Cari Artikel

Saturday, October 3, 2015

Rakam visual pemandu mengantuk sehingga nahas


Rakam visual pemandu mengantuk sehingga nahas
Visual yang dimuat naik di Facebook mengundang kritikan orang ramai
kerana pengguna berkenaan dikatakan tidak melakukan apa-apa
untuk menyedarkan pemandu kereta di depannya.

Perbuatan seorang pengguna jalan raya merakam aksi pemandu yang didakwanya mengantuk mendapat kritikan.

Dia dikatakan tidak bertindak untuk menyedarkan pemandu kereta Kancil walaupun menyedari sesuatu yang tidak kena di hadapannya.

Sebaliknya, terus merakam kenderaan yang berada di hadapannya.

Tanpa berbuat apa-apa untuk menyedarkan pemandu yang sedang leka, si perakam meneruskan tugasnya sehingga kereta berkenaan bertembung dengan sebuah lori.

Visualnya kemudian dimuat naik di Facebook.

Rata-rata memberi komen menyelar perbuatan itu.

“Yg blakang rilek rakam video masuk fb… hon xde ape xde last2 bunyi ‘Nasib Baik’… “Dah agk” tp xde tindakan hanya melihat… sepatutnya bila dia dh ketengah tu cuba la bg isyarat hon @ apa2 yg boleh menyedarkan dia… Allahualam..,” tulis Fatar Zamani.



Kalau dah mengantuk, jangan paksa diri bawak kereta. berhenti tepi jalan/rehat. jadikan video ini satu iktibar.
Posted by Friends Of PDRM on Friday, October 2, 2015

PBNJ hanya ambil langkah keselamatan-Ismail


PBNJ hanya ambil langkah keselamatan-Ismail
Bukan sahaja pasukan Johor malah, penyokong Selangor dan Sarawak
 pernah berdepan dengan ancaman ketika bertandang ke Ipoh.

Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) mempertahankan tindakannya membuat persiapan termasuk memasang jaring keselamatan pada bas yang membawa pemainnya ke Ipoh, Perak.

Dalam kenyataannya, Presiden PBNJ, Datuk Ismail Karim menegaskan ia bagi mengelak sebarang kejadian buruk daripada berulang.

“Sejak 2013 di Lumut, pihak PBNJ dan penyokong telah menghadapi pelbagai masalah di Perak. Bas kami tidak pernah balik dari Perak tanpa insiden cermin pecah dibaling objek dan sebagainya.

“Penyokong kami pula dikepung, dan macam-macam lagi masalah lain. Kejadian ini bukan sahaja dialami penyokong Johor, malah pernah juga dilalui oleh penyokong-penyokong Selangor dan Sarawak,” petik kenyataannya yang dimuat naik di laman Facebook Johor Southern Tigers.

Ismail menegaskan, tindakan itu dibuat atas faktor keselamatan dan bukannya provokasi.

“Tindakan yang kami ambil adalah atas faktor keselamatan dan bukannya provokasi. Jadi, cukup-cukuplah cuba mencari salah kami.

“Johor adalah negeri peneraju dari dahulu hinggalah ke hari ini. Kami di PBNJ hanya mahu bersaing dan bermain bolasepak,” katanya bagi mengulas laporan tajuk muka depan akhbar The Star hari ini, “Steeling for Trouble”.

Pasukan JDT dijadual akan bertemu dengan Perak di Ipoh malam esok dalam pertandingan Piala Malaysia.

Sebelum ini, pertemuan pasukan berkenaan di Johor Bahru dicemari keganasan.

Guan Eng dakwa status Twitter palsu


Guan Eng dakwa status Twitter palsu
Desak SKMM ambil tindakan tegas kerana ia menyentuh sensitiviti agama dan kaum.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menjelaskan status yang menggunakan namanya berhubung pengharaman penggunaan pembesar suara di masjid dan surau adalah palsu.

Tegasnya, dia tidak pernah mencampuri hal ehwal Islam di negeri itu.

“Saya tidak tweet kenyataan ini. Fitnah dan tuduhan dengan niat jahat terhadap saya telah disebarkan.

“Pada suatu hari mereka kata saya makan daging anjing, kini mereka kata saya mengeluarkan kenyataan pengharaman pembesar suara di masjid dan surau pula,” katanya yang dipetik daripada Mstar Online.

Sebelum ini, Tweet berkaitan larangan penggunaan pembesar suara di masjid dan surau di Pulau Pinang dikatakan dibuat Guan Eng.

Ia kemudian muncul dalam bentuk paparan skrin dan menjadi viral di Facebook dan Twitter.

Berikutan fitnah terbaru itu, Setiausaha Agung DAP itu meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multi Media (SKMM) mengambil tindakan tegas.

“Saya harap polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia akan menyiasat dan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang bertanggungjawab terhadap perbuatan itu,” petik katanya dari portal itu.

MH17: Lima negara bincang tubuh tribunal


MH17: Lima negara bincang tubuh tribunal
Ia bagi mengadili pihak yang bertanggungjawab menembak
jatuh Penerbangan MH17 di timur Ukraine tahun lepas.

Malaysia mungkin menandatangani satu perjanjian dengan empat negara yang lain untuk menubuhkan sebuah tribunal bebas bagi mengadili orang yang bertanggungjawab menembak jatuh Penerbangan MH17 di timur Ukraine tahun lepas.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata satu mesyuarat diadakan dalam kalangan pemimpin lima negara berkenaan di luar Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) bagi meneruskan perkara itu selepas Russia menggunakan kuasa veto membantah resolusi Majlis Keselamatan PBB (UNSC) untuk menubuhkan sebuah tribunal.

“Saya telah berjumpa Perdana Menteri Belanda bersama Presiden Ukraine, Perdana Menteri Belgium dan Timbalan Perdana Menteri Australia.

“Kita telah bincang langkah-langkah alternatif kerana kita telah berjanji kepada dunia, khususnya kepada keluarga mangsa bahawa kita akan mendapatkan keadilan,” kata Perdana Menteri pada sidang media pada penghujung lawatan kerjanya di New York.

Najib dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor kemudiannya ke Milan untuk meneruskan lawatan kerja di Itali.

Menurut Najib, meskipun usul mewujudkan tribunal di bawah Pertubuhan Bangsa Bersatu telah gagal kerana veto oleh Russia, Malaysia tetap menganggapnya sebagai kemenangan moral kerana majoriti anggota Majlis Keselamatan PBB menyokong usul itu.

Hanya tiga berkecuali dan satu anggota menggunakan kuasa veto. Majlis Keselamatan PBB terdiri daripada China, Perancis, Russia, United Kingdom dan Amerika Syarikat, sebagai anggota tetap dan 10 anggota tidak tetap bagi tempoh dua tahun.

Malaysia menjadi anggota tidak tetap sehingga tahun 2016. “Ada dua kemungkinan. Satu melalui sistem mahkamah nasional.

Satu lagi ialah dengan mengadakan perjanjian dalam kalangan lima negara bagi mewujudkan mahkamah kita sendiri yang bertanggungjawab mengenai perkara ini.

“Semua lima negara sebulat suara supaya kita meneruskan perkara itu dan membawa mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan atas jenayah mereka yang keterlaluan ke atas mangsa MH17.

Kita juga sedang menunggu laporan teknikal yang akan dikeluarkan pada 13 Oktober ini,” katanya.

Perdana Menteri berkata, walaupun usaha mewujudkan tribunal di bawah PBB terhalang kerana kuasa veto, namun ia tidak bermakna hasrat untuk mendapatkan keadilan akan turut tersekat.

Ditanya mengenai pertemuan beliau dengan para pelabur dan ahli perniagaan Amerika Syarikat,
Najib berkata mereka tetap yakin dengan iklim pelaburan di Malaysia walaupun wujud gambaran negatif digembar-gemburkan di dalam blog dan akhbar tertentu baru-baru ini.

Perdana Menteri berkata, lebih banyak usaha mendekati pelabur perlu diadakan bagi memberi gambaran sebenar terhadap potensi sebenar yang wujud di Malaysia.

“Mereka menyedari kestabilan di Malaysia dan pasti tentang dasar kita. Mereka juga gembira dengan kenyataan bahawa kita adalah kerajaan yang mesra perniagaan,” katanya.

Mengenai Perkongsian Trans-Pasifik (TPP), Najib berkata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, sedang berada di Atlanta untuk rundingan terakhir bagi memuktamadkan perjanjian itu.

Katanya, selepas diteliti oleh Kabinet, rangka perjanjian tersebut akan dibawa ke Parlimen untuk mendapat kelulusan. Tambahnya secara umum, pihak Amerika syarikat menerima hakikat kepentingan agenda Bumiputera serta hak-hak lain yang dipertahankan oleh Malaysia.

– BERNAMA

Ringgit dijangka cecah RM4.50 berbanding AS$ minggu depan


Ringgit dijangka cecah RM4.50 berbanding AS$ minggu depan
Penganalisis berpandangan jika tiada tekanan susulan daripada
harga komoditi, ia akan memberi kesan positif kepada Ringgit.

Ringgit dijangka diniagakan pada kadar 4.40 hingga 4.50 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu depan berikutan prestasi dagangan yang positif sejajar harga komoditi yang lebih stabil.

Ketua Penyelidik Inter-Pacific Research Sdn Bhd, Pong Teng Siew, berkata tekanan akibat kelemahan harga komoditi dijangka reda pada bulan-bulan akan datang seperti dipaparkan menerusi kestabilan harga minyak mentah.

“Harga minyak mentah kini lebih stabil berbanding sebelumnya iaitu berlegar antara AS$45 dan AS$47 setong. Jika tiada tekanan susulan daripada harga komoditi, ia akan memberi kesan positif kepada Ringgit,” katanya.

Dia berkata, peniaga turut memberi tumpuan kepada pengumuman data pekerjaan AS yang akan memberi petunjuk sama ada pihak Rizab Persekutuan (FED) akan menaikkan kadar faedah menjelang akhir tahun ini.

Namun, Pong sebaliknya berpendapat data pekerjaan itu hanya memberi impak kecil terhadap keputusan FED untuk menaikkan kadar faedah berkenaan.

“Pihak FED jelas sekali tidak akan menaikkan kadar faedah. Kegagalan data pekerjaan itu untuk melepasi paras 200,000 peluang pekerjaan baharu secara konsisten akan menjadi asas bagi pihak FED untuk tidak menaikkan kadar faedah,” katanya.

Bagi minggu yang baharu berakhir, ringgit susut kepada 4.4100/4180 daripada 4.3800/9000 berbanding dolar pada Jumaat berikutan kebimbangan mengenai pertumbuhan ekonomi global serta kelembapan ekonomi China.

Unit tempatan itu turut mencecah paras 4.4770 berbanding dolar pada Selasa lepas, iaitu terendah sejak Januari 1998 ketika krisis kewangan Asia, sebelum naik kepada 4.4540.

Ia turut rendah berbanding kebanyakan mata wang utama lain. Ringgit bagaimanapun naik berbanding dolar Singapura kepada 3.0747/0811 daripada 3.0758/0835 Jumaat lepas, tetapi susut berbanding yen kepada 3.6704/6783 daripada 3.6180/6269 minggu depan.

Ia rendah berbanding Pound Sterling pada 6.6834/6977 daripada 6.6699/6868 minggu lepas dan susut berbanding euro kepada 4.9224/9323 daripada 4.8784/8900 pada Jumaat lepas.

-BERNAMA

Ahli MPP PKR ragui Pakatan Harapan


Ahli MPP PKR ragui Pakatan Harapan
Mereka menyifatkan penubuhan Pakatan Harapan tergesa dan
sepatutnya lebih banyak rundingan diadakan dengan pihak lain

22 Ahli Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat PKR menandatangan petisyen supaya mesyuarat tergempar diadakan susulan penubuhan Pakatan Harapan selepas sesi sidang meja bulat, 21 September lalu.

Mereka menyifatkan keputusan yang dibuat itu sebagai tergesa-gesa.

Dalam kenyataannya, ia menjelaskan supaya tiada pengumuman dibuat pada hari berkenaan, sebaliknya membuka rundingan yang selanjutnya.

Katanya, keputusan itu sejajar dengan keputusan yang dibuat MPP pada 20 September, di mana ia memutuskan untuk meneruskan perundingan dengan mana-mana pihak ke arah penubuhan pakatan baharu.

“Di sidang Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP), pada Ahad 20 September 2015, MPP telah bersetuju dan menyokong usaha gigih Presiden meneruskan perundingan dengan semua pihak ke arah penubuhan pakatan baharu termasuk mempelopori persidangan meja bulat tersebut,” petik kenyataan itu.

Berikut penandatangan Petisyen MPP Khas berkenaan:

1. Tian Chua
2. Prof Dr. Shaharuddin
3. Zuraida Kamaruddin
4. Elizabeth Wong
5. Latheefa Koya
6. Hee Loy Sian
7. Shuhaimi Shafiei
8. Azmizam
9. Haniza Mohd Talha
10. Yunus Jamaari
11. Yaakob Sapari
12. Siti Aishah
13. S. Manikavasagam
14. Zakaria Abdul Hamid
15. Roland Chia
16. Khalid Jaafar
17. Afif Bahardin
18. Mansor Othman
19. Ab Aziz Ab Kadir
20. Dr Md Nur Manuty
21. Hasan Karim
22. Mohammad Faisol Rahman
23. Tengku Maraziyah
24. N. Surendran
25. Amirudin Shari

Shahbudin padam entri anak Zahid kahwin


Shahbudin padam entri anak Zahid kahwin
Ia dibuat selepas menerima pandangan
dan nasihat yang dibuat oleh SKMM.

Penulis Shahbudin Husin memadam entri di shahbudindotcom bertarikh 20 September 2015 selepas dinasihat berbuat demikian oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia atau SKMM.

Ia berhubung artikelnya “Kenapa lawatan rasmi Zahid ke Indonesia sama tarikh dengan majlis sanding anaknya di Jakarta?

Mengulas mengenainya, Shahbudin berkata ia tidak mematahkan semangatnya untuk terus menulis berdasarkan gerak hatinya dan dirasakan betul.

“Maka, sebagai warganegara Malaysia yang baik hati, saya dengan ini telah pun memadam atau mengeluarkan artikel bertarikh 20 September 2015 itu daripada blog saya iaitu shahbudindotcom dengan serta merta sebagai menghormati saranan SKMM itu.

“Saya menerima seadanya saranan tersebut dan terima kasih kepada pembaca dan penjenguk blog ini yang banyak menyokong dan memberi kata-kata semangat kepada saya.,”tulisnya di blog berkenaan.

Pemadaman itu dibuat susulan kenyataan rasmi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada 1 Oktober tahun lalu.

Pada entri yang dikemas kini pada 3 Oktober, Shahbudin turut berkongsi kandungan email yang diterimanya daripada SKMM berdasarkan kenyataan Zahid:-

a) menegaskan beliau tidak membelanjakan apa-apa wang atau mengeluarkan dana awam bagi resepsi perkahwinan anak lelakinya di Indonesia, dan

b) majlis resepsi yang dimaksudkan adalah dianjurkan oleh besan beliau, sebaik mengetahui beliau akan melakukan lawatan rasmi ke negara Indonesia daripada 18 hingga 21 September 2015.

Jadi ke ‘Love Buble Run’ ?


Jadi ke ‘Love Buble Run’ ?
Ismaweb mendakwa satu lagi acara akan diadakan
di Pulau Pinang selepas Parti Bikini dibatalkan

‘Love Buble Run’ dijangka akan diadakan di Pulau Pinang pada 11 Oktober ini.

Bagi mengukuhkan dakwaan itu, portal berita ismaweb.net turut memuat naik gambar poster acara yang bakal diadakan itu.

Ia melaporkan pesta berkenaan akan diadakan diadakan di Padang Polo, Penang yang merupakan tempat riadah secara terbuka untuk orang awam dari jam 7 pagi hingga 10 pagi.

Setiap peserta dikenakan bayaran sebanyak RM50.00.

Berkonsepkan sukan santai, ‘Love Bubble Run’ ini merupakan larian buih yang diadakan secara larian atau maraton yang memerlukan pesertanya berlari sejauh enam kilometer.

Sebelum ini, heboh mengenai kain rentang ‘Parti Bikini’ yang mahu diadakan oleh salah sebuah kelab malam di Pulau Pinang dipasang di tempat awam.

Bagaimanapun ia sudah dibatalkan setelah mendapat bantahan orang ramai.

Sanggup sumbat ibu dalam bonet


Sanggup sumbat ibu dalam bonet
Polis yang membuat pemeriksaan terkejut apabila mendapati
ibu malang itu ditempatkan di dalam bonet kereta

Seorang anak bertindak biadap apabila sanggup membiarkan ibunya duduk di dalam bonet kereta.

Lelaki itu berkelakuan demikian terhadap ibu kandungnya yang berusia dalamm lingkungan 60 tahun semata-mata kerana mahu memberi keselesaan kepada anak lelakinya yang duduk di kerusi penumpang bahagian belakang.

Kejadian berlaku di China baru-baru ini.

Memetik laporan sebuah portal berita antarabangsa Shangaiist, tindakan lelaki terbabit yang dikenali sebagai Liu telah mengundang kemarahan pengguna media sosial yang rata-rata menyifatkan ia sebagai perbuatan tidak berperikemanusiaan.

Menurut laporan itu, Liu memandu keretanya dari Jiangxi ke Wilayah Hubei, di China bersama keluarganya sebelum ditahan polis dalam sekatan jalan raya.

Pemeriksaan lanjut mendapati mendapati ibu malang itu disumbat ke dalam bonet kereta, sementara isteri Liu duduk di tempat duduk penumpang dan anaknya berada dalam keadaan terlentang di tempat duduk belakang.

Ketika disoal oleh polis, Liu memberitahu bahawa dia meminta ibunya untuk duduk dalam bonet supaya anaknya boleh berehat dengan selesa.

Susulan itu, polis berkenaan telah mengarahkan warga emas itu untuk keluar dari bonet kereta berkenaan dan berhasrat untuk mengeluarkan saman kepada Liu kerana tidak menghormati ibunya.

Bagaimanapun, warga emas itu dilihat cuba menyelamatkan anaknya dengan menyatakan kepada polis bahawa dia selesa berada di dalam bonet kereta.

Difahamkan, warga emas itu sanggup menggunakan kesemua duit pencennya untuk membeli kereta yang digunakan oleh Liu.

Namun, malangnya pengorbanan wanita tua itu dibalas anaknya dengan meletakkannya di dalam bonet kereta.

Hentikan kenyataan yang membawa salah faham – PM


Hentikan kenyataan yang membawa salah faham – PM
Najib Tun Razak menasihatkan semua rakyat Malaysia bersatu untuk
memastikan negara terus maju bukan bergaduh sesama sendiri.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun semua pihak supaya tidak mengeluarkan kenyataan berbaur politik yang boleh menimbulkan sengketa dan salah faham.

Katanya, ini adalah masa untuk semua di Malaysia bersatu bagi memastikan negara kita terus maju, bukan berbalah dan tuduh menuduh.

Najib membuat ingatan itu menerusi akaun Facebooknya.

Sejak akhir-akhir pemimpin politik cenderung membuat kenyataan berbaur perkauman sehingga menimbulkan kurang senang masyarakat majmuk di negara ini.

Ia dikatakan bermula selepas Himpunan Baju Merah diadakan disusuli dengan kenyataan Duta China ke Malaysia, Dr Huang Huikang yang telah disalah tafsir cubaan mencampuri hal ehwal dalaman negara ini.

Najib kini berada di Milan untuk lawatan kerja bagi meningkatkan hubungan dua hala Malaysia- Itali.

Menerusi Facebook, Najib memaklumkan beliau akan menyertai Hari Malaysia yang dirancang penganjur Ekspo Malaysia 2015, Festival Makan Malaysia, sertai Mesyuarat Meja Bulat bersama Kapten Industri Itali mengenai perdagangan dan pelaburan serta menemui beberapa tokoh korporat.

Beliau sebelum itu berada di New York bagi menghadiri Mesyuarat Pertubuhan Bangsa=Bangsa Bersatu (PBB).
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Rujukan