Cari Artikel

Friday, November 13, 2015

Jamil Khir jawab tuduhan salah guna wang anak yatim


Jamil Khir jawab tuduhan salah guna wang anak yatim
Jamil Khir menuntut Akmal Nasir dan The Malaysian Insider menarik semula segala dakwaan dan fitnah jahat yang dibuat serta memohon maaf secara terbuka dalam tempoh 24 jam.

Datuk Seri Jamil Khir Baharom menafikan tuduhan beliau menggunakan wang anak yatim dan orang miskin untuk bersuka ria di Amerika Syarikat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri menerusi kenyataan media lewat petang Jumaat berkata, dakwaan oleh Pengarah National Oversight and Whistleblowers (NOW), Akmal Nasir, itu adalah kenyataan jahat berupa fitnah dan menyimpang daripada fakta sebenar.

“Dakwaan kononnya program saya di AS bersifat bersuka-ria menggunakan dana anak yatim adalah fitnah yang besar dan cubaan untuk menjatuhkan kredibiliti dan maruah saya selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

“Adalah tidak adil hanya mempamerkan dokumen yang menggelirukan dan tidak menggambarkan keseluruhan program melibatkan saya,” katanya.

Beliau menjelaskan,/kunjungan pada 21 hingga 29 Mei 2014 itu bagi memenuhi jemputan program yang dianjurkan agensi-agensi di bawah seliaan YaPEIM dengan kerjasama Kedutan Malaysia di AS dan Education Malaysia (EM) Chicago sempena Mid West Game.

“Melalui strategi penganjuran bersama secara “Strategi Lautan Biru” khususnya yang melibatkan peserta Skim Anugerah Kecemerlangan Pelajar Nasional (SANTUN) tajaan YaPEIM dan beberapa kumpulan sasaran lain yang berada di seluruh AS dan Kanada, beberapa program besar telah diatur dan dilaksanakan.

“Program-program tersebut melibatkan kursus kepada pelajar yang memfokuskan aspek motivasi kenegaraan dan keusahawanan; simposium perdana perkahwinan kekeluargaan, pengurusan dan isu-isu semasa negara.

“Selain, kursus pra perkahwinan bagi membantu pelajar-pelajar memenuhi syarat perkahwinan JAWI; kelas pengajian untuk isteri-isteri dan kakitangan wanita kedutaan; menyampaikan sumbangan kepada pelajar cemerlang yang tidak berkemampuan dan pertemuan bersama usahawan-usahawan Malaysia,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, program dan pertemuan itu melibatkan pelbagai kumpulan sasaran yang diadakan di Indianapolis dan Washington DC, AS.

“Bersempena dengan perasmian Mid West Game di Amerika Syarikat itu juga, beberapa acara sukan telah dianjurkan oleh Education Malaysia (EM) di Indianapolis.

“Ia termasuklah acara golf yang dikelolakan secara bersama dengan pihak Kedutaan Malaysia AS di Washington yang saya turut terlibat bersama Duta dan kakitangan kedutaan” jelasnya.

Katanya lagi, sudah menjadi sebahagian tugas dan tanggungjawab beliau selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri bagi memenuhi jemputan rasmi kedutaan apatah lagi program yang dianjurkan oleh agensi-agensi di bawah tanggungjawabnya.

Ujarnya, segala perjalanan dan kegiatan rasmi beliau ditanggung oleh agensi berkenaan serta telah mengikuti polisi dan tatacara kewangan agensi yang berkaitan.

“Tiada apa yang perlu disembunyikan kerana segalanya mengikut prosedur dan tatacara yang ditetapkan.

“Saya sentiasa terbuka dan bersedia memberi kerjasama sepenuhnya dengan mana-mana pihak berkuasa untuk disiasat sekiranya benar wujudnya salah laku yang melibatkan diri saya atau agensi di bawah seliaan saya,” tegasnya.

Sehubungan itu, Jamil Khir menuntut Akmal Nasir dan portal berita The Malaysian Insider menarik semula segala dakwaan dan fitnah jahat yang dibuat serta memohon maaf secara terbuka dalam tempoh 24 jam.

“Jika tidak, saya akan memulakan tindakan saman fitnah dan malu melalui peguam saya kerana tindakan ini benar-benar telah menjatuhkan maruah dan kredibiliti saya,” katanya.


Balut label minuman ringan untuk seludup arak


Balut label minuman ringan untuk seludup arak
Ia berjaya dikesan di salah sebuah pintu masuk Arab Saudi, Al Batha yang bersempadan dengan Emiriyah Arab Bersatu (UAE)

Percubaan menyeludup 48,000 tin minuman keras ke Arab Saudi berjaya ditumpas.

Ia dikesan di salah sebuah pintu masuknya, Al Batha yang bersempadan dengan Emiriyah Arab Bersatu (UAE).

Bagi menggelirukan pihak berkuasa, penyeludup bertindak membalut tin minuman berkenaan dengan jenama minuman ringan.

“Pada mulanya, tin yang dibawa dengan trak kelihatan macam tin minuman ringan Pepsi telah berhenti dan selepas proses memeriksa produk dilakukan ia menemui tin minuman bir telah dibalut dengan pelekat berlogo Pepsi,” kata pengawal sempadan yang dipetik daripada Al Arabiya News.

Di bawah undang-undang hudud yang dilaksana Arab Saudi, minuman keras diharamkan dan mereka yang didapati bersalah meminumnya akan dikenakan hukuman sebat.

Bagaimanapun, berikutan terdapatnya permintaaan, ia sering diseludup masuk ke negara itu.






DUN Selangor lulus usul rawatan Anwar


DUN Selangor lulus usul rawatan Anwar
Usul berkenaan wajar diluluskan, memandangkan Anwar merupakan Penasihat Ekonomi Negeri Selangor

Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada Jumaat meluluskan usul mendesak kerajaan Persekutuan supaya memberikan rawatan perubatan segera kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Penasihat Ekonomi Negeri Selangor.

Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali bekata, usul berkenaan sepatutnya dipersetujui semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor tanpa mengira ideologi politik.

“Kita perlu ketepikan ideologi politik dan melihat isu ini sebagai isu kemanusian serta hak asasi manusia,” katanya.

Mengulas lanjut, Azmin berkata, tindakan kerajaan Selangor membawa usul berkenaan ke Dewan Negeri adalah sebagai inisiatif susulan penolakkan beberapa kali oleh Dewan Rakyat untuk membahaskan isu kesihatan bekas Ketua Pembangkang itu di Parlimen.

Sementara itu, ADUN Sungai Panjang-BN Budiman Zohdi mempersol usul tersebut dibawa ke sidang DUN kerana tidak mempunyai kaitan dengan kerajaan Selangor.

“Tidak perlu bawa usul Anwar Ibrahim, kerana tidak ada orang yang pakar untuk menjawab isu tersebut, lebih baik ahli parlimen pembangkang membawa isu ini ke Parlimen,” katanya semasa sidang media di Dewan Negeri Selangor pada Jumaat.


Enakmen MBI disemak untuk elak kontroversi


Enakmen MBI disemak untuk elak kontroversi
Deraf awalnya telah diserahkan kepada Penasihat Undang-Undang Negeri bagi memastikan semua aset MBI diurus dengan telus

Pengurusan Perbadanan Menteri Besar (MBI) telah mengemukakan draf penambah baikan enakmen badan berkenaan untuk disemak.

Ia susulan kontroversi membabitkan Kumpulan Pelaburan Darul Ehsan (DEIG).

Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali berkata, deraf awalnya telah diserahkan kepada Penasihat Undang-Undang Negeri bagi memastikan semua aset MBI diurus dengan telus serta bertanggungjawab.

“Ini pertama kali dilakukan sejak MBI ditubuhkan pada 1994 yang gagal dilaksanakan pentadbiran terdahulu. Saya nak umumkan pengurusan baru MBI, terdiri daripada profesional muda yang kompetan dan berwibawa telah pun mengemukakan draf awal penambah baikkan Enakmen MBI kepada Penasihat Undang-Undang Negeri dan sedang diteliti kamar.

“Kalau saya nak gunakan kuasa mutlak selaku Menteri Besar seperti yang dituduh beberapa individu, saya tidak perlu pinda enakmen MBI sebab kuasanya besar,” katanya pada Sesi Penggulungan di Dewan Negeri Selangor berhubung tadbir urus korporat MBI dan syarikat milik kerajaan (GLC).

Ahli Dewan Undangan (ADUN) Bukit Antarabangsa itu berkata, pindaan enakmen dibuat bagi memastikan isu penubuhan DEIG tidak diputar belitkan pihak tertentu selain menampakkan usaha kerajaan melaksanakan pelaburannya dengan lebih telus.

“Tetapi saya ambil tanggungjawab untuk menjawab soalan berbangkit kerana melihat ada kecenderungan untuk memutar belitkan fakta tentang penubuhan DEIG sehingga ia menjadi topik perbincangan hebat.

“Bahkan ada pihak cuba membuat ‘roadshow’ di seluruh Selangor, forum setiap malam kononnya rakyat mahu mendengar penjelasan tetapi saya lihat kerusi lebih banyak dari orang yang hadir,” katanya.

Tambah beliau, isu DEIG sengaja dibangkitkan semula ADUN Barisan Nasional (BN) bagi menenggelamkan isu Belanjawan Negeri Selangor 2016 yang memberi kebaikkan kepada rakyat negeri itu yang jauh lebih baik berbanding belanjawan sebelum ini.

Desak Azmin batal projek kondominium di Kajang


Desak Azmin batal projek kondominium di Kajang
MPKj didakwa telah meluluskan pembinaan kondominium setinggi 36 tingkat yang berhampiran SMKA Maahad Hamidiah, Kajang.

Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali didesak supaya membatalkan segera kelulusan yang telah diberikan bagi pembinaan kondominium mewah, The Louvre, setinggi 36 tingkat di Kajang.

Desakan itu dibuat oleh penduduk dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Maahad Hamidiah kerana mendakwa berlaku penipuan ketika pemaju mendapatkan kelulusan pelan pembangunan projek terbabit daripada Majlis Perbandaran Kajang (MPKj).

Yang Dipertua (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Maahad Hamidiah, Jazlan Ahmad berkata, satu petisyen telah dibuat untuk meminta Azmin membantu penduduk dan pihak SMKA membatalkan kelulusan itu.

“Setakat ini sudah 40,000 orang telah menandatangani petisyen oleh penduduk di sekitar Bandar Bangi Baru, badan-badan bukan kerajaan (NGO), ibu bapa dan pelajar SMKA.

“Petisyen itu dibuat agar pihak berkuasa serta kerajaan negeri campur tangan dalam membatalkan projek itu.

“Kita akan hantar petisyen itu selewat-lewatnya minggu hadapan,” katanya kepada pemberita dalam satu sidang media bersama penduduk Bandar Baru Bangi pada Jumaat.

Sebelum itu, seramai 200 peserta hadir dan terlibat dalam demontrasi bantahan pembinaan kondominium The Louvre.

Tambah Jazlan, pihaknya juga telah membuat satu laporan polis berkenaan penipuan yang dibuat oleh pemaju itu bagi menyiasat sekiranya terdapat unsur rasuah antara MPKj dan pemaju.

Jazlan turut menjelaskan penduduk merasakan tertipu setelah MPKj sebelum ini memaklumkan bahawa hanya meluluskan pembinaan kondominium empat tingkat sahaja.

Namun, katanya, MPKj telah meluluskan pembinaan kondominium 36 tingkat dan ini menyebabkan kemarahan penduduk yang merasakan ditipu.

“Kami tidak akan membantah sekiranya pemaju membina kawasan perumahan empat tingkat… Tetapi kita bantah jika pembinaan itu dibuat setinggi 36 tingkat.

“Kelulusan ini akan memberi risiko seperti akan ada pembinaan kawasan perumahan tinggi di kawasan ini pada masa akan datang,” katanya.

Katanya, pembinaan kondominium 36 tingkat itu tidak sesuai dibina berikutan jarak yang terlalu dekat dengan kawasan sekolah.

Jazlan berkata, kesesakan lalu lintas akan berlaku dan mengancam keselamatan pelajar.

Kehadiran syarikat TPP tidak jajah Malaysia


Kehadiran syarikat TPP tidak jajah Malaysia
Penyertaan negara ini dalam TPP tidak bermakna negara akan menerima sistem ekonomi kapitalis secara total

Kehadiran syarikat dari negara Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) di Malaysia tidak bermakna negara ini akan dijajah semula.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, hakikatnya, syarikat berkenaan sudahpun beroperasi di Malaysia kerana kerajaan sentiasa menggalakkan pelaburan asing.

“Ramai profesional dan rakyat Malaysia sedang bekerja dalam pelbagai sektor di luar negara termasuklah negara TPP seperti Australia, New Zealand, Singapura dan Brunei.

“Jika kehadiran syarikat dan profesional Malaysia di luar negara tidak bermakna kita menjajah negara-negara tersebut, maka kehadiran mereka di sini tidak semestinya bermakna kita akan dijajah semula,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Mustapa, masyarakat harus menyedari realiti bahawa pasaran Malaysia adalah terhad dan syarikat serta profesional Malaysia telah lama meneroka peluang di luar negara.

Sehingga Jun 2015, pelaburan Malaysia di luar negara bernilai kira-kira RM522 bilion, melebihi pelaburan asing di dalam negara yang bernilai RM477 bilion, katanya.

Menurutnya lagi, penyertaan Malaysia dalam TPP tidak bermakna negara akan menerima sistem ekonomi kapitalis secara total.

Penyertaan dalam TPP juga tidak bermakna bahawa insititusi-institusi bumiputera seperti Mara dan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) akan terpinggir.

“Sebaliknya, Malaysia akan terus menjayakan model pembangunannya sendiri yang memberi tumpuan terhadap pertumbuhan ekonomi yang inklusif,” katanya.

Mengenai dominasi Amerika Syarikat, Mustapa berkata Malaysia menjalin hubungan perdagangan dengan lebih 200 negara di seluruh dunia, dan Amerika Syarikat adalah rakan perdagangan keempat terbesar Malaysia.

Kerajaan berpendapat, secara keseluruhannya perjanjian TPP mewujudkan situasi ‘menang-menang’ bagi setiap negara yang terbabit.

“Kita berpeluang untuk memasarkan produk seperti tekstil, elektronik, produk sawit dan beberapa barangan lain pada harga yang lebih kompetitif ke pasaran TPP termasuklah Amerika Syarikat yang adalah pasaran pengguna terbesar di dunia,” jelasnya.

Sementara itu, Mustapa berkata penyertaan Malaysia dalam TPP tidak akan sama sekali menjejaskan hubungan ekonomi antara Malaysia dan China.

Malaysia adalah penyokong kuat inisiatif ekonomi ‘One Belt, One Road’ yang diterajui oleh China, katanya.

Selain itu, Malaysia bersama negara ASEAN lain juga sedang merundingkan Perjanjian Komprehensif Ekonomi Serantau (RCEP) yang membabitkan 16 negara termasuk China, kata Mustapa.

Sebagai sebuah negara yang mengamalkan dasar ekonomi terbuka, kerajaan berpendapat faedah penyertaan dalam TPP adalah lebih banyak daripada keburukan, petik daripada kenyataan itu.

– Bernama

Lelaki maut bila bumbung keretanya dihempap orang


Lelaki maut bila bumbung keretanya dihempap orang
Mangsa meninggal dunia akibat terkena hentakan kuat daripada objek yang jatuh di atas bumbung keretanya

Seorang pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) maut selepas kereta yang dipandunya dihempap seorang lelaki dipercayai terjun dari tingkat 13 sebuah hotel di Banda Hilir, Melaka pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, ACP Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah berkata, dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, mangsa Arfan Syazani Salahudin, 19, yang menaiki Perodua Viva baru tiba di tempat letak kereta hotel berkenaan sebelum dihempap satu objek dari atas.

“Hasil hentakan objek berkenaan (lelaki yang terjun) mengakibatkan bahagian bumbung kereta kemek dan terkena mangsa yang merupakan pekerja sambilan di hotel berkenaan.

“Mangsa cedera parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala lelaki berusia 43 tahun yang terjatuh di atas kereta mangsa mengalami kecederaan parah dan turut meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Melaka kira-kira jam 3 petang,” katanya yang dipetik dari Berita Harian Online.

Shaikh berkata, lelaki dari Bukit Katil yang dipercayai terjun dari tingkat 13 itu mendaftar masuk seorang diri di hotel berkenaan kira-kira jam 9.40 pagi tadi.

Shaikh Abdul Adzis berkata kes kematian remaja yang berasal dari Bukit Rambai itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut.


Usul tergempar bincang penjualan IPP milik 1MDB


Usul tergempar bincang penjualan IPP milik 1MDB
Rafizi Ramli akan memfailkan usul itu susulan dakwaan kerajaan membatalkan had ekuiti pegangan syarikat asing dalam sektor tenaga negara.

Rafizi Ramli akan memfailkan usul tergempar pada Isnin ini bagi membincangkan penjualan aset loji penjana kuasa bebas (IPP) milik 1MDB kepada Konsortium China- Qatar.

Katanya, tindakan itu terpaksa dilakukan kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak masih membisu terhadap dakwaan pentadbiran beliau telah secara senyap-senyap membatalkan had pegangan ekuiti sektor elektrik negara.

Mengikut peraturan asal, syarikat asing hanya boleh memegang maksimum 49% pegangan dalam syarikat yang terlibat di dalam sektor elektrik negara.

Naib Presiden PKR itu mendakwa, pembatalan had pegangan ekuiti ini dibuat oleh Suruhanjaya Tenaga sahaja tanpa dibawa berbincang di peringkat Jemaah Menteri.

Malah, dakwanya, menteri yang terbabit iaitu Datuk Seri Maximus Ongkili iaitu Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTHHA) juga dilaporkan membantah keputusan menghapuskan had pegangan ekuiti tersebut.

“Saya mendapat maklumat bahawa pentadbiran Najib akan mengumumkan pembida asing iaitu konsortium syarikat gergasi China (China General Nuclear Power Corp Ltd) dan syarikat gergasi Qatar (Nebras Power QSC) akan diumumkan sebagai pembida yang berjaya dalam tempoh seminggu ini,” katanya dalam kenyataan media pada Jumaat.

Rafizi berkata, membatalkan had pegangan ekuiti asing demi menyelamatkan 1MDB akan membawa kesan besar kepada kedaulatan negara dan kebajikan rakyat.

Katanya, tindakan itu juga bakal memberi kesan kepada jumlah rakyat Malaysia yang terbabit dalam sektor tenaga yang dianggarkan seramai 40,000 orang.

“Syarikat-syarikat gergasi dari China mempunyai struktur kos yang berbeza dan lebih murah kerana mereka akan menggunakan sepenuhnya perkhidmatan, tenaga kerja, kontraktor dan pembekal dari China,” katanya.

Rafizi berkata, dia dimaklumkan keseluruhan tenaga kerja Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengadakan solat hajat pada Jumaat di seluruh negara ekoran perkembangan yang membimbangkan itu.


Tidak mengaku salah lakukan penerbitan menghasut kes liwat Anwar Ibrahim


Tidak mengaku salah lakukan penerbitan menghasut kes liwat Anwar Ibrahim
Tertuduh telah melakukan kesalahan dengan menggunakan aplikasi internet untuk memulakan penghantaran komen dengan niat mahu menyakitkan hati orang lain di Facebook

Seorang aktivis pembangkang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas tuduhan membuat penerbitan berunsur menghasut berhubung keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes liwat kedua Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Lawrence Jayaraj Edwin John, 46, jurujual kereta terpakai, didakwa menerbitkan penerbitan itu di satu laman Facebook di pejabat Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Jabatan Siasatan Jenayah, Aras 2, Menara 2, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada jam 4.45 petang, 12 Februari lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bapa kepada tujuh orang anak itu juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pilihan iaitu menggunakan perkhidmatan aplikasi internet bagi membuat dan memulakan penghantaran komen dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain di Facebook pada tempat, masa dan tarikh yang sama.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan dan bagi kesalahan seterusnya, boleh dipenjara sehingga lima tahun.

Timbalan Pendakwa Raya, Suhaimi Ibrahim menawarkan jaminan sebanyak RM7,000 dengan dua orang penjamin atas alasan kesalahan yang dilakukan adalah serius dan jumlah jaminan itu memadai bagi memastikan tertuduh hadir ke mahkamah.

Ketika rayuan bagi mengurangkan hukuman, peguam Eric Paulsen yang mewakili Jayaraj memohon jumlah jaminan itu dikurangkan kepada RM2,000 kerana anak guamnya, yang mempunyai pendapatan RM900 sebulan, merupakan penanggung tunggal keluarga.

Hakim, Azman Ahmad membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan dua orang penjamin terdiri daripada waris terdekat. Isteri dan abang tertuduh membayar wang jaminan itu.

Mahkamah menetapkan 6 Januari tahun depan untuk sebutan kes bagi penyerahan dokumen.

Pada 10 Februari lepas, Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara lima tahun terhadap Anwar kerana meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 2008.

– Bernama

KDNK Malaysia terus meningkat pada suku ketiga


KDNK Malaysia terus meningkat pada suku ketiga
Permintaan domestik akan terus menjadi pemacu pertumbuhan disokong terutama daripada aktiviti sektor swasta

Pertumbuhan sederhana Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 4.7 peratus pada suku ketiga 2015 di Malaysia berbanding 2.9 peratus sebelum itu adalah dipacu oleh permintaan daripada sektor swasta.

Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz berkata, negara ini juga menyaksikan pertumbuhan sederhana dengan momentum pertumbuhan ekonomi yang mencapah.

“Ekonomi global berkembang pada kadar sederhana pada suku ketiga 2015. Di Asia, pertumbuhan disokong perkembangan berterusan permintaan domestik ketika prestasi eksport lemah,” katanya.

Zeti berkata demikian pada taklimat media mengenai prestasi KDNK suku ketiga di ibu negara.

Ekonomi Malaysia dijangka mencatat pertumbuhan stabil sekitar 4.5 hingga 5.5 peratus tahun ini dan 4.0 hingga 5.0 peratus pada 2016.

Menurut Zeti, permintaan domestik akan terus menjadi pemacu pertumbuhan disokong terutama aktiviti sektor swasta.

“Selain itu, kadar pertukaran yang fleksibel, pasaran kewangan yang lebih matang serta institusi kewangan yang mantap akan menyokong trend ini.

“Ia memastikan kejutan seperti aliran modal yang turun naik disalurkan dengan baik, dengan itu meminimumkan limpahan kepada ekonomi sebenar,” kata Zeti.

Pada suku ketiga, penggunaan swasta berkembang pada kadar lebih sederhana 4.1 peratus berbanding 6.4 peratus pada suku kedua, ketika isi rumah terus menyesuaikan diri dengan pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan.

Sementara itu, inflasi dijangka terus tumbuh kepada kira-kira 4.0 hingga 5.0 peratus dan dijangka memuncak pada suku pertama 2016 dan sederhana selepas itu.

Untuk suku ketiga, inflasi berada pada 3.0 peratus.

Syor Majlis Penasihat PM bercanggah dengan Perlembagaan


Syor Majlis Penasihat PM bercanggah dengan Perlembagaan
Najib membidas cadangan untuk mewujudkan sebuah badan khusus bagi menasihat Perdana Menteri

Penubuhan badan yang menyelia dan menasihat Perdana Menteri yang dipilih rakyat bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak berkata, cadangan itu juga menyalahi prinsip demokrasi yang dilaksanakan di negara ini.

Tegasnya, Malaysia sebuah negara demokrasi di mana pemimpin dalam badan Eksekutif dipilih menerusi pemilihan parti dan pada pilihan raya umum.

“Mereka menerima mandat untuk menjadi pemimpin dan memegang jawatan dalam kerajaan untuk berkhidmat kepada rakyat dan negara. Mereka yang dipilih bertanggungjawab kepada rakyat kerana rakyat yang memilih mereka,” katanya yang dipetik daripada rakaman audio di laman blog, najibrazak.com.

Katanya lagi, selaku pemimpin beliau akan mempertahankan Rukun Negara ketiga dengan bidang kuasa yang diberikan kepadanya.

Menurut laporan yang dipetik daripada portal BNBBC, Najib memberikan reaksi itu ekoran kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad yang merancang mahu menubuhkan sebuah badan untuk menasihat Perdana Menteri.

Amanah akui gagal di Kelantan


Amanah akui gagal di Kelantan
Senario itu bagaimanapun tidak membimbangkan asalkan rakyat Kelantan masih menyokong Pas dan tidak berpaling kepada UMNO.

Parti Amanah Negara (Amanah) mengakui pendekatan yang digunakan di Kelantan masih gagal menarik minat rakyat negeri itu untuk menyertai parti berkenaan.

Ahli Jawatankuasa Kerja Amanah, Saari Sungib berkata, rakyat Kelantan hanya mempercayai dua parti sahaja iaitu Pas dan UMNO.

“Setakat ini Amanah di Kelantan tidak berapa berkesan sangat berbanding di Selangor, Perak dan Negeri Sembilan dari segi sokongan.

“Orang Kelantan mentaliti dia hanya (sokong) UMNO atau Pas,” Katanya di lobi Dewan Negeri Selangor pada Jumaat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Klang itu bagaimanapun berkata, senario itu tidak membimbangkan asalkan rakyat Kelantan masih menyokong Pas dan menolak UMNO.

Katanya, Amanah memasuki Kelantan hanya sebagai persediaan bagi menggantikan Pas sekiranya rakyat Kelantan tidak lagi menyokong parti Islam itu.

“Amanah hanya bersedia jika gelombang penolakkan kepada Pas kerana tidak bersama Pakatan Harapan berlaku di Kelantan. Kita bimbang rakyat akan protes dengan memberi undi kepada UMNO.
“Kalau Pas boleh diterima lagi kita alu-alukan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Saari berkata, dia kagum dengan bekas Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa sekiranya masih bertahan bersama Pas, walaupun didesak Dewan Ulama supaya meninggalkan Pas dan menyertai Amanah.

“Saya kagum kalau beliau boleh bertahan,” katanya.

Khalid Samad guna pendekatan berpolitik tidak matang


Khalid Samad guna pendekatan berpolitik tidak matang
Langkah Khalid yang membuat teguran terhadap kerajaan Selangor dengan mengguna istilah `perempuan simpanan' hanya menunjukkan kelemahannya dalam berfikir.

Sikap Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Samad yang menggunakan istilah `perempuan simpanan’ untuk menegur kerajaan Selangor dianggap sebagai satu cara berpolitik kebudakan-budakan dan tidak matang.

Naib Presiden Pas, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, Khalid tidak menunjukkan kematangannya apabila menggunakan istilah itu untuk membuat teguran terhadap kerajaan negeri.

Beliau berkata, seteruk mana sekalipun berpolitik, istilah seperti itu tidak wajar digunakan kerana ia hanya akan membuka kelemahan tentang cara bagaimana individu berkenaan berfikir.

“Saya tak perlu komen mengenai perkara itu kerana saya nak ucap perkataan tersebut pun saya tidak tergamak.

“Jadi ia bermakna bahawa seteruk mana kita dalam politik pun tak perlulah guna istilah-istilah sedemikian sebab ia menunjukkan dari segi kematangan politik kita,” katanya.

Iskandar berkata demikian mengulas laporan sebuah portal berita baru-baru ini apabila melaporkan Khalid menegur Selangor supaya jangan ada wanita simpanan dalam pentadbiran negeri baru-baru ini.

Tambah Pesuruhjaya Pas Selangor itu lagi, pihaknya tidak pernah mengadakan perbincangan dengan DAP berhubung isu kerusi DUN yang akan ditandingi dalam pilihan raya akan datang.

Jelasnya, kenyataan Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua bahawa parti berkenaan mungkin akan bertanding di DUN Taman Templer, Lembah Jaya, Paya Jeras, Sri Serdang, Meru, Cempaka, Dusun Tua dan Tanjung Sepat itu bukanlah dengan persetujuan dengan parti Islam berkenaan.

“Pas Selangor tidak ada sebarang perbincangan kerusi dengan DAP.

“Setakat ini ia tidak ada perbincangan dan kita tetap akan mempertahankan kerusi kita,” ujarnya.

Surat pelantikan pemaju TRX, Bandar Malaysia, palsu


Surat pelantikan pemaju TRX, Bandar Malaysia, palsu
Khidmat Runding Jatipadu tidak diberi kuasa oleh 1Malaysia Development Bhd atau kerajaan untuk bertindak sebagai pengurus projek bagi pembangunan Bandar Malaysia dan TRX.

1MDB Real Estate Sdn Bhd (1MDB RE) mendedahkan surat Khidmat Runding Jatipadu untuk tawaran pelantikan sebagai pemaju bersama atau perunding bagi projek Tun Razak Exchange (TRX) adalah palsu.

Menurut pemaju utama projek, 1MDB RE, Khidmat Runding Jatipadu tidak diberi kuasa oleh 1Malaysia Development Bhd atau kerajaan untuk bertindak sebagai pengurus projek bagi pembangunan Bandar Malaysia dan TRX.

“Kedua-dua projek pembangunan strategik negara hanya diuruskan oleh syarikat kami.

“Pembangunan TRX pada masa ini tidak mencari pemaju bersama atau perunding. Surat tawaran tersebut adalah palsu. Kami menggesa syarikat memeriksa mana-mana
notis sedemikian dengan maklumat yang ada di www.1mdb.com.my atau www.bandarmalaysia.my,” petik kenyataan itu, lapor Bernama.

1MDB RE juga menambah, ia hanya membenarkan CH Williams Talhar dan Wong mendekati pihak ketiga untuk cadangan, berkaitan dengan Bandar Malaysia.

Husam dedah Pas desak tukar Khalid Ibrahim


Husam dedah Pas desak tukar Khalid Ibrahim
Pas terpaksa membuat desakan itu untuk memastikan Pakatan Rakyat terus berkuasa di Selangor kerana jika kalah peluang untuk menang semula amat tipis.

Datuk Husam Musa mendedahkan Pas bertanggungjawab mendesak supaya Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ditukar sebagai Menteri Besar Selangor untuk digantikan dengan pemimpin lain.

Bekas Naib Presiden Pas membuat pendedahan itu menerusi satu rakaman video ceramahnya yang diviralkan dan dikongsi di Facebook.

Beliau mendakwa, pemimpin Pas menghantar surat kepada PKR meminta supaya Khalid ditukarkan dengan alasan beliau tidak mendengar arahan parti.

Katanya, Pas bimbang jika Khalid terus kekal, perkara sama yang yang berlaku di Kedah akan berulang semula.

Husam bagaimanapun tidak menyebut siapakan pemimpin Pas yang membuat desakan supaya Khalid ditukar.

“Ini mustahak dari segi rekod supaya kita tidak fitnah sewenang-wenangnya kepada mereka (PKR dan DAP). Bukan kita nak membela mereka tetapi sebagai orang Islam, kita diseru berlaku adil kepada kawan dan lawan.

“Kita (Pas) tulis surat kepada PKR minta Khalid ditukar. Bukan kerana dia rasuah tetapi kerana dia tidak dengar pandangan-pandangan parti yang diberi melalu majlis (Majlis Presiden),” katanya.

Katanya, selepas beberapa kali Pas membuat desakan supaya Khalid ditukarkan, akhirnya PKR membawa perkara itu dalam Mesyuarat Biro Politik.

Katanya, ketika itu belum timbul siapa bakal menggantikan Khalid sebagai Menteri Besar Selangor.
Husam menegaskan, Pas terpaksa membuat desakan itu untuk memastikan Pakatan Rakyat terus berkuasa di Selangor kerana jika kalah peluang untuk menang semula amat tipis.

“Nak rampas balik (Selangor) wallahualam, mungkin sepenggal, dua penggal, tiga penggal, empat penggal, lima penggal atau tak dapat balik, sampai kita mati,” katanya.

Beliau berkata, menukar Menteri Besar bukan menjadi kesalahan kerana jawatan itu bukan untuk dipegang sampai mati.

Pimpinan Pas sebeum ini menyalahkan PKR dan DAP kerana menukar Menteri Besar Selangor yang menjadi punca keretakan hubungan dalam Pakatan Rakyat.

Malah, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilapor menyalahkan DAP yang didakwa mengkhianati janji sehingga terkuburnya Pakatan Rakyat.


Parlimen didesak tarik balik sekatan bilangan petugas media


Parlimen didesak tarik balik sekatan bilangan petugas media
Sekatan hanya tiga wartawan dibenarkan masuk, termasuk jurugambar atau juruvideo untuk membuat liputan sidang Parlimen bermula 16 November ini mempunyai kesan negatif ke atas semua organisasi berita.

Pengamal media menggesa menteri yang menjaga hal ehwal Parlimen, Datuk Seri Azalina Othman dan Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia agar menarik balik sekatan mengehadkan bilangan wakil media yang membuat liputan di persidangan Dewan Rakyat.

Pengamal media yang terdiri daripada Gerakan Media Marah (Geramm), Institut Wartawan Malaysia, Pusat Kewartawanan Bebas Malaysia (CIJ), Kelab Wartawan Asing Malaysia (FCCM), Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJM) dan Akhbar Persatuan Jurufoto Malaysia ( MPPA) menyifatkan sekatan itu sebagai satu percubaan untuk mengehadkan liputan Parlimen dan menyekat kebebasan akhbar.

“Sekatan hanya tiga wartawan dibenarkan masuk, termasuk jurugambar atau juruvideo untuk membuat liputan sidang Parlimen bermula 16 November ini mempunyai kesan negatif ke atas semua organisasi berita.

“Oleh itu, selain menarik balik sekatan, pihak berkenaan juga harus memastikan pengamal media dapat membuat liputan persidangan Parlimen dengan sebaiknya di samping mengambil kira keperluan sepanjang sesi pengubahsuaian jangka panjang,” petik kata kenyataan media yang dikeluarkan oleh persatuan media tersebut.

Dalam pada itu, persatuan media itu juga menekankan bahawa agensi media milik kerajaan seperti RTM dan Bernama adalah organisasi yang membawa masuk pasukan petugas media yang paling ramai untuk menjalankan liputan secara langsung.

“Sekiranya peraturan ini tidak terpakai kepada pertubuhan media tertentu, maka kami mengandaikan intitusi Parlimen yang merupakan asas kepada demokrasi tidak mengamalkan keadilan dan kebebasan kepada semua media,” tambahnya.

Pada Rabu, Jabatan Komunikasi Korporat Parlimen mengeluarkan satu kenyataan menyekat kemasukan petugas media di Parlimen atas sebab kekangan ruang yang kritikal ekoran kerja-kerja menaiktaraf kepada Parlimen yang dijangka siap pada 2018.


Menteri didakwa salah guna wang YaPEIM


Menteri didakwa salah guna wang YaPEIM
Beliau didakwa menggunakan wang anak yatim dan miskin itu untuk perjalanan ke luar negara bersama isteri, bermain golf dan lawatan ke pusat membeli-belah.

National Oversight and Whistleblowers (NOW) mendedahkan seorang menteri di Jabatan Perdana Menteri telah menggunakan wang berjumlah RM410,978.56 daripada Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM).

Pengarahnya, Akmal Nasir berkata, Jamil dan isterinya telah menggunakan wang anak yatim dan miskin untuk membiayai perjalanan ke luar negara bersama isteri, bermain golf dan lawatan ke pusat membeli-belah.

“Menteri terbabit dan isteri serta seorang lagi individu telah mengikuti rombongan ke Amerika Syarikat pada 21 Mei 2014 sehingga 29 Mei 2014,” katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat NOW, pada Jumaat.

Jelasnya, menteri terbabit serta rombongan telah melawat bandar Washington DC, Minnesota dan Iowa.

“Dikatakan perjalanan itu untuk tujuan ‘Pemantapan dan Pemerkasaan Kelab Santun YaPEIM, tetapi perbelanjaan yang dibayar YaPEIM adalah bersifat bersuka-ria dan langsung tiada unsur amal jariah,” ujarnya lagi.

Mengulas lanjut, Akmal menyatakan beliau yakin pendedahan ini menjangkau imiginasi rakyat Malaysia dan tindakan menteri itu telah melangkaui batas serta mengkhianati agama, bangsa dan negara.

“Bagaimana yayasan berkaitan Islam yang terletak di bawah Perdana Menteri boleh disalah gunakan untuk aktiviti-aktiviti menteri,” katanya.

Justeru, Akmal menggesa jika menteri terbabit masih mempunyai maruah, beliau sewajarnya meletak jawatan dengan serta-merta dan tampil memohon maaf secara terbuka kepada rakyat Malaysia.

“NOW juga menggesa menteri itu dan pemimpin wanita UMNO Kelantan, serta keluarganya dan presiden yayasan itu memulangkan kembali setiap sen yang diambil daripada YaPEIM termasuk gaji, elaun dan juga perbelanjaan ke luar negara.

“Kita doakan agar mereka akur dengan kesilapan mereka dan berharap YaPEIM dirombak agar setiap wang yang diagihkan kepada mereka yang benar-benar susah dan turut melaporkan kemajuan agihan secara berkala dan terbuka,” ujarnya lagi.

Antara bayaran yang dibuat oleh YaPEIM adalah sebanyak RM274,493.10 untuk kos penerbangan pergi dan balik menteri terbabit dan isterinya ke Amerika Syarikat.

Selain, majlis keraian menteri termasuk bermain golf berjumlah RM1,658.96 dan sebanyak RM3,200.72 digunakan untuk cenderahati menteri.


Rasis: Apple mohon maaf


Rasis: Apple mohon maaf
Ia dibuat selepas seorang pengawal di premis yang menjual jenama itu menghalau sekumpulan pelajar kulit hitam

Apple memohon maaf kepada enam pelajar sekolah kulit hitam selepas mereka diarahkan keluar di salah sebuah kedai yang menjual jenama itu di Australia.

Ia dibuat selepas pengawal keselamatan membuat kenyataan berbaur perkauman ke atas pelajar berkenaan.

Dia juga berpandangan serong kononnya kehadiran mereka akan menyebabkan kehilangan barang.

Rakaman audio visual dalam kejadian yang berlaku di sebuah pusat membeli belah dekat Melbourne Highpoint kemudian dimuat naik di laman sosial dan mencetuskan kemarahan orang ramai.

Susulan insiden yang berlaku pengurus kedai berkenaan memohon maaf kepada semua pelajar dan guru besar mereka.

“ Kami percaya hak sama rata kepada semua orang tanpa batasan bangsa, usia, jantina, identity, agama dan kecenderungan seks,” petik kenyataan yang dikeluarkan Apple yang kemudian dipetik BBC Online.

Mengulas mengenainya, salah seorang mangsa, menyambut baik permohonan maaf yang dibuat Apple.

“Mereka telah memohon maaf, kami terima, tidak perlu tindakan selanjutnya,” tulis Mohamed Semra di Facebook.



Tiga aktivis pembangkang diarah bela diri


Tiga aktivis pembangkang diarah bela diri
Hakim membuat keputusan itu selepas berpuas hati terhadap bukti prima facie oleh pihak pendakwaan

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Jumaat mengarahkan tiga aktivis pro pembangkang supaya membela diri terhadap pertuduhan kerana merusuh dan menyertai perhimpunan haram.

Ketiga-tiga mereka adalah bekas Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Rembau, Badrul Hisham Shahrin atau Chegubard; Pengarah Eksekutif Lensa Anak Muda Malaysia (Lensa), Muhammad Safwan Anang dan Adam Adli.

Mereka dituduh melakukan perkara itu di jalan masuk bangunan Parlimen, dua tahun lepas.

Hakim, Abdul Rashid Daud memutuskan demikian setelah berpuas hati dengan pihak pendakwaan kerana berjaya membuktikan prima facie terhadap ketiga-tiga individu terbabit.

Dalam perkembangan sama, seramai 10 yang lain turut dituduh kerana merusuh manakala 14 lagi diarah supaya membela diri terhadap tuduhan menyertai perhimpunan haram itu.


Isu SRC: Lagi ‘wayang politik” Najib – Pas


Isu SRC: Lagi ‘wayang politik” Najib – Pas
Perdana Menteri dikatakan tidak serius berhubung siasatan dana derma RM2.6 bilion dan SRC International kerana sehingga kini dua saksi penting belum dipanggil.

Keputusan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk bersetuju diambil keterangan berhubung dana derma RM2.6 bilion dan SRC International daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekadar ‘wayang politik’.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mempersoalkan kenyataan itu kerana sehingga kini dua saksi penting iaitu Pengarah Urusan SRC International, Nik Faisal Arif Kamil dan Pengarah SRC International Sdn Bhd, Datuk Suboh Md Yasin masih belum dipanggil untuk disiasat SPRM.

Katanya, jika serius Najib sepatutnya membenarkan dua saksi itu disiasat kerana mempunyai kuasa untuk berbuat demikian.

“Jika Najib berminat untuk mendedahkan segala ‘kebenaran’, Pas menyarankan agar Perdana Menteri menggunakan segala kuasa yang ada untuk mengarahkan Nik Faisal dan Suboh Md Yasin untuk kembali ke Malaysia untuk disoalsiasat oleh SPRM.

“Jika ini semua tidak berlaku, maka kemungkinan besar ini semua hanyalah wayang politik seperti laungan Najib untuk menyaman Wall Street Journal (WSJ) yang tidak terjadi sehingga hari ini,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Tuan Ibrahim turut mempersoalkan tindakan Najib yang tidak membantah walaupun SRC tidak mematuhi arahannya di Parlimen pada 22 Oktober lalu supaya SPRM menyiasat dua saksi penting itu terlebih dahulu.

Sebaliknya Perdana Menteri membenarkan SRC menggesa agar peguam negara menyiasat pihak yang bertanggungjawab terhadap kes itu sebelum ia bekerjasama dengan SPRM.

“Ini dilihat seolah-olah ingin melanggar ‘arahan’ Najib di Parlimen.

“Masalahnya, Najib tidak menyuarakan bantahannya. Apakah ini bermaksud Najib turut bersetuju dengan syarat SRC International? Jika ya, apakah ini juga syarat Najib yang bakal dikemukakan sebelum memberi keterangan penuh kepada SPRM?,” ujarnya.

Adnan Yaakob nafi pembalakan punca banjir lumpur


Adnan Yaakob nafi pembalakan punca banjir lumpur
Syarikat konsesi lebuh raya, Anih Berhad pula mengaitkan sampah sarap, kayu balak dan batu-batuan yang dihanyutkan dalam kejadian sebagai bukti wujudnya 'aktiviti' tertentu di luar kawasan penyelenggaraannya.

Kejadian banjir lumpur di Kilometer 52.5 Lebuhraya Kuala Lumpur – Karak pada Rabu hanya bencana alam biasa dan bukan berpunca daripada kegiatan pembalakan.

Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob menafikan kegiatan pembalakan di kawasan Hutan Simpan Kekal Lentang sebagai punca kejadian berdasarkan imej udara yang dirakam Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Kawasan pembalakan paling hampir terletak kira-kira 1.2 kilometer dari lokasi kejadian.

“Aktiviti itu bagi projek menara talian elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB), tetapi itu pun sudah dihentikan empat bulan lalu selepas mendapat bantahan penduduk,” katanya dalam sidang akhbar mempengerusikan mesyuarat jawatan kuasa pelaksanaan dan penyelarasan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) negeri, lapor Utusan Malaysia.

Sebaliknya, Bernama melapor, syarikat konsesi lebuh raya tersebut, Anih Berhad mengaitkan sampah sarap, kayu balak dan batu-batuan yang dihanyutkan dalam kejadian itu berhampiran Hutan Lipur Lentang sebagai bukti wujudnya ‘aktiviti’ tertentu di luar kawasan penyelenggaraannya menyebabkan berlakunya limpahan air.

Manakala Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) juga menyifatkan kegiatan pembalakan tidak terkawal di kawasan Hutan Lipur Lentang sebagai punca utama kejadian banjir lumpur.

Dalam pada itu, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof menegaskan punca kejadian dan keputusannya akan diketahui selewat-lewatnya dalam tempoh dua minggu lagi.

“Ia akan dimaklumkan selepas pakar-pakar yang berkaitan selesai membuat kajian terperinci berhubung insiden itu,” katanya.

Laluan alternatif KL-Bentong dibuka


Laluan alternatif KL-Bentong dibuka
Ia membabitkan Jalan Persekutuan lama, dibuka dari jam 7 pagi hingga ke 6 petang dan hanya kepada kenderaan ringan

Laluan alternatif yang menghubungkan Kuala Lumpur dengan Bentong dibuka pada jam 11 pagi Jumaat.

Dalam kenyataannya, Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR) memaklumkan, ia hanya dibuka pada waktu siang sahaja iaitu daripada jam 7 pagi hingga 6 petang.

“Laluan alternatif akan mula dibuka mulai jam 11 pagi pada 13 November 2015 (Jumaat) iaitu daripada Bentong ke Kuala Lumpur dengan menggunakan jalan lama Persekutuan FT068 (KL-Bentong) di mana kenderaan daripada Plaza Tol Bentong perlu melalui jalan Persekutuan FT068 ini untuk menuju ke Kuala Lumpur.

“Kenderaan dari Kuala Lumpur pula perlu melalui jalan Gombak menuju ke jalan Bentong lama (FT068),” petik kenyataan itu.

Bagaimanapun kebenaran itu hanya membabitkan kenderaan ringan dan bagi kenderaan berat ia perlu melalui laluan alternatif yang lain.

Menurut JKR, laluan alternatif utama yang boleh digunakan bagi kedua-dua belah arah iaitu dari KL-Karak-Kuantan dan sebaliknya adalah melalui dua pilihan iaitu Pelangai(FT09)-Batu Kikir (FT09)- Seremban (FT51)- Kuala Lumpur.

“Manakala pilihan kedua ialah Pelangai (FT09)- Simpang Pertang (FT086) – Kuala Klawang (FT086)- Seremban (FT51) – Kuala Lumpur,” katanya.

Ia juga mengingatkan pengguna jalan FT068 untuk mematuhi papan tanda keselamatan dan berhati-hati dilaluan yang diselaputi lumpur yang berkemungkinan licin disebabkan musim hujan.

Najib peduli apa dengan perasaan Melayu-Zam


Najib peduli apa dengan perasaan Melayu-Zam
Bekas Menteri Penerangan itu menyifatkan kenyataan Najib berhubung istilah pendatang untuk mencari populariti

Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak akan mengeluarkan apa sahaja kenyataan bagi menyukakan hati bukan Melayu. 

Bahkan motifnya lebih dilihat kepada usaha mencari populariti.

Bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin berkata, ia dilakukan kerana beliau tahu dirinya tidak lagi mendapat sokongan orang Melayu.

Kenyataan itu merujuk kepada pendirian Najib mengenai istilah pendatang selepas penggunaannya ia menimbulkan rasa kurang senang di kalangan kaum India.

“Dekat Cina, Najib janjikan tak hapus aliran Cina, di depan India dia ingatkan Melayu henti panggil pendatang. Dia peduli apa perasaan Melayu,” tulisnya di zamkata.blogspot.com.

Jelasnya, mana-mana kaum di negara ini tidak dianggap sebagai pendatang sekiranya mereka boleh menguasai bahasa Melayu.

Bagaimanapun, tulis Zainuddin usaha dipandang sepi kaum berkenaan yang berterusan cuba mengagungkan bahasa Inggeris dengan menjadikan bahasa pengantar dalam sistem pendidikan negara.

“Kalaulah orang Cina faseh berbahasa Melayu seperti orang India, orang Cina tak akan diingat sebagai pendatang.Sebabnya kebenyakan anak orang India ke Aliran Kebangsaan sejak sekolah rendah,” komennya.

Guan Eng tuding jari untuk tutup kelemahan sendiri


Guan Eng tuding jari untuk tutup kelemahan sendiri
Guan Eng didakwa sering menyalahkan Barisan Nasional dalam isu menambak laut di Pulau Pinang

Sikap suka menyalahkan Barisan Nasional (BN) yang merupakan kerajaan terdahulu di Pulau Pinang menjadikan Ketua Menteri negeri Pulau Mutiara, Lim Guan Eng tidak pernah senang duduk.

Perkara itu dinyatakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Betong, Muhammad Farid Saad apabila memberitahu, Guan Eng turut cuba untuk menutup perbuatannya terutama dalam isu tebus guna tanah.

Katanya, perkara itu dilihat jelas apabila kerajaan negeri kini menuding jari kepada kerajaan terdahulu berhubung isu berkenaan.

“Beliau sering menyalahkan BN apabila mengeluarkan kenyataan bahawa BN lebih banyak menambak laut sepanjang 50 tahun memerintah Pulau Pinang. Ingin saya nyatakan disini, projek penambakan yang diluluskan BN telah memberi manfaat kepada rakyat.

“Ketua Menteri sekali lagi dengan mudah menyalahkan pentadbiran negeri sebelum ini (BN) dengan mendakwa BN lebih banyak tambak laut.

“Apa yang saya lihat, Guan Eng seolah-olah tidak boleh hidup tanpa menyalahkan pentadbiran sebelum ini, sedangkan beliau sudah berkuasa lebih daripada tujuh tahun di sini,” katanya yang dipetik dari Sinar Harian Online.

Muhammad Farid berkata demikian ketika mengulas kenyataan Guan Eng yang mendakwa hanya 24.3 hektar kawasan tambak laut yang diluluskan kerajaan negeri Pakatan Harapan sepanjang lapan tahun memerintah.

Guan Eng berkata, ia berbeza berbanding kerajaan negeri BN yang meluluskan 1,311 hektar tanah untuk tambakan laut sepanjang 50 tahun parti itu memerintah negeri ini.

Katanya lagi, 24.3 hektar ekar tanah kawasan tambak laut itu diluluskan untuk dua projek pembangunan bercampur termasuk pembinaan Velodrom pertama di Pulau Pinang.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Rujukan