Cari Artikel

Tuesday, October 6, 2015

Mahkamah putuskan Akta Hasutan 1948 sah


Mahkamah putuskan Akta Hasutan 1948 sah
Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Prof Madya Dr Azmi Sharom
yang mencabar Akta Hasutan kerana ia tidak melanggar Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

Mahkamah Persekutuan pada Selasa memutuskan bahawa Akta Hasutan 1948 adalah sah mengikut Perlembagaan Persekutuan.

Ketua Hakim Negara, Tun Ariffin Zakaria yang mengetuai panel lima hakim berkata, Perlembagaan dirangka dengan tujuan untuk memastikan undang-undang yang sedia ada terus sah dan boleh dikuatkuasakan.

“Seksyen 4 (1) Akta Hasutan tidak melanggar perimeter Artikel 10 (2) dan 10 (4) Perlembagaan Persekutuan yang menyentuh tentang kebebasan bersuara,” kata Arifin yang membaca keputusan penghakiman.

Hakim-hakim lain dalam panel itu ialah Presiden Mahkmah Rayuan, Tan Sri Hakim Md Raus Sharif, Hakim Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin dan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Hakim Abdull Hamid Embong serta Tan Sri Suriyadi Halim Omar.

Mahkamah dengan itu menolak permohonan Prof Madya Dr Azmi Sharom yang mencabar kesahihan akta itu dan mengarahkan kes Azmi bicarakan di Mahkamah Seksyen.

Pensyarah Undang-Undang Universiti Malaya (UM) itu telah didakwa dan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 2 September 2014 atas pertuduhan mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan.

Azmi didakwa membuat kenyataan itu dalam artikel bertajuk “Take Perak crisis route for speedy end to Selangor impasse, Pakatan told” yang dilaporkan sebuah portal berita pada 14 Ogos 2014.

Pada 17 September, Azmi memfailkan permohonan mencabar Akta Hasutan 1948 kerana mendakwa Seksyen 4 tidak mengikut Perlembagaan dan melanggar Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan, yang menjamin kebebasan bersuara.

Jangan terpedaya hasutan Tun M, nasihat Bung Mokhtar


Jangan terpedaya hasutan Tun M, nasihat Bung Mokhtar
Beliau menyifatkan Tun M sebagai individu yang sudah terdesak
sehingga sanggup menghasut rakyat Sabah menolak kepimpinan Perdana Menteri.

Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) Sabah diminta tidak terpengaruh dengan kata-kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad supaya wakil rakyat negeri itu menyokong usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Radin berkata, usaha yang dilakukan oleh Dr Mahathir hanya lebih kepada dendam peribadi dan ia bukan semangat politik yang baik.

“Gesaan tersebut kurang rasional, Dr Mahathir harus sedar bahawa apa yang dilakukan lebih kepada isu peribadi, bukan menjurus kepada masalah politik, salah laku dan sebagainya.

“Saya gesa supaya Ahli Parlimen Sabah dari Barisan Nasional (BN) menolak cadangan Tun Mahathir, kerana tindakan itu tidak melambangkan politik yang baik,” katanya kepada Free Malaysia Today (FMT).

Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu menyifatkan Dr Mahathir sebagai individu yang sudah terdesak untuk menyerang Najib, sehingga sanggup menghasut rakyat Sabah menolak kepimpinan Perdana Menteri.

“Dr Mahathir harus sedar bahawa perkara ini (undi tidak percaya) tidak pernah berlaku di negara ini.
“Malah semasa beliau menjadi Perdana Menteri, ramai orang tidak puas hati dengan beliau tetapi perkara itu tidak pernah berlaku,” katanya.

Sehubungan itu, Bung menasihati Dr Mahathir supaya berhenti menyerang kepimpinan Najib kerana rakyat akan muak dan hilang keyakinan terhadapnya memandangkan era kepimpinan beliau juga sudah berakhir.

“Saya harap wakil rakyat BN dari Sabah terus menyokong kepimpinan Perdana Menteri dan menyelesaikan masalah yang berlaku secara dalaman bagi memastikan BN kekal memerintah pada PRU akan datang,” tegasnya.

Nasib Tun M jadi tanda tanya


Nasib Tun M jadi tanda tanya
Adakah beliau akan disaman, ditangkap atau dipecat sebagai ahli
UMNO kerana serangan berterusannya terhadap
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Tun Dr Mahathir Mohamad diramal akan menerima nasib yang sama seperti bekas Presiden MCA, Tan Sri Dr. Ling Liong Sik yang diancam dikenakan tindakan undang-undang oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Bekas Naib Ketua Pemuda Wangsa Maju, Shahbudin Husin bagaimanapun berkata, nasib yang bakal diterima Dr Mahathir masih menjadi tanda tanya.

“Tentunya ramai ingin tahu apakah tindakan Najib terhadap Tun Mahathir yang juga tidak henti-henti mengkritiknya?

“Apakah beliau juga bakal disaman oleh Najib?…atau mungkinkah Tun Mahathir akan ditangkap di bawah Akta Hasutan atau atas lain-lain dakwaan yang dianggap mengancam keselamatan negara sepertimana yang dialami oleh Khairuddin Abu Hassan yang kini ditahan selama 28 hari?,” tulisnya di blog shahbudindotcom.blogspot.my.

Shahbudin berkata, tindakan terbaru yang diambil terhadap Liong Sik itu jelas menggambarkan Najib kini meneruskan sikap tidak memberi muka kepada pengkritik yang mencemarkan nama baik Perdana Menteri.

Katanya, Tun Mahathir juga sudah membayangkan berkemungkinan beliau akan ditangkap ketika berucap di dalam satu forum di Ampang, Sabtu lalu.

“Lalu, berdasarkan beberapa tindakan agresif Najib mempertahankan kedudukannya sejak kebelakangan ini melalui tindakan perundangan atau seperti yang dihadapi oleh Khairuddin Abu Hasan dan sebelum itu turut menyingkirkan ramai orang daripada kabinet dan jawatan penting dalam kerajaan, seperti mustahil Tun Mahathir akan “dilepaskan” begitu saja.

“Cuma yang mana satu nasib sedang menanti Tun Mahathir agaknya – saman, tangkap atau sekadar dipecat keahlian UMNO?,” katanya.

FAM didenda RM180,000 dan kemenangan kepada Arab Saudi


FAM didenda RM180,000 dan kemenangan kepada Arab Saudi
Prosiding disiplin kerana beberapa insiden termasuk bom asap dan
suar yang berlaku dalam Stadium Shah Alam yang menyebabkan
perlawanan dihentikan pada minit ke-88.

Persatuan Bola sepak Malaysia FAM) terpaksa berdepan dengan hukuman denda, 40,000 Swiss francs (RM180,000), satu perlawanan tanpa penonton dan kemenangan 3-0 kepada Arab Saudi, ekoran kekacauan yang dilakukan penyokong pada perlawanan pusingan kelayakan Piala Dunia 2018 baru-baru ini.

Menurut kenyataan yang disiarkan di laman web rasmi FIFA, Jawatankuasa Disiplin badan induk itu turut memberikan surat amaran kepada FAM berikutan kekacauan penonton yang serius.
Kekacauan itu dilakukan oleh penyokong yang menggelarkan mereka Ultras Malaya di Stadium Shah Alam, pada 8 September lalu.

“FAM didapati bertanggungjawab atas kelakuan penyokong mereka, dan dalam kes ini, ia melanggar artikel 6 perenggan 5 Peraturan Piala Dunia Rusia FIFA, artikel 56, artikel 65, 67 perenggan 1 dan artikel 67 perenggan 3 Kod Disiplin FIFA, serta artikel 4 perenggan 2, artikel 29 perenggan 1 (b) dan artikel 2 Annexe C Peraturan Keselamatan Stadium FIFA.

“Prosiding disiplin membabitkan beberapa insiden termasuk bom asap dan suar yang berlaku dalam Stadium Shah Alam yang menyebabkan perlawanan dihentikan pada minit ke-88,” kata FIFA dalam kenyataan.

Menurut FIFA, keputusan itu dibuat selepas menganalisis semua keadaan, khususnya laporan pegawai perlawanan, kedudukan FAM serta rakaman video dan gambar berkaitan serta tahap keseriusan insiden berkenaan.

Berikutan keputusan itu, Malaysia akan menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) di laman sendiri pada 17 November di dalam stadium tanpa penonton.

“FAM telah dimaklumkan mengenai keputusan Jawatankuasa Disiplin FAM pada Isnin,” tambah kenyataan itu.
-BERNAMA

Saya tetap yakin Azmin mahu jatuhkan Wan Azizah – Chegubard


Saya tetap yakin Azmin mahu jatuhkan Wan Azizah – Chegubard
Mesyuarat tergempar yang dituntut 25 Ahli Majlis MPP sudah
cukup membuktikan terdapat usaha untuk memalukan Presiden PKR.

Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard mempertahankan dakwaannya bahawa Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali mahu menjatuhkan Presiden, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Katanya, biarpun Azmin dan pemimpin PKR lain menafikan perkara itu, dia tetap yakin Azmin dan penyokongnya atau digelarnya Kartel Azmin merancang untuk memalukan Wan Azizah.

Katanya, Azmin boleh menafikan dakwaan itu sama juga penafian yang dibuat apabila dituduh melobi untuk menjadi Menteri Besar Selangor ketika krisis pada 2014.

“Azmin boleh nafi dan berikrar taat setia kepada Wan Azizah tetapi dibelakang tadbir dia lobi sehingga jadi Menteri Besar Selangor.

“Keadaan sama berlaku sekarang, Azmin boleh menafikan tetapi saya tetap percaya dia mahu memalukan Wan Azizah dan merampas kuasa,” katanya kepada FMT.

Chegubard berkata, jika Azmin tidak berniat memalukan Wan Azizah, mengapa perlu diadakan Mesyuarat MPP tergempar pada Ahad ini sedangkan perkara itu boleh dibincangkan dalam mesyuarat Biro Politik atau Mesyuarat bulanan MPP.

“Kalau sekadar nak bincang atau ingin kukuhkan parti sepatutnya kamu tunggulah, Mesyuarat Biro Politik PKR, seminggu sekali atau mesyuarat MPP sebulan sekali.

“Kalau MPP mengambil keputusan ‘u-turn’ dan tidak menyokong Pakatan Harapan, di mana Wan Azizah hendak letak muka? Maka ini jelas satu usaha undi tidak percaya kartel Azmin ke atas Wan Azizah,” katanya.

Desak MP Sabah sokong undi tak percaya terhadap Najib – Tun M


Desak MP Sabah sokong undi tak percaya terhadap Najib – Tun M
Tun M mencadangkan ahli UMNO Sabah menolak wakil
rakyat yang enggan menyokong dan pastikan mereka kalah pada PRU14.

Tun Dr Mahathir Mohamad menyeru semua ahli UMNO di Sabah supaya mendesak wakil rakyat mereka menyokong undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Katanya, jika wakil rakyat itu enggan berbuat demikian, ahli UMNO perlu menolak mereka untuk dicalonkan semula pada pilihan raya umum akan datang.

“Saya minta semua ahli-ahli UMNO di Sabah ini mendesak wakil rakyat mereka supaya menyokong undi tidak percaya.

“Kalau mereka tidak sokong, tentukan mereka tidak akan jadi calon, dan tentukan mereka kalau jadi calon, akan dikalahkan,” katanya sambil disambut sorakan hadirin yang menghadiri sesi soal jawab Bicara Negarawan Sabah di Dewan Yayasan Lau Gek Poh, Tawau pada Isnin.

Dalam sesi dialog itu, bekas Perdana Menteri turut mengulangi dakwaan bahawa Najib menyalahgunakan undang-undang untuk melindungi dirinya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan hadirin mengenai ‘kuasa di atas kuasa undang-undang’.

“Sesiapa yang cuba menghalang dirinya akan dikenakan tindakan; disoal, disimpan, dimasukkan ke dalam tahanan dan sebagainya,” katanya yang dipetik akhbar Sinar Harian.

Najib mahu saman Ling Liong Sik


Najib mahu saman Ling Liong Sik
Tindakan itu diambil susulan kenyataan Liong Sik yang mendakwa Najib
mengambil wang rakyat untuk diri sendiri yang disiarkan
portal MalayMailOnline pada 3 Oktober lalu.

Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil tindakan undang-undang terhadap bekas Presiden MCA, Tan Sri Dr. Ling Liong Sik kerana didakwa membuat kenyataan fitnah terhadap Perdana Menteri baru-baru ini.

Najib mengambil tindakan itu menerusi firma guaman yang mewakilinya secara peribadi, Hafarizam Wan & Aisha Mubarak.

Dalam notis tuntutan saman itu, firma berkenaan memaklumkan mereka telah diarahkan oleh anak guamnya (Najib) untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Liong Sik kerana kenyataannya yang disiarkan MalayMailOnline pada 3 Oktober lalu.

Dalam kenyataan itu, Liong Sik, bekas Menteri Pengangkutan dilaporkan menyokong gesaan Tun Dr Mahathir Mohamad supaya Najib dijatuhkan kerana mengambil duit rakyat untuk mengisi poketnya sendiri.

Dalam surat tuntutan itu, Najib menuntut Liong Sik menarik balik kenyataan, membuat permohonan maaf dan menuntut pampasan sewajarnya kerana membuat fitnah itu.

Bekas pemimpin dan aktivis PKR daftar parti baharu?


Bekas pemimpin dan aktivis PKR daftar parti baharu?
Chegubard mendakwa usaha terancang itu mendapat sokongan sekutu
lain dari parti pembangkang dan mempersoalkan adakah Pas terlibat.

Ahli PKR seumur hidup, Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard mendakwa ada gerakan dalam kalangan pemimpin dan aktivis parti itu untuk menubuhkan parti baharu.

Dia mendakwa telah mendapat maklumat daripada seseorang dari Pejabat Pendaftar Pertubuhan di Putrajaya bahawa kumpulan berkenaan telah hadir untuk mendaftarkan parti itu pada minggu lalu.
Katanya, seramai 13 orang telah hadir untuk mendaftarkan parti baharu itu.

“Saya cuba mendapatkan butiran lanjut dan dikenal pasti antaranya ialah individu yang mengaku sebagai Presiden Akar Umbi Keadilan yang kini memegang jawatan sebagai Naib Ketua Cabang, Pengarah Pilihanraya DUN Bukit Antarabangsa, bekas Setiausaha Kerja Pemuda Pusat, bekas Setiausaha Kerja PKR Pusat dan beberapa orang lain yang turut masih memegang jawatan di peringkat Pusat.

“Cuma pelik kerana apa relevannya tindakan ini ? Ramai mungkin menuduh mereka ejen UMNO tetapi jika ia usaha musuh kenapa dibuat secara senyap?” katanya.

Dakwaan terbaharu Chegubard itu turut disebarkan menerusi aplikasi WhatsApps.

Dia mendakwa, selepas siasatan lanjut dilakukan kemungkinan ia usaha terancang dan kemungkinan turut melibatkan sekutu lain parti pembangkang.

“Adakah Pas terlibat ? Adakah ia kena mengena dengan proses rampasan kuasa kartel Azmin (Mohamed Azmin Ali) yang mengasak Mesyuarat MPP Khas mempertikaikan tindakan Presiden dan kemungkinan wujud undi tidak percaya?

“Saya mengingatkan diri sendiri dan semuanya, UMNO dan Barisan Nasional tidak kuat namun dalam sejarah membuktikan lawan berpecah dan lemah menjadi kekuatan regim. Hati – hati dengan “trojan Hourse”….” katanya.

Sebelum ini Chegubard mendakwa kumpulan penyokong Azmin cuba menggulingkan Presiden, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dengan mendesak diadakan mesyuarat MPP khas bagi membincangkan semula sokongan dan penyertaan PKR dalam Pakatan Harapan.

Dia mendakwa sekiranya Wan Azizah membuat u-turn terhadap keputusan itu, ia sudah tentu memalukan Presiden kerana tidak sokongan penuh Ahli Majlis MPP.

Kelab golf ditukar jadi taman mirip ‘Central Park NY’


Kelab golf ditukar jadi taman mirip ‘Central Park NY’
Abdul Rahman Dahlan menjangkakan akan mendapat bantahan Istana Selangor
untuk menukarkan Kelab Golf Diraja Selangor kepada taman awam.

Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bercadang untuk mengambil alih Kelab Golf DiRaja Selangor di Jalan Tun Razak dan menukarkan padang tersebut kepada taman awam.

Rancangan itu selaras dengan hasrat kementerian berkenaan untuk menjadikan padang golf tersebut mirip Central Park di New York.

Menterinya, Datuk Abdul Rahman Dahlan menyatakan kewujudan padang golf di tengah-tengah Kuala Lumpur juga tidak lagi sesuai pada masa ini.

“Kita terima cadangan daripada rakyat agar kita menukarkan padang golf berkenaan menjadi taman awam dan lokasi padang tersebut dialihkan di kawasan luar Kuala Lumpur,” katanya dalam sidang media di Majlis Sambutan Hari Habitat 2015, di One City, Subang Jaya pada Isnin.

Jelas Abdul Rahman lagi, pihaknya akan mengadakan perbincangan bersama Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengenai status padang ini.

“Saya sedar, ia tidak dapat dilakukan dengan sekelip mata, kerana perbincangan perlu dilakukan.
“Saya juga memahami nostalgia yang ada di padang golf berkenaan, tetapi ini adalah kehendak masyarakat awam,” katanya yang menjangkakan akan ada penentangan dari pihak Istana Selangor.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Kota Belud itu berpendapat, kewujudan taman awam itu kelak, ia bakal mengurangkan kesesakan jalan raya.

“Apabila ada taman awam ini, setelah tamat waktu bekerja, rakyat boleh berehat dan berjalan di taman awam ini sementara menunggu kesesakan lalulintas.

“Sekurang-kurangnya dapat meningkatkan budaya pergi ke taman,” kata beliau lagi.

Katanya, walaupun sudah mempunyai taman awam iaitu yang terletak di Taman Tasik Perdana dan Taman Tasik Titiwangsa namun lokasi taman itu tidak sesuai untuk pejalan kaki.

FB Oriental Daily digodam dengan gambar lucah


FB Oriental Daily digodam dengan gambar lucah
Ia dipercayai berpunca daripada sejenis virus dalam talian yang
membawa pengguna kepada pautan berita dan gambar separuh bogel dan lucah.

Laman sosial Facebook akhbar tempatan berbahasa Cina, Oriental Daily digodam pada petang Isnin dengan memuatnaik gambar-gambar wanita separuh bogel dan lucah.

Ia dipercayai berpunca daripada sejenis virus dalam talian yang tidak membawa pengguna kepada pautan berita atau status yang dikongsi tetapi kepada artikel-artikel dan imej pelakon lucah.

Editor E-News Oriental Daily, Lum Chih Feng berkata pihaknya telah menghubungi pengurusan Facebook untuk mengetahui bagaimana ia berlaku dan pihak yang bertanggungjawab terhadap posting tersebut.

“Kami menyedarinya sekitar pukul 1.00 tengah hari dan ia masih berlaku. Kami buntu memikirkan apa yang sedang berlaku. Pihak kami telah menghubungi Facebook dan masih menunggu jawapan mereka.

“Kami sedang mencari jalan untuk menghentikan semua posting yang tidak kena-mengena daripada disiar,” katanya ketika dihubungi Free Malaysia Today.

Laman Facebook Oriental Daily pernah disekat pada 21 September namun Lum menafikan ia mempunyai kaitan dengan sekatan terdahulu.

Oriental Daily mempunyai lebih 800,000 pengikut di Facebook.

Lempang Cina: Polis akan ambil keterangan wartawan Malaysiakini


Lempang Cina: Polis akan ambil keterangan wartawan Malaysiakini
Polis akan mengambil keterangan wartawan itu pada
Rabu bagi membantu siasatan berhubung isu berkenaan.

Polis akan mengambil keterangan wartawan Malaysiakini berhubung laporan yang mendakwa Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mahu lempang orang Cina.

Wartawan itu menerusi statusnya di Facebook memaklumkan polis akan mengambil keterangan dia pada Rabu ini.

Katanya, sepanjang lima tahun bergelar wartawan, ini merupakan kali pertama beliau dia akan diambil kenyataan oleh polis.

“Empat hari lepas saya lapor kenyataan Timbalan Menteri (Tajuddin) dan selepas dua jam beritanya disiarkan beliau (Tajuddin) menghubungi saya dan mendakwa akan menyaman saya kerana memanipulasi kenyataan beliau… namun sehingga hari ini tiada sebarang tindakan yang dibuat olehnya.

“Sebaliknya, saya setiap hari dihubungi oleh pegawai beliau yang bertanyakan khabar saya. Hari ini saya sedikit resah tidak tahu apa puncanya sehingga mendapat khabar daripada boss Malaysiakini, Rabu, 7 Oktober ini polis mahu rekod kenyataan saya pula.

“Sepanjang lima tahun bergelar wartawan ini pertama kali polis mahu mengambil kenyataan saya… I hope everythings will be ok,” tulisnya.

Malaysiakini melaporkan Tajuddin telah memberi amaran masyarakat Cina di Malaysia supaya tidak terlalu mengharap simpati orang luar untuk melindungi mereka.

Tajuddin dilapor membuat kenyataan;

“Saya nak beri amaran kepada Cina Malaysia jangan ingat bila ada masalah dia nak mengadu, sikit-sikit mengadu supaya ada yang lindungi mereka…. Nak kena lempang macam itu”.

Ahli Parlimen Pasir Salak itu bagaimanapun menafikan mengguna perkataan lempang yang dianggapnya tidak setaraf dengannya sebagai ahli politik veteran.

Jerebu: Malaysia rangka undang-undang baharu


Jerebu: Malaysia rangka undang-undang baharu
Undang-Undang Rentas Sempadan itu membolehkan tindakan diambil
terhadap syarikat dari mana-mana negara yang menyebabkan jerebu.

Undang-Undang Rentas Sempadan yang sedang dirangka kerajaan membolehkan Malaysia mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat tempatan dan luar yang membakar hutan di Indonesia dan menyebabkan jerebu.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, undang-undang itu akan membenarkan syarikat yang menyebabkan jerebu diambil tindakan walaupun syarikat tersebut tidak beroperasi di Malaysia.

Beliau berkata, undang-undang yang mahu digubal oleh kerajaan itu adalah berbeza dengan Akta Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan 2014 Singapura yang membolehkan negara berkenaan mengambil tindakan terhadap syarikat tempatan sahaja.

Wan Junaidi bagaimanapun berkata, deraf undang-undang itu masih lagi di peringkat perbincangan kementerian sebelum dibentangkan di Parlimen.

“Singapura hanya mencari syarikat mereka. Bukan syarikat lain. Hanya syarikat mereka sahaja kerana undang-undang itu terpakai kepada syarikat mereka yang membakar di sana (Indonesia)

“Kalau kurang tindakan daripada negara hos, mereka boleh mengambil tindakan. Mereka tidak boleh mengambil tindakan terhadap syarikat Malaysia, syarikat Indonesia. Hanya Singapura sahaja,” katanya pada sidang media selepas hadir pada perhimpunan bulanan kementerian itu di Dewan Perdana Felda pada Isnin.

Dalam pada itu, Wan Junaidi turut menyeru kepada Indonesia agar mengambil tindakan tegas terhadap pihak-pihak yang menyebabkan jerebu di negara berkenaan dan negara jiran.

“Indonesia mesti buat penguatkuasan undang-undang secara tegas, terperinci dengan mengambil tindakan kepada yang bersalah termasuk orang Indonesia sendiri yang membakar hutan dan menimbulkan masalah jerebu di Malaysia,” tegasnya.

Jerebu: Semua IPT dibenar tutup, tangguh aktiviti


Jerebu: Semua IPT dibenar tutup, tangguh aktiviti
Pengurusan IPT bergantung kepada IPU di kawasan masing-masing
demi menjaga kesihatan pelajar dan kakitangan.

Semua institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta dibenarkan tutup atau menangguhkan aktiviti akademik dan bukan akademik berikutan keadaan jerebu yang semakin meruncing.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh, berkata pihak pengurusan IPT boleh membuat keputusan terbabit berdasarkan kepada Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kawasan mereka.

“Kementerian Pengajian Tinggi mengambil maklum jerebu yang melanda negara boleh memberi kesan pada kesihatan pelajar dan kakitangan IPT.

Kementerian juga akan terus memantau keadaan semasa jerebu berdasarkan IPU. “Semua IPT diminta untuk menyediakan garis panduan dalaman (SOP) yang sewajarnya untuk rujukan pelajar dan kakitangan,” katanya dalam kenyataan media.

Idris berkata, kementeriannya memandang serius keadaan jerebu ini dan keutamaan kini adalah kesihatan serta keselamatan pelajar IPT seluruh negara.

EKVE: 106.65 hektar hutan simpan kekal bakal musnah


EKVE: 106.65 hektar hutan simpan kekal bakal musnah
Kelulusan yang diberikan kerajaan Selangor itu bertentangan dengan
 janji kepada rakyat untuk tidak membenarkan pembinaan lebuh raya bertol.

Lebuh Raya Lembah Klang (EKVE) yang telah diluluskan oleh kerajaan Pusat dan Selangor didakwa bakal memusnahkan 106.65 hektar hutan simpan kekal.

Keluasan itu didakwa menyamai keluasan 88 padang bola sepak.

Empat kawasan hutan simpan yang bakal ‘dikorbankan’ bagi pembinaan EKVE ialah Hutan Simpan Ulu Langat, Hutan Simpan Bukit Sungai Puteh, Hutan Simpan Ulu Gombak dan Hutan Simpan Ampang.

Jabatan Perhutanan Negeri Selangor pada Februari 2014 telah mewartakan 106.65 hektar hutan simpan kekal itu untuk pembinaan EKVE.

Maklumat itu telah disebar dan dikongsi pengguna laman sosial yang menentang pembinaan EKVE yang didakwa bakal merosakkan ekosistem dan pusat tadahan air.

Mereka juga mempertikaikan kelulusan yang diberikan Kerajaan Selangor itu kerana ia bertentangan dengan janji untuk tidak membenarkan sebarang lebuh raya bertol di negeri itu.

Lebuhraya bertol EKVE sepanjang 24.16km akan dibina oleh Ahmad Zaki Resources Berhad (AZRB) dianggar bernilai RM1.55 bilion.

Ia bermula dari Bandar Sungai Long ke Ukay Perdana dengan lima persimpangan bertol terletak di Sungai Long, Bandar Mahkota Cheras, Ulu Langat, Ampang dan Ukay Perdana.

AZRB dalam kenyataan kepada Bursa Kuala Lumpur baru-baru ini memaklumkan, anak syarikatnya, EKVE Sdn Bhd telah diberikan konsesi 50 tahun.

Katanya, kerajaan juga akan memberikan pinjaman maksimum RM635 juta kepada syarikat dengan kadar feadah empat peratus setahun sebagai modal tahunan.

Saifuddin dituduh gila kerana persoal Lembaga Disiplin UMNO


Saifuddin dituduh gila kerana persoal Lembaga Disiplin UMNO
Saifuddin Abdullah mempersoalkan surat tunjuk sebab kerana didakwa
kabur dan tidak menyatakan kesalahan yang telah dilakukannya.

Bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Saifuddin Abdullah dianggap ‘gila’ kerana mempersoalkan tindakan Lembaga Disiplin parti yang memintanya menghantar surat tunjuk sebab selepas beliau menghadiri program pembangkang.

Saifuddin dikatakan mempersoalkan Lembaga Disiplin UMNO kerana menganggap surat tunjuk sebab itu kabur, bukan dihantar oleh lembaga itu dan tidak menyatakan kesalahan yang beliau telah lakukan mengikut Perlembagaan parti.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, beliau tidak akan menjawab surat Saifuddin itu sebaliknya menyerahkan kepada peguam untuk menguruskan perkara itu.

“Tak gila ke, kita hantar surat dia untuk jawab, dia soal balik dekat kita.

“Saya tidak akan menjawab persoalan Saifuddin tetapi akan serahkannya kepada peguam saya untuk jawab soalan dia (Saifuddin). Surat itu akan dihantar sendiri kepada Lembaga Disiplin,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran dan Sesi Pengundian Unit RUMAWIP, di Kepong.

Sementara itu,  Saifuddin yang dihubungi FMT enggan mengulas lanjut kenyataan Ku Nan itu kerana tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan.

“Saya tidak mahu komen,” katanya ringkas.

Saifuddin sebelum ini mendakwa surat tunjuk sebab yang dihantar tangan ke pejabatnya itu bertarikh 22 September tetapi hanya diterima pada 28 September.

Ibu Pejabat UMNO memberikan 14 hari dari tarikh surat berkenaan untuk menjawab surat tunjuk sebab mengenai kehadirannya ke Sidang Meja Bulat bagi penubuhan Pakatan Harapan pada 22 September lalu.

Saifuddin bagaimanapun mempertahankan tindakannya itu kerana beliau hadir atas kapasiti pertubuhan bukan kerajaan, Akademi Belia.

UMNO pantau tujuh pemimpin pro-Tun M


UMNO pantau tujuh pemimpin pro-Tun M
Ku Nan menasihatkan Tun Dr. Mahathir Mohamad supaya berhenti menyerang
Najib Tun Razak kerana kerajaan tahu menyelesaikan masalah negara.

UMNO sudah mengenal pasti tujuh pemimpin parti itu yang mengeluarkan kenyataan untuk menjatuhkan Perdana Menteri selaku Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, pemimin UMNO itu dalam perhatian untuk dihantar surat tunjuk sebab oleh Lembaga Disiplin parti.

“Kita ada tujuh pemimpin yang dipantau dan Lembaga Disiplin parti tidak akan teragak-agak untuk menghantar surat tunjuk sebab kepada mereka,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran dan Sesi Pengundian Unit RUMAWIP di Kepong pada Isnin.

Tengku Adnan atau Ku Nan berkata demikian mengulas jika bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad akan dikenakan tindakan oleh Lembaga Disiplin selepas secara terang-terangan dan berterusan menyerang Najib melalui beberapa majlis forum baru-baru ini.

Ku Nan menasihatkan Dr Mahathir supaya berhenti menghentam Najib dan menyatakan bahawa kerajaan lebih tahu untuk menyelesaikan sesuatu masalah yang dihadapi.

“Sudah-sudahlah apa yang dilakukan oleh Tun Mahathir. Biar pemimpin dalam kerajaan sahaja selesaikan,” katanya sambil memberi amaran kepada orang luar termasuk media supaya tidak melaga-lagakan pemimpin baharu dan lama dalam parti itu.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Rujukan