Cari Artikel

Friday, October 9, 2015

Jamal suruh Azmin bertaubat


Jamal suruh Azmin bertaubat
Jamal menempelak kenyataan Azmin dan meminta Menteri Besar Selangor itu memohon maaf kepada ibunya kerana derhaka sebelum menasihatinya

Menteri Besar Mohamed Azmin Ali disuruh bertaubat kerana didakwa menderhaka kepada ibunya sehingga tidak lagi diterima sebagai anak.

Pengerusi Gabungan NGO Melayu Malaysia, Datuk Jamal Yunos berkata, Azmin perlu meminta maaf terlebih dahulu kepada ibunya sebelum menasihatkan orang lain supaya mengubah akhlak menjadi lebih baik.

“Beberapa tahun sebelum ini, ibu Azmin ada buat kenyataan tak mengaku anak lah apa semua, anak derhaka…

“Sepatutnya dia minta ampun dan bertaubat dulu kepada mak dia atas apa yang dia dah buat melukakan hati mak dia sebelum ini,” katanya apabila ditanya nasihat Azmin supaya membuat perhimpunan di masjid daripada menganjurkan perhimpunan haram.

Selain berhimpun, kata Azmin, Jamal juga boleh mengadakan program Qiamulail dan solat Hajat supaya dapat berubah menjadi manusia lebih baik.

Jamal berkata, beliau tahu tanggung jawab sebagai orang Islam dan tidak perlukan nasihat daripada mana-mana pihak termasuk Azmin.

“Sebagai seorang Islam, saya tahu tanggungjawab. Saya tidak lakukan apa-apa kesalahan dan saya berjuang untuk rakyat Selangor,” tegasnya.

Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar itu menganggap komen yang diberikan oleh Azmin itu merupakan karakter sebenar Pakatan Rakyat.

“Ini adalah karakter Pakatan Rakyat . Bila kita ada komen menyalahkan atau meminta dia bertanggungjawab terhadap rakyat Negeri Selangor, setiap kali kenyataan itu akan dipesong.

“Dia tidak akan menerima hakikat dan pandangan.Jadi kita bagi tahu minta dia bertanggungjawab terhadap Negeri Selangor ini,” katanya.

Jamal berkata, Azmin hanya bersungguh-sungguh untuk menyelesai masalah rakyat pada awal pelantikannya sahaja sehingga sanggup masuk longkang.

“Setelah beberapa bulan tak sampai setahun menjadi Menteri Besar, telah dianugerahkan menjadi pemimpin penternak nyamuk yang paling banyak sekali dalam Negeri Selangor,” katanya yang menyindir kerajaan Selangor yang masih gagal mengurangkan kes denggi.

Dalam pada itu, Jamal mengesahkan telah menghantar permohonan kepada pihak berkuasa pada 7 Oktober lalu untuk berhimpun secara aman di Bandar Baru Ampang.

Ramesh Rao lapor polis Tun M fitnah Najib


Ramesh Rao lapor polis Tun M fitnah Najib
Dia mahu Tun M disiasat dan didakwa kerana memfitnah dan menghasut rakyat membenci Perdana Menteri.

Ramesh Rao membuat laporan polis terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kerana menghasut dan memfitnah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu forum di Ampang pada Sabtu lalu.

Pengerusi Persatuan Minda Sosial Prihatin (PMSP) membuat laporan itu supaya polis menyiasat Dr Mahathir dan seterusnya menangkap dan mendakwa jika terbukti bersalah.

Dia berkata, banyak pihak yang meminta polis menangkap Dr Mahathir tetapi tiada siapa berani membuat laporan terhadap negarawan itu.

“Tidak cukup sekadar meminta polis menangkap Mahathir, Buat laporan dan biar polis ambil tindakan.

“Kita tak boleh arah polis dengan arahan mulut sahaja,” katanya selepas membuat laporan polis di Balai Polis Petaling Jaya.

Ramesh mengingatkan polis supaya bertindak dan tidak pilih kasih terhadap aduan yang dibuat itu.
“Kalau polis tak ambil tindakan, pembangkang akan persoal kenapa polis bersikap ‘double standart,” jelasnya.

Insentif RM200 selepas dimaki


Insentif RM200 selepas dimaki
Ketua Menteri Pulau Pinang menghargai sikap profesional penguatkuasa ketika menjalankan tugas

Tiga penguatkuasa Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) yang dimaki oleh pesalah trafik di Lebuh Campbell menerima insentif RM200 seorang.

Ia bagi menghargai tindakan mereka yang menjalankan tugas dengan profesional walaupun berdepan dengan situasi tegang.

Mengulas mengenainya, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata, apa yang ditunjukkan penguatkuasa berkenaan menjadi contoh.

“Saya harap sikap mereka ini dicontohi oleh semua orang dan kita tidak patut memarahi penguatkuasa kerana mereka hanyalah menjalankan tugas.

“Kepada semua penduduk negeri ini yang berasa tidak berpuas hati dengan tindakan MBPP mengunci kereta mereka, bolehlah ke pejabat MBPP untuk membuat aduan mahupun laporan.

“Insiden itu harus dijadikan pengajaran kepada semua pihak dan diharap orang awam tidak mengeluarkan kata-kata kesat memarahi penguatkuasa,” katanya pada sidang media di Komtar, lapor Harian Metro.

Dalam kejadian Rabu lalu, selain dipanggil anjing, lelaki berkenaan turut mencampakkan wang kepada salah seorang penguatkuasa wanita berkenaan.

Pemandu teksi kepung pemandu Uber


Pemandu teksi kepung pemandu Uber
Kejadian dikatakan berlaku berhampiran KLCC apabila sekumpulan pemandu teksi bertindak mengepung dan menyerang kenderaan yang digunakan untuk membawa penumpang menggunakan applikasi Uber

Sekumpulan pemandu teksi yang bengang dengan kehadiran pemadu Uber di perkarangan KLCC mengambil tindakan sendiri.

Meskipun tiada kejadian yang tidak diingini dilaporkan, tindakan yang membelakangkan undang-undang itu menimbulkan rasa kurang senang pelbagai pihak.

Mengulas mengenai tindak tanduk pemandu teksi berkenaan, Elton Poh meluahkan rasa kesalnya di Facebook dengan apa yang berlaku.

“Lebih teruk dari babarians, dan juga anjing.

“Ini ke contoh rakyat Malaysia yang kita mahu tunjukkan kepada pelancong?”, tulisnya

Dalam video yang dimuat naik ia menunjukkan sekumpulan pemandu teksi mengepung kenderaan yang digunakan untuk membawa penumpang.

“Dengan itu janganlah anda membawa Grab Car atau Uber. Pesanan daripada pemandu-pemandu teksi semua,” kata salah seorang lelaki yang muncul dalam rakaman video yang dimuat naik.




Part 1 of 2Worse than babarians, and even dogs. Dogs would only chew mudflaps. Is this the so called taxi industry we want to save? I'd choose uber over these barbaric gansters anytime. SPAD, PDRM, Is it not clear enough?Is this the kind of Malaysian we want to represent our country when tourists and expats needs transportation around?Enough is enough. I can vouch for every single person that watches this video, and they'd agree whole heartedly that their actions aint acceptable at all.Share this and make him famous. You dont wanna step up your game when a new player is in the industry, thats your problem. You put your fellow members to shame and really act like dogs salvaging a packet of leftover food by the roadside. Put his face in the papers and make this viral.I thank you all in advance.Eric Lee Keegan Wong
Posted by Elton Poh on Thursday, October 8, 2015




Part 2 of 2Worse than babarians, and even dogs. Dogs would only chew mudflaps. Is this the so called taxi industry we want to save? I'd choose uber over these barbaric gansters anytime. SPAD, PDRM, Is it not clear enough?Is this the kind of Malaysian we want to represent our country when tourists and expats needs transportation around?Enough is enough. I can vouch for every single person that watches this video, and they'd agree whole heartedly that their actions aint acceptable at all.Share this and make him famous. You dont wanna step up your game when a new player is in the industry, thats your problem. You put your fellow members to shame and really act like dogs salvaging a packet of leftover food by the roadside. Put his face in the papers and make this viral.I thank you all in advance.
Posted by Elton Poh on Thursday, October 8, 2015


Azmin nasihat Jamal buat perhimpunan di masjid


Azmin nasihat Jamal buat perhimpunan di masjid
Perhimpunan itu boleh disertai program Qiamulail dan solat Hajat bagi membentuk keperibadian peserta supaya lebih baik.

Mohamed Azmin Ali menasihatkan Datuk Jamal Yunos supaya mengadakan perhimpunan di masjid bagi membentuk akhlak yang mulia berbanding mengadakan perhimpunan haram.

Katanya, Jamal boleh mengadakan perhimpunan di masjid yang disertai dengan program Qiamulail dan solat Hajat untuk mengubah akhlak peserta supaya menjadi manusia lebih baik.

“Lebih baik buat himpunan di masjid. Saya cadangkan buat Qiamulail, solat Hajat di masjid bagi membentuk akhlak yang mulia,” sindir Azmin.

Menteri Besar Selangor itu membuat nasihat itu ekoran rancangan Pengerusi Gabungan NGO Melayu untuk mengadakan perhimpunan di Bandar Baru Ampang pada 18 Oktober nanti.

Perhimpunan itu, kata Jamal, sebagai protes kegagalan kerajaan Selangor pimpinan Azmin yang gagal menyelesaikan isu masalah rakyat seperti masalah sampah dan bekalan air bersih.

Isu 1MDB:Titah Majlis Raja-Raja selari dengan Najib


Isu 1MDB:Titah Majlis Raja-Raja selari dengan Najib
Titah Majlis Raja-Raja tidak banyak bercanggah dengan apa yang diharapkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak

Titah Majlis Raja-Raja berhung siasatan terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB) baru-baru ini adalah selari dengan kemahuan kerajaan berkenaan siasatan terhadap syarikat itu.

Pengarah Strategik Komunikasi Barisan Nasional (BN), Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, tiada percanggahan antara Majlis Raja-Raja dan kerajaan berkenaan siasatan terhadap 1MDB.

“Jikalau kita baca betul-betul (kenyataan Majlis Raja-Raja), tidak banyak yang bercanggah. Jikalau pihak Majlis Raja-Raja hendakkan penyiasatan dibuat dan satu kesimpulan dicapai, satu penyiasatan yang berjaya, satu keputusan mesti dicapai, maka pihak kerajaan memang itulah yang kita mahukan iaitu 1MDB
diselesaikan.

“Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) pun meminta masa selama enam bulan (untuk menyelesaikan 1MDB). Saya kira awal tahun hadapan, Januari boleh diselesaikan,” katanya yang dipetik daripada Bernama.

Abdul Rahman yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Transformasi Sosial Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS7) di Alor Setar pada Jumaat.

Bekas ADUN BN maut ditembak


Bekas ADUN BN maut ditembak
Bekas YB Alor Limbat, Alias Abdullah ditembak daripada jarak dekat ketika berada di perkarangan rumahnya.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Limbat, Alias Abdullah, 51, mati ditembak di rumahnya di Kampung Alor Limbat, Marang, Terengganu.

Kejadian berlaku sejurus selepas solat Jumaat selepas mangsa pulang daripada menunaikan solat Jumaat.

Berita Harian Online melaporkan, Alias ditembak daripada jarak dekat ketika berada di perkarangan rumahnya.

Sementara itu Ketua Polis Terengganu, Datuk Rosli Abd Rahman mengesahkan kejadian itu.

Alias yang juga merupakan seorang peguam menjadi ADUN kawasan berkenaan selama dua penggal bermula tahun 2004 sebelum tewas kepada calon Pas, Ariffin Deraman dalam Pilihanraya Umum ke-13.

Azmin nafi Rafizi dilucut jawatan


Azmin nafi Rafizi dilucut jawatan
Beliau mahu semua pihak berhenti menyebarkan berita fitnah kerana PKR tidak menghadapi sebarang perpecahan seperti yang didakwa.

Dakwaan Rafizi Ramli akan dilucutkan jawatan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada mesyuarat khas Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Ahad ini hanya fitnah.

Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali berkata, dakwaan itu tidak perlu dilayan kerana ia berunsur fitnah.

“Jangan layan spekulasi dan budaya fitnah. Disebabkan itu Dewan Diraja Selangor dan Kerajaan Negeri mengambil tindakan keras terhadap Abdul Rahim Thamby Chik yang melemparkan fitnah (terhadap Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah menganut agama Kristian).

” Hentikan budaya fitnah,” katanya pada sidang medianya selepas Majlis Pecah Tanah Projek Naik Taraf Masjid Zakaria di Gombak.

Azmin yang juga merupakan Menteri Besar Selangor berkata, PKR juga tidak mempunyai apa-apa masalah seperti dakwaan yang dibuat oleh sesetengah pihak.

Dakwaan tersebar bahawa sekumpulan pemimpin PKR mahukan Rafizi dilucutkan sebagai Setiausaha Agung disebabkan pertembungan dalaman berhubung penubuhan Pakatan Harapan.

Kumpulan itu menyalahkan Rafizi sebagai punca berlaku krisis dalaman dan menyebabkan PKR berpecah dua kumpulan.

Ahli MPP mendesak satu mesyuarat khas diadakan Ahad ini bagi membincangkan semula sokongan PKR terhadap penubuhan Pakatan Harapan yang meminggirkan Pas.

Operator teksi desak bubar SPAD


Operator teksi desak bubar SPAD
Ia juga merancang untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas SPAD kerana kegagalannya melaksanakan tugas

Pengurusan perkhidmatan teksi di Kuala Lumpur City Centre (KLCC) menggesa supaya Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dibubar kerana gagal mengurus industri berkenaan dengan baik.

Penasihat Big Blue Capital, Datuk Shamsubahrin Ismail berkata, pihak itu dilihat tidak mencapai matlamat untuk mengurus industri teksi dengan baik.

Katanya, SPAD juga gagal menyelesaikan isu teksi Uber dan GrabCar yang semakin berleluasa terutamanya di sekitar KLCC.

Jelasnya, hampir 30 peratus keuntungan pemandu teksi yang berdaftar dibawah selian beliau disapu teksi Uber.

“Bila kita telefon SPAD mereka untuk untuk ambil tindakan mereka kata tidak ada pegawai bertugas. Jadi apa fungsi mereka, baik bubarkan saja dan letakkan teksi di bawah Jabatan Pengankutan Jalan dan wujudkan kembali Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP).

“Kita tukar SPAD kepada Suruhanjaya MRT, LRT dan bas rapid.

“Selagi pegawai mereka (SPAD) pakai tali leher, tak turun jumpa pemandu teksi, mereka tidak boleh urus industri teksi,” katanya semasa sidang media.

Mengualas lanjut, Shamsubahrin berkata pihaknya akan mengheret SPAD ke mahkamah kerana gagal menjadikan institusi tersebut dengan baik.

“Kita sedang melengkapkan proses untuk membawa SPAD ke mahkamah dalam tempoh dua minggu,” katanya.

Kanak-kanak diculik di depan ibu


Kanak-kanak diculik di depan ibu
Suspek berpura-pura menanya arah jalan sebelum bertindak membawa kanak-kanak lelaki berusia lima tahun.

Seorang kanak-kanak lelaki diculik ketika mangsa sedang berada bersama ibunya berhampiran Pasar Sungai Chua, Kajang.

Kejadian dikatakan berlaku pada pagi Jumaat.

Suspek dikatakan berpura-pura menanya arah kepada ibu mangsa sebelum seorang lagi lelaki muncul dan kemudian melarikan kanak-kanak itu.

Usaha ibu mangsa untuk menyelamat dan mengejar anaknya gagal kerana dia ditolak sebelum dibawa lari dengan sebuah kereta.

Susulan kejadian yang berlaku orang ramai bertindak segera menyebar maklumat untuk mengesan mangsa.

“Saya Low Bee Fong kini ke Kajang, Pasar Sungai Chua, kejadian baru berlaku dua orang lelaki Melayu menanyakan jalan daripada seorang wanita kemudian menculik anaknya yang berusia lima tahun. Nombor plat kereta ialah WST2936, proton Saga hitam.. Terima pesanan ini daripada seorang rakan, tolong kongsikannya,” petik pesanan ringkas itu.


Kritik Najib: Soo Wincci terima padah?


Kritik Najib: Soo Wincci terima padah?

Penyanyi Soo Wincci dilaporkan menerima padah gara-gara terlalu lantang mengkritik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi rakaman video, baru-baru ini.

Memetik sebuah portal blog hiburan, penaja utama konsert pertama penyanyi keturunan Tionghua itu dilaporkan telah mengumumkan menarik diri dan menyebabkan konsert yang sedang giat dalam persiapan menghadapi masalah kewangan kritikal.

Penarikan diri penaja itu dipercayai ada kaitan dengan saranannya supaya Najib berundur walaupun ia tidak dinyatakan secara langsung dalam artikel itu.

Penyanyi itu yang sedang mencipta nama di Taiwan dan popular dalam kalangan peminat hiburan tempatan selepas menyertai Masterchef Malaysia terbitan ASTRO.

Soo Wincci membuat rakaman video yang menyarankan Najib berundur selepas Perhimpunan Bersih 4.0 pada 29 dan 30 Ogos lalu.

Dia sebelum ini sudah bersiap menerima segala risiko di atas apa yang dilakukannya itu.

”Sebelum memuat turun video berkenaan, saya sudah bersiap sedia dengan segala risiko yang bakal diterima. Andai kata nama saya disekat di mana-mana saluran media, saya akur dengan perkara itu.

“Andai kata perjalanan kerjaya saya menjadi sukar di negara sendiri, tidak mengapa. Saya akan terus berusaha dalam cara saya yang tersendiri.

”Apa yang dibuat bukan untuk kesenangan saya, tetapi demi generasi kita pada masa akan datang,” kata Soo Winci selepas rakaman videonya tersebar.

Muhyiddin beri kenyataan mengelirukan – 1MDB


Muhyiddin beri kenyataan mengelirukan – 1MDB
Walaupun 1MDB berulang kali memberikan penjelasan tetapi beberapa ahli politik dan bekas ahli politik tetap mencanag maklumat separuh benar dengan niat mensabotaj

Dakwaan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyifatkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebagai sarat hutang, mengelirukan.

Dalam kenyataannya, syarikat pelaburan itu menegaskan Muhyiddin sebagai bekas anggota Kabinet sememangnya tahu bahawa nilai aset 1MDB adalah melebihi hutangnya.

“Muhyiddin amat sedar tentang struktur modal 1MDB ketika beliau menjadi anggota Kabinet. Dengan RM1 juta dalam bentuk ekuiti yang disediakan oleh pegangan saham iaitu Kementerian Kewangan, 1MDB menjana modal di pasaran yang merupakan hutang kepada akaun syarikat,” petik kenyataan itu.

Ia juga kesal kerana berulang kali penjelasan mengenai 1MDB, namun, beberapa pihak termasuk ahli politik masih mencanang maklumat separuh benar mengenai syarikat itu.

Katanya, apa yang berlaku jelas membuktikan ia sebagai satu serangan yang disengajakan dengan mempunyai motif politik bagi mensabotaj pelan rasionalisasi yang sedang berjalan sekarang.
“Ia turut melibatkan rancangan tawaran awam permulaan (IPO) dalam bidang jana kuasa sebelum ini,” tambahnya

Jelas kenyataan itu lagi, banyak perniagaan di Malaysia dan di luar negara telah menggunakan hutang untuk membina dasar aset mereka dengan berjaya.

Katanya, walaupun berdepan dengan cabaran semasa, 1MDB tetap yakin untuk menjana lebihan nilai untuk melangkah maju bersama pelan rasionalisasi.

Sidang Meja Bulat TPPA untuk semua-Pas


Sidang Meja Bulat TPPA untuk semua-Pas
Perbincangan atau keputusan mengenai TPPA bukan hanya terhad di kalangan Ahli Parlimen, sebaliknya terbuka kepada semua pihak

Satu persidangan meja bulat diatur bagi membincangkan isu Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) agar semua pihak berpeluang mengambil bahagian dalam menentukan masa depan negara.

Ia terbuka kepada mana-mana pihak termasuk pembangkang dan badan bukan kerajaan (NGO)
Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, perbincangan atau keputusan mengenai TPPA bukan hanya terhad kepada ahli politik.

“Negara kita mempunyai ramai pakar ekonomi dan strategik yang mampu menyumbangkan idea bernas bagi memuktamadkan pendirian negara sama ada menerima atau menarik diri dari perjanjian tersebut,” katanya dalam satu kenyataan media pada Jumaat.

Tuan Ibrahim turut mepersoal impak TPPA terhadap industri perdagangan dan perniagaan negara dan orang awam dengan mengambil contoh industri kecil sederhana serta industri tempatan seperti Proton dan Perodua,

“Oleh kerana tiada siapa yang tahu isi kandungan perjanjian tersebut, maka Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed perlu mengemukakan kesemua draf perjanjian yang telah dimuktamadkan minggu lalu,” katanya.

Beliau berpendapat adalah wajar untuk membincangkan perkara tersebut dalam satu persidangan, lebih-lebih lagi apabila ramai orang juga menunjukkan minat untuk mendapat maklumat mengenai baik buruk TPPA secara jelas sekiranya ia dilakasanakan.

Ustaz kena penjara sembilan tahun


Ustaz kena penjara sembilan tahun
Tertuduh didapati bersalah menyokong keganasan walaupun ia dibuat di luar negara.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara sembilan tahun terhadap seorang penceramah bebas atas pertuduhan menyokong keganasan di Syria membabitkan penggunaan senjata api bagi mengugut orang awam di negara itu, tahun lalu.

Harian Metro Online melaporkan, Hakim Kamardin Hashim menjatuhkan hukuman berkenaan terhadap Zulkarnain Ghaz Ab Ghani, 31, selepas tertuduh mengaku bersalah apabila pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Dalam penghakimannya, Kamardin berkata, mahkamah mengambil kira kepentingan awam meskipun, kesalahan yang dilakukan bekas pelajar jurusan syariah di Universiti Malaya (UM) itu dilakukan di luar negara.

Mengikut pertuduhan, Zulkarnain didakwa memasuki Syria bagi memberi sokongan kepada aktiviti keganasan membabitkan senjata api untuk memperjuangkan agama dan perbuatan itu dianggap sebagai mengugut orang awam di negara berkenaan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara 27 April 2014 dan 28 Ogos 2014.

Dia didakwa mengikut Seksyen 130J(1)(b) Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara seumur hidup atau maksimum 30 tahun atau denda dan harta boleh dirampas sekiranya berniat melakukan kesalahan berkenaan.

Remaja syor pukul polis tidak tunjuk kad kuasa


Remaja syor pukul polis tidak tunjuk kad kuasa
Pengguna media sosial tidak bersetuju dengan cadangan itu dan meminta agar remaja itu dikenakan tindakan kerana cuba menghasut

Seorang remaja menimbulkan kemarahan orang ramai apabila menulis status berbaur hasutan di Facebook.

Dalam statusnya, Mohamad Fahmy telah mencadangkan agar sesiapa yang ditahan oleh individu yang mendakwa dirinya sebagai polis tanpa menunjukkan kad kuasa boleh dipukul kerana dianggap telah melakukan kesalahan.

Langkah seperti itu katanya, adalah bagi mengelakkan mereka daripada menjadi mangsa samun.
Menurutnya, mereka tidak perlu takut kerana sekiranya ditahan dan disumbat ke lokap kes seperti itu pasti menang lebih-lebih lagi jika menggunakan khidmat peguam.

“Aku penah kena tahan dengan 42 IPD Cheras Maluri. Dia datang sebelah dengan tiba-tiba nak cabut kunci (tapi motor aku takde kunci) aku terajang kaw-kaw.

“Masuk balai takpe, bagi alasan dia tak tunjuk kad kuasa macam penyamun. Paling kuat pun dia nak urine test je.

“Jangan risau tak masuk penjara pun kalau pukul polis yang tak tunjuk kad kuasa ni,” tulisnya.
Status remaja itu telah dikongsi di Facebook Friends Of PDRM dan mendapat pelbagai reaksi.

Berdasarkan komen, ramai pengguna laman sosial tidak bersetuju dengan cadangan remaja terbabit dan menganggap ia sebagai satu tindakan tidak wajar.

Tidak kurang juga antara pengguna Facebook yang mahu agar remaja itu disiasat dan dikenakan tindakan kerana menghasut.

Bagaimanapun, setelah menyedari statusnya itu mendapat banyak kritikan remaja berkenaan akhirnya memohon maaf di atas kesilapannya itu.


Hishammuddin pura-pura tidak faham titah Raja-Raja Melayu


Hishammuddin pura-pura tidak faham titah Raja-Raja Melayu
Hishammuddin perlu terima realiti sebenar maksud titah Raja-Raja Melayu walaupun pada masa sama beliau perlu mempertahankan sepupunya.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein didakwa berpura-pura tidak faham maksud Raja-Raja Melayu yang menggesa kerajaan mempercepat siasatan 1MDB.

Bekas Naib Ketua Pemuda UMNO Wangsa Maju, Shahbudin Hussin berkata, Hishammuddin yang beristerikan Kerabat Diraja Pahang sepatutnya lebih arif maksud tersirat di sebalik titah itu.

Katanya, walaupun kelihatan Hishammuddin mahu mempertahankan sepupunya, Datuk Seri Najib Tun Razak beliau tidak seharusnya menolak realiti sebenar yang ingin disampaikan Raja-Raja Melayu.

“Walaupun tidak disebut perkataan hilang kepercayaan terhadap tindak-tanduk Najib berhubung siasatan 1MDB dalam kenyataan itu, hakikatnya memang itulah maksud sebenarnya.

“Ia secara jelas bermaksud bahawa Raja-Raja Melayu kecewa dengan siasatan berkaitan 1MDB dan hilang kepercayaan dengan apa yang berlaku dalam rentetan penyiasatan sebelum ini, lalu membuat gesaan agar ia dapat diselesaikan dengan segera demi kepentingan rakyat dan negara.” tulisnya dalam entri terbarunya di shahbudindotcom.blogspot.my.

Katanya, penafian Hishammudin itu hanya memalukan dirinya sendiri kerana rakyat biasa pun faham dengan maksud tersirat yang disampaikan Raja-Raja Melayu.

Sebelum ini, Hishammuddin dilaporkan berkata, titah Raja-Raja Melayu supaya kerajaan menyelesaikan segera siasatan 1MDB telah disensasikan.

Hishammuddin berkata, dakwaan Raja-Raja Melayu sudah tidak percaya dengan kepimpinan Najib itu hanyalah spekulasi yang dibuat oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Pegawai 1MDB tidak lakukan kesalahan


Pegawai 1MDB tidak lakukan kesalahan
Pasukan Petugas Khas bagi menyiasat 1MDB tidak pernah dibubarkan dan siasatan masih diteruskan untuk mengambil keterangan saksi utama.

Jabatan Peguam Negara berkata pegawai-pegawai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak membuat kenyataan palsu yang menjadi tumpuan siasatan oleh Bank Negara.

Sehubungan itu, Jabatan Peguam Negara memutuskan tiada kesalahan dilakukan dan tiada sebarang tindakan lanjut akan diambil.

Dalam kenyataan media pada Khamis, Jabatan Peguam Negara memaklumkan, pegawai 1MDB disiasat atas kesalahan mengikut Perenggan (4)(b) Bahagian 1 Jadual Kelima Akta Kawalan Pertukaran Wang 1953 secara sedar atau secara melulu membuat kenyataan yang palsu dalam sesuatu butiran.

“Kertas siasatan (IP) dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara pada 21 Ogos 2015. Setelah mengkaji IP, Timbalan Peguam Cara 1, Datuk Tun Abd Majid Tun Hamzah, memutuskan bahawa tiada kesalahan dilakukan oleh pegawai-pegawai 1MDB dan mengarahkan supaya tiada tindakan lanjut perlu diambil,” katanya.

Ia berkata IP dikembalikan kepada Bank Negara pada 11 September lalu dan keputusan itu dimaklumkan kepada Bank Negara pada hari yang sama.

Pada 1 Oktober lalu, Bank Negara memohon menerusi surat kepada Jabatan Peguam Negara supaya keputusan itu dikaji semula.

“Setelah mempertimbangkan permohonan itu dan pada hakikat tiada sebarang bukti baharu, Peguam Negara memutuskan untuk mengekalkan keputusan yang dibuat sebelum ini,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu berkata, laporan yang disiarkan sehingga hari ini bahawa IP masih berada dengan Jabatan Peguam Negara dan perbincangan sedang berjalan (dengan Bank Negara) adalah “tidak tepat dan tidak benar.”

Jabatan Peguam Negara berkata, Pasukan Petugas bagi menyiasat 1MDB tidak pernah dibubarkan dan ia tidak pernah membuat apa-apa kenyataan yang bermaksud sedemikian.

“Siasatan yang dijalankan oleh agensi masing-masing tidak pernah pada bila-bila masa dihentikan atau dihalang,” katanya.

“Peguam Negara telah sentiasa memantau dan memberi arahan kepada agensi-agensi berkaitan apabila sahaja siasatan telah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara termasuk arahan untuk mempercepatkan siasatan.

“Setakat hari ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih belum selesai siasatan mereka berikutan penyataan beberapa saksi penting masih belum dirakamkan,” kata kenyataan itu.

– Bernama

Krisis dengan DAP untungkan Pas


Krisis dengan DAP untungkan Pas
Sokongan bukan Islam terhadap parti itu terus meningkat meskipun berdepan dengan kemelut dalaman dan konflik dengan DAP

Perpecahan yang berlaku dalam Pas tidak menjejaskan sokongan bukan Islam kepada parti itu.

Sebaliknya, krisis yang berlaku antaranya dengan DAP meningkatkan lagi sokongan kepada parti Islam itu.

Ketua Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP), N. Balasubramaniam berkata, setakat ini tidak ada ahli DHPP keluar menyertai parti lain kerana dasar perjuangan Pas membuatkan mereka terus setia.
“Sekarang sokongan bukan Islam pada Pas tiada masalah, kekal seperti dulu.

“Mereka dapat menilai pihak mana yang benar, malah sokongan itu semakin meningkat,” katanya ketika dihubungi FMT.

Mengulas mengenai penubuhan parti Amanah dan pembetukan Pakatan Harapan, Balasubramaniam berkata, ia tidak memberi kesan kepada DHPP, kerana Pas sudah terkenal sejak 60 tahun lalu.

“Ahli kita tidak ada yang keluar, cuma 13 ketua DHPP kawasan yang sertai Amanah, tujuh dari Selangor, empat Perak dan dua Johor dan kekosongan itu kita sudah isi semula, malah yang keluar itu mempunyai masalah di kawasan,” katanya.

Jumlah keseluruhan ahli DHPP, sehingga kini mencecah 50 ribu orang.

Jakarta dituduh lakukan pembunuhan beramai-ramai di Riau


Jakarta dituduh lakukan pembunuhan beramai-ramai di Riau
Kepekatan jerebu pada kali ini berkemungkinan empat kali lebih teruk berbanding dengan kejadian sebelum ini.

Jakarta dituduh melakukan pembunuhan beramai-ramai ke atas 6.3 juta penduduk di Provinsi Riau.

Ia dikatakan dibuat secara perlahan-lahan dengan melakukan pembakaran terbuka yang menyebabkan kawasan berkenaan dilanda jerebu teruk.

Dakwaan itu dibuat Abu Syuhada Fx di laman Facebooknya, yang mempersoalkan langkah yang diambil kerajaan negara itu terhadap penduduk tempatan yang berdepan dengan kesan buruk akibat pencemaran yang berlaku.

Meskipun dibekalkan dengan topeng muka, ia dikatakan tidak menepati piawaian kesihatan.

“Partikel berbahaya ini sudah dua bulan kami hirup tanpa henti. 24 jam setiap hari. Sudah 55 ribu warga, mayoritas balita dan orang tua, bertumbangan karena asap. Ini bukan lagi bencana biasa,” tulisnya.

Dalam statusnya, Abu Syuhada turut mempersoal langkah yang diambil Presiden Jokowi Widodo yang dikatakan amat tidak memadai.

Katanya, walaupun jumlah titik panas mencecah 1,563 titik, Jakarta hanya menggunakan tujuh buah helikopter dan sebuah pesawat untuk memadam kebakaran dengan 1,594 anggota tentera dan polis.

” Mari kita masukin ke rumus matematika sederhana. 8 pesawat yang ada, jika dibagi dengan jumlah lokasi sumber asap, artinya satu pesawat harus mengatasi 195 titik api.

“Helloooo, apa mungkin bisa? Lalu, jumlah personil yang diturunkan, hampir seimbang dengan jumlah titik api yang ada.

“Artinya hanya ada satu orang prajurit untuk mengawal setiap satu titik api. Sementara satu titik api yang terpantau di satelit, luasannya bisa mencapai puluhan hingga ratusan hektar.

“Dear Pak presiden, please jangan kadalin rakyat lagi, tetapkan darurat bencana nasional pencemaran udara dan minta bantuan dunia internasional untuk memadamkan titik api. Berhutang keluar negeri saja anda mampu dalam hitungan bulan menjabat, masa untuk kepentingan rakyat anda ragu?! Tulisnya dengan nada kecewa.

Desakan percepat siasatan 1MDB tidak seharusnya berlaku – Zahid


Desakan percepat siasatan 1MDB tidak seharusnya berlaku – Zahid
Desakan untuk mempercepat atau melewatkan sebarang siasatan kepada mana-mana pihak tidak harus berlaku.

Desakan untuk mempercepat atau melewatkan sebarang siasatan melibatkan 1MDB kepada mana-mana pihak tidak harus berlaku, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Ini kerana, katanya, kerajaan sedang mengambil langkah proaktif dan akan memastikan siasatan terhadap 1MDB akan dilakukan secara adil dan terbuka.

Katanya, kerajaan tidak akan berkompromi untuk melakukan siasatan kepada mana-mana pihak berdasarkan prinsip dan undang-undang.

Zahid berkata, kerajaan menyambut baik titah Raja-Raja Melayu dan kerajaan telahpun mengambil langkah-langkah proaktif bagi menangani isu yang dititah itu.

“Segala titah Majlis Raja-Raja dinilai baik dan pihak kerajaan telah pun mengambil langkah-langkah proaktif bagi menangani isu yang dititah.

“Justeru, segala siasatan kepada mana-mana pihak sekalipun harus berpegang kepada prinsip kedaulatan undang-undang, malah desakan untuk mempercepat atau melewatkan sebarang siasatan kepada mana-mana pihak tidak patut berlaku,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Katanya, pihak kerajaan sentiasa mengambil berat dan menghormati titah-titah Majlis Raja-Raja, malah segala usaha sedang dilakukan bagi memastikan isu ini dapat diselesaikan dalam masa terdekat.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan semua pihak supaya tidak menangguk di air keruh dengan mengeluarkan kenyataan yang memburuk-burukkan pihak kerajaan.

“Berilah kesempatan dan ruang secukupnya kepada pihak berwajib untuk menyelesaikan semua permasalahan dengan sebaik mungkin,” katanya.

Katanya, kerajaan sedang dalam proses menjayakan pelan pengurangan hutang (Debt Rationalisation) 1MDB dan akan membentangkan pada masa terdekat segala transaksi pengurangan hutang 1MDB melalui pelaburan kepada aset syarikat tersebut.

Sebelum ini, Raja-Raja Melayu telah menitahkan kerajaan menyelesaikan segera siasatan 1MDB bagi mengelak keyakinan rakyat terhakis.

Isu 1MDB: Hormati titah Majlis Raja-Raja


Isu 1MDB: Hormati titah Majlis Raja-Raja

Campur tangan Majlis Raja-Raja terhadap 1MDB dianggap luar biasa.

Bekas Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Tan Sri Rafidah Aziz meluahkan rasa kekecewaannya kerana kemelut yang berlaku memaksa institusi itu menegur supaya apa yang berlaku diselesaikan segera.

“Bila isu-isu seperti itu mendapat perhatian Majlis Raja-Raja ia sangat menyedihkan.

“Bagaimanapun kita perlu hormat titah yang dibuat oleh Majlis Raja-Raja,” katanya dalam satu persidangan media di Wali Giles, The Gardens Hotel.

Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) itu juga berkata kerajaan perlu mengambil serius hal itu dan berusaha menyelesaikan masalah yang dihadapi dalam 1MDB.

Katanya, kegagalan menyelesaikan masalah itu tentunya akan memberi kesan negatif kepada negara terutamanya kepada pelabur dalam dan luar negara.

Bekas Presiden Kita tubuh parti baharu


Bekas Presiden Kita tubuh parti baharu
Dia mendakwa 99 peratus keahlian parti itu akan disertai ahli dan bekas pemimpin PKR.

Bekas Presiden Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (Kita), Zamil Ibrahim mengakui dia antara yang terlibat dalam gerakan penubuhan parti baharu sebagai alternatif kepada ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Bercakap kepada FMT, dia mendedahkan 99 peratus ahli parti baharu itu akan disertai oleh bekas pemimpin dan ahli PKR.

Katanya, dia mengambil inisiatif untuk mengerakkan penubuhan parti baharu sebagai kuasa ketiga selepas mendapat sokongan akar umbi PKR yang kecewa dengan kepimpinan sedia ada.

“Kebanyakan yang akan menyertai adalah mereka yang kecewa dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan PKR.

“Mereka percaya PKR telah rosak,” katanya sambil mengaku terdapat Ahli Parlimen PKR yang menyatakan minat untuk menyertai parti baharu itu.

Katanya, Ahli Parlimen PKR itu kecewa kerana merasakan parti itu tidak ada masa depan.

“Bila mereka lihat parti baharu ini akan ok, mereka berkemungkinan akan menyertainya,” katanya yang enggan mendedahkan nama parti baharu itu sehingga Pendaftar Pertubuhan (ROS) meluluskan pendaftaran.

Katanya, dia bersama bekas Setiausaha Kerja PKR, Hasrul Muhamin Hasbi telah menghantar borang permohonan pada 2 Oktober lalu.

Zamil menafikan pemimpin Pas dan bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim terlibat dalam gerakan penubuhan parti baharu itu.

Sila buktikan saya ditaja – Chegubard


Sila buktikan saya ditaja – Chegubard
Dia terima keputusan Lembaga Disiplin tetapi siasatan menyeluruh dan telus perlu dilakukan sebelum sebarang tindakan diambil.

Badrul Hisham Shahrin atau Chegubard mencabar Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor mendedahkan pihak yang didakwa menajanya untuk mengkritik kepimpinan parti.

Katanya, Timbalan AMK Selangor, Zainol Abidin perlu membuktikan dakwaan itu kerana seluruh negara telah tahu dakwaan yang dibuatnya itu.

“Saya cabar Zainol untuk dedah pemimpin yang bayar saya itu.

“Sekarang ini peluru ditentukan mereka…Siapa yang bayar saya, itu saya nak Zainol jawab,” katanya sambil menegaskan tiada mana-mana pihak menajanya untuk menyerang pemimpin PKR.

Pada masa sama, Chegubard berkata, dia tidak gentar dikenakan tindakan disiplin tetapi perlu diadakan siasatan menyeluruh dan telus.

“Saya sedia disiasat dan saya percaya, Brigedier Jeneral (B) Datuk Abdul Hadi Abdul Khatab Hadi sebagai Pengerusi Lembaga Disiplin cukup waras dan matang untuk membuat keputusan demi kepentingan parti,” katanya.

Terdahulu, Zainol membuat aduan kepada Lembaga Disiplin terhadap Chegubard dan menggesa bekas Ketua Cabang Rembau itu dipecat daripada PKR.

Zainol berkata, kenyataan Chegubard kononnya Timbalan Presiden, Mohamed Azmin merancang rampasan kuasa Presiden, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sebagai perbuatan tidak bermoral dan tidak beretika.

Pasaraya Singapura boikot produk Indonesia


Pasaraya Singapura boikot produk Indonesia
Ia bagi membantah pembabitan syarikat berkenaan dengan pembakaran terbuka di negara jiran.

Singapura bertindak memboikot produk beberapa syarikat Indonesia yang dikatakan terbabit dengan pembakaran terbuka di negara itu.

Menurut Straits Times, ia dilakukan beberapa rangkaian pasaraya termasuk NTUC FairPrice, Sheng Siong dan Prime Supermarket.

Langkah yang sama juga diambil Kumpulan Dairy Farm yang mengendalikan rangkaian kedai serbaneka seperti Guardian, 7-Eleven, Cold Storage dan Giant.

Tindakan itu dibuat selepas Majlis Alam Sekitar Singapura (SEC) menggantung sementara waktu label hijau pengedar eksklusif APP di Singapura, Universal Sovereign Trading.

Pada 30 September yang lalu, SEC telah meminta 17 syarikat, termasuk FairPrice untuk menandatangani borang pengakuan bahawa mereka tidak membawa masuk dan menjual produk dari lima syarikat termasuk APP, yang sedang disiasat kerana dikatakan terbabit dengan kebakaran hutan di Indonesia yang menjadi punca utama jerebu di rantau ini.

DAP hilang sokongan Melayu dan Cina kerana terlalu angkuh


DAP hilang sokongan Melayu dan Cina kerana terlalu angkuh
Pas menasihatkan pemimpin DAP supaya menjaga Pulau Pinang dengan baik untuk mengelak jatuh ke tangan BN pada PRU14.

Pas menyelar kritikan yang dibuat oleh Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua yang menyatakan bahawa parti itu akan kehilangan sokongan di Kelantan.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, sebaliknya DAP yang akan hilang sokongan pengundi Melayu dan sebahagian pengundi Cina kerana sikap angkuhnya dan suka mencampuri urusan parti lain.

“Saya nasihatkan Tony Pua dan DAP supaya menjaga perlakuan dan pastikan kerajaan Pulau Pinang sekarang kekal.

“DAP akan hilang sokongan pengundi Melayu dan sebahagian pengundi Cina kerana sikapnya yang angkuh dan suka mencampuri urusan parti lain,” katanya kepada Free Malaysia Today.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Tony Pua yang menyatakan Pas kini kehilangan sokongan termasuk di Kelantan, negeri yang diperintah parti itu sejak sekian lama.

Tony Pua turut berkata, tiada sebab untuk rakyat Kelantan menaruh kepercayaan kepada Pas untuk menerajui lagi kerajaan negeri itu.

Sementara itu, Naib Presiden Pas, Idris Ahmad meminta Tony Pua muhasabah diri dan memikirkan kembali siapa sebenarnya musuh DAP.

“Hendak tanya Tony Pua musuh dia siapa?BN atau Pas? Jangan hilang fokus,” katanya ringkas.

Anjur perhimpunan haram untuk promosi diri – Nur Jazlan


Anjur perhimpunan haram untuk promosi diri – Nur Jazlan
Malaysia tidak perlukan perhimpunan kerana ketenteraman awam merupakan asas kepada ekonomi yang baik dan hubungan kaum yang kukuh.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengingatkan semua pihak tidak memgambil kesempatan menganjurkan perhimpunan haram semata-mata untuk mempromosikan diri.

Timbalan Menterinya, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, perhimpunan menjrus kepada perkauman tidak perlu diadakan kerana tiada manfaat kepada negara dan rakyat.

“KDN memandang perkara ini sebagai tidak perlu kerana ia boleh keruhkan suasana dan juga ketenteraman negara.

“Ia juga sebenarnya tidak memberikan apa-apa manfaat kepada negara,” katanya dalam sidang media ketika diminta mengulas mengenai rancangan mengadakan Gerakan Merah di Melaka Raya pada 10 Oktober.

Perhimpunan itu telahpun dibatalkan kerana menghormati sambutan Ulang tahun Yang di-Pertua, Tun Khalil Yaakob.

Pada masa sama, Nur Jazlan memberi amaran kepada pihak lain yang berhasrat untuk mengadakan demonstrasi haram agar tidak mencabar pihak berkuasa.

“Jangan cabar pihak berkuasa, jangan cabar polis dan KDN kerana perkara ini hanya akan merugikan negara.

“Ketenteraman awam merupakan asas ekonomi yang baik, hubungan kaum yang baik, agama yang baik,” tegasnya.

Katanya, sebarang perhimpunan perlu mendapat kelulusan pemilik tapak atau lokasi dan jika tidak dibenarkan maka ia menjadi perhimpunan haram.

BN gagal tarik minat golongan muda-KJ


BN gagal tarik minat golongan muda-KJ
Kebanyakan pengundi muda masa ini masih tidak berani untuk membuat keputusan dan merupakan pengundi kali pertama

Pemuda Barisan Nasional (BN) dan UMNO masih tidak mampu menarik minat golongan muda untuk menyertai parti itu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin mendakwa, antara sebab utamanya kerana kebanyakan mereka masih tidak berani untuk membuat keputusan.

“Daripada penilaian pemuda UMNO dan BN, kumpulan pengundi muda berada atas pagar. Ini maksudnya mereka belum lagi buat apa-apa keputusan.

“Ada dalam kalangan mereka mengundi buat kali pertama dalam pilihan raya akan datang,” katanya yang bersetuju dengan kajian Ilham Centre mengenai tidak ada mana-mana parti politik yang berani mendakwa mendapat sokong pengundi muda.

Khairy berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Penyelarasan Transformasi PLKN di Wisma Pertahanan, Kementerian Pertahanan Jalan Padang Tembak.

Tambah Khairy, Pemuda BN dan UMNO juga telah membuat kajian dan hasilnya sama seperti yang dibuat Ilham Centre.

Sehubungan itu, Pemuda BN dan UMNO sudah bersiap sedia dan mengakui sudah mengatur strategi tersendiri untuk menarik minat golongan muda menyertai mereka dalam pilihan raya akan datang.

Sebelum ini Ketua Pegawai Eksekutif Ilham Centre, Hishammuddin Bakar mendakwa sehingga kini, tiada mana-mana parti politik berani mendakwa mendapat sokongan blok pengundi muda.

Hishammuddin Bakar berkata pengundi muda dianggap mampu menentukan prestasi parti politik dalam PRU14.

“Menariknya di sini, mana-mana partipun tidak berani mendakwa mereka mempunyai sokongan pengundi muda,” katanya

Hishammudin Bekar menambah pengundi muda yang pertama kali mengundi, mempunyai penilaian yang lebih luas.

“Ini dikatakan pengundi terapung di mana kita tak tahu arah tuju apungan tersebut. Ini kerana mereka mengundi atas dasar rasional, mereka tidak lagi mengundi atas dasar kekuatan parti. Mereka menilai segmen lebih besar seperti isu, sentimen dan persepsi.

“Ruang untuk pengundi muda masih terbuka luas dan ia kini bergantung kepada strategi parti politik bagi menjuarai persepsi kelompok ini,” katanya.

Sesak nafas sebab sembelit


Sesak nafas sebab sembelit

Assalammualaikum dan salamsejahtera, kesimpulannya pada pagi nie, memang kekurangan serat tak leh berak memang membencikan dan kesihatan terganggu, sebab apa?

Sebab is pun sendiri dah kena sembelit 2 hari xmembuang sampai cekang perut, peut jadi buncit (wakakakakaa) sesak nafas, xleh bernyawa, sakit kepala ETC bla bla bla bla,

Is ingat is sesak nafas kerana jerebu sahaja, tapi hakikatnya is dah sembelit 2 hari, memang kalau sembelit angin xkeluar, toxic lagi la xkeluar.

So kena lah is makan serat banyak2, by the way semalam is jump start siste perkumuhan dgn makan halia banyak2 alhamdulllah sistem perkumuhan berfungsi balik bonus dia lemak2 sekali keluaq so makna kata leh jadi kurus jika keep on makan halia nie, weight loss like nature tanpa kimia apa semua.

p/s: sapa yg tak tau is merapu apa just abaikan untuk yg nak tahu, dua hari lepas is kena sesak nafas sebab sembelit + jerebu + makan banyak sangat + sebab makan banyak sebab berhenti rokok, so kep eat more fiber guys.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Rujukan