Cari Artikel

Monday, February 9, 2015

Saham KL teruskan momentum meningkat


Saham KL teruskan momentum meningkat

KUALA LUMPUR: Harga saham di Bursa Malaysia meneruskan momentum peningkatan apabila dibuka tinggi hari ini didorong pembelian saham mewah dan wajaran tinggi terpilih.

Tiga minit selepas dibuka, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 4.25 mata kepada 1,875.5 selepas dibuka 2.37 mata lebih tinggi pada 1,815.62.

AllianceDBS Research berkata FBM KLCI yang mengakhiri dagangan dalam nada tinggi Jumaat lalu, berkemungkinan menguji paras rintangan lebih tinggi pada 1,831.41 mata.

"Peningkatan lebih daripada 1,831.41 mata menandakan pasaran sedia menuju zon rintangan seterusnya antara 1,838 hingga 1,858 mata," kata firma itu dalam satu nota penyelidikan hari ini.

Pada papan skor, FBM Emas naik 25.13 mata kepada 12,487.05 mata, FBMT100 naik 22.84 mata kepada 12,185.59 dan FBM Emas Syariah naik 18.64 mata kepada 12,999.61.

FBM ACE naik 13.24 mata kepada 6,646.09 dan FBM 70 naik 3.55 mata kepada 13,462.15 mata.

Kaunter untung mengatasi rugi sebanyak 121 berbanding 66 manakala 137 kaunter tidak berubah, 1,398 tidak diniagakan dan 12 digantung. Jumlah dagangan sebanyak 79.17 juta saham bernilai RM35.72 juta.

Antara kaunter aktif TMC Life naik enam sen kepada 70 sen manakala Asia Bioenergy, Pasukhas dan RGB International masing-masing naik setengah sen kepada 19 sen, 26.5 sen dan 16 sen.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, TNB naik 10 sen kepada RM14.92, Maybank naik empat sen kepada RM8.97, Public Bank naik 20 sen kepada RM18.98 dan Sime Darby naik dua sen kepada RM9.55. Axiata tidak berubah pada RM7.17. - BERNAMA

Aksesori telefon pintar kesan HIV, sifilis dalam 15 minit


Aksesori telefon pintar kesan HIV, sifilis dalam 15 minit

WASHINGTON: Penyelidik Amerika Syarikat (AS) dan Rwanda sedang membangunkan aksesori telefon pintar yang berupaya mengesan HIV dan sifilis selepas menganalisa setitis darah daripada jari dalam tempoh 15 minit, lapor agensi berita Xinhua.

Peranti kos rendah itu berupaya memainkan peranan makmal ujian darah dan berupaya mengesan tanda penyakit seperti HIV, antibodi treponemal khusus untuk sifilis dan antibodi bukan-treponemal yang mengesan jangkitan aktif sifilis.

Kos pengeluaran peranti itu hanya sekitar AS$34 (RM122), jauh lebih rendah daripada kaedah diagnostik ELISA yang kini digunakan di hospital, dianggarkan membabitkan kos AS$18,000 (RM65,000) .

Aksesori itu baru-baru ini diuji guna oleh kakitangan perubatan di Rwanda dan menguji darah yang diambil daripada jari 96 pesakit, sebahagian besarnya adalah wanita yang terdedah untuk mewariskan penyakit yang disebarkan kegiatan seks kepada anak mereka.

Kumpulan penyelidik berkata peranti berkenaan memproses data dan memaparkan keputusan pemeriksaan di skrin telefon pintar dalam tempoh 15 minit dan berfungsi hampir sebaik ujian ELISA.

Bagaimanapun, ketika ini hampir semua pesakit lebih yakin dengan dengan ujian makmal yang biasanya mengambil masa lebih dua jam.

"Kajian kami menunjukkan uji kaji makmal yang mengambil masa lama, kini boleh disempurnakan menerusi aksesori telefon pintar," kata Samuel Sia, profesor bersekutu Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan di Universiti Columbia.

"Keupayaan ini akan mengubah kaedah pelaksanaan penjagaan kesihatan di seluruh dunia," katanya.

Peranti atau dongle itu mudah saja disambungkan kepada telefon pintar atau komputer. Ia kecil dan ringan untuk dibawa.

Justeru, penyelidik percaya peranti itu akan mempercepatkan proses pengesanan awal HIV dan sifilis terutama menerusi klinik di lapangan atau mudah alih.

Kajian menggunakan peranti itu yang turut dijalankan dengan kerjasama Pusat Bioperubatan Rwanda, disiarkan dalam jurnal sains Amerika Syarikat, Translational Medicine. - BERNAMA

Kebimbangan Sherry Alhadad terhadap watak Nyonya


Kebimbangan Sherry Alhadad terhadap watak Nyonya Oleh Zaidi Mohamad

zaidim@bh.com.my


Sherry Alhadad pada pra tonton pementasan Diari Wanita... Episod YB & Nyonya di Istana Budaya. - Foto Aziah Azmee

KUALA LUMPUR: Watak Nyonya bukan asing lagi kepada pelakon, pelawak serta pengacara Sherry Alhadad.

Biar pernah memegang watak yang sama pada 2011, bekas pengacara Melodi TV3 itu mengakui terbit kebimbangan di hatinya.

Sekali lagi Sherry dilamar beraksi dalam pementasan Diari Wanita... Episod YB & Nyonya terbitan CTRA Production yang akan dipentaskan bermula 11 hingga 16 Februari ini di Panggung Sari Istana Budaya. Ia arahan Rosminah Mohd Tahir.

Ia gabungan dua naskhah cerita yang digabungkan. Naskhah Nyonya ditulis oleh penulis Indonesia iaitu Wisran Hadi, manakala Episod YB adalah karya baru yang ditulis oleh Rosminah sendiri.

Kali pertama Sherry membawakan watak Nyonya menerusi pementasan Mak Dara Nyonya berganding bersama Zaifri Husin, Misha Omar, Sarimah Ibrahim, Fara Fauzana dan Norzizi Zulkifli. Ketika itu dipentaskan di MaTic, KL.

Ikuti luahan Sherry yang ditemui BH Online pada malam Khamis lalu ketika sesi pratonton kepada media diadakan di Lambang Sari, Istana Budaya.

"Hanya satu saja kebimbangan saya ialah soal stamina dan tenaga yang perlu dijaga serta dikawal rapi. Almaklumlah saiz badan saya bagaimana pula. Kalau tak cakap semput, itu tipulah. Tetapi insya-Allah saya akan cuba untuk menjalankan amanah watak ini dengan sebaik mungkin.


Sherry Alhadad (tengah), Shahrul Mizad Ashari dan Dina Nadzir pada pementasan Diari Wanita... Episod YB & Nyonya di Istana Budaya. - Foto Aziah Azmee
Sherry Alhadad (tengah) dan Shahrul Mizad Ashari pada pra tonton pementasan Diari Wanita... Episod YB & Nyonya di Istana Budaya. - Foto Aziah Azmee

"Kali pertama saya pegang watak ini, berat badan saya tidak seperti sekarang. Watak ini juga memerlukan saya memakai korset badan. Ada kejanggalan dan kekok juga tetapi apabila semua sudah bersatu di atas pentas, 'roh' watak itu terus berjalan seperti tiada masalah," katanya bersemangat mengenai watak Nyonya yang menjadi nadi pementasan teater ini.

Menurut Sherry asalnya beliau teragak-agak untuk menerima tawaran ini termasuk mempertimbangkan hal stamina dan tenaga yang terus berlegar-legar di fikirannya ketika itu. Bagaimanapun atas paksi mencabar diri, Sherry menerimanya.

"Tambahan pula sudah ramai pelakon hebat yang memegang watak Nyonya ini seperti Juhara Ayob, Tania Zainal dan Mardiana Alwi. Ia peluang terbaik untuk saya terus menguji diri sebagai pelakon.

"Watak Nyonya berbeza sekali dengan diri saya kerana saya ini agak kasar dan sempoi. Untuk watak Nyonya saya perlu berdialog dalam bahasa Indonesia. Nyonya ada santunnya dan selain itu disuntik elemen komedi untuk menceriakan suasana

"Cerita ini ada 'double meaning' dan biarpun sudah pernah melakonkan watak ini, saya cuba untuk tidak melakukan pengulangan. Bagi saya setiap kali pementasan, pasti ada benda baru yang cuba diserlahkan," katanya yang pernah berlakon teater Ibu Zain, Asrama-Ra dan Jam Dinding Berdetak

Selain Sherry, teater ini turut dibintangi Amy Mastura, Misha Omar, Nad Zainal, Juharo Ayob, Dina Nadzir dan Shahrul Mizad Ashari. Teater ini turut mendapat kerjasama Istana Budaya dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat

Harga tiket dijual bermula dari RM35, RM55, RM85, RM105 dan RM155. Layari www.AirAsiaRedtix.com atau hubungi 03-61866592. Teater ini akan dipentaskan pada sebelah malam jam 8.30 dan petang jam 3 di Panggung Sari Istana Budaya.

11street sasar 11,000 penjual berdaftar tahun ini


11street sasar 11,000 penjual berdaftar tahun ini Oleh Abdul Halim Yusoff

halem@bh.com.my

Laman web 11street Malaysia.

KUALA LUMPUR: 11street, peneraju e-dagang terbesar Korea, kini membuka pendaftaran kepada penjual tempatan untuk menyertai 11street Malaysia menerusi www.11street.my.

Ketua Pegawai Eksekutif 11street Malaysia, Hoseok Kim, berkata versi Malaysia 11street dijadual untuk pelancaran rasmi kepada pembeli pada bulan April 2015, selaras usaha syarikat untuk menjadi tempat pemasaran e-dagang nombor satu di negara ini.

Ditubuhkan di Korea pada tahun 2008, 11street adalah antara peneraju e-dagang dunia dengan bisnes di Turki dan Indonesia. Setakat ini, 11street mempunyai 22 juta pedagang, lebih 40 juta pengguna di seluruh dunia dengan nilai dagangan tahunan AS$6 bilion (RM21.5 bilion).

Mengikut Hoseok, syurga membeli-belah dalam talian 11street di Malaysia adalah seiring komitmen syarikat untuk menawarkan pengguna tempatan platform e-dagang yang boleh dipercayai dan mudah, yang mana mereka boleh membeli pelbagai produk pada bila-bila masa.

"Ia akan menjadi tempat e-dagang yang pertama di Malaysia yang menggalakkan bukan saja produk fizikal tetapi juga tawaran niaga seperti e-baucar, untuk membolehkan pembeli menikmati pengalaman beli-belah dalam talian yang lebih bermanfaat," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, syarikat ingin memupuk pertumbuhan e-dagang dan meningkatkan kematangan industri dengan membantu perniagaan tempatan terutamanya PKS untuk meneroka peluang perniagaan menerusi platform e-dagang.

Justeru, 11street akan melabur RM35 juta tahun ini dalam pelbagai program pembangunan penjual, pemasaran dan promosi untuk membantu penjual tempatan berdaftar. Pada masa sama, ia bertujuan menarik pembeli untuk melawat 11street sekali gus mempercepatkan jangkauan penjual dalam talian kepada pengguna.

11street menyasar sekurang-kurangnya 11,000 penjual berdaftar pada tahun 2015 untuk memastikan penyampaian pengalaman beli-belah yang diperkaya dengan pelbagai produk dan perkhidmatan yang menarik.

Berbanding laman web e-dagang lain, 11street mempunyai model e-dagang hibrid, menerusi ekosistem yang boleh menyokong semua jenis penjual, termasuk penjual individu, e-usahawan, peruncit, peneraju perkhidmatan dan perniagaan bersaiz kecil dan sederhana (PKS).

Dilengkapi dengan ciri 'merchandizing' dalam talian, 11street dapat menyokong penubuhan perniagaan online yang sempurna. 'Zon Penjual' adalah pusat pendidikan e-dagang serta menyokong peniaga e-dagang. 'Zon Penjual' adalah antara pelaburan 11street yang paling penting untuk mengembangkan sektor e-dagang Malaysia.

Bahagian penjual 11street kini dibuka untuk pendaftaran. Manfaat komersial eksklusif seperti yuran kedai percuma, 50 peratus diskaun ke atas yuran transaksi, penggunaan kemudahan Zon Penjual yang percuma, kredit promosi dan kupon penyenaraian produk, akan diberikan untuk penjual baharu yang berdaftar sebelum April 2015. Faedah menarik lain termasuk kredit beli-belah 11street, baucar petrol dan baucer filem akan ditawarkan kepada penjual baru.

Untuk pendaftaran penjual, sila layari http://www.11street.my.

11street di Malaysia akan dihoskan Celcom Planet Sdn Bhd (Celcom Planet). Ditubuhkan pada November 2014, Celcom Planet adalah usaha sama antara Celcom Axiata Bhd dan SK Planet, penyedia utama laman e-dagang Korea yang juga anak syarikat milik penuh syarikat telekomunikasi mudah alih, SK Telecom.

Aksesori telefon pintar kesan HIV, sifilis dalam 15 minit


Aksesori telefon pintar kesan HIV, sifilis dalam 15 minit

WASHINGTON: Penyelidik Amerika Syarikat (AS) dan Rwanda sedang membangunkan aksesori telefon pintar yang berupaya mengesan HIV dan sifilis selepas menganalisa setitis darah daripada jari dalam tempoh 15 minit, lapor agensi berita Xinhua.

Peranti kos rendah itu berupaya memainkan peranan makmal ujian darah dan berupaya mengesan tanda penyakit seperti HIV, antibodi treponemal khusus untuk sifilis dan antibodi bukan-treponemal yang mengesan jangkitan aktif sifilis.

Kos pengeluaran peranti itu hanya sekitar AS$34 (RM122), jauh lebih rendah daripada kaedah diagnostik ELISA yang kini digunakan di hospital, dianggarkan membabitkan kos AS$18,000 (RM65,000) .

Aksesori itu baru-baru ini diuji guna oleh kakitangan perubatan di Rwanda dan menguji darah yang diambil daripada jari 96 pesakit, sebahagian besarnya adalah wanita yang terdedah untuk mewariskan penyakit yang disebarkan kegiatan seks kepada anak mereka.

Kumpulan penyelidik berkata peranti berkenaan memproses data dan memaparkan keputusan pemeriksaan di skrin telefon pintar dalam tempoh 15 minit dan berfungsi hampir sebaik ujian ELISA.

Bagaimanapun, ketika ini hampir semua pesakit lebih yakin dengan dengan ujian makmal yang biasanya mengambil masa lebih dua jam.

"Kajian kami menunjukkan uji kaji makmal yang mengambil masa lama, kini boleh disempurnakan menerusi aksesori telefon pintar," kata Samuel Sia, profesor bersekutu Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan di Universiti Columbia.

"Keupayaan ini akan mengubah kaedah pelaksanaan penjagaan kesihatan di seluruh dunia," katanya.

Peranti atau dongle itu mudah saja disambungkan kepada telefon pintar atau komputer. Ia kecil dan ringan untuk dibawa.

Justeru, penyelidik percaya peranti itu akan mempercepatkan proses pengesanan awal HIV dan sifilis terutama menerusi klinik di lapangan atau mudah alih.

Kajian menggunakan peranti itu yang turut dijalankan dengan kerjasama Pusat Bioperubatan Rwanda, disiarkan dalam jurnal sains Amerika Syarikat, Translational Medicine. - BERNAMA

Tonton filem Isyarat Cinta lebih awal sambil beramal


Tonton filem Isyarat Cinta lebih awal sambil beramal Oleh Zaidi Mohamad

zaidim@bh.com.my


Rosyam (kanan) bersama pelakon Isyarat Cinta dari kiri; Adi Putra, Fizo Omar dan Liyana Jasmay. - Foto Halimaton Saadiah bte Sulaiman

KUALA LUMPUR: Berbuat baik ada pelbagai cara dan ia perbuatan terpuji. Lalu, Datuk Rosyam Nor menyeru peminat dunia hiburan di negara ini supaya terus menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.

Pelakon filem Castello itu berharap masyarakat terutama peminat dunia seni dapat membantu mangsa banjir dengan memperuntukkan RM100 bagi menonton tayangan amal perdana filem Isyarat Cinta pada 4 Mac ini di Cathay e-Curve, Damansara, Petaling Jaya, jam 8 malam.

Rosyam yang bertindak sebagai produser bersama filem berkenaan berkata, dengan sumbangan itu, orang ramai bukan saja dapat menonton filem berkenaan secara eksklusif lebih awal dari tarikh tayangan sebenar, sebaliknya wang itu dapat dijadikan jariah untuk membantu mereka yang dilanda musibah.

"Saya benar-benar berharap agar semua pihak dapat menyokong usaha menjayakan tayangan amal ini kerana wang kutipan dapat digunakan untuk tujuan kebajikan.

"Bukan saja dapat menonton filem secara eksklusif bersama para artis malah mereka yang membuat sumbangan dapat juga beramal," katanya mengenai projek murni yang diusahakan syarikat produksi RK Screen dan Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM).


Datuk Rosyam Nor

Rosyam berkata pihaknya tidak akan mengambil satu sen pun hasil jualan tiket sebaliknya diserahkan kepada WHAM kerana sebahagiannya akan disalurkan kepada mangsa banjir serta rumah kebajikan terpilih.

Katanya, walaupun keadaan banjir sudah pulih namun pada ketika ini mangsa banjir masih lagi menderita dan sentiasa menantikan bantuan daripada orang ramai khususnya mereka yang tinggal sehelai sepinggang berikutan rumah kediaman musnah dibawa arus.

"Kita jangan ingat mangsa banjir tidak memerlukan apa-apa pertolongan lagi tetapi mereka masih mengharapkan bantuan berterusan daripada kita. Marilah kita sama-sama membantu dengan adanya program ini," katanya.

Rosyam juga yakin Isyarat Cinta bakal mendapat sambutan hangat kerana jalan ceritanya yang menarik selain memaparkan sebuah kisah cinta luar biasa.

Dalam pada itu Rosyam berkata, orang ramai yang membeli tiket bagi menyaksikan tayangan ini akan diberi peluang untuk beramah mesra dengan pelakon terbabit.

Malah, satu sesi antara peminat dan juga artis akan turut dianjurkan pada majlis berkenaan.

"Program ini wajar mendapat sokongan orang ramai kerana ia dapat memperlihatkan kerjasama antara penggiat seni iaitu artis, wartawan hiburan dan penyokong dunia hiburan yang sama-sama memainkan peranan dalam usaha membantu golongan yang memerlukan," katanya.

Selain tiket bernilai RM100, turut dijual tiket untuk tempat duduk khas berharga RM300, RM500 dan RM1,000.

Untuk tempahan tiket dan sebarang pertanyaan mengenai tayangan amal ini hubungi 017-2429699 (Bohari) dan 012-2578884 (Amie).

Isyarat Cinta, mengisahkan perasaan cinta pasangan Orang Kelainan Upaya (OKU) iaitu Iskandar (lakonan Adi Putra) yang cacat pendengaran dengan Dhia (Liyana Jasamy) yang buta.

Hubungan mereka terjalin ketika Iskandar cuba menyelamatkan Dhia dalam satu kemalangan.

Ariel (Fizo Omar) bertindak sebagai orang tengah dalam menghubungkan kedua-dua mereka kerana masalah kecacatan yang mereka alami. Namun, dalam masa yang sama Ariel turut mempunyai perasaan terhadap Dhiya yang akhirnya menimbulkan konflik selepas itu.

Filem Isyarat Cinta ditunjangi Liyana Jasmay, Fizo Omar dan Adi Putra di bawah arahan Bade Azmi. Filem ini akan menemui penonton di pawagam seluruh negara pada 19 Mac depan.

MDeC sedia mempercepatkan penerimaan dan inovasi BDA


MDeC sedia mempercepatkan penerimaan dan inovasi BDA


DATUK Yasmin Mahmood (kiri) dan Presiden dan Ketua Eksekutif MIMOS Datuk Abdul Wahab Abdullah pada sidang media selepas pelancaran Pusat Inovasi dan Kecemerlangan BDA di sini hari ini. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

CYBERJAYA: Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) sudah bersedia untuk mempercepatkan penerimaan dan inovasi Analisis Data Besar (BDA) dalam kalangan syarikat Malaysia dengan mewujudkan satu rangkaian Pusat Inovasi dan Kecemerlangan BDA.

Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Yasmin Mahmood, berkata inisiatif itu menumpukan usaha untuk menjalinkan perkongsian swasta dan awam sebagai saluran untuk mewujudkan pengguna utama dalam penerimaan dan inovasi BDA.

Ia juga menjadi langkah terpenting dalam merealisasikan wawasan MDeC untuk menjadikan Malaysia sebagai hab BDA dalam ASEAN, katanya pada pelancaran Pusat Inovasi dan Kecemerlangan BDA di sini hari ini.

Pada majlis itu juga, tiga Perjanjian Persefahaman dimeterai antara peneraju industri yang diketuai MDeC dengan rakan kongsi utama daripada sektor kerajaan bagi penubuhan tiga Pusat Kecemerlangan (CoE).

Mengikut MoU berkenaan, Fusionex International dan Teradata Corporation Malaysia Sdn Bhd akan membina pusat-pusat kecemerlangan yang bertujuan memacu bidang industri, manakala Unit Permodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) dan MIMOS pula akan menubuhkan makmal Kerajaan Digital BDA untuk menjadi sebahagian daripada rangkaian kebangsaan yang lebih luas.

Yasmin berkata Mou itu akan mengukuhkan usaha dalam penstrukturan rangkaian pusat kecemerlangan kebangsaan dan membantu menggerakkan pakar BDA terbaik negara ini untuk membangunkan projek berimpak tinggi serta pembuktian konsep dalam memacu penerimaan dan inovasi.

"Kami mempunyai matlamat untuk pusat berkenaan mewujudkan ekosistem BDA yang mapan dan meletakkan Malaysia sebagai hab ASEAN melalui penggunaan kepakaran daripada sektor awam dan swasta.

"MDeC akan menyelia keseluruhan program dengan menilai dan meluluskan projek-projek berimpak tinggi selain daripada membantu dan memberi sokongan," katanya. - BERNAMA

Zero juara Maharaja Lawak Mega 2014


Zero juara Maharaja Lawak Mega 2014


Dari kiri, Kumpulan Zero (juara), Sepahtu (naib juara) dan Nabil (ketiga) bergambar bersama trofi kemenangan selepas diumumkan pemenang Maharaja Lawak Mega (MLM) 2014 di Stadium Putra Bukit Jalil, Kuala Lumpur malam tadi. - Foto Hasriyasyah Sabudin

KUALA LUMPUR: Kumpulan Zero muncul juara Maharaja Lawak Mega (MLM) 2014 selepas saingan minggu terakhir di Stadium Putra Bukit Jalil, di sini malam tadi.

Gandingan adik beradik Sahrif Kadil Doli Sahrif, Mohammad Syaiful dan Sharif Kunal meraih wang tunai RM500,000 dan trofi.

Mereka menewaskan empat pesaing lain dalam persembahan yang bertemakan bebas dan muzikal.

Kumpulan Sepahtu yang dianggotai Jep dan Shuib menjadi naib juara dan memenangi hadiah wang tunai RM250,000 berserta trofi.

Tempat ketiga dimenangi peserta solo, Nabil yang meraih wang tunai RM150,000 serta trofi.

Kumpulan Shiro pula di tempat keempat diikuti kumpulan Bocey di tempat kelima yang masing-masing menerima hadiah wang tunai RM50,000 dan RM15,000 berserta trofi.

Hadiah disampaikan pelawak veteran, Datuk Jamali Shadat.

Peserta diadili juri tetap, Datuk Jalaluddin Hassan, Nur Fazura serta dua juri luar iaitu Taufik Batisah dari Singapura dan Farah Quinn dari Indonesia yang mewakili 70 peratus undian manakala bakinya daripada penonton menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS).

Keamanan tercapai jika tiada campur tangan - Tun M


Keamanan tercapai jika tiada campur tangan - Tun M


Tun Dr Mahathir Mohamad . - Foto Asyraf Hamzah

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan dunia akan mencapai keamanan sekiranya tiada negara yang cuba campur tangan dalam urusan negara lain.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, ketika negara di dunia mempunyai pelbagai ideologi seperti demokrasi dan komunis, keamanan mampu dipertahankan jika setiap negara menghormati kedaulatan masing-masing.

"Semua negara perlu menghormati hak negara lain dari aspek pentadbiran dan hala tuju negara tanpa perlu mencampuri ideologi kerana itu hak rakyat negara terbabit.

"Hubungan Malaysia dan Cuba sudah terjalin erat sejak 40 tahun lalu... sepanjang jalinan itu, saya tidak pernah lihat Malaysia cuba mencampuri pentadbiran dan ideologi, begitu juga sebaliknya," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena ulang tahun hubungan Malaysia dan Cuba ke 40 tahun anjuran Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini, sebentar tadi.

Awas Instagram palsu ABPBH 2014!


Awas Instagram palsu ABPBH 2014!


Akaun Instagram ABPBH 2014 sebenar.

KUALA LUMPUR: Ketika debaran Anugerah Bintang Popular BH 2014 (ABPBH 2014) semakin dirasai, ada pihak pula yang mengambil kesempatan mencuri populariti dengan mewujudkan akaun palsu Instagram ABPBH 2014.

Justeru, Jawatankuasa ABPBH 2014 mengingatkan orang ramai supaya tidak terpedaya dengan akaun di bawah nama @top5abpbh2014 yang mengeluarkan senarai awal Top 5 ABPBH 2014 yang sama sekali tidak benar.

Menurut pengendali akaun rasmi laman sosial ABPBH 2014, Farhana Ab Rahman, akaun Instagram rasmi acara tahunan itu ialah @abpbh2014.

"Pihak ABPBH 2014 tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap pengendali akaun palsu berkenaan kerana mengeluarkan maklumat yang tidak benar," katanya.

Farhana berkata, borang undian ABPBH 2014 masih dalam proses pengiraan dan tarikh tutup penghantaran borang adalah pada 8 Februari ini.

"Kelab peminat calon awal atau pengundi masih lagi boleh menghantar borang undian sehingga tarikh tutup itu," katanya.

Apple untung besar didorong jualan luar biasa iPhone


Apple untung besar didorong jualan luar biasa iPhone

SAN FRANCISCO: Apple Inc mencatat rekod baharu dengan untung sebanyak AS$18 bilion (RM65 bilion) bagi suku pertama tahun kewangan 2015 berikutan sambutan luar biasa terhadap iPhone terutama di China.

Mengikut syarikat teknologi itu, hingga kini ia sudah menjual satu bilion peranti yang menggunakan sistem operasi (OS) iOS.

Apple juga mengumumkan peranti pintar boleh dipakai, Apple Watch yang diperkenalkan tahun lalu akan mula dijual April ini.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tim Cook, berkata syarikat berterima kasih kepada pengguna yang memberi sambutan luar biasa kepada produk Apple.

"Permintaan bagi iPhone sangat menakjubkan, jauh lebih tinggi daripada jangkaan kami," katanya.

Penganalisis di Forrester, Frank Gillet, berkata permintaan luar biasa kepada iPhone adalah petunjuk peningkatan minat pengguna terhadap telefon pintar dengan skrin lebih besar.

"Saya jangkakan peningkatan jualan di China dan seluruh dunia akan bertahan buat beberapa lama lagi," katanya.

Rekod untung pada suku pertama berakhir 27 Disember 2014 itu disandarkan kepada pendapatan AS$74.6 bilion (RM269 bilion), didorong jualan 74.5 juta iPhone, jauh lebih tinggi daripada unjuran penganalisis.

Paras untung yang dicatatkan Apple itu lebih besar daripada rekod sebuah perbadanan korporat di AS ketika ini, iaitu AS$15.9 bilion (RM57.3 bilion) yang pernah dicatat ExxonMobil pada suku kedua 2012.

Jualan iPhone meningkat sekali ganda di China, pasaran telefon pintar kedua terbesar Apple, kata ketua pegawai kewangan, Luca Maestri.

Dalam pada itu, jualan iPad jatuh pada suku dikaji, tetapi Apple mencatat rekod baharu jualan komputer Macintosh dan pendapatan yang diraih daripada pembelian menerusi App Store.

Begitupun Cook menzahirkan keyakinannya terhadap potensi jangka panjang iPad. Bilangan pembeli kali pertama peranti itu kekal kukuh di China, Britain dan Amerika Syarikat (AS), tambahnya.

Cook turut akui bahawa iPhone skrin besar mungkin menjejaskan pasaran iPad dan komputer Macintosh. Lantaran itu, beliau yakin kerjasama dengan IBM akan menjadikan iPad lebih menarik kepada syarikat, sebagai peranti di tempat kerja.

Dengan mengambil kira prestasi kewangan semasa, lembaga pengarah Apple mengumumkan dividen tunai 47 cents (RM1.70) sesaham yang akan dibayar pada 12 Februari ini.

Saham Apple naik lima peratus kepada AS$115.20 (RM415) dalam sesi selepas dagangan malam tadi. - AFP

2 episod terakhir Istikharah Cinta disiar serentak malam ini


2 episod terakhir Istikharah Cinta disiar serentak malam ini Oleh Zaidi Mohamad

zaidim@bh.com.my


Pelakon Drama Istikharah Cinta, Zul Ariffin dan Faye Kusairi. - Foto Aziah Azmee

KUALA LUMPUR: Drama Istikharah Cinta yang mula bersiaran menerusi slot Akasia pada 23 Disember bakal berakhir malam ini, 6 Februari.

TV3 akan menyiarkan tayangan eksklusif 2 episod terakhir Istikharah Cinta pada jam 9 malam hingga 11 malam ini.

Istimewa dengan tayangan dua episod terakhir pada malam ini, satu majlis tayangan eksklusif dan sesi ramah mesra bersama pelakon utama seperti Zul Ariffin, Faye Kusairi, Falisha Crossley, Azizul Ammar, Lia Natalia, Nizen Ayob dan ramai akan berlangsung di Rasta TTDI.

Orang ramai dijemput hadir bagi memeriahkan lagi tayangan eksklusif episod akhir Istikharah Cinta. Drama terbitan Orangetree Production 28 episod ini mengisahkan mengenai Airil (Zul Ariffin) yang gagal dalam perkahwinan pertamanya bersama Aiza (Nonny) selepas Aiza keguguran.

Airil kembali membuka hatinya apabila bertemu Dina (Faye Kusairi). Kesetiaan mereka diuji apabila Aiza, kembali menagih cinta Airil dan Hanafis, bekas teman lelaki Dina turut Aiza menyesal kerana meninggalkan Airil apabila dia tidak merasa bahagia dengan perkahwinannya bersama Dr. Rizal (Nizen Ayob).

Aiza turut berpakat bersama Hanafis, bekas teman lelaki Dina yang dipaksa untuk berkahwin dengan pilihan keluarganya untuk menggagalkan perkahwinan mereka. Aiza turut menjadikan Aiman sebagai umpan untuk berbaik semula dengan Airil dengan menyatakan Aiman adalah anak kandung Airil.

Taufik (Azizul Ammar) telah menasihatkan Airil untuk berbincang dengan Dr Rizal mengenai status Aiman. Dia tidak mahu nanti Airil menjadi orang yang memisahkan perhubungan seorang anak dan bapa kandungnya yang sebenar. Taufik sememangnya tidak percaya yang Aiman adalah anak Airil.

Dina pula terperangkap dengan ugutan Hanafis yang ingin menyebarkan gambar-gambar lama mereka sewaktu di UUM dahulu. Dina terpaksa menurut kemahuan Hanafis dan membelakangkan Airil. Aiza turut berjumpa Dina dan menyatakan bahawa dia dan Airil akan kembali rujuk dan sanggup untuk menjadi isteri kedua.

Adakah perancangan jahat Aiza dan Hanafis untuk memisahkan Airil dan Dina akan berjaya? Mungkinkah mahligai yang dibina Airil buat kali kedua ini akan turut musnah? Segalanya bakal terjawab malam ini!. Selamat menonton.

Reman suspek kelar penuntut UiTM dilanjut


Reman suspek kelar penuntut UiTM dilanjut


POLIS berjaya mendapatkan kebenaran Mahkamah Majistret Taiping untuk menyambung reman selama tujuh hari lagi bermula hari ini terhadap suspek kes bunuh pelajar UiTM cawangan Permatang, Norsyuhada Johari, 20, yang maut akibat dikelar, minggu lalu. - Foto L Manimaran

TAIPING: Tempoh reman terhadap tukang masak berusia 25 tahun yang juga suspek kes bunuh pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) cawangan Permatang, Pauh Pulau Pinang pada 3 Februari lalu dilanjutkan tujuh hari lagi sehingga 16 Februari.

Perintah melanjutkan tempoh reman itu dikeluarkan kepada Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Taiping, N Mageswari.

Pada 2 Februari lalu, mangsa Norsyuhada Johari, 20, meninggal dunia di Hospital Kuala Kangsar kira-kira jam 2 petang selepas dikelar suspek di dalam sebuah kereta di Kilometer 228.2, Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah selatan, di sini.

Kastam Tawau rampas bunga api seludup bernilai RM268,860


Kastam Tawau rampas bunga api seludup bernilai RM268,860


YUNOS (dua dari kanan) menunjukkan antara bunga api yang dirampas dari sebuah gudang terpencil di Batu 8, Tawau. - Foto Abdul Rahemang Taiming

TAWAU: Kastam Tawau merampas pelbagai jenis bunga api bernilai RM268,860 selepas menyerbu sebuah gudang terpencil di Batu 8, dekat Ranggu, di sini, minggu lalu.

Rampasan bunga api pelbagai jenama seberat 10,863 kilogram itu adalah yang kedua dicatatkan oleh Kastam Tawau sejak Ops Letup dilancarkan di Sabah, bulan lalu.

Timbalan Pengarah Bahagian Penguatkuasa Kastam Sabah, Yunos Tahir, berkata sepasukan pegawai dan anggota kastam membuat intipan hampir sejam sebelum membuka gudang berkunci terbabit selepas pemiliknya tidak muncul dan gagal dikenal pasti.

"Dalam serbuan jam 4 petang 4 Februari lalu itu, kita menemui 1,448 kotak mengandungi bunga api pelbagai jenis dan jenama yang disimpan di gudang terbabit, dipercayai dijadikan transit oleh sindiket tertentu sebelum diedarkan kepada sindiket atau kumpulan dan individu lain.

"Siasatan awal mendapati semua bunga api berkenaan diseludup dari China untuk dipasarkan dan dijual di daerah ini sempena sambutan Tahun Baharu Cina," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Yunos berkata, pihaknya kini menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti pemilik gudang berkenaan, selain menjejaki dalang sindiket dan penyeludup bunga api terbabit.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Rujukan