Cari Artikel

Wednesday, November 18, 2015

Kerani sekolah mati dijerut


Kerani sekolah mati dijerut
Mayat mangsa ditemui di dalam rumahnya di Sungai Terap, Muar, dalam keadaan separuh bogel dan barang berharga didapati hilang.

Seorang ibu kepada bayi lelaki berumur 11 bulan dibunuh kejam dengan kepalanya dijerut dalam kejadian yang berlaku di rumahnya di Sungai Terap, Muar.

Mangsa, Nurul Shahira Mohamed Yatim, 29, kerani Sekolah Agama Sungai Raya di Bukit Pasir, Muar, ditemui terbaring dalam keadaan separuh bogel di depan pintu bilik di rumahnya.

Mayat mangsa ditemui oleh polis yang masuk ke dalam rumah untuk membuat pemeriksaan selepas menerima aduan jiran mangsa yang mengesyaki sesuatu berlaku apabila mangsa tidak keluar rumah.
Kejadian itu dipercayai berlaku kira-kira jam 7 malam pada Isnin.

Jiran mengesyaki sesuatu buruk berlaku mendapati enjin kereta milik mangsa tidak dimatikan manakala pintu kereta bahagian pemandu terbuka.

Harian Metro melaporkan mangsa dipercayai turut dirogol dan barangan berharga milik mangsa termasuk dokumen pengenalan diri serta telefon bimbit didapati hilang.

Bagaimanapun, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Senior Asisten Komisioner Kamarul Zaman Mamat berkata, mangsa belum disahkan dirogol.

PKR juga diingatkan elak provokasi kepada Pas


PKR juga diingatkan elak provokasi kepada Pas
Pas dan PKR saling memerlukan terutamanya ketika menghadapi BN dalam PRU.

Pas menyambut baik saranan sekutunya, PKR supaya DAP berhenti melakukan provokasi kepada parti Islam itu.

Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali At-Takiri berkata, selain DAP yang digesa berhenti menyerang Pas, perkara sama juga perlu dituruti pemimpin PKR.

“Bukan hanya DAP yang sepatunya mengelak daripada melakukan sebarang provokasi terhadap Pas bahkah juga PKR,” katanya kepada FMT.

Ahli Parlimen Kuala Nerus itu mengingatkan, kerusi parlimen yang dimenangi PKR dalam pilihan raya umum (PRU) merupakan hasil kerjasama Pas menerusi jentera pilihan rayanya.

Malah PKR juga dikatakan tidak boleh lari daripada menggunakan jentera pilihanaya dari Pas dalam PRU akan datang.

“Sebahagian kerusi parlimen yang dimenangi PKR adalah menggunakan jentera pilihanraya Pas dan tentunya jika mereka mahu bertanding lagi pada PRU ke-14, maka PKR mereka memerlukan jentera pilihanraya Pas,” katanya.

Terdahulu, PKR menyifatkan serangan yang dibuat DAP terhadap Pas tidak memberi kebaikan kepada parti dan rakyat, malah menyukarkan pembangkang untuk menentang Barisan Nasiona (BN) dalam PRU akan datang sekiranya berlaku pertembungan tiga penjuru atau lebih.

BNM, SPRM didesak mohon Interpol cari lima individu berkaitan 1MDB


BNM, SPRM didesak mohon Interpol cari lima individu berkaitan 1MDB
Jika gagal, Zeti dan Abu Kassim dianggap melanggar tugas fidusiari mereka untuk menyiasat skandal 1MDB tanpa rasa takut dan pilih kasih.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Zeti Akhtar Aziz dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohamed didesak membuat laporan polis mengenai kehilangan lima individu yang mempunyai kaitan dengan 1MDB.

Ahli Parlimen Kelana Jaya, Wong Chen turut mendesak agar Zeti dan Abu Kassim memohon Bahagian Interpol Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjejaki lima individu berkenaan.

Lima individu itu adalah jutawan, Low Taek Jho (Jho Low), dua bekas Pengarah Eksekutif 1MDB, Casey Tang Keng Chee dan Jasmine Loo Ai Swan, Pengarah Urusan SRC International, Nik Faisal Ariff Kamil dan Pengarah Urusan Goldman Sachs di Malaysia, Datuk Yusof Annuar Yaacob.

“Jika mereka gagal bertindak sedemikian dalam masa 24 jam, akan dianggap sebagai melanggar tugas fidusiari mereka untuk menyiasat skandal 1MDB tanpa rasa takut dan pilih kasih,” katanya dalam satu sidang media di Parlimen pada Selasa.

Menurutnya, beliau percaya usaha untuk menjejak lima individu berkenaan adalah mudah kerana Jasmine Loo dikesan memiliki apartment mewah bernilai AS$4.5 juta di New York.

“Pada awal November, nama dia tersenarai sebagai penderma di ‘Black Ball’ iaitu sebuah pertubuhan pengumpul dana yang dianjurkan oleh penyanyi Alicia Keys.

“Lima individu ini bukannya bersembunyi di gua Tora Bora, tetapi mereka hidup di kawasan mewah,” katanya.

Ahli Parlimen PKR itu berkata, jika Interpol PDRM tidak dapat menjejaki lima individu berkenaan dalam masa dua minggu, pihaknya akan melancarkan satu inisiatif di Facebook.

“Ia bagi meminta rakyat mengesan di manakah individu ini berada,” ujarnya lagi.

Sebelum itu, dalam satu jawapan bertulis di Parlimen, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan polis tidak dapat mengesan lima individu berkenaan kerana hingga kini tidak ada siasatan yang dibuat terhadap individu berkenaan.


Banjir Kilat Shah Alam: ADUN Batu Tiga salahkan KTMB


Banjir Kilat Shah Alam: ADUN Batu Tiga salahkan KTMB
Punca utama banjir kilat yang selalu berlaku di kawasan komuter KTMB Batu Tiga adalah disebabkan kegagalan KTMB menyelenggara dan menaik taraf kawasan sekitar dengan baik

Kegagalan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menyelenggara kawasan sekitar stesen komuter Batu Tiga Shah Alam dikatakan menjadi punca berlakunya banjir kilat pada Isnin.

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Tiga Rodziah Ismail mendakwa, KTMB gagal menyelenggara kawasan longkang dan parit di sekitar stesen komuter itu sehingga menyebabkan air melimpah sekaligus menyebabkan banjir kilat.

“KTMB hanya pandai menaikkan tambang tetapi keselesaan pengguna dan kesan alam sekitar langsung tidak dihiraukan.

“Punca utama banjir kilat yang selalu berlaku di sekitar kawasan komuter KTMB Batu Tiga ialah kegagalan pihak itu menyelenggara dan menaik taraf kawasan sekitar dengan baik.

“Misalnya, longkang-longkang tidak pernah diperluas sehingga menyebabkan air melimpah keluar,” katanya ketika dihubungi FMT.

Sehubungan itu, Rodziah menggesa KTMB meningkatkan penyelenggaraan perparitan agar kejadian banjir kilat dapat diselesaikan segera serta tidak berulang.

Dalam pada itu, beliau juga mengakui kerajaan negeri Selangor sudah meluluskan peruntukkan untuk menaik taraf sungai Damansara dekat Batu Tiga dalam Bajet Selangor yang baharu.

“Saya telah mengarahkan supaya projek menaik taraf sungai dipercepatkan tetapi KTMB juga diminta agar lebih sensitif dalam menambahbaik penyelenggaraan di stesen Batu Tiga yang saban hari bertambah penggunanya,” ujarnya.

Terdahulu, beberapa kawasan utama di Shah Alam termasuk Seksyen 13, Seksyen 9, Seksyen U8 dan Batu Tiga teruk terjejas akibat banjir kilat selepas hujan lebat selama dua jam.

Banjir kilat turut menenggelamkan landasan keretapi sehingga menyebabkan operasi komuter di Stesen Komuter Batu Tiga terjejas.

Dalam kenyataan berasingan, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad pula menyifatkan pembangunan pesat di sekitar Seksyen 13 Shah Alam sebagai salah satu punca berlakunya banjir kilat pada Isnin.

“Saya mengaku pembinaan pelbagai bangunan sekitar Seksyen 13 antara puncanya. Sistem perparitan, sampah sarap, pembinaan yang tersumbat temasuk tanah merah di sekitar itu mungkin menjurus kepada masalah ini,” katanya ringkas.

Bagaimanapun, Khalid enggan mengulas lanjut tentang tindakan dan langkah yang akan diambil oleh pihaknya bagi mengatasi masalah itu.


Polis tidak tahu di mana Jho Low berada


Polis tidak tahu di mana Jho Low berada
Bahagian Interpol tidak menerima permohonan daripada mana-mana pihak yang meminta mengesan dimana jutawan itu dan empat lain berada.

Bahagian Interpol Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak dapat mengesan dan menentukan di manakah jutawan berasal dari Malaysia, Low Taek Jho atau Jho Low kini berada.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, polis tidak dapat mengesan Jho Low kerana hingga kini tidak ada siasatan yang dibuat terhadap jutawan yang berasal dari Pulau Pinang itu.

“Tiada permohonan yang diterima daripada mana-mana pihak untuk meminta bantuan Interpol mengesan penama-penama berkenaan,” katanya dalam satu jawapan bertulis di Parlimen.

Selain, Jho Low, pihak polis juga tidak dapat mengesan dua bekas Pengarah Eksekutif 1MDB, Casey Tang Keng Chee dan Jasmine Loo Ai Swan, Pengarah Urusan SRC International, Nik Faisal Ariff Kamil dan Pengarah Urusan Goldman Sachs di Malaysia, Datuk Yusof Annuar Yaacob.

Zahid berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Kelana Jaya, Wong Chen yang meminta kerajaan menyatakan di manakah Jho Low, Casey Tang, Jamine Loo, Nik Faisal Ariff Kamil dan Tusof Annuar Yaacob.

Nik Faisal gagal dikesan pada Julai selepas SPRM mula menyiasat syarikat itu. Dia dicari pihak berkuasa bagi membantu siasatan yang sedang berjalan melibatkan wang RM42 juta yang disalurkan ke dalam akaun bank Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Manakala, Casey Tang dan Jasmine Loo pula dicari oleh Bank Negara Malaysia (BNM) bagi membantu siasatan mengikut Akta Kawalan Pertukaran Wang 1953.


GLC dan MKD tidak peruntuk dana politik


GLC dan MKD tidak peruntuk dana politik
Kementerian Kewangan menjelaskan dana hanya disalurkan untuk pelaksanaan tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat milik kerajaan melalui Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) tidak memperuntukkan dana tahunan khusus untuk sumbangan kepada ahli politik atau parti politik.

Kementerian Kewangan menjelaskan sekiranya terdapat permohonan sumbangan daripada pihak berkenaan, ia akan dikendalikan seperti permohonan sumbangan kewangan daripada pertubuhan bukan kerajaan lain, berdasarkan keperluan organisasi berkenaan dan ketersediaan baki peruntukan belanjawan untuk pelaksanaan tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat itu semasa permohonan diterima.

Mengikut kementerian itu lagi, jumlah sumbangan bagi sesuatu tahun adalah bergantung kepada jumlah permohonan yang diterima dan keupayaan kewangan syarikat untuk menyediakan peruntukan bagi projek CSR.

“Sumbangan yang disalurkan melalui ahli politik atau parti politik itu bertujuan membiayai pelaksanaan aktiviti atau projek tertentu, seperti bantuan kepada mangsa banjir, sukan sekolah, sumbangan kepada anak yatim, ibu tunggal dan orang kelainan upaya (OKU),” mengikut kementerian itu.

Kementerian Kewangan berkata demikian dalam jawapan bertulis yang diedarkan di Dewan Rakyat hari ini bagi menjawab soalan Tan Sri Khalid Ibrahim (BEBAS-Bandar Tun Razak) yang ingin tahu jumlah dana daripada GLC yang telah disumbangkan kepada ahli politik atau parti politik sejak 1981 hingga 2014.

-BERNAMA

Tangkap mereka yang hina agama-Zahid


Tangkap mereka yang hina agama-Zahid
Kerajaan tidak akan berkompromi dengan sesiapa sahaja yang bertindak kurang ajar.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar diminta mengambil tindakan tegas ke atas individu yang menghina agama walaupun berada di luar negara.

Arahan itu diberikan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, tindakan individu tertentu termasuk yang bertindak mengoyak al-Quran dan menggunakan helaiannya untuk mengelap najis adalah satu penghinaan dan tindakan kurang ajar.

“Saya tidak akan kompromi dengan sesiapa saja sama ada yang berada di dalam atau luar negara malah tindakan akan dilakukan.

“Jangan jadikan inovasi dan kebebasan bersuara sebagai medium untuk menghina agama, kita ada pegangan agama dan tatasusila, kita hormati agama dan bangsa lain,” katanya yang dipetik daripada Berita Harian Online.

Zahid berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Hari Inovasi Kementerian Dalam Negeri di Putrajaya.


53 penganjur dan tauke judi diberkas polis


53 penganjur dan tauke judi diberkas polis
KPN memuji memuji Pasukan Khas Anti Maksiat, Judi dan Gengsterisme (STAGG) kerana kejayaannya menjalankan tugas bagi mengekang kegiatan itu.

53 penganjur dan tauke judi ditahan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) di seluruh negara sejak Januari lalu hingga hari ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menerusi laman Twitternya memuji Pasukan Khas Anti Maksiat, Judi dan Gengsterisme (STAGG) kerana kejayaannya menjalankan tugas bagi mengekang kegiatan berkenaan.

Katanya, penganjur dan tauke judi terbabit ditahan mengikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA).

Beliau turut memuji Polis Melaka yang bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) menggempur aktiviti perjudian di negeri terbabit dengan tangkapan lapan suspek dan merampas 65 komputer judi.


Negeri di AS enggan terima pelarian Syria


Negeri di AS enggan terima pelarian Syria
Serangan di Paris menyebabkan berbelas negeri termasuk Alabama dan Texas menangguhkan keputusan untuk menerima pelarian Syria.

Berbelas negeri di Amerika Syarikat memutuskan untuk tidak lagi menerima pelarian Syria.
Gabenor Michigan, Rick Snyder berkata, pihaknya menangguhkan kemasukan pelarian baru sehingga keputusan itu dikaji semula.

Mengulas mengenai perkembangan itu, Jurucakap Jabatan Negara berkata kesahihan langkah yang diambil masih belum jelas.

Sebelum ini, Presiden Barrack Obama telah meminta negaranya untuk mengambil langkah yang lebih dan menunaikan tanggungjawab untuk membantu mereka yang melarikan diri daripada perang saudara di Syria.

“Menghempas pintu di hadapan mereka bercanggah dengan nilai kita.

“ Bangsa kita boleh mengalu-alukan pelarian yang terdesak mencari perlindungan dan pada masa yang sama memastikan keselamatan kita. Kita boleh lakukan kedua-duanya ,” katanya yang dipetik BBC.

Berikutan konflik perang saudara yang berlanjutan sejak 4 tahun lalu, berjuta pelarian Syria terpaksa melarikan diri ke luar negara termasuk ke Eropah.

Ekoran kebanjiran mereka, Amerika Syarikat telah menyatakan kesudian untuk menerima 10,000 pelarian bagi tempoh 12 bulan akan datang.

Bagaimanapun, serangan berani mati dan keganasan yang mengorban lebih 129 nyawa di Perancis pada Jumaat lalu mengubah keputusan yang dibuat.


Jangan guna wang zakat untuk saman NOW – Nik Nazmi


Jangan guna wang zakat untuk saman NOW – Nik Nazmi
Wang zakat merupakan wang kebajikan bagi kegunaan asnaf dan golongan yang ditetapkan dan bukannya untuk kegunaan Menteri.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom diingatkan agar menggunakan wang peribadi beliau sendiri untuk membayar kos guaman bagi kes saman yang difailkan terhadap Pengarah National Oversight and Whistleblowers (NOW), Akmal Nasir.

Amaran itu dibuat oleh Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad bagi menggelak berulangnya perkara sama seperti dalam kes permohonan qazaf, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2011.

Menurut Nik Nazmi, dalam kes itu Jamil Khir didakwa telah menggunakan wang zakat berjumlah RM63,650 untuk membiayai kos guamannya.

“Wang zakat, seperti wang kebajikan juga, merupakan wang yang diamanahkan untuk diagihkan kepada asnaf-asnaf atau golongan yang telah ditetapkan, bukannya untuk kegunaan sang Menteri,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Mengulas lanjut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Setia itu yakin bahawa pendedahan yang dilakukan NOW adalah tepat berdasarkan bukti-bukti yang diberikan.

Alasan yang diberikan oleh Jamil Khir dalam menangkis dakwaan itu pula katanya, dilihat terlalu lemah sekaligus tidak mampu untuk menafikan dakwaan yang dibuat terhadapnya.

“Menteri sendiri tidak menafikan, tetapi hanya memberikan alasan-alasan lemah untuk mewajarkan penggunaan wang Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM),” katanya.

Terdahulu, Jamil Khir berkata, beliau sedia berdepan dengan Akmal di mahkamah berhubung dakwaan penyalahgunaan wang YaPEIM seperti yang didakwa.


Kerusi ahli majlis PBT untuk Amanah di Selangor


Kerusi ahli majlis PBT untuk Amanah di Selangor
Ia selepas mengambil kira parti Amanah mempunyai ADUN dan ahli parlimen di Selangor.

Kerajaan Selangor sedang mempertimbangkan untuk memperuntukkan kerusi ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) kepada wakil Parti Amanah Negara (Amanah).

EXCO kerajaan Selangor, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata demikian ketika mengulas desakan Pemuda Amanah Selangor supaya parti itu diberi tempat dalam PBT memandangkan mereka mempunyai ADUN dan ahli parlimen di negeri itu.

“Perkara ini memang dalam proses rundingan sebab ahli majlis yang ada sekarang akan habis perkhidmatan hujung tahun ini. Ini memang dalam perkiraan kerajaan negeri sebab ada dua wakil Amanah dalam negeri Selangor,” katanya ketika selepas pelancaran program sukarelawan PKR di Hotel Empire pada malam Isnin.

Mengulas lanjut, ADUN Seri Setia itu berkata beliau menyerahkan sepenuhnya kepada kepimpinan kerajaan negeri untuk membuat penelitian secara mendalam sebelum keputusan dibuat secara muktamad.

“Kita tahu bila Amanah ditubuhkan mereka menganggotai kerajaan di Selangor. Maknanya kita tahu kita kena tengok pembahagian kerusi ahli majlis. Ia bukan perkara luar biasa jadi kita akan bincang dengan elok,” katanya.


Rokok dan vape sama berbahaya-Tun M


Rokok dan vape sama berbahaya-Tun M
Apa yang membezakannya asap yang dihasilkan di mana vape lebih wangi berbanding bau tembakau.

Tiada perbezaan antara rokok biasa dengan rokok elektronik (e-rokok) atau vape kerana kedua-duanya mempunyai kandungan nikotin yang tinggi.

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata yang membezakannya cuma asapnya di mana vape menghasilkan bau harum.

“Percayalah, rokok elektronik tidak baik dan sama seperti rokok. Rokok elektronik menghasilkan bau harum dan berperisa. Apabila anda menghisap rokok, anda hanya mendapat bau asap.

“Tetapi apabila anda menghisap rokok elektronik, anda memperoleh bau yang harum seperti strawberi dan mangga.

“Bau harum ialah cara melariskan produk rokok elektronik,” katanya yang dipetik daripada Bernama ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Persekutuan Antarabangsa Pertubuhan Bukan Kerajaan Bagi Pencegahan Dadah dan Penyalahgunaan Bahan Larangan (IFNGO) ke-26 dan Bengkel NGO ASEAN IFNGO ke-22.

Beliau yang juga Penaung Yayasan IFNGO, menggesa masyarakat terutama ibu bapa memupuk nilai-nilai memerangi dadah dalam kalangan kanak-kanak dan golongan muda supaya mereka memahami bahawa dadah boleh memudaratkan kesihatan dan memusnahkan kehidupan mereka.

Dr Mahathir berkata pendekatan lebih berkesan perlu diguna pakai untuk memberitahu generasi muda bahawa dadah boleh digunakan sebagai ubat dan harus mengelak daripada menggunakannya lebih daripada itu.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Rujukan