Cari Artikel

Friday, October 30, 2015

Mufti Perlis ditegur EXCO Pahang


Mufti Perlis ditegur EXCO Pahang
Syed Ibrahim Syed Ahmad berpendapat terdapat percanggahan mengenai fatwa ‘Larangan Berzikir’ yang dikeluarkan oleh Mufti Perlis.

Seorang EXCO Negeri Pahang menegur mufti di negara ini supaya supaya tidak mengeluarkan fatwa dengan sewenang-wenangnya sebaliknya perlu merujuk kepada ajaran Islam sebenar.

Exco Dakwah Islamiah dan Tugas-Tugas Khas Negeri Pahang, Datuk Syed Ibrahim Syed Ahmad menegaskan, mufti juga tidak seharusnya mengeluarkan sesuatu fatwa atas arahan daripada mana-mana individu mahupun berdasarkan pendapat sendiri.

Syed Ibrahim mengulas mengenai fatwa yang telah dikeluarkan oleh Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin (Dr Maza) baru-baru ini yang berkata menari untuk berzikir melanggar hukum syarak.

Syed Ibrahim berpendapat terdapat percanggahan mengenai fatwa ‘Larangan Berzikir’ yang dikeluarkan oleh Mufti Perlis itu.

Katanya, apabila terdapat perkara yang disifatkan bercanggah di antara fikrah dan fatwa sejak kebelakangan ini membuatkan institusi agama disalahguna untuk kepentingan pihak tertentu.

“Sebelum ini mereka pernah melarang berzikir dan sepakat mengatakan zikir itu adalah bidaah. Kini, amalan zikir dibolehkan tetapi dikeluarkan pula fatwa larangan zikir menari.

“Apa-apa sahaja perbuatan yang tidak elok ketika beribadah sememangnya sudah jatuh pada hukum haram dan tiada penjelasan untuk hal itu lagi.

“Selain itu, banyak lagi hukum yang dizahirkan semata-mata untuk mengeluarkan fatwa yang terang-terangan bercanggah setiap hari. Hal ini menyebabkan ramai orang Islam kita menjadi keliru,” katanya yang dipetik daripada Sinar Harian Online.

Baru-baru ini, Dr Maza menerusi kenyataannya menyatakan satu gerakan yang berlaku secara spontan (tamayul) tanpa niat untuk beribadah semasa berzikir atau membaca Al-Quran dan lain-lain adalah tidak dilarang.

Mengulas perkara itu lagi Ibrahim menyatakan kenyataan yang dibuat menyebabkan timbul kekeliruan dalam kalangan umat Islam serta boleh mewujudkan pertelingkahan dan perpecahan ummah.

“Kita menyeru agar fatwa celaru yang dikeluarkan ini bukan untuk meraih sokongan populariti. Isu ini perlu diperbetulkan untuk menghentikan kekeliruan di kalangan umat Islam,” kata Syed Ibrahim.

Bung Mokhtar – Tony Pua hanya tahu cakap besar


Bung Mokhtar – Tony Pua hanya tahu cakap besar
Bung Mokhtar mendakwa Tony Pua hanya tahu bercakap besar tetapi suka berdolak dalih apabila cabarannya untuk berdebat mengenai 1MDB diterima Arul Kanda.

Pemimpin pembangkang dinasihatkan supaya berhenti cakap besar dan menumpukan usaha membantu rakyat seperti yang telah dijanjikan.

Nasihat itu diberikan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Bung Mokhtar Radin yang merujuk kepada sikap Ahli Parlimen Petaling Utara, Tony Pua yang didkwanya suka cakap besar dan berdolak-dalih.

Beliau mendakwa, Tony Pua hanya pandai cakap besar dengan membuat pendedahan-pendedahan berhubung isu 1MDB tetapi tidak berani apabila dicabar.

Ahli Parlimen Kinabatangan itu berkata, pemimpin DAP itu telah mencabar Arul Kanda untuk berdebat dan tiba masanya dia menyahut cabaran itu supaya rakyat tahu cerita sebenar.

“Tony Pua suka berdolak dalih. Saya setuju Arul Kanda menerima cabaran tersebut (Tony Pua) dengan syarat dia kena letak jawatan dari PAC bagi mengelak jawatankuasa bebas itu terlibat secara langsung kerana PAC adalah badan yang diiktiraf kerajaan untuk menyiasat dan mengaudit 1MDB.

“Pemimpin pembangkang (Tony Pua) jangan hanya tahu bercakap besar tetapi perlu berani menegakkan kata-kata mereka. Kata mesti dikota, biar rakyat tahu perkara sebenar dan biarlah kes 1MDB ini selesai dengan pengetahuan rakyat,” katanya ketika dihubungi FMT.

Arul Kanda telah menerima cabaran Tony Pua untuk berdebat secara langsung mengenai isu 1MDB dengan syarat Setiausaha Publisiti DAP itu meletak jawatan dalam PAC terlebih dahulu.

Zam - Muhyiddin akan dipecat sebelum Perhimpunan Agung UMNO


Zam - Muhyiddin akan dipecat sebelum Perhimpunan Agung UMNO
75 peratus ketua UMNO bahagian malah ada yang mendakwa 95 peratus telah bersiap sedia bagi menyokong untuk menyingkirkan Muhyiddin sebagai Timbalan Presiden UMNO.

Pemimpin UMNO seluruh negara dikatakan sedang berusaha keras untuk menyingkirkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai ahli parti itu sebelum Persidangan Agung UMNO, Disember ini.

Bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin atau Zam mendakwa, kira-kira 75 peratus ketua UMNO bahagian malah ada yang mendakwa 95 peratus telah sedia untuk menyokong menyingkirkan Muhyiddin.

Katanya, Muhyiddin tidak boleh dipecat sebagai Timbalan Presiden kerana beliau dipilih dalam Perhimpunan Agung UMNO tetapi dengan cara memecat keahlian UMNO secara automatik akan menggugurkannya dari jawatan penting itu.

Zam berkata, kenyataan Muhyiddin dalam sebuah forum di Johor baru-baru ini yang menganggap pemimpin UMNO yang menyokong Presiden sebagai pengecut, telah mendorong penyokong-penyokong Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi semakin agresif.

“Langkah mencantas Muhyiddin mesti dilakukan sebelum Perhimpuan Agung UMO tidak lama lagi kerana kehadiran Muhyiddin sebagai Timbalan Presiden mungkin akan menimbulkan kekecohan yang boleh menjatuhkan maruah Najib sebagai Presiden UMNO jika berlaku tindakan provokasi antara kedua pihak.

“Mencantas Muhyiddin juga perlu dilakukan lebih awal supaya bakal Timbalan Presiden UMNO dapat dipromosikan sebelum Perhimpunan Agung UMNO menjelang pilihanraya umum akan datang dan supaya Najib dapat berkuasa sehingga pilihanraya umum itu,” katanya menerusi entri terbarunya zamkata.blogspot.my.

Beliau berkata, pemecatan Muhyiddin akan memberi peluang kepada Najib memperkuatkan kekuatannya dalam parti dan memperbaiki ekonomi negara.

“Tetapi ini belum pasti akan dapat mempastikan pemulihan sokongan orang Melayu kepada UMNO untuk terus bekuasa kerana semangat bahagian dan ahli-ahi UMNO adalah sangat rendah kerana kerosakan imej kepimpinan negara yang sangat parah,” katanya.

Menurutnya, selain daripada Muhyiddin, beberapa orang yang turut merancang untuk menjatuhkan Najib juga bersedia untuk disingkirkan kerana merosakkan imej UMNO walaupun niat mereka yang sebenar adalah mahu menyelamatkan parti.

“Ketua-ketua bahagian UMNO melihat bahawa langkah menyelamatkan kepentingan peribadi Najib adalah perlu untuk kekuatan parti dari menyelamatkan parti untuk kepentingan seluruh rakyat.

“Keputusan ini kerana Najib adalah King of Money yang mempunyai pengalaman lama dalam UMNO bahawa Money Is The King,” jelasnya.

Tun M diugut Ali Tinju


Tun M diugut Ali Tinju
Dia sedia menggerakan Gerakan Merah untuk mendesak Perdana Menteri menggugurkan Mukhriz Mahathir sebagai Menteri Kedah jika Tun M terus menyerang Najib.

Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad didesak supaya berhenti menghasut rakyat membenci Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ingatan itu dibuat oleh Presiden Persatuan Veteran Angkatan Tentera Melayu, Ali Baharom atau Ali Tinju.

Katanya, jika Dr Mahathir berdegil dan meneruskan serangan terhadap Najib, pihaknya akan mendesak Perdana Menteri menggugurkan Datuk Seri Mukhriz sebagai Menteri Besar Kedah.

Katanya, dia tidak teragak-agak untuk menggerakkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dikenali Gerakan Merah untuk melancarkan desakan itu.

“Jika Tun masih kacau dan menghasut rakyat supaya membenci Perdana Menteri Malaysia yang sah, Datuk Seri Najib Tun Razak, kami NGO Melayu #Gerakan Merah akan membuat bantahan supaya Perdana Menteri gugurkan anak Tun Mahathir sebagai Menteri Besar Kedah,” katanya kepada FMT.

Ali Tinju berkata, peringatan itu penting kerana Dr Mahathir masih ghairah menyerang kepimpinan Najib dengan melemparkan segala tuduhan dan tohmahan tidak berasas.

Pesalah Lelaki tampar imam didenda RM12,000


Pesalah Lelaki tampar imam didenda RM12,000
Hukuman denda sebanyak RM12,000 itu dijatuhkan terhadap Shabir Ahmad Khan selepas mahkamah mendapati laporan psikiatri menunjukkan tertuduh layak dibicarakan.

Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada Jumaat menjatuhkan hukuman denda RM12,000 kepada seorang lelaki warga India kerana menampar Imam Masjid Negara, bulan lalu.

Majistret Siti Radziah Kamarudin menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh Shabir Ahmad Khan, 31, selepas laporan psikiatri menunjukkan tertuduh layak dibicarakan.

Mahkamah turut memerintahkan lelaki itu dipenjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda.

Tertuduh didakwa telah menyebabkan kecederaan terhadap imam berkenaan, Mohd. Zuhairee Mohd. Yatim, 39, di Masjid Negara, Jalan Perdana, Dang Wangi, pada jam 1.30 petang, pada 18 September lepas.

Dia turut didakwa mengganggu perjalanan solat Jumaat dan tinggal lebih masa di negara ini di tempat, waktu dan tarikh sama.

Noh Omar - Arul Kanda tidak perlu letak syarat


Noh Omar - Arul Kanda tidak perlu letak syarat
Tiada bezanya status Tony Pua sebagai ahli PAC tetapi yang penting rakyat tahu perkara yang sebenar tentang 1MDB.

Debat terbuka antara Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda dan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua perlu dilakukan tanpa syarat.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata, permintaan Arul yang mahu Pua meletakkan jawatan sebagai ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dianggap sebagai tidak perlu.

“Debat terbuka itu perlu dilakukan tanpa syarat walaupun Arul Kanda ada mengemukan syarat supaya Tony melepaskan jawatan sebagai ahli PAC. Tiada bezanya status dia sebagai ahli PAC tetapi yang penting rakyat tahu perkara yang sebenar tentang 1MDB,” katanya yang dipetik daripada sebuah laman portal.

Beliau berkata demikian mengulas cabaran Arul kepada Tony untuk berdebat selepas Tony banyak kali mengkritik syarikat pelaburan strategik negara yang dilanda kontroversi itu.

Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang kagum dengan usaha berterusan Arul memulihkan kepercayaan rakyat terhadap 1MDB.

“Saya menyokong penuh jawapan daripada Arul yang menerima cabaran daripada Tony untuk berdebat secara terbuka tentang 1MDB,” ujarnya.

Jamal panggil Tony Pua ‘Ahli Parlimen Celaka’


Jamal panggil Tony Pua ‘Ahli Parlimen Celaka’
Dia mencabar Tony Pua untuk berdebat dengannya mengenai 1MDB dan berhenti membuat tuduhan tidak benar terhadap syarikat milik negara itu.

Datuk Jamal Yunos memanggil Tony Pua sebagai Ahli Parlimen Celaka kerana didakwa sering membuat dakwaan dan tuduhan tidak berasas berkenaan 1MDB.

Ketua UMNO Sungai Besar itu meluahkan tidak puas hati terhadap Ahli Parlimen DAP dari Petaling Utara itu kerana mencabar 1MDB untuk berdebat.

Menerusi aplikasi WhatsApps, Jamal berkata, selain Arul Kanda, beliau sendiri juga sanggup berdebat dengan Tony Pua berkenaan 1MDB.

“Bukan sahaja Arul Kanda berani menyahut cabaran Tony Pua, saya sebagai ketua UMNO juga sanggup berdebat dengannya berkenaan isu 1MDB.

“Jika dia benar-benar anak jantan, mari kita bersemuka, Jangan hanya tahu buat tuduhan dan menipu rakyat.

“Saya anggap Tony Pua sebagai Ahli Parlimen celaka,” katanya.

Jamal meluahkan kemarahan itu susulan Tony Pua mencabar Arul Kanda untuk berdebat dengannya dalam program bual bicara yang disiarkan secara langsung.

Arul, Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1MDB menyahut cabaran itu dengan syarat Tony Pua meletak jawatan dalam Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) terlebih dahulu untuk mengelak pertembungan kepentingan peribadi.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Rujukan