lagi, gaji yang sepatutnya diterima oleh kakitangan eksekutif yang kebiasaannya dibayar pada 24 atau 25 haribulan hanya akan dibayar pada 28 November ini, sekaligus menguatkan lagi dakwaan tersebut.

“Ya…Utusan dah takde duit untuk membayar gaji pekerja. Saya tahu perkara ini pun setelah diberitahu oleh pihak atasan yang menguruskan gaji pekerja.

“Meskipun Ketua Pengarang syarikat itu sering kali menyatakan ada jalan keluar dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi, namun, sehingga hari ini ia tidak menjadi kenyataan,” kata sumber berkenaan.

Bagaimanapun kata sumber itu lagi, keputusan untuk memberhentikan pekerja itu merupakan langkah terakhir sekiranya syarikat tidak menemui jalan penyelesaian.

Sebelum ini, Utusan Melayu telah memberhentikan pekerja Utusan Printcorp sebelum menjualnya kerana menghadapi masalah kewangan.

Tahun lalu, Utusan Melayu mengalami kerugian RM82.64 juta,meningkat tiga kali ganda berbanding tahun sebelumnya.



Pejabat lambat siap: PKNS rugi RM5.84 juta


Pejabat lambat siap: PKNS rugi RM5.84 juta
Pejabat baharu di Seksyen 14 Shah Alam lewat siap kerana proses tender semula dan lanjutan masa yang diminta kontraktor.

Anak syarikat milik penuh Kerajaan Selangor, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM5.84 juta kerana gagal menyiapkan bangunan yang menempatkan Ibu Pejabat barunya di Seksyen 14, Shah Alam.

Laporan Ketua Audit Negara 2014 siri ketiga, mendedahkan kelewatan pembinanaan bangunan baru itu disebabkan proses tender semula dan lanjutan masa yang diminta oleh kontraktor.

“Disebabkan itu, bangunanan baru PKNS telah lewat disiapkan selama dua tahun dari tarikh asal yang sebelum itu dirancang disiapkan pada bulan Julai 2013 hingga 2015.

“Kelewatan itu juga menyebabkan PKNS terpaksa membayar sewa ruang pejabat di bangunan HPAIC Seksyen 13, Shah Alam berjumlah RM5.84 juta (RM277,954 sebulan),” kata laporan itu.

Pihak Audit pula berpendapat setiap perolehan yang lewat disempurnakan memberi impak yang negatif dari aspek pencapaian matlamat, kewangan dan imej PKNS.

Sementara itu, PKNS dalam maklum balasnya kepada Audit Negara berkata, kelewatan itu disebabkan masalah kontraktor dan di luar kawalan PKNS.

“PKNS telah mengambil tindakan mengeluarkan surat amaran berkaitan kepada kontraktor.
“PKNS juga telah mengenakan ganti rugi tertentu dan ditetapkan sebanyak RM39,000 sehari bermula 22 julai 2015,” kata laporan itu.


Tanam sayur untuk berjimat – Timbalan Menteri


Tanam sayur untuk berjimat – Timbalan Menteri
Dengan itu tidak akan ada isu mengenai rakyat perlu membayar harga yang tinggi untuk membeli sayur yang diimport

Orang ramai dinasihatkan supaya menanam sayur-sayaran untuk kegunaan sendiri,” kata Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Tajuddin Abdul Rahman.

Menurutnya, langkah itu bagi mengelakkan rakyat membayar sayuran-sayuran yang diimport ekoran ia kini menjadi semakin mahal disebabkan kejatuhan nilai ringgit.

“Jika ‘Jom Bertani’, kita tanam apa yang perlu, kita tidak ada keperluan lagi untuk membeli. Tidak ada isu mengenai kadar pertukaran wang,” katanya dalam sesi soal-jawab di Parlimen.

Tajuddin berkata, demikian menjawab soalan Shamsul Iskanda Md Akin (PKR-Bukit Katil) yang ingin mengetahui langkah kerajaan bagi mengatasi kenaikan harga sayur-sayuran yang diimport seperti bawang.

‘Jom Bertani’ iaitu satu program sosio-ekonomi luar bandar bertujuan membantu penduduk kampung untuk menanam sayur-sayuran, buah-buahan, ternakan dan ikan untuk mengurangkan kos sara hidup yang tinggi. Ia juga bertujuan untuk menghidupkan semula industri pertanian yang semakin merosot.

Tajuddin yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak-BN berkata, warga kota juga boleh mengamalkan aktiviti menanam sayuran-sayuran di rumah mereka.

“Program ‘Jom Bertani’ tidak hanya untuk penduduk luar bandar. Daripada pokok-pokok perhiasan dan bunga, warga kota boleh menanam sayur-sayuran di bahagian hadapan dan belakang rumah-rumah mereka,” kata Tajuddin.

“Kita juga boleh tanam sayur-sayuran di balkoni bilik tidur,” katanya secara berseloroh.


Persidangan UMNO akan dibuat secara tertutup -Tun M


Persidangan UMNO akan dibuat secara tertutup -Tun M
Dr Mahathir mendakwa perwakilan telah diberi amaran supaya tidak menghebohkan perkara berkenaan

Perwakilan Mesyuarat Agung UMNO pada bulan hadapan dikatakan dilarang daripada membahaskan perkara-perkara tertentu khususnya yang berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan dana RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Dalam dakwaannya Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, persidangan parti itu juga akan dibuat secara tertutup kepada orang ramai di mana tidak semua dari ucapan perwakilan akan disiarkan.

“Hanya ucapan Presiden sahaja akan disiar. Sepatutnya (Tan Sri) Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Presiden akan membuka persidangan sayap Pemuda, Wanita dan Puteri.

“Amaran sudah diberi supaya ahli UMNO tidak akan bercakap berkenaan perkara ini. Apakah jenis Mesyuarat Agung UMNO ini,” soalnya dalam entri terbarunya di blog chedet.cc.

Kata Dr Mahathir lagi, usaha gigih juga sedang dijalankan untuk menyekatnya daripada berjumpa dengan ahli UMNO serta orang ramai.

“Dewan di mana mesyuarat boleh diadakan yang dihadiri oleh saya tidak boleh didapati kerana semua pemilik takut didera oleh kerajaan.

“Ada iklim ketakutan yang menghalang segala kegiatan yang bersangkutan dengan mengkritik kerajaan. Ia seolah-olah menjadi jenayah yang tidak tertulis.

“Tetapi dakwaan dibuat kononnya ini negara demokrasi. Sesiapa yang cuba sabotaj demokrasi Malaysia boleh dikenakan penjara hingga 15 tahun. Tetapi sebenarnya yang mensabotaj demokrasi Malaysia ialah kerajaan sendiri,” tegasnya.

Menurutnya, pelbagai jenis tekanan telah digunakan secara tidak demokratik terhadap mereka yang mengkritik parti dan kerajaan.

“Ada yang disoal siasat oleh polis. Ada yang dimasuk dalam tahanan tanpa berasas kepada undang-undang. Ada yang diugut akan kehilangan kontrak dan lain-lain.

“Kata pepatah berani kerana benar; takut kerana salah. Apakah kerana salah yang takut sangat 1MDB dan RM2.6 bilion dibincang,” sindirnya.


87.6 peratus tanah wakaf di Selangor tidak diwarta


87.6 peratus tanah wakaf di Selangor tidak diwarta
LKAN mendapati tanah wakaf yang didaftar di bawah MAIS tidak lengkap dan tidak dikemaskini

Laporan Ketua Audit Negara 2014 Siri 3 mendapati pengurusan hartanah wakaf di Selangor adalah kurang memuaskan dengan 87.6 peratus daripada hartanah wakaf yang didaftarkan sebagai hak milik Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) tidak diwartakan.

Laporan itu menyebut, pengauditan yang dijalankan antara April hingga Julai 2015 mendapati, tanah wakaf di negeri itu tidak dimanfaatkan dengan sebarang aktiviti selain terdapat kes pencerobohan.

Ketua Audit Negara turut mendapati, daftar hartanah wakaf di Selangor tidak lengkap dan tidak dikemaskini di samping kelewatan dalam melaksana serta menyelesaikan istibdal.

“Sebanyak 27.5 peratus hartanah wakaf masih belum didaftarkan hak milik MAIS,” kata laporan audit itu.

Sehubungan itu, Ketua Audit Negara mengesyorkan supaya Perbadanan Wakaf Selangor (PWS), badan yang bertanggungjawab dalam hal ehwal wakaf di Selangor supaya melengkapkan data hartanah wakaf serta menyelesaikan peletakan hak sebagai hak milik MAIS dan seterusnya mewartakan hartanah wakaf setiap tahun.

PWS juga disyorkan mengadakan perancangan yang spesifik dan menyeluruh bagi memastikan hartanah wakaf dibangun serta dimanfaatkan sejajar dengan niat pewakaf selain memantapkan pemantauan terhadap keseluruhan hartanah wakaf.

Mengikut maklum balas yang diterima daripada PWS, hartanah wakaf lewat didaftarkan hak milik atas nama MAIS kerana kelulusan permohonan pindah hak milik di Pejabat Daerah dan Tanah, pelepasan hak sekatan di Pihak Berkuasa Negeri dan pengecualian duti setem di Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang mengambil masa untuk diselesaikan.

Sementara itu, laporan audit yang dijalankan ke atas PNSB Development Sdn Bhd (PDSB), anak syarikat milik penuh Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) mendapati, secara keseluruhan, prestasi kewangan PDSB bagi tahun 2012 hingga 2014 adalah tidak memuaskan dan perlu dimantapkan.

Ia menyebut hasil laporan audit yang dijalankan Mei hingga Julai 2015 mendapati, kerugian sebelum cukai PDSB meningkat secara mendadak pada tahun 2014 iaitu sejumlah RM19.94 juta (621.2 peratus) berbanding tahun 2013 selain mencatatkan kerugian terkumpul berjumlah RM10.74 juta pada tahun 2014.

“Mengikut penyata kewangan beraudit PDSB bagi tahun berakhir 2014, syarikat ini mencatatkan liabiliti semasa melebihi aset semasa dengan sejumlah RM62.64 juta dan juruaudit bertauliah telah menyuarakan kewujudan ketidakpastian yang ketara terhadap keupayaan syarikat ini untuk beroperasi secara berterusan,” kata laporan itu.

Justeru, PDSB disyorkan menambah baik prestasi pelaksanaan aktiviti pembangunan hartanah dengan memastikan projek diuruskan dengan lebih cekap serta memberi pulangan dalam tempoh ditetapkan bagi menjamin keupayaan kewangannya.

PDSB juga diseru mengambil langkah proaktif untuk meningkatkan tadbir urus korporat syarikat bagi memastikan kecemerlangan operasi syarikat selain, dapat menambah baik prestasi kewangan dan memberi pulangan yang berterusan kepada PNSB serta Pemerbadanan Menteri Besar (MBI).

Laporan audit bagaimanapun menyebut, hasil audit yang dilaksanakan antara Mac hingga Julai 2015 mendapati, pelaksanaan perolehan di Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) adalah memuaskan daripada segi proses pemilihan dan lantikan kontraktor serta pembekal.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Rujukan