Cari Artikel

Monday, October 5, 2015

Rahim Tamby Chik didakwa memfitnah Raja Muda Selangor


Rahim Tamby Chik didakwa memfitnah Raja Muda Selangor
Beliau mengaku tidak bersalah di atas tuduhan memfitnah Raja Muda Selangor
menukar agama kepada Kritian Katolik menerusi status yang dimuatnaik di Facebook.

Bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan memfitnah Raja Muda Selangor.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 4 (1) (C) Akta Hasutan 1948.

Abdul Rahim yang juga bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri turut tidak mengaku bersalah terhadap pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana dengan niat mengganggu orang lain.

Pada 30 September lalu, Dewan Diraja Selangor melahirkan dukacita terhadap kenyataan tidak bertanggungjawab Abdul Rahim yang mendakwa Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah telah menukar agama kepada Kristian Katolik.

Abdul Rahim membuat kenyataan di Facebook pada 25 September berserta dengan komen tentang pertukaran agama Raja Muda Selangor.

“Berita Pertukaran agama Putera Sultan Selangor, Tengku Amir Shah Ke Katholisme amatlah menyedihkan umat Islam di seluruh negara dan dunia ini. Kesedihan ini ditambah dua tragedi timpa umat Islam di Makah dan Arafah. Moga hasrat Sultan Selangor bertemu Pope di Vatican City berhasil,” tulusnya di Facebook.

Abdul Rahim dibebaskan dengan jaminan RM7,000 degan seorang penjamin bagi kedua-dua tuduhan itu.

Hakim Slamat Yahya menetapkan 5 November untuk sebutan semula kes itu.

Mana boleh rampas kuasa Presiden PKR – Tian Chua


Mana boleh rampas kuasa Presiden PKR – Tian Chua
Rampasan kuasa tidak mungkin berlaku kerana jawatan
Presiden PKR dipilih secara terus oleh ahli bukan lantikan.

Tian Chua mempersoalkan dakwaan Chegubard bahawa kumpulan penyokong Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali akan melakukan rampasan kuasa Presiden parti, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.

Naib Presiden PKR itu berkata, tidak ada cara untuk melakukan rampasan kuasa terhadap jawatan yang disandang oleh Presiden parti kerana ia dipilih oleh ahli secara lantikan.

“Awak tanya Chegubard apa mekanisme dia (rampasan kuasa). Saya pun tak tahu. Apa cara boleh rampas? Mana ada cara.

“Semak dahulu Perlembagaan parti yang sangat jelas. Presiden dipilih melalui pemilihan umum oleh ahli parti. Satu orang satu undi. Kalau ikut DAP itu bolehlah. Mereka melantik jawatankuasa kerja yang kemudian melantik Presiden. PKR berbeza,  Presiden PKR dilantik terus oleh ahli,” katanya kepada FMT.

Ditanya adakah PKR akan mengambil tindakan terhadap Chegubard kerana membuat dakwaan itu;
“Saya tak mahu komen mengenai apa-apa perkara mengenai Chegubard,” jawabnya ringkas.

Untuk rekod, Wan Azizah menang tanpa bertanding jawatan Presiden PKR selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim menarik diri.

Sementara itu, Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Prof. Madya. Dr. Shaharuddin Baharuddin menganggap dakwaan Chegubard itu sebagai mengarut.

“Saya tak mahu bercakap mengenai perkara itu. Mengarut sahaja,” katanya.

Semalam, Chegubard melalui blognya mendakwa kumpulan penyokong Azmin atau kartel Azmin dikatakan akan melakukan rampasan kuasa terhadap Wan Azizah.

Rampasan kuasa atau coup de’etat itu dipercayai akan dilakukan menerusi petisyen untuk memaksa satu Mesyuarat MPP khas bagi menarik semula penglibatan PKR dalam Pakatan Harapan.

Petisyen tu ditandatangani oleh 25 Ahli MPP yang sebahagian besarnya penyokong Azmin.

Jerebu: Malaysia perlu minta pampasan dari Indonesia


Jerebu: Malaysia perlu minta pampasan dari Indonesia
Tidak adil rakyat Malaysia menanggung masalah yang disebabkan
kegagalan Indonesia mengawal pembakaran hutan.

Kerajaan Malaysia digesa meminta pampasan daripada kerajaan Indonesia ekoran kerugian yang ditanggung kerana isu jerebu.

Pengerusi MCA Pulau Pinang, Chew Mei Fun berkata, setiap kali berlakunya jerebu yang disebabkan oleh tindakan pembakaran hutan tidak terkawal di Indonesia, rakyat Malaysia pula yang terpaksa berhadapan dengan nahtijahnya.

“Tidak masuk akal apabila mereka tidak berupaya menyelesaikan masalah sejak sekian lama ia berulang. Saya rasa sudah tiba masanya untuk kita meminta mereka membayar ganti rugi … Kanak-kanak gagal menyambung sesi persekolahan kerana isu ini dan kita tidak mempunyai masa untuk membuat kelas ganti.”

“Pada masa yang sama, kita juga berhadapan masalah gangguan industri pelancongan apabila tiada siapa melawat Malaysia. Malah, perniagaan penjaja juga telah menurun sebanyak 30 peratus,” katanya di Perhimpunan Mid-Autum pada Ahad, lapor Bernama.

Mei Fun juga menyatakan betapa orang ramai terkesan dengan perbelanjaan perubatan yang turut meningkat (akibat jerebu).

Chew, yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menasihati ibu bapa, dan juga pengusaha taska dan tadika, untuk menghadkan aktiviti luar kanak-kanak.

Hukuman berbeza bagi kesalahan sama


Hukuman berbeza bagi kesalahan sama
AMK bimbang hak asasi manusia yang termaktub dalam Perlembagaan
semakin samar akibat pentafsiran terhad oleh mahkamah.

Angkatan Muda keadilan (AMK) mempersoalkan keputusan mahkamah yang memberikan keputusan berbeza bagi kesalahan yang sama.

Ketuanya. Nik Nazmi Nik Ahmad merujuk kepada keputusan Setiausaha Kerja PKR Johor, R Yuneswaran yang didenda RM6,000 mengikut Akta Perhimpunan Aman kerana gagal memberi notis 10 hari bagi mengadakan perhimpunan Blackout 505 pada 2013.

Katanya, keputusan itu bercanggah dengan kesnya yang didakwa pada tahun ini kerana melakukan kesalahan yang sama mengikut akta yang sama tetapi mahkamah membebaskannya kerana dakwaan itu melanggar asas Perlembagaan.

“Perubahan ketara ini bagaikan mengisyaratkan satu era di mana hak asasi yang termaktub di dalam Perlembagaan semakin samar akibat penfafsiran yang terhad oleh mahkamah,” katanya menerusi kenyataan media.

Nik Nazmi berkata, sekiranya kes itu dibawa ke peringkat Mahkamah Persekutuan, AMK hanya boleh berharap bahawa Mahkamah Persekutuan akan mengambil langkah yang lebih berani dan adil di dalam mentafsir akta itu.

“Dalam era global dan penuh kebebasan ini, tafsiran undang-undang berkenaan hak asasi dengan cara yang jumud adalah tidak relevan, malah ia bertentangan dengan perkembangan Malaysia sebagai negara yang bebas
dan demokratik,” katanya.

Ridhuan Tee saran MCA letak calon Cina Islam


Ridhuan Tee saran MCA letak calon Cina Islam
MCA tidak boleh mengharapkan untuk dilantik senator untuk menyertai
Kabinet pada masa akan datang sekiranya gagal membuktikan kekuatan parti itu.

MCA disaran melakukan perubahan demi kesinambungan politik Barisan Nasional (BN) ekoran kegagalan parti itu mengekalkan kerusinya di kawasan majoriti Cina selain ahli politik yang terlalu kecinaan.

Pendakwah bebas dan pensyarah, Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah mencadangkan MCA menubuhkan Biro Agama Islam, meletakkan calon Cina Islam di kawasan yang ditandingi majoriti Melayu selain mencadangkan agar Perdana Menteri memilih wakil Cina daripada kalangan ahli perniagaan atau ahli akademik, menggantikan calon MCA yang gagal menunjukkan prestasi mereka.

“Saya fikir, orang Melayu tidak mempunyai masalah untuk memberi sokongan kepada MCA jika MCA tidak terlalu celupar.

“Selama MCA kalah banyak kerusi, kerusi menteri dan timbalan menteri masih diberikan kepada mereka mengikut kuota yang disediakan walaupun sebenarnya MCA tidak layak menduduki kerusi tersebut berdasarkan kepada kerusi yang dimenangi dalam PRU,” tulisnya di akhbar Sinar Harian.

Ridhuan Tee berkata, MCA juga tidak boleh mengharapkan untuk dilantik menjadi senator bagi menduduki kerusi menteri atau timbalan menteri pada masa akan datang sekiranya gagal membuktikan kekuatan parti itu.

Malah, Ridhuan juga percaya cadangannya mengenai penubuhan Biro Agama Islam boleh menjadi jambatan kepada MCA agar bertindak secara berhemah terutama ketika berhadapan dengan orang Melayu.

“Maaf cakap, ramai calon MCA yang BM (Bahasa Malaysia) mereka tunggang-langgang. Apatah lagi untuk memahami selok belok adat dan budaya melayu. Calon sebegini menempah tiket untuk kalah,” katanya.

Najib sangkal tohmahan jumpa PM Israel


Najib sangkal tohmahan jumpa PM Israel
Perdana Menteri menjelaskan beliau hanya bertembung
dengan Netanyahu di sebuah pintu di ibu pejabat PBB

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menafikan dakwaan kononnya mengadakan perjumpaan dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu sewaktu Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York, baru-baru ini.

Beliau teri berkata, beliau sebenarnya telah bertembung dengan pemimpin itu di sebuah pintu di ibu pejabat PBB selepas Netanyahu selesai berucap dan beliau pula selepas itu.

“Bukan saya jumpa ..terserempak dekat pintu masuk ke PBB sebab dia berucap sebelum saya. Lepas tu saya berucap,” beliau berkata demikian bagi menjawab soalan mengenai gambar beliau yang dikatakan bertemu dengan Nethanyahu yang disebarkan di laman sosial.

Najib berkata demikian pada akhir lawatan kerja ke Itali selama tiga hari mulai Jumaat.
Beliau berkata, pada masa itu pemimpin itu sedang menunggu keretanya.

“Jadi dia salam dengan saya, saya salam dengan dialah. Bukan ada apa-apa, bukan pertemuan. Terserempak secara kebetulan sahaja. Ini boleh disahkan oleh Menteri Luar dan wakil duta di Amerika Syarikat dan Wakil Tetap Malaysia di PBB,” katanya.

Najib berkata, jika beliau mengadakan perjumpaan dengan Perdana Menteri Israel itu tentulah ia dalam keadaan yang lebih formal.

Jelasnya, orang ramai dapat membezakan perkara yang benar dan sebaliknya.

“Apa-apa boleh menjadi viral. Apabila anda viral, mereka memberi gambaran salah mengenai kebenaran. Ini adalah bahaya media sosial,” katanya.

Jangan salah Pakatan Harapan, jika parti berpecah – Amanah


Jangan salah Pakatan Harapan, jika parti berpecah – Amanah
Parti Pembangkang tidak seharusnya menunding jari kepada parti
lain sekiranya menghadapi masalah dalaman parti.

Parti pembangkang tidak sepatutnyanya menyalahkan penubuhan Pakatan Harapan sebagai punca pergolakan dan perpecahan di kalangan mereka.

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah),Salahuddin Ayub berkata, sikap menunding jari kepada pihak lain tanpa muhasabah diri, satu perbuatan yang terkebelakang.

Kenyataan itu dikatakan merujuk kepada Pas yang tidak bersama Pakatan Harapan.

Dia meminta supaya parti itu memberi fokus kepada isu yang lebih besar yang berlaku dalam negara, bukannya menyalahkan pihak lain apabila ia berpecah.

“Semua parti-parti pembangkang tidak terkecuali Amanah hendaklah sentiasa melakukan koreksi diri dan fokus kepada agenda besar yang menjadi harapan rakyat sekarang ini.

“Ini adalah keperluan yang mendesak ketika ini daripada sibuk menuding jari kononnya orang lainlah yang membawa angkara perpecahan dan masalah kepada parti sendiri,” katanya dalam kenyatan pada Ahad.

Katanya, pintu rundingan bagi Amanah sentiasa terbuka luas kepada semua parti pembangkang di negara ini bagi membincangkang kepentingan rakyat dan negara.

” Amanah sebagai pemain baharu dipersada politik tanah air akan sentiasa melakukan koreksi diri untuk memperkukuhkan peranan kami dalam Pakatan Harapan.

“Janganlah kita leka menyalahkan orang lain dan tidak mekakukan apa-apa sumbangan untuk sama-sama melaksanakan agenda besar Pakatan Harapan yang menjadi aspirasi rakyat ini,” katanya.

Sebelum ini, Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata, Pas tidak mungkin berkerjasama dengan Amanah yang didakwa giat menarik ahli dan merampas bangunan milik parti itu.

Bacaan IPU di Kalimantan Tengah cecah 2000


Bacaan IPU di Kalimantan Tengah cecah 2000
Ia dijangka akan terus meningkat menjelang petang
selepas melepasi IPU 2000 pada sebelah pagi

Ibu kota Kalimantan Tengah, Palangkaraya, mencatat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tertinggi dengan melebihi 2000.

Menurut laman web Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika, bacaan IPU di kawasan itu meningkat secara mendadak dari bacaan IPU baik kepada 2,000 pada pukul 10 pagi tadi dan bacaan itu terus meningkat sehingga sekarang.

Kualiti udara di Palangkaraya sentiasa berada dalam lingkungan berbahaya sejak beberapa hari lepas.

Palangkaraya mengalami darurat jerebu sejak dua minggu lepas dan keadaan itu telah melumpuhkan semua aktiviti harian masyarakat dan semua sekolah ditutup sejak Isnin lalu.

Jerebu di kawasan itu dikatakan berpunca daripada kebakaran tanah gambut di Kalimantan dan keadaan jerebu menjadi tidak menentu walaupun usaha-usaha untuk memadam kebakaran hutan masih berterusan.

Sementara itu di Jambi, bacaan IPU masih ditahap berbahaya walaupun telah menurun dari 800 pada pagi tadi kepada 400 tengah hari ini.
– Bernama

Tiga lapangan kembali beroperasi seperti biasa


Tiga lapangan kembali beroperasi seperti biasa
Setakat ini jerebu tebal tidak menjejaskan
operasi penerbangan di KLIA dan KLIA2

Tiga lapangan terbang yang ditutup pada pagi tadi ekoran masalah jerebu telah dibuka semula.

Pengesahan itu dibuat Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) dalam laman Twitternya.

Ia membabitkan tiga lapangan terbang iaitu Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) di Ipoh, Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH) di Alor Setar dan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) di Subang.

Kesemuanya telah ditutup ditutup sementara setelah jarak ketampakan rendah akibat jerebu tebal.

Sementara itu, jurucakap MAHB Ahmad Shahreen Ramli berkata operasi di landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) masih berjalan seperti biasa dan tiada sebarang penutupan dibuat.

“Saya menasihatkan para penumpang agar menghubungi syarikat penerbangan masing-masing untuk mendapatkan maklumat jadual penerbangan terkini dari semasa ke semasa,” katanya yang dipetik daripada Bernama.

KPN nafi FBI siasat Najib


KPN nafi FBI siasat Najib
Polis tidak menerima sebarang makluman mengenai perkara berkenaan

Polis menyangkal dakwaan kononnya Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat telah memulakan siasatan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak berhubung skandal 1MDB.

Penafian itu dibuat Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar, yang merujuk kepada sebuah artikel yang disebarkan di media sosial.

“Saya merujuk kepada beberapa artikel yang disebarkan di dalam media sosial yang mendakwa pihak FBI telah memulakan siasatan ke atas 1MDB dan Perdana Menteri.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak pernah menerima sebarang pemakluman berhubung siasatan yang dijalankan oleh pihak FBI.

“Agensi terbabit juga tidak memohon untuk mendapatkan sebarang bentuk bantuan daripada PDRM berhubung perkara yang sama,” katanya dalam kenyataan.

Mengulas lanjut, Khalid turut menasihatkan pihak yang ingin mendapatkan pengesahan berkaitan perkara berkenaan supaya berhubung terus dengan FBI di Washington sebelum menerima berita yang disebarkan di media sosial.

Sekolah ditutup dua hari akibat jerebu


Sekolah ditutup dua hari akibat jerebu
Bagi Kelantan, Sabah dan Sarawak, Kementerian Pendidikan akan pantau situasi
jerebu setiap jam sebelum memutuskan untuk berbuat demikian

Semua sekolah di Semenanjung kecuali Kelantan diarah tutup selama dua hari mulai Isnin.

Pengumumannya dibuat Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid susulan keadaan jerebu yang semakin teruk.

“Jika keadaan jerebu semakin teruk, kami akan ambil langkah sama,” katanya pada sidang media di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Ampang di Jalan Kuala Kedah.

Di kebanyakan kawasan, keadaan jerebu terus merosot di mana sehingga jam 10 pagi tadi, kualiti udara di Shah Alam melepasi bacaan 308.

Lima kawasan lain yang turut merekodkan bacaan sangat tidak sihat adalah Batu Muda (271), Petaling Jaya (256), Banting (249), Port Klang (243) dan Putrajaya (235).

Kawasan yang mencatatkan bacaan IPU tidak sihat pula adalah Seremban (200), Cheras (184), Kuala Selangor (171), SK Jalan Pegoh, Ipoh (175) dan Seberang Jaya 2 (166).

Zahid kritik cara Indonesia tangani jerebu


Zahid kritik cara Indonesia tangani jerebu
Tempoh tiga tahun yang dijanjikan Presiden Jokowi untuk atasinya terlalu lama

Malaysia menyambut baik usaha Presiden Indonesia, Jokowi Widodo untuk lakukan penguatkuasaan dan transformasi ke atas isu jerebu yang akan dibuat dalam tempoh tiga tahun.

Bagaimanapun Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan ia memakan masa yang terlalu lama.

“Malaysia mengalu-alukan langkah ini namun tiga tahun mungkin terlalu lama kerana setiap kali pembakaran terbuka dilakukan oleh pekebun-pekebun di negara berkenaan seolah-seolah tidak melakukan apa2 usaha untuk mendapatkan kerjasama daripada negara berkenaan,” katanya.

Mengulas mengenai langkah untuk menangani isu yang semakin rumit itu, beliau berkata, kerajaan bersedia untuk menggunakan teknologi negara jiran bagi menangani masalah jerebu di negara ini.

Katanya, Malaysia perlu terbuka menerima ‘advance composite technology’ yang mampu mengukur kadar dan juga habuk halus dalam jerebu.

“Saya fikir boleh gunakan peralatan yang terkini negara jiran.

“Kita boleh guna piawaian yang ada pada negara jiran untuk jadikan panduan dan saya tidak fikir kita punyai ukuran yang berbeza kerana hanya dipisahkan sempadan sebuah selat.

“Maka tidak salah dan jangan ego kalau kita gunakan teknologi orang lain untuk kebaikan rakyat kita,” katanya semasa sidang media selepas merasmikan program U-Turn di TV Al-Hijrah pada Ahad.

Tiga lapangan terbang ditutup akibat jerebu


Tiga lapangan terbang ditutup akibat jerebu
hah Alam mencatat bacaan jerebu tertinggi sehingga
 jam 10 pagi tadi dengan bacaan IPU 308.

Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang, Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim di Alor Setar dan Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah di Ipoh terpaksa ditutup akibat jerebu.

Ia susulan kemerosotan kadar penampakan di kawasan berkenaan.

Sementara itu, keadaan jerebu di Shah Alam bertambah buruk, di mana sehingga jam 10 pagi tadi ia mencatat bacaan IPU mencecah 308.

Menurut laman web Jabatan Alam Sekitar, lima kawasan lain yang turut merekodkan bacaan sangat tidak sihat adalah Batu Muda (271), Petaling Jaya (256), Banting (249), Port Klang (243) dan Putrajaya (235).

Kawasan yang mencatatkan bacaan IPU tidak sihat pula adalah Seremban (200), Cheras (184), Kuala Selangor (171), SK Jalan Pegoh, Ipoh (175) dan Seberang Jaya 2 (166).

Dulu masalah UMNO, sekarang masalah negara-Shahbuddin


Dulu masalah UMNO, sekarang masalah negara-Shahbuddin
Berikutan keengganan Najib meletak jawatan sebagai Perdana Menteri,
Dr Mahathir meminta penduduk Pekan supaya menolaknya pada PRU kali ini

Lebih banyak kempen bergerak menjatuhkan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dijangka akan diadakan selepas kejayaan majlis majlis minum petang anjuran UMNO Cawangan Pusat Bandar Taman Cempaka pada Sabtu.

Meskipun menggunakan istilah datang untuk menghasut, penjelasan panjang lebar dengan lojik yang diberikan Tun Dr Mahathir Mohamad membangkitkan sentimen terhadap senario terhadap senario kepimpinan negara.

“Selepas mendengar ucapan dan penerangan Tun Mahathir, khususnya berkaitan 1MDB, wang RM2,600 juta dan keyakinan nilai ringgit serta pasaran saham boleh dipulihkan selepas pengunduran Najib, rata-rata yakin apa yang berlaku sekarang bukan lagi masalah UMNO, tetapi sudah menjadi masalah kepada negara,” tulis Shahbudin Husin di shahbudindotcom.

Meskipun dikenakan bayaran RM80 oleh penganjur, majlis yang diadakan telah mendapat sambutan hangat, apatah lagi kali ini Dr Mahathir berkongsi strategi untuk menjatuhkan Perdana Menteri.
Selain pelbagai tekanan yang telah diberikan, kali ini beliau meminta penduduk Pekan supaya tidak mengundi Najib.

Kata Tun Dr Mahathir, perkara itu tidak mustahil kerana pada Pilihan Raya Umum (PRU) 1999, Najib menang dengan 241 undi sahaja.

Cara itu dibuat selepas Najib tetap berkeras enggan melepaskan jawatan kerana bimbang dan takut dengan kesilapan yang dilakukan.

“Menurut Tun Mahathir, Najib dianggap zalim kerana memecat, menakutkan serta menukar orang-orang tertentu yang sedang menjalankan tugas menyiasat dirinya.

“Katanya, Najib bukan tidak mahu berundur tetapi takut untuk berundur berikutan bimbang ditangkap jika tiada lagi kuasa dalam tangannya,” kata bekas Naib Ketua Pemuda UMNO Wangsa Maju itu.

MCA minta UMNO henti pertahan Tajuddin


MCA minta UMNO henti pertahan Tajuddin
Ia turut membantah kenyataan Ku Nan yang memintanya berhenti mengkritik
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani

MCA meminta UMNO berhenti mempertahankan Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Ramli selepas beliau dikatakan mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman ke atas orang Cina.

Pada masa yang sama ia juga membantah kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Adnan Tengku Mansor yang meminta MCA berhenti mengkritik Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu.

Ketua Biro Publisiti MCA, Datuk Chai Kim Sen berkata, kenyataan Tajuddin telah menyinggung komuniti China dan menggugat keharmonian di kalangan pelbagai kaum di negara ini.

“MCA telah memaklumkan pendirian kami dengan jelas dan ancaman Tajuddin itu akan disampaikan menerusi saluran Barisan Nasional, katanya yang dipetik Mstar Online.

Pada Khamis, Tajuddin dilaporkan berkata beliau akan lempang warga Malaysia berbangsa Cina yang mendapatkan perlindungan daripada China.

Walaupun Tajuddin kemudiannya menafikan berkata sedemikian, tetapi rakaman mengenainya disebar.

Kartel Azmin rancang gulingkan Wan Azizah


Kartel Azmin rancang gulingkan Wan Azizah
MPP memaksa satu mesyuarat khas bagi menarik semula penglibatan PKR
dalam Pakatan Harapan dan ia jelas usaha undi tidak
percaya terhadap Wan Azizah oleh kartel Azmin.

Kumpulan penyokong Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali atau kartel Azmin dikatakan akan melakukan rampasan kuasa terhadap Presiden parti, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.

Rampasan kuasa atau coup de’etat itu dipercayai akan dilakukan menerusi petisyen untuk memaksa satu Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) khas bagi menarik semula penglibatan PKR dalam Pakatan Harapan.

Petisyen tu ditandatangani oleh 25 Ahli MPP yang sebahagian besarnya penyokong Azmin.
Pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) yang juga Ahli PKR, Badrul Hisham Shaharin mendakwa, rancangan penyokong Azmin itu jelas untuk menggulingkan Wan Azizah.

“Ini ialah coup de’etat dan usaha undi tidak percaya yang dipelopori kartel Azmin ke atas Wan Azizah ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim terpenjara.

“Bayangkan nanti MPP akan mengambil keputusan ‘u-turn’ dalam usaha Pakatan Rakyat, di mana Wan Azizah hendak letak muka? Dia yang panggil sidang meja bulat, dia yang umum, alih- alih PKR sendiri tidak restui Pakatan Harapan? Maka ini jelas satu usaha undi tidak percaya kartel Azmin ke atas Wan Azizah,” tulisnya di laman blog.

Badrul Hisham atau Chegubard mendakwa, kartel Azmin kini sedang bersatu dengan kumpulan – kumpulan kecil yang kecewa dengan keangkuhan Rafizi Ramli yang menjadikan Wan Azizah sebagai perisai.

“Kepada MPP dan Pengerusi Perhubungan PKR negeri yang bakal mengundi, saya cadangkan kekalkan keputusan kewujudan dan penglibatan PKR dalam Pakatan Harapan. Jangan kecewakan rakyat serta malukan parti dan Presiden sendiri. Yang selebihnya bincangkan dengan baik.

“Kepada Wan Azizah belajarlah kesilapan Anwar iaitu kamu ada banyak panglima setia tapi kamu sendiri singkirkan mereka kerana tenggelam dalam fatamorgana puji dan puja.

“Kem Najib (Datuk Seri Najib Tun Razak sudah tentu tertawa kerana kita ternanti undi tidak percaya UMNO terhadap Najib yang tidak wujud pun tetapi kini kita sendiri berdepan dalam situasi lebih kritikal.

“Kepada ahli bawahan sila hubungi MPP yang kamu undi beritahu mereka sila waras,” katanya.
Ahli PKR seumur hidup itu juga mendakwa, Azmin dan Ahli Parlimen Teluk Kemang, Datuk Kamarul Bahrin Abbas antara Ahli Parlimen yang masih tidak menyerahkan tandatangan komitmen kepada Ketua Whip Ahli Parlimen PKR bagi mengikat mereka untuk misi undi tidak percaya terhadap Najib.

“… berapa banyak kolam lah Azmin ni main yer…,” katanya.

Chegubard juga membangkitkan kesetiaan Azmin kepada PKR kerana ramai yang mengatakan Anwar sayang Azmin kerana dia seorang yang setia.

Namun, katanya, tentu ramai yang masih ingat bagaimana Azmin mengerakkan jentera budak – budak mudanya menyerang keluarga Anwar selepas Pilihan Raya Umum ke-13 kerana Anwar tidak tunaikan kehendaknya menjadi Menteri Besar Selangor.

“Anwar diserang tanpa henti. Istilah Istana Segambut dan perbagai konotasi negatif yang digunakan UMNO kini adalah hasil ciptaan budak – budak Azmin.

“Azmin menggerakkan jentera mensabotaj gerakan Blackout 505. Azmin ahli politik cekap dia gerakkan jentera sabotaj Blackout 505 tetapi dia sendiri hadir dan duduk bersila paling depan. Dia keluar TV3 serang Presiden namun semua tidak dikenakan tindakan.

“Menyebut peristiwa 505 ramai tentu tidak tahu ketika malam keputusan pilihanraya Azmin paling lewat hadir ke lokasi pengumpulan tokoh PKR (dan PR) . Rekod menyatakan dia menghadap ‘God Father’ dahulu.

“Dalam isu lobi diri sendiri guna pintu belakang untuk jadi MB secara jelas dia menggunakan ‘network’ God Father untuk memalukan Azizah. Namun semuanya tidak dikenakan tindakan,” katanya.

Berani ke Tajuddin lempang Cina?-Tun M


Berani ke Tajuddin lempang Cina?-Tun M
Dr Mahathir menyifatkan Tajuddin hanya
tahu cakap tetapi tidak berani bertindak.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dikatakan berani membuat kenyataan kontroversi ingin lempang orang Cina hanya kerana beliau ada jawatan dalam kerajaan.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan Ahli Parlimen Pasir Salak itu hanya tahu cakap.

“Dia nak lempang? Suruh dia lempanglah. Cakap bolehlah.

“Bila duduk ada kerajaan di belakang memanglah berani, tapi bila keluar tak berani,” katanya dalam nada sinis.

Dr Mahathir berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Tajuddin yang mahu melempang rakyat Cina di negara ini sekiranya terus mengadu masalah kepada pihak luar.

Ia merujuk kepada lawatan Duta Besar China ke Malaysia, Huang Hui Kang melawat Jalan Petaling pada 25 September lalu, susulan ancaman bantahan kumpulan Baju Merah ke kawasan berkenaan.

Huang didakwa menimbulkan kontroversi dengan mengeluarkan kenyataan bahawa negara China menentang sebarang bentuk ekstremisme dan rasis terhadap kaum tertentu.

Tun M minta pengundi Parlimen Pekan pulau Najib


Tun M minta pengundi Parlimen Pekan pulau Najib
Hanya dengan cara itu dapat menyingkirkan
Najib daripada jawatan yang disandang.

Pengundi Pekan diminta supaya menghentikan sokongan kepada Ahli Parlimennya, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak bagi memastikan beliau tidak lagi menjadi Perdana Menteri.

Saranan itu dibuat Tun Dr Mahathir Mohamad dalam usaha menyingkirkan Najib daripada jawatan yang disandangnya.

“Kalau dia (Najib) tak mahu undur, jangan undi di Pekan. Tetapi dalam pada masa sama jangan bagi UMNO kalah.

“Kalau orang Melayu bijak, dia akan pastikan Pekan kalah. Boleh atau tidak kita berpakat, tentukan orang Pekan. Orang ini (Najib) pencuri, bagi dia kalah tapi bagi UMNO menang,” katanya.

Menggulas mengenai keengganan Najib, beliau berkata ia didorong ketakutan dan bimbang akan disoal siasat berhubung wang derma RM 2.6 billion dan juga masalah 1MDB.

“Dia tak berani undur, sebab dia takut undur. Kalau siasatan dibuat terhadap beliau, Najib akan dipenjara,” katanya dalam sesi soal.jawab di Majlis Hi-Tea Bicara Politik bersama Tun Dr Mahathir Mohamad di Hotel De Palma Ampang pada Sabtu.

Rezeki bukan ahli politik yang beri-Sanusi


Rezeki bukan ahli politik yang beri-Sanusi
Kebergantungan kepada manusia menyebabkan
orang Melayu menjadi bangsa yang bangsat.

Rakyat mempunyai iktikad yang salah apabila beranggapan rezeki datangnya daripada ahli politik, bukannya Allah.

Teguran itu dibuat bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Sanusi Junid ekoran persepsi pihak tertentu yang terlalu bergantung kepada ahli politik termasuk untuk mengubah nasib mereka.

Tegasnya, perbuatan itu bercanggah dengan ajaran Islam kerana menganggap orang lain sebagai pembuka pintu rezeki sedangkan ia hak Allah.

“Hanya orang politik sahaja yang mampu menafikan hadis Nabi. Sepatutnya, sembilan dari sepuluh rezeki datangnya dari sumber perniagaan.

“Tetapi, orang politik kata, sembilan dari sepuluh pintu rezeki adalah dari pintu politik,” katanya sewaktu berucap di Majlis hi-Tea bicara politik bersama Tun Dr Mahathir Mohamad Kembalikan Maruah Perjuangan Bangsa di De Palma Hotel, Ampang.

Ulasnya lagi, kebergantungan kepada manusia menyebabkan orang Melayu menjadi bangsa yang bangsat.

“Selagi kita tidak betulkan keadaan ini selagi itu kita jadi bangsa yang bangsat dan akan kalah dalam PRU nanti,” ujarnya.

Proton sasar penarafan Euro 5


Proton sasar penarafan Euro 5
Penarafan itu akan memberi kesan kepada harga kereta
Proton tetapi ia menawarkan prestasi yang lebih baik.

Semua kereta keluaran Proton akan menepati penarafan Euro 5 walaupun ia mungkin mengambil masa.

Pengerusinya Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, sejajar dengan piawaian itu, ia akan turut memberi kesan kepada kereta keluaran nasional, di mana harganya akan meningkat.

Beliau yakin, pengguna akan merasa berbaloi dengan prestasi kereta yang diberikan.

“Kita masih belum mencapai piawaian Euro 5 lagi. Kita tidak dapat kerana ia membabitkan kos yang tinggi. Itu masalahnya. Orang masih fikir kereta mempunyai teknologi rendah dan murah, sekarang tidak lagi benar,” katanya yang dipetik daripada portal automatif paultan.org.

Katanya pada masa sekarang kereta yang ditawarkan tidak begitu bersedia untuk dijual dengan mahal meskipun mempunyai teknologi yang kehadapan.

Iriz EV katanya boleh pergi lebih 300 kilometer dengan sekali caj yang mana lebih tinggi berbanding kenderaan yang berada dalam kelasnya.

Sementara itu, dalam Karnival Alami Proton yang berlangsung di Shah Alam, pengeluar kereta nasional itu buat pertama kalinya mempamerkan konsep trak pikapnya.

Liong Sik minta Najib berundur


Liong Sik minta Najib berundur
Beliau turut memaklumkan turut serta
dalam bantahan Bersih di Perth Australia.

Bekas Presiden MCA, Tun Dr Ling Liong Sik secara terbuka menggesa Datuk Seri Najib Tun Razak meletak jawatan.

Kenyataan itu dibuatnya ketika ditanya pandangannya mengenai desakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad supaya Najib berundur.

“Saya bersetuju”, katanya yang dipetik dari portal Mstar Online.

Tanpa berselindung beliau yang ditemui selepas menghadiri Festival Minda Malaysia di Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman, di Setapak memaklumkan turut menyertai demonstrasi di Perth, Australia.

“Saya pergi ke demonstrasi Bersih di Perth. Matlamat saya adalah untuk menggesa supaya undi tidak percaya dibuat terhadap Najib,” katanya.

Kerajaan bersedia hadapi peningkatan penyakit akibat jerebu


Kerajaan bersedia hadapi peningkatan penyakit akibat jerebu
Kementerian Kesihatan memaklumkan persediaan dari segi ubat-ubatan
dan topeng muka percuma serta perkhidmatan
di hospital dan klinik di seluruh negara mencukupi.

Kementerian Kesihatan telah membuat persiapan mencukupi bagi menghadapi sebarang peningkatan kes penyakit akibat jerebu yang dijangka berterusan dalam tempoh sebulan lagi.

Timbalan Menterinya Datuk Seri Dr Hilmi Yahya berkata persediaan dari segi ubat-ubatan dan topeng muka percuma serta perkhidmatan di hospital dan klinik di seluruh negara adalah mencukupi.

“Tidak perlu bimbang. Setakat ini juga tidak terdapat peningkatan membimbangkan penyakit berkaitan jerebu daripada pemantauan yang kita lakukan di hospital dan klinik di seluruh negara,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Minggu Kesedaran Pendermaan Organ 2015.

Sebelum ini, Ketua Agensi Pengurusan Bencara Negara (BPNP) Indonesia, Willem Rampangile dilaporkan sebagai berkata masalah jerebu yang berpunca daripada kebakaran ladang dan hutan di Indonesia, dijangka berakhir dalam tempoh sebulan lagi apabila negara jiran itu mula mengalami musim hujan.

Willem dipetik sebagai berkata dengan peralihan cuaca itu, ia sekali gusmemadamkan api dalam tanah gambut dan menghilangkan jerebu yang turut melanda Malaysia dan Singapura sejak dua bulan lepas.

-BERNAMA

Lima lelaki ditahan kerana belasah anggota imigresen


Lima lelaki ditahan kerana belasah anggota imigresen
Polis pandang serius perbuatan membelasah
anggota penguatkuasa yang menjalankan tugas.

Lima ditahan berhubung kes menyerang dan membelasah 19 anggota dan pegawai imigresen di sebuah premis hiburan di Melaka sebelum ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, pihaknya memandang serius perbuatan segelintir pihak yang menghalang dan melakukan kekerasan ke atas pasukan penguat kuasa ketika menjalankan tugas.

“(Menyerang) ini satu tindakan yang amat tidak boleh diterima. Setakat ini polis telah membuat lima tangkapan berhubung kes tersebut,” katanya yang dipetik dari Utusan Online.

Abu Bakar berkata demikian ketika mengulas perbuatan 40 samseng membelasah penguat kuasa imigresen ketika membuat pemeriksaan menerusi Ops Ingkar/Sayang di sebuah premis hiburan di Taman Melaka Raya kelmarin.

Kejadian pada pukul 12 tengah malam itu dikatakan berlaku apabila kumpulan suspek tersebut tidak berpuas hati premis berkenaan diperiksa.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Rujukan