Cari Artikel

Monday, November 23, 2015

‘Low Yat 2’ beroperasi 8 Disember ini


‘Low Yat 2’ beroperasi 8 Disember ini
Nama baharu dan logo pusat jualan dan borong alat telekomunikasi itu akan diumumkan di hari pembukaannya

‘Low Yat 2′, pusat jualan dan borong alat telekomunikasi seumpama Plaza Low Yat di Bukit Bintang, akan dibuka secara rasmi pada 8 Disember ini.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sempena pembukaannya di Tingkat 3, Menara MARA di sini, nama baharu dan logo pusat jualan dan borong alat telekomunikasi itu akan diumumkan.

“Sebanyak 36 premis menjual alat telekomunikasi yang dimiliki seratus peratus syarikat bumiputera telah disenarai pendek untuk memulakan perniagaan mereka,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Hari Inovasi Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) 2015.

Ismail Sabri berkata, pusat itu yang juga akan menjual produk teknologi maklumat (IT) secara terbuka dan bebas, diharap akan menjadi pilihan kepada orang ramai untuk mendapatkan kemudahan peralatan komunikasi.

Menurut Ismail Sabri, andainya projek perintis pusat jualan peralatan komunikasi itu berjaya dan mendapat sambutan, Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan mengembangkan konsep berkenaan ke seluruh negara.

MARA akan menaik taraf kesemua arked MARA serta melakukan penjenamaan semula untuk membuka peluang perniagaan serta membantu masyarakat luar bandar memajukan perniagaan mereka, katanya.


“Saya tiada masa nak minum petang dengan pegawai Rosmah”- Akmal


“Saya tiada masa nak minum petang dengan pegawai Rosmah”- Akmal
Banyak urusan lain untuk diselesaikan berbanding bersemuka dengan Rizal.

Pelawaan Pegawai Khas kepada isteri Perdana Menteri, Datuk Rizal Mansor untuk ‘minum petang’ bersama ditolak Pengarah Malaysia National Oversight and Whistleblowers (NOW), Akmal Nasir.

Katanya, dia tidak mempunyai masa untuk bersemuka dengan Rizal kerana banyak lagi tugas besar yang perlu diselesaikan.

“Tidak ada masa, banyak lagi isu lain saya kena hadap, kena hadap polis, hadap saman. Ini ajak minum teh pula,” katanya semasa sidang media di pejabatnya.

Terdahulu, Rizal menyatakan kesediaan untuk bersemuka dengan Akmal bagi menjelaskan isu yang dibangkitkan terhadap Datin Seri Rosmah Mansor berhubung jawatan penaung yang disandangnya.

Pada masa sama ketika diminta mengulas mengenai sumber maklumat yang diperolehi berhubung pendedahan skandal YaPEIM, dia berkata, tidak mengetahui nama individu yang memberi maklumat kepadanya.

“Saya sebenarnya tidak kenal siapa pemberi maklumat (skandal YaPEIM) sebenarnya. Kita lindung pemberi maklumat dan kita mahu memantau perbelanjaan melibat dana orang awam,” katanya.


Jangan nafi melalui media, jawab pada polis -Zahid


Jangan nafi melalui media, jawab pada polis -Zahid
Timbalan Perdana Menteri itu juga bertegas, tidak berhasrat untuk menarik semula kenyataan yang dikeluarkannya itu.

Naib Presiden PKR, Tian Chua sepatutnya memberi jawapan berhubung dakwaan menjadi dalang bagi pertemuan Nurul Izzah dan Jacel H.Kiram, anak perempuan Sultan Sulu, Jamalul Kiram kepada polis dan bukannya media.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata demikian selepas Tian Chua tampil membuat penafian mengenai isu itu kepada pemberita.

“Tidak perlu nafi melalui media. Sila jawab pada polis bila kenyataan akan diambil dari beliau (Tian Chua).

“Sila beri keterangan dan penafian di mahkamah kalau beliau tidak terlibat,” ujarnya dalam sidang media di Parlimen pada Isnin.

Timbalan Perdana Menteri itu juga bertegas, tidak berhasrat untuk menarik semula kenyataan yang dikeluarkannya.

“Hanya beliau (Tian Chua) sahaja tahu penglibatannya dalam majlis di Manila dan pertemuan Lembah Pantai (Nurul Izzah) di Manila,” ujarnya lagi.

Sebelum ini, Tian Chua mendesak Ahmad Zahid supaya menarik semula tuduhan yang dilakukannya.
Menurut Tian Chua, tuduhan Zahid merupakan satu dakwaan yang tidak berasas dan tidak bertanggungjawab.

Awal pagi ini, Zahid berkata, Tian Chua telah mempergunakan Nurul Izzah dengan merancang pertemuan tersebut.


Terminal di KLIA akan ditambah


Terminal di KLIA akan ditambah
MAHB dijangka akan mengemukakan cadangan pembangunan selepas kajian terperinci mengenainya selesai.

Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dijangka dilengkapi terminal baharu bagi menampung bilangan penumpang yang semakin meningkat.

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abd Aziz Kaprawi berkata, Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) akan mengemukakan cadangan pembangunan terminal ketiga itu dalam tempoh dua hingga tiga tahun lagi selepas kajian terperincinya selesai.

Katanya, pembangunan itu penting bagi menampung permintaan terminal utama berkenaan manakala terminal kedua, KLIA2 pula hampir mencapai kapasiti penuh.

“MAHB sedang membuat perancangan bagi merumuskan cadangan terminal baharu itu dan disusuli dengan pembentangan kepada kerajaan untuk diputuskan,” katanya kepada wartawan Malaysia yang mengikuti penerbangan sulung Malindo Air ke Perth, Australia, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Abd Aziz berkata jumlah penumpang di KLIA kian meningkat, termasuk mengendalikan seramai 23 juta penumpang tahun lepas yang seiring perkembangan industri penerbangan.

Beliau turut menyifatkan rancangan pembangunan terminal baharu itu bertepatan dengan usaha kerajaan menjadikan Malaysia sebagai hab transit penerbangan di rantau ini berikutan kedudukan Kuala Lumpur yang strategik.

Malah, katanya, pembangunan itu juga akan membolehkan KLIA memiliki kapasiti pengendalian penumpang yang mencecah sehingga 100 juta orang secara keseluruhannya.

“Terminal utama KLIA mampu mengendalikan sehingga 25 juta penumpang setahun manakala klia2 memiliki kapasiti sehingga 45 juta penumpang setahun,” katanya.

Mengulas prospek industri penerbangan negara, Abd Aziz optimis ia berkembang baik khususnya di ASEAN, India dan China berikutan peningkatan perkhidmatan sambungan udara di rantau ini, sekaligus menarik lebih ramai pengunjung ke Malaysia.

Dalam pada itu, beliau berkata MAHB akan mengambil langkah proakitf untuk terus menambah baik dan menyediakan kemudahan kepada penumpang yang menggunakan KLIA2.

-BERNAMA


NOW persoal tujuan YaPEIM ke AS


NOW persoal tujuan YaPEIM ke AS
Lawatan yang menelan belanja lebih RM100,000 dianggap tidak relevan dengan fungsinya sebagai badan kebajikan.

National Oversight and Whistleblowers (NOW) mempersoalkan tindakan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) membelanjakan lebih RM100,000 untuk satu lagi program di luar negara, kali ini membabitkan New York, Amerika Syarikat melibatkan 100 pelajar di sana.

Pengarahnya, Akmal Nasir mempersoal program di New York yang menelan belanja keseluruhan sebanyak RM168,680, sedangkan menurut sumber, hanya 10 pelajar yang menyertai program tersebut.

“Terdapat satu dokumen yang menunjukkan bahawa YaPEIM dikatakan telah terlibat dengan Program Kembara Santun ke New York, Amerika Syarikat bersempena lawatan YAB Perdana Menteri Malaysia ke Amerika Syarikat.

“Program ini berlangsung pada 17 September 2014 sehingga 27 September 2014 dengan sasaran penglibatan 100 orang peserta di New York. Maka jumlah keseluruhan perbelanjaan adalah dianggarkan sebanyak RM168,680,” katanya pada sidang media.

Menurut Akmal, program yang berlangsung selama 10 hari itu tidak memberi apa-apa manfaat kerana fungsinya sebagai sebuah badan kebajikan, bukannya jabatan kerajaan.

Malah, Akmal juga mendedahkan bayaran yang diberikan kepada para peserta.

“Menurut sumber lain, benarkah peruntukan untuk sumbangan daripada YaPEIM tidak sampai 10 orang penerima dalam lawatan ini iaitu hanya sebanyak USD 500 atau sekitar RM2000 seorang?,” tanyanya lagi.

Dalam sidang akhbar yang diadakan, dia turut menjelaskan program berkenaan telah diluluskan Timbalan Pengerusi YaPEIM, Datuk Siti Zaleha Hussin yang sebelum ini didakwanya terlibat dengan skandal dalam badan itu.


Apa tujuan NGO jumpa Obama – Utusan Malaysia


Apa tujuan NGO jumpa Obama – Utusan Malaysia
Langkah mendapatkan bantuan daripada Obama sebenarnya bukan langkah yang betul.

Langkah beberapa pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mengadakan pertemuan dengan Presiden Amerika Syarikat (US) Barack Obama dipertikai akhbar milik UMNO, Utusan Malaysia.

Pengarang Berita Kanan 2, Zulkifli Bakar melalui sebuah artikel menulis, langkah Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin, S Ambiga dan Pengarah Eksekutif Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4) Cynthia Gabriel yang bergitu teruja bertemu dengan Obama bafru-baru ini telah menimbulkan persepsi negatif.

Dia turut mempersoalkan sama ada perkara-perkara yang dibangkitkan kepada Obama menerusi pertemuan tersebut disampaikan secara telus atau sebaliknya.

“Hebat sekali pejuang-pejuang ini yang bersedia mengadu masalah mereka kepada pemimpin asing tanpa mengetahui akibatnya kepada negara ini.

“Tetapi persoalannya apakah yang disampaikan oleh Obama itu benar atau tidak? Tidakkan sebuah negara kuasa besar yang begitu hebat akan menelan bulat-bulat segala apa yang mereka adukan,” tulis Zulkiflee.

Bagaimanapun menerusi artikel berkenaan, Zulkiflee menyatakan, dia tidak mahu untuk mempertikaikan tahap patriotisme mereka yang terlibat dengan pertemuan bersama Obama itu, sebaliknya, hanya mahu tahu kewajaran mereka bertemu pemimpin AS itu sehingga menjadikan ia sebagai platform untuk mendapatkan bantuan.

Katanya, hak asasi apakah yang mahu dikatakan oleh Maria Chin dan Ambiga sedangkan mereka sendiri tidak mempedulikan hak asasi orang lain apabila menganjurkan perhimpunan haram Bersih.

Jelasnya, malang sekali Malaysia apabila memiliki pemimpin-pemimpin NGO yang bersedia meminta pertolongan daripada pihak asing tanpa memikirkan kesannya terlebih dahulu terhadap keseluruhan hanya semata-mata memperjuangkan apa yang difikirkan betul.


Lebih 137 kanak-kanak Syria maut akibat serangan Rusia


Lebih 137 kanak-kanak Syria maut akibat serangan Rusia
Sejak Oktober tahun lalu, sebanyak 22,370 tong bahan letupan telah digugurkan hingga mengorbankan 1,436 orang kanak-kanak

Sekurang-kurangnya 400 orang awam dilaporkan maut dalam serangan udara yang dilancarkan Rusia di Syria sepanjang September lalu.

Menurut laporan Al Jazeera, perangkaan itu dikeluarkan kumpulan hak asasi yang berpusat di United Kingdom, Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria (SOHR).

Ia mendakwa daripada jumlah berkenaan, lebih 97 mangsa membabitkan kanak-kanak.

Sementara itu sebuah pertubuhan lain, Rangkaian Hak Asasi Rakyat Syria (SNHR) mendakwa, jumlah korban lebih besar di mana 526 didakwa terbunuh dan 137 daripada mereka membabitkan kanak-kanak.

Angka itu termasuk serangan terbaru pada Ahad yang meragut lapan nyawa, tujuh daripadanya adalah kanak-kanak.

Pada Jumaat lalu, Rusia melancarkan serangan peluru berpandu selama empat hari berturut-turut dari Laut Kaspia ke kawasan yang dipercayai menjadi kubu Militan Islam (IS).

Menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan Moscow dan Damsyik, ia mensasarkan 50 lokasi.
Sejak Oktober tahun lalu, lebih 42,234 serangan udara dilancarkan ke atas kedudukan yang menjadi kubu IS.

Sepanjang tempoh itu, sebanyak 22,370 tong bahan letupan telah digugurkan yang mengorbankan 6,889 orang awam dan 1,436 terdiri daripada kanak-kanak.


Tuduhan liar, Tian Chua ancam saman Zahid


Tuduhan liar, Tian Chua ancam saman Zahid
Dia mendesak Zahid Hamidi menarik semula tuduhan terhadapnya jika tidak mahu disaman.

Tian Chua mengancam mengambil tindakan undang-undang jika Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak menarik semula tuduhan yang mendakwa dia menjadi dalang pertemuan Nurul Izzah Anwar dengan Jacel Kiram.

Naib Presiden PKR itu menegaskan, tuduhan Timbalan Perdana Menteri itu sangat tidak berasas dan liar.

“Saya akan mempertimbangkan tindakan undang-undang tetapi buat masa ini, saya mendesak beliau menarik semula kenyataan itu” katanya di Parlimen.

Katanya, dia tidak mahu kejadian sama berulang kerana Zahid pernah membuat tuduhan seperti itu tetapi akhirnya menarik balik.

“Zahid menarik balik kenyataannya ketika perbicaraan dan akhirnya saya menang. Perkara sebegini tidak sepatutnya berulang,” katanya.

Ahli Parlimen Batu itu berkata, Zahid tidak sepatutnya membuat tuduhan itu yang memberi imej negatif kepada keselamatan Negara.

Dia juga mengulangi penjelasan yang telah dibuat Izzah bahawa pertemuan di Filipina itu diatur penganjur bagi menyokong pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Adakah Husam sedia jumpa pemimpin Pas esok?


Adakah Husam sedia jumpa pemimpin Pas esok?
Tarikh Mesyuarat Dewan Harian Pas ditunda bagi membolehkan Husam Musa hadir dan mengemukakan bukti terhadap dakwaannya.

Pertemuan bekas Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa dengan Dewan Harian Pas Pusat dijadualkan akan diadakan pada Selasa (esok).

Namun, Naib Presiden Pas, Idris Ahmad berkata, pihaknya tidak dapat mengesahkan kehadiran Husam.

‎”Esok Mesyuarat Dewan Harian Pas Pusat akan berjalan seperti biasa, namun Husam datang atau tidak itu saya tidak pasti, ” katanya ringkas kepada pemberita di Parlimen pada Isnin.

Ahli Parlimen Bukit Gantang itu berkata demikian bagi mengulas mengenai Mesyuarat Dewan Harian Pas Pusat yang dijadualkan berlangsung pada Selasa.

Mesyuarat itu mulanya dijadualkan berlangsung pada 20 November sebelum ADUN Salor itu minta ia ditangguhkan.

Husam meminta mesyuarat itu ditunda kerana beliau berada di China bagi mendapatkan rawatan kesihatan.

Husam hanya akan pulang ke Malaysia pada 22 November namun keadaaannya masih belum sihat sepenuhnya menyebabkan beliau memohon tarikh pertemuannya ditunda ke tarikh yang lain.

Pas sebelum ini meminta Husam mengemukakan bukti berhubung tuduhan pembabitan kerajaan Kelantan dalam aktiviti pembalakan haram dan rancangan Pas-UMNO menubuhkan kerajaan perpaduan di Selangor.

Saya sayangkan ayah tapi tidak sanggup jumpa pengganas – Rosnah


Saya sayangkan ayah tapi tidak sanggup jumpa pengganas – Rosnah
Beliau menyokong jika rakyat Sabah tidak mahu menerima kehadiran Nurul Izzah ke negeri itu kerana perbuatannya berjumpa dan bergambar dengan Jacel Kiram.

“Saya sayangkan ayah tetapi saya tidak sanggup berjumpa dengan pengganas,” kata Rosnah Abdul Rashid Shirlin yang merujuk pertemuan Nurul Izzah Anwar dengan Jacel Kiram.

Timbalan Menteri Kerja Raya itu menegaskan, perbuatan Izzah berjumpa dengan anak pengganas demi membebaskan bapanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah tidak wajar dan tidak boleh diterima rakyat Malaysia.

Beliau berkata, ramai rakyat negara tidak dapat melupakan pencerobohan di Lahad Datu yang mengorbankan anggota keselamatan negara dan orang awam.

“Secara peribadi, saya tidak akan melupakan kejadian di Lahad Datu.

“Ramai yang kehilangan orang tersayang dalam kejadian ini. Keluarga kehilangan pencari nafkah, isteri kehilangan suami dan anak kehilangan bapa. Adakah kejadian ini boleh dilupakan?,” katanya di Lobi Parlimen.

Ahli Parlimen Papar itu berkata, ramai rakyat Sabah terkejut dengan isu itu dan mendesak tindakan diambil terhadap Izzah.

“Dia tidak hormat perasaan rakyat Sabah dan jika mereka tidak mahu Izzah datang ke Sabah, saya sokong,” katanya.

Rosnah berkata, ahli politik tidak sepatutnya melakukan perkara itu untuk meraih populariti.
“Ini bukan pertandingan populariti. Politik adalah perjuangan untuk rakyat,” katanya.

Katanya, permohonan maaf Izzah kepada rakyat Sabah sudah terlambat kerana bukan mudah rakyat Sabah melupakan perbuatan Ahli Parlimen Lembah Pantai itu.

“Memang mudah meminta maaf dan mengharapkan orang melupakan perbuatannya.

“Dia tahu siapa Jacel Kiram dan peranan ayahnya dalam insiden di Lahad Datu. Izzah sudah dewasa dan tahu akibat daripada perbuatannya itu,” kata bekas Ketua Puteri UMNO itu.


Isu Izzah, Jacel dimanipulasi untuk kepentingan politik


Isu Izzah, Jacel dimanipulasi untuk kepentingan politik
Tian menganggap tidak wajar memainkan isu kedaulatan dan politik negara dengan hanya mengaitkan kepada sekeping gambar.

Isu perjumpaan antara Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar dan Jacel H.Kiram, anak perempuan Sultan Sulu, Jamalul Kiram telah dimanipulasi untuk kepentingan politik.

Naib Presiden PKR, Tian Chua kesal dengan tindakan sesetengah pihak yang memainkan isu kedaulatan dan politik negara dengan hanya mengaitkan kepada sekeping gambar.

“Kita selalu pergi ke persidangan antarabangsa dan kita juga bergambar dengan pelbagai pihak.

“Seperti yang dijelaskan terlebih dahulu, Nurul Izzah hanya tetamu yang dijemput ke acara tersebut.

Kami sememangnya menyesal dan rasa tidak selesa justeru Izzah juga telah memohon maaf pada mangsa tragedi Lahad Datu ekoran kesilapan itu,” ujarnya kepada pemberita di Parlimen pada Isnin.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Batu itu juga mempersoal kertas putih siasatan pencerobohan Lahad Datu yang masih tidak didedahkan kepada rakyat.

“Perbicaraan terhadap pengganas kejahatan Lahad Datu telah dilakukan, tetapi sampai sekarang ia dibuat secara tertutup dan rakyat tidak tahu kisah sebenar,” ujarnya lagi.

Tian Chua juga bersedia memberikan kerjasama penuh kepada pihak polis sekiranya dipanggil berhubung isu tersebut.

“Kita tunggu, sehingga ini saya belum mendapat sebarang maklumat. Kita tiada pilihan di negara ini, kalau dipanggil kena datang, kalau tidak datang kena tangkap.

“Kalau dipanggil saya terpaksa kerjasama. Jika saya enggan saya terpaksa berdepan waran tangkap untuk masuk lokap,” ujarnya lagi.


Arul PSM didakwa menghasut


Arul PSM didakwa menghasut
Dia didakwa kerana membuat kritikan terhadap badan kehakiman berhubung kes liwat Anwar Ibrahim.

Bekas Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM) S.Arutchelvan didakwa mengikut Akta Hasutan di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin.

Dia didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan apabila mengkritik badan kehakiman berhubung kes liwat Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dia yang juga Ahli Jawatankuasa Pusat PSM turut didakwa mengikut pertuduhan alternatif lain di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia kerana membuat kenyataan di laman Facebook miliknya dengan niat untuk menyakitkan hari orang lain.

Arutchelvan mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas tuduhan terhadapnya dibacakan di depan Hakim Amernudin Ahmad.

Arutchelvan didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Bahagian Siasatan Perundangan D5, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, di sini pada jam 12 tengah hari, 12 Februari lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 (Akta 15) yang boleh dihukum denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan alternatif, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang membawa hukuman sama jika sabit kesalah.

Dia dibebaskan dengan ikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin walaupun peguamnnya New Sin Yew meminta mahkamah untuk hanya mengenakan ikat jamin bercagar kepada Arutchelvan kerana kedudukannya dalam masyarakat.

Amernudin menetapkan tarikh sebutan semula kes itu pada 22 Disember.


Kolum ‘bangsa’ pada borang kerajaan kekal


Kolum ‘bangsa’ pada borang kerajaan kekal
Penggunaan identiti kaum dan bangsa dalam borang rasmi kerajaan masih diperlukan bagi keperluan dan tujuan tertentu.

Kolum yang merujuk kepada ‘bangsa’ masih diperlukan dalam borang-borang kerajaan sekaligus memenuhi keperluan di bawah Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Joseph Entulu Belaun berkata, kolum maklumat identiti kaum dikekalkan dalam beberapa borang kerajaan disebabkan keperluan di bawah Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan dan perundangan-perundangan tertentu.

“Usaha bagi merealisasikan bangsa Malaysia melalui borang rasmi sudah bermula sejak tahun 2009 lagi.

“Mesyuarat Jemaah Menteri pada 29 Julai 2009 telah bersetuju bahawa borang-borang yang digunakan oleh kerajaan, melainkan MyKad dan dokumen penting tertentu dikaji semula oleh agensi-agensi kerajaan untuk menggugurkan maklumat
identiti kaum yang tidak diperlukan.

“Penggunaan identiti kaum dan bangsa dalam borang rasmi kerajaan masih diperlukan bagi keperluan dan tujuan tertentu sebagaimana yang dinyatakan,” ujarnya sewaktu perbahasan di dalam Dewan Rakyat, pada Isnin.

Mengulas lanjut, Joseph berkata tinjauan MAMPU pada tahun 2011 terhadap 346 borang rasmi kerajaan mendapati hanya 198 borang dikekalkan untuk ruangan maklumat identiti kaum disebabkan keperluan di bawah Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Joseph menjawab pertanyaan ahli Parlimen Sik, Dr Mansor Abdul Rahman turut menyatakan semangat untuk mewujudkan bangsa Malaysia juga tidak mampu diwujudkan jika ruangan bangsa dihapuskan di dalam borang kerajaan.

Dr Mansor sebelum itu mempersoal jika penghapusan ruangan ‘bangsa’ dalam borang rasmi dapat mewujudkan semangat bangsa Malaysia sedangkan pendidikan negara masih membenarkan sekolah vernakular.


Puspahanas tertangguh: Kerajaan rugi RM27 juta


Puspahanas tertangguh: Kerajaan rugi RM27 juta
Projek itu lewat 282 hari setakat 29 Julai lalu kerana kelemahan kontraktor Awan Megah Sdn Bhd.

Kerajaan menanggung kerugian hampir RM27 juta apabila projek Pusat Pendidikan Pertahanan Negara (Puspahanas) tertangguh dan menyebabkan kejatuhan nilai tanah.

Laporan Ketua Audit Negara 2014 siri ketiga yang dikeluarkan pada Isnin mendedahkan, projek itu tertangguh selama 282 hari setakat 29 Julai lalu disebabkan prestasi lemah kontraktor, Awan Megah Sdn Bhd (Awan Megah).

Laporan itu turut menyatakan, Awan Megah juga lambat mengemukakan Bon Prestasi berjumlah RM4.95 billion.

Pada Februari 1997, Kabinet secara prinsip meluluskan projek itu kepada syarikat berkaitan UMNO, Awan Megah di atas tapak seluas 221 ekar milik Kementerian Pertahanan di Templer Park. Selangor.

Projek itu diswastakan menerusi proses pertukaran tanah bernilai RM99.37 juta tetapi tidak dapat diteruskan kerana sebahagian tapak projek bertindih dengan laluan Lebuhraya KL-Kuala Selangor (LATAR).

Kabinet pada Januari 2007 bersetuju untuk memindahkan projek itu ke Presint 1, Putrajaya dan kelulusan projek itu diperolehi pada Januari 2008.

Puspahanas akan menempatkan Maktab Pertahanan Nasional (MPN) serta Maktab Pemerintahan dan Turus Angkatan Tentera (MPTAT).

Awan Megah yang diberikan projek itu dimiliki Senator Datuk Raja Ropiaah Abdullah daripada UMNO Selangor. Sepatutnya akademi itu disiapkan pada 2011, tetapi tertangguh beberapa kali.


Tian Chua dalang pertemuan Izzah, Jacel – Zahid Hamidi


Tian Chua dalang pertemuan Izzah, Jacel – Zahid Hamidi
Tian Chua juga bertanggungjawab mengendali secara halus apa yang dipanggil sebagai 'Kesultanan Sulu' yang kononnya mahu menuntut semula wilayah kesultanan itu hingga ke Sabah.

Naib Presiden PKR Tian Chua didakwa menjadi dalang di sebalik pertemuan Nurul Izzah Anwar dengan Jacel H.Kiram, anak perempuan Sultan Sulu, Jamalul Kiram.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Tian Chua telah mempergunakan Nurul Izzah dengan merancang pertemuan tersebut.

“Tian Chua adalah adalah orang di sebalik pertemuan iaitu individu yang telah mengatur pertemuan itu.

“Sebelum ini, Tian Chua juga bertanggungjawab mengendali secara halus apa yang dipanggil sebagai
‘Kesultanan Sulu’ yang kononnya mahu menuntut semula wilayah kesultanan itu hingga ke Sabah,” dakwa Zahid ketika ditemui pemberita selepas Forum Ekonomi Peringkat Tinggi Malaysia-China pada Isnin.

Mengulas lanjut, beliau memberi amaran kepada Ahli Parlimen Batu itu supaya berhati-hati dalam mengatur program pemimpin PKR kerana tindakan tersebut boleh menggugat kedaulatan negara.

“Ini bukan soal jenayah, ini soal maruah rakan, soal kedaulatan negara,

“Kita boleh berbeza pendapat, kita boleh meraikan perbezaan pandangan tetapi soal kedaulatan negara atau soal maruah negara, tiada kompromi ke atasnya,” katanya.


Hubungan DAP-PKR makin retak kerana Guan Eng angkuh


Hubungan DAP-PKR makin retak kerana Guan Eng angkuh
PKR kini juga telah menunjukkan rasa tidak puas hati mereka terhadap kerajaan di bawah pentadbiran DAP.

Tindakan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang menuduh lima wakil rakyat PKR ‘bersama UMNO’ menunjukkan berlaku retakan dan perpecahan dalam Pakatan Harapan.

Ketua Pemuda MCA, Senator Chong Sin Woon berkata ia ekoran PKR kini juga telah menunjukkan rasa tidak puas hati mereka terhadap kerajaan negeri di bawah pentadbiran DAP itu.

“Kita nampak sangat retakan dan perpecahan dalam Pakatan Harapan selepas pergaduhan DAP dan Pas sekarang PKR juga menunjukkan tidak puas hati mereka,” katanya di Parlimen pada Isnin.
Mengulas lanjut, Sin Woon menjelaskan bahawa Guan Eng kini semakin angkuh dan langsung tidak boleh menerima sebarang komen dan kritikan.

“Sudah ada di depan mata kita bagaimana keangkuhan Lim Guan Eng dan menjadikan dia seorang yang tidak boleh menerima sebarang komen termasuk di Pulau Pinang,” katanya lagi.

Sebelum ini, Angkatan Muda PKR Pulau Pinang mendesak Guan Eng menarik balik dan memohon maaf secara terbuka atas keterlanjuran membuat tuduhan melulu terhadap lima wakil rakyat PKR berikutan isu usul tambakan laut.

Ia ekoran tindakan lima wakil PKR berkecuali dalam pengundian usul tebus guna tanah seluas lebih 2,600 hektar.


Bantahan UMNO cawangan : Zahid dapat ‘cium’ dalang


Bantahan UMNO cawangan : Zahid dapat ‘cium’ dalang
Tindakan 34 cawangan itu tidak mengugatkan kedudukan Najib kerana ia tidak mewakili 21,000 UMNO cawangan di seluruh negara.

Rancangan 34 UMNO cawangan di seluruh negara untuk mengadakan bantahan besar-besaran bagi mendesak Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak didalangi pihak tertentu.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau dapat ‘mencium bau’ mereka yang berada di belakang perbuatan itu.

“Saya merasakan bahawa ada dalang yang telah menggunakan 34 ketua cawangan ini, bukan saya tuduh tetapi sebagai salah seorang Naib Presiden UMNO ‘mencium bau’ dalang-dalang yang mencampuri soal ini (desak Najib letak jawatan) untuk melakukan desakan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Forum Peringkat Tinggi Malaysia-China pada Isnin.

Mengulas lanjut, Zahid berkata, tindakan 34 cawangan berkenaan tidak akan mengugatkan kedudukan Najib sebagai Presiden Parti UMNO, kerana jumlah tersebut tidak mewakili 21,000 UMNO cawangan di seluruh negara.

“Perlu kita ketahui 21,000 cawangan UMNO seluruh negara, bukan kita mahu perkecilkan tindakan yang dilakukan oleh mereka,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan dalang berkenaan supaya berhenti mempengaruhi UMNO cawangan yang lain sebaliknya bertindak mengunakan cara yang betul untuk membuat kritikan.

“Saya tidak berhasrat untuk menghentak hati mana-mana pihak tetapi UMNO hidup dan terus releven. Perkara ini harus dihormati oleh semua ahli dan kepimpinan UMNO,” katanya.


Tidak wajar termakan pujuk rayu Obama


Tidak wajar termakan pujuk rayu Obama
Amerika tidak wajar dijadikan contoh dalam pengurusan ekonomi kerana negara itu pernah mencatat hutang negara paling tinggi di dunia.

Malaysia tidak harus mempunyai alasan untuk termakan pujuk rayu Presiden Amerika Syarikat (US) Barack Obama berhubung Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).

Ketua Lajnah Antarabangsa Dewan Ulama Pas Pusat, Muhammad Ismi Mat Taib berkata, Amerika bukanlah negara yang layak dijadikan contoh dalam pengurusan ekonomi, malah, negara itu pernah mencatat hutang negara paling tinggi di dunia.

“Atas alasan apakah pujuk rayu musuh utama keamanan dunia ini perlu dimakan oleh pemimpin di Malaysia?

“Tidakkan ada secubit rasa sedih akibat nasib yang menimpa umat Islam angkara Amerika dan sekutu?

“Apakah jaminan kerjasama perdagangan ini akan mendatangkan keuntungan buat negara khususnya rakyat, ketika Obama menjamin akan berlakunya kenaikan harga ubat, bahkan sudah tentu pelbagai kenaikan harga akan terpaksa dihadapi oleh rakyat?,” soalnya yang dipetik dari portal harakahdaily.net.

Tambah Muhammad Ismi lagi, rundingan yang dilakukan itu bukan sahaja mencemarkan kedaulatan negara bahkan, turut menjejaskan kestabilan ekonomi rakyat.

Katanya, perkara lain yang akan menjadikan ia lebih kritikal ialah apabila umat Islam sendiri telah menyaksikan kekejaman dan kezaliman Amerika apabila melakukan penindasan atas nama keamanan.


SPRM tetapkan tarikh jumpa Jho Low


SPRM tetapkan tarikh jumpa Jho Low
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, enggan mendedah dengan lebih lanjut kerana tidak mahu ia menjejaskan siasatan yang sedang dibuat terhadap syarikat SRC International.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telahpun menghubungi peguam jutawan yang dikaitkan dengan skandal SRC International, Low Taek Jho atau Jho Low bagi menetapkan tarikh untuk dirakam percakapannya.

Mengulas mengenainya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low Seng Kuan enggan mendedahkannya dengan lebih lanjut kerana tidak mahu ia menjejaskan siasatan yang sedang dibuat terhadap syarikat SRC International.

Paul Low juga menjelaskan berdasarkan pembahagian tugas yang telah dibuat Peguam Negara, SPRM menumpukan siasatan terhadap syarikat itu dan ia tidak akan menyentuh 1MDB.

“Siasatan 1MDB adalah di bawah bidang kuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya.

Paul Low berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi yang bertanyakan adakah SPRM akan menangkap Jho Low untuk membantu siasatan mengenai kontroversi kewangan 1MDB.

Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, polis tidak dapat mengesan Jho Low kerana hingga kini tiada siasatan yang dibuat terhadap jutawan yang berasal dari Pulau Pinang itu.


Hasil kutipan Kerajaan Persekutuan meningkat 3.4 peratus pada 2014


Hasil kutipan Kerajaan Persekutuan meningkat 3.4 peratus pada 2014
Menurut perincian Ketua Audit Negara, hasil cukai dan terimaan bukan hasil meningkat, manakala hasil bukan cukai dan hasil Wilayah Persekutuan menurun.

Kerajaan Persekutuan mengutip hasil berjumlah RM220.63 bilion pada 2014, meningkat RM7.256 bilion atau 3.4 peratus berbanding RM213.370 bilion tahun sebelumnya.

Laporan itu didedahkan dalam Penyata Kewangan dan Pengurusan Kewangan Tahun 2014 serta Aktiviti Kerajaan Persekutuan,Badan Berkanun Persekutuan dan Kerajaan-Kerajaan Negeri Siri 3 yang dibentangkan di Parlimen.

Menurut perincian Ketua Audit Negara, hasil cukai dan terimaan bukan hasil meningkat, manakala hasil bukan cukai dan hasil Wilayah Persekutuan menurun, lapor Bernama.

Cukai pendapatan individu dan syarikat, hasil lesen, bayaran pendaftaran dan permit, duti eksais terhadap barangan import dan cukai jualan atas barang-barang perkilangan dalam negeri menjadi penyumbang utama kepada peningkatan hasil yang direkodkan.

Perkembangan ekonomi domestik yang stabil serta aktiviti penguatkuasaan yang dijalankan secara berterusan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) telah menyumbang kepada peningkatan hasil, katanya.

Bagaimanapun, kutipan cukai pendapatan petroleum serta faedah dan perolehan daripada pelaburan menunjukkan pengurangan berbanding 2013 disebabkan penurunan harga petroleum mentah dan terimaan dividen yang lebih rendah daripada syarikat Kerajaan.

Pada keseluruhannya, Jabatan Audit Negara mendapati tahap prestasi pengurusan kewangan agensi bagi 2014 masih baik, dengan 172 kementerian/Jabatan/Agensi yang mendapat penarafan empat bintang (sangat baik) berbanding 194 pada 2013 dan 143 pada 2012.


UEC: Ridhuan Tee bidas Adenan Satem


UEC: Ridhuan Tee bidas Adenan Satem
Kerajaan tidak mengiktiraf UEC kerana tidak memenuhi keperluan Dasar Pendidikan Negara.

Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah membidas Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem kerana menuduh Kerajan Pusat bodoh apabila tidak mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

Pensyarah dan penganalisis politik itu berkata, Adenan tidak sepatutnya bercakap ‘hanya sedap mulut’ kerana beliau hanya ahli politik bukan pakar pendidikan.

“Jangan sedap mulut bercakap tindakan kerajaan Pusat bodoh. Yang bercakap itu, pandai sangatkah? Ketika berada dalam Kabinet suatu ketika dahulu, kenapa menikus?

“Tidak semua ahli politik pakar. Sekadar ada ijazah asas, masih belum pakar. Maka rujuklah pakar. Bukan buat kelakar,” tulis di ruangan rencana di akhbar Sinar Harian.

Ridhuan Tee berkata, kerajaan Pusat tidak iktiraf UEC kerana tidak memenuhi keperluan Dasar Pendidikan Kebangsaan.

“Standard komponen Bahasa Malaysia UEC tidak setaraf Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), liputan kurikulum Sejarah UEC bagi sejarah negara ini juga terhad.

“Pendek kata, syaratnya amat mudah. Mereka hanya mahukan kecinaan itu dikekalkan,” katanya.

Katanya, Pakar Perlembagaan, Shad Saleem Faruqi telah menjelaskan Perlembagaan hanya membenarkan hak untuk belajar bahasa ibunda bukan hak belajar dalam bahasa ibunda.

“Jika UEC sangat baik, sila ambil SPM bersekali, dapat dua sijil. Bersusahlah sedikit. Kenapa kerajaan juga dipersalahkan,” katanya.

Ridhuan Tee berkata, dia memuji dan menyanjung tinggi Bumiputera di Sabah dan Sarawak yang tidak menuntut sekolah berasaskan etnik.

“Jika tidak, ribuan sekolah berasaskan etnik akan wujud. Inilah kelebihan Bumiputera di sana,” katanya.

Sehubungan itu, Redhuan Tee menasihatkan orang politik berhenti bercakap perkara bodoh dan menuduh kerajaan bodoh yang membawa maksud menteri dan timbalan menteri juga bodoh.

“Adakah kita hanya pandai setelah keluar dari sistem. Sedih apabila melihat ahli politik tidak berfikir dahulu sebelum bercakap atau bertindak sehingga terserlah kebobrokan,” katanya.


Pas akui dasar terhadap UMNO sebelum ini silap


Pas akui dasar terhadap UMNO sebelum ini silap
Ia mengubah pendekatan atas matlamat untuk menyatukan umat Islam selain menggagalkan cita-cita pihak yang mahu menangguk di air keruh

Pas mengambil pendekatan konstruktif dalam membina hubungan barunya dengan UMNO.

Ketua Penerangan Pas Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim berkata, langkah itu diambil kerana berpendapat, cara lama yang digunakan sebelum ini tidak sesuai.

“Perbalahan sesama umat Islam perlu diselesaikan dengan pendekatan konstruktif, bukannya meneruskan dasar destruktif Pas sebelum ini,” katanya yang dipetik daripada The Terengganu Times.

Katanya lagi, atas matlamat untuk menyatukan umat Islam di negara ini, pendekatan itu telah diubah bagi menggagalkan cita-cita pihak yang mahu menangguk di air keruh.

“Memang betul ada perubahan pendekatan Pas dengan UMNO. Ia konsisten dengan pendekatan pemimpin tertinggi Pas termasuk Presiden dan Mursyidul Am Pas.

“Pendekatan yang merapatkan umat ini akan menggagalkan anasir yang mahu beroleh keuntungan dengan jalan pecah dan perintah,” tegasnya dalam kenyataan media yang dipetik dari portal itu.
Jelasnya lagi, pendekatan baru yang dibuat pucuk pimpinan parti Islam itu lebih terbuka dengan UMNO atas tujuan untuk merapatkan ukhuwah sesama Islam.

Katanya lagi, perpecahan sesama Islam yang berlaku selama ini merugikan semua pihak.

Sebelum ini, terdapat cadangan daripada Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif untuk menawarkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai penasihat kepada kerajaan negeri bagi langkah awal perpaduan dua parti itu.

Bagaimanapun, ura-ura itu ditentang hebat Pakatan Harapan (PH) apabila menggunakan media sosial untuk menyerang tokoh Pas.


Tiada wang pencen dilaburkan di Mongolia – Najib


Tiada wang pencen dilaburkan di Mongolia – Najib
Portfolio pelaburan domestik dan antarabangsa KWAP dari tahun 2010 hingga 30 September 2015 adalah sebanyak 39.05 bilion

Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP) tidak pernah membuat sebarang pelaburan di Mongolia.

Najib yang juga Perdana Menteri turut menjelaskan portfolio pelaburan domestik dan antarabangsa KWAP dari tahun 2010 hingga 30 September 2015 adalah sebanyak 39.05 bilion.

“Ia terdiri daripada ekuiti RM29.32 bilion dalam pinjaman dan sekuriti hutang persendirian, RM29.32 bilion dalam pinjaman dan sekuriti hutang persendirian.

“RM29.10 bilion dalam sekuriti kerajaan Malaysia, RM6.16 bilion dalam deposit pasaran wang, RM1.09 bilion dalam hartanah, RM1.12 bilion dalam ekuiti persendirian, RM5.18 bilion dalam ekuiti antarabangsa, RM2.82 bilion dalam pendapatan tetap antarabangsa, RM3.91 bilion dalam hartanah antarabangsa.

“Namun, setakat 30 September 2015, KWAP tidak mempunyai apa-apa pelaburan di Mongolia,” ujarnya lagi.

Najib berkata demikian bagi menjawab pertanyaan lisan Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul yang meminta Najib menyenaraikan semua pelaburan KWAP.


YaPEIM yakin isu penyumbang tarik diri hanya sementara


YaPEIM yakin isu penyumbang tarik diri hanya sementara
Abibullah berkata, pihaknya akan memberi penjelasan kepada Para penyumbang supaya mereka kembali menyumbang kepada yayasan berkenaan.

Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) yakin tindakan kira-kira 3,000 penyumbang dana Amal Jariah (Skim Potongan Gaji) yang menarik diri daripada menyumbang kepada yayasan berkenaan haya bersifat sementara.

Ketua Pengarah/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan YaPEIM Datuk Abibullah Samsudin berkata, pihaknya akan memberi penjelasan kepada para penyumbang supaya mereka kembali menyumbang kepada yayasan berkenaan selepas dakwaan mengenai penyelewengan dana dibuktikan tidak benar.

“Saya yakin pemberhentian (sumbangan dana) ini adalah pemberhentian yang bersifat sementara sehingga mereka benar-benar yakin ini adalah fitnah dan mereka akan (kembali) meneruskan sumbangan kepada YaPEIM.

“Kita akan hantar kenyataan akhbar dari semasa ke semasa supaya mereka akhirnya akan memahami perkara sebenar yang sedang berlaku,” katanya kepada Bernama di Kota Bharu.

Buat masa ini, YaPEIM direkodkan mempunyai kira-kira 5,000 penyumbang dana di bawah dana Amal Jariah yang menyumbang minimum RM1 hingga maksimum RM500 setiap bulan.

Abibullah juga memberitahu, pihaknya juga sedang menjalankan siasatan dalaman berhubung kebocoran maklumat berhubung pengurusan kewangannya, namun turut menyerahkan perkara berkenaan kepada polis untuk siasatan secara menyeluruh.

Beliau juga tidak menafikan berita bahawa pegawai yayasan berkenaan dipanggil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memberi keterangan, namun enggan mengulas lanjut.

Minggu lalu, Pusat Pemantauan dan Pendedahan Maklumat Kebangsaan (NOW) mendedahkan beberapa siri salah guna dana dan lebihan pembayaran gaji kepada pengurusan YaPEIM.


200 ketua UMNO cawangan akan desak Najib letak jawatan


200 ketua UMNO cawangan akan desak Najib letak jawatan
Kumpulan itu terdiri daripada sayap parti iaitu Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO akan mendesak Muhyiddin mengambilalih jawatan Presiden.

Lebih 200 ketua-ketua UMNO cawangan seluruh negara akan mengadakan sidang media pada 27 November untuk mendesak Datuk Seri Najib Tun Razak meletak jawatan sebagai Presiden parti.

Ketua UMNO Cawangan Kampung Railway, Mohd Said Midon berkata, kumpulan terbabit termasuk daripada sayap parti iaitu Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO.

“Kami tidak akan berhenti mendesak sehingga dua tuntutan dipenuhi,” katanya sambil menambah tempat sidang media itu akan dimaklumkan kemudian.

Mohd Said berkata, dua tuntutan itu ialah mendesak Najib meletak jawatan sebagai Presiden dan digantikan dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Katanya, negara menghadapi banyak masalah yang menjejaskan rakyat dan menjadi tanggungjawab ahli UMNO untuk mengambil tindakan untuk agama, bangsa dan negara.

Mohd Said berkata, ketua-ketua UMNO cawangan di seluruh negara akan membuat siri-siri sidang media secara berterusan sebagai tekanan kepada Najib.

Sementara itu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, terdapat dalang yang membayar ketua-ketua UMNO cawangan membuat kecoh menjelang Perhimpunan Agung UMNO, bulan depan.

Katanya, dalang itu sedang rancak menjelajah ke seluruh negara untuk menghasut ketua-ketua UMNO cawangan bagi mendesak Najib meleta jawatan.

“Dalang ini sedang jaja (hasut) ketua cawangan seluruh negara minta sokongan 100 ketua cawangan untuk tolak Presiden.

“Mereka ini dibayar dengan duit. Mereka buat kecoh (untuk ganggu perjalanan) perhimpunan agung, ” katanya yang dipetik daripada Sinar Harian.


Penyalahguna kuasa dilindungi – Nik Nazmi


Penyalahguna kuasa dilindungi – Nik Nazmi
Apa yang dilakukan PDRM itu secara jelas menunjukkan bahawa berlakunya langkah melindungi penyalahguna kuasa daripada melindungi pendedah kepincangan.

Siasatan terhadap Pengarah National Oversight and Whistle Blower (NOW), Akmal Nasir jelas menunjukkan masih ada yang mahu melindungi penyalahguna kuasa dengan menyiasat mereka yang mendedahkan kepincangan.

Ketua Angkatan Muda Keadilan, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, tindakan itu sememangnya sudah dijangka kerana sebelum ini dalam pendedahan seperti kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan NFC Corporation, PDRM menumpukan sepenuh tenaga menyiasat mereka yang mendedahkan maklumat daripada menjalankan siasatan terhadap pihak yang terlibat dalam skandal yang didedahkan.

Katanya, langkah Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang meyiasat Akmal Nasir hanya akan menyebabkan hakisan keyakinan masyarakat terhadap organisasi penegak undang-udang berkenaan lebih-lebih lagi apabila cuba bersekongkol mengaburi mata rakyat dalam perkara-perkara tertentu melibatkan pihak yang berkepentingan.

“Di dalam kes YaPEIM ini, kesemua maklumat yang didedahkan telah disahkan ketulenannya oleh pihak YaPEIM jadi mengapa perlu menyiasat perolehan dokumen tersebut?

“Adakah pihak berkuasa berharap agar maklumat-maklumat ini tidak langsung diketahui rakyat? Bukankah rakyat berhak mengetahui ke mana perginya duit sumbangan mereka?,” soalnya.

Sehubungan itu katanya, AMK menggesa agar pihak berkuasa menghentikan amlan pengancam pendedah maklumat sebaliknya, memberikan perlindungan kepada mereka.

Tambahnya, mereka yang didedahkan dengan penyelewengan pula haruslah disiasat dan diambil tindakan kerana telah mengkhianati kepercayaaan yang telah diberikan oleh rakyat.


Teliti kenyataan kesal Nurul Izzah sebelum diterima-Ismail Sabri


Teliti kenyataan kesal Nurul Izzah sebelum diterima-Ismail Sabri
Pelbagai aspek perlu diteliti sebelum kenyataan yang dibuat Ahli Parlimen Lembah Pantai itu diterima.

Rasa kesal yang diluahkan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar ekoran pertemuannya dengan waris kesultanan Sulu, Jacel Kiram, tidak boleh diterima dengan mudah.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri berkata, ia perlu diambil kira kerana dikhuatiri akan menjadi ikutan pihak lain.

“Sepatutnya Nurul Izzah sedar lebih awal lagi, ia adalah satu kesalahan dan permohonan maaf itu tidak boleh kita terima dengan mudah sebab ia akan beri isyarat yang tidak bagus pada pihak lain dan mereka berkemungkinan akan membuat kesilapan yang sama,” katanya yang dipetik daripada BNBBC.

Jelas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu lagi, perbuatan Nurul Izzah menunjukkan dia tidak sensitif dengan perasaan rakyat Sabah dan waris anggota keselamatan yang terkorban dengan penceroboh pengganas Sulu di Lahad Datu, dua tahun lalu.

“Bagi saya bertemu dengan salah seorang anggota yang mengisytiharkan perang ke atas Malaysia ini sebagai satu tindakan penderhakaan kepada negara yang boleh diambil tindakan di bawah Akta Pencegahan Keganasan (POTA) dan Kanun Keseksaan kerana mengisytihar perang terhadap Yang di-Pertuan Agung,” katanya yang juga Ahli Parlimen Bera.

Ismail memberikan reaksi itu selepas Nurul Izzah menyatakan kekesalannya berhubung penyebaran gambarnya dan menegaskan tidak pernah berkenalan dengan wanita itu.

Katanya, Jacel merupakan salah seorang daripada 15 tetamu yang dijemput penganjur program, iaitu Majlis Hal Ehwal Filipina dan Institut Asia untuk Demokrasi, Pejabat Datuk Bandar Manila dan Pejabat Naib Presiden Filipina.


UiTM, UIAM juara debat antara universiti Cambridge


UiTM, UIAM juara debat antara universiti Cambridge
Kejayaan UiTM dan UIAM pada pertandingan debat dengan menewaskan beberapa buah universiti luar negara menunjukkan mereka mampu bersaing dengan universiti bertaraf antarabangsa

Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) muncul juara dalam pertandingan debat tahunan antara universiti Cambridge (Cambridge IV).

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh yang gembira dengan kejayaan dua buah universiti berkenaan mengucapkan tahniah dan ucapan itu ditulis dalam catatan diFacebooknya pada Isnin.

“Tahniah kepada UiTM dan UIAM kerana muncul juara pada Pertandingan Debat Intervarsity Cambridge baru-baru ini,” katanya.

UiTM memenangi hadiah utama bagi pertandingan keseluruhan, sementara UIAM menjuarai kategori Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (ESL), pada pertandingan yang diadakan selama dua hari mulai Jumaat lepas di Universiti Cambridge, United Kingdom.

UiTM diwakili Mohd Mifzal Mohd Murshid Kieron dan Jasmine Ho, kedua-duanya berusia 22 tahun.
UIAM diwakili oleh Ameera Natasha Moore, 22, dan Sara Rahim, 20, yang menewaskan Universiti Tel Aviv dari Israel serta Leiden A dan Leiden B, kedua-duanya dari Belanda.

Sebanyak 128 pasukan daripada pelbagai universiti termasuk Universiti Harvard, Universiti Oxford, London School of Economics, Universiti Toronto, Universiti Tel Aviv, Universiti Cornell dan Trinity College Dublin, menyertai pertandingan itu.


Najib puas hati dengan Sidang Kemuncak ASEAN


Najib puas hati dengan Sidang Kemuncak ASEAN
PM menyampaikan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan Sidang Kemuncak ASEAN

Sidang Kemuncak ASEAN ke-27 dan Sidang Kemuncak Berkaitan berjalan sempurna dan lancar hasil kerja keras daripada semua pihak terlibat.

Penghargaan itu disampaikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di laman Facebooknya.

“Saya ingin menyampaikan ucapan tahniah dan ribuan terima kasih kepada para anggota sekretariat ASEAN 2015 yang berusaha menjayakan acara bersejarah ini dan kakitangan kerajaan yang memberi pandangan dan bantu persiapan untuk saya dan perwakilan Malaysia,” katanya.

Beliau turut melahirkan penghargaan terhadap usaha dan sumbangan semua anggota keselamatan dan trafik dalam memastikan Kuala Lumpur aman dan selamat sepanjang sidang kemuncak itu berlangsung.

Mesyuarat tentang Sidang Kemuncak ASEAN ke-27 dan Sidang Kemuncak Berkaitan bermula Rabu lepas, termasuk beberapa acara lain di luar sidang termasuk Persidangan Inovasi Perkhidmatan Awam ASEAN, Sidang Kemuncak Pemimpin Muda ASEAN, dan Sidang Kemuncak Bisnes dan Pelaburan ASEAN 2015.

-BERNAMA


Parlimen hak milik rakyat, bukan UMNO – Shahbudin


Parlimen hak milik rakyat, bukan UMNO – Shahbudin
Keputusan UMNO untuk mengadakan mesyuarat MT pada 24 November ini di bangunan Parlimen tidak pernah dibuat mana-mana Presiden UMNO sebelum ini.

Pemilihan bangunan Parlimen sebagai lokasi mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO dilihat sebagai luar kebiasaan kerana ia tidak pernah dibuat sebelum ini.

Bahkan, ia dianggap bercanggah dengan prinsip Parlimen, ia hak milik semua rakyat kerana tidak dimiliki oleh mana-mana parti politik.

Bagi bekas Naib Ketua Pemuda UMNO Wangsa Maju, Shahbudin Husin, mesyuarat MT yang akan berlangsung pada 24 November ini menimbulkan banyak kehairanan.

“Tetapi kenapa Najib Razak begitu berani mencipta sejarah dan tanpa segan silu melanggar kelaziman itu dengan memulakan amalan menjadikan Parlimen sebagai tempat untuk mesyuarat MT UMNO?

“Apakah mesej yang mahu disampaikannya kepada rakyat? Apakah selepas ini lebih kerap MT UMNO akan bersidang di Parlimen?,”Soalnya

Katanya lagi, kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said bahawa mesyuarat MT kali ini diadakan di Parlimen yang berkebetulan dengan sesi Dewan Rakyat sedang berlangsung untuk mengelakkan berlakunya sebarang usul tergempar yang mungkin dibawa oleh pihak pembangkang juga dipersoal.

Begitu juga dengan kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bahawa pemilihan Parlimen sebagai tempat mesyuarat kali ini ialah untuk memudahkan Ahli Parlimen yang menjadi Ahli MT UMNO untuk menghadirinya, turut ditempelaknya kerana jaraknya yang amat dekat dengan ibu pejabat UMNO di PWTC.

“Berkenaan tarikh asal mesyuarat MT pada 27 November tetapi diawalkan kepada 24 November, bolehkah diterima alasan Tengku Adnan bahawa ia dicepatkan kerana Perhimpunan Agung UMNO tahun ini yang ditetapkan pada 8 hingga 12 Disember sudah begitu hampir tarikhnya?

“Banyak sangatkah bezanya tarikh asal 27 November dengan tarikh baru 24 November? Tidakkah tindakan mengawalkan tarikh mesyuarat daripada Jumaat kepada Selasa semata-mata supaya ia boleh diadakan di Bangunan Parlimen memandangkan tiada sesi Parlimen pada hari Jumaat?,” Tanyanya.

Dalam tulisannya di shahbudindotcom, dia menjelaskan tujuan sebenar kepimpinan tertinggi UMNO memilih bangunan Parlimen sebagai lokasi mesyuarat MT.

Katanya, salah satu agenda penting mesyuarat MT pada 24 November ini ialah untuk memutuskan sama ada memecat atau menggantung keahlian Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Tun Dr Mahathir Mohamad daripada UMNO.

“Jika kita masih ingat, dalam mesyuarat MT UMNO sebelum ini yang dihebohkan Muhyiddin dan Shafie akan dipecat susulan pengguguran mereka daripada kabinet, ribuan penyokong kedua-dua pemimpin itu berkumpul di Bangunan UMNO dengan pelbagai sepanduk serta poster dan ia akhirnya bukan saja menyebabkan sebarang tindakan tidak jadi diambil, bahkan juga turut membuatkan Najib datang dan pulang dengan melalui pintu belakang lantaran bimbang sesuatu respon yang tidak diingini berlaku terhadapnya.

“Tetapi, dengan kali ini MT mengadakan mesyuaratnya di Bangunan Parlimen, tidak ada penyokong mana-mana pemimpin akan dibenarkan memasuki bangunan itu berikutan faktor kawalan
keselamatan yang sedia ada di situ dan akhirnya Najib dapat mengelakkan sebarang reaksi atau protes yang tidak diingini jika pemecatan atau penggantungan dilakukan,” jelas Shahbudin.

Katanya, jika tindakan sedemikian diputuskan di Bangunan UMNO, puluhan ribu penyokong Muhyiddin, Shafie dan Tun Mahathir tidak ada masalah untuk bergabung, berhimpun dan memprotes lantaran kemarahan terhadap keputusan yang diambil itu.

Shahbudin membuat kesimpulan, atas faktor yang dikupasnya, kepimpinan UMNO memutuskan untuk mengadakan mesyuarat MT di Parlimen pada 24 November ini dan bukan lagi ibu pejabat parti itu sendiri.


Jamal desak Izzah dikenakan tindakan paling tegas


Jamal desak Izzah dikenakan tindakan paling tegas
Beliau mendakwa Izzah melakukan pengkhianatan terhadap negara dan anggota keselamatan yang terkorban di Lahad Datu.

Datuk Jamal Yunos mendesak pihak berkuasa mengenakan tindakan paling tegas terhadap Nurul Izzah Anwar kerana didakwanya melakukan pengkhianatan kepada negara dan anggota keselamatan yang gugur ketika pencerobohan Lahad Datu pada 2013.

Pengerusi Gabungan NGO Melayu itu berkata, tindakan tegas juga patut dikenakan terhadap Ahli Parlimen Batu, Tian Chua kerana bersama Izzah.

Katanya, tindakan tegas itu bagi memastikan Izzah tidak terlepas dengan tindakannya itu selepas meminta maaf.

“Tak kira apa undang-undang yang ada, gunakan untuk sabitkan mereka,” katanya selepas membuat laporan polis terhadap Izzah di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi pada Ahad.

Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar itu berkata, beliau mensasarkan sekurang-kurangnya 1,000 laporan polis akan dibuat terhadap Izzah.

Kumpulan penyokong yang memakai t-shirt merah dengan tulisan Jamal ‘penyokong Dato’ Jamal’ cuba membakar patung replika menyerupai Izzah dan Tian Chua tetapi dihalang anggota polis.

Kumpulan seramai 100 orang itu turut membawa sepanduk dan plakad yang mendesak tindakan tegas terhadap Izzah dan Tian Chua.

Izzah, Naib Presiden PKR telah menyatakan kesal kerana gambar dia dan Puteri Sultan Sulu, Jacel Kiram yang membangkitkan kemarahan ahli keluarga anggota pasukan keselamatan yang terkorban dan rakyat Malaysia secara amnya.


Pas Pulau Pinang berhentikan 783 JKKK


Pas Pulau Pinang berhentikan 783 JKKK
Tindakan itu diambil selepas kerajaan Pulau Pinang pimpinan Lim Guan Eng memecat 300 JKKK di Kepala Batas.

Pas Pulau Pinang memberhentikan 783 ahlinya daripada menganggotai Ahli Jawatankuasa dan Keselamatan Komuniti (JKKK).

Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Fauzi Mohd Yusof berkata, arahan itu dikeluarkan berkuatkuasa serta merta, lapor Utusan Malaysia.

Tindakan itu diambil selepas kerajaan Pulau Pinang pimpinan Lim Guan Eng memecat 300 JKKK di Kepala Batas kerana enggan menyertai Pakatan Harapan.

Susulan itu, Ketua Penerangan Pas negeri, Mohd Yusni Mat Piah mencabar kerajaan negeri memecat baki 783 ahli Pas yang menanggotai JKKK di seluruh negeri itu.

Pas telah umumkan menjadi pembangkang di Pulau Pinang kerana parti itu bukan sebahagian daripada kerajaan negeri Pakatan Harapan.


DAP sedia pertahan Ling Liong Sik


DAP sedia pertahan Ling Liong Sik
Tiada seorang pemimpin MCA yang mempertahankan bekas Presiden mereka selepas disaman oleh Najib Tun Razak

DAP ulangi kesediaan untuk mempertahankan bekas Presiden MCA, Tun Ling Liong Sik yang disaman disaman Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung penerbitan artikel yang mendakwa Perdana Menteri menyalahgunakan dana kerajaan.

Ketua Pemuda DAP, Teo Kok Seong berkata, pihaknya sudi berbuat demikian sekiranya tiada pemimpin dari MCA yang sedia mempertahankan bekas pemimpin mereka sendiri.

“Apabila beliau dan Tun Mahathir menyuarakan kebimbangan berhubung skandal 1MDB dan RM2.6 bilion, Liong Sik disaman tapi tak ada seorang pun daripada MCA atau Pemuda MCA yang berani keluar untuk mempertahankan bekas Presiden mereka.

“Saya rasa Setiausaha Agung (Lim Guan Eng) telah mengatakan bahawa, jika tak ada yang pertahanan Tun Ling Liong Sik, DAP bersiap sedia untuk mempertahankan beliau.

“Ini cara DAP, di mana kita menyokong segala kenyataan atau segala tindakan demi kepentingan rakyat,” katanya ketika menyampaikan Ucapan Dasar pada Kongres Kebangsaan Dapsy 2015, lapor Sinar Harian.

Bulan lalu, Guan Eng dilaporkan menyatakan kesediaan untuk membela Liong Sik termasuk menyediakan khidmat guaman.

Vape diharamkan di universiti awam


Vape diharamkan di universiti awam
Keputusan bersama itu dicapai dalam mesyuarat naib canselor universiti awam pada Jumaat lalu.

Rokok elektronik atau vape diharamkan di semua 20 universiti awam di negara ini, kata Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh.

Katanya, keputusan bersama itu dibuat hasil persetujuan semua naib canselor universiti awam dalam mesyuarat pada Jumaat lalu.

“Keputusan ini wajar kerana kawasan kampus adalah kawasan hijau,” katanya selepas perasmian Sukan Inter-university ke-6, lapor Bernama.

Katanya, sebelum ini kementerian hanya mengharamkan rokok di kawasan kampus tetapi kini dipanjangkan kepada penggunaan vape.


Kerajaan Selangor, Azmin mengecewakan – Pemuda DAP


Kerajaan Selangor, Azmin mengecewakan – Pemuda DAP
Keputusan tidak mengiktiraf Pakatan Harapan seolah-olah tidak menghargai pengorbanan pemimpin Amanah yang meninggalkan Pas kerana mempertahankan gabungan pembangkang.

Pemuda DAP (DAPSY) kecewa dengan kerajaan Selangor yang tidak mengiktiraf gabungan pakatan pembangkang yang baharu, Pakatan Harapan bagi menggantikan Pakatan Rakyat di negeri itu.

Ketua DAPSY, Teo Kok Seong berkata, keputusan kerajaan Selangor pimpinan Menteri Besarnya, Mohamed Azmin Ali seperti tidak menghargai usaha pemimpin Parti Amanah Negara (Amanah) mempertahankan Pakatan Rakyat selama ini.

Tambah mengecewakan, katanya, Azmin mengabaikan keputusan Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang merestui Pakatan Harapan.

“Saya ingin menyatakan kekecewaan terhadap kerajaan Selangor kerana tidak mengiktiraf penubuhan Pakatan Harapan walaupun penubuhannya direstui Presiden PKR,” katanya ketika berucap merasmikan Kongres DAPSY 2015 pada Ahad.

Kok Seong berkata, pemimpin Amanah meninggalkan Pas kerana prinsip dan menjadi tanggungjawab PKR dan DAP untuk membela dan membantu pemimpin Amanah.

Azmin menolak Pakatan Harapan untuk menggantikan pentadbiran negeri Selangor selepas terkuburnya Pakatan Rakyat.

Beliau mempertahankan kerajaan gabungan PKR, DAP dan Pas di Selangor yang telah mentadbir negeri itu dengan baik.

Wan Azizah dan pimpinan PKR serta Pas dilaporkan menerima keputusan Azmin itu dan begitu juga Exco kerajaan negeri dari DAP demi mempertahankan kerajaan Selangor.

Bagaimanapun, pimpinan DAP pusat tidak berpuashati dan mendesak Amanah diterima dalam pentadbiran negeri untuk menggantikan Pas.


Ketua UMNO cawangan rancang himpunan desak Najib berundur


Ketua UMNO cawangan rancang himpunan desak Najib berundur
Mereka mendakwa sudah mendapat sokongan kira-kira 5,000 ketua UMNO cawangan seluruh negara.

Ketua-ketua UMNO cawangan di seluruh negara merancang mengadakan perhimpunan besar-besar bulan hadapan bagi mendesak Datuk Seri Najib Tun Razak meletak jawatan.

Ketua UMNO Cawangan Taman Port Dickson Utama, Mohd Isa Mohd Yasin berkata, kira-kira 5,000 ketua cawangan telah menyatakan sokongan itu dan yakin satu perempat ketua UMNO cawangan menyokong rancangan itu.

Katanya, mereka belum menetapkan lokasi perhimpunan itu.

“Tindakan kami ini tidak didorong oleh mana-mana pihak, sebaliknya atas kesedaran sendiri untuk mengembalikan hak bersuara dalam UMNO kepada yang benar-benar berhak iaitu ketua UMNO cawangan sebagai akar umbi supaya parti dapat diselamatkan,” katanya yang dipetik daripada Sinar Harian.

Mohd Isa berkata demikian kepada media selepas mengadakan mesyuarat bersama 34 ketua UMNO cawangan bagi mendesak secara terbuka Najib meletak jawatan sebagai Presiden UMNO di Port Dickson, pada Sabtu.

Ketua UMNO cawangan itu dari Negeri Sembilan, Selangor, Johor, Perak dan Sabah.

Mohd Isa berkata, 34 ketua UMNO cawangan itu sebulat suara mendesak Najib meletak jawatan kerana sudah hilang kepercayaan terhadap kredibiliti pemimpin itu.

Katanya, semasa peralihan jawatan antara Tun Abdullah Ahmad Badawi kepada Najib, mereka memberikan sokongan penuh, di samping meletakkan harapan tinggi.

“Namun, apa yang berlaku hari ini tidak seperti mana yang diharapkan dan sudah ramai yang sangsi dengan UMNO.

“Kita mahu parti tidak mengambil sebarang tindakan disiplin terhadap Timbalan Presiden, Naib Presiden, ketua cawangan atau mana-mana ahli UMNO yang tampil membuat kritikan kepada parti,” katanya.

Sebelum ini, sebanyak 13 ketua UMNO cawangan di Teluk Kemang dan 20 ketua cawangan di Sepang membuat desakan terbuka agar Najib meletak jawatan.


Izzah boleh didakwa menderhaka – KPN


Izzah boleh didakwa menderhaka – KPN
Polis kecewa dengan perbuatan Nurul Izzah dan memandang perkara itu sebagai serius walaupun dia telah menyatakan kekesalan.

Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar boleh didakwa atas tuduh menderhaka susulan tersebarnya gambar dia bersama Puteri Sultan Sulu, Jacel Kiram dalam satu majlis pada 9 November lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, beliau memandang serius perkara itu walaupun Ahli Parlimen Lembah Pantai itu telahpun meminta maaf dan kesal dengan apa yang berlaku.

“Sebagai ketua pasukan polis, saya kecewa dengan tindakan dia. Daripada gambar itu, ia tidak kelihatan seperti satu kebetulan. Ia gambar aksi,” katanya yang dipetik Malaysian Insider.

Khalid berkata, Izzah boleh disiasat mengikut Seksyen 124 Kanun Keseksaan kerana menderhaka.
“Walaupun dia telah meminta maaf tetapi ia dua perkara berbeza,” katanya yang dilapor berkata.

Izzah telah menyatakan kesal dengan gambar itu kerana menimbulkan kemarahan ahli keluarga pasukan keselamatan negara yang terbunuh ketika pencerobohan di Lahad Datu.

Katanya, dia tidak pernah dengan Jacel Kiram dan semua tetamu yang hadir dalam majlis itu ditentukan oleh pihak penganjur.

10 anggota pasukan keselamatan dan dua orang awam terbunuh dalam pencerobohan kumpulan bersenjata di Lahad Datu pada 2013.

Empat banduan terlepas hukuman gantung sampai mati


Empat banduan terlepas hukuman gantung sampai mati
Semua banduan lelaki berusia antara 30 hingga 50 tahun diringankan hukuman penjara seumur hidup kerana membunuh dan mengedar dadah.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan meringankan hukuman gantung sampai mati empat banduan rakyat tempatan kepada penjara seumur hidup sempena Hari Keputeraan baginda yang ke-57.

Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Ismail Karim berkata, keputusan itu dibuat ketika mesyuarat Lembaga Pengampunan Negeri Johor yang dipengerusikan Sultan Ibrahim di Bangunan Sultan Ibrahim, Bukit Timbalan di sini, 16 November lalu.

Beliau berkata, semua banduan lelaki itu berusia antara 30 hingga 50 tahun dihukum gantung sampai mati selepas disabitkan atas kesalahan membunuh dan mengedar dadah.

“Menerusi mesyuarat berkenaan, Lembaga Pengampunan Negeri Johor mempertimbangkan 30 kes rayuan sebelum Sultan Ibrahim memutuskan untuk memberi pengampunan kepada empat banduan terbabit.

“Ia juga hasil perbicangan bersama dan pendapat daripada Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali dengan Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin serta tiga ahli yang dilantik baginda,” katanya, lapor Harian Metro.


Sultan Johor minta ‘hadiah paling berharga’ daripada rakyat


Sultan Johor minta ‘hadiah paling berharga’ daripada rakyat
Baginda mahu melihat Bangsa Johor bersatu sebagai hadiah paling berharga sempena Hari Keputeraan baginda ke-57.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar bertitah, hadiah paling berharga yang baginda mahukan sempena Hari Keputeraan ke-57 baginda ialah melihat Bangsa Johor bersatu.

Baginda bertitah, rakyat tidak perlu membelikan apa-apa hadiah kerana melihat Bangsa Johor bersatu merupakan hadiah paling tidak ternilai yang baginda mahukan.

Sultan Ibrahim bertitah, baginda sayangkan rakyat Johor kerana tanpa rakyat tiada raja.

“Untuk hari jadi saya hari ini, tidak perlu untuk membelikan apa-apa hadiah untuk saya. Hanya satu permintaan dari saya, yang mana bagi saya amat berharga, iaitu untuk Bangsa Johor bersatu.

“Saya sayang rakyat saya. Tanpa rakyat maka tiada raja. Rakyat Johor adalah tanggungjawab saya dan impian saya adalah untuk melihat rakyat bersatu,” titah baginda.

Titah Sultan Ibrahim itu dimuatnaik di laman rasmi Facebook baginda.

Baginda turut memuatnaik gambar-gambar bersama ahli keluarga menyambut Hari Keputeraan baginda bersama anakanda Tuanku Jalil yang sedang menerima rawatan di Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru.


YaPEIM belanja ratusan ribu kerana budaya mengampu – Dr Maszlee


YaPEIM belanja ratusan ribu kerana budaya mengampu – Dr Maszlee
Kaki bodek membodek menteri dan ahli politik dengan membawa mereka ke luar negara yang disertakan pakej-pakej lain untuk mendapat 'markah tinggi' dan 'menjalin hubungan baik'.

Budaya mengampu dan membodek menteri dan orang politik punca Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) berbelanja ratusan ribu untuk program di luar negara.

Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Dr Maszlee Malik berkata, pegawai tiinggi kerajaan, pihak berwajib di negara yang terlibat dengan program YaPEIM dan pelajar yang menganjurkannya ‘mengampu’ untuk mendapat ‘markah tinggi’ dan mendekati orang politik.

Katanya, budaya mengampu itu menyebabkan YaPEIM terpaksa belanja ratusan ribu untuk program di luar negara kerana melibatkan kehadiran menteri.

“Isunya ialah mengapa perlu majlis-majlis anjuran YAPEIM itu melibatkan perasmian menteri?,” tulisnya di Facebook.

Maszlee berkata, dia membuat penjelasan itu kerana menerima banyak pertanyaan berhubung isu YaPEIM.

Penganalisis politik itu berkata, budaya mengampu itu disukai orang politik dan menteri kerana boleh ‘makan angin’.

Katanya, jika menteri melawat, ada pakej lain yang kaki pengampu dan pembodek akan sediakan untuk menghiburkan pak-pak menteri.

“Jika tidak golf, pergi shopping, jika tidak shopping, pergi casino, jika tidak casino, ke tempat-tempat liburan.

“Maka dana awamlah yang akan digunakan. Untuk justifikasi, digunakan nama agama, untuk berdakwahlah, untuk fisabilillah lah, untuk perangi maksiat liberal bagailah….yang sebenarnya mau free riding sahaja.

“Isunya ialah budaya politik patronage yang berakar umbi dalam masyarakat Melayu Muslim di Malaysia,” katanya.

Maszlee berkata, jalan penyelesaian ialah mengadakan pentadbiran baik (good governance) ketelusan, akauntabiliti, integriti dan surat pekeliling yang menyatakan tidak perlu menteri rasmikan program-program pelajar di luar negara.

Katanya, pemimpin tempatan negara-negara tersebut sahaja dilibatkan dan tidak perlu membazir untuk menjemput menteri kerana hubungan bersama komuniti lokal lebih penting kepada pelajar di luar negara untuk membuka minda dan menambahkan pengalaman.

“Para menteri boleh jumpa di Malaysia sahaja,” katanya.

Maszlee berkata, untuk menganjurkan program-program Islam, yang diperlukan pendakwah yang ikhlas bukannya orang politik dan juak-juak mereka yang berkepentingan.

Dia berkata, penganjuran program dakwah untuk pelajar Malaysia beragama Islam di luar negara bukan perkara baru malah telah dibuat banyak pertubuhan sejak berpuluh tahun lalu tetapi tidak berbelanja sehingga ratusan ribu dan tidak melibatkan dana awam.

Katanya, IKRAM, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Pas telah lama menganjurkan program untuk pelajar Malaysia di luar negara dan ramai yang mendapat manfaat termasuk pelajar bukan Islam.

“Tetapi tidak timbul isu perbelanjaan ratusan ribu,” katanya.

Saya kesal gambar bersama Jacel Kiram timbulkan kemarahan – Izzah


Saya kesal gambar bersama Jacel Kiram timbulkan kemarahan – Izzah
Dia menjelaskan tidak pernah berkenalan dengan Jacel Kiram kerana semua tetamu diundang oleh penganjur program.

Nurul Izzah Anwar kesal kerana gambarnya bersama Puteri Sultan Sulu, Jacel Kiram telah membangkitkan kemarahan ahli keluarga patriot dan perajurit yang terkorban ketika pencerobohan Lahad Datu.

Naib Presiden PKR itu berkata, dia juga kesal kerana gambar itu membuat rakyat Malaysia terasa dan marah.

“Saya tahu dan faham ahli-ahli keluarga patriot dan perajurit yang terkorban akibat pencerobohan Lahad Datu dan rakyat Malaysia amnya cukup terasa dan marah akibat gambar saya dan Jacel Kiram, dan saya berasa amat kesal atas hakikat ini.

“Simpati dan sokongan saya dari dulu hingga bila-bila adalah kepada para perajurit pahlawan negara yang terkorban serta komuniti-komuniti yang masih terkesan akibat konflik ini serta desakan puak pemisah.

“Sebagai seorang Ahli Parlimen dan rakyat Malaysia yang setia kepada nusa dan bangsa, saya akan sentiasa mempertahan Sabah sebagai sebahagian daripada negara Malaysia yang tercinta,” katanya dalam kenyataan media.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu mempertahankan dirinya dan menjelaskan dia tidak pernah berkenalan dengan Jacel Kiram.

Katanya, Jacel antara 15 tetamu yang dijemput penganjur program iaitu Council on Philippine Affairs & The Asian Institute for Democracy, pejabat Datuk Bandar Manila dan pejabat Naib Presiden Filipina pada 9 November lalu.

“Semua yang hadir di program tersebut telah bergambar dengan saya sebagai tanda sokongan terhadap laporan Kumpulan Kerja Mengenai Penahanan Tanpa Bicara Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nation Working Group on Arbitrary Detention) yang menggesa agar Datuk Seri Anwar Ibrahim dibebaskan serta-merta,” katanya.

Izzah berkata, dia tiada apa-apa yang mahu disembunyikan dan bersedia bekerjasama dengan polis bagi menjelaskan tujuan lawatan ke Filipina itu.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Rujukan