Cari Artikel

Friday, October 16, 2015

UMNO gagal dalam perjuangan politik – Saifuddin


UMNO gagal dalam perjuangan politik – Saifuddin
Bekas Ahli Parlimen Temerloh itu mendakwa pembangkang lebih menonjol dalam perjuangan politik untuk membawa perubahan kepada rakyat dan negara.

Bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah menjelaskan tindakannya meningalkan UMNO kerana parti itu dilihat telah gagal dalam perjuangannya untuk membela rakyat dan negara.

Sebaliknya, pembangkang khususnya PKR yang didakwanya mempunyai matlamat yang jelas untuk membawa perubahan politik.

“Saya tidak melihatnya dibincangkan secara substantif atau komprehensif oleh UMNO-BN (walaupun ramai ahli UMNO-BN, sebenarnya, jauh di lubuk hatinya, punya aspirasi yang hampir sama).

“Untuk mencapai perubahan sebenar, kita perlu kepada “gabungan minda” (coalition of minds) antara parti-parti pembangkang, masyarakat sivil (CSO), semua pihak berkepentingan dan seluruh rakyat (termasuk ahli-ahli UMNO/BN),” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Jelasnya lagi, untuk mencapai matlamat tersebut, pemerintahan perlu bebas daripada skandal bersar sehingga boleh memeberi kesan kepada rakyat seperti isu, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan derma 2.6 bilion yang berlaku di bawah pentadbiran kerajaan UMNO dan BN.

Pemandu teksi rayu polis bersihkan namanya


Ahli keluarga Hanizan mendapat malu selepas dia ditahan reman bagi membantu siasatan penculikan kanak-kanak di Kajang.

Pemandu teksi yang direman bagi membantu siasatan kes penculikan seorang kanak-kanak di Kajang merayu polis membersihkan namanya yang telah tercemar.

Hanizan Mohamed Radzi juga berkata, penahanan dia sebagai suspek telah memalukan keluarganya.

Dia membuat rayuan itu kepada pegawai polis ketika dibawa ke Mahkamah Majistret di sini untuk pembebasannya selepas seminggu ditahan.

“Anak-anak mendapat malu kerana saya. Tolong…tolong bersihkan nama saya.

“Saya hanya pemandu teksi. Saya tidak melakukan apa-apa kesalahan, “katanya seperti dilaporkan The Star online.

Dia dibebaskan dengan jamiman mengikut Seksyen 49 Kanun Acara Jenayah.

Manakala tiga lagi suspek didakwa mengikut Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961 kerana menahan secara salah dan meminta wang tebusan.

Empat suspek termasuk Hanizan ditahan dalam tempoh 24 jam selepas kanak-kamak itu diculik di hadapan sebuah tadika Sungai Chua.

Kejadian itu berjaya dirakam CCTV yang memudahkan polis memburu suspek terbabit.

Suspek meminta wang tebusan sebanyak RM300,000 daripada bapa mangsa.

Hanizan menghantar pulang kanak-kanak lelaki itu ke rumah keluarganya dan mendakwa dia menemui mangsa di tepi jalan.

Peguam Negara gagal kesan masalah 1MDB


Peguam Negara gagal kesan masalah 1MDB
Pas menempelak Apandi kerana menjadikan Bank Negara sebagai kambing hitam.

Pas mempersoalkan kewibawaan Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali kerana dikatakan gagal mengesan masalah yang membebani 1MDB.

Sebaliknya, beliau menuding jari kepada Bank Negara yang didakwanya sebagai cuai.

Dalam kenyataannya, Timbalan Presiden Pas Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata disebabkan 1MDB, nasib ramai pihak telah berubah.

“Namun nasib 1MDB dan juga Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak masih kelihatan teguh kerana Peguam Negara tidak dapat menghidu ada masalah terhadap 1MDB.

“Ternyata hidung Peguam Negara tidak sesensitif hidung Majlis Raja-Raja yang turut menggesa agar krisis 1MDB diselesaikan dengan cepat,” katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Menurutnya, sehingga kini 1MDB masih lagi tidak perlu berdepan dengan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan Perdana Menteri juga masih lagi belum disoal oleh polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Jikalau semua kejadian ini dijadikan kayu ukuran kepada 1MDB, ini boleh dikira sebagai krisis terbesar negara,” ujarnya.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim turut mengalu-alukan mana-mana pihak yang ingin bersama menuntut kebenaran dalam isu 1MDB bersama-sama dengan pembangkang terutamanya kumpulan yang pro kepada UMNO dan Barisan Nasional.

“Dalam sudut ini, Pas menegaskan kami mengalu-alukan kesudian mana-mana NGO untuk bersama pembangkang menentang UMNO dalam isu 1MDB dan kepentingan rakyat.

“Tapi Pas tidak akan sesekali mengadakan kerjasama politik dengan NGO yang bersentimenkan perkauman,” katanya.

Tegasnya, sekiranya ada di kalangan NGO cuba untuk mengapi-apikan dan melaga-lagakan kaum dan agama, Pas adalah musuh yang pertama kepada NGO itu kerana Islam melarang perkara ini dengan jelas.

“Pas akan menjadi benteng pertama menghalang NGO tersebut daripada merosakkan kehormonian kaum dengan politik perkauman yang melampau,” ujarnya.

SKMM siasat laporan palsu Apandi dan Zeti


SKMM siasat laporan palsu Apandi dan Zeti
Mereka yang melakukan kesalahan berkenaan boleh dikenakan hukuman di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan menyiasat penyebaran kenyataan palsu membabitkan Ketua Peguam Negara, Tan Sri Apandi Ali terhadap Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz yang dikatakan dimuat naik dalam sebuah portal berita tempatan.

Ketua Pegawai Sektor Keselamatan Rangkaian, Penguatkuasaan dan Advokasi SKMM, Zulkarnain Mohd Yasin menegaskan pihak yang bertanggungjawab menyebarkan berita palsu itu akan dibawa ke muka pengadilan.

Menurut Zulkarnain, mereka yang melakukan kesalahan berkenaan boleh dikenakan hukuman di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Jangan sesekali menyebarkan berita-berita yang tidak dipastikan kesahihannya. Ini kerana tindakan sedemikian boleh mencetuskan keadaan yang tidak diingini.

“SKMM ingin menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpengaruh atau mempercayai kandungan serta paparan dalam media sosial,” katanya dalam catatan di laman Facebook SKMM tanpa merujuk kepada mana-mana kenyataan khusus.

Sambil berkata mereka perlu terlebih dahulu menyemak berita-berita berkenaan dengan sumber yang betul, beliau menegaskan bahawa SKMM memandang serius penyebaran berita palsu di media sosial.

– Bernama

Terima kasih Saifuddin kerana selamatkan UMNO


Terima kasih Saifuddin kerana selamatkan UMNO
Saifuddin Abdullah dikatakan menjadi duri dalam daging kerana pemikiran liberalnya tidak lagi sesuai dengan jalan sederhana yang dibawa UMNO.

Tindakan bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah yang keluar UMNO bagi menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) merupakan ‘blessing in disguise’ atau hikmah kepada UMNO.

Blog pro-UMNO, MYKMU.NET melaporkan, bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu menjadi duri dalam daging kepada parti itu sejak akhir-akhir ini.

Saifuddin yang berpegang kepada pemikiran liberal tidak lagi sesuai dengan UMNO yang sentiasa membawa jalan sederhana dalam isu agama dan kaum.

Sebaliknya, kecenderungan ideologi Saifuddin kepada Islam dan Melayu Liberal dikatakan sangat cocok kepada kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Blog itu berkata, pengumuman Saifuddin meninggalkan UMNO untuk menyertai PKR sedikit pun tidak mengejutkan.

“Pengumuman lebih mengejutkan apabila bekas Ahli Parlimen Temerloh tersebut menulis dalam akaun twitternya (pada Rabu) bahawa tidak akan sesekali keluar UMNO.

“Ramai dalam UMNO dan PKR yang kecewa dengan kenyataan semalam (Rabu). Akar umbi UMNO mengharapkan beliau keluar dari parti kerana sering membawa pandangan liberal. PKR pula sangat memerlukan Saifuddin seorang orator dan pemikir yang gah,” lapor blog itu.

Blog itu mendakwa, tindakan Saifuddin meninggalkan UMNO sebenarnya menyelamatkan parti itu.
“Terima kasih Saifuddin kerana menyelamatkan UMNO,” tulis blog itu lagi.

Saifuddin musuh dalam selimut- Bung Mokhtar


Saifuddin musuh dalam selimut- Bung Mokhtar
Tindakan Saifuddin keluar UMNO tidak akan menjejaskan parti itu kerana beliau sendiri telah ditolak oleh penduduk Temerloh

Tindak-tanduk bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah ketika masih dalam UMNO sama seperti musuh dalam selimut.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Bung Mokhtar Radin berkata, kebenarannya terserlah selepas bekas Ahli Parlimen Temerloh itu memutuskan untuk menyertai pembangkang, PKR.

“Saya tidak hairan Saifuddin keluar UMNO, kerana sikap Saifuddin dan menampakkan reaksi yang cukup menyakinkan yang dia tidak serasi dengan perjuangan Barisan Nasional (BN).

“Pada saya adalah lebih baik kita (UMNO dan BN) berlawan dengan lawan yang terang daripada berlawan dengan musuh dalam selimut. Saya ucap terima kasih kerana Saifuddin ‘be a gentlement’,” katanya ketika dihubungi FMT.

Malah Ahli Parlimen Kinabatangan itu berkata, tindakan Saifuddin keluar menyertai PKR lansung tidak menjejaskan UMNO, kerana beliau sendiri ditolak oleh rakyat semasa Pilihan Raya Umum (PRU) lepas.

“Saya tidak nampak UMNO pada keseluruhannya terjejas, sebab Saifuddin pun pemimpin yang kalah dalam PRU,” katanya.

Kenaikan tol tidak sepatutnya berlaku di Selangor-Jamal


Kenaikan tol tidak sepatutnya berlaku di Selangor-Jamal
Kerajaan Negeri Selangor menikmati royalti dan memegang 30 peratus saham syarikat konsesi, maka tidak salah diberikan subsidi bagi megelak kenaikan tol.

Kenaikan tol tidak sepatutnya berlaku di Selangor memandangkan kerajaan negeri itu dan saham ke atas syarikat konsesi tersebut.

Pengerusi Gabungan NGO Melayu Malaysia, Datuk Jamal Md Yunos berkata, sebagai penyelesaian mengurangkan beban tol yang mahal ditanggung rakyat di negeri itu, kerajaan negeri Selangor seharusnya membayar subsidi kepada syarikat konsesi tersebut.

“Kerajaan negeri Selangor menikmati royalti dan memegang 30 peratus saham daripada syarikat tersebut, jadi apa salahnya beri subsidi kepada mereka?

“Inipun Kerajaan Pusat masih memberi subsidi, jika ditarik semua itu, ia pasti akan menjadi cabaran besar kepada kerajaan negeri Selangor yang selama ini hanya pandai bercakap sahaja,” katanya kepada pemberita di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya pada Khamis.

Pada Rabu, Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali mengarahkan dua syarikat milik negeri yang mempunyai kepentingan minoriti dalam Lebuhraya Kesas dan Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) untuk beri penjelasan berhubung kenaikan tol di kedua-dua lebuh raya tersebut.

Azmin Ali berkata Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang memiliki 30 peratus saham minoriti dalam konsesi Lebuhraya Kesas sejak 1993 dan Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (KPS) sebanyak 20 peratus sejak 1999 memaklumkan bahawa sehingga kini tiada sebarang mesyuarat lembaga pengarah diadakan membincangkan kenaikan tol ia sekadar makluman.

Justeru kedua-dua syarikat konsesi itu diarah menghadiri mesyuarat khas lembaga pengarah bagi membantah kenaikan kadar tol.

Dakwaan Tun M buat laporan polis, palsu


Dakwaan Tun M buat laporan polis, palsu
Perkara itu dinafikan pegawai khas kepada bekas Dr Mahathir.

Dakwaan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersama dua lagi pemimpin UMNO akan membuat laporan Polis secara berasingan terhadap 1MDB, pada Jumaat disahkan palsu.

Penafian itu dibuat, Pegawai Media beliau, Sufi Mohd Yusof.

“Berita itu tidak benar,’ katanya ringkas ketika dihubungi FMT.

Dua pemimpin UMNO yang dikatakan akan membuat laporan itu, bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Sementara itu, Muhyiddin menerusi kenyataan di Facebooknya turut menafikan perkara sama.

“Whatsapp yang tersebar mengenai laporan polis oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah PALSU,” katanya.

Berdasarkan, maklumat yang dihantar menerusi aplikasi itu, laporan polis akan dibuat secara serentak di tiga lokasi berbeza yang akan diwakili pemimpin berkenaan.

Takut didenda punca pelajar Orang Asli lari diri


Punca pelajar-pelajar itu melarikan diri adalah disebabkan takut dengan hukuman oleh warden sekolah selepas mandi di sungai

Polis mendedahkan mengenai kejadian sebenar kehilangan tujuh murid Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi yang melarikan diri dari asrama pada 23 Ogos lepas.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, rentetan kejadian itu bermula sehari sebelum itu apabila sekumpulan 25 murid sekolah berkenaan keluar mandi ke sungai berdekatan pada pukul 1 tengah hari.

Hal itu kemudiannya dimaklumkan kepada seorang warden sebelum tiga daripada 25 murid berkenaan dipanggil.

“Kira-kira jam 9 malam, 23 daripada 25 murid berkenaan telah berbincang dan merancang untuk melarikan diri ke kampung mereka iaitu Kampung Penad dan Kampung Gawin pada keesokan pagi,” katanya yang dipetik daripada Bernama.

Mengulas lanjut, Mazlan berkata pada jam 7 hingga 9 pagi, 23 Ogos pula warden telah membuat pemeriksaan dan mendapati seramai 23 orang murid asrama telah melarikan diri dan warden bersama Pembantu Pengurusan Asrama, pengawal keselamatan dan dua orang penduduk kampung telah mencari murid-murid berkenaan.

“Mereka kemudiannya telah bertemu dengan 16 murid-murid ini di satu lokasi pada pukul 6 petang dan memujuk mereka untuk pulang ke asrama, bagaimanapun tujuh belum ditemui sebelum pihak sekolah yang dibantu penduduk kampung melakukan gerakan awal mencari mereka pada pukul 9 malam sehingga pukul 12.30 pagi keesokannya (24 Ogos),” ujarnya.

Beliau berkata, rancangan murid-murid berkenaan melarikan diri daripada asrama sekolah itu diketahui hasil temubual yang dijalankan ke atas 16 murid yang kembali ke asrama selepas dipujuk oleh guru mereka.

Katanya, pada 24 Ogos, pihak sekolah dan penduduk kampung meneruskan usaha pencarian bermula pukul 8 pagi hingga 3 petang dalam lingkungan 1 kilometer dari kawasan sekolah serta berjumpa dengan ibu bapa murid-murid berkenaan di Kampung Penad dan Kampung Gawin.

“Namun, selepas gagal menemui ketujuh-tujuh murid berkenaan di kampung masing-masing, pihak sekolah kemudiannya membuat laporan polis pada pukul 2.25 pagi pada 25 Ogos sebelum Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang menghantar lima anggotanya ke Pos Tohoi pada pukul 9.30 pagi untuk menjalankan operasi pencarian di kawasan berdekatan,” katanya lagi.

Jelas beliau, bermula pada 25 Ogos, operasi mencari dan menyelamat (SAR) ketujuh-tujuh murid-murid berkenaan telah digerakkan, sekaligus menolak dakwaan di laman-laman sosial yang mendakwa pasukan SAR hanya melaksanakan operasi berkenaan pada 27 Ogos.

“Pihak sekolah juga lambat membuat laporan polis kerana pernah ada kejadian murid bertindak melarikan diri dari asrama, namun ditemui ketika mencari murid berkenaan di rumah mereka,” katanya.

Mazlan berkata, lebih daripada 350 anggota daripada pelbagai agensi keselamatan dan awam telah terlibat dalam operasi berkenaan sehinggalah pasukan SAR menemui mayat pertama pada 7 Oktober lepas.

Miksudiar Alui, 11, dan Norieen Yaakob, 10, ditemui selamat oleh pasukan SAR pada Jumaat lepas.
Mereka adalah antara tujuh murid SK Tohoi di Gua Musang yang dilapor melarikan diri dari asrama sekolah pada 23 Ogos lepas kerana takut dikenakan tindakan oleh guru kerana mandi di sungai berdekatan tanpa kebenaran.

Dua lagi murid, Sasa Sobrie, 8, dan Ika Ayel, 9, disahkan meninggal dunia manakala dua rangka turut ditemui tetapi masih belum dikenal pasti.

Tiga lagi murid dalam insiden itu adalah Linda Rosli, 8, Haikal Yaakob, 8, dan Juvina
David, 7.


Jamal pertikai bidang kuasa polis


Jamal pertikai bidang kuasa polis
Menurut Jamal kelulusan untuk mengadakan perhimpunan itu bukan urusan mereka kerana ia tanggungjawab polis.

Perhimpunan ‘Selamatkan Negeri Selangor Daripada Kerajaan Pakatan Caca-marba’ akan tetap diteruskan pada Ahad ini walaupun tidak mendapat permit daripada pihak berkuasa.

Pengerusi Gabungan NGO Melayu Malaysia, Datuk Jamal Md Yunos berkata, mendapat kelulusan untuk mengadakan perhimpunan itu bukan urusan mereka kerana ia tanggungjawab pihak polis.

“(Memperoleh kelulusan) itu kerja polis. Biar dia buat kerja, kami bawa suara rakyat. Polis ada tanggungjawab dan kami juga ada tanggungjawab.

“Saya tidak berniat untuk mencabar polis atau pihak berkuasa cuma mahu beritahu, 18 Oktober ini kami tetap adakan himpunan itu,” katanya kepada pemberita di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya.

Jamal yang juga Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar berkata, perhimpunan itu diadakan ekoran pelbagai masalah tidak berkesudahan di Selangor khususnya masalah denggi, sampah dan lif rosak di kawasan rumah pangsa yang tidak diselenggara.

“Itu merupakan sebab untuk kami mengadakan himpunan ini,” katanya.

Jamal mensasarkan kira-kira 5,000 peserta akan menyertai himpunan yang akan diadakan di Bandar Baru Ampang itu.

Bukan itu sahaja, Jamal juga bercadang mengadakan himpunan yang sama di dua kawasan yang lain iaitu Kelana Jaya dan Subang.

“Himpunan ini dijangka diatur dalam masa enam bulan akan datang,” ujarnya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Rujukan