Cari Artikel

Saturday, August 15, 2015

Usaha jatuhkan Zeti gagal, petanda kerajaan Najib tertekan – Zam


Usaha jatuhkan Zeti gagal, petanda kerajaan Najib tertekan – Zam
Pengumuman Zeti akan terus kekal sebagai Gabenor Bank Negara
merupakan kemenangan kepada suara rakyat
dan ternyata usaha menjatuhkan beliau telah gagal.

Pengumuman berani Gebenor Bank Negara Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz bahawa beliau akan terus berkhidmat hingga tamat tempoh selama lima tahun yang berakhir pada tahun depan merupakan kemenangan suara rakyat.

Bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin berkata, ia juga satu kemenangan kepada mereka yang cintakan keluhuran Perlembagan dan mahu menegakkan sebuah kerajaan yang adil, tulus, amanah, jujur dan bersih.

Katanya, usaha pihak-pihak tertentu dalam mempersoal intergriti dan nama baik Zeti dalam dunia ekonomi dan kewangan antarabangsa ternyata telah gagal.

Antara usaha yang dilakukan ialah serangan tiba-tiba oleh Presiden Persatuan Dewan Perniagaan dan Perindustiran India, Tan Sri KK Eswaran dalam akhbar The Star pada 7 Ogos 2015 yang mendakwa Zeti telah membantu keluarganya untuk mendapat kontrak secara tidak beretika.

“Blog Tun Mahathir dan juga beberapa blog lain telah menyebutkan tentang kemungkinan beberapa tindakan diambil terhadap Zeti yang terlibat dalam siasatan 1MDB.

“Blog ini juga menyifatkan serangan tiba-tiba Eswaran terhadap Zeti yang tidak pernah bermusuhan dengannya sebagai usaha untuk menjatuhkan integriti keluarga Diraja Pak Ungku Aziz,” tulis Zam dalam blognya.

Bekas Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Melayu itu membuat kesimpulan, kegagalan serangan terhadap Zeti sebagai petanda kerajaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di bawah tekanan rakyat.

Ini dibuktikan apabila arahan pertukaran dua pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dibatalkan serta merta kerana perbuatan itu menyalahi undang-undang.

Mesej Anina wajar diambil kira – Mukhriz Mahathir


Mesej Anina wajar diambil kira – Mukhriz Mahathir
UMNO membenarkan ahlinya menyuarakan isi hati secara terbuka
tetapi elakkan mengguna kata-kata kesat yang boleh mencemari imej parti.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir kecewa dengan sikap Perwakilan Wanita UMNO Bahagian Langkawi, Anina Saaduddin yang menegur Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak menggunakan kata-kata kesat.

Namun, katanya, mesej yang disampaikan oleh Anina itu wajar diambil perhatian oleh setiap Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO.

“Kita memang bersifat terbuka dan kita membenarkan perwakilan untuk meluahkan isi hati. Namun sebarang keputusan itu mestilah dari maklumat yang kita dapat dari akar umbi. Jadi, kadang-kadang cara perasaan itu diluahkan dengan kata-kata yang agak kesat yang itu saya kesal.

“Saya cuba hendak memahami intipati mesej yang disampaikan dan walaupun kita boleh menegur di atas cara beliau menyampaikan mesej, tetapi saya ingat apa yang penting adalah isi yang beliau hendak sampaikan,” katanya sewaktu ditemui pemberita di Pullman Hotel, Bangsar pada Khamis.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah turut menyatakan sehingga ini, tidak ada sebarang tindakan yang diambil terhadap wanita berkenaan kerana tidak ada sebarang aduan dari UMNO Bahagian Langkawi.

“Setakat ini tidak ada apa-apa aduan dari UMNO Bahagian Langkawi, dan saya rasa biarlah kes ini dijadikan satu tanda aras supaya kita tidak melebihi had,” katanya.

Mengulas lanjut, Mukhriz turut tidak menafikan bahawa terdapat beberapa sayap di Kedah yang lain turut lantang menyuarakan pendapat mereka dan bukannya Anina sahaja.

“Saya juga dengar daripada Pemuda pun ada juga kenyataan-kenyataan dan ucapan penangguhan di peringkat mesyuarat pun boleh dianggap keras juga.

“Tapi kita mahu walau apa sekalipun yang hendak disampaikan, biarlah dengan cara yang berhemah kerana kadang-kadang kita tidak dapat mengawal emosi,” katanya.

‘Undangan kahwin’ dengan Azwan Ali: Azalina tetap `steady’


‘Undangan kahwin’ dengan Azwan Ali: Azalina tetap `steady’
Azalina tidak marah menjawab ejekkan itu sebaliknya
tenang kerana menganggap ia asam garam sebagai ahli politik.

Datuk Seri Azalina Othman Said bersikap profesional dan bijak apabila tidak melatah selepas mengetahui tersebarnya satu ‘undangan perkahwinan’ antara dirinya dengan selebriti Azwan Ali yang telah diedit dan menjadi viral di media sosial.

Menerusi Instagramnya, Ahli Parlimen Pengerang yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu menyatakan apa yang berlaku itu merupakan asam garam sebagai seorang yang terlibat dalam politik

“Hahaha…Nak buat macam…Asam Garam Politik, #hariharikenakutuk#kipidap #dungibap,” tulisnya menjawab beberapa pertanyaan daripada pengikutnya di laman sosial itu.

Jawapan Azalina itu telah dikongsi di laman blog sembangterbang.blogspot.com.

Menurut penulis blog itu, jika Azwan Ali memberi respon sama berhubung perkara itu sudah tentu individu yang menyebarkan kad undangan tersebut akan kena hamun sampai disumpah masuk neraka.

Tauke ‘terlajak laris’ kini mampu pakai Rolls-Royce


Tauke ‘terlajak laris’ kini mampu pakai Rolls-Royce
” Pemilik D'Herbs memuatnaik gambar bersama anak-anak dan
kereta Roll-Roycle yang baharu dibeli sebagai motivasi
kepada orang lain yang terlibat dalam perniagaan.

Pengasas produk kecantikan dan kesihatan terkenal D’Herbs, Datuk Aliff Syukri Kamarzaman berkongsi detik indah dalam hidupnya apabila impian untuk memiliki sebuah kereta mewah jenama Rolls-Royce, akhirnya tercapai.

Terkenal dengan tagline, Terlajak Laris, Aliff menerusi laman sosial Facebooknya tadi memuat naik gambar beliau yang memakai kain pelekat dan berselipar bersama anak-anaknya di samping kereta baharunya itu.

Beliau dalam kenyataan tersebut berkata, gambarnya bersama kereta mewah itu dikongsi bukan untuk tujuan menunjuk-nunjuk.

Sebaliknya, beliau berharap ia menjadi motivasi kepada orang ramai khususnya mereka yang terlibat dalam perniagaan supaya tidak mudah putus asa.

Aliff turut mengimbau kembali saat-saat kesukaran ketika mula berjinak dalam perniagaan menyatakan adalah perlu untuk seseorang itu mempunyai keazaman untuk mengubah hidupnya.

“…Alhamdulillah impian abg tercapai hari ni utk memiliki kereta idaman iaitu Rolrose.

“Selalu tngok filem org puteh ada kete ni jd nak juga merasa ….bukan tujuan untuk menunjuk jauh sekali meriak…

“Hanya utk memberi semangat bahawa kpd smua khususnya peniaga melayu wanita dan lelaki kita boleh berjaya walaupun siapapun anda!! yg pnting kita perlu berusaha bukan hanya khayalan dan angan2…,” tulisnya.

Beliau turut mengingatkan para usahawan muda supaya tidak terpengaruh dengan skim cepat kaya, sebaliknya perlu mengikut aliran yang betul dalam menjalankan perniagaan.

“Ingat jangan main no ekor atau skim cpt kaya sbb yg cepat naik cepat juga jatuh….

“Jd ikutlah aliran yg betul dlm perniagaan..jgn sampai yg dikendong x dapat yg dikejar berciciran dan fokus terhadap apa jua yg dilakukan dan Insya Allah ada rezeki menanti.

“Allah sangat sayangkan hambaNya yg rajin berusaha,” tulisnya yang dipetik dari Malaysian Digest.

Mural misteri sokong Muhyiddin di Kluang


Mural misteri sokong Muhyiddin di Kluang
Beberapa jam selepas itu satu lagi gambar dimuat naik dalam akaun
Instagram yang serupa, kali dengan dengan status dengan makna-makna lebih mendalam.

Sebuah lukisan mural dipercayai berimejkan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dikesan di bandar Kluang.

Walaupun lokasi lukisan masih belum dikenal pasti, tetapi lukisan mural itu telah diviralkan dalam sebuah akaun Instagram pelawak dan pelakon Shahrol Azizie Azmi, atau lebih dikenali sebagai Shahrol Shiro.

Status yang dimuat naik menyatakan ,”Operasi Sulit pun bermula..gambar siapakah yg akan dilakar dimalam hari ini???Nantikan warga Kluang”.

Dalam gambar itu, dua orang lelaki berdiri dengan menundukkan muka memegang semburan tin di tangan dalam suasana lampu malap berlatarkan potret seseorang yang masih belum selesa.

Beberapa jam selepas itu, satu lagi gambar dimuat naik dalam akaun Instagram yang serupa, kali ini dengan status dan kata-kata mendalam.

“Kami tidak pandai mengungkapkan kata2 yg indah utk menabur sebuah ‘JANJI’..Kami tidak memiliki wang yang banyak utk membeli sebuah ‘PERPADUAN’..Kami tidak memiliki badan segagah badang agar semua tunduk ‘HORMAT’..Tapi kami ada cara tersendiri..#AKUBUDAKKLUANG#SaluteTSMY #OnlyInKluang#MuafakatJohor #Success #Humble#Intelligent #Respect #OrangKampung@akubudakkluang,” tulis status tersebut.

Mural siap itu juga dalam suasana cahaya malap dengan beberapa orang dilihat duduk bersila di hadapan sambil menayangkan tanda ‘peace’ .

Mural itu juga ditandatangani dengan ‘#AkuBdakKluang SALUTE TSMY.

Muhyiddin digugurkan daripada Kabinet pada bulan lepas selepas mengkritik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan menggesa Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menjelaskan perkara sebenar kepada rakyat.

Anina kritik lagi kepemimpinan Najib


Anina kritik lagi kepemimpinan Najib
Dia mendakwa Datuk Seri Najib Tun Razak menangguhkan pemilihan
UMNO kerana tidak mampu mengekalkan jawatan Presiden.

Selepas muncul dengan rakaman video yang menuduh Datuk Seri Najib Tun Razak ‘kencing’ ahli UMNO, Ahli Wanita UMNO Bahagian Langkawi, Anina Saaduddin sekali lagi mengkritik kepemimpinan Najib selaku Presiden parti.

Anina berkata, Najib tidak akan mampu mempertahankan kedudukannya sebagai Presiden lantas mengambil keputusan menunda pemilihan selama 18 bulan.

Sehubungan itu, dia mempersoalkan atas dasar apa Najib berkata tiga juta ahli UMNO menyokongnya untuk terus kekal sebagai Presiden parti.

“Atas dasar apa Najib nak kata tiga juta ahli sokong beliau sedangkan pemilihan Umno yang akan datang, ditunda ke 2018.

“Kalau beliau tunda, maknanya beliau tidak yakin sokongan dalam pemilihan akan datang,” katanya seperti dilapor sebuah laman portal.

Menurut Anina lagi, bukan hanya dia sahaja yang memperkatakan mengenai krisis dalaman UMNO, sebaliknya beribu-ribu lagi ahli UMNO yang bercakap perkara itu.

Sebelum ini, Najib berkata penangguhan selama 18 bulan itu dibuat bagi mengukuhkan parti, manakala Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengakui ia ditangguh kerana krisis semasa.

Secara berseloroh, Anina berkata `sekiranya ditanya 10 ahli UMNO sama ada percaya dan yakin akan kepimpinan Najib, berkemungkinan 12 orang kata tidak yakin’.

Anina juga menerusi ucapan lantangnya sebelum ini turut mengkritik tindakan Najib menggugurkan Timbalannya. Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Naib Presiden. Datuk Seri Mohd Shafie Apdal daripada Kabinet Malaysia.

Anina turut membayangkan UMNO umpama `terbang sebelah sayap’ apabila Muhyiddin dan Shafie digugurkan.

Lelaki meraung akibat peha tertusuk besi


Lelaki meraung akibat peha tertusuk besi
Mangsa tersepit ditempat duduk dengan peha kanannya tertusuk batang besi

Seorang lelaki hanya mampu meraung kesakitan apabila peha kanannya tertusuk besi selepas dia terlibat dalam kemalangan.

Mangsa Zakaria Kassim, 39, yang memandu kereta jenis Proton Saga model BLM telah merempuh belakang sebuah treler di Kilometer 45, Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak.

Kejadian berlaku kira-kira jam 7.41 pagi, Khamis.

Difahamkan, mangsa dalam perjalanan ke Kuantan dari Bentong.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Anuar Hassan dalam satu kenyataan berkata, lapan anggota bersama satu jentera bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan daripada orang awam.

Katanya, sebaik tiba di tempat kejadian, anggotanya mendapati mangsa tersepit di tempat duduk pemandu dengan sebatang besi dipercayai besi belakang kenderaan berat itu tertusuk paha kanan mangsa.

Beliau berkata, pihaknya terpaksa menenangkan mangsa yang tidak dapat menahan kesakitan sebelum anggotanya bertindak memotong besi tersebut.

Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Bentong (HB) untuk mendapatkan rawatan kecemasan dan keadaannya dilapor stabil.

Bukan suka-suka tangguh siasatan 1MDB – Azalina


Bukan suka-suka tangguh siasatan 1MDB – Azalina
Azalina menegaskan kerajaan bukan sengaja mahu menangguhkan siasatan
PAC terhadap 1MDB sebaliknya, menunggu segala keperluan berkaitan dengannya selesai.

Kerajaan bukan sengaja mahu menangguhkan prosiding siasatan Jawataankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berhubung kes 1Malaysia Development Berhad 1MDB.

Sebaliknya, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab tentang hal ehwal Parlimen, Datuk Azalina Othman Said memberitahu, pelantikan Pengerusi dan Ahli Jawatankuasa PAC akan dibuat sebaik sahaja pertukaran Ahli-Ahli Jawatankuasa Pemilih selesai dilakukan.

“Saya ingin menegaskan bahawa kerajaan sama sekali tidak menangguhkan prosiding siasatan terhadap 1MDB oleh PAC dengan sengaja.

“Pelantikan Pengerusi PAC dan ahli jawatankuasa yang baharu akan dibuat pada 19 Oktober nanti.,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Menurut Azalina, pada masa yang sama, PAC juga diharapkan dapat memulakan kembali siasatan terhadap 1MDB selepas laporan penuh Ketua Audit Negara mengenai 1MDB disiapkan sepenuhnya.

Berdasarkan Peraturan Mesyuarat 77(2), Ahli Jawatankuasa PAC hendaklah dilantik oleh Jawatankuasa Pemilih dan dalam hal ini, pelantikan tersebut adalah mengikut Peraturan Mesyuarat 76(2) iaitu Jawatankuasa Pemilih akan memaklumkan kepada Majlis dengan mengeluarkan satu penyata apabila seseorang ahli Majlis telah dilantik menjadi ahli sesebuah Jawatankuasa.

Dalam perkembangan sama, Azalina berkata, terdapat juga kebarangkalian nama baharu daripada parti Pas susulan perpecahan Pakatan Rakyat.

“Ahli Jawatankuasa Pemilih akan terdiri daripada Ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan Pembangkang. Parti-parti akan mencadangkan beberapa nama baru termasuk BN yang akan mencadangkan nama Ketua Whip mereka. Pada masa sama, terdapat juga pertukaran Ahli Jawatankuasa yang mewakili parti MIC,” ujarnya.

Setelah segalanya selesai, Azalina berkata PAC boleh meneruskan semua tugas-tugas yang diamanahkan kepada mereka termasuk prosiding siasatan terhadap 1MDB.

Letupan kuat gegar bandar Tianjin


Letupan kuat gegar bandar Tianjin

Sekurang-kurangnya 17 maut dalam dua kejadian letupan yang berpunca daripada kebakaran di kawasan perindustrian di bandar pelabuhan Tianjin di China.

Angka itu dijangka bertambah memandangkan ramai lagi mangsa yang terbakar berada keadaan kritikal.

Media tempatan melaporkan letupan berlaku di kawasan gudang yang menyimpan bahan kimia berbahaya.

Menurut CCTV, kejadian berlaku pada jam 11.30 malam waktu tempatan menyebabkan gegarannya dapat dirasai beberapa kilometer.

30 saat selepas kejadian pertama satu lagi letupan berlaku.

Akhbar rasmi kerajaan People’s Daily melaporkan tiga anggota bomba antara mereka yang maut manakala jumlah mereka yang cedera mencecah 400 orang.


Hutang 1MDB selesai dalam tempoh enam bulan


Hutang 1MDB selesai dalam tempoh enam bulan
Kemelut itu akan dapat diatasi melalui penjualan penjualan
beberapa aset dan ekuiti dalam Tun Razak Exchange (TRX),
Bandar Malaysia dan Edra Global Energy

Pelaksanaan pelan rasionalisasi bagi mengurangkan kadar hutang oleh 1Malaysia Development Bhd (1MDB) berjalan lancar dan diyakini dapat mengurangkannya dalam masa empat hingga enam bulan.

Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1MDB, Arul Kanda berkata, usaha itu dapat dilaksanakan melalui penjualan beberapa aset dan ekuiti dalam Tun Razak Exchange (TRX), Bandar Malaysia dan Edra Global Energy.

“Saya yakin tempoh masa itu bersesuaian dengan keadaan syarikat dan juga keadaan pasaran,” kata beliau dalam program Soal Jawab TV3.

Dia berkata pelabur yakin terhadap aset 1MDB yang mempunyai asas kukuh termasuk Edra Energy yang menjana hasil kira-kira RM5 bilion setahun.

Dakwa Arul, kira-kira 40 syarikat antarabangsa berminat menjadi rakan kongsi pembangunan Bandar Malaysia. Menurutnya cabaran utama 1MDB pada masa ini ialah untuk menstabilkan situasi kewangan syarikat dengan menyelesaikan hutangnya.

“Kita berada di landasan untuk memenuhi objektif pembangunan strategiknya,” katanya.
Mengulas perkembangan lain, Arul Kanda berkata, 1MDB sentiasa terbuka untuk siasatan dan mengakui ia menjadi syarikat paling banyak disiasat di negara ini oleh Bank Negara Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dan siasatan-siasatan lain.

“Siasatan yang sedang dijalankan oleh pelbagai agensi akan mendedahkan tentang semua operasi kewangan 1MDB,” katanya.

Terdahulu, Arul yang pernah berkhidmat dalam sektor kewangan di Timur Tengah, berkata pelan rasionalisasi hutang firma pembangunan strategik itu memberi cabaran kepadanya sebagai profesional perbankan.

Ditanya mengenai keperluan model perniagaan seperti 1MDB di Malaysia berikutan kewujudan Khazanah Nasional yang boleh menyebabkan pertindihan peranan, dia menjelaskan pada asalnya Khazanah dan 1MDB adalah ‘complementary’ (pelengkap), maknanya menyokong satu sama lain.
Bagaimanapun, 1MDB kini melaksanakan projek ‘greefields’ (baharu) seperti pembangunan tanah di TRX manakala Khazanah pula berjaya menguruskan aset kerajaan sedia ada seperti Telekom Malaysia, Tenaga Nasional Bhd dan sebagainya selain melaksanakan projek baharu seperti Iskandar Malaysia. Khazanah adalah dana pelaburan strategik kerajaan manakala 1MDB pula syarikat pembangunan strategik milik penuh kerajaan.

Ia melaksanakan inisiatif dipacu pasaran bagi membantu mentransformasikan Malaysia menjadi ekonomi pesat berkembang, berdaya saing tinggi, terangkum dan mampan.

Low Yat 2: Teresa tuduh Ismail Sabri ekstrem


Low Yat 2: Teresa tuduh Ismail Sabri ekstrem
Kenyataan yang dibuat Ismail itu dikatakan melanggar sumpahnya
sebagai menteri untuk berkhidmat kepada
seluruh rakyat tanpa mengira kaum dan agama.

Cadangan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kerana mencadangkan penubuhan Low Yat 2 yang khusus untuk peniaga alat telekomunikasi berbangsa Melayu dan Bumiputera, dibidas DAP.

Dalam status terbaru Facebooknya, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok mempersoalkan syor berkenaan yang didakwanya sebagai bersifat perkauman.

Bahkan kenyataan yang dibuat Ismail itu dikatakan melanggar sumpahnya sebagai menteri untuk berkhidmat kepada seluruh rakyat tanpa mengira kaum dan agama.

“Saya mahu bertanya kepada Ismail Sabri, selepas menubuhkan Low Yat 2 untuk Melayu, adakah beliau akan menubuhkan Plaza 3 untuk India, Low Yat 4 untuk Iban, Low Yat 5 untuk KDM (Kadazan, Dusun dan Murut), dan Low Yat 6 untuk Orang Asli?

“Saya ingin menasihati Ismail Sabri supaya berhenti menjadi ekstrem dan tidak masuk akal. Sebagai menteri kabinet, beliau sepatutnya mempromosi perpaduan nasional, bukannya pengasingan kaum,” tulis Teresa di laman Facebooknya.

Sebelum ini, Ismail Sabri mencadangkan Tingkat Tiga Bangunan MARA di Jalan Raja Laut untuk dijadikan pusat perniagaan alat telekomunikasi dan teknologi khusus untuk peniaga Melayu, dan ia diberi nama Low Yat 2.

Kerajaan janji tidak akan halang Bersih 4.0


Kerajaan janji tidak akan halang Bersih 4.0
Kerajaan tidak mempunyai masalah dengan
bantahan itu selagi ia berjalan
lancar tanpa sebarang kekacauan

Kementerian Dalam Negeri tidak akan menghalang demonstrasi Bersih 4.0 yang dirancang akan dijalankan pada 29 dan 30 Ogos ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri 1, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, kerajaan tidak mempunyai masalah dengan bantahan itu selagi ia berjalan lancar tanpa sebarang kekacauan.

“Saya bersangka baik. Keadaan kita terbuka, dan saya benarkan. Namun, apabila sampai berlaku kekacauan pihak polis terpaksa mengambil tindakan yang tegas.

“Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) kena bertanggungjawab jika demonstrasi ini tidak dapat dikawal,” katanya sewaktu ditemui pemberita selepas lawatan kali pertamanya di Pejabat Jabatan Sukarelawan Rakyat (RELA).

Sebelum ini, Jawatankuasa Pengelola Bersih 4 telah memutuskan untuk berkhemah di Dataran Merdeka bagi mendesak penambahbaikan institusi demi lima tuntutan Bersih 4 iaitu, bersihkan pilihanraya, kerajaan bersih, hak membantah, kukuhkan demokrasi parlimen dan selamatkan ekonomi Malaysia.

Pada masa sama, Nur Jazlan yang juga merupakan bekas Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) enggan mengulas sebarang kenyataan mengenai siastaan terhadap syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Selain, beliau turut meminta semua pihak agar memahami tugas dan peranan dan portfolionya di kementerian.

“Bagi peluang untuk saya tumpu (Timbalan Menteri Dalam Negeri). PAC is in the past. Bagi saya tumpu sini dulu,” katanya lagi.

Wartawan Melodi Digantung Tugas, Setelah Muat Naik Gambar PM Yang Diedit



PETALING JAYA: Akibat dari memuat naik satu gambar menghina Perdana Menteri, Najib Razak di Instagram, seorang wartawan dan juga Penolong Penerbit rancangan Melodi dikatakan telah digantung tugas.

Namun, menurut Free Malaysia Today, laporan pergantungan tugas ini masih belum disahkan secara rasmi oleh Media Prima.

Zuan Azmi atau Zuanbikinpanas sebelum ini telah memuat naik sekeping gambar Najib Razak yang telah diedit.



Bagaimanapun, beliau dengan segera meminta maaf atas kesilapannya itu.

“Salam hormat kepada semua, dengan seikhlas hati & diiringi rasa rendah diri, saya Zuan Azmi dengan ini ingin sekali lagi memohon maaf atas ketelanjuran tindakan saya dalam bergurau sesuatu yang tidak sepatutnya dilakukan ke atas gambar YB Perdana Menteri Malaysia. Dengan ini saya memohon maaf kepada Dato Seri @najib_razak serta keluarga & mana-mana individu atau rakyat Malaysia yang terkesan dengan posting saya itu,” tulisnya di laman Instagramnya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Rujukan