Cari Artikel

Sunday, November 1, 2015

Apa hak Ali Tinju halang Tun M ke Sarawak?


Apa hak Ali Tinju halang Tun M ke Sarawak?
Dia mengulangi kenyataan supaya kerajaan bertindak segera mendakwa Dr Mahathir

Kegagalan pihak berkuasa mendakwa Tun Dr Mahathir Mohamad menyebabkan beliau terus berleluasa menghasut rakyat membenci kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Dalam kenyataan ringkasnya, Ketua Gerakan Merah, Mohd Ali Baharom atau lebih dikenali Ali Tinju sekali lagi mendesak kerajaan supaya bertindak segera terhadap bekas Presiden UMNO itu.
Ia dikaitkan dengan program Dr Mahathir ke Sarawak.

“Adakah Tun. Dr. Mahathir kebal jenayah politik negara sesuka hati berucap menghasut Rakyat supaya bencikan YAB. Datuk Seri Najib Tun Razak, Perdana Menteri Malaysia yang sah.

“Persoalannya kenapa pihak berkuasa gagal sampai sekarang dakwa Tun Dr. Mahathir ? tulisnya.

Ali Tinju yang juga Presiden Persatuan Veteran Angkatan Tentera Melayu, membuat kenyataan berkenaan bagi membantah kunjungan bekas Perdana Menteri ke Sarawak yang dituduhnya untuk menghasut rakyat membenci kerajaan.

Selepas demonstrasi Baju Merah September lepas, Ali Tinju menjadi antara beberapa pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang lantang menghentam Dr Mahathir.

Beberapa hari lalu, dia mengugut untuk mendesak Najib menggugurkan Datuk Mukhriz Mahathir sebagai Menteri Besar Kedah jika Dr Mahathir terus mengkritik kepimpinan Perdana Menteri.

Tawaran Pas tidak masuk akal-Raja Bahrin


Tawaran Pas tidak masuk akal-Raja Bahrin
Kerajaan sebelum ini tidak pernah menerima nasihat Pas walaupun ketika parti itu berada dalam komponen BN

Tawaran Pas yang mahu menjadi penasihat kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) dianggap sebagai tidak masuk akal.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Raja Ahmad Shah menegaskan, Pas tidak mungkin akan berjaya kerana BN sebelum ini tidak pernah menerima nasihat parti itu walaupun ketika ia berada dalam komponennya sebelum ini.

“Kerajaan hari ini telah tidak makan nasihat sejak 58 tahun mereka memerintah baik semasa Pas dalam kerajaan atau di luar kerajaan.

“Mengapa sekarang mereka mahu mendengar nasihat Pas..?,” katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Menurut Raja Kamarul Bahrin, Majlis Raja-Raja sebelum ini juga pernah mengeluarkan kenyataan rasmi tentang perlunya kerajaan menangani masalah besar ekonomi namun, sehingga ke hari ini saranan itu seolah-olah tidak diambil peduli.

“Adakah Pas berpendapat mereka ada pengaruh lebih besar dari Majlis Raja-Raja Melayu ke atas kerajaan,” ujarnya lagi.

Disebabkan itu Raja Kamarul Bahrin menjelaskan, Parti Amanah Negara (Amanah) menjemput Pakatan Harapan dan Pas untuk sama-sama berganding bahu bagi mendapatkan pandangan yang luas untuk menyelamatkan negara.

Katanya, langkah paling berkesan untuk mencapai matlamat itu adalah dengan menolak bajet 2016 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Tambah beliau, menerusi cara itu ia secara tidak langsung akan memberi tekanan kepada Najib untuk meletak jawatan kerana dengan cara lain ia tidak akan berjaya.

Hishammuddin - Debat 1MDB tidak selesai masalah


Hishammuddin - Debat 1MDB tidak selesai masalah
Naib Presiden UMNO menyifatkan debat terbuka di televisyen tidak akan memberikan sebarang manfaat jika dibuat.

Debat antara Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda dan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua tidak wajar dilakukan.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, ia tidak akan memberikan sebarang manfaat jika dibuat.

Katanya lagi, sepatutnya pengisian debat yang hendak diadakan itu perlu memberi gambaran yang jelas kepada rakyat berhubung isu yang semakin menjadi tanda tanya banyak pihak.

“Tetapi kalau menjurus kemusnahan tidak ada perkara yang membina, dan tidak ada perkara baru untuk orang ramai tahu, saya bimbang tidak ada manfaat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Malaysian United Run 2015 (IOJ) di Padang Merbok pada Ahad.

Mengulas lanjut, Hishamuddin yang juga Menteri Pertahanan menjelaskan bahawa beliau tidak akan menghalang debat berkenaan memandangkan kedua-dua pihak telahpun bersetuju untuk mengadakannya.

“Kalau dua-dua pihak sudah bersetuju, baguslah. Apa pun akhirnya biar rakyat yang tentukan dan buat penilaian.

“Namun, saya gesa apa juga yang berlaku, perpaduan di antara rakyat haruslah diutamakan,” ujarnya lagi.

Pas sedia jadi penasihat BN


Pas sedia jadi penasihat BN
Pas kini bukan mahu menjatuhkan Perdana Menteri, sebaliknya hanya ingin memperbetulkan dasar BN

Pas bersedia untuk menjadi penasihat keajaan Barisan Nasional (BN) sekiranya kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu bersedia untuk mengubah dasar pentadbirannya.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, perjuangan parti Islam itu kini adalah untuk mengubah dasar pentadbiran dan bukan semata-mata mahu merebut jawatan atau tampok kepimpinan negara.

“Pas sedia menjadi penasihat dan pembantu sekiranya UMNO ubah dasar pemerintahan.

“Kita bukan gilakan kuasa atau mahu kuasai Putrajaya. Sekiranya mereka enggan terima nasihat atau pandangan, barulah kita ambil pendekatan lain iaitu ambil alih pemerintahan,” katanya seperti dilapor Sinar Harian Online.

Jelas Naib Presiden Kesatuan Ulama Sedunia itu, Pas kini bukan mahu menjatuhkan Perdana Menteri, tetapi hanya ingin memperbetulkan dasar.

“Kita sekarang mahu perbetulkan kerajaan, bukan mahu ikat kerajaan atau berebut jawatan. Kita sekarang bukan mahu jatuhkan Perdana Menteri tetapi mahu perbetulkan dasar yang dibawa,” jelasnya.

Ahli Parlimen Marang itu berkata, beliau pada dasarnya bersetuju dengan bantuan-bantuan yang diberi kerajaan terhadap rakyat, sebaliknya, tidak bersetuju dengan cara pelaksanaan bantuan itu kerana didakwa berlaku banyak kepincangan.

“Setuju dengan UMNO bukan bermaksud kita akan jalankan kerjasama politik dengan mereka kerana Pas lebih selesa duduk di luar BN, bukan di dalam BN malah kita tidak akan bergabung dengan UMNO.

“Sebagai langkah untuk perbetulkan kerajaan, Pas sedia menghantar pasukan untuk berbincang dengan UMNO baik mengenai isu berbangkit seperti GST, perumahan , kejatuhan ringgit dan sebagainya,” jelasnya.

Apa alasan Tony Pua ingin jadi moderator?


Apa alasan Tony Pua ingin jadi moderator?
Pengerusi DAP Selangor itu sepatutnya melihat latar belakang Arul yang merupakan seorang tokoh pidato hebat ketika di RMC sebelum membuat cabaran

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua dianggap sebagai seorang pencecut selepas menukar pendirian dalam cabaran debatnya Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kandasamy.

Pengerusi DAP Selangor itu yang pada mulanya lantang mencabar debat diadakan, dikatakan enggan menjadi pendebat sebagaimana sebelum ini.

Sebaliknya menawarkan diri menjadi moderator.

Penulis blog Zabidi Saidi menyifatkan keputusan terbaru Tony Pua sebagai seorang yang bacul.
“Buat apa jadi moderator. Terimalah cabaran berdebat. Arul Kanda bukan orang politik. Takkan nak berdebat dengan orang profesional pun takut Tony.

“Buat malu DAP. Lain kali sebelum cabar Arul Kanda berdebat, periksa dahulu latar belakang Arul Kanda yang merupakan tokoh pidato di kolej RMC.

“Dengan Arul Tony takut berdebat, jangan sampai Arul masuk politik lawan Tony Pua pula,” katanya menerusi blog www.catatanzabidi.blogspot.my pada Ahad.

Zabidi berkata, sekiranya Tony Pua hanya mahu bertanyakan soalan adalah lebih baik sekiranya dia menunggu sidang oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) kerana dia merupakan salah seorang anggota dalam jawatankuasa itu.

JDT bukti kehebatan dengan menjadi Juara Piala AFC


JDT bukti kehebatan dengan menjadi Juara Piala AFC
Kemenangan itu menjadi dorongan kepada pasukan tempatan untuk memberi saingan di arena antarabangsa.

Kemenangan pasukan Johor Darul Takzim (JDT) dalam perlawanan Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) menyuntik semangat baru kepada pasukan itu untuk mencipta lebih banyak kejayaan di masa akan datang.

Menteri Besar Johor, Datuk Mohamed Khaled Nordin berkata, keupayaan itu juga membuktikan pasukan tempatan mampu memberi saingan di arena antarabangsa.

“Ia juga dapat menjadi pendorong kepada pasukan bolasepak tempatan untuk mengorak langkah ke arah mencipta kejayaan yang sama,” katanya.

Katanya, selain hasil usaha dan semangat kental daripada para pemain, doa dan sokongan yang diterima daripada rakyat Malaysia turut menyumbang kepada kemenangan itu.

Mohamed Khaled turut menyaksikan perlawanan akhir itu di Stadium Central Republican Dushanbe, Tajikistan.

DAP tidak yakin dengan Amanah-Mustafa Ali


DAP tidak yakin dengan Amanah-Mustafa Ali
Kenyataan Pengerusi DAP Selangor untuk meletak calon partinya di lapan kawasan DUN Pas di negeri itu menjadi tanda tanya kerana lawan sebenar pembangkang adalah BN

Kenyataan Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua bahawa parti itu akan bertanding di lapan kawasan Pas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada pilihan raya umum akan datang menunjukkan ketidak kepercayaannya terhadap keupayaan rakannya dalam Pakatan Harapan, Parti Amanah Rakyat (Amanah).

Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Mustafa Ali berkata sebagai pembangkang sepatutnya yang menjadi lawan adalah Barisan Nasional (BN), bukan partinya.

“DAP mahu yang menggantikan Pas ini, Amanah. Sepatutnya yang lawan Pas itu BN lah. Secara logik Lapan kerusi di Selangor yang disebut-sebut itu ialah Taman Templer, Lembah Jaya, Sri Serdang, Meru, Cempaka, Dusun Tua, Tanjung Sepat dan Paya Jaras.ya. Bukan gantikan Pas.

“Tapi cara DAP ini seperti tidak percaya dengan keupayaan Amanah untuk melawan Pas,” katanya yang dipetik daripada Sinar Harian Online.

Mengulas mengenai kenyataan itu, Mustafa berkata, Pas tetap akan mempertahankan semua kerusi yang ditandingi di Selangor pada pilihanraya akan datang.

“Terpulanglah. Kita (Pas) akan tetap pertahankan kerusi kita. Siapa nak lawan, lawanlah. Itu hak dia. Siapa-siapa pun bebas bertanding.

“Cuma saya fikir DAP buat kenyataan itu tidak bincang pun dengan rakan Pakatan Harapan dia.

“Sebab kalau nak diikutkan, masalah kerusi ini orang tak bincang awal-awal. Dah nak dekat (pilihan raya) nanti baru bincang,” katanya yang dipetik daripada portal itu.

Arul pembahas lagenda-Rafizi


Arul pembahas lagenda-Rafizi
Arul pernah mengetuai pasukan debat dan pernah memenangi Piala Perdana Menteri (PPM) pada 1990-an.

Presiden dan juga 1MDB, Arul Kanda Kandasamy bukan sembarangan pendebat.

Kehebatannya diakui sendiri Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli yang berkongsi keterujaan dengan kelebihan yang dimiliki orang penting syarikat pelaburan kerajaan itu.

Katanya, Arul pernah mengetuai pasukan debat yang berkali-kali memenangi Piala Perdana Menteri (PPM) pada 1990-an.

Ahli Parlimen Pandan menyatakan perkara ini dalam posting blog beliau bertarikh 1 September 2010, di mana dia telah memberi penghormatan kepada Allahyarham rakannya Adlan Benar Omar, atau Ben.

“Dalam era 90-an, PPM dimenangi berulang kali oleh Maktab Tentera Diraja (RMC) yang diterajui oleh seseorang yang bernama Arulkanda Kandasamy,” katanya yang dipetik daripada Mstar Online.

“Selepas itu, kami bertemu ketika kami bertiga di UKEC (United Kingdom & Eire Council of Malaysian Students) di UK – dan Arulkanda (lagenda di kalangan pembahas Malaysia) seringkali mengagumi kehandalan Ben berbahas,” tulis Rafizi.

Dalam sidang akhbarnya pada Sabtu, Arul telah menyatakan persetujuan tanpa syarat untuk bersemuka di televisyen dengan Ahli Parlimen Petaling Jaya bagi menjawab skandal 1MDB.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Rujukan