Cari Artikel

Thursday, November 19, 2015

Kenapa hanya 300? Pecatlah semua – Pas Pulau Pinang


Kenapa hanya 300? Pecatlah semua – Pas Pulau Pinang
Pas mempunyai semua rekod JKKK di Pulau Pinang dan sedia memberikan rekod itu jika diperlukan kerajaan negeri.

Pas Pulau Pinang mencabar Ketua Menteri, Lim Guan Eng memecat kesemua Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dari Pas di negeri itu.

Ketua Penerangan Pas Pulau Pinang, Mohd Yusni Mat Piah berkata, Pas sudah bersedia berdepan dengan tindakan itu malah mempertikaikan mengapa hanya 300 JKKK sahaja yang dipecat.

“Kenapa hanya 300 JKKK sahaja dimaklumkan sebagai dipecat, sedangkan rekod sebenar menunjukkan 1,083 ahli Pas negeri yang berkhidmat dan terlibat dengan JKKK. Kenapa 783 orang lagi dibiarkan,” katanya kepada FMT.

Jelas Husni lagi, pihaknya juga bersedia untuk mendedahkan rekod-rekod terperinci JKKK Pas di negeri itu.

“Di setengah tempat, semua JKKK itu adalah ahli-ahli Pas sama ada pengerusi, setiausaha juga seluruh ahli jawatankuasanya. Andai kata kerajaan negeri tiada rekod terperinci, maka saya bersedia mendedahkannya nanti,” katanya lagi.

Badan Perhubungan Pas Pulau Pinang (BPPPP) , katanya, tetap berfungsi seperti sediakala dan akan terus menyumbang khidmat bakti kepada rakyat sepertimana Pas berfungsi sebelum berjaya menawan Pulau Pinang dari Kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Secara ikhlasnya, kami tidak terkilan atau jatuh lemah dengan tindakan zalim Kerajaan Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang terhadap Pas.

“Seteruk-teruk Pas dizalimi kerajaan UMNO/BN ketika ditendang keluar dari Kerajaan Campuran 1973/1974, Pas tetap berupaya bangkit semula membina kekuatan sehingga keahlian Pas mencecah hampir 1.4 juta orang pada hari ini di seluruh negara,” jelasnya.

Selain itu, Yusni berkata, kerajaan Pakatan Harapan Pulau Pinang perlu lebih telus dan berintegriti dalam mentadbir negeri.

“Kenyataan yang tidak benar seperti itu khususnya dari Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Mohd Rashid Hasnon menyerlahkan sisi yang tidak baik dan tidak bertanggungjawab, jauh dari realiti sebenar yang sedang berlaku di Pulau Pinang,” katanya.

Sebelum ini, Kerajaan Pulau Pinang di bawah pentadbiran DAP memecat 300 ahli JKKK Pas dari Kawasan Parlimen Kepala Batas yang enggan menyokong Pakatan Harapan.


Pendedahan skandal RM1.5 juta Bukit Aman


Pendedahan skandal RM1.5 juta Bukit Aman
Audit dalaman di Jabatan Logistik PDRM menemui rekod perbelanjaan yang tidak wujud.

Lebih RM1.5 juta peruntukan yang digunakan bagi kerja-kerja membaik pulih Ibu Pejabat Polis di Bukit Aman didapati telah diseleweng.

Dalam pendedahan yang disiarkan akhbar The Sun, ia melaporkan duit berkenaan telah digunakan pada perbelanjaan yang tidak wujud.

Sumber dalaman akhbar itu memberitahu bahawa wang tersebut telah ditransaksi dan dilakukan oleh dua pengarah polis dan seorang jurutera awam Jabatan Kerja Raya (JKR) melalui tandatangan palsu.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (Siasatan) Bukit Aman, Datuk Hamza Taib mengesahkan mengenai perkara itu dan satu laporan serta siasatan mengenainya sedang dilakukan.

“Siasatan telah dilakukan dan bermula sejak beberapa hari lepas. Kita telah melakukan kerja-kerja awal memandangkan satu kajian dan memerlukan dokumen yang berkaitan.

“Apabila siasatan selesai dilakukan, kita akan mula memanggil mereka yang terlibat dan tidak akan menyembunyikannya. Kita tidak boleh mendedahkan butiran kes ini memandangkan siasatan masih berjalan.

Beberapa pendedahan dibongkar beberapa bulan lalu apabila Kementerian Dalam Negeri (KDN) menjalankan audit dalaman di Jabatan Logistik Polis menemui kos untuk membaik pulih pintu kalis api dan juga sistem penghawa dingin adalah berjumlah RM500,000.

Namun tiada sebarang kerja-kerja dilakukan walaupun bayaran kepada kontraktor yang dilantik telah direkodkan.

Sumber yang memberitahu The Sun berkata, satu pasukan khas dari Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) mendapati terdapat cop getah pendua telah digunakan untuk ‘mengesahkan’ dokumen palsu itu.

Pasukan itu mendapati lebih daripada RM1 juta digunakan untuk tender yang tidak wujud.
Wang tersebut sepatutnya digunakan untuk pembaikkan dan membekalkan pelbagai barang pada tahun tahun lepas.

Bagaimanapun mengejutkan kerana ia dibuat kepada individu yang tidak dikenali.

Pasukan petugas telah membuat laporan kepada pihak polis pada Jumaat lepas selepas sebulan meneliti dokumen dan menyoal siasat beberapa kakitangan polis.


TMJ dapat kunjungan Claudio Caniggia


TMJ dapat kunjungan Claudio Caniggia
Kunjungan Claudio itu menunjukkan satu lagi penghormatan pihak luar kepada negeri Johor Darul Takzim

Pengendali Facebook Johor Southern Tigers memuat naik gambar Tunku Mahkota Johor (TMJ), Brigedier Jeneral Tuanku Ismail Ibni Sultan Ibrahim yang mendapat kunjungan daripada bekas pemain kebangsaan dan skuad Piala Dunia Argentina, Claudio Caniggia ketika baginda berada di negara itu.

Menerusi status terbaru yang dimuat naik pada Khamis, pengendali laman sosial berkenaan memberitahu, kunjungan Claudio yang mengadap baginda itu merupakan satu lagi penghormatan daripada pihak luar kepada negeri Johor Darul Takzim (JDT).

“Claudio yang menetap di Argentina, tidak ketinggalan untuk mengikuti perkembangan JDT dan amat kagum dengan usaha DYAM Tunku Ismail dalam memajukan projek bolasepak Johor.

“Pasukan JDT menarik perhatian ramai di Argentina apabila berjaya menyambar pemain-pemain handalan daripada negara tersebut seperti Pablo Aimar, Luciano Figueroa dan Jorge Pereyra Diaz,” tulisnya.

Tambah pengendali laman berkenaan lagi, Claudio mengambil kesempatan bertemu dengan TMJ selepas mendapat tahu baginda berada di Argentina dan tidak mahu melepaskan peluang untuk membincangkan perkembangan sukan bola sepak bersama baginda.

Berdasarkan gambar yang dimuat naik, Tuanku Ismail menunjukkan isyarat jari empat yang memberikan makna kejayaan JDT merangkul empat piala dalam masa tiga tahun.


Gambar Izzah bersama Puteri Sultan Sulu cetus tanda tanya


Gambar Izzah bersama Puteri Sultan Sulu cetus tanda tanya
Nurul Izzah didesak menjelaskan perkara itu bagi mengelak timbul pelbagai spekulasi tidak betul.

Gambar menunjukkan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar bersama Puteri Sultan Sulu, Puteri Jacel Kiram menjadi tanya selepas ia diviralkan di media sosial.

Sehubungan itu, Naib Presiden PKR itu didesak menjelaskan gambarnya bersama Puteri Sultan Sulu untuk mengelak pelbagai spekulasi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, perkara itu merupakan isu sensitif dan Izzah sewajarnya tidak membiarkan orang ramai membuat membuat spekulasi yang tidak betul.

“Benda itu (bergambar dengan Puteri Sultan Sulu) memang sensitif. Nurul Izzah perlu sahkan gambar itu dan memberikan penerangan. Jangan bagi orang tidak membuat spekulasi yang tidak betul.

“Dia kena jelaskan sebab benda ini dah jadi viral,” katanya di Parlimen pada Khamis.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli enggan mengulas lanjut mengenai gambar Izzah dan Jacel tersebut.

“Kena tanya dia (Izzah)..saya tak tahu apa-apa mengenai perkara itu, saya tidak berada di sana. Saya bukannya suami dia,” jawabnya ringkas.

Gambar Izzah dan Jacel bertarikh 9 November lalu yang kelihatan mesra mencetuskan tanda-tanya orang ramai.

Kesultanan Sulu menjadi sensitif kepada negara ini selepas peristiwa berdarah melihatkan pencerobohan bersenjata kumpulan dari Selatan Filipina di Lahad Datu pada 2013 yang mengorbankan beberapa anggota keselamatan negara.


Kementerian pertimbang haramkan vape di universiti


Kementerian pertimbang haramkan vape di universiti
Kementerian menunggu hasil kajian menyeluruh amalan vape dalam kalangan penuntut universiti oleh UKM sebelum membuat keputusan itu.

Kementerian Pendidikan Tinggi sedang mempertimbangkan untuk mengharamkan penggunaan vape di kampus-kampus universiti awam di seluruh negara.

Menterinya, Datuk Seri Idris Jusoh, berkata, pertimbangan itu selepas mendapat taklimat daripada pakar dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mengenai amalan vape yang bukan saja memberi kesan kesihatan tetapi juga sosial.

Katanya, kementerian melalui UKM akan menjalankan kajian menyeluruh mengenai amalan vape itu yang kini menjadi budaya dalam kalangan penuntut universiti.

“Kajian ini akan mengambil masa kira-kira enam bulan dan hasilnya nanti akan saya bentangkan kepada Kabinet,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Forum dan Mesyuarat Meja Bulat Pegawai Jaminan Kualiti Muda ASEAN 2015, lapor Berita Harian.

Idris berkata, beliau juga akan mengadakan perbincangan dengan naib canselor semua universiti awam mengenai perkara itu.


Saya bahagia dengan Ramli MS – Alyah


Saya bahagia dengan Ramli MS – Alyah
Alyah mengakui kehidupannya bersama Ramli kini semakin bahagia

Penyanyi Noor Hasliah Abu Hasan atau lebih dikenali sebagai Alyah, 34, mengakui dirinya kini semakin bahagia disamping suami tercinta, Datuk Ramli MS.

Alyah yang berkongsi pengalaman hidupnya dengan sebuah laman portal hiburan memberitahu, walaupun perkahwinannya bermula dengan cara yang tidak begitu baik, namun, segalanya kini telah berubah.

“Setiap perkahwinan ada cerita tersendiri. Ada perkahwinan yang bermula hambar tetapi akhirnya bahagia dan ada juga yang bermula dengan bahagia tetapi pengakhirannya tidak bagus.

“Seperti saya sendiri, perkahwinan saya bermula tidak begitu baik, berlaku krisis. Tetapi lama-kelamaan, suasana perkahwinan saya semakin baik,” katanya.

Jelas Alyah lagi, dia tidak pernah menyesal dengan apa yang berlaku dalam perkahwinannya, sebaliknya, menjadikan setiap yang terjadi sebagai satu proses pembelajaran untuk memperbaiki diri.

Dalam masa yang sama, Alyah turut menafikan perkahwinannya bersama juri tetap rancangan hiburan Gegar Vaganza terbitan stesen televisyen berbayar Astro itu menghadapi masalah.

Sebelum ini, perkahwinan pasangan berkenaan telah mencetuskan kontroversi apabila Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menyerbu kediaman Ramli yang turut dihuni Alyah.

Bagaimanapun, berdasarkan pemeriksaan lanjut, pasangan itu didapati telah bernikah di luar negara, namun, belum mendaftarkan perkahwinannya di negara ini.

Alyah juga pernah memuat menaik beberapa status mengenai perkahwinannya itu hingga menimbulkan spekulasi dalam kalangannya peminatnya.


Najib guna perkataan ‘derma’ untuk tutup kontroversi


Najib guna perkataan ‘derma’ untuk tutup kontroversi
Penggunaan istilah itu dianggap rasional oleh UMNO kerana amalannya telah diguna pakai dalam parti berkenaan

Kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, bahawa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat milik kerajaan melalui Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) boleh melakukan sumbangan kepada ahli politik atau parti politik sebagai pelaksanaan tanggungjawab sosial korporat (CSR) dilihat sebagai jalan keluar bagi beliau untuk menjelaskan tuduhan RM42 juta yang dikatakan dialirkan daripada SRC International ke akaun peibadinya.

Bahkan, Ahli Parlimen Pekan itu dikatakan menggunakan perkataan ‘derma’ untuk menutup kontroversi yang menyelubungi dirinya.

Dalam kenyataannya, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata penggunaan istilah itu dianggap rasional oleh UMNO kerana amalannya telah diguna pakai dalam parti berkenaan.

“Nampaknya, Najib kini percaya bahawa perkataaan ‘derma’ dapat menutup segala-segalanya sepertimana kontroversi ‘derma’ misteri RM2.6 bilion yang berakhir di dalam akaun persendirian beliau yang tidak dapat mengugat kedudukannya dalam Umno mahupun BN meskipun beliau terpaksa berdepan dengan serangan bengis Tun Dr Mahathir Mohamad. Pendek kata, jika terdapat ketidakteraturan kewangan, ‘derma’ lah jalan keluarnya kerana ini amalan yang boleh diterima Umno dan BN.

“Bukan itu sahaja, semalam Kementerian Dalam Negeri memaklumkan bahawa pihak polis juga tidak dapat mengesan dua bekas Pengarah Eksekutif 1MDB, Casey Tang Keng Chee dan Jasmine Loo Ai Swan, Pengarah Urusan SRC International, Nik Faisal Ariff Kamil dan Pengarah Urusan Goldman Sachs di Malaysia, Datuk Yusof Annuar Yaacob selain Jho Low,” tulisnya di laman Facebook.

Bagi menghubungi dan mengesan individu berkenaan seperti Nik Faisal, beliau mengesyorkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu merujuk kepada Najib, Peguam Negara dan SPRM.

Ulasnya, Perdana Menteri sendiri yang memberitahu Parlimen pada 22 Oktober yang lalu, Nik Faisal akan memberi keterangan secepat mungkin kepada SPRM manakala Peguam Negara memberitahu sebuah portal The Malaysian Insider bahawa Nik Faisal sudah memberi keterangan kepada SPRM.

“Siapa yang benar? Kemungkinan besar juga Najib, Peguam Negara dan SPRM semuanya benar, tapi rakyat yang tersilap dengar. RM2.6 bilion itu kan ‘derma’?

“Kalau ‘derma’ sebegitu boleh diterima baik, maka SPRM khasnya perlu mencadangkan agar perubahan takrif rasuah perlu dibuat semula agar semua dapat ‘menikmatinya’ seperti Najib.

“InsyaAllah Malaysia akan dikenali sebagai negara penderma paling ramai selepas ini,” tulisnya.


Kerajaan tidak ikut China sekat laman sosial


Kerajaan tidak ikut China sekat laman sosial
Kerajaan menerima hakikat laman sosial seperti Facebook memainkan peranan penting untuk rakyat mendapatkan maklumat, berkomunikasi dan menjalankan aktiviti perniagaan.

Kerajaan tidak akan mengikut langkah China menyekat media sosial seperti Facebook kerana ia merupakan saluran penting untuk rakyat mendapat pelbagai maklumat.

Kementerian Komunikasi dan Multimedia dalam jawapan bertulis di Parlimen berkata, media sosial seperti Facebook, aplikasi WhatsApps dan Telegram dan seumpamanya penting untuk perniagaan dan kehidupan seharian rakyat Malaysia.

“Kementerian tidak berhasrat untuk menyekat laman sosial seperti Facebook dan platform lain termasuk Telegram, WhatsApps kerana rakyat menggunakannya untuk berkomunikasi, aktiviti perniagaan dan lain-lain,” kata kementerian itu bagi menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Jelebu, Zainuddin Ismail.

Zainuddin bertanyakan adakah kerajaan berhasrat untuk menyekat langkah Kerajaan China menyekat beberapa laman sosial dan perkhidmatan aplikasi.

Tahun lalu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dilaporkan berkata, kerajaan tidak akan menyekat laman sosial walaupun terdapat kandungan negatif.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan akan memantau dan mengambil tindakan segera terhadap kandungan negatif itu.


Tubuh dipercayai milik Then dijumpai


Tubuh dipercayai milik Then dijumpai
Mayat tanpa kepala dijumpai ditanam di sebuah kawasan dekat Indanan, Jolo.

Polis memaklumkan telah menemui tubuh yang dipercayai milik warga Malaysia yang dipenggal kepada di Jolo, Filipina, Bernard Then.

Ia ditemui ditanam di sebuah kawasan dekat Indanan.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar yang memberitahu, mayat yang dipercayai milik mangsa yang berusia 39 tahun itu kini berada di sebuah hospital untuk proses pengecaman DNA.

“Oleh itu, kita sedang mendapatkan sampel DNA daripada keluarga mangsa di sini untuk diberikan pihak berkuasa Filipina bagi tujuan mengenal pasti mayat mangsa.

“Kita akan bekerjasama dengan pihak Filipina bagi menyelesaikan perkara ini dengan segera,” katanya dalam sidang akhbar yang dipetik daripada Utusan Online.

Tambah Khalid, proses pengecaman DNA itu akan menentukan kesahihan mayat mendiang Then.

Dalam sidang akhbar di Kota Kinabalu, Sabah, beliau tidak dapat memastikan tempoh masa ujian DNA berkenaan.


Kita tidak akan bawa UMNO ke dalam kubur -Anina


Kita tidak akan bawa UMNO ke dalam kubur -Anina
Desakan agar Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak meletakkan jawatan merupakan satu petunjuk terhadap semangat dan kecintaan tulen pada roh perjuangan parti.

Ahli UMNO di seluruh negara disaran untuk terus bersuara dan tidak lagi bimbang dan takut mengenai masa depan parti itu.

Bekas ahli UMNO, Anina Saadudin berkata, gesaan-gesaan yang mendesak agar Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak meletakkan jawatan merupakan satu petunjuk terhadap semangat dan kecintaan tulen pada roh perjuangan parti itu.

“Bersuaralah. Kita tidak akan membawa parti ke dalam kubur, sebaliknya parti ini akan diwariskan kepada generasi akan datang. Menjaga parti tidak bermaksud ahli perlu menutup kesilapan pemimpin,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook miliknya.

Ujarnya, beliau yakin semangat serta perjuangan asal parti itu masih wujud dan yakin bahawa pemimpin-pemimpin yang lemah akan terus dihantui dengan isu-isu yang menjadi penghalang untuk UMNO terus menabur bakti kepada rakyat.

Mengulas lanjut, Anina yang dipecat dari UMNO kerana lantang mengkritik Najib mengucapkan tahniah kepada 20 cawangan UMNO Bahagian Sepang dan 13 Ketua UMNO cawangan di Bahagian Teluk Kemang yang berani bersuara.

“Saya dapat merasakan semangat dan kesedaran ahli UMNO seluruh negara semakin membahang. Secara peribadi, saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua pihak yang telah berani bersuara.

“Anda akan kuat apabila anda berani. Tiada apa yang mampu membinasakan melainkan hanya dengan kuasa Allah swt. Jika ini bakti terakhir untuk negara yang mampu anda taburkan, maka berdirilah.

“Bersuaralah dengan memegang pada janji Allah bahawa yang benar pasti akan mencapai kejayaan,” katanya lagi.


Hasan cuba lindungi Jho Low- Shahbudin


Hasan cuba lindungi Jho Low- Shahbudin
Kenyataan yang dibuat Pengerusi PAC yang baru bercanggah dengan pendirian sebelum ini, Nur Jazlan berjanji akan memanggil jutawan itu memberi penerangan.

Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), dikatakan cuba melindungi siasatan ke atas Low Taek Jow atau Jho Low berhubung skandal 1MDB.

Persoalan itu dibangkitkan bekas Naib Ketua Pemuda Setiawangsa, Shahbudin Husin yang meluahkan rasa hairannya kerana jawatankuasa bebas itu membuat dua kenyataan berbeza dalam masa yang amat dekat.

Katanya, Pengerusi PAC sebelum ini, Datuk Nur Jazlan Mohamed dalam kenyataannya 10 Julai 2015 lalu menegaskan jutawan itu akan dipanggil mengadap jawatankuasa bagi memberi keterangan.

Bagaimanapun, kenyataan mutakhir yang dibuat Ahli Parlimen Rompin itu dikatakan bercanggah dengan keputusan sebelum ini seolah-olah memperlihatkan beliau mahu melindungi Jho Low.

“Tetapi, kenapa PAC yang diketuai Hasan Ariffin dan Kementerian Dalam Negeri yang diterajui Zahid Hamidi bagaikan berebut-rebut menunjukkan mahu melindungi Jho Low?

“Seorang mengatakan tidak perlu dipanggil untuk memberi keterangan, seorang lagi pula menyatakan tidak dapat dikesan dan tiada permohonan untuk mencarinya.

“Apa tujuan dan kemahuan di sebalik kenyataan yang berbeza-beza ini?

“Adakah ini yang dinamakan kenyataan “cari makan” atau isyarat “tak cukup makan” atau barangkali mahu “lebih makan”? tulisnya dengan nada sini di blog shahbudindotcom.

Dalam jawapan bertulisnya Parlimen, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi maklumkan tiada siasatan sedang dijalankan oleh polis terhadap jutawan itu serta tiada permohonan daripada mana-mana pihak untuk mengesannya.

Pada pandangan Shahbudin jawapan itu seolah-olah mahu melindungi Jho Low dan mengajak rakyat untuk bersetuju bahawa tiada keperluan untuk mencari dan memanggil ahli perniagaan berkenaan.

“Bagaimanapun, jawapan bertulis itu dinafikan oleh jurucakap Jho Low yang mengatakan spekulasi sebarang bantuan diperlukan untuk menghubungi ahli perniagaan itu adalah tidak berasas kerana pada Ogos 2015, SPRM pernah menghubunginya untuk mendapatkan bantuan daripadanya.

“Berikutan itu, kata jurucakap itu, wakil Jho Low dengan segera menghubungi SPRM dan terus sentiasa berhubung,” tulisnya.

Berdasarkan kenyataan itu, Shahbudin menyimpulkan jawapan bertulis Kementerian Dalam Negeri di Parlimen bahawa Jho Low tidak dapat dikesan dianggap tidak tepat.


Hasan ‘merajuk’, tiada lagi sidang akhbar PAC


Hasan ‘merajuk’, tiada lagi sidang akhbar PAC
Beliau meluahkan kekecewaan kerana ketika pihaknya cuba mewujudkan suasana mesra di kalangan pengamal media, usaha itu tidak dihargai segelintir pihak

Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) memutuskan bermula 23 November depan, pihaknya tidak akan mengadakan sidang akhbar lagi selepas bermesyuarat.

Pengerusinya, Datuk Hasan Ariffin meluahkan kekecewaan kerana ketika pihaknya cuba mewujudkan suasana mesra di kalangan pengamal media, usaha itu tidak dihargai segelintir pihak.

“Walaupun gurauan semasa akhir sidang akhbar pada 18 November (semalam) ketika hendak keluar makan meminta supaya ia tidak ditulis tetapi masih ada segelintir di kalangan pengamal media masih melaporkannya di portal berita dan akhbar.

“Oleh itu, bermula pada Mesyuarat Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara Parlimen Malaysia pada 23 November 2015, PAC tidak akan mengadakan sebarang sidang akhbar lagi,” katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Hasan berkata, sekiranya mempunyai sebarang maklumat yang perlu dimaklumkan kepada media, pihaknya akan memaklumkan melalui kenyataan bertulis rasmi.

Semalam, Hasan berkata kenyataan ‘saya pun cari makan’ hanya gurauan untuk wujudkan suasana lebih mesra dengan petugas media.

Bagaimanapun kata-kata itu kemudian disensasi sehingga meloncong dengan apa yang dimaksudkan.


Rakyat diracuni konsep keburukan sebagai kebaikan- Sakmongkol


Rakyat diracuni konsep keburukan sebagai kebaikan- Sakmongkol
Ariff Sabri berkata, perkara yang paling merbahaya adalah apabila rakyat menerima kemungkaran yang berlaku sebagai suatu kebiasaan.

Tidak ada perkara yang lebih menjengkelkan apabila kerajaan Barisan Nasional di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Razak menjustifikasikan keburukan sebagai sesuatu yang diperlukan oleh rakyat.

Ahli Parlimen Raub, Datuk Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz berkata, perkara yang paling merbahaya adalah apabila rakyat menerima kemungkaran yang berlaku sebagai suatu kebiasaan atau tabiat.

“Bila ini terjadi, mereka tidak akan peka dan menjadi lali selain menerima keburukan kerajaan Najib sebagai kebaikan,” ujarnya.

Katanya, kini rakyat tidak lagi memerlukan sebuah kerajaan yang jahat dan zalim sebaliknya sebuah pentadbiran dan kepimpinan yang baik.

“Sesuatu perkara mesti diperkata sebagai seadanya. Kejahatan mesti disebut sebagai kejahatan dan bukannya diselaputi dengan gula dan menyatakan ia sebagai kebaikan.

“Kerajaan Najib telah menjadi kerajaan yang tidak baik. Bila kita menyatakan perkara yang sebenarnya, bukanlah kita cari peluang untuk hanya mahu balun Najib,” ujarnya lagi.

Menulis di blognya, Sakmongkol, Ariff juga mendakwa kerajaan tidak akan berjaya melaksanakan sebarang projek yang dirancang untuk tahun 2016 memandangkan ia tidak lagi memiliki duit.

“Bajet 2016 yang dikemukakan disandarkan kepada andaian-andaian yang tidak boleh bertahan. Bajet 2016 hanya penuturan janji palsu kepada rakyat,” jelasnya.

Memberi contoh, Ariff menyatakan perbuatan Najib menipu rakyat dengan menyatakan kejatuhan nilai ringgit akan menjadikan ekonomi negara semakin baik.

“Sebagai sebuah negara yang mengimport banyak benda seperti makanan, alatan, jentera, dan lain-lain lagi yang kita tidak hasilkan, kita terpaksa membayar lebih untuk mendapatkannya,” katanya.


Ditolak UMNO cawangan, Najib perlu muhasabah – Saifuddin


Ditolak UMNO cawangan, Najib perlu muhasabah – Saifuddin
Kepimpinan Tertinggi UMNO diminta mendengar dan menghormati suara akar, bukannya menghukum mereka

Tindakan beberapa UMNO cawangan yang mendesak Perdana Menteri meletak jawatan menjadi bukti, akar umbi parti Melayu itu menolak kepimpinan Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Pengarah Strategi PKR, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, sepatutnya Presiden UMNO mengambil pendekatan dengan bermuhasabah dan bukannya menghentam mereka.

“Jadi kalau ada cawangan-cawangan yang bercakap begitu maka adalah lebih baik untuk ambil sikap muhasabah dan menilai pandangan mereka daripada menghantam mereka atau mendisplinkan mereka,” katanya selepas menghadiri Forum Maqasid Syariah.

Beliau yang juga bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO menjelaskan, hakikatnya keresahan peringkat bawahan semakin kuat apabila pucuk pimpinan tertinggi gagal menyelesaikan isu 1MDB dan derma RM2.6 bilion.

“Saya harap kepimpinan UMNO mengambil sikap berjiwa besar bahawa ini adalah suara akar umbi. Selama inipun pemimpin UMNO kata mereka menghormati suara akar umbi.

Terbaharu, sebanyak 20 cawangan UMNO Bahagian Sepang mendesak Najib meletak jawatan Perdana Menteri dan Presiden parti kerana telah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan beliau.

Mengulas lanjut, Ketua Setiausaha Sekretariat Pakatan Harapan (PH) berkata, beliau tidak terkejut sekiranya desakan dari akar umbi umbi terus merebak keseluruh negara.

Katanya, pergolakkan dalam UMNO sebenarnya menguntungkan PH kerana ia menjadi peluang kepada pembangkang untuk memenangi pilihan raya umum akan datang.

“Tapi matlamat Pakatan Harapan bukanlah semuanya berkenaan dengan pilihanraya.

“Sebenarnya bila pakatan kata Perdana Menteri patut berundur, tapi dari segi politiknya itu bukan startegi yang baik sebab akan beri peluang kepada Perdana Menteri baru untuk buat perubahan sebelum PRU yang ke-14.

“Pakatan bukan berfikir semua benda mesti politik, dalam masa dua tahun sebelum pilihanraya, apa nak jadi dengan negara. Itu yang lebih mustahak,” katanya.


Peningkatan inventori AS beri kesan kenaikan harga minyak dunia


Peningkatan inventori AS beri kesan kenaikan harga minyak dunia
Berdasarkan kontrak penanda aras AS, West Texas Intermediate (WTI) penghantaran bagi bulan Disember, diramail naik lapan cents kepada AS$40.75 setong dalam dagangan di negara itu.

Peningkatan kecil dalam inventori Amerika Syarikat (AS) memberi kesan kepada kenaikan harga minyak dunia.

Kenaikan itu turut didorong laporan Rizab Persekutuan (Fed) yang mengesahkan jangkaan sebelum ini di mana kadar faedah akan dinaikkan pada bulan depan.

Berdasarkan kontrak penanda aras AS, West Texas Intermediate (WTI) penghantaran bagi bulan Disember, diramail naik lapan cents kepada AS$40.75 setong dalam dagangan di negara itu, manakala kontrak global Brent North Sea untuk penghantaran Januari naik 57 cents kepada AS$44.14 pada penutupan di London.

Menurut data yang dikeluarkan Jabatan Tenaga AS, ia masih menunjukkan peningkatan inventori di negara pengguna minyak terbesar dunia itu, tetapi jumlahnya adalah lebih kecil.

Inventori minyak mentah naik sebanyak 300,000 tong kepada 487.3 juta tong pada minggu berakhir 13 November, masih paras tertinggi pada tahun ini, tetapi peningkatan stok masih jauh di bawah unjuran sebanyak dua juta tong.

Berbanding tempoh sama tahun lalu, stok pada tahun ini meningkat 28 peratus.

“Harga minyak secara asasnya tidak berubah. Inventori meningkat rendah daripada jangkaan, tetapi peniaga juga mungkin sudah mula mengambil kira faktor penyusutan inventori,” kata Thomas Nichols, penganalisis daripada Moody’s Analytics.

Dalam dagangan semalam, WTI jatuh ke bawah AS$40 setong sebaik saja data itu dikeluarkan, paras terendah sejak Ogos, sebelum melantun semula,” petik kenyataan itu daripada Berita Harian Online.


10 cawangan UMNO Sepang mahu Najib lepas jawatan – Zein Isma


10 cawangan UMNO Sepang mahu Najib lepas jawatan – Zein Isma
Isu 1MDB dan penyingkiran Muhyiddin menjadi perkara utama penyebab 10 cawangan UMNO di Sepang mahu Najib melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri

Terdapat kira-kira 10 cawangan UMNO di Selangor terlibat dalam desakan meminta Datuk Seri Najib Tun Razak melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri.

Perkara itu diakui sendiri oleh Ketua Penerangan UMNO Selangor, Datuk Zein Isma Ismail apabila menyatakan kesemua 10 cawangan yang terlibat adalah dari Bahagian Sepang.

Katanya, perkara itu berlaku rentetan skandal yang mengaitkan syarikat pelaburan kerajaan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang didakwa telah merosakkan imej parti dan negara.

“Pada awalnya, saya dimaklumkan wujud dakwaan bahawa 20 cawangan membuat desakan berhubung perkara itu.

“Bagaimanapun ia telah dimanipulasi oleh pihak tidak bertanggungjawab dan setakat ini dipercayai hanya 10 cawangan yang terlibat di bahagian itu,” katanya yang dipetik dari Sinar Harian Online.

Menurut Zain Isma lagi, Najib juga mendapat kritikan yang hebat apabila tindakannya menyingkirkan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sememangnya mempunyai pengaruh yang kuat dalam parti.

“Tindakan mereka itu bukan mewakili suara UMNO Selangor. Jika mereka tidak boleh terima kepimpinan perdana menteri, perkara ini harus dibawa dan dibincang dahulu secara terperinci dalam mesyuarat di peringkat cawangan,” ujarnya.


DAP tadbir Pulau Pinang berlandaskan prinsip Islam


DAP tadbir Pulau Pinang berlandaskan prinsip Islam
DAP tidak menolak hudud dari segi agama namun menentang pelaksanaan undang-undang Islam tersebut yang di bawa Pas kerana dijadi bahan berpolitik.

Kerajaan DAP Pulau Pinang memasukkan rangka kerja berlandaskan Islam dalam mentadbir negeri itu walaupun dalam masa yang sama menolak pelaksanaan undang-undang hudud.

Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Zairil Khir Johari berkata, ia terbukti apabila kerajaan Pulau Pinang berjaya mengamalkan sistem tender terbuka dan bebas daripada kegiatan rasuah.

“Seperti di Pulau Pinang, kita (DAP) tidak melaksanakan hudud tetapi rangka kerja undang-undang Islam itu ada.

“(Malah) di Pulau Pinang mengamalkan tender terbuka dan membuat pendedahan aset kerajaan negeri dan menghalang kegiatan rasuah. Saya rasa kita lakukan perkara ini dengan baik dan ini juga saya rasa Pakatan Harapan cuba tawarkan kepada rakyat,” katanya ketika forum Maqasid Syariah di Kuala Lumpur malam tadi.

Jelas Ahli Parlimen Bukit Bendera itu, DAP tidak menolak hudud dari segi agama namun menentang pelaksanaan undang-undang Islam tersebut yang di bawa Pas.

Ini kerana, katanya, masalah pelaksanaan hudud di Malaysia ini bukan berdasarkan kepada agama semata-mata tetapi ia telah dijadikan bahan untuk berpolitik.

“DAP nampak hudud sebagai isu politik, malah dari segi agama DAP tidak mempertikai hukum hudud, tetapi kita pertikai ialah cara Pas nak melaksanakan hudud, enakmen sendiri bermasalah.

“Dalam suasana di mana perbincangan dan wacana mengenai hudud tidak boleh dibuat dengan cara logik, macam mana kita nak laksanakan hudud ini,” katanya


Tukar Peguam Negara sebelum laksana undang-undang derma politik


Tukar Peguam Negara sebelum laksana undang-undang derma politik
Tindakan itu perlu bagi bagi memastikan undang-undang melibatkan pembiayaan politik dapat dilaksanakan dengan telus.

Pembangkang mendesak supaya Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali ditukar dan sistem kehakiman dirombak sebelum undang-undang melibatkan pembiayaan politik dapat dilaksanakan.

Ketua Setiausaha Sekretariat Pakatan Harapan, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, rombakan itu sebagai persediaan sebelum undang-undang baharu dapat dilaksanakan.

“Kita percaya kita perlukan political funding regulation tapi bukan dilaksanakan dalam keadaan kosong.

“Kita perlu tukar Peguam Negara dan merombak sistem sedia ada,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Forum Maqasid Syariah di Kuala Lumpur malam tadi.

Saifuddin yang juga bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO berkata, Pakatan Harapan bersetuju sekiranya undang-undang pembiayaan politik dibentuk, namun ia memerlukan pembaharuan dari segi sistem perundangan yang sedia ada.

“Kami menyokong idea yang mempunyai undang-undang pembiayaan politik tetapi ia mesti dilaksanakan dengan undang-undang yang betul,”katanya

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik (JKNMPP), bagi merangka satu pelan pembiayaan politik berintegriti yang komprehensif dan inklusif.

Jelasnya, JKNMPP akan menghasilkan pelan tindakan pembiayaan politik berintegriti, melalui pembaharuan dan penambahbaikan undang-undang yang diperlukan dalam tempoh setahun dan seterusnya dilaksanakan sebelum Pilihan Raya Umum ke-14.

Cadangan itu susulan kontroversi dana RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi Najib dan akhirnya Perdana Menteri nengaku wang itu derma politik daripada Timur Tengah.


Demo bantah kehadiran Obama Jumaat ini


Demo bantah kehadiran Obama Jumaat ini
Ia bagi menunjukkan kepada dunia rakyat Malaysia tidak senang dengan kehadiran Barrack Obama ke negara ini.

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) akan mengadakan demonstrasi pada Jumaat ini untuk membantah kehadiran Presiden Amerika Syarikat, Barrack Obama, ke Malaysia bagi menghadiri Sidang Kemuncak Asean Ke-27.

Ia akan diadakan selepas solat Jumaat bermula di Bangunan Tabung Haji berdekatan Kedutaaan Amerika Syarikat di Jalan Tun Razak.

Pengarah Propaganda SAMM, Edy Noor Reduan berkata, demonstrasi itu bagi memberitahu seluruh dunia kehadiran Obama ke Malaysia tidak disenangi.

Katanya, kehadiran Obama dijangka bagi memuktamadkan Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TTPA) yang berat sebelah dan hanya memberi manfaat kepada syarikat transnasional negara itu.

“Perjanjian TPPA juga dikenali sebagai satu penjajahan baru terhadap tanahair yang turut akan menjejaskan kedaulatan negara, merompak hasil bumi dan satu pembulian ekonomi.

“Rakyat Malaysia juga tidak mengalu-alukan kehadiran Obama di atas polisi peperangan oleh pentadbiran Rumah Putih.

“Amerika perlu mendesak negara haram Israel menghentikan serangan terhadap Palestin dan Amerika juga harus menghentikan semua perang di mana Amerika terlibat secara langsung atau tidak langsung (dengan menggunakan proksi di sesebuah negara),” katanya.

Edy Noor berkata, demonstrasi bantahan itu turut akan disertai sekutu-sekutu SAMM dan orang ramai dijemput menyertainya.


Pergi ke klinik untuk berhenti merokok bukan vape


Pergi ke klinik untuk berhenti merokok bukan vape
Sesetengah masyarakat memilih vape walaupun perkhidmatan klinik untuk berhenti merokok disediakan secara percuma.

Perokok yang berhasrat untuk berhenti merokok sepatutnya mendapatkan rawatan di klinik bukannya bertukar kepada vape, kata Pemegang Amanah Yayasan Paru-Paru Malaysia (LFM), Dr Aziah Mahayiaddin.

Ujarnya, klinik yang menawarkan perkhidmatan untuk berhenti merokok adalah percuma dan masyarakat seharusnya memilih kaedah itu sebagai alternatif.

“Klinik berhenti merokok ini percuma, namun malangnya tidak ada yang pergi,” katanya.

Aziah berkata, dia kecewa apabila sesetengah masyarakat memilih vape walaupun perkhidmatan klinik untuk berhenti merokok ini telah disediakan.

“Apabila mereka memilih untuk berhenti dengan cara mereka sendiri, jadi di sinilah bermulanya vape.

“Menyedihkan kerana kita mempunyai klinik untuk berhenti merokok tetapi perokok memilih untuk menggunakan vape dan mengikut apa yang disarankan oleh rakan-rakan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi LFH, Zainuddin Zain berkata, menghisap vape merupakan salah satu punca utama kepada penyakit kronik pulmonari obstruktif (COPD).

“Menghisap vape sebenarnya merupakan salah satu punca utama kepada COPD,” tegasnya.
Di peringkat permulaan COPD, katanya, ramai yang tidak menyedari kehadiran penyakit itu kerana simptom awalnya hanyalah sesak nafas dan batuk yang kronik.

“Apa yang kita percaya, kesan jangka masa panjangnya adalah ia tidak baik. Ia tidak teruk daripada rokok, kerana masih tidak ada kajian yang cukup dilakukan,” katanya.

Zainuddin juga menjelaskan menghisap vape akan menggalakan golongan tidak merokok untuk menghisap vape, kerana persepsi ia tidak membahayakan.

“Rokok elektronik boleh dianggap sebagai rokok biasa sehingga lebih banyak maklumat diperoleh,” katanya.


Saya hanya bergurau – Pengerusi PAC


Saya hanya bergurau – Pengerusi PAC
Menjelaskan dengan lanjut, Hasan menyatakan beliau secara kebetulan mengaitkan kata-katanya itu dengan penyediaan makan tengah hari untuk para media.

Kenyataan ‘saya pun cari makan’ oleh Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Hasan Arifin hanya gurauan untuk wujudkan suasana lebih mesra dengan petugas media.

Beliau berkata, petugas media dimaklumkan agar kata-katanya tidak perlu dilaporkan.

“Kata-kata itu hanya sekadar gurauan. Sebelum ini, saya menyatakan buat masa ini PAC tiada keperluan memanggil Perdana Menteri,” ujarnya dalam satu kenyataan di Parlimen pada Rabu.

Menjelaskan dengan lanjut, Hasan menyatakan beliau secara kebetulan mengaitkan kata-katanya itu dengan penyediaan makan tengah hari untuk para media.

Beliau juga menyatakan mana-mana portal berita yang melaporkan kata-katanya, ‘saya pun cari makan’ sebagai sesuatu yang tidak beretika.

“Ia menjejaskan hubungan saya dengan petugas media serta reputasi saya selaku Pengerusi PAC dan ahli politik,” katanya.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo menggesa Hasan Arifin meletak jawatan dari jawatan Pengerusi PAC.

Gobind menggambarkan kenyataan Hasan memalukan selain menggambarkan Pengerusi PAC tidak bebas.


Gobind gesa Pengerusi PAC letak jawatan


Gobind gesa Pengerusi PAC letak jawatan
Hasan yang juga merupakan Ahli Parlimen Rompin sebelum ini diasak oleh pemberita mengenai keperluan memanggil Najib untuk disiasat.

Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Hasan Arifin digesa meletakkan jawatan ekoran keenganannya memanggil Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk membantu siasatan syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo berkata demikian selepas Hasan menyatakan PAC tidak perlu memanggil Najib untuk siasatan berhubung syarikat pelaburan tempatan yang penuh kontroversi itu.

“Jangalah. Saya juga perlu cari makan,” kata Hasan yang juga Ahli Parlimen Rompin dalam sidang media PAC selepas diasak pemberita mengenai keperluan memanggil Najib untuk disiasat.

Gobind menggambarkan kenyataan Hasan itu memalukan selain menggambarkan Pengerusi PAC tidak bebas.

“Jika ini benar, Pengerusi PAC harus meletakkan jawatan dan ini menunjukkan badan itu tidak bebas,” katanya.

RM500,000 dikategori rumah mampu milik di KL


RM500,000 dikategori rumah mampu milik di KL
Ahli Parlimen Titiwangsa persoal pembinaan rumah mampu milik di Kampung Datuk Keramat di mana harga yang ditawarkan jauh daripada kemampuan penduduk

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) perlu mengarahkan pemaju tanah kontroversi di Kampung Datuk Keramat untuk membina hanya rumah mampu milik di kawasan berkenaan.

Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Johari Abdul Ghani berkata, harga baru RM500,000 seperti yang diumumkan, masih jauh daripada kemampuan terutama Bumiputera.

Jelasnya, meskipun ia telah diturunkan daripada harga asal iaitu antara RM750,000 hingga RM2 juta, dan dikategori sebagai mampu milik, ia sebenarnya di luar kemampuan penduduk sekitar.

“Selepas ada desakan dari demonstrasi barulah harganya direndahkan. Persoalannya sekarang adakah RM500,000 itu harga mampu milik? Bukan rumah mampu milik kalau harganya setengah juta ringgit.

DBKL kena tengok balik isu ini dan keluarkan surat meminta pemaju mengikut harga seperti yang termaktub dalam arahan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Wilayah Persekutuan,” katanya, yang dipetik daripada Facebook beliau.

Menurut Johari lagi, apa yang berlaku menimbulkan pelbagai tanda tanya termasuk status syarikat pembinaan yang terbabit.

“Isu ini sangat meragukan kerana kelulusan diberi kepada sebuah syarikat perumahan tidak sampai setahun ditubuhkan,” tulisnya.

Gaji pegawai khas lebih tinggi dari gaji PM- DAP


Gaji pegawai khas lebih tinggi dari gaji PM- DAP
Gaji Najib adalah sebanyak RM22,826.65, manakala gaji Noh Omar dan Shahrizat sebagai penasihat adalah sebanyak RM27,227.20.

Gaji beberapa orang penasihat khas, duta khas dan pengerusi majlis tindakan dipersoal kerana melebihi gaji Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

DAP mendedahkan gaji yang diperoleh oleh Datuk Seri Sharizat Abdul Jalil sebagai penasihat Pembangunan Keusahawanan Ikhtisas Wanita, Datuk Seri Noh Omar sebagai Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Selangor dan Datuk Seri Samy Vellu sebagai Duta Khas Malaysia Ke India dan Asia Selatan adalah RM27,227.20, lebih tinggi daripada gaji Najib, iaitu RM22,826.65.

“Saya mahu tahu rasional kerajaan membayar gaji yang tinggi kepada mereka yang disebut berbanding dengan gaji perdana menteri,” soalnya dalam satu sidang media di Parlimen pada Rabu.

Selain itu, Liew Ching Tong juga memohon kerajaan mendedahkan jikalau Jabatan Perdana Menteri melanjutkan kontrak sementara beberapa duta dan pegawai khas.

“Kontrak Samy Vellu sehingga Disember 2014 sahaja. Adakah ia dilanjutkan?,” soalnya.

Turut dipersoal adalah kontrak bekas Presiden MCA, Tan Sri Ong Ka Ting dan juga Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing sebagai utusan khas kerajaan dilanjutkan memandangkan peruntukan untuk mereka masih tersenarai dalam bajet Jabatan Perdana Menteri.

Ong merupakan utusan khas perdana menteri ke China manakala Tiong utusan khas bertaraf menteri ke Asia Timur.


Tiada keperluan panggil Najib, Jho Low untuk siasatan 1MDB- PAC


Tiada keperluan panggil Najib, Jho Low untuk siasatan 1MDB- PAC
Kenyataan Hasan Ariffin itu bercanggah dengan kenyataan yang dibuat bekas Pengerusi PAC, Datuk Nur Jazlan Mohamed sebelum ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak perlu dipanggil untuk disiasat dalam skandal syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Tidak perlu pada masa ini,” kata Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Datuk Hasan Arifin di Parlimen pada Rabu.

Ahli Parlimen Rompin itu berkata, jutawan Low Taek Jho (Jho Low) juga tidak akan dipanggil memandangkan nama jutawan itu tidak ada dalam skop siasatan PAC.

“Kita kena tengok terlebih dahulu kerangka kerja sama ada dia perlu dipanggil atau tidak dalam isu ini (1MDB). Sehingga kini, pihak polis sendiri tidak tahu di mana dia berada,” katanya.

Kenyataan Hasan mengenai keperluan Najib dipanggil untuk disiasat itu bercanggah dengan kenyataan yang dibuat bekas Pengerusi PAC, Datuk Nur Jazlan Mohamed sebelum ini.

Sebelum ini, Nur Jazlan berkata, PAC mungkin akan memanggil Najib bagi membantu siasatan berhubung kes pelaburan dan hutang yang dibuat oleh 1MDB.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda akan dipanggil untuk siasatan PAC pada 1 Disember manakala bekas CEO 1MDB, Datuk Shahrol Halmi telah diarahkan hadir pada 25 November ini.

Akmal guna kertas kerja ‘separuh masak’ untuk sebar fitnah – YaPEIM


Akmal guna kertas kerja ‘separuh masak’ untuk sebar fitnah – YaPEIM
Kertas kerja itu tidak menyatakan secara terperinci objektif perbelanjaan dan program lawatan yang dibatalkan.

Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) membuat laporan polis terhadap Pengarah National, Oversight and Whistle blower (NOW), Akmal Nasir kerana didakwa memperoleh dokumen secara salah untuk menyebarkan fitnah terhadap yayasan itu.

Laporan itu dibuat oleh Ketua Pegawai Eksekutif YaPEIM, Abibullah Samsudin di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada Rabu.

Bercakap kepada media selepas itu, Abibullah berkata, pendedahan-pendedahan yang dibuat Akmal itu telah menggunakan fakta yang diputar belit bertujuan memfitnah YaPEIM.

“Laporan polis ini bagi mempertahankan YaPEIM daripada tuduhan tidak berasas oleh NOW,” katanya.

Dia menjelaskan, kertas kerja yang digunakan NOW sebagai rujukan untuk membuat pendedahan-pendedahan adalah ‘separuh masak’ kerana ia perlu disertakan dengan dokumen-dokumen sokongan lain.

“Akmal sepatutnya bertanyakan kepada kita maklumat sepenuhnya sebelum terus membuat kesimpulan,” katanya.

Katanya, kertas kerja itu ‘separuh masak’ kerana ia tidak menerangkan secara terperinci tentang objektif perbelanjaan program itu.

Katanya, dalam kertas kerja itu menyatakan Datuk Seri Jamil Khir Baharom turut melawat ke Iowa dan Minnesota sedangkan lawatan itu telah dibatalkan dan Jamir Khir hanya ke Indianapolis dan Washington.

Abibullah sekali lagi menegaskan perbelanjaan yang digunakan itu menggunakan dana YaPEIM bukan dana anak yatim dan orang miskin seperti yang didakwa.

Katanya, YaPEIM sedang menyiapkan bebeberapa dokumen untuk membawa kes itu ke mahkamah dan akan memfailkan saman terhadap Akmal dalam tempoh terdekat ini.

“Semakin banyak maklumat yang dikeluarkan oleh Akmal, semakin kukuh kes kami di mahkamah,” kata Abibullah.

Berdasarkan Laporan Kewangan 2014, aset yang dimiliki YaPEIM dilaporkan bernilai RM1.034 bilion.

500 pemandu teksi berarak ke Parlimen bantah Uber, Grabcar


500 pemandu teksi berarak ke Parlimen bantah Uber, Grabcar
Mereka menuntut sistem perkhidmatan teksi diubah dan mendesak Syed Hamid Albar meletak jawatan Pengerusi SPAD.

Kira-kira 500 pemandu teksi berarak dari Padang Merbok ke Bangunan Parlimen bagi membantah kegagalan kerajaan menyelesaikan isu teksi Uber dan Grabcar.

Mereka juga kesal dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) dan mendesak Pengerusinya, Tan Sri Syed Hamid Albar meletak jawatan.

Bagaimanapun, pemandu teksi berkenaan tidak dibenarkan menghampiri pintu masuk utama Bangunan Parlimen dan diminta berbaris sepanjang Jalan Parlimen.

Pemandu-pemandu teksi kebanyakannya dari Lembah Klang itu membawa plakad dan banner yang tertulis ‘PM Najib Tolong Kam’, ‘Pecat Syed Hamid’, “Say no to Uber’ dan “Hidup Teksi’.

Beberapa Ahli Parlimen Pembangkang termasuk Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail keluar dari bangunan Bangunan untuk berjumpa dan mengambil memorandum.

Penyelia Jawatankuasa Bertindak Pemandu Teksi Lembah Klang, Kamarudin Mohd Husain berkata, mereka yang mewakii 27 persatuan pemandu teksi merayu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya simpati dengan kehidupan pemandu teksi di seluruh negara yang terjejas.

“Kita berdiri dalam cuaca panas dan mungkin hujan pada petang nanti bukan untuk menentang kerajaan atau bermain politik tetapi memperjuangkan nasib pemandu teksi,” katanya.

Beberapa Ahli Parlimen Pas dan PKR secara bergilir berucap di atas trak polis dan berjanji kepada pemandu teksi untuk membantu memperjuangkan nasib mereka.

Sementara itu, Wan Azizah berkata, pembangkang akan meminta kerajaan membatalkan permit teksi dan mengubah sistem perkhidmatan teksi untuk bersaing dengan Uber dan Grabcar yang dikatakan telah menjejaskan pendapatan pemandu teksi.


Ku Nan curiga desakan PM undur kerja dalang


Ku Nan curiga desakan PM undur kerja dalang
UMNO akan siasat dan lihat sama ada perkara ini dimulakan oleh dalang-dalang yang ingin melemahkan parti yang sedang utuh dan kuat.

Desakan supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berundur dari jawatannya mungkin angkara dalang-dalang yang mahu menggugat kestabilan UMNO.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor tidak menolak kewujudan dalang-dalang yang sengaja mengeruhkan keadaan dan akan menyiasat perkara itu.

“Kita akan siasat dan lihat sama ada perkara ini dimulakan oleh dalang-dalang yang ingin melemahkan parti yang sedang utuh dan kuat.

“Kita (UMNO) tiada masalah. Kita ada lebih kurang 25,000 cawangan. 30 cawangan ini pun tidak tahu cawangan mana. Inilah masalah ada orang yang cuba menjadi dalang mengeruhkan keadaan,” katanya ketika ditemui media di Dewan Rakyat, pada Rabu.

Ku Adnan berkata demikian bagi menjawab desakan 20 cawangan UMNO Bahagian Sepang mahu Presiden parti itu, meletakkan jawatan kerana sehingga kini gagal menyelesaikan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Tambahnya, beliau sudah menerima jawapan balas daripada pihak berkenaan (UMNO Bahagian Sepang), namun wujud kekeliruan dari jumlah cawangan yang didakwa.

“Kita sudah tulis surat. Mereka juga sama, tapi bila disiasat, ada yang kata tidak tahu, yang sengaja hadir pun ada, yang tidak tahu apa nak mesyuarat pun ada yang dipanggil, itu yang jadi masalah.

“Kita akan siasat, kita sudah tulis surat ke bahagian. Bahagian sudah maklumkan kepada ibu pejabat bahawa ada konflik daripada jumlah yang disebut,” jelasnya lagi.

Kepimpinan Najib mula menjadi pertikaian ramai termasuk ahli-ahli parti selepas skandal 1MDB meletus awal tahun ini berikutan beliau didakwa menerima wang derma dalam akaun peribadinya berjumlah RM2.6 bilion.

Najib juga dikritik selepas menyingkirkan Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam rombakan Kabinet pada Julai lalu.


Najib kecam pembunuhan Bernard Then


Najib kecam pembunuhan Bernard Then
PM yang terkejut dengan perbuatan itu meminta pihak berkuasa menentang mereka yang melakukan perbuatan berkenaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak mengutuk keras pembunuhan tebusan warga Malaysia yang diculik , Bernard Then.

Dalam status yang dimuat naik di laman Facebooknya, beliau yang terkejut dengan perbuatan itu dan meminta pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya terhadap Kumpulan Abu Sayyaf yang dikaitkan dengan penculikan itu.

“Kami menyeru pihak berkuasa bertindak menentang mereka yang telah melakukan keganasan dan perbuatan kejam ini dan memastikan bahawa mereka di bawa ke muka pengadilan.

“Kami juga akan memberikan kerjasama penuh kami kepada agensi berkaitan dan pihak berkuasa yang bertangggungjawab dalam siasatan kes itu,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan pihaknya, sedang menunggu maklumat rasmi berhubung perkembangan itu.

Bagi tujuan berkenaan, beliau menyerahkan Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Khalid Abu Bakar untuk tindakan selanjutnya.

“Itu berita daripada Mindanao… Secara rasmi kita belum dapat sahkan berita itu… Kita telah minta maklumat daripada pihak berkuasa.

“Walaupun maklumat daripada risikan ada kesahihan, tetapi, kita kena tunggu maklumat yang rasmi dahulu untuk mengesahkannya.

“Saya serahkan kepada KPN untuk siasat kes itu, ” katanya dalam satu sidang media selepas merasmikan sidang kemuncak pemimpin belia ASEAN di PWTC.

Mangsa yang diculik di sebuah restoran di Sandakan pada Mei lalu dilaporkan telah dipenggal kepalanya petang semalam selepas rundingan berhubung wang tebusan gagal.


PAC mengaum tapi tiada gigi – Tony Pua


PAC mengaum tapi tiada gigi – Tony Pua
Badan itu tidak mempunyai sebarang hak untuk mengambil tindakan terhadap kesalahan atau kegiatan salah laku kementerian-kementerian yang telah disiasat.

Kuasa dan pengaruh yang ada pada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) amat mengecewakan di mana segala siasatan yang dilakukan oleh PAC tidak diambil serius oleh pihak kerajaan.

Anggota PAC, Tony Pua berkata, badan itu tidak mempunyai sebarang hak untuk mengambil tindakan terhadap kesalahan atau kegiatan salah laku pihak yang telah disiasat.

“PAC hanya berhak memanggil, menyoal dan menyiasat badan-badan atau kementerian-kementerian yang didapati terlibat dalam rasuah, itu sahaja.

“Kita boleh siasat tetapi tidak ada kuasa untuk mengambil tindakan. PAC hanya menghulurkan laporan siasatan kepada Parlimen dengan harapan ia diberikan kepada kementerian,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen pada Rabu.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu juga kesal apabila banyak keputusan hasil siasatan, mesyuarat dan analisis yang dibuat oleh PAC seolah-seolah dibuang begitu sahaja.

“Mengikut rekod, apa sahaja yang dibangkitkan PAC tidak dipedulikan oleh pihak kerajaan. Kita boleh mengaum, tetapi tidak mempunyai gigi,” katanya lagi.

Sebelum itu, Tony Pua bersama Ahli Parlimen Serdang, Dr Ong Kian Ming mengulas Laporan Ketua Audit Negara 2012, siri 2 yang dibentangkan di Parlimen pada 1 Oktober 2013 berkenaan lima unit loji insinerator di Pulau Pangkor, Pulau Langkawi, Cameron Highlands, Pulau Tioman, dan Wilayah Persekutuan Labuan yang menelan belanja RM187.74 juta gagal beroperasi secara optimum.


‘Ustaz Kasanova’ kahwin 13 wanita diburu


‘Ustaz Kasanova’ kahwin 13 wanita diburu
JAWI memburunya kerana gagal hadir di mahkamah pada 29 Oktober lalu bagi proses menyambung jaminan.

Jawatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) memburu seorang lelaki yang menyamar sebagai ustaz kerana kesalahan kes nikah sindiket, perkahwinan tidak mengikut syarak dan mempunyai anak luar nikah.

Pengarah JAWI, Paimuzi Yahya berkata, lelaki itu yang terkenal dengan gelaran ‘ustaz kasanova’ bernama Mohd. Razis Ismail lebih dan berumur 33 tahun.

Katanya, lelaki itu berpura-pura alim tetapi sebenarnya seorang gila seks dan telah berkahwin dengan 13 wanita yang kebanyakkannya pelajar universiti dan janda kaya menjadi mangsa.

Paimuzi berkata, lelaki berkenaan menggoda mangsa dengan mendakwa dia lepasan sekolah tahfiz dan masih bujang serta menggunakan gelaran ‘ustaz Arrozi Abd. Rahman’ dan ‘Ibnu Ar Razi’.

Katanya, JAWI telah menahan suspek pada 8 November 2012 di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur untuk tujuan siasatan lanjut kerana disyaki kesalahan pernikahan sindiket dan berpoligami tanpa kebenaran mahkamah.

Bagaimanapun suspek gagal hadir untuk proses menyambung jaminan pada 29 Oktober 2015 selepas salah seorang daripada isterinya ditahan di bawah Seksyen 23 (2) Akta Kesalahan Jenayah Syariah 1997 (Akta 559) bagi kesalahan persetubuhan luar nikah.

Siasatan mendapati bahawa suspek telah bersekedudukan dengan wanita berkenaan dari tahun 2012 hingga tahun ini dan mempunyai dua anak luar nikah.

JAWI memohon sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai Ustaz Kasanova itu supayamenghubungi pegawai penyiasat JAWI, Farah Wahida Zulkiflee di talian 011-32961821 atau talian bebas tol 1-800-88-1771.


Mahkamah benar Anina gantung permohonan PM batal saman


Mahkamah benar Anina gantung permohonan PM batal saman
Keputusan itu dibuat selepas mahkamah berpendapat terdapat perkaitan rapat antara kes di hadapan beliau dengan satu kes di sebuah lagi Mahkamah Tinggi Sivil.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan bekas ahli UMNO, Anina Saadudin menggantung permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membatalkan writ saman yang difailnya.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Mohd. Zaki Abdul Wahab dalam keputusan beliau berpendapat, memang terdapat perkaitan rapat antara kes di hadapan beliau dengan satu kes di sebuah lagi Mahkamah Tinggi Sivil.

Ia membabitkan kes Anina menyaman Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Ab. Rauf Yusoh berhubung kedudukannya dalam parti itu.

Mahkamah berpendapat adalah wajar kes status Anina dalam UMNO diputuskan terlebih dahulu.

Menurut Utusan Online, peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili Anina memaklumkan, kes membabitkan kedudukan bekas ahli Wanita UMNO Cawangan Padang Mat Sirat dalam parti itu akan didengar pada 30 November ini.

Sebelum ini Anina menfailkan saman berhubung wang RM2.6 bilion (AS$650 juta) yang didakwa dimasukkan ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri dan Presiden UMNO.

Dalam keputusannya, Mohd. Zaki menetapkan permohonan Najib untuk membatalkan saman Anina di hadapan beliau didengar pada 15 Disember ini.


Kepala warga Malaysia dipancung dijumpai


Kepala warga Malaysia dipancung dijumpai
Kepala Bernard diletakkan dalam sebuah guni ditemui tukang sapu di sebatang jalan raya di Jolo.

Pihak berkuasa Filipina memaklumkan telah menemui kepala warga Malaysia, Bernard Then yang dipenggal.

Ia disahkan Ketua Polis Jolo, Major Junpikar Sitin kepada akhbar The Star.

Katanya, kepala mangsa telah ditemui oleh tukang sapu dalam sebuah beg di sebatang jalan di Barangay Wall City di Jolo pada jam 8.30 malam waktu tempatan.

Ia diletakkan dalam sebuah guni dengan tulisan“Bernard Then Ted Fen”.

Mangsa yang sebelum inu diculik di sebuah restoran di Semporna, Sabah dipancung selepas tuntutan wang tebusan tidak dipenuhi.

Komander Pasukan Petugas Bersama Sulu, Brigadier Jeneral Alan Arrojado berkata kumpulan Abu Sayyaf berpangkalan di Indanan yang diketuai pemimpin Alden Bagade dan Indang Susukan bertanggungjawab memenggal kepala Bernard.

Menurut Arrojado, rundingan gagal dicapai menyebabkan kumpulan itu memenggal kepala mangsa di Taran, Indanan pada pukul 4 petang Selasa.


Suami sebak tengok kesan lebam pada badan isteri


Suami sebak tengok kesan lebam pada badan isteri
Dia sedih melihat kesan lebam pada badan arwah isterinya yang dipercayai kerana cuba mempertahankan diri dan melawan penyerangnya.

Suami kepada kerani sekolah yang mati dijerut di rumahnya di Muar meluahkan perasaan sedihnya dengan perbuatan penjenayah yang membunuh kejam isterinya.

Faris berkata, dia teramat sedih melihat badan arwah isterinya yang dibelasah dan dibunuh kejam di samping pakaiannya yang tidak terurus.

“Beberapa bahagian badan arwah ada kesan Lebam. Saya percaya arwah isteri cuba mempertahankan diri dan melawan penyerangnya,” katanya yang dipetik dari Berita Harian.

Faris berkata, isterinya masih lagi lemah kerana baru sembuh daripada demam campak.

“Apabila melihat tubuh (yang ada kesan Lebam) saya amat terkejut dan sebak,” katanya yang bertugas sebagai anggota tentera di Kem PULADA Ulu Tiram.

Mayat Nurul Shahira Mohd Yatim ditemui dengan leher dijerut menggunakan tali langsir dengan pakaian tidak terurus di rumahnya di Sungai Terap, kira-kira 7 malam pada Isnin.

Beberapa barangan seperti gelang emas, telefon bimbit dan dompet milik mangsa didapati hilang.
Mangsa dikatakan pulang ke rumahnya dari tempat kerja untuk mengambil beberapa barang keperluan untuk pergi bercuti bersama suaminya.

Pasangan itu tinggal berasingan kerana faktor kerja dan hanya tinggal di rumah itu jika Faris pulang ke Muar.

Sementara itu, Harian Metro melaporkan enam lelaki lelaki Nepal berumur antara 25-43 tahun ditahan bagi membantu siasatan kes bunuh itu.

Ketua Polis daerah Muar, Asisten Komisioner Azman Ayob berkata, kesemua suspek itu bekerja di kawasan berhampiran tempat kejadian.

Katanya, selepas kejadian itu, pihaknya telah menubuhkan pasukan khas bagi menyiasat kes bunuh kerani sekolah itu.

Pegawai Khas Rosmah ajak Akmal minum petang


Pegawai Khas Rosmah ajak Akmal minum petang
Ia bagi menjelaskan senarai persatuan dan organisasi yang dinaungi isteri Perdana Menteri

Pegawai Khas kepada isteri Perdana Menteri, Datuk Rizal Mansor menyuarakan keinginan untuk bersemuka dengan Ketua Pengarah National Oversight and Whistleblowers (NOW), Akmal Nasir.

Pelawaan itu dibuat di laman Facebooknya.

“Saya nak jemput Akmal Nasir NOW minum petang.. Sambil tu boleh sembang.. Boleh saya terangkan definisi penaung..

“Akmal tanya soalan saya jawab.. Saya tanya soalan Akmal jawab..

“Saya juga boleh beritahu senarai Persatuan dan Organisasi yang mana DS Rosmah menjadi Penaung,” tulisnya.

Dalam kenyataannya sebelum ini, Akmal membangkitkan kecurigaannya terhadap Datin Seri Rosmah Mansur sekiranya isteri Perdana Menteri itu dipilih menjadi penaung Yayasan Pembangunan Anak Yatim/Miskin (Pemangkin).

“Apakah rasional Datin Seri Rosmah Mansor dilantik sebagai penaung kepada badan yayasan yang menguruskan amal jariah anak yatim dan miskin?,” katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat NOW pada Selasa.

Ia menjadi isu hangat apabila NOW mempersoal peruntukan yang diterima Pemangkin daripada Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam (Yapeim), yang didakwanya dicemari dengan pelbagai kontroversi termasuk penyalahgunaan dana.

Khairuddin, Mathias dibebas dengan ikat jamin


Khairuddin, Mathias dibebas dengan ikat jamin
Hakim Datuk Mohd. Azman Husin turut memerintahkan agar kes dipindahkan ke Mahkamah Sesyen untuk dibicarakan.

Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa pertuduhan mengikut Seksyen 124L Kanun Keseksaan yang dihadapi bekas Ketua UMNO Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan peguam, Matthias Chang tidak tergolong di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Hakim Datuk Mohd. Azman Husin turut memerintahkan agar kes dipindahkan ke Mahkamah Sesyen untuk dibicarakan.

Kedua-dua mereka juga masing-masing dibebaskan dengan jaminan RM10,000 berserta seorang penjamin.

Terdahulu Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali hadir ke Mahkamah Tinggi bagi prosiding keputusan kes berkenaan
Prosiding itu dibuat sama ada pertuduhan terhadap mereka adalah di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) atau sebaliknya.

Matthias yang ditahan bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) 8 Oktober lalu.

Ia dibuat di bawah seksyen sama dengan anak guamnya Khairuddin yang ditahan sebelum itu.

Ada yang iri hati dengan kejayaan Amanah-Salahuddin


Ada yang iri hati dengan kejayaan Amanah-Salahuddin
Amanah telah memproses 50,000 borang permohonan dan 150,000 lagi akan diedar ke seluruh negara untuk menambah keahlian

Sambutan luar biasa terhadap Parti Amanah Rakyat (Amanah) antara faktor menyebabkan parti itu dicemburui.

Timbalan Presidennya, Salahuddin Ayub berkata, meskipun usiannya baru mencecah dua bulan, pihaknya telah memproses 50,000 borang permohonan dan 150,000 lagi akan diedarkan ke seluruh negara.

“Di samping itu, pihak sekretariat pula sedang bekerja keras memproses permohonan keahlian yang telah mencapai 50 ribu disamping menunggu 150 ribu borang keahlian yang telah diedarkan ke seluruh negara. Hasrat untuk Amanah mencapai 100 ribu ahli sebelum akhir tahun ini akan menjadi kenyataan insya-ALLAH,” katanya dalam kenyataan yang dipetik daripada Sinar Harian Online.

Jelasnya lagi perjuangan yang berteraskan dasar Islam “Rahmat Untuk Semua” di samping pendekatan yang Progresif, Inklusif dan Peduli , telah menyakinkan rakyat negara ini.

Bahkan, ia turut mendapat perhatian banyak pihak termasuk dijemput menghadiri pelbagai forum di peringkat antarabangsa.

“Mungkin kerana inilah ada golongan atau pihak yang rasa resah dan iri hati dengan kewujudan dan kejayaan Amanah.

“Cubaan paling lucu dan nakal ialah melagakan gaya kepimpinan saya dan Mohd Sabu. Kononnya saya pro PKR dan Mohd Sabu terlalu pro DAP. Amat menjengkelkan bukan? ,” sindirnya.

Henti buat kesimpulan siasatan RM2.6 bilion- Razali Ibrahim


Henti buat kesimpulan siasatan RM2.6 bilion- Razali Ibrahim
Najib akan dipanggil untuk memberi keterangan bagi melengkapkan siasatan dan perdana menteri pun telah mengeluarkan kenyataan mengenai perkara tersebut.

Semua pihak diminta berhenti membuat sebarang kesimpulan berkenaan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas dana politik RM2.6 bilion yang diterima oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ini kerana siasatan itu akan mengambil masa memandangkan ia melibatkan transaksi dan saksi di luar negara.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim berkata siasatan lanjut sedang dijalankan oleh SPRM bagi menentukan jika terdapat kesalahan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

“Najib akan dipanggil untuk memberi keterangan bagi melengkapkan siasatan dan perdana menteri pun telah mengeluarkan kenyataan mengenai perkara tersebut,” katanya semasa menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2016 peringkat jawatankuasa berkaitan Jabatan Perdana Menteri pada persidangan
Dewan Rakyat pada Selasa, lapor Bernama.

Sebeum ini, SPRM telahpun mengeluarkan kenyataan bahawa dana RM2.6 bilion itu adalah derma dan bukannya daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Dalam kes ini (RM2.6 bilion) jangan kata boleh buat (pengumuman) pula, siasatan tidak boleh dikongsi kecuali dengan kebenaran AG (Peguam Negara) dan Pesuruhjaya SPRM. Pengumuman terpaksa dibuat kerana derma yang dimaksudkan bukan daripada 1MDB,” katanya.

Razali juga berkata, pengumuman awal yang dibuat adalah berdasarkan dokumen yang diperoleh SPRM daripada pihak yang terlibat.

Katanya, selain itu SPRM juga berjaya mendapatkan pengakuan daripada pihak yang menyalurkan sumbangan dana politik berkenaan.

Laporan audit tunjuk YaPEIM bebas penyelewengan


Laporan audit tunjuk YaPEIM bebas penyelewengan
Menteri atau timbalan menteri tidak ada kuasa untuk campur tangan kecuali jika kami merasakan ada sebarang bentuk penyelewengan, dan dalam kes ini bukan penyelewengan tapi isu persepsi.

Laporan audit Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) yang tidak menunjukkan sebarang unsur penyelewengan bukti yayasan itu bersih.

Namun, ia menjadi perhatian hanya kerana persepsi negatif sesetengah pihak.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata tiada menteri yang mempunyai sebarang kuasa dalam soal operasi YaPEIM.

“Malah, semua kuasa tertakluk kepada pengurusannya dan lembaga pemegang amanah agensi itu.

“Jadi menteri atau timbalan menteri tidak ada kuasa untuk campur tangan kecuali jika kami merasakan ada sebarang bentuk penyelewengan, dan dalam kes ini bukan penyelewengan tapi isu persepsi. Tetapi kita akan melihat jika ada sebarang isu tadbir urus,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2016 di peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat, lapor Bernama.

Menurutnya, sebagai menteri dan timbalan menteri pihaknya hanya lihat laporan auditnya dan tidak akan mencampuri urusan YaPEIM.

“Bukan setiap hari, nak tengok apa ketua pegawai eksekutif, presiden atau lembaga pengarah dia buat, kena faham konsep tadbir urus itu,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2016 di peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat pada Selasa.

YaPEIM terpalit dengan kontroversi selepas Pengarah Pusat Pemantauan dan Pendedahan Maklumat Kebangsaan (NOW), Akmal Nasir mengaitkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan peneraju tertinggi yayasan berkenaan yang dituduh menyalah guna dan menyeleweng dana Amal Jariah (Skim Potongan Gaji).

Pas yakin ganti UMNO pada PRU14


Pas yakin ganti UMNO pada PRU14
Kerjasama Pas dengan DAP dalam Pakatan Rakyat telah menakutkan orang Melayu mengundi mereka dan terpaksa memilih UMNO.

Pas yakin pengundi Melayu akan memberi sokongan kepada parti Islam itu dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang bagi menggantikan UMNO.

Perkara itu ditegaskan Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali At-Takiri apabila parti itu tidak menyertai Pakatan Harapan dan memilih untuk bergerak secara bersendirian menentang UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Katanya, DAP dan PKR telah berjaya menarik sokongan pengundi Cina, maka Pas perlu bekerja lebih keras untuk mendapatkan undi Melayu dengan slogan ‘Pas ganti UMNO’.

“Dengan Pas bergerak sendirian, orang Melayu Islam boleh beralih kepada Pas. Begitu juga Cina dan India yang tidak bersetuju dengan pendekatan DAP boleh beralih undi kepada Pas.

“Sepanjang Pas berada dalam Pakatan Rakyat tindakan DAP tidak membantu Pas untuk mendapatkan undi Melayu. Isu-isu agama yang dibangkitkan akan menjadikan Melayu terpaksa bernaung di bawah UMNO walaupun mereka tidak bersetuju dengan pelbagai penyelewengan yang dilakukan BN,” katanya kepada FMT.

PKR sebelum ini menggesa pakatan pembangkang supaya berhenti membuat provokasi sesama sendiri kerana itu menyukarkan pembangkang untuk menentang BN dalam PRU akan datang sekiranya berlaku pertembungan tiga penjuru atau lebih.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Rujukan