Cari Artikel

Tuesday, November 3, 2015

PAC arah Tony Pua berhenti buat kenyataan 1MDB


PAC arah Tony Pua berhenti buat kenyataan 1MDB
PAC juga mengarahkan Arul Kanda mematuhi arahan itu untuk mengelak prejudis kerana 1MDB sedang disiasat.

Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengarahkan Tony Pua supaya tidak lagi membuat kenyataan mengenai 1MDB kerana syarikat pelaburan milik negara itu sedang disiasat.

Pengerusi PAC, Datuk Hasan Ariffin berkata, arahan itu sejajar dengan Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat yang ditetapkan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

“Saya harap dia (Tony) patuh pada arahan yang ditetapkan oleh Speaker Dewan Rakyat.

“Ini bermakna Tony Pua tidak sepatutnya bercakap dan mengeluarkan kenyataan mengenai 1MDB di luar termasuk ceramah,” katanya dalam sidang media di Parlimen pada Selasa.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Rompin itu juga berharap agar pihak eksekutif (kerajaan) juga mematuhi keputusan peraturan mesyuarat berkenaan.

Sebelum ini, Pandikar Amin memutuskan debat itu dibenarkan jika mematuhi dua syarat khusus iaitu Tony Pua harus meletak jawatan sebagai anggota PAC atau Arul Kanda tidak boleh terlibat dalam mana-mana bahagian siasatan PAC.

Fahmi Zainol, Adam Fistival masuk PKR


Fahmi Zainol, Adam Fistival masuk PKR
Fahmi akan dilantik Pengerusi Biro Mahasiswa PKR manakala Adam dilantik sebagai Koordinator myChangeMakers.

Dua aktivis mahasisiwa pro pembangkang yang dikenakan tindakan Universiti Malaya (UM) kerana melanggar peraturan, Fahmi Zainol dan Adam Fistival Wilfrid mengumumkan menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berkata, Fahmi, bekas Presiden Persatuan Mahasiswa UM (PMUM), akan dilantik sebagai Pengerusi Biro Mahasiswa PKR.

Manakala Adam akan dilantik sebagai Koordinator myChangeMakers bagi mengumpul tenaga muda untuk bertugas di lapangan bagi membantu rakyat terbanyak menerusi kerja komuniti.

“Penyertaan Fahmi Zainol dan Adam Fistival Wilfrid bakal menjadi pemangkin ke arah kesedaran anak muda akan kepentingan mengambil peduli isu-isu politik dan isu-isu yang memberi kesan kepada kehidupan rakyat secara amnya, tanpa mengira agama atau warna kulit,” katanya.

Nurul Izzah berkata, penyertaan Fahmi dan Adam membuktikan anak muda di negara ini dahagakan kebebasan terutamana ketika menuntut di universiti.

“Kami yakin, penyertaan Fahmi Zainol dan Adam Fistival Wilfrid pada hari ini bakal menjadi pemangkin ke arah kesedaran anak muda akan kepentingan mengambil peduli isu-isu politik dan isu-isu yang memberi kesan kepada kehidupan rakyat secara amnya, tanpa mengira agama atau warna kulit,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Fahmi digantung pengajian dua semester dan didenda RM600 manakala Adam didenda kerana terlibat menganjurkan program melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Oktober tahun lalu.

DAP desak Azmin terima Pakatan Harapan


DAP desak Azmin terima Pakatan Harapan
DAP masih mengalu-alukan penyertai Pas dalam Pakatan Harapan dengan syarat Pas tiada kerjasama dengan UMNO.

DAP meneruskan tekanan terhadap Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin dengan mendesak kedudukan Pakatan Harapan diiktiraf di negeri itu.

Penolong Bendahari DAP Selangor, Lau Weng San berkata, Azmin perlu mengaku bahawa Pakatan Harapan telah wujud di Selangor dan Parti Amanah Negara (Amanah) sebagai sebahagian daripada kerajaan negeri.

“Sesuatu kerja tidak akan lancar kalau namanya tidak betul. Sebab itu pengiktirafan sewajarnya harus diberikan kepada Pakatan Harapan dan Amanah.

“Tidak wajar kata Pakatan Harapan tidak wujud di Selangor kerana kerajaan negeri kini dipimpin oleh PKR, DAP, Amanah dan Pas. PKR,DAP dan Amanah pula bergabung di bawah Pakatan Harapan,” katanya ketika sidang media di Lobi Dun Selangor.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kampung Tunku juga tidak menolak sekiranya Pas boleh bergabung dengan Pakatan Harapan.

Bagaimanapun, Pas perlu menolak sebarang bentuk kerjasama dengan UMNO.

“Kalau ada rakan-rakan Pa yang ikhlas dan berjanji akan menentang kezaliman UMNO habis- habisan dan tidak ingin menjadi penasihat kepada UMNO maka tiada masalah untuk terus kekal dalam Pakatan Harapan.

“Saya ada kata juga, kerajaan Pakatan Harapan Selangor haruslah bersifat terbuka sekiranya ada ADUN PAS yang menyokong agenda perjuangan Pakatan Harapan dan tidak ingin bekerjasama dengan UMNO,” katanya.

Isu DEIG: Azmin Ali diserang lagi


Isu DEIG: Azmin Ali diserang lagi
Kertas putih DEIG sepatutnya dibentangkan pada Sidang DUN kali ini sebelum ia dibenarkan beroperasi.

UMNO mempertikaikan keputusan Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali untuk meneruskan operasi syarikat pengurusan risiko pelaburan, Darul Ehsan Investment Group (DEIG).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang, Budiman Mohd Zohdi berkata, DEIG tidak boleh beroperasi pada tahun hadapan kerana pembentangan rasmi mengenai strategik penubuhan DEIG dalam bentuk kertas putih belum dibentangkan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).

Katanya, sikap Azmin itu menunjukkan beliau hanya membuat keputusan sendiri tanpa mengira keputusan bersama yang telah dibuat dalam DUN.

“Saya boleh sahkan di sini pada sidang ini tidak akan ada pembentangan kertas putih pada sidang ini… Tetapi DIEG tetap mahu diteruskan.

“Menteri Besar (MB) besar tak hormati usul…. dalam mentadbir kena kerja satu pasukan bukan secara berseorangan.

“Sikap Azmin ini menyebabkan kebimbangan ini bukan sahaja oleh pasukan mereka (DAP, PKR, Amanah, PAS, tetapi dalam BN juga,” katanya dalam sidang media di DUN Selangor.

Budiman berkata demikian mengulas lanjut mengenai satu usul yang diminta ADUN Hulu Kelang, Shaari Sungib pada Sidang DUN lalu supaya operasi syarikat pelaburan DEIG ditangguhkan.

Sementara itu, ADUN DAP dari Kampung Tunku, Lau Weng San menegaskan semua perjanjian di bawah syarikat kerajaan negeri seharusnya lebih telus.

Katanya sebarang perjanjian dibuat oleh Kerajaan Negeri seharusnya tidak boleh ada klausa kerahsiaan.

“Saya minta semua perjanjian dengan mana-mana syarikat swasta mesti telus.

“Tidak boleh ada klausa kerahsiaan,” katanya.

Pas ingatkan Najib masih ada 41 hari


Pas ingatkan Najib masih ada 41 hari
Perdana Menteri pada Jun lalu berjanji untuk menyelesaikan masalah 1MDB dalam tempoh enam bulan.

Datuk Seri Najib Tun Razak masih mempunyai 41 hari sahaja lagi sebelum tempoh enam bulan yang dijanjikannya untuk menyelesaikan masalah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tamat.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, rakyat mengharapkan Perdana Menteri tidak menggunakan debat antara Tony Pua dan Arul Kanda untuk mengatakan masalah 1MDB telah selesai.

“Sebagai peringatan, ada 41 hari sahaja lagi sebelum tempoh enam bulan yang dijanjikan Najib untuk menyelesaikan masalah 1MDB akan tamat.

“Diharap Najib tidak menggunakan kemenangan debat ini sebagai penunaian janji bahawa masalah 1MDB telah selesai. Hakikatnya, masalah 1MDB tidak selesai di satu debat,” katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Jun lalu, Najib meminta rakyat memberi tempoh enam bulan kepadanya untuk menyelesaikan masalah 1MDB.

Tuan Ibrahim turut mengingatkan Barisan Nasional (BN) bahawa debat itu juga tidak akan membersihkan masalah 1MDB, kerosakan ekonomi dan Ringgit yang dibawa oleh syarikat itu.

“Kerana 1MDB, integriti Bank Negara Malaysia turut dipertikai. Siasatan 1MDB yang tergendala menyebabkan imej SPRM, polis dan Jabatan Peguam Negara terus kekal sebagai instituti berkuasa yang tidak bebas dan terkongkong.

“Ini menyebabkan runtuhnya sistem pengawasan dan keseimbangan (‘check and balance’) terhadap mereka yang diberi kuasa untuk memerintah negara,” katanya.

Tambahnya, orang yang melaporkan dan mempertikai mengenai 1MDB juga menghadapi masalah diburu oleh pihak berkuasa.

“Mereka yang menyebabkan 1MDB meninggalkan hutang berbilion untuk ditanggung kerajaan dan rakyat belum lagi disoalsiasat.

“Antaranya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Jho Low, Nik Faisal Arif Kamil (Pengarah Urusan SRC International serta Datuk Suboh Md Yasin (Pengarah SRC International Sdn Bhd),” jelasnya.

CCTV rakam cubaan ragut lelaki bermotosikal


CCTV rakam cubaan ragut lelaki bermotosikal
Kejadian berlaku pada 31 Oktober lalu di hadapan rumah mangsa apabila dua lelaki menaiki sebuah motorsikal gagal meragut beg tangan seorang wanita.

Seorang pengguna Facebook berkongsi pengalaman apabila anak perempuannya hampir menjadi mangsa ragut dua lelaki dalam kejadian yang berlaku di hadapan rumahnya pada 31 Oktober lalu.

Menulis pada ruangan status di Facebook, Janice Lim menceritakan, semasa kejadian jam 8 malam itu, dia bersama anaknya baru sahaja pulang ke rumah dan meletakkan kenderaan di luar pintu pagar.

Katanya, sejurus keluar dari kereta, anaknya yang mahu membuka pintu pagar rumah sambil ditangannya memegang beg tangan telah didatangi seorang lelaki yang sebelum itu dilihat menaiki motosikal bersama seorang lagi rakannya.

“Lelaki itu telah menarik beg tangan anak saya tetapi dengan tenaga yang kuat pegangannya itu tidak terlepas.

“Melihatkan tindakan lelaki itu gagal, rakannya kemudian telah memberhentikan motosikal lalu menerpa ke arah anak saya dan turut melakukan perkara sama, namun tindakannya itu turut gagal,” katanya.

Jenice menambah, suaminya yang menyedari kejadian berkenaan telah menjerit dari dalam rumah membuatkan kedua-dua suspek melarikan diri.

Dia menjelaskan, tujuan video itu dimuat naik ke Facebooknya adalah bagi memberi peringatan kepada rakan-rakan di media sosial agar sentiasa berwaspada dalam setiap pergerakan.




Dear friends wanted to share an incident that happened in front of my house ard 8pm tonite. We just returned home when 2 guys on a motorbike tried to snatch my daughter bag. My spirited girl fought back n held on to her bag. When the 1st attempt failed the 2nd guy tried to snatch again. Luckily hubby heard our shouts n ran out that's when the 2guys realised they were outnumbered n rode off. M sharing the video to all to be alert at all times. Do ensure that the coast is clear b4 u get down from car. Stay safe n be alert!
Posted by Janice Lim on Saturday, October 31, 2015

Bersih 4.0: Maria Chin didakwa


Bersih 4.0: Maria Chin didakwa
Dia didakwa atas tuduhan gagal memberi notis pemberitahuan kepada polis Brickfields untuk mengadakan Perhimpunan Bersih 4.0 pada Ogos lalu.

Penganjur Perhimpunan Bersih 4.0 Maria Chin Abdullah didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas tuduhan gagal memberi notis pemberitahuan kepada polis berhubung penganjuran perhimpunan itu pada Ogos lepas.

Maria, 59, yang juga Pengerusi Perhimpunan Bersih 2.0, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Mat Ghani Abdullah.

Sebagai penganjur, beliau didakwa gagal memberi notis pemberitahuan kepada polis Daerah Brickfields di sini, 10 hari sebelum mengadakan perhimpunan itu di hadapan kompleks beli-belah NU Sentral, Jalan Tun Sambanthan, Brickfields di sini antara 2 petang hingga 3 petang, 29 Ogos lepas, yang melanggar Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman 2012.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 9(5) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM10,000 jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin.

Peguam Honey Tan Lay Ean, yang mewakili Maria sebagai orang kena saman, memohon mahkamah tidak mengenakan jaminan atas alasan anak guamnya sentiasa memberi kerjasama dan tidak akan melarikan diri kerana bekerja di negara ini.

Hakim, Mat Ghani membenarkan Maria diikat jamin RM5,000 tanpa cagaran dengan seorang penjamin dan menetapkan 11 Disember ini untuk sebutan semula kes.

-BERNAMA

Kementerian akan siasat ‘aksi mengejut’ dua pelajar


Kementerian akan siasat ‘aksi mengejut’ dua pelajar
Kementerian Pendidikan belum lagi dapat mengenal pasti lokasi video pelajar berpeluk dan bercium itu dirakamkan.

Kementerian Pendidikan akan menyiasat perbuatan seorang pelajar perempuan memeluk seorang pelajar lelaki dipercayai kekasihnya yang memakai uniform sekolah.

Rakaman video 15 saat itu tersebar luas di laman sosial sejak semalam dan mendapat kritikan pelbagai pihak.

Timbalan Menterinya, P.Kamalanathan berkata, beliau kecewa dengan tindak tanduk pelajar itu walaupun beliau secara rasmi belum melihat video berkenaan.

“Saya mendengar mengenainya dari seorang sumber dan saya fikir saya perlu melihatnya segera bagi memudahkan siasatan,” katanya yang dipetik daripada Bernama.

Kamalanathan berkata, setakat ini, pihaknya belum lagi dapat mengenal pasti lokasi video itu dirakamkan dan berharap orang ramai yang mempunyai maklumat, tampil ke hadapan memaklumkannya kepada kementerian.

“Hanya selepas itu kita tahu jenis tindakan yang akan diambil terhadap mereka,” kata anggota Parlimen Hulu Selangor itu.

Video yang menunjukkan kedua-dua pelajar itu berpeluk dan bercium, dipercayai dirakam oleh pelajar lain di sebuah sekolah menengah namun tidak dinyatakan tarikh aksi dirakam dan lokasi sekolah yang terlibat.

Kamalanathan berkata, insiden itu berlaku berkemungkinan disebabkan anak-anak terlalu terdedah dengan pelbagai perkara termasuk suasana kehidupan yang berlainan.

“Apabila hidup dalam suasana yang berlainan dari zaman dahulu, ibu bapa perlu membimbing anak-anak mereka dengan baik dan membimbing itu bukan sahaja tanggungjawab guru, malah semua pihak,” tambahnya.


Bangun awal pagi jika tidak mahu bayar tol – menteri


Bangun awal pagi jika tidak mahu bayar tol – menteri
Kerajaan menyediakan jalan alternatif kepada pengguna yang mahu mengelak daripada membayar tol.

Rakyat disaran supaya merancang perjalanan dengan bangun lebih awal untuk ke tempat kerja jika tidak mahu membayar tol susulan pengenalan kadar baharu tol yang berkuatkuasa bulan lalu.

Cadangan itu dibuat Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan.

Beliau juga mencadangkan rakyat memilih jalan alternatif yang sememangnya disediakan oleh kerajaan bagi pengguna yang mahu mengelak daripada membayar tol.

“Saya nak tekankan, dimana kita letakkan tol kita mempunyai jalan alternatif, ada jalan alternatif dari point A ke point B tanpa melalui tol. Bila tidak melalui tol dia akan memakan masa dan menghadapi kesesakan lalu lintas dan menghadapi banyak lampu isyarat.

“Jadi dari segi itu kita kena bahagi masa, kalau tak nak bayar tol, kita kena bahagi masa. Bahagi masa untuk sampai ke destinasi kita mungkin kena turun 15 minit lebih awal, 20 minit lebih awal kena bangun,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia di Hotel J.W. Marriot pada Selasa.

Rahman yang juga Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN) berkata, kerajaan memperkenalkan tol adalah untuk memendekkan perjalanan.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan terpaksa membenarkan konsesi menaikkan kadar tol memandangkan kos untuk penyelenggaraan lebuh raya semakin meningkat.

“Kos untuk menyelanggara ini semakin hari semakin meningkat dan kita tahu bahawa tol tidak naik untuk beberapa tahun dan bila dia naik kita berharap rakyat faham kos itu meningkat,” katanya.

Pandikar Amin ugut letak jawatan


Pandikar Amin ugut letak jawatan
Debat dan kenyataan dari dua individu itu berkecenderungan menimbulkan tuduhan terhadap sifat seseorang yang jelas tidak dibenarkan dibawah Peraturan Mesyuarat 23 (10).

Tan Sri Pandikar Amin Mulia mengugut akan meletak jawatan Speaker Dewan Rakyat sekiranya debat 1MDB antara Arul Kanda Kandasamy dan Tony Pua diteruskan.

Ini kerana, katanya, debat dan kenyataan dari dua individu itu berkecenderungan akan menimbulkan tuduhan terhadap sifat seseorang yang jelas tidak dibenarkan mengikut Peraturan Mesyuarat 23 (10).

“Kalau kerajaan mahu melibatkan perdebatan itu, saya tidak akan melibatkan diri saya dan saya secara dukacitanya akan mengundur diri sebagai Speaker kalau itu diteruskan. Pendirian saya jelas,” ujarnya sewaktu sesi perbahasan di Dewan Rakyat pada Selasa.

Jelasnya, siaran langsung debat itu juga akan menyebabkan siasatan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) akan terjejas dan menimbulkan prejudis orang awam terhadap kredibiliti siasatan berkenaan.

Bagaimanapun, Pandikar menyatakan debat itu dibenarkan jika ia dijalankan dengan mematuhi dua syarat khusus iaitu Tony Pua harus meletak jawatan sebagai anggota PAC atau Arul Kanda tidak boleh terlibat dalam mana-mana bahagian siasatan PAC.

“Saya tidak akan menghalang sekiranya debat secara langsung diteruskan kedua pihak, namun saya benarkan dengan syarat bahawa Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara harus meletakkan jawatan dari PAC atau tidak meletakkan jawatan tetapi tidak melibatkan diri mana-mana bahagian siasatan PAC yang melibatkan 1MDB.

“Manakala, Arul Kanda tidak boleh lagi terlibat dalam mana-mana bahagian siasatan PAC, ini bagi maksud mengekalkan ketelusan siasatan PAC selaras dengan Peraturan Mesyuarat sebelum kenyataan PAC itu dibentangkan,” ujarnya lagi.

Mengulas lanjut, Pandikar Amin menyatakan perbahasan mengenai 1MDB hanya dibenarkan sekiranya siasatan PAC selesai.

“Apa salahnya kalau keputusan PAC dibuat terlebih dahulu, berbulan berbahas pun boleh. Tidak bolehkah rakyat menunggu sehingga penyiasatan dibuat dan PJU juga duduk dalam PAC, dan Arul Kanda akan dipanggil.

“Adakah perbahasan itu nanti akan dapat perbahasan tuntas, tunggu sehingga majlis ini boleh bahas sebaik mungkin. Selepas itu secara terbuka atau tiada terpulang, kenapa itu tidak boleh ditunggu,” tegasnya.

‘Shasha steereng lock’ bimbang keselamatan diri


‘Shasha steereng lock’ bimbang keselamatan diri
Dia mendakwa pemilik kereta Toyota Camry mengancam mahu mencarinya di tempat kerja.

Seorang wanita yang videonya tersebar selepas mengamuk dengan memukul sebuah kenderaan lain menggunakan kunci stereng mengakui dia kini bimbang terhadap keselamatan diri dan keluarganya.

Wanita berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai Shasha, 35, berkata, ketakutan yang menyelubungi dirinya itu ialah apabila pemilik kereta yang dikemekkannya itu telah mengancam untuk mencarinya di tempat kerja.

Menceritakan tentang kejadian yang berlaku pada 28 Oktober lalu, Shasha menegaskan, dia bertindak memukul kereta lelaki yang tidak dikenali itu kerana mahu mempertahankan diri.

Katanya, lelaki itu yang menaiki kereta jenis Toyota Camry telah meletakkan kenderaannya di tempat letak kenderaan yang telah dikhaskan untuknya.

“Lelaki itu telah mengambil tempat letak kereta saya. Apabila saya suruh dia pergi ke petak letak kereta yang lain dia tidak mahu berbuat demikian,” katanya.

Menceritakan semula kejadian itu, Shasha berkata, dia sengaja letakkan keretanya menghalang Toyota Camry kerana geram dengan perbuatan lelaki berkenaan yang meletak kenderaan ditempat yang dikhaskan untuknya.

“Lelaki itu yang berada di dalam Toyota Camry telah menggerakkan keretanya dan melanggar kereta saya. Sedang saya bercakap di telefon lelaki itu kemudian telah mengambil kunci kereta saya,” katanya, lapor The Star Online.

Dia mendakwa lelaki terbabit juga telah memukul ayahnya berusia 67 tahun yang ketika itu ada bersama dengannya.

Disebabkan hilang kesabaran dengan sikap lelaki itu, dia kemudian telah bertindak mengambil kunci stereng dan memukul kenderaan lelaki itu beberapa kali sehingga kemek.

Perlakuannya itu telah dirakam oleh lelaki terbabit yang kemudian menyebarkannya di media sosial.
Dia tahu tujuan sebenar lelaki itu merakam gambar iaitu dengan niat mahu menunjukkan dia adalah pelaku sebenar punca kejadian berlaku.

“Video ini membuatkan saya kelihatan seperti seorang wanita gila. Saya melakukan iu adalah bagi melindungi keluarga saya dan harta saya.”

Ketua Polis Selangor Datuk Abdul Samah Mat mengesahkan polis telah menjalankan siasatan terhadap kes berkenaan.


Tiada kesalahan dilakukan Najib – menteri


Tiada kesalahan dilakukan Najib – menteri
Perdana Menteri tidak melanggar peraturan mengikut undang-undang perbankan dan kewangan negara seperti yang didakwa Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak melakukan apa-apa kesalahan dan melanggar undang-undang perbankan dan kewangan negara seperti yang didakwa Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata, Dr Mahathir perlu mengemukakan asas kepada pertuduhan yang dilemparkan terhadap Najib.

“Saya pun tidak faham asas kepada pandangan Tun Dr Mahathir. Saya rasakan tidak ada. Saya tak nampak apa-apa yang telah dilanggar oleh Perdana Menteri dalam hal ini.

“Pada saya Tun Dr Mahathir membuat kenyataan sedemikian dan sudah tentulah beliau harus mengemukakan asas-asas tuduhan tersebut. Tidak ada kesalahan yang dilakukan oleh Perdana Menteri dan tidak berbangkit soal beliau itu harus didakwa atau tidak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Seminar Antarabangsa Linguistik dan Pembudayaan Bahasa Melayu ke-9 di Universiti Putra Malaysia pada Selasa.

Dr Mahathir menerusi blognya mendakwa Perdana Menteri yang seharusnya didakwa kerana mensabotaj sistem perbankan dan kewangan negara bukannya pemberi maklumat Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan peguamnya Matthias Chang.

Beliau berkata, mereka yang menubuhkan dana pelaburan negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan pengurusannya adalah pihak yang mensabotaj negara ini, yang mempunyai rekod pengurusan kewangan dan sistem perbankan yang baik.

Menurut Salleh, apa yang dinyatakan oleh Dr Mahathir hanya merupakan kenyataan politik.

Debat 1MDB: Pendirian Khairy berbeza


Debat 1MDB: Pendirian Khairy berbeza
Debat itu hanya mampu memberi pencerahan kepada rakyat tetapi tidak sepenting berbanding keputusan siasatan PAC.

Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin mengambil pendirian berbeza berbanding menteri kabinet lain yang menyokong debat terbuka diadakan antara Tony Pua dan Arul Kanda.

Sebaliknya, Menteri Belia dan Sukan itu percaya debat antara Pengarah Kumpulan Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy dan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua tidak akan selesaikan masalah.

Katanya, debat itu hanya akan memberi pencerahan kepada rakyat mengenai masalah dan situasi semasa yang berlaku terhadap syarikat pelaburan strategik 1MDB itu.

“Debat ini mungkin boleh beri pencerahan kepada orang awam, tetapi debat tidak boleh selesaikan kes 1MDB. Debat ini lebih kepada penerangan kepada umum,” katanya sewaktu ditemui pemberita di Lobi Parlimen pada Selasa.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Rembau itu tetap optimis bahawa siasatan dan keputusan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) terhadap syarikat itu lebih penting dari debat tersebut.

“Terpulang kepada mereka, sekiranya mereka rasa itu (debat) cara yang terbaik, bagi saya yang penting adalah proses sisatan PAC,” ujarnya lagi.

Sebelum ini, beberapa anggota kabinet telah menyuarakan pandangan terhadap debat tersebut antaranya Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang membidas Tony Pua kerana berdolak-dalih dalam isu debat secara terbuka.

Selain, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut menggesa agar Tony Pua tidak menjadi seorang yang pengecut sebaliknya menyahut cabaran Arul Kanda itu.

Menteri cadang debat 1MDB Jumaat ini


Menteri cadang debat 1MDB Jumaat ini
Debat yang melibatkan antara Tony Pua dan Arul Kanda Kandasamu itu dicadang diadakan jam 9 hingga 10 malam dan tidak melibatkan penonton.

Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak mencadangkan sesi debat antara Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua dan Presiden 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy disiarkan secara langsung pada Jumaat ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia itu berkata, debat terbuka itu akan menerusi saluran RTM pada jam 9 hingga 10 malam.

“Pihak RTM akan menghubungi kedua-dua pihak mengenai syor ini dan pihak RTM akan menyediakan moderator serta kita harap kedua-dua pihak akan bersetuju termasuklah format perbahasan yang akan diadakan.

“Saya berpendapat perkara ini perlu disegerakan kerana ia telah menjadi bualan masyarakat dan debat ini perlu diadakan secara profesional, berfakta, dalam suasana kondusif dimana kita memberi peluang kepada kedua-dua pihak mengutarakan pendapat masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Seminar Antarabangsa Linguistik dan Pembudayaan Bahasa Melayu ke-9 di Universiti Putra Malaysia pada Selasa.

Salleh berkata, debat itu akan diadakan di Studio 1 RTM dan tidak akan melibatkan sebarang penonton kerana mahu suasana lebih kondusif.

“Pada pendapat kita perbahasan tidak semestinya ‘live audiens’. Kita boleh tengok secara langsung. It’s live. Bukannya dirakam. Tidak ada edit,” jelasnya.

Beliau turut ditanya adakah sesi debat ini akan menjejaskan siasatan yang dijalankan oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) terhadap 1MDB.

“Kita akan perlu satu panduan. Ada maklumat yang dibincang dalam PAC belum lagi boleh dihebahkan kepada umum kerana PAC ditubuh dibawah parlimen dan mereka kena buat laporan kepada Parlimen. Tetapi ada maklumat yang umum yang tidak salah diperbahaskan,” ujarnya.

Elaun ADUN naik tapi caruman guru tak bayar


Elaun ADUN naik tapi caruman guru tak bayar
Kelantan naikkan elaun ADUN kepada RM8,00 sebulan tetapi pada masa sama tidak membayar potongan gaji dan caruman guru YIK membabitkan tunggakan berjumlah RM14.6 juta.

Kerajaan Kelantan dikecam kerana menaikkan elaun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sehingga RM8,000 sebulan tetapi dalam masa sama tidak membayar tunggakan kepada guru Yayasan Islam Kelantan (YIK).

Di media sosial dan blog, kepimpinan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakob dikritik hebat kerana membuat keputusan menaikkan elaun itu tetapi gagal menjelaskan pencaruman dan potongan gaji guru YIK.

Pengkritik juga berpendapat kenaikan elaun tidak sesuai ketika rakyat berhadapan tekanan hidup disebabkan kos sara hidup makin tinggi.

Kenaikan elaun ADUN itu diluluskan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan pada Isnin.

Kenaikan wakil rakyat daripada RM4,600 kepada RM8,000 sebulan mula berkuat kuasa Januari tahun depan selepas pindaan terhadap Enakmen Saraan Anggota Pentadbiran dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) 1980.

Alasan kenaikan itu berikutan komitmen dan tanggungjawab semua ADUN terhadap rakyat bagi memastikan kebajikan dan keperluan mereka terjaga.

Dalam masa sama, Kerajaan Kelantan mengakui tidak membayar potongan gaji dan caruman guru YIK membabitkan tunggakan berjumlah RM14.6 juta.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan dan Pengajian Tinggi Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata tunggakan tersebut berlaku sejak 2001 kerana beberapa faktor namun semakin meningkat bermula tahun lepas.

Beliau berkata, potongan gaji dan caruman itu sepatutnya dihantar ke beberapa agensi seperti Biro Angkasa, Bank Islam, Tabung Haji, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Koperasi Majlis Agama Islam Kelantan (Maik).

“Betul-betul manusia tak berakal. Kejam dan zalim. Tidak tahu nak mengutamakan apa yang utama. Dah setaraf dengan UMNO, ” tulis pemilik Facebook Abdullah Khan.

“Sekrg dah pakai kete mewah dan angkat umah berjuta2 mana cukup nak bayar semua tu hehehe nak amal Islam konon…lagi merosakkan Islam ada ler nauzubiLLAHiminzaalik bila TGNA dah meninggal melampau2 geng2 ustaz ni,” komen Sheikh Kadok.

“When it comes to money, lebai pun boleh terbang serban terselak jubah lah,” tulis Naz Nazira.

“Pemimpin politik nak menang dan ada kuasa hanya nak mengenyangkan mereka sahaja..rakyat menanggung kesusahan selamanya,” komen Roslan Mansor.

Kenaikan harga barang dan perkhidmatan beri kesan psikologi


Kenaikan harga barang dan perkhidmatan beri kesan psikologi
Golongan pekerja semakin tertekan kerana tidak lagi mampu mengimbangi antara pendapatan dan perbelanjaan.

Kenaikan harga pelbagai barangan dan perkhidmatan yang semakin berleluasa sejak akhir-akhir ini boleh memberi kesan psikologi kepada golongan pekerja.

Presiden Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI MLC), Mohamed Shafie BP Mammal berkata, timbul kebimbangan dalam kalangan pekerja apabila pendapatan yang diterima tidak lagi mampu menampung perbelanjaan harian.

Katanya, masalah sosial sudah pasti berlaku tetapi paling dibimbangi berlakunya masalah psikologi apabila rakyat semakin tertekan.

“Ini menjadi masalah sosial sekarang ini. Kalau seseorang ibubapa itu tidak boleh tanggung lagi, anak sekolah dan sebagainya..Ini menjadi macam masalah sosial.

“Sedangkan perubahan gaji itu tidak berlaku, pendapatan sama..ini membebankan pekerja-pekerja sekarang ini. Ibu bapa saya rasa dah tak larat lagi nak bagi duit lebih kepada anak untuk pengurusan sendiri kerana semuanya naik,” katanya kepada FMT.

Shafie diminta mengulas Kenaikan tambang komuter yang mula berkuatkuasa Disember ini.
Dia berkata, kenaikan-kenaikan itu juga tidak dapat dibantah oleh orang ramai kerana ia telah diluluskan oleh kerajaan.

“Nak bantah pun benda ini bukan boleh bantah. Sudah diluluskan oleh kerajaan. Kebimbangan kita sekarang ini takut pekerja-pekerja sekarang ini tak dapat imbangkan. Ini juga bukan masalah sosial tetapi masalah psikologi akan timbul.

“Pekerja menjadi makin tertekan. Apa pilihan yang ada pada mereka sekarang ini? Sekarang pilihannya lepas ini apa nak naik lagi?,” katanya sambil menegaskan pelaksanaan GST menjadi pencetus kepada pelbagai kenaikan itu.

Mengapa suspek utama pembunuhan Ahmad Najadi tidak didakwa?


Mengapa suspek utama pembunuhan Ahmad Najadi tidak didakwa?
Lelaki berumur 55 tahun dipercayai dalang pembunuhan itu ditahan di KLIA kemudian dibebaskan tanpa pendakwaan.

Gobind Singh Deo mempersoalkan mengapa lelaki yang dipercayai suspek utama pembunuhan Pengasas Ambank, Hussein Ahmad Najadi, dibebaskan tanpa didakwa.

Ahli Parlimen DAP dari Puchong yang memetik laporan akhbar Kwong Wah Jit Poh berkata, suspek utama ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira dua minggu lalu tetapi Timbalan Pendakwa Raya tidak meneruskan pendakwaan.

“Apakah yang terjadi? Suspek utama ditahan kemudian dibebaskan. Tiada tindakan diambil. Bukan saya kata dia suspek utama tetapi polis,” katanya ketika membahas Bajet 2016.

Laporan akhbar itu memetik Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Zainuddin Ahmad berkata, suspek utama berumur 55 tahun itu ditahan sebaik tiba dari China.

Gobind adalah peguam kepada anak Ahmad Najadi, Pascal Najadi.

“Saya mahu bertanya kepada Jabatan Perdana Menteri, bagaimana kita mahu memastikan rakyat mendapat keadilan sedangkan suspek utama ditahan kemudian dibebaskan begitu saja tanpa sebarang tindakan?, kata Gobind.

Ahmad Najadi ditembak pada siang hari di Jalan Ceylon pada 29 Julai 2013.

Dua lelaki didakwa melakukan membunuh dan menyediakan senjata untuk pembunuhan itu.

Pascal Najadi sebelum ini pernah mendakwa polis tahu dalang utama pembunuhan bapanya tetapi tidak mengambil apa-apa tindakan.

Sivarasa mahu kaji kedudukan dalam SPRINT


Sivarasa mahu kaji kedudukan dalam SPRINT
Dia mahu mengkaji semula kedudukan dalam Lembaga Pengarah SPRINT kerana gagal menghalang kenaikan tol yang bertentangan dengan prinsipnya.

R Sivarasa berkata dia sedang mengkaji semula kedudukannya sebagai Ahli Lembaga Pengarah SPRINT kerana gagal menghalang kenaikkan tol.

Ahli Parlimen Subang dari PKR itu berkata, dia akan berbincang dengan Ahli Lembaga Pengarah Kumpulan Perangsang dan Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali sebelum membuat sebarang keputusan.

Katanya, dia membuat keputusan itu kerana gagal menghalanga kenaikan tol yang merupakan keputusan dasar SPRINT tetapi bertentangan dengan pendiriannya.

“Bantahan kita (kerajaan Selangor) tidak dapat mengubah keputusan yang telah diambil oleh majoriti anggota Lembaga Pengarah dan Pengurusan SPRINT kerana Kumpulan Perangsang hanya pemegang saham minoriti yang memegang hanya 20 peratus daripada saham SPRINT sebagai pelaburan semasa pentadbiran kerajaan BN pada 1999.

“Pada masa itu Perangsang telah melabur kira-kira RM132 juta sebagai pelaburannya dengan SPRINT. Sejak 1999 hingga kini, tiada pulangan dividen yang telah dibayar kepada Perangsang. Tiada kenaikan tol dilaksanakan dari tahun 2001 hingga kenaikan yang baru dilaksanakan beberapa minggu lalu.

“Oleh sebab satu keputusan dasar yang penting telah dibuat yang saya pada dasarnya bertentangan. Saya sedang mengkaji semula kedudukan saya sebagai Ahli Lembaga Pengarah SPRINT. Saya akan berbincang dengan Ahli-ahli Lembaga Perangsang dan juga Menteri Besar Selangor sebelum saya membuat keputusan,” tulisnya di Facebook.

Biro Politik PKR itu berkata, dia dimaklumkan menerusi pembentangan SPRINT bahawa kerajaan Persekutuan telah hentikan bayaran tahunan kira-kira RM90 juta sebagai pampasan menurut perjanjian konsesi.

Katanya, oleh kerana tiada lagi bayaran dari kerajaan maka pengguna lebuh raya perlu membayaranya melalui tol yang lebih tinggi.

Festival Foodgasm terima cemuhan pengunjung


Festival Foodgasm terima cemuhan pengunjung
Mereka mendakwa festival itu berlangsung dalam keadaan padang yang berbecak, harga makanan mahal, tidak sedap, tidak berbaloi dan makanan habis lebih awal.

Penganjuran Festival Makanan `Foodgasm’ yang berlangsung di Dataran Petaling pada Ahad mendapat cemuhan dalam kalangan pengunjung yang hadir.

Rungutan mereka menjadi topik perbincangan di media sosial dengan rata-rata memberikan komen tidak berpuas hati.

Bermula dari keadaan tapak festival itu yang berbecak hingga mengotorkan tubuh dan pakaian pengunjung yang datang sehinggalah kepada penjualan makanan dengan harga yang mahal hingga mencekik darah turut hangat diperkatakan.

Beberapa blog turut berkongsi rasa duka para pengunjung berkenaan yang telah meluahkan kekesalan mereka itu di Facebook.

Seorang pengguna Facebook yang menggunakan nama jibananakstephen menulis, penganjur program itu seolah-olah tidak belajar daripada kesilapan yang pernah dilakukan sebelum ini.

Katanya, dia yang kecewa dengan keadaan itu berazam tidak akan datang lagi ke festival berkenaan pada masa akan datang.

“Buat event macam tak belajar dari kesilapan. Dari zaman rimba kiara tu people dah complain pasal makanan yg overpriced.

“Happened before. Everything is above rm10. Aiskrim malaysia tu pun 2.50. Jadahnya?

“Promotion kemain but u expect only 80 people coming is it? Makanan tak berbaloi. Happened before. Bayar mahal2 tapi rasa macam pil chikitteon,” tulisnya.

Laman Facebook rasmi festival itu turut dihujani komen-komen pengunjung yang tidak puas hati yang disertakan gambar keadaan padang yang becak.

Pengunjung mendakwa pihak penganjur tersilap memilih tempat dan kehabisan makanan seolah-olah penganjur tidak membuat persediaan rapi.

“Event was horrible. A complete failure. Bad choice of venue and super bad management by you and the vendors. We queued for hours and then you all say habis this habis that. Everything habis! Why can’t y’all tell us earlier?? Need to wait till it was our turn then only you tell people one by one food dah habis. Super expensive and super tak Sedap as well! Waste of time and money! TOO teruk!! Fail!”,” luah Amyra Shaha.

“Foodgasm which was not orgasm at all!!!!….unusual traffic jam, muddy field, 100 years of long que, food sold out at 5pm!! went there with empty stomach & return with gastritis!!! Horrible Nightmare!!!,” tulis Leen Hassan.

“The field was so horrible.. the food was sooooo expensive n the taste are not suits the price!,” tulis Erny Hazni.

Tugas moral ahli parlimen sokong undi tak percaya


Tugas moral ahli parlimen sokong undi tak percaya
Walaupun Pas memilih untuk berkecuali, Pakatan Harapan akan meneruskan menolak Bajet 2016 dan usul undi tidak percaya.

Pakatan Harapan mengingatkan Pas bahawa menolak Bajet 2016 dan menyokong undi tidak percaya terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak merupakan tanggungjawab moral ahli parlimen Malaysia.

Majlis Presiden Pakatan Harapan dalam kenyataan media menegaskan, semua ahli parlimen perlu menyokong undi berkenaan kerana kepimpinan Perdana Menteri terbukti dibelenggu skandal demi skandal.

“Ini termasuk 1MDB dan derma politik yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri yang membawa kemudaratan kepada negara dan rakyat,” katanya menerusi kenyataan media.

Kenyataan Majlis Presiden Pakatan Harapan bagi membalas kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang dilaporkan berkata Ahli Parlimen Pas akan berkecuali dalam undian menolak Bajet 2016 dan usul undi tidak percaya.

“Pakatan Harapan tetap dengan pendirian untuk menolak Bajet 2016 dan meneruskan undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri.

“Kedua-dua perkara ini adalah tanggungjawab ahli parlimen yang mewakili rakyat Malaysia,” kata Majlis Presiden Pakatan Harapan.

Kenyataan itu dikeluarkan oleh Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu.

Agensi Keselamatan Sempadan ganti UPP mulai hari ini


Agensi Keselamatan Sempadan ganti UPP mulai hari ini
Ia bagi memperkukuh sempada daripada diceroboh oleh rakyat asing dan membanteras aktiviti penyeludupan.

Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) secara rasmi dinaik taraf menjadi Agensi Keselamatan Sempadan berkuatkuasa hari ini (Isnin).

Agensi berkenaan dianggotai tiga pasukan keselamatan dan penguatkuasaan iaitu Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah menaikkan taraf UPP itu bertujuan memperkukuhkan kawalan sempadan daripada diceroboh.

“Kita juga prihatin agar keselamatan di sempadan seperti yang tertera di akhbar, malah kami sedar memang banyak kawasan-kawasan sempadan yang dibolosi.

“Lebih daripada RM5 bilion barangan subsidi di seludup keluar, maka agensi ini adalah patut melakukan tugas secepat mungkin,” katanya semada sidang media selepas meghadiri Mesyuarat High Level Commitee (HLC) di Putra Perdana.

Mengulas lanjut, Zahid berkata, Jumlah 909 kakitangan UPP yang ada sekarang tidak mampu untuk membuat kawalan secara keseluruhan sempadan.

Oleh itu, katanya, kerajaan perlu mewujudkan satu agensi kerajaan untuk memastikan sempadan negara tidak mudah diceroboh.

DAP tidak setuju desakan terhadap Azmin Ali


DAP tidak setuju desakan terhadap Azmin Ali
Desakan supaya Menteri Besar memecat Exco Pas hanya pandangan perwakilan dan DAP menghormati pandangan itu tetapi tidak semestinya diterima.

DAP tidak setuju dengan cadangan perwakilan yang mendesak Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali supaya memecat Exco Pas daripada pentadbiran negara.

Setiausaha Publisiti DAP Selangor, Ng Sue Lim berkata, desakan itu hanya pandangan perwakilan tetapi tidak semestinya diterima oleh parti itu.

“Itu pendapat daripada perwakilan sebab dalam konvensyen kita tempat untuk perwakilan bersuara, ia saluran terbaik…kita mesti hormat pandangan dia juga.

“DAP tak setuju dengan pandangan perwakilan tu..hanya menerima, mendengar pandangan, ambil maklum tetapi kita akan terus berbincang dengan kerajaan sedia ada dengan Menteri Besar bagaimana mencari satu mekanisma dalam konteks Selangor ini,” katanya ketika ditemui di lobi Dewan Negeri Selangor pada Isnin.

Dalam Konvensyen DAP Selangor pada Ahad, seorang perwakilan mencadangkan pimpinan tertinggi parti itu memberi tempoh kepada Azmin untuk memecat Exco PAS daripada kerajaan negeri.

Pengerusi DAP Kajang Baru, Chiong Yoke Kong, berkata sekiranya Azmin gagal berbuat demikian, pimpinan DAP harus tidak teragak-agak keluar daripada pentadbiran kerajaan negeri.

Sementara itu, Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, desakan itu sepatutnya diketepikan dengan kesemua parti menumpukan usaha berkhidmat kepada negeri dan rakyat.

Naib Presiden Pas itu berkata, walaupun didesak, Pas tidak akan berganjak dan akan mahu terus kekal bersama kerajaan negeri.

Debat 1MDB bukti kejantanan Arul, Tony Pua


Debat 1MDB bukti kejantanan Arul, Tony Pua
Debat terbuka mampu membuktikan keberaniaan kedua-duanya di samping merungkaikan segala persoalan berkenaan 1MDB.

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi membidas Tony Pua kerana berdolak-dalih dalam isu berdebat secara terbuka dengan Presiden dan juga Pegarah Eksekutif Kumpulan 1MDB, Arul Kanda.

Timbalan Perdana Menteri berkata, Tony Pua cuba memutar belit apabila meletakkan syarat pula kepada Arul jika mahu meneruskan debat itu.

“Tapi Tony Pua pula tak nak debat, nak soal sahaja. Terima cabaran dengan baik dan saya yakin Arul akan jawab dengan baik.

“Jangan putar belitkan seolah-olah dia (Pua) sebagai Ahli Parlimen terlalu rendah tarafnya dengan lain-lain kedudukan,” katanya pada sidang media selepas meghadiri Mesyuarat High Level Commitee (HLC) di Putra Perdana pada Isnin.

Zahid berkata, beliau menyambut baik cadangan debat 1MDB antara Pua dan Arul diadakan secara terbuka dan secara langsung.

Katanya, debat secara terbuka juga dapat menunjukkan keberanian dan kejantanan kedua-dua pihak.

“Saya harap ia dapat menjernihkan fakta-fakta yang keruh dan pencerahan yang dilakukan oleh Arul untuk memberi gambaran yang sebenar bukannya memesongkan fakta.

“Saya harap perbahasan dapat dibuat secara terbuka dan secara langsung, maka keberanian dan kejantanan akan terserlah.

“Tak ada masalah (RMT siar secara langsung). Saya waktu muda pun berani, tapi janganlah kenakan syarat itu dan ini,” katanya.

Beliau turut memuji tindakan Arul yang telah menarik semula syarat yang dikenakan kepada Tony Pua sebagai syarat untuk berdebat.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Rujukan