Cari Artikel

Friday, October 2, 2015

Nik Aziz ketika hidup sokong larangan pembesar suara


Nik Aziz ketika hidup sokong larangan pembesar suara
Pas menyokong larangan itu kerana Pulau Pinang mempunyai
masyarakat bukan Islam yang ramai berbanding negeri lain.

Mursyidul Am Pas, Almarhum Datuk Nik Aziz Nik Mat ketika hayatnya menyokong larangan menggunakan pembesar suara di luar masjid dan surau kecuali untuk azan dan iqamah.

Perkara itu dimaklumkan oleh anaknya, Nik Mohamad Abduh.

Ketua Pemuda Pas itu berkata, Islam tidak suka mengganggu ketenteraman orang lain apatah lagi Pulau Pinang yang mempunyai ramai masyarakat bukan Islam berbanding negeri lain.

Malah, katanya, aduan tidak puas hati mengenai pembesar suara pernah dibuat oleh bukan Islam di negeri itu.

“Di Pulau Pinang ada masyarakat bukan Islam yang ramai, mereka merungut. Maka dari sudut siasah syariah adalah betul kita melarang pihak masjid daripada buat perkara yang tidak disuruh oleh nabi.

“Islam tak suka menganggu masyarakat,” katanya kepada pemberita selepas majlis Himpunan Selamatkan Al-Aqsa di Masjid Jamek di ibu negara pada Jumaat.

Sehubungan itu, Nik Abduh berkata, Pas tidak mempunyai masalah dengan larangan itu malah menyokongnya.

Perarakan Gospel juga patut dilarang -ISMA


Perarakan Gospel juga patut dilarang -ISMA
ISMA berpendirian larangan menggunakan pembesar suara di luar masjid
dan surau kecuali untuk azan dan iqamah bercanggah dengan hak kebebasan beragama.

Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) menentang cadangan kerajaan Pulau Pinang untuk mewartakan larangan pembesar suara di luar masjid dan surau di Pulau Pinang kerana tindakan itu bercanggah dengan kebebasan hak beragama yang diamalkan di negara ini.

Presiden ISMA, Abdullah Zaik Abdul Rahman berkata, sekiranya cadangan itu diwarta dan dikuasakan, Kerajaan Pulau Pinang juga perlu mengambil tindakan sama dengan mewartakan larangan perarakan Gospel.

“Tindakan kerajaan Pulau Pinang tidak selari dengan dasar liberal yang mana pihak berkuasa tidak boleh ,mengambil apa-apa tindakan penguatkuassaan terhadap amalan mana-mana agama.

“Kalau nak wartakan, wartakan juga larangan Perarakan Gospel dan lain-lain yang mengganggu keselesaan orang ramai,” katanya kepada FMT.

Kerajaan Pulau Pinang akan mewartakan keputusan larangan menggunakan pembesar suara di luar masjid dan surau kecuali untuk laungan azan dan iqamah dalam jangka masa terdekat selepas mendapat perkenaan Yang Dipertuan Agong.

Perkara itu dinyatakan melalui surat Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang bertarikh 1 September lepas berhubung keputusan mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang bertarikh 1 dan 2 Julai dan disahkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang pada 23 dan 24 Ogos lepas.

Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin menyokong cadangan Kerajaan Pulau Pinang itu kerana mengikut syariat Islam hanya azan yang boleh dilaungkan tambah lagi Islam amat menitikberatkan ketenteraman orang lain.

POTA mampu selesai ancaman keganasan 100 peratus


POTA mampu selesai ancaman keganasan 100 peratus
Statistik tangkapan mereka yang berpotensi sebagai pengganas
semakin berkurang sejak akta itu diperkenal April lalu.

Kerajaan yakin pelaksanaan Akta Pencegahan Keganasan (POTA) mampu menyelesaikan sepenuhnya masalah ekstremisme dan ancaman keganasan, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Keyakinan itu selepas menyaksikan penurunan drastik tangkapan mereka yang berpotensi sebagai pengganas setelah akta itu diperkenal.

“Dengan usaha yang diambil oleh polis selepas POTA diperkenal, angka mereka yang berpotensi sebagai pengganas sudah berkurang.

“Saya harap usaha itu akan dipanjangkan sehingga kita mencapai tahap sifar keganasan dan sifar pengganas. Itu objektif kita,” katanya dalam satu sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Khas Menteri-Menteri ASEAN mengenai Peningkatan Fahaman Radikal dan Keganasan Melampau di Hotel InterContiental.

Zahid berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai keberkesanan tahap keselamatan terhadap ancaman ekstremisme yang dihadapi negara-negara ASEAN termasuk Malaysia.

Tambahnya, kerajaan komitmed untuk mengelakkan masalah ektremisme berlaku di Malaysia dan kerjasama daripada negara-negara ASEAN amat penting.

“Kita komited untuk mengelakkan sebarang bentuk keganasan atau ekstremisme berlaku di negara Asean, khususnya Malaysia,” ujarnya.

POTA diluluskan pada April lalu selepas undi belah bahagi dilakukan dengan keputusan 79 bersetuju dan 60 yang lain tidak bersetuju.

POTA dibentangkan dalam usaha kerajaan menangani aktiviti militan di negara ini ekoran penularan elemen keganasan yang semakin merebak dan mengancam keselamatan negara.

Cadangan supaya POTA diwujudkan mula timbul selepas pembabitan ramai rakyat negara ini dengan kegiatan militan di Syria yang dikhuatiri akan menular ke Malaysia jika tindakan tegas tidak diambil pihak berkuasa.

Pemimpin Pas cedera ditampar ahli ketika dialog


Pemimpin Pas cedera ditampar ahli ketika dialog
Abdul Fatah ditampar ekoran perselisihan dalam perkara-perkara tertentu melibatkan parti

Yang Dipertua Pas kawasan Rantau Panjang, Abdul Fatah Haron mengalami kecederaan di muka selepas ditampar ahli parti itu.

Kejadian berlaku dalam satu Majlis Dialog Pas di Kampung Banggol Kulim, Pasir Mas, Kelantan kira-kira jam 9.30 malam Khamis.

Berita Harian Online melaporkan, bekas ahli Parlimen Rantau Panjang itu ditampar lelaki terbabit ekoran berselisih faham dalam perkara–perkara tertentu melibatkan parti.

Lelaki berkenaan telah meluru ke arah mangsa dan terus menamparnya sebelum sesi dialog bermula.

Insiden yang berlaku itu telah menjadi viral selepas Abdul Fatah sendiri memuat naik gambar mukanya yang cedera.

Kejadian yang berlaku itu turut disahkan oleh Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Haliluddin Rahim.

Mufti Perlis sokong P. Pinang larang pembesar suara


Mufti Perlis sokong P. Pinang larang pembesar suara
Suara-suara yang dikuatkan itu bukan menambahkan cinta
kepada Islam sebaliknya menimbulkan salah faham banyak pihak.

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyokong cadangan Jawatankuasa Mufti Pulau Pinang untuk melarang pembesar suara di luar masjid dan surau di negeri itu kecuali untuk azan dan iqamah.

Katanya, menurut syariat Islam, hanya azan yang boleh diangkat suara (kuat) dan selain daripada itu tiada nas yang menyuruh orang Islam menguatkan suara bagi menjaga ketenteraman orang lain.

“Bahkan perbuatan mengganggu orang lain dilarang oleh Nabi s.a.w. Apatah lagi dalam Islam ketenteraman orang lain dipelihara melainkan jika ada pengecualian tertentu yang diizinkan oleh syarak,” katanya yang membuat penjelasan itu di Facebooknya.

Katanya, walaupun bacaan al-Quran dan zikir amat baik namun tidak boleh paksa orang lain mendengar bacaan itu.

“Mungkin orang lain ingin membacanya sendiri, atau ingin membacanya pada waktu lain, atau mereka sedang sakit atau ada anak kecil yang tidur, atau mereka tidak difardukan solat (tidak boleh solat) seperti wanita yang haid atau bukan muslim dan lain-lain,” jelasnya.

Asri berkata, ramai orang bukan Islam keliru antara azan dan bacaan-bacaan selain azan yang dilaungkan menerusi corong pembesar suara kerana menyangka bacaan-bacaan itu adalah azan yang disuruh oleh Islam.

“Ini menyebabkan mereka bersangka buruk dengan Islam yang harmoni ini. Apatah lagi bacaan itu mengambil masa yang lama, sedangkan azan yang sebenar tidak lebih daripada lima minit,” katanya.

Katanya, Islam pun tidak membenarkan mengangkat suara bacaan ketika solat kerana bimbang mengganggu tumpuan orang lain yang sedang beribadat atau menyakitkan mereka.

“Jika mereka yang berada dalam masjid yang memang bersedia untuk beribadah pun, tidak dibenarkan untuk diangkat suara bacaan sehingga mengganggu konsentrasi orang lain, mana mungkin untuk dikuatkan suara bacaan melalui pembesar suara sehingga menggangu mereka yang di luar masjid. Mungkin mereka itu mempunyai anak kecil, orang sakit dan seumpamanya,”katanya.

Sehubungan itu, katanya, umat Islam patut menghentikan bacaan-bacaan melalui pembesar suara yang boleh mengganggu orang luar dan dalam masjid.

Katanya, larangan itu bukan kerana isu politik semata-mata tetapi arahan Nabi s.a.w. dan juga menjaga Islam yang harmoni kerana suara-suara yang dikuatkan itu bukan menambahkan cinta kepada Islam sebaliknya menimbulkan salah faham banyak pihak.

Zahid seru isu perkauman dibendung di peringkat akar umbi


Zahid seru isu perkauman dibendung di peringkat akar umbi
Zahid bimbang sekiranya tak ditangani akan berlakunya
pembersihan etnik seperti mana yang berlaku di negara luar.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyarankan agar negara-negara Asean bersatu dalam membendung gejala perkauman di peringkat akar umbi.

Merujuk kepada beberapa insiden yang berlaku, Zahid akui gejala perkauman di negara ini masih kecil,namun jika tidak dibendung, beliau khuatir ia akan membawa kepada pembersihan etnik dalam negara.

“Gejala perkauman berlaku dalam kelompok kecil tetapi gejala seperti radikalisme, ekstremisme dan keganasan lebih meluas.

“Kami khuatir jika isu perkauman ini tidak dibendung pada peringkat awal, ia akan menyebabkan berlakunya pemberishan etnik seperti mana yang berlaku di beberapa negara luar,” katanya dalam satu sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Khas Menteri-Menteri ASEAN mengenai Peningkatan Fahaman Radikal dan Keganasan Melampau di Hotel InterContiental.

Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri itu berkata, pemimpin-pemimpin negara Asean perlu menggerakkan usaha membanteras gejala perkauman supaya ia tidak merebak lebih luas.

Beliau juga menyampaikan harapan agar negara Asean menerusi mesyuarat tersebut serta perhimpunan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di New York, dapat menunjukkan betapa negara dunia mengambil berat isu berkaitan perkauman selain keganasan dan ekstremisme.

Saya ahli politik veteran, takkan guna perkataan ‘lempang’ – Tajuddin


Saya ahli politik veteran, takkan guna perkataan ‘lempang’ – Tajuddin
Beliau menafikan menggunakan perkataan 'lempang' untuk memberi amaran
kepada orang Cina yang mengadu masalah dalam negara kepada pihak lain.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman menafikan beliau menggunakan perkataan ‘lempang’ dan ‘tampar’ untuk memberi amaran kepada orang Cina.

Ahli Parlimen Pasir Salak itu berkata, penggunaan perkataan seumpama itu tidak sesuai dengan kedudukannya yang telah lama menjadi ahli politik.

“Macam mana saya boleh guna perkataan ‘lempang’ dan lain-lain? Ini bahasa budak-budak sekolah. Wartawan ini, saya tidak faham dengan dia. Itu tafsiran dia.

“Saya bukannya budak-budak lagi. Macam mana saya boleh guna perkataan seperti itu! Jika saya mahu berkata sesuatu, ia seharusnya bersesuaian dengan kedudukan saya sebagai ahli politik veteran,” katanya, lapor The Star Online.

“Cina Malaysia adalah warga Malaysia. Jika ada sebarang masalah di negara ini, selesaikannya secara dalaman,” kata Tajuddin.

Beliau mengulas laporan sebuah portal yang menyiarkan Tajuddin memberi amaran kepada orang Cina Malaysia supaya tidak mengadu mengenai kerajaan negara ini kepada pihak luar dengan harapan akan mendapat pembelaan daripada kerajaan asing.

Malaysiakini melaporkan Tajuddin memberi amaran akan lempang orang Cina yang mengadu masalah dalam negara kepada pihak luar.

Katanya, orang Cina perlu berhenti bermimpi bahawa negara China sebagai ‘God Father’ yang akan menyelamatkan mereka apabila ditimpa kesusahan.

Perbicaraan kes habeas corpus Khairuddin pada 13 Oktober


Perbicaraan kes habeas corpus Khairuddin pada 13 Oktober
Hanafiah mahu Zeti menyatakan di dalam afidavit berkenaan bahawa sebarang
laporan polis mengenai 1Malaysia Develepoment Berhad (1MDB) boleh menjejaskan ekonomi Malaysia.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 13 Oktober ini sebagai tarikh perbicaraan pormohonan kes habeas corpus bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan
Hakim, Kamardin Hashim menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujah pihak pendakwaan yang diketuai oleh Datuk Hanafiah Zakaria dan peguam Khairuddin Haniff Khatri Abdulla.

“Semua afidavit hendaklah difailkan pada 9 Oktober,” katanya pada Jumaat.

Terdahulu, Hanafiah semasa berhujah menyatakan bahawa pihak pendakwaan memerlukan masa sebulan untuk menyediakan semua afidavit yang berkaitan.

“Salah satu daripada afidavit yang diperlukan adalah dari Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz.”

“Bagaimanapun beliau (Zeti) ke luar negara kerana menghadiri mesyuarat. Kami tidak pasti bila beliau akan pulang,” katanya.

Hanafiah berkata, mereka mahu Zeti menyatakan di dalam afidavit berkenaan bahawa sebarang laporan polis mengenai 1Malaysia Develepoment Berhad (1MDB) boleh menjejaskan ekonomi Malaysia.

Haniff kemudian membantah apabila mengatakan bahawa secara akademiknya jika perbicaraan itu mengambil masa sebulan ia bererti Khairuddin akan dibebaskan ketika itu.

“Penahanan Khairuddin di bawah Sosma berakhir pada 21 Oktober,” katanya.

Haniff menambah, beliau perlu mendapatkan pengesahan daripada Zeti berhubung laporan berita pada 22 September lepas yang mengatakan siasatan terhadap 1MDB oleh Bank Negara Malaysia (BNM) telah dikemukakan kepada pihak Jabatan Peguam Negara.

Bagaimanapun, Hakim Kamardin kemudian berkata, afidavit berkenaan bukan sahaja boleh diperolehi daripada Zeti.

“Jika tidak boleh mendapatkan daripadanya (Zeti), ia boleh diambil daripada timbalannya sebagai usaha untuk mengesahkan perkara itu,” katanya.

Di luar mahkamah, Haniff memberitahu pemberita bahawa Khairuddin akan hadir di mahkamah pada 13 Oktober jika keadaan kesihatannya baik.

“Beberapa hari lalu semasa saya melawatnya, platlet darahnya rendah,” kata Haniff.

Pada 25 September lalu, Khairuddin dirawat di Hospital Kuala Lumpur kerana dijangkiti denggi.

Khairuddin telah ditahan di bawah Seksyen 124k dan 124L Kanun Keseksaan kerana dakwaan cuba mensabotaj kerajaan pada 23 September.

Dia ditahan mengikut Sosma 2012 atau kesalahan Keselamatan (Langkah Khas) 2012 yang membenarkan polis menahannya selama 28 hari tanpa perlu mendapat perintah makkamah.

Larangan pembesar suara selepas terima aduan orang Islam


Larangan pembesar suara selepas terima aduan orang Islam
10 aduan diterima daripada orang Islam berkaitan penggunaan pembesar suara
di luar masjid dan surau di Pulau Pinang sepanjang Januari 2012 sehingga Mei 2015.

Cadangan larangan pembesar suara luar masjid dan surau di Pulau Pinang dibuat selepas jawatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) menerima aduan daripada masyarakat Islam sendiri yang tidak berpuas hati.

Exco Agama Pulau Pinang, Dato’ Abdul Malik Kassim berkata, JHEAIPP telah menerima 10 aduan daripada orang Islam yang tidak puas hati penggunaan pembesar suara di luar masjid dan surau bagi bacaan zikir selepas solat, ceramah atau kuliah, rakaman al-Quran dan zikir sebelum azan sepanjang Januari 2012 sehingga Mei 2015.

Katanya, JHEAIPP melalui Bahagian Pengurusan Masjid dan Surau telah mengadakan siasatan dan pertemuan dengan para pengadu dan mendapati aduan mereka berasas.

“Sebuah kertas laporan dan cadangan daripada JHEAIPP berkaitan aduan berkenaan telah dipanjangkan kepada Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang untuk tindakan selanjutnya.

“Kertas cadangan itu kemudiannya telah dibincangkan daripada pelbagai sudut oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang pada 1 dan 2 Julai. Keputusan sebulat suara itu disahkan pada mesyuarat jawatankuasa yang sama pada 23 dan 24 Ogos lalu,” katanya dalam kenyataan media.

Abdul Malik berkata, keputusan itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Exco Kerajaan Negeri sebelum diangkat kepada Yang DiPertuan Agong untuk mendapat perkenan Baginda.

Katanya, setelah diperkenankan oleh Yang Dipertuan Agong, fatwa itu akan digazet dan dipanjangkan kepada JHEAIPP untuk tindakan penguatkuasaan.

“Pihak kerajaan negeri akan memutuskan pada masa tertentu dengan cara terbaik bagi mengendalikan perkara ini,” katanya.

Abdul Malik berkata, isu itu tidak sepatutnya diperbesarkan kerana syiar Islam harus disebarkan secara berhemah tanpa perlu menjejaskan imej agama suci itu dan Islam mementingkan kesejahteraan hidup individu dan seluruh masyarakat Islam dan bukan Islam, selari dengan nas-nas al-Quran dan al-sunnah.

“Makanya, umat Islam yang ingin melakukan ibadah tidak sewajarnya mengganggu ketenteraman orang lain, khususnya yang berada di luar masjid,” katanya.

Najib kesal PBB gagal terima resolusi siasat insiden MH17


Najib kesal PBB gagal terima resolusi siasat insiden MH17
Malaysia akan terus berusaha sebaik mungkin untuk menuntut keadilan
terhadap insiden MH17 yang ditembak jatuh
kerana bertanggungjawab terhadap keluarga mangsa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sekali lagi menyampaikan rasa kekecewaan Malaysia terhadap kegagalan Pertubuhan Bangsa-bangsa Berrsatu (PBB) menerima pakai resolusi menubuhkan sebuah tribunal antarabangsa untuk menyiasat insiden menembak jatuh pesawat Malaysia Airlines MH17 kerana kuasa veto dikenakan.

Najib berkata, Malaysia akan terus berusaha sebaik mungkin untuk menuntut keadilan terhadap insiden yang berlaku pada 2014.

“Kami akan terus menuntut keadilan menerusi opsyen undang-undang lain kerana kami bertanggungjawab terhadap keluarga mangsa yang terkorban dalam kejadian jenayah yang kejam ini,” katanya, lapor Bernama.

Pada 29 Julai lepas, Rusia menggunakan kuasa veto untuk menghalang cadangan lima negara yang dirintis Malaysia untuk menubuhkan tribunal jenayah antarabangsa sementara bagi membicarakan mereka yang bertanggungjawab menembak jatuh penerbangan MH17 tahun lepas.

Resolusi berkenaan mendapat 11 undi menyokong daripada Chad, Chile, Perancis, Jordan, Lithuania, Nigeria, Sepanyol, United Kingdom dan Amerika Syarikat.
China, Venezuela dan Angola, bagaimanapun, berkecuali daripada mengundi.

Kesemua 283 penumpang dan 15 anak kapal penerbangan MH17 dari Amsterdam ke Kuala Lumpur terkorban apabila pesawat itu ditembak jatuh di Donetsk, timur Ukraine pada 17 Julai tahun lepas.

Malaysia sedia terima 3,000 pelarian Syria


Malaysia sedia terima 3,000 pelarian Syria
Najib mencadangkan agar satu bentuk penyelesaian
antarabangsa yang baharu diketengah bagi menangani krisis migrasi.

Malaysia menyampaikan kesediaan untuk menerima 3,000 pelarian Syria secara berperingkat untuk tempoh tiga tahun akan datang.

Janji diberikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai sebahagian tanggungjawab Malaysia bagi membantu meringankan krisis pelarian.

“Sebab itu Malaysia selama ini telah mengambil ramai orang yang melarikan diri daripada peperangan, kebuluran dan penganiayaan. Kini kami mempunyai ratusan ribu migran dan kami mengambil lebih ramai awal tahun ini apabila terdapat krisis kemanusiaan di Laut Andaman,” katanya pada sesi ke-70 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) pada Khamis (Jumaat di Malaysia), lapor Bernama.

Perdana Menteri berkata, negara-negara Islam sebahagiannya bertanggungjawab memastikan kesejahteraan orang Syria yang terpinggir melarikan diri dari negara mereka dengan jumlah yang besar sehingga mengakibatkan tekanan ekonomi dan sosial di Eropah.

Para peserta perhimpunan dilapor menyambut baik pengumuman Najib menerima pelarian Syria dengan tepukan gemuruh.

Sejak empat tahun lepas, kira-kira empat juta pelarian Syria telah melarikan diri ke negara-negara jiran dan terpaksa hidup dalam kemiskinan.

Najib juga mencadangkan agar satu bentuk penyelesaian antarabangsa yang baharu diketengah bagi menangani krisis migrasi.

“Kita mesti menghormati nilai kemanusiaan bersama” dan isu berjuta-juta rakyat Syria melarikan diri dari negara mereka harus menjadi
kebimbangan dan perhatian dunia.

“Hanya apabila kita melangkaui batas bangsa dan anutan, hanya apabila kita melihat gambar-gambar migran yang terdesak, mangsa ekstremis dan mereka yang hidup diselubungi kebuluran dan kemiskinan – dan melihat mereka bukan sebagai orang asing tetapi sebagai saudara kita.

“Apabila kita melihat gambar memilukan jasad Aylan Kurdi berusia tiga tahun yang terdampar di pantai dan merasakan seolah-olah anak kita sendiri dalam wajah kanak-kanak lelaki tidak berdosa itu maka kita akan bertindak untuk berbuat lebih baik.

“Orang di seluruh dunia merayu bantuan kita. Kita tidak boleh – tidak akan membiarkannya sahaja,” kata Najib.

Anina minta ahli UMNO, rakyat Malaysia doakan perjuangannya


Anina minta ahli UMNO, rakyat Malaysia doakan perjuangannya
Doa dari ahli UMNO dan rakyat Malaysia itu adalah sebagai dorongan
untuk memberi kekuatan moral dalam menuntut kebenaran dan keadilan.

Bekas ahli Wanita UMNO, Anina Saadudin meminta 3 juta ahli UMNO serta 28 juta rakyat Malaysia mendoakannya dalam perjuangan kes saman terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Katanya, doa itu adalah sebagai sokongan kepada beliau dan barisan peguamnya agar diberikan kekuatan dan moral dalam menuntut kebenaran dan keadilan.

“Kepada Allah kita memohon semoga segala usaha dan kesungguhan ini mendapat pertolongan dan rahmatnya,” katanya menerusi pesanan ringkas kepada FMT.

Pada masa yang sama, beliau juga mengulangi bahawa menghormati keputusan mahkamah pada Khamis dan sedang menunggu satu lagi keputusan pada 6 Oktober ini.

“Saya bersama peguam Tuan Haji Mohamed Haniff Khatri Abdullah dan peguam-peguam lain dengan tenang hati menerima serta menghormati keputusan mahkamah semalam.

“Saya percaya dan yakin keputusan itu telah dilakukan dengan teliti berlandaskan kewajaran undang-undang.

“Saya yakin dan menaruh kepercayaan penuh terhadap sistem kehakiman negara ini,”jelasnya.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi membenarkan penangguhan kes saman berkenaan sementara menunggu keputusan permohonan Najib membatalkan saman yang difailkan oleh Anina.

Perkara itu dimaklumkan oleh peguam Najib, Datuk Hafarizam Harun dan peguam Anina, Haniff Khatri Abdullah selepas mengadakan pertemuan dengan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Zaki Wahab dalam kamar hakim.

Pada 28 Ogos lepas, Anina memfailkan saman terhadap Najib dan Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Ab Rauf Yusoh berkenaan derma RM2.6 bilion yang dimasukkan dalam akaun peribadi Najib.

Larangan pembesar suara: Bukan Islam juga perlu elak gangguan suara


Larangan pembesar suara: Bukan Islam juga perlu elak gangguan suara
Fatwa Mufti Pulau Pinang yang melarang pembesar suara selain untuk azan
di masjid dan surau perlu dicontohi oleh penganut agama lain sebagai tanda saling menghormati.

Cadangan Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang berhubung larangan menggunakan pembesar suara di luar masjid dan surau, kecuali untuk azan dan iqamah, perlu dicontohi masyarakat bukan Islam.

Biro Pemantapan dan Pemahaman Agama Angkatan Muda Keadilan (AMK), Wan Ji Wan Hussin berkata, larangan itu perlu dijadikan panduan kepada bukan Islam untuk tidak melakukan gangguan suara sebagai tanda saling menghormati.

“Orang bukan Islam juga perlu untuk tidak melakukan gangguan suara kecuali dalam perkara yang sememangnya wujud dalam agama atau budaya mereka.

“Memandangkan Malaysia mempunyai masyarakat yang pelbagai bangsa dan agama, yang sudah pasti budaya saling hormat menghormati perlu disuburkan

“Justeru, atas semangat dan roh maqasid syariah, sudah pasti fatwa Mufti Pulau Pinang yang melarang menggunakan pembesar suara di luar masjid selain azan dan iqamah adalah wajar dan perlu disokong dan didokong,” katanya menerusi kenyataan media.

Wan Ji berkata, negeri lain perlu mencontohi cadangan Jawatankuasa Fatwa Pulau Pinang itu sebagai usaha untuk menyuburkan budaya saling hormat menghormati antara orang Islam dan bukan Islam.

Katanya, laungan yang kuat dan dibenarkan dalam Islam hanyalah untuk azan iaitu bagi memberitahu
kepada orang Islam masuknya waktu untuk menunaikan solat.

Kertas cadangan larangan itu telah dibincangkan daripada pelbagai sudut oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang pada 1 dan 2 Julai dan keputusan sebulat suara menyokong cadangan itu disahkan pada mesyuarat jawatankuasa yang sama pada 23 dan 24 Ogos lalu.

Keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Exco Kerajaan Negeri sebelum dibawa kepada Yang DiPertuan Agong untuk mendapat perkenan Baginda.
Dalam perkembangan lain, Kerajaan Pulau Pinang sedang menjalankan siasatan bagi mencari pihak yang membocorkan surat rasmi berhubung keputusan larangan itu yang akan diwartakan tidak lama lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Abdul Malik Abul Kassim berkata, tindakan pihak yang membocorkan surat itu adalah berniat jahat dan cuba menimbulkan suasana huru-hara.

Katanya, perkara itu (larangan pembesar suara) bukanlah sesuatu yang besar untuk dibangkitkan kerana perlu melalui banyak lagi proses sebelum ia difatwakan.

Guna Malaysia untuk istilah bangsa – MIC


Guna Malaysia untuk istilah bangsa – MIC
Bangsa merujuk kepada asal usul negara seseorang dan lebih sesuai
digunakan untuk bukan warga Malaysia yang tinggal di negara ini.

Pemuda MIC mahu perkataan ‘Malaysia’ digunapakai dalam kolum yang merujuk kepada ‘bangsa’ kerana istilah tersebut merujuk kepada kewarganegaraan seseorang bukan asal-usul kaum.

Ketua Pemuda MIC, C.Sivarraajh berkata, penggunaan istilah ‘bangsa’ tidak perlu diungkit selagi seseorang itu warganegara Malaysia kerana istilah itu hanya sesuai kepada bukan warganegara yang merujuk kepada negara asal.

“Jika orang itu warga Malaysia, maka mereka hanya perlu mengisi borang rasmi sebagai berbangsa Malaysia dan bukan India, Cina atau Melayu.

“Ingat, kita semua rakyat Malaysia dan selagi kita rakyat Malaysia, kita tiada apa-apa kaitan dengan negara selain Malaysia.

“Hubungan latar seseorang yang dikaitkan dengan negara India dan China sepatutnya hanya terhad kepada asal-usul ibu bapa, datuk nenek atau moyang masing-masing sahaja,” katanya kepada FMT.

Sehubungan itu, beliau meminta semua meninggalkan praktis bangsa yang merujuk kepada negara India atau China dan menggunakan istilah Malaysia.

Sivarraajh berkata demikian mengulas kenyataan pakar sejarah, Tan Sri Prof Dr Khoo Kay Khim yang menyatakan istilah ‘pendatang’ adalah untuk mereka yang bukan warganegara Malaysia.

“Tetapi jika mereka lahir di sini maka mereka tidak boleh digelar ‘pendatang’.

“Jangan biarkan sesiapa memanggil anda sebagai ‘pendatang’,” kata Kay Khim.

Cina Malaysia jangan ingat China ‘God Father’


Cina Malaysia jangan ingat China ‘God Father’
Duta China hanya mempertahankan pelancong daripada
negaranya bukan mahu menyelamatkan Cina Malaysia.

Masyarakat Cina di negara ini diingatkan supaya jangan bermimpi bahawa Negara China akan membela dan menyelamatkan mereka sekiranya menghadapi kesusahan.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman membuat ingatan itu dengan merujuk kepada kenyataan yang dibuat oleh Duta Besar China, Dr Huang Huikang ketika melawat Petaling Street.

“Orang Cina yang ada di Malaysia jangan beranganlah bila ada “big boss” datang, ada “God Father” datang dari negara China sebab nak tolong dia. Jangan berangan begitu,” katanya semasa sidang media selepas merasmikan Pameran Perdagangan dan Persidangan Herbal Asia 2015 pada Khamis.

Ahli Parlimen Pasir Salak itu berkata, kehadiran Duta Besar China itu hanyalah untuk membela pelancong dari negara itu bagi memastikan keselamatan mereka.

“Duta China itu kata dia tidak akan membela mereka yang bermasalah dalam negara kita.
“Dia hanya akan membela pelancong negara China di mana dia memberi jaminan Malaysia ini selamat, aman dan boleh datang melancong.

“Dia kata nak lindungi rakyat dia bukan Cina Malaysia, buat apa nak campur tangan. Saya pun marah kalau dia campur tangan,” katanya.

Beliau turut memberi amaran kepada masyarakat Cina di Malaysia supaya tidak terlalu mengharap simpati orang luar untuk melindungi mereka.

“Saya nak bagi amaran juga kepada Cina Malaysia jangan ingat bila ada masalah dia nak mengadu, sikit-sikit mengadu supaya ada yang lindungi mereka.

“Nak kena lempang macam itu,” katanya.

Saya sudah jangka keputusan mahkamah – Anina


Saya sudah jangka keputusan mahkamah – Anina
Mahkamah Tinggi menangguhkan prosiding saman terhadap Najib dan
Rauf sementara menunggu keputusan permohonan
Najib membatalkan saman Anina itu.

Bekas ahli Wanita UMNO, Anina Saadudin berkata, dia sudah menjangkakan keputusan mahkamah membenarkan penangguhkan prosiding kes samannya terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datuk Ab Rauf Yusoh.

Katanya, dia menghormati keputusan mahkamah itu dan menunggu satu lagi keputusan 6 Oktober ini.

“Kami memang sudah menjangkakan beliau akan mendapat kebenaran permohonan penangguhan ini.

“Saya menghormati keputusan mahkamah,” respon Anina dalam satu pesanan ringkas kepada FMT.

Terdahulu, Makhamah Tinggi membenarkan penangguhan kes saman itu sementara menunggu keputusan permohonan Najib membatalkan saman yang difailkan oleh Anina.

Perkara itu dimaklumkan peguam Najib, Datuk Hafarizam Harun dan peguam Anina, Haniff Khatri Abdullah selepas mengadakan pertemuan dengan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Zaki Wahab dalam kamar hakim.

“Zaki membenarkan penggantungan prosiding dalam tuntutan mahkamah sementara menunggu permohonan pembatalan oleh klien saya,” kata Hafarizam.

Hafarizam juga berkata, memandangkan permohonan penangguhan itu dibenarkan, Najib tidak perlu memfailkan pembelaannya kepada mahkamah.

Anina juga memfailkan satu lagi tuntutan di mahkamah terhadap Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Rauf kerana memecatnya sebagai ahli UMNO.

Kes itu akan disebut pada 9 Oktober ini.

Pada 28 Ogos lalu, Anina memfailkan saman terhadap Najib dan Rauf berkenaan derma RM2.6 bilion yang dimasukkan dalam akuan peribadi Najib.

Macai ganggu siasatan SPRM tidak akan tenteram


Macai ganggu siasatan SPRM tidak akan tenteram
SPRM tidak tergugat dengan ugutan bertujuan mengganggu siasatan rasuah
sebaliknya akan terus menjalankan tugas tanpa mengira latar belakang.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberi amaran bahawa tidak ada sesiapa tanpa mengira pangkat dan darjat yang akan terlepas daripada siasatan suruhanjaya bebas berkenaan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkata, pihaknya akan tetap menjalankan siasatan terhadap mana-mana pihak tanpa mengira kedudukan dan latar belakang.

“Tidak kira anda seorang rakyat biasa, ahli perniagaan, tokoh korporat dan juga pemimpin politik,” katanya sewaktu berucap di Majlis Penamaan Moot Court Kevin Morais pada Khamis.

Abu Kassim turut memberi amaran bahawa walau apa juga usaha untuk mengagalkan siasatan pihak SPRM, ia tidak akan berjaya kerana perbuatan keji tersebut tidak akan menjamin ketenangan dan ketenteraman.

“Kepada yang jadi macai atau mereka yang bersubahat, cuba mengagalkan siasatan atau perbicaraan kes rasuah, ingatlah apa juga upah atau imbuhan yang diperoleh, tidak akan menjamin ketenangan dan ketenteraman dalam kehidupan.

” Perbuatan keji yang dilakukan akan mengganggu kehidupan kita sehingga akhir hayat. Jika perbuatan tersebut terbongkar, kamu akan dihina dan dikeji oleh masyarakat,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau tidak menafikan sewaktu menjalankan tugas, pelbagai cabaran yang suruhanjaya bebas itu hadapi demi menegakkan undang-undang.

“Ada yang kehilangan jawatan, ada yang kehilangan nyawa, ahli keluarga. Bahkan, ada juga anggota penguatkuasa yang diugut, diancam dan diseksa hanya kerana tidak mematuhi atau memenuhi kehendak pihak tertentu,” katanya.

Jelasnya lagii, situasi yang dialami oleh mendiang Anthony Kevin Morais adalah sebagai satu cubaan untuk mengganggu dan menakut-nakutkan pegawai-pegawai SPRM.

“Mereka sanggup menggunakan apa saja cara untuk menghalang siasatan,” katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Rujukan