Cari Artikel

Saturday, August 29, 2015

Bersih 4.0 di luar negara jatuhkan imej Malaysia – Reezal Merican


Bersih 4.0 di luar negara jatuhkan imej Malaysia – Reezal Merican
Wisma Putra sedang kenal pasti identiti mereka yang terbabit dan
diserahkan kepada pihak berkuasa negara berkenaan untuk tindakan selanjutnya.

Kementerian Luar akan mengumpul maklumat rakyat Malaysia yang terlibat dengan perhimpunan haram Bersih 4 di luar negara untuk tindakan undang-undang ke atas mereka selepas itu.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, pemantauan sedang dilakukan oleh Wisma Putra dan identiti mereka akan diserahkan kepada pihak berkuasa negara itu untuk diambil tindakan sewajarnya mengikut undang-undang negara berkenaan.

Rakyat Malaysia terbabit tidak seharusnya dilepaskan daripada tindakan kerana mereka telah melakukan perbuatan yang boleh menjatuhkan imej negara di peringkat antarabangsa, katanya.

“Saya juga dimaklumkan ada negara yang tidak mengizinkan kancah politik domestik dibawa ke negara mereka. Saya meminta rakyat kita yang berada di luar sana untuk menjaga adat dan nama negara.

“Kita bukan tidak mempunyai ruang yang luas untuk mana-mana pihak bercakap. Ini bukan negara kuku besi atau negara yang menutup ruang demokrasi,” katanya selepas merasmikan persidangan perwakilan Pemuda Umno Bahagian Rompin.

Reezal Merican juga berkata amat tidak wajar bagi rakyat Malaysia menggunakan ‘pentas’ di luar negara untuk menyuarakan ketidakpuasan hati mereka kepada kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Saya sendiri ada masanya mempunyai pandangan yang kritikal tetapi saya mengikut saluran yang difikirkan wajar dan mematuhi undang-undang. Jangan sampai merosakkan negara dan menyusahkan umum.

“Malah tindakan ini (berhimpun) jika di negara tertentu ada yang boleh dikenakan tindakan lebih keras. Kebebasan bersuara tidak boleh dilihat sebagai kebebasan mutlak untuk menyuarakan apa jua perkara melalui apa jua cara.

Adakah kita akan menghalalkan segalanya atas nama kebebasan bersuara atau hak asasi manusia?,” katanya.

Perhimpunan Bersih 4 di ibu kota juga tidak bersikap adil kepada peniaga dan pengunjung di kawasan yang terlibat serta membuka ruang kepada pihak tidak bertanggungjawab termasuk media asing untuk memburuk-burukkan negara, katanya.

Reezal Merican yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno turut menyifatkan tindakan mereka yang terlibat dalam perhimpunan itu sebagai tidak patriotik kerana pemilihan tarikh yang terlalu hampir dengan ulang tahun sambutan Hari Kebangsaan.

“Mengapa mereka tidak memilih tarikh lain? Kita juga ada Akta Perhimpunan Aman. Jika mereka benar-benar mahu berhimpun, kita ada beberapa buah stadium di negeri pembangkang. Berhimpun di sana, itu jauh lebih baik untuk dipuji,” katanya.

– Bernama

Singapura beri amaran keras kepada peserta Bersih


Singapura beri amaran keras kepada peserta Bersih
Ia akan bertindak di bawah Akta Ketenteraman Awam sekirangnya
penyokoh Bersih cuba anjurkan demonstrasi di republik itu.

Singapura hari ini memberi amaran agar orang ramai tidak menganjurkan atau menyertai mana-mana perhimpunan haram di republik ini bagi menyokong perhimpunan Bersih 4.0 di Malaysia.

Dalam satu kenyataan, pasukan itu berkata mereka telah dimaklumkan mengenai seruan menggalakkan rakyat Malaysia di luar negara untuk menganjurkan dan menyertai acara seperti itu di Singapura berhubung demonstrasi jalanan di Malaysia.

“Polis ingin mengingatkan orang ramai bahawa menganjur atau menyertai perhimpunan awam tanpa permit polis di Singapura adalah haram dan merupakan satu kesalahan di bawah Akta Ketenteraman Awam.

“Warga asing yang bekerja atau tinggal di sini perlu mematuhi undang-undang kami. Mereka tidak sepatutnya membawa isu-isu dari negara mereka ke Singapura yang boleh mengganggu ketenteraman awam,” kata kenyataan itu.Polis berkata mereka yang melanggar undang-undang akan dikenakan tindakan tegas dan ini mungkin termasuk menamatkan visa atau pas kerja atau mana-mana yang berkenaan.

-Bernama

ROS tolak permohonan GHB guna nama parti Islam


ROS tolak permohonan GHB guna nama parti Islam
Keputusan itu dibuat bagi mengelak kekeliruan kerana Islam adalah hak semua bukan parti politik

Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) menolak permohonan Gerakan Harapan Baru (GHB) untuk menggunakan nama Parti Progresif Islam sebagai nama parti baharu yang hendak ditubuhkan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ini kerana Islam adalah hak untuk semua yang beragama Islam dan penggunaan nama itu pada parti politik hanya boleh menyebabkan kekeliruan.

“Mereka mengharapkan agar golongan yang berada dalam PAS tetapi tidak setuju dengan ulama tetapi setuju dengan Islam yang progresif, dapat menyokong parti itu.

Saya ingin nyatakan bahawa kita tidak akan benarkan mana-mana parti menggunakan nama agama kerana Islam bukan untuk mereka sahaja, tetapi juga untuk kita dan untuk orang Islam yang tidak ada parti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Marang di Dewan Utama Majlis Daerah Marang, Kampung Paya, Marang.

Majlis turut dihadiri oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu yang juga Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman dan Ketua UMNO Bahagian Marang A Latif Awang.

Ahmad Zahid berkata sebagai Menteri Dalam Negeri yang bertanggungjawab, beliau tidak mahu mengulangi kesilapan lepas yang membenarkan sebuah parti politik menggunakan nama Islam sehingga menimbulkan kekeliruan dalam kalangan orang Islam di negara ini.

“Kita tidak mahu kesalahan dulu yang memberikan keizinan kepada sebuah parti menggunakan nama Islam sehingga memberi tanggapan seolah-olah hanya dengan menyertai parti itu kita memperjuangkan Islam dan masuk syurga.

Sehubungan itu, katanya ROS akan memberikan surat kepada pemimpin GHB agar memilih nama lain untuk digunakan pada parti baharu berkenaan.

Ahmad Zahid berkata, sebagai sebuah negara yang demokratik, kerajaan tidak pernah menghalang mana-mana pihak untuk menubuhkan parti politik baharu di negara.

Namun dalam masa yang sama, katanya beliau berharap parti baharu yang ditubuhkan itu tidak memecah-belahkan orang Melayu.

“Jangan cuba memecah belahkan perpaduan orang Melayu. Kita mahu seluruh Melayu, jika atas agenda memperkasakan Melayu dan negara, perlu bersatu hati tidak kira dalam parti politik mana sekalipun (kita) berada,” katanya.

Dalam masa yang sama Ahmad Zahid turut mengulangi gesaan supaya anggota UMNO supaya kembali memperkukuhkan parti untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang, tidak kira apa permasalahan yang sedang dihadapi kini.

“Kita sukar tumbang jika diserang dari luar, tetapi akan mudah hancur jika kita berperang sesama sendiri.

Jadi kita asahlah kuku dan tanduk dari sekarang agar jangan parah diserang musuh nanti. Gunakan ia untuk menyerang musuh di luar supaya UMNO dapat rampas kerusi yang dimenangi pembangkang sebelum ini,” katanya.

Dataran Merdeka mulai sesak



Keadaan di tengah ibu negara khususnya di sekitar Dataran Merdeka masih terkawal walaupun dilapor mula sesak menjelang jam 1 petang.

Segalanya berjalan lancar tanpa sebarang insiden yang tidak diingini walaupun terdapat sorakan dan pekikan.

Selain berbaju kuning sebahagian mereka turut tampil dengan kreativiti sendiri termasuk menyolek muka dengan pewarna kuning.

Berikut laporan daripada krew FMT di lokasi:



1:00 petang : Lebih kurang 2,000 peserta berkumpul di sekitar stesyen LRT Masjid Jamek. Jumlah mereka yang ramai menyebabkan laluan di kawasan berkenaan terganggu.


1:15 petang : Polis membuat kawalan ketat di kawasan pintu masuk Dataran Merdeka di mana dianggarkan lebih 200 anggota ditempatkan.



Orang ramai bergerak dan mengosongkan kawasan berkenaan selepas diarahkan berbuat demikian.



Sementara itu, di Brickfield hanya Ahli Parlimen Kapar, G. Manivannan kelihatan dengan jumlah penyokong yang dianggarkan sekitar 200 orang.



1:30 petang : Peserta Bersih cuba berpatah balik ke Dataran Merdeka daripada kawasan sekitar Menara Maybank.

1:45 petang : Krew yang membuat tugasan memaklumkan internet mula perlahan khususnya di sekitar Sogo.



2.00 petang : Penasihat DAP, Lim Kit Siang tiba di luar kawasan Masjid Negara. Sebelum itu lebih 100 penyokong Bersih 4.0 yang membawa bendera Terengganu berada di kawasan berkenaan.



Pada masa yang sama, Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail bersama anaknya, Nurul Hana Anwar tiba di Sogo.



2:10 petang : Bekas Pengerusi Bersama Bersih, Datuk Ambiga tiba di Brickfield dan berjalan kaki menuju Pasar Seni sebelum ke Dataran Merdeka.



2:17 petang : Pengerusi Gerakan Harapan Baru (GHB) Mohamad Sabu menyampaikan ucapan di luar perkarangan Masjid Negara.



2:30 petang : Lebih 10 ribu peserta dilaporkan berkumpul dan menghala ke lokasi utama di luar Dataran Merdeka






3.00 petang : Dianggarkan lebih 30,000 peserta tiba dan jumlah itu dijangka terus bertambah berikutan kebanjiran mereka yang datang dari arah Brickfield dan Masjid Negara.
Keadaan dilaporkan masih terkawal.
Berita lanjut menyusul

Kedai nombor ekor antara tumpuan peserta Bersih


Kedai nombor ekor antara tumpuan peserta Bersih
Kedai nombor ekor di Jalan Tun H.S Lee beroperasi seperti
biasa dan dikunjung peserta Bersih untuk mencuba nasib

Kegiatan harian di tengah Bandaraya Kuala Lumpur khususnya di sekitar kawasan Dataran Merdeka dilapor berjalan seperti biasa termasuk premis perniagaan.

Tidak terkecuali kedai nombor ekor di Jalan Tun H.S Lee.

Krew FMT yang membuat liputan di kawasan berhampiran sempat merakam gambar beberapa peserta bantahan Bersih 4.0 mencuba nasib.

Dalam gambar berkenaan, kelihatan para penyokong yang memakai baju kuning berurusan di luar kaunter kedai nombor ekor.

Ia antara kesempatan yang digunakan mereka ketika cuba berkumpul di lokasi utama, iaitu berhampiran Dataran Merdeka.

Interpol tolak permohonan Malaysia tahan Clare


Interpol tolak permohonan Malaysia tahan Clare
Keputusan Interpol itu dikeluarkan pada 27 Ogos lalu selaras
dengan standard operasi prosedur polis antarabangsa itu.

Interpol secara rasmi menolak permohonan Kerajaan Malaysia untuk menahan Editor Sarawak Report, Clare Brown.

Menerusi noti bertarikh 27 Ogos lalu, Interpol memaklumkan menerima Red Notice dari kerajaan Malaysia untuk menahan Clare pada 9 Ogos lalu.

Bagaimanapun, Interpol memaklumkan permohonan kerajaan Malaysia itu ditolk selari dengan standard operasi prosedur (SOP).

Ia ditandatangan oleh Setiausaha Agung Interpol, Jorger Stock.

Interpol telah memaklumkan keputusan itu kepada 190 negara lain dan meminta memadam semua data mengenai permohonan Malaysia itu dari pangkalan data maklumat masing-masing.

Clare diburu kerajaan Malaysia susulan laporan yang didakwa tidak benar tentang 1MDB dan dana RM2.6 bilion yang dianggap boleh menjejaskan kestabilan negara.

Mengulas keputusan Interpol itu, bekas Naib Ketua UMNO Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata, ia membawa makna semua pertuduhan terhadap Clare Brown tidak mempunyai asas kebenaran serta tidak mempunyai bukti yang kukuh.

“Semua reka cerita Putrajaya tidak menjadi. Semua penipuan Putrajaya tidak menjadi. Ini kemungkinannya semua penasihat Datuk Seri Najib Tun Razak hakikkatnya adalah kalangan kaki bodek minda lemah berotak udang.

“Imej Putrajaya, PDRM dan menteri kabinet ‘half past six’ yang mengeluarkan pelbagai kenyataan kononnya semua laporan yang ditulis oleh Clare Brown di portal Sarawak Report tidak tepat dan berteraskan matlumat palsu kini telah terbukti tidak benar sama sekali,” tulisnya di Facebook.

Peserta perhimpunan haram miskin semangat cinta negara-Najib


Peserta perhimpunan haram miskin semangat cinta negara-Najib
Najib menyelar penganjur dan peserta Bersih 4.0 kerana memalukan negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak menyelar penganjur dan peserta perhimpuan Bersih 4.0 yang bermula hari ini.

Beliau menyifatkan mereka yang terbabit sebagai miskin semangat cintakan negara.

Katanya, mereka sepatutnya menyambut Hari Kebangsaan Isnin ini, dengan mengibar Jalur Gemilang dengan mengetepikan perbezaan ideologi politik.

“Orang ini (penganjur dan peserta perhimpunan haram) tidak ada nilai kasih sayang kepada negara dan perbuatan mereka hanya bagi malu kepada negara,” katanya yang dipetik daripada Berita Harian Online.

Presiden UMNO itu berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Jerantut di Pejabat Majlis Daerah Jerantut.

Dalam bantahan yang diadakan, desakan supaya Najib meletak jawatan sebagai Perdana Menteri antara salah satu tujuan.

Muhyiddin tidak sertai Bersih 4.0


Muhyiddin tidak sertai Bersih 4.0
Muhyiddin berada di luar negara ketika perhimpunan aman diadakan.

Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak menyertai perhimpunan BERSIH 4.0 malah beliau tidak pernah menyatakan persetujuan untuk menyertai perhimpunan itu di ibu negara.

Bekas Setiausaha Politik beliau, Datuk Mohd Nardin Awang berkata, berita yang disebarkan menerusi media sosial yang mendakwa Muhyiddin bersetuju menyertai Bersih 4.0 adalah palsu dan berniat jahat..

Katanya, bekas Timbalan Perdana Menteri tidak pernah menyatakan persetujuan melalui mana-mana bekas Setiausaha Politik beliau untuk menyertai Bersih 4.0

“Tiada sebarang komunikasi dibuat antara mana-mana mantan Setiausaha Politik beliau dengan pihak penganjur Bersih seperti yang didakwa. Tambahan pula Muhyiddin berada di luar negara pada tarikh perhimpunan Bersih diadakan,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Pelajar terbeban dengan kejatuhan Ringgit


Pelajar terbeban dengan kejatuhan Ringgit
Selain duit daripada keluarga mereka terpaksa
melakukan kerja sambilan untuk menampung perbelanjaan

Kejatuhan Ringgit memberi kesan ketara kepada pelajar Malaysia yang menyambung pelajaran di luar negara.

Keperitan itu dikongsi Nur Izzyana Zulkifli, pelajar Pergigian dan Surgeri,Universiti Assiut, Mesir.
Katanya, berbeza sebelum ini, kelemahan dan kejatuhan matawang ringgit, berkata, kos perbelanjaan harian di negara itu, melebihi RM350 sebulan.

Malah yuran pengajian mereka meningkat sebanyak RM8,000 selepas kejatuhan ringgit.
“Jika sebelum ini kos sara hidup di Mesir bagi seorang mahasiswa cukuplah sekitar RM300-RM350. Hari ini jumlah itu semakin tidak relevan lagi.

“Sebelum ini didapati dalam akaun mempunyai 300 malaysia ringgit bermakna pelajar boleh mengeluarkan sebanyak Egypt Pound 600. Tapi pada hari ini, dengan RM 300 membolehkan pengeluaran hanya Egypt Pound 550.”

“Tahun pertama saya iaitu pada 2012 adalah AS$8,000 iaitu sama RM26,000. Tahun ini tahun keempat saya, kosnya juga sama iaitu AS$8,000, tetapi bila tukar ke ringgit ia jadi RM34,000. Kalau dah sampai beza lapan ribu pun ada pihak yang berkata tiada kesan, kami hanya mampu geleng kepala. Itu baru yuran belum sewa rumah, sara hidup, buku dan sebagainya,”katanya kepada FMT.

Katanya, keluarga mereka di kampung juga turut terbeban apabila terpaksa menghantar wang tambahan bagi menampung kos perbelanjaan.

“Sedangkan pelajar tajaan zakatpun terpaksa meminta duit poket lebih dari ibu bapa, apatah lagi pelajar persendirian yang tidak mendapat mana-mana bantuan,” katanya.

Sementara itu bagi, Mohd Hasnan Naiem, pelajar University of Sheffield, United Kingdom berkata beliau terpaksa mencari pekerjaan sampingan bagi menampung kos sara hidup yang meningkat susulan kejatuhan ringit.

Katanya tindakan tersebut merupakan cara terbaik bagi memstikan keluarga mereka di kampung tidak terbeban dengan krisis yang berlaku.

“Saya terpaksa berjimat dan mula mencari kerja sampingan bagi menampung kehidupan saya di sini. itu adalah jalan terbaik yang mampu saya fikirkan.

“..Tetapi ai sedikit sebanyak menggangu fokus pelajaran saya sini,” katanya.

Bagi, Nurhilya Ahmad Damiri, pelajar tahun dua Orange Coast, California, kejatuhan ringgit tidak memberi kesan kepada beliau kerana dia merupakan pelajar tajaan Majlis Amanah Rakyat (MARA).

“Saya tajaan MARA. MARA telah memberi wang mengikut nilai mata wang negara ini (USD) dan isu kejatuhan ringgit tidak menjejaskan saya,” katanya.

Pelancong jatuh di tengah Bersih 4.0


Pelancong jatuh di tengah Bersih 4.0
Mangsa mengalami cedera di kepala dikatakan tergelincir
ketika melalui kawasan kaki lima dekat Masjid Jamek

Wartawan dan mereka yang datang untuk menyertai Bersih 4.0 dikejutkan dengan insiden wanita jatuh di kaki lima.

Ia berlaku sekitar jam 11:15 pagi, ketika mangsa melintasi kawasan berhampiran Masjid Jamek.

Wanita yang dipercayai pelancong asing itu dilaporkan mengalami cedera di bahagian kepala dan telah diberikan rawatan segera oleh peserta demonstrasi yang berada berhampiran.

Setakat ini, identiti dan status kewarganeraannya masih belum dipastikan.

Anina : Srikandi dari Langkawi


Anina : Srikandi dari Langkawi
Keberanian Anina mengambil risiko untuk menyeret Najib
ke muka pengadilan, memberi impak kepada UMNO.

Kepimpinan Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak terusik lagi.

Jika sebelum ini, nama-nama besar daripada dalam parti seperti Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, dan lain-lain termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad kerap dikaitkan dengan kritikan terhadap isu dana RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun beliau hanya berakhir dengan kenyataan demi kenyataan.

Bagaimanapun, tindakan saman Anina Saadudin membuka perspektif baru terhadap imej kepimpinan anak bangsawan berdarah Bugis itu.

Berbeza dengan pengkritik yang lain, dia hanya sekadar ahli UMNO Cawangan Padang Mat Sirat, Langkawi. Bukannya satu nama besar atau menyandang sebarang jawatan penting dalam organisasi parti.

Bahkan namanya hanya mula dikenali lebih dua minggu lalu apabila menuduh Najib kuat kencing ketika menyampaikan ucapan penangguhan Mesyuarat Wanita UMNO Bahagian Langkawi.

Kata-kata di pentas terbuka apatah perkataan ‘kencing’ yang dianggap luar biasa bagi kaum ibu dalam parti orang Melayu itu. Apapun dek dorong rasa ketidak puasan, dia meluahkan amarah selepas Presiden UMNO berterusan mendakwa tiga juta ahli parti masih menyokongnya.

Kelantangannya dimuat naik di laman Youtube menjadikan Anina popular dalam sekelip mata.
Jika dilihat dari sudut maknawi kata-kata yang disampaikan bukan setakat sedap mulut tetapi itulah rintihan daripada mereka yang mewakili golongan marhain yang kecewa, marah dan terkilan terhadap pemimpin tertinggi parti.

Mereka mungkin tidak berpelajaran tinggi atau ghairah bersembang dalam ‘sleng’ atau berterabur cakap mat salleh, namun golongan ini tahu menilai bahawa ucapan demi ucapan yang disampaikan orang Najib hanya sekadar retorik.

Ramai yang menjangkakan apa yang dilepaskan Anina sebelum ini akan berakhir di pulau Mahsuri, namun tindakannya menfailkan saman di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap Najib dan Setiausaha Kerja UMNO Datuk Ab Rauf Yusof pada Jumaat membuka mata banyak pihak.

Bahkan beritanya di portal berita menenggelamkan tumpuan terhadap Bersih 4.0.

Jika dinisbah dengan jumlah keahlian seramai tiga juta orang ahli UMNO, wa ima daripada Pemuda UMNO yang pernah satu ketika dahulu pernah dilabel sebagai kumpulan pendesak, berapa kerat yang berani bertindak sepertinya. Ramai yang merungut, mengkritik dan mengutuk Najib, tetapi itu sekadar cakap-cakap atau lebih tepat lagi, setakat mengumpat sahaja.

Siapa yang di belakang tindakannya bukan persoalan, sebaliknya keberanian Anina mengambil risiko untuk menyeret Najib ke muka pengadilan, sesuatu yang perlu difikirkan. Berapa keratkah ahli dalam UMNO yang sanggup mengadai masa depan dalam parti dengan tindakan sebegini? Dalam erti kata lain, dia berani menghulur lehernya demi mencari kebenaran.

Masa depannya dalam UMNO mungkin telah berakhir, tetapi tindakan yang dibuat memberi isyarat jelas kepada Perdana Menteri, bahawa dia mewakili mereka yang meluat dengan kenyataan yang tiada logik.

Kita tengok sahaja nanti, apa reaksi orang penting dalam parti terhadap Anina. Selepas ini pasti ada pelbagai cerita sensasi tentang dirinya. ‘Pencacai’ tidak akan berdiam diri dan akan berusaha 1001 cara untuk mempertahankan Najib.

Apa yang dilakukan Anina hanya satu permulaan dan menjadi inspirasi kepada golongan akar umbi yang lain. Cuma yang kita tunggu apakah selepas dipecat secara rasmi nanti, bagaimana nasib dirinya kerana takut ditimpa ‘tulah’. Bak kata Presiden UMNO, orang Melayu akan bangsat tanpa parti itu.

Jangan kambing hitamkan saya dan ayahanda, nasihat TMJ


Jangan kambing hitamkan saya dan ayahanda, nasihat TMJ
Baginda menasihatkan masa yang dihabiskan untuk serang menyerang
antara satu sama lain digunakan bagi menyelesaikan masalah negara.

Tunku Mahkota Johor (TMJ), Brigadier Jeneral Tuanku Ismail Ibni Sultan Ibrahim berharap baginda dan ayahandanya, Sultan Johor, Tuanku Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar tidak dijadikan ‘kambing hitam’ bagi menutup permasalahan yang berlaku dalam negara ketika ini.

Baginda sebaliknya menasihatkan supaya masa yang dihabiskan untuk serang menyerang antara satu sama lain digunakan untuk menyelesaikan permasalahan negara.

“Janganlah kami dijadikan kambing hitam sedangkan keadaan semasa terus melarat. Daripada hendak serang-menyerang antara satu sama lain, lebih baik masa dan tenaga tersebut dimanfaatkan untuk menangani permasalahan negara,” titah baginda menerusi akaun Facebook Johor Southern Tigers.

Baginda mengulas wujudnya pihak tertentu yang diarahkan untuk ‘menyerang’ baginda dan ayahandanya kerana terlalu vokal dalam memperjuangkan isu rakyat.

TMJ bertitah, baginda dan ayahandanya hanya memperjuangkan kesejahteraan rakyat selain menasihati pemimpin negara supaya menjalankan tugas dengan telus dan berintegriti demi rakyat.
Baginda amat sedih melihat sesetengah pihak yang hanya memikirkan kedudukan, kuasa dan kepentingan peribadi dan melihat baginda dan ayahandanya seolah-olah mencabar kerajaan.

“Jikalau nasihat dan pandangan ayahanda saya sebagai Sultan, dan saya sebagai Tunku Mahkota, hendak disekat serta dipertikaikan, apalah pula harapan rakyat?

“Lebih baik kita berusaha mencari jalan penyelesaian mengatasi permasalahan negara, kerana bertelagah sesama sendiri tidak membawa ke mana pun,” titah baginda.

Sehubungan itu, TMJ mengingatkan semua pihak agar tidak menimbulkan isu baginda dan ayahandanya semata-mata untuk mengalih perhatian daripada isu-isu yang lebih menekan rakyat.

“Saya berdoa agar Allah SWT sentiasa berkati rakyat Johor dan Malaysia. Allah peliharakan Sultan. Hidup Johor,” titah baginda.

Kenyataan Timbalan Menteri Pendidikan bercanggah dengan kerajaan – Mahdzir


Kenyataan Timbalan Menteri Pendidikan bercanggah dengan kerajaan – Mahdzir
Kerajaan menegaskan melarang sebarang penyertaan dari mahasiswa
atau mana-mana IPT untuk menyertai himpunan haram termasuk Bersih 4.0

Kerajaan mengulangi ketegasan melarang sebarang penyertaan dari mahasiswa atau mana-mana Institusi Pengajian Tinggi (IPT) untuk menyertai perhimpunan Bersih 4.0.

Reaksi itu dibuat Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid terhadap kenyataan timbalannya, Chong Sin Woon yang memberi kebenaran kepada mereka untuk berbuat demikian.

“Kalau betullah itu statementnya, dia bercanggah dengan keputusan kerajaan.

“Kerajaan jelas melarang sebarang penyertaan dari mahasiswa atau mana-mana institusi pengajian kepada sebarang perhimpunan haram,” katanya ketika dihubungi Free Malaysia Today pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Choong yang mengatakan mahasiswa bebas untuk menyertai protes kerana sekatan di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 telah dimansuhkan.

Mahdzir menambah, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh juga telah menyatakan mana-mana pelajar atau pensyarah di IPT yang menyertai himpunan haram termasuk Bersih 4.0 boleh dikenakan tindakan.

“Datuk Seri Idris Jusoh dah sebut tidak boleh mana-mana pelajar atau pensyarah di institusi pengajian tinggi turut serta mana-mana perhimpunan haram termasuk Bersih, malah boleh dikenakan tindakan sebab telah ada arahan,” katanya.

Sultan Johor nasihat Nazri Aziz jangan angkuh


Sultan Johor nasihat Nazri Aziz jangan angkuh
Baginda mengingatkan Nazri supaya sentiasa berpegang kepada
pepatah Melayu 'kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa',

Sultan Johor, Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar memberi amaran kepada Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz supaya jangan angkuh.

Beliau bertitah demikian susulan Nazri yang dilaporkan mahu menyerang anakanda baginda,, Tuanku Mahkota Johor (TMJ), Tuanku Ismail ibni Sultan Ibrahim.

Baginda mempersoalkan adakah pemimpin yang bersikap seperti itu patut dihormati?

“Ingatlah pepatah Melayu sering menyebut kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa,” titah baginda titah baginda sempena Majlis Perasmian Masjid Tunku Laksamana Abdul Jalil, di Ibu Pejabat Polis Kontijen Johor pada Jumaat.

Sultan Ibrahim juga sekali lagi mengingatkan ahli politik supaya tidak mencampuri urusan Istana Johor dan membuat sebarang kenyataan yang mengaitkan dengan Istana Johor.

Baginda turut menegaskan tidak akan sesekali mencampuri urusan mana-mana parti politik.
“Oleh itu suka saya nasihatkan di sini kepada mana-mana ahli-ahli politik, antaranya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Datuk Tengku Putra Haron Aminnurashid Jumat supaya tidak membuat kenyataan yang mengaitkan pihak Istana Johor.

“Walaupun banyak pemimpin politik yang datang berjumpa saya, saya hanya mendengar cerita mereka dan tidak akan memihak kepada mana-mana parti atau individu,” titah baginda.

Baginda juga menasihatkan kerajaan bersikap telus dan berterus terang kepada rakyat kerana di dalam dunia moden ini, tidak ada apa-apa yang boleh disembunyikan.

“Apa yang saya pentingkan adalah kesejahteraan hidup rakyat saya dan kemakmuran negeri Johor mesti dijaga melalui perpaduan dan pengukuhan muafakat bangsa Johor,” titah baginda.

RM2.6 bilion cubaan heret Malaysia ke kancah perang IS?


RM2.6 bilion cubaan heret Malaysia ke kancah perang IS?
Fenomena yang sama telah ditunjukkan menerusi tangkapan polis
terhadap rakyat negara ini untuk ke negara tersebut bagi
menyertai IS dan telahpun ada usaha untuk mengebom negara ini.

Adakah Pengakuan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa beliau telah pergi berjumpa dengan salah seorang ahli keluarga diraja Arab Saudi yang menderma RM2.6 bilion kepada Datuk Seri Najib Tun Razak adalah bukti jelas cubaan UMNO untuk mengheret Malaysia ke dalam kancah peperangan dengan militan negara Islam (IS)?

Keluarga Diraja Arab Saudi memang menjadi sasaran IS kerana dituduh mengkhianati Islam berikutan hubungan rapatnya dengan Barat dan IS hendak menggantikannya dengan pemerintahan di bawah kuasa seorang khalifah.

Putera Mohamed menggesa negaranya lebih berwaspada, meningkatkan persediaan dan keperluan bagi menghadapi serangan IS selanjutnya.

Reuters melaporkan beliau berkata demikian selepas serangan IS khamis lalu ke atas sebuah masjid anggota keselamatan yang mengorbankan 15 orang.

Serangan Mei lalu ke atas sebuah masjid Syiah mengorbankan 25 orang terbunuh, selain beberapa lagi insiden tembakan dan pengeboman.

Insiden itu membuktikan gesaan pemimpin IS, Abu Bakar al-Baghdadi tahun lalu supaya penduduk Arab menyerang sendiri penduduk Syiah, sasaran kerajaan dan warga Barat di negara itu berbanding pergi ke Syria atau Iraq untuk menyertai IS.

Fenomena yang sama telah ditunjukkan menerusi tangkapan polis terhadap rakyat negara ini untuk ke negara tersebut bagi menyertai IS dan telahpun ada usaha untuk mengebom negara ini.

Sebelum ini, Malaysia juga telah mengisytiharkan Syiah adalah sesat dan diharamkan di Malaysia.
Najib Razak adalah Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO. Apa-apa yang dilakukannya adalah mempertaruhkan seluruh rakyat dan negara ini. Derma tersebut kononnya adalah untuk membantu Malaysia menentang IS.

Dalam satu tuntutan saman yang dikemukakan terhadapnya, Najib secara terbuka menyatakan bahawa RM2.6 bilion itu adalah sumbangan derma daripada dermawan Timur Tengah yang tidak dinamakan.

Sudah tentu derma tersebut bukan diterimanya bagi pihak kerajaan atau rakyat Malaysia kerana bukan sahaja tidak diserahkan malah, tidak diberitahupun kepada kerajaan dan rakyat Malaysia.

Persoalannya adakah benar derma tersebut untuk `membantu’ Malaysia menentang IS atau sebagai `upah’ untuk membantu mereka menentang IS? Dua perkara yang sama sekali berbeza.

Orang yang waras tahu bahawa jika bukan kerana kedudukannya sebagai Perdana Menteri tidak ada orang yang akan mendermanya sebanyak RM2.6 bilion. Apakah tujuan sebenarnya derma tersebut?

Najib dan UMNO sedang mempertaruhkan rakyat dan negara ini serta meletakkannya dalam kedudukan yang amat merbahaya demi kepentingan peribadinya dengan mengheret kemelut, permusuhan dan peperangan di Timur Tengah ke dalam negara ini.

Amatlah ditakuti jika Najib mengheret negara ini ke arah peperangan secara terbuka dengan IS sepertimana negara-negara Timur Tengah.

Oleh yang demikian, bagi mententeramkan kerisauan rakyat, polis dan Zahid mesti menjelaskan siapakah keluarga Arab yang ditemuinya itu.

Bukankah tugas polis untuk menjaga ketenteraman awam rakyat negara ini?
Penasihat dan perunding bebas, Abdul Hamid Yeop Zainuddin

Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT.

Keahlian Anina dalam UMNO gugur secara automatik


Keahlian Anina dalam UMNO gugur secara automatik
Perlembagaan parti menetapkan semua ahli tidak
boleh membawa kes berkaitan parti ke mahkamah.

Keahlian Anina Saadudin sebagai ahli UMNO gugur secara automatik selepas dia memfailkan saman terhadap Presiden parti, Datuk Seri Mohd Najib Razak.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Bung Mokhtar Radin berkata, tindakan Anina itu mengheret Presiden dan UMNO ke mahkamah melanggar Perlembagaan parti.

Anina yang memfailkan saman terhadap Najib berkaitan dana RM2.6 bilion merupakan Ahli UMNO cawangan Padang Mat Sirat, Langkawi.

“Tidak perlu dipecat, keahlian dia (Anina) akan tergugur secara automatik.

“Dia membawa ke mahkamah maka dia akan kehilangan hak, sebab Perlembagaan kita jelas, mana-mana ahli tidak boleh membawa isu UMNO ke mahkamah,” katanya ketika dihubungi FMT.

Ahli Parlimen Kinabatangan berkata, tindakan Anina itu juga telah membuka peluang kepada parti pembangkang untuk menyerang UMNO.

“Tidak elok isu parti disuarakan secara terbuka, apabila dibuat secara terbuka ia memberi peluang kepada musuh politik menjahanamkan parti kita sendiri,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan ahli UMNO supaya menggunakan saluran yang betul untuk mengkritik parti bukannya menyerang secara terbuka.

“Nasihat saya gunalah saluran yang betul untuk mengkritik parti, apa yang dilakukan (Anina) tidak dapat menyelesaikan isu yang dibangkitkan bahkan akan menambahkan lagi kemelut yang berlaku.

“(Dan) .. itu boleh membantu mengurangkan keraguan kepada penyokong UMNO, bukan ahli yang berada di atas pagar,” katanya.

Restoran mamak tidak terjejas dengan Bersih 4.0


Restoran mamak tidak terjejas dengan Bersih 4.0
Peserta yang menyertai himpunan Bersih 4.0 akan berasa
lapar dan makan ke kedai pada waktu petang dan malam.

Himpunan Bersih 4.0 yang diadakan pada hujung minggu ini tidak akan menjejaskan perniagaan restoran mamak di ibu negara.

Sebaliknya perniagaan mereka akan berjalan seperti biasa kerana peserta yang lapar akan makan di restoran berkenaan.

Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim (Presma), Noorul Hassan Saul, mengakui ia mungkin terjejas pada masa tertentu tetapi akan dapat ditampung di sebelah malam.

“Dia (Perhimpunan Bersih 4.0) tidak jejaskan perniagaan. Memang pada sebelah pagi dan tengah hari kita rasa perniagaan terjejas tapi perniagaan itu dapat ditampung dengan perniagaan sebelah malam dan petang.

“Orang-orang yang terlibat itu mereka mula lapar dan datang makan ke kedai kita,” katanya kepada Free Malaysia Today di sini pada Jumaat.

Ketika ditanya sama ada pihaknya mengeluarkan arahan supaya menutup premis, Noorul menjelaskan ia tidak akan dibuat.

Sebaliknya memberi peringatan supaya langkah berwaspada diambil.

“Kita tak keluarkan arahan. Apa yang kita minta mereka berjaga-jaga supaya tidak ada kecurian,” katanya.

Sebagai langkah berhati-hat, akan bekerjasama dengan pihak berkuasa dan turut berharap tidak ada kejadian yang tidak diingini berlaku pada himpunan itu.

Anina saman Najib kerana sayangkan UMNO


Anina saman Najib kerana sayangkan UMNO
Dia menjelaskan sangat khuatir dengan tindak tinduk presiden
 parti itu yang disifatkan boleh menjejaskan imej UMNO

Keputusan untuk menyaman Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dibuat kerana mahu menjaga kepentingan dan nama baik UMNO.

Dalam kenyataannya, ahli UMNO Cawangan Padang Matsirat, Langkawi, Anina Saadudin menjelaskan tindakan itu dibuat selepas tidak ada seorang pun ahli UMNO yang berkepentingan mengambil tindakan terhadap Najib berhubung derma politik berjumlah RM2.6 bilion yang disalur masuk ke dalam akaun peribadinya.

Katanya, dia sangat khuatir dengan tindak tinduk presiden parti itu yang disifatkan boleh menjejaskan imej UMNO.

“Saya lakukan semua ini kerana saya sayangkan UMNO. Saya percaya semua ahli UMNO sayangkan UMNO.

“Saya merayu agar mahkamah dapat memberikan keadilan kepada kami ahli-ahli UMNO dan memohon Datuk Seri Najib sebagai presiden bersikap jujur, amanah dan adil kepada ahli-ahli parti.
“Saya berdoa agar Allah S.W.T memberkati usaha saya ini dan memberikan petunjuk dan hidayahnya kepada kita semua, Insyaallah,” katanya.

Dalam pada itu Anina mendakwa, Perdana Menteri telah melakukan pecah amanah dan melanggar Perlembangaan UMNO dalam menerima dan membelanjakan wang RM2.6 bilion yang diterimanya itu.

Katanya, dia amat kecewa dengan apa yang berlaku kepada parti itu sekarang ini dan merasakan semakin ramai ahli parti yang rimas dengan isu yang timbul.
Jelasnya, tindakan yang dibuat mewakili tiga juta ahli UMNO yang mahukan penjelasan mengenai dana itu.

Ahli UMNO saman Najib tidak mengejutkan – Hatta Ramli


Ahli UMNO saman Najib tidak mengejutkan – Hatta Ramli
Tindakan itu sudah dijangkakan berdasarkan keluhan yang
disuarakan oleh UMNO dalam mesyuarat bahagian di seluruh negara.

Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Mohd Hatta Ramli berkata dia tidak terkejut dengan tindakan ahli UMNO yang memfailkan saman ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Katanya, tindakan itu sudah dijangkakan berdasarkan keluhan yang disuarakan ahli UMNO di peringkat akar umbi dalam mesyuarat bahagian seluruh negara sejak awal bulan ini.

“Perkara ini merupakan lanjutan teriakan, bukan sahaja oleh pembangkang dan rakyat, tetapi juga ahli UMNO sendiri dalam mesyuarat bahagian.

“Sebenarnya tindakan memfailkan saman ini adalah tindakan yang wajar dari pihak UMNO sendiri. Ini tidak mengejutkan sebenarnya,” katanya ketika dihubungi Free Malaysia Today.

Bekas Pengarah pPlihanraya Pas berpendapat, antara punca yang menyebabkan ahli UMNO tersebut memfailkan saman ke atas Najib adalah kerana mungkin ada sesetengah pihak yang “tidak berpuas hati dengan kaedah pembahagian wang derma RM2.6 bilion itu”.

Dalam laporan oleh Wall Street Journal sebelum ini mendedahkan RM2.6 bilion telah dipindahkan ke akaun peribadi Najib namun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) kemudiannya mengeluarkan kenyataan bahawa wang tersebut adalah hasil derma dari penderma Timur Tengah bagi membantu UMNO memenangi pilihan raya.

“Mungkin orang-orang yang tertentu sahaja yang dapat wang tersebut dan mereka yang lain tidak dapat. Ini menunjukkan bahawa ketelusan itu amat penting dan saya percaya kita perlu menyokong usaha menyaman Perdana Menteri ini,” kata Hatta.

Ahli UMNO cawangan Padang Mat Sirat, Anina Saabudin memfailkan saman terhadap Najib selaku Presiden UMNNO berkaitan derma RM2.6 billion tersebut yang telah mencetuskan kontroversi di Mahkamah Tinggi pada Jumaat.

Dalam writ saman itu, dia mendakwa Najib telah melanggar Perlembagaan UMNO, peruntukan-peruntukan Akta Pertubuhan 1966 dan tanggungjawabnya sebagai seorang pemegang amanah berdasarkan Common Law dan menuntut pembayaran balik sejumlah USD650 juta yang didakwa telah dikirim keluar oleh beliau ke satu akaun di bank Singapura yang bukan milik UMNO pada 30 Ogos 2013.

Wajarkah perhimpunan diadakan pada waktu ini? – Najib


Wajarkah perhimpunan diadakan pada waktu ini? – Najib
Perdana Menteri mengesyorkan penganjur memilih masa dan kawasan
yang sesuai kerana tidak mahu Hari Kebangsaan dijadikan pentas perselisihan politik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mempersoalkan keperluan mengadakan perhimpunan tunjuk perasaan pada waktu yang sama dengan Sambutan Kemerdekaan ke-58.

“Dalam masa beberapa hari lagi kita akan menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-58.

“Namun, kita semua sedia maklum bahawa sebuah perhimpunan tunjuk perasaan telah dirancang untuk diadakan pada masa dan tempat di mana persediaan perarakan Hari Kemerdekaan akan dijalankan.

“Jika mahu berhimpun sekalipun, pilihlah masa dan kawasan yang tidak mencetus satu provokasi. Walau apapun perbezaan pendapat atau fahaman di antara kita, hari kebangsaan tidak seharusnya dijadikan pentas perselisihan politik,” kata Perdana Menteri menerusi blognya.

Najib berkata, semua rakyat Malaysia sepatutnya mengenepikan perbezaan dan sama-sama meraikan dengan penuh rasa patriotik dan cintakan negara.

“Sedarlah bahawa, terdapat ramai yang berhak menerima penghormatan dan penghargaan menjelang sambutan Hari Kemerdekaan ini.

“Daripada wira-wira negara yang pernah memperjuangkan kemerdekaan hinggalah kepada warga sekolah, pihak logistik dan seluruh kontinjen perarakan lain yang bertungkus-lumus membuat persediaan meraikan Sambutan Kemerdekaan tahun ini.

“Apakah wajar perhimpunan ini dijalankan pada masa dan tempat yang begitu hampir dengan Hari Kemerdekaan kita? Fikirkanlah,” katanya.

Perubahan besar berlaku hujung tahun ini -Azmin Ali


Perubahan besar berlaku hujung tahun ini -Azmin Ali
Beliau menjangkakan undi tidak percaya terhadap Najib Tun Razak akan berlaku.

Parti Keadilan Rakyat (PKR) menjangkakan perubahan besar dalam sistem pemerintahan negara ini akan berlaku menjelang akhir tahun ini.

Timbalan Presidennya, Mohamed Azmin Ali berkata, perubahan itu akan berlaku apabila diadakan undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sehubungan itu, Menteri Besar Selangor mengajak Ahli Parlimen UMNO dan Barisan Nasional (BN) bekerja sama untuk membawa perubahan kepada negara.

“Kita akan bekerjasama dengan semua Ahli Parlimen yang mahukan perubahan dan saya mengajak Ahli Parlimen UMNO dan Barisan Nasional (BN) supaya ada bangkit untuk menyelamatkan negara dan memulihkan ekonomi.

“Pada ketika ini pakatan pembangkang ada 88 Ahli Parlimen…kita perlukan hanya 30 lagi,” katanya kepada pemberita selepas menandatangani Skim Pembiayaan Perumahan Kerajaan negeri Selangor bersama Maybank Berhad pada Jumaat.

Azmin berkata, di bawah kerajaan Najib, negara dalam keadaan yang teruk dan keadaan ekonomi yang semakin merosot dengan nilai Ringgit yang merundum dan keadaan itu boleh menghancurkan negara.

Sementara itu, mengulas isu Bersih 4.0 yang akan diadakan pada Sabtu dan Ahad ini, Azmin berkata, beliau akan menyertainya bersama ahli PKR lain.

“Ya, saya akan sertainya.. PKR Selangor pun akan turut turun ke perhimpunan itu kerana ia dilihat sebagai hak mereka bukan sahaja dalam kalangan penyokong pembangkang atau perjuangan yang dibawa Bersih,” katanya.

Pelajar USM sertai perhimpunan akan diambil tindakan


Pelajar USM sertai perhimpunan akan diambil tindakan
Tindakan tatatertib boleh diambil ke atas pelajar tersebut berdasarkan
kepada kaedah-kaedah Universiti Sains Malaysia (Tatatertib Pelajar-Pelajar) 1999.

Universiti Sains Malaysia (USM) memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap pelajarnya yang menyertai perhimpunan haram.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar USM, Prof Datuk Dr Adnan Hussen berkata, larangan itu dikeluarkan kerana perhimpunan tersebut boleh menjejaskan keselamatan negara.

Pelajar USM sertai perhimpunan akan diambil tindakan


“Semua pelajar Universiti Sains Malaysia adalah dilarang sama sekali hadir atau terlibat dengan sebarang perhimpunan haram atau sebarang gerakan yang boleh mengancam keselamatan negara dan apa jua aktiviti yang melanggar undang-undang,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, pihak USM juga tidak teragak-agak untuk mengenakan tindakan tatatertib kepada pelajar yang terlibat mengikut Akta Universiti dan Kolej 1971.

“Tindakan tatatertib boleh diambil ke atas pelajar tersebut berdasarkan kepada kaedah-kaedah Universiti Sains Malaysia (Tatatertib Pelajar-Pelajar) 1999, Perlembagaan Universiti Sains Malaysia dan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971,” katanya.

Sultan Johor hero rakyat, bukan saya – Zam


Sultan Johor hero rakyat, bukan saya – Zam
Beliau menjawab kritikan pembantu peribadi isteri Perdana Menteri
yang menganggap Zam cuba menjadi hero kepada Sultan Johor.

Bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin menegaskan sokongannya terhadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ismail Ibni Almarhum Sultan Iskandar bukan untuk menjadi hero.

Sebaliknya, Sultan Johor, Sultan Ibrahim adalah hero sebenar kepada rakyat kerana baginda prihatin dan bertanggungjawab serta berani mengingatkan pemimpin supaya tidak memperbodohkan rakyat.

Katanya, rakyat Johor dan Malaysia sewajarnya berbangga mempunyai seorang raja berjiwa rakyat.

“Baginda telah bercakap bagi pihak rakyat dan rakyat yang berada dalam keadaan amat tertekan amat menilainya. Dengan tindakan itu juga baginda menyedarkan rakyat bahawa raja sebagai simbol kedaulatan rakyat tidak hanya retorik semata-mata,” katanya.

Zainuddin atau Zam membuat kenyataan itu bagi membalas kritikan pembantu peribadi isteri Perdana Menteri,  Datuk Rizal Mansor yang menuduh beliau cuba menjadi hero.

“Janganlah Pembantu peribadi kepada Datin Seri Rosmah Mansor, Datuk Rizal Mansor memikirkan saya hendak menjadi hero kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim kerana hendak mendapat gelaran dan sebagainya kerana saya sudah cukup dengan segala gelaran yang tidak terpakai oleh saya.

“Saya tidak boleh menghadiahkan satu pun darinya kepada Rizal kerana itu adalah amanah dari Sultan-Sultan, Gabenor dan juga Seri Paduka-Seri Paduka Yang Di Pertuan Agong kepada saya.

“Saya menjalankan tugas saya sebagai wartawan dengan kesedaran berada di bawah naungan Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong dan saya serta seluruh rakyat yang sedang berada dalam keadaan duka nistapa sekarang tidak ada lagi tempat untuk mengadu dan menaruh harapan kecuali kepada Majlis Raja-Raja yang amat dihormati dan disanjung tinggi,” katanya.

Bekas Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Melayu itu menerusi blognya berkata, sokongannya terhadap baginda itu adalah pandangan yang ikhlas.

“Saya tidak tahu kiranya ingatan ini ada pada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak atau isteri, Datin Seri Rosmah Mansor sehingga pembantu Rosmah merasa sensitif untuk memberikan reaksi kepada pandangan saya yang ikhlas itu,” katanya.

Zam berkata, pandangan-pandangan beliau itu disertakan dengan contoh terbaik tradisi di Great Britain yang mengamalkan hak demorasi yang luas.

“Ini kerana mereka berpegang kepada kepercayaan dengan adanya Queen maka Perdana Menteri tidak merasakan bahawa dia mempunyai kuasa mutlak, walaupun berkuasa dari segi perlembagaan, sebaliknya selalu ingat ada kuasa yang lebih tinggi daripadanya, walaupun kuasa itu bersifat Raja Berperlembagaan,” kata Zam.

Saya dihina kerana tegur Sultan Johor – Peguam


Saya dihina kerana tegur Sultan Johor – Peguam
Peguam itu percaya orang ramai akan membencinya kerana bercakap
perkara yang benar tetapi akan berterima kasih kepadanya satu hari nanti.

Seorang peguam, Kamal Hisham Jaafar mengambil langkah berani apabila memuat naik status di laman Facebook memperlekeh Istana Johor.

Menerusi status terbarunya yang ditulis `Lelaki ini dibenci hanya kerana dia berani tegur Sultan Johor’, Kamal Hisham memperincikan beberapa perkara yang mengaitkan Sultan Johor dan kerabat.

Antara perkara yang dibangkitkan oleh beliau ialah kurangnya sokongan rakyat Johor terhadap Sultan yang dibuktikan semasa kempen Majlis Ikrar Taat Setia yang diadakan di Istana Pelangi sebelum ini yang kurang mendapat sambutan.

Dia juga menyatakan rakyat tidak lagi mahu untuk mengaminkan doa imam ketika disebut nama Sultan Johor dan Kerabat Diraja.

“Pada pandangan saya perkataan `Segelintir rakyat Johor yang menyokong’ adalah lebih sesuai digunakan,” katanya.

Kamal turut menyatakan masalah tanah di Johor yang semakin banyak jatuh ke pihak asing merupakan satu perkara yang perlu diberi perhatian.

“Masalah tanah tanah yang sedang dan telah terlepas kepada pihak asing dengan penglibatan langsung oleh Istana Johor sangat merbahaya dan ianya bernilai berbillion bilion jauh lebih tinggi dengan isu wang derma RM2.6 bilion,” tulisnya.

Kamal Hisham turut mendakwa, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar cuba menjadi `hero’ apabila menjadikan kemelut isu dana berjumlah RM2.6 bilion yang diterima Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengalih perhatian rakyat Johor terhadap beberapa perkara yang dikaitkan dengan baginda.

Katanya, jika benar sultan berminat menyelesaikan kemelut yang sedang berlaku itu, baginda sepatutnya memanggil Perdana Menteri mengadapnya dan bukan dengan cara sindir menyindir dengan bernada seperti ahli politik.

“Mungkin hari ini mereka marah dan benci kepada lelaki bernama Kamal Hisham bin Jaafar , tetapi satu hari nanti mereka pasti akan berterima kasih dengan apa yang saya pejuangkan,” katanya.

Krisis matawang beri kesan buruk kepada negara – PKR


Krisis matawang beri kesan buruk kepada negara – PKR
PKR cadangkan kerajaan turunkan kadar GST kepada 4%
atau lebih rendah sebagai langkah sementara membendung inflasi.

Parti Keadilan Rakyat (PKR) menegaskan krisis matawang yang sedang melanda akan memberi kesan yang lebih mendalam kepada ekonomi negara.

Biro Pelaburan dan Perdagangan PKR, Wong Chen dan Dr Fahmi Ngah dalam kenyataan bersama berkata, berdasarkan analisa ekonomi menggunakan angka-angka kerajaan telah menunjukkan kesimpulan bahawa kejatuhan matawang tidak baik untuk negara.

Katanya, kesimpulan itu berbeza dengan kenyataan beberapa pemimpin kerajaan yang mendakwa nilai Ringgit yang rendah adalah baik untuk eksport dan industri pelancongan negara.

“Nilaian eksport negara tidak menunjukkan sebarang peningkatan yang bermakna walaupun dengan penyusutan nilai Ringgit. Untuk tempoh separuh pertama 2015, jumlah eksport negara hanyalah RM368 billion, iaitu RM12 billion lebih rendah daripada tempoh yang sama 2014 (RM380 billion).

“Ini berlaku walaupun Ringgit bernilai 11% lebih rendah pada separuh pertama 2015 berbanding separuh pertama 2014. Penemuan ini amat membimbangkan kerana bertentangan dengan tahun sebelumnya.

“Ringgit yang 6% lebih rendah pada separuh pertama 2014 berbanding separuh pertama 2013 telah menghasilkan pertambahan nilai eksport RM42 billion untuk separuh pertama 2014 berbanding separuh pertama 2013,” kata mereka.

Mereka berkata, kejatuhan matawang juga telah menjejaskan sektor pelancongan apabila kedatangan pelancong asing tidak memuaskan.

“Jumlah pelancong asing untuk suku pertama 2015 adalah 609,000 pelancong lebih rendah daripada suku pertama 2014 walaupun Ringgit 10% lebih rendah pada suku pertama 2015 berbanding suku pertama 2014. Jumlah pelancong asing untuk suku pertama 2015 seramai 6.48 juta juga adalah hampir sama dengan suku pertama 2013 seramai 6.45 juta walaupun Ringgit 17% lebih rendah berbanding suku pertama 2013.

Mereka menegaskan, pendapatan negara akan terjejas dengan harga minyak mentah dunia yang dijangkakan susut dalam masa terdekat akibat pertambahan pengeluaran daripada OPEC dan Amerika Syarikat (Shale), penguncupan ekonomi China dan penghapusan sekatan ekonomi kepada Iran.

Kata mereka, negara akan menghadapi keadaan di mana hasil petroleum akan berkurangan dan nilai Ringgit yang rendah pula tidak dapat menjamin pengembangan yang lebih berkesan dalam industri pelancongan dan pertambahan eksport.

“Kebimbangan terbesar kita akibat penyusutan nilai Ringgit adalah pertambahan kadar inflasi akibat import yang bertambah mahal. Ini akan mengakibatkan kenaikan kos sara hidup untuk rakyat yang masih lagi menanggung beban GST.

“Kami ingin mencadangkan kepada Jawatankuasa Khas Ekonomi agar tidak menaikkan kadar faedah sewenang-wenangnya sebagai langkah mudah untuk menangani inflasi yang bakal berlaku kerana ia akan mengekang pengembangan akitiviti ekonomi domestik.

Mereka berkata, PKR mencadangkan langkah yang lebih mudah iaitu menurunkan kadar GST kepada 4% atau lebih rendah sebagai langkah sementara untuk membendung inflasi dan membantu komuniti perniagaan.

“PKR komited dengan penghapusan GST sepenuhnya, tetapi dalam keadaan krisis ini, cadangan ini hanyalah sebagai suatu penyelesaian sementara yang praktikal,” kata mereka.

Umno fail saman USD650 juta terhadap Najib Razak


Umno fail saman USD650 juta terhadap Najib Razak
Najib Razak disaman oleh ahli Umno atas dakwaan melanggar
Perlembagaan Umno, peruntukan-peruntukan Akta Pertubuhan
1966 dan tanggungjawabnya berdasarkan
Common Law sebagai pemegang amanah Umno

Suatu kes writ saman nampaknya telah diambil terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak oleh salah seorang ahli parti Umno atas nama parti tersebut yang mendakwa bahawa beliau telah melakukan fraud ke atas ahli-ahli parti politik tersebut berkenaan dengan penerimaan derma sebanyak RM2.6 bilion di dalam akaun peribadi beliau pada March 2013 serta penggunaan dana itu tanpa pengetahuan parti.
Saman tersebut mendakwa bahawa Najib Razak telah melanggar Perlembagaan Umno, peruntukan-peruntukan Akta Pertubuhan 1966 dan tanggungjawabnya sebagai seorang pemegang amanah berdasarkan Common Law, dan menuntut pembayaran balik sejumlah USD650 juta yang didakwa telah dikirim keluar oleh beliau ke satu akaun di bank Singapura yang bukan milik Umno pada 30 Ogos 2013.
Najib Razak juga dikehendaki membutirkan semua dana yang diterima beliau dalam bentuk derma dan juga penggunaan semua dana yang telah atau pada bila-bila masa tersimpan di dalam akaun AmBank Private Banking milik beliau di mana dana RM2.6 bilion itu diterima. Saman juga menuntut ganti rugi untuk ditaksir, kos dan relif-relif lanjut atau relif-relif lain yang akan ditetapkan oleh mahkamah.
Saman yang difailkan bagi pihak Umno turut mendakwa bahawa kedudukan Najib Razak sebagai ‘pesalah memegang kuasa’ dan kawalan beliau ke atas Umno telah mengakibatkan Umno tidak mampu mempertahankan atau membuat tuntutan bagi kepentingan parti terhadap Najib Razak.
“Plaintif menyatakan bahawa Majlis Tertinggi Umno tidak berupaya dan/atau tidak berdaya untuk bertindak terhadap Najib Razak kerana kuasa dan pengaruh yang dimilikinya terhadap Majlis Tertinggi Umno, Badan Perhubungan Negeri, Bahagian dan Cawangan yang merosakkan kepentingan ahli Umno,” begitu bunyi Pernyataan Tuntutan itu.
Plaintif juga memohon untuk mendapatkan relif injunksi untuk menghalang Ab Rauf Yusof, yang turut disaman di dalam kapasitinya sebagai pegawai am Umno, sama ada secara sendirinya dan/atau melalui Jawatankuasa Disiplin Umno, Majlis Tertinggi Umno, Badan Perhubungan Negeri, Bahagian dan Cawangan daripada mengambil sebarang tindakan untuk membuang beliau sebagai ahli Umno sementara kes ini diadili, semata-mata demi mengelakkan liabiliti ke atas kes ini.
Sememangnya Pernyataan Tuntutan kes ini bersandarkan perkara-perkara yang sudahpun diketahui umum kerana telah menjadi berita sensasi sejak Wall Street Journal mendedahkannya pada 2 Julai 2015 lalu.
Wall Street Journal telah mendakwa bahawa dana USD681 juta telah dikirim ke akaun peribadi Najib Razak di AmBank Private Banking pada 21 dan 25 Mac 2013 dari Falcon Private Bank di Singapura.
Pernyataan Tuntutan itu turut mengatakan bahawa Najib Razak telah membuat pengakuan secara terbuka bahawa beliau telah menerima RM2.6 bilion di dalam akaun peribadinya dan juga bahawa beliau bukan merupakan benefisiari peribadi kepada wang tersebut. Najib Razak juga dikatakan telah mengakui secara terbuka bahawa dana itu merupakan suatu derma daripada seorang dermawan Timur Tengah yang tidak dinamakan.
Pernyataan Tuntutan itu juga mendakwa bahawa ahli-ahli Majlis Tertinggi Umno menyatakan Najib Razak telah dilantik sebagai pemegang amanah Umno, bahawa wang tersebut adalah dana politik dan bahawa mereka telah menerima wang dari akaun peribadi beliau untuk membiayai operasi politik mereka.
“Oleh itu, Plaintif menyatakan bahawa Najib Razak adalah memegang dan/atau telah memegang RM2.6 bilion tersebut sebagai amanah bagi kepentingan dan kegunaan Umno. Selanjutnya dan/atau sebagai alternative Plaintif menyatakan bahawa Najib Razak adalah memegang dan/atau telah memegang RM2.6 bilion tersebut sebagai amanah konstruktif bagi kepentingan dan kegunaan Umno,” Pernyataan Tuntutan tersebut menyimpulkan.
Pernyataan Tuntutan itu selanjutnya mendakwa bahawa Najib Razak telah melanggar Perlembagaan Umno, peruntukan-peruntukan Akta Pertubuhan 1966 dan tanggungjawabnya sebagai pemegang amanah dengan cara:
  1. Tidak memaklumkan atau mengisytiharkan bahawa beliau telah menerima sejumlah RM2.6 bilion tersebut kepada Majlis Tertinggi Umno;
  2. Menolak atau gagal memberi penjelasan kepada Umno tentang kegunaan RM2.6 bilion tersebut;
  3. Tidak membenarkan Umno untuk memberi penjelasan tentang jumlah RM2.6 bilion bagi tahun kewangan 2013 dan 2014;
  4. Gagal menyebabkan jumlah RM2.6 bilion tersebut dinyatakan dalam akaun Umno yang telah diaudit bagi tahun kewangan 2013 dan 2014;
  5. Memindahkan wang berjumlah US$650 juta kepada sebuah akan bank di Singapura yang tidak dimiliki oleh Umno pada atau kira-kira 30 Mac 2013;
  6. Telah membayar dan/atau memindah USD650 juta secara bertentangan dengan Perlembagaan Umno;
  7. Telah menggunakan dan/atau menyimpan sebahagian dari jumlah RM2.6 bilion untuk kepentingan dirinya sendiri secara menjejaskan kepentingan Umno; dan
  8. Pada setiap masa sebelum menerima jumlah RM2.6 bilion tersebut, Majlis Tertinggi Umno tidak pernah melantik beliau menjadi pemegang amanah bagi tujuan menerima wang tersebut.
Saman difailkan oleh firma guaman Haniff Khatri.

#KekalNajib atau #UndurNajib


#KekalNajib atau #UndurNajib
Harus diakui bahawa tidak ada Perdana Menteri Malaysia yang
pernah menjadi sekontroversi seperti Perdana Menteri sekarang.
Walaupun setiap bekas Perdana Menteri yang lalu memiliki
cerita dan skandal politiknya yang tersendiri
namun ianya tidak sesensasi skandal Najib Razak.


Oleh Raziq Michael
Adalah dungu untuk berfikir bahawa Najib Razak akan berundur dengan sebegitu mudah dan tunduk kepada desakan musuh-musuh politiknya. Terbaru, musuh ketatnya, Tun Mahathir Mohamed (The Financial Times, 26 Ogos 2015) turut membuat gesaan yang sama. Skandal 1MDB dan dana politik RM2.6bilion serta isu kelemahan kepimpinan adalah hujah kukuh negarawan ini untuk mahu menamatkan karier politik Najib Razak.
#KekalNajib
Najib Razak adalah satu-satunya Perdana Menteri yang bukan sahaja dikritik hebat malah turut dijadikan bahan sindiran serta cacian dalam media sosial. Namun menariknya, Najib Razak selepas enam tahun masih bertahan tanpa apa-apa petunjuk bahawa beliau akan berundur daripada politik. Bagi seorang Presiden parti, kekuatanya terletak pada ahli-ahli partinya. Namun agak berbeza dengan Najib Razak apabila beliau dengan beraninya menyingkirkan Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada kabinetnya dan tindakan drastik ini pula mengundang kemarahan penyokong bekas Timbalan Perdana Menteri tersebut.
Dalam politik, tidak mungkin seorang Perdana Menteri membuat keputusan secara terburu-buru kerana setiap keputusannya melibatkan survival politik dirinya, partinya serta melibatkan undi rakyat. Ini termasuklah perlantikkan Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri yang baru. Hakikatnya kombinasi antara Najib Razak dan Zahid Hamidi dilihat seolah membentuk satu keseimbangan kualiti pentadbiran umpama Yin dan Yang.
Tidak boleh dinafikan, bahawa strategi politik pembangkang dilihat cukup mantap terutamanya dalam soal mainan persepsi dalam kalangan rakyat. Ini dapat dilihat dalam isu 1MDB sehinggakan pada satu tahap rakyat diperdaya dengan begitu baik sekali kononnya negara akan muflis kerana 1MDB. Tetapi strategi ini dipatahkan dengan taktik tunggu dan lihat. Walaupun strategi politik Najib Razak dilihat agak berbahaya namun dalam situasi tertentu, ianya sangat berkesan apatah lagi dengan masalah kredibiliti dan kepercayaan sesama parti pembangkang semakin meruncing.
Dalam kancah sains politik, tidak ada mana-mana ahli politik yang akan letakkan kepentingan rakyat terlebih dahulu kerana kuasa dan hegemoni mengatasi segala-galanya. Maka, adalah aneh bunyinya apabila seorang bekas Perdana Menteri yang pernah dikaitkan dengan beberapa skandal sewaktu pentadbirannya bermati-matian mahu menyingkirkan Najib Razak kononnya mahu berjuang bersama rakyat. Bagaimana mungkin seorang negarawan menjadi sehati sejiwa dengan ideologi pembangkang? Maka tidak keterlaluan untuk mengandaikan ‘ada udang disebalik batu’ akan tindakannya ini.
Jika Najib Razak mampu bertahan dengan situasi politik ini maka tiada sebab untuk kita perlukan seorang Perdana Menteri yang baru. Apa yang Najib Razak perlukan adalah kepercayaan rakyat pada pentadbirannya.
#UndurNajib
Masalah utama pentadbiran Najib Razak adalah memiliki satu kelompok penasihat dan pegawai yang gagal berfungsi semaksimum yang diperlukan dalam pertahankan pentadbiran kerajaannya serta mengembalikan kepercayaan rakyat kepadanya.
Propaganda pembangkang tidak lain tidak bukan hanyalah bergantung sepenuhnya kepada media sosial. Apa guna menerima dana politik yang berbilion ringgit serta memiliki ahli parti yang mencecah jutaan angka tetapi tewas mudah ditangan pembangkang dalam media sosial?
Pentadbirannya memiliki lebih daripada 30 menteri dan penasihat bertaraf menteri tetapi setiap kali sesuatu isu ditimbulkan atau persepsi negatif dimainkan oleh pembangkang hanya kelihatan seorang dua menteri yang bertungkus lumus pertahankan ketua mereka sementara yang lain semacam tidak tahu langsung untuk menyusun strategi politik dan propaganda melawan kembali persepsi tersebut.
Sebagai contohnya fakta menunjukkan bahawa Malaysia mencatatkan rekod pelaburan dari Januari hingga Jun tahun ini ialah RM113.5 bilion dengan 2,487 projek pembangunan diluluskan. Ini satu manfaat besar kepada rakyat. Tetapi persepsi rakyat keseluruhannya hanyalah tentang kegagalan 1MDB dan kejatuhan nilai ringgit yang kononnya akan menyebabkan negara muflis. Hakikatnya jika jentera propaganda kerajaan itu tidak kuat maka itu adalah petanda betapa ketuanya juga lemah kerana gagal wujudkan sistem pentadbiran yang mengutamakan korelasi antara rakyat dan kerajaan.
Pilihan Di Tangan Anda
Buat ahli UMNO dan Barisan Nasional, individu yang difitnah dan mahu dijatuhkan adalah Presiden Parti dan Pengerusi Komponen Parti anda. Ianya bukan bersifat peribadi semata-mata. Ini adalah tentang maruah parti dan maruah anda sebagai ahli parti. Siapa sahaja ditempatnya harus dipertahankan. Itulah perjuangan sejati seorang ahli parti.
Buat rakyat Malaysia, sekiranya anda berpendapat bahawa kerajaan yang sedia ada ini perlu diturunkan daripada Putrajaya maka tunjukkan tanda protes anda dalam pilihanraya ke 14 nanti. Segala mainan persepsi negatif dan tuduhan liar pembangkang serta demonstrasi jalanan buat masa kini tidak akan menganggugugat pentadbiran Najib Razak sama sekali.
Raziq Michael adalah pembaca FMT
Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dari pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT.

Bersih 4.0 bertentangan dengan agama Islam – Bekas Mufti Johor


Bersih 4.0 bertentangan dengan agama Islam – Bekas Mufti Johor
Sebarang bentuk demonstrasi tidak akan menyelesaikan
masalah, sebaliknya mengeruhkan lagi keadaan.

Demonstrasi dan tunjuk perasaan jalanan anjuran Bersih 4.0 hujung minggu ini bertentangan dengan ajaran Islam.

Bekas Mufti Johor, Datuk Noh Gadut berkata, agama Islam tidak mengajar umatnya bertindak sedemikian kerana tindakan itu tidak menyelesaikan masalah.

Sebaliknya mengundang malapetaka baru kepada negara.

“Ia boleh membawa masalah baru dan boleh mengeruhkan lagi masalah yang sedia ada, perbuatan ini (Bersih 4.0) mengundang keburukan, huru-hara, malapetaka pada diri, keluarga dan negara.

“Bersih ini memudarat agama, agama tak suruh buat begitu, agama tak suruh fitnah. Kalau ditakdirkan berlaku pertempuran dengan pihak berkuasa dan mati, ini dilarang oleh Islam, haram hukumnya.

“Ia boleh memudaratkan kepada harta, berlaku kerosakan motorsikal, perniagaan akhirnya akan memudaratkan ekonomi negara,” katanya ketika dihubungi FMT.

Katanya, langkah terbaik menyelesaikan masalah ketidakpuasan hati kepada pemerintah ialah dengan melakukan mesyuarat atau bermuzakarah kerana itu merupakan platform terbaik.

“Islam sediakan platform untuk mengemukakan pandangan dan rasa tidak puas hati dengan melakukan muzakarah dan perbincangan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat negara ini supaya berfikiran matang dalam membuat keputusan dan tidak mudah terpengaruh dengan dakyah untuk melakukan kejahatan.

“Jangan terpengaruh dengan dakyah dan ajakkan orang lain, kita ada akal boleh memilih yang mana baik dan yang mana jahat, kita boleh pilih yang mana betul dan yang mana salah.

“Jangan libatkan diri dengan (Bersih) dan hampir pun tak boleh bimbang akan merosakan diri. Kalau berlaku ini bermakna seseorang itu tidak ada imam atau imamnya kurang,” katanya.

Zam tidak tahu beza election dan erection-Rizal Mansor


Zam tidak tahu beza election dan erection-Rizal Mansor
Ia adalah reaksi kepada tulisannya, Najib bukan raja,
Rosmah bukan permaisuri, di zamkata.blogspot.com

Pembantu peribadi kepada Datin Seri Rosmah Mansor, Datuk Rizal Mansor ‘memulang paku buah keras’ kepada bekas Menteri Penerangan Tan Sri Zainuddin Maidin.

Status yang dimuat naik dilaman Facebooknya, adalah reaksi kepada tulisan beliau, Najib bukan raja, Rosmah bukan permaisuri, di zamkata.blogspot.com.

Zam tidak tahu beza election dan erection-Rizal Mansor


Ibarat pulangkan paku buah keras, dia mengungkit peranan yang dimainkan Zainuddin ketika menjadi Ketua Pengarang Utusan Malaysia, satu ketika dahulu.

” Ada bekas editor Utusan dan bekas Menteri Kabinet kata Sultan perlu sekat PM jadi raja.. dia lupa ke masa dia di Utusan apa dia buat? Mungkin dia lupa tapi kita semua tak lupa.. hari-hari mengkritik dan memberi persepsi buruk terhadap institusi Raja-Raja.

“Tetiba orang ini nak jadi hero membela institusi Raja.. tengok balik pentadbiran mana yang paling menghormati dan mesra Raja-Raja..

“Hmmm.. orang ini jugaklah yg tak tau beza election dan erection,” sindirnya.

Dibelasah kerana larang kanak-kanak lawat ICU


Dibelasah kerana larang kanak-kanak lawat ICU
Pengawal keselamatan mangsa telah ditampar,
diheret dan ditendang oleh keempat-empat suspek.

Seorang pengawal keselamatan teruk dibelasah oleh sekumpulan empat lelaki selepas melarang pelawat membawa kanak-kanak memasuki wad di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Kota Bharu, Kelantan.

Aksi itu kemudian dirakam oleh orang ramai yang berada berhampiran dan dimuat naik di laman sesawang Youtube.

Dalam rakaman itu, mangsa telah ditampar, diheret dan ditendang oleh keempat-empat suspek.
Dalam kenyataannya, Pegawai Perhubungan Awam HRPZ, Zaid Ahmad mengesahkan kejadian yang berlaku.

“Wad tersebut menempatkan pesakit separa kritikal. Wad tersebut amat sensitif kerana berkaitan dengan (penyakit) pernafasan.

“Pihak hospital berasa amat terkilan dengan kejadian ini kerana sepatutnya masyarakat perlu memahami tujuan kami melaksanakan undang-undang kawalan tersebut demi kebaikan semua,” katanya.

Menurut Zaid, pihak HRPZ II mengamalkan polisi fleksibel terhadap waktu melawat kecuali bagi wad-wad tertentu seperti unit rawatan rapi (ICU), unit rawatan koronari (CCU) dan wad pergantungan tinggi (HDW).

Dia berharap pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya kepada ‘samseng-samseng’ yang tidak bertanggungjawab sehingga menimbulkan kekecohan di tempat awam.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Rujukan