Cari Artikel

Saturday, November 7, 2015

DAP minta tukar nama perkampungan Melayu kepada nama Cina


DAP minta tukar nama perkampungan Melayu kepada nama Cina
Permintaan itu dibuat memandangkan kebanyakan penghuni Kampung Bagan Nakhoda Omar terdiri daripada orang Cina

DAP Selangor mempersoalkan kelewatan kerajaan negeri menukar nama perkampungan Bagan Nakhoda Omar kepada nama Cina.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan, Ng Suee Lim berkata selain mengambil kira penghuninya yang terdiri 100 peratus penduduk Cina, penukaran itu dibuat bagi mengelak mereka memperingati Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Noh Omar.

“Omar tak payah, sebab kita akan ingat Noh Omar. Macam Nakhoda Noh Omar. Tak elok. Itu pemimpin politik yang rakyat tidak suka. Jadi, Bagan Nakhoda Omar kita tukarkan Nakhoda Chong. Itu lebih baiklah,” katanya sambil berseloroh di Sidang Dewan Undangan Negeri.

Sementara itu, Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali berkata, kerajaan negeri akan melakukan semakan sebelum melakukan sebarang tindakan.

“Kita boleh laksanakan soal tanah rizab Melayu seperti sedia maklum kita boleh batalkan dan mengantikan tapak lain,” katanya.


Arul Kanda cari helah elak debat – Rafizi


Arul Kanda cari helah elak debat – Rafizi
Dia mendakwa Arul Kanda berselindung di sebalik kenyataan Speaker Dewan Rakyat untuk mengelak debat 1MDB diteruskan.

Pengarah Eksekutif Kumpulan dan Presiden, 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda tidak seharusnya berselindung di sebalik kenyataan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli menjelaskan kontroversi 1MDB merupakan isu nasional dan tidak wajar Arul mengelak daripada berbahas mengenainya.

“Untuk Arul cuba mengambil helah apabila berselindung dan hanya sudi berbahas dengan Tony Pua adalah satu tindakan yang tidak tepat.

“Isu 1MDB ini bukan isu peribadi antara Tony Pua dan Arul Kanda sahaja, ia melibatkan rakyat. Arul harus jawab isu ini dan apabila tidak, ia menunjukkan beliau seorang yang tidak profesional,” katanya dalam sidang media di Parlimen pada Khamis.

Jelas Naib Presiden PKR itu lagi, dia dan Tony Pua telah mempersoalkan isu 1MDB ini sejak enam tahun lalu dan menjadi tanggungjawab Arul untuk menjawab.

“Paling kurang, berani sikitlah menjawab. Kalau tidak sia-sia rakyat bayar gaji berpuluh ribu,” katanya lagi.

Arul sebelum menerusi kenyataan media berkata, dia tidak akan berdebat dengan Rafizi bagi menghormati keputusan Yang Dipertua Dewan bahawa sebarang debat harus berlangsung selepas pendengaran Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

Mengulas mengenai perkara itu, Rafizi menjelaskan Arul Kanda telah menyalah tafsir kenyataan yang dibuat oleh Pandikar Amin.

“Dia hanya mereka-reka cerita, dan disebabkan itu Tony Pua telah bertanyakan soalan yang khusus sekiranya beliau ditukarkan, adakah akan menjejaskan siasatan PAC dan jawapan yang diberikan Speaker adalah beliau tidak boleh menghalangnya,” kataya lagi.

Sementara itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak berkata, beliau tiada masalah dengan kenyataan Arul untuk tidak meneruskan debat itu.

“Terserah kepada Arul.” katanya kepada FMT.


Isu vape: Facebook Kementerian Kesihatan ‘diserang’



Laman rasmi Kementerian Kesihatan yang menyiarkan rakaman penerangan mengenai isu pengharaman vape ‘diserang’ pengguna laman sosial gara-gara tidak puas hati dengan keputusan kementerian untuk merampas cecair perasa yang mengandungi nikotin.

Rata-rata mereka tidak boleh menerima kewajaran kementerian bertindak sedemikian kerana masih belum terbukti rokok elektronik dan vape memberi kesan kepada kesihatan.

Mengikut istilah Kementerian Kesihatan, peranti elektronik yang mengandungi nikotin dikenali rokok elektronik (eCig) manakala tiada nikotin dipanggil vape.
Isu vape: Facebook Kementerian Kesihatan ‘diserang’
Pengguna laman sosial meluahkan tidak puas hati dan mahu tindakan sama diambil terhadap penjualan rokok yang lebih bahaya.

Mereka mempersoalkan mengapa kerajaan tidak mengharamkan penjualan rokok yang sudah terbukti berbahaya kepada kesihatan.

“Sejak bila rokok amek masa 100 tahun baru menyebabkan kanser?perokok-perokok ni ada yang sampai 100 tahun ke ko tengok?

“Then ko kata vape benda baru dan tak pasti akibatnya dan cuma khuatiri mendatangkan kemudaratan, Kaji dulu baru ban..andai akibatnya mendatangkan kebaikan kan ke rugi banned vape ni?

“Rokok katanya dah wujud beratus tahun dan mmg dh dikenali kemudaratannya, ban terus la pegi jual buat ape? tapi KKM xbole ban sbb political issue..see!!tu sume nak duiittt,” tulis Muhammad Amirul Rejab Zakaria yang mendapat lebih 200 likes.

Ada juga pengguna laman sosial yang mengaitkan penjualan arak yang sememangnya diharamkan Islam dan tidak baik untuk kesihatan.

“Tolong haramkan arak dan rokok dahulu, baru haramkan vape.. Arak dah terang-terang haram dlm Islam, tp kenapa Malaysia masih menghalalkan pengeluaran dan penjualan arak di malaysia?? Bukankan Malaysia negara Islam?? Atau Islam atas nama sahaja?? Arak lebih teruk kesan negatifnya daripada Vape.. Haramkan arak dan rokok.. Hentikan kilang arak di Shah Alam..,” tulis Sulaiman Arbain yang menerima lebih 100 likes.

“Kerajaan haramkan vape sebab dia takut org tak nak beli rokok. Rokok ada cukai tinggi. Vape mana ada cukai. Diorang mana pikir psl kesihata rakyat sangat. Kalau diorg pikir dh lama rokok diharamkan. Nk dibandingkan rokok dgn vape, rokok ada lebih 4000 bahan kimia. Vape ada satu je bahan iaitu nikotin. Nikotin hanya menyebabkan ketagihan. So ni semua psl duit diorg je,” komen Aliff Illias.

Bagi netizen yang menyokong tindakan Kementerian Kesihatan itu, mereka berpendapat tindakan mengikut Akta Racun merupakan keputusan tepat kerana penggunaan vape semakin berleluasa termasuk dalam kalangan pelajar sekolah.

“Banyak sungguh komen tak bijak di sini. Komen ikut nafsu. KKM nak mencegah kemudaratan pun ramai yang melawan. Fikir pakai lutut ni lah jadinya,” tulis Taufiq Jailani.

“Sebagai seorang pegawai akademik ..saye menyokong KKM dan percaya bahawa rokok n vape bukan aspirasi anak muda..kita mesti menyediakan pimpinan masa depan yg bebas dpd jajahan pemikiran vape n rokok..Say No to vape,” tulis Wafa Husna Md Zin.


ADUN DAP pertahan Pas


ADUN DAP pertahan Pas
Tiada sebab untuk mana-mana parti keluar daripada kerajaan Selangor kerana ketiga-tiganya terikat dengan manifesto PRU13.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP mempertahan Pas supaya kekal dalam kerajaan negeri Selangor.

Wakilnya, Datuk Teng Chang Khim berkata permintaan supaya parti Islam itu disingkirkan dari kerajaan negeri bukan isu yang besar kerana kenyataan itu tidak mewakili pimpinan DAP Pusat.

“Itu pandangan perwakilan dan tidak mencerminkan pandangan kepimpinan pusat dan kepimpinan DAP Selangor,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Dewan Negeri Selangor pada Khamis.

Chang Khim menambah tidak ada sebab untuk Pas disingkirkan daripada kerajaan Selangor kerana ketiga-tiga parti (Pas, DAP, PKR) terikat dengan manifesto dan janji (Pakatan Rakyat) pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

“Semua pihak perlu matang dalam berpolitik menggunakan pendekatan pragmatik.

“Sekarang, mandat itu masih dengan kita, melainkan kita mahu bertindak secara tidak bertanggungjawab dengan membubarkan dewan.

“Saya yakin, rakyat juga tidak berhasrat untuk melihat dewan ini dibubarkan,” katanya.

Mengulas lanjut, Chang Khim juga mengesahkan pentadbiran kerajaan Selangor gabungan Pas, DAP dan PKR ketika ini masih dalam keadaan baik, malah keadaan politik negeri juga stabil.


Rokok elektrik mungkin kena cukai eksais


Rokok elektrik mungkin kena cukai eksais
Kerajaan melihat dari sudut undang-undang sebelum cukai eksais dikenakan ke atas rokok elektrik

Kementerian Kesihatan sedang mengkaji keperluan untuk mengenakan cukai eksais terhadap rokok elektronik termasuk vape.

Ia bagi menghalang tabiat itu daripada menjadi budaya dalam kalangan rakyat Malaysia.

Menterinya, Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, kajian terhadap keperluan itu disebabkan perisa yang terkandung dalam cecair rokok elektronik mempunyai nikotin yang juga bahan terkawal.

“Kalau e-cigarette (e-rokok) yang mempunyai nikotin, kami mempunyai kuasa di bawah undang-undang untuk memberi layanan kepada e-cigarette sama macam rokok, bermakna kalau rokok dikenakan cukai eksais, e-cigarette pun kena cukai eksais, tapi itu kami sedang kaji dari segi undang-undang.

“Nikotin ialah bahan terkawal di bawah Akta Racun 1952. Sesiapa yang menjual nikotin perlu memohon permit daripada biro farmasi, jadi jika tiada permit ia adalah satu kesalahan dan boleh diambil tindakan,” katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen.

Dr Subramaniam berkata, perkara itu juga bagi menghalang budaya vape menggantikan budaya menghisap rokok selepas kementerian ‘berperang’ berpuluh tahun untuk menangani isu merokok.

“Dalam masa hanya setahun, pengguna e-cigarette dan vape telah meningkat dengan ketara. Kini terdapat lebih satu juta pengguna. Ini adalah satu perkembangan yang membimbangkan,” katanya.

Sebagai contoh, beliau merujuk sebuah video yang menjadi viral di media sosial yang menunjukkan seorang lelaki menawarkan rokok elektronik kepada kanak-kanak berusia tiga tahun.

Dr Subramaniam berkata kementeriannya bertanggungjawab untuk menghantar mesej tegas bahawa rokok elektronik boleh membawa kesan buruk dalam jangka panjang ke atas kesihatan manusia.

“Mesej kami adalah mudah. Kami mahu menghentikan rakyat Malaysia daripada vaping sama ada terdapat larangan atau tidak. Mungkin kesannya tak nampak hari ini tapi nampak dalam lima atau 10 atau 15 tahun lagi,” katanya.


Laman web MITI siar kandungan teks TPPA


Laman web MITI siar kandungan teks TPPA
Ia mempunyai 30 bab dengan beberapa ratus muka surat

Kandungan teks Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) akan dihebah di laman web Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dalam tempoh kurang 24 jam.

Menterinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, pihaknya membuat keputusan itu selepas ia dibangkitkan oleh Ahli Dewan Rakyat.

“Teks ini dapat diakses di dalam laman web MITI dalam tempoh 24 jam. Teks ini panjang, ada 30 bab, beberapa ratus muka surat. Panjang ceritanya.

“Nothing to hide,” katanya sewaktu menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2016 pada Khamis.

Selain itu, Mustapa turut menafikan dakwaan bahawa perjanjian TPPA satu bentuk penjajahan baru.
“TPPA ini telah menimbulkan banyak kontroversi, ada yang mengatakan ini satu bentuk penjajahan baru dan ada yang menganggap ini sebagai kerjasama yang tidak saksama.

“Kita sudah ada lebih 500 lebih pelabur di luar negara. Pelaburan asing di Malaysia berjumlah kira-kira RM470 bilion, tetapi pelaburan Malaysia di luar negara pula lebih RM500 bilion,” ujarnya lagi.

Jelasnya, rakyat di negara ini seharusnya sedar bahawa dakwaan bahawa Amerika Syarikat (AS) akan menindas pelabur-pelabur dalam negara juga adalah tidak benar.

“Kita harus sedar bahawa syarikat-syarikat perladangan Malaysia ada di Russia, bank-bank kita ada di Singapura.

“Kita harus sedar syarikat-syarikat kita ada di luar, malah jumlah pelaburan syarikat-syarikat Malaysia di luar jauh lebih besar dari pelaburan asing negara kita,” katanya.



Saya dikurung bersama pesakit HIV dan TB – Matthias Chang


Saya dikurung bersama pesakit HIV dan TB – Matthias Chang
Matthias Chang mendedahkan perkara itu ketika membantah keputusan mahkamah menolak permohonan dia dan Khairuddin dibebaskan dengan ikat jamin sementara menunggu keputusan pada 18 November.

Peguam kanan dan bekas Pegawai Khas Tun Dr Mahathir Mohamad, Matthias Chang yang ditahan di Penjara Sungai Buloh mendakwa dia diletakkan dalam sel tahanan bersama penghidap HIV dan Batuk Kering (tuberculosis).

Dia memaklumkan perkara itu di Mahkamah Tinggi pada Khamis ketika membantah keputusan mahkamah menolak permohonan dia dan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dibebaskan dengan ikat jamin sementara menunggu kes mereka disebut pada 18 November ini.

“Rakan tahanan sel saya ada HIV (positif) dan Batuk Kering (TB). Kesihatan saya menjadi pertaruhan. Adakah ini adil kepada saya,” katanya dari kandang tertuduh selepas Hakim Azman Hussin menolak permohonan ikat jamin itu.

Keputusan mahkamah itu turut membangkitkan kemarahan ahli keluarga Khairuddin yang meninggalkan mahkamah sebaik mendengar keputusan itu.

Dalam hujahnya, peguam kedua-dua tertuduh, Haniff Khatri Abdullah menegaskan, jika ikat jamin tidak dibenarkan ia boleh membawa penahanan secara salah terhadap Khairuddin dan Matthias.

Katanya, kedua-duanya telah ditahan selama enam minggu tetapi pertuduhan ke atas mereka belum ditetapkan sama ada mengikut SOSMA 2012 atau tidak.

Khairuddin dan Matthias didakwa di mahkamah pada 12 Oktober lalu atas tuduhan cuba mensabotaj sistem pembankan dan kewangan negara.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 124 L Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 akta yang sama.

Pihak kerajaan mendakwa tuduhan sabotaj itu membolehkan Khairuddin dan Matthias ditahan mengikut SOSMA 2012.

Mahkamah Tinggi akan memutuskan pada 18 November ini sama ada penahanan mereka itu boleh dibuat mengikut SOSMA 2012 atau tidak.


RM51 juta rebat PLUSMiles belum dituntut


RM51 juta rebat PLUSMiles belum dituntut
Sejak dilancarkan pada 2009, pengguna hanya menuntut RM21 juta atau 29 peratus daripada RM72 juta rebat.

Kira-kira RM51 juta daripada RM72 juta rebat tol daripada program ganjaran rebat PLUSMiles masih belum dituntut pengguna.

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, setakat ini hanya RM21 juta sahaja rebat tol atau 29 peratus dituntut sejak ia dilancarkan pada 2009 hingga 30 September 2015

Penjelasan itu diberikan ketika beliau menjawab soalan Dr Mansor Abd Rahman (BN-Sik) yang meminta kementerian menyatakan jumlah yang telah dituntut pengguna Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS).

“Tuntutan rebat tol PLUSMiles itu sah untuk tempoh 12 bulan sahaja, oleh itu, rebat yang tidak dituntut selepas tempoh berkenaan akan dianggap terbatal,” kata beliau yang dipetik daripada Bernama.

Rosnah turut ditanya soalan tambahan jikalau PLUS bercadang memberi rebat secara terus, Rosnah berkata setakat ini mekanisme berkenaan masih belum dilaksanakan, mengambil kira kekangan dalam sistem sedia ada.

“Namun PLUS dengan kerjasama Touch ‘n Go akan sentiasa terbuka terhadap cadangan dan penambahbaikan kepada perkhidmatan yang diberikan dan PLUS akan terus mengkaji mekanisme pemberian rebat terbaik untuk pengguna,” katanya.


Kakitangan Awam Selangor main snuker waktu pejabat


Kakitangan Awam Selangor main snuker waktu pejabat
Kakitangan awam di Selangor juga dikesan membeli belah dan makan di premis makanan pada waktu pejabat.

Bermain snuker di waktu pejabat merupakan antara kesalahan yang dilakukan oleh kakitangan awam di negeri Selangor.

Dalam tempoh Januari hingga Jun lalu, sebanyak 18 kes penjawat awam di Selangor melanggar peraturan waktu bekerja.

Selain bermain snuker pada waktu pejabat, penjawat awam juga turut melakukan kesalahan termasuk membeli belah serta makan di premis makanan.

Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali berkata, tindakan tatatertib akan diambil terhadap 18 penjawat awam itu.

Katanya, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohamed Khusrin Munawi sudah mengeluarkan surat arahan pematuhan waktu bekerja kepada semua penjawat awam di bawah pentadbiran kerajaan negeri.

“Dalam menguatkuasakan arahan ini, semua jabatan, agensi juga pejabat tanah dan daerah, pihak berkuasa tempatan (PBT), jabatan kerajaan negeri, badan berkanun serta anak syarikat di bawah pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri diminta memantau arahan waktu itu.

“Antara yang dilakukan adalah menerapkan amalan kerja berdisiplin dengan mengeluarkan poster dan e-mel supaya arahan waktu bekerja dipatuhi,” katanya di Dewan Undangan Negeri Selangor pada Khamis.


Percubaan lelaki cuba bunuh diri dikecam


Percubaan lelaki cuba bunuh diri dikecam
Tindakan pantas anggota Bomba dan Penyelamat berjaya menghalangnya yang sebelum itu kelihatan merangkak di luar bangunan

Hasrat seorang lelaki untuk membunuh diri dengan terjun daripada sebuah bangunan tidak kesampaian selepas percubaan itu berjaya digagalkan.

Dalam kejadian yang berlaku di Kota Kinabalu, Sabah, tindakan pantas anggota Bomba dan Penyelamat berjaya menghalangnya yang sebelum itu kelihatan merangkak di luar bangunan.
Aksi-aksi cemas itu kemudian berjaya dirakam orang ramai yang berada berdekatan.

Sebaik lelaki berkenaan berjaya diselamatkan, orang ramai yang menyaksikan kejadian memberi tepukan dan merakamkan ucapan terima kasih kepada anggota berkenaan.

Bagaimanapun selepas diselamatkan, terdapat kata-kata sinis yang dikongsi di laman Facebook Penampang Bulletin.

“bomba kk da best .. thumbs up.. yg lelaki maw bunuh diri tu bukan dya maw terjun.. dya merajuk baitu poke gurlpren dya pujuk dya.. gini la ba sinta2 zaman skang hahaha jokin2 haha,” tulis lysses Simpson.






Gaji Rozali Ismail disemak semula


Gaji Rozali Ismail disemak semula
Semakan itu selaras dengan pengambilalihan SYABAS oleh syarikat kerajaan negeri, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).

Kerajaan Selangor akan menyemak semula gaji Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS), Tan Sri Rozali Ismail.

Beberapa laporan sebelum ini menyebut Rozali menerima gaji RM425,000 sebulan sekaligus menjadi antara CEO menerima gaji paling tinggi negara ini.

Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali berkata, semakan perlu dilakukan selaras dengan pengambilalihan SYABAS oleh syarikat kerajaan negeri, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).

Katanya, rombakan kakitangan dan semakan gaji perlu dilakukan kerana kerajaan negeri memerlukan kakitangan dalam kalangan profesional serta mempunyai kemahiran menguruskan air di Selangor.

“Sudah tentulah semakan ini perlu dibuat kerana antara perkara menjadi kritikan kuat sebelum ini, pengurusan tertinggi SYABAS memperoleh jumlah besar, yang mungkin tidak munasabah.

“Sebab itu saya mahu pengurusan tertinggi SYABAS baharu, yang akan dipimpin Air Selangor, dapat berpegang kepada prinsip kebertanggungjawaban bagi menjamin industri air ini lancar seperti kita rancang,” katanya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada Khamis.

Azmin berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Damansara Utama Yeo Bee Yin.

Rafizi ganti Tony Pua


Rafizi ganti Tony Pua
Pakatan Harapan mencadangkan perdebatan tersebut disiarkan secara langsung di televisyen dan di hadapan penonton menggunakan Bahasa Kebangsaan.

Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli dipilih menggantikan Tony Pua untuk berdebat mengenai isu 1MDB dengan Pengarah Eksekutif Kumpulan yang juga Presiden, 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda.

Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke Siew Fook menjelaskan pertukaran itu dilakukan bagi menghormati keputusan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang menasihatkan Tony Pua selaku ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) tidak meneruskan debat itu.

“Pakatan Harapan mencadangkan perdebatan tersebut disiarkan secara langsung di televisyen di hadapan penonton menggunakan bahasa kebangsaan.

“Format perbahasan tersebut akan dibincangkan oleh ketua-ketua whip dengan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak,” ujarnya.

Loke berkata demikian ketika membacakan kenyataan bersama dari ketiga-tiga pemimpin tertinggi dari Pakatan Harapan iaitu Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, dan Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu.

Rafizi Ramli sewaktu menjelaskan pemilihannya bagi menggantikan Tony Pua berkata, Arul Kanda tidak seharusnya menolak cabaran itu memandangkan sebelum ini dia telah bersetuju untuk berdebat tanpa sebarang syarat.

“Sebelum ini dia (Arul Kanda) menawarkan debat tanpa syarat, ini bermakna dia bersedia dan sudi berbahas dengan sesiapa. Kalau dia tidak berani, ia akan beri mesej besar bahawa Arul tidak berani berhadapan dengan umum,” ujarnya.

Rafizi mendakwa jika Arul Kanda menolak debat ini bermakna permintaannya supaya Tony Pua meletakkan jawatan terlebih dahulu hanya helah untuk menyngkirkan Tony Pua daripada PAC.


Tergamak anak tengking ibu di khalayak


Tergamak anak tengking ibu di khalayak
Si anak enggan menerima teguran sebaliknya terus menengking lelaki yang cuba menasihatinya

Perbuatan seorang lelaki menengking wanita yang dipercayai ibunya mencetuskan kemarahan orang ramai yang berada berdekatan.

Berdasarkan visual yang dimuat naik di laman Facebook Hussein Lempoyang, kejadian dikatakan berlaku di ruang menunggu sebuah hospital.

Si anak yang duduk bersebelahan dengan wanita itu, kedengaran memarahi ibunya dengan nada yang tinggi dan menimbulkan rasa kurang senang salah seorang lelaki yang berada berdekatan sehingga menimbulkan perang mulut.

“Bang apa nie bang cakap dengan mak macam itu, daripada tadi saya dengar bang, masalah macam mana saya tak campur…daripada tadi saya dengar… jangan hal dalam rumah bawak sampai sini, masalah hormat lah orang tua. Eh dia lahirkan kau tau..habis tu hormatlah…masalahnya hormatlah orang tua,” nasihatnya.

“Masalah ini kau jangan campur boleh tak.?” Kata lelaki itu selepas perbuatan menengking ibunya ditegur.

Mengulas mengenai tindakan yang disifatkan kurang ajar itu, orang ramai meminta lelaki berkenaan memohon ampun daripada ibunya.

“Bukan nak doakan tapi kalau dah gini (begini).. memang tak selamat lah ko dunia akhirat…sebelum si ibu tutup mata minta ampun lah,” kata Ilman Harith di Facebook.

“Padan dah kalau kena henyak pun, mau aku tumpang. Siyes aku cakap, aku boleh menangis lihat video ini, tetapi aku mampu kakikan brader tu,” kata Nikaza Nikmus.







Komplot gulingkan BN memang wujud – Zahid


Komplot gulingkan BN memang wujud – Zahid
Bukti kewujudan aktiviti tersebut tidak dapat didedahkan atas alasan keselamatan dan pihak polis masih mengumpul maklumat terperinci.

Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengesankan wujudnya aktiviti untuk menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN) tanpa melalui proses demokrasi.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan memandang serius terhadap pihak yang berkonspirasi untuk menjatuhkan kerajaan yang sah dipilih oleh rakyat dengan cara yang tidak demokratik dan melanggar undang-undang negara.

“Kerajaan juga sedar bahawa usaha tidak sah untuk menjatuhkan kerajaan ini akan turut menjejaskan ekonomi negara,” tegasnya.

Bagaimanapun, Menteri Dalam Negeri tidak mendedahkan siapakah individu tersebut atas faktor keselamatan dan ia masih dalam siasatan pihak polis.

“Bukti-bukti kewujudan aktiviti tersebut tidak dapat didedahkan di atas alasan keselamatan dan pihak polis masih mengumpul maklumat terperinci berkaitan perkara ini.,” katanya dalam satu jawapan bertulis.

Zahid berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Temerloh, Nasruddin Hassan yang memintanya menyatakan bukti dakwaan wujud komplot untuk menjatuhkan kerajaan sehingga mengikis keyakinan pelabur terhadap negara malaysia.


Harapan tipis usul undi tidak percaya dibentang hari ini


Harapan tipis usul undi tidak percaya dibentang hari ini
Terdapat lapan rang undang-undang yang akan dibawa oleh kerajaan dan juga 22 usul yang dikemukakan oleh ahli Parlimen lain yang perlu diutamakan mengikut peraturan Dewan Rakyat.

Usul undi tidak percaya terhadap Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri Malaysia disenaraikan di dalam Aturan Urusan Mesyuarat di Dewan Rakyat hari ini (Khamis).

Usul tersebut dibawa Ahli Parlimen Permatang Pauh selaku Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan diletakkan di senarai usul terakhir iatu nombor 31.

“Bahawa Dewan ini tidak ada kepercayaan terhadap Yang Amat Berhormat Pekan Dato Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri Malaysia,” tulis usul tersebut.

Usul undi tidak percaya yang dibawa Wan Azizah itu bagaimanapun mempunyai harapan tipis untuk dibentang dan dibahas.

Ini kerana, terdapat lapan rang undang-undang yang akan dibawa oleh kerajaan dan juga 22 usul yang dikemukakan oleh ahli Parlimen lain.

Dalam peraturan yang ditetapkan di Dewan Rakyat, usul yang dibawa oleh Kerajaan haruslah diutamakan terlebih dahulu sebelum dibincangkan usul-usul persendirian.


Tiada kod etika pakaian di pejabat kerajaan


Tiada kod etika pakaian di pejabat kerajaan
Hanya penjawat awam tertakluk kepada etika berpakaian yang dikeluarkan dari semasa ke semasa.

Kerajaan tidak menyediakan kod etika pakaian khusus untuk orang awam yang berurusan di pejabat kerajaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Sri Azalina Othman Said berkata, hanya penjawat awam tertakluk kepada etika pakaian yang dikeluarkan dari semasa ke semasa.

“Oleh yang demikian, orang awam boleh memakai pakaian yang bersesuaian selari dengan adat dan nilai ketimuran ketika berurusan di pejabat kerajaan,” katanya.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Pengerang itu menjelaskan kerajaan tetap akan memberi layanan kepada orang awam sekiranya mereka memakai pakaian yang kurang sesuai.

“Ketua Jabatan berkenaan boleh menasihat orang awam supaya sentiasa memakai pakaian yang sopan semasa berurusan dengan Jabatan Kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis bagi menjawab pertanyaan lisan Ahli Parlimen Putatan, Datuk Dr Makin@Marcus Mojigoh yang meminta Perdana Menteri menjelaskan adakah kerajaan telah menetapkan kod etika terhadap orang awam yang ingin berurusan dengan jabatan agensi kerajaan.


Pemuda UMNO bantah kementerian kesihatan haramkan Vape


Pemuda UMNO bantah kementerian kesihatan haramkan Vape
Apakah kerana vape tidak mendatangkan cukai yang tinggi kepada negara seperti mana rokok.

Pemuda UMNO membantah keputusan Kementerian Kesihatan, untuk mengharamkan pengunaan rokok elektronik (e-rokok) atau vape.

Exconya,Nazir Hussin Akhtar Husin berkata, keputusan merampas sebarang cecair nikotin yang dijual oleh perniaga merupakan keutusan terburu-buru kementerian.

Katanya, tindakan kementerian itu bertentangan dengan keputusan Kabinet baru-baru ini yang tidak mengharamkan vape.

“Di Malaysia, antara 10 hingga 12 peratus dari punca kematian adalah kerana amalan merokok iaitu lebih 10,000 kematian setahun, malah Majlis Fatwa Kebangsaan turut memutuskan bahaya merokok adalah haram.

“Sedangkan masih tiada kajian saintifik terhadap bahaya vape yang dilakukan di negara ini, dan masih terlalu awal untuk membuat keputusan mengharamkan atau mengambil tindakan terhadap rokok elektronik itu,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Dia turut mempersoal agenda sebenar, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. S Subramaniam membuat keputusan secara terburu-buru memerangi vape.

“Apakah kerana vape tidak mendatangkan cukai yang tinggi kepada negara seperti mana rokok?,” soalnya.

Katanya, Subramaniam perlu memperhalusi terlebih dahulu tindakan untuk mengharamkan vape kerana bimbang tindakannya itu tidak tepat, memandangkan vape kini semakin diterima sebagai alternatif menggantikan tembakau dan nikotin.

Dia menyarankan Kementerian Kesihatan mengehadkan kawasan menghisap vape seperti kawasan larangan merokok yang dilaksanakan sekarang ini bukan mengharamkannya.

Pada masa yang sama kerajaan juga perlu fokus dan menyegerakan pelaksanaan undang-undang pengawalan terutama bagi mengelakkan penyalahgunaan dan larangan kepada remaja bawah umur.

“Selepas ada kajian konkrit mengatakan vape ini menjejaskan kesihatan, barulah rokok elektronik ini diharamkan penggunaanya,” katanya.


Jamal persoal keistimewaan Anwar Ibrahim di penjara


Jamal persoal keistimewaan Anwar Ibrahim di penjara
Ketua UMNO Bahagian Besar berkata sebagai penjenayah Anwar sepatutnya mendapat layanan yang sama seperti banduan lain.

Tindakan pegawai penjara memberi layanan istimewa kepada bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipersoal.

Perkara itu dibangkitkan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Jamal Md Yunos.

Beliau cuba mengaitkan isu itu dengan rasuah sehingga membolehkan bekas Timbalan Perdana Menteri itu mendapat layanan berbeza berbanding banduan lain.

“Kalau waktu dahulu mereka yang mempunyai keistimewaan setelah merasuah pegawai-pegawai terlibat.

“Persoalan di sini saya nak timbulkan, adakah Anwar Ibrahim telah merasuah pegawai-pegawai penjara, ini persoalan bukan tuduhan kerana terlalu banyak keistimewaan yang beliau dapat berbanding tahanan-tahanan lain,” katanya kepada FMT.

Katanya, sebagai seorang banduan layanan secara berlebihan tidak seharusnya diberikan kerana Anwar seorang penjenayah sama seperti tahanan lain berdasarkan undang-undang di bawah Jabatan Penjara.

Pada masa sama, Jamal turut membidas tindakan keluarga Anwar yang terus mempersoalkan layanan yang diberikan pihak penjara, sedangkan mereka tidak layan berbuat demikian.

Jelasnya tindakan pihak penjara yang memberi layanan yang berlebihan kepada Anwar akan menghilangkan keyakinan rakyat terhadap institusi tersebut.

“Sehubungan itu, perlu ditubuhkan satu jawatankuasa untuk menyiasat kenapa Anwar mendapat keistimewaan sedemikian rupa samaada beliau telah melanggar peraturan penjara atau sebaliknya,” katanya.


Pemuda Pas tegur HOT FM, Dr Shazril


Pemuda Pas tegur HOT FM, Dr Shazril
Program AM Crew yang berbincang isu sakit puan tidak membawa manfaat kepada pendengar kerana lebih menekankan 'ketampanan' Dr. Shazril.

Pemuda Pas menegur stesen radio, HOT FM, kerana menyiarkan program bersama doktor sakit puan pada 2 November lalu yang disifatkan tidak memberi manfaat kepada pendengar.

Pengerusi Lujnah Dakwah Dewan Pemuda Pas Malaysia, Hafeez Sabri berkata, isu perbincangan tidak mendatangkan banyak manfaat dan tidak bersifat ilmiah apabila yang ditekankan di dalam segmen pagi ini adalah sekitar ‘ketampanan’ paras rupa dan raut wajah doktor serta respon balas pendengar radio melalui panggilan telefon yang tersasar dari ajaran Islam.

HOT FM menerusi program AM Crew menyiarkan temubual berkenaan sakit puan bersama pegawai perubatan, Dr Shazril Shaharuddin.

Hafeez berkata, isu perbincangan dalam slot ini seakan-akan melupakan aspek hukum-hakam dalam agama dan dikhuatiri ia bakal mengundang petaka dan orang jahil terus merasakan perbuatannya betul.

Ia merujuk komen pemanggil dalam kalangan wanita yang sanggup dan tidak kisah untuk melahirkan anak di hadapan doktor terbabit kerana ketampanannya.

Malah, ada juga pemanggil yang sanggup ‘menempah’ doktor berkenaan untuk bersalin selain menawarkan isteri kedua.

“Islam adalah agama yang sempurna telah mengangkat martabat dan memelihara maruah wanita serta menjaga penganutnya dari terjerumus ke lembah kehinaan.

“Namun reaksi penyampai radio dan pendengar wanita seperti mencampakkan semua kemuliaan tadi dan terjun ke lembah yang hina. Kebanyakan pemanggil umpama sudah tidak ada lagi adabnya sebagai seorang wanita. Atas alasan mahu menceriakan pagi tidak dapat menghalalkan cara kalian.

“Ada yang sudah pasang niat mahu doktor lelaki ini mengendalikan proses bersalinnya. Sedangkan di luar sana, ramai doktor muslimah wanita sedang mempertahankan hak dan aurat wanita ketika bersalin. Bukankah menjaga aurat dari diperlihatkan kepada ajnabi itu sangat mulia di sisi Allah?, tegas Hafeez,

Dia yang juga Timbalan Ketua Pemuda Pas Perak turut menegur Dr Shazril kerana tidak bersikap profesional ketika disoal pemanggil.

“Persoalan ini berkait rapat dengan aurat pesakit yang pada hukum asal melihat aurat bukan mahram adalah haram sama sekali.

“Seorang doktor mukmin sentiasa meletakkan hukum Allah mengatasi segala urusan dan keputusan. Mereka juga sentiasa membimbing pesakit bersama-sama mendekati Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala laranganNya. Agar hasilnya sama-sama beroleh peningkatan Iman dan dilimpahi keberkatan dalam kehidupan,” katanya.

DEIG akui mohon pinjaman RM500 juta


DEIG akui mohon pinjaman RM500 juta
Lembaga Pengarah MBI bagaimanapun menolak kertas cadangan DEIG dan permohonan pinjaman tidak diteruskan.

Syarikat sarat dengan kontroversi, Darul Ehsan Investment Group (DEIG) mengaku membuat permohonan pinjaman dengan beberapa bank berjumlah RM500 juta.

Ketua Pegawai Operasinya, Soffan Affendi Aminudin berkata, kertas cadangan tersebut bagaimanapun telah ditolak oleh Lembaga Pengarah Pemerbadanan Menteri Besar (MBI).

“Memang betul salah satu kaedah kita guna pakai adalah cuba dapatkan pinjaman tapi kita sudah bentangkan kepada Pengarah MBI dan mereka tolak kertas cadangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas penggulungan Bajet Negeri Selangor di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada Rabu.

Dalam pada itu, Soffan turut menafikan bahawa pinjaman yang dibuat oleh DEIG adalah untuk melangsaikan hutang syarikat Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) yang berjumlah RM413.2 juta seperti yang didakwa.

“Kami masuk untuk buat rancangan strategik untuk lihat apa yang kita ada. Salah satu isu kita lihat adalah isu legasi iaitu hutang kepada negeri.

“Kaedah nak selesai macam-macam. Contohnya ambil pinjaman, majukan pembangunan dan sebagainya..itu situasinya. Kaedah yang kita cadangkan kepada Lembaga Pengarah tidak diterima pakai,” jelasnya.

Tegasnya, DEIG juga masih belum beroperasi.

“(DEIG) Belum beroperasi.. kaedah kita sekarang tengah rancang kaedah strategik,” ujarnya.
Dia turut ditanya mengenai cagaran yang dibuat kerajaan negeri bagi mendapatkan pinjaman itu.

“Kita tak bincang maklumat lanjut lagi. Bila tawaran diterima oleh pihak bank kita bincang secara lanjut. Setakat apa yang kita buat, kita terima tawaran pihak bank, kita bentang, tak diluluskan maka kita tak bentang secara lanjut,” jelasnya.


Pakatan Harapan minta debat 1MDB diteruskan


Pakatan Harapan minta debat 1MDB diteruskan
Ia akan mencari stesyen penyiar lain selepas RTM menolak untuk berbuat demikian

Pakatan Harapan (PH) ingin meneruskan debat 1MDB walaupun Radio Televisyen Malaysia (RTM) membatalkan tawaran untuk menjadi penyiarnya.

Ketua Sekretariatn PH, Datuk Saifuddin Abdullah berkata pihaknya mempunyai perancangan lain sekiranya stesyen televisyen milik kerajaan itu enggan berbuat demikian.

“Tidak timbul masalah…Ia tak semestinya disiarkan oleh RTM, kita sudah ada perancangan lain,” katanya dalam satu sidang media di Bilik Mesyuarat Pejabat Ketua Pembangkang di Parlimen.

Saifuddin memaklumkan pihaknya akan mengumumkan calon pengganti Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua yang akan dibuat esok.

“Kita sudah ada satu nama dan nama itu akan dirujuk dalam Majlis Presiden malam ini.
“Jadi esok akan kita akan umumkan pada jam 11.30 pagi di Parlimen,” katanya.

Dalam masa itu, Saifuddin menjelaskan tindakan PH untuk mengantikan Tony Pua itu sebagai menghormati keputusan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang menyarankan supaya debat antara Pengerusi DAP Selangor dan Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB tidak diteruskan.

“Kita hormati keputusan yang dibuat Speaker (Pandikar).

“Jika rasa debat itu bagus untuk rakyat kita akan teruskan dan ganti calon lain,” katanya.

Sebelum itu, Pandikar menegaskan akan meletakkan jawatannya sekiranya debat 1MDB antara Tony-Arul diteruskan.

Kata Pandikar debat itu hanya dibenarkan selepas Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) selesai menyiasat 1MDB.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Rujukan