Cari Artikel

Tuesday, September 15, 2015

PLKN kembali tahun depan dengan wajah baharu


PLKN kembali tahun depan dengan wajah baharu
PLKN akan dijalankan dua fasa iaitu integrasi pembelajaran selama lapan
minggu dan latihan kemahiran lasak sekurang-kurangnya tiga bulan.

Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang akan kembali beroperasi Januari tahun depan bakal menyaksikan transfor­masi dalam enam aspek merangkumi modul, pelatih, jurulatih, kem, alumni dan pelan komunikasi.

Menteri Pertaha­nan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, beberapa pembaharuan itu diputuskan selepas kajian makmal dilakukan terhadap PLKN dari Februari hingga Mac lalu bertujuan memastikan program tersebut kekal relevan.

Katanya, PLKN akan dijalankan menerusi dua fasa iaitu, fasa integrasi pembelajaran (selama lapan minggu) sebelum disusuli fasa latihan kemahiran lasak (minimum tiga bulan dan maksimum sehingga tempoh 24 bulan).

Katanya, bagi aspek kemasukan pelatih pula, pengambilan akan dibuat secara sukarela secara berperingkat yang pelaksanaan sepenuhnya pada 2019 dengan kekerapan pengambilan pelatih adalah sebanyak empat kali setahun.

“Bagi memastikan kesemua enam aspek ini dapat dilaksanakan dengan berkesan, Kementerian Pertahanan dan Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) akan melaksanakan projek perintis selama dua bulan bermula 19 Oktober hingga 19 Di­sember ini.

“Projek perintis mem­babitkan penyertaan se­ramai 400 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ini akan dilaksanakan di Kem Princess Haliza di Selangor,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, tujuan projek perintis itu dilaksanakan adalah untuk menguji keberkesanan modul baharu seperti Fit4Life, Tech & Talk, Malaysiaku, iUpgrade serta pelaksanaan beberapa latihan kemahiran oleh Kementerian Belia dan Sukan.

Dalam pada itu, Hishammuddin berkata, pengambilan pelatih PLKN berwajah baharu mempunyai signifikannya kerana Kementerian Pertahanan melalui JLKN menjalinkan kerjasama dengan Kementerian Pendidikan dalam mengenal pasti calon pelatih.

“Calon pelatih adalah terdiri daripada mereka yang tidak dapat melanjutkan pengajian ke intitusi pengajian tinggi (IPT) dan PLKN memberikan mereka peluang kedua melanjutkan pengajian ke institusi latihan kemahiran selepas PLKN,” katanya.

Najib gubal pelan induk bantu masyarakat India


Najib gubal pelan induk bantu masyarakat India
Buku pelan induk berkenaan akan diedar kepada
masyarakat India di seluruh negara sebaik pelan itu siap.

Kerajaan sedang menyiap pelan induk bagi meningkat taraf sosio ekonomi dan pembangunan menyeluruh masyarakat India di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11).

Bagi tujuan itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meminta semua pihak termasuk parti politik, NGO dan masyarakat India memberikan pandangan dan maklum balas bagi membolehkan kerajaan menyiapkannya.

“Kita sedang gubal satu blue print (pelan induk) dalam RMK-11 bagaimana kita boleh tingkatkan pembangunan sosio ekonomi kaum India. Kita harap semua parti politik, NGO dan masyarakat India dapat menyumbangkan supaya kita boleh gubal blue print.

“Ini membolehkan kerajaan melaksanakan pembangunan berterusan untuk masyarakat India di Malaysia secara lebih inklusif,” katanya ketika berucap di majlis perasmian Mesyuarat Agung Parti Makkal Sakti Malaysia pada Ahad.

Katanya, apabila siap kelak kerajaan akan mengedarkan buku pelan induk berkenaan kepada masyarakat India di seluruh negara.

“Kita akan dokumentasikan dan mengedarkannya kepada masyarakat kaum India supaya mereka lebih memahami dasar baharu kerajaan berkenaan.

Ia bagi mengelak mereka salah faham dan termakan hasutan daripada pembangkang.

DAP kekal dalam kerajaan Selangor


DAP kekal dalam kerajaan Selangor
langkah itu bagi menghalang PAS daripada memperkenalkan
dasar pentadbiran yang tidak sesuai kepada rakyat negeri itu.

DAP akan terus mengekalkan kedudukannya dalam kerajaan negeri Selangor, meskipun PKR tetap berkeras mahu bekerjasama dengan PAS.

Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng berkata, langkah itu bagi menghalang PAS daripada memperkenalkan dasar pentadbiran yang tidak sesuai kepada rakyat Selangor.

Katanya, jika DAP berundur daripada kerajaan negeri Selangor, PAS dibimbangi akan berbuat apa sahaja, sebagai contoh, memperkenalkan larangan menjual arak.

“Pendirian kita jelas. Walaupun PKR mahu bekerjasama dengan PAS, itu ialah hak dan keputusan mereka.

“Bagaimanapun, kita mengakui ia akan sedikit menjejaskan (kedudukan) DAP dalam kerajaan Selangor,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Forum
Kedai Kopi dan Pendaftaran Pengundi Baru anjuran Pusat Komuniti Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Jaya di Taman Molek.

Lim berkata demikian ketika diminta mengulas pendirian PKR yang tetap mahukan PAS berada dalam pakatan pembangkang dan bagaimana kedudukan DAP dalam kerajaan Selangor dengan pendirian PKR.

– BERNAMA

Petaling Street ditutup sehari Rabu ini


Petaling Street ditutup sehari Rabu ini
Peniaga dan penjaja mengambil langkah itu bagi
mengelak sebarang kemungkinan akibat Himpunan Rakyat Bersatu

773 penjaja dan 500 pekedai di Petaling Street bersetuju untuk menghentikan perniagaan selama sehari pada 16 September ini.

Keputusan itu dibuat bagi mengelak sebarang perkara yang tidak diingini ekoran Himpunan Rakyat Bersatu yang dikatakan bakal diadakan di kawasan berkenaan.

Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Kuala Lumpur, Datuk Ang Say Tee berkata, keputusan itu dilakukan selepas pihaknya mengadakan perbincangan dengan beberapa Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) pada 5 September lepas.

“Sebanyak 90 peratus peniaga di sini telah mengambil keputusan untuk menutup perniagaan pada hari berkenaan bagi memastikan keselamatan mereka terjamin selain mengelakkan sebarang perkara tidak diingini berlaku,” katanya.

Beliau juga berharap pihak penganjur membatalkan perhimpunan berkenaan kerana banyak perniagaan di kawasan terlibat akan terjejas kerana terpaksa ditutup sepanjang hari.

Beliau berkata perhimpunan yang bercorak perkauman itu tidak bersesuaian dengan Hari Malaysia yang sepatutnya disambut dengan penuh semangat patriotism dalam kalangan masyarakat majmuk.

Najib janji tidak akan kecewakan rakyat


Najib janji tidak akan kecewakan rakyat
Perdana Menteri berikrar akan berjuang habis-habisan untuk parti
dan rakyat dan akan terus memimpin selagi mendapat sokongan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menegaskan beliau tidak akan mengecewakan anggota UMNO dan rakyat dalam menunaikan tanggungjawabnya mentadbir negara.

Najib berkata beliau akan berjuang habis-habisan untuk parti dan rakyat dan akan terus memimpin selagi mendapat sokongan daripada anggota parti dan rakyat.

“Semua pemimpin menghadapi cabaran dan apabila dah masuk ke gelanggang, jangan kita keluar di tengah-tengah perlawanan, saya tidak akan berundur, Insya-Allah. Kita akan bergerak maju ke depan,” katanya menerusi laman blognya NajibRazak.com.

Beliau berkata dalam politik, bagi menjatuhkan seorang pemimpin, akan ada pelbagai konspirasi dari dalam dan luar negara, yang kesemuanya, bertujuan untuk menjatuhkan UMNO sebagai parti yang menunjangi kepimpinan dan pentadbiran negara.

“Kalau orang nak hancurkan parti, mestilah serang pemimpinnya. Kalau sudah hilang kepercayaan pada pemimpin, maka mudahlah parti itu tumbang pada bila-bila masa,” katanya.

Dalam masa sama, Najib menyeru rakyat supaya bersama-sama memahami situasi politik ketika ini dan mereka perlu jelas keadaan negara yang aman dan menjuruskepada kejayaan adalah kerana dipimpin parti keramat UMNO.

Beliau berkata masyarakat kini berdepan suatu suasana baharu dengan media sosial digunakan untuk menyebar kebencian kepada pemimpin sehinggakan budi pemimpin tidak bermakna.

“Hari ini, media sosial hanya di hujung jari untuk kita menyatakan sesuatu yang benar, atau menabur fitnah, dulu tidak ada senjata untuk mencerca, fitnah dan mengaibkan pemimpin mahupun ada cubaan menjatuhkan pemimpin, kalau ada pun, mereka hanya gunakan surat layang dan cara lain.

“Inilah mainan yang berlaku sekarang dan kebetulan pula ia berlaku pada masasaya sebagai pemimpin parti,” katanya.

– BERNAMA

Semua aktiviti atas nama PAN, haram


Semua aktiviti atas nama PAN, haram
Sebarang aktiviti atas nama PAN boleh diambil tindakan
dan didenda RM3,000 kerana belum diluluskan ROS

Pendaftar Pertubuhan (ROS) masih belum meluluskan permohonan Pertubuhan Pekerja-Pekerja Malaysia untuk menukar nama kepada Parti Amanah Negara (PAN).

Pendaftar Pertubuhan, Datuk Mohammad Razin Abdullah berkata, parti berkenaan tidak dibenarkan sama sekali mengadakan sebarang program atas nama PAN, sehingga ia diluluskan,

Katanya, sekiranya terus berdegil, pertubuhan atau parti yang melanggar peruntukan Seksyen 11 Akta Pertubuhan 1966 boleh didakwa.

Jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak lebih RM3,000 terhadap parti dan setiap pemegang jawatannya.

“ROS telah menerima notifikasi daripada pihak Workers’ Party of Malaysia (Pertubuhan Pekerja-Pekerja Malaysia) mengenai pelantikan baru Ahli Jawatankuasa Pusat yang diputuskan melalui Kongres Luar Biasa yang diadakan pada 25 Ogos lalu.

“Sebahagian besar Ahli Jawatankuasa baru ini terdiri daripada bekas ahli PAS yang pernah memegang jawatan sebagai Ahli Jawatankuasa PAS Pusat sesi 2013-2015,” katanya dalam kenyataan yang dipetik daripada Berita Harian Online.

16 September: Baju merah ke baju hitam?


16 September: Baju merah ke baju hitam?
Bukan setakat warna, kecelaruan juga timbul mengenai tempat
perhimpunan dan jalan yang akan dilalui pada hari berkenaan

Penganjur Himpunan Rakyat Bersatu dikatakan tidak bersefahaman mengenai warna tema baju yang akan dipakai 16 September ini.

Bukan setakat warna, kecelaruan juga timbul mengenai tempat perhimpunan dan jalan yang akan dilalui pada hari berkenaan.

Orang kuatnya, Datuk Jamal Md Yunos menerima tempelak selepas Presiden Pesaka, Tan Sri Mohd Ali Rustam tidak menetapkan sebarang warna tema, dalam erti kata lain peserta boleh pakai apa sahaja warna yang mereka suka.

Bahkan ia turut menolak baju merah sebahagian daripada mereka.

Mengulas mengenai ketidak sefahaman yang timbul, bekas Naib Ketua Pemuda UMNO Wangsa Maju, Shahbudin Husin menyifatkan 16 September ini, hari yang penuh warna warni.

“Mungkinkah nanti himpunan 16 September itu menjadi berbelang-belang warnanya? Tak kelakar ke?

“Lalu, di mana kesepakatan dan solidaritinya?

“Pesaka turut tidak meletakkan sebarang sasaran jumlah kehadiran, tetapi Jamal mengatakan pihaknya akan mengumpul seramai 30 ribu peserta bagi tujuan itu.

“Kenapa hanya 30 ribu? Mana angka yang diwar-warkan dulu kononnya sejuta peserta, 500 ribu, 300 ribu dan sebagainya?

“Kalau nak lawan Bersih 4 dan menunjukkan sokongan kepada Najib Razak, bukankah jumlah yang munasabah ialah sekurang-kurangnya 500 ribu?

“Jika tidak, malulah Pahlawan Bugis!!,” tulisnya di shahbudincom.blogspot.

Berbeza dengan Bersih 4.0, perhimpunan yang dibuat pada sambutan Hari Malaysia dianggap tidak mempunyai fokus dan tuntutan yang jelas.

“Tidak seperti Bersih 4 yang ada asas perjuangannya, himpunan baju merah hanyalah medan pembodek dan pengampu mempamerkan aksinya sambil memasang angan-angan untuk mengaut laba diri sendiri sahaja,” tulisnya.

Bahkan segalanya dilihat lebih menjurus kepada sentimen perkauman.

Keadaan itu dilihat boleh memberi implikasi yang lebih buruk terhadap situasi yang sedia ada khususnya dalam konteks politik.

Pastinya, jika diteruskan juga undi bukan Melayu terhadap Barisan Nasional (BN) akan semakin merosot.

“Sebelum api ini memusnahkan segala-galanya, adalah lebih baik Najib Razak mengambil tindakan mengeluarkan arahan membatalkan saja himpunan pada 16 September ini.

“Meskipun pada awalnya Najib mengatakan tiada halangan dan tidak melarang ahli-ahli UMNO menghadirinya, mungkin kerana merasakan ia untuk memberi sokongan kepadanya, lebih terpuji jika Najib segera menarik balik semua itu.

Kepada Najib, Shahbudin mengingatkan perhimpunan yang akan diadakan Rabu ini tidak akan menyumbang atau memberi bonus terhadap karier politiknya.

Katanya lagi, isu 1MDB, derma RM2,600 juta dan kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu yang timbul kembali kian menghakis sokongan rakyat terhadapnya.

“Sekali lagi, demi keharmonian dan semangat Hari Malaysia, lebih baik Najib batalkan segera, setidak-tidaknya dapat juga menjimatkan lebihan derma RM2,600 yang masih disimpannya!!,” tulis Shahbudin sebelum mengakhiri entrinya.

Khairuddin: Berani ke Jamal jemput Najib 16 September ini?


Khairuddin: Berani ke Jamal jemput Najib 16 September ini?
Cadangan itu dibuat bagi memberi peluang kepada Tun Dr Mahathir Mohamad,
bersemuka secara langsung dengan Presiden UMNO itu di hadapan khalayak.

Penganjur Himpunan Melayu Bersatu atau Kumpulan Baju Merah, Datuk Jamal Md Yunos dicabar menjemput sekali Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak ke perhimpunan aman yang diadakan 16 September depan.

Cadangan itu dibuat bagi memberi peluang kepada Tun Dr Mahathir Mohamad, bersemuka secara langsung dengan Presiden UMNO itu di hadapan khalayak.

Bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Khairuddin Abu Hassan berkata, Jamal sepatutnya berhenti membodek, sebaliknya mencari jalan kepada kedua-dua mereka bertemu dan menjelaskan fakta sebenar terhadap apa yang berlaku.

“Kalau sekadar jemput Tun Dr Mahathir seorang saja buat apa?! Masalah kemelut politik dan ekonomi negara masakini boleh diselesaikan secara suasana tenteram apabila kita bagi peluang kepada kedua-dua tokoh ini untuk berdebat secara professional seterusnya memberi pencerahan kepada rakyat jelata untuk menghakiminya!! Siapa yang bercakap benar dan siapa yang bercakap bohong biarlah rakyat yang buat penilaian masing-masing!!

“Yang penting bagi mikrofon serta pentas kepada Najib Tun Razak serta Tun Dr Mahathir pada hari perhimpunan tersebut!! Itu baru betul!! Jamal Md Yunos berani ker anjurkan perhimpunan baju merah pada 16 september yang dihadiri oleh Najib Tun Razak serta Tun Dr Mahathir Mohamad?!” tulisnya di Facebook.

Dalam kenyataannya, Khairuddin turut menawarkan diri untuk menjemput semua pengamal media-media dari dalam negeri serta seluruh dunia untuk hadir buat liputan pada perhimpunan secara siaran terus menerus.

Katanya, dengan pertemuan dua tokoh di atas pentas yang sama barulah Perhimpunan Baju Merah menjadi ilmiah.

“Saya rasa kalau Jamal Md Yunos boleh bagi jaminan kehadiran Najib Tun Razak dan Tun Dr Mahathir pada perhimpunan ini; bukan ribuan malah jutaan rakyat malaysia akan nenerkam untuk menghadiri diri pada perhimpunan ini!!”

“Alang-alang nak bodek biarlah kita anjurkan sebegini-rupa baru ada ‘impact’ wahai Jamal Md Yunos!! Kalau tak boleh anjur macam ini jangan buang masa Tun Dr Mahathir lah!! Banyak lagi benda lain yang lebih berfaedah untuk tun dr mahathir tangani bagi menyelamatkan keseluruhan bangsa, agama serta tanahair kita!!” tulisnya.

Anina saman penjahat dalam UMNO, bukan parti


Anina saman penjahat dalam UMNO, bukan parti
Dia tampil memberi penjelasan susulan bahawa
pemecatannya disebabkan samannya ke ataas UMNO

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dikatakan tidak memahami writ saman yang dibuat, Anina Saadudin.

Dalam kenyataannya, bekas ahli Wanita UMNO Cawangan Padang Mat Sirat itu berkata, dia tidak menyaman parti itu tetapi individu yang dipanggilnya ‘penjahat’  dalam UMNO.

“Saya ingin tegaskan bahawa saya bukan menyaman UMNO sebaliknya saya menjalankan tanggungjawab keahlian saya untuk UMNO menyaman penjahat-penjahat dalam UMNO,” katanya dalam satu kenyataan kepada FMT.

Anina tampil memberi penjelasan susulan dakwaanSetiausaha Agung UMNO itu bahawa pemecatannya disebabkan dia menyaman UMNO.

Dalam tulisan yang lebih sinis dia mempertikai kewibawaan Tengku Adnan.

“Saya hairan bagaimana Setiausaha Agung UMNO bertaraf menteri telah gagal memahami kandungan saman saya di Mahkamah Kuala Lumpur.

“Jika perkara mudah sebegini juga gagal Ku Nan fahami, bagaimana lah agaknya selama ini Ku Nan mentadbir negara sebagai menteri kabinet,” katanya.

Sehubungan itu beliau, bertegas tidak akan menarik balik saman yang dibuat terhadap Tengku Adnan dan sedia bersemuka dengannya di mahkamah.

“Saya cukup kagum dengan keberanian Ku Nan untuk mengapi-apikan saya supaya meneruskan saman saya terhadapnya berkaitan salah laku beliau memecat keahlian saya secara salah dalam UMNO.

“….Sudah pasti saya tidak akan menggugurkan saman saya terhadap Ku Nan.  Kita akan berjumpa di mahkamah yang mulia,” katanya.

Siapa sebenarnya katak?-Ibrahim Ali


Siapa sebenarnya katak?-Ibrahim Ali
Ia merujuk kepada tindakan anggota pembangkang yang melompat
parti sampai empat, lebih banyak daripada yang pernah dibuatnya.

Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali bersedia untuk menjadi perunding kepada sesiapa yang ingin melompat parti.

Tawaran itu dibuat kerana beliau mempunyai pengalaman kerana pernah melakukan benda yang sama.

Katanya keputusan lompat parti bukannya sesuka hati sebaliknya ia mungkin dilakukan secara sukarela atau juga menjadi mangsa keadaan.

Jelas Ibrahim lagi adalah tidak adil tindakan sesetengah pihak melabel mana-mana ahli politik yang lompat parti sebagaimana yang berlaku ke atasnya sehingga dipanggil ‘katak’.

“Lompatan mereka adalah lompat galah, ertinya sukarela. Dulu ada dalam kalangan mereka yang mempersenda, mengejek dan menghina saya sebagai katak,” katanya kepada FMT
Wal hal ramai lagi ahli politik yang berbuat demikian dari dahulu sehingga sekarang, ia sentiasa berlaku.

“Di Semenanjung Malaysia, ramai juga tokoh-tokoh politik yang hebat bertukar atau melompak parti sejak Merdeka. Arwah Datuk Asri Muda, bekas Presiden PAS menubuhkan Hamim tetapi akhirnya masuk UMNO. Begitu juga dengan Kasim Ahmad dari Parti Sosialis Rakyat Malaysia (PRSM) melompat ke UMNO dan terbaru, Aziz Bahri dari Pas masuk DAP,” jelas Ibrahim.

Kata beliau lagi, jika disenaraikan, pasti ramai yang boleh dinamakan termasuk, Datuk Saifuddin Nasution yang kini bersama PKR.

“Tapi yang anehnya, apabila disebut katak, ia dirujuk dengan nama saya, Ibrahim Ali. Hanya saya sahaja yang menjadi fokus dan sebutan khususnya dalam kalangan media portal lagi,” tulisnya di Whatsapp.

Apa yang mencuit hati katanya, orang yang dulu memanggil dan mengutuknya sebagai katak turut lompat parti.

Kepada yang berkenaan, Ibrahim meminta supaya jangan menghina orang lain.

“Sekarang, siapa bapa katak? Meludah jatuh ke muka sendiri. Malu sungguh. Oleh itu saya nasihatkan supaya jangan menuduh dan menghina orang lain,” sindirnya.

Guna ahli untuk jatuhkan pemimpin UMNO


Guna ahli untuk jatuhkan pemimpin UMNO
Najib mendakwa kelompok berkenaan mereka menggunakan
media sosial dan antarabangsa untuk membangkitkan kebencian.

Pihak tertentu dikatakan cuba menyemai kebencian di kalangan ahli UMNO dalam usaha menjatuhkan kepimpinan tertinggi parti itu.

Presidennya, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak berkata berkata, mereka menggunakan media sosial dan antarabangsa untuk membangkitkan sentimen berkenaan.

“Nak jatuhkan parti serang kepala yang menerajui parti, ..apabila ahli hilang kepercayaan (kepada pucuk pimpinan parti) …maka tumbang lah parti bila-bila masa.

“Jadinya, rakyat dan ahli UMNO perlu sedar bahawa Malaysia adalah negara yang berjaya bukan gagal, ..yang dihormati bukannya dicerca kerana keutuhan perjuangan UMNO dari dulu hingga sekarang,” katanya yang dipetik daripada Berita Harian Online.

Beliau yang juga Perdana Menteri berkata, UMNO sedang menghadapi politik yang dimainkan pihak tertentu bagi menjatuhkan parti yang menunjangi kepimpinan dan pentadbiran negara.

Najib berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pekan.

Khalid Samad tidak layak kritik Hadi


Khalid Samad tidak layak kritik Hadi
Pandangan Khalid Samad terhadap kerjasama GHB dan Pas
dianggap tidak layak kerana beliau tidak memegang
sebarang jawatan penting dalam parti itu

Pas tidak memerlukan pandangan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad berhubung cadangan pembentukan kerjasamanya dengan Pakatan 2.0.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, selain tidak layak dia juga tidak mempunyai sebarang jawatan tertinggi dalam GHB.

“Siapa dia untuk minta Presiden berubah? Apa jawatan dia dalam GHB (Gerakan Harapan Baru)?” soalnya ketika ditemui selepas sidang media Kongres Rakyat di Shah Alam, pada Sabtu.

Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu berkata, meskipun rundingan dan perbincangan diadakan dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, namun perbincangan untuk bekerjasama dalam Pakatan 2.0 masuh belum diadakan.

“Kita anggap Pakatan 2.0 itu adalah kerjasama baharu di antara DAP, GHB, dan PKR yang memerlukan PAS.

“Kita akan bincangkan kata putus hala tuju kerjasama ini kerana PAS mempunyai agenda sendiri yang menjadi terma rujukan kita jika dipanggil berbincang,” katanya.

Terdahulu, Khalid berkata GHB boleh menerima kerjasama dengan Pas dalam Pakatan 2.0, namun dengan syarat Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengubah sikapnya yang sebelum ini membelakangkan keputusan pakatan seperti yang berlaku dalam isu Hudud.

Katanya, jika Hadi berdegil dengan sikapnya itu, beliau tidak menolak sejarah dalam PR mungkin akan berulang dalam Pakatan 2.0.

Perhimpunan Baju Merah haram, tidak dapat permit


Perhimpunan Baju Merah haram, tidak dapat permit
Kerajaan sedia menimbang untuk memberi kebenaran sekiranya
ia dibuat di luar Dataran Merdeka atau di kawasan tertutup

Penganjuran Perhimpunan Baju Merah pada 16 September ini di Dataran Merdeka tidak mendapat permit daripada kerajaan.

Bagaimanapun, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata pihaknya sedia menimbang untuk memberi kebenaran sekiranya ia dibuat di kawasan tertutup.

“Jika penganjur mahu menggunakan Padang Merbok atau mana-mana stadium, mereka perlu kemukakan permohonan, tetapi kami tidak akan benarkan mereka menggunakan Dataran Merdeka,” katanya yang dipetik daripada Mstar Online.

Selain itu katanya, penganjur juga perlu mematuhi peraturan ditetapkan kerajaan iaitu demonstrasi tidak dibenarkan di Bukit Bintang atau Chow Kit.

Sejajar dengan keputusan itu, beliau juga telah mengarahkan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Mohd Amin Nordin Abdul Aziz supaya tidak mengeluarkan permit kepada mana-mana pihak yang berhasrat mengadakan demonstrasi jalanan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Rujukan