Cari Artikel

Saturday, October 10, 2015

Peguam Negara ambil kuasa hakim-Tun M


Peguam Negara ambil kuasa hakim-Tun M
Penolakan kes ini menimbulkan syak wasangka an orang berfikir bahawa keputusan yang diputuskan tidak dibuat oleh Peguam Negara.

Peguam Negara dilihat mengambil tindakan sendiri apabila menolak cadangan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk meneruskan pendakwaan terhadap 1MDB.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mempertikai keputusan itu yang disifatkannya sebagai tidak telus.

Katanya, meskipun Peguam Negara diberi kuasa untuk membuat keputusan sama ada sesuatu kes perlu dibawa ke mahkamah atau tidak tetapi keputusan untuk menolak proses pendakwaan menimbulkan tanda tanya.

“Kita tahu memangnya Peguam Negara diberi kuasa untuk membuat keputusan sama ada sesuatu kes perlu dibawa ke mahkamah atau tidak. Anggapannya adalah Peguam Negara akan menghargai dan memahami betapa serius atau sebaliknya kes yang dibawa kehadapannya, bahawa dia akan menghargai keprihatinan pengadu atau agensi yang membuat laporan itu, bahawa jika ada perasaan tidak puas hati kes itu patut dihakim dalam mahkamah undang-undang oleh seorang hakim dan jika masih tidak berpuas hati rayuan dibenarkan.

“Itulah cara yang betul. Tetapi sekarang nampaknya Peguam Negara telah membuat penghakiman itu, menolak kes itu kerana tidak mempunyai merit untuk perbicaraan di mahkamah undang-undang. Dan apabila rayuan dibuat, rayuan itu ditolak oleh beliau atas alasan yang tidak jelas. Terdapat kekurangan ketelusan di sini.

“Adakah ini kedaulatan undang-undang yang negara ini patut dukung? Adakah Peguam Negara lebih tinggi daripada seorang hakim, yang penghakimannya adalah muktamad dan tidak ada sebarang rayuan? Tulisnya di chedet.com.

Kata Dr Mahathir, dalam kes ini rakyat ingin tahu sama ada Perdana Menteri terlibat atau tidak.

Tambahnya, penolakan kes ini menimbulkan syak wasangka dan akan kekal dalam minda rakyat.
Malah, orang berfikir bahawa keputusan Peguam Negara ini mungkin tidak dibuat oleh Peguam Negara.

Penahanan individu di bawah SOSMA berasas


Penahanan individu di bawah SOSMA berasas
Rahman Dahlan menegaskan penangkapan beberapa individu dibuat bukan bermotifkan politik

Kerajaan tidak bertindak sesuka hati untuk menahan atau mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana individu tanpa asas yang kukuh.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata sebarang penahanan dibuat mengikut peraturan sedia ada.

Katanya lagi dakwaan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad adalah tidak berasas sama sekali memandangkan sebarang penahanan yang dibuat itu bukan bermotifkan politik semata-mata.
“Tuduhan itu tidak berasas sama sekali. Apa pun yang kita lakukan adalah mengikut peraturan sedia ada.

“Apabila seseorang itu ditahan mengikut undang-undang SOSMA sudah tentulah ada asasnya dan kita tidak sesuka hati mengambil tindakan apabila kita ada asas-asas kukuh,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Zumba dan Karnival Sukan Rakyat peringkat kementerian sempena Sambutan Hari Sukan Negara di Putrajaya.

Salleh berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan Dr Mahathir bahawa Malaysia kini dilihat oleh dunia sebagai sebuah negara “pariah” apabila sesiapa sahaja boleh ditangkap, disoal siasat dan ditahan serta didakwa dengan menyalahgunakan undang-undang negara.

Kenyataan tersebut ditulis Dr Mahathir susulan penahanan bekas pemimpin UMNO, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan peguamnya, Matthias Chang mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) kerana membuat laporan antarabangsa mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Mengulas lanjut, Salleh berkata semasa pentadbiran Dr Mahathir, bekasperdana menteri itu juga menegaskan adalah menjadi tanggungjawab kerajaan menjaga keselamatan negara.

“Kita harus membuat penyiasatan kepada mana-mana pihak yang bertujuan mengganggu-gugat kestabilan politik negara, itu yang paling penting, kerana penekanan kita adalah keamanan Malaysia” tegasnya.

Selain itu, Salleh berkata kerajaan di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak mengamalkan sebuah kerajaan terbuka yang mana orang ramai tidak akan dihukum sekadar memberi pandangan atau perbezaan pendapat mengenai dasar kerajaan.

“Tetapi jangan memberi pandangan atau pandangan berbeza sehingga melangkaui batasan undang-undang. Jangan sehingga menjejaskan keselamatan, perpaduan dan hubungan antara kaum dan agama.

“Jangan sehingga melibatkan dalam usaha-usaha menjatuhkan kepimpinan, bersubahat dengan mereka yang bukan warganegara Malaysia. Kalau ini berlaku, maka ini adalah kewajipan mana-mana kerajaan untuk mengambil tindakan sewajarnya,” katanya.

-BERNAMA

Penculik tuntut tebusan RM300,000


Penculik tuntut tebusan RM300,000
Berdasarkan soal siasat dua suspek penculik menerima wang tebusan sebanyak RM20,000 setiap seorang sebagai upah

Penculik menuntut wang tebusan RM300,000 daripada keluarga kanak-kanak yang dilarikan di Sungai Chua, Kajang sebelum membebaskan mangsa.

Maklumat itu didedahkan Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Samah Mat susulan penahanan tiga suspek berkenaan.

“Kita telah bertindak terlebih dahulu dengan menangkap dua suspek yang menculik mangsa pada jam 10.10 malam tadi di hadapan sebuah pasaraya di Jalan Sungai Chua.

“Dua lagi suspek yang dipercayai dalang penculikan itu masing-masing ditahan di kawasan perindustrian Bukit Angkat, Kajang dan Kajang Raya, Sungai Chua,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor pada Sabtu.

Menurut Abdul samah, wang tebusan yang telah diserahkan oleh bapa mangsa kepada suspek turut ditemui semula.

Katanya, menerusi soal siasat dua suspek penculik menerima wang tebusan sebanyak RM20,000 setiap seorang sebagai upah daripada dalang kes berkenaan.

Dalam kejadian pada pagi Jumaat, kanak-kanak lelaki berusia lima tahun diculik daripada ibunya di hadapan Tadika Cekap Bahasa, Sungai Chua, Kajang,

Bagaimanapun, mangsa berjaya ditemui dan dihantar pulang ke kediaman ibu bapanya pada hari yang sama.

Katanya, tiga daripada suspek yang ditahan mengaku melakukan jenayah itu manakala seorang lagi menyatakan sebaliknya.


AS tidak pandang isu 1MDB-Zahid


AS tidak pandang isu 1MDB-Zahid
PM mendakwa perkara itu hanya isu besar dalam negara kerana ia telah dipolitikkan

Isu 1MDB tidak menjadi menjadi perhatian utama pentadbiran Amerika Syarikat termasuk Biro Siasatan Persekutuan
(FBI).

Dakwaan itu dibuat Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi..
“Mungkin perkara ini besar kerana diuar-uarkan di dalam negara (Malaysia) kerana di negara kita ia dijadikan isu politik,” katanya yang dipetik daripada Bernama.

Beliau yang dalam rangka lawatan kerja di pusat pentadbiran Amerika Syarikat ini berkata perkara mengenai 1MDB tidak dibangkitkan langsung semasa pertemuan beliau dengan Setiausaha Negara Amerika John Kerry dan juga perbincangan dengan pegawai-pegawai kanan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI).

“Tidak ada persoalan mengenai 1MDB dibangkitkan oleh pihak FBI atau John Kerry atau mana-mana pihak yang saya temui semasa saya berada di Washington,” kata beliau apabila ditanya berhubung laporan media sebelum ini bahawa FBI telah memulakan penyiasatan berkaitan 1MDB.
“(1MDB) tidak menjadi isu besar kepada mereka langsung,” katanya.

Ahmad Zahid bertemu John Kerry di Jabatan Negara di sini Khamis untuk menandatangani dokumen Aturan Arahan Presiden Keselamatan Negara No.6 (HSPD-6),bagi membolehkan Malaysia menjadi negara ke-39 menyertai Program Pengecualian Visa Amerika Syarikat.

Hilang kerana disembunyi makhluk halus


Hilang kerana disembunyi makhluk halus

Nyawa kanak-kanak Orang Asli yang hilang sejak 23 Ogos lalu dapat diselamatkan sekiranya Pasukan Mencari dan Menyelamat (SAR) menggunakan perkhidmatan bomoh.

Naib Presiden Jaringan Orang Asal SeMalaysia (JOAS), Yusri Ahon kesal kerana kepakaran itu tidak digunakan sepenuhnya.

Dia mendakwa, berdasarkan maklumat yang diperolehi oleh rakan-rakannya, terdapat bomoh yang menjejaki kanak-kanak malang itu dan mendengar mangsa menangis di tepi Sungai Hutan Balah, Gua Musang.

Bagaimanapun ketika operasi dilakukan, ia dikatakan tidak melibatkan mereka sehingga mengambil masa yang lama sebelum mangsa ditemui.

Mengulas mengenai insiden itu, Yusri mengaitkannya dengan kewujudan makhluk halus di kawasan berkenaan.

“Sebenarnya banyak faktor yang disyaki sebelum anak orang asli itu dijumpai dan antaranya membabitkan guru-guru, pembalak, pemerdagangan orang, binatang buas dan menyorok di rumah sedara mereka.

“Namun selepas dua orang dijumpai, tiga maut, telah mengubah pandangan saya,” katanya kepada FMT.

Yusri turut mendakwa tujuh anak Orang Asli yang hilang itu sebenarnya berada di kawasan sama sejak mereka hilang 23 Ogos lalu.

Tiga maut dihempap struktur papan tanda


Tiga maut dihempap struktur papan tanda
Struktur berkenaan dikatakan jatuh selepas dilanggar sebuah lori kontena yang terbabas sebelum menimpa kereta di belakang

Tiga maut selepas struktur papan tanda di Kilometer (KM) 339.6 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara berhampiran Tanjung Malim jatuh menghempap sebuah kenderaan.

Kejadian berlaku sekitar jam 6.30 pagi tadi.

Struktur berkenaan dikatakan jatuh selepas dilanggar sebuah lori kontena yang terbabas.

Berikutan kejadian itu semua lorong menuju utara dan selatan terhalang mengakibatkan kesesakan trafik sejauh kira-kira dua kilometer.

Jurucakap PLUS berkata, ketiga-tiga mangsa iaitu masing-masing dua lelaki dan satu wanita iaitu pemandu dan penumpang kenderaan maut di tempat kejadian.

Bagaimanapun tiada butiran terperinci mengenai mangsa diberikan

SOSMA boleh dicabar jika disalah guna-TPM


SOSMA boleh dicabar jika disalah guna-TPM
Zahid menegaskan polis telah menjalankan kuasa yang diperuntukan di bawah SOSMA

Penahanan bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan peguamnya, Matthias Chang, adalah tindakan polis tanpa membabitkan kerajaan dan mana-mana agensi lain.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan ia selari dengan peruntukan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

“KDN serahkan sepenuhnya kepada polis untuk ambil tindakan, walaupun saya menteri yang bertanggungjawab menjaga pihak polis. Kini terpulang kepada Jabatan Peguam Negara dan polis memberi penjelasan mengenai siasatan.

“Jika ada unsur kesalahan berkaitan dengan SOSMA, maka tindakan boleh diambil.

“Sekiranya, ada yang merasakan SOSMA disalah guna, maka ada aspek bagi yang berkenaan untuk cabar ikut saluran undang-undang,” katanya pada sidang media, di Washington yang dipetik daripada Berita Harian Online.

Di bawah SOSMA, Khairuddin dan Matthias boleh ditahan tanpa bicara hingga 28 hari.

SOSMA digubal bawah Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan untuk mengawal keselamatan negara termasuk ketenteraman awam, tindakan keganasan, sabotaj dan pengintipan.

Azmin Menteri Besar yang gagal – Khalid Ibrahim


Azmin Menteri Besar yang gagal – Khalid Ibrahim
Azmin Ali didakwa lebih suka menyalahkan pihak lain berbanding megaku kelemahan diri dan berusaha memperbaiki keadaan.

Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menganggap Mohamed Azmin Ali sebagai Menteri Besar yang gagal kerana menggunakan strategi politik murahan.

Beliau berkata, walaupun lebih setahun menjadi Menteri Besar, Azmin gagal membuang taktik menagih simpati lapuk.

“Peluang yang diberikan rakyat untuk membuktikan beliau seorang negarawan berjiwa besar setelah diangkat menjadi Menteri Besar dipersiakan kerana jelas beliau masih tidak cuba bermuhasabah dan mengambil tanggungjawab atas kegagalan melaksanakan prinsip urus tadbir yang baik dalam pentadbiran negeri.

“Sebaliknya, beliau terus sewenang-wenangnya mempersalahkan orang lain tanpa mengakui kelemahan diri atau memperbaiki keadaan.

“Sekiranya orang luar atau bukan anggota dikatakan tiada hak mencampuri urusan dalaman PKR, wajarkah atau adilkah PKR dan parti pembangkang lain diberi ruang menegur, membidas atau membantah apa sahaja yang dilakukan atau disuarakan oleh parti komponen Barisan Nasional?,” katanya kepada FMT.

Beliau memberi respons itu selepas Azmin menasihatkan Khalid tidak mencampuri urusan dalaman PKR kerana beliau bukan lagi ahli PKR.

Sementara itu, bekas Setiausaha Politik Khalid, Faekah Hussin berkata, Khalid hanya memberi respons itu selepas ditanya oleh media.

Katanya, wajar bagi Ahli Parlimen Bandar Tun Razak itu menjawab tentang krisis dalaman PKR kerana beliau dipecat secara jahat bagi membolehkan kerusi Menteri Besar dikosongkan.

“Jawapan Azmin menyerlahkan kegagalan pembangkang mencapai kata sepakat berhubung pembentukan Pakatan Harapan.

‘Azmin nampaknya mahir dalam memainkan peranan dan bermuka-muka. Azmin akur dengan telunjuk DAP dan Parti Amanah Negara tetapi masa yang sama berbaik-baik dengan Pas semata-mata mahu mengekalkan jawatan Menteri Besar,” katanya.

Polis berkas suspek culik


Polis berkas suspek culik
Seorang daripada suspek adalah lelaki tempatan manakala rakannya adalah warga Indonesia, masing-masing berusia 28 dan 32 tahun

Dua lelaki disyaki suspek kes culik kanak-kanak berumur lima tahun di Taman Setia, Sungai Chua, Kajang, berjaya diberkas jam 10.25 malam tadi.

Sinar Harian Online melaporkan mereka ditahan dalam operasi khas.

“Seorang daripada suspek adalah lelaki tempatan manakala rakannya adalah warga Indonesia, masing-masing berusia 28 dan 32 tahun,” petik portal itu.

Dalam kejadian pada pagi Jumaat, kanak-kanak lelaki berusia lima tahun diculik daripada ibunya di hadapan Tadika Cekap Bahasa, Sg. Chua, Kajang .

Bagaimanapun, mangsa berjaya ditemui dan dihantar pulang ke kediaman ibu bapanya di hari yang sama.

Malaysia negara pariah-Tun M


Malaysia negara pariah-Tun M
Beliau mendakwa SOSMA telah disalah guna untuk menangkap sesiapa sahaja bagi melindungi kedudukan Najib

Malaysia telah menjadi sebuah negara pariah, di mana sesiapa sahaja boleh ditahan, disoal siasat dan didakwa tanpa pembelaan.

Tidak terkecuali, peguam yang menggendalikan kes berkenaan turut berdepan dengan tindakan yang sama.

Dakwaan itu dibuat Tun Dr Mahathir Mohamad yang kecewa dengan ketelusan Jabatan Peguam Negara.

Katanya, meskipun banyak laporan yang dibuat berhubungsalah laku yang membabitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, tetapi tiada tindakan diambil.

Sebaliknya, mereka yang mengkritik dan menegur kesilapan akan berdepan dengan tindakan undang-undang termasuk ditahan.

Mengulas mengenainya, Dr Mahathir berkata, kerajaan telah menyalah guna Undang-Undang Kesalahan Keselamatan (SOSMA) 2012.

“Penangkapan Dato Khairuddin dan peguamnya Matthias Chang telah menimbulkan perasaan takut di kalangan orang ramai bahawa melaporkan tentang salah laku kerajaan dan pegawai-pegawainya merupakan ancaman kepada keselamatan. Pemberi maklumat yang Kerajaan dikatakan menggalakkan, kini menghadapi bahaya dituduh mengancam keselamatan negara.

“Dengan ini titah oleh Raja-Raja untuk pemeriksaan dijalankan secara adil dan telus tidak lagi boleh dicapai.

“Terdapat berpuluh-puluh orang yang mempunyai maklumat tentang salah laku dalam 1MDB yang tidak akan mengambil risiko memberi keterangan atau membuat tuduhan kerana mereka menghadapi risiko ditahan dan didakwa di bawah Akta Kesalahan Keselamatan,” tulis beliau di blognya chedet.cc.

Jelas Dr Mahathir lagi, keadaan itu menyebabkan siasatan berhubung 1MDB dan AS Dollar 700 juta ke dalam akaun peribadi Najib telah tergendala ekoroan pemecatan Peguam Negara, pemindahan pegawai-pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), pengebirian Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) dan ancaman tersirat terhadap Bank Negara.

Ops Tutup buru pembunuh bekas ADUN


Ops Tutup buru pembunuh bekas ADUN
Penduduk kampung cuba kejar pembunuh Alias tetapi suspek berjaya melepaskan diri.

Polis melancarkan Ops Tutup bagi mencari dan menangkap dua lelaki yang disyaki terlibat dengan kes pembunuhan bekas Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Limbat, Alias Abdullah, 51 tahun.

Menurut Ketua Polis Marang, Suhaimi Mohd Ali, sebaik kejadian pihaknya terus melancarkan operasi.

Menurut saksi, Abdul Wahab Muhammad, 35, dia melihat dua orang lelaki menaiki motosikal tanpa nombor plat melarikan diri sebaik melepaskan tembakan.

“Saya terus kejar kedua-duanya dengan motosikal berserta beberapa orang lagi. Bila sampai dekat Kampung Batu 12 (kira-kira empat kilometer dari tempat kejadian), mereka pun hilang,” katanya yang dipetik daripada Sinar Harian.

Dia juga mendakwa sebelum kejadian nampak kedua-dua suspek menghala ke rumah mangsa.

Dalam kejadian sejurus selepas solat Jumaat, Alias meninggal serta merta selepas terkena tembakan di bahagian pipi.

Pakar akademik yakin Najib mampu harungi cabaran


Pakar akademik yakin Najib mampu harungi cabaran
Najib Tun Razak mampu mengatasi segala cabaran yang dihadapi kerana berpengalaman luas dan sudah masak dengan ragam dunia politik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dinasihatkan supaya bersabar berdepan dengan karenah rakyat Malaysia yang tidak berpuashati dengan cara beliau menguruskan negara ini.

Nasihat itu diberikan Pengarah Pusat Kajian Institusi Raja Malaysia, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Prof Datuk Dr Ramlah Adam yang simpati dengan Najib yang diserang dengan pelbagai tohmahan.

Beliau yakin Najib mampu menghadapi cabaran itu kerana telah nasak dengan asam garam dunia politik apatah lagi menjadi Menteri Besar Pahang ketika berumur 25 tahun.

Ramlah berkata, isu politik, pentadbiran, ekonomi, perkauman, mata wang turun dan harga minyak merupakan isu biasa dalam politik Malaysia.

“Perdana Menteri orang lama dalam politik. Umur 25 tahun dah jadi Menteri Besar. Saya percaya pengalaman politik, asam garam politik, menjadikan beliau dah masak dengan ragam politik.

“Dengan menggunakan pengalaman beliau, Najib boleh buat tindakan-tindakan yang munasabah sesuai dengan perkara yang dihadapi,” katanya kepada FMT.

Dalam perkembangan lain, Ramlah menegaskan titah Raja-Raja Melayu supaya kerajaan mempercepatkan siasatan 1MDB bukan sesuatu yang baharu dan pelik dalam pentadbiran kerajaan Malaysia.

Katanya, Raja-Raja Melayu juga pernah memberi pandangan berhubung pelbagai isu negara termasuk Perlembagaan tetapi tidak mendapat liputan meluas media dan ketika itu belum ada media sosial.

“Dalam sejarah, banyak isu-isu lain yang dibangkitkan oleh Majlis Raja-Raja. Tapi masalahya suratkhabar tak keluarkan. Pernah kita dengar komen Majlis Raja-Raja tentang krisis Perlembagaan semasa Tun Dr Mahathir Mohamed? Tidak ada.

“Sedangkan bukan semua Raja-Raja Melayu bersetuju dengan pindaan Perlembagaan itu. Surat khabar tak pernah laporkan sebab masa itu menyokong pentadbiran Dr Mahathir,” katanya.

Ramlah berkata, pada masa kini surat khabar lebih terbuka dan mengeluarkan pelbagai komen
Katanya, isu titah Raja-Raja Melayu menjadi sensasi kerana peranan yang dimainkan oleh media sosial yang dapat diakses pengguna dari seluruh dunia.

‘Saya nak tanya kepada mereka yang anggap titah sebagai luar biasa, adakah titah ini menunjukkan kerajaan Barisan Nasional bersalah dan adakah kepimpinan Najib tidak mendapat sokongan,” soalnya.

Mangsa culik ditemui selamat


Mangsa culik ditemui selamat
Seorang pemandu teksi berjaya membawa pulang kanak-kanak berkenaan dan menyatukan dengan ahli keluarganya.

Kanak-kanak lima tahun yang dilaporkan diculik berdekatan sebuah tadika di Sungai Chua, Kajang berjaya ditemui dan kemudian disatukan dengan keluarganya.

Detik-detik pertemuannya penuh emosi itu dirakam dan dimuat naik di Youtube.

Seorang pemandu teksi yang hanya mahu dikenali sebagai Nizam, membawa kanak-kanak itu pulang ke rumah keluarganya di Taman Cahaya kira-kira yam 5.35 petang tadi.

Sesampainya di rumah tersebut, pemandu teksi terbabit kemudian memanggil ibu bapa kanak-kanak tersebut dari luar rumah.

Sejurus selepas itu anggota keluarga mangsa menerpa memeluk anaknya.



Isu TTPA: NGO Melayu bidas Rafidah


Isu TTPA: NGO Melayu bidas Rafidah
Tok Him mendakwa Rafidah tidak membuat kajian mendalam sebelum mengeluarkan kenyataan

Kenyataan bekas Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Tan Sri Rafidah Aziz yang meminta rakyat negara ini tidak mempolitikkan isu Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) dibidas badan bukan kerajaan (NGO) Melayu.

Jurucakap Majlis NGO-NGO Malaysia, Datuk Ibrahim Ali berkata,isu TTPA tidak boleh dianggap sebagai bukan isu politik, kerana keputusan yang dibuat itu sangat berkaitan rapat dengan bidang berkenaan.

“Jadi bila Rafidah kata jangan politikkan isu TTPA, ini tidak betul kerana akhirnya keputusan meluluskan TTPA ini merupakan keputusan politik.

“Dia nak pertahankan TTPA tapi dia sendiri tidak membuat kajian secara mendalam,” katanya dalam sidang media pada Jumaat.

Ibrahim yang juga, Presiden Perkasa mendesak kerajaan supaya menarik diri dan menolak rundingan TTPA.

Katanya, ia kolonisasi alaf baharu yang akan mengurangkan keberkesanan agenda Bumiputera.
‎”Sebelum ini, kerajaan telah memberi jaminan melalui pelbagai kenyataan bahawa hak Bumiputera tidak akan tergugat.

“Kata perlu dikota. Kami ingin tahu apakah ada dasar baharu akan diwujudkan pada masa akan datang dilarang dibawah FET dan Expropriation?,” katanya.

Jelasnya, rundingan yang bakal dipersetujui kerajaan bakal meminggirkan kaum Bumiputera selain menolak Perlembagaan Negara.

“Kerajaan harus sedar bahawa agenda Bumiputera adalah agenda nasional. Oleh itu kerajaan wajib terus perkukuh agenda Bumiputera dan tolak TPPA,” ulasnya.

Suspek maki penguatkuasa diberkas


Suspek maki penguatkuasa diberkas
Lelaki berusia 19 dan 25 tahun akan disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam.

Dua lelaki yang disyaki terlibat dengan kejadian memaki hamun tiga anggota penguatkuasa Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) telah ditahan polis. 

Menurut laporan yang dipetik Sinar Harian, suspek diberkas di sebuah kedai makanan segera di Bandar Baru Farlim, Ayer Itam pada petang Jumaat.

Ia kemudian disahkan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid.

Katanya, kedua-dua lelaki berusia 19 dan 25 tahun akan disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam.

Sabit kesalahan mereka boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tiga bulan dan denda RM1,000.

“Kita akan mengambil keterangan daripada kedua-dua suspek ini dan melengkapkan siasatan sebelum merujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya,”katanya yang dipetik daripada portal itu.

Malu dengan kebiadaban bangsa sendiri


Malu dengan kebiadaban bangsa sendiri
Sian See memuji sikap penguatkuasa wanita kerana sabar ketika berdepan dengan makian lelaki Cina

Perbuatan biadab dua lelaki Cina terhadap anggota penguatkuasa Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dikutuk bangsa sendiri.

Dalam status di Facebooknya, Lim Sian See berkata, dia memuji sikap penguatkuasa berkenaan yang sanggup mengutip wang yang dicampak selain menahan telinga daripada kata-kata kesat lelaki berkenaan.

“Kredit kepada penguatkuasa wanita itu, dia tidak bertindak balas lalu mengambil duit itu dari lantai dan membuka pengunci tayar kereta. Saya tidak mampu memberi pujian yang cukup untuk pegawai wanita ini.

“Tidak ada alasan yang membolehkan kebiadapan ini dan saya benar-benar malu dengan tingkah laku mereka,” tulisnya.

Status itu merujuk kepada kejadian Rabu lalu, di mana dua lelaki di Lebuh Campbell, Pulau Pinang memanggil anjing dan mencampak wang kepada penguatkuasa bertugas.

Susulan insiden yang berlaku, Sian See menyalahkan tentera siber DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang memberikan contoh sangat buruk kepada penyokong mereka terutama di Pulau Pinang.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Rujukan