Cari Artikel

Wednesday, February 4, 2015

Pemilihan baharu jalan terbaik selesai krisis MIC


Pemilihan baharu jalan terbaik selesai krisis MIC


Naib Presiden MIC, Datuk S Balakrishnan. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

JOHOR BAHRU: Naib Presiden MIC, Datuk S Balakrishnan berpendapat pemilihan semula yang diarahkan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) tidak akan menjamin parti berjaya menyelesaikan krisis dalaman berbanding mengadakan pemilihan baharu membabitkan semua jawatan.

Beliau berkata, ini kerana masih akan terdapat isu-isu lain yang timbul sekiranya parti itu terpaksa mengadakan pemilihan semula.

"Ia (isu) disifat tidak berhenti sehingga pemilihan parti yang seterusnya diadakan. Jadi saya fikir ini (pemilihan baharu) adalah jalan terbaik untuk menyelesaikan masalah supaya ia nampak bersih dan jelas dari peringkat cawangan hingga ke pucuk pimpinan tertinggi," katanya.

Balakrishnan yang juga Pengerusi MIC Johor berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis sambutan Thaipusam di Kuil Arulmigu Thendayuthapani Kovil, di sini, hari ini.

Pada 5 Disember lalu, MIC diarahkan ROS untuk mengadakan pemilihan semula bagi tiga jawatan Naib Presiden dan 23 kerusi Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) dalam tempoh 90 hari.

Ia adalah susulan dakwaan wujud perkara yang melanggar peraturan parti dan Akta Pertubuhan dalam pemilihan pada mesyuarat Agung MIC ke-68 di Melaka, pada 30 November 2013.

Bagaimanapun, dua hari lalu, Presiden MIC, Datuk Seri G Palanivel mengumumkan untuk mengadakan pemilihan baharu terhadap semua jawatan dalam parti berkenaan.

Balakrishnan berkata, pihaknya berharap cadangan Palanivel untuk mengadakan pemilihan baharu mendapat persetujuan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Pengerusi Barisan Nasional (BN) dalam masa terdekat.

"Dengan rancangan untuk pemilihan baharu, kami berharap beberapa pemimpin MIC akan berhenti mewujudkan kekeliruan dalam kalangan rakyat kerana ini (pemilihan baharu) adalah apa yang kebanyakan daripada ahli mahu," katanya.

Beliau juga menggesa sayap parti agar memberi tumpuan kepada tanggungjawab masing-masing dan mengelak daripada terlibat dengan isu pemilihan semula.

"Pemuda MIC dan Wanita (MIC) tidak mempunyai kuasa untuk mengundi presiden parti, oleh itu mereka tidak boleh mendesak diadakan pemilihan semula," katanya.

- BERNAMA

Pertingkat pelan komunikasi untuk hadapi bencana - Polis Kelantan


Pertingkat pelan komunikasi untuk hadapi bencana - Polis Kelantan

TUMPAT: Satu pelan komunikasi yang sistematik perlu diwujudkan bagi semua agensi keselamatan dalam menghadapi bencana termasuk banjir pada masa depan, kata Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Rosli Ab Rahman.

Beliau berkata, kejadian banjir luar biasa yang melanda negeri ini pada Disember lalu, menyebabkan sistem perhubungan terjejas di beberapa kawasan termasuk di Kuala Krai.

"Keadaan tersebut menyukarkan semua pihak untuk mendapatkan maklumat dan perkembangan semasa berkaitan dengan musibah banjir di kawasan tersebut," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup Kursus Asas Pengendalian Bot Enjin Sangkut Peringkat Kontinjen Kelantan di sini, hari ini.

Rosli berkata, daripada post mortem yang dilakukan terhadap kejadian banjir itu, perkara lain yang perlu ditingkatkan ialah penggunaan Goverment Intergrated Radio Network (GIRN) dan penggunaan walkie talkie.

Beliau berkata, sistem perhubungan yang berkesan perlu diwujudkan supaya aktiviti menyelamat dapat diselaraskan dan tidak berlaku pertindihan.

Katanya, pihak polis bersama agensi keselamatan lain juga sedang mengenal pasti lokasi sesuai untuk dijadikan tapak pendaratan helikopter bagi memberikan bantuan kepada mangsa di kawasan terbabit.

Kursus asas pengendalian bot enjin sangkut peringkat kontinjen Kelantan itu disertai 42 anggota keselamatan daripada pelbagai agensi termasuk polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia. - BERNAMA

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Rujukan