Cari Artikel

Monday, August 24, 2015

Ketua UMNO Kepong dituntut mohon maaf atau disaman


Ketua UMNO Kepong dituntut mohon maaf atau disaman
Notis tuntutan itu susulan kenyataan Riduan yang mendakwa
berbilion ringgit dimasukkan dalam akaun keluarga Anwar oleh Yahudi.

Keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memfailkan notis tuntutan kepada Ketua UMNO Bahagian Kepong, Datuk Rizuan Abd Hamid yang telah membuat kenyataan berbilion Ringgit berada dalam akaun keluarga Anwar yang dimasukkan oleh Yahudi.

Notis tuntutan itu difailkan oleh Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bersama anak-anaknya, Nurul Izzah, Nurul Nuha dan Mohd Ihsan melalui peguam mereka, Daim & Gamany.

Dalam notis itu, keluarga Anwar menuntut Rizuan supaya membuat permohonan maaf menerusi akhbar harian nasional serta menarik balik sepenuhnya kenyataan yang dikeluarkan itu.

Mereka berkata, dakwaan Rizuan itu palsu dan fitnah terhadap keluarga Anwar.

“Kamu (Rizuan) juga dituntut untuk membalasnya dalam tempoh 48 jam, kegagalan berbuat demikian akan mengakibatkan prosiding undang-undang dikenakan dengan kosnya ditanggung pihak kamu sepenuhnya,” kata keluarga Anwar menerusi notis tuntutan itu.

Dalam notis tersebut turut disertakan kenyataan Rizuan menerusi berita Astro Awani yang bertajuk ‘Yahudi guna Izzah, Tony Pua untuk jatuhkan kerajaan’.

Antara kenyataan Rizuan ialah: “Pembangkang pakai duit ratusan juta, berbilion. Tiada siapa pun yang mempersoalkan. Tengok saja dalam akaun Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, akaun Nurul Izzah, akaun Nurul Nuha, akaun Mohd Ihsan, berapa juta bilion yang ada dalam akaun itu? Kenapa tidak dipersoalkan?, kata Rizuan ketika berucap pada Mesyuarat Perwakilan UMNO bahagian Kepong pada Ahad.

Sah DEIG syarikat RM2- Bekas CEO


Sah DEIG syarikat RM2- Bekas CEO
DEIG akan beroperasi tahun depan untuk menguruskan aset Selangor bernilai RM30 bilion
tetapi syarikat itu hanya mempunya Modal Berbayar berjumlah RM2.

Kumpulan Pelaburan Darul Ehsan (DEIG) yang ditubuhkan Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali untuk menjaga aset bernilai RM30 bilion hanya mempunyai Modal Berbayar sebanyak RM2.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif, Permerbadanan Menteri Besar (MBI), Faekah Husin berkata, Modal Berbayar atau Paid Capital menentukan keupayaan dan kekuatan sesebuah syarikat.

“Jumlah Modal Berbayar DEIG setakat ini hanya RM2. Maka jelas DEIG syarikat bernilai RM2,” katanya bagi menjawab fakta yang diberikan oleh DEIG bagi menafikan pelbagai dakwaan yang dilemparkan terhadap syarikat milik penuh kerajaan Selangor itu.

DEIG menjelaskan penubuhan syarikat itu kerana MBI tidak pernah menyumbang dividen kepada kerajaan negeri.

Faekah berkata, MBI adalah syarikat pemegang/induk atau holdings company dan sememangnya mana‐mana syarikat pemegang adalah ‘cost centre’ bukan ‘profit centre’.

Katanya, untuk mengurangkan kos operasi 12 anak syarikat MBI yang diuruskan DEIG, proses rasionalisasi dan konsolidasi sepatutnya dilakukan bukan menubuhkan syarikat baharu yang bertindak seperti ‘orang tengah’.

“Oleh kerana MBI merupakan badan berkanun (statutory body), ia dikecualikan daripada membayar cukai kepada LHDN.

“Bagaimanakah kerajaan negeri akan mendapat pulangan lebih baik daripada DEIG sekiranya ia wajib membayar cukai bagi transaksi perniagaan sebagai sebuah syarikat yang berdaftar dengan SSM?, tegasnya.

Faekah berkata, MBI telah menjalankan tugas kepada rakyat Selangor dengan baik di bawah Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tanpa perlunya ‘orang tengah’ untuk mentadbir dan menguruskan pelaburan dan aset negeri.

Katanya, sehingga Disember 2013, MBI telah membelanjakan sejumlah RM1.04 bilion untuk program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) termasuk RM774 juta untuk Skim Air Percuma.

“Ditambah pula projek‐projek rakyat di bawah insiatif Geran Selangorku apabila lebih RM32 juta dibelanjakan dengan memberi tumpuan kepada menaiktaraf kemudahan infrastruktur,” katanya.

Dia juga mempertikaikan bagaimana aset bernilai RM30 bilion hanya sekadar dipantau daripada laporan tahunan dan tiada laporan operasi kerana akaun DEIG disatukan dengan laporan tahunan MBI.

Jabatan Imigresen nafi usir Jessica


Jabatan Imigresen nafi usir Jessica
Tiada keperluan untuk mengusir bekas Pegawai Pejabat Peguam Negara
itu walaupun status PRnya dibatalkan

Jabatan Imigresen menafikan dakwaan bahawa bekas Pegawai Pejabat Peguam Negara, Jessica Gurmeet Kaur (PR) telah diusir dari negara ini.

Timbalan Ketua Pengarahnya, Datuk Sakib Kusmi berkata pihaknya tidak berbuat demikian walaupun taraf Penduduk Tetap (PR) yang diberikan kepadanya telah dibatalkan.

“Tidak ada keperluan untuk mengusir dia. Dia boleh memohon pas khas atau pas lawatan sosial memandangkan dia berkahwin dengan rakyat Malaysia,” katanya yang dipetik daripada Mstar Online.

Bagaimana beliau enggan mengulas di mana dia berada.

Sebelum ini, Jessica ditamatkan perkhidmatannya dengan Pejabat Peguam Negara selepas dia ditahan pada 1 Ogos lalu bagi membantu siasatan berhubung kebocoran maklumat siasatan 1MDB.

Jamal tarik balik kecaman, mohon maaf dengan MB Johor


Jamal tarik balik kecaman, mohon maaf dengan MB Johor
Menafikan meviralkan kenyataan yang dibuat dan menjelaskan ia hanya pandangan peribadi

Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Jamal Yunus menarik balik kenyataan dan memohon maaf terhadap kecaman yang dibuatnya ke atas Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Melalui kenyataannya di dalam Group Telegram Ketua UMNO Bhg Msia, beliau menjelaskan apa yang disuarakan sebelum ini hanyalah pandangan peribadi.

“ Saya sekali lagi memohon maaf dan ampun kpd kbs Johor…dan menarik balik kenyataan saya tersebut terhadap YAB MB JOHOR…itu hanya pandangan peribadi saya dalam group ini.

“Dan saya tidak meviralkannya dan tidak tahu bagaimana ia boleh terkeluar daripada group ini…mohon ampun dan maaf sekali lagi,” rayunya dalam mesej berkenaan.

Pada ayat yang seterusnya, Jamal menjelaskan dia bersetuju dengan pandangan dan nasihat yang diberikan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar kepadanya.

“Saya budak baru belajar jika tersilap tolong tunjuk ajarkan,”tulisnya dalam Telegram berkenaan.

Sebelum ini, dalam kenyataan kerasnya Jamal menuduh Khaled gagal mengawal orang kanannya, Khairy Malek yang juga Setiausaha Politik Menteri Besar Johor selepas UMNO Bahagian Gelang Patah meluluskan usul supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamad Najib Tun Razak supaya cuti rehat.

“Kepada Khaled saya ingin berpesan, jadilah anak jantan.
“Jika mahu menentang PM, lakukanya secara terang-terang, letak jawatan dan lawan macam pendekar.

“Jangan main baling batu sembunyi tangan.

“Najib perlukan barisan yang “Sehati Sejiwa” untuk mengembalikan keyakinan rakyat terhadap Barisan Nasional, ” antara kecamaan yang dibuatnya terhadap Khaled.

Emir Qatar minat melabur dalam aset 1MDB – PM


Emir Qatar minat melabur dalam aset 1MDB – PM
Pelabur dari Qatar telah melihat aset-aset milik 1MDB
mampu menjana keuntungan jangka masa panjang.

Tuduhan dan fitnah kononnya syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sarat dengan hutang dan bakal muflis disangkal oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Dalam status Facebooknya, beliau menyatakan telah berjumpa dengan Emir Qatar dan menyatakan pihak tersebut telah berminat untuk melabur dalam aset-aset milik 1MDB.

Jelas Najib, pelabur dari Qatar telah melihat aset-aset milik 1MDB mampu menjana keuntungan jangka masa panjang.

“Baru-baru ini saya telah berjumpa dengan Emir Qatar dan beliau berminat untuk melabur dalam aset-aset milik 1MDB. Jika aset 1MDB tidak bernilai, tidak akan ada minat dari pelabur.

“Namun pelabur Qatar melihat aset 1MDB yang boleh menjana keuntungan jangka panjang yang lumayan.

“Sesungguhnya aset yang dimiliki 1MDB bernilai tinggi,” kata beliau.

Tema ‘Bersih’ di Pulau Pinang mengelirukan kami – Menteri Pendidikan


Tema ‘Bersih’ di Pulau Pinang mengelirukan kami – Menteri Pendidikan
Kementerian Pendidikan akan mengadakan perjumpaan dengan
kerajaan negeri selepas tema sambutan ditukar kepada Bersih, Cekap, Amanah.

Keliru dengan tema ‘Bersih’ sempena Sambutan Hari Kemerdekaan oleh Kerajaan Pulau Pinang punca semua pelajar sekolah di negeri itu dilarang sertai perarakan.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kerajaan negeri telah memilih tema ‘Bersih’ untuk sambutan tahun ini sebelum mengubahnya kepada ‘Bersih, Cekap, Amanah’.

Jelas beliau, tema asal yang dipilih kerajaan negeri itu sangat mengelirukan memandangkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut menggunakan nama yang hampir sama iaitu Bersih 2.0.

“Pada peringkat awal, mereka hanya menggunakan tema ‘Bersih’ di setiap ‘backdrop’ dan ‘banner’. Mereka meletakkan ‘Sempena Sambutan Hari Kemerdekaan’, dan seterusnya satu perkataan tertera ‘Bersih’.

“Pihak Kementerian Pendidikan Pulau Pinang telah mengeluarkan arahan kepada pelajar di negeri itu kerana mereka tidak faham apakah makna dari perkataan Bersih. Sedangkan, pada masa sama turut akan diadakan demonstrasi Bersih 4.0,” katanya sewaktu selepas merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Kepong di Hotel Hilton KL pada Ahad.

Katanya, pihak kementerian akan mengadakan perjumpaan dengan kerajaan negeri selepas tema sambutam itu ditukar.

“Pihak kementeriam akan mengadakan pertemuan dengan kerajaan negeri untuk mencapai kata sepakat dalam isu ini,” ujar beliau lagi.

Sebelum ini, Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Pulau Pinang Datuk Osman Hussain mengesahkan pengetua dan guru besar semua sekolah menengah dan kebangsaan diarahkan tidak menyertai acara itu sehingga dimaklumkan Kementerian Pendidikan.

Najib: Orang Melayu akan bangsat tanpa UMNO


Najib: Orang Melayu akan bangsat tanpa UMNO
Najib minta ahli parti pertahankan kuasa supaya nasib orang Melayu terpelihara

Orang Melayu akan bangsat sekiranya UMNO yang meneraju politik negara ini kehilangan kuasa.

Peringatan itu diberikan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak ketika merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Padang Besar, Kangar dan Arau di Dewan Wawasan 2020 di Kangar.

Katanya, anggota UMNO wajib mempertahankan parti yang menunjang kepimpinan negara itu.

“Saya pernah kata bahawa seandainya UMNO hilang kuasa, apa akan terjadi kepada bangsa Melayu dan umat Islam?

“Dalam banyak-banyak perkataan dalam Kamus Dewan Bahasa, ada orang kata, orang Melayu akan tersungkur, orang Melayu akan terkecundang dan ada yang kata orang Melayu akan tertiarap,” katanya yang dipetik daripada Bernama.

Derma RM2.6 bilion kerana kagum kelantangan Najib melawan Yahudi


Derma RM2.6 bilion kerana kagum kelantangan Najib melawan Yahudi
Ketegasan Perdana Menteri menyekat pengaruh Yahudi di negara
ini mendorong penderma dari Arab menderma RM2.6 bilion untuk dana politik.

Derma RM2.6 bilion dari negara Arab kepada Perdana Menteri kerana kagum dengan kelantangan Datuk Seri Najib Tun Razak melawan Yahudi.

Ketua UMNO Bahagian Kepong, Datuk Ridzuan Abdul Hamid berkata, Malaysia masih lagi bebas daripada pengaruh Yahudi yang mendorong penderma itu memilih negara ini.

Tegasnya, jika dibandingkan dengan negara lain di rantau Asia, Malaysia masih lagi bebas dan selamat daripada ancaman Yahudi kerana ketegasan Najib.

“UMNO satu-satunya kerajaan yang menentang Yahudi, negara-negara Asia lain sudah pun di tawan puak Yahudi, Singapura habis, Thailand habis, Filipina habis, Indonesia pun dah nak habis.

“Tapi Malaysia masih lagi dipertahankan oleh Datuk Seri Najib,” kata beliau ketika merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Kepong di Hotel Hilton KL pada Ahad.

Ridzuan berkata, atas kepercayaan peranan yang dimainkan oleh kerajaan Malaysia mendorong penderma dari negara Arab itu menyumbang dana politik kepada Najib.

“Oleh itu penderma dari negara Arab bermurah hati untuk beri dana politik kepada kerajaan Malaysia untuk hadapi pilihan raya umum lalu,” ujarnya.

Tiada perjuangan lebih mulia berbanding mempertahankan Najib, UMNO


Tiada perjuangan lebih mulia berbanding mempertahankan Najib, UMNO
Ketua UMNO Bahagian Kepong juga menyifatkan mati kerana mempertahankan
UMNO lebih baik berbanding mati dalam kemalangan.

Tiada perjuangan lebih mulia berbanding berjuang bersama UMNO dan mempertahankan kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri serta Presiden UMNO.

Malah, Ketua UMNO Bahagian Kepong, Senator Datuk Ridzuan Abdul Hamid berkata, mati dalam politik kerana berjuang UMNO lebih baik berbanding mati kerana kemalangan.

Sehubungan itu, beliau akan terus berjuang bersama UMNO bahkan tidak akan bergerak walau seinci pun bagi mempertahankan Najib.

“(saya) Takkan bergerak walau seinci bersama Najib bahkan akan terus berjuang bersama UMNO.

“Kami akan sentiasa berperang dengan musuh. Kalau nak mati, kita mati bersama Najib. Itu Ikrar, mati dalam politik lebih baik daripada mati katak atau mati dalam eksiden,” katanya sewaktu berucap di Mesyuarat UMNO
Bahagian Kepong di Hotel Hilton KL pada Ahad.

Ridzuan juga meluahkan kekesalan dengan sikap bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang kerap mempersoalkan isu wang derma RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun Najib.

“Dia makin dipecat makin garang, pergi ke merata bahagian, dan persoalkan RM2.6 bilion. Bukankah mereka berjanji untuk mempertahankan Najib.

“Tetapi mengapakah mereka sering menghentam dan membawa masalah seperti isu syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan isu RM2.6 bilion,” tegasnya.

Ridzuan berkata, jika dilihat dari segi keperibadian Muhyiddin, beliau merupakan seorang yang mendapat pendidikan tinggi dalam bidang agama, namun sikapnya berbeza apabila tidak setia kepada pemimpin.

“Orangnya beragama, bapanya adalah seorang yang yang disanjung tinggi, tapi anaknya baru dua tahun dua bulan jadi Timbalan Perdana Menteri, tidak setia kepada Perdana Menteri,” katanya.

Rangka manusia disahkan mangsa pemerdangan manusia


Rangka manusia disahkan mangsa pemerdangan manusia
20 kubur berkenaan lebih lama daripada kubur yang ditemui pada Mei lalu.

Penemuan 24 rangka manusia lengkap dikafankan dari 18 kubur di Bukit Wang Burma di Wang Kelian disahkan sebagai mangsa sindiket pemerdagangan manusia.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Polis Perlis, SAC Shafie Ismail.

Semua berkenaan dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar jam 7.50 petang Sabtu untuk dirujuk kepada pakar patologi.

Shafie ketika dihubungi Bernama berkata, pihak berkuasa menemui 20 kubur, tetapi 18 kubur sahaja mengandungi rangka manusia.

“Hujan lebat dipercayai menghakis kubur berkenaan yang membawa kepada penemuan rangka mayat itu,” katanya.

Beliau berkata, difahamkan 20 kubur berkenaan lebih lama daripada kubur yang ditemui pada Mei lalu dan kedudukannya pula hampir ke puncak bukit namun tidak jauh dari tempat penemuan lama.

Shafie berkata penemuan itu dibuat oleh sepasukan 15 pegawai dan 108 anggota Polis Diraja Malaysia yang terdiri daripada Pasukan Gerakan Am; Bahagian Forensik, Jabatan Siasatan Jenayah; Unit Pencegah Penyeludupan; Cawangan Khas dan pegawai penyiasat.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar malam tadi mengesahkan penemuan beberapa buah kubur lagi di kawasan sempadan Perlis dan Thailand.

Beliau berkata, kubur berkenaan adalah sebahagian daripada penemuan yang asal.

Pada Mei lalu, pasukan keselamatan menemui 139 kubur mengandungi 106 rangka mangsa pemerdagangan manusia di Bukit Wang Burma.

Pihak berkuasa agama Islam Kedah dengan bantuan Majlis Keselamatan Negara telah mengebumikan 99 daripada mayat mangsa yang ditemui itu di Tanah Perkuburan Islam Khairiah Kampung Tualang, Pokok Sena baru-baru ini.

Semua dakwaan ke atas DEIG tidak berasas


Semua dakwaan ke atas DEIG tidak berasas
Ia menangkis tohmahan pihak tertentu yang menuduhnya bersandiwara.

Oleh Zakaria Adam

Malaysia digemparkan lagi dengan skandal terbaru. Kali ini membabitkan syarikat pelaburan milik kerajaan negeri Selangor, Darul Ehsan Investment Group (DEIG).

Isunya timbul apabila ia dibangkitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) yang lalu apabila beliau mempertikai ketelusan DEIG.

Beliau mendakwa kegiatannya disorok di bawah Menteri Besar Incorporated (MBI) kerana takut diaudit.

Penubuhan itu turut dipertikai oleh pemimpin (Barisan Nasional) BN, khususnya di Selangor, yang bimbang dana milik kerajaan negeri disalah guna oleh DEIG.
Menurut Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali, semua dakwaan itu tidak berasas sama sekali kerana masih belum ada sebarang transaksi dibuat dan DEIG masih sebuah syarikat bernilai RM2.

Kaji kewujudan DEIG

Prinsip utama DEIG ditubuhkan adalah untuk menyelaraskan dan menyatukan aset dalam MBI yang memiliki 12 anak syarikat bernilai RM6.3 bilion dalam bentuk tanah dan hartanah. Dulu kita ada State Secretary Incoprated (SSI) yang menguruskan aset kerajaan negeri.

Pada tahun 1994 kerajaan negeri tak berupaya, maka SSI dipindah kepada MBI dan matlamat masih sama. Sepanjang penubuhan MBI kesemua anak syarikat gagal beri pulangan dan bayar dividen pada kerajaan negeri.

Apakah ini perlu diteruskan dalam keadaan mereka punya aset besar tetapi tidak boleh bagi pulangan kepada kerajaan negeri, sedangkan pulangan itu penting untuk kita teruskan pembangunan negeri.

Kegagalan cipta nilai baru dan nilai tambah pada hartanah tersebut oleh State Secretary Incoprated (SSI) dan menyebabkan kerugian besar pada negeri.

Matlamat kita menubuhkan DEIG adalah untuk menguruskan pelaburan dari 12 anak syarikat itu secara profesional dengan tujuan mencipta nilai tambah pada aset sedia ada.

Peranan DEIG

DEIG entiti baru yang berperanan untuk terlibat dalam pelaburan aset kerajaan negeri. Sebagai contoh ada tiga anak syarikat di bawah MBI dalam bidang yang sama iaitu hartanah. Sudah tentu ada persaingan, maka kita gabungkan menjadi entiti di bawah DEIG dan dibentuk dalam beberapa kluster.

Salah satunya adalah hartanah , pendidikan, kesihatan dan Unisel akan diletak bawah pendidikan, anak syarikat berkenaan akan terlibat untuk dapatkan hasil untuk biayai universiti. DEIG akan diuruskan secara profesional.

DEIG sudah beroperasi?

DEIG belum beroperasi hanya akan beroperasi pada suku tahun pertama 2016, DEIG tidak ada aset maka dakwaan DEIG syarikat RM2 uruskan aset RM6.3 bilion adalah satu pembohongan dan fakta yang salah.

DEIG ditubuhkan Mei 2015, pada peringkat awal memang ada dua pemegang saham iaitu CEO dan COO MBI kerana akhirnya DEIG akan dimiliki oleh MBI. Dalam mana pembentukan syarikat memang perlukan dua orang pemegang saham, untuk daftar nama syarikat.

Dua bulan kemudian, pada Julai 2015 DEIG telah menjadi milik penuh MBI.

Fakta pertama saya hendak tegaskan adalah tidak benar DEIG dimiliki oleh dua individu kerana saya telah serah sijil Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pada Jawatankuasa Pilihan Mengenai Agensi, Badan Berkanun dan Anak Syarikat (JP-ABAS).

Faktanya sekarang DEIG dimiliki penuh oleh MBI.

DEIG belum beroperasi, jadi apakah yang sedang dilakukan ketika ini?

Kita hanya akan beroperasi tahun depan, kerana matlamat kita dari tahun penubuhan hingga hujung tahun ini kita akan perkemaskan urus tadbir korporat kerana kita mahu DEIG ini diurus dengan prinsip ke bertanggungjawab, ketelusan dan mesti diikat dan dikawal dengan peruntukan undang-undang yang jelas.

Kita sedang berbincang dengan penasihat undang-undang segala aktiviti dan penyata kewangan DEIG boleh diteliti dan disemak oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang (PAC). Saya juga sudah umumkan bahawa Jawatankuasa Pilihan Negeri boleh memanggil pada bila-bila masa panggil DEIG untuk beri keterangan.

DEIG dimiliki oleh MBI maka sebarang aktiviti dan pelaburan kemudian akan terkandung dalam akaun yang disatukan di bawah MBI dan di bentang pada sidang Dun. Itu antara contoh perbezaan kita dengan Khazanah milik kerajaan.

Rasional Sisatan SPRM ke atas DEIG

Jadi apa rasional pelbagai pihak mendesak SPRM menjalankan siasatan terhadap DEIG sedangkan DEIG belum beroperasi hanya akan beroperasi pada suku tahun pertama 2016?

Hari ini di dalam Mingguan Malaysia menerusi ruang Awang Selamat pelbagai pihak mahu perkara itu disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selain Barisan Nasional (BN) dijangka memohon semakan kehakiman bagi membatalkan DEIG.

Janganlah kita jadikan siasatan SPRM sebagai isu untuk berpolitik. Ingatlah semua, SPRM adalah sebuah badan yang bebas, telus dan profesional.

Sebagai Anak Malaysia, saya meneyeru semua pihak agar berfikiran waras berhubung isu DEIG ini. Jangan jadi pak lawak untuk cakap benda yang kita sendiri tidak fahami… Jangan samakan situasi DEIG dengan SRC mahupun 1MDB…ni semua adalah perkara yang berbeza sama sekali.

Ada akal fikirkanlah bersama. Jangan dayuskan fikiran masyarakat lain.

Zakaria Adam adalah seorang pembaca FMT
Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT.

Maklumat tepat halang cubaan guling kerajaan


Maklumat tepat halang cubaan guling kerajaan
Ia menangkis tohmahan pihak tertentu yang menuduhnya bersandiwara.

Tindakan awal yang diambil telah berjaya menghalang komplot untuk mengguling kerajaan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sekatan yang dibuat berdasarkan maklumat yang tepat menyebabkan percubaan melalui jalan belakang itu gagal.

“Kalau sekatan ini tidak dilakukan, saya fikir kerajaan sekarang sudah bertukar.

“Ini bukan soal penubuhan kerajaan perpaduan, tetapi mengambil alih kerajaan oleh pembangkang dan pemimpinnya yang tahu mereka akan kecundang melalui pilihan raya umum (PRU).

“Jadi oleh kerana tidak sanggup menunggu (PRU akan datang), mereka melakukannya (mahu mengambil alih kerajaan), tetapi selagi UMNO dan Barisan Nasional (BN) di Sabah serta Semenanjung kukuh, kita tidak akan benarkan ia berlaku.

“Kita berhadapan dalang dari dalam, memang ada pemimpin yang masih ada atau telah bersara jadi dalang untuk jatuhkan kerajaan, …tiada kompromi, rakyat takkan izinkan, ahli dan kepimpinan UMNO dan BN tak pernah izinkan,” katanya yang dipetik daripada Berita Harian Online.

Beliau menegaskan soal sandiwara tidak timbul kerana sebagai Menteri Dalam Negeri beliau mendapat maklumat yang tepat.

Zahid berkata demikian dalam ucapannnya ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kota Belud di Sabah.

Empat lelaki pecah masuk stesen minyak


Empat lelaki pecah masuk stesen minyak
Supek melakukan pecah kedai.

Empat lelaki berjaya memecah masuk kedai serbaneka di stesen minyak di Jalan Permatang Pauh, Bukit Mertajam dan melarikan pelbagai jenis barangan.

Harian Metro Online melaporkan, antara barang yang dicuri termasuk beberapa kotak rokok pelbagai jenama, minyak pelincir dan mesin jualan kedai yang semuanya berjumlah RM4,000.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Rusli Mohd Noor berkata, keempat-empat suspek yang menaiki motosikal melakukan kerja terkutuk itu tengah malam Ahad.

Menurutnya, kejadian hanya disedari pekerja stesen minyak yang datang bekerja ke kedai serbaneka itu kira-kira jam 6.45 pagi tadi.

“Penjenayah terbabit telah memecah masuk kedai serbaneka di stesen minyak berkenaan ketika operasi stesen itu ditutup,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya masih menyiasat kejadian berkenaan termasuk meneliti rakaman di kamera litar tertutup (CCTV) stesyen minyak berkenaan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah.

Perakam video dan pelaku lebih beruk daripada beruk


Perakam video dan pelaku lebih beruk daripada beruk
Apa salah beruk sehingga tergamak meletak mercun dalam
bungkusan makanan sehingga mencederakan haiwan berkenaan.

Berbeza dengan binatang, manusia mempunyai akal fikiran.

Bagaimanapun adakalanya, tingkah laku dan perbuatan meletakkan mereka lebih bawah daripada darjat haiwan.

Dalam rakaman video yang dimuat naik Friends of PDRM mereka dengan sengaja meletakkan bungkusan yang berisi mercun kepada seekor beruk.

Menyangkakan ia makanan, haiwan malang itu mengambilnya dan ia kemudian meletup ditangan sehingga menyebabkan kecederaan.

Dalam gambar yang dimuat naik Shah Mikail di laman Facebook pada Jumaat yang dikongsi sebanyak 23,609 kali dan mendapat 32,063 likes, jelas menunjukkan kecederaan tangan yang dialami haiwan tersebut.

Berdasarkan laporan terkini di laman sosial, haiwan berkenaan dilaporkan telah mati dilanggar kenderaan selepas kejadian.

Undi tidak percaya: Kit Siang perlu sokongan Hadi


Undi tidak percaya: Kit Siang perlu sokongan Hadi
Usul itu boleh selamat jika sekurang-kurangnya 78 Ahli Parlimen
pembangkang termasuk 21 daripada Pas bersatu.

DAP memerlukan sokongan Pas, bagi meluluskan usul undi tidak percaya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, Oktober depan.

Dalam erti kata lain, Penasihat DAP Lim Kit Siang perlu meminta jaminan dan kerjasama dengan bekas seterunya dalam Pakatan Rakyat (PR), iaitu Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Dalam kenyataannya, Kit Siang menegaskan usul itu boleh selamat jika sekurang-kurangnya 78 Ahli Parlimen pembangkang bersatu untuk menyokongnya dan selebihnya daripada Ahli Parlimen Umno dan BN.

“Walaupun bekas PR (DAP, PKR dan Pas) mempunyai sejumlah 88 Ahli Parlimen, adalah kurang bijak untuk sesiapa sahaja menyangka bahawa kesemua 21 Ahli Parlimen Pas akan menyokong usul itu kecuali ia dengan jelas disebut oleh Abdul Hadi sendiri.

“Kita juga tidak boleh menjangka sekurang-kurangnya 35 Ahli Parlimen UMNO dan BN bersedia menyertai (bergabung) pembangkang untuk menyokong usul itu,” katanya.

Usaha untuk mendapat sokongan daripada parti kerajaan dilihat berisiko selepas Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mendakwa mempunyai bukti mengenai komplot menggulingkan kerajaan iaitu dokumen Akuan Bersumpah yang menyasarkan 37 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN).

Dokumen itu dikatakan telah disiapkan untuk ditandatangani oleh 87 Ahli Parlimen pembangkang dan satu daripada Bebas.

Jho Low janji akan bantu SPRM


Jho Low janji akan bantu SPRM
Menurut jurucakapnya, Jho Low tidak mengetahui dirinya dipanggil
untuk membantu siasatan SRC International Sdn. Bhd

Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low memberi jaminan akan membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malahysia (SPRM) bagi membantu siasataan SRC International Sdn. Bhd.

Pengesahan itu dibuat jurucakap ahli perniagaan itu.

Jurucakap itu dalam satu kenyataan berkata bahawa wakil Low akan menghubungi SPRM untuk mengetahui bagaimana beliau dapat membantu.

Dalam kenyataan satu perenggan, jurucakap itu berkata: “Low telah melihat laporan akhbar bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meminta bantuannya.

Ini kali pertama Low menyedari wujudnya permintaan seperti itu.

Beliau belum menerima atau diberikan sebarang notis.

“Wakil Low akan menghubungi SPRM untuk mengetahui bagaimana beliau dapat membantu,” kata kenyataan berkenaan.

Pada Sabtu, Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Azam Baki, berkata Pengarah Urusan SRC International, Nik Faisal Ariff Kamil, Pengarahnya Datuk Suboh Md Yassin dan Low perlu menghubungi SPRM dengan segera untuk membantu siasatan berkaitan SRC International.

Beliau juga berkata mereka dikehendaki hadir di Bahagian Operasi Khas SPRM di Aras 7, Menara Prisma, Presint 3, Putrajaya dan juga dikehendaki menghubungi para pegawai SPRM.

– Bernama

Kilang kimia di China meletup lagi


Kilang kimia di China meletup lagi
Letupan berskala besar menyebabkan gegeran kuat dirasai beberapa kilometer.

Satu letupan besar menggegarkan kilang kimia di bahagian timur wilayah Shandung, China.

Menurut laporan yang dipetik daripada agensi berita Xinhua, kejadian di Kilang Kimia Runxing berlaku pada jam 8.50 malam waktu tempatan.

Laporan awal yang diterima tidak dapat mengesahkan jumlah kecederaan atau kematian akibat kejadian itu.

Bagaimanapun, berdasarkan rakaman visual yang dimuat naik di laman Youtube, ia menunjukkan letupan pada skala besar.

Letupan yang kuat menyebabkan tingkap bangunan lain berhampiran pecah manakala kesan gegaran dapat dirasai beberapa kilometer.

Kejadian terbaru yang membabitkan kilang penyimpanan bahan kimia berbahaya adalah yang kedua berlaku dalam tempoh kurang sebulan.

Pada 12 Ogos lalu, sekurang-kurangnya 121 maut dalam insiden yang sama di Tianjin.

Permaisuri Johor ambil inisiatif bantu rakyat Malaysia


Permaisuri Johor ambil inisiatif bantu rakyat Malaysia
Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor tidak akan digunakan
bagi tujuan berkenaan, sebaliknya inisiatif lain akan dilakukan.

Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Ibni Almarhum Sultan Idris Shah akan mengambil inisiatif berasingan bagi membantu pelajar Malaysia yang belajar di luar negara yang dibebani dengan kejatuhan matawang Ringgit.

Jelas Baginda Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor yang yang ditubuhkan pada 2012 tidak akan digunakan bagi tujuan berkenaan.

“Ingin jelaskan bahawa Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor yang yang ditubuhkan pada 2012 mempunyai objektif yang khusus dan tidak ditubuhkan bagi membantu pelajar luar negara yang berdepan dengan masalah kewangan,” tulis Baginda di laman Facebooknya.

Titah Baginda, objektif yayasan berkenaan adalah untuk menyokong aktiviti pendidikan di Malaysia dan luar negara bagi mendalami pengetahuan dan pemahaman Islam di kalangan orang ramai, orang Islam dan bukan Islam.

Ia bagi menjelaskan bahawa Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor ditubuhkan bukan bagi membantu mereka yang kesulitan dengan kejatuhan matawang.

Sebaliknya dengan objektif lain yang lebih khusus.

Kenyataan Baginda sebelum ini mendapat perhatian ramai, selepas menyuarakan kebimbangan terhadap nasib pelajar dan rakyat Malaysia di luar negara yang berdepan dengan kesukaran selepas nilai Ringgit merudum.

Konspirasi jatuhkan kerajaan bukan sandiwara-Zahid


Konspirasi jatuhkan kerajaan bukan sandiwara-Zahid
Katanya, setiap laporan risikan itu akan diperiksa
pula secara berulang kali sebelum faktanya disahkan.

Konspirasi menjatuhkan kerajaan melalui pintu belakang bukan sandiwara.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan pendedahan itu dibuat berdasarkan sumber yang sahih hasil risikan agensi yang bertanggungjawab

“Saya perolehi dengan tepat dan tidak menambah atau berkurang faktanya.

“Konspirasi untuk menjatuhkan kerajaan ini akan berlaku jika tidak disekat.

“Ini betul-betul. Bukan cubaan,” katanya yang dipetik daripada Bernama.

Ahmad Zahid berkata, setiap laporan risikan itu akan diperiksa pula secara berulang kali sebelum faktanya disahkan.

“Kemudian laporan itu (risikan mengenai konspirasi) barulah diserahkan kepada saya.

“Menerusi risikan itu mendapati pihak pembangkang mahu menubuhkan ‘unity government’ atau kerajaan bersatu yang membabitkan 88 anggota Parlimen pembangkang dan mahu menarik 40 anggota Parlimen daripada Barisan Nasional (BN),” katanya.

Ahmad Zahid berkata ada pihak yang menuduhnya sebagai sandiwara apabila mendedahkan dalang utama pemimpin yang berusaha untuk mendapatkan Akuan Bersumpah Ahli Parlimen itu tidak hadir untuk bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Saya tahu mengenai perkara itu dalam satu mesyuarat. Dia (pemimpin berkenaan) tidak datang kerana tidak mahu gambarnya disiarkan (didedahkan identiti),” katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata kumpulan itu mahu menyerahkan akuan bersumpah itu kepada Speaker sebelum Persidangan Dewan Rakyat pada Oktober ini bagi diadakan usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri.

“Mengikut risikan itu mereka mahu menggunakan Plan B pula iaitu mahu menyerahkan akuan bersumpah itu pula kepada Yang di-Pertuan Agong untuk tindakan lanjut,” dakwanya.

Beliau bagaimanapun yakin seramai 134 anggota Parlimen BN tidak akan terpengaruh dengan pujuk rayu pihak berkenaan bagi mendapatkan sokongan bagi jalan belakang itu.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Sekijang, Segamat, percubaan itu perlu disekat daripada awal.

Shafie Apdal nafi terbabit komplot jatuhkan Najib


Shafie Apdal nafi terbabit komplot jatuhkan Najib
Shafie menegaskan tidak akan berbuat demikian kerana beliau salah
seorang antara pengasas yang membawa UMNO ke Sabah.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menafikan dakwaan dirinya antara mereka yang dikaitkan untuk menggulingkan kepimpinan Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Tegas Ahli Parlimen Semporna itu, dia tidak akan berbuat kerana dirinya salah seorang antara mereka yang mengasas kemasukan UMNO ke Sabah.

“Bila nama saya disebut sebagai salah seorang yang menggulingkan kerajaan… nauzubillah, kenapa saya perlu buat macam tu?,” katanya yang dipetik daripada Mstar Online.

Ketika berucap pada majlis Perasmian Mesyuarat UMNO Bahagian Bentong pada Sabtu, beliau Shafie memberi amaran kepada parti supaya bertindak segera untuk mengembalikan kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadap parti sebelum pilihan raya umum akan datang.

Jelasnya kekalahan UMNO di tangan pembangkang di Kedah, Perak, Terengganu, Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor disebabkan oleh beberapa isu.

“Dalam pilihan raya umum akan datang, kita mesti bersedia untuk menjelaskan kepada rakyat mengenai GST, kos sara hidup yang meningkat, isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kenaikan kos petrol dan banyak lagi,” katanya yang dipetik daripada portal itu.

GHB cuba pancing Mat Said


GHB cuba pancing Mat Said
Bernama melaporkan Mat Sabu mengalu-alukan lebih ramai menyertai GHB
termasuk bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said.

Gerakan Harapan Baru (GHB) mengakui sedang berusaha untuk menarik bekas Menteri Besar Terengganu, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Seri Ahmad Said.

Pengesahan itu dibuat pengerusinya Mohamad Sabu.

Jelasnya, GHB mengambil pendekatan untuk mengalu-alukan sesiapa sahaja untuk menyertai parti politik yang akan dibentuknya.

Bagaimanapun menegaskan akan sedia menentang sesiapa sahaja yang melawan mereka.
“Kami hanya akan bermusuh dengan lawan kami…siapa yang lawan (GHB),” katanya yang dipetik daripada Bernama.

Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu berkata demikian selepas pelancaran GHB Terengganu di Dataran Shahbandar pada malam Sabtu.

Dalam majlis itu, Anggota Parlimen Kuala Terengganu Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad diumum sebagai Pengerusi GHB negeri.

SPRM cari tiga individu bantu siasatan SRC


SPRM cari tiga individu bantu siasatan SRC
Ketiga-tiga mereka adalah Nik Faisal Ariff Kamil, Datuk Suboh Md Yassin,
dan ahli perniagaan Low Taek Jho juga dikenali sebagai "Jho Low"

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meminta tiga orang individu agar tampil menghubungi SPRM dengan segera bagi membantu siasatan berkaitan SRC International Sdn Bhd.

Pengarah Siasatan SPRM Datuk Azam Baki berkata ketiga-tiga mereka adalah Pengarah Urusan SRC International Nik Faisal Ariff Kamil; Pengarah SRC International Sdn Bhd, Datuk Suboh Md Yassin, dan ahli perniagaan Low Taek Jho juga dikenali sebagai “Jho Low”.

Dalam kenyataannya pada Sabtu, SPRM memberikan alamat mereka:

1. Nik Faisal (No kad pengenalan: 710304-10-6303 dan pasport bernombor A3178024). Alamat terakhir: No 17, Jalan Tun Teja 35/16, Alam Impian, Shah Alam Selangor dan No 19, Jalan Tun Teja 35/16, Alam Impian, Shah Alam Selangor.

2. Datuk Suboh (No kad pengenalan: 510111-10-5521 dan pasport bernombor D021678 dan R016029). Alamat terakhir: 3-15-2, No 3, The Residence, Jalan Wan Kadir 5, Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur.

3. Low Taek Jho (No kad pengenalan: 811104-07-5701). Alamat terakhir: 69,Tanjung Bungah Park, Tanjung Bungah, Pulau Pinang.

Azam berkata mereka dikehendaki hadir di Bahagian Operasi Khas SPRM di Aras 7, Menara Prisma, Presint 3, Putrajaya.

Tiga individu itu juga dikehendaki menghubungi Pegawai Penyiasat Kes iaitu Penolong Pesuruhjaya Rosli Husain di talian 010-3187757 atau 03-88900752, atau Penolong Pesuruhjaya Norkhafizin Isa di talian 019-6000345 atau 03-88900754.

“SPRM juga meminta orang ramai yang mempunyai maklumat di mana ketiga-tiga mereka berada agar menghubungi Penolong Pesuruhjaya Rosli Husain atau Penolong Pesuruhjaya Norkhafizin Isa atau pun mana-mana Pejabat SPRM yang terdekat,”katanya.

-BERNAMA

Siasat isu DEIG sama seperti 1MDB – Hishamuddin


Siasat isu DEIG sama seperti 1MDB – Hishamuddin
Hishammuddin menegaskan skandal DEIG dikatakan lebih teruk daripada 1MDB

Siasatan terhadap Darul Ehsan Investment Group (DEIG) perlu dibuat sama seperti yang dilakukan ke atas 1 Malaysia Development Berhad (1MDB).

Desakan itu dibuat Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Katanya, skandal RM30 bilion itu lebih besar berbanding beberapa isu-isu lain termasuk derma RM2.6 bilion yang dikaitkan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Apa yang mereka nak siasat kepada 1MDB, tak ada beza dengan kerajaan negeri Selangor hari ni, saya akan tetap bersama-sama dalam prinsip sama rata dalam mencar kebenaran, itu sahaja saya minta, bukan nak sembunyikan perkara dalam UMNO.

“Kita desak supaya proses yang sama dijalankan DEIG, kita nak pastikan media jangan hanya tertumpu kepada 1MDB, kena tanya soalan tepat, ini aset harta rakyat Selangor, dikatakan 30 bilion, kalau itu UMNO pun tak dedahkan, siapa lagi nak dedahkan?,” katanya ketika berucap semasa merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Shah Alam pada Sabtu.

Katanya, ia perlu dibuat bagi mendapatkan kebenaran dan yang penting tidak berat sebelah.
Beliau juga meminta supaya Menteri Besar Selangor tidak hipokrit dalam memberikan penjelasan.

Ahli Parlimen Sembrong itu turut menyambut baik tindakan Ahli Dewan Undangan (ADUN BN) yang membahaskan perkara tersebut di dalam Sidang Dewan Negeri Selangor (DSN).

“Itu dah bagus, mereka telah bahas di dewan dan pastikan pendirian mereka dalam mencari kebenaran, tapi kita kena sedar apa yang dilakukan dalam menuntut kebenaran ni, jangan kita melampaui batas, saya bimbang apa yang dilakukan itu menjadi tidak ikhlas berkisar kepada pertimbangan politik.

“Cukup-cukuplah ada pihak yang tidak bertanggungjawab mengaitkan beberapa perkara dengan pemimpin UMNO,” katanya.

Sumbangan dana kerana Malaysia komited perangi keganasan


Sumbangan dana kerana Malaysia komited perangi keganasan
Penderma daripada Asia Barat memberi dana RM 2.6 bilion
sebagai penghargaan kepada Malaysia ekoran kesungguhan mengekang keganasan.

Sikap Malaysia yang komited dalam mengekang keganasan, berpegang teguh kepada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah serta negara Islam sederhana dengan kewujudan masyarakat majmuk adalah tiga sebab penderma dari Timur Tengah menyumbang dana politik RM2.6 bilion kepada Malaysia.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang menegaskan perkara terbabit berkata, sebab pertama penderma berkenaan memberikan dana itu adalah sebagai penghargaan kepada Malaysia ekoran kesungguhan mengekang keganasan.

“Saya sahkan derma itu dari Timur Tengah sebab saya lihat dokumen itu dan berjumpa ketua pegawai pelaburan kepada penderma dan trustee (pemegang amanah) kewangan keluarga penderma itu. Saya tanya kenapa 700 juta USD didermakan kepada Malaysia.

“Saya tanya kenapa perlu dibantu UMNO dan Barisan Nasional (BN). Dia bagi tiga alasan iaitu pertama, kerana Malaysia cukup komited dalam operasi anti keganasan dan jelas Malaysia ada Undang-undang Pencegahan Keganasan (POTA), Kanun Keseksaan, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), kerana kita tidak mahu ada pengganas yang ganggu,” katanya.

Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden UMNO berkata demikian semasa berucap merasmikan persidangan perwakilan UMNO Bahagian Sri Gading di Batu Pahat.

– BERNAMA

Formula ‘5K’ Najib untuk selamatkan UMNO


Formula ‘5K’ Najib untuk selamatkan UMNO
Formula itu memberi penekanan kepada pemupukan nilai positif dalam diri

Anggota UMNO diminta tidak mengkhianati parti dan tidak mementingkan diri sendiri jika mahu parti menang selesa pada pilihan raya umum akan datang, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perkara itu antara formula ‘5K’ yang digariskan Presiden UMNO dalam memastikan parti dapat mengharungi pelbagai cabaran ketika ini.

“K pertama ialah khianat…kalau nak menang selesa…jangan khianat parti, jangan cah keting, kutuk atau condemn parti.

“Saya harap perkara seperti ini kita tinggalkan.” kata Najib yang juga Perdana Menteri sambil menambah komitmen baharu itu perlu untuk mengukuhkan lagi parti.

Beliau berucap merasmikan persidangan perwakilan UMNO Bahagian Kuala Nerus di sini hari ini yang turut dihadiri Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman yang juga Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus.

Merujuk kepada ‘kapal’ sebagai ‘K’ kedua, Najib menekankan pentingnya anggota parti tidak bersikap mementingkan diri sendiri sehingga sanggup menebuk kapal sendiri, iaitu parti UMNO.

“Jangan ada yang sanggup korek kapal sendiri sehingga orang lain mati lemas…nanti bila PRU kita kalah,” katanya.

Memperkatakan tentang kisah lama pelayaran Ferdinand Magellan dan pembantunya panglima Awang mengelilingi dunia, Najib berkata beliau yakin kejayaan misi mereka terletak kepada persefahaman antara kedua-duanya.

“Saya percaya Magellan dan Awang pun ada berbalah, tetapi anak kapal tak dapat hidu, jadi akhirnya mereka berjaya mencapai misi.

“Begitu juga dalam UMNO. Perbezaan pendapat itu pasti ada tapi kita harus jaga adab, jangan sampai mengaibkan orang lain, baru UMNO boleh berjaya,”jelasnya.

Mengulas tentang ‘K’ seterusnya, Najib berkata kerja kuat dalam kalangan anggota UMNO dan bergerak sebagai satu pasukan merupakan faktor penting, selain memastikan wujud jalinan kerjasama erat – ‘K’ keempat – antara kerajaan pusat dan negeri.

“Semangat setiakawan itu perlu sentiasa ada, senang susah kita kena saling bantu membantu,” katanya yang secara berseloroh mengakui “tidak enyedari” telah meluluskan kira-kira RM3 bilion kepada Terengganu untuk membiayai pelbagai projek pembangunan di negeri ini.

Kata Najib, elemen terakhir merujuk kepada kompetensi anggota parti, khususnya yang mahu diletakkan sebagai calon parti.

“Jika nak ketengahkan orang (sebagai calon pilihan raya), mesti yang adakompetensi atau kebolehan.
“Ini antara ‘K’ yang kita boleh pakai dan jika diamalkan saya yakin UMNO boleh berjaya,” katanya.
Najib berkata walaupun UMNO diakui sebagai parti terkuat dan banyak jasanya di negara ini, namun ia tetap berdepan dugaan.

Atas faktor itu, katanya, setiap anggota UMNO perlu memperkuatkan iltizam dan semangat untuk mendokong perjuangan parti walau dalam apa jua keadaan.

Selepas badai mungkin ada pelangi,” katanya dengan disambut tepukan anggota perwakilan yang hadir.

– BERNAMA

Bayi dan kanak-kanak antara empat korban nahas di Kota Tinggi


Bayi dan kanak-kanak antara empat korban nahas di Kota Tinggi
Kemalangan membabitkan dua kenderaan berlaku pada 12.30 tengahari Sabtu

Bayi perempuan berusia empat bulan dan kanak-kanak lelaki berusia setahun, antara empat korban nahas di Jalan Kota Tinggi-Desaru, Kota Tinggi.

Kemalangan membabitkan dua kenderaan berlaku pada 12.30 tengahari Sabtu.

Menurut Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Penawar, Abd Rahim Ab Rani, Proton Wira dinaiki mangsa dirempuh sebuah lori tangki menyebabkan semua mangsa maut di lokasi kejadian.

“Pihak bomba menerima panggilan berhubung kejadian kira-kira jam 12.35 tengah hari tadi sebelum sebuah jentera dengan kekuatan lima anggota dikerah ke lokasi kejadian.

“Seorang wanita berusia 22 tahun cedera, manakala seorang lelaki dan wanita berusia 29 tahun bersama seorang kanak-kanak lelaki dan bayi perempuan maut di lokasi kejadian. ” katanya yang dipetik daripada Berita Harian Online

Identiti semua mangsa sedang dikenal pasti.

Sokongan Sultan Johor tidak akan pulihkan UMNO-Zam


Sokongan Sultan Johor tidak akan pulihkan UMNO-Zam
Rakyat yang menilai merasakan diri mereka terlalu diperbodoh
dengan pelbagai sandiwara oleh orang UMNO yang berajakan wang.

Kenyataan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang cuba mengaitkan Sultan Johor, Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar tidak akan dapat memulihkan keyakinan orang Melayu dan mengembalikan sokongan mereka kepada UMNO.

Bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin menegaskan cerita parti itu ditubuhkan di Istana Besar, Johor Bahru tidak akan dapat membangkitkan semangat nasionalisma di kalangan orang Melayu.

“Orang Melayu berkongsi sentimen Sultan Johor ini namun cerita UMNO ditubuhkan di Istana tidak lagi akan dapat membangunkan nasionalisme mereka kerana dilindungi oleh timbunan RM2.6 billion yang lebih mahal dari harga sebuah Istana,” katanya ketika memberi komen di blognya sendiri, zamkata.blogspot.com.

Tempelaknya lagi, rakyat yang menilai merasakan diri mereka terlalu diperbodoh dengan pelbagai sandiwara oleh orang UMNO yang berajakan wang.

Bahkan kenyataan Zahid yang dilihat cuba mencari sokongan dengan mengaitkan kenyataan Sultan Johor bahawa hanya UMNO yang dapat menyelamatkan orang Melayu bukan cerita baru.

“Saya percaya semua sultan dan juga seluruh orang Melayu malah bukan Melayu pun berada dalam keyakinan ini tetapi masalahnya ialah orang Melayu dan bukan Melayu tidak percaya bahawa Najib akan dapat menyatukan Melayu kerana telah terbukti bahawa pentadbirannya bukanlah pentadbiran yang cekap, bersih dan amanah seperti yang dijanjikan,” tulisnya.

Dalam ulasan yang sama, Zam meminta Zahid supaya bermuhasabah terhadap apa yang dialami UMNO sekarang.
Katanya, krisis keyakinan orang Melayu terhadap parti itu amat teruk.

“Kehilangan keyakinan ini sangat teruk dan jika Zahid sedang berdiri di hadapan Gunung Kinabalu yang sedang runtuh maka beliau akan dapat berkongsi ketakutannya dan kesedihannya.

“Beliau akan dapat melihat kepingan UMNO yang sedang lekang dan terhakis satu demi satu,” katanya.

UMNO Terengganu teguh bersama Najib


UMNO Terengganu teguh bersama Najib
Ahmad Razif mengakui wujud keresahan namun ia masih boleh diselesaikan

UMNO Terengganu komited menyokong penuh kepimpinan Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak sebagai presiden parti.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman mengakui walaupun terdapat sedikit keresahan dalam kalangan rakyat serta penyokong parti, namun ia masih boleh diselesaikan

“Kami di Terengganu turut menyokong saranan Perdana Menteri Datuk Seri Najib supaya bergerak ke hadapan dan memberi tumpuan ke arah isu-isu yang bermain dalam pemikiran rakyat,” katanya yang dipetik daripada Bernama.

Beliau yang juga Menteri Besar Terengganu berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Nerus ke-27 di Kuala Nerus.

Majlis diadakan di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri Gong Badak itu, dirasmikan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO serta dihadiri kira-kira 5,000 anggota UMNO.

Switzerland mula prosiding jenayah berkaitan 1MDB


Switzerland mula prosiding jenayah berkaitan 1MDB
Prosiding jenayah dibuat ekoran laporan daripada Pejabat
Laporan Pengubahan Wang Haram Switzerland (MRO)

Pejabat Peguam Negara Switzerland (OAG) mengesahkan ia telah memulakan prosedur jenayah terhadap dua entiti 1MDB dan juga terhadap seseorang yang tidak dikenali.

Dalam kenyataannya, ia memaklumkan proses itu telah bermula sejak 14 Ogos lalu.

“Pejabat Peguam Negara mengesahkan, pada 14 Ogos 2015, ia memulakan prosedur jenayah terhadap dua entiti 1MDB dan juga terhadap seseorang yang tidak dikenali,” katanya yang dipetik daripada agensi berita Reuters.

Kes itu membabitkan “pegawai-pegawai awam asing yang disyaki terlibat rasuah, pengurusan ​​kepentingan awam yang tidak jujur dan pengubahan wang haram”, katanya.

Prosiding jenayah dibuat ekoran laporan daripada Pejabat Laporan Pengubahan Wang Haram Switzerland (MRO).

Berita mengenai siasatan itu pertama kali dilaporkan akhbar Switzerland, Le Temps.

Pada Rabu lalu, pengawal selia kewangan Switzerland, Finma berkata , ia sedang memeriksa beberapa bank di negara itu sama ada mereka ada menjalankan perniagaan dengan 1MDB.

Sebelum ini dalam kenyataan di laman Facebooknya, bekas Naib Ketua Bahagian UMNO Batu Kawan, Datuk Khairuddin Abu Hassan berkata, dia telah menyerahkan semua bukti berkaitan skandal 1MDB kepada Pejabat Peguam Negara Switzerland untuk melakukan siasatan.

JARING lingkup angkara siapa?


JARING lingkup angkara siapa?
Syarikat penyedia internet itu ditutup selepas 23 tahun beroperasi

Syarikat penyedia perkhidmatan internet pertama Malaysia, Jaring Communications Sdn Bhd (JARING) ditutup secara rasminya pada 22 Ogos 2015.

Syarikat yang satu ketika dulu gah dan menjadi peneraju internet di negara ini, dikatakan mengalami masalah kritikal selepas Kementerian Kewangan memutuskan untuk menjualnya kepada pihak lain.

“Terkuburnya JARING dikaitkan dengan tindakan Kementerian Kewangan menjual syarikat ini kepada ‘penyangak’ yang menyedut wang dari JARING dan menambahkan hutang syarikat yang akhirnya menyebabkan syarikat ini terpaksa ditutup! Siapa menteri yang bertanggungjawab itu?!,” tulis status yang dimuat naik di Facebook Kelab Che Det.

Dalam status yang sama ia turut berkongsi puisi nukilan pengasas MIMOS/Jaring yang dikenali sebagai ‘Bapa Internet Malaysia’, Dr. Mohamed Awang Lah.

Selamat tinggal JARING

November sembilan puluh dua kau bermula
Setelah sedekad belajar dan mencuba
Mempelopori Internet untuk negara
Demi masa depan bersaing di dunia

Tanggal satu Januari empat belas lalu
Kau dijual kepada seorang penipu
Mungkin kerenah menteri wang tu
Apa tujuan tak siapa yang tahu

Jutaan wangmu disedut keluar
Bertambahlah hutang tak terbayar
Ramai pemiutang hilang sabar
Masuk mahkamah tutup diisytihar

Tahun lima belas, dua puluh satu Ogos
Nafas akhirmu terpaksa dihembus
Dua puluh tiga tahun bertungkus lumus
Memberi khidmat tanpa terputus

Walau cita murnimu belum kecapaian
Jasa dan baktimu tetap dikenang
Moga bekas wargamu dapat pembelaan
Demi meneruskan mata pencarian

Pemergianmu diiringi dengan sedu
Dalam hati banyak yang terbuku
Namun tiada siapa nak ambil tahu
Semua sibuk kemelut nombor satu.

Mat Sabu sedia berundur dari GHB


Mat Sabu sedia berundur dari GHB
Dia akan meletak jawatan sekiranya terdapat
 calon lain yang lebih sesuai memimpin GHB

Bekas Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu sedia memberi laluan kepada orang lain untuk meneraju Gerakan Harapan Baru (GHB).

Katanya, dia akan meletak jawatan sekiranya jawatankuasa sementara yang ada mampu mencari pemimpin yang lebih sesuai.

“Jika ahli-ahli jawatankuasa percaya bahawa terdapat seorang pemimpin yang lebih baik maka saya bersedia untuk berundur.

“Tidak ada seorang pun yang akan kekal selama-lamanya. Apa yang kita percaya adalah kepimpinan kolektif,” katanya yang dipetik daripada Mstar Online.

Dia berkata demikian pada sidang akhbar pelancaran GHB peringkat negeri Terengganu di Dataran Shahbandar di Kuala Terengganu.

GHB ditubuhkan Julai lalu dan dipengerusikan Mat Sabu.

Ia menjadi platform kepada mereka yang kalah dan tidak sealiran dengan kepimpinan Pas sedia, selepas calonnya yang bertanding kalah pada pemilihan pada Muktamar Pas yang lalu.

Lelaki ugut balas dendam kepada penyokong JDT


Lelaki ugut balas dendam kepada penyokong JDT
Seorang lelaki yang mendakwa anggota kumpulan ‘Nazi Ipoh’
mengancam untuk mencedera penyokong JDT yang akan bertandang ke Ipoh.

Seorang lelaki, memuat naik video mengugut penyokong bola sepak Johor Darul Takzim yang akan bertandang ke Ipoh, Perak.

Kata-kata berbaur ancaman itu dikatakan mempunyai kaitan dengan insiden pergaduhan yang berlaku dalam pertandingan Liga Super minggu lalu.

Lelaki itu mendakwa dirinya anggota kumpulan ‘Nazi Ipoh’

“Plat Johor, Bas Johor, mesti pecah punya cermin. Drebar bas Johor memang kami bagi patah kaki tangan, sampai tak boleh bawak punya. Budak-budak Johor, kalau tak pecah kepala, patah tangan, masuk Hospital Ipoh, tak kena tikam, tak kena cucuk, tu lu punya pasal,” ugutnya.

Rakaman telah dimuat naik dan dikongsi di laman Facebook Friends of PDRM.

Perbuatan itu mengundang rasa kurang senang pelbagai pihak dan menyifatkan kata-kata ancaman itu memalukan serta bermentaliti rendah.

“Aku org perak pun xsokong org camni… fans2 len chill sudah… mana2 tmpat pun ada pemikiran camni…klau kita layan..kita pun serupa cam ni org.

“Pasal bola pun nak gaduh2 bagai.. aku pun penyokong perak era azizul abu hanifah lg… utk pasukan malaysia kelak kita akan bersatu.. ubahlah mentaliti yg rendah ni.. jgn smpai fifa denda negara kita disbbkan kes yg menyabitkan kematian,”tulis Razuan Rozali.

Chef Wan panggil saudara sendiri ‘anjing’


Chef Wan panggil saudara sendiri ‘anjing’
Kata-kata kesat yang dimuat naik dikatakan ekoran tindakan keluarga
adik perempuannya ingin mengambil tindakan undang-undang selepas mereka dimalukan.

Perang antara Chef Selebriti tersohor, Datuk Redzuawan Ismail atau lebih dikenali Chef Wan dengan adik perempuannya dan anak-anak saudaranya tidak menampakkan kesudahan.

Dalam status yang dimuat naik di laman sosial Instagram, beliau melepas perasaan dengan kata-kata kesat serta hinaan.

Lebih daripada itu, dia memanggil darah dagingnya, anjing.

“Jgn dah besar buat perangai menyombong mcm si Anjing tu sudah la! Gelak saya mendengar why my sister kata he tried to influenced some of the nephew and nieces to raised money nak cari Lawyer to sue me!.

“Non of them pay attention to his request. Masing2 nak ganti seluar dalam tu Atok tengok dah berkarat di ampaiyan dan esok lusa dah boleh buat roti jala lagi ada nak sue me?” tulisnya.

Kenyataan itu dipercayai merujuk kepada keluarga adik perempuanya, Rosenah Ismail yang dikatakan bertegas mahu mengambil tindakan undang-undang terhadapnya.

Ia berpunca daripada tindak Chef Wan memuat naik gambar bulan lalu keluarganya yang sedang tidur di ruang tamu dengan status yang memalukan mereka.

Ringgit jatuh: Johor bantu pelajar di Mesir, Jordan


Ringgit jatuh: Johor bantu pelajar di Mesir, Jordan
Menteri Besar umum peruntukan RM2.5 juta kepada 389 pelajar di Mesir
dan Jordan bagi meringankan beban ekoran kejatuhan teruk Ringgit.

Kerajaan Johor menjadi kerajaan negeri yang pertama menunjukkan keprihatinan kepada pelajar Malaysia di luar negara yang terkesan ekoran kejatuhan nilai Ringgit.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengumumkan pemberian bantuan ‘tambahan one-off’ berjumlah RM2.5 juta kepada pelajar dari negeri itu yang menuntut di Mesir dan Jordan.

Katanya, bantuan itu membabitkan 389 pelajar di kedua-dua negara itu yang mendapat tajaan Majlis Agama Islam Johor.

“Dermasisawa berjumlah RM3,000 diberikan kepada pelajar Pengajian Islam di Mesir manakala RM5,000 kepada pelajar di Jordan.

“RM10,000 diberikan kepada pelajar perubatan di kedua-dua negara tersebut sebagai tambahan kepada pinjaman pelajaran sedia ada,” tulisnya dalam kenyataan di Facebook.

Mohamed Khaled berkata, bantuan tambahan itu menjadikan pelajar Pengajian Islam di Mesir menerima tajaan keseluruhan berjumlah RM9,000 dan RM13,000 bagi pelajar di Jordan.

“Bagi pelajar perubatan di kedua-dua negara, jumlah tajaan yang diberikan kepada mereka berjumlah RM40,000 seorang,” katanya.

Pengumuman Mohamed Khaled itu dibuat selepas Permaisuri Johor, Tuanku Zarith Sofia menawarkan bantuan kepada pelajar Malaysia di United Kingdom yang terkesan dengan kejatuhan nilai Ringgit.

SAMM tuduh Dr Mahathir penipu


SAMM tuduh Dr Mahathir penipu
NGO itu mendakwa Dr Mahathir bukan mahu menyelamatkan
Malaysia mahupun UMNO tetapi melindungi kroni.

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dikaitkan dengan PKR menuduh Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai penipu.

Tuduhan itu susulan kenyataan bekas Perdana Menteri yang menasihatkan pembangkang supaya terus bekerja keras menumbangkan Datuk Seri Najib Tun Razak namun dalam masa sama harus mengekalkan pentadbiran Barisan Nasional (BN).

Pengarah Propaganda SAMM, Edy Noor Reduan berkata, tujuan sebenar Dr Mahathir bukan mahu menyelamatkan Malaysia mahupun UMNO tetapi untuk melindungi kroni.

“Dr Mahathir adalah penipu, setiap kata-katanya adalah penipuan. Dr Mahathir hanya tidak menipu ketika berdiam diri, itupun kita harus berhati-hati kerana pastinya Dr Mahathir yang berdiam itu sedang merancang untuk penipuan seterusnya,” katanya.

Dia berkata, kenyataan Dr Mahathir itu menjadi tamparan hebat buat ahli politik pembangkang yang selama ini menjadikan populariti Dr Mahathir sebagai modal perlawanan dan pedoman dengan perkiraan ‘musuh kepada musuh adalah rakan’.

“Penasihat DAP, Lim Kit Siang mempelawa Dr Mahathir bersama DAP untuk melawan Najib. Sementara, Presiden PKR yang juga Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyucikan dosa-dosa Dr Mahathir apabila secara terbuka menyambut seruan menyingkirkan Najib.
“Hampir semua Ahli Parlimen Pembangkang mengikut rentak Dr Mahathir.

“Sekarang apa kata parti pembangkang? Apakah parti pembangkang akhirnya akan akur kepada seruan Dr Mahathir mengekalkan pentadbiran BN?, katanya.

Edy Noor berkata, Najib adalah Perdana Menteri pilihan Dr Mahathir bagi menggantikan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

“Apakah kita rakyat Malaysia harus terus memberi ruang kepada Dr Mahathir menentukan siapa yang berhak menjadi Perdana Menteri ?, soalnya.

Dia berkata, SAMM tidak pernah sesekali bersetuju dengan idea menurunkan Najib untuk digantikan dengan seorang lagi pemimpin politik daripada UMNO/BN.

Katanya, SAMM menuntut diwujudkan Kerajaan Sementara (Caretaker Government) meliputi semua parti politik bagi menyelesaikan krisis yang sedang berlaku dan mempersiapkan Malaysia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) yang bersih, adil dan telus dalam tempoh maksima 18 bulan.

Secara sinis, dia mengucapkan tahniah kepada Lim Kit Siang dan Wan Azizah yang meng’hero’kan Dr Mahathir dan seterusnya menyokong agenda ‘kekal BN’.

Jangan nasihat Sultan Johor untuk kepentingan peribadi – TMJ


Jangan nasihat Sultan Johor untuk kepentingan peribadi – TMJ
Baginda tidak akan menyokong mana-mana parti politik sebaliknya
akan berpihak kepada pemimpin yang berkhidmat kepada rakyat.

Tunku Mahkota Johor (TMJ), Brigadier Jeneral Tuanku Ismail Ibni Sultan Ibrahim menasihatkan pemimpin politik agar memberi nasihat kepada ayahnda Baginda, Sultan Johor, Tuanku Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar dengan tulus ikhlas.

Baginda bertitah, jangan ada pemimpin politik yang memberi nasihat dengan tujuan tertentu khususnya untuk kepentingan peribadi.

Baginda mengingatkan, sebagai pewaris takhta kerajaan Johor, suara Bagindalah menjadi suara terakhir yang akan sampai kepada telinga dan perhatian Sultan Johor.

“Baru-baru ini, kelihatan ramai yang cuba mendampingi dan menjadi kawan DYMM Sultan Johor, dan kemudiannya menimbulkan pelbagai andaian dan anggapan.

“Janganlah lupa, saya adalah waris takhta Kerajaan Johor, dan sayalah suara terakhir yang akan sampai kepada telinga dan perhatian DYMM Tuanku.

“Taat setia saya adalah kepada ayahanda saya, Sultan saya. Keutamaan saya adalah kedaulatan dan kesejahteraan negeri dan rakyat Johor.

“Jangan sekali-kali ada yang cuba menyembah nasihat kepada DYMM Tuanku demi kepentingan peribadi.

” Apabila saya menyembah nasihat kepada DYMM Tuanku, ianya adalah ikhlas dari saya kerana saya tidak mempunyai kepentingan peribadi. Kasih sayang saya kepada ayahanda saya, Sultan saya, tiada yang boleh menggoyahkan atau menghancurkannya,” tulis baginda di akaun Facebook Johor Southern Tigers.

TMJ juga menegaskan baginda tidak menyokong mana-mana parti politik tetapi akan berpihak kepada pemimpin yang berkhidmat kepada rakyat Johor dengan penuh intergriti, telus dan penuh kehormatan.

Titah baginda, segala teguran dibuat bukanlah untuk menunding jari kepada mana-mana pihak serta mengeruhkan lagi keadaan sebaliknya ingin menegaskan bahawa baginda sentiasa berdiri teguh dibelakang Sultan dan rakyat Johor.

Tak haram jatuhkan kerajaan – Mufti Perlis


Tak haram jatuhkan kerajaan – Mufti Perlis
Menjatuhkan kerajaan tidak semestinya menggunakan senjata
tetapi menerusi sistem sedia ada seperti pilihan raya atau undi di Parlimen.

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berpendirian berbeza dengan Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria yang berpendapat menggulingkan kerajaan adalah haram di sini Islam.

Asri sebaliknya berpendapat, Islam tidak mengharamkan perbuatan menjatuhkan sesebuah kerajaan menerusi pilihan raya atau undi tidak percaya di Parlimen yang tidak melibatkan pertumpahan darah.

Katanya, para ulama dahulu mengharamkan menumbangkan pemerintah atas alasan bimbangkan pertumpahan darah kerana membawa banyak kemudaratan kepada rakyat dan negara.

“Namun dalam dunia hari ini, sesebuah pemerintah mungkin boleh diubah atau ditukar atau ditumbang tanpa memerlukan pertumpahan darah seperti sistem demokrasi pilihan raya ataupun undi di Parlimen atau seumpamanya,” tulisnya di Facebook.

Asri menasihatkan pengkaji politik Islam tidak boleh menjadi terlalu literalist kerana politik bukan ibadah khususiah seperti solat dan puasa yang tidak boleh diubah atau ditambah.

Katanya, setiap pemerintah mungkin akan ada kesilapan atau dosa yang dilakukan dan jika setiap kali pemerintah bersalah atau melakukan dosa diperangi dengan senjata, maka hancurlah keamanan masyarakat dan negara.

Kerana itu, katanya, kita boleh menentang kemungkaran pemerintah tetapi tidak memeranginya dengan senjata kerana tujuan berpolitik dalam Islam adalah menegakkan keadilan, keamanan dan hak rakyat.

Dengan memberi beberapa contoh hadis dan riwayat, Asri menegaskan, sekalipun umat Islam dilarang memerangi pemerintah dengan senjata, tetapi tetap disuruh untuk menasihati mereka dan mencegah kemungkaran dengan perkataan atau perbuatan yang tidak menyebabkan pertumpahan darah seperti undi ataupun pungutan suara.

Beliau turut membidas pihak-pihak yang cuba menyamakan antara mengkritik dengan mencerca pemerintah, menyamakan antara membantah dengan memberontak dan menyamakan antara menukar pemimpin dengan memerangi kerajaan secara bersenjata.

Katanya, golongan itu mungkin keliru, mempunyai niat yang salah ataupun berlebihan menyokong pihak tertentu dengan memetik nas-nas daripada kitab silam yang mempunyai konteks dan latar politik berbeza.

“Hendaklah kita faham bahawa menukar pemimpin tidak semestinya bermaksud menukar kerajaan.
Tidak bersetuju dengan pemimpin tertentu tidak semestinya bermaksud penderhakaan kepada kerajaan secara keseluruhannya.

“Kita hendaklah membezakan konteks dan latar politik apabila hendak memberi fatwa berkaitan politik,” katanya.

Azmin perlu perjelaskan isu DEIG kepada rakyat


Azmin perlu perjelaskan isu DEIG kepada rakyat
Penjelasan Menteri Besar Selangor dalam sidang dewan lebih banyak
menimbulkan persoalan dan kekeliruan dalam kalangan
wakil rakyat kerajaan dan pembangkang.

Pengarah Strategik Komunikasi Barisan Nasional (BN), Datuk Abdul Rahman Dahlan mengesa Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali memberi penjelasan kepada rakyat berhubung kontroversi penubuhan Darul Ehsan Investment Group (DEIG).

Katanya, jawapan yang diberi Azmin dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) lebih banyak menimbulkan tidak puas hati seluruh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan dan pembangkang di negeri itu.

“Penyelewengan DEIG memang belum lagi dibuktikan tetapi ramai mahukan penjelasan dan ia tidak perlu ditunggu sehingga persidangan DNS akan datang,” katanya kepada pemberita di Sunway Hotel pada Jumaat.

Ahli Parlimen Kota Belut itu turut menyelar sikap ‘double standard’ pemimpin tertinggi pembangkang kerana hanya berdiam diri terhadap kontroversi DEIG.

Katanya, jika isu tersebut melibatkan pentadbiran kerajaan BN, pembangkang terus menerus membuat kritikan.

“Mengapa kalau isu wang derma RM2.6 billion dalam akaum Perdana Menteri begitu cepat diserang pembangkang macam nak kiamat, tetapi isu DEIG yang melibatkan nilai RM30 bilion tidak pula begitu, ini adalah jumlah yang lebih besar,” katanya.

Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam sidang DN membangkitkan isu penubuhan DEIG oleh kerajaan Selangor yang dianggapnya seperti 1MDB yang hanya berperanan sebagai orang tengah dan sarat hutang.

Bagaimanapun, Azmin menafikan kenyataan Khalid itu kerana DEIG belum beroperasi sepenuhnya dan syarikat itu dalam proses memperkemaskan undang-undang pentadbirannya.

Rosmah jumpa Anwar hanya fitnah – Pembantu


Rosmah jumpa Anwar hanya fitnah – Pembantu
Beberapa pengguna media sosial menyebarkan dakwaan
Rosmah Mansor mengadakan perjumpaan dengan Anwar Ibrahim.

Isteri kepada Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor tidak lekang daripada difitnah.

Terbaharu, beberapa pengguna laman sosial Facebook yang pro pembangkang mendakwa Rosmah telah mengadakan perjumpaan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tujuan, bila dan di mana perjumpaan itu diadakan tidak dinyatakan tetapi tuduhan itu menjadi perdebatan dalam kalangan penyokong pembangkang.

FMT menghubungi Pembantu khas Rosmah, Datuk Rizal Mansor yang menafikan sekeras-kerasnya tuduhan itu.

Seperti fitnah-fitnah sebelum ini, Rizal berkata, tuduhan terbaharu itu tidak lain tidak bukan hanya bertujuan memburukkan nama isteri Perdana Menteri.

“Berita tersebut tidak benar, ia sengaja direka-reka oleh pihak tertentu untuk memburukkan nama isteri Perdana Menteri,” katanya.

Hanya rakyat berhak tarik balik jawatan – Najib


Hanya rakyat berhak tarik balik jawatan – Najib
Najib dengan rendah diri menegaskan akan terus berkhidmat
sebagai Perdana Menteri yang diamanahkan oleh rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberi ingatan kepada mana-mana pihak supaya tidak masuk campur dalam hal ehwal pentadbiran negara di bawah pimpinannya.

Katanya, sebagai ketua kerajaan yang dipilih oleh rakyat, adalah menjadi kewajipannya untuk terus memimpin negara.

Najib berkata, beliau dipilih oleh rakyat dan hanya rakyat yang berhak menarik balik jawatannya sebagai Perdana Menteri bukannya individu tertentu, walaupun individu itu terkenal dan disanjungi.

Menulis di Facebook, Najib dengan rendah diri menegaskan beliau akan terus berkhidmat sebagai Perdana Menteri yang diamanahkan oleh rakyat.

“Rakyatlah yang memilih, dan saya bangga serta rendah diri memikul mandat ini – menjadi hak rakyat untuk memberi atau menarik balik. Ia bukan milik seorang individu, tak kira betapa terkemuka pun,” katanya.

Walaupun tidak menyatakan secara spesifik siapa individu terkemuka itu, umum dapat menganggap kata-kata itu ditujukan kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang diketahui mahu Najib berundur.

Rafizi yakin 25 Ahli Parlimen BN sokong singkir Najib


Rafizi yakin 25 Ahli Parlimen BN sokong singkir Najib
Keyakinan berdasarkan sikap Ahli Parlimen BN yang semakin
sensitif dengan sentimen rakyat yang semakin menolak kerajaan BN dan Najib.

Pembangkang hanya memerlukan sokongan 25 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) untuk menyingkirkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi undi tidak percaya, kata Rafizi Ramli.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berkata, dia yakin pembangkang mampu memperolehi sokongan itu berdasarkan sikap Ahli Parlimen BN yang semakin memahami sentimen rakyat yang telah hilang keyakinan terhadap politik UMNO/BN dan ekonomi negara.

“Saya yakin Ahli Parlimen baik dari parti-parti pembangkang atau BN faham sentimen ini.

“Sebab itu saya masih menaruh harapan bahawa akan ada 25 Ahli Parlimen BN yang masih mempunyai kesedaran dan kecintaan kepada rakyat untuk berani tampil ke hadapan menyokong satu undi tidak percaya untuk menukar Perdana Menteri.

“Saya faham mereka akan berdepan dengan ugutan atau tawaran pangkat dan wang. Namun, saya juga percaya mereka juga turut gelisah dengan perkembangan yang berlaku dan mereka masih ada kesedaran untuk membezakan yang benar dari yang tidak benar,” katanya dalam kenyataan media.

Dia yang juga Setiausaha Agung PKR menggariskan tiga syarat untuk bersetuju menyingkirkan Najib bersama 25 Ahli Parlimen BN.

1. Satu kerajaan peralihan (transitional government) ditubuhkan dengan mandat selama dua hingga tiga tahun untuk memulihkan demokrasi dan institusi utama negara.

2. Reformasi terhadap sistem dan amalan pilihanraya agar Pilihanraya Umum 14 (PRU14) dapat diadakan secara bebas, adil dan telus.

3. Satu agenda reformasi yang jelas mengenai ekonomi rakyat (termasuk memansuhkan GST), keluhuran undang-undang, kebebasan media dan perkara-perkara lain dipersetujui secara bersama.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Rujukan