Cari Artikel

Thursday, October 1, 2015

Apa niat panggil Tun M, soal Ku Nan


Apa niat panggil Tun M, soal Ku Nan
Beliau akan mendapatkan penjelasan UMNO Cawangan Pandan menjemput
Tun M dalam majlis minum petang pada Sabtu ini.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mempersoalkan tindakan UMNO Cawangan Taman Cempaka menjemput Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam majlis minum petang pada Sabtu ini.

Katanya, UMNO akan mendapatkan penjelasan daripada cawangan berkenaan mengenai perkara itu.

“Dia nak panggil itu apa niat dia? Kita akan tanya kalau niat baik tak jejas parti, ikut etika dia boleh buat. Tapi kalau tak kita takut dan tak mahu orang laga-lagakan pemimpin dengan pemimpin,” katanya selepas merasmikan Program Keluarga Angkat Yayasan Kesejahteraan Bandar pada Khamis.

Dalam perkembangan lain, beliau menegaskan UMNO tidak pernah menyokong Himpunan Baju Merah yang dirancang diadakan di Kajang.

Katanya, kehadiran pemimpin UMNO di atas kapasiti pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bukan mewakili parti.

Muatnaik gambar makanan di laman sosial perbuatan tidak beradab


Muatnaik gambar makanan di laman sosial perbuatan tidak beradab
Islam mementingkan konsep perkongsian maka wajib bagi umat
Islam berkongsi makanan yang ditunjukkan kepada orang lain.

Sikap segelintir pengguna laman sosial yang gemar memuat naik gambar-gambar makanan dengan tujuan tertentu merupakan perbuatan tidak beradab menurut ajaran Islam.

Perkara itu dijelaskan oleh seorang pendakwah bebas, Ustaz Fawwaz Mohd Jan dalam satu ceramah dan rakaman video ceramah itu dikongsi di Facebook.

Katanya, Islam mementingkan konsep perkongsian bersama dan jika kita menunjuk-nunjuk kepada orang lain maka wajib untuk kita berkongsi untuk sama-sama merasai nikmat makanan.

“Dalam Islam, nabi kata, sekiranya makanan yang kita makan itu dilihat atau dihidu oleh orang lain maka kita wajib beri kepada orang itu makan makanan yang kita tunjuk untuk mereka merasainya bersama.

“Apa yang kita tunjukkan itu boleh menyebabkan orang teringin. Zaman sekarang ini, ramai orang yang buat begini tanpa menyedari kesan terhadap orang lain yang melihatnya,” katanya.

Katanya, perbuatan itu seecara tidak langsung boleh mengundang kurang senang dalam kalangan rakan-rakan di alam maya apatah lagi ia boleh menimbulkan keinginan terutamanya bagi wanita yang mengandung.

Sehubungan itu, Fawwaz menasihatkan orang ramai agar menghentikan tabiat gemar memuat naik gambar makanan di media sosial terutama menerusi aplikasi WhatsApps dan Facebook.

“Mulai hari ini, tolonglah hentikan tabiat suka memasukkan gambar makanan yang kita makan di dalam laman sosial ini,” katanya.

Tun M perlu jalani pemeriksaan mental – Ramesh Rao


Tun M perlu jalani pemeriksaan mental – Ramesh Rao
Dia mendakwa Tun M banyak membuat kenyataan yang beliau
sendiri menentang ketika menjadi Perdana Menteri.

Mantan Perdana Mneteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, dinasihatkan supaya menjalani pemeriksaan mental setiap enam bulan sekali.

Saranan itu dibuat, Pengerusi Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP), Ramesh Rao apabila mendakwa Dr Mahathir sudah gila setelah merestui perkara yang beliau sendiri menentang ketika menjadi Perdana Menteri.

Dakwaan itu juga merujuk kepada kelantangan Dr Mahathir mengkritik pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Saya minta Tun Mahathir menjalani pemeriksaan mental dengan segera, saya rasa beliau sudah gila, dulu tak sokong demonstrasi sekarang sokong, dulu tak sokong media asing sekarang sokong, dulu tak sokong undi tidak percaya sekarang sokong, ini sudah membutikan dia sudah gila.

“Dia (Mahathir) perlukan rawatan segera, orang kata kalau umur sudah lebih 60 tahun kepala menjadi sasau.

“Minggu lepas dia kata bila Najib sampai keluar negara dia akan ditangkap, jadi ini kenyataan orang-orang gila, kepala tak betul, kenyataan pun dan tak waras,” katanya dalam sidang media pada Khamis.

Ramesh turut menyarankan pemimpin politik lain menjalani pemeriksaan mental ,kerana membuat kenyataan mengelirukan rakyat dan tidak masuk akal.

“Dulu Lim Kit Siang kata kerajaan BN perasuah, kalau dia waras kenapa tak pergi lapor kepada SPRM, orang yang bising tanpa bukti ini adalah orang kurang siuman.

“Macam Rafizi Ramli semalam beliau mengeluarkan kenyataan hutang 1MDB mampu menyelesaikan hutang PTPTN pelajar, apa kaitan hutang PTPTN dengan 1MDB, ini tak masuk akal.

“Kalau pemimpin politik di Malaysia ini waras mereka tidak keluarkan kenyataan yang tidak waras dan tidak tepat, baik pemimpin pembangkang atau Barisan Nasional,” katanya.

Benarkah Pulau Pinang sekat bantuan sekolah milik ahli Pas?


Benarkah Pulau Pinang sekat bantuan sekolah milik ahli Pas?
Pas mengingatkan kerajaan negeri pimpinan DAP dan PKR supaya tidak
menjadi seperti BN yang bertindak zalim disebabkan perbezaam ideologi politik.

Pas hari ini menuntut penjelasan kerajaan Pulau Pinang berhubung dakwaan bantuan kepada sekolah agama rakyat (SAR) milik persendirian ahli Pas telah ditarik balik.

Perkara itu dibangkitkan Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali yang mendakwa surat tawaran bantuan yang telah dihantar juga ditarik balik.

Katanya, bantuan kepada sekolah persendirian itu telah diberikan oleh kerajaan negeri sejak beberapa tahun lalu.

“Dewan Ulamak Pas Pusat meminta penjelasan kerajaan Pulau Pinang yang diterajui oleh DAP dan PKR berhubung dakwaan bantuan kepada sekolah agama rakyat yang ditarik balik daripada beberapa buah sekolah rakyat milik persendirian ahli-ahli PAS.

“Beberapa buah sekolah agama persendirian ini telah mendapat bantuan tahunan sejak beberapa tahun yang lalu.

“Tetapi akhir-akhir ini bantuan mereka telah dihentikan. Bahkan surat tawaran bantuan yang telah dihantar ke beberapa buah sekolah terbabit didakwa telah ditarik balik,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Sehubungan itu, Pas mengingatkan kerajaan negeri pimpinan DAP dan PKR supaya tidak menjadi seperti pemerintah sebelum ini yang bertindak zalim disebabkan perbezaam ideologi politik.

“Dewan Ulama Pas Pusat mengingatkan kerajaan DAP dan PKR Pulau Pinang agar jangan bertindak seperti parti pemerintah sebelum ini yang menyekat dan tidak memberi bantuan kepada sebahagian sekolah agama rakyat milik ahli-ahli Pas kerana sentimen politik.

“Tindakan ini memberi mesej bahawa DAP dan PKR yang sebelumnya menjadi pembangkang apabila berkuasa juga menjadi zalim dan tidak memberikan keadilan dan hak terhadap mereka yang tidak sehaluan politik dengan mereka,” katanya.

Abaikan ‘bunyi bising’ di Malaysia, nasihat Najib kepada pelabur


Abaikan ‘bunyi bising’ di Malaysia, nasihat Najib kepada pelabur
Perdana Menteri memaklumkan 1MDB dijangka mengumumkan pengurangan jumlah
hutangnya sebanyak kira-kira RM16 bilion dalam beberapa hari akan datang.

Datuk Seri Najib Tun Razak mengadakan mesyuarat sambil bersarapan dengan beberapa pengurus dana Amerika Syarikat (AS) dan menggesa mereka mengabaikan bunyi ‘bising’ di Malaysia berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Perdana Menteri sebaliknya menasihatkan mereka supaya melihat asas ‘sebenar’ daya tahan ekonomi dalam keadaan ekonomi semasa yang tidak menentu.

Beliau kemudiannya makan tengah hari dengan pemimpin perniagaan AS, mengetengahkan indeks daya saing positif Malaysia seperti yang disahkan oleh agensi-agensi penarafan utama seperti Moody’s, Standard & Poor’s dan Fitch, serta pengumuman Bloomberg bahawa Malaysia adalah pasaran pesat membangun kelima yang menjanjikan peluang besar di dunia.

“Kerajaan akan terus kekal,” kata Perdana Menteri.

“Saya tidak bergegas pulang kerana bimbang saya akan kehilangan kerja atau
sesuatu seperti itu,” katanya dan menambah kerajaan akan berkhidmat mengikut
mandat lima tahun sebelum pilihan raya akan datang.

Semasa di New York, Najib menghadiri pelbagai mesyuarat di ibu pejabat PBB.
Beliau dijadual menyampaikan ucapan pada perbahasan umum pada Khamis sebelum berlepas ke Milan untuk satu lagi lawatan kerja ke Itali.

Mengenai 1MDB, Najib berkata syarikat itu dijangka mengumumkan pengurangan jumlah hutangnya sebanyak kira-kira RM16 bilion ‘dalam beberapa hari akan datang’.

Perdana Menteri berkata beliau difahamkan bahawa kerajaan memerlukan enam bulan hingga akhir tahun untuk mengurangkan hutang dan memulihkan syarikat berkenaan.

“Bank Negara juga mengumumkan bahawa tidak ada risiko sistemik berkaitan MDB. Kami mempunyai lebih banyak aset berbanding liabiliti”, katanya.

Mengenai cadangan penjualan Edra Global Enegry Berhad, Najib berkata kini sudah ada tawaran menarik untuk cabang penjanaan tenaga 1MDB itu.

“Oleh itu saya yakin menjelang akhir tahun, kami akan dapat menunjukkan bahawa 1MDB pada asasnya merupakan perbadanan yang mampu melalui proses rasionalisasi dan mengurangkan hutangnya yang besar,” katanya.

Najib menjelaskan bahawa model perniagaan 1MDB adalah berasaskan konsep “IPO pantas” dan tidak menggunakan banyak dana kerajaan.

Beliau berkata petunjuk pada masa ini baik untuk ekonomi Malaysia. namun ‘tahap bunyi bising’ mungkin tidak menunjukkan kedudukan positif mengenai Malaysia.

Mengenai demonstrasi Bersih 4 dan protes susulan anti-Bersih di Kuala Lumpur baru-baru ini, Najib berkata walaupun dua perhimpunan berlaku, kestabilan politik kukuh di Malaysia.

Najib berkata demonstrasi dikawal dengan baik oleh polis tanpa menggunakan tindakan tegas.
“Kedua-duanya berakhir dengan baik,” katanya.

“Berasaskan demokrasi yang matang, kami perlu membenarkan sedikit ruang perbezaan pandangan. Rakyat melakukan protes tetapi akhirnya kami berharap mereka akan berfikiran rasional.

“Pilihan raya berikut hanya pada 2018. (Sehingga itu) kami akan meneruskan agenda untuk negara,” katanya.
Perdana Menteri berkata kerajaan akan terus membuat keputusan yang sukar, malah yang boleh menjadikannya tidak popular, untuk manfaat rakyat.

Beliau berkata pelaksanaan GST merupakan langklah yang tepat dan rasionalisasi subsidi petrol merupakan sebahagian daripada langkah penyepaduan fiskal dan mengekalkan pertumbuhan.

“Ini disebabkan tiada siapa menjangkakan harga petrol akan jatuh mendadak dan menjejaskan pendapatan negara daripada dividen Petronas dan cukai pendapatan petroleum. Menerusi GST, kerajaan dapat melaksanakannya program-program (pembangunan) dan perbelanjaan operasi.

Najib berkata GST akan membolehkan negara mengumpul semula jumlah hasilnya yang susut.
Perdana Menteri berkata beliau akan mengumumkan butiran terperinci berkaitan hasil yang dikutip menerusi GST semasa membentangkan bajet negara 2016 di Parlimen pada 23 Okt.

“Dalam dunia politik yang memerlukan anda membuat keputusan yang sukar, namun keputusan yang baik untuk jangka panjang dan sederhana, rakyat akan terimanya sebagai langkah yang tepat,” katanya.

Najib juga memberi jaminan kepada pelabur bahawa kerajaan tidak akan melaksanakan kawalan modal, dan akan terus membuat pelarasan ke atas perbelanjaan operasi bagi menjadikannya lebih berhemat dan mesra pasaran.

Namun, Perdana Menteri berkata projek infrastruktur utama tidak akan dikurangkan, terutama MRT, dengan separuh jajaran di bawah tanah, Lebuhraya Pan Borneo, Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan dan Petrokimia (RAPID) di Penggerang dan Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura.

-BERNAMA

Duta China perlu buat penjelasan rasmi – TPM


Duta China perlu buat penjelasan rasmi – TPM
Keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan Zahid pada Rabu.

Duta Besar China ke Malaysia, Dr Huang Huikang perlu mengeluarkan penjelasan rasmi jika kenyataannya semasa lawatan ke Petaling Street di salah tafsir.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu telah diputus dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan oleh beliau pada Rabu.

Beliau menegaskan, proses memanggil Huang ke Wisma Putra tempoh hari adalah satu amalan biasa mengikut saluran diplomatik.

“Ia bertujuan meminta penjelasan beliau (Huang) mengenai kenyataan yang dikatakan disalah tafsir atau sebaliknya.

“Sekiranya beliau mengeluarkan kenyataan seperti dilaporkan, maka Wisma Putra akan menasihati beliau supaya tidak campur tangan dalam hal ehwal dalam politik seperti termaktub dalam Artikel 41, Konvensyen Vienna mengenai Hubungan Diplomatik 1961,” katanya yang dipetik daripada Berita Harian Online.

Khoo Kay Kim: Bangsa bermakna warga negara


Khoo Kay Kim: Bangsa bermakna warga negara
Isu pendatang atau imigran tidak lagi boleh dikaitkan
jika seseorang itu telah mendapat kewarganegaraan.

Isu bangsa tidak seharusnya dikaitkan lagi sebaik sahaja seseorang itu menjadi warga negara kerana ia menghalang untuk mewujudkan ‘satu bangsa’, kata ahli sejarah terkenal, Profesor Emeritus Khoo Kay Kim.

“Kerajan meminta kita untuk kekal dalam bentuk bangsa iaitu Melayu, Cina dan India. Bangsa bermaksud kewarganegaraan.

“Jadi, apabila kita menjadi rakyat Malaysia dan menulis bangsa sebagai bangsa Cina, itu bermakna kita adalah rakyat dari negara China,” katanya dalam forum Mempertahankan Maruah Melayu malam tadi di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur pada Rabu.

Turut hadir di forum anjuran NGO Gabungan Merdeka Rakyat ialah Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar, bekas Ahli Parlimen Temerloh, Saifuddin Abdullah dan juga Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Raimi Abdul Rahim.

Khoo berkata demikian sewaktu diajukan soalan oleh hadirin mengenai label ‘pendatang’ yang sering kali digunakan sesetengah pemimpin terhadap kaum tertentu di Malaysia.

“Pendatang hanyalah suatu istilah. Orang yang datang dari negara lain dan menetap di situ adalah imigran.

“Tetapi, apabila mereka tinggal dalam waktu yang lama, dan menerima kewarganegaraan selepas memohon kewarganegaraan, mereka bukan lagi imigran, mereka adalah warga negara,” jelasnya.

Beliau juga merujuk kepada satu petikan yang dibuat oleh Presiden pertama MCA, Tun Tan Cheng Lock, ‘Satu negara, satu rakyat dan satu kerajaan’ dan menyatakan bahawa generasi muda kini gagal untuk menghargai makna tersebut.

“Sistem pendidikan kita telah gagal kerana di sekolah, para pelajar tidak diajar memahami sesuatu istilah tetapi diajar untuk menghafal perkataan. Mereka boleh menghafal lagu, tetapi apabila ditanya mengenai makna ‘Keluhuran Perlembagaan’, mereka tidak boleh jawab.

“Apa makna Satu Malaysia? Ia bukan satu bangsa, tetapi ia adalah Satu Negara,” katanya lagi.

Khoo melahirkan sedihnya terhadap situasi yang berlaku di Malaysia dan menegaskan bahawa budaya memainkan peranan yang penting dalam membina sesebuah negara yang lebih baik.

“Jangan percaya sains sahaja penting kerana kita tidak boleh membina ‘Satu Negara’ hanya menggunakan fizik dan kimia. Kita perlukan budaya dan budaya tidak bermakna hanya kesenian.

“Saya tidak tahu kemana arah generasi muda, kerana sikap mereka tidak sama dengan sikap generasi dahulu. Bahkan, pemimpin pula sibuk dengan pelbagai perkara dimana mereka seharusnya sibuk dengan bagaimana menjadikan negara ini seperti dahulu.

“Sebagai (ahli) generasi terdahulu yang masih hidup, saya berasa amat sedih,” katanya.

Pas sokong Mufti Pahang


Pas sokong Mufti Pahang
Pas mendakwa sudah masak dengan sikap dan pemahaman DAP terhadap Islam
yang membawa kepada putusnya hubungan antara dua parti itu.

DAP digesa supaya tidak campur tangan dalam urusan Jabatan Mufti yang mempunyai hak bagi mengeluarkan fatwa dan nasihat agama kepada umat Islam supaya bersatu menetang kemungkaran agama.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, parti itu sebulat suara menyokong pendirian Mufti Pahang, Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Osman yang mempertahankan teks khutbah Aidul Adha yang didakwa oleh pemimpin DAP sebagai fitnah.

“Khutbah yang berupa nasihat agama bagi umat Islam yang terikat dengan syarat dan rukun merupakan peringatan baik bagi umat Islam,” Katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Katanya, Pas sudah masak dengan sikap DAP berhubung pemahaman kepada Islam berdasarkan pengalaman mereka dengan parti itu yang membawa kepada putusnya hubungan antara kedua-dua parti.

“Majlis Syura membuat keputusan memutuskan hubungan dengan DAP kerana penentangan dan sikap melampau DAP terhadap kepimpinan Pas khususnya serangan ke atas Presiden yang membawa usul persendirian ke Parlimen.

“Penentangan DAP terhadap undang-undang Islam ini bukanlah perkara baru. Bahkan tindakan kepimpinan DAP menyokong beberapa program yang ditentang oleh umat Islam seperti Oktober Fest, unisex saloon di Kelantan dan lain adalah bukti umum bagaimana sikap DAP terhadap penghayatan amalan Islam bagi orang Islam,” katanya.

Bagaimanapun, Pas menggesa seluruh intitusi agama Islam supaya turut berperanan menentang kemungkaran yang dilakukan parti pemerintah yang melibatkan isu rasuah, salah guna kuasa, penyelewengan isu 1MDB dan isu derma yang dimasukan ke akaun peribadi Perdana Menteri.

“Golongan agamawan juga tidak sepatutnya bersekongkol dengan kemungkaran pemerintah dan tidak terjebak dengan budaya rasis yang cuba dipotret bagi menutup isu sebenar yang sedang dihadapi rakyat,” katanya.

Kadir Jasin: Ada persamaan kes Khir Toyo dan wang derma Najib


Kadir Jasin: Ada persamaan kes Khir Toyo dan wang derma Najib
Antara persamaan itu adalah alasan politik yang diberikan oleh kedua-dua
pihak dan juga dakwaan bahawa rakyat jelata
tidak akan rugi apa-apa terhadap apa yang berlaku.

Wartawan veteran, Datuk A. Kadir Jasin melihat terdapat beberapa persamaan mengenai kes rasuah bekas Menteri Besar Selangor Dr. Khir Toyo dan juga isu wang derma RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun Datuk Seri Najib Tun Razak.

Katanya, antara persamaan itu adalah alasan politik yang diberikan oleh kedua-dua pihak dan juga dakwaan bahawa rakyat jelata tidak akan rugi apa-apa terhadap apa yang berlaku.

“Dr. Khir menafikan penglibatannya tetapi Najib terus berdiam diri malah tidak menafikan pula kewujudan akaun peribadi RM2.6 bilion itu.

“Selain, para penyokong beliau (Najib) mendakwa wang itu adalah ‘derma’ daripada seorang dermawan misteri dari negara Arab,” tulisnya di blog.

Kadir berkata, sehingga kini barisan peguam Najib masih berdolak-dalik mengenai ancaman saman terhadap Wall Street Journal kerana mendedahkan isu wang derma tersebut walaupun ancaman saman itu dikeluarkan hampir tiga bulan lalu.

Beliau berkata, kes Dr. Khir juga akan menambah kebimbangan pihak yang terbabit atau dikaitkan dengan kontroversi syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Katanya, hukuman penjara selama 12 bulan terhadap Dr Khir juga memberi kesan psikologi yang positif kepada rakyat jelata.

“Rakyat dapat melihat bahawa tidak ada sesiapa pun berada di atas daripada undang-undang (above the law). Selain, pemimpin politik juga masih boleh disiasat, didakwa dan didapati bersalah mengikut undang-undang negara,” katanya.

Duta China selar pihak cuba peralat dirinya


Duta China selar pihak cuba peralat dirinya
Beliau membuat tinjauan di Petaling Street untuk menentukan sama ada
China perlu mengeluarkan amaran pelancongan kepada rakyatnya.

Duta Besar China ke Malaysia, Dr. Huang Huikang menyelar sikap sesetengah pihak yang cuba memperalatkan dirinya apabila menjadikan lawatannya ke Petaling Street pada Jumaat lepas sebagai isu untuk melaga-lagakan antara kerajaan Malaysia dengan China.

Malah katanya, beliau turut difahamkan bahawa terdapat tuduhan yang mengatakan bahawa beliau mempunyai tujuan tertentu yang dikaitkan dengan usaha menentang kerajaan Malaysia.

Menerusi wawancara dengan Sin Chew Daily, Huang berkata, lawatannya ke Pusat perniagaan yang dimonopoli oleh orang Cina itu adalah dengan niat yang ikhlas dan tidak harus dihebohkan sebagai usaha menentang kerajaan.

“Saya menyokong dan menghormati kerajaan Malaysia sepenuhnya.

“Selepas anda memperhalusi apa yang sedang berlaku, tiada seorang pun yang berfikiran waras akan mendakwa Duta Besar China campur tangan dalam politik Malaysia.

“Lawatan saya ke Petaling Street telah diputar belit dan disalah tafsir,” katanya.

Huang menjelaskan, lawatan beliau ke Petaling Street adalah sempena dengan Festival Kuih Bulan tidak lain untuk bergaul dengan masyarakat Malaysia selain melihat tahap keselamatan di Petaling Street.

Katanya, tinjauan di kawasan perniagaan di situ juga akan menentukan sama ada China perlu mengeluarkan amaran pelancongan kepada rakyatnya yang berniat melawat destinasi pelancongan berkenaan.

Huikang bagaimanapun tidak menyesal dengan pilihannya untuk melawat Petaling Street pada Jumaat lalu.

Tegasnya, lawatannya ke Petaling Street tidak mempunyai kaitan dengan mana-mana perhimpunan yang dijalankan di Malaysia tetapi mempunyai hubung kait dengan Festival Kuih Bulan.

“Saya pergi ke sana untuk mengagihkan kuih bulan. Tahu tak anda bahawa saya membawa dua jenis kuih bulan? Salah satu jenisnya ialah kuih bulan halal yang diagihkan kepada rakan Melayu,” katanya.

Ujar Huikang lagi, semasa berkunjung ke Petaling Street, beliau mengenakan baju batik dan membawa isterinya bersama.

“Ini menunjukkan program saya adalah secara bersantai dan saya melawat dengan hati yang ikhas.
“Saya tidak boleh membatalkan lawatan hanya kerana ada perhimpunan di situ pada keesokan harinya,” katanya.

Ketika melawat Jalan Petaling pada Jumaat lalu, Huikang dipetik sebagai berkata, kerajaan China menentang keganasan dan sebarang bentuk diskriminasi terhadap kaum serta sebarang bentuk ekstremisme.

Bendera Palestin akhirnya dikibar di Bangunan PBB


Bendera Palestin akhirnya dikibar di Bangunan PBB
Sebanyak 119 negara menyokong resolusi bagi membenarkan bendera Palestin
dikibarkan di PBB manakala lapan negara menolak
termasuk Amerika Syarikat, Israel dan Australia.

Bendera negara Palestin buat julung-julung kalinya mendapat tempat untuk dikibarkan di Bangunan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada Rabu (Khamis di Malaysia).

Kibaran bendera negara Asia Barat itu dilakukan selepas mengambil kira rayuan yang dibuat oleh pemimpinnya, Mahmoud Abbas pada perhimpunan Agung PBB pada Selasa (Rabu di Malaysia).

Dalam ucapannya, Mahmoud menegaskan agar negara-negara yang masih belum mengiktiraf Palestin supaya melakukannya.

Katanya, Palestin berhak mendapat keahlian penuh dan pengiktirafan sebagai sebuah negara dalam PBB.

Beliau menyampaikan ucapan itu sebelum majlis mengibarkan bendera Palestin di badan dunia itu buat pertama kali sebaris bersama 193 lagi bendera negara ahli PBB.

“Palestin adalah negara pemerhati di PBB, berhak untuk mendapat pengiktirafan dan keahlian penuh,” katanya yang dipetik daripada agensi berita AFP.

Pada 10 September lalu, Perhimpunan Agung PBB mengundi bagi membenarkan bendera Palestin dan Vatican dikibarkan di PBB.

Kedua-dua negara itu mempunyai status pemerhati.

Resolusi disokong 119 negara dengan 45 daripadanya berkecuali manakala lapan undi menolak termasuk Australia, Israel dan Amerika Syarikat.

Bilakah Adnan Yaakob dan EXCO Pahang akan isytihar harta?


Bilakah Adnan Yaakob dan EXCO Pahang akan isytihar harta?
Menteri Besar Pahang berjanji untuk mengisytiharkan harta termasuk barisan
 kepemimpinan negeri dalam tempoh dua hingga tiga minggu tetapi sehingga kini belum ditunaikan.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob dan barisan kepemimpinan negeri dituntut menunaikan janji untuk mengisyiharkan harta yang telah dibuat pada 25 Ogos lalu.

Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK), Lee Chean Chung berkata, pengisytiharan harta sepatutnya hanya mengambil masa dua hingga tiga minggu sahaja.

“Namun, saya mendapati tidak kelihatan sebarang tindakan susulan berikutan pengumuman Menteri Besar Pahang sebulan yang lalu sedangkan beliau berjanji bahawa pengisytiharan harta hanya akan mengambil masa kira-kira dua hingga tiga minggu.

“Persoalannya, adakah Kerajaan Pahang akan mengotakan janjinya dan mengisytiharkan harta Menteri Besar, Barisan 10 Exco Kerajaan Negeri, Setiausaha Kerajaan Negeri, Penasihat Undang-undang Negeri dan Pegawai Kewangan Negeri, ” katanya menerusi kenyataan media.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu itu berkata, masa yang terlalu panjang bagi menyediakan dokumen harta hanya akan menimbulkan kemusykilan orang ramai sama ada timbulnya sebarang kesulitan atau terdapat pengubahsuaian yang perlu dibuat dalam akaun mereka.

Katanya, pengisytiharan harta itu tidak harus dilaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sahaja, tetapi juga perlu dilaporkan di dalam media massa kerana semua warga Pahang berhak untuk mengetahui harta-harta yang dimiliki oleh pemimpin-pemimpin kerajaan.

“Ini merupakan cara yang terbaik bagi membuktikan integriti seseorang pemimpin.

“Saya berharap agar semua semua Menteri Kabinet termasuklah Perdana Menteri Dato Seri Najib Tun Razak yang berasal dari Pahang dapat meneladani tindakan Kerajaan Pahang dan umumkan hartanya dengan segera, bagi menjelaskan isu RM2.6 billion kutipan derma yang diterimanya,” katanya.

Ringgit jatuh: Pembantu rumah Indonesia tetap pilih Malaysia


Ringgit jatuh: Pembantu rumah Indonesia tetap pilih Malaysia
Nilai mata wang Indonesia, Rupiah, jauh lebih teruk berbanding Ringgit.

Biarpun Malaysia berhadapan masalah kejatuhan nilai Ringgit, pembantu rumah dari Indonesia tetap menjadikan negara ini sebagai pilihan utama untuk bekerja.

Ketua Umum Persatuan Perkhidmatan Tenaga kerja Indonesia (APJATI), Ayub Basalamah berkata, ini terbukti apabila jumlah wanita Indonesia yang mendaftar untuk bekerja di negara ini terus meningkat.

Ini kerana, katanya, walaupun nilai Ringgit semakin merosot tetapi nilainya masih lagi tinggi berbanding dengan Rupiah.

“Malaysia dan Indonesia seperti saudara kembar, namun Indonesia ditakdirkan mempunyai mata wang Rupiah yang nilainya lebih buruk daripada mata wang Malaysia.

“…Walaupun nilai ringgit Malaysia jatuh, ia tetap menarik minat pekerja Indonesia untuk bekerja di Malaysia,” katanya ketika dihubungi Free Malaysia Today.

Dia bagaimanapun tidak memiliki statistik terkini bagi menyokong kenyataannya itu.

Presiden Pertubuhan Kebangsaan Agensi Pekerjaan Malaysia (Pikap), Datuk Raja Zulkepley Dahalan sebelum ini dilaporkan berkata, Malaysia memerlukan kira-kira 30,000 pembantu rumah Indonesia, namun sehingga kini jumlah yang dibawa masuk secara sah kurang daripada 700 orang.

Kerajaan Indonesia menerusi Kedutaan Besarnya di negara ini dilaporkan telah menghantar surat cadangan kepada Kementerian Sumber Manusia supaya gaji pembantu rumah Indonesia dinaikan dari RM800 kepada RM1,200 sebulan.

Sekolah Vernakular rapatkan lagi perpaduan antara kaum


Sekolah Vernakular rapatkan lagi perpaduan antara kaum
Semua bangsa tidak dihalang memasuki sekolah Vernakular dan ini
memberi peluang kepelbagaian kepada masyarakat berbilang kaum.

Rakyat diminta supaya tidak bimbang dengan kewujudan sekolah Vernakular kerana ia tidak mendatangkan masalah kepada perpaduan masyarakat majmuk, kata Timbalan Menteri Pendidikan ll, P. Kalamanathan.

Sebaliknya, beliau berkata,, kewujudan sekolah Vernakular telah merapatkan lagi perpaduan antara kaum Melayu, Cina dan India.

“Sistem sekolah Vernakular ini memberi peluang kepada rakyat untuk ada kepelbagaian.

“Ini kerana sekolah Vernakular ini tidak sama sekali melarang mana-mana bangsa untuk belajar di sekolah berkenaan. Sebab itu, kita ada pelajar Melayu, India dan Cina.

“Sekolah-sekolah ini tak menyekat perpaduan..tidak sama sekali..Malah dalam kokurikulum dan mata pelejaran di Sekolah Vernakulkar menekankan unsur-unsur perpaduan dan kekitaan,” katanya kepada FMT.

Ahli Parlimen Hulu Selangor itu berkata, kerajaan tidak bercadang untuk menutup sekolah Vernakular sebaliknya memberi peruntukan untuk menambahbaik sekolah-sekolah itu.

Katanya, bagi meningkatkan lagi perpaduan pelbagai kaum, Kementerian Pendidikan perlu menambah lagi program-program perpaduan di peringkat sekolah rendah, menengah sehinggalah di universiti awam.

Tiada usul minta kerajaan Selangor pecat JKKK Pas – PKR Sg Besar


Tiada usul minta kerajaan Selangor pecat JKKK Pas – PKR Sg Besar
Berita itu direka dan disebarkan oleh blogger UMNO
dan BN untuk menimbulkan perbalahan dengan Pas.

PKR Cabang Sungai Besar menafikan mereka telah meluluskan usul yang meminta kerajaan Selangor memecat Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) daripada Pas.

Ketua Cabang, Mohamad Fauzi Ahmad sebaliknya mendakwa, berita itu sengaja disebarkan penulis blog UMNO bertujuan menimbulkan perbalahan dengan Pas.

“Saya menafikan dakwaan ini. Ia tidak benar. Malah, mereka juga memuatnaik gambar ketika mesyuarat sudah selesai untuk menunjukkan tidak ramai ahli PKR hadir mesyuarat sedangkan kehadiran 120 orang.

“Isu ini sengaja diputar belit oleh blogger UMNO dan BN, segala fitnah yang dibuat adalah hasil daripada kerja-kerja puak UMNO,” katanya kepada Free Malaysia Today.

Beberapa blog menyiarkan dakwaan kononnya PKR Cabang Sungai Besar telah meluluskan usul itu memecat Pas dan menggantikan Pengerusi JKKK daripada PKR, DAP dan Amanah.

Mohamad Fauzi berkata, mesyuarat cabang itu meluluskan tiga usul iaitu;

1.Mendesak kerajaan membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

2.Kerusi Parlimen Sungai Besar dan DUN Sungai Panjang yang dipegang Pas diserahkan kepada PKR.

3. Satu pengundi di Sungai Besar satu undi untuk PKR.

Dia berkata, tiga usul yang diluluskan itu akan diserahkan kepada PKR Negeri Selangor untuk membuat keputusan.

“Kami hanya mencadangkan dan kami terima segala keputusan PKR Negeri. Kami berdiri teguh dibelakang PKR Negeri dan kepimpinan Mohamed Azmin Ali sebagai Menteri Besar Selangor,” katanya.

DEIG mahu saman Faekah


DEIG mahu saman Faekah
DEIG telah menghantar notis tuntutan saman berhubung kenyataan
Faekah Husin kepada NST yang didakwa berbaur fitnah.

Kumpulan Pelaburan Darul Ehsan (DEIG) telah menghantar notis tuntutan saman terhadap bekas Ketua Pegawai Eksekutif, Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), Faekah Husin.

Notis itu dihantar menerusi peguam DEIG, Abu Bakar dan Yong yang mewakili MBI, DEIG dan Ketua Pegawai Operasi DEIG, Soffan Affendi Aminuddin pada 25 September lalu.

Tindakan notis saman tersebut dibuat susulan artikel yang disiarkan New Straits Times bertajuk ” WHY NO STATE OFFICIALS IN DEIG” yang didakwa fitnah untuk merosakkan reputasi dan nama baik mereka.

Notis itu menyatakan antara lain kenyataan yang dibuat Faekah yang disiarkan NST telah mencemarkan nama DEIG, mengamalkan rasuah dan tidak amanah apabila menuduh DEIG menyalahgunakan aset Kerajaan Negeri Selangor.

“…DEIG dituduh terlibat dalam urus niaga dan transaksi yang meragui, COO Soffan Affendi Aminuddin sebagai tidak amanah, jujur dan mengamalkan rasuah dan akan gunakan kedudukkannya untuk menyalah guna aset Kerajaan Negeri Selangor dengan amalan transaksi mencurigai dan amalan rasuah ,”

Sementara itu, Faekah yang dihubungi FMT berkata, dia telah menerima notis daripada peguam MBI yang menyatakan dia telah mengeluarkan kenyataan berbuar fitnah serta memintanya menarik balik kenyataan itu.

“Saya melihat tindakan ini sebagai taktik Menteri Besar Selangor untuk menekan dan menakut-nakutkan pengkritik beliau dengan ancaman tindakan mahkamah.

“Sebelum ini, Selangor mengamalkan dan memperjuangan kebebasan bersuara dan kebebasan maklumat. Nampaknya zaman Menteri Besar sekarang ia telah tercemar.

“Saya hanya mahukan Azmin memberi jawapan jelas dan tepat berkenaan isu DEIG kerana ia telah dibangkitkan wakil rakyat kerajaan dan pembangkang.

“Tindakan mengugut dan saman tidak akan dapat menutup hak rakyat daripada mengetahui perkara sebenar apatah lagi DEIG telah diberikan amanah untuk mengurus aset Selangor berjumlah RM30 bilion,” katanya.

Faekah berkata, dia telah meminta peguamnya untuk menyemak notis itu dan mengambil tindakam selanjutnya.

Rahim Tamby Chik: Kita dah update di FB dan Twitter


Rahim Tamby Chik: Kita dah update di FB dan Twitter
Dewan di-Raja Selangor mengecam tindakan Rahim Tamby Chik yang
telah menimbulkan cemuhan masyarakat Islam terhadap Raja Muda dan Sultan Selangor.

Tan Sri Rahim Tamby Chik berkata, beliau telah meminta maaf berhubung statusnya di Facebook yang menuduh Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah telah memeluk Kristian Katholik.

“Kita dah ‘update’ dalam Twitter dan Facebook,” katanya ketika dihubungi FMT.

Bekas Ketua Menteri Melaka itu bagaimanapun tidak menyatakan sama ada beliau bersedia memohon maaf secara bertulis kepada Istana Selangor.

Pada 29 September, Rahim memuatnaik status di Facebook untuk permohonan maaf secara terbuka apabila menuduh Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah telah menukar agama.

“Mengenai penulisan saya dalam Twitter dan FB mengenai DYTM Raja Muda Selangor menukar agama kepada Katholikisme, saya mengaku ini adalah dari sumber yang tidak dapat ditentukan kesahihannya.

“Saya dengan ikhlas memohon maaf diatas ketidakselesaan dan kesulitan yg mungkin dirasai oleh DYMM Sultan Selangor, DYTM Raja Muda Selangor dan Istana Selangor

Dewan di-Raja Selangor menerusi kenyataan media mengecam tindakan Rahim itu dan menganggapnya berniat jahat dan mempunyai unsur-unsur fitnah.

Katanya, tulisan Rahim itu telah menimbulkan tanggapan buruk dan cemuhan masyarakat Islam terhadap Raja Muda dan Sultan Selangor.

Pembangkang, NGO desak Anwar terima rawatan di luar negara


Pembangkang, NGO desak Anwar terima rawatan di luar negara
Pembangkang, NGO desak Anwar terima rawatan di luar negara

Gabungan 22 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan empat parti pembangkang mendesak Kementerian Kesihatan memenuhi permintaan keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya Ketua Umum PKR itu menerima rawatan di luar negara.

Ketua Pemuda DAPSY, Teo Kok Seong berkata, desakan itu kerana Kementerian Kesihatan dan Ketua Panel Pakar Perubatan, Datuk Dr Jeyaindran Sinnadurai gagal mengambil berat mengenai ‘Hipocratic Oath’ dalam memberikan perkhidmatan kesihatan terbaik.

“(Mereka) tidak memberikan perkhidmatan penjagaan kesihatan berkualiti tinggi kepada pesakit.
“Anwar kini diasak dengan pengurusan rawatan kesihatan yang teruk serta mengalami penyusutan berat badan, tekanan darah tidak menentu, gastrik, artritis dan otot bahu terkoyak,” katanya.

Dia berkata demikian sebelum menyerahkan Memorandum Hak Perubatan Rawatan Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada wakil Menteri Kesihatan pada Rabu.

Ahli Parlimen Rasah itu berkata, doktor panel yang merawat Anwar turut melengahkan-lengahkan rawatan.

Katanya, Anwar juga sewajarnya diberikan pilihan untuk memilih pakar-pakar untuk memeriksanya yang melibatkan pembedahan mikro atau penggantian bahu.

Katanya, Anwar wajar diberi rawatan di luar negara kerana Penjara Sungai Buloh kekurangan fasiliti dan kemudahan rawatan perubatan.

Saifuddin terima surat tunjuk sebab, tunggu ilham jawab


Saifuddin terima surat tunjuk sebab, tunggu ilham jawab
Surat itu diterima pada 28 September dan beliau diberi tempoh 14 hari untuk menjawab.

Bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Saifuddin Abdullah mengesahkan telah menerima surat tunjuk sebab daripada Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Surat tunjuk sebab itu berkenaan kehadirannya di majlis pelancaran gabungan baharu parti pembangkang, Pakatan Harapan pada 22 September lalu.

Beliau memaklumkan kepada FMT, surat tunjuk sebab itu bertarikh 22 September tetapi hanya menerimanya pada 28 September yang dihantar secara serahan tangan ke pejabatnya.

Saifuddin berkata, Ibu Pejabat UMNO memberikan tempoh 14 hari untuknya menjawab surat tunjuk sebab mengenai kehadiran di program itu.

“Saya sedang menunggu ilham untuk menjawab (surat tunjuk sebab),” katanya ringkas menerusi aplikasi WhatsApps.

Media melaporkan Pengerusi Lembaga Disiplin Parti, Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas berpendapat Saifuddin tidak melakukan sebarang kesalahan dengan menghadiri program pembangkang itu.

Ditanya pandangan Megat Najmuddin itu, Saiuddin menjawab;

“Tan Sri Megat seorang yang saya hormati, saya tak boleh komen kenyataan kerana saya telah menerima suart tunjuk sebab daripada Ku Nan (Tengku Adnan) selaku Setiausaha Agung UMNO (SUA).

Dalam masa lain, Saifuddin turut berkata surat tunjuk sebab itu tidak akan membataskan pergerakannya untuk terus aktif ke mana-mana majlis kerajaan mahupun pembangkang.

“Saya macam biasa. Surat itu tak membataskan apa-apa,” katanya.

Cina ada China tetapi Melayu hanya ada Malaysia -Jamal Yunos


Cina ada China tetapi Melayu hanya ada Malaysia -Jamal Yunos
Beliau membuat tafsiran itu berdasarkan kenyataan Duta China
yang prihatin dengan kegusaran masyarakat Cina di negara.

Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Jamal Md Yunos mengingatkan orang Cina bahawa mereka mempunyai tempat asal di republik China jika tidak lagi mahu tinggal di negara ini.

Beliau membuat tafsiran itu berdasarkan kenyataan Duta Besar China, Dr Huang Huikang yang prihatin dengan kegusaran Cina di negara ini yang bimbang jika berlaku kejadian tidak diingini.

“Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih dan penghargaan di atas keprihatinan Dr Huang Huikang, Duta Besar China ke Malaysia yang mengambil berat tentang permasalahan masyarakat Cina.

“Ini adalah satu mesej yang jelas bahawa, bangsa Cina ini mempunyai tempat untuk mengadu dan membela nasib mereka selain daripada Malaysia.

“Mereka mempunyai tanah atau negara asal mereka di Tanah Besar China dan jika apa-apa berlaku atas mereka, mereka masih lagi ada tempat untuk bergantung harap,” katanya menerusi blog ragampolitiksemasa.wordpress.com

Dalam masa sama, Jamal mengingatkan orang Melayu supaya sedar dengan hak mereka sebagai sebuah bangsa di tanah air ini.

Katanya, orang Melayu perlu mempertahankan setiap inci tanah di negara ini kerana ia merupakan hak bersama.

“Tidak ada tempat lain untuk kita selain dari tanah Malaysia yang tercinta ini. Jadi, ayuhlah kita bangkit dan bersatu atas nama Melayu dan Islam untuk menjaga tanah tumpah darah kita dari sebarang ancaman dan eksploitasi yang nyata atau tersirat,” ujarnya.

Pas tidak akan keluar dari kerajaan Selangor – Iskandar Samad


Pas tidak akan keluar dari kerajaan Selangor – Iskandar Samad
Pas berpendirian Selangor dirampas daripada Barisan Nasional dalam
PRU13 oleh Pakatan Rakyat bukan Pakatan Harapan.

Pas Selangor menegaskan tidak ada sesiapa yang berhak mendesak parti itu keluar dari pentadbiran kerajaan negeri susulan keengganan parti itu menyertai Pakatan Harapan.

Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, kejayaan menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam PRU13 lalu hasil gabungan Pas, PKR dan DAP dalam Pakatan Rakyat (PR) bukannya Pakatan Harapan.

“Negeri Selangor dirampas bersama dari BN oleh Pas, PKR dan DAP bukan Pakatan Harapan,” katanya kepada Free Malaysia Today.

Naib Presiden Pas itu menambah, Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali telah menegaskan bahawa penubuhan Pakatan Harapan tidak mempunyai kaitan dengan pentadbiran kerajaan negeri Selangor.

Berpegang teguh dengan kenyataan Menteri Besar, Pas Pusat telah bersetuju untuk parti itu kekal dalam kerajaan Selangor.

“Malah Pas Pusat bersetuju dan mengarahkankami terus bersama di dalam kerajaan Selangor,” katanya.

Mengulas lanjut, Iskandar berkata, penubuhan Pakatan Harapan adalah strategi politik untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang dan ia tidak mempunyai kaitan dengan Pas.

“Pakatan Harapan adalah strategi politik untuk menghadapi PRU14,” katanya.

Warga India tampar Imam dihantar ke Hospital Bahagia


Warga India tampar Imam dihantar ke Hospital Bahagia
Shabir Ahmad Khan mengaku bersalah atas tuduhan menampar imam,
menganggu perhimpunan keagamaan dan tinggal melebihi tempoh.

Mahkamah Majistret memerintahkan lelaki warga India yang ditahan selepas menampar seorang imam ketika solat Jumaat di hantar Hospital Bahagia .untuk menjalani penilaian psikiatri.

Perintah itu dikeluarkan oleh Majistret Siti Radziah Kamardin dan menetapkan tarikh sebutan semula pada 30 November.

Tertuduh, Shabir Ahmad Khan menghadapi tuduhan di bawah Seksyen 323 dan 296 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan pada Imam Mohd Zuhairee Mohd Yatim dan menganggu perhimpunan keagamaan.

Tertuduh juga didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959 kerana tinggal melebihi tempoh di negara ini.

Shabir mengaku bersalah terhadap ketiga-tiga pertuduhan itu.

Pada 18 September, tertuduh ditahan selepas menampar imam dan cuba mengalih alih mengimamkan solat Jumaat di Masjid Negara.

Siasatan awal mendapati, Shabir mendakwa dia mendengar ‘suara halus’ yang mengarahnya mengambil alih menjadi imam.

Kajang tiada masalah, tak perlu demo – Wan Azizah


Kajang tiada masalah, tak perlu demo – Wan Azizah
Rancangan Jamal itu hanya taktik untuk mengalihkan isu yang
lebih besar yang melibatkan negara dan seluruh rakyat.

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menasihatkan Pengerusi Gabungan NGO Melayu, Datuk Jamal Md Yunos melupakan rancangan mengadakan demontrasi di Kajang.

Ini kerana kata Ahli Dewan Undangan (ADUN) Kajang itu, kawasan Kajang tidak menghadapi sebarang masalah dan tindakan mengadakan demonstrasi adalah tidak wajar.

Beliau sebaliknya berkata, rancangan Jamal itu hanya cubaan untuk mengalihkan isu yang lebih besar melibatkan negara dan seluruh rakyat.

“Buat apa buat demonstrasi di Kajang, ini taktik mengalihkan isu.

“Buatlah pasal jerebu, syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) dan masalah yang mengaitkan Perdana Menteri,” katanya pada sidang media pada Rabu.

Jamal dilaporkan bercadang untuk mengadakan satu lagi perhimpunan “berskala besar” di Kajang.
Tindakan itu dibuat kerana Presiden PKR itu didakwa tidak memenuhi janji pilihan raya sejak dua tahun lalu selepas dipilih menjadi wakil rakyat.

Jamal berkata, perincian mengenai perhimpunan tersebut akan dimaklumlkan dalam sidang media pada 11 Oktober depan.

Tags: bahasa, Jamal Md Yunos, Wan Azizah Wan Ismail, Kajang

MCA, Gerakan minta DAP bertaubat kerana cetus perkauman


MCA, Gerakan minta DAP bertaubat kerana cetus perkauman
DAP 'merampas' sepenuhnya Perhimpunan Besar 4.0 dengan niat buruk mencapai agenda
politik melalui kuasa demonstrasi jalanan

Parti DAP diminta supaya bertaubat dan meminta maaf kerana menjadi dalang dalam mencetuskan api perkauman semasa perhimpunan Bersih 4.0 baru-baru ini.

Perkara itu ditegaskan oleh pemimpin Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) dan MCA.
Setiausaha Agung Gerakan, Datuk Liang Teck Meng menegaskan, perhimpunan Bersih 4.0 jelas ‘dirampas’ sepenuhnya oleh DAP dengan niat buruk mencapai agenda politik mereka melalui kuasa demonstrasi jalanan.

“Demonstrasi Bersih 1, 2 dan 3 sebelum ini tidak menerima apa-apa tindak balas politik kerana sentimen perkauman dan keagamaan tidak diusik. Dalam Bersih 4.0 yang didalangi DAP, para penyokongnya memijak gambar pemimpin Melayu (Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Selain itu, mereka (penyokong DAP) buat istiadat pengebumian, memukul gambar guna penyapu dan ia menyinggung emosi orang Melayu,” ujarnya pada sidang media bersama Ketua Biro Keharmonian Agama MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker pada Rabu.

Menurut Teck Meng yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam, tindakan itu mencetuskan tindak balas berbau perkauman menerusi Himpunan Rakyat Bersatu atau Baju Merah pada 16 September lalu.

Malah, ada peserta dalam Himpunan Rakyat Bersatu itu memegang sepanduk supaya menghapuskan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) yang padanya juga akan mencetuskan rasa kurang senang kaum Cina.

“Kami juga ingin menegur pelampau demonstrasi Baju Merah kerana ada dalam kalangan mereka juga membuat perkara yang berbau perkauman seperti kes Petaling Street,” jelasnya.

Dalam pada itu, Lian Ker memuji tindakan Polis Diraja Malaysia kerana bertindak tegas ke atas dalang kedua-dua perhimpunan sama ada Bersih 4.0 dan Baju Merah.

“Kami ingin mengingatkan penyokong DAP dan Baju Merah supaya menghentikan tindakan negatif mereka dengan segera dan pihak berkuasa perlu ambil tindakan tegas,” katanya.

IPU berbeza dengan Singapura, Kerajaan tidak bohong


IPU berbeza dengan Singapura, Kerajaan tidak bohong
Kiraan IPU di Malaysia adalah berdasarkan standard protokol antarabangsa iaitu
United States Environmental Protection Agency (USEPA).

Kerajaan tidak berbohong atau menyembunyikan fakta apabila bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) menunjukkan perbezaan ketara antara Johor dan Singapura.

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Ir Hamim Samuri berkata, perbezaan itu kerana negara ini menggunakan sistem berbeza berbanding Singapura tetapi masih mematuhi piawaian antarabangsa.

“Kiraan IPU di Malaysia adalah berdasarkan standard protokol antarabangsa iaitu United States Environmental Protection Agency (USEPA).

“Tuduhan di laman sosial (berkenaan indeks bacaan IPU Johor dan Singapura) kerajaan tidak bohong. Panggillah mana-mana pakar seluruh dunia (untuk buktikan kaedah kita ikut piawaian antarabangsa),” katanya pada sidang media khas berkaitan jerebu di sini pada Rabu.

Hamim berkata, Malaysia akan melaksanakan sistem IPU seperti Singapura yang menggunakan pengukuran pencemar 2.5 mikrometer (PM2.5) selewat-lewatnya pada 2017.

Di negara ini, katanya, Rangkaian Stesen Pengawasan Kualiti Negara hanya membaca dan mengukur lima parameter termasuk PM10, berbanding Singapura yang mempunyai enam parameter.

Katanya, kiraan IPU berdasarkan parameter PM2.5 akan memberikan bacaan yang lebih tinggi berbanding kiraan IPU PM10.

Apabila ditanya mengapa negara ini lewat memasang PM2.5 berbanding Singapura, Hamim menjelaskan;

“Jawapan jujur mudah saja. Negara Singapura kecil tak perlu mesin yang banyak. Kita satu Malaysia, Semenanjung dan Sabah Sarawak,” ujarnya.

Katanya, kerajaan peka dengan perkara itu dan telah memasukkan peruntukan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11).

Bantah kementerian tangguh ambil guru bahasa ibunda


Bantah kementerian tangguh ambil guru bahasa ibunda
Beliau menegaskan banyak lagi kaedah lain yang boleh diambil
 kementerian untuk menjimatkan perbelanjaan.

Timbalan Menteri Pendidikan ll, P. Kamalanathan membantah cadangan Kementerian Pendidikan untuk menangguhkan pengambilan guru-guru bahasa Ibunda (Pupils’ Own Language- POL) atas alasan untuk mengurangkan kos.

Menyifatkan langkah itu sebagai tidak bijak, Kamalanathan berkata, banyak lagi perbelanjaan lain yang boleh dijimatkan.

“Pengambilan guru-guru POL perlu diteruskan dan kerajaan tidak boleh menghentikan atau menangguhkannya kerana ia melibatkan kepentingan pendidikan di Malaysia.

“Amat penting untuk anak-anak menguasai bahasa ibunda masing-masing dalam peringkat pendidikan awal.

“Ia juga akan memudahkan proses pembelajaran anak-anak di sekolah,” katanya dalam satu sidang media selepas merasmikan Seminar Program Susu 1Malaysia di Hotel Hilton pada Rabu.

Sehubungan itu, beliau akan menghantar permohonan untuk meminta kementerian membatalkan cadangan itu.

Kamalanathan turut memetik saranan United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization (UNESCO) yang pernah mengeluarkan kenyataan bahawa bahasa ibunda harus dijadikan bahasa utama dalam pembelajaran.

“Sekiranya kerajaan mahu mengurangkan atau memotong kos bil utiliti atau kos-kos lain, tidak mengapa. Tetapi jangan melibatkan kesan kepada pembelajaran anak-anak di sekolah,” katanya.

Kementerian Pendidikan dilaporkan telah memperkenalkan enam langkah untuk mengurangkan perbelanjaan bagi menjimatkan kos.

Antaranya, menangguhkan pengambilan guru-guru POL, menyekat pelajar untuk mengambil bahagian di pertandingan antarabangsa, memantau bil utiliti dan memotong pembaziran elektrik, air, telekomunikasi.

Raja Muda Selangor tidak murtad


Raja Muda Selangor tidak murtad
Kenyataan Abdul Rahim Thamby Chik berbaur hasutan dan mempunyai unsur-unsur fitnah
yang boleh membangkitkan perasaan benci umat Islam kepada Raja Muda dan Sultan Selangor.

By Hanafisah binti Jais – Setiausaha Dewan di­Raja Selangor
Dewan di­Raja Selangor merasa amat dukacita di atas kenyataan tidak bertanggungjawab yang dikeluarkan oleh Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik di dalam akaun facebook beliau yang diterima pada 25 September 2015, memberi komen tentang pertukaran agama oleh Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.
Dewan di­Raja Selangor dengan ini menafikan sekeras­kerasnya segala tohmahan dan fitnah berkaitan kenyataan ini yang merupakan satu pembohongan dan fitnah semata­mata.
Berikut dipetik kenyataan beliau:
“Berita pertukaran agama oleh putera Sultan Selangor, Tengku Amer Shah, ke Katholikisme amat menyedihkan umat Islam di seluruh Negara dan dunia.
“Kesedihan ini ditambah dengan 2 tragedi timpa umat Islam di Mekah dan Arafah. Moga hasrat Sultan Selangor bertemu Pope di Vatican City akan berhasil.”
Setelah membaca kandungan kenyataan yang dikeluarkan oleh Tan Sri Rahim Thamby Chik tersebut, Dewan di­Raja Selangor berpendapat dan merumuskan bahawa kenyataan tersebut berbaur hasutan dan mempunyai unsur­unsur fitnah yang boleh membangkitkan perasaan benci umat Islam kepada Raja Muda dan Sultan Selangor.
Dewan di­Raja melahirkan kekesalan kerana Tan Sri Rahim Thamby Chik tiada langsung mengambil sebarang langkah untuk menyemak terlebih dahulu kesahihan sebarang posting yang dibuat oleh portal-portal luar sebelum memberi pendapat dan komen beliau.
Adalah amat mudah bagi beliau untuk membuat semakan bagi menentukan kebenaran berita berkenaan sekiranya beliau mempunyai sifat tanggungjawab.
Tambahan pula posting tersebut telah diviralkan pada tahun lepas dan penafian telah dibuat oleh Ketua Polis Negara di akhbar­akhbar berikutan dengan satu laporan polis yang dibuat oleh pihak istana.
Tindakan Rahim Thamby Chik memberi komen terhadap berita palsu ini dirasakan sengaja dilakukan dengan niat jahat (dishonest intention) bagi mencemar dan mempersoalkan akidah Raja Muda Selangor sebagai seorang Islam dan secara langsung menyatakan Raja Muda Selangor telah murtad.
Akibat dari komen beliau ini terdapat banyak respon dan komen yang dibuat oleh orang ramai terutama umat Islam yang menunjukkan kemarahan, kebencian, cacian mereka terhadap Raja Muda Selangor dan Sultan Selangor.
Di samping itu, kenyataan beliau yang menyatakan Sultan Selangor akan bertemu Pope di Vatican City juga jelas merupakan satu pembohongan dan fitnah dan tidak seharusnya dikeluarkan oleh beliau yang merupakan bekas Ketua Menteri dan Timbalan Menteri.
Kenyataan beliau ini juga perlu dibenteras bagi mengelakkan umat Islam dari terus mempercayai dan menyebarkan pembohongan dan fitnah ini yang boleh mengakibatkan mereka tergelincir menjadi golongan fasik.
Di dalam masa yang sama Dewan di­Raja Selangor ingin memaklumkan bahawa Raja Muda ketika ini sedang menjalani latihan pegawai kadet di Akademi Tentera di­Raja Sandhurst, United Kingdom.
Sekembalinya Baginda ke Negara, Baginda akan ditauliahkan di dalam perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia. Dewan di­Raja Selangor menyeru agar Rahim Thamby Chik memberhentikan dengan serta­merta segala tindak­tanduknya menyebarkan berita palsu dan pembohongan ini.
Penulis adalah Setiausaha Dewan di­Raja Selangor

Ringgit terus jatuh tapi PM tidak ambil tahu, dakwa Pas


Ringgit terus jatuh tapi PM tidak ambil tahu, dakwa Pas
Seperti tidak wujud lagi kerjasama antara Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Negara
ekoran siasatan terhadap 1MDB yang menjadi antara punca nilai Ringgit terus merosot.

Pas mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak langsung tidak mengambil tahu kejatuhan nilai Ringgit yang semakin merosot setiap hari.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Najib tidak memberi sebarang reaksi dan tidak membuat kenyataan berhubung kemerosotan nilai Ringgit itu.

Katanya, semua kenyataan tentang kejatuhan Ringgit hanya keluar daripada Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz yang mencadangkan negara mengukuhkan kedudukan domestik bagi menghadapi cabaran kejatuhan ringgit.

Katanya, senario itu menunjukkan tiada lagi kerjasama antara Menteri Kewangan dan Gabenor BNM susulan siasatan yang dilakukan BNM terhadap 1MDB yang berkait rapat dengan Perdana Menteri.

“Pas bimbang sudah tidak wujud kerjasama antara Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Negara ekoran siasatan terhadap 1MDB yang menjadi antara punca nilai ringgit negara terus merosot mencecah RM4.45 bagi USD1,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Tuan Ibrahim berkata, Zeti hanya boleh berfungsi sepenuhnya sekiranya mendapat kerjasama penuh seorang Menteri Kewangan yang dapat fokus kepada tugasnya tanpa risau apa-apa skandal yang akan timbul kerana cuba menutup masalah di 1MDB.

Sehubungan itu, Pas mengulangi desakan Najib melepaskan jawatan Menteri Kewangan dan memberi tumpuan sepenuhya untuk menyelesaikan isu 1MDB.

“Perdana Menteri patut tumpu sepenuh perhatian untuk menyelesaikan masalah 1MDB. Tempoh 6 bulan yang diberi Perdana Menteri pada ahli-ahli UMNO pada 14 Jun 2015, kini hanya tinggal 3 bulan sahaja,” katanya.

Nazri akui kesilapan


Nazri akui kesilapan
Beliau akui tidak tahu Menteri Luar telah mengarahkan
Timbalan Menteri Luar memanggil Duta China ke Wisma Putra.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz mengakui kesilapannya apabila mencampuri urusan Kementerian Luar yang melibatkan isu memanggil Duta China ke Wisma Putra.

Ahli Parlimen Padang Rengas itu bagaimanapun menegaskan beliau tidak mempunyai sebarang niat untuk campur tangan dalam urusan kementerian itu.

“Saya tahu telah melakukan kesilapan dalam hal ini kerana tidak jelas dengan arahan Menteri Luar yang sebenarnya telah mengarahkan Timbalannya untuk berbuat demikian.

“Saya tidak mempunyai apa-apa niat lain dalam perkara itu,” Katanya yang dipetik dari Sin Chew Daily.

Mengulas lanjut mengenai tegurannya terhadap Timbalan Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang didakwanya tidak ikut protokol, Nazri berkata, sejak 16 tahun berada dalam Kabinet, beliau tidak pernah mengetahui bahawa seorang Timbalan Menteri Luar boleh memanggil duta dari negara lain.

Katanya, apa yang diketahui adalah hanya Menteri Luar sahaja yang boleh memanggil duta.
“Biasanya apabila seorang menteri kabinet berada di luar negara, tugas akan dipangku oleh seorang lagi menteri kabinet dan bukan timbalannya.

“Kesimpulannya hanya menteri Kabinet boleh mengambil alih tugas-tugas Menteri Luar.

“Oleh itu, saya fikir Menteri Luar tidak membuat keputusan memanggil duta kerana dia berada di New York pada masa itu. Saya tidak tahu bahawa menteri telah membuat keputusan itu kerana ia bukan satu amalan biasa bagi seorang timbalan menteri untuk memanggil duta.” katanya.

Dalam pada itu Nazri masihatkan Duta China ke Malaysia, Dr Huang Huikang supaya tidak bimbang untuk datang ke Wisma Putra bagi memberi penjelasan kepada kerajaan Malaysia berhubung kenyataannya.

Undi tidak percaya terhadap Najib tindakan demokratik – Tun M


Undi tidak percaya terhadap Najib tindakan demokratik – Tun M
Usul undi tidak percaya tidak pernah berlaku terhadap mana-mana Perdana Menteri
sebelum ini tetapi perlu dilakukan kerana Najib Tun Razak
 tidak lagi mendapat sokongan ahli parlimen.

Perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan seseorang Perdana Menteri perlu meletakkan jawatannya jika beliau tidak lagi mendapat sokongan ahli parlimen.

Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menjelaskan, tindakan untuk mengadakan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Sri Najib Razak sememangnya satu tindakan yang demokratik.

Dr. Mahathir berkata demikian bagi membidas kenyataan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang menyatakan Aturan Mesyuarat Parlimen tidak membenarkan langkah sedemikian diambil sekaligus tidak akan membenarkan usul undi tidak percaya dibentangkan di Parlimen.

“Jadi, adakah Speaker cuba untuk mengetepikan Perlembagaan?” soal Dr Mahathir.

Menulis di blognya, Dr Mahathir turut mengakui bahawa usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri tidak pernah berlaku terhadap mana-mana Perdana Menteri di Malaysia sebelum ini.

Keadaan itu sama juga apabila tiada seorang pun Perdana Menteri di negara ini pernah menerima wang derma sebanyak RM2.6 bilion di dalam akaun peribadi selain terlibat dalam skandal kewangan dan dakwaan pembunuhan.

“Tetapi Najib terlibat dalam semua ini,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata, Malaysia kini dalam pemerhatian pihak antarabangsa, yang mana media asing dan warga luar sering bertanya mengenai apa yang sedang berlaku kepada negara ini.

“Kita rasa malu tetapi kita tak mampu berbuat apa-apa mengenainya. Orang yang mampu berbuat sesuatu langsung tidak ada rasa malu. Mereka secara terbuka mengaku menerima wang berjuta-juta daripada Perdana Menteri. Ini rasuah yang paling teruk.

“Mereka menyokong Perdana Menteri kerana beliau memberi mereka wang, wang yang beliau tidak dapat jelaskan dengan sebarang kredibiliti yang ia diperoleh secara sah,” jelasnya.

Bung Mokhtar nasihat menteri kabinet jangan campur urusan kementerian lain


Bung Mokhtar nasihat menteri kabinet jangan campur urusan kementerian lain
Nasihat itu bagi mengelak salah faham dan percanggahan tugas.

Menteri-menteri Kabinet di negara ini dinasihatkan supaya tidak mencampuri urusan kementerian lain.

Sebaliknya, setiap menteri sepatutnya menjaga kementerian yang telah diberi tanggungjawab oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Nasihat itu diberikan oleh Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Raden apabila isu percanggahan antara menteri berhubung isu jemputan Duta China ke Wisma Putra.

“Saya berpendapat menteri di Malaysia ini masing-masing ada kementerian yang perlu dijaga tanpa perlu masuk campur urusan kementerian lain,” katanya kepada Free Malaysia Today.

Bung Mokhtar berkata, sekiranya isu campur tangan kementerian lain terus berlaku ia akan menimbulkan salah faham dan percanggahan tugas.

“Kalau ada cubaan campur tangan ia akan menimbulkan salah faham dan pengurusan bercanggah,” katanya.

Kontroversi timbul apabila Timbalan Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican memanggil Duta China, Dr Huang Huikang ke Wisma Putra untuk mendapatkan penjelasan berhubung kenyataannya mengenai perhimpunan di Petaling Street.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaam, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz mendakwa Reezal melanggar protokol kerana hanya menteri layak memanggil duta.

Pemangku Menteri Luar, Datuk Hamzah Zainuddin akhirnya membatalkan arahan memanggil Dr Huang oleh Wisma Putra.

Bagaimanapun, Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman menjelaskan beliau tidak pernah mengeluarkan arahan supaya Wisma Putra membatalkan perkara itu.

Beliau juga kecewa kerana campur tangan menteri lain dalam isu berkenaan.

Nazri kemudian meminta maaf kerana tersilap dan menegaskan beliau tiada niat mencampuri urusan kementerian luar.

Guan Eng didesak singkir Pas dari kerajaan Pulau Pinang


Guan Eng didesak singkir Pas dari kerajaan Pulau Pinang
Desakan itu susulan kenyataan Lim Guan Eng bahawa Kerajaan Pulau Pinang
sebuah kerajaan Pakatan Harapan yang didokong DAP, PKR dan Amanah.

Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang mendesak pemimpin Pas yang mempunyai jawatan dalam kerajaan negeri supaya melepaskan jawatan masing-masing sebelum hujung tahun ini.

Ketuanya, Asrol Sani Razak berkata, desakan itu dibuat susulan keputusan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang mengisytiharkan Pulau Pinang sebagai sebuah kerajaan Pakatan Harapan dokongan DAP, PKR dan Amanah.

“Saya mahu mereka (pemimpin Pas) melepaskan jawatan mereka, termasuk Salleh Man yang merupakan pemimpin Pas. Mereka diberi tempoh sehingga hujung tahun ini,” katanya dalam sidang media di Pejabat PKR di Seberang Jaya pada Selasa.

Asrol turut menggesa supaya jawatan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) yang kini disandang oleh pemimpin Pas digantikan dengan pemimpin dari PKR yang kini sedang memegang jawatan sebagai timbalan.

Dia turun mencadangkan supaya segala kekosongan jawatan yang akan ditingalkan Pas, perlu diisi oleh wakil PKR memandangkan ia merupakan parti kedua terbesar dalam Pakatan Harapan Pulau Pinang.

“Harus ditegaskan bahawa PKR juga merupakan parti kedua terbesar Pakatan Harapan Pulau Pinang dengan 10 orang Adun,” katanya

Kenyataan tersebut turut disokong, Ketua Wanita Keadilan Pulau Pinang, Nur Zarina Zakaria, bahawa wakil Pas harus digugurkan dari jawatan kerajaan negeri ekoran parti Islam itu tidak lagi bersama gabungan parti pembangkang.

Sehubungan itu, AMK dan Wanita PKR Pulau Pinang akan membawa isu tersebut kepada pihak atasan parti itu bagi membincangkan perkara tersebut dengan lebih lanjut.

Rakaman empat lelaki rompak kedai emas jadi viral


Rakaman empat lelaki rompak kedai emas jadi viral
Rakaman empat lelaki rompak kedai emas jadi viral

Empat lelaki bersenjatakan pistol dan penukul besi berjaya melarikan barangan kemas selepas merompak sebuah kedai emas di Jalan Medan Kurau 1, Chai Leng Park, Butterworth Pulau Pinang pada Selasa.

Berdasarkan maklumat, kejadian dikatakan berlaku kira-kira jam 11.34 pagi.

Gerak geri keempat-empat suspek itu telah dirakam oleh orang awam yang kemudian di muat naik ke internet untuk dikongsi di laman sosial dan turut disebar menerusi aplikasi Whatsapp.

Video berdurasi 1.08 minit yang tersebar itu menunjukkan seorang lelaki yang ditangannya memegang sepucuk pistol menunggu di luar kedai emas berkenaan sambil berjalan mundar mandir dipercayai sedang mengawal kehadiran polis.

Beberapa saat kemudian, tiga lagi rakannya meluru keluar dari kedai emas berkenaan dan keempat-empat suspek terbabit kemudian melarikan diri dengan menggunakan dua buah motosikal kapcai.

Sebelum itu, suspek yang memegang pistol telah melepaskan satu das tembakan ke udara dipercayai sebagai tanda amaran kepada orang ramai yang berada di sekitar kawasan berkenaan.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Datuk Zakaria Ahmad yang dihubungi Bernama mengesahkan kejadian itu.

Katanya, semasa kejadian, terdapat dua pekerja dan tiada pelanggan di kedai berkenaan.

Tambah beliau, tiga daripada lelaki terbabit yang memakai topeng dan topi keledar penutup muka penuh bersenjatakan tukul besi serta kayu besbol memasuki kedai dan memecahkan cermin pameran sebelum mengambil 10 dulang barang kemas.

“Polis akan mendapatkan rakaman CCTV untuk siasatan dan mengenal pasti keempat-empat lelaki terbabit.

“Polis turut melancarkan `Ops tutup’ untuk mengesan empat suspek terbabit yang dipercayai berusia lingkungan 20-an. Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” ujarnya.

Lulus usul pakai baju merah setiap 16hb jadi lawak jenaka


Lulus usul pakai baju merah setiap 16hb jadi lawak jenaka
UMNO Pasir Puteh didakwa terkeluar daripada perjuangan
parti dan terlalu mengagung-agungkan Himpunan Baju Merah.

Keputusan UMNO Bahagian Pasir Puteh meluluskan usul supaya ahlinya memakai baju merah setiap 16 haribulan menjadi bahan lawak jenaka.

Bekas Naib Ketua Pemuda UMNO Wangsa Maju, Shahbudin Husin berkata, tindakan UMNO Pasir Puteh itu sudah terkeluar daripada perjuangan parti apabila terlalu mengagungkan Himpunan Baju Merah sehingga mewajibkan ahlinya memakai tersebut sekali sebulan.

“Rasa nak tergelak pun ada dengan keputusan UMNO Pasir Puteh ini yang nampaknya lebih melihat faktor kulit berbanding isi dalam konteks perjuangan parti, bahkan melebih-lebih pula sehingga ia diwajibkan pada 16 haribulan setiap bulan.

“…Ini bermakna, melalui peraturan itu dan jika ia mendapat sambutan, Pasir Puteh akan bertukar menjadi “Pasir Merah” sebanyak 12 kali dalam setahun,” katanya dalam entri terbarunya di blog http://shahbudindotcom.blogspot.my/.

Katanya, adakah UMNO mampu merampas kerusi Parlimen Pasir Puteh pada Pilihan Raya Umum akan datang dengan hanya mewajibkan ahlinya memakai baju merah setiap bulan.

” Apakah UMNO Pasir Puteh makin kuat kerana berbaju merah setiap 16 haribulan itu? Bolehkah ia memastikan menang dalam pilihanraya?

“Tetapi kesimpulan paling mudah, bak ungkapan kata popular Awie Wings – INI SEMUA POYO…,” katanya.

Hishammuddin akui ‘menderita’ akibat jerebu


Hishammuddin akui ‘menderita’ akibat jerebu
Malaysia menunggu pendekatan yang akan digunakan Singapura
untuk menyelesaikan isu jerebu dan menggunakan pendekatan sama jika ia berjaya.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang menghidap asma atau lelah mengaku dirinya ‘menderita’ akibat jerebu teruk yang melanda negara ini.

“Saya sendiri sudah cukup menderita kerana menghidapi penyakit lelah.

“Buat masa sekarang kita sedang menjalankan usahasama antara Menteri Pertahanan tiga negara iaitu Malaysia-Indonesia-Singapura.

“Kita perlu satu usahasama serantau dan hubungan saya dengan Menteri Pertahanan Singapura, Ng Eng Heng dan Menteri Pertahanan Indonesia, Ryamizard Ryacudu sangat rapat,” katanya.

Hishammuddin berkata, beliau menggunakan pendekatan tunggu dan lihat cara Singapura bekerjasama dengan Indonesia dalam menyelesaikan masalah jerebu dan jika berjaya, Malaysia akan menggunakan pendekatan yang sama kelak.

Khir Toyo dakwa dianiaya pemimpin UMNO


Khir Toyo dakwa dianiaya pemimpin UMNO
Beliau membuat penjelasan mengenai pelbagai isu kontroversi sepanjang
menjadi Menteri Besar Selangor menerusi aktikel
'Catatan di belakang tirai besi' yang disiarkan di blognya.

Selepas dikekalkan hukuman penjara setahun oleh Mahkamah Persekutuan, bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo tampil memberikan penjelasan terperinci mengenai kontroversi melibatkan dirinya.

Beliau mendakwa, seorang pemimpin UMNO menganiayai dirinya dengan mengupah jurugambar untuk mengambil gambar rumahnya menggunakan helikopter bagi menunjukkan kepada masyarakat kononnya rumah itu sebesar istana.

“Hakikatnya, rumah saya bukanlah antara terbesar di kawasan terbabit. Tidak mengapa, saya telah maafkannya,” tulisnya panjang lebar di blognya www.drkhir.com.

Menteri Besar Selangor selama lapan tahun itu menjelaskan, sepanjang perbicaraan pihak pendakwaraya tidak pernah mengemukakan sebarang fakta yang menunjukkan berlaku unsur rasuah.

Katanya, secara asasnya unsur rasuah seharusnya dalam keadaan beliau mendapat habuan kerana meluluskan sesuatu kepada Pengarah Syarikat Ditamas Sdn Bhd, Datuk Shamsuddin Hayroni.

“Tidak pernah ada sebarang fakta dan bukti menunjukkan pembelian rumah saya dengan harga RM 3.5 juta yang dikatakan murah oleh pendakwa raya, dibalas dengan sebarang keistimewaan pemberian projek atau kelulusan tender oleh saya.

“Yang ada hanyalah surat sokongan yang diberi kepada syarikat Shamsuddin seperti mana saya sokong puluhan malah mungkin ratusan syarikat lain.

“Jika tidak korup mengapa saya didapati bersalah? Saya dituduh dan didapati bersalah di bawah Perkara 165 Kanun Keseksaan yang merupakan satu kesalahan teknikal dengan hukuman maksimum ialah dua tahun penjara,” katanya.

Beliau berkata, dalam pertuduhan yang dikemukakan terhadapnya, pendakwaraya tidak memerlukan sebarang bukti terdapatnya keistimewaan diberikan kepada Shamsuddin.

Dr Khir berkata, apa yang perlu dibuktikan ialah beliau telah membeli sesuatu barangan dengan harga (balasan) yang tidak mencukupi daripada seorang yang diketahui mempunyai hubungan rasmi dengannya sebagai penjawat awam.

“Demikianlah kesungguhan Peguam Negara terdahulu mahu memenjarakan saya. Saya tidak pasti rumah saya akan dirampas atau tidak. Mereka membicarakan saya di bawah Perkara 165 tetapi mereka menggunakan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk merampas rumah saya,” katanya.

Menerusi blognya yang bertajuk “Catatan Di Belakang Tirai Besi” itu juga, Khir turut menyentuh perkara-perkara lain di sepanjang pentadbirannya antaranya mengenai akhbar The Sun, kuil, penyapu dan setinggan.

Menurutnya, sehingga di saat beliau tidak mempunyai kuasa dan jawatan, akhbar The Sun memilih untuk ‘melanyaknya’ berhubung Selangor Maju 2005.

“Adakah kerana saya dilihat sebagai anti-kaum India kerana merobohkan beberapa kuil yang dibina secara haram? Atau adakah kerana saya tidak meluluskan pusat Lumba Kuda di Bukit Tagar, Selangor?

“Saya tidak fikir ia sekadar soal ‘good governance’, kerana sesiapa sahaja yang membaca The Sun dari dulu sehingga hari ini boleh membezakan tahap dan jenis kritikan akhbar atau pengarang akhbar tersebut kepada Menteri Besar selepas saya.

“Malah ada ketika mereka mempertahankan Menteri Besar selepas saya biarpun kesilapan yang dibuat sangat nyata,” katanya.

Mengulas mengenai isu perobohan kuil Hindu di Rimba Jaya, beliau berkata keputusan merobohkan itu adalah keputusan Mahkamah dan bukannya keputusan yang dibuatnya mahupun kerajaan negeri.

“Saya, selaku Menteri Besar ketika itu, kerajaan negeri dan Majlis Bandaraya Shah Alam hanya melaksanakan keputusan Mahkamah. Namun saya terima ia sebagai satu tanggungjawab saya.

Menyentuh mengenai isu penyapu, beliau menyedari sebahagian membencinya kerana memberikan ‘Anugerah Penyapu’ kepada penjawat awam dari Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Majlis Daerah Hulu Selangor.

“Sungguhpun ia bukan idea saya, dan telah dipersetujui dalam mesyuarat bersama semua PBT ketika itu, saya terima ia sebagai satu tanggungjawab saya. Saya pohon maaf jika masih ada yang berkecil hati,” ujarnya.

Mengenai isu setinggan semasa pentadbirannya sebagai Menteri Besar Selangor, Dr Khir berkata beliau tidak boleh memuaskan hati semua penghuni setinggan.

“Apa yang boleh saya katakan, saya telah membuat yang terbaik dalam kemampuan saya dan kerajaan negeri untuk menyelesaikan isu setinggan,” katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Rujukan