Cari Artikel

Wednesday, October 14, 2015

Ubat demam kanak-kanak ada alkohol


Ubat demam kanak-kanak ada alkohol
Kementerian Kesihatan telah mengarahkan syarikat berkenaan menarik balik semua produk itu kerana tidak mematuhi syarat pelabelan.

Ubat demam untuk kanak-kanak, sirap Paracetamol keluaran syarikat Royce Pharma Sdn Bhd disahkan mengandungi alkohol.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi kenyataan media memaklumkan, pihaknya telah mengarahkan syarikat berkenaan menarik balik semua produk itu kerana tidak mematuhi syarat pelabelan.

“Syarikat berkenaan tidak menyatakan kandungan alkohol pada label dan sisip bungkusan dan ini melanggar syarat pendaftaran,” kata KKM.

Menurut KKM, berdasarkan spesifikasi kementerian, produk yang dikeluarkan syarikat itu tidak seharusnya mengandungi alkohol.

Bagaimanapun, kandungan alkohol pada produk berkenaan pada had yang dibenarkan dan tiada isu keselamatan kerana produk itu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) serta mematuhi keperluan kualiti, keselamatan dan keberkesanan.

Jangan bersekongkol hancurkan negara – Najib


Jangan bersekongkol hancurkan negara – Najib
Umat Islam perlu mempertahankan negara ini kerana Malaysia merupakan sebuah negara yang membawa sinar harapan kepada dunia Islam

Rakyat diingatkan agar tidak bersekongkol dengan mana-mana pihak sama ada dalam mahupun luar untuk menghancurkan apa yang telah dikecapi negara selama ini.

Peringatan itu disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurut Najib, umat Islam perlu mempertahankan negara ini kerana Malaysia merupakan sebuah negara yang membawa harapan kepada dunia Islam.

“Jangan biarkan siapa-siapa bersekongkol dengan pihak dalam atau luar negara untuk menghancurkan apa yang dah dicapai.

“Sinar harapan dunia Islam adalah negara Malaysia kita ini. Inilah yang wajib kita pertahankan dengan kekuatan yang ada,” katanya sambil menambah, atas alasan itu Malaysia membela hak Palestin.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perhimpunan Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan yang bertemakan ‘Perpaduan Nadi Transformasi Negara’ di Masjid Negara pada Rabu.

Dalam masa sama, Perdana Menteru menyeru ulama dan profesional muslim di negara ini supaya proaktif dalam memberikan respon segera bagi melumpuhkan idea-idea keganasan dan gerakan ekstremis.

“Usaha membanteras keganasan tidak cukup setakat menumpaskan kumpulan militan dan ekstremis tetapi perlu berusaha mematikan idea-idea keganasan dan ideologi yang mereka anuti.

“Kita berdepan dengan idea-idea keganasan gerakan ekstremis dan gerakan-gerakan ini boleh membawa kesan yang cukup buruk kepada Islam,” katanya.

Najib berkata, Malaysia seharusnya menggunakan segala medium yang ada khususnya generasi muda agar memahami apa yang terkandung dalam Islam yang sebenar.

“Perlu sampaikan kerana Islam adalah agama yang tidak memusuhi agama lain,” ujarnya.

Hamzah Zainuddin menteri angkuh – ADUN DAP


Hamzah Zainuddin menteri angkuh – ADUN DAP
Peniaga pasti akan menaikkan harga barang ekoran penggunaan lori yang menggunakan tol untuk mengangkut barang-barang

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Hamzah Zainuddin dituduh seorang yang angkuh kerana mengeluarkaan kenyataan meminta peniaga tidak menaikkan harga barang berikutan penyelarasan kadar tol.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balakong, Ng Tien Chee berkata, Zainuddin telah menunjukkan kelemahan kerajaan Barisan Nasional dalam mengurus ekonomi negara.

Beliau berkata, alasan Zainuddin bahawa penyelarasan itu tidak melibatkan semua tol selain mempertikai jumlah lori yang menggunakan lebuh raya adalah sesuatu yang tidak wajar.

“Saya ingin bertanya kepada Menteri adakah lori-lori yang menggunakan lebuh raya ini tidak perlu membayar ataupun tidak berdepan kenaikan harga?

“Sekiranya mereka terkesan, apakah rasional bagi menteri menghalang peniaga menaikkan harga barangan dengan kadar yang munasabah memandangkan kos pengangkutan terpaksa naik berikutan kenaikan tol yang dibenarkan oleh kerajaan pusat?

“Walaupun bukan semua lebuh raya terlibat, apa yang nyata adalah lebuh raya yang menaikkan harga merupakan lebuh raya yang utama di sekitar Lembah Klang. Kenyataan beliau seperti pepatah Cina yang membawa maksud Rakyat tidak dibenarkan untuk menyalakan lampu ketika kerajaan sedang membakar,” katanya menerusi kenyataan kepada FMT.

Tien Chee berkata, kerajaan tidak sepatutnya memberikan tekanan kepada rakyat selepas gagal mengurus ekonomi negara dengan baik.

Katanya, penjelasan yang pelbagai untuk dijadikan alasan bagi menaikkan kadar tol merupakan satu kelaziman apabila setiap kali kerajaan mengumumkan sesuatu yang akan meningkatkaan beban rakyat jelata.

“Alasan yang sama diberikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 31 Disember 2014 bagi menjelaskan sebab pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang dilaksanakan pada 1 April lalu,” katanya.

Syarikat konsesi lebuh raya pertahan kenaikan tol


Syarikat konsesi lebuh raya pertahan kenaikan tol
Penyelarasan kadar tol adalah bagi membolehkan syarikat konsesi menambah perkhidmatan dan kemudahan yang selamat dan selesa kepada pengguna.

Persatuan Syarikat-syarikat Konsesi Lebuhraya Malaysia (PSKLM) menafikan dakwaan bahawa penyelarasan kadar tol baharu yang diumumkan akan memberi keuntungan besar kepada pemegang konsesi.

Sebaliknya, penyelarasan kadar tol itu bagi membolehkan anggota PSKLM terus menyediakan perkhidmatan dan kemudahan yang selamat dan selesa kepada pengguna lebuh raya.

PSKLM menerusi kenyataan pada Rabu berkata, adalah tidak benar untuk membuat tuduhan seperti itu yang seolah-olah mahu memberi gambaran bahawa konsesi cuba mengaut keuntungan dikala berlaku kenaikan terhadap perkara-perkara tertentu yang menekan pengguna ketika ini.

“PSKLM memahami dan memberi perhatian serius kepada semua reaksi yang diberikan.

“Di bawah Dasar Penswastaan Lebuh Raya Bertol pada awal 1980an, usaha membangunkan lebuh raya adalah sesuatu yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan dengan penglibatan terus pihak swasta.

“Di bawah dasar ini, syarikat konsesi akan menanggung segala perbelanjaan untuk membina sesebuah sesuatu lebuh raya dan sebagai balasannya, dibenarkan untuk mengutip tol untuk satu tempoh konsesi yang telah ditetapkan,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, ramai mendakwa kenaikan harga barang akan berlaku akibat dari penyelarasan kadar tol.

Bagaimanapun, kenaikan harga barang dicatatkan setiap tahun walaupun tanpa penyelarasan kadar tol.

“Kenaikan harga barang adalah ekoran daripada pelbagai faktor, antaranya kenaikan harga minyak global dan sikap mereka yang ingin mengambil kesempatan untuk membuat keuntungan yang berlebihan dari penyelarasan kadar tol ini.

“ Sehubungan itu, kami ingin menyeru agar pihak berkuasa turut sama memantau akan kenaikan harga barang yang menggunakan penyelarasan kadar tol sebagai alasan,” katanya.

MH17 ditembak peluru berpandu BUK Russia


MH17 ditembak peluru berpandu BUK Russia
Laporan akhir nahas itu bagaimanapun tidak menyatakan siapa yang melancarkan peluru berpandu berkenaan.

Pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 disahkan ditembak jatuh di timur Ukraine dengan peluru berpandu BUK buatan Russia.

Pengesahan itu terkandung dalam laporan akhir mengenai nahas yang mengorbankan 298 penumpang dan anak kapal itu yang dikeluarkan Lembaga Keselamatan Belanda (OVV).

Hasil siasatan yang ditunggu-tunggu itu, bagaimanapun tidak menyatakan siapa yang melancarkan peluru berpandu itu.

AFP melaporkan, Pengerusi OVV, Tjibbe Joustra, berkata peluru berpandu itu dilancarkan dari lokasi dalam kawasan seluas 320 kilometer (km) persegi.

“Pesawat itu berkecai dengan serpihan berselerak seluas 50 kilometer persegi,” katanya.

Dalam laporan itu juga, Joustra mengesahkan tiga anak kapal mati di dalam kokpit terkena serpihan peluru berpandu itu.

Beliau berkata, siasatan menolak andaian bahawa terdapat bom di dalam pesawat, serangan udara ke udara atau perlanggaran meteor.

“Serpihan berimpak tinggi daripada peluru berpandu ditemui dalam badan anak kapal yang terbunuh dalam kokpit.

“Serpihan juga ditemui di dalam kokpit yang dikesan menerusi cat yang dikaitkan dengan bahagian depan BUK,” katanya.

Sementara itu, Joustra mengesahkan bahawa kerajaan Russia mencabar hasil siasatan akhir berkenaan.

Bagaimanapun, OVV menolak bantahan itu.

Pas tidak rela bekerjasama dengan Perkasa


Pas tidak rela bekerjasama dengan Perkasa
Pas menolak sebarang kerjasama dengan pihak-pihak yang membawa sentimen perkauman.

Pas tidak sanggup menjalinkan kerjasama dengan Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) kerana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu membawa sentimen perkauman.

Naib Presiden Pas, Datuk Iskandar Samad berkata, laporan media bahawa Pas menjalinkan kerjasama dengan Perkasa pada Selasa adalah tidak benar.

Beliau yang juga Pesuruhjaya Pas Selangor berkata, pihaknya telah mendapatkan penjelasan daripada Pas Pusat berhubung laporan media itu.

“Pas Selangor telah menerima penjelasan bahawa Pas Pusat hanya menerima kunjung hormat daripada Perkasa.

“Mereka telah membincangkan 3 perkara iaitu 1MDB, SOSMA dan TPPA. Tidak ada persetujuan untuk mewujudkan sebarang kerjasama seperti yang dilaporkan oleh media.

“Sehubungan itu, ingin ditegaskan di sini bahawa Pas Selangor tidak bersetuju dengan sebarang kerjasama dengan Perkasa.

“Walaupun PAS Selangor bersedia mewujudkan kerjasama untuk menentang Barisan Nasional (BN) dengan mereka yang menghormati prinsip-prinsip dan dasar perjuangan Pas tetapi kami menolak sama sekali mana-mana pihak yang membawa sentimen perkauman,” katanya.

Iskandar berkata, abaikan sentimen perkauman kerana seluruh tenaga rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa, agama dan kedudukan sosial perlu digembelingkan untuk berhadapan dengan penyelewengan dan salahguna kuasa BN,” katanya.

FMT melaporkan Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, Pas dan Perkasa bersetuju menjalinkan kerjasama melibatkan isu nasional bukan kerjasama politik.

Katanya, kerjasama sejajar dengan dasar terbuka parti yang sedia menjalinkan kerjasama dengan mana-mana pihak untuk kebaikan rakyat.

Hanya warga Nepal boleh jadi pengawal keselamatan


Hanya warga Nepal boleh jadi pengawal keselamatan
Orang ramai perlu melaporkan kepada KDN atau polis jika terdapat pengawal keselamatan warga asing selain Nepal.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata hanya warga Nepal sahaja yang sah menjadi pengawal keselamatan warga asing dalam negara ini.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai membuat aduan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan polis sekiranya mendapati warga asing selain Nepal bekerja sebagai pengawal keselamatan.

“Selain warga Nepal, warga asing yang bekerja sebagai pengawal keselamatan adalah pekerja haram dan bekerja untuk syarikat keselamatan yang tidak berlesen.

“Kalau nampak pengawal keselamatan warga asing selain warga Nepal, mereka bukannya pengawal keselamatan yang sah,” katanya dalam sidang media di Dewan Merdeka PWTC.

Dalam perkembangan berkaitan, Nur Jazlan berkata, bermula pada tahun ini KDN mewajibkan semua ahli lembaga pengarah dan pemegang saham syarikat kawalan keselamatan untuk mengikuti kursus pengurusan syarikat kawalan keselamatan sebagai salah satu syarat untuk memperbaharui Lesen Agensi Persendirian untuk 2016.

“Kursus itu diadakan bertujuan membolehkan setiap ahli lembaga pengarah dan pemegang saham syarikat mempunyai “Up-To-Date Knowledge” atau maklumat terkini dalam pengurusan kawalan keselamatan,” katanya.

Pas- Perkasa jalin kerjasama


Pas- Perkasa jalin kerjasama
Kerjasama itu bagaimanapun hanya melibatkan isu-isu nasional dan tidak menyentuh kerjasama politik.

Pas dan Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) bersetuju untuk membentuk kerjasama buat pertama kali membabitkan isu-isu nasional tetapi tidak melibatkan kerjasama politik.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, kerjasama itu selaras dengan dasar terbuka parti itu untuk mengadakan kerjasama dengan mana-mana pihak untuk kebaikan rakyat.

“(Kerjasama) ini menunjukkan Pas terbuka kepada sesiapa sahaja termasuk Perkasa dan badan bukan kerajaan (NGO).

“Untuk maruah negara dan rakyat, kita bersatu dengan Perkasa demi untuk agenda bangsa dan rakyat,” katanya pada sidang media bersama pemimpin Pas dan Perkasa di Ibu Pejabat Pas pada Selasa.

Terdahulu, Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali bersama-sama 33 orang ahli pertubuhan itu mengadakan kunjungan hormat kepada Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Ibrahim berkata, Perkasa gembira kerana Pas memutuskan hubungan dengan DAP.

“Perkasa berpendapat tak rugi perjuangan politik Pas sebab Pas parti Islam yang peranannya menegakkan syiar Islam,” katanya.

Pas dan Perkasa sepakat mendesak supaya kerajaan menubuhkan sebuah Suruhanjaya Diraja untuk menyiasat skandal 1MDB dan derma RM2.6 billion serta dan membebaskan Peguam Matthias Chang serta Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan.

Mereka juga turut mendesak supaya kerajaan telus dan tidak bersandiwara membabitkan isu Perjanjian Perkongsian Trans- Pasifik (TPPA).

Tun M dan lima tokoh lain tidak bersalah


Tun M dan lima tokoh lain tidak bersalah
Enam tokoh itu menggunakan hak mereka untuk berkumpul dan menyuarakan pandangan dan terpulang kepada rakyat untuk membuat penilaian.

Tindakan enam tokoh yang diketuai Tun Dr. Mahathir Mohamad berkumpul dan mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya berundur tidak salah.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, enam tokoh itu berhak untuk berkumpul dan menyuarakan pandangan masing-masing.

Katanya, terpulang kepada rakyat untuk membuat penilaian terhadap kenyataan yang dibuat oleh enam tokoh politik UMNO dan MCA itu.

“Itu hak merekalah untuk berkumpul..itu hak dia.. Tetapi terpulang kepada rakyat untuk menilai tindakan mereka itu,” katanya dalam sidang media di Dewan Merdeka PWTC pada Selasa.

Nur Jazlan berkata demikian mengulas lanjut mengenai gesaan enam pemimpin yang meminta supaya Najib berundur.

Enam pemimpin yang meminta supaya Najib berundur adalah Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Shafie Apdal, bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Sanusi Junid, Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah dan bekas Presiden MCA, Tan Sri Ong Tee Keat .

Muhyiddin turut meminta rakyat supaya tidak takut untuk menyuarakan pandangan terhadap kepincangan kepimpinan Najib.

Manakala, Tengku Razaleigh berkata beliau ada cara lain untuk jatuhkan Najib dan tidak akan menggunakan kaedah undi tak percaya kepada Najib kerana awal-awal lagi usul itu sudah dihalang oleh Speaker Dewan Rakyat.

Jangan naik harga barang hanya kerana tol naik – Menteri


Jangan naik harga barang hanya kerana tol naik – Menteri
Kenaikan tol sebenarnya bertujuan membolehkan kerajaan menyediakan lebih banyak bantuan serta kemudahan kepada rakyat pada masa akan datang.

Peniaga diingatkan agar tidak menjadikan alasan kenaikan kadar tol di 12 lebuh raya bermula Khamis ini untuk menaikkan harga barangan sesuka hati.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hamzah Zainuddin berkata, kenaikan kadar tol yang diumumkan kerajaan hanya melibatkan lebuh raya tertentu khususnya di sekitar Lembah Klang.

“Kenaikan ini bukan semua tol, tapi hanya lebuh raya dalam bandar sahaja. Berapa banyak lori yang pakai lebuh raya ini.

“Jadi kenapa dia (peniaga) nak naikkan harga barang. Berapa peratus sahaja lebuh raya yang naik, dia kena buat kiraan,” katanya yang dipetik daripada sebuah laman portal pro kerajaan.

Beliau menghadiri majlis Pra-Pelancaran Hari Pengguna Kebangsaan 2015 dan Kempen Cintai Buatan Malaysia pada Selasa.

Hamzah menegaskan, kenaikan kadar tol sebenarnya bertujuan membolehkan kerajaan menyediakan lebih banyak bantuan serta kemudahan kepada rakyat pada masa akan datang.

Beberapa syarikat konsesi lebuh raya utama di Lembah Klang mengumumkan kenaikan kadar tol berkuat kuasa Khamis ini.

Antara lebuh raya itu berkenaan ialah Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK), Lebuhraya Maju Expressway (MEX), Lebuhraya Kajang-SILK, Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE), Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong (SMART).

Lebuhraya KL-Kuala Selangor (LATAR), Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA), Lebuhraya Baru Pantai (NPE), Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS), Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Lebuhraya Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT) dan Lebuhraya Cheras-Kajang (GRAND SAGA).

Tak perlu ikat Ringgit tapi ‘ikat’ Najib -Rafizi


Tak perlu ikat Ringgit tapi ‘ikat’ Najib -Rafizi
Dia menyokong kenyataan Gabenor Bank Negara bahawa nilai Ringgit akan meningkat jika Perdana Menteri berundur dan masalah 1MDB diselesaikan segera.

Kaedah terbaik untuk menyelesaikan masalah ekonomi negara adalah dengan cara ‘mengikat’ Datuk Seri Najib Tun Razak bukannya mengikat Ringgit kepada USD.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli berkata, ‘mengikat’ Najib sehingga beliau berundur dan menyelesaikan segera masalah 1MDB akan membantu mata wang negara terus pulih.

“Saya setuju dengan kenyataan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Zeti Akhtar Aziz yang mengatakan tidak ada keperluan lagi untuk mengikat Ringgit kepada USD.

“Kejatuhan mata wang Ringgit bukan disebabkan prasarana ekonomi negara huru hara tetapi masalah utama adalah 1MDB dan Najib.

“Mudah sahaja, tak ada keperluan ikat mata wang, kita hanya perlu ikat Najib,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PKR.

Sebelum ini, Zeti dilaporkan berkata, Bank Negara tidak melihat ada keperluan untuk mengikat Ringgit kepada USD.

Zeti juga dilaporkan bersetuju nilai Ringgit akan naik semula sekiranya isu 1MDB diselesaikan.

Pasukan Petugas Khas 1MDB: Khalid sedia jumpa SPRM


Pasukan Petugas Khas 1MDB: Khalid sedia jumpa SPRM
Pertemuan itu bagi membincangkan rancangan mengaktifkan semula Pasukan Petugas Khas 1MDB yang dianggotai PDRM, SPRM, Bank Negara dan Jabatan Peguam Negara.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menegaskan beliau sedia hadir sekiranya dipanggil untuk bertemu dengan Pasukan Petugas Khas yang bertanggungjawab menyiasat skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Katanya, beliau akan berhubung dengan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohamed dalam masa terdekat berhubung perkara itu.

“Tiada masalah apabila dipanggil, nanti saya akan hadir jika sesuai dengan masanya. Saya akan berhubung dengan Tan Sri Abu Kassim, saya tidak tahu siapa yang akan memulakan pertemuan itu,” katanya kepada pemberita selepas majlis pemakaian pangkat Inspektor kepada Tunku Laksamana Johor Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim di Johor Bahru pada Selasa.

Semalam (Isnin), Abu Kassim berkata beliau akan mengadakan pertemuan dengan ketua pasukan petugas khas yang bertanggungjawab menyiasat isu 1MDB dan mereka ialah Khalid, Gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akhtar Aziz dan Peguam Negara Tan Sri Mohamad Apandi Ali.

Abu Kassim berkata, pertemuan itu bagi mengaktifkan semula peranan Pasukan Petugas Khas berkenaan yang turut dianggotai SPRM dalam menyelesaikan hal berkaitan dengan 1MDB.

AG beri penjelasan penahanan Khairuddin dan Matthias


AG beri penjelasan penahanan Khairuddin dan Matthias
Kedua-duanya tidak ditahan mengikut SOSMA sebaliknya di bawah Seskyen 124L Kanun Keseksaan kerana cubaan mensabotaj ekonomi negara.

Bekas Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan peguamnya Mathhias Chang tidak ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA) 2012.

Peguam Negara , Tan Sri Mohamed Apandi Ali menjelaskan Khairuddin dan Matthias telah ditahan mengikut Seksyen 124L Kanun Keseksaan.

“Penjelasan ini dibuat bagi menerangkan salah faham yang berlaku dan juga laporan-laporan yang mendakwa pihak kerajaan telah menyalahgunakan kuasa,” katanya dalam sidang media di Jabatan Peguam Negara di sini pada Selasa.

Mohamed Apandi menjelaskan bahawa SOSMA merupakan satu prosedur undang-undang yang memberi peruntukkan istimewa untuk menyiasat dan mendakwa kesalahan yang melibatkan keselamatan negara.

“Definisi ‘kesalahan yang melibatkan keselamatan negara’ telah menjelaskan bahawa SOSMA tidak terhad kepada keganasan dan pihak pengganas sahaja,” katanya.

Katanya, Seksyen 124L merupakan undang-undang Perkara 6 di bawah Kanun Keseksaan dan merupakan satu daripada tujuh kesalahan yang terkandung dalam Perkara 6 di bawah SOSMA.

“Oleh itu, kesalahan yang melibatkan keselamatan negara turut diaplikasikan kepada undang-undang SOSMA,” katanya lagi.

Jelas Mohamed Apandi lagi, Seksyen 124L Kanun Keseksaan juga memperuntukkan ‘sesiapa yang terlibat untuk melakukan sabotaj atau apa-apa persediaan berkaitan dengannya akan dikenakan hukuman penjara maksimum selama 15 tahun.

Semalam, Khairuddin dan Mathhias telah didakwa di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di bawah Seksyen 124L dan Seksyen 34 Kanun Keseksaan kerana cubaan mensabotaj sistem perbankan dan sistem kewangan negara.

Keputusan itu menyebabkan, mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan lima tokoh politik negara bergabung mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak supaya tidak menyalahgunakan kuasa.

Enam tokoh itu menyifatkan penahanan Khairuddin dan Matthias sebagai tindakan terdesak kerajaan.

Tiada tatacara pakaian wanita Islam di Kedah – Mukhriz


Tiada tatacara pakaian wanita Islam di Kedah – Mukhriz
Kedah tidak sesuai melaksanakan tatacara peraturan kerana mempunyai masyarakat majmuk yang berbilang bangsa dan agama.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir menafikan dakwaan kononnya kerajaan negeri akan memperkenalkan peraturan berpakaian bagi wanita beragama Islam di negeri itu.

Menurutnya, Kedah merupakan negari majmuk yang berbilang kaum dan mesej tersebar menerusi aplikasi WhatsApp tentang cadangan itu berkemungkinan merupakan usaha mensabotaj program ‘Discover Kedah’ tahun depan.

“Itu (cadangan) adalah tidak benar. Kita tidak berhasrat ke tahap sampai hendak menguatkuasa pakaian wanita di Kedah. Di Kedah kita memberi ruang dan tidak ada sampai ‘strict’ sangat.”

“Pada akhirnya, ia antara seseorang dengan Tuhannya,” katanya yang dipetik daripada Bernama. .
Mukhriz meminta semua pihak tidak risau tentang perkara itu kerana sehingga kini tiada cadangan mengenai kod pakaian wanita Islam di Kedah dikemukakan di peringkat kerajaan negeri.

Mukhriz berkata demikian mengulas kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Agama, Hal Ehwal Masyarakat India dan Siam, Sumber Tenaga Manusia dan Pelancongan Negeri Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid mengenai perkara itu pada Isnin.

Rawi dilaporkan berkata, kerajaan negeri mempunyai cadangan untuk melaksanakan peraturan berpakaian itu tetapi masih di peringkat perbincangan oleh Majlis Agama Negeri Kedah.

Mukhriz berkata, perkara mengenai cara berpakaian seseorang itu bukanlah sesuatu yang boleh dijadikan peraturan, lebih-lebih lagi di sebuah negeri dan negara yang majmuk serta pelbagai kaum.

Siasatan 1MDB selesai tiga bulan lagi


Siasatan 1MDB selesai tiga bulan lagi
Siasatan fasa pertama telah selesai tetapi ada beberapa maklumat berkaitan luar negara yang belum disiasat.

Hasil siasatan Jabatan Audit Negara terhadap akaun 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akan dikeluarkan dalam tempoh kira-kira tiga bulan lagi.

Timbalan Pengarah Jabatan Audit Negara R. Raja Sunthara Kannan berkata pihaknya sedang melaksanakan fasa kedua siasatan yang lebih terperinci melibatkan unsur yang belum disiasat.

“Fasa pertama siasatan telah selesai tetapi terdapat beberapa maklumat berkaitan luar negara yang perlu diselesaikan dan kita jangka akan mengeluarkan laporan siasatan dalam tempoh tiga hingga empat bulan lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui sewaktu Seminar Kelestarian Integriti
anjuran Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) bersama Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) di Kuala Lumpur pada Selasa.

Syarikat pelaburan kerajaan itu kini sedang disiasat ekoran terdapat tuduhan penyelewengan dan salah urus tadbir yang dikaitkan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
-BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Rujukan