Cari Artikel

Thursday, November 5, 2015

Debat 1MDB di RTM dibatalkan – Salleh Keruak


Debat 1MDB di RTM dibatalkan – Salleh Keruak
Ia dianggap terbatal selepas DAP melanggar syarat apabila menggantikan Tony Pua dengan calon lain.

Debat antara Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua dengan Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif yang dijadual berlangsung di RTM pada Jumaat ini, dibatalkan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata, ia dianggap terbatal kerana ia hanya untuk dua individu berkenaan.

“Sebelum ini, kami hanya bersetuju jika Pua berdepan dengan Arul Kanda dalam debat 1MDB. Tawaran itu hanya untuk dua individu, Tony dan Arul, jadi bila salah seorang menarik diri, ia terbatal serta-merta,” katanya di luar Lobi Parlimen.

Susulan penarikan itu, Salleh menegaskan pihakya tidak akan melayan sebarang tawaran debat daripada DAP.

Sebelum ini, ia memutuskan untuk untuk menggantikan Tony Pua dengan calon lain bagi memastikan parti itu tidak kehilangan wakilnya dalam Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

Piala AFC: Sultan Johor derma RM1 juta


Piala AFC: Sultan Johor derma RM1 juta
Baginda akan menderma RM1 juta kepada rumah anak yatim bagi membayar nazar manakala TMJ akan menderma seluruh masjid di Johor.

Sultan Johor, Tuanku Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar akan menderma RM1 juta kepada rumah anak yatim di negeri itu bagi membayar nazar di atas kemenangan pasukan Johor Darul Takzim (JDT) menggondol Piala AFC.

Menerusi status di Facebook, Baginda memaklumkan, Tunku Mahkota Johor, Tuanku Ismail atau TMJ juga akan menderma kepada seluruh masjid di Johor sebagai tanda kesyukuran di atas kemenangan itu.

“Tunku Mahkota Johor kata dia ada bernazar bahawa jika JDT menang, maka dia akan menderma kepada semua masjid di negeri Johor.

“Dan saya sendiri pula dah bernazar untuk menderma sebanyak RM 1 juta kepada rumah-rumah anak yatim di Johor,” tulis Baginda.

Baginda memaklumkan, satu majlis keraian akan diadakan di Dataran Bandaraya Johor Bahru untuk meraikan kemenangan JDT selepas TMJ pulang dari luar negara pada 18 November.

“InsyaAllah, piala AFC akan dipamerkan ke semua daerah di Johor supaya rakyat Johor dapat melihat piala itu. JDT adalah milik Bangsa Johor. Kesetiaan anda semua telah membawa kita ke tahap ini. Terima kasih sekali lagi atas sokongan padu dan doa dari anda semua,” tulis Baginda lagi.

Debat 1MDB: DAP setuju Tony Pua diganti


Debat 1MDB: DAP setuju Tony Pua diganti
Keputusan tersebut diambil kerana partinya tidak kehilangan wakilnya dalam PAC.

DAP akan meletakkan calon lain bagi menggantikan Tony Pua untuk berdebat dengan Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda.

Keputusan itu dibuat bagi memastikan parti itu tidak kehilangan wakilnya dalam Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata calon baru itu akan ditentukan selepas sekretariat ketiga-tiga parti dalam Pakatan Harapan bermesyuarat.

“Sekiranya Tony mahu meneruskan perbahasan ini, saya fikir kerajaan pusat tidak akan membenarkannya… malah, kedudukan beliau sebagai ahli PAC juga akan terancam.

“Ini adalah keputusan DAP kerana beliau mewakili kami sebagai ahli PAC. Tanpa beliau, kami akan kekurangan ahli PAC. Kami tidak benarkan perkara sedemikian berlaku,” katanya di Lobi Parlimen.

Dalam pada itu, Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan yakin calon pengganti Tony sudah bersedia untuk mengadapi sesi debat dengan Arul nanti.

“Oleh kerana sudah ada calon, tiada masalah jika perbahasan ini diteruskan pada hari Jumaat.
“Pembahas ganti juga seorang yang hebat,” katanya.


Mengapa DEIG terima tawaran pinjaman jika belum operasi?


Mengapa DEIG terima tawaran pinjaman jika belum operasi?
BN Selangor mahu Azmin Ali membentangkan aset milik negeri yang dicagarkan untuk membuat pinjaman bank itu.

Barisan Nasional (BN) Selangor mempersoal bagaimana Kumpulan Pelaburan Darul Ehsan Berhad (DEIG) yang hanya dijadual beroperasi tahun hadapan boleh menerima tawaran pinjaman bank.

Setiausaha Ahli Dewan Undanan Negeri (ADUN) BN Selangor, Budiman Mohd Zuhdi juga mempersoalkan apakah cagaran yang telah dibuat oleh kerajaan negeri pimpinan Mohamed Azmin Ali bagi membuat pinjaman itu.

“Azmin perlu membentangkan secara telus, lengkap dan komprehensif kesemua aset milik negeri yang telah dicagarkan kepada bank untuk menerima tawaran pinajaman tersebut,” katanya dalam sidang media di Lobi Dewan Negeri Selangor pada Rabu.

Budiman berkata, pinjaman itu mungkin ada kaitan dengan kenyataan Azmin pada Selasa yang memaklumkan Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) gagal membayar hutang kepada kerajaan negeri berjumlah RM413.2 juta.

Katanya, kenyataan Azmin seolah-olah memberi isyarat bahawa DEIG akan mengambilalih hutang itu daripada KDEB menerusi pinjaman bank.

Dia berkata, DEIG menerusi anak syarikatnya, DEIG Land Sdn Bhd merancang untuk mengambil alih Kumpulan Hartanah Selangor Bhd (KHSB) yang merupakan syarikat pelaburan hartanah di bawah KDEB.

Menurut pelan asal, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) mengambil alih KHSB termasuk kesemua aset-aset hartanah.

“Kami difahamkan program penyelesaian asal menjadualkan PKNS membeli sebahagian daripada bank tanah KHSB dan KDEB yang bernilai RM1.02 bilion. Hasil transaksi tersebut kemudiannya akan digunakan oleh KDEB untuk melunaskan pinjamannya dengan kerajaan negeri.

“Bukankah semua pihak berdepan dengan risiko amat tinggi sekiranya aset bernilai RM1.02 bilion dicagarkan apatah lagi oleh sebuah syarikat sendirian berhad yang hanya bernilai RM2 (DEIG), ” katanya.

‘Sasha steering lock’ didakwa lakukan perbuatan khianat


‘Sasha steering lock’ didakwa lakukan perbuatan khianat
Dia mengaku tidak bersalah merosakan kereta Cheang Jeng Yen dan dibebaskan dengan ikat jamin RM3,500.

Wanita yang dirakam mengamuk dengan memukul kereta menggunakan kunci stering didakwa di Mahkamah Majistret pada Rabu.

Sasha Farina Mohd Shapie didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat sehingga membawa kerosakan pada kereta Cheah Jeng Yen.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu pada 28 Oktober lalu di SS15, Subang Jaya.

Shasha didakwa melakukan kerosakan pada bahagian depan bonet, pintu kiri, cermin sisi dan lampu depan terhadap kereta milik Jeng Yen menggunakan kunci stereng.

Sabit kesalahan, dia boleh dihukum lima tahun penjara atau denda atau kedua-duanya sekali.
Shasha mengaku tidak bersalah dan dibebaskan dengan ikat jamin RM3,500 dengan seorang penjamin.

Majistret Ahmad Solihin Abd Wahid menetapkan 2 Disember untuk sebutan semula.

Pada sebelah pagi, Jeng Yen didakwa melakukan kesalahan sama terhadap kereta Shasha.
Dia juga tidak mengaku salah dan dibebaskan dengan ikat jamin RM3,000.


Dakwa polis sebabkan kematian Syed Azlan – SUARAM


Dakwa polis sebabkan kematian Syed Azlan – SUARAM
SUARAM menghantar memorandum mendesak Ketua Polis Negara bertindak segera terhadap pegawai dan anggota polis yang menyebabkan kematian si mati.

Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) menyerahkan memorandum kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar yang mendesak supaya mendakwa pegawai dan anggota polis yang menyebabkan kematian Syed Mohamed Azlan Mohamed Nur.

Penyelaras Projek SUARAM, Tarmizi Anuwar berkata, pihak polis perlu bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kematian Syed Azlan kerana ia berlaku ketika dalam tahanan polis.

Malah, hasil siasatan Suruhanjaya Intergriti Agensi Penguatkuasa (EAIC) telah mengesahkan kematian Syed Azlan pada 3 November 2014 disebabkan kekerasan polis ketika menjalankan siasatan terhadap si mati.

Katanya. dalam memorandum itu SUARAM membuat enam tuntutan kepada polis iaitu;

1. Membawa anggota polis yang terlibat dalam kematian Syed Azlan ke muka pengadilan dalam tempoh sebulan.

2. Datuk Hasnan Hassan (Ketua Siasatan Jenayah Johor) perlu digantung dan disiasat kerana cubaan melakukan penipuan dan memalsukan maklumat sebenar kematian Syed Azlan dengan mengatakan si mati meninggal dunia secara mengejut.

3. Bertanggungjawab penuh terhadap kejadian dan kematian si mati.

4. Melaksanakan saranan EAIC iaitu sekiranya berlaku kecederaan fizikal pada susupek semasa penangkapan, maka suspek perlulah dirujuk atau dihantar ke Pegawai Perubatan Kerajaan bagi memastikan tahap keseriusan kecederaan serta status kesihatan suspek tersebut.

5. Meletakkan beban bukti ke atas pihak yang mempunyai jagaan dan kawalan ke atas orang tahanan sebagai bertanggungjawab ke atas kecederaan atau kematian orang tahanan sehingga dibuktikan sebaliknya.

6. Menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) yang fokus membantu perjalanan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Tarmizi berkata, kenyataan awal Hasnan bercanggah dan memesong dengan laporan EAIC yang mendapati polis telah mengunakan kekerasan fizikal kepada mangsa ketika melakukan siasatan.

Katanya, saksi kejadian telah menceritakan si mati telah ditumbuk, disepak dan diterajang di badan oleh semua anggota polis yang masuk ke dalam bilik siasatan.

Katanya, saksi memberitahu si mati beberapa kali meminta tolong kerana kesakitan dan diminta dilonggarkan gari.

Berdasarkan maklumat-maklumat itu,Ketua Polis Negara perlu memberi perhatian serius dalam mencari keadilan dan pihak SUARAM akan terus memberi tekanan supaya kes ini diselesaikan segera.

“Kami melihat salah laku polis perkara yang serius kerana pasukan keselamatan ini mempunyai kuasa yang besar dalam menangkap dan memerangi jenayah,” katanya.


Enggan ke Parlimen: Apa kaitan Speaker dengan 1MDB?


Enggan ke Parlimen: Apa kaitan Speaker dengan 1MDB?
Pandikar Amin berpegang dengan pendirian untuk tidak hadir ke Dewan Rakyat jika debat antara Arul Kanda dan Tony Pua berlangsung

Keenganan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia membenarkan debat syarikat pelaburan negara, 1MDB seolah-olah beliau juga terlibat dalam skandal berkenaan.

Persoalan itu dibangkitkan Setiausaha Agung DAP dan Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng susulan kenyataan beliau untuk tidak menghadiri sesi pada Isnin depan jika perbahasan antara Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Arul Kanda dan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua berlangsung.

“Saya bertanya kepada Speaker untuk tidak bertindak seolah-olah seperti beliau juga terlibat dalam skandal tersebut. Sewaktu saya menjadi Ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pada tahun 90an, saya juga berdebat dengan seorang timbalan menteri, iaitu Datuk Ong Tee Keat, tetapi Speaker ketika itu tidak menghalang saya dari berdebat.

“Saya meminta Speaker untuk membiarkan perbahasan ini berlangsung supaya tidak wujud persepsi negatif ke atas anda,” kata Lim.

Bagaimanapun, Pandikar Amin mahu terus berpegang dengan pendiriannya demi menjaga integriti Dewan Rakyat dan PAC.

“Saya telah menyatakan syarat-syaratnya dan jika anda masih berkeras, maka saya tidak akan datang ke Parlimen pada Isnin depan,” katanya di Sidang Dewan Rakyat pada Rabu.

Pandikar Amin berkata demikian selepas Guan Eng mempersoalkan syarat yang dinyatakan menunjukkan Yang Dipertua Dewan Rakyat cuba menghalang orang ramai daripada mengetahui kebenaran skandal 1MDB.

Pandikar Amin juga berkata, walaupun terdapat duluan, ia tidak bermakna beliau perlu mengikutinya.

“Ini kerana saya mempunyai hak untuk membuat keputusan yang difikirkan sesuai sebagai Speaker Parlimen,” katanya.


Parlimen tolak usul PM pegang jawatan menteri lain


Parlimen tolak usul PM pegang jawatan menteri lain
Speaker Dewan Rakyat menolak kerana berpandangan ia tidak menepati Peraturan Mesyuarat 27 selain bertentangan dengan Akta Fungsi- Fungsi Menteri 1969

Dewan Rakyat menolak usul Rang Undang-Undang Persendirian bagi menghalang Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak memegang dua jawatan serentak iaitu Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia telah menolak usul yang dibawa oleh Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli itu kerana berpandangan ia tidak menepati Peraturan Mesyuarat 27 yang memerlukan usul itu dihantar secara bertulis selain bertentangan dengan Akta Fungsi- Fungsi Menteri 1969.

Dalam masa itu, Rafizi berkata penolakan usulnya itu telah mengurangkan kebebasan dan merendahkan kedudukan Dewan Rakyat.

“Saya telah memfailkan satu Rang Undang-undang Persendirian untuk memisahkan fungsi Perdana Menteri dari Menteri Kewangan mengikut tarikh akhir yang ditetapkan oleh Setiausaha Dewan Rakyat iaitu sebelum atau pada 23 September 2015.

“Dalam jawapan itu, saya tidak mengikut peraturan dan perlu failkan secara bertulis, tetapi tidak dimaklumkan bagaimana perlu bertulis melalui emel, sebelum ini ia diterima baik,” katanya dalam sidang media di Lobi Parlimen.

Sehubungan itu, Rafizi yang juga Naib Presiden PKR, akan memfailkan kembali Rang Undang-undang Persendirian berkenaan secara surat bertulis mengikut Peraturan Mesyuarat 27.

Dia berharap Yang Dipertua Dewan Rakyat mempertimbangkannya untuk dimasukkan di dalam Aturan Mesyuarat dalam sidang depan.


Lelaki langgar kereta ‘Shasha steering lock’ didakwa


Lelaki langgar kereta ‘Shasha steering lock’ didakwa
Tertuduh seorang kontraktor mengaku tidak bersalah dan dibebaskan dengan ikat jamin RM3,000.

Lelaki yang sengaja melanggar kereta wanita didakwa di Mahkamah Majistret pada Rabu atas kesalahan melakukan perbuatan khianat sehingga menyebabkan kerosakan.

Kontraktor, Cheah Jeng Yeh didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melanggar kereta Volvo milik Shasha Farina Mohd Shafie.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada 28 Oktober di SS15 Subang Jaya.

Tertuduh tidak mengaku salah dan dibebaskan dengan ikat jamin RM3,000.

Majisret Salamah Salleh menetapkan 2 Disember untuk sebutan semula kes itu.

Sabit kesalahan Jeng Yeh boleh dipenjara lima tahun dan denda atau kedua-duanya.

Rakaman video bertajuk ‘wanita gila mengamuk’ menjadi viral sejak beberapa hari lalu yang memaparkan Shasha memukul kereta tertuduh menggunakan kunci stereng selepas tertuduh melanggar keretanya dan menolak bapanya.

Sasha dilaporkan berkata, dia terpaksa bertindak seperti itu bagi mempertahankan keluarga dan hartanya.

Perselisihan faham itu berpunca apabila tertuduh meletak kereta Toyota Camry di tempat milik Shasha.


Kerajaan lindung data peribadi rakyat


Kerajaan lindung data peribadi rakyat
Menteri berkenaan memberi jaminan ia dilindungi bagi mengelak disalah guna

Kerajaan akan memastikan hak data peribadi rakyat Malaysia sentiasa dilindungi.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata, ia bagi mengelak data berkenaan disalah guna.

“Di Malaysia, data peribadi dan sulit rakyat dilindungi daripada disalah guna.

“Tindakan tegas akan diambil menggunakan undang-undang yang sedia ada bagi memastikan hak peribadi rakyat Malaysia sentiasa dilindungi, ” katanya dalam jawapan bertulis kepada Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago.

Dalam soalannya, dia meminta penjelasan kementerian jika wujud pembelian perisian pengintipan dikenali Hacking Team oleh Putrajaya daripada sebuah syarikat teknologi maklumat (IT).

Bagaimanapun tiada penjelasan diberikan.

Sebelum ini, laman web Hacking Team dilaporkan telah digodam pada Julai lepas menyebabkan beberapa datanya dibocorkan dalam talian.

Ia dikatakan membabitkan maklumat milik perisikan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Pejabat Perdana Menteri (JPM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menjadi antara pelanggan utama HackingTeam.

Manakala, Salleh pula menyatakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan terus memantau serangan siber.


Jamal yakin tidak bersalah


Jamal yakin tidak bersalah
Beliau yakin berada di pihak yang benar kerana tidak ada membuat sebarang kesalahan atau mengeluarkan kenyataan-kenyataan bertentangan keputusan parti.

Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Jamal Mohd Yunos menafikan dakwaan beliau termasuk dalam senarai tujuh pemimpin UMNO yang bakal berdepan digantung keahlian kerana bermasalah.

Kenyataan itu bagi menafikan laporan sebuah portal sebelum ini yang memetik sumber sebagai berkata, jurucakap utama Perhimpunan Baju Merah itu menyertai enam ahli UMNO yang bakal berdepan dengan hukuman itu.

Selain Jamal, portal itu menamakan enam yang lain iaitu bekas Presiden UMNO Tun Dr Mahathir Mohamad; Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Naib Presiden, Datuk Seri Shafie Apdal, Tan Sri Zainuddin Maidin, bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Sanusi Junid dan Ketua Umno Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee.

Jamal turut mengesahkan buat masa ini beliau masih belum menerima sebarang surat atau panggilan telefon daripada Lembaga Disiplin UMNO.

“Saya tidak pernah dihubungi dan saya tidak pernah dimaklumkan (tindakan disiplin parti).

“Saya tidak tahu dan saya yakin saya berada di pihak yang benar kerana tidak ada membuat sebarang kesalahan atau mengeluarkan kenyataan-kenyataan bertentangan keputusan parti,” katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen.

Jamal juga yakin beliau tidak akan diambil tindakan kerana berpandangan Perhimpunan Baju Merah itu dianjurkan atas kapaisti badan bukan kerajaan (NGO).

Katanya, UMNO hanya hadir dalam perhimpunan itu selepas dijemput oleh penganjur.

“UMNO tidak terlibat di dalam perhimpunan 16 September (Perhimpunan Baju Merah)..UMNO hanya menyokong dan penganjurnya adalah terdiri dari kalangan NGO.

“UMNO dijemput dan UMNO sertainya…. Jadi kalau saya dikaitkan dengan kesalahan perhimpunan itu, saya pun tidak tahu….saya mengetahu perkara ini pun selepas media bagi tahu,” jelasnya.

Sebelum ini Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata mana-mana ahli UMNO yang melanggar Perlembagaan parti bakal berdepan tindakan penggantungan.

Tengku Adnan berkata, sebaik saja pejabatnya selesai menjalankan siasatan, nama mereka akan dibawa ke pejabat Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak dan seterusnya kepada Lembaga Disiplin parti untuk menentukan bentuk hukuman.


Transaksi SRC tak perlu kelulusan bertulis PM


Transaksi SRC tak perlu kelulusan bertulis PM
Peraturan itu selaras dengan Memorandum Pertubuhan atau Memorandum and Articles of Association (M&A)

Semua transaksi utama SRC International Sdn Bhd tidak memerlukan kelulusan bertulis daripada Perdana Meteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, ia selaras dengan Memorandum Pertubuhan atau Memorandum and Articles of Association (M&A).

“Artikel 116 dalam M&A SRC International hanya menetapkan dua perkara yang memerlukan kelulusan bertulis daripada Perdana Menteri.

“Ia membabitkan pindaan M&A, pelantikan dan penamatan pengarah serta pengurusan tertinggi syarikat,” katanya.

Najib berkata demikian menjawab soalan bertulis Tony Pua (DAP-Petaling Jaya Utara) yang ingin mengetahui sama ada transaksi utama SRC memerlukan kelulusan bertulis Perdana Menteri.

Dalam masa lain, menjawab mengenai persoalan sama SRC International membayar RM40 juta pada Disember 2012 dan RM10 juta pada Februari 2013 kepada Ihsan Perdana melalui anak syarikatnya Gandingan Mentari, Najib berkata perkara itu masih dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“SPRM dan pihak berkuasa lain masih lagi menjalankan siasatan ke atas perkara ini.

“Tidak wajar untuk mana-mana pihak memberikan sebarang komen mengenainya agar tidak mengganggu proses siasatan,” kata Najib.

SRC International adalah sebuah firma milik Kementerian Kewangan yang diketuai Najib dan pernah menjadi anak syarikat 1MDB.


Rahman Dahlan ‘menteri lalok’ – Shahbudin


Rahman Dahlan ‘menteri lalok’ – Shahbudin
Kenyataan beliau mengenai isu tol dikatakan setaraf dengan pemikiran budak-budak lalok yang menjaga tempat meletak kenderaan di sekitar Chow Kit.

Datuk Abdul Rahman Dahlan dilabel sebagai ‘menteri lalok’ apabila mencadangkan supaya rakyat merancang perjalanan dengan bangun lebih awal untuk ke tempat jika mahu mengelak membayar tol.

Bekas Naib Ketua Pemuda UMNO Wangsa Waju, Shahbudin Husin berkata, kenyataan itu
menunjukkan tahap pemikiran menteri kabinet sama taraf dengan ‘budak-budak lalok’ yang menjaga tempat meletak kenderaan di sekitar Chow Kit.

“Kalau beginilah cara berfikir dan melayan rungutan rakyat oleh seorang menteri yang bertaraf Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN), lebih baiklah dilantik budak-budak lalok yang jaga parking di sekitar Chow Kit sebagai anggota kabinet.

“Dua kali lima dan lebih kurang saja cara berfikirnya,” katanya menerusi entri terbaharu di blognya, shahbudindotcom.blogspot.com.

Dia juga mempertikaikan kenyataan Rahman yang berkata, kerajaan menyediakan jalan alternatif kepada pengguna yang tidak mahu membayar tol.

“Adakah semua jalan bertol mempunyai jalan alternatif? Dari pusat bandar Kuala Lumpur ke Putrajaya misalnya, mana jalan alternatif tanpa tolnya,” soalnya.

Shahbudin berkata, kenyataan terbaharu Rahman mengenai isu tol itu boleh juga dianggap penghinaan kepada rakyat.

“Hakikatnya ramai warga kota yang setiap hari keluar rumah untuk ke tempat kerja sebaik saja selepas Subuh semata-mata untuk mengelakkan kesesakan, tetapi seringkali terperangkap juga kerana terlibat dengan urusan lain seperti menghantar isteri ke pejabat dan anak-anak ke sekolah.

“Soalnya, apakah menteri berkenaan mahu warga kota keluar ke tempat kerja seawal pukul tiga atau empat pagi setiap hari?,” katanya.


Jual kenderaan selepas dikutuk minta derma


Jual kenderaan selepas dikutuk minta derma
Khaidir Ahmad mahu menjual pacuan empat rodanya itu bagi mengelak daripada terus menerima tohmahan setelah dia meminta derma bagi membiayai kos guaman kes saman.

Bekas Ketua Pengarang Berita TV3, Khaidir Ahmad membuat keputusan mahu menjual kenderaan pacuan empat roda kesayangannya bagi mengelak daripada terus menerima tohmahan.

Dia menjelaskan perkara itu menerusi status terbarunya di Facebook.

Menurut Khaidir, tujuannya mahu menjual kenderaan itu adalah disebabkan dia kini sudah kembali sebagai insan marhaen selepas tidak lagi bergelar Ketua Pengarang di syarikat televisyen swasta berkenaan.

Katanya, pacuan empat roda jenis Toyota Fortuner itu dibeli dengan menggunakan wang pendahuluan yang diterimanya daripada kerajaan negeri Pahang susulan kejayaan membongkar serta membantu pihak berkuasa menumpaskan satu sindiket pembalakan haram terbesar di negeri itu pada 2007.

Katanya, ansuran bulanan pacuan empat roda yang dibelinya itu dibayar menggunakan gaji lima angka yang diterimanya ketika bertugas di stesyen televisyen swasta berkenaan sebelum dia berhenti dan mengusahakan ternakan patin sangkar.

Bagaimanapun, ada pihak-pihak yang menimbulkan isu apabila mengaitkan kenderaan yang dimiliknya itu dengan kemewahan.

Khaidir sebelum ini mendapat perintah daripada mahkamah supaya membayar kos guaman berjumlah RM10,600 bagi kes sivil yang difailkan oleh seorang pegawai kanan Pejabat Daerah Temerloh berhubung isu pam pasir yang dibantah oleh penduduk Mukim Lebak, Temerloh dan sangkar ikan patinnya di Sungai Pahang.

Susulan arahan mahkamah itu, dia telah memohon bantuan daripada orang ramai untuk membantunya membiayai kos guaman berkenaan hingga berjaya mengumpul sebanyak RM9,712.20 dalam tempoh empat hari selepas status itu dimuat naik di Facebook.

Bagaimanapun, dalam status terbarunya itu, Khaidir menyatakan dia tidak akan berputus harapan untuk meneruskan perjuangannya membela alam sekitar daripada kerakusan manusia.

“Istiqomah meniti kehidupan sederhana dlm perjuangan yg memerlukan komitmen tinggi dan pembiayaan yg besar, saya redha melihat kenangan ini berlalu pergi.

“Terharu dengan sokongan dan harapan rakyat yg sangat besar kpd perjuangan ini, saya akan berkorban apa sahaja termasuk harta dan nyawa demi menjayakan perjuangan alam sekitar untuk kesejahteraan hidup makhluk Allah di muka bumi yg semakin musnah akibat kerakusan tangan manusia yg berkiblatkan wang dan kemewahan ini,” tulisnya di Facebook.


DAP parti rasis dan suka buli Melayu – Bekas ahli


DAP parti rasis dan suka buli Melayu – Bekas ahli
Dia mendakwa DAP memang tidak suka tengok orang Melayu pegang jawatan dalam Exco malah pemilihan di Selangor baru-baru ini tiada wakil Melayu yang menang.

Bekas ahli DAP mendakwa parti itu ditubuhkan untuk membuli orang Melayu.

Pengerusi Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP), Ramesh Rao berkata demikian susulan tindakan pemimpin DAP yang mendesak Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali memecat Exco Pas.

Katanya, DAP yang sepatutnya perlu meletak jawatan exco kerana Pas tidak melakukan sebarang kesalahan malah parti itu menang atas pilihan rakyat.

“DAP duduk menyalak pecat Exco Pas tetapi Pas konsisten kerana mereka dipilih rakyat. Kalau benci dengan Pas sepatutnya DAP kena letak jawatan Exco.

“Siapa DAP nak cabar Pas letak jawatan. DAP ini rasis, dia memang tidak suka tengok orang Melayu pegang jawatan dalam Exco, bukti DAP rasis jelas dalam pemilihannya baru-baru ini apabila tidak ada Melayu yang menang,” katanya kepada FMT.

Ramesh berkata, sekiranya, DAP terus mendesak Pas digugurkan dari Exco, pilihan raya umum (PRU) akan datang parti itu akan ditolak pengundi Melayu.

“Melayu akan tolak sebab mereka anggap Cina (DAP) buli Melayu, Cina jangan buli Melayu, kalau mereka nak tolak hudud sekalipun,” katanya.

Jelasnya, pelantikan Exco Pas dibuat dengan perkenan Sultan Selangor malah Baginda berhak melantik sesiapa sahaja jika dianggap layak.

“Tuanku Sultan Selangor sudah berkenan Pas dilantik Exco, DAP nak lawan kuasa Tuanku?,” katanya.


Jamal kaki kencing – Ali Tinju


Jamal kaki kencing – Ali Tinju
Dia mencabar Jamal membuktikannya dengan menunjukkan dokumen pelantikannya sebagai Pengerusi NGO Melayu Malaysia.

Benarkah Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Jamal Md Yunos dilantik sebagai Pengerusi Gabungan NGO Malaysia?

Persoalan itu dibangkitkan oleh Presiden Persatuan Veteran Tentera Melayu, Mohd Ali Baharom atau lebih dikenali Ali Tinju yang curiga dengan jawatan yang disandang Jamal.

Sehubungan itu, dia mencabar Jamal supaya menunjukkan sijil dari Pendaftar Pertubuhan (ROS) untuk membuktikan kesahihan jawatan itu.

Katanya, jika Jamal gagal membuktikannya, pemilik rangkaian restoran Sekinchan Ikan Bakar itu merupakan seorang ‘kaki kencing’.

“Untuk buktikan Jamal bukan kaki kencing, saya mencabar dia supaya mengemukakan bukti sijil dari ROS bahawa pelantikannya sebagai Pengerusi Gabungan NGO Melayu Malaysia dan siapa melantik beliau sebagai Pengerusi,” katanya kepada FMT.

Ali Tinju berkata, dia terpaksa membangkitkan isu itu kerana tidak mahu Jamal terus menggunakan jawatan itu untuk menghasut NGO lain menyertai programnya.

“Saya mewakili NGO Gerakan Merah bersuara supaya tidak mahu tertipu.

“Sekiranya Jamal gagal membuktikan sijil pelantikan dari ROS, jelas menunjukkan beliau seorang kaki kencing dan gilakan kuasa,” katanya.

Mengulas lanjut, Ali Tinju berkata, pelantikan Jamal sebagai Ketua UMNO Bahagian juga adalah untuk menjaga NGO Selangor yang menyokong kerajaan sahaja bukannya NGO seluruh Malaysia.

“Kita tidak mahu rakyat melihat dia mengunakan jawatan tersebut untuk kepentingan politik,” katanya.


Gani Patail mahu dedah rahsia penyingkirannya


Gani Patail mahu dedah rahsia penyingkirannya
Beliau tidak mahu mendedahkan rahsia itu sekarang kerana terus mahu menjadi tumpuan ramai.

Tan Sri Abdul Gani Patail berjanji untuk mendedahkan rahsia yang menjadi punca beliau disingkirkan sebagai Peguam Negara pada waktu yang sesuai.

Beliau yang dikerumuni media sejurus selepas forum bertajuk “SOSMA – Musang Berbulu Ayam? pada malam Selasa berkata, sekiranya isu mengenai penyingkirannya itu didedahkan sekarang, beliau tidak lagi menjadi tumpuan pada masa akan datang.

“Saya akan menyatakan (mengenai penyingkiran sebagai Peguam Negara) pada masa akan datang. Tidak hari ini.

“Sekiranya saya mendedahkan sekarang, saya tidak akan menjadi tarikan anda pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai isu penyingkirannya sebagai Peguam Negara secara tiba-tiba pada 27 Julai lalu.

Terdahulu, beliau menjadi salah seorang panel dalam forum yang membincangkan mengenai Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma).

Forum itu turut disertai Presiden Majlis Peguam, Steven Thiru di Auditorium Raja Aziz Addruse di Bangunan Straits Trading di Kuala Lumpur.

Kemunculan Abdul Gani dalam forum itu merupakan yang pertama kali selepas tempoh perkhidmatannya ditamatkan lebih awal kononnya atas faktor kesihatan pada Julai lalu.

Pelbagai pihak membuat andaian penyingkirannya beliau berhubung rapat dengan siasatan Pasukan Petugas mengenai 1MDB.

Harga rokok naik mendadak


Harga rokok naik mendadak
BAT menegaskan bahawa kenaikan ini mengambil kira jumlah dibenarkan kenaikan cukai eksais itu serta kesannya terhadap GST dan tekanan kos inflasi.

Bermula hari ini, harga rokok meningkat sebanyak 40% dengan rokok popular seperti Dunhill, Kent, Benson & Hedges menjadi RM17.

Sementara harga bagi jenama Peter Stuyvesant dan Pall Mall menjadi RM15.50 dan RM17.50 bagi sekotak Lucky Strike Plain. Rokok jenama Shuang Xi pula meningkat kepada RM18.00.

Pengarah Urusan British American Tobacco (BAT) Malaysia Stefano Clini dalam satu kenyataan berkata bahawa kenaikan ini mengambil kira jumlah dibenarkan kenaikan cukai eksais itu serta kesannya terhadap GST dan tekanan kos inflasi.

“Pasaran tembakau yang sah di sisi undang-undang merosot sebanyak 10% pada September tahun ini berbanding September tahun lepas.

“Kenaikan melampau eksais rokok ini susulan daripada kelemahan ekonomi dan sentimen pengguna yang menyebabkan semakin banyak rokok seludup, di mana satu daripada 3 pek rokok diimport secara haram.

“Kami tidak boleh bayangkan kesan kenaikan harga lebih 40% ini terhadap industri,” kata Clini.


Aziz Bari beri harapan palsu kepada bukan Melayu


Aziz Bari beri harapan palsu kepada bukan Melayu
Dia diminta memberi penjelasan negeri manakah boleh melantik menteri besar dalam kalangan bukan Melayu dan bukan Islam.

Seorang ahli akademik menyifatkan Pakar Undang-undang yang telah menyertai DAP, Dr. Abdul Aziz Bari telah memberi harapan palsu kepada bukan Melayu di negara ini.

Ia susulan kenyataan Aziz baru-baru yang dilaporkan berkata, orang bukan Melayu boleh dilantik sebagai menteri besar.

Pengarah Pusat Kajian Institusi Raja Malaysia, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Prof Datuk Dr Ramlah Adam berkata, kenyataan yang dibuat oleh Aziz itu bukan sahaja harapan palsu malah boleh membuatkan rakyat menjadi bingung.

“Saya rasa ia boleh bingungkan rakyat. Menyebabkan orang yang tak usul periksa, orang yang tak membaca lebih mendalam boleh percaya dan ini akan beri harapan palsu kepada orang bukan Melayu.

“Mana mungkin sultan lantik menteri besar yang tak beragama Islam. Kalau dari segi logiknya. Macam mana menteri besar nak nasihatkan sultan tentang agama Islam kalau dia bukan beragama Islam?,” katanya kepada Free Malaysia Today.

Ramlah menjelaskan, Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri jelas menyatakan bahawa syarat untuk menjadi menteri besar merupakan Melayu dan beragama Islam.

“Setiap negeri di Malaysia ini mempunyai undang-undang tubuh. Jadi undang-undang tubuh tu macam Selangor jelas, Perak jelas. . saya rasa semua negeri jelas bahawa menteri besar itu Melayu dan Islam.

“Jadi kalau dia (Aziz) kata sultan boleh lantik bukan Melayu (menjadi menteri besar) itu pendapat pertama kali saya dengar. Saya rasa ini sangat merbahaya. Memberi harapan sedangkan benda itu memang tidak wujud dalam setiap negeri.” katanya.

Sehubungan dengan itu, Ramlah mencadangkan agar Aziz menjelaskan kenyataan yang dibuat olehnya negeri manakah yang membenarkan orang bukan Melayu dan bukan Islam menjadi menteri besar.

“Kenyataan yang umum macam ini boleh memesongkan atau memberi interpretasi yang salah. Dia boleh menimbulkan imej yang buruk kepada Sultan sebab disesebuah negari, sultan adalah pelindung agama Islam dan ketua agama Islam,” jelasnya.

Sebelum ini, sebuah portal melaporkan Aziz sebagai berkata, bukan Melayu boleh dilantik sebagai menteri besar kerana ia dibenarkan Perlembagaan yang jelas menyatakan bukan Melayu turut mempunyai hak asalkan memenuhi syarat ditetapkan.

Beliau berkata mengikut Perlembagaan, dalam keadaan tertentu kelonggaran diberikan kepada sultan untuk memilih calon menteri besar daripada kalangan bukan Melayu.


Siapa bakal ganti Tony Pua?


Siapa bakal ganti Tony Pua?
DAP tidak akan membenarkan Tony Pua mengundurkan diri daripada PAC sebaliknya, akan mencari seseorang bagi menggantikan tempatnya untuk berdebat.

Pakatan Harapan akan menamakan seorang anggotanya bagi menggantikan Tony Pua untuk berdebat secara terbuka dengan Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Arul Kanda Kandasamy.

Ketua Whip DAP, Anthony Loke Siew Fook mengumumkan perkara itu selepas Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia memutuskan bahawa anggota Parlimen Petaling Jaya Utara itu perlu meletak jawatan sebagai anggota PAC sekiranya berhasrat untuk meneruskan debat terbuka dengan Arul Kanda.

“DAP tidak akan membenarkan Tony Pua meletakkan jawatan beliau sebagai anggota PAC sebaliknya kami akan berbincang di antara kami untuk mewakilkan seorang daripada wakil kami untuk berdebat secara langsung dengan Arul Kanda (bagi menggantikan Pua),” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, pada Selasa.

Jelas Loke keputusan Pandikar Amin itu tidak akan terpakai sekiranya wakil yang berdebat mengenai isu 1MDB itu bukanlah seorang anggota PAC.

Dalam persidangan Dewan Rakyat hari ini, Pandikar Amin menegaskan sekiranya Pua tidak mahu melepaskan jawatannya dalam PAC, beliau tidak boleh terlibat sama sekali dengan siasatan 1MDB yang sedang dibuat oleh jawatankuasa berkenaan.

Pada masa sama, Arul Kanda yang merupakan saksi utama, juga harus tidak terlibat dalam penyiasatan PAC, menurut Pandikar Amin.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak hari ini menyarankan debat berhubung 1MDB itu diadakan di Studio 1, Radio Televisyen Malaysia (RTM) tanpa penonton dan disiarkan secara langsung bermula 9 malam pada Jumaat ini.

-Bernama


Khalid Ibrahim minta siasat DEIG


Khalid Ibrahim minta siasat DEIG
Siasatan perlu dilakukan untuk melihat berapa banyak perbelanjaan awal atau dana yang telah dibelanjakan DEIG walaupun belum beroperasi.

Bekas Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim meminta supaya penubuhan Darul Ehsan Investment Group (DEIG) disiasat sama ada melakukan perbelanjaan awal sebelum ia dibenarkan untuk beroperasi.

Sehubungan itu, Ahli Dewan Undangan (ADUN) Pelabuhan Klang itu menggesa Jawatankuasa Pilihan Agensi, Badan Berkanun dan Anak Syarikat (JP-ABAS) membuat kajian terhadap DEIG untuk mendapatkan pengesahan.

“Kita meminta JP-ABAS membuat kajian. Jika tidak berlaku apa-apa kita buat juga kajian tentang apa yang dipanggil sebagai ‘pleminary expenditure’.

“Salah satu perkara yang mesti kita tengok sebelum sesuatu organisasi ditubuhkan ialah melihat berapa banyak perbelanjaan awal yang diguna atau dilakukan dana dalam DEIG ini.

“Sama ada membuat transaksi atau urusniaga walaupun belum mendapat kelulusan muktamad dari kerajaan negeri.

“Ini sebagai beberapa contoh supaya bajet yang kita lakukan ini dalam keadaan telus dan juga seperti yang dinyatakan dalam bajet oleh Menteri Besar,” kata ketika membahaskan Belanjawan Selangor 2016 di DUN Selangor.

Sebelum itu, UMNO Selangor mempertikai pendirian kerajaan negeri yang tetap mahu meneruskan operasi DEIG pada awal tahun hadapan, sedangkan kertas putih berhubung strategik penubuhannya sehingga hari ini tidak dibentangkan secara rasmi melalui DUN Selangor.

Penubuhan DEIG mencetuskan kebimbangan ramai pihak, termasuk DAP kerana dengan hanya bermodalkan RM2, dengan dua saham bernilai RM1 dipegang oleh dua individu iaitu Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBI dan Ketua Pegawai Operasinya.

Ia juga mengambilalih aset-aset milik kerajaan negeri berjumlah RM30 bilion daripada MBI ketika pentadbiran Khalid suatu ketika dahulu.


Polis cuba tutup kematian Syed Azlan – SUARAM


Polis cuba tutup kematian Syed Azlan – SUARAM
NGO itu mendakwa kebarangkalian untuk melakukan penipuan atau pemalsuan bukti adalah tinggi khususnya demi menjaga nama baik institusi polis.

Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) mendakwa polis cuba menutup kesilapan anggota mereka yang menyebabkan kematian Syed Mohamed Azlan Syed Mohamed Nur pada 3 November 2014 ketika dalam tahanan.

Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan hak asasi manusia itu mendakwa, disebabkan polis mempunyai kuasa untuk menahan dan membuat siasatan kes kematian dalam tahanan, kebarangkalian untuk melakukan penipuan atau pemalsuan bukti adalah tinggi khususnya demi menjaga nama baik institusi polis.

Katanya, ia dapat dilihat menerusi kenyataan Ketua Siasatan Jenayah Johor, Datuk Hasnan Hassan pada 25 November 2014 bahawa beliau telah mengetahui bahawa mangsa  mati kerana dipukul polis.

“Mangsa  mati 3 November 2014, manakala kenyataan beliau (Hasnan) pada 25 November 2014, sepatutnya dalam tempoh tersebut beliau telahpun mengetahui bahawa si mati mati kerana dipukul pihak polis dan bukannya secara mengejut tetapi beliau tidak mahu mendedahkan perkara yang sebenar,” kata SUARAM menerusi kenyataan media.

Sehubungan itu, SUARAM menggesa agar polis membuat penambahbaikan seperti yang dicadangkan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasa Malaysia (EAIC).

“Antara yang paling penting adalah jika berlaku kecederaan fizikal pada suspek semasa penangkapan berlaku, maka suspek perlulah dirujuk atau dihantar ke pegawai perubatan hospital kerajaan bagi memastikan tahap keseriusan kecederaan serta status kesihatan suspek tersebut,” katanya.

SUARAM akan menghantar memorandum di Bukit Aman pada Rabu untuk mendesak salah laku polis itu dibawa pada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM).

EAIC pada 30 Oktober lalu mengeluarkan hasil siasatan yang mendapati kematian Syed Azlan akibat trauma hentakan senjata tumpul ke atas dada si mati.

Siasatan EAIC  juga mendapati si mati mengalami 61 kesan kecederaan di seluruh badan dipercayai dipukul ketika ditahan dan disoal siasat oleh anggota polis.

Syed Azlan ditahan pada 3 November 2014 di bilik sewanya di Teluk Ramunia, Sungai Rengit, Pengerang, Johor kerana disyaki terlibat dalam pergaduhan dan menggunakan senjata api.

Dia disahkan meninggal dunia di Klinik Kesihatan Bandar Penawar pada hari yang sama ketika dalam perjalanan untuk mendapatkan perintah tahanan reman.


Tukang cat cabul kerana mangsa terlalu cantik


Tukang cat cabul kerana mangsa terlalu cantik
Tertuduh telah mencengkam kedua-dua belah tangan gadis berkenaan sambil berkata `I love you' ketika menjaga isterinya yang separa koma di hospital.

Seorang duda memberitahu Mahkamah Majistret di sini, tindakannya mencabul seorang pelajar perempuan kerana melihat gadis itu terlalu cantik.

Sebelum menjatuhkan hukuman atas tuduhan mencabul, Majistret Ashraf Rezal Abdul Manan bertanya kepada tertuduh mengapa dia memegang mangsa, tertuduh menjawab dalam Bahasa Mandarin, “Gadis itu terlalu cantik”.

Duda yang memiliki seorang anak itu dihukum penjara empat bulan selepas mengaku bersalah mencabul pelajar itu, ketika duda itu menjaga isterinya yang koma di sebuah hospital.

Majistret menjatuhkan hukuman itu ke atas Lim Loon Cheng, 53, seorang tukang cat dan memerintahkannya menjalani hukuman itu bermula dari tarikh dia ditangkap, 11 Jun lepas.

Lim didakwa mencengkam kedua-dua belah lengan gadis berusia 19 tahun itu dan berkata, “I love you” dengan maksud hendak mencabul kehormatannya di dalam sebuah wad, di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada jam 10.10 malam, 10 Jun lepas.

Bapa kepada anak berusia 12 tahun itu didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

Mengikut fakta kes, tertuduh yang sedang menjaga isterinya yang separa koma di wad tersebut meminta mangsa yang sedang menjaga neneknya yang sakit di katil hadapan, menutup suis lampu di tempat duduk tertuduh.

Ketika mangsa menutup lampu, tertuduh memegang kedua-dua lengan gadis itu sebelum gadis itu menolak tertuduh dengan kuat dan lari dari bilik wad berkenaan.

Tertuduh tidak diwakili peguam.

-BERNAMA

Debat perlu diteruskan demi kebenaran – Shafie Apdal


Debat perlu diteruskan demi kebenaran – Shafie Apdal
Beliau mengalu-alukan debat berkenaan kerana ia berkemungkinan akan memberi maklumat tambahan kepada rakyat yang mengambil berat isu 1MDB.

Bekas menteri kabinet, Datuk Seri Shafie Apdal menyokong debat 1MDB antara Tony Pua dan Arul Kanda diteruskan demi mencari kebenaran.

Bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu berkata, debat yang dicadangkan pada Jumaat ini patut diteruskan tanpa sebarang syarat kerana perdebatan seperti itu perlu digalakkan.

“Kalau siasatan itu berhubung kait kebenaran apa salahnya. Kalau siasatan itu berlandaskan mencari kebenaran, itu adalah penting untuk kita,” katanya di Parlimen.

Naib Presiden UMNO itu turut menegur Speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang bertindak tidak wajar dengan meletak syarat jika mahu debat itu diteruskan.

“Saya berpandangan itu tidak wajar. Tidak harus ada syarat diletakkan pada mana-mana pihak untuk kita mencari kebenaran walaupun dia mempunyai maklumat.

“Maklumat eksklusif hanya untuk jawatankuasa PAC dan tidak sepatutnya kita meletakkan sebarang syarat untuk dia (Tony Pua) hadir ke debat tersebut. Apa yang penting adalah kita galakkan perdebatan ini dilakukan tanpa meletakkan syarat,” katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Rujukan