Cari Artikel

Sunday, August 16, 2015

Sudahlah lambat, basi lagi


Sudahlah lambat, basi lagi

Hasrat seorang pelanggan untuk menikmati makan malam tidak kesampaian selepas dia menerima makanan busuk dan basi.

Menurut Shafiq Fadhly dia memesan melalui talian makanan daripada sebuah rangkaian makanan segera pada jam 7.41 malam.

Bagaimanapun selepas setengah jam menunggu, dia menelefon semula untuk memeriksa makanan yang dipesannya tetapi tidak dilayan.

Bagaimanapun satu setengah jam kemudian pengurus cawangan berkenaan menggunakan telefon bimbit untuk menghubunginya dan memaklumkan pekerjanya yang bertanggungjawab untuk menghantar pesanan terbabit dalam nahas jalan raya.

Dia kesal kerana pengurus berkenaan mengambil masa lama untuk menghubunginya dan dengan acuh tidak acuh memberitahunya ia akan mengambil masa sejam lagi jika ingin meneruskan pesanan makanan.

Dia yang kelaparan menyatakan persetujuan dan menerima makanan berkenaan pada jam 9.50 malam.

Bagaimanapun sebaik ingin menjamahnya, dia terkejut kerana ia tidak seperti yang diharapkan.

Bagi meluahkan rasa terkilannya, Shafiq berkongsinya di laman Instagram dan mendapat pelbagai reaksi daripada orang ramai yang bersimpati dengannya.

Kejatuhan ringgit sahaja tidak cukup untuk tarik pelabur


Kejatuhan ringgit sahaja tidak cukup untuk tarik pelabur
Menurut Mukhriz kestabilan politik turut menjadi faktor untuk menarik pelabur ke negara ini

Kerajaan perlu berusaha keras untuk menyakinkan pelabur mengenai tindakan yang dilakukan bagi mewujudkan kestabilan politik di negara ini.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata , meskipun kejatuhan matawang ringgit dilihat memberi kesan positif kepada mereka melabur di Malaysia tetapi kestabilan politik juga menjadi faktor.

“Namun begitu, persepsi mengenai kestabilan politik negara perlu ditangani dengan baik dan kerajaan haruslah berusaha lebih keras untuk meyakinkan mereka (pelabur) bahawa ia adalah sebaliknya,” katanya sewaktu ditemui pemberita di Hotel Pullman, pada Khamis.

Mengulas mengenai projek Lapangan Terbang Antarabangsa di Kulim, Mukhriz berkata beliau kini sedang menunggu kajian daripada Unit Perancang Ekonomi (EPU).

“Ketika ini EPU masih menjalankan kajian mengenainya dan kerajaan negeri masih menunggu perkembangan terbaru mengenainya.

“Pada ketika ini, projek berkenaan juga telah menarik minat banyak pelabur luar seperti dari China dan beberapa negara lain,” ujarnya.

Bukan skop Bank Negara siasat akaun Najib


Bukan skop Bank Negara siasat akaun Najib
Zeti menjelaskan di bawah peruntukan undang-undang sedia ada,
ia tidak diberi kuasa untuk menyiasat akaun individu atau perniagaan.

Bank Negara Malaysia (BNM) mengesahan ia tidak melakukan dapat siasatan terhadap penyaluran dana sebanyak RM2.6 bilion ke dalam akaun Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Gabenornya, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz menjelaskan di bawah peruntukan undang-undang sedia ada, ia tidak diberi kuasa untuk menyiasat akaun individu atau perniagaan.

“Ini bukan skop BNM. Bank Pusat hanya membantu badan penguatkuasa lain yang menyiasat berdasarkan peruntukan undang-undang,” katanya.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan siasatan ke atas dana berkenaan boleh dibuat dari sudut ‘pematuhan institusi kewangan’

“Kami sedang menyiasat tentang pematuhan institusi kewangan berhubung isu ini…itu sahaja yang boleh saya nyatakan,” kata Zeti tanpa menyebut nama institusi kewangan yang dimaksudkannya.

Dalam sidang media selepas mengumumkan data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Suku Kedua, beliau turut memaklumkan Bank Negara telah selesai menjalankan siasatan terhadap transaksi yang dibuat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan laporan mengenainya telah dikemukakan kepada Peguam Negara untuk tindakan sewajarnya.

Jelaz Zeti, kertas siasatan itu, yang bermula pada Jun lepas, diserahkan kepada Peguam Negara awal minggu ini.

“Bank Negara berkongsi semua maklumat yang diperoleh berhubung mana-mana
akaun dengan pihak berkuasa berkaitan kerana kami bukan pihak berkuasa
penguatkuasaan bagi salah laku.

“Maklumat yang ada pada BNM berkaitan 1MDB diberikan oleh bank-bank tempatan
dan rakan sejawatan kami dari seluruh dunia,” katanya yang dipetik daripada Bernama.

Pemimpin UMNO taja Anina untuk kritik Najib – Jamal Yunos


Pemimpin UMNO taja Anina untuk kritik Najib – Jamal Yunos
Beliau sarankan UMNO Bahagian Langkawi mendapatkan
penjelasan daripada Anina dan menghantar laporan ke Ibu Pejabat UMNO.

Seorang Ketua UMNO Bahagian mendakwa ahli Wanita UMNO Langkawi, Anina Saaduddin telah ditaja supaya mengkritik kepemimpinan Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak menggunakan bahasa kesat.

Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Jamal Yunos mendakwa Anina ditaja oleh pemimpin UMNO sendiri untuk memburuk-burukkan Perdana Menteri secara terbuka.
“Saya percaya wanita ini (Anina) telah ada tauke, ditaja oleh pihak-pihak tertentu untuk berkata demikian.

“Dia (Anina) ditaja oleh pemimpin parti (UMNO) sendiri, malah saya tidak percaya yang wanita tersebut berani dan mempunyai idea untuk melakukan perkara tersebut selain disuruh dengan mendapat ganjaran tertantu,” katanya kepada FMT.

Mengulas lanjut, Jamal berkata, Anina tidak akan mengkritik dengan keras Presiden parti jika tidak didalangi pihak-pihak tertantu.

Ini kerana, katanya, sejak dulu lagi ahli dan pemimpin UMNO di peringkat bawahan telah dididik dengan budi bahasa serta hormat kepada pemimpin atasan.

“Ahli biasa dan jawatankuasa kepimpinan di peringkat bawahan tidak akan berani menggunakan kata-kata kesat sebab dalam UMNO mereka sudah dididik dengan budi bahasa serta hormat xmenghormati kepada pucuk pimpinan,” katanya.

Jamal berkata, pertelingkahan antara Presiden dan Timbalan Presiden parti telah membuka peluang kepada ahli UMNO untuk mengkritik pemimpin seperti yang dilakukan Anina.

“Inilah akibtanya apabila pemimpin nombor satu dan nombor dua tidak sehaluan, maka ahli di bawah telah mula menunjukkan bunga-bunga atau bersikap biadap kepada pucuk pimpinan dengan menggunakan bahasa yang tidak sepatutnya dikeluarkan.

Sehubungan itu, usahawan yang terkenal dengan rangkaian Restoran Sekinchan Ikan Bakar itu menggesa UMNO Bahagian Langkawi supaya memanggil Anina untuk memberi keterangan seterusnya menghantar laporan kepada UMNO Pusat tetapi tidak perlu memecat wanita itu.

Ancaman kumpulan ‘Anonymous Malaysia’, KPN keluar arahan berjaga-jaga


Ancaman kumpulan ‘Anonymous Malaysia’, KPN keluar arahan berjaga-jaga
Walaupun ancaman daripada kumpulan itu bukan kali pertama
namun pihaknya tidak mengambil ringan kerana ia melibatkan keselamatan negara.

Semua pihak dinasihat supaya tidak memandang ringan ancaman kumpulan ‘Anonymous Malaysia’ yang telah mengisytiharkan perang internet ke atas Malaysia dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, pihaknya telah mengeluarkan arahan berjaga-jaga kepada jabatan-jabatan kerajaan mengenai ancaman itu.

Baru-baru ini ‘Anonymous Malaysia’ memuat naik video mahu mengancam Kerajaan Malaysia dan mengisytihar perang terhadap Perdana Menteri melalui Facebook rasmi kumpulan itu, pada 4 Ogos lalu.

Dalam video terbabit, kumpulan itu mengisytiharkan perang internet terhadap Kerajaan Malaysia dan Najib dan menjangkakan serangan akan berlaku pada 29 hingga 30 Ogos ini, bermula 6 petang hingga 5 petang keesokannya.

Kumpulan itu memberi amaran, serangan dibuat selaras dengan demonstrasi Bersih 4.0 yang akan diadakan pada tarikh sama.

“Kita telah mula menyiasat dan kita tidak mengambil ringan (ancaman kumpulan terbabit). Kita akan cuba kenal pasti siapa Anonymous.

“Sama ada kebetulan atau tidak kita tetap akan berjaga-jaga,” kata Khalid pada sidang media selepas merasmikan Hari Inovasi PDRM 2015 Sempena Penutupan Sambutan Hari Polis ke-208 pada Khamis.

Khalid berkata, walaupun ancaman daripada kumpulan itu bukan kali pertama namun pihaknya tidak mengambil ringan kerana ia melibatkan keselamatan negara.

Guru wanita cedera bergelut dengan penyamun


Guru wanita cedera bergelut dengan penyamun
Suspek yang bersenjatakan parang telah melibas wanita itu
beberapa kali menyebabkan mangsa mendapat enam jahitan di kepala.

Seorang guru wanita bertindak berani melawan penyamun yang di sebuah kedai serbaneka di Pagoh, Muar.

Dia bertekad untuk bergelut sebaik beg tangannya cuba dirampas suspek.

Dalam kejadian pada jam 6.42 pagi Rabu, kelihatan seorang lelaki memasuki premis berkenaan dan kemudian cuba meragut beg tangan guru berkenaan yang ketika itu berada di kaunter.
Dia yang enggan menyerah kemudian bertindak melawan.

Berdasarkan visual rakaman litar kamera tertutup (CCTV), dua pekerja kedai berkenaan kelihatan tergamam dan mula cuba bertindak selepas mangsa jatuh selepas bertarung dengan lelaki itu.

Dia mengalami kecederaan dikepala dipercayai akibat terkena senjata tajam yang digunakan untuk merampas beg tangannya.

Suspek kemudian berjaya melarikan dengan menaiki sebuah kereta jenis Perodua Myvi warna hitam yang menunggu di tepi jalan bersama beg tangan.
Selain mengalami kecederaan, mangsa turut menanggung kerugian RM700 dalam kejadian berkenaan.

“Ni kalu penyamun tu kena tangkap pastu kena balun balik ngan parang dia bawak tu..mesti ada yg kata “kesiannya..kena pukul mcm tu skali..bw je la p balai” keh3x….hurmmmm.

“Apapun tahniah buat cikgu tu, berani lawan blk walaupon berisiko like emoticon semoga cepat sihat,” tulis Mohd Faiz Mohd Khalid.



Aktivis DAP Melayu nafi hina sultan


Aktivis DAP Melayu nafi hina sultan
Ia berkaitan kenyataannya di Facebook
#Sultanbukantuhan yang dibuatnya September tahun lau

Aktivis DAP, Syefura Othman, disiasat mengikut Akta Hasutan selepas polis menerima aduan mengenai kirimannya dalam facebook beliau yang didakwa menghina institusi diraja.

Menurut laporan yang dipetik daripada Ismaweb, dia yang lebih dikenali dengan panggilan Rara memaklunkan akan hadir di Balai Polis Dang Wangi pada Jumaat.

Dia akan diiringi bersama peguamnya, Gobind Singh Deo.

Rara mendakwa kenyataannya dalam Facebook pada tahun lalu berhubung isu aktivis Ali Abdul Jalil dan dan pensyarah undang-undang, Dr Azmi Sharom, tidak menghina sultan dan institusi beraja.

“Saya hanya membuat kiriman #Sultanbukantuhan. Itu saja, tetapi didakwa menghina raja-raja.

“Saya terkejut apabila polis datang ke rumah saya kira-kira jam 10 malam tadi, tetapi pada masa itu saya tiada di rumah. Mereka hanya memaklumkan bahawa saya perlu hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.

“Mengapa mereka tidak menghubungi saya? Mengapa saya dipanggil untuk disoal siasat selepas begitu lama,” katanya.

Menurutnya, dia menerima pesanan supaya hadir di balai polis Dang Wangi dihantar melalui Whatsapp yang dihantar oleh Asisten Superitendan Ahmad Khairuddin Alias.

Kami tahu siapa penyebar fitnah dan niatnya – Zeti Aziz


Kami tahu siapa penyebar fitnah dan niatnya – Zeti Aziz
Berdasarkan siasatan, Bank Negara menemui beberapa petunjuk
tujuan pihak terbabit membuat fitnah dan tuduhan palsu itu.

Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz memberi amaran akan mengambil tindakan undang-undang kepada pihak yang menyebar fitnah terhadap dirinya dam keluarga.

Beliau menegaskan, dakwaan pihak-pihak tertentu mengaitkan dirinya melakukan aktiviti yang menjejaskan demokrasi berparlimen sebagai tuduhan tidak berasas dan tidak benar.

“Tidak ada kebenaran tuduhan yang dilemparkan terhadap saya secara peribadi dan Bank Negara. Kami akan berusaha mengenalpasti pihak yang membuat tuduhan tersebut dan akan mengambil tindakan undang-undang terhadapnya,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar pada Khamis.

Bagaimanapun, Zeti memberitahu berdasarkan siasatan, Bank Negara menemui beberapa petunjuk yang boleh mengetahui tujuan pihak terbabit melakukan perkara demikian.

“Kita tahu siapa yang melakukan perkara tersebut dan pada masa ini kita belum mengenalpasti nama sebenar pelakunya,” ujarnya.

Baru-baru ini, sebuah blog tanpa nama telah menuduh Zeti dan beberapa individu terkemuka termasuk Timbalan Ketua Pesuruhjaya operasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Mohd Shukri Abdull dan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed serta Setiausaha Akhbarnya, Sufi Yusof telah melakukan aktiviti yang telah menjejaskan demokrasi berparlimen.

Perkara itu dipercayai ada hubungkaitnya dengan kontroversi membabitkan siasatan terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menurut Zeti, tujuh pegawainya telah disiasat oleh polis berhubung 1MDB.

“Saya tidak tahu sama ada saya akan dipanggil untuk diambil keterangan kerana baru pulang dari Amerika Syarikat.

“Kita di Bank Negara akan sentiasa memberi kerja sama kepada agensi-agensi penguatkuasaan undang-undang,” ujar beliau.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Rujukan