Cari Artikel

Saturday, November 14, 2015

Lebuhraya Karak-KL dibuka semula


Lebuhraya Karak-KL dibuka semula
Pembukaan sepenuhnya lorong di kedua-dua hala dijangka dilakukan pada 15 November bermula jam 2 petang.

Lebuhraya Karak- Kuala Lumpur yang ditutup sejak 11 November lalu selepas kejadian tanah runtuh dan banjir lumpur dibuka semula bermula hari ini (Sabtu).

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, lebuh raya berkenaan dibuka secara berperingkat bermula jam 2 petang dengan pembukaan satu lorong untuk kenderaan ke Pantai Timur dan Kuala Lumpur.

Katanya, laluan kontra itu bermula dari KM52.4 sehingga KM50.

“Pembukaan sepenuhnya lorong bagi kedua-dua hala dijangka pada Ahad (15 Nov) bermula jam 2 petang,” katanya menerusi kenyataan media.

Fadillah berkata, kelewatan pembukaan semula jalan berkenaan itu kerana pihak konsesi perlu membaikpulih permulaan jalan yang rosak kerana kejadian itu.

Katanya, pihak konsesi dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) akan memantau lokasi kejadian setiap masa bagi keselamatan pengguna.

“Pengguna akan dimaklumkan dari semasa ke semasa mengenai perkembangan pembukaan laluan ini,” katanya.


Malaysia ‘rugi’ jika lewat tanda tangan TPPA- Mustafa


Malaysia ‘rugi’ jika lewat tanda tangan TPPA- Mustafa
Antara kesan yang diketengah jika Malaysia tidak menandatangani TPPA ialah, bersaing dengan Vietnam dan Singapura untuk menarik pelabur asing.

Kelewatan Malaysia menandatangani Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) akan menyebabkan negara rugi.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Dr Mustapa Mohamed berkata, lebih awal Malaysia sertai TPP lebih besar peluang untuk turut serta menggubal perjanjian sekaligus bermanfaat kepada negara.

“Tetapi jika lambat, negara akan terlepas peluang untuk menggubal perjanjian dan terpaksa akur dengan perjanjian yang sudah dibuat,” katanya dalam satu sesi penerangan isu 1MDB, TPPA, Bajet 2016 di PWTC pada Sabtu.

Antara kesan jika Malaysia tidak menandatangani TPPA ialah, bersaing dengan Vietnam dan Singapura untuk menarik pelabur asing.

Bagaimanapun, Mustafa tidak menafikan wujudnya elemen baik dan buruk dalam mana-mana perjanjian sekalipun, namun jelasnya, jika kebaikan melebihi keburukan ia tidak menjadi kesalahan.

Berucap di hadapan kira-kira lebih 1,000 hadirin yang hadir, Mustapa juga memberitahu setiap negara yang terlibat dalam menandatangani TPPA mempunyai motif tersendiri.

“Malaysia pula mahu mendapatkan akses perniagaan yang lebih baik di empat buah negara iaitu Amerika Syarikat, Mexico, Kanada dan Peru,” katanya.

Rundingan TPPA dimuktamadkan pada 5 Oktober lalu di Atlanta, Amerika Syarikat (AS) dan Malaysia harus membuat keputusan untuk menandatangani perjanjian itu selewat-lewatnya pada dua minggu pertama 2016.

Rundingan TPPA yang julung kali dilancar pada 2005, membabitkan 12 negara iaitu Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, AS dan Vietnam.


Gambar didakwa bukti pembalakan di Hutan Lipur Lentang


Gambar didakwa bukti pembalakan di Hutan Lipur Lentang
Gambar itu diambil secara rahsia kerana ada kawalan yang menghalang pihak luar membuat tinjauan di kawasan bukit.

Walaupun pihak berkuasa menafikan pembalakan tidak terkawal menjadi punca kejadian tanah runtuh Lebuhraya Karak-Kuala Lumpur di Lentang namun beberapa keping gambar menceritakan sebaliknya.

Empat keping gambar yang diambil di puncak bukit Hutan Lipur Lentang menunjukkan aktiviti pembalakan diprcayai menjadi punca utama pengaliran air deras yang membawa kejadian tanah runtuh dan banjir lumpur pada 11 November lalu.

Gambar itu dikatakan diambil di puncak bukit secara rahsia oleh pihak tertentu walaupun terdapat kawalan ketat bagi menghalang pihak luar membuat tinjauan di kawasan berkenaan.

Gambar-gambar berkenaan jelas menunjukkan di kawasan puncak telah gondol kerana aktiviti pembalakan.

Terdapat juga beberapa tong yang digunakan untuk mengisi minyak untuk jentera berat yang dtinggalkan di kawasan berkenaan.

Lebuhraya Karak- Kuala Lumpur masih ditutup di kedua-dua arah selepas kejadian Tanah runtuh pada 11 November lalu di KM52.4 berhampiran Lentang.

Tiada kematian dan kecederaan dilaporkan tetapi beberapa kenderaan rosak kerana terperangkap dalam runtuhan itu.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob dilapor menafikan kejadian itu berpunca daripada aktiviti pembalakan tetapi beberapa pihak tidak percaya kerana terdapat kayu balak yang berselerak di atas jalan raya.

Sebuah badan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar sebelum itu mendakwa kegiatan pembalakan tidak terkawal di kawasan Hutan Lipur Lentang bagi projek laluan TNB dari Bentong ke Lenggeng, Negri Sembilan adalah punca kepada kejadian itu.

Jabatan Perhutanan Pahang menafikan dakwaan itu.

Serbuk putih di pejabat Menteri Kesihatan disahkan Vitamin C


Serbuk putih di pejabat Menteri Kesihatan disahkan Vitamin C
Pengesahan itu dibuat berdasarkan keputusan ujian yang dilakukan Makmal Penyelidikan Bomba di Bandar Enstek, Nilai, Negeri Sembilan.

Serbuk putih yang dihantar menggunakan kiriman pos laju ke pejabat Menteri Kesihatan pada Jumaat disahkan sebagai serbuk Vitamin C.

Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP Rosly Hassan berkata pengesahan itu dibuat berdasarkan keputusan ujian yang dilakukan Makmal Penyelidikan Bomba di Bandar Enstek, Nilai, Negeri Sembilan.

“Saya mengesahkan analisa yang dibuat ke atas serbuk putih yang membuatkan warga Kementerian Kesihatan gempar semalam ialah ascorbic acid atau vitamin larut air iaitu Vitamin C dan ia tidak berbahaya,” katanya, lapor Bernama.

Motif kiriman masih disiasat polis dan siasatan awal mendapati pengirim menggunakan alamat palsu.

Pada Jumaat, kakitangan pejabat Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam terpaksa mengosongkan Tingkat 13 yang menempatkan pejabat mereka selepas dua kakitangannya mendakwa mengalami kegatalan setelah membuka sampul bersaiz A4 yang dihantar menggunakan khidmat Pos Laju pada kira-kira 3.15 petang.

Berikutan itu, mereka bertindak menghubungi pihak bomba dan polis bagi memaklumkan penemuan serbuk tersebut, dan kakitangan pejabat menteri berhimpun di perkarangan kawasan Blok E7 itu untuk membolehkan pemeriksaan dilakukan.


Sedia jumpa Rafizi dan Tony Pua serentak -Arul Kanda


Sedia jumpa Rafizi dan Tony Pua serentak -Arul Kanda
Ahli UMNO menyatakan pemahaman tentang corak perniagaan yang dilakukan Arul Kanda harus disampaikan kepada pemimpin yang mengkritik beliau seperti mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Rafizi Ramli, Tony Pua, Lim Kit Siang.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda bersedia bersemuka dengan kedua-dua Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua dan Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli.

Ia bagi menjelaskan situasi sebenar, masalah-masalah yang berlaku dalam 1MDB dan langkah-langkah rasionalisasi yang diambil syarikat berkenaan sekaligus menafikan fitnah yang dibuat oleh kedua-dua ahli pembangkang itu.

“Saya akan berjumpa Tony Pua dan Rafizi Ramli, malah dua-dua secara serentak juga boleh,” katanya sewaktu berucap di hadapan lebih 1,000 hadirin dalam Majlis Penerangan Perdana anjuran Biro Penerangan UMNO Malaysia di PWTC , pada Sabtu.

Bagaimanapun, Arul Kanda tidak menyatakan bila pertemuan itu akan diadakan.

Arul Kanda berkata demikian bagi menjawab soalan hadirin, sebab Rafizi dan Tony Pua tidak dijemput ke majlis itu.

Ahli UMNO menyatakan pemahaman tentang corak perniagaan yang dilakukan Arul Kanda harus disampaikan kepada pemimpin yang mengkritik beliau.

“Sepatutnya bukan kami yang dijemput, tetapi mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Rafizi Ramli, Tony Pua, Lim Kit Siang yang dijemput,” kata salah seorang hadirin.

Dalam pada itu, Arul Kanda secara berseloroh mengakui 1MDB mencatat sejarah sebagai syarikat yang paling banyak disiasat oleh pelbagai agensi dalam negara.

“Ia termasuk Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Audit Negara, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan juga Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC),” katanya.

Arul Kanda menyifatkan syarikat itu kini telah menjadi sebuah buku terbuka (open book), yang mana boleh disiasat dan terbuka untuk memberi penjelasan kepada mana-mana pihak.

“Tetapi, kalau nak baca buku terbuka ini, kenalah baca dengan fikiran yang terbuka,” jelasnya lagi.

Mengulas lanjut mengenai langkah menyelesaikan hutang 1MDB sebanyak RM42 bilion pula, ia dijangka akan diselesaikan melalui pelan rasionalisasi yang akan siap pada 31 Disember tahun ini.

Difahamkan, dalam pelan rasionalisasi 1MDB, syarikat itu masih mempunyai nilai aset berjumlah RM10 bilion hingga RM12 bilion walaupun beberapa aset perlu dijual bagi mengurangkan hutang.

Arul Kanda juga menyatakan 1MDB juga mempunyai nilai aset RM4 hingga RM5 bilion di Bandar Malaysia di samping RM5 hingga RM6 bilion di Tun Razak Exchange, RM1 bilion di Ayer Itam dan RM300 juta di Pulau Indah.


140 terbunuh, Paris diisytihar darurat


140 terbunuh, Paris diisytihar darurat
Beberapa lelaki tidak bertopeng menggunakan senapang menembak secara rambang dalam Dewan Konsert Bataclan dan beberapa lokasi di sekitar Paris.

Kumpulan bersenjata dan pengebom menyerang restoran, bar dan dewan konsert di beberapa lokasi di pusat bandar raya menyebabkan lebih 140 terbunuh.

Presiden Perancis, Francois Hollande mengisytiharkan darurat di kawasan Paris dan menutup pintu sempadan bagi mengelak penyerang bolos dan melarikan diri ke negara lain.

Kira-kira 100 orang dikatakan terbunuh di dewan konsert Bataclan manakala 40 lagi di beberapa lokasi lain.

Memetik laporan beberapa media antarabangsa, serangan terancang terhadap Perancis, antara negara sekutu dengan Amerika Syarikat yang melancarkan serangan terhadap militan Negara Islam (IS) di Iraq dan Syria.

Perancis sedang membuat persiapan rapi serangan pengganas menjelang sidang kemuncak iklim yang akan berlangsung hujung bulan ini.

Julien Pierce, seorang wartawan radio Europe 1 yang berada dalam dewan konsert ketika tembakan bermula, menceritakan kejadian itu dalam kiriman menerusi laman web stesen radio itu.

Mengikut Pierce, beberapa orang muda yang tidak memakai topeng, masuk ke dewan ketika konsert sedang berlangsung dengan bersenjatakan senapang Kalashnikov, mula menembak secara rambang ke arah penonton.

“Mayat bergelimpangan di mana-mana,” katanya.

Media Perancis melaporkan, lima lagi serangan serentak di beberapa lokasi lain pada masa sama di sekitar pusat bandar Paris termasuk di dluar stadium Stade de France.

Setakat ini belum ada pihak mengaku bertanggungjawab terhadap serangan itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyertai pemimpin dunia termasuk Presiden AS, Barack Obama, Canselor Jerman, Angela Merkeluk dan Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon mengutuk serangan keji itu.


DAP dalang serangan institusi Islam – Blog UMNO


DAP dalang serangan institusi Islam – Blog UMNO
Serangan terhadap YaPEIM kerana agensi itu telah berjaya membantu meningkatkan ekonomi Umat Islam khususnya sistem pajak gadai ar-Rahnu.

DAP didakwa menjadi dalang kepada serangan institusi-institusi Islam di negara ini termasuk serangan terbaharu terhadap Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM).

Satu artikel yang disiarkan di blog pro-UMNO, MYKMU.net, mendakwa serangan terhadap YaPEIM itu dilakukan oleh mereka yang menjadi alat kepada DAP untuk meruntuhkan institusi Islam.

Katanya, serangan jahat terhadap YaPEIM yang dilakukan oleh National Oversight and Whistleblowers (NOW) merupakan satu taktik jahat ala komunis.

Katanya, serangan itu kerana YaPEIM telah berjaya membantu ekonomi umat Islam dan salah satu kejayaannya memperkenalkan sistem pajak gadai ar-Rahnu yang dilaksanakan di 202 cawangan di seluruh Negara.

“Program Ar-Rahnu terbukti telah menjana keuntungan yang memberansangkan. Tahun ini sahaja, YaPEIM berjaya menjana pendapatan mencecah RM8 3juta. Keuntungan ini telah meningkat sebanyak RM11 juta berbanding RM72 juta tahun 2014.

“Hakikatnya, YaPIEM sebagai pengusaha pajak gadai Islam terbesar di negara ini merupakan ancaman kepada sistem konvensional dan anda sendiri pasti tahu siapa yang terancam dengan perkembangan ini,” tulis artikel itu.

Umat Islam juga turut dipersalahkan kerana terlalu cepat melenting dan percaya dengan tuduhan itu tanpa membuat penyelidikan terlebih dahulu.

“Serangan terbuka ke atas institusi Islam membabitkan tuduhan salah guna wang dan ke arah korupsi bertujuan memalukan institusi Islam yang banyak membantu umat Islam ini.

“Tunggu, anda akan lihat banyak lagi serangan ke atas institusi Islam yang kemungkinan besar dirancang oleh DAP,” tulis artikel itu.


Tun M beri gambaran beliau mungkin didakwa


Tun M beri gambaran beliau mungkin didakwa
Namun beliau tidak nampak apa yang dilakukan dan dikatakan pada Perhimpunan Bersih 4 melanggar undang-undang Negara.

Negarawan terbilang, Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan terdapat tanda-tanda yang beliau mungkin didakwa kerana mengkritik Datuk Seri Najib Tun Razak ketika menghadiri Perhimpunan Bersih 4 pada Ogos lalu.

Katanya, walaupun tidak nampak apa yang dikatakan dan dilakukan itu melanggar mana-mana undang-undang namun tindak tanduk polis yang menyiasatnya memberi tanda-tanda beliau mungkin didakwa.

“Mereka cuba jadikan apa yang saya lakukan atau katakan di khalayak ramai sebagai tindakan jenayah.

“Walaupun mereka tidak mengatakan saya akan didakwa, tetapi terdapat tanda yang saya mungkin akan didakwa.,” katanya menerusi posting terbaharu di blognya.

Katanya, jika beliau bersalah kerana menghadiri perhimpunan yang tidak dibenarkan polis terdapat lebih 50,000 orang yang melakukan kesalahan yang sama.

Katanya, polis sepatutnya turut menyiasat lebih 50,000 peserta himpunan itu jika mahu menegakkan keadilan. .

“Memang benar saya menghadiri satu perhimpunan yang tidak dibenarkan polis…tetapi lebih 50,000 orang juga terlibat dalam perhimpunan itu.

“Jika saya melakukan kesalahan, 50,000 orang yang terlibat dalam perhimpunan itu juga salah,” katanya.

Dr Mahathir berkata, polis seharusnya menggunakan undang-undang secara adil dan saksama.
Jika tidak, tindakan polis itu menunjukkan kerajaan telah melakukan penganiayaan terhadap dirinya.


Penduduk bakar, baling batu lori bauksit


Penduduk bakar, baling batu lori bauksit
Kejadian itu berlaku kerana penduduk marah dengan pencemaran teruk yang disebabkan perlombongan bauksit yang gagal diselesaikan kerajaan negeri.

Penduduk di daerah Kuantan bertindak membakar lori yang membawa bauksit kerana ‘berang’ gara-gara masalah itu gagal diselesaikan oleh kerajaan negeri.

Selain bakar, , penduduk yang marah dengan pencemaran teruk akibat bauksit bertindak merosakkan lori dengan membaling batu.

Kejadian itu dimaklumkan oleh Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh menerusi Facebooknya tanpa menyatakan tempat kejadian dan bila kejadian itu berlaku.

Tiada kematian atau kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu.

Berdasarkan gambar-gambar yang dimuatnaik, kejadian itu dipercayai berlaku di kawasan felda.
Menerusi statusnya, Fuziah melahirkan kekesalan kerana kerajaan negeri menyelesaikan gagal masalah itu yang membawa pula kepada sosial selain pencemaran teruk.

“Adakah anak cucu kita akan membesar di dalam persekitaran ganas ini semata-mata kerana Kerajaan Negeri Pahang gagal mengawal aktiviti perlombongan bauksit ini? Ia menimbulkan masalah sekunder iaitu masalah sosial pula. …

“Sudahlah masalah pencemaran kita terpaksa hadapi. Kemudian masalah keselamatan penduduk dan masalah kesihatan akibat debu. Sekarang timbul pula masalah sosial. Ya Allah lindungi lah kami warga Kuantan dari tangan-tangan yg tamak dan rakus. Yg hanya berfikir tentang keuntungan semata,” tulis Fuziah.

Masalah pencemaran akibat perlombongan bauksit menjadi masalah penduduk di beberapa tempat di Kuantan seperti di Gebeng, Pelabuhan Kuantan, Gambang, Felda Bukit Goh, Felda Bukit Kuantan dan Felda Bukit Sagu.

Walaupun kerajaan negeri menetapkan beberapa peraturan ketat bagi mengawal pencemaran akibat perlombongan bauksit, namun ia didakwa tidak berkesan.

Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob pernah dilaporkan berkata kerajaan negeri tidak teragak-agak menghentikan perlombongan bauksit jika masalah pencemaran tidak. selesai.

Terus desak Najib selagi saya tidak disabitkan kesalahan – Tun M


Terus desak Najib selagi saya tidak disabitkan kesalahan – Tun M
Beliau akan berhenti jika mahkamah mendapati desakan supaya Najib Tun Razak meletak jawatan adalah kesalahan jenayah.

Tun Dr Mahathir Mohamad berkata selagi beliau tidak disabitkan kesalahan di mahkamah, desakan supaya Datuk Seri Najib Tun Razak meletak jawatan akan diteruskan.

Ini kerana, katanya, desakan terhadap Perdana Menteri supaya melepaskan jawatan adalah tanggungjawabnya sebagai warganegara.

Bekas Perdana Menteri menegaskan, desakan itu akan dihentikan jika mahkamah mendapati apa yang dilakukan adalah kesalahan jenayah.

Namun, beliau tetap percaya dan yakin desakan yang dibuatnya itu bukan kesalahan jenayah.

“Mahkamah boleh memutuskan sama ada saya membuat sesuatu kesalahan atau ia merupakan satu kesalahan jenayah.

“Namun selagi saya tidak disabitkan bersalah oleh mahkamah, saya akan terus percaya apa yang saya lakukan sebelum ini tidak ada sebarang kesalahan.

“Ini adalah hak saya sebagai seorang warganegara untuk mendesak jika ada sesuatu kesalahan berlaku,” tulisnya dalam entri terbarunya di chedet.cc.

Dr Mahathir berkata demikian sebagai reaksi terhadap tindakan polis yang menyiasatnya sebelum ini.

Beliau turut mengulangi pendiriannya bahawa dana RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi Najib bukan didermakan penderma dari negara Timur Tengah.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Rujukan