Cari Artikel

Tuesday, September 1, 2015

UMNO desak Azmin jawab dakwaan DEIG telah beroperasi


UMNO desak Azmin jawab dakwaan DEIG telah beroperasi
BN Selangor mendakwa mendapat maklumat DEIG telah
mengadakan rundingan untuk projek bernilai RM10 bilion.

Barisan Nasional (BN) Selangor mendesak Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali supaya memberikan penjelasan mengenai dakwaan Kumpulan Pelaburan Darul Ehsan (DEIG) DEIG telah memulakan operasi.

Setiausaha BN Selangor, Budiman Mohd Zohdi berkata, berdasarkan maklumat terbaru yang diterimanya, DEIG didakwa telah memulakan operasi di sebuah premis dan telah memulakan projek yang bernilai RM10 bilion.

Katanya, DEIG telahpun membuat pengumuman mengenai penubuhannya dan menambah pegawai kanan.

“Adakah perkara ini benar? Kalau ia benar, bilakah projek besar RM10 bilion ini telah dibentangkan dan selanjutnya telah diluluskan oleh Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Selangor?

“Perkara kecuaian sebegini sangat tidak sepatutnya dilakukan oleh Azmin kerana kecuaian seperti ini mendatangkan sebab dan akibat yang serius kepada kerajaan negeri,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat UMNO Selangor.

Azmin baru-baru ini menjelaskan DEIG hanya bakal beroperasi pada tahun depan.

ADUN UMNO: Mukhriz perlu undur diri secara terhormat


ADUN UMNO: Mukhriz perlu undur diri secara terhormat
Menteri Besar Kedah didakwa gagal membawa pembangunan termasuk
menunaikan janji yang dibuat pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang lalu.

Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir dituduh Menteri Besar yang gagal kerana tidak melaksanakan janji-janjinya kepada rakyat di negeri Kedah.

Perkara itu ditegaskan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Lada, Datuk Ahmad Lebai Sudin yang dipetik menerusi rakaman video yang disiarkan di SuaraTV.

Menurut Ahmad, selama tiga tahun Mukhriz menjadi Menteri Besar, tidak ada pembaharuan dilakukan, malah, segala apa yang dikatakan kepada rakyat di Kedah pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU 13) lalu hanya sekadar janji-janji kosong.

“Tidak ada apa-apa pembangunan yang dilakukan di Kedah. Semuanya tidak dapat dilaksanakan. Kedah jumud dari segi pembangunannya.

“Malah peruntukan bagi kerajaan negeri tinggal beberapa bulan sahaja lagi. Saya difahamkan kontraktor-kontraktor yang membuat kerja- kerja di Kedah, sedang ditangguhkan pembayaran mereka. Malah, hubungannya dengan rakyat jelata sendiri tidak berlaku dengan baik.

“Cuma yang ada hanyalah `selfie- selfie’ yang dilakukannya apabila mereka turun bersama masyarakat,” katanya yang mendakwa Mukhriz hanya tahu berselfie untuk meraih populariti.

Ahmad berkata, tiada sebarang pembinaan dilakukan oleh Mukhriz termasuklah janjinya untuk membina litar lumba, lapangan terbang yang tidak menampakkan hasil sekali gus membuktikan bahawa beliau belum mampu menggalas tanggungjawab sebagai seorang menteri besar.

Katanya, beliau yakin jika tiada tindakan diambil, Barisan Nasional akan gagal mengekalkan kuasanya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14) nanti.

Selain itu, beliau turut mencadangkan supaya Mukhriz mengundur diri secara terhormat.
Ini kerana, katanya, bapa Mukhriz, Tun Dr Mahathir Mohamad dan ibunya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali serta kakaknya, Marina telah turun ke perhimpunan Bersih 4.0 untuk menentang kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sultan Johor tidak bertitah supaya UMNO berhenti perdaya rakyat


Sultan Johor tidak bertitah supaya UMNO berhenti perdaya rakyat
Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar menafikan bahawa baginda
bertitah sedemikian dan menyifatkan ia sebagai penyebaran fitnah berniat jahat.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar tidak pernah bertitah supaya parti UMNO perlu berhenti daripada memperdayakan rakyat Malaysia dengan segala alasan dan tipu helah.

Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, beliau telah dititahkan oleh baginda untuk menafikan sekeras-kerasnya kenyataan itu yang telah disebarkan di media sosial.

“Tindakan penyebaran fitnah itu adalah berniat jahat, semata-mata untuk melaga-lagakan hubungan baik yang sedia terjalin di antara Istana Johor dan kerajaan,” katanya menerusi kenyataan media.

Katanya, tindakan susulan akan dibuat bagi mengenalpasti pihak-pihak yang bertanggungjawab menyebarkan fitnah tersebut termasuk tindakan undang-undang.

“Kita akan dapatkan nasihat dan pandangan daripada pihak Penasihat Undang-undang Negeri berhubung isu ini,” tegasnya.

Terima kasih Bersih 4.0 – Nazri Aziz


Terima kasih Bersih 4.0 – Nazri Aziz
Bersih 4.0 telah melonjakkan nama negara ini sebagai sebuah negara
demokrasi sihat apabila perhimpunan itu mendapat liputan meluas media asing.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berterima kasih kepada penganjur perhimpunan Bersih 4.0 kerana mengiklankan Malaysia sebagai sebuah negara demokrasi yang sihat di mata dunia.

Beliau berkata, perhimpunan itu telah mempromosikan Malaysia di seluruh negara apabila ia mendapat liputan meluas media asing.

“Seluruh dunia tahu, jadi saya mengucapkan terima kasih pada Bersih kerana mereka iklankan demokrasi sihat di Malaysia pada pandangan pelancong dan luar negara,” katanya,” katanya yang dipetik dari The Star Online.

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) menganjurkan Perhimpunan Bersih 4.0 pada 29 dan 30 Ogos lalu selama 34 jam telah mendapat liputan meluas pelbagai agensi berita tempatan dan antarabangsa seperti CNN, Aljazeera serta BBC.

Nazri menyarankan supaya perhimpunan tersebut diadakan secara tahunan agar dapat melonjakkan lagi nama negara dalam industri pelancongan.

Mengenai kehadiran Tun Dr Mahathir Mohamad di Bersih 4.0, Nazri berkata,

“Beliau telah berubah. Sebelum ini beliau kata demonstrasi bukan budaya kita, tetapi sekarang ketika beliau sudah tua, baru disedari bahawa ia adalah satu budaya baharu dan mahu menyertainya.

“Oklah macam itu, saya tidak fikir orang tua macam orang itu akan merosakkan harta benda atau baling bom. Makin ramai orang tua macam itu lagi bagus,” katanya.

Bersih 4.0: Maria Chin dipanggil beri keterangan


Bersih 4.0: Maria Chin dipanggil beri keterangan
Maria Chin Abdullah dan enam yang lain akan disiasat
mengikut Seksyen 120, 124C dan 141 Kanun Keseksaan.

Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah bersama enam lagi ahli jawatankuasa penganjur dipanggil oleh polis untuk diambil kenyataan berhubung perhimpunan Bersih 4.0 selama 34 jam pada Sabtu dan Ahad.

Menurut sumber, mereka diminta hadir di Bukit Aman pada pagi Rabu.

Selain Maria, enam yang dipanggil untuk memberi keterangan ialah Sarajun Hoda Abdul Hassan, Masjaliza Hamzah, Farhana Abdul Halim, Fadiah Nadwa Fikri, Mandeep Singh, dan aktivis pelajar, Adam Adli Abdul Halim.

FMT difahamkan mereka akan disiasat mengikut Seksyen 120, 124C dan 141 Kanun Keseksaan.

Sebelum ini, sebuah portal menyiarkan berita bahawa Maria ditahan polis pada Isnin berikutan perhimpunan tersebut.

Polis bagaimanapun menafikan berita itu dan menganggap ia berita palsu yang disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Lebih baik Najib diam – Rafizi Ramli


Lebih baik Najib diam – Rafizi Ramli
Semakin banyak Perdana Menteri memberikan komen mengenai
Bersih 4.0 semakin menjunam popularitinya di mata rakyat.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli berkata, dia akan menasihatkan Datuk Seri Najib Tun Razak supaya `diam’ daripada membuat sebarang kenyataan mengenai perhimpunan Bersih 4.0 sekiranya dia menjadi penasihat kepada Perdana Menteri.

Katanya, semakin banyak Najib memberikan komen berhubung Bersih 4.0 semakin menjunam popularitinya di mata rakyat.

“Dia (Najib) hanya perlu berkata ok, saya mendengar anda dan kita lihat apa yang boleh dilakukan.

“Saya fikir itu adalah lebih baik daripada dia (Najib) berkata mereka tidak menyokong saya tetapi terdapat ramai lagi orang yang menyokong saya,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR pada Selasa.

Dalam perutusan Hari Merdeka Sabtu lalu, Najib berkata, perhimpunan Bersih 4.0 merupakan satu acara kurang bijak, berfikiran cetek dan menunjukkan kekurangan semangat kebangsaan.

Najib berkata, kerajaan menolak sebarang bentuk demonstrasi jalanan yang mengganggu kententeraman awam sambil menambah ia tidak mencerminkan kematangan.

Rafizi berkata, rakyat yang tidak datang menyertai perhimpunan itu tidak bermakna mereka menyokong Najib.

“Najib tidak mempunyai sokongan majoriti rakyat sama ada mereka yang datang ke perhimpunan itu atau tidak.

“Oleh itu, mereka yang tidak datang ke perhimpunan Bersih 4.0 bukan bermakna memberi sokongan kepada Najib,” katanya.

Rahman Dahlan teruja himpunan sejuta sokong Najib


Rahman Dahlan teruja himpunan sejuta sokong Najib
Himpunan itu akan menunjukkan ramai rakyat Malaysia menyokong kerajaan
dan kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, beliau teruja dengan himpunan sejuta menyokong Datuk Seri Najib Tun Razak yang dirancang diadakan pada Oktober ini.

Katanya, himpunan itu boleh menunjukkan bahawa ramai rakyat Malaysia yang menyokong kerajaan dan kepemimpinan Najib.

“Saya dengar ratusan ribu akan keluar dan ini kita akan tengok, kita nak tunjukkan bahawa suara di Malaysia ini juga ramai yang sokong kerajaan dan kepimpinan Perdana Menteri,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Pelaksaan Pengasingan Sisa Pepejal di Punca pada Selasa.

Pengarah Strategik Komunikasi Barisan Nasional (BN) itu berharap agar tiada mana-mana pihak yang menentang perhimpunan itu kerana ia hak demokrasi rakyat negara ini.

“Saya berpendapat kalau ada kumpulan yang ingin mengumpulkan orang untuk buat perjumpaan balas, itu hak mereka dan kita berharap ia tak ditentang mana-mana pihak,” katanya.

Himpunan sejuta menyokong Najib dengan memakai t-shirt merah itu dirancang oleh Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Jamal Md Yunos sebagai ‘membalas’ himpunan Bersih 4.0 yang mendesak Najib meletak jawatan.

Benarkah kerajaan mahu beli kapal perang RM3 billion?


Benarkah kerajaan mahu beli kapal perang RM3 billion?
Rafizi Ramli mendedahkan perkara itu berdasarkan laporan antarabangsa
France Russia Mistral Ships Update: Malaysia To Buy Aircraft Carrier' bertarikh 26 Ogos 2015.

Kerajaan Malaysia didakwa bakal membeli sebuah kapal perang Mistral dari Perancis bernilai RM3 bilion.

Dakwaan itu dibuat Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli, berdasarkan laporan antarabangsa yang bertajuk ‘France Russia Mistral Ships Update: Malaysia To Buy Aircraft Carrier’ bertarikh 26 Ogos 2015.

“Akhbar antarabangsa melaporkan Menteri Pertahanan Perancis, Jean Yves Le Drian bakal mengadakan perjumpaan dengan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Hussein dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam rangka lawatan dua hari ke Malaysia.

“Rombongan ini akan turut disertai oleh wakil-wakil industri persenjataan Perancis termasuklah Dassault Aviation, Thales, Safran, oleh itu timbul desas desus bahawa lawatan ini adalah untuk merundingkan penjualan sebuah kapal perang Mistral kepada kerajaan Malaysia,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PKR pada Selasa.

Setiausaha Agung PKR itu berkata, berdasarkan semakan menunjukkan sebuah kapal terbang Mistral ini dianggarkan berharga sekitar USD600 juta pada tahun 2012.

“Mengambil kira kenaikan harga ‎dan kadar mata wang sekarang terkini, ini bermakna kos pembelian kapal perang Mistral ini boleh mencecah RM 2.6 bilion.

“Oleh itu, mengambil kira kontrak penyelenggaraan dan bantuan teknikal yang selalunya bernilai ratusan juta, saya menganggarkan pembelian ini boleh memakan RM3 bilion dana rakyat,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mendesak supaya Perdana Menteri,dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein membentangkan perkara itu kepada Parlimen Oktober nanti.

Katanya, pembelian tersebut tidak tidak sesuai memandangkan keadaan ekonomi semasa negara dalam keadaan parah dan pembelian itu bakal mencetuskan kontroversi.

Hakim tarik diri daripada mendengar kes Anwar


Hakim tarik diri daripada mendengar kes Anwar
Datuk Asmabi Mohamad merupakan Peguam Kanan Persekutuan yang
mewakili kerajaan dalam saman difailkan Anwar Ibrahim terhadap
Perdana Menteri ketika itu berhubung pemecatannya daripada Kabinet pada 1998.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Asmabi Mohamad hari ini menarik diri daripada mendengar permohonan kebenaran semakan kehakiman Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mencabar keputusan Lembaga Pengampunan yang menolak petisyennya bagi sabitan meliwat.

Asmabi membuat keputusan itu dalam kamarnya selepas mendengar hujahan peguam Latheefa Koya dan Shahid Adli Kamarudin, mewakili Anwar, isterinya Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan dua anak perempuan mereka, Nurul Izzah dan Nurul Nuha.

Peguam Kanan Persekutuan, Suzana Atan, bertindak bagi pihak Lembaga Pengampunan, Peguam Negara dan Kerajaan Malaysia.

Latheefa ketika ditemui pemberita berkata, Asmabi membenarkan permohonan Anwar supaya beliau menarik diri atas alasan wujud “bahaya berat sebelah” sekiranya beliau mendengar permohonan Anwar bagi semakan kehakiman.

Beliau turut berkata, pihak pembelaan turut berhujah Asmabi juga peguam kanan persekutuan yang mewakili kerajaan dalam saman difailkan Anwar terhadap Perdana Menteri ketika itu berhubung pemecatannya daripada Kabinet pada 1998.

“Kes itu akan didengar di hadapan hakim lain. Bagaimanapun tarikh sebutan kes berkenaan akan ditetapkan kemudian,” kata Latheefa.

Pada 24 Jun lepas, Anwar, Wan Azizah dan dua anak mereka memfailkan permohonan bagi mendapatkan kebenaran semakan kehakiman untuk membatalkan keputusan lembaga itu pada 16 Mac dan agar lembaga itu menasihati Yang di-Pertuan Agong supaya memberi pengampunan dan membebaskan Anwar.

Mereka juga memohon perintah mandamus agar lembaga itu mengadakan semula mesyuaratnya dan menimbang semua perkara berhubung petisyen untuk mendapatkan pengampunan diraja.

Dalam afidavit untuk menyokong permohonannya, Anwar, mendakwa keputusan lembaga itu melanggar peraturan keadilan hak asasi dan oleh itu, adalah tidak sah.

Anwar kini menjalani hukuman penjara lima tahun di Penjara Sungai Buloh setelah Mahkamah Persekutuan pada 10 Februari mengekalkan sabitan dan hukuman terhadapnya bagi kesalahan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, pada 2008.

Dalam pada itu, Latheefa berkata Asmabi turut menarik diri daripada mendengar saman pemula yang difailkan Anwar terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan dua lagi kerana tidak membenarkannya mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh pada 7 Mei lalu.

“Oleh itu, kes berkenaan yang dijadualkan untuk pendengaran esok di hadapan Asmabi turut dilapangkan,” katanya.

-BERNAMA

Najib panggil peserta Bersih 4.0 ‘sekor-sekor’


Najib panggil peserta Bersih 4.0 ‘sekor-sekor’
Pemimpin yang terlibat dalam perhimpunan Bersih 4.0 tidak mungkin
dapat membantu bila rakyat memerlukan pertolongan seperti yang berlaku di Pulau Pinang.

Rakaman video petikan Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu majlis di Kuala Terengganu menjadi popular kerana perkataan ‘sekor-sekor’ yang diguna Perdana Menteri untuk merujuk kepada peserta Bersih 4.0.

Menerusi video yang dimuatnaik The Star TV, Najib berkata, peserta Bersih 4.0 yang dipanggil ‘sekor-sekor’ itu tidak mampu untuk membantu membangunkan Felda dan kawasan luar bandar kecuali kerajaan pemerintah.

“Tuan-tuan ingat puak-puak yang terlibat dalam Bersih 4.0 semalam tu nak buat Felda tak? Cuba tengok muka sekor-sekor tu. Sekor-sekor dalam surat khabar tv tu. Ada hati perut nak bangunkan Felda?Ada hati perut nak bangunkan kawasan luar bandar?

“Siapa berbudi pada masyarakat luar bandar melainkan kerajaan yang ada pada hari ini,” katanya.

Tambah Najib lagi, mereka yang terlibat dalam demonstrasi itu tidak mungkin mampu membantu bila diminta pertolongan.

Beliau mengaitkan perkara itu dengan isu pengambilalihan tanah oleh kerajaan Pulau Pinang terhadap masyarakat di Kampung Mutiara di Pulau Pinang.

“Sekali lagi saya nak tanya puak-puak Bersih ni boleh kita harap? Boleh kita mintak pertolongan?

“Jangan cakap nak mintak pertolongan, tanah perkampungan di Pulau Pinang pun dia orang nak ambil alih. Orang sana pun terdesak…kampung-kampung lama pun nak hilang. takde lagi pupus segalanya.

“Tapi kalau kerajaan yang ada hari ini pimpinan kita…Insyallah masyarakat luar bandar akan terus mendapat pembelaan,” katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Peneroka 2015 peringkat Kebangsaan di Kuala Terengganu pada Ahad.



“Penganjur Bersih bukan manusia yang boleh minta maaf”


“Penganjur Bersih bukan manusia yang boleh minta maaf”
Perbuatan peserta Bersih 4.0 memijak gambar Najib Tun Razak
dan Hadi Awang telah mengguris hati orang Melayu.

Perbuatan peserta Bersih 4.0 memijak gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah mengguris hati orang Melayu.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Bung Mokhtar Radin berkata, perbuatan itu sangat biadap dan tidak sesuai dengan budaya masyarakat Malaysia.

“Perbuatan peserta Bersih 4.0 memijak gambar Perdana Menteri dan Hadi Awang, adalah satu perbuatan yang teramat biadap.

“..Ini membuatkan orang Melayu merasakan diri mereka dihina oleh bangsa lain di tanah air sendiri,” katanya ketika dihubungi FMT.

Ahli Parlimen Kinabatangan itu juga berkata, perbuatan itu merupakan permainan kotor DAP kerana perbuatan yang hampir sama pernah dilakukan oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guang Eng.

“Saya tidak hairan kerana inilah permainan kotor DAP dari dulu lagi, di mana, Lim Guan Eng pun pernah memijak gambar pemimpin negara,” katanya.

Malah beliau juga tidak menolak perpecahan yang berlaku dalam kalangan orang Melayu sebagai punca berlakunya perkara tersebut.

“Orang Melayu perlu sedar kalau kita berpecah inilah akibatnya…bangsa kita tidak dihormati orang lain,” katanya.

Ditanya jika wujud keperluan bagi penganjur Bersih 4.0 membuat permohonan maaf, Bung berkata, ‘tidak perlu’.

“Tak sesuai untuk mereka meminta maaf, kerana mereka bukan manusia yang boleh minta maaf,” katanya.

Penganjur Bersih 4.0 kena bayar RM65,000 kepada DBKL


Penganjur Bersih 4.0 kena bayar RM65,000 kepada DBKL
Jumlah itu bagi menampung kerja-kerja membaiki kerosakan dan kerja-kerja
pembersihan kerana peserta didakwa kencing di merata-rata tempat
seperti di pokok-pokok bunga, belakang bangunan, bawah tangga dan dalam parit.

Penganjur perhimpunan Bersih 4.0 perlu membayar RM65,000 bagi menanggung membaiki kerosakan dan kos kerja-kerja pembersihan sepanjang dua hari perhimpunan itu diadakan di ibu negara.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, bil tersebut akan dihantar secepat mungkin kepada Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah.

“Saya minta Maria jangan belanja dulu RM1 juta lebih (dana diperoleh Bersih 4.0). Tolong jangan belanja habis.Saya fikir nak hantar satu bil kepada Bersih.

“Jumlah kos tambahan untuk membersihkan kawasan yang digunakan untuk membersihkan kawasan yang digunakan Bersih. Kosnya lebih kurang RM65,000 untuk Kuala Lumpur sahaja,” katanya kepada pada sidang media selepas Majlis Pelaksanaan Pengasingan Sisa Pepejal pada Selasa.

Beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Kota Belud berkata, bil tersebut akan dihantar oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kepada Maria.

“Saya serahkan kepada DBKL untuk berikan bil kepada mereka untuk kencing merata-rata tempat, pokok-pokok bunga, belakang bangunan, bawah tangga, dalam parit, semua ini akan kita bilkan kepada Bersih,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut diminta mengulas kehadiran bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada perhimpunan Bersih 4.0.

“Kemunculannya adalah amat mendukacitakan. Saya tak akan bercakap bagi pihak orang lain tapi saya dapat bagi tahu anda, saya mendapat lebih 50 whatsapp group dalam handphone saya.
“Mereka yang sebelum ini bersimpati terhadap Mahathir telah beralih,” katanya.

Katanya, tindakan Dr Mahathir itu dilihat seperti orang yang sedang marah dan tidak boleh berfikir secara rasional.

“Mungkin kita perlukan masa, mungkin jika Mahathir sanggup untuk berjumpa pihak ketiga, perlahankan dan kita tengok kita dapat persetujuan secara damai,” katanya.

Syed Mokhtar nafi tulis artikel berkaitan Najib


Syed Mokhtar nafi tulis artikel berkaitan Najib
Artikel bertajuk `Luahan Hati Tan Sri Syed Mokhtar Bukhary Berkenaan
Perdana Menteri' telah disebar di media sosial sejak 29 Ogos lalu.

Jutawan yang juga Pengasas Yayasan Albukhary, Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhary menafikan beliau menulis artikel berkenaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Artikel bertajuk `Luahan Hati Tan Sri Syed Mokhtar Bukhary Berkenaan Perdana Menteri’ telah disebar di media sosial sejak 29 Ogos lalu.

Menurut Syed Mokhtar, beliau tidak boleh terus membiarkan perbuatan menyamar menggunakan namanya lebih-lebih bagi tujuan yang menyalahi undang-undang.

“Untuk mengelakkan keraguan atau kekeliruan, orang ramai boleh merujuk ke laman web Albukhary Foundation yang menjadi medium rasmi tunggal bagi Tan Sri Syed Mokhtar.” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Artikel itu telah mendapat perhatian dan diterbitkan semula dalam blog dan tersebar menerusi media sosial di Twitter, Whats App dan Facebook.

Antara lain, artikel itu menyatakan Najib sebagai manusia biasa tak dapat lari dari kesilapan dan kelemahan namun apakah sekian banyak usaha baik yang dibuat beliau tak ubah seperti mencurah air di daun keladi atau menjadi bangsa yang tak mengenang budi.

Tulis artikel itu lagi, sepanjang lima tahun berbilion bantuan dan peruntukan kepada kaum Bumiputera diberikan oleh Najib, namun Melayu tak penah sepatah mengucap terima kasih.

Sebaliknya apabila Perdana Menteri mengumumkan bantuan RM50 juta kepada usahawan Cina, itulah dijadikan modal memaki Najib.

Syed Mokhtar merupakan Pengasas Yayasan Albukhary dan telah berkhidmat sebagai Pengerusi sejak ditubuhkan pada Mac 1996.

Yayasan Albukhary tidak terlibat dalam politik kerana sebuah organisasi amal, pendidikan dan inisiatif budaya yang merapatkan jurang di antara golongan miskin dan kaya serta masyarakat Islam dan bukan Islam.

Syed Mokhtar Al Bukhari merupakan jutawan Bumiputera di Malaysia dengan memiliki aset sebanyak RM167 bilion yang memiliki pelbagai bidang perniagaan termasuk pengangkutan dan logistik, perladangan, pembangunan hartanah, pertahanan dan kejuruteraan dan janakuasa elektrik.

Saya akan terus bersuara – Anak Zahid Hamidi


Saya akan terus bersuara – Anak Zahid Hamidi
Nurulhidayah mendakwa kenyataannya berhubung peserta perhimpunan
Bersih 4.0 telah disalaherti dan dituduh bersifat perkauman.

Nurulhidayah Ahmad Zahid, anak kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan dia tidak akan mengalah dan akan terus bersuara bagi menyatakan pendirian dan pegangannya berhubung isu-isu sosial serta politik yang berlaku di negara ini.

Nurulhidayah menyatakan pendirian itu sebagai membalas kritikan yang diterimanya di laman sosial selepas menyifatkan tindakan peserta perhimpunan Bersih 4.0 sebagai kerja bodoh.

Jelasnya, kenyataannya itu telah disalahertikan oleh segelintir pengguna media sosial yang tidak berpuas hati.

“Saya telah diserang secara peribadi. Saya tak menyentuh perkauman atau bangsa.
“Saya cuma pertikaikan kewarasan segelintir anda yang tidur dijalanan kononnya untuk menyatakan kebenaran,” katanya.

Menerusi status di laman Instagram SayaNurul Zahid, Nurulhidayah menyatakan, sebagai seorang warga negara Malaysia, dia juga berhak untuk bersuara.

“Saya tidak akan berdiam dan akan terus berkata-berkata. Saya bersuara hanya sekali berbanding anda yang selantang menjadi Tuhan menghukum manusia,” katanya lagi.

Katanya, sebelum ini dia juga pernah bersuara tidak bersetuju dengan insiden pergaduhan di Low Yat kerana berpendapat insiden pergaduhan antara kaum jelas dilarang dalam mana-mana agama sekalipun.

58 tahun merdeka: Malaysia berjaya lahirkan rakyat berhutang


58 tahun merdeka: Malaysia berjaya lahirkan rakyat berhutang
Hasil negara pula dieksploitasi menjadi senjata politik
daripada menjadi kekuatan yang memacu kemajuan negara.

Kejayaan Malaysia selepas 58 tahun merdeka ialah melahirkan rakyat yang berhutang keliling pinggang, kata Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Katanya, beban hutang yang semakin parah ibarat ‘penjara baru’ buat rakyat negara ini walaupun negara kaya dengan sumber asli.

“Berjaya cemerlang ke universiti, namun yang menunggu mereka ialah puluhan ribu hutang PTPTN. Kemudian di awal alam pekerjaan mereka, hutang rumah, kereta dan sara hidup mengetuk di pintu dompet.

“Ini adalah ‘penjara alam baru’ buat rakyat hari ini meskipun sumber asli yang ada di Malaysia menjadi kecemburuan dunia.

“Lihatlah nasib peneroka Felda hari ini yang dijanjikan mimpi indah ketika kerajaan mahu membawa FGV ke Bursa Malaysia. Kini, mereka berhutang untuk membayar saham yang dijanjikan keuntungan berganda,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Tuan Ibrahim berkata, tidak ada istilah merdeka sekiranya rakyat negara ini terus dihimpit dengan hutang yang melampau sehingga masih ada lagi yang kelaparan dan terpaksa menangguhkan pengajian kerana kesempitan hidup.

“Di saat kepimpinan negara bergelut bagi menjawab dana negara di 1MDB yang diselewengkan dan asal usul dana RM2.6 billion di akaun Perdana Menteri dan bagaimana ia telah dibelanjakan, rakyat berpendapatan rendah dan sederhana pula bergelumang dengan kos hidup yang sangat membebankan,” katanya.

Beliau berkata, hasil negara dieksploitasi menjadi senjata politik daripada menjadi kekuatan yang memacu kemajuan negara.

Katanya, kegagalan itu menyebabkan negara semakin jauh ketinggalan berbanding Singapura, Korea, Jepun bahkan kini Vietnam dan Kemboja yang semakin pesat membangun.

Pijak gambar Najib: Pemuda Pekan beri amaran keras


Pijak gambar Najib: Pemuda Pekan beri amaran keras
Penganjur Bersih 4 didesak minta maaf dalam tempoh 24 jam atau sedia
tanggung kesan akibat perbuatan biadap peserta perhimpunan.

Pemuda UMNO Bahagian  Pekan mendesak penganjur perhimpunan Bersih 4 memohon maaf kerana perbuatan peserta perhimpunan itu yang memijak gambar Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ketuanya, Shahruddin Ahmad berkata, perbuatan memijak gambar Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO adalah melampau, biadap dan provokatif.

“Jika tiada pihak dari entiti Bersih 4 tampil berbuat demikian dalam tempoh 24 jam, bermakna kalian merestui dan bersubahat dengan perbuatan tersebut,” katanya dalam  kenyataan media.

Sharuddin berkata,  pihak penganjur juga perlu menyedari perbuatan yang tidak hormat sedemikian bakal mengheret persepsi dan memburukkan imej serta nama ‘bersih’ yang didukungi.

“Kami berlepas tangan, seandainya kemarahan yang sedang membakar kini kian marak dan membakar kamu jika enggan menyelesaikan keterlanjuran tersebut secara harmoni,” tegasnya.

GHB belum muktamad nama parti poitik


GHB belum muktamad nama parti poitik
Buat sementara ia menggunakan nama Parti Pekerja Malaysia
sebelum ia ditukar kepada Parti Amanah Negara, 16 September depan.

Gerakan Harapan Baru (GHB) memutuskan menubuhkan Parti Pekerja Malaysia selepas cadangan untuk menggunakan nama Parti Prograsif Islam tidak mendapat kelulusan Pendaftar Pertubuhan (RoS).

Bagaimanapun ia hanya sementara sebelum ia ditukar kepada ‘Parti Amanah Negara’ yang akan dilancar 16 September ini.

“Pelancaran parti ini akan dibuat pada tanggal keramat 16 September ini,” katanya pada sidang media pada Isnin.

Katanya, pindaan nama serta perlembagaan parti akan kita kemukakan kepada RoS selepas ia diputuskan bersama.

Jelas Mohamad lagi, dengan adanya wadah baru ini, ia akan menampilkan sebuah lagi parti politik Islam di negara ini.

Bahkan, ia juga akan meneruskan legasi perjuangan politik Islam yang diteruskan bekas Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, dan beberapa lagi tokoh pemimpin PAS yang terdahulu.

“Kami akan usahakan bersama momentum perubahan politik atas dasar tahaluf yang jujur dan komited dalam perkara yang disepakati bersama rakan-rakan parti politik DAP, dan PKR serta penubuhan kembali Pakatan Rakyat 2.0,” katanya.

Bantahan Bersih 4.0 kerja bodoh-anak Zahid Hamidi


Bantahan Bersih 4.0 kerja bodoh-anak Zahid Hamidi
Dalam status yang dimuat naik di Facebooknya, Nurulhidayah
Ahmad Zahid turut menggunakan bahasa kasar untuk meluahkan pandangannya

Anak perempuan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan peserta yang menyertai demonstrasi Bersih 4.0 sebagai kerja bodoh.

Bukan setakat itu, dalam status yang dimuat naik di Facebooknya, Nurulhidayah Ahmad Zahid turut menggunakan bahasa kasar untuk meluahkan pandangannya.

“Nak sangat pertahankan NEGARA konon? Pergi masuk Askar la. Jaga sempadan. Pegi Ops Pasir.. segala mak bapak Ops korang bole rasa,” katanya di Facebook.

Dalam status yang dikongsinya, Nurulhidayah mendakwa satu ketika dahulu dia pernah melakukan tindakan serupa.

“Time tu aku suruh Tun Mahathir turun. Aku percaya ramai yang mcm tu dulu. Tapi zaman sekarang dah tak releven babe kat atas jalan ni! Negara luar tu dok perhati jer nak Malaysia ni huru hara,” jelasnya lagi.

Najib lebih berbahaya daripada DAP-Zam


Najib lebih berbahaya daripada DAP-Zam
Zam mendakwa Dr Mahathir tidak bimbangkan kebangkitan parti
DAP tetapi khuatir kerana Najib lebih berbahaya dari parti itu

Kehadiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ke demonstrasi Bersih 4.0 menunjukkan beliau tidak memilih bangsa untuk bersama rakyat yang mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Menurut bekas Menteri Penerangan Tan Sri Zainuddin Maidin, bekas Perdana Menteri telah bertindak berani untuk bersama penunjuk perasaan yang kebanyakannya bukan Melayu.

“Apa ruginya Tun di himpunan BERSIH kecuali yang fikir akan bangsatkan diri sendiri. Beranikah Kit Siang di tengah Melayu yang marah,” tulisnya bagi menjawab kutukan pihak tertentu terhadap Dr Mahathir.

Tulisnya lagi, kehadiran itu membuktikan bahawa Dr Mahathir tidak bimbangkan kebangkitan parti DAP tetapi khuatir dengan Najib yang dianggapnya lebih berbahaya daripada parti itu.

“Kepada ribuan peserta BERSIH Tun tegaskan dia mahu BN kekal tapi hanya mahu Najib undur. Dia tidak sokong Bersih.

“Kenapa Tun hadir di himpunan Bersih Cina? Kerana Tun fikir Najib lebih bahaya dr Dap. Tidakkah ini juga yg difikiran oleh orang Melayu?

“Jelas tujuan Tun in whatever cause Najib must go. Itu sebab utama dia hadir di BERSIH. Dia mahu Najib pergi kerana dia sayangkan Umno,” katanya.

Bekas Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Melayu itu turut kesal dengan akhbar milikan UMNO, Utusan Malaysia yang menyatakan Mahathir hadir ke demonstrasi Bersih 4.0 adalah kerana menyokong tindakan rakyat.

Namun, akhbar itu tidak menjelaskan tujuan utama Mahathir datang ke acara tersebut adalah untuk menyokong rakyat yang mahu Najib segera berundur.

Digantung tugas kerana ubah azan Solat Subuh


Digantung tugas kerana ubah azan Solat Subuh
Muazin menggantikan seruan azan “solat lebih baik daripada tidur” kepada
“solat lebih baik daripada menghabiskan masa dengan Facebook

Seorang muazin atau tukang azan di Mesir digantung tugas selepas bertindak sengaja mengubah suai laungan azan subuh.

Tindakan diambil ke atas ulamak Mahmoud al-Moghazi selepas dia menggantikan seruan azan “solat lebih baik daripada tidur” kepada “solat lebih baik daripada menghabiskan masa dengan Facebook”.

Menurut laporan BBC, jemaah di bandar Kafr al-Dawar yang marah dengan perbuatannya kemudian melaporkannya kepada pihak berkuasa.

Ekoran itu, dia digantung tugas sementara siasatan dilakukan.

Dia bagaimanapun mengancam akan melakukan mogok lapar dan merayu Presiden Abdel Fattah al Sisi menarik balik keputusan yang dibuat ke atasnya.

Dalam sebuah rancangan televisyen pada Ahad, salah seorang jemaah menuduh al Moghozi sebagai mengamalkan ajaran yang menyeleweng.

http://www.bbc.com/news/world-middle-east-34105141

Khairuddin minta HK siasat syarikat berkaitan Najib


Khairuddin minta HK siasat syarikat berkaitan Najib
Beliau mendakwa Najib menjadi 'signatory' terhadap empat
buah syarikat termasukk syarikat milik Jho Low serta keluarganya

Satu laporan polis telah dibuat di ibu pejabat polis Hong Kong terhadap empat buah syarikat yang dikaitkan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Dalam laporannya, Bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Khairuddin Abu Hassan meminta pihak berkuasa wilayah itu melakukan siasatan rapi terhadap syarikat yang disenaraikannya iaitu:

1) Alliance Assets International Limited
2) Cityfield Enterprises Limited
3) Bartingale International Limited
4) Wonder Quest Investments Limited

Laporan itu dibubat pada 30 Ogos 2015, jam 2 petang waktu tempatan.

Beliau mendakwa Najib menjadi ‘signatory’ terhadap empat buah syarikat berkenaan.

“Syarikat-syarikat ini amat meragukan kerana difahamkan bahawa Najib Tun Razak adalah ‘signatory’nya dan di dalam akaun-akaun syarikat ini pernah mempunyai rekod simpanan sejumlah RM1.125 billion yang disimpan melalui bank CREDIT SUISSE HONG KONG BRANCH,” kata Khairuddin dalam kenyataan yang dipetik daripada Facebooknya.

Berikutan itu, beliau memohon pihak pihak berkuasa Hong Kong untuk buat penyiasatan secara terperinci dan menyeluruh mengenai sumber kewangan syarikat ini dan transaksi dananya.

Pada masa yang sama, Khairuddin turut membuat laporan polis ke atas syarikat-syarikat yang dimiliki oleh Jho Low dan ahli keluarganya iaitu:

1) Jynwell Capital (HK)
2) Jynwell Charitable Foundation
3) Strategic Resources Global (Global Limited)

Katanya lagi, satu siasatan yang teliti akan dilaksanakan pihak berkuasa Hong Kong bagi menyiasat sama ada syarikat-syarikat milik Jho Low serta keluarganya pernah berusurusan ataupun tidak dengan syarikat 1MDB yang mencecah hutang piutang sejumlah RM42 billion setakat bulan mac 2014.

SAMM dakwa Chegubard difitnah


SAMM dakwa Chegubard difitnah
AntaraPos melaporkan Chegubard menuduh DAP mahu
menjatuhkan Menteri Besar Selangor, Azmin Ali.

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) mendakwa Pengasas mereka, Chegubard, difitnah media yang bertujuan memburukkan hubungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu dengan DAP.

Pengarah Propaganda SAMM, Edy Noor Reduan berkata, berita portal AntaraPos mendakwa Chegubard menuduh DAP mahu menjatuhkan Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali.

Chegubard dilaporkan berkata demikian dalam forum baru-baru ini yang antara lain menyentuh isu penubuhan Kumpulan Pelaburan Darul Ehsan Berhad (DEIG) yang menjadi kontroversi.

Edy Noor berkata, setelah meneliti berkali kali rakaman video forum tersebut dengan jelas laporan AntaraPos itu fitnah jahat.

“Dalam forum tersebut, pihak yang mendakwa DAP menggunakan isu DEIG untuk menjatuhkan Azmin adalah daripada Pengerusi forum dan juga respon seorang lagi panel lain, mungkin dengan tujuan bagi memberi persepsi buruk menunjukkan bagaimana jahatnya DAP mencaturkan politik menjatuhkan individu.

“Namun CheguBard menjelaskan isu DEIG ini bermula ‘panas’ dengan dibangkitkan oleh Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bukan DAP yang bangkitkan.

“Hanya kemudian selepas Khalid bangkitkan baru ia mendapat respon wakil DAP, malah ditegaskan bukan sahaja wakil DAP tetapi wakil Pas dan wakil UMNO dalam dewan juga turut respon. Jadi Chegubard dengan jelas menegaskan tidak perlu ada pihak yang cuba ‘spin’ isu ini sebagai isu perkauman bagi memburukkan DAP,” katanya.

Eddy Noor berkata, dalam forum itu Chegubard menjelaskan Barisan Nasional (BN) selaku pembangkang di Selangor patut malu kerana terpaksa menunggu wakil rakyat bebas (Khalid) untuk membangkitkan isu itu.

Sehubungan itu, SAMM mendesak AntaraPos membetulkan laporan berita itu yang bertujuan menjejaskan hubungan mereka dengan DAP.

Sanggupkah ‘politikus’ lain ke jalanan bersama Tun M


Sanggupkah ‘politikus’ lain ke jalanan bersama Tun M
Selepas pelbagai cara digunakan untuk menjatuhkan Najib,
beliau melihat hanya demonstrasi jalanan cara terakhir

Kehadiran dua kali bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ke demonstrasi Bersih 4.0 beliau tidak akan mengalah untuk menjatuhkan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Mengenali negarawan itu, faktor usia dan masa bukan halangan.

Sebaik selesai bersama rakyat di Program Bicara Negarawan di Pasir Gudang, pada Sabtu lalu, beliau bergegas pulang dan membuat kejutan muncul bersama rakyat yang berbaju kuning berhampiran Dataran Merdeka.

Meskipun seketika, kehadiran itu memberi impak yang besar terhadap mereka yang berusaha untuk menjatuhkan Najib.

Semua tahu, ideologi Mahathir ibarat langit dengan bumi dengan DAP, namun kemunculan itu atas nawaitu yang satu, bersama rakyat menyingikirkan Najib.

“ Saya hanya datang untuk tengok,” katanya sebelum beredar pulang dan selepas itu berjanji akan datang lagi.

Kehadiran kali kedua Dr Mahathir berbeza dengan sehari sebelumnya, di mana beliau tampil dengan kenyataan lebih keras.

“Kalau kerajaan dah tak peduli undang-undang, kita terpaksa gunakan demontrasi jalanan. Lihat Marcos, beliau telah dijatuhkan melalui demonstrasi jalanan,” tegasnya.

Apakah selepas pelbagai ikhtiar dan usahanya untuk menyingkirkan Najib tidak menampakkan hasil, beliau akan menggunakan cara yang sama yang pernah digunakan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjatuhkannya 17 tahun lalu.

Dari sudut yang lain, kenyataannya memberi suntikan baru kepada mereka yang menentang pentadbiran Najib.

Bersih 4.0 yang berlangsung lebih 36 jam dilihat didominasi kaum Cina, mungkin selepas ini dalam siri demonstrasi selanjutnya, ia akan menampilkan ramai orang Melayu sekiranya Dr Mahathir turun sama selepas Pas yang bertalak tiga dengan DAP tidak menggalakkan ahlinya menyertai bantahan itu.

Cuma satu perlu difikirkan, wajarkah dibiarkan Tun dalam usianya yang menjangkaui 90 tahun, menggalas tanggungjawab ini.

Mana pergi ‘politikus’ yang kononnya sealiran dengannya?

Dr Mahathir sudah masuk perangkap DAP – Bung Mokhtar


Dr Mahathir sudah masuk perangkap DAP – Bung Mokhtar
Saya percaya akan ada perarakan yang sama pula dibuat
oleh orang Melayu untuk membalas tindakan DAP.

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dikatakan sudah terkena perangkap DAP, apabila beliau turun menyertai perhimpunan Bersih 4.0.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Bung Mokhtar Radin berkata, Dr Mahathir tidak sepatutnya bersekongkol dengan parti pembangkang terutamanya DAP yang beliau sendiri tentang sebelum ini.

“Tun Mahathir sudah termasuk dalam perangkap DAP. Kalaupun hasrat Tun Mahathir nak turunkan Najib selaku Perdana Menteri, Tun Mahathir tidak seharusnya meletakkan diri dalam kumpulan yang dia kritik dahulu.

“Pada saya penyertaan Tun Mahathir dalam Bersih, pada waktu dan tempat yang salah,” katanya ketika dihubungi FMT.

Ahli Parlimen Kinabatangan berkata, penganjuran Bersih juga merupakan agenda perkauman yang sengaja dilakukan DAP.

“Kita lihat bagaimana kehadiran Bersih 4.0, seolah-oleh agenda DAP dengan perkuman Cinanya,” katanya.

Beliau tidak menolak kemungkinan akan wujudnya demonstarasi anjuran orang Melayu sebagai usaha membalas dendam terhadap tindakan DAP.

“Saya percaya akan ada perarakan yang sama pula dibuat oleh orang Melayu untuk membalas tindakan DAP.

“Kalau ini berlaku jangan salahkan UMNO dan melayu pula,” katanya.

Jamal dapat sokongan desak Muhyiddin letak jawatan


Jamal dapat sokongan desak Muhyiddin letak jawatan
Dua pertiga perwakilan UMNO Bahagian Sungai Besar
lulus usul yang dicadang Datuk Jamal Yunos

Lebih dua pertiga perwakilan UMNO Bahagian Sungai Besar meluluskan usul meminta Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan sebagai Timbalan Presiden parti.

Dalam usul yang dicadangkan ketua bahagiannya, Datuk Jamal Md Yunos, 274 menyokong manakala 171 lagi membantah.

Beliau dalam kenyataannya berkata, usul berkenaan dibangkitkan setelah pihaknya berpendapat UMNO tidak boleh mempunyai dua nakhoda.

“Usul ini menerima sokongan lebih dua pertiga perwakilan yang hadir. Kita merasakan Najib perlu mempunyai pembantu yang setia, iaitu Ahmad Zahid. Masa sudah terlalu suntuk, fokus perlu diberikan untuk menentang pihak lawan.

“Jika Muhyiddin terus kekal sebagai Timbalan Presiden, Najib nanti tidak ada kerja lain kerana asyik perlu menjawab persoalan yang ditimbulkan Muhyiddin,” katanya yang dipetik daripada Mstar Online.

Usul berkenaan juga berpandangan bahawa Muhyiddin perlu memberi peluang kepada Najib dan Ahmad Zahid untuk meneruskan usaha mengukuhkan parti untuk berdepan Pilihan Raya Umum ke 14.

Zahid minta komponen BN bersedia hadapi PRU14


Zahid minta komponen BN bersedia hadapi PRU14
BN mengubah pendekatan dengan meletakkan calon disenangi
 berbanding calon boleh menang bagi menarik undi

Semua parti komponen Barisan Nasional (BN) perlu menyelesaikan masalah dalaman masing-masing bagi memperkasa gabungan itu untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah itu perlu dilakukan bagi memastikan BN menang besar pada PRU akan datang.

“Pilihan raya tidak jauh dari sekarang, tidak lebih dua tahun lima bulan, pejam celik kita akan hadapi pilihan raya.

“Jadi saya minta MB (Menteri Besar) dan pengerusi BN di negeri-negeri dan pengerusi BN di kawasan Parlimen termasuk Sungai Siput, jangan hanya balik kawasan ketika pilihan raya, baliklah jenguk anak buah yang akan menjadi jentera dalam menentukan kemenangan BN, jangan jadi pemimpin bermusim,” katanya.

Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden UMNO berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Sungai Siput.

Beliau turut mengingatkan parti-parti komponen yang calon mereka tidak bertanding di sesuatu kawasan, wajib membantu calon BN bagi memastikan kemenangan berpihak kepada gabungan itu.

“Bagi memastikan kemenangan BN, parti-parti komponen wajib menggerakkan
jentera sebab ini merupakan kerjasama dan kolaborasi yang harus diterjemahkan
oleh semua,” katanya.

Beliau berkata jika dahulu, parti akan memilih ‘winnable candidate’ (calon boleh menang) untuk diletak di sesuatu kawasan, kini parti perlu memilih ‘likable candidate’ (calon disenangi) yang boleh berkhidmat kepada masyarakat setempat.

– Bernama

Lagi skandal Najib dibongkar


Lagi skandal Najib dibongkar
Rafizi Ramli akan mendedahkan skandal terbaru
PM di Pentas Dataran Merdeka malam ini.

Lagi skandal yang membabitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak akan didedahkan kepada khalayak.

Ia akan dibuat Naib Presiden PKR Rafizi Ramli.

Katanya, perkara itu akan disampaikan pada malam kemuncak Himpunan Bersih 4.0 di Pentas Dataran Merdeka malam ini.

“Malam ini saya akan berucap lagi….ada pendedahan skandal baharu yang akan saya sampaikan,” katanya ketika menyampaikan ceramah di Jalan Masjid Jamek hari ini.

Dalam pada itu, Rafizi berkata, mesej peserta Bersih 4.0 jelas iaitu mahukan pembaharuan di dalam sistem pemerintahan.

“Kita mahukan kerajaan yang bersih,” katanya yang dipetik daripada Sinar Harian Online.

Himpunan Bersih 4.0 yang berlangsung sejak Sabtu akan berakhir tepat 12 malam ini.

Tiada keperluan kerah anggota FRU ke Dataran Merdeka


Tiada keperluan kerah anggota FRU ke Dataran Merdeka
Pemantauan yang dilakukan pihak Polis mendapati keadaan
di sekitar Dataran Merdeka masih lagi terkawal.

Polis menjelaskan tiada keperluan untuk menggunakan anggota Unit Polis Simpanan (FRU) di kawasan sekitar Dataran Merdeka.

Mengulas mengenainya, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Tajuddin Mad Isa memaklumkan keadaan paada masa sekarang masih terkawal di mana penganjur masih mematuhi janjinya.

“Setakat ini, masih lagi terkawal, pihak penganjur juga memegang kepada janji mereka untuk tidak melanggar peraturan dan arahan yang ditetapkan,” katanya.

Sewaktu dihubungi Free Malaysia Today, Tajuddin juga menyatakan sehingga kini, anggota polis yang dikerahkan untuk mengawal dan memantau perjalanan demosntrasi Bersih 4.0 adalah mencukupi walaupun tidak menyatakan jumlah sebenar.

Mengulas lanjut, beliau juga menjelaskan bahawa sambutan Hari Kebangsaan akan tetap dijalankan di lokasi berkenaan, pada Isnin.dan menafikan dakwaan bahawa sambutannya akan dipindahkan ke lokasi lain iaitu Stadium Bukit Jalil.

“Memang sambutan Hari Kemerdekaan di Dataran Merdeka. Cumanya, Konsert Ambang Merdeka dilakukan di Stadium Bukit Jalil.

“Bukan kita yang menetapkan lokasi itu, sebaliknya ia atas arahan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur,” ujar beliau lagi.

Pada masa sama, beliau juga memuji sikap peserta demonstrasi Bersih 4.0 yang tetap berdisiplin.
“Hingga kini, tidak ada lagi sebarang tangkapan yang kita lakukan,” ujarnya.

Sambutan Hari Kebangsaan terjejas kerana Bersih


Sambutan Hari Kebangsaan terjejas kerana Bersih
Persiapan akhir Hari Kebangsaan tidak akan berjalan dengan lancar
selagi peserta perhimpunan masih berada di kawasan sekitar Dataran Merdeka.

Peserta perhimpunan Bersih 4.0 dikatakan mengganggu persiapan terakhir sambutan Hari Kebangsaan di Dataran Merdeka yang bakal disambut pada 31 Ogos.

Prop perbarisan, poster dan karpet merah antara kelengkapan yang belum lagi dapat dibawa masuk kerana peserta perhimpunan haram mengganggu laluan masuk dan menyukarkan pergerakan petugas sambutan Hari Kebangsaan.

Bernama melaporkan persiapan terakhir hanya sekitar 50 peratus sahaja dan penganjur sambutan Hari Kebangsaan membayangkan persiapan terakhir tidak akan berjalan dengan lancar seperti yang dirancang selagi peserta perhimpunan masih berada di kawasan sekitar Dataran Merdeka.

Malah penganjur sambutan Hari Kebangsaan juga telah merayu kepada peserta perhimpunan tersebut untuk memberi kerjasama dan tidak menjejaskan persiapan terakhir tersebut.

Selain tidak menghormati persiapan terakhir sambutan Hari Kemerdekaan itu, penganjur perhimpunan haram tersebut juga mendapat tempias daripada peserta program mereka sendiri apabila meniup dan bermain vuvuzela sehingga mengganggu orang ramai.

Dalam pada itu, penganjur perhimpunan haram juga menafikan dakwaan mereka menaja atau memberi wang saku kepada peserta perhimpunan seperti yang tersebar melalui sistem pesanan ringkas (SMS) dan aplikasi WhatsApp.

– Bernama

Tak sokong Bersih, tapi sokong tindakan rakyat tolak Najib-Tun M


Tak sokong Bersih, tapi sokong tindakan rakyat tolak Najib-Tun M
Kehadirannya bagi memberikan sokongan kepada rakyat atas tindakan
mereka yang serius menolak kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menjelaskan kehadirannya di sekitar Dataran Merdeka pada Sabtu bukan untuk memberikan sokongan kepada penganjur demonstrasi Bersih 4.0.

Sebaliknya, memberikan sokongan kepada rakyat atas tindakan mereka yang serius menolak kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Jelasnya lagi, rakyat yang datang berdemonstrasi ini juga tidak semuanya membencikan UMNO dan Barisan Nasional (BN), tetapi kerana mereka tidak boleh menerima lagi pemimpin seperti Najib.

“Najib telah menyalahgunakan institusi kerajaan, dengan menyingkirkan Peguam Negara, mengugut Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) dan juga menggunakan polis untuk menakutkan orang ramai bagi menghormati beliau.

“Dia (Najib) juga telah menyalahgunakan ahli jawatankuasa PAC dengan menawarkan mereka jawatan di dalam kabinet. Ini juga boleh dikatakan seperti rasuah,” katanya yang ditemui pemberita di Pasar Seni, petang Ahad.

Tambah Mahathir lagi, beliau juga langsung tidak mempercayai bahawa derma yang memasukkan wang sebanyak RM2.6 bilion ke dalam akaun Najib adalah penderma dari negara Arab.

“Tidak ada Arab yang akan memberikan amaun sebanyak itu kepada sesiapa. Ia tidak masuk akal,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau juga mengajak agar Ahli Parlimen membuat satu usul undi tidak percaya dan menolak Najib.

“Saya juga maklum, bahawa beliau telah merasuah semua ahli parlimen UMNO, Ketua Bahagian UMNO. Bahkan Najib juga pernah memberitahu bahawa duit adalah raja.

“Dalam erti kata lain, anda membeli orang. Anda berikan wang kepada orang, dengan harapan orang itu akan menyokong anda,” katanya lagi.

Kata Mahathir lagi, tindakan Najib yang merasuah setiap Ahli Parlimen juga tidak masuk akal kerana jika dilihat dari gaji beliau adalah tidak mencukupi.

“Sudah tentu dia akan dapat duit dari sumber lain,” katanya lagi.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Rujukan