Cari Artikel

Tuesday, February 10, 2015

Penganggur dituduh miliki bom tangan, dadah


Penganggur dituduh miliki bom tangan, dadah

BUTTERWORTH: Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas dua pertuduhan berasingan memiliki dadah dan sebutir bom tangan pada Januari lalu.

Mohamad Rosidi Othman, 36, membuat pengakuan itu di hadapan hakim Julie Lack Abdullah dan Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.

Mengikut pertuduhan, Mohamad Rosidi dituduh memiliki 40 gram (g) dadah jenis methamphetamine di kawasan belakang rumah beralamat SB46 Unit-8 Mukim 19 Kampung Tun Sardon, Bukit Mertajam pada jam 11 pagi, 28 Januari lalu.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa memiliki sebutir bom tangan di alamat sama jam 8.45 pagi pada 29 Januari lalu.

Mahkamah kemudian menetapkan 10 dan 16 Mac ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Kebimbangan Sherry Alhadad terhadap watak Nyonya


Kebimbangan Sherry Alhadad terhadap watak Nyonya Oleh Zaidi Mohamad

zaidim@bh.com.my


Sherry Alhadad pada pra tonton pementasan Diari Wanita... Episod YB & Nyonya di Istana Budaya. - Foto Aziah Azmee

KUALA LUMPUR: Watak Nyonya bukan asing lagi kepada pelakon, pelawak serta pengacara Sherry Alhadad.

Biar pernah memegang watak yang sama pada 2011, bekas pengacara Melodi TV3 itu mengakui terbit kebimbangan di hatinya.

Sekali lagi Sherry dilamar beraksi dalam pementasan Diari Wanita... Episod YB & Nyonya terbitan CTRA Production yang akan dipentaskan bermula 11 hingga 16 Februari ini di Panggung Sari Istana Budaya. Ia arahan Rosminah Mohd Tahir.

Ia gabungan dua naskhah cerita yang digabungkan. Naskhah Nyonya ditulis oleh penulis Indonesia iaitu Wisran Hadi, manakala Episod YB adalah karya baru yang ditulis oleh Rosminah sendiri.

Kali pertama Sherry membawakan watak Nyonya menerusi pementasan Mak Dara Nyonya berganding bersama Zaifri Husin, Misha Omar, Sarimah Ibrahim, Fara Fauzana dan Norzizi Zulkifli. Ketika itu dipentaskan di MaTic, KL.

Ikuti luahan Sherry yang ditemui BH Online pada malam Khamis lalu ketika sesi pratonton kepada media diadakan di Lambang Sari, Istana Budaya.

"Hanya satu saja kebimbangan saya ialah soal stamina dan tenaga yang perlu dijaga serta dikawal rapi. Almaklumlah saiz badan saya bagaimana pula. Kalau tak cakap semput, itu tipulah. Tetapi insya-Allah saya akan cuba untuk menjalankan amanah watak ini dengan sebaik mungkin.


Sherry Alhadad (tengah), Shahrul Mizad Ashari dan Dina Nadzir pada pementasan Diari Wanita... Episod YB & Nyonya di Istana Budaya. - Foto Aziah Azmee
Sherry Alhadad (tengah) dan Shahrul Mizad Ashari pada pra tonton pementasan Diari Wanita... Episod YB & Nyonya di Istana Budaya. - Foto Aziah Azmee

"Kali pertama saya pegang watak ini, berat badan saya tidak seperti sekarang. Watak ini juga memerlukan saya memakai korset badan. Ada kejanggalan dan kekok juga tetapi apabila semua sudah bersatu di atas pentas, 'roh' watak itu terus berjalan seperti tiada masalah," katanya bersemangat mengenai watak Nyonya yang menjadi nadi pementasan teater ini.

Menurut Sherry asalnya beliau teragak-agak untuk menerima tawaran ini termasuk mempertimbangkan hal stamina dan tenaga yang terus berlegar-legar di fikirannya ketika itu. Bagaimanapun atas paksi mencabar diri, Sherry menerimanya.

"Tambahan pula sudah ramai pelakon hebat yang memegang watak Nyonya ini seperti Juhara Ayob, Tania Zainal dan Mardiana Alwi. Ia peluang terbaik untuk saya terus menguji diri sebagai pelakon.

"Watak Nyonya berbeza sekali dengan diri saya kerana saya ini agak kasar dan sempoi. Untuk watak Nyonya saya perlu berdialog dalam bahasa Indonesia. Nyonya ada santunnya dan selain itu disuntik elemen komedi untuk menceriakan suasana

"Cerita ini ada 'double meaning' dan biarpun sudah pernah melakonkan watak ini, saya cuba untuk tidak melakukan pengulangan. Bagi saya setiap kali pementasan, pasti ada benda baru yang cuba diserlahkan," katanya yang pernah berlakon teater Ibu Zain, Asrama-Ra dan Jam Dinding Berdetak

Selain Sherry, teater ini turut dibintangi Amy Mastura, Misha Omar, Nad Zainal, Juharo Ayob, Dina Nadzir dan Shahrul Mizad Ashari. Teater ini turut mendapat kerjasama Istana Budaya dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat

Harga tiket dijual bermula dari RM35, RM55, RM85, RM105 dan RM155. Layari www.AirAsiaRedtix.com atau hubungi 03-61866592. Teater ini akan dipentaskan pada sebelah malam jam 8.30 dan petang jam 3 di Panggung Sari Istana Budaya.

Sarimah Ibrahim nikah Tunku Jamie 2 April


Sarimah Ibrahim nikah Tunku Jamie 2 April Oleh Zaidi Mohamad

zaidim@bharian.com.my


Sarimah Ibrahim di sisi Tunku Jamie. - Foto ihsan Facebookl Sarimah Ibrahim.

KUALA LUMPUR: Selepas Yana Samsudin memilih untuk berkahwin bulan ini serta Sharifah Sakinah dan Hanez Suraya bulan depan, Sarimah Ibrahim juga akan mengikuti jejak mereka. Penyanyi, pelakon, pengacara dan penyampai radio itu akan bernikah pada 2 April depan.

Penyanyi lagu Kini Kau Tiada itu memilih cucu kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-10, Tunku Nadzimuddin Tunku Mudzaffar (Tunku Jamie) sebagai bakal suaminya. Pasangan ini bertunang pada 27 September tahun lalu.

"Majlis nikah dan resepsi akan diadakan pada hari yang sama di Hotel Prince bermula sebelah pagi dan bersanding pada malamnya. Setakat ini sudah 70 peratus siap persiapan kahwin kami," ungkap Sarimah menerusi aplikasi WhatsApp miliknya kepada BH Online.


Sarimah Ibrahim di sisi Tunku Jamie. - Foto ihsan Facebookl Sarimah Ibrahim.

Ketika ini Sarimah sedang mengikuti kursus kahwin. Sarimah memberitahu dia akan mengenakan rekaan Salikin Sidek dan Melinda Looi pada hari bahagianya nanti.

"Saya akan mengenakan busana rekaan Salikin untuk pernikahan dan persandingan. Untuk resepsi pula keesokan harinya saya akan pakai baju rekaan Melinda," katanya.

Sarimah dan Jamie berkenalan sembilan bulan dan kemudiannya bertunang. Ini bukan perkahwinan pertama mereka. Sarimah pernah berkahwin dengan jejaka Australia, Amir Andrew Abdullah pada 2006 tetapi bercerai pada penghujung Disember 2008.

Jamie pula yang berstatus duda tanpa anak juga pernah berkahwin dan sudah bergelar solo ketika bertemu selebriti berkenaan 13 bulan lalu.

Agama: Penuaan, musibah, fitnah tuntut kesabaran tinggi


Agama: Penuaan, musibah, fitnah tuntut kesabaran tinggi Oleh Mazlina Ismail

Manusia mudah lupa dan disebabkan itu ada kalanya kita tidak menzahirkan rasa syukur atau hanya menunjukkan rasa syukur yang sedikit. Manusia juga sering merasakan bahawa apa yang dimiliki adalah hasil usaha dan menjadi hak mutlak mereka.

Justeru, apabila sesuatu keinginan tidak dapat dicapai atau diperoleh, kita mudah berasa kesal sedangkan setiap detik kita menggunakan nikmat kurniaan Allah SWT. Namun, amat sedikit yang menyedarinya apatah lagi untuk mensyukuri segala kurniaan itu.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, nescaya kamu tak dapat menentukan jumlahnya." (Surah an-Nahl, ayat 18)

Muhasabah diri apakah kita tergolong dalam kalangan yang bersyukur kerana Allah SWT mengurniakan nikmat kepada hamba-Nya adalah untuk disyukuri bukan dikhianati. Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur." (Surah Yusuf, ayat 38)

Menyambung perkongsian Pesona D'Zahra di IKIMfm minggu lalu mengenai tajuk 'Mengimani Kemuliaan Allah SWT' oleh Ustaz Muhamad Abdullah Al-Amin, tiga lagi perkara dihuraikan berkenaan kemuliaan Allah SWT dan sifatnya yang Maha Pemurah.

Proses penuaan satu anugerah

Satu anugerah yang dikurniakan yang tidak kita lihat sebagai kurniaan adalah proses penuaan. Apabila usia meningkat, ada antara kita mendapat kesannya seperti badan lemah dan sakit. Sesungguhnya ujian sakit itu adalah sunatullah kerana Nabi juga diuji dengan sakit.

Oleh itu, apabila diuji dengan sakit hendaklah kita berusaha, berikhtiar mendapatkan ubat dan berterusan bermohon kesembuhan daripada Allah SWT yang berkuasa mendatangkan sakit dan berkuasa menyembuhkan segala penyakit.

Sesuatu yang perlu direnungkan ketika sakit, Allah SWT menarik daripada seseorang itu tiga perkara iaitu seri wajah, selera makan dan dosa-dosa kita.

Rasulullah SAW bersabda: "Tidaklah seorang Muslim tertimpa suatu penyakit dan sejenisnya melainkan Allah akan menggugurkan bersamanya dosa-dosanya seperti pohon yang menggugurkan daun-daunnya." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Begitu sekali kasih Allah SWT kepada hamba-Nya yang beriman kerana apabila penyakit itu sembuh, Allah SWT akan mengembalikan seri wajah, selera makan tetapi Allah SWT tidak pula mengembalikan dosa yang telah diampunkan. Begitulah sifat pemurah dan kasih Allah SWT.

Perkara keenam dalam mengimani kemuliaan Allah SWT merujuk kepada musibah kerana telah disebutkan tanda akhir zaman berlaku banyaknya bencana, kekurangan harta benda, musuh dan lain-lain.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Wahai manusia! Apakah yang memperdayakanmu - (berlaku derhaka) kepada Tuhanmu yang Maha Pemurah?- Tuhan yang telah mencipta dan mengatur kejadianmu, lalu menjadikan anggotamu sesuai (dengan tujuan yang kerananya anggota itu diadakan), serta menjadikan (binaan tubuh badanmu) sama padan dengan kekuatannya." (Surah al-Infitar, ayat 6-7)

Melalui ujian musibah, Allah SWT juga memberi jalan pahala atas kesabaran. Di sebalik setiap ujian, Allah SWT berikan jalan keluar dan penyelesaian. Apabila Allah SWT menarik balik musibah, pahala diberikan kepada yang sabar akan kekal menjadi bekalan akhirat.

Tempuhi musibah dengan sabar

Walaupun begitu, kita perlu bermuhasabah antara ujian dan bala kerana dua perkara itu dapat dibezakan. Orang yang beriman ketika dilanda ujian akan menempuhinya dengan sabar, manakala orang yang tidak beriman ketika diuji tidak akan bersabar dengan ujian atau bala.

Maka perbanyakkan memohon kesabaran daripada Allah SWT dalam menempuhi musibah dan ujian kerana sifat sabar anugerah daripada Allah SWT. Semoga kita dianugerahkan sifat sabar apabila ditimpa ujian dan ganjaran pahala orang sabar sangat besar kerana Allah SWT bersama dengan orang yang sabar.

Yang terakhir dalam bab ini adalah anugerah daripada fitnah. Nabi Muhammad SAW mengingatkan, fitnah umpama perompak di tengah malam yang sangat gelap yang tidak kita ketahui. Oleh sebab itu, Nabi Muhamad SAW melarang daripada meletakkan diri kita dengan situasi yang boleh mendatangkan fitnah.

Fitnah berlaku kerana salah faham

Adakalanya fitnah itu berlaku hanya kerana salah faham seperti mendengar dan menyampaikan cerita yang putus-putus atau tidak lengkap daripada orang fasik. Wajib kita menyelidik sesuatu perkara yang didengari supaya tidak tertipu atau tersalah sangka pada mereka yang tidak bersalah.

Fitnah adalah satu bentuk ujian yang datang dalam kehidupan. Fitnah juga terjadi kepada Nabi kerana Nabi Muhammad SAW pernah difitnah sebagai harta, pangkat, wanita dan lain-lain.

Jika seseorang itu ditimpa fitnah berdoalah supaya Allah SWT memberi pahala kemuliaan di dunia dan akhirat. Allah SWT yang Maha Pemurah juga akan memberikan pahala bersabar dan menghapuskan dosa kita.

Yakinlah, jika kita berada di pihak yang benar Allah SWT akan memberikan jalan keluar untuk segala fitnah. Itulah tanda kasih sayang Allah SWT kepada kita. Jangan sekali-kali berputus asa dalam kehidupan dunia kerana ujian boleh memberi ganjaran pahala dan kebaikan di dunia serta akhirat.

Sentiasalah bersangka baik terhadap ujian Tuhan dan bersyukurlah kepada Allah SWT dengan menjalankan perintah-Nya ketika kita diberikan kesenangan hidup. Semoga kita sentiasa diberikan hidayah dalam mengharungi kehidupan ini.

Penulis ialah penyampai dan Penerbit Rancangan Kanan IKIMfm

EPL: Jadual perlawanan


EPL: Jadual perlawanan

LONDON: Berikut jadual perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL), awal pagi esok.

- Arsenal mln Leicester City, Emirates, 3:45 pg

- Hull City mln Aston Villa, Kingston Communication, 3:45 pg

- Sunderland mln Queens Park Rangers, Stadium of Light, 3:45 pg

- Liverpool mln Tottenham Hotspur, Anfield, 4.00 pg

Liverpool tawar Sterling perjanjian 'mega' - Rodgers


Liverpool tawar Sterling perjanjian 'mega' - Rodgers


PEMAIN antarabangsa Liverpool dan England, Raheem Sterling ketika beraksi pada perlawanan Liga Perdana Inggeris menentang Everton di Goodison Park, Sabtu lepas. - Foto AFP

LONDON: Penyerang muda berbakat Liverpool, Raheem Sterling ditawarkan 'perjanjian luar biasa' untuk terus kekal dalam tempoh jangka masa panjang di Anfield, kata pengurus Brendan Rodgers.

Sterling, 20 yang sudah melakukan 112 penampilan bersama The Reds kini antara tonggak dalam kesebelasan utama Rodgers dan sudah meledak sembilan gol daripada 33 penampilan setakat ini.

Begitupun, timbul spekulasi mengatakan penyerang England itu berada dalam radar beberapa pasukan gergasi Eropah dan antara yang dilaporkan berminat ialah Barcelona dan Real Madrid.

"Dia sudah diberikan ditawarkan perjanjian yang menarik, perjanjian yang menakjubkan untuk pemain muda berusia 20 tahun dan masih meningkat," kata Rodgers kepada wartawan menjelang pertemuan Liga Perdana Inggeris menentang Tottenham Hotspur, awal pagi esok.

"Dia mengharungi beberapa kemajuan yang hebat sejak beberapa tahun ini dan dia sepatutnya mendapat ganjaran dan saya berharap wakilnya dapat mencari persetujuan dengan kelab.

"Saya tahu dia amat gembira dan mahu terus bekerja seperti yang dia lakukan. Saya sudah bercakap dengannya beberapa kali, dia gembira di sini dan kamu dapat melihatnya dalam permainannya.

"Ini bukannya kes di mana kami memberikan apa saja yang mereka mahukan. Saya berkata kami mahu kekal memberi ganjaran kepada bakat terbaik kami. Mereka adalah peranan penting untuk masa depan kami dan saya yakin semuanya akan selesai tidak lama lagi," katanya.

Selain Sterling, Rodgers juga berharap pemain sayap berusia 19 tahun, Jordon Ibe yang membuat penampilan sulung bersama Liverpool pada aksi tetangga menentang Everton, minggu lepas turut menandatangani kontrak baharu di Anfield.

Menentang Spurs yang masih bersemangat besar selepas menewaskan Arsenal, Sabtu lepas, Liverpool berkemungkinan kehilangan khidmat pemain tengah Brazil, Lucas Leiva akibat kecederaan otot.

Begitupun, kehadiran semula Adam Lallana yang kembali pulih selepas terlepas aksi menentang Everton memberi kelegaan dengan kecederaan Philippe Coutinho dan Sterling diakui tidak serius dan mampu beraksi. - Reuters

2 episod terakhir Istikharah Cinta disiar serentak malam ini


2 episod terakhir Istikharah Cinta disiar serentak malam ini Oleh Zaidi Mohamad

zaidim@bh.com.my


Pelakon Drama Istikharah Cinta, Zul Ariffin dan Faye Kusairi. - Foto Aziah Azmee

KUALA LUMPUR: Drama Istikharah Cinta yang mula bersiaran menerusi slot Akasia pada 23 Disember bakal berakhir malam ini, 6 Februari.

TV3 akan menyiarkan tayangan eksklusif 2 episod terakhir Istikharah Cinta pada jam 9 malam hingga 11 malam ini.

Istimewa dengan tayangan dua episod terakhir pada malam ini, satu majlis tayangan eksklusif dan sesi ramah mesra bersama pelakon utama seperti Zul Ariffin, Faye Kusairi, Falisha Crossley, Azizul Ammar, Lia Natalia, Nizen Ayob dan ramai akan berlangsung di Rasta TTDI.

Orang ramai dijemput hadir bagi memeriahkan lagi tayangan eksklusif episod akhir Istikharah Cinta. Drama terbitan Orangetree Production 28 episod ini mengisahkan mengenai Airil (Zul Ariffin) yang gagal dalam perkahwinan pertamanya bersama Aiza (Nonny) selepas Aiza keguguran.

Airil kembali membuka hatinya apabila bertemu Dina (Faye Kusairi). Kesetiaan mereka diuji apabila Aiza, kembali menagih cinta Airil dan Hanafis, bekas teman lelaki Dina turut Aiza menyesal kerana meninggalkan Airil apabila dia tidak merasa bahagia dengan perkahwinannya bersama Dr. Rizal (Nizen Ayob).

Aiza turut berpakat bersama Hanafis, bekas teman lelaki Dina yang dipaksa untuk berkahwin dengan pilihan keluarganya untuk menggagalkan perkahwinan mereka. Aiza turut menjadikan Aiman sebagai umpan untuk berbaik semula dengan Airil dengan menyatakan Aiman adalah anak kandung Airil.

Taufik (Azizul Ammar) telah menasihatkan Airil untuk berbincang dengan Dr Rizal mengenai status Aiman. Dia tidak mahu nanti Airil menjadi orang yang memisahkan perhubungan seorang anak dan bapa kandungnya yang sebenar. Taufik sememangnya tidak percaya yang Aiman adalah anak Airil.

Dina pula terperangkap dengan ugutan Hanafis yang ingin menyebarkan gambar-gambar lama mereka sewaktu di UUM dahulu. Dina terpaksa menurut kemahuan Hanafis dan membelakangkan Airil. Aiza turut berjumpa Dina dan menyatakan bahawa dia dan Airil akan kembali rujuk dan sanggup untuk menjadi isteri kedua.

Adakah perancangan jahat Aiza dan Hanafis untuk memisahkan Airil dan Dina akan berjaya? Mungkinkah mahligai yang dibina Airil buat kali kedua ini akan turut musnah? Segalanya bakal terjawab malam ini!. Selamat menonton.

Chordana Composer, aplikasi iPhone daripada Casio untuk menggubah lagu


Chordana Composer, aplikasi iPhone daripada Casio untuk menggubah lagu

KUALA LUMPUR: Casio Computer Co Ltd memperkenalkan Chordana Composer, aplikasi iPhone yang secara automatik menggubah sesebuah lagu berdasarkan melodi dua bar yang dibuat pengguna.

Aplikasi itu boleh didapati di Apple App Store mulai hari ini. Chordana Composer adalah aplikasi yang membolehkan sesiapa saja untuk dengan mudah menggubah muzik asal mereka sendiri, walaupun mereka tidak tahu bagaimana untuk mengarang muzik atau bermain instrumen.

Pengguna hanya perlu merekodkan dengan menyanyi atau bersiul lagu untuk dua bar muzik, dan aplikasi itu secara automatik menggubah keseluruhan muzik itu berdasarkan kepada melodi berkenaan.

Muzik yang dihasilkan itu bukan hanya boleh dimainkan semula untuk dinikmati pengguna, tetapi ia juga boleh di e-mel sebagai sebuah fail audio kepada rakan-rakan.

Untuk menggunakan Chordana Composer, pengguna hanya perlu memikirkan melodi dua bar dan merekodkannya di iPhone sendiri, sama ada dengan menyanyi atau bersiulkan motif berkenaan.

Kemudian pengguna memilih daripada lima aplikasi genre muzik yang berbeza dan tiga jenis melodi latar, dan akhirnya menekan butang Auto Compose untuk mewujudkan suatu bentuk asal muzik lengkap dengan intro dan nota akhir.

Dilengkapi dengan fungsi untuk memaksimumkan kemahiran muzik, pengguna juga boleh memasukkan motif dengan bermain antara muka papan kekunci aplikasi atau dengan membuat nota dalam skor pada antara muka input tatatanda.

Selain itu, melodi dalam muzik yang sudah siap boleh diedit dalam skor berkenaan.

Chordana Composer boleh disambungkan kepada alat muzik elektronik yang serasi dengan MIDI. Jika ia disambungkan ke satu daripada papan kekunci elektronik Casio dengan kekunci yang bercahaya, melodi yang dicipta oleh Chordana Composer akan bercahaya dengan alunan muzik itu.

Untuk meraikan pengeluaran baharu Chordana Composer, Casio menawarkan aplikasi itu pada harga diskaun 40 peratus daripada harga jualan biasa untuk satu tempoh masa yang terhad, dari 30 Januari hingga 5 Februari. - BERNAMA

Teater Mek Mulung di Istana Budaya 28 Februari, 1 Mac


Teater Mek Mulung di Istana Budaya 28 Februari, 1 Mac Oleh Zaidi Mohamad

zaidim@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dengan kerjasama Grup Teater AKRAB serta Istana Budaya terpanggil untuk menggalas tanggungjawab bagi mementaskan teater tradisional Mek Mulung di Panggung Sari, Istana Budaya.

Pementasan Mek Mulung ini adalah sebagai satu usaha pemuliharaan dan pembangunan kesenian tradisional di negara ini. Ia adalah selaras dengan pengisytiharan tahun 2015 sebagai Year Of Festival dan hasrat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan untuk menjadikan produk seni budaya sebagai tarikan pelancong.

Hal ini juga sesuai dengan visi JKKN khasnya untuk memupuk masyarakat Malaysia yang mempunyai jati diri tinggi, mengamalkan nilai-nilai murni, serta mendukung seni untuk seni, seni budaya untuk kesejahteraan masyarakat dan seni budaya untuk penjanaan ekonomi.

Pementasan Teater Tradisional Mek Mulung di Istana Budaya ini merupakan pementasan berskala besar dan adalah pengiktirafan kepada seluruh penggiat seni tradisional khususnya penggiat teater tradisional Mek Mulung.

Ia akan dipentaskan pada 28 Februari dan 1 Mac depan di Panggung Sari, Istana Budaya. Pementasan 28 Februari ialah pada sebelah malam jam 8.30 malam dan 1 Mac pula pada jam 3 petang. Tiket menonton pementasan ini dijual pada harga RM23, RM53 dan RM83.

Hal ini tidak akan menjadi kenyataan tanpa pembabitan dan perjuangan serta kerjasama dari pelbagai pihak. Lantaran itu JKKN mengambil pendekatan untuk terus bekerjasama dengan Grup Teater AKRAB bagi aspek lakonan dan muzik.

Apatah lagi Kerajaan Kedah juga telah mengisytiharkan teater tradisional Mek Mulung sebagai Seni Warisan Kedah yang diharap bakal membuka jalan kepada pengiktirafan Warisan Dunia oleh UNESCO.

JKKN merasakan sudah tiba masanya Mek Mulung diberi peluang untuk dipentaskan di pentas bertaraf antarabangsa, Istana Budaya. Ini adalah satu lagi usaha agar ruang dan peluang untuk pengiktirafan warisan dunia.

Bagi memastikan keunikan dan keaslian Mek Mulung terpelihara, JKKN turut mengundang kedua-dua tokoh Mek Mulung negeri Kedah iaitu Saad Taib dan Ahmad Shahadan sebagai penasihat bagi produksi Mek Mulung di Istana Budaya ini.

Manakala Saipol Bahari (AKRAB) dan Zulkarnain Ramly akan menggarap pementasan di Istana Budaya ini bersesuaian dengan taraf pementasannya. Ia turut dibintangi Arja Lee, Izreen Azminda dan Shamsun Nadia.

Tiket bagi menyaksikan persembahan Mek Mulung ini berharga RM23, RM53 dan RM 83 dan boleh didapati dengan melayari www.airasiaredtix.com atau dengan membelinya di kaunter tiket box-office Istana Budaya. 10 peratus diskaun bagi warga emas, Orang Kelainan Upaya (OKU) dan pelajar.

Mek Mulung (Mek Mulong) ialah teater tradisional masyarakat Melayu yang berasal dari negeri Kedah Darul Aman. Mek Mulung dipercayai bermula di Ligor, Siam dan berkembang di Kampung Wang Tepus, Tanah Merah, Jitra, Kedah.

Teater tradisional ini menggabungkan unsur lakonan, nyanyian, tarian dan muzik dalam satu persembahan. Difahamkan terdapat 20 himpunan cerita hikayat asal Mek Mulung tetapi hanya beberapa cerita yang masih kekal sehingga ke hari ini.

"Putera Cahaya Bulan" menjadi naskhah pertama Mek Mulung yang bakal dipentaskan di IB setelah mendapat sambutan memberangsangkan. Usaha pembangunan dan penyemarakan Mek Mulung telah dilaksanakan sejak tahun 2005 melalui aktiviti penyelidikan dan perantisan.

Google Glass akan dipertahankan walaupun pelaburan dikaji semula


Google Glass akan dipertahankan walaupun pelaburan dikaji semula

SERGEY Brin memakai Google Glass pada demonstrasi Google I/O 2012 di San Francisco, California pada 27 Jun 2012. - Foto Reuters

SAN FRANCISCO: Google Inc rancang untuk meneruskan pembangunan produk futuristik walaupun membabitkan kos tinggi sehingga perlu menangguh atau mengurangkan pelaburan untuk beberapa projek sedia ada.

Gergasi pengiklanan internet dan enjin carian itu malam tadi mengakui buat kali pertama halangan yang dihadapinya dalam membangunkan komputer boleh dipakai, Google Glass dan mengakui perlu berehat sejenak untuk merumus semula strategi baharu.

Ulasan Ketua Pegawai Kewangan, Patrick Pichette pada majlis pengumuman keputusan kewangan suku keempat firma itu agak mengejutkan kerana sebelum ini Google mengumumkan Google Glass sudah selesai peringkat pembangunan dan kini memasuki fasa baharu.

Bagaimanapun, ramai juga penganalisis yang berpendapat pengakuan itu mungkin ada kaitan dengan hakikat bahawa pembangunan Google Glass selama ini diterajui pengasas bersama Google, Sergey Brin.

Berikutan pertumbuhan dalam pengiklanan internet semakin susut, syarikat itu perlu meyakinkan pelabur bahawa ia berupaya membuat keputusan tepat dalam pilihan pelaburannya.

"Mereka cuba yakinkan bahawa ia sedang membuat pelaburan dalam bidang yang akan membuahkan hasil," kata Colin Gillis, penganalisis di BGC Partner.

Bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2014, untung bersih Google naik 41 peratus kepada AS$4.76 bilion (RM17.15 bilion) atau AS$6.88 (RM25 sesaham), rendah daripada unjuran AS$7.11 sesaham.

Pendapatan naik 15 peratus pada suku keempat kepada AS$18.1 bilion (RM65.2 bilion).

Saham Google diniagakan pada AS$518.10 (RM1,866) sesaham selepas pengumuman keputusan kewangan itu. - Reuters

Zero juara Maharaja Lawak Mega 2014


Zero juara Maharaja Lawak Mega 2014


Dari kiri, Kumpulan Zero (juara), Sepahtu (naib juara) dan Nabil (ketiga) bergambar bersama trofi kemenangan selepas diumumkan pemenang Maharaja Lawak Mega (MLM) 2014 di Stadium Putra Bukit Jalil, Kuala Lumpur malam tadi. - Foto Hasriyasyah Sabudin

KUALA LUMPUR: Kumpulan Zero muncul juara Maharaja Lawak Mega (MLM) 2014 selepas saingan minggu terakhir di Stadium Putra Bukit Jalil, di sini malam tadi.

Gandingan adik beradik Sahrif Kadil Doli Sahrif, Mohammad Syaiful dan Sharif Kunal meraih wang tunai RM500,000 dan trofi.

Mereka menewaskan empat pesaing lain dalam persembahan yang bertemakan bebas dan muzikal.

Kumpulan Sepahtu yang dianggotai Jep dan Shuib menjadi naib juara dan memenangi hadiah wang tunai RM250,000 berserta trofi.

Tempat ketiga dimenangi peserta solo, Nabil yang meraih wang tunai RM150,000 serta trofi.

Kumpulan Shiro pula di tempat keempat diikuti kumpulan Bocey di tempat kelima yang masing-masing menerima hadiah wang tunai RM50,000 dan RM15,000 berserta trofi.

Hadiah disampaikan pelawak veteran, Datuk Jamali Shadat.

Peserta diadili juri tetap, Datuk Jalaluddin Hassan, Nur Fazura serta dua juri luar iaitu Taufik Batisah dari Singapura dan Farah Quinn dari Indonesia yang mewakili 70 peratus undian manakala bakinya daripada penonton menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS).

ASUS lancar phablet Fonepad 7 baharu, RM529 seunit


ASUS lancar phablet Fonepad 7 baharu, RM529 seunit Oleh Abdul Halim Yusoff


ASUS Fonepad 7 akan berada di pasaran mulai minggu kedua Februari ini dan dijual pada harga RM529 seunit

KUALA LUMPUR: ASUS memperkenalkan Fonepad 7 baharu, sebuah phablet 7-inci dengan sambungan 3G dan fungsi telefon pintar dua sim.

ASUS Fonepad 7 itu didatangkan dengan rekaan baharu yang lebih tipis dan ringan berbanding Fonepad 7 sebelum ini, dan ia juga padan dalam satu genggam tangan sekali gus menjadikannya semakin mudah digunakan.

Phablet ini dipadankan dengan kamera belakang 8MP autofokus dengan kanta bukaan f/2.4 dan penapis optikal kaca biru yang mempertingkatkan mutu dan prestasi kamera.

Sebagai phablet pertama keluaran syarikat itu yang dilengkapkan dengan mod Cahaya Rendah ASUS PixelMaster, Fonepad 7 berupaya merakamkan gambar yang jelas dan tepat walaupun dengan kadar cahaya sangat rendah.


Phablet ini adalah 2.8mm lebih tipis dan 10gm lebih ringan berbanding model sebelum ini.

Model baharu phablet ini juga tampil dengan rekaan baharu sepenuhnya, hanya setebal 7.9mm dan berat 280gm, Fonepad 7 ini adalah 2.8mm lebih tipis dan 10gm lebih ringan berbanding model sebelum ini.

Fonepad 7 didatangkan dengan pilihan warna hitam, putih, emas dan merah yang mana setiap satu mempunyai tekstur unik yang menambah baik gaya dan menjadikannya mudah digenggam.


Fonepad 7 didatangkan dengan pilihan warna merah, emas, putih dan hitam.

Pengalaman unik penggunaan Fonepad 7 tertumpu pada paparan IPS 7-inci yang menzahirkan warna tepat dan meningkatkan kejituan bagi mutu gambar yang tidak setara serta menyediakan paparan 178 darjah untuk memudahkan pengguna berkongsi paparan di skrin dengan orang lain yang berdekatan.

Sebagai phablet 7-inci yang serba lengkap, ASUS Fonepad 7 mempunyai dua sim 3G, menjadikannya teman kerja yang akrab terutama ketika di luar negara.

ASUS Fonepad 7 akan berada di pasaran mulai minggu kedua Februari ini dan dijual pada harga RM529 seunit.

Fara Fauzana sah hos baharu Muzik Muzik


Fara Fauzana sah hos baharu Muzik Muzik Oleh Zaidi Mohamad

zaidim@bh.com.my


FARA Fauzana bergandingan dengan AG Hot FM mengendalikan Muzik Muzik 30. - Foto Hasriyasyah Sabudin

KUALA LUMPUR: Penyampai radio, Fara Fauzana sah dipilih sebagai hos baharu Muzik Muzik edisi 30 bergandingan dengan AG Hot FM.

Fara menggantikan Scha Alyahya yang mengendalikan program itu sejak dua musim terdahulu.

Pengumuman itu dilakukan hari ini ketika berlangsungnya rakaman episod pertama yang diadakan di studio C, Sri Pentas. Pengumuman itu menamatkan teka teki selama ini.

AG dan Fara juga bukan asing bersama kerana turut mengendalikan segmen AM Krew Hot FM dari pagi Isnin hingga Jumaat.

Fara sebelum ini pernah mengacarakan program Melodi dan Nona yang turut disiarkan di TV3. Muzik Muzik 30 bersiaran setiap Sabtu jam 6 petang.

"Terima kasih TV3 untuk kesempatan ini. Saya dengan AG pun sudah biasa bekerjasama di Hot FM," kata Fara yang pernah diberi mandat mengacarakan Anugerah Juara Lagu selama empat tahun.

Bekas vokalis Exist mengaku bersalah miliki syabu


Bekas vokalis Exist mengaku bersalah miliki syabu

KUALA LUMPUR: Bekas vokalis kumpulan Exist, Ezad Lazim mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Selayang hari ini atas dakwaan memiliki syabu seberat 0.30 gram.

Ezad atau nama sebenarnya Mohd Rohaizad Mohamad Lazim membuat pengakuan itu di depan Majistret Nurul Izzah Hassan Basri.

Mahkamah menetapkan pada 10 Februari ini untuk menjatuhkan hukuman ke atasnya yang didakwa melakukan kesalahan itu berhampiran Kompleks Selayang Mall kira-kira jam 1.30 tengah hari, 19 November 2014.

Tersurat, tersirat sandiwara pakatan pembangkang


Tersurat, tersirat sandiwara pakatan pembangkang Oleh Manja Ismail

Di sebalik pelbagai spekulasi mengenai kedudukan PAS dalam pakatan pembangkang ekoran 'perbalahan terbuka' antara Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang dengan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berhubung isu hudud dan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT), kedua-duanya hadir dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Pembangkang semalam.

Mesyuarat yang turut dihadiri oleh Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim di Ibu Pejabat PAS Jalan Raja Laut itu, antara lain mengesahkan komitmen kepada perjuangan ketiga-tiga parti seperti yang dipersetujui dalam Agenda Bersama Pakatan Pembangkang.

Kenyataan media selepas mesyuarat itu menyebut, mereka bersetuju untuk mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan dan merangka penyelesaian mengenai isu Enakmen Jenayah Syariah dan Pilihan Raya PBT. Mesyuarat itu menarik perhatian umum kerana sejak mesyuarat pimpinan pada Oktober lalu, dua isu berkenaan mencetuskan perbalahan terbuka serta saling tuduh menuduh antara PAS, yang tidak bersetuju pilihan raya PBT dan DAP, yang menentang hudud.

Tidak bincang pengganti Anwar

Selain itu, mesyuarat juga diadakan menjelang keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes liwat Anwar, esok. Bagaimanapun, mesyuarat itu tidak membuat keputusan berhubung siapakah pengganti Anwar sekiranya keputusan mahkamah esok tidak memihak kepada Ketua Pembangkang itu. Sebaliknya, kenyataan itu mengulangi jaminan bahawa perjuangan bersama dalam pakatan pembangkang akan terus dipertahankan, manakala Majlis Pimpinan akan bermesyuarat semula sejurus selepas Mahkamah Persekutuan membuat keputusan.

Sebelum ini, Hadi, yang gagal menghadiri mesyuarat tertinggi pakatan pembangkang itu sejak setahun lalu, membayangkan beliau tidak akan menghadiri mesyuarat semalam. Kenyataannya itu menyebabkan wujud desakan golongan tertentu dalam pakatan itu supaya PAS keluar daripada pakatan pembangkang.

Walaupun kehadiran tiga pemimpin tertinggi pada mesyuarat semalam memberi gambaran pakatan pembangkang masih utuh, timbul tanya kenapa pucuk pimpinan PAS dilihat sekali lagi mengalah kepada DAP. Apakah ia hanyalah siri sandiwara pakatan pembangkang untuk mengaburi penyokong mereka khususnya ahli akar umbi PAS dan DAP atau ada muslihat lain bagi kepentingan peribadi tokoh tertentu dalam pakatan?

Satu perkara yang mungkin tidak disedari umum ialah pakatan pembangkang tidak boleh memecat PAS atau mana-mana parti gabungannya kerana berbeza dengan Barisan Nasional (BN), pakatan tiga parti pembangkang itu tidak terikat dengan undang-undang pertubuhan.

Perbalahan lebar jurang perpecahan

Kerana itu tidak timbul PAS akan dipecat pakatan pembangkang. Sekiranya pucuk pimpinan PAS benar-benar tidak bersetuju lagi dengan dasar pakatan itu, ia boleh keluar atau berhenti daripada meneruskan kerjasama politik dengan mereka pada bila-bila masa. Yang pasti, 'perbalahan' antara pucuk pimpinan PAS dengan dua lagi sekutunya dalam pakatan melebarkan lagi jurang perpecahan dalam parti itu sendiri - antara penyokong kepemimpinan ulama dengan penyokong kalangan profesional yang rapat dengan Anwar.

Kewujudan kumpulan dalam PAS yang dikatakan mahu menjatuhkan Hadi bukan rahsia lagi. Kekecohan yang berlaku di luar Ibu Pejabat PAS sebelum mesyuarat Jawatankuasa Pusatnya pagi semalam mengesahkan wujudnya 'komplot' itu. Sekumpulan ahli PAS menganjurkan perhimpunan mendakwa Pengarah Pilihan Raya, Dr Mohd Hatta Ramli menjadi dalang kepada usaha menggulingkan Hadi.

Kumpulan diketuai oleh Ketua Pemuda PAS Kuantan, Noorzazilafadli Ibrahim itu menuntut Hatta yang juga Ahli Parlimen Kuala Krai meletakkan jawatan. Dengan menaikkan kertas pemidang tertulis 'pecat Hatta dan konco-konco' dan 'kami dikhianati Hatta Ramli', mereka berhimpun menyambut ketibaan pimpinan PAS yang masuk untuk mesyuarat jawatankuasa pusat.

Perkara seperti ini jarang berlaku dalam PAS walaupun yang berdemonstrasi itu adalah penyokong presiden parti. Kejadian semalam hanya mengesahkan kewujudan kumpulan yang bakal menentang Hadi dalam pemilihan parti itu pertengahan tahun ini. Satu laporan sebelum ini menyebut, kumpulan yang pro-Anwar dalam PAS sudah mempunyai senarai pencabar barisan kepemimpinan parti sekarang, diketuai oleh bekas Presiden Persatuan Ulama Malaysia, Datuk Ahmad Awang. Sebahagian besar ahli jawatankuasa parti itu termasuk pada peringkat naib presiden, memang diketahui sebagai penyokong Anwar.

Jika laporan itu benar, perpecahan yang berlaku dalam PAS sekarang hampir menyamai krisis dalaman parti itu ketika kumpulan ulama muda dalam PAS menyingkirkan kepimpinan nasionalis dalam PAS yang diketuai oleh Tan Sri Asri Muda pada akhir tahun 1970-an. Kerana itu, ada yang beranggapan kehadiran Hadi dalam mesyuarat Majlis Pimpinan semalam bukan sekadar untuk 'menyelamatkan' pakatan pembangkang tetapi lebih untuk mengambil hati kumpulan penentangnya dalam PAS.

ASUS lancar phablet Fonepad 7 baharu, RM529 seunit


ASUS lancar phablet Fonepad 7 baharu, RM529 seunit Oleh Abdul Halim Yusoff

KUALA LUMPUR: ASUS memperkenalkan Fonepad 7 baharu, sebuah phablet 7-inci dengan sambungan 3G dan fungsi telefon pintar dua sim.

ASUS Fonepad 7 itu didatangkan dengan rekaan baharu yang lebih tipis dan ringan berbanding Fonepad 7 sebelum ini, dan ia juga padan dalam satu genggam tangan sekali gus menjadikannya semakin mudah digunakan.

Phablet ini dipadankan dengan kamera belakang 8MP autofokus dengan kanta bukaan f/2.4 dan penapis optikal kaca biru yang mempertingkatkan mutu dan prestasi kamera.

Sebagai phablet pertama keluaran syarikat itu yang dilengkapkan dengan mod Cahaya Rendah ASUS PixelMaster, Fonepad 7 berupaya merakamkan gambar yang jelas dan tepat walaupun dengan kadar cahaya sangat rendah.

Model baharu phablet ini juga tampil dengan rekaan baharu sepenuhnya, hanya setebal 7.9mm dan berat 280gm, Fonepad 7 ini adalah 2.8mm lebih tipis dan 10gm lebih ringan berbanding model sebelum ini.

Fonepad 7 didatangkan dengan pilihan warna hitam, putih, emas dan merah yang mana setiap satu mempunyai tekstur unik yang menambah baik gaya dan menjadikannya mudah digenggam.

Pengalaman unik penggunaan Fonepad 7 tertumpu pada paparan IPS 7-inci yang menzahirkan warna tepat dan meningkatkan kejituan bagi mutu gambar yang tidak setara serta menyediakan paparan 178 darjah untuk memudahkan pengguna berkongsi paparan di skrin dengan orang lain yang berdekatan.

Sebagai phablet 7-inci yang serba lengkap, ASUS Fonepad 7 mempunyai dua sim 3G, menjadikannya teman kerja yang akrab terutama ketika di luar negara.

ASUS Fonepad 7 akan berada di pasaran mulai minggu kedua Februari ini dan dijual pada harga RM529 seunit.

Tonton filem Isyarat Cinta lebih awal sambil beramal


Tonton filem Isyarat Cinta lebih awal sambil beramal Oleh Zaidi Mohamad

zaidim@bh.com.my


Rosyam (kanan) bersama pelakon Isyarat Cinta dari kiri; Adi Putra, Fizo Omar dan Liyana Jasmay. - Foto Halimaton Saadiah bte Sulaiman

KUALA LUMPUR: Berbuat baik ada pelbagai cara dan ia perbuatan terpuji. Lalu, Datuk Rosyam Nor menyeru peminat dunia hiburan di negara ini supaya terus menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.

Pelakon filem Castello itu berharap masyarakat terutama peminat dunia seni dapat membantu mangsa banjir dengan memperuntukkan RM100 bagi menonton tayangan amal perdana filem Isyarat Cinta pada 4 Mac ini di Cathay e-Curve, Damansara, Petaling Jaya, jam 8 malam.

Rosyam yang bertindak sebagai produser bersama filem berkenaan berkata, dengan sumbangan itu, orang ramai bukan saja dapat menonton filem berkenaan secara eksklusif lebih awal dari tarikh tayangan sebenar, sebaliknya wang itu dapat dijadikan jariah untuk membantu mereka yang dilanda musibah.

"Saya benar-benar berharap agar semua pihak dapat menyokong usaha menjayakan tayangan amal ini kerana wang kutipan dapat digunakan untuk tujuan kebajikan.

"Bukan saja dapat menonton filem secara eksklusif bersama para artis malah mereka yang membuat sumbangan dapat juga beramal," katanya mengenai projek murni yang diusahakan syarikat produksi RK Screen dan Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM).


Datuk Rosyam Nor

Rosyam berkata pihaknya tidak akan mengambil satu sen pun hasil jualan tiket sebaliknya diserahkan kepada WHAM kerana sebahagiannya akan disalurkan kepada mangsa banjir serta rumah kebajikan terpilih.

Katanya, walaupun keadaan banjir sudah pulih namun pada ketika ini mangsa banjir masih lagi menderita dan sentiasa menantikan bantuan daripada orang ramai khususnya mereka yang tinggal sehelai sepinggang berikutan rumah kediaman musnah dibawa arus.

"Kita jangan ingat mangsa banjir tidak memerlukan apa-apa pertolongan lagi tetapi mereka masih mengharapkan bantuan berterusan daripada kita. Marilah kita sama-sama membantu dengan adanya program ini," katanya.

Rosyam juga yakin Isyarat Cinta bakal mendapat sambutan hangat kerana jalan ceritanya yang menarik selain memaparkan sebuah kisah cinta luar biasa.

Dalam pada itu Rosyam berkata, orang ramai yang membeli tiket bagi menyaksikan tayangan ini akan diberi peluang untuk beramah mesra dengan pelakon terbabit.

Malah, satu sesi antara peminat dan juga artis akan turut dianjurkan pada majlis berkenaan.

"Program ini wajar mendapat sokongan orang ramai kerana ia dapat memperlihatkan kerjasama antara penggiat seni iaitu artis, wartawan hiburan dan penyokong dunia hiburan yang sama-sama memainkan peranan dalam usaha membantu golongan yang memerlukan," katanya.

Selain tiket bernilai RM100, turut dijual tiket untuk tempat duduk khas berharga RM300, RM500 dan RM1,000.

Untuk tempahan tiket dan sebarang pertanyaan mengenai tayangan amal ini hubungi 017-2429699 (Bohari) dan 012-2578884 (Amie).

Isyarat Cinta, mengisahkan perasaan cinta pasangan Orang Kelainan Upaya (OKU) iaitu Iskandar (lakonan Adi Putra) yang cacat pendengaran dengan Dhia (Liyana Jasamy) yang buta.

Hubungan mereka terjalin ketika Iskandar cuba menyelamatkan Dhia dalam satu kemalangan.

Ariel (Fizo Omar) bertindak sebagai orang tengah dalam menghubungkan kedua-dua mereka kerana masalah kecacatan yang mereka alami. Namun, dalam masa yang sama Ariel turut mempunyai perasaan terhadap Dhiya yang akhirnya menimbulkan konflik selepas itu.

Filem Isyarat Cinta ditunjangi Liyana Jasmay, Fizo Omar dan Adi Putra di bawah arahan Bade Azmi. Filem ini akan menemui penonton di pawagam seluruh negara pada 19 Mac depan.

Bekas vokalis Exist mengaku bersalah miliki syabu


Bekas vokalis Exist mengaku bersalah miliki syabu

KUALA LUMPUR: Bekas vokalis kumpulan Exist, Ezad Lazim mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Selayang hari ini atas dakwaan memiliki syabu seberat 0.30 gram.

Ezad atau nama sebenarnya Mohd Rohaizad Mohamad Lazim membuat pengakuan itu di depan Majistret Nurul Izzah Hassan Basri.

Mahkamah menetapkan pada 10 Februari ini untuk menjatuhkan hukuman ke atasnya yang didakwa melakukan kesalahan itu berhampiran Kompleks Selayang Mall kira-kira jam 1.30 tengah hari, 19 November 2014.

'Facebook Lite' akan bolehkan Facebook diakses dengan sambungan 2G


'Facebook Lite' akan bolehkan Facebook diakses dengan sambungan 2G

Facebook catat untung 2014 lebih tinggi daripada jangkaan

SAN FRANCISCO: Facebook mencatat untung lebih tinggi berikutan peningkatan pendapatan daripada iklan menerusi medium mudah alih.

Syarikat itu bagaimanapun menjelaskan ia akan membuat lebih banyak pelaburan untuk menjamin aliran pendapatan masa depan daripada terlalu menumpukan kepada keuntungan tinggi yang segera.

Pengasas bersama, Mark Zuckerberg menganggap 2014 sebagai tahun melabur dengan 'pertaruhan besar' disalurkan kepada komunikasi mudah alih dan perkomputeran generasi akan datang yang diterjemahkan menerusi pembelian WhatsApp dan Oculus, firma pemula mengkhusus dalam realiti maya.

Dalam suku keempat berakhir 31 Disember 2014, untung Facebook naik kepada AS$696 juta (RM2.5 bilion) yang disandarkan kepada lonjakan pendapatan sebanyak AS$3.85 bilion (RM13.9 bilion).

Bagi tahun kewangan 2014, untung Facebook naik hampir sekali ganda kepada AS$2.9 bilion (RM10.5 bilion) yang disandarkan kepada pendapatan yang meningkat 58 peratus kepada AS$12.8 bilion (RM46.12 bilion).

Bagaimanapun, pelabur agak bimbang dengan peningkatan 87 peratus kos dan perbelanjaan syarikat media sosial terbesar itu.

Dengan itu, saham syarikat itu susut sedikit kepada AS$75.05 (RM270) dalam urus niaga selepas sesi dagangan semalam.

Walaupun banyak pesaing mendakwa semakin ramai yang hilang minat terhadap Facebook terutama dalam kalangan pengguna muda, bilangan pengguna media sosial itu meningkat kepada 1.39 bilion.

Zuckerberg dalam taklimat kepada penganalisis kewangan berkata syarikat itu kini fokus untuk memberi khidmat kepada seluruh dunia menerusi projek seperti Internet.org yang memerlukan Facebook membuat pelaburan besar dalam beberapa tahun akan datang.

Dalam usaha Zuckerberg menjadikan Facebook sebagai wadah interaksi penduduk dunia, syarikat itu dikatakan sedang menguji aplikasi mudah versi resolusi rendah untuk digunakan telefon mudah alih dengan sambungan internet berkualiti rendah seperti di negara yang sedang membangun.

Seorang jurucakap syarikat itu memberitahu, 'Facebook Lite' menerusi aplikasi Android umpamanya disasarkan kepada pengguna yang hanya sekadar mempunyai sambungan 2G atau di kawasan yang mana sambungan internet adalah terhad.

Facebook juga mengumumkan aplikasi miliknya seperti Instagram, Messenger dan WhatsApp kini masing-masing mempunyai pengguna aktif sebanyak 300 juta, 500 juta dan 700 juta sebulan. - AFP

Teater Mek Mulung di Istana Budaya 28 Februari, 1 Mac


Teater Mek Mulung di Istana Budaya 28 Februari, 1 Mac Oleh Zaidi Mohamad

zaidim@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dengan kerjasama Grup Teater AKRAB serta Istana Budaya terpanggil untuk menggalas tanggungjawab bagi mementaskan teater tradisional Mek Mulung di Panggung Sari, Istana Budaya.

Pementasan Mek Mulung ini adalah sebagai satu usaha pemuliharaan dan pembangunan kesenian tradisional di negara ini. Ia adalah selaras dengan pengisytiharan tahun 2015 sebagai Year Of Festival dan hasrat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan untuk menjadikan produk seni budaya sebagai tarikan pelancong.

Hal ini juga sesuai dengan visi JKKN khasnya untuk memupuk masyarakat Malaysia yang mempunyai jati diri tinggi, mengamalkan nilai-nilai murni, serta mendukung seni untuk seni, seni budaya untuk kesejahteraan masyarakat dan seni budaya untuk penjanaan ekonomi.

Pementasan Teater Tradisional Mek Mulung di Istana Budaya ini merupakan pementasan berskala besar dan adalah pengiktirafan kepada seluruh penggiat seni tradisional khususnya penggiat teater tradisional Mek Mulung.

Ia akan dipentaskan pada 28 Februari dan 1 Mac depan di Panggung Sari, Istana Budaya. Pementasan 28 Februari ialah pada sebelah malam jam 8.30 malam dan 1 Mac pula pada jam 3 petang. Tiket menonton pementasan ini dijual pada harga RM23, RM53 dan RM83.

Hal ini tidak akan menjadi kenyataan tanpa pembabitan dan perjuangan serta kerjasama dari pelbagai pihak. Lantaran itu JKKN mengambil pendekatan untuk terus bekerjasama dengan Grup Teater AKRAB bagi aspek lakonan dan muzik.

Apatah lagi Kerajaan Kedah juga telah mengisytiharkan teater tradisional Mek Mulung sebagai Seni Warisan Kedah yang diharap bakal membuka jalan kepada pengiktirafan Warisan Dunia oleh UNESCO.

JKKN merasakan sudah tiba masanya Mek Mulung diberi peluang untuk dipentaskan di pentas bertaraf antarabangsa, Istana Budaya. Ini adalah satu lagi usaha agar ruang dan peluang untuk pengiktirafan warisan dunia.

Bagi memastikan keunikan dan keaslian Mek Mulung terpelihara, JKKN turut mengundang kedua-dua tokoh Mek Mulung negeri Kedah iaitu Saad Taib dan Ahmad Shahadan sebagai penasihat bagi produksi Mek Mulung di Istana Budaya ini.

Manakala Saipol Bahari (AKRAB) dan Zulkarnain Ramly akan menggarap pementasan di Istana Budaya ini bersesuaian dengan taraf pementasannya. Ia turut dibintangi Arja Lee, Izreen Azminda dan Shamsun Nadia.

Tiket bagi menyaksikan persembahan Mek Mulung ini berharga RM23, RM53 dan RM 83 dan boleh didapati dengan melayari www.airasiaredtix.com atau dengan membelinya di kaunter tiket box-office Istana Budaya. 10 peratus diskaun bagi warga emas, Orang Kelainan Upaya (OKU) dan pelajar.

Mek Mulung (Mek Mulong) ialah teater tradisional masyarakat Melayu yang berasal dari negeri Kedah Darul Aman. Mek Mulung dipercayai bermula di Ligor, Siam dan berkembang di Kampung Wang Tepus, Tanah Merah, Jitra, Kedah.

Teater tradisional ini menggabungkan unsur lakonan, nyanyian, tarian dan muzik dalam satu persembahan. Difahamkan terdapat 20 himpunan cerita hikayat asal Mek Mulung tetapi hanya beberapa cerita yang masih kekal sehingga ke hari ini.

"Putera Cahaya Bulan" menjadi naskhah pertama Mek Mulung yang bakal dipentaskan di IB setelah mendapat sambutan memberangsangkan. Usaha pembangunan dan penyemarakan Mek Mulung telah dilaksanakan sejak tahun 2005 melalui aktiviti penyelidikan dan perantisan.

Google Glass akan dipertahankan walaupun pelaburan dikaji semula


Google Glass akan dipertahankan walaupun pelaburan dikaji semula

SERGEY Brin memakai Google Glass pada demonstrasi Google I/O 2012 di San Francisco, California pada 27 Jun 2012. - Foto Reuters

SAN FRANCISCO: Google Inc rancang untuk meneruskan pembangunan produk futuristik walaupun membabitkan kos tinggi sehingga perlu menangguh atau mengurangkan pelaburan untuk beberapa projek sedia ada.

Gergasi pengiklanan internet dan enjin carian itu malam tadi mengakui buat kali pertama halangan yang dihadapinya dalam membangunkan komputer boleh dipakai, Google Glass dan mengakui perlu berehat sejenak untuk merumus semula strategi baharu.

Ulasan Ketua Pegawai Kewangan, Patrick Pichette pada majlis pengumuman keputusan kewangan suku keempat firma itu agak mengejutkan kerana sebelum ini Google mengumumkan Google Glass sudah selesai peringkat pembangunan dan kini memasuki fasa baharu.

Bagaimanapun, ramai juga penganalisis yang berpendapat pengakuan itu mungkin ada kaitan dengan hakikat bahawa pembangunan Google Glass selama ini diterajui pengasas bersama Google, Sergey Brin.

Berikutan pertumbuhan dalam pengiklanan internet semakin susut, syarikat itu perlu meyakinkan pelabur bahawa ia berupaya membuat keputusan tepat dalam pilihan pelaburannya.

"Mereka cuba yakinkan bahawa ia sedang membuat pelaburan dalam bidang yang akan membuahkan hasil," kata Colin Gillis, penganalisis di BGC Partner.

Bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2014, untung bersih Google naik 41 peratus kepada AS$4.76 bilion (RM17.15 bilion) atau AS$6.88 (RM25 sesaham), rendah daripada unjuran AS$7.11 sesaham.

Pendapatan naik 15 peratus pada suku keempat kepada AS$18.1 bilion (RM65.2 bilion).

Saham Google diniagakan pada AS$518.10 (RM1,866) sesaham selepas pengumuman keputusan kewangan itu. - Reuters

Samsung lancar kelas bestari pertama di Malaysia


Samsung lancar kelas bestari pertama di Malaysia

JELI: Sekolah Kebangsaan Ayer Lanas di sini adalah sekolah luar bandar pertama yang menerima Kelas Bestari Samsung yang dibangunkan Samsung Malaysia Electronics (SME) Sdn Bhd.

Pengarah Hal Ehwal Korporat Samsung, Datuk Roh Jae Yeol, berkata ia juga sejarah buat Samsung kerana pertama kali projek itu diperkenalkan di Malaysia.

"Pelancaran kelas bestari ini adalah sebahagian inisiatif global Samsung yang dilaksanakan di hampir 400 sekolah di 72 negara lain.

"Ia merevolusikan kaedah mengajar tradisional bagi pembangunan pendidikan dan profesional," katanya semasa berucap pada majlis perasmian kelas itu oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah Pendidikan Kelantan, Hussain Awang.

Roh berkata, SK Ayer Lanas dipilih untuk projek itu bagi merapatkan jurang digital antara sekolah bandar dan luar bandar.

"Ia disasar untuk menyediakan peluang kepada pelajar untuk menggunakan teknologi sedia ada dan menambah nilai kepada pendidikan mereka serta memiliki kemahiran penting abad ke-21," katanya.

Beliau berkata, kandungan pendidikannya diselaras dengan silibus sekolah kebangsaan yang memfokus kepada bahasa Malaysia, Inggeris, Sains dan Matematik untuk murid Tahun Enam.

"Ia juga dilengkapi dengan pemantauan keupayaan di mana guru boleh menyelia kemajuan pelajar dalam latihan pembelajaran di samping menyediakan sasaran tambahan melatih.

"Dengan kaedah ini, sekolah boleh mencapai penambahbaikan dan prestasi akademi positif," katanya dan menambah pasukan Samsung akan memantau program itu selama tiga tahun.

Sementara itu, Mustapa yang juga Ahli Parlimen Jeli berkata, Kelas Bestari Samsung itu akan meningkatkan lagi minat murid untuk belajar dan menjadi berdaya saing, sekali gus mampu melahirkan lebih ramai pelajar pintar.

"Saya percaya kita akan melihat hasilnya dalam tempoh tiga hingga empat bulan akan datang. Banyak negara maju telah menggunakan teknologi seperti ini dalam proses pembelajaran di sekolah.

"Saya berharap lebih ramai syarikat gergasi melabur dalam program seperti ini untuk peningkatan akademik pelajar di Malaysia," katanya.

- BERNAMA

Fara Fauzana sah hos baharu Muzik Muzik


Fara Fauzana sah hos baharu Muzik Muzik Oleh Zaidi Mohamad

zaidim@bh.com.my


FARA Fauzana bergandingan dengan AG Hot FM mengendalikan Muzik Muzik 30. - Foto Hasriyasyah Sabudin

KUALA LUMPUR: Penyampai radio, Fara Fauzana sah dipilih sebagai hos baharu Muzik Muzik edisi 30 bergandingan dengan AG Hot FM.

Fara menggantikan Scha Alyahya yang mengendalikan program itu sejak dua musim terdahulu.

Pengumuman itu dilakukan hari ini ketika berlangsungnya rakaman episod pertama yang diadakan di studio C, Sri Pentas. Pengumuman itu menamatkan teka teki selama ini.

AG dan Fara juga bukan asing bersama kerana turut mengendalikan segmen AM Krew Hot FM dari pagi Isnin hingga Jumaat.

Fara sebelum ini pernah mengacarakan program Melodi dan Nona yang turut disiarkan di TV3. Muzik Muzik 30 bersiaran setiap Sabtu jam 6 petang.

"Terima kasih TV3 untuk kesempatan ini. Saya dengan AG pun sudah biasa bekerjasama di Hot FM," kata Fara yang pernah diberi mandat mengacarakan Anugerah Juara Lagu selama empat tahun.

ASUS lancar phablet Fonepad 7 baharu, RM529 seunit


ASUS lancar phablet Fonepad 7 baharu, RM529 seunit Oleh Abdul Halim Yusoff

KUALA LUMPUR: ASUS memperkenalkan Fonepad 7 baharu, sebuah phablet 7-inci dengan sambungan 3G dan fungsi telefon pintar dua sim.

ASUS Fonepad 7 itu didatangkan dengan rekaan baharu yang lebih tipis dan ringan berbanding Fonepad 7 sebelum ini, dan ia juga padan dalam satu genggam tangan sekali gus menjadikannya semakin mudah digunakan.

Phablet ini dipadankan dengan kamera belakang 8MP autofokus dengan kanta bukaan f/2.4 dan penapis optikal kaca biru yang mempertingkatkan mutu dan prestasi kamera.

Sebagai phablet pertama keluaran syarikat itu yang dilengkapkan dengan mod Cahaya Rendah ASUS PixelMaster, Fonepad 7 berupaya merakamkan gambar yang jelas dan tepat walaupun dengan kadar cahaya sangat rendah.

Model baharu phablet ini juga tampil dengan rekaan baharu sepenuhnya, hanya setebal 7.9mm dan berat 280gm, Fonepad 7 ini adalah 2.8mm lebih tipis dan 10gm lebih ringan berbanding model sebelum ini.

Fonepad 7 didatangkan dengan pilihan warna hitam, putih, emas dan merah yang mana setiap satu mempunyai tekstur unik yang menambah baik gaya dan menjadikannya mudah digenggam.

Pengalaman unik penggunaan Fonepad 7 tertumpu pada paparan IPS 7-inci yang menzahirkan warna tepat dan meningkatkan kejituan bagi mutu gambar yang tidak setara serta menyediakan paparan 178 darjah untuk memudahkan pengguna berkongsi paparan di skrin dengan orang lain yang berdekatan.

Sebagai phablet 7-inci yang serba lengkap, ASUS Fonepad 7 mempunyai dua sim 3G, menjadikannya teman kerja yang akrab terutama ketika di luar negara.

ASUS Fonepad 7 akan berada di pasaran mulai minggu kedua Februari ini dan dijual pada harga RM529 seunit.

Jordan pertingkat serangan udara ke atas IS


Jordan pertingkat serangan udara ke atas IS


FOTO dikeluarkan agensi berita rasmi Jordan, PETRA menunjukkan skuadron pesawat pejuang F-16 Emiriah Arab Bersatu (UAE) di lapangan udara Jordan, semalam bagi membantu misi serangan udara ke atas IS. - Foto AFP

AMMAN: Jordan mengumumkan lebih banyak serangan udara ke atas kumpulan Negara Islam (IS) yang didakwa membunuh salah seorang juruterbangnya, Maaz al-Kassasbeh, minggu lalu sebagai sebahagian tindakan bersepadu negara antarabangsa.

Panglima Tentera Udara, Mejar Jeneral Mansour al-Jobour, berkata negara itu melancarkan kira-kira 56 serangan udara ke atas IS sejak sejak Khamis lalu.

"Purata sehari kempen serangan, pasukan udara kami memusnahkan 19 sasaran termasuk kem latihan dan peralatan," katanya.

Jordan berikrar untuk memusnahkan IS selepas kumpulan berkenaan membakar hidup-hidup Kassasbeh, yang ditawan Disember lalu selepas pesawat tempurnya, F-16 ditembak jatuh di Syria.

Sebanyak 18 lagi sasaran termasuk depoh bahan letupan, minyak dan pusat logistik diserang, Jumaat lalu.

Sabtu lalu, 19 sasaran IS dimusnahkan termasuk berek anggota tentera dan pusat kediaman.

"Setakat ini, kempen serangan sudah memusnahkan 20 peratus keupayaan pertahanan Daesh (nama lain bagi IS).

Jordan adalah sebahagian daripada pakatan negara Arab dan Barat yang diketuai Amerika Syarikat (AS) melancarkan serangan udara terhadap IS sejak September tahun lalu.

Media tempatan melaporkan, skuadron Emeriyah Arab Bersatu (UAE) menggunakan pesawat tempur F-16 tiba di Jordan, Sabtu lalu dengan diiringi juruterbang dan pasukan teknikal.

"Manakala pesawat pengangkut C-17 dan pesawat pembekalan minyak, adalah sebahagian daripada skuadron yang hantar atas perintah Putera Mahkota UAE Mohammed Zayed al-Nahayan," demikian menurut laporan agensi berita Petra. - AFP

Acer Malaysia perkenal Notebook Aspire R14


Acer Malaysia perkenal Notebook Aspire R14


Aspire R14

KUALA LUMPUR: Acer Malaysia melancarkan Aspire R14, notebook unik boleh ubah dua dalam satu, yang mempunyai reka bentuk engsel dwi-kilas dan boleh dipusingkan 360 darjah.

Mengikut Acer, Aspire R14 hampir sama dengan keluaran terdahulu, Aspire R7, yang membolehkan paparan diubah kepada mod yang berbeza bagi pelbagai keperluan, menjadikan ia lebih mudah digunakan di mana-mana sahaja.

"Beberapa ciri Aspire R14 yang menarik termasuk pad sentuh pelbagai gerak isyarat yang menyokong perubahan paparan skrin secara dua jari dan 'pinch', bagi membolehkan pengalaman pengkomputeran peribadi dan interaksi," kata Acer.

Notebook ini dikuasakan pemproses Intel(R) Core(TM) i5 yang lebih lancar dengan Microsoft Windows(R) 8.1, dan 8GB RAM boleh ditingkatkan untuk pengguna yang berminat kepada kapasiti RAM lebih tinggi bagi kelancaran prestasi.

Aspire R14 dilengkapkan dengan satu USB 3.0 dan dua port USB, serta kamera web definisi tinggi Acer Crystal Eye HD yang diiktiraf Skype bagi komunikasi segera global yang lebih jelas dalam kalangan pengguna.

Notebook berwarna perak platinum didatangkan dengan pek empat sel bateri Li-polymer 53Wh 3560mAh 15V dan jaminan pengembara antarabangsa selama setahun serta berharga RM2,499. - BERNAMA

Chordana Composer, aplikasi iPhone daripada Casio untuk menggubah lagu


Chordana Composer, aplikasi iPhone daripada Casio untuk menggubah lagu

KUALA LUMPUR: Casio Computer Co Ltd memperkenalkan Chordana Composer, aplikasi iPhone yang secara automatik menggubah sesebuah lagu berdasarkan melodi dua bar yang dibuat pengguna.

Aplikasi itu boleh didapati di Apple App Store mulai hari ini. Chordana Composer adalah aplikasi yang membolehkan sesiapa saja untuk dengan mudah menggubah muzik asal mereka sendiri, walaupun mereka tidak tahu bagaimana untuk mengarang muzik atau bermain instrumen.

Pengguna hanya perlu merekodkan dengan menyanyi atau bersiul lagu untuk dua bar muzik, dan aplikasi itu secara automatik menggubah keseluruhan muzik itu berdasarkan kepada melodi berkenaan.

Muzik yang dihasilkan itu bukan hanya boleh dimainkan semula untuk dinikmati pengguna, tetapi ia juga boleh di e-mel sebagai sebuah fail audio kepada rakan-rakan.

Untuk menggunakan Chordana Composer, pengguna hanya perlu memikirkan melodi dua bar dan merekodkannya di iPhone sendiri, sama ada dengan menyanyi atau bersiulkan motif berkenaan.

Kemudian pengguna memilih daripada lima aplikasi genre muzik yang berbeza dan tiga jenis melodi latar, dan akhirnya menekan butang Auto Compose untuk mewujudkan suatu bentuk asal muzik lengkap dengan intro dan nota akhir.

Dilengkapi dengan fungsi untuk memaksimumkan kemahiran muzik, pengguna juga boleh memasukkan motif dengan bermain antara muka papan kekunci aplikasi atau dengan membuat nota dalam skor pada antara muka input tatatanda.

Selain itu, melodi dalam muzik yang sudah siap boleh diedit dalam skor berkenaan.

Chordana Composer boleh disambungkan kepada alat muzik elektronik yang serasi dengan MIDI. Jika ia disambungkan ke satu daripada papan kekunci elektronik Casio dengan kekunci yang bercahaya, melodi yang dicipta oleh Chordana Composer akan bercahaya dengan alunan muzik itu.

Untuk meraikan pengeluaran baharu Chordana Composer, Casio menawarkan aplikasi itu pada harga diskaun 40 peratus daripada harga jualan biasa untuk satu tempoh masa yang terhad, dari 30 Januari hingga 5 Februari. - BERNAMA

Kumpulan CIMB tutup pejabat di Australia


Kumpulan CIMB tutup pejabat di Australia

KUALA LUMPUR: Kumpulan CIMB akan menutup pejabatnya di Sydney dan Melbourne susulan kajian semula strategik ke atas keseluruhan perniagaannya.

Keputusan itu dibuat selepas pengumuman kumpulan itu yang menjalankan kajian bagi mengurangkan kos operasi ekuiti dan perbankan pelaburan di Asia Pasifik sebanyak 30 peratus pada 2015.

"Kami sudah mengkaji secara mendalam ke atas perniagaan perbankan pelaburan kami di Asia Pasifik. Keadaan pasaran modal hari ini dan ketiadaan aliran mencukupi secara langsung menjurus kepada keputusan ini," kata Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tengku Datuk Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata platform perbankan pelaburan Kumpulan CIMB di Asia tidak berubah.

Keputusan itu memberi impak ke atas majoriti 103 pekerja CIMB Australia yang akan ditawarkan peluang pekerjaan semula dan sokongan pemberhentian.

CIMB akan menyokong pelanggannya yang mahu mengakses pasaran Australia menerusi pakatan strategik sedia ada dengan Morgans Financials Ltd. - BERNAMA

Yuna dan Hatta Dolmat bergabung dalam projek fesyen


Yuna dan Hatta Dolmat bergabung dalam projek fesyen Oleh Zaidi Mohamad

zaidim@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Semalam penyanyi dan komposer Yuna atau nama penuhnya Yunalis Zarai mengumumkan projek fesyen terbaharu bakal dilancarkan dengan kerjasama pereka fesyen Hatta Dolmat.

Yuna memaklumkan hal berkenaan di laman Instagram miliknya di @yunamusic.

Menurut keterangan gambar yang memaparkan Hatta sedang melakar gambar serta mengambil ukuran itu, penyanyi lagu Dan Sebenarnya itu turut memaklumkan jenama fesyen yang akan dilancarkan kelak itu turut akan dijual kepada orang ramai.

Hatta dan Yuna juga sudah berkawan baik sejak beberapa tahun lalu. Kali pertama Hatta diberi kepercayaan mereka baju Yuna ialah menerusi Anugerah Industri Muzik (AIM) kali ke-26.

Bagaimanapun projek terbaru mereka masih dalam perancangan serta perbincangan.

Lalu, Hatta yang ditanya kepadanya sendiri sebentar tadi juga sangat teruja dengan projek itu tetapi belum dapat mendedahkan secara terperinci apa yang bakal mereka persembahkan tak lama lagi.

"Selama bekerjasama dengannya, saya sudah mula faham apa yang dia suka dan sebaliknya. Lantaran itulah saya terus bersetuju untuk bergabung dengannya bagi projek ini. Setakat ini masih dalam peringkat produksi.

"Saya juga peminatnya dan bersyukur atas tawaran ini. Kami sama-sama meminati fesyen dan muzik, jadi lebih nampak jelas apa yang kami mahukan. Kami ada keserasian," kata Hatta sambil memberitahu yang Yuna kini berada di Los Angeles.

Kata Hatta, selalunya kerana mereka bekerjasama dari jarak jauh kerana komitmen Yuna di luar negara.

"Kami berbincang menerusi emel atau aplikasi WhatsApp. Kalau dia kembali ke Malaysia, dia akan datang ke butik saya di Shah Alam.

"Baju hasil sentuhan saya untuknya di AIM 26 mendapat perhatian Yuna sendiri kerana ia lari dari kebiasaan daripada mana-mana rekaan saya yang terdahulu. Saya guna fabrik sekuin dan gaun ombre itu turut mendapat pujian ramai," katanya.

Usaha untuk menghubungi Yuna di laman Twitter miliknya tidak berjawab kerana zon masa yang berbeza.

Nana Mahazan keluarkan buku Life's A Na.. Na.. Na..


Nana Mahazan keluarkan buku Life's A Na.. Na.. Na.. Oleh Zaidi Mohamad

zaidim@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Bintang Akademi Fantasia musim pertama, Nana Mahazan baru saja melancarkan buku istimewa nukilannya diberi judul Life's A Na.. Na.. Na.. pada 31 Januari lalu di Souka, Subang.

Buku berkenaan yang ditulis beliau sendiri sejak Mac tahun lalu mengenai perkongsian serta pengalaman beliau dari hati ke hati untuk peminat mengenai fasa beliau melalui pengalaman bergelar isteri kepada Raqeem Brian dan ibu kepada dua anak, Althea (4) serta Aaqib (setahun 2 bulan).

Buku dengan 108 helai muka surat itu dijual pada harga RM19.90. Ia dicetak My Global Ideas dan buat sementara waktu, ia dijual di melalui dalam talian termasuk di laman sosial, Instagram miliknya di @nanamahazan. Cetakan pertama dicetak sebanyak 1000 naskhah.

"Selama ini ramai yang selalu bertanyakan bagaimana saya berpantang, melalui fasa hamil, bagaimana nak kurus selepas melahirkan anak dan macam-macam lagi persoalan mengenai ilmu keibuan, jadi kenapa tidak saya merangkumkan saja dalam sebuah penulisan.

"Maka terhasillah projek buku ini. Bahasa yang saya guna dalam buku ini juga senang difahami. Tak ada bunga-bunga... macam cakap seharian. Ia lebih dekat dengan siapa saja yang membacanya.

"Bahkan ada yang sudah membeli serta membacanya mengakui apa yang ditulis seolah-olah saya membebel di tepi telinga mereka," katanya sambil memberitahu projek buku ini tertunda kerana kesibukannya meneruskan rutin sebagai anak seni selain tanggungjawab di rumah.

Tambah Nana lagi yang masih aktif di dalam dunia seni biarpun sibuk menguruskan tanggungjawab sebagai ibu serta isteri, tujuan buku ini dihasilkan bukan berpaksikan keuntungan semata-mata.

"Ia lebih kepada memberi sedikit input serta pengalaman saya kepada mereka yang bakal bergelar isteri serta ibu. Malah saya juga akan salurkan sebahagian kutipan jualan buku ini kepada badan memerlukan. Jadi sambil membeli, kita sama-sama beramal.

"Ia satu kepuasan kepada saya kerana dapat memberi manfaat dan berkongsi apa yang ada dengan yang lain," katanya.

Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS


Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS hari ini berikutan kekurangan sokongan belian, kata peniaga.

Pada jam 9.13 pagi, ringgit disebut harga pada 3.5605/5635 daripada 3.5460/5490 pada Jumaat.

Ringgit bagaimanapun sebahagian besarnya diniagakan tinggi berbanding beberapa mata wang utama lain.

Berbanding dolar Singapura, ringgit naik kepada 2.6312/6338 daripada 2.6335/6379, berbanding yen, ia naik kepada 2.9938/9976 daripada 3.0215/0243 manakala berbanding pound, ia mengukuh kepada 5.4255/4315 daripada 5.4307/4364 sebelumnya dan naik berbanding euro kepada 4.0276/0321 daripada 4.0588/0636 pada Jumaat. - BERNAMA

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Rujukan