Cari Artikel

Monday, August 17, 2015

Rahman seolah sahkan wujud draf pertuduhan ke atas Najib


Rahman seolah sahkan wujud draf pertuduhan ke atas Najib
Kenyataan Rahman Dalam menerusi temubual dengan akhbar
The Star menimbulkan lebih banyak persoalan yang perlu dijawab oleh kerajaan.

Kenyataan Pengarah Komunikasi Strategi Barisan Nasional (BN), Datuk Abdul Rahman Dahlan dilihat seakan-akan mengesahkan kewujudan draf kertas pertuduhan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ketua Angkatan Muda Keadilan, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu menerusi wawancara yang dilapor sebuah akhbar berbahasa Inggeris pada Ahad mengakui akan kertas pertuduhan itu.

Katanya, Rahman mengaku Perdana Menteri terpaksa mengambil langkah demi menghentikan tindakan jenayah dikenakan ke atas beliau.

“Pendedahan oleh Menteri ini bukan sahaja membuktikan bahawa ada kebenaran juga di dalam kisah itu, walaupun mula-mulanya dinafikan tetapi ia juga menunjukkan penyalahgunaan kuasa sekali lagi oleh Perdana Menteri semata-mata untuk kekal di atas.

“Rahman Dahlan dengan penuh lagak memberi alasan bahawa Perdana Menteri wajar berbuat begitu demi menghentikan satu tindakan jenayah dikenakan ke atas beliau. Adakah kita perlu percaya bahawa Perdana Menteri boleh lakukan ikut suka beliau, sedangkan sebarang tindakan hanya akan diambil oleh pihak pendakwaan yang berkuasa?” soalnya.

Nik Nazmi berkata, sekiranya benar sekalipun Perdana Menteri mungkin dikenakan tindakan undang-undang melalui jalan yang sah iaitu tindakan mahkamah, kenapa Perdana Menteri boleh menghentikannya sesuka hati hanya kerana beliau tidak berkenan?

Katanya, jika Peguam Negara tidak mempunyai bukti yang kukuh, buktikanlah perkara itu di mahkamah.

“Tindak-tanduk Najib yang bermatlamat menjaga kesejahteraan politik beliau kini membawa kesan-kesan yang buruk kepada negara terutamanya dengan kemusnahan institusi-institusi awam termasuklah Jabatan Peguam Negara, SPRM, BNM dan juga Polis negara, yang mana kesemuanya telah dikompromi demi politik.

“Perlu saya ingatkan di sini bahawa sehingga kini tidak satu bukti pun dikeluarkan oleh Rahman Dahlan dan kerajaan BN, bahawa terdapat dokumen yang telah diubah berkenaan 1MDB atau bukti bahawa terdapat percubaan untuk menggulingkan kerajaan.

“Kita juga perlu ingat bahawa sebarang pendedahan jenayah berkenaan Perdana Menteri tidak patut disamakan dengan serangan ke atas kerajaan mahupun negara.

Sehubungan itu, beliau menyarankan kepada orang ramai yang tidak berpuas hati terhadap penyalahgunaan kuasa yang melampau agar menunjukkan sokongan terhadap Bersih 4.0 yang akan diadakan hujung bulan ini.

Himpunan tersebut kata Nik Nazmi, sedang menumpukan usaha untuk memperkasakan demokrasi negara dan institusi-institusi awam, serta memanggil undi tidak percaya kepada Perdana Menteri secara terus daripada rakyat Malaysia.

Najib nasihat jemaah haji jangan baca berita tidak berfaedah


Najib nasihat jemaah haji jangan baca berita tidak berfaedah
Perdana Menteri juga nasihatkan supaya jemaah haji
tidak berbual kosong sepanjang berada di Tanah Suci Mekah.

Jemaah haji di negara ini dinasihatkan agar tidak berbual kosong atau melayari berita tidak berfaedah sepanjang mengerjakan ibadat haji di tanah suci Mekah.

Nasihat itu diberikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Sebaliknya penuhi masa itu dengan perbanyakan segala amalan wajib seperti berzikir, membaca al-Quran, berdoa dan bermunajat kepada Allah. Kita perlu menjadi tetamu Allah dengan menunjukkan teladan dan amalan yang baik di sana nanti.

“Setiap kali saya mengadap Raja Arab Saudi dulu dan kini, beliau selalu sebut jemaah haji dari Malaysia sangat baik. Ini menunjukkan pengiktirafan yang tinggi kepada kita kerana kita menghormati undang-undang mereka dan kita menunjukkan adab yang baik,” katanya.

Beliau berkata demikian berucap pada majlis mengucapkan selamat jalan kepada jemaah haji Malaysia ke Baitullahilharam Musim Haji 1436H/2015 di Kompleks Haji Kelana Jaya, dekat Petaling Jaya, pada Isnin.

Turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Jamil Khir Baharom; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dan Pengerusi Lembaga Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Seramai 270 jemaah haji yang terpilih itu menaiki penerbangan keenam kira-kira jam 12.30 tengah hari ini (Isnin) dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Madinah pada jam 9.15 malam waktu Malaysia.

Penerbangan terus dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Madiinah ini menggunakan pesawat MH8004.

Menurut Najib, setiap kali berjumpa dengan jemaah haji, beliau sering mengingatkan mereka bahawa kerajaan menerusi Tabung Haji memberi subsidi yang besar kepada setiap daripada rakyat negara ini yang hendak mengerjakan ibadat haji.

“Kita memberi subsidi sebanyak RM7,290 tiap seorang bakal jemaah haji. Kerajaan lakukan ini kerana hendak membantu semua jemaah haji dapat menjalankan ibadat haji dengan sempurna,” Ujarnya.

Wahai Najib, bangsa Melayu bukan bangsa bangsat


Wahai Najib, bangsa Melayu bukan bangsa bangsat
Orang Melayu bukan bangsat tanpa UMNO tetapi UMNO yang bangsat
kerana mengkhianati orang Melayu dan negara Malaysia sejak sekian lama ini.

Oleh Zairil Khir Johari

Saya merujuk kepada kenyataan Perdana Menteri Dato’ Sri Najib Tun Razak ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Gerik di Dewan Serbaguna Gerik pada 16 Ogos 2016, sebagaimana dilaporkan oleh Malaysiakini:

“Tiada Umno berkuasa terbangsatlah bangsa Melayu di bumi ini. Saya sebagai presiden akan lakukan supaya Umno dan Barisan Nasional terus berkuasa di bumi bertuah ini.”

Sebelum membuat kenyataan yang begitu bebal, Najib seharusnya cermin diri dahulu. Apakah bukan Najib sendiri yang memalukan bangsa dan negara dengan menjadikan Malaysia sebagai bahan jenaka antarabangsa gara-gara skandal 1MDB dan sumbangan “derma” RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadinya sendiri?

Najib menghina sejarah ketamadunan Melayu

Pun begitu, kenyataan Najib juga sekaligus menidakkan kemuliaan bangsa Melayu Nusantara yang sudah lama bertamadun. Tidakkah beliau sedar bahawa UMNO yang lahir pada tahun 1946 hanya berusia kurang daripada 70 tahun, sedangkan tamadun Melayu di rantau ini telah wujud sejak ratusan, kalaupun bukan ribuan tahun? Apakah selama-lama ini Melayu menjadi bangsa bangsat kerana tidak ada UMNO?

Apakah segala ketamadunan termasuk seni bina bangunan, teknologi pelayaran, kesusasteraan, kebudayaan dan sebagainya yang dibina berkurun lama sebelum lahirnya UMNO ini dilakukan oleh satu bangsa yang bangsat?

Bagaimana pula dengan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem dan rakyat Melayu di Sarawak, apabila mereka lantang menolak kehadiran UMNO di negeri itu? Adakah mereka juga Melayu bangsat?

Umno yang sebenarnya merugikan Melayu

Walaupun banyak mana sumbangan dan jasa UMNO pada suatu ketika dahulu, ia tidak dapat dibandingkan dengan kerosakan yang mereka telah timpakan kepada orang Melayu, khususnya sejak dua, tiga dekad yang lalu. UMNO yang ditubuhkan sebagai gerakan massa yang berjuang untuk kemerdekaan kini sudah menjadi parti yang sinonim dengan rasuah dan kronisme.

Sudah pasti, rakyat Malaysia tidak akan melupakan bagaimana UMNO, atas nama kepentingan Melayu, telah menyebabkan kerugian berpuluh bilion ringgit melalui penyelewengan dan pengkhianatan seperti yang berlaku dalam skandal Bank Bumiputera pada awal tahun 1980an, skandal Forex Bank Negara pada awal tahun 1990an, sehingga ke skandal terbesar dalam sejarah Malaysia, iaitu syarikat 1MDB yang sudah melenyapkan puluhan bilion ringgit.

Malah, apa-apa jasa UMNO yang tinggal jugalah yang kini sedang dimusnahkan oleh kepimpinan Najib. Misalnya, Felda yang digerakkan oleh ayahandanya sendiri, Tun Abdul Razak, sebagai insiatif reformasi tanah yang berjaya menempatkan semula ratusan ribu orang Melayu luar bandar akhirnya kini goyah apabila harga saham Felda Global Ventures yang digembar-gemburkan sebagai penyenaraian kedua terbesar dunia selepas Facebook sudah merudum ke tahap RM1.52 berbanding harga penyenaraiannya, iaitu RM4.55. Ini bersamaan dengan kemerosotan sebanyak 67 peratus.

Demikian juga dengan Lembaga Tabung Haji yang ditubuhkan untuk memudahcarakan pengurusan ibadah Haji orang Islam di negara ini. Kini, dana pelaburan pak cik dan opah kita untuk naik haji pun tidak selamat di tangan Najib apabila secara senyap-senyap digunakan untuk membantu menyelamatkan 1MDB.

Begitu juga dengan dakwaan media antarabangsa baru-baru ini terhadap penyelewengan dalam pembelian aset oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA) di luar negara. Siapakah lagi yang bertanggungjawab, jika bukan UMNO yang secara langsung mengawal pengurusan tertinggi MARA dengan enam daripada 11 orang Ahli Majlis MARA?

Jelas, retorik UMNO untuk membela orang Melayu hanya omong-omong kosong, apabila merekalah sebenarnya yang merugikan bangsa dan negara.

Siapakah sebenarnya yang bangsat?

Najib seharusnya berdepan dengan hakikat bahawa kerajaan beliau telah gagal dalam tadbir urus negara kita, dengan nilai matawang ringgi yang kian menjunam dan krisis politik yang sedang melanda UMNO ekoran pemecatan beberapa orang menteri kanan termasuk Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga merupakan Timbalan Presiden UMNO.

Pada masa sama, birokrat Melayu yang selama ini terhormat dalam menjalankan amanah dan tanggungjawab mereka juga kini menjadi mangsa kuasa kuku besi Eksekutif, apabila pegawai-pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diugut dan digertak melalui siasatan dan pemindahan hanya kerana mereka menyiasat dan membongkarkan penyelewengan 1MDB dan “pendermaan” luar biasa sebanyak RM2.6 billion ke dalam akaun peribadi Najib.

Justeru, saya amat pasti orang Melayu bukan bangsat tanpa UMNO, tetapi sebenarnya UMNO yang bangsat kerana mengkhianati orang Melayu dan negara Malaysia sejak sekian lama ini.

Zairil Khir Johari adalah Ahli Parlimen Bukit Bendera dan Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP.

Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT

Ramesh Rao gesa TPM dedah perancang komplot


Ramesh Rao gesa TPM dedah perancang komplot
Pentadbiran Najib Tun Razak akan tergugat dan terganggu jika
perancang komplot menggulingkan kerajaan itu dibiarkan berleluasa.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi digesa supaya mengemukakan bukti dan perancang yang terlibat mahu menggulingkan kerajaan melalui cara tidak demokratik.

Pengerusi Persatuan Minda Sosial Prihatin (PMSP), Ramesh Rao berkata, jika dibiarkan perancang itu berleluasam, ia akan menggugat dan menganggu pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Kita mahu Zahid mengemukakan bukti siapa dalang dan siapa perancang. Kita tak mahu tahu siapa yang akan terlibat.

“Tapi kita mahu perancang..perancang adalah amat penting dalam ini sebab jika kita biarkan ia akan menggugat dan mengganggu pentadbiran Najib,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya pada Isnin.

Ramesh menambah, dakwaan Zahid bahawa wujudnya rancangan untuk menggulingkan kerajaan akan menyebabkan Perdana Menteri sukar untuk membuat kerja.

“Biarlah ini jadi kali terakhir.

“Jangan takut, jangan gusar..biarlah dia orang terulung ke, orang tersohor ke, itu kita tak peduli yang penting demi keamanan negara,” katanya.

Sabtu lalu, Zahid mendakwa seorang tokoh besar UMNO dikenal pasti sebagai dalang utama kepada gerakan menggulingkan kerajaan melalui cara tidak demokratik iaitu menerusi undi tidak percaya di Parlimen dengan sokongan Ahli Parlimen pembangkang.

Katanya, pihak berkuasa berjaya mengesan segala tindak-tanduk kumpulan terbabit yang ketika ini sedang dalam proses menyiapkan akuan bersumpah (SD).

Ibrahim Ali pelawa Melayu kecewa sertai Perkasa


Ibrahim Ali pelawa Melayu kecewa sertai Perkasa
Orang Melayu sudah hilang kepercayaan kepada UMNO serta
Pas dan nasib semakin terumbang-ambing dan
tidak menentu manakala perpecahan makin parah.

Datuk Ibrahim Ali mempelawa orang Melayu dan Islam yang kecewa serta memilih untuk tidak berparti supaya menyertai pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Perkasa.

Katanya, Perkasa boleh dijadikan tempat mencari ketenangan di samping sama-sama mengembeling tenaga demi memartabat dan mengukuhkan perpaduan agama, bangsa dan negara.

“Selepas 58 tahun merdeka, orang Melayu sudah hilang kepercayaan kepada UMNO dan Pas. Nasib orang Melayu Islam semakin terumbang-ambing dan tidak menentu manakala perpecahan makin parah.

“UMNO menghadapi krisis kepemimpinan yang amat parah sehingga Timbalan Presidennya dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Pas pula menghadapi dilema yang sama dengan kewujudan Islam ulama dan ada Islam progresif,” katanya pada Majlis Perasmian Persidangan Khas Tahunan 2015 Perkasa Parlimen Kuala Kangsar pada Ahad.

“Masa terbuang begitu saja akibat krisis kepimpinan yang pasti memberi kesan buruk kepada bangsa Melayu dan kaum Bumiputera pada masa akan datang. Ia juga memalukan Melayu dan umat Islam,” katanya lagi.

Dalam masa sama, Ibrahim juga menyarankan supaya ahli Perkasa mesti berani dan jangan gentar mempertahankan asas Perlembagaan Negara.

“Bangsa Melayu sudah banyak bertolak ansur dan jangan cuba nak pijak kepala bangsa yang mewarisi zuriat Tok Jangut, Mat Kilau, Datuk Bahaman, Datuk Sagor, Rusli Dobi dan ramai lagi.

“Mutakhir ini sudah ada beberapa kerat orang Melayu yang berpelajaran tapi tidak cerdik menyertai DAP termasuk anak-anak Melayu muda. Fenomena ini berlaku kerana Melayu sudah hilang kepercayaan kepada pemimpin Melayu sendiri yang dilihat korup dan hipokrit,” katanya.

Justeru, beliau merayu agar orang Melayu tidak ambil mudah pergolakan politik yang sedang berlaku kerana ia boleh menggagalkan masa depan bangsa itu sendiri.

Penentang Low Yat 2 seperti ‘cacing kepanasan’- Ridhuan Tee


Penentang Low Yat 2 seperti ‘cacing kepanasan’- Ridhuan Tee
Dia menyokong usaha kerajaan itu bagi mengelak pengguna Melayu menjadi
mangsa penipuan di samping memecah monopoli peniaga bukan Melayu.

Pendakwa bebas, Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah menyokong usaha kerajaan menubuhkan pusat jualan barangan telekomunikasi atau Low Yat 2 bagi memecah monopoli bukan Melayu.

Katanya, cadangan kerajaan itu mampu mengelak pengguna Melayu terus menjadi mangsa kepada penipuan yang banyak dilaporkan berlaku sebelum ini.

Pada masa sama, dia membidas pihak-pihak tertentu yang seperti ‘cacing kepanasan’ apabila cadangan penubuhan pusat jualan itu atau Low Yat 2 dibangkitkan oleh Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Mereka seperti cacing kepanasan mempertikaikan projek ini sebagai perkauman. Bila hak mereka tergugat, maka dituduh kita rasis. Begitu juga bila kita mahu membela hak kita. Mereka betul, kita salah. Nampak sangat hipokrit,” katanya menerusi rencana di Sinar Harian.

Ridhuan Tee juga mempersoalkan perbuatan peniaga bukan Islam di Plaza Low Yat yang menggantung kalimah suci seperti Allah, Muhammad dan ayat-ayat al-Quran dalam bentuk bingkai dan poster bagi menarik pelanggan Islam.

“Apabila disemak dengan SSM (Suruhanjaya Syarikat Malaysia), tuan punya kedai bukan Melayu, begitu juga pekerjanya. Jadi alasan apa kalimah suci ini digunakan,” katanya.
Katanya, tindakan ‘desperado’ itu jelas menunjukkan perniagaan terjejas akibat insiden pergaduhan baru-baru ini apabila umat Islam memboikot.

“Kita memohon kepada ultra kiasu supaya belajar erti ikhlas dalam bisnes. Fikirkanlah soal kepentingan negara dan keharmonian masyarakat.

“Kita tidak mahu lagi mendengar penipuan demi penipuan berlaku. Sebelum ini kita telah disajikan dengan ikan patin diberi makan babi, bihun kotor, kaki katak dalam mi dan macam-macam lagi kes yang telah dibuktikan,” katanya.

Ridhuan Tee juga membangkitkan persoalan adakah sistem pendidikan berasaskan kaum menjadi punca permasalahan seperti itu berlaku.

“Akibat tidak bergaul sejak kecil, persepsi negatif antara satu sama lain meningkat. Kenapa perangai bukan Melayu yang bercanpur dengan Melayu berbeza dengan mereka yang langsung tidak bergaul,” soalnya.

Zahid ‘pemimpin pening’ kerana gagal dedah dalang komplot


Zahid ‘pemimpin pening’ kerana gagal dedah dalang komplot
Peranan utama Zahid adalah mempertahankan Perdana Menteri
bukannya bertindak mempertahankan Muhyiddin yang terus menerus menyerang kerajaan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilabel sebagai seorang ‘pemimpin yang pening’ kerana gagal mendedahkan dalang di sebalik komplot mahu jatuhkan kerajaan.

Bekas Naib Ketua Pemuda UMNO Wangsa Maju, Shahbudin Husin berkata, Menteri Dalam Negeri itu itu sepatutnya mendedahkan dalang yang mahu menjatuhkan kerajaan bukannya bertindak membersihkan nama Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan memberitahu bekas Timbalan Perdana Menteri tidak terlibat dalam komplot manjatuhkan Datuk Seri Najib Razak.

Shahbudin berkata, Naib Presiden UMNO itu ‘pening’ kerana peranan utama Zahid adalah mempertahankan Perdana Menteri bukannya bertindak mempertahankan Muhyiddin yang terus menerus menyerang kerajaan.

“Tidakkah Muhyiddin sehari dua ini banyak mempersoalkan kepimpinan Najib berkaitan 1MDB dan derma RM2.6 bilion yang diakui masuk ke akaun peribadinya?.

“Pentas perasmian mesyuarat perwakilan UMNO minggu ini meriah dengan peluru-peluru yang dilepaskan oleh Muhyiddin kepada Najib.

“(Zahid) bukan saja tidak menjawab persoalan-persoalan yang dibangkitkan oleh Muhyiddin itu, bahkan membersihkan lagi nama Timbalan Presiden UMNO itu tidak terlibat dalam komplot mahu menjatuhkan kerajaan,” katanya dalam entri terbaharunya shahbudindotcom.blogspot.com.

Shahbudin berkata, Zahid yang mendakwa mempunyai bukti lengkap sepatutnya mendedahkan nama individu yang terlibat dalam komplot menjatuhkan kerajaan kerana rakyat ingin tahu siapakah sebenarnya terlibat.

Katanya, sekiranya Zahid gagal membuat pendedahan itu, bermakna beliau menambahkan lagi hutang kepada rakyat apabila gagal mendedahkan siapa dalang dalam isu pencerobohan Lahad Datu sehingga sekarang.

“Kali ini beliau mendedahkan pula dalang yang mahu menggulingkan kerajaan melalui undi tak percaya di Parlimen dengan kerjasama ahli-ahli Parlimen pembangkang.

“Hutang kepada rakyat siapa dalang Lahad Datu masih tertunggak, kini Zahid menambah hutangnya lagi untuk kita sama-sama menilai wibawa dan prestasinya,” katanya.

Najib, UMNO ‘kepanasan’ rakyat tolak penjelasan RM2.6 bilion


Najib, UMNO ‘kepanasan’ rakyat tolak penjelasan RM2.6 bilion
Ahli UMNO sendiri termasuk Muhyiddin Yassin mempertikai
penjelasan yang diberikan kerajaan berhubung wang
yang dikatakan sumbangan derma oleh kerajaan Arab Saudi itu.

UMNO dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak jelas ‘kepanasan’ apabila rakyat menolak pelbagai alasan yang diberikan berhubung wang derma RM2.6 bilion, kata Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Katanya, bukan sahaja rakyat tidak mempercayai, malah ahli UMNO sendiri termasuk Timbalan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin mempertikaikan penjelasan yang diberikan kerajaan.

Katanya, tidak hairan apabila tiba-tiba muncul satu teori konspirasi bahawa wujudnya plot untuk menggulingkan Perdana Menteri oleh seorang pemimpin UMNO seperti yang dinyatakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

“Menimbulkan watak misteri ini adalah sebahagian ciri-ciri kepakaran UMNO dalam mengalihkan perhatian rakyat.

“Jika Muhyiddin yang mempertikaikan Najib di majlis penerangan UMNO dapat diturunkan daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri, bukankah pelik UMNO dan Zahid masih tidak bertindak kepada watak misteri tersebut?,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Tambah Tuan Ibrahim, perkara ini diperkuatkan lagi dengan pendedahan Pengarah Komunikasi Strategik BN, Datuk Abdul Rahman Dahlan yang menyatakan Najib terpaksa menyingkirkan orang setelah Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali menyatakan kemunculan deraf kertas pertuduhan boleh menjadi plot mengaitkan Najib dengan jenayah.

“Rakyat diminta terus berwaspada dan dialihkan pandangan daripada masalah sebenar yang melanda negara.

“Teruskan tekanan agar kebenaran akan keluar akhirnya dalam isu 1MDB dan juga derma RM2.6 bilion yang telah menjejaskan keyakinan dunia terhadap ekonomi dan kepimpinan negara,” katanya.

Pesuruhjaya Pas Sarawak meninggal dunia


Pesuruhjaya Pas Sarawak meninggal dunia
Allahyarham dimasukkan ke Institut Jantung Negara, Kota Samarahan sejak tiga hari lalu.

Pesuruhjaya Pas Sarawak, Adam Ahid, meninggal dunia akibat serangan angin ahmar.

Allahyarham yang berusia 66 tahun menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 3.20 pagi Isnin, di Institut Jantung Negara, Kota Samarahan.

Allahyarham telah dimasukkan ke institut tersebut bagi mendapatkan rawatan sejak tiga hari lalu.
Pengerusi Lajnah Penerangan Pas Sarawak, Muhamad Shokri Ahmad Fauzi berkata jenazah akan dikebumikan di tanah perkuburan Islam Semariang, Kuching, sebelum Zohor.

Beliau berkata, kehilangan Allahyarham amat dirasai seluruh anggota Pas khususnya di Sarawak, kerana sebelum ini Allahyarham gigih bersama-sama anggota kepimpinan parti mengatur strategi persiapan Pas menghadapi pilihan raya Sarawak.

Menurutnya, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang kebetulan berada di sana, sempat melawat Allahyarham di Institut berkenaan lewat malam tadi (Ahad).

Allahyarham, pernah bertanding pada pilihan raya Sarawak pada 2011 di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sebuyau dan tewas kepada calon Barisan Nasional (BN), Datuk Julaihi Narawi.
Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan empat orang anak.

Azwan Ali kutuk Muhyiddin, sifatkan bekas TPM ‘amat merbahaya’


Azwan Ali kutuk Muhyiddin, sifatkan bekas TPM ‘amat merbahaya’
Adik kepada Menteri Besar Selangor itu menyelar tindakan
Muhyiddin mengkritik Najib dan UMNO dalam
Mesyuarat UMNO Bahagian di seluruh negara.

Selebriti tempatan, Azwan Ali ‘bikin panas’ lagi dengan kenyataan kontroversinya dan kali ini dia mengutuk Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menerusi akaun Instagram, Azwan yang menggelarkan dirinya ‘Diva AA’ membuat kenyataan menyelar Muhyiddin yang berterusan menyerang kepemimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Azwan bakal mencetuskan kemarahan ramai menyifatkan bekas Timbalan Perdana Menteri sebagai ‘duri dalam daging’ dan ‘amat merbahaya’ kerana kritikan terhadap Najib dan UMNO.

“Tak habis-habis ke hulu ke hilir. Kesian. That day siap buat PC ‘Saya terima dengan hati terbuka’. Now? Ko dah kenapa? Stop your nonsense. Duri dalam daging amat-amat merbahaya. Get away!”, tulisnya.

Mesyuarat UMNO kecoh, perwakilan dakwa dipukul, ditendang


Mesyuarat UMNO kecoh, perwakilan dakwa dipukul, ditendang
Dua perwakilan mendakwa dipukul selepas mempertikai
nama cawangan mereka serta 17 cawangan lain tidak disenarai.

Mesyuarat UMNO Bahagian Bagan di Pulau Pinang pada Ahad kecoh seketika apabila dua perwakilan mendakwa ditumbuk dan ditendang.

Dalam kejadian di Hotel The Light di Butterworth kira-kira jam 1.30 petang itu, kedua-duanya dibelasah kerana mempertikai senarai perwakilan mesyuarat berkenaan selepas nama cawangan mereka serta 17 lagi tidak tersenarai.

Memetik laporan Harian Metro, mereka mendakwa dicederakan sekumpulan lelaki yang bukan ahli UMNO serta beberapa ahli jawatankuasa bahagian itu.

Akhbar itu melaporkan pergelutan berkenaan berlaku hampir 10 minit sebelum berjaya dileraikan anggota polis bertugas.

Susulan kejadian itu, kedua individu yang mendakwa dipukul membuat laporan polis di Balai Polis Seberang Jaya.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Rusli Mohd Noor ketika mengesahkan menerima laporan dibuat dan sedang menyiasat kejadian itu.

Zahid sahkan Muhyiddin tidak terlibat komplot guling kerajaan


Zahid sahkan Muhyiddin tidak terlibat komplot guling kerajaan
TPM berkata individu berkenaan berkomplot jatuhkan Najib bukan guling kerajaan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan Tan Sri Muhyiddin Yasin tidak terlibat dalam komplot untuk mengulingkan kerajaan.

Zahid berkata, pendedahan itu dibuat kerana beliau faham situasi yang sedang dialami oleh Timbalan Presiden Umno tersebut yang telah digugurkan dari Kabinet.

“Saya juga pernah jatuh, jadi saya faham situasi orang jatuh. Kita tidak akan henyak orang yang jatuh.

“Jangan salahkan beliau (Muhyiddin) kerana ada orang lain yang bercita-cita untuk jatuhkan kerajaan,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Umno Bahagian Lumut pada malam Ahad, lapor Sinar Harian.

Zahid berkata, individu berkenaan menyatakan komplot bukan untuk menjatuhkan kerajaan tetapi untuk menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.‎

“Kononnya komplot ini untuk jatuhkan PM. Kita anggap PM adalah satu institusi yang harus dihormati.

“Apabila saya dedahkan perkara ini kenapa individu berkenaan perlu takut,”katanya.
Zahid ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Ampang pada Sabtu mendedahkan terdapat gerakan untuk mengguling kerajaan oleh pembangkang dan turut didalangi pemimpin BN termasuk Umno.

Beliau berkata, rancangan itu dijalankan dengan cara untuk mendapatkan akuan bersumpah daripada Ahli Parlimen Pembangkang, serta cuba menarik ahli Parlimen BN menyokong mereka bagi menumbangkan kerajaan sedia ada melalui ‘jalan belakang’.

Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, beliau mendapat maklumat itu daripada sumber yang sangat boleh dipercayai.

Hanya Sultan Johor dan saya tahu keseluruhan cerita – TMJ


Hanya Sultan Johor dan saya tahu keseluruhan cerita – TMJ
Baginda menasihatkan semua pihak tidak membuat
spekulasi tentang hubungan Sultan Johor dengan Perdana Menteri.

Tunku Mahkota Johor (TMJ), Brigadier Jeneral Tuanku Ismail Ibni Sultan Ibrahim bertitah supaya semua pihak tidak membuat spekulasi berkenaan hubungan ayahanda baginda dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Titahnya, sama ada hubungan itu baik atau tidak, hanya baginda dan ayahanda baginda, Sultan Johor, sahaja yang tahu keseluruhan cerita tentang perkara itu.

Baginda mengulas kenyataan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi yang berkata, tiada masalah antara Sultan Johor dengan Perdana Menteri.

“Ini adalah pendapat saya bahawa seseorang tidak perlu membuat kenyataan tanpa menyedari cerita yang sebenar.

“Jangan membuat spekulasi berkenaan DYMM Tuanku ada masalah dengan Perdana Menteri atau tidak, kerana hanya DYMM Sultan dan saya sahaja yang tahu keseluruhan cerita tentang perkara tersebut.

“Oleh itu, buat masa ini, hanya kita perlu tahu dan tidak ada sebab untuk ia didedahkan kepada umum,” tulis baginda di akaun Facebook Johor Southern Tigers.

Sebelum ini, bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin mempersoalkan kenyataan Puad itu.

Menerusi blognya, Zainuddin berkata, rakyat hanya percaya (hubungan Istana Johor dan Najib tiada masalah) jika kenyataan itu dibuat jurucakap rasmi Istana Johor.

Benarkan hubungan Istana Johor- Najib baik? – Zam


Benarkan hubungan Istana Johor- Najib baik? – Zam
Zainuddin Maidin berkata rakyat hanya akan percaya hubungan
Istana Johor dan Najib baik jika kenyataan datang
daripada jurucakap rasmi Istana Johor bukan Puad Zarkashi.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi tidak seharusnya mengelirukan rakyat untuk membezakan antara menggulingkan kerajaan dan menggulingkan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri.

Bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin berkata, Zahid tidak seharusnya membesarkan perkara yang kecil dan memperkecilkan perkara yang lebih besar kerana sebagai Menteri Dalam Negeri, beliau tahu mengenai perkara yang sebenarnya.

Menurutnya, Zahid harus sedar ketidakstabilan, kekecohan dan kemurungan yang dialami rakyat negara ini kerana Najib mempertahankan takhtanya dan sengaja tidak mahu menghayati perasaan rakyat terhadapnya dan isterinya sebaliknya lebih menyalahkan ‘kejahatan’ media sosial.

“Hakikat ini tidak benar sama sekali kerana tentangan tidak sahaja datang daripada orang luar,dari orang atas pagar dan juga dari penyokong-penyokong setia UMNO tetapi juga oleh kepemimpinan UMNO secara tersirat dan tersurat.

“Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin (Yassin) sendiri telah mengkritik usaha untuk membendung dan menekan suara kebangkitan ini secara yang tidak demokratik,” katanya menerusi entri terbarunya zamkata.blogspot.com.

Zainuddin atau Zam berkata, kritikan Muhyiddin tidak boleh dipandang kecil kerana beliau telah dipilih ke jawatannya secara demokratik oleh ahli-ahli UMNO.

Menurutnya, orang Melayu khususnya orang UMNO sendiri juga telah sampai ke peringkat sanggup meminta ‘dikencingkan’ Najib bukan kerana mereka tidak sayang kepada UMNO tetapi mereka mahu Najib diceraikan dari UMNO.

Tambahnya, pentadbiran negara oleh Najib yang ‘flip flop’ dari peringkat parti hingga kepada negara sehinggakan tidak dihormati oleh pegawai-pegawai tinggi kerajaan sendiri.

“Malah kita boleh bertanya kenapakah Naib Presiden UMNO Datuk (Seri) Hishammuddin (Tun Hussein) sendiri menyatakan ketakutan terhadap masa depan UMNO. Apakah jika kepimpinan menyakinkan beliau akan bimbang dan takut.

“Bagaimanakah poster-poster anti Najib boleh dinaikan dan terbiar beberapa hari di Johor sedangkan Menteri Besar sendiri adalah Pengerusi Majlis Keselamatan Negeri. Adakah MB tidak tahu atau MB sendiri tidak berani memerintah diturunkannya? Kenapa MB tidak kutuk perbuatan biadab ini di negerinya sendiri,” ujarnya.

Dalam pada itu, Zainuddin turut mempersoalkan dakwaan yang dibuat oleh Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi yang menyatakan hubungan antara Istana Johor dengan Perdana Menteri adalah baik.

“Rakyat hanya akan percaya jika datang dari jurucakap rasmi Istana Johor sendiri . Bilakah Puad di lantik menjadi jurucakap Istana Johor atau hidung tak mancung pipi tersorong-tersorong?,” soalnya.

Pemuda UMNO Tampin lulus usul Najib letak jawatan


Pemuda UMNO Tampin lulus usul Najib letak jawatan
Ia dibuat dalam usul tergempar selepas pelbagai isu
membabitkan kewibawaan Presiden UMNO dan Perdana Menteri

Pemuda UMNO Bahagian Tampin sebulat suara menerima dan meluluskan usul meminta Datuk Seri Najib Razak meletak jawatan sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO.

Kata sepakat itu dibuat dalam Mesyuarat Perwakilan Pemuda Bahagian Tampin, pada Sabtu.

Sinar Harian Onine melaporkan usul dibawa Ketua Pemuda Cawangan Kampung Ulu Ladang, Azman Abdullah, 42, itu mendapat sambutan positif daripada majoriti lebih 200 ahli yang hadir.

“Demi Melayu, Islam dan Malaysia, meminta Datuk Seri Najib Tun Razak meletak jawatan sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO agar keyakinan, cinta dan kasih sayang, khasnya orang Melayu dan Bumiputera, terhadap Umno dapat dipulihkan untuk memastikan kita orang Melayu sebagai pemilik negara tercinta ini terus menjadi pemerintah sampai bila-bila,” petik usul berkenaan daripada portal itu.

Sebaik dikemukakan, Pengerusi Tetap mesyuarat, Mohd Salleh Yahaya, bertanyakan kepada perwakilan berhubung perkara berkenaan dan perwakilan sebulat suara menyatakan sokongan kepada usul berkenaan.

Azman berkata, usul tergempar berkenaan diketengahkan selepas satu demi satu isu timbul membabitkan integriti Perdana Menteri seperti isu derma RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadinya dan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pemimpin ‘belot’ jumpa Najib


Pemimpin ‘belot’ jumpa Najib
Zahid menakwa Ahli Parlimen BN telah dibeli untuk menandatangani Aku Janji

Pemimpin UMNO yang dikaitkan cuba bergabung dengan anggota Parlimen pembangkang untuk menggulingkan kerajaan, akan bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada petang Ahad.

Ia disahkan Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Maklumat yang saya dapat ini sahih, bukan maklumat tepi jalan dan maklumat ini saya peroleh daripada orang yang hadir mesyuarat itu sendiri.

“Kalau saya tak timbulkan perkara ini daripada sekarang, mungkin lebih ramai ahli-Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) telah dibeli dengan penandatanganan Aku Janji itu,” katanya yang dipetik daripada Mstar Online.

Zahid mendakwa pertemuan diadakan setelah pemimpin berkenaan sedar kesilapan yang dilakukan.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Tampin, Negeri Sembilan.

Pada Sabtu, Zahid mendedahkan wujudnya konspirasi termasuk daripada Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan UMNO yang menandatangani Aku Janji untuk jatuhkan Najib.

Dana parti hak eksklusif Presiden UMNO


Dana parti hak eksklusif Presiden UMNO
Najib menjelaskan beliau tidak perlu memaklumkan proses
mendapatkan dana kepada mana-mana pemimpin lain.

Presiden UMNO Datuk Seri Najib Razak menegaskan, proses mendapatkan dana parti adalah hak eksklusifnya dan ia itu tidak perlu dibincangkan dalam mesyuarat atau perjumpaan tertutup bersama ahli parti.

Jelasnya, beliau, beliau tidak pernah mempersoal tindakan bekas Presiden UMNO terdahulu mendapatkan dana politik, termasuk ketika menjadi Timbalan Presiden selama enam tahun kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Begitu juga ketika Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Presiden UMNO, Pak Lah selaku timbalan tidak pernah mempersoalkan mengenai dana parti.

“Tetapi kenapa apabila saya jadi presiden, ia dipersoalkan.

“Saya buat untuk kepentingan parti dan sudah diputuskan oleh SPRM tidak menyalahi undang-undang,” katanya yang dipetik daripada Harian Metro Online.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Kepala Batas di Institut Latihan Perindustrian Kepala Batas.

Pas gerak 60,000 ahli untuk tunjuk solidariti


Pas gerak 60,000 ahli untuk tunjuk solidariti
Pas akan gerak keempat-empat sayap untuk memberikan keyakinan
bahawa Pas ia mampu untuk menyelesaikan isu dalamannya dengan mudah

Pas akan menganjurkan sebuah himpunan besar-besaran bagi menunjukkan sokongan kepada kepimpinan parti itu.

Ketua Pemudanya Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, himpunan itu dijangka akan dibuat di Kuala Lumpur atau Selangor dan mensasarkan seramai 60,000 orang akan menyertainya.
“Kita tahu Pas mempunyai masalah ada ahli kacau dari dalam. Isu GHB (Gerakan Harapan Baru). Kita tahu payah nak selesai. Sebab itu saya saran siapa nak keluar maka keluarlah. Sebab itu penyelesaian.

“Tujuan (himpunan adalah untuk ) menghimpunkan ahli dan penyokong Pas seluruh negara. Untuk beri kekuatan pada kami di peringkat pimpinan, ahli-ahli seluruh negara untuk terus komited dengan Pas,” katanya pada sidang medianya di Ibu Pejabat Pas pada Ahad.

Nik Abduh yang juga merupakan Ahli Parlimen Pasir Mas menambah, pihaknya yakin akan mencapai sasaran 60,000 orang kerana ia mengumpulkan keempat-empat sayap parti itu yang terdiri daripada Pemuda, Ulama, Muslimat dan Dewan Himpunan Penyokong Pas.

Tambahnya, himpunan itu juga bertujuan bagi memberikan keyakinan kepada rakyat Malaysia dan ahli parti itu bahawa Pas mampu untuk menyelesaikan isu dalamannya dengan mudah dan cepat.
“Hari ini orang anggap isu ini akan panjang sampai PRU-14 (Pilihan Raya Umum-14). Saya yakin isu ini takkan lama. Pemuda yakin bulan 12 akan selesai,” katanya.

Sementara itu, Nik Abduh turut diminta mengulas mengenai khabar angin di media sosial bahawa abangnya, Nik Omar telah menyertai GHB.

“Saya hubungi dia berada di Thailand kerana dua, tiga hari menghantar anak dia belajar. Saya tak tahu gambar tu gambar bila kerana dia dua, tiga hari berada di Thailand.
“Saya tak boleh nak komen,” katanya

Berikut jawapannya ketika ditanya jika Nik Omar menyertai GHB.

“Saya terima. pimpinan Pas, pimpinan UMNO, pimpinan DAP masing-masing demokratik untuk siapa-siapa nak pilih gerakan masing. Keluarga saya ini 10 orang masing-masing semua sokong Pas tetapi NGO ini masing-masing berbeza.

“Ada yang ikut IKRAM, ada yang ikut ISMA tapi tabligh tidak ada lagi. Pak sedara keluarga saya banyak ..ayah saya tak marah kerana semuanya sokong Pas. Dalam krisis ini pun mungkin ada perbezaan antara kami adik beradik tapi itu tidak menjejaskan hubungan,” ujarnya.

Langkah Kajang telah mengaibkan saya


Langkah Kajang telah mengaibkan saya
Bekas Menteri Besar Selangor itu amat kecewa kerana ditewaskan oleh
fitnah meskipun setelah bekerja keras selama 6 tahun melakukan
reformasi pentadbiran khusus untuk kesejahteraan rakyat.

Oleh Khalid Ibrahim

Alhamdulillah, Saman fitnah yang saya failkan terhadap Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan bekas Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution berakhir pada Jumaat lepas setelah kedua-dua pihak bersetuju untuk menyelesaikannya secara baik.

Mahkamah Tinggi Shah Alam merekodkan Penghakiman Persetujuan di mana Datu Saifudin selaku Defendan Pertama dan PKR Defendan Kedua telah menyatakan rasa kesal mereka dan memohon maaf kerana mengeluarkan dan mengedarkan satu laporan 91-muka surat yang mengandungi pelbagai tuduhan fitnah terhadap saya.

Mereka mengakui bahawa laporan tersebut telah dikeluarkan dan diedarkan bagi menjelaskan mengapa saya perlu dilucutkan dari jawatan Menteri Besar Selangor dan bukanlah satu bukti muktamad bahawa saya telah melakukan kesalahan seperti fitnah yang disebut.

Mereka turut menyatakan rasa kesal dan mengakui bahawa penyataan di dalam laporan tersebut tidak sepatutnya diperkatakan serta memberi akujanji tidak akan mengulangi tuduhan serta fitnah tersebut.

Sebagai seorang Islam, saya menerima penyataan maaf dan kesal PKR serta Saifuddin dan mengambil semangat bulan Syawal yang mulia ini untuk memohon maaf zahir dan batin jika saya ada menyinggung perasaan beliau serta mana-mana ahli PKR yang lain.

Sama seperti kes saman fitnah yang saya failkan sebelum ini, saya sentiasa mengambil pendekatan berlapang dada dengan tidak mahu memanjangkan persengketaan jika pihak yang membuat tuduhan mengakui kesilapan mereka.

Pada saya penyataan maaf sudah mencukupi untuk menebus maruah saya yang tercalar dengan fitnah-fitnah yang dilemparkan.

Saya akui, kes yang terakhir ini telah memberi tamparan yang amat hebat kepada saya dan pasukan saya di Pejabat Menteri Besar yang sentiasa mementingkan amalan berteraskan ketelusan, pertanggungjawaban, dan kemahiran pengurusan selama saya menerajui pentadbiran kerajaan Negeri Selangor.

Tidak dinafikan juga bahawa kami berasa amat kecewa kerana ditewaskan oleh fitnah meskipun setelah bekerja keras selama 6 tahun melakukan reformasi pentadbiran khusus untuk kesejahteraan rakyat.

Langkah Kajang telah berjaya mengaibkan saya yang akhirnya menyebabkan saya kehilangan jawatan.

Namun, lebih malang lagi, strategi politik yang tidak bermoral ini telah turut menyebabkan keretakan dalam pemuafakatan antara parti komponen Pakatan Rakyat (PR) akibat sikap politik retorik dan hipokrit.

Akibatnya PAS – sebuah parti politik yang mempunyai kekuatan “grassroots” dan tenaga mereka kongsi sepenuhnya pada setiap pilihanraya – telah diketepikan dan dipecah-belahkan; bahkan pemimpin mereka turut terpalit dan diaibkan.

Permainan politik yang begitu dasyat ini hanya merugikan rakyat terutama di Selangor di mana isu-isu pokok telah diabaikan.

Penstrukturan Air Selangor masih belum dapat dilakukan dengan lancr sebagaimana sepatutnya, tanah Selangor diserahkan kembali kepada golongan “rentier” yang hanya mengaut laba atas angin, masalah sampah masih berleluasa serta hala tuju pentadbiran negeri yang masih kabur.

Sebagai seorang Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dipilih secara sah oleh rakyat, saya mahu berusaha untuk mewujudkan satu suasana politik yang menguntungkan rakyat.

Justeru setelah maruah saya ditebus dengan kenyataan maaf oleh PKR lantas terbukti bahawa segala tohmahan yang dilemparkan ke atas saya ternyata fitnah semata-mata maka saya kini boleh memberi tumpuan penuh untuk melakukan usaha ini.

Terima kasih saya ucapkan kepada barisan peguan saya Edmund Bon. Joshua Tay dan Lee Shee Pin dari BON Advocates atas khidmat guaman professional yang telah diberikan,

Saya juga mengambil kesempatan ini mengucapkan terima kasih kepada penyokong-penyokong saya yang tidak jemu-jemu memberi sokongan dan kata semangat kepada saya dari bermulanya kemelut Langkah Kajang sehinggalah ke hari ini.

Saya sedar ramai yang agak kecewa apabila saya menyelesaikan kes ini dengan menerima pernyataan maaf dari para Defendan namun pada saya ini adalah tindakan terbaik yang perlu dilakukan apatah lagi kita masih berada di dalam bulan Syawal, bulan kemenangan bagi umat Islam.

Sekian, terima kasih

Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim merupakan bekas Menteri Besar Selangor selama enam tahun (2008-2014). Beliau juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak dan ADUN Pelabuhan Klang
Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT

Penganjur Bersih 4.0 pentingkan diri sendiri-KPN


Penganjur Bersih 4.0 pentingkan diri sendiri-KPN
KPN mendakwa penganjuran Bersih tidak lagi untuk memperjuangkan
pilihan raya bersih namun lebih menjurus untuk menjatuhkan kerajaan.

Penganjur Bersih 4.0 didakwa mementingkan diri kerana sanggupmengadakan demonstrasi yang akan menjejaskan kehidupan harian orang ramai terutama peniaga dan pemandu teksi.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata nama Bersih hanyalah sekadar gelaran namun hakikatnya penganjur tidak mahu mematuhi undang-undang.

“Mereka minta ‘clean’ (bersih) itu, ‘clean’ ini tetapi diri sendiri kotor tidak mahu mematuhi undang-undang. Dia tidak mahu menjaga kepentingan orang lain, dia nak jaga hak dia sahaja, sesuka hati berhimpun.

“Cuba kita tengok, bila mereka mengadakan perhimpunan semua tutup kedai.

Mereka (peniaga) ini tidak ada hak ke. Jadi, fikirkanlah juga hak orang lain,” katanya mengulas cadangan penganjuran demonstrasi BERSIH 4.0 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur; Kuching (Sarawak) dan Kota Kinabalu (Sabah) pada hujung bulan ini.

Khalid berkata, pihaknya juga mendapati penganjuran Bersih tidak lagi untuk memperjuangkan pilihan raya bersih namun lebih menjurus untuk menjatuhkan kerajaan.

“Ini saya bagi ingatan … jika ini tujuan mereka (jatuhkan kerajaan), polis akan ambil tindakan-tindakan pencegahan dan saya ingatkan enganjur-penganjur Bersih agar berhati-hati,” katanya yang dipetik daripada Bernama.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas majlis perbarisan tamat latihan dan pentauliahan Kor Suksis Insitutut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) kali ke-11 di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, di Batu Pahat, Johor.

Mengulas pendedahan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam bahawa terdapat gerakan untuk menggulingkan kerajaan yang didalangi seorang tokoh UMNO dengan sokongan anggota Parlimen pembangkang,

Khalid berkata polis sedang memantau perkembangan yang berlaku ketika ini.
“Jika mana-mana orang dan parti politik cuba menurunkan kerajaan sedia tanpa mengikut Perlembagaan dan undang-undang (ia kesalahan serius), kita akan ambil tindakan,” katanya.

PKR sokong undi tak percaya dengan syarat Anwar dibebaskan


PKR sokong undi tak percaya dengan syarat Anwar dibebaskan
PKR juga perlu melihat siapa bakal menggantikan Najib sebelum
memberi sokongan kerana tidak guna menyokong jika penggantinya lebih teruk.

PKR sedia menyokong undi tidak percaya terhadap Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak di Parlimen dengan syarat Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu dibebaskan dari penjara.

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, syarat-syarat lain ialah kerajaan yang baharu perlu melaksanakan reformasi pentadbiran kerajaan dan negara.

“Kalau mereka setuju barulah kita berikan sokongan terhadap undian tidak percaya,” katanya yang dipetik dari portal BNBBC.

Sementara itu, Pengerusi Biro Pelaburan dan Perdagangan PKR, Wong Chen berkata, tiada guna menyokong usaha menggulingkan Perdana Menteri menerusi undi tidak percaya jika penggantinya lebih teruk.

Jelasnya, PKR perlu juga melihat siapakah individu yang bakal menggantikan Najib sebelum membuat keputusan menyokong undi tidak percaya.

Ahli Parlimen Kelana Jaya itu berkata, walaupun PKR tidak terlibat dalam konspirasi menggulingkan Najib menerusi undi tidak percaya tetapi sedia menyokong usaha ke arah itu.

“Kita tidak tahu dan ini tidak ada kaitan dengan pembangkang. Cuma yang kita dengar usaha ini datang dari UMNO sendiri. Mungkin Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ku Li atau Tun Dr Mahathir Mohamad,” katanya.

Wong Chen berkata, usaha menjatuhkan Najib menerusi undi tidak percaya memerlukan 112 undian.
Jelasnya pada masa sekarang, pakatan pembangkang memiliki 88 kerusi Parlimen dan BN memerlukan 24 kerusi untuk menjatuhkan Najib.

“Kalau kita setuju sekalipun kita kena tengok siapa penggantinya. Jika bakal menggantikan Najib lebih teruk, tidak guna jugalah,” katanya, lapor portal itu.

Demonstrasi jalanan budaya ‘makhluk’ asing-SSK


Demonstrasi jalanan budaya ‘makhluk’ asing-SSK
Demonstrasi yang dianjurkan tidak dapat menyelesaikan masalah sebaliknya menyulitkan keadaan

Rakyat Malaysia diminta tidak terpengaruh dengan demonstrasi jalanan yang dianjur Bersih 4.0 pada 29 dan 30 Ogos ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Mohd Salleh Said Keruak menyifatkaan bantahan itu sebagai budaya makhluk asing.

“Kita di Malaysia jangan terpengaruh alien culture ini, demonstasi jalanan tak selesaikan masalah..hanya sekadar menentukan perasaan kita diusik sehingga kita jadi rakyat yang memberontak,.

“Ini bukan amalan yang patut ada pada kita,” katanya pada sidang media selepas melepaskan peserta ‘Kayuhan Sehati Sejiwa’ sempena sambutan Hari Kebangsaan di Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada Ahad.

Salleh yang juga merupakan Timbalan Pengerusi UMNO Sabah menambah demonstasi jalanan itu turut mempunyai motif yang berbeza pada kali ini.

“Kerana mereka campur dalam urusan proses demokrastik kerana mereka nak Perdana Menteri turun, kerajan perpaduan dan dalam masa enam bulan mahukan Pilihan Raya Umum.

“Perkara ini dah ambil alih (tugas) pihak tertentu seperti SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) yang menentukan bila pilihan raya akan dilakukan,” katanya.

Pembangkang sangkal kewujudan Akuan Bersumpah


Pembangkang sangkal kewujudan Akuan Bersumpah
Pemimpin pembangkang nafi kenyataan Zahid dan mempersoal dakwaan yang ditimbulkannya

Beberapa Ahli Parlimen daripada pembangkang menafikan wujudnya gerakan pihak tertentu bagi mendapatkan Akuan Bersumpah bagi menjatuhkan Perdana Menteri Datukk Seri Mohd Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata, menjelaskan beliau sendiri tidak mengetahui isu seperti yang didakwa oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Saya baru tahu apabila awak (wartawan) beritahu saya mengenai berita ini.
“Saya langsung tidak mempunyai apa-apa maklumat mengenai hal ini,” katanya, yang dipetik daripada Sinar Harian Online.

Kenyataan yang sama turut dikongsi Ahli Parlimen Rasah, Teo Kok Seon yang menjelaskan dia tidak didatangi mana-mana pihak untuk membincangkan perkara itu.

“Ini adalah satu berita baru. Saya juga ingin tahu, Ahli Parlimen mana yang melakukan perkara ini,” katanya kepada portal itu.

Sementara itu, Ahli Parlimen Bukit Katil, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, dakwaan yang dilakukan oleh Zahid Hamidi itu adalah tidak benar.

“Saya ingin tegaskan bahawa sebagai ahli parlimen, kita mengangkat sumpah untuk mempertahankan prinsip demokrasi yang digariskan dalam Perlembagaan,” katanya.

Mereka memberikan reaksi berkenaan, susulan kenyataan Zahid pada Sabtu yang mendedahkan terdapat konspirasi di kalangan pembangkang, Barisan Nasional (BN) dan UMNO sendiri untuk menyingkirkan Najib.

Shafie cabar kerajaan siasat dakwaan Zahid


Shafie cabar kerajaan siasat dakwaan Zahid
Siasatan perlu dibuat untuk mengetahui sejauh mana kebenaran dakwaan gerakan guling kerajaan.

Pihak berkuasa diminta menyiasat dan mengambil tindakan terhadap anggota parti yang didakwa terlibat dalam gerakan untuk mengguling kerajaan.

Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, ia perlu dibuat untuk mengetahui sejauh mana kebenaran dakwaan itu.

“Sekiranya terbukti ada mana-mana anggota parti yang terlibat dan ia bercanggah dengan undang-undang, maka ia boleh diambil tindakan kerana kita perlu faham dengan sistem demokrasi serta ada peraturan tertentu yang perlu dipatuhi,” katanya yang petik daripada Bernama.

Beliau yang ditemui pemberita selepas melakukan lawatan kerja di Pulau Larapan, di Samporna mengulas demikian berhubung kenyataan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Dalam Negeri pada Sabtu.

Zahid mendakwa wujudnya gerakan menggulingkan kerajaan yang didalangi pembangkang serta pemimpin Barisan Nasional (BN) dan UMNO.

Tun Mahathirpun minta derma dari Asia Barat-SSK


Tun Mahathirpun minta derma dari Asia Barat-SSK
Derma RM1 billion digunakan untuk membangunkan kampus UIA di Gombak

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pernah meminta dana RM1 bilion daripada negara Asia Barat.

Menteri Penerangan Datuk Seri Dr Mohd Salleh Said Keruak (SSK) menjelaskan, jika dibandingkan dengan sekarang, nillai 30 tahun lalu itu jika dibandingkan pada masa sekarang sudah tentu lebih besar.

Jelasnya, mengambil pertimbangan faktor inflasi, apa yang bernilai RM1 bilion pada 1983 kini mencecah lebih RM10 bilion.

Bagaimanapun dalam entri blognya, sskeruak.blogspot.com, menulis dana itu digunakan untuk membangunkan Universiti Islam Antarabangsa (UIA).

“Dr Mahathir meminta bantuan kewangan daripada negara Asia Barat dan lapan negara daripada Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) bersetuju untuk menaja menubuhkan universiti,” katanya.

Rakyat Malaysia tidak minat dengan demonstrasi


Rakyat Malaysia tidak minat dengan demonstrasi
Nur Jazlan berkata selepas 2013 rakyat lagi tidak
menunjukkan minat untuk terbabit dengan demonstrasi

Rakyat Malaysia dikatakan tidak mempunyai sentimen yang tinggi untuk melakukan demonstrasi walaupun wujud perasaan tidak puas hati dengan kerajaan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata rakyat kini bersikap rasional dan memikirkan jangka masa panjang negara.

“Pada zaman demonstrasi untuk (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim – semasa dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 1998), rakyat cenderung untuk menyertai, lama-lama kemudian ia berkurangan.

“Begitu juga dalam hal demonstrasi-demonstrasi lain seperti oleh Hindu Rights Action Force (Hindraf) dari tahun 2008-2013.

Selepas 2013, rakyat sudah tidak berminat,” katanya yang dipetik daripada Bernama.
Nur Jazlan membuat kenyataan itu ketika diminta mengulas cadangan penganjuran demonstrasi BERSIH 4.0 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur; Kuching (Sarawak) dan Kota Kinabalu (Sabah) pada bulan ini.

“Pada akhir bulan ini, kalau ada demonstrasi yang mengguna kaedah langgar undang-undang dan tidak berunding dengan polis, kita jangan ikut kerana saya takut ia menjadi demonstrasi yang boleh menganggu-gugat ketenteraman dan keselamatan awam,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Aidilftri D’Mewah 2015 di Sekolah Kebangsaan Taman Bukit Mewah di Johor Bahru.

Sokong pemimpin yang melakukan perkara betul-Ku Li


Sokong pemimpin yang melakukan perkara betul-Ku Li
Veteran UMNO itu menyatakan, walaupun beberapa isu yang dikaitkan terhadap diri Najib,
beliau masih kekal sebagai penyokong Barisan Nasional (BN).

Isu wang derma sebanyak RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi Presiden UMNO dan kontroversi syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak menjadi menjejaskan sokongan Tengku Tan Sri Razaleigh Hamzah kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Ahli Parlimen Gua Musang itu menegaskan, walaupun beberapa isu yang dikaitkan terhadap diri Najib, beliau masih kekal dalam ‘backbencher’ Barisan Nasional (BN).

Namun, beliau yang lebih mesra dipanggil Ku Li tetap menyatakan hanya akan menyokong pemimpin yang melakukan perkara yang betul.

“Saya support siapa yang melakukan perkara yang betul.

“Yeah, saya masih berada dalam barisan backbencher. Jadi, apa erti nya?” katanya kepada pemberita apabila ditanya mengenai sokongan beliau terhadap Najib di Bukit Jalil pada Sabtu.

Selain itu, Ku Li turut berharap agar semua pihak terutamanya pemimpin negara melakukan perkara yang betul dan terangkan kepada rakyat agar rakyat tidak keliru terhadap isu-isu semasa.

“Semua pemimpin mesti tunjuk mereka pemimpin yang boleh dipercayai orang ramai. Lakukan apa yang patut, seperti mana yang dilakukan rakyat kepada kita.

“Tak boleh kita lakukan perkara yang luar biasa dan itu akan menimbulkan tanda tanya. Itu juga tidak baik untuk parti kita (UMNO),” ujar beliau lagi.

Bahasa kesat bukan budaya UMNO


Bahasa kesat bukan budaya UMNO
Rahman Dahlan mengingatkan ahli tidak mengamalkan budaya samseng untuk tegur pemimpin

Penggunaan bahasa kesat untuk menegur pucuk pimpinan parti bukan budaya dalam UMNO.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata parti orang Melayu itu mengamalkan budaya dan nilai yang tinggi yang menjadi tunjang kepada kelangsungannya selama ini.

“Itu (teguran menggunakan bahasa kasar) bukan budaya UMNO. Itu budaya samseng atau budaya yang asing daripada UMNO,” katanya ketika merasmikan mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Langkawi pada Sabtu.

Beliau mengulas tindakan seorang perwakilan Wanita UMNO Langkawi yang menggunakan bahasa kesat semasa mengkritik Presiden UMNO Datuk Seri Najib Razak.

Abdul Rahman yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata UMNO tidak pernah menghalang anggotanya mengkritik kepimpinan parti bagi memastikan kekukuhan parti tetap terpelihara namun perlu menggunakan bahasa sesuai.

Katanya, kerisauan dan kegelisahan yang dialami anggota UMNO masa kini berhubung polemik politik semasa tidak seharusnya mendesak mereka melangkaui batasan sehingga boleh memporak-perandakan parti.

Abdul Rahman berkata, mereka perlu berfikir secara rasional dan tidak mudah mempercayai tohmahan yang dibuat oleh pihak-pihak tertentu yang cuba mengambil kesempatan.

Katanya, isu-isu yang dihadapi sekarang mengambil masa untuk diselesaikan dan meminta setiap anggota UMNO agar tidak gelojoh untuk mendapat jawapan ke atas semua isu itu secepat mungkin.
-BERNAMA

Ismail Sabri guna pendekatan bermusuhan-MCA


Ismail Sabri guna pendekatan bermusuhan-MCA
Datuk Seri Liow Tiong Lai menegaskan kewujudan
pasaraya sepatutnya terbuka kepada semua kaum.

MCA membantah cadangan penubuhan Low Yat 2 kerana ia akan menjejaskan hubungan antara kaum.

Presidennya, Datuk Seri Liow Tiong Lai menegaskan kewujudan pasaraya sepatutnya terbuka kepada semua kaum.

Beliau menyifatkan idea dibuat Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk membukanya kepada Bumiputera sahaja sebagai pendekatan bermusuhan.
Tambahnya lagi, percubaan seperti itu akan meluaskan jurang antara kaum.

“Sebagai pemimpin dalam kerajaan, beliau (Ismail Sabri) tidak sepatutnya mencadangkan pasaraya untuk satu kaum, terutamanya dalam pasaran yang berbilang kaum. Kenyataan sedemikian hanya akan mengganggu keharmonian di negara kita, ” katanya yang dipetik daripada Mstar Online.

Jelasnya, cadangan Low Yat 2 berbeza dengan Plaza Low Yat sedia ada kerana ia terbuka kepada semua dan bukan hanya kepada kaum Cina.

Akuan Bersumpah untuk singkir Najib


Akuan Bersumpah untuk singkir Najib
Ahmad Zahid Hamidi enggan mendedahkan identiti tokoh berkenaan dan
membuat dakwaan itu berdasarkan maklumat dari sumber-sumber yang dipercayai.

Seorang tokoh UMNO didakwa sedang berusaha usaha untuk mendapatkan Akuan Bersumpah daripada Ahli Parlimen sama dari Barisan Nasional (BN) dan pembangkang dalam usahanya menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan perkara tersebut setelah mendapat maklumat dari sumber-sumber yang beliau sangat percayai.

“Sehingga kini ada 88 Ahli Parlimen pembangkang termasuk bebas dan ada usaha untuk menarik Ahli Parlimen BN menyertai usaha itu.

“Hairannya, ia diketuai oleh pemimpin UMNO, tetapi saya tidak mahu menamakan siapa. Biarlah masa yang menentukan,” katanya sewaktu berucap bagi merasmikan UMNO Bahagian Ampang Kali Ke 12 pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Zahid menyatakan peguam kepada tokoh UMNO itu sedang menyiapkan memorandum sebanyak tujuh helai.

Ia juga disertakan dengan kertas kuning untuk disembahkan kepada Yang DiPertuan Agong dan ia akan dikepilkan bersama akuan berkenaan untuk menyatakan mereka mendapat suara majoriti.

Jelas Zahid lagi, selaku Menteri Dalam Negeri, dan juga Timbalan Perdana Menteri yang baru sahaja dilantik, beliau tidak akan membiarkan perkara sedemikian berlaku.

“Sebagai Timbalan Presiden, Menteri Dalam Negeri, saya tidak akan benarkan ia terjadi.

Najib hadapi tentangan dari Utusan


Najib hadapi tentangan dari Utusan
Tulisan Ku Seman adalah sejarah pengulangan keberanian wartawan Utusan Malaysia
yang tidak gentar bersuara atas nama kebenaran.

Masih ramai wartawan yang percaya kepada kebenaran, mempunyai harga diri dan berani bersuara walaupun berada dalam keadaan tertekan.

Komentar Ku Seman Ku Hussein dalam ruangan tetapnya di Mingguan Malaysia antara tulisan yang mewakili kelompok itu.

Keberaniannya mengulas telah menggemparkan kalangan penyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak apabila Ku Seman menolak wang RM2.6 bilion yang dimasukan ke dalam akaun Najib adalah wang UMNO.

Hujahnya, jika ia wang parti sudah tentu telah di ketahui oleh pemimpin penting UMNO yang lain.
Bagi bekas Ketua Pengarang Utusan Malaysia, Tan Sri Zainudddin Maidin, tulisan Ku Seman adalah sejarah pengulangan keberanian wartawan Utusan Malaysia yang tidak gentar bersuara sejak lebih 50 tahun lalu.

“Utusan sekarang sedang berhempas pulas berjuang untuk mempertahankan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib, tetapi dalam pada itu, Ketua Pengarangnya yang bijaksana, tidak dapat menahan kebangkitan dari dalam akhbar itu yang mendedahkan perasaan sebenar di sebalik sokongan yang diperbesarkan,” tulisnya di zamkata.blogspot.com.

Menurut Zainuddin atau Zam, setakat ini belum diketahui lagi nasib Ku Seman, walaupun telah heboh mengatakan beliau dipecat.

Jelasnya lagi kebangkitan dari dalam ini telah juga disertai oleh beberapa orang anggota kanan Jabatan Pengarang Utusan Melayu lainnya dan ramai lagi yang sedang memendam rasa pastinya akan turut bersuara sama ada dari dalam atau dari luar.

“Setakat ini yang telah bersuara secara sinis, ialah Penulis Kolum Cuit Cuit yang terkenal, Datuk Zaini Hassan yang juga ketua kepada persatuan bekas-bekas pelajar UiTM yang mempunyai ribuan anggota. Seorang lagi Pengarang Kanan yang juga kolumnis terkemuka Utusan Zulkfili Bakar,” tulis Zam sebelum mengakhiri blognya.

Pas sedia umum dana politik


Pas sedia umum dana politik
Parti itu mempunyai rekod dan catatan lengkap mengenainya dan
tidak mempunyai halangan untuk mengisytihar semua sumbangan dana yang diterimanya.

PAS bersedia untuk mengumumkan jumlah dana politik yang diterima parti itu selaras dengan pengumuman penubuhan Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik (JKNMPP) .

Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan berkata mereka mempunyai rekod dan catatan lengkap mengenainya dan tidak mempunyai halangan untuk mengisytihar semua sumbangan dana yang diterima oleh parti itu.

“Kita tak ada masalah untuk umumkan dana ini sebab biasanya kami terima dana daripada sumbangan terbuka, malah kalau dalam program seperti ceramah dan sebagainya kita umumkan berapa jumlah kita dapat pada masa itu,” katanya.

Beliau berkata berdasarkan undang-undang, setiap parti politik dibolehkan mencari dana dari luar dan hanya perlu mengisytiharkan senarai perbelanjaan parti dalam musim pilihan raya.

“Memiliki dana dan perbelanjaan semasa musim pilihan raya adalah dua perkara berbeza, itu kena jelas,” katanya.

Ketika mengumumkan penubuhan JKNMPP di Putrajaya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata ia bertujuan merangka satu pelan pembiayaan politik berintegriti yang komprehensif dan inklusif.

Takiyuddin berkata, keanggotaan JKNMPP perlu dibuka kepada semua parti politik termasuk pembangkang bagi memastikan pelan tindakan yang akan dihasilkan telus dan menyeluruh.

“Setiap parti politik perlu mempunyai wakil sebagaimana jawatankuasa-jawatankuasa lain yang dibentuk di peringkat nasional,” katanya.

-BERNAMA

KJ minta akar umbi bersuara perbetul keadaan


KJ minta akar umbi bersuara perbetul keadaan
pemimpin dan ahli parti perlu sama-sama bermuhasabah
dengan pandangan semua pihak adalah cara terbaik mengatasi masalah dihadapi UMNO.

Ahli akar umbi UMNO diminta menggunakan peluang sepanjang mesyuarat perwakilan bahagian yang berlangsung untuk membantu menyelesaikan krisis keyakinan rakyat yang dihadapi parti itu.

Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, berkata dalam keadaan kritikal sekarang, pemimpin dan ahli parti perlu sama-sama bermuhasabah dengan pandangan semua pihak adalah cara terbaik mengatasi masalah dihadapi sekarang.

“Gunakanlah pentas dan peluang sepanjang mesyuarat perwakilan sekarang untuk sama-sama membantu parti menyelesaikan krisis sekarang dengan cara dan pendekatan berhemah,” katanya yang dipetik daripada Berita Harian Online.

Dalam ucapannya ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Lumut pada malam Sabtu, dia menjelaskan sejak penubuhannya hingga sekarang kekuatan UMNO terletak kepada komitmen ditunjukkan oleh ahli akar umbinya.

Katanya kumpulan berkenaan mempunyai peranan besar bagi memastikan kelangsungan UMNO.

“Jika ahli akar umbi masih buat tidak peduli, saya bimbang kegusaran rakyat sekarang akan bertukar kepada kemarahan dan ia boleh berubah kepada penolakan terhadap UMNO dan seterusnya menjadi sebab kepada kekalahan kita pada pilihan raya akan datang,” katanya.

Sarawak Report dah macam Quran untuk orang Melayu – Aziz Kaprawi


Sarawak Report dah macam Quran untuk orang Melayu – Aziz Kaprawi
Beliau mempersoalkan niat pihak tertentu untuk menyedarkan
 orang Melayu yang kononnya ditipu bangsa sendiri.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Aziz Kaprawi meluahkan kebimbangan terhadap orang Melayu yang terlalu percaya laporan Sarawak Report sehinggakan dianggap ‘al-Quran bagiorang Melayu’.

Katanya, orang Melayu perlu sedar laporan Sarawak Report diambil daripada dokumen Justo dan digunakan oleh DAP untuk mengkritik kerajaan.

Timbalan Menteri Pengangkutan itu berkata, peluang itu akan digunakan oleh DAP untuk menguasai negara dan membubarkan agama rasmi.

“Sarawak Report tu dah macam Quran untuk orang Melayu, tapi kita tahu rujukan tersebut menggunakan dokumen melalui Justo, inilah DAP punya peluang, budak-budak dia kalau DAP berjaya, dia akan bubar agama rasmi.

“Ini satu perkara membimbangkan, bagi pihak Pakatan mereka (DAP) sangat domina semua kena dengar cakap dia, tengok Hadi tak dengar cakap dia, dia buang Hadi, kalau mereka menang, mereka akan letakkan Melayu jadi pak turut, kira-kira Wan Azizah adalah calon yang bagus pada mereka,” katanya yang dipetik dari portal BNBBC.

Ahli Parlimen Sri Gading itu turut mempersolkan niat baik ‘pihak asing’ yang kononnya cuma memberi kesedaran kepada bangsa Melayu seolah-olah ditipu oleh bangsa sendiri.

Beliau menasihatkan orang Melayu supaya berhati-hati kerana tujuan ‘orang asing’ itu hanya untuk menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana beliau satu-satunya pemimpin yang cuba membawa transformasi ekonomi dan politik Malaysia.

“Pelik bila orang Melayu nak kena dengar cakap orang putih, Melayu semua dengar cakap mereka, pemimpin kita dah tak nak dengar, cuba fikir mereka ini jujurkah? Nak tolong orang Melayukah? Bagi maklumat nak tolong orang Melayu?

“Ini semua adalah konspirasi dari Justo, pemilik The Edge, Tony Pua untuk jadikan 1MDB sebagai alat untuk menghuru-harakan negara dan seterusnya menumbangkan kerajaan sedia ada, jadi siapa yang perlu berwaspada? Kitalah bangsa Melayu siapa lagi,” katanya.

Dr Zaleha Rektor UIA paling menghampakan – EXCO Selangor


Dr Zaleha Rektor UIA paling menghampakan – EXCO Selangor
Tindakan Rektor UIA sejak pelantikannya didakwa telah membawa
UIA kebelakang dari segi kebebasan akademik dan perkembangan ilmu.

Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Datuk Seri Dr Zaleha Kamaruddin didakwa rektor paling teruk dalam sejarah universiti susulan penggantungan dua mahasiswa.

EXCO Pendidikan Negeri Selangor, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, Dr Zaleha terlalu menitikberatkan politik UMNO berbanding memartabatkan UIA.

Katanya, mengimbau kembali perilaku dan tindak balas Dr Zaleha kepada beberapa perkara semenjak pelantikannya, ia seakan-akan UIA sudah lebih ke belakang dari segi kebebasan akademik dan perkembangan ilmu.

“Saya rasa tidak salah jika saya katakan bahawa Rektor yang sedia ada sekarang ini merupakan antara yang paling menghampakan di dalam sejarah Universiti tersebut.

“Rektor yang sedia ada terlalu menitikberatkan faktor politik UMNO – daripada berusaha mempertingkatkan martabat Universiti yang menampilkan moto ‘Taman Ilmu dan Budi’,” katanya menerusi kenyataan media.

UIA menggantung Presiden Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPP) , Hanif Mahpa dan Afiqah Zulkifli, EXCO MPP UIA selama dua semester (iaitu setahun) kerana menganjurkan forum GST dan menjemput Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli.

Ketua Angkatan Muda PKR itu menggesa UIA menimbang semula keputusan itu dan membenarkan kedua-kedua mahasiswa tersebut untuk menyambung pelajaran serta-merta.

“Saya juga ingin menyarankan agar UIA memulihkan kredibiliti Universiti dengan memberikan keutamaan semula kepada kepentingan akademik dan pelajar.

“Cukup-cukuplah mencalarkan reputasi sebuah institusi akademik yang dahulunya disegani ramai, tiada manfaat yang baik jika terus-menerus berpaksikan dasar dengan politik UMNO yang kolot,” katanya.

Pemuda UMNO Semporna minta Najib bercuti


Pemuda UMNO Semporna minta Najib bercuti
Selain bercuti, mereka juga meminta supaya penangguhan Pemilihan UMNO
dibatalkan dan siasatan 1MDB perlu dilakukan secara telus.

Pemuda UMNO Bahagian Semporna membangkitkan beberapa isu yang perlu diberi perhatian serius oleh pucuk pimpinan parti khususnya Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dalam perbahasan, perwakilan membangkitkan isu supaya penangguhan Pemilihan UMNO dibatalkan dan diadakan mengikut jadual, meminta Najib mengambil cuti rehat sehingga siasatan selesai dan memastikan siasatan 1MDB dibuat secara telus.

Mengulas perkara itu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata,
pucuk pimpinan parti perlu mendengar suara akar umbi supaya parti dapat diperkuatkan semula.

“Ini terpulang kepada ahli parti (isu yang dibahaskan) Kita perlu dengar suara akar umbi bagi menguatkan parti. Jangan belakangkan suara mereka.

“Ini amat penting kerana kita mahu parti kita menjadi pilihan generasi muda . Kita mahu dengar pandangan dan teguran mereka,” kata Shafie dalam sidang media di Sekolah Menengah Kebangsaan Bugaya 2 pada Jumaat.

Shafie serta Tan Sri Muhyiddin Yassin digugurkan daripada Kabinet pada 28 Ju;ai lalu selepas mengkritik 1MDB dan Najib.

Sementara itu, Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun berkata, pergerakan itu akan memastikan suara akar umbi Pemuda sentiasa diberi perhatian.

“Tidak salah untuk kita raikan perbezaan pendapat. Mesyuarat begini adalah waktu terbaik untuk kita berhujah dan berbahas.

“Pemuda Umno akan sentiasa mendengar suara akar umbi dan kami percaya Presiden (Najib) juga akan mendengar pendapat-pendapat ini,” kata Khairul selepas merasmikan mesyuarat itu.

Ku Nan bimbang rakyat Malaysia mudah percaya fitnah


Ku Nan bimbang rakyat Malaysia mudah percaya fitnah
Rakyat Malaysia menjadi 'pakar' dalam banyak
bidang selepas membaca berita-berita di media sosial.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor risau dengan sikap rakyat Malaysia hari ini yang terlalu percaya berita fitanh dan suka mendengar ‘cerita bukan-bukan’.

Katanya, masyarakat Malaysia telah menjadi ‘pakar’ dalam pelbagai bidang berdasarkan khabar angin yang disebarkan menerusi media sosial seperti Facebook, Twitter dan aplikasi WhatsApps.

“Dengan melihat Facebook, dengan melihat WhatsApps, dengan melihat twitter,..kita semua menjadi (masyarakat yang mendengar) khabar angin. Semua menjadi pakar. Menjadi pihak ketiga.

“Apa yang berlaku pada 1MDB, kita semua menjadi pegawai bank, menjadi konsultan kewangan padahal mereka tidak tahu apa yang berlaku sebenarnya..tolong lah,” katanya selepas menghadiri jamuan Aidilfitri dan Majlis Penyerahan Kunci Suasana Lumayan di Bandar Tun Razak pada Jumaat.
Setiausaha Agung UMNO itu mengakui beliau takut dan bimbang dengan dakyah-dakyah di Malaysia yang disebarkan menerusi media sosial pada hari ini.

Beliau yang lebih mesra dipanggil Ku Nan berkata, rakyat Malaysia seharusnya menjadi rakyat yang jujur dan hidup bersama dan tidak sepatutnya membazirkan kepada perkara yang tidak sepatutnya.

“Saya paling takut sekarang ni dengan dakyah-dakyah yang ada di sekeliling kita yang boleh membuatkan negara lain melihat negara kita sebagai tidak aman, sejahtera dan sentosa.

“Takkan nak bazir pada perkara yang tidak sepatutnya..jangan main api, takut termakan diri,” katanya.

Beliau berkata, masalah perkauman yang dibangkitkan media sosial sebenarnya tidak wujud di negara ini.

Buktinya, kata Ku Nan, beliau melantik Pengarah Eksekutif Pelaksanaan dan Penyelenggaraan, Dr Tan Keng Chock dalam Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebagai individu kedua terpenting selepas Datuk Bandar.

“Kita tidak ada masalah perkauman, kita semua hidup di Malaysia secara bersama.

“Tak guna kita bercakaran apatah lagi orang Melayu, satu agama, bangsa, cuma yang penting, jangan angkuh, sentiasa merendah diri dan hidup saling bekerjasama, dan yang penting jangan bermain api menyentuh lagi isu perkauman,” tegasnya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Rujukan