Cari Artikel

Tuesday, August 25, 2015

Penyokong kerajaan gesa kadar GST diturunkan


Penyokong kerajaan gesa kadar GST diturunkan
Kadar enam peratus tidak lagi relevan kerana nilai
Ringgit yang semakin merosot setiap hari.

Pertubuhan Penyokong Barisan Nasional (PPBNM) menggesa kerajaan mengkaji semula kadar cukai barangan dan perkhidmatan (GST) kerana kadar enam peratus itu terlalu tinggi.

Timbalan Presidennya, Dr Lee Nan Sang berkata, kadar enam peratus itu tidak lagi relevan kerana kejatuhan nilai Ringgit yang semakin teruk saban hari.

Katanya, pelaksanaan GST bermula 1 April lalu memberi pendapatan tambahan kepada negara tetapi dalam masa sama telah menyebabkan ekonomi negara terus merosot.

Ini ditambah dengan kejatuhan nilai Ringgit yang menambahkan lagi kesengsaraan rakyat terutama golongan berpendapatan rendah dan sederhana, katanya.

“Memandangkan keadaan ekonomi negara semakin jatuh, kadar enam peratus ini dianggap suatu kadar yang tinggi sekaligus dan sokongan rakyat terhadap BN merosot,” katanya dalam sidang media di Pusat Membeli Belah Pandan Capital pada Selasa.

Dalam perkembangan sama, Lee menegaskan, kemerosotan ekonomi yang sedang berlaku sekarang bukan kerana kritikan Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Saya tidak rasa kritikan Dr Mahathir itu mampu menjatuhkan ekonomi negara,” katanya.

Polis tidak faham istilah demokrasi – Pakar akademik


Polis tidak faham istilah demokrasi – Pakar akademik
Perhimpunan aman Bersih 4.0 sama sekali tidak menggugat demokrasi
berperlembagaan atau mengancam keselamatan negara.

Pensyarah Undang-undang Universiti Malaya (UM), Azmi Sharom mengkritik Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana membuat kenyataan yang bertentangan dengan prinsip demokrasi.

Katanya, kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh polis menunjukkan pasukan keselamatan itu tidak memahami istilah sebenar demokrasi berperlembagaan.

Katanya, perhimpunan aman Bersih 4.0 sama sekali tidak menggugat demokrasi berperlembagaan atau mengancam keselamatan negara.

“Polis tak faham makna demokrasi. Perhimpunan aman dibenarkan selagi tidak membabitkan senjata yang boleh menggugat keselamatan awam.

“Kita mengadakan perhimpunan aman untuk menyuarakan kekhuatiran kepada masa depan negara dan rakyat. Itulah maknanya demokrasi.

“Bagaimana polis boleh mengatakan perhimpunan aman boleh mengancam demokrasi? Seksyen 124 Kanun Keseksaan itu untuk kesalahan melakukan keganasan bukan protes secara aman,” tegasnya.

Azmi diminta mengulas amaran Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Tajuddin Mohd Isa yang menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati membuat kenyataan atau komen mengenai perhimpunan Bersih 4.0 yang dirancang hujung minggu ini.

Tajuddin berkata, polis sedang mengawasi dan memantau secara dekat kenyataan dan komen yang dibuat untuk memastikan tidak menggugat demokrasi berpelembagaan.

“Kita akan pantau dan akan siasat kenyataan-kenyataan mengikut Seksyen 124,” katanya dalam sidang media di DBKL.

Amaran keras DBKL kepada peserta BERSIH 4.0


Amaran keras DBKL kepada peserta BERSIH 4.0
Penganjur dicadang mengadakan perhimpunan di Stadium Titiwangsa
atau Stadium Nasional Bukit Jalil yang lebih sesuai.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memberi amaran keras kepada penganjur dan peserta perhimpunan Bersih 4.0 supaya tidak menceroboh atau membina sebarang khemah bermula dari Dataran Merdeka sehingga Dataran DBKL.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Mohd Amin Nordin Abd Aziz berkata, jika ingkar, DBKL akan merampas dan menyita khemah-khemah yang didirikan di kawasan larangan tersebut.

“Saya ingatkan peserta Bersih 4.0 tidak memasuki kawasan larangan tersebut mahupun mendirikan sebarang sturuktur khemah atau kanopi sama ada di sekitar bahu jalan atau atas bahu jalan.

“Kita akan ambil tindakan tegas terhadap mereka yang degil,” katanya dalam sidang media di Menara1 DBKL pada Selasa.

Tegasnya, DBKL tidak memberi kelulusan kepada penganjur Bersih 4.0 kerana Dataran Merdeka bukan untuk berpolitik tetapi untuk menjalankan aktiviti kebangsaan, sukan, Kebudayaan dan Keagamaan.

Katanya, DBKL dan poilis akan mengawal ketat sekitar kawasan Dataran Merdeka dan Dataran DBKL yang sedang digunakan untuk sambutan Hari Kemerdekaan.

“Perlu diingatkan Dataran Merdeka adalah kepunyaan DBKL dan dalam apa jua keadaan sekalipun kami tidak akan benarkan Dataran Merdeka digunakan untuk Bersih 4.0,” katanya.

Mohd Amin mencadangkan penganjur mengadakan perhimpunan Bersih 4.0 ini diadakan di Stadium Titiwangsa atau di Stadium Nasional Bukit Jalil.

“Jika mereka memohon, kita benarkan mereka adakan perhimpunan dalam stadium yang lebih sesuai untuk perhimpunan aman,” katanya.

Sultan Johor titah kerajaan atasi segera kejatuhan nilai Ringgit


Sultan Johor titah kerajaan atasi segera kejatuhan nilai Ringgit
Baginda juga menasihatkan pemimpin supaya tidak memperbodohkan rakyat
dengan membuat kenyataan yang hanya sedap didengar bagi menutup keadaan sebenar.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar mengesa kerajaan Barisan Nasional (BN) menyelesaikan segera masalah negara terutama kejatuhan nilai Ringgit yang semakin teruk.

Baginda bertitah, walaupun tidak boleh mencampuri urusan politik tetapi sebagai Raja, baginda bertanggungjawab untuk memastikan suasana kehidupan rakyat dalam keadaan yang baik, maju dan makmur.

“Saya amat peka dengan rintihan dan keluhan suara hati rakyat saya. Suasana politik dan ekonomi negara yang berada dalam keadaan yang tidak stabil pada masa ini merupakan isu utama yang perlu ditangani oleh kerajaan dengan segera.

“Oleh itu, saya mengesa kepada pihak kerajaan yang memerintah supaya segera menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi sekarang ini, antaranya mengenai kejatuhan nilai ringgit yang amat teruk,” titah baginda sempena Hari Ulang Tahun Rejimen Gerak Khas ke-50 pada Selasa.

Sultan Ibrahim juga mengingatkan kepada pemimpin pemimpin kerajaan yang telah dipilih oleh rakyat supaya memikul tanggung jawab dengan penuh amanah untuk kepentingan umum dan jangan mengutamakan kepentingan peribadi.

Baginda juga menegur pemimpin yang memperbodohkan rakyat dengan membuat kenyataan yang hanya sedap untuk didengar bagi menutup keadaan sebenar.

“Rakyat pada hari ini adalah generasi yang berilmu dan bijak menilai maklumat yang diterima, janganlah cuba memperbodohkan rakyat dengan memberikan berita dan maklumat yang hanya sedap untuk didengar bagi menutup keadaan sebenar. Selesaikanlah masalah masalah yang timbul dengan segera,” titah baginda.

Baginda juga menasihatkan pihak luar yang tidak tahu sejarah negeri itu supaya jangan masuk campur dalam urusan orang Johor.

“Istilah Bangsa Johor bukanlah perkara yang baru. Almarhum nenda saya, Sultan Ibrahim, telah melihat jauh kehadapan yang perpaduan masyarakat di negeri Johor ini perlu dibentuk di bawah satu ‘Bangsa Johor’.

“Saya berharap rakyat Bangsa Johor yang berbilang agama dan keturunan akan hidup harmoni dan bersatu padu demi untuk kemakmuran dan keamanan Negeri Johor Darul Ta’zim,” titah baginda.

Beri diskaun peminjam gagal bayar hutang elak bankrap


Beri diskaun peminjam gagal bayar hutang elak bankrap
Peningkatan kes kebankrapan akan menyebabkan keadaan ekonomi
tidak sihat kepada negara dan bank boleh memberi sumbangan itu sebagai projek CSR.

Bank-bank di negara ini disaran memberi diskaun kepada peminjam yang gagal membayar hutang mengikut tempoh yang ditetapkan bagi mengelak kebankrapan.

Presiden Persatuan Penyelesaian Pengguna dan Peminjam Malaysia (4PM), Rosland Mohd. Arif berkata, langkah memberi diskaun itu boleh dianggap sebagai Tanggungjawab Korporat Sosial (CSR) institusi kewangan.

Dia berkata, pihaknya percaya sekiranya bank bersedia berbuat demikian, pasti ramai peminjam dapat melunaskan hutang tertunggak masing-masing.

“4PM yakin andai pihak bank bersedia menerima bayaran asal pinjaman sebagai penyelesaian penuh atau memberi diskaun yang tinggi ke atas jumlah hutang, ramai peminjam mampu menangani hutang tertunggak.

“Langkah ini juga mewujudkan situasi menang-menang untuk kedua-dua pihak kerana bank mendapat semula wang mereka manakala peminjam pula akan terselamat daripada bankrap,” katanya dalam kenyataan kepada FMT pada Selasa.

Rosland berkata, 4PM membuat saranan itu kerana jumlahkes kebankrapan meningkat kepada 300,000 sehingga awal tahun ini termasuk golongan muda berusia bawah 23 tahun.

Katanya, jika keadaan itu berterusan akan menimbulkan keadaan tidak sihat kepada masa depan negara sedangkan bank boleh memainkan peranan besar dan menganggapnya sebagai CSR.

“4PM sejak penubuhannya telah berjaya membantu lebih 3,000 kes hutang tertunggak yang nyaris menyebabkan kebankrapan dan harta benda peminjam dilelong pihak bank melalui kaedah rundingan,” katanya.

Orang ramai yang berminat mendapatkan bantuan 4PM boleh menghubungi talian 03-238 67835/019-2531000/019-3971000/011-1331 3155 atau melayari laman sesawang www.ppppmalaysia.weebly.com.

Ubah dasar atau kami sokong pembangkang – Orang Asli


Ubah dasar atau kami sokong pembangkang – Orang Asli
Isu derma RM2.6 bilion dan kegagalan Perdana Menteri memberi
penjelasan turut menjejaskan kepercayaan Orang Asli terhadap kerajaan BN.

Kontroversi derma RM2.6 bilion dan kegagalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberi penjelasan telah menjejaskan kepercayaan masyarakat Orang Asli kepada kerajaan Barisan Nasional (BN).

Naib Presiden Jaringan Orang Asli SeMalaysia (JOAS), Yusri Ahon berkata, masyarakat Orang Asli berpendapat dana politik yang dikatakan sumbangan derma daripada pemimpin negara Arab itu tidak sepatutnya dimasukkan ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri.

“Seharusnya duit derma itu mesti dimasukkan ke dalam akaun organisasi atau parti dan bukan kepada individu.

“Sekiranya orang lain yang berbuat demikian. Bukankah ia akan menjadi isu besar?,” katanya kepada FMT di Ibu Pejabat JOAS.

Yusri yang juga Ahli Jawatankuasa Jaringan Kampung Orang Asli Pahang (JKOP) berkata, kerajaan BN juga perlu mengubah dasar kerana dasar sedia ada tidak lagi selari dan menepati kehendak masyarakat Orang Asli.

Dia mengingatkan kerajaan bahawa pengundi Orang Asli sedia berpaling tadah dan mengundi pembangkang pada pilihan raya akan datang jika kerajaan gagal mengubah dasar itu.

“Cara Kerajaan BN tadbir negara dengan dasar-dasar yang dilaksanakan dilihat tidak sesuai lagi dengan masyarakat Orang Asli.

“Bagi saya Orang Asli akan menyokong pembangkang dan kebanyakkan mereka lebih cenderung untuk menyokong Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP jika diberi pilihan.

“Ini kerana kerajaan yang diperintah pembangkang seperti di Selangor dan Pulau Pinang lebih baik berbanding Kerajaan BN,” katanya.

Tiada kerahan ahli Pas ke Bersih 4.0


Tiada kerahan ahli Pas ke Bersih 4.0
Ia hanya menghantar wakil sebagai sokongan kepada
tuntutan Bersih bagi pilihan raya yang bersih dan adil

Pas tidak akan mengerah anggota dan penyokongnya untuk menyertai Bersih 4.0 pada 29 dan 30 Ogos ini.

Tiada kerahan ahli Pas ke Bersih 4.0


Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan menyifatkan tarikh perhimpunan yang hanya selang sehari dengan sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos dianggap tidak sesuai.

Ia juga dikatakan bertembung dengan program parti itu, Jelajah Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden Parti dan Perhimpunan Istiqamah sehingga menang yang berlangsung di setiap negeri, pada Sabtu ddan Ahad, hingga ia 3 Oktober 2015.

Perkara itu disampaikan dalam kenyataan yang dikeluarnya pada Isnin.

Sehubungan itu, parti berkenaan memutuskan hanya akan menghantar wakil ke perhimpunan yang bakal diadakan.

Cinta anak Nazri Aziz dengan Nora Danish tidak kesampaian


Cinta anak Nazri Aziz dengan Nora Danish tidak kesampaian
Keputusan itu dikatakan dibuat demi kebaikan bersama.

Kisah cinta anak Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dengan pelakon jelita, Nora Danish dilapor telah berakhir.

Menurut laporan yang dipetik daripada Mstar Online, Nora sendiri mengakui hubungan cintanya dengan Nedim Nazri telah tamat.

Katanya, dia dan bekas kekasihnya membuat keputusan itu demi kebaikan bersama.

“Hmm… Kami mengambil keputusan mahu berpisah atas kebaikan bersama. Itu sahaja. Lagipun cinta tidak semestinya dimiliki. Itu sahaja yang boleh saya jelaskan kepada semua. Tak nak cerita panjang-panjang,” katanya yang dipetik daripada portal itu.

Sebelum ini kedua-dua mereka saling memuat naik status di laman sosial yang menggambarkan hubungan yang cinta yang punah.

Nora seorang janda, mempunyai seorang anak iaitu Putra Rayqal Ramli Rizal Ashram, hasil perkahwinannya terdahulu dengan Rizal Ashram Ramli.

Mereka bercerai pada 10 Julai 2008 selepas dua tahun berkahwin.

Nedim juga seorang duda anak satu selepas dikatakan bercerai pada tahun 2013

Isu 1MDB, dana RM2.6 bilion paling popular dalam mesyuarat Pemuda UMNO


Isu 1MDB, dana RM2.6 bilion paling popular dalam mesyuarat Pemuda UMNO
Khairy Jamaluddin akan membawa kesemua usul Pemuda kepada Presiden dan
Timbalan Presiden untuk mengembalikan sokongan rakyat terhadap UMNO.

Kontroversi 1MDB dan dana politik RM2.6 bilion menjadi isu popular dalam Mesyuarat Pemuda UMNO bahagian di seluruh negara.

Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, rata-rata perwakilan UMNO meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberi perhatian dan menyelesaikan masalah berbangkit berkenaan dua isu utama itu untuk mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap parti.

Sehubungan itu, beliau akan mengadakan perjumpaan dengan Najib selaku Presiden dan Timbalan Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada September ini, selepas selesai Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi UMNO yang dijadual pada 9 September.

Katanya, beliau akan membawa kesemua usul yang dibawa oleh Pemuda UMNO kepada Presiden untuk menyampaikan pandangam akar umbi.

Usul untuk termasuklah desakan supaya Najin meletak jawatan yang diputuskan oleh Pemuda UMNO Bahagian Tampin.

“Saya telah terima semua usul ini dan telah menelitinya. Ia dilakukan supaya kita dapat memahami keadaan dari akar umbi. Kita juga mengambil ketetapan untuk terus memperkukuhkan parti UMNO.

“Kita juga akan terus menguatkan jentera parti selain yakin dengan komitmen yang diberikan Pemuda untuk terus memperkukuhkan parti agar kemelut yang melanda pada hari ini dapat diselesaikan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat UMNOd di PWTC pada Isnin.
Sebanyak 182 UMNO bahagian telah selesai mengadakan mesyuarat.

Mengapa Rafizi dan Tony Pua membisu isu DEIG?


Mengapa Rafizi dan Tony Pua membisu isu DEIG?
Kedua-duanya lantang membongkar 1MDB dan memperjuangkan
integriti tetapi diam dalam isu melibatkan DEIG.

Barisan Nasional (BN) Selangor menunggu penjelasan dan pendirian Rafizi Ramli dan Tony Pua berhubung penubuhan Kumpulan Pelaburan Darul Ehsan (DEIG) oleh Kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali.

Setiausaha BN Selangor, Budiman Mohd Zohdi berkata, kenyataan Rafizi dan Tony Pua dinanti-nantikan oleh rakyat kerana kedua-duanya terkenal dengan kelantangan membongkar dan mengkritik 1MDB.

“Sehingga saat ini tiada kenyataan yang jelas berkaitan pendirian mereka terhadap isu DEIG.

“Mereka (Rafizi dan Tony Pua) selalu benar bercakap soal integriti, ketelusan dan akauntabiliti. Ketelusan sebenar perlu melangkaui sempadan politik kepartian,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat UMNO Selangor pada Isnin.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang itu turut mempertikaikan pelantikan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Ketua Pegawai Operasi MBI/DEIG (COO) yang tidak dilakukan melalui proses lantikan terbuka.

Budiman menolak tuduhan isu DEIG dibangkitkan sebagai strategi mengalih rakyat terhadap 1MDB.

“Mereka boleh buat macam-macam tomahan, tetapi ini berkaitan isu Negeri Selangor. Adakah salah saya sebagai rakyat dan wakil rakyat memohon maklumat dan penjelasan daripada Menteri Besar?.

“Kalau begitu apa sahaja isu yang dimainkan pembangkang semua boleh, tetapi kalau isu yang ditimbulkan BN semua dituduh ‘ada udang disebalik batu’,” katanya.

Polis kejar lori tak bertayar


Polis kejar lori tak bertayar
Add captionKeempat-empat tayar lori itu dipercayai
telah pecah terkena perangkap besi berduri.

Rakaman video sepasukan angota Unit Peronda Polis Diraja Malaysia (MPV) mengejar sebuah lori curi tanpa tayar mendapat perhatian ramai pengguna laman sosial Facebook.

Rakaman video selama satu minit tujuh saat itu dimuat naik di Facebook Friends Of PDRM yang memaparkan kecekapan anggota polis mengejar lori berwarna putih kira-kira jam 2 pagi pada Isnin.

Dalam kejadian itu, suspek membawa lari lori berkenaan bermula dari Sentul sebelum berjaya diberhentikan oleh pasukan polis di Dengkil.

Menerusi rakaman itu, kelihatan keempat-empat tayar lori itu telah tiada dipercayai pecah terkena perangkap besi berduri yang dipasang oleh anggota polis.

Menurut pengendali Facebook Friends Of PDRM, dalam kejadian kejar-mengejar antara polis itu, suspek turut melanggar antara tiga hingga empat palang sebelum berjaya diberkas polis.

Adegan kejar-mengejar itu melibatkan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul dan Subang Jaya.

Pengguna media sosial rata-rata pengguna media sosial memuji kecekapan anggota polis sehingga tertangkapnya suspek.


LORI TANPA TAYAR LARI DIKEJAR POLIS
VIDEO saat cemas Unit Peronda PDRM (MPV) mengejar Lori yang baru dicuri. Dilarikan dari Sentul dan berakhir di Dengkil. Saspek turut melanggar 3-4 palang sebelum diberkas Polis. SYABAS! Unit MPV KL dari IPD Sentul dan dibantu MPV SL dari IPD Subang Jaya Balai Bukit Puchong. SALUTE untuk PDRM !!Lagi Video Like Facebook -- Friends Of PDRM
Posted by Friends Of PDRM on Sunday, August 23, 2015

Tiada telur palsu dijual di negara ini


Tiada telur palsu dijual di negara ini
Kos pembuatan telur palsu jauh lebih tinggi berbanding harga telur
sebenar khususnya untuk menghasilkan membran telur.

Tidak mungkin wujud telur palsu seperti dakwaan yang disebarkan menerusi laman sosial kerana penghasilannya jauh lebih mahal berbanding telur asli.

Presiden Persekutuan Persatuan-persatuan Penternak Malaysia, Jeffrey Ng Choon Ngee berkata, proses pembuatan telur palsu melibatkan kos yang tinggi kerana memerlukan teknologi canggih terutama untuk menghasilkan membran telur.

Mengulas kebimbangan pengguna tentang kewujudan telur palsu itu, Ng menjelaskan untuk menghasilkan membran iaitu selaput putih pada sebiji telur sahaja akan melibatkan kos sekitar 30 sen.

“Secara kasar untuk cipta sebiji sahaja telur, kos mungkin dalam RM1, maka kalau dah mahal macam itu nak jual untuk sebiji telur berapa pula?” katanya kepada Bernama selepas menghadiri sidang media mengenai Ekspo Ternakan Asia 2015 pada Isnin.

Mengenai corak serta warna telur yang berbeza-beza disebarkan dalam laman sosial, Ng berkata ia boleh berlaku mengikut cara penyimpanan yang dipengaruhi suhu bilik.

Ng berkata, pihaknya juga telah membuat semakan dengan pihak berkuasa yang berkaitan dengan industri penternakan di China dan mendapati bahawa telur palsu juga tiada di negara itu.

Sebaliknya beliau berkata, yang ada hanya bahan seperti telur tetapi dalam bentuk serbuk yang dicipta oleh pihak tertentu untuk keperluan diri sendiri.

Kenyataan di ‘spin’ supaya saya dibenci – Ahmad Maslan


Kenyataan di ‘spin’ supaya saya dibenci – Ahmad Maslan
Beliau yakin kebenaran akan mengatasi kebatilan, kejujuran akan
mengatasi kejahatan dan kesabaran akan mengatasi kedurjanaan.

“Niat jahat dengan memutarbelit kenyataan bertujuan menimbulkan kebencian rakyat terhadap saya tidak akan berjaya,” kata Timbalan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Ahmad Maslan.

Ini kerana, beliau yakin kebenaran akan mengatasi kebatilan, kejujuran akan mengatasi kejahatan dan kesabaran akan mengatasi kedurjanaan.

Meluahkan perkara itu di blognya www.ahmadmaslan.my, Ahmad Maslan berkata, perbuatan memutarbelit kenyataannya juga bertujuan membunuh karektornya, menghilangkan kewibawaanya dan kepercayaan kepada pemimpin UMNO dan parti.

“Sebagai contoh, saya pernah sebut bahawa ikan segar tidak kena GST, ikan sardin ada GST dan lebih elok makan ikan segar. Mereka “spin” yang konon saya kata jadikan ikan segar kepada ikan sardin untuk elak GST. Kan lain apa yang saya sebut dan apa yang disebar.

“Selama 2 jam 45 minit saya menerangkan GST mengguna kaedah multimedia di UiTM Shah Alam dan menjawab puluhan soalan. Namun yang di “spin” ialah saya minta pelajar masak sendiri untuk elak GST.

“Anak sulung saya pernah belajar di UiTM Shah Alam dan tentu saya tahu pelajar tidak boleh masak dalam hostel. Untuk yang duduk di luar, sesekali masak sendiri apa salahnya,” katanya.

Justeru, Ketua Penerangan UMNO itu berharap agar rakyat tidak mudah percaya kepada poster, tulisan, gambar, kenyataan yang berbunyi pelik, sensasi dan meragukan yang kononnya datang daripada pimpinan UMNO.

“Semak dulu, bertanya dan jangan mudah percaya serta jangan mudah menyebarkan segala-gala yang diperolehi melalui media sosial,” nasihatnya.

SUHAKAM nasihat jangan bawa kanak-kanak sertai BERSIH 4.0


SUHAKAM nasihat jangan bawa kanak-kanak sertai BERSIH 4.0
Seramai 20 pegawai SUHAKAM akan ditugaskan untuk memantau
tindakan pihak berkuasa dan peserta perhimpunan.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) menasihatkan peserta BERSIH 4.0 supaya tidak membawa kanak-kanak menyertai perhimpunan itu akhir bulan ini.

Pesuruhjaya SUHAKAM, James Navagam berkata, peserta juga dinasihatkan supaya tidak merosakkan Dataran Merdeka dan harta benda awam.

“Berdasarkan himpunan BERSIH sebelum ini, terdapat mereka yang membawa kanak-kanak, ia harus dielak. Mereka juga seharusnya tidak merosakkan Dataran Merdeka.

“Penganjur dan peserta juga mesti bertangunggjawab terhadap isu yang mereka bawa dan memastikan keselamatan pihak yang terlibat terjamin,” katanya pada sidang media pada Isnin.
James berkata, SUHAKAM akan menugaskan 20 pegawai untuk memantau tindakan pihak berkuasa dan peserta perhimpunan.

“Kita akan memantau sama ada mereka mematuhi kewajipan untuk berhimpun,” katanya sambil menambah SUHAKAM itidak akan menyebelahi mana-mana pihak dalam isu ini.

Katanya, SUHAKAM juga akan membuat laporan mengenai himpunan BERSIH 4.0 berdasarkan pemerhatian petugas suruhanjaya bebas itu.

Ada pihak cuba kelirukan rakyat isu DEIG


Ada pihak cuba kelirukan rakyat isu DEIG
PKR akan mendapatkan maklumat lanjut kerana terdapat ahli parti yang
tidak memahami isu itu walaupun Azmin Ali sudah memberi penerangan.

Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendakwa pihak tertentu memainkan peranan untuk mengelirukan rakyat isu penubuhan syarikat Kumpulan Pelaburan Darul Ehsan (DEIG) oleh kerajaan Selangor yang ketika ini menerima kritikan hebat.

Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Fahmi Fadzil berkata, perbuatan itu menyebabkan rakyat termasuk ahli PKR tidak memahami isu berkenaan walaupun Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali telahpun memberi penerangan kepada pucuk pimpinan parti.

Sehubungan itu, PKR akan mendapatkan maklumat lebih lanjut daripada kerajaan negeri mengenai DEIG untuk menangkis dakwaan tidak berasas.

“Ada usaha untuk mengelirukan maklumat sebenar tujuan dan hala tuju syarikat DEIG. Disebabkan itu, kita masih berusaha dapatkan maklumat lanjut tentang isu DEIG,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PKR pada Isnin.

Fahmi berkata, PKR menerima baik pandangan dan kritikan terhadap DEIG selaras dengan prinsip demokrasi kerana menyuarakan pandangan bukan menjadi kesalahan.

“Kita terima kenyataan Menteri Besar, kita terima dengan baik isu DEIG. Cuma, saya sependapat dengan Tony Pua, jangan kuman seberang laut nampak, tetapi gajah depan mata kita tidak nampak,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penerangan AMK, Lee Chean Chung berkata, isu DEIG dibangkitkan bagi mengalih perhatian rakyat terhadap skandal 1MDB.

Siapa pakar sebenar guna ‘pintu belakang’?


Siapa pakar sebenar guna ‘pintu belakang’?
Mungkin rakyat lupa BN pernah menjatuhkan kerajaan negeri
Perak pada tahun 2009 melalui ‘pintu belakang’

Oleh Mohammad Fakhrurrazi Mohd Rashid

Berita tentang pemimpin UMNO/BN menghasut ahli-ahli partinya untuk tidak melawan ‘kerajaan’ telah menjadi tumpuan rakyat Malaysia. Istilah ‘pintu belakang’ untuk menggulingkan kerajaan menjadi senjata utama pemimpin UMNO/BN menanam rasa takut dan gelisah dalam ahli partinya sendiri. Namun, kenyataan pemimpin UMNO ini meletakkan kesalahan besar menjatuhkan kerajaan sebenarnya mencerminkan kesempitan pengetahuan dan pemikiran mereka mengenai perbezaan antara ‘kerajaan’ dan ‘parti pemerintah’ dalam sistem demokrasi berparlimen.

Definisi ‘kerajaan’ dan ‘parti pemerintah’

‘Kerajaan’ dan ‘parti pemerintah’ merupakan dua istilah yang berbeza dari segi maksudnya. Kerajaan merupakan sebuah badan yang mengawal dan mengurus pentadbiran negara. Terdapat tiga komponen utama dalam kerajaan sesebuah negara demokratik iaitu badan perundangan (Parlimen), badan eksekutif (Perdana Menteri dan Menteri Kabinet) dan badan kehakiman. Ketiga-tiga komponen ini melambangkan kerajaan sesebuah negara dan bukan hanya pihak eksekutif sahaja.

Maksud ‘parti pemerintah’ dalam sistem demokrasi berparlimen ialah parti yang memenangi pilihan raya dengan majoriti kerusi di parlimen. Parti yang mempunyai majoriti kerusi ini boleh membentuk sebuah kabinet untuk mengambil alih kuasa eksekutif. Mereka hanya mewakili kerajaan dalam urusan ‘eksekutif’ dan sebahagian ‘legislatif’ kerana mereka bertanggungjawab kepada parlimen. Parti pemerintah tidak semestinya kekal sebagai badan eksekutif sekiranya parti yang sedang memerintah kalah dalam pilihan raya atau dengan undi tidak percaya di parlimen.

Perkara ini bermaksud rakyat mempunyai hak untuk menukar ‘parti yang memerintah kerajaan’ dan kerajaan Malaysia ditadbir oleh parti yang lain. Kesimpulannya, kerajaan Malaysia akan tetap ada, cuma aktor dan pemimpinnya boleh berubah mengikut parti. Jelas menunjukkan bahawa pertukaran kerajaan merupakan satu perkara yang biasa dalam sistem demokrasi berparlimen dan berlaku dibeberapa buah negara seperti Britain, Australia dan Kanada. Tetapi di Malaysia dianggap ‘salah’ dan berdosa untuk guna pintu belakang. Persoalannya siapa pakar sebenar guna ‘pintu belakang’ untuk menjatuhkan kerajaan dalam politik Malaysia?

UMNO/BN pernah guna ‘pintu belakang’

Konsep yang dibawa oleh pemimpin UMNO/BN ini sebenarnya telah jauh lari daripada sistem pemerintahan demokrasi berparlimen. Pemimpin BN hanyalah parti pemerintah yang kini menguruskan hal ehwal pentadbiran negara dan rakyat. Badan eksekutif ini bukan sebuah badan yang tertinggi dalam kerajaan Malaysia kerana terdapat badan perundangan dan kehakiman yang akan menyemak, meneliti dan mengimbangi pengurusan badan eksekutif.

Pertukaran parti pemerintah ini pernah berlaku di peringkat kerajaan negeri seperti di Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Sabah, dan Terengganu. UMNO/BN sendiri pernah menjatuhkan kerajaan negeri menggunakan ‘pintu belakang’. Mungkin rakyat lupa BN pernah menjatuhkan kerajaan negeri Perak pada tahun 2009. Perkara tersebut dibuat sendiri oleh Najib Razak yang menggantikan Tajol Rosli sebagai Ketua UMNO Perak semata-mata untuk menumbangkan kerajaan negeri Perak melalui ‘pintu belakang’.

Lebih meragukan lagi apabila dua pemimpin PKR yang mempunyai kes rasuah dengan mahkamah ketika itu iaitu Jamaluddin Mat Razi dan Osman Mohd Jailu mengumumkan keluar parti. Mereka berdua mengishtiharkan diri mereka menjadi ADUN bebas dan kemudian menyokong BN. Jangan mudah terpedaya dengan pemimpin UMNO/BN. Mereka sebenarnya yang pakar pakai ‘pintu belakang’!

Undurlah Najib Razak dan UMNO

Perkara penting yang rakyat Malaysia mahukan ialah insan bernama Najib Razak meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia. Peletakan jawatan ini tidak mungkin akan memecah-belahkan rakyat Malaysia. Tun Abdullah Badawi pernah meletakkan jawatannya tanpa berlaku perkara yang memudaratkan rakyat dan negara. Jadi kenapa Najib Razak tidak boleh membuat perkara sedemikian?

Najib Razak dan rakan-rakan menterinya hanya mendapat sokongan daripada ahli UMNO dan komponen parti BN, bukan rakyat Malaysia! Jika Najib Razak dan ahli UMNO berikrar untuk taat setia kepada parti, rakyat Malaysia pula bersumpah taat setia kepada tanah air untuk mempertahankan negara daripada mereka yang cuba merompak harta negara dan memiskinkan rakyat. Hanya ahli UMNO/BN yang takut untuk berubah dan berhijrah, tetapi bukan rakyat Malaysia!

Kerajaan Malaysia masih ada dan wujud sekiranya UMNO/BN tidak menjadi parti pemerintah. Rakyat Malaysia akan terus hidup seperti biasa walaupun BN tidak lagi menjadi parti pemerintah. Mungkin, penyingkiran UMNO/BN ini lebih membawa makna kepada rakyat dan negara merasai pentadbiran baharu dibawah parti yang berbeza. Cukuplah hampir 58 tahun memerintah negara. Tiba masanya untuk UMNO/BN berehat dan mengambil pencen awal sebelum dipecat oleh rakyat sendiri!
Mohammad Fakhrurrazi Mohd Rashid adalah pembaca FMT

Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT

Saya berpegang teguh prinsip jangan mencuri duit orang- PM


Saya berpegang teguh prinsip jangan mencuri duit orang- PM
Beliau sedia memberi penerangan isu derma RM2.6 bilion
kepada ahli UMNO dengan syarat ia dibuat secara tertutup,

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau berpegang teguh kepada prinsip ‘tidak mencuri duit orang’ dalam mencari dana untuk menggerakan parti.

Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO berkata, dana politik itu juga akan dipastikan tidak menyalahi undang-undang.

“Dalam usaha mendapatkan dana politik, saya berpegang teguh kepada beberapa prinsip penting iaitu jangan mencuri duit orang dan tidak menyalahi undang-undang,” tulisnya menerusi entri terbaru blognya  najibrazak.com.

Najib berkata, beliau bersedia membuat penerangan kepada ahli UMNO secara terperinci berhubung derma RM2.6 billion yang diperolehinya dengan syarat ia dibuat secara tertutup.

Katanya, perbincangan secara terbuka mengenai dana itu akan merosakkan parti UMNO itu sendiri.
“Saya ada hak sebagai Presiden parti dan ketika saya menjadi Timbalan, saya tidak pernah menyoal Presiden parti mengenai dana yang diperoleh untuk UMNO.

“Saya dipilih oleh perwakilan melalui sistem yang paling demokratik dalam UMNO tanpa undi bonus atau kuota.

“Selagi ahli UMNO pilih dan mahu saya, saya tetap akan terus memimpin UMNO,” katanya.
Mengulas lanjut, Najib berkata beliau akan berusaha untuk mencari dana parti bagi memastikan jentera parti dapat bergerak dengan baik.

“Saya telah lama dalam politik, lebih 40 tahun, dan saya akan terus mempertahankan maruah dan kepentingan UMNO.

“Tun Dr Mahathir (Tun Dr Mahathir Mohamad) sendiri mengakui di dalam buku Transparency International, di mana dia sebut ‘every political party needs money’,” katanya.

Mesyuarat UMNO dah jadi drama sinetron – Anina


Mesyuarat UMNO dah jadi drama sinetron – Anina
Tidak mustahil mesyuarat UMNO bahagian bertukar pula
menjadi cerita kartun kerana penerangan berbeza isu derma RM2.6 bilion.

Mesyuarat UMNO bahagian yang sedang berjalan sejak beberapa minggu lalu di seluruh negara telah menjadi seperti drama sinetron yang popular di kaca televisyen.

Dakwaan itu dibuat oleh Ahli Wanita UMNO Langkawi, Anina Saaduddin yang terkenal dalam sekelip mata selepas rakaman ucapannya mengkritik Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi viral.

Katanya, perwakilan UMNO yang menghadiri mesyuarat bahagian telah disajikan dengan versi penerangan yang berbeza-beza oleh pemimpin UMNO terutama isu derma RM2.6 bilion yang diterima oleh Presiden parti.

Katanya, tidak mustahil mesyuarat UMNO akan bertukar daripada drama sinetron kepada cerita kartun sekiranya penerangan berbeza itu berterusan.

“Mesyuarat itu (mesyuarat UMNO bahagian) hanya menerangkan (derma RM2.6 bilion) untuk politik, pilihan raya, Islamic State (ISIS), Yahudi dan selepas ini apa pula.

“Jangan sampai musim ‘sinetron’ ini akan menjadi musim kartun,” katanya dalam satu temubual yang dimuat naik di laman YouTube.

Sehubungan itu, Anina menggesa Najib supaya untuk tampil dan memberi penerangan yang jelas kepada seluruh rakyat Malaysia.

Ini kerana, katanya, Perdana Menteri bukan sahaja berdepan dengan tiga juta ahli UMNO tetapi dengan 28 juta rakyat Malaysia.

“Sama ada mereka layak atau tidak mengundi, mereka berhak untuk tahu perkara yang sebenar kerana ini melibatkan parti yang memerintah,” katanya.


Anak kita dan masa depan yang kelam


Anak kita dan masa depan yang kelam
Amat sedih nanti jika anak-cucu kita dimomokkan dan
dihina dibumi sendiri kerana kesalahan kita memilih pemimpin Politikus Usang.

Oleh Yunus Tasim
Tidak ada siapa yang dapat meramalkan masa depan Malaysia. Kelihatan sangat kelam. Harga barang yang terus meningkat. Ditambah cukai GST yang meliputi semua golongan rakyat, tak kira yang mampu atau yang miskin. Skandal kewangan yang tidak ada kesudahan dan tidak ada jawapan. Ini ditambah dengan sikap pemimpin penipu dan disokong oleh pemimpin bawahan kurang cerdik yang terus membodohkan rakyat. Memang benarlah pesan orang-orang tua kita ‘Harapkan Pegar, Pegar Makan Padi’.
Kita terus bertanya. Kalau begini sekarang, apa akan terjadi 10, 20 dan 30 tahun akan datang? Lihat muka anak-anak kita, kita jadi sayu. Lihat wajah cucu-cucu kita, kita hampir menangis. Dan bercampur rasa geram dan marah angkara pemimpin yang tidak amanah ini. Bagaimanakah Malaysia dan nasib cucu-cucu kita pada waktu itu?
Saya teringat lagu Anak Anak Kita ciptaan dan tulisan Dato M.Nasir 30 tahun lalu. Pemikirannya yang dicernakan dalam lagu telah memberi amaran kepada kita generasi waktu itu dan mendengarnya lagi sekali telah menyentuh hati dan fikiran saya.
Anak-anak kita kah yang berlari di bawah mentari sumbing
Sambil bernyanyi ‘lagu Ketakutan’ hari-hari ini
Anak-anak kitakah yang memikul beban Kesilapan kita
Hingga dia tak kenal ‘Budaya Canggung’ bangsa sendiri
Beliau telah membayangkan keadaan anak kita di masa depan. Apakah anak-anak kita akan menyanyikan ‘Lagu Ketakutan’ seperti yang kita alami sekarang. Masa depan yang kelam. Harga barang yang terus meningkat, tidak setimpal dengan harga duit kita dan kadar kenaikan gaji mereka. Rumah yang tidak mampu dibeli dan dimiliki. Mungkin kerana desakan inilah, kita tidak mampu lagi mengingatkan dan mengajar mereka tentang agama dan budaya kita.
Kemudian beliau memberikan sedikit punca masalah yang kita hadapi dengan lirik seterusnya.
Selamatkan anak kita dari padang jerangkap samar
Selamatkan anak kita dari Orde Baru Politikus Usang
Jerangkap samar yang memporak-perandakan negara kita tidak lain dan tidak bukan adalah Politikus Usang yang membuat Orde Baru yang menipu dan membodohkan rakyat. Ahli Politik sebeginilah yang diibaratkan seperti Burung Pegar yang kita harapkan , tetapi dia lah yang memakan padi kita, yang menghapuskan masa depan kita.
Seterusnya Dato M.Nasir ingatkan agar kita menjaga anak-cucu kita dari menjadi hamba di negara sendiri seperti pada baris seterusnya
Jaga-jaga anak kita! Jangan sampai jadi hamba
Jaga-jaga anak kita! Kita ini orang merdeka
Apakah nasihat beliau harus kita ikuti atau kita terus rela menjadi rakyat yang setia membuta tuli dan terus ditipu serta dibodohkan oleh Politikus Usang tersebut. Amat sedih nanti jika anak-cucu kita dimomokkan dan dihina dibumi sendiri kerana kesalahan kita memilih pemimpin Politikus Usang itu.
Panggillah mereka pulang, Ayah nak ajar tentang Kurang Ajar
Jadi mereka takkan sendiri lagi
Panggillah mereka pulang, Ayah nak ajar tentang Kurang Ajar
Jadi mereka takkan dimomok lagi
Mungkin masa ini adalah masa yang paling sesuai untuk kita ajarkan anak kita tentang Kurang Ajar sebagaimana yang pernah disarankan oleh Tun Musa Hitam satu ketika dulu. Kurang Ajar bukan bermaksud sikap biadap tetapi lebih kepada berfikiran kritikal, menjadi orang berilmu dan punya semangat tinggi agar anak-anak-anak dan cucu-cucu kita tidak lagi mudah dicucuk hidung, tidak mudah ditipu, tidak mudah dibodoh-bodohkan dan yang penting tidak setia membuta tuli kepada pemimpin. Kita yakin sebagai orang Malaysia, anak-cucu kita sentiasa beradab dalam menyuarakan hak, menegur dan membetulkan yang salah serta menentukan nasib masa depan mereka.
Kemudian Dato M.Nasir mengakhiri lagu tersebut dengan mengingatkan kita untuk kita mengajar anak cucu kita akan bahaya dari manusia yang menyesat dan merosakkan iaitu golongan ahli politik, pakar motivasi, pejuang bangsa, ahli koprat, pejuang agama dan sebagainya dalam dunia yang penuh dengan penipuan dan kemunafikan.
Fikir ! Selamatkah kita di tangan Tukang Karut itu
Fikir ! Selamatkah kita di tangan Dalang Wayang itu
Fikir ! Selamatkah kita di tangan Ahli Koporat itu
Fikir ! Selamatkah kita di tangan Doktor Jiwa itu
Fikir ! Selamatkah kita di tangan Pakar Kitab itu
Fikir ! Selamatkah kita di tangan Tuhan-Tuhan itu
Apa yang dinyatakan oleh beliau amat ketara sekarang. Kalau dalam zaman 70an hingga 90an tidak berapa jelas, tapi sekarang amat terang dan nyata mungkin dengan meluasnya teknologi ICT dan penggunaan media sosial. Memang ramai manusia bertopeng politik untuk menipu rakyat; manusia bertopeng media untuk mengelirukan fakta; ahli politik dan koprat yang rakus mengaut harta rakyat dan negara atas nama pembangunan; manusia berselindung atas nama motivasi dan perubatan; Manusia menggunakan agama dan mengaku sebagai ‘tuhan’tuhan’ yang menentukan hukum hakam kepada manusia yang kemudian menjadikan mereka hamba dan pengikut yang tolol.
Apakah langkah kita ke depan untuk memerdekakan anak-cucu serta negara kita? Apakah kita akan terus menjadi pengikut setia yang tidak menggunakan otak dan daya untuk membetulkan keadaan. Jangan sampai nanti anak-cucu menyalahkan kita dan yang lebih menyedihkan mereka akan membuang najis di atas kuburan kita.
Yunus Tasim adalah pembaca FMT
Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT

BERSIH 4.0 ada niat tersembunyi – Syed Ali


BERSIH 4.0 ada niat tersembunyi – Syed Ali
Ahli UMNO tidak akan menyertai perhimpunan itu kerana
membawa banyak keburukan kepada negara dan ekonomi.

Perhimpunan BERSIH 4.0 bagi menyelamatkan Malaysia dan mengukuhkan hak demokrasi berparlimen pada 29 dan 30 Ogos ini dikatakan ‘tidak bersih’ kerana pihak penganjur mempunyai agenda tersembunyi.

Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata demikian mengulas dakwaan pembangkang bahawa anggota akar umbi UMNO juga akan terlibat dalam perhimpunan itu.

“Jangan terpedaya provokasi pembangkang, ahli UMNO tidak terbabit dalam perhimpunan BERSIH 4.0.

“Ahli-ahli UMNO tidak akan turun menyertai mereka, perhimpunan itu tidak memberi sebarang manfaat kepada rakyat khususnya warga kota,” tulisnya dalam blog UMNO Bahagian Cheras.

Menafikan sekeras-kerasnya dakwaan pembangkang itu, Syed Ali melabelkan ia sebagai dakyah yang karut, tidak berasas dan berniat jahat untuk merosakkan nama baik ahli-ahli UMNO.

Katanya, seperti perhimpunan sebelum ini, perhimpunan BERSIH terpalit dengan kekotoran apabila ia menjejaskan kehidupan harian warga kota.

“Ini bukan kali pertama, malah perhimpunan BERSIH sebelum ini berakhir dengan keganasan, maki hamun pasukan polis dan merosakkan harta benda awam,” tegasnya lagi.

Kata Syed Ali, motif perhimpunan tersebut sekadar untuk memburuk-burukkan pemimpin dan menghasut rakyat supaya menjatuhkan kerajaan.

Beliau juga mempersoal keengganan pihak penganjur BERSIH mematuhi arahan polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) supaya tidak menggunakan lapangan Dataran Merdeka.

“Jika betul untuk berhimpun secara bersih, mengapa tidak diadakan di Selangor ataupun di Pulau Pinang, sebaliknya mensasarkan sekitar ibu kota Kuala Lumpur?” tanyanya.

Ridhuan Tee kecam ultra kiasu dalam BN


Ridhuan Tee kecam ultra kiasu dalam BN
Beliau mempersoalkan keberanian ultra kiasu menuntut
yang bukan-bukan daripada kerajaan dan bersikap rasis.

Pendakwah bebas, Prof Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah mengecam ultra kiasu dalam parti komponen Barisan Nasional (BN) yang didakwa semakin berani membuat tuntutan yang bukan-bukan.

Katanya, ultra kiasu juga semakin berani membuat kenyataan berbaur perkauman.
“Apabila ditanya wartawan apakah agenda utamanya? Maka jawapannya Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) menjadi keutamaan.

“Apabila menteri Melayu mahu mewujudkan Low Yat 2 (Mara), terus dituduh rasis. Kenapa kita tidak bertindak sebagai negarawan,” tulisnya di ruangan rencana di akhbar Sinar Harian.

Beliau juga menyelar tindakan terbaru ultra kiasu dalam BN yang mendesak supaya kandungan buku teks sejarah tahun empat hingga enam dirombak semula selepas dikatakan terlalu keislaman dan kemelayuan.

“Segerombolan pakar sejarah mereka telah menghantar memorandum mengandungi lebih 80 perkara agar fakta buku teks sejarah yang baharu diperkenalkan kepada semua sekolah rendah diubah.

“Mereka mahukan sejarah ditulis mengikut konsep sama rata dan sama rasa. Jika sumbangan Melayu satu, sumbangan mereka juga satu.

“Tidak boleh ada kredit kepada pihak-pihak tertentu, Kasihan orang Melayu Islam, setengah mati memperjuang dan mempertahankan kemerdekaan, tiba-tiba sumbangan mereka mahu dinilai sama rata dan sama rasa,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan kepada parti politik Melayu (Islam), jika mahu memastikan tampuk kuasa terus dipegang, maka jangan terus mencipta kelemahan dan membuat masalah yang memudahkan terperangkap.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Rujukan