Cari Artikel

Tuesday, October 13, 2015

Formula elak tol dan minyak naik


Formula elak tol dan minyak naik
Kenaikan tol dan minyak menjadikan ekonomi negara semakin lembap kerana kuasa beli pengguna semakin berkurangan.

Pakatan Harapan menyenaraikan dua formula kepada kerajaan untuk mengekalkan kadar tol dan mengelak kenaikan harga minyak di pasaran tempatan.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli berkata, bagi mengekalkan harga tol, kerajaan perlu menyemak semula perjanjian berat sebelah dengan syarikat konsesi bagi mengelak pampasan melampau.

“Pakatan Harapan juga menyeru Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof lebih kreatif dalam membela rakyat dan merundingkan semula dengan pemegang konsesi dengan tawaran “First right of refusal” dalam projek lebuh raya akan datang pada kadar keuntungan berpatutan sebagai pertukaran mengekalkan kadar tol sedia ada,” katanya dalam sidang media pada Selasa.

Bagi mengelak kenaikan harga minyak pula, Pakatan Harapan mencadangkan kerajaan merombak kembali sistem penetapan harga minyak yang menggunakan harga rujukan mengikut USD.

Katanya kesilapan yang dibuat kerajaan apabila formula menetapkan harga bulanan RON95, diesel dan RON97 menggunakan harga rujukan mengikut USD.

“Sejak 1980, kerajaan Barisan Nasional (BN) menggunakan harga rujukan dari Singapura di dalam USD untuk menentukan kos minyak mentah dan memproses minyak mentah sedangkan maklumat yang lebih tepat boleh diperolehi terus dari syarikat-syarikat minyak di Malaysia,” katanya.

Katanya, harga minyak di pasaran tempatan tinggi berbanding harga semasa kerana kejatuhan nilai Ringgit disebabkan kelemahan kerajaan mengurus negara.

“Walaupun harga minyak di dalam USD sebenarnya kekal murah, apabila ia diterjemahkan ke Ringgit menggunakan formula, tiba-tiba, ia menjadi mahal akibat faktor mata wang (bukan kerana harga minyak mahal),” katanya.

Dia berkata, kedua-dua mekanisme itu akan diterang lebih lanjut dalam Belanjawan Pakatan Harapan 2016.

Mengulas kenaikan tol berkuatkuasa 15 Oktober ini, Rafizi berkata, keputusan itu seumpama Datuk Seri Najib Tun Razak membunuh diri.

Katanya, kenaikan tol akan melembapkan pertumbuhan ekonomi negara ekoran bebanan yang ditanggung itu menyebabkan kurangnya kuasa beli oleh pengguna.

Amanah tidak terima dana DAP


Amanah tidak terima dana DAP
Amanah ditubuhkan hasil sumbangan 30 pemimpin yang menyumbangkan RM40,000 setiap seorang selain pendaftaran keahlian RM10.

Parti Amanah Negara (Amanah) menolak dakwaan parti yang baharu ditubuhkan itu menerima dana dan sumbangan daripada DAP.

Setiausaha Amanah, Anuar Mohd Tahir berkata, parti itu sedia menolak jika DAP mahu berikan sumbangan untuk tidak menjejaskan nama baik Amanah.

Katanya, Amanah ditubuhkan menggunakan wang yang disumbangkan 30 pemimpin yang mengerakkan Gerakan Harapan Baru (GHB) dengan setiap seorang menyumbang RM40,000.

“Kita mula komuniti pertama kita seramai 30 orang. Termasuk Mohamad Sabu, Salahuddin Ayub, Khalid Abdul Samad yang dari Gerakan Harapan Baru,” katanya dalam sidang media di Wisma AMANAH Negara pada Selasa.

Mengulas lanjut, Anuar menjelaskan, sumber lain bagi parti itu adalah melalui pendaftaran keahlian.
“Bila keahlian baru yuran mendaftar adalah RM10.00. Dari situ, RM5 untuk pusat, RM5 lagi untuk negeri,” katanya.

Pada masa sama, Anuar turut menjelaskan bahawa parti itu akan terus mengamalkan konsep sumbangan dan derma daripada ahlinya.

“Kita akan amalkan (konsep derma). Lebih baik dapat derma ikhlas daripada ahli berbanding orang luar. Kita tidak mahu sesetengah pihak menguasai kita,” katanya.

Zuraida bidas Amanah


Zuraida bidas Amanah
Tindakan mencabar dalam kalangan parti pembangkang terlalu kebudak-budakan dalam suasana politik yang sudah semakin rapuh

Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR), Zuraida Kamaruddin membidas Parti Amanah Negara (Amanah) yang menyatakan parti itu sedia bertanding tiga penjuru dalam Pilihan Raya Umum (PRU14).

Menyifatkan kenyataan pemimpin itu sebagai tindakan kebudak-budakan, Ahli Parlimen Ampang itu berkata, parti-parti politik perlu meletakkan agenda mensejahterakan rakyat sebagai keutamaan.

Katanya, langkah bersatu dan bertegas untuk memenangi Putrajaya adalah menjadi matlamat yang perlu dicapai.

“Adalah penting untuk menjaga batas dalam berkomunikasi dengan mempunyai sifat terbuka melalui perbincangan aktif dan kerap bagi merealisasikan misi perjuangan satu lawan satu.

“Jika sayangkan negara ini, haruslah meletakkannya sebagai agenda utama mengatasi agenda peribadi atau parti. Mencabar satu sama lain untuk pertandingan tiga penjuru adalah terlalu kebudak-budakan dalam suasana politik kita yang kini sudah semakin rapuh,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Baru-baru ini, Presiden Amanah, Mohamad Sabu atau Mat Sabu yang dilaporkan sebuah laman portal berkata, Amanah bersedia untuk bertanding tiga penjuru menentang BN dan Pas dalam pilihan raya umum akan datang jika terpaksa.

Bagaimanapun, Mat Sabu berkata, Amanah akan memberikan peluang kepada Pas sepenuhnya untuk berunding bagi memastikan pembangkang hanya akan bertanding satu lawan satu dalam PRU14.

Ketua Amanah Kulai, Hisham Md Zin pula dilaporkan berkata, parti itu mempunyai peluang yang lebih cerah berbanding BN dan Pas di Johor jika berlaku pertandingan tiga penjuru ekoran demografi penduduk di negeri itu.

Kerajaan perlu tarik balik kebenaran naik tol


Kerajaan perlu tarik balik kebenaran naik tol
Kerajaan mempunyai kepentingan atau saham dalam syarikat konsesi lebuh raya dan perlu menggunakan untuk menghalang kenaikan itu.

Angkatan Muda Keadilan (AMK) mendesak kerajaan menarik balik kelulusan membenarkan syarikat konsesi lebuh raya menaikkan kadar tol melibatkan 12 lebuh raya.

Timbalan Ketua AMK, Dr Afif Bahardin berkata, jusitfikasi Kementerian Kerja Raya bahawa kenaikan ini adalah perlu bagi menjimatkan perbelanjaan Kerajaan UMNO – Barisan Nasional menunjukkan Datuk Seri Najib Razak dan Kabinet telah gagal untuk mengurus perbelanjaan kerajaan.

Katanya, kenaikan itu menjadi bukti bahawa dasar kapitalis kroni (crony capitalism) yang diamalkan UMNO dan BN akhrinya telah memusatkan kekayaan kepada kelompok tertentu sahaja sehingga mengadaikan kesejahteraan rakyat.

“Kenaikan ini juga menunjukkan bahwa tiada iltizam dari kepimpinan UMNO – BN sekarang untuk melakukan perubahan dengan melaksanakan penjimatan dan mengatasi ketirisan dan kebocoran yang berlaku di dalam kerajaan, tetapi lebih rela untuk terus membebankan rakyat yang telah sedia tertekan dengan kedudukan ekonomi semasa,” katanya dalam kenyataan media.

Sementara itu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kerajaan boleh menghalang kenaikan itu kerana memiliki saham dalam sesetengah syarikat konsesi lebuh raya terlibat.

Katanya, kerajaan boleh menghalang kenaikan itu jika benar-benar mengambil berat kesusahan yang ditanggung rakyat ketika ini.

“Kenaikan kadar tol hanya semata-mata mengikut nafsu tamak yang dimeterai di dalam perjanjian konsesi tol yang tempang. Yang lebih menyedihkan ialah fakta bahawa sebenarnya kerajaan sendiri mempunyai banyak saham pegangan di dalam syarikat konsesi ini,” katanya.

Katanya, kerajaan BN tidak boleh dipercayai kerana mungkir janji untuk menjaga kebajikan rakyat sebaliknya membuatkan rakyat lagi sengsara.

Guna kutipan GST untuk tanggung kenaikan tol


Guna kutipan GST untuk tanggung kenaikan tol
Anina Saadudin mempersoalkan janji kerajaan untuk memulangkan semula hasil kutipan GST kepada rakyat.

Kerajaan sepatutnya menggunakan hasil kutipan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) berbilion Ringgit yang dikutip setiap bulan untuk menanggung kos kenaikan tol.

Bekas ahli Wanita UMNO Cawangan Padang Mat Sirat, Anina Saadudin berkata, kerajaan telah berjanji untuk memulangkan hasil kutipan GST kepada rakyat.

“Ke mana perginya kutipan GST yang berbillion sebulan? Bukankah kerajaan berjanji untuk memulangkannya kepada rakyat?,” katanya dalam satu kenyataan.

Anina berkata, adakah menteri tidak berfikir untuk berbuat demikian kerana terlalu sibuk mempertahankan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak atau sememangnya tidak mempunyai otak.

“Adakah semua ini terjadi kerana menteri terlalu sibuk mempertahankan Perdana Menteri sehingga mereka tidak sempat berfikir? Or they actually have no brain? (atau sebenarnya mereka tidak mempunyai otak?, katanya.

Anina berkata, kenaikan tol itu membebankan lagi rakyat di bandar yang telahpun terbeban dengan kenaikan harga barangan selepas pelaksanaan GST.

Sebanyak 12 syarikat konsesi lebuh raya termasuk Terowong Jalan Raya dan Pengurusan Air Banjir (SMART) mengumumkan penyelarasan kenaikan kadar tol di lebuh raya seliaan masing-masing berkuatkuasa pada Khamis ini.

Penyelarasan struktur kadar tol itu dilakukan selepas kerajaan memutuskan untuk menghentikan bayaran pampasan kepada syarikat konsesi.

Bung Mokhtar akui serangan enam tokoh lemahkan UMNO/BN


Bung Mokhtar akui serangan enam tokoh lemahkan UMNO/BN
Tindakan enam tokoh diketuai Tun Dr Mahathir Mohamad akan membuka ruang seluas-luasnya kepada pembangkang untuk menyerang BN.

Tindakan enam tokoh politik yang menyerang Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak melemahkan lagi UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Ahli Majlis Tertinggi (AMT) UMNO, Datuk Bung Mokhtar Radin berkata, tindakan enam tokoh yang diketuai Tun Dr. Mahathir Mohamad itu membuka ruang seluas-luasnya untuk pembangkang menyerang BN.

“Tindakan Tun M dan beberapa pemimpin UMNO dan BN amat tidak wajar. Mereka telah melemahkan parti dan membuka ruang kepada parti pembangkang untuk menyerang,” katanya kepada FMT.

Ditanya sama ada enam tokoh politik itu perlu dikenakan tidakan disiplin, Ahli Parlimen Kinabatangan itu berkata, beliau menyerahkan kepada Lembaga Disiplin Parti masing-masing untuk membuat keputusan.

Terdahulu, enam individu itu mendesak Perdana Menteri, agar tidak menyalahguna kuasa untuk mendiamkan pengkritik.

Mereka mendakwa Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau SOSMA 2012 telah disalah guna menyekat kebebasan rakyat.

Jamal panggil Tun M ‘Enam Jahanam’


Jamal panggil Tun M ‘Enam Jahanam’
Beliau menyifatkan enam tokoh yang mendesak Najib meletak jawatan sebagai barang terbuang, tidak ada harga dan nilai serta boleh ditalkin

Enam tokoh yang mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dilabel sebagai ‘Enam Jahanam’.

Panggilan itu dibuat Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Jamal Md Yunus.

Selain negarawan Tun Dr Mahathir Mohamad, beliau turut memanggil lima yang lain iaitu Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Sanusi Junid, Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Tan Sri Razaleigh Hamzah, ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan juga bekas Presiden MCA, Tan Sri Ong Tee Keat, dengan gelaran yang sama.

Katanya, kenyataan bersama keenam-enam tokoh berkenaan yang meminta Najib meletak jawatan adalah langkah terdesak.

“Apabila geng enam jahanam ini tidak mampu, untuk menewaskan Datuk Seri Najib dan kepimpinan yang ada sekarang, mereka menyeru rakyat untuk menentang kerajaan dan Perdana Menteri,” katanya ketika dihubungi FMT.

Mengulas lanjut, Jamal turut menyifatkan Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai individu yang tidak bermaruah apabila menyeru rakyat untuk terus melawan Perdana Menteri.

“Apabila dia berdepan dengan Perdana Menteri, terutamanya ketika mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi UMNO lepas, dia tidak suarakan seperti yang dinyatakan hari ini.

“Kalau benar dia bermaruah dan berprinsip, pertama beliau perlu melepaskan jawatan sebagai Timbalan Presiden parti terlebih dahulu,” katanya.

Ditanya sama ada, Majlis Tertinggi perlu memecat tokoh tersebut Jamal berkata, tindakan tersebut wajar dilakukan memandangkan mereka tidak lagi penting dalam UMNO malah menyusahkan parti.

“Enam jahanam ini seperti barang reject yang sudah tidak ada harga dan nilai, kalau tidak pecat sekalipun mereka ini sudah boleh ditalkin,” katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Rujukan