Cari Artikel

Tuesday, February 3, 2015

Lebih 13,000 PKS terjejas banjir di Kelantan - Mustapa


Lebih 13,000 PKS terjejas banjir di Kelantan - Mustapa


Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed melihat produk budu ketika melakukan lawatan kerja di Kampung Tebing Geting, Pengkalan Kubor, Tumpat hari ini. - Foto Owee Ah Chun

TUMPAT: Sebanyak 13,337 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dikenal pasti terjejas akibat bencana banjir di Kelantan pada Disember lalu, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Mustapa berkata, Pasir Mas mencatatkan bilangan tertinggi perusahaan yang terjejas akibat bencana itu membabitkan 3,701 usahawan, diikuti Kota Bharu (3,296), Tumpat (1,375), Kuala Krai (2,070), Gua Musang (1,361) dan selebihnya di jajahan lain.

"Sebanyak 35,446 PKS dikenal pasti beroperasi di negeri ini dan jumlah yang terjejas itu merupakan 37.7 peratus daripada jumlah keseluruhan pengusaha," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan pengusaha keropok dan budu di Kampung Geting di sini, hari ini.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri Pengkalan Kubor, Mat Razi Mat Ail, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Usahawan Kecil dan Sederhana (SME Corp), Datuk Hafsah Hashim dan Pengarah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Kelantan, Azran Deraman.

Mustapa berkata, SME Corp dan Malaysian Industrial Development Finance (MIDF) Bhd mengadakan program turun padang bagi memberi penerangan kepada usahawan terjejas banjir mengenai bantuan yang disediakan kerajaan sebanyak RM10 juta di bawah tabung kecemasan khas kepada PKS.

"Seramai 980 usahawan menghadiri sesi taklimat yang dijalankan di seluruh Kelantan baru-baru ini dan cuma 43 usahawan yang kemukakan borang permohonan kepada kami. Mungkin usahawan yang selebihnya mempunyai simpanan untuk memulakan kembali perniagaan mereka," katanya.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan geran bantuan berjumlah maksimum RM20,000 serta bantuan pinjaman mudah sehingga RM100,000 kepada usahawan yang terjejas banjir di bawah tabung berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Mustapa yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan berkata kerajaan Persekutuan telah meluluskan sejumlah RM2.5 juta bagi pembinaan 11 jeti baharu di Pengkalan Kubor sebagaimana yang dijanjikan pada pilihan raya kecil yang berlangsung Dewan Undangan Negeri berkenaan tahun lepas.

"Kami akan bina sebuah jeti besar bernilai RM250,000 dan 10 jeti kecil bernilai setiap satunya RM200,000 di kawasan Pengkalan Kubor ini kerana ramai penduduknya bekerja sebagai nelayan dan jeti sedia ada amat daif.

"Kami jangka pembinaan jeti itu akan dapat disiapkan sebelum musim tengkujuh tahun ini," katanya.

- BERNAMA

Mangsa banjir di Sarawak meningkat


Mangsa banjir di Sarawak meningkat

KUCHING: Sebanyak 306 lagi mangsa banjir di Sarawak dipindahkan setakat 4 petang ini, menjadikan keseluruhannya 1,217 orang daripada 264 keluarga dipindahkan ke lima pusat pemindahan banjir.

Jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sarawak berkata, peningkatan jumlah itu dilaporkan di bahagian Sibu.

Katanya, kini terdapat 995 mangsa daripada 218 keluarga yang berada di dua buah pusat pemindahan.

Pada 8 pagi ini, jumlah mangsa dipindahkan di Sibu adalah 701 orang daripada 172 keluarga.

Bahagian Betong masih mencatatkan 172 mangsa daripada 27 keluarga yang berada di dua pusat pemindahan.

Beliau berkata, di Mukah, kini terdapat 50 mangsa daripada 19 keluarga yang berada di sebuah pusat pemindahan.

Sementara itu, semua mangsa banjir di bahagian Sarikei sudahpun pulang ke rumah masing-masing selepas air surut sepenuhnya dan pusat pemindahan banjir ditutup pada 1 tengah hari ini.

- BERNAMA

SESB optimis inisiatif transformasi beri impak positif terhadap bekalan elektrik


SESB optimis inisiatif transformasi beri impak positif terhadap bekalan elektrik

KOTA KINABALU: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) optimis setiap inisiatif transformasi yang diambil syarikat akan memberi impak positif terhadap sistem bekalan elektrik di seluruh Sabah dan Labuan.

Pengarah Urusannya, Ir Abd Razak Salim berkata pendekatan awal untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada kira-kira 500,000 penggunanya masih diteruskan meskipun permintaan terhadap bekalan elektrik sudah mencukupi apabila hanya 900 megawatt (MW) digunakan berbanding 1,200 MW yang disediakan.

Beliau berkata, antara inisiatif awal transformasi itu membabitkan penstrukturan semula pejabat Pusat Pengurusan Bekalan (PPB) sedia ada di sini.

Penstrukturan itu membabitkan penambahan sebuah lagi pejabat PPB yang ditempatkan di dalam kawasan Pencawang Masuk Utama (PMU) Inanam, sekaligus menjadikan dua PPB beroperasi di Kota Kinabalu, katanya.

"PPB baharu ini iaitu PPB KKUtara akan memantau pembekalan elektrik di sekitar kawasan Inanam, Sepanggar dan Menggatal, manakala PPB sedia ada di Tanjung Aru dikenali sebagai PPB KKSelatan meliputi kawasan Kepayan, Penampang, Putatan dan sebahagian Lok Kawi," katanya selepas merasmikan pejabat PPB KKUtara di Inanam dekat sini, hari ini.

Abd Razak berkata menerusi penstrukturan itu, maklum balas terhadap aduan pengguna serta kerja baik pulih bekalan elektrik dapat disegerakan.

"Pembukaan PPB KKUtara dan PPB KKSelatan itu diharap menjamin perkhidmatan terbaik SESB terutamanya berkaitan pemulihan bekalan elektrik yang lebih baik dan pantas," katanya.

- BERNAMA

Anak saya diganggu sejak Tingkatan Lima - Bapa


Anak saya diganggu sejak Tingkatan Lima - Bapa

JITRA: Bapa kepada pelajar wanita yang maut akibat dikelar seorang lelaki semalam pernah membuat laporan polis mengenai anaknya yang sering diganggu lelaki itu sejak di Tingkatan Lima.

Johari Hashim berkata, pemuda berkenaan adalah rakan sekampung anaknya dan pernah meluahkan hasrat untuk menjalin hubungan serius dengan anaknya.

Namun beliau berkata, mereka sekeluarga menghalang hasrat pemuda itu kerana dia disyaki menagih dadah.

"Anak saya hanya berkawan biasa. Tetapi dia mahu mengadakan hubungan serius. Anak saya pernah beritahu kami, lelaki itu selalu mengganggunya. Saya pernah telefon dan hantar SMS kepada dia supaya jangan ganggu anak saya.

"Saya juga pernah membuat laporan polis empat tahun lalu. Apabila dia bekerja di Melaka, saya ingatkan dia sudah berhenti ganggu anak saya kerana anak saya tidak lagi bercerita mengenainya," katanya kepada pemberita.

Anaknya Nursyuhada, 20, penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Permatang Pauh, Pulau Pinang maut selepas dipercayai dikelar seorang lelaki di Kilometer 228.2 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan berhampiran Bukit Gantang, Perak semalam.

Johari berkata, namun selepas itu, anaknya memberitahu lelaki berkenaan masih mengganggunya.

Beliau berkata, keluarga pemuda itu mengetahui kelakuannya yang pernah bertindak ganas memecahkan pintu rumahnya di Taman Hosba di sini.

Beliau berkata, pemuda berkenaan pernah melarikan anaknya dengan kereta sebelum ini tetapi mereka sekeluarga menemuinya semula.

"Saya sangat terkejut apabila rakan kelas anak saya menghubungi isteri saya dan memberitahu anak saya akan dicederakan sekiranya anak saya tidak mahu menaiki kereta lelaki itu.

"Isteri saya cuba menghubunginya anak saya beberapa kali, tetapi panggilan telefonnya tidak dijawab. Saya juga menghubungi ibu bapa pemuda itu meminta mereka menghubungi anak mereka untuk membawa pulang anak saya," kata Johari.

Beliau berkata, bapa lelaki itu kemudian menghubungi anaknya dan memaklumkan kepada Johari anaknya sudah mengelar leher Nursyuhada.

Beliau juga kesal kerana lelaki itu dilapor memberitahu pihak polis bahawa dia melakukan perkara itu kerana mengalami sakit mental.

Johari berkata, kali terakhir beliau bertemu anaknya ialah pada awal bulan lalu ketika menghantar anaknya di perhentian bas Shahab Perdana, Alor Setar untuk pulang ke kampus.

Nursyuhada yang meninggal di Hospital Kuala Kangsar dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Cherok Mokkan pagi tadi.

- BERNAMA

Tanah runtuh di Telupid, 9 keluarga diarah pindah


Tanah runtuh di Telupid, 9 keluarga diarah pindah

TELUPID: Sembilan keluarga terpaksa meninggalkan rumah mereka akibat kejadian tanah runtuh di Kampung Gambaron dekat sini, hari ini.

Pegawai Daerah Telupid, Benedict Asmat, berkata terdapat tujuh rumah terbabit dan runtuhan berlaku dari lereng bukit memasuki kawasan belakang rumah selepas hujan lebat melanda daerah ini semalam.

Katanya, sembilan keluarga membabitkan 40 orang yang tinggal di tujuh rumah berkenaan diminta mengosongkan rumah mereka atas faktor keselamatan.

Mereka memilih untuk berpindah ke rumah keluarga mereka juga di kampung sama, katanya ketika dihubungi Bernama.

Menurutnya, mereka diarah berpindah selepas pemeriksaan oleh pihaknya bersama polis dan Jabatan Kebajikan mendapati rumah tersebut tidak selamat diduduki disebabkan tanah runtuh itu.

Benedict berkata, Jabatan Kebajikan turut menyalurkan bantuan makanan keperluan asas kepada keluarga terbabit.

Beliau berkata, keluarga terbabit hanya akan dibenarkan balik semula ke rumah mereka selepas kerja pembersihan tanah runtuh dilakukan dan rumah mereka selamat untuk didiami hasil pemeriksaan lanjut.

- BERNAMA

Kerajaan Johor pertimbang permintaan kuil kecualikan premium tanah tambahan


Kerajaan Johor pertimbang permintaan kuil kecualikan premium tanah tambahan

JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor sedia mempertimbang permohonan pihak pengurusan Kuil Arulmigu Thendayuthapani di sini, agar dikecualikan daripada pembayaran premium tanah tambahan berjumlah RM160,000.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, premium tambahan itu sebelum ini dikenakan kepada pengurusan akibat tindakan membina bangunan dewan serbaguna di tapak kuil tersebut, sebelum mendapat kelulusan Pejabat Tanah Negeri.

"Kalau tidak salah saya, premium tambahan yang harus dibayar adalah RM160,000 dan tetapi berserta dengan ini, ada juga premium tanah biasa sebanyak RM80,000 yang turut perlu dibayar oleh pengurusan.

"Jadi, kita akan pertimbang (pengecualian) ini sebaik mungkin dalam bulan ini mengikut amalan-amalan serupa yang telah kita lakukan kepada tanah-tanah lain," katanya berucap pada sambutan Hari Thaipusam di kuil tersebut, hari ini.

Turut hadir, Anggota Parlimen Johor Baharu Tan Sri Shahrir Abdul Samad dan Pengerusi Perhubungan MIC Johor merangkap Naib Presiden MIC, Datuk S.Balakrishnan.

Menurut Mohamed Khaled, kerajaan negeri memberi pertimbangan itu kerana kuil turut memainkan peranan dalam melahirkan masyarakat yang mementingkan aspek keagamaan sebagai panduan hidup mereka.

Sementara itu, sambutan Thaipusam berkenaan menyaksikan seramai 100,000 penganut agama Hindu menyertai perarakan.

Perarakan tanpa henti dari Kuil Arulmigu Rajamariamman di Jalan Ungku Puan, di pusat bandar ke Kuil Arulmigu Thendayuthapani, di Jalan Kuel itu bermula sejak jam 10 malam tadi dan dijangka berakhir 4 petang ini. - BERNAMA

Yana Samsudin, Hanez Suraya borong kain kahwin di Bangkok


Yana Samsudin, Hanez Suraya borong kain kahwin di Bangkok Oleh Zaidi Mohamad

zaidim@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Yana Samsudin dan Hanez Suraya yang bakal berkahwin tidak lama lagi dengan pasangan masing-masing sempat ke Bangkok sejak Sabtu lalu untuk memborong kain bagi persiapan majlis perkahwinan mereka.

Yana dan Hanez turut ditemani pereka fesyen masing-masing iaitu Zery Zamry dan Wanpa.

Hanez turut ditemani ibu tersayang selain bakal suami Romie Razin Adilha, serta bakal adik iparnya. Berbanding Hanez, Yana lebih dulu akan bergelar isteri.

Yana akan bernikah pada 13 Februari ini dengan adik Farid Kamil, Fadzil Zahari di Yong Peng, Johor dan majlis resepsi akan diadakan pada keesokan harinya di lokasi yang sama. Fadzil Zahari menghantar rombongan meminang pada 14 Disember 2014 lalu.

Hanez pula akan bernikah 14 Mac depan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya. Majlis nikah dijangka berlangsung sebelah pagi dan malam hari yang sama akan diadakan majlis berinai di kediaman keluarga beliau di Seremban.

Majlis menyambut menantu pula akan dilangsungkan pada 21 Mac di kediaman keluarga Romie di Andalas, Klang. Seterusnya pasangan ini akan diraikan dalam satu majlis resepsi di Pusat Konvensyen Sime Darby pada 22 Mac depan.

Sarawak beku permohonan pembangunan ladang baharu - Adenan


Sarawak beku permohonan pembangunan ladang baharu - Adenan


Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem. - Foto Nadim Bokhari

KUCHING: Kerajaan Sarawak membekukan serta-merta permohonan baharu untuk pembangunan ladang berskala besar, kecuali pembangunan ladang rakyat di atas tanah Hak Adat Bumiputera (NCR), kata Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem.

Beliau berkata, langkah itu adalah bagi mengawal berlakunya kegiatan pembalakan secara haram yang sedang berluasa di negeri ini berikutan pembukaan ladang secara besar-besar di atas tanah kerajaan.

"Cukuplah apa yang sudah ada, yang sudah ada memberi masalah yang sangat besar," kata beliau kepada pemberita semasa kunjungan hormat exco Persatuan Wartawan Bahagian Kuching terhadap beliau di sini, hari ini.

Adenan sebelum ini turut mengumumkan 'perang' ke atas kegiatan pembalakan haram di Sarawak yang menurut beliau adalah masalah besar dan perlu dibendung.

Katanya, sebelum ini lebih 500 lesen pembalakan dikeluarkan kepada syarikat dan individu.

"Saya telah mengarahkan Jabatan Hutan Sarawak mengambil tindakan tegas ke atas semua kegiatan pembalakan haram dan hasilnya beberapa serbuan dan tangkapan berjaya dilakukan," katanya.

Adenan turut melahirkan rasa kesal beliau terhadap tindakan rakus pembalak yang membalak secara haram di kawasan-kawasan taman negara, sambil menyatakan tindakan berterusan akan dilaksanakan bagi menangkap mereka yang terbabit dalam kegiatan haram itu.

Katanya, Jabatan Hutan Sarawak akan dibekalkan dengan pesawat 'drone' bagi mengesan kegiatan pembalakan haram di kawasan hutan negeri ini, selain penambahan bilangan kakitangan penguatkuasa dan kenderaan pacuan empat roda.

Sebelum ini Adenan mengumumkan bahawa pegawai penguatkuasa Jabatan Hutan akan dibekalkan dengan senjata api semasa melakukan kerja-kerja penguatkuasa.

"Tindakan yang diambil terhadap mereka yang terlibat dengan kegiatan pembalakan haram ini tidak ada kaitan dengan soal politik kerana ia dilakukan untuk kepentingan ekonomi negeri dan alam sekitar," tambah beliau.

Semasa pertemuan itu, Adenan bersetuju untuk menjadi tetamu kehormat pada Malam Media Ketua Menteri Sarawak yang tarikhnya akan ditetapkan kelak.

Beliau turut bersetuju memperuntukkan sebuah bangunan kerajaan yang tidak digunakan, sebagai pejabat persatuan berkenaan. - BERNAMA

Syazwan Zulkifly masih anggap diri baharu


Syazwan Zulkifly masih anggap diri baharu Oleh Zaidi Mohamad

zaidim@bharian.com.my

Empat tahun berkecimpung dalam bidang seni, Syazwan Zulkifly masih menganggap dirinya seperti bakat baharu.

Tempoh berkenaan dianggapnya sebagai ruang untuk terus menimba pengalaman dengan menerima pelbagai tawaran yang menguji dirinya.

Syazwan mula menjadi sebutan selepas muncul dalam siri drama Juvana di TV3. Watak Apek yang dipegangnya dalam drama berkenaan terus membekas. Sepanjang empat tahun itu juga selain drama, beliau turut membintangi lima filem termasuk Juvana The Movie dan Laga yang sudah menemui penonton.


Syazwan Zulkifly. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Ketika ini, filem terbaharu lakonannya Suamiku, Encik Perfect 10! masih ditayangkan. Dua lagi filem lakonannya yang sedang menunggu tayangan tahun ini iaitu Sunti@Facebook dan Gamatism.

Bagi Syazwan, setiap anak seni mempunyai cara sendiri untuk terus berjaya. Lambat atau cepat semuanya berbalik kepada tuah. Calon awal kategori Pelakon TV Lelaki dan Pelakon Filem Lelaki Anugerah Bintang Popular (ABP) BH 2014 itu selesa dengan perkembangannya saat ini.

"Tidak terlalu mendadak naik, tetapi tidak juga lambat dan saya selesa dengan perkembangan ini. Selama ini pun, saya masih berada pada peringkat belajar dan ada ketika, saya berasa seperti pada permulaan ketika berlakon drama Juvana.

"Saya amat bersyukur dengan pencalonan awal di ABPBH 2014. Jika tidak silap, nama saya mula dicalonkan dalam pencalonan awal sejak tahun 2011 lagi.

"Saya tidak letak harapan tinggi kerana ia ditentukan oleh kuasa undian peminat. Membolosi Top 5 bagi saya, satu bonus tetapi jika gagal, saya tidak akan kecewa. Ia menyuntik semangat untuk saya terus bekerja," katanya dalam satu pertemuan, baru-baru ini.

Syazwan yang mesra dipanggil Kepeng mengakui, di kalangan teman artis namanya kekal sinonim dengan watak antagonis.

Hakikatnya, sebagai pelakon, Syazwan pernah mencuba pelbagai watak. Pernah memegang watak protagonis, namun barangkali kerana slot tayangan itu tidak ditonton ramai menyebabkan percubaannya itu tidak disedari ramai.

"Saya tidak kisah jika peminat masih skeptikal dengan kemampuan saya. Saya juga tidak terkilan jika peminat mengingati, lakonan saya hanya membekas apabila membawa watak jahat saja. Itu pandangan ramai dan bukti mereka sedar kehadiran saya. Saya masih ingat satu temubual membabitkan pelakon, Johnny Depp.

"Soalan yang diajukan kepada beliau ialah kenapa tidak mahu berlakon menampakkan muka sendiri, sebaliknya gemar memilih watak pelik sekali gus menyembunyikan wajah kacak yang dimilikinya?

"Jawapan yang diberikannya cukup menarik. Katanya, Hollywood memiliki ramai hero kacak yang diingati, jadi biar peminat mengingati namanya dengan karakter pelik. Sama juga dengan situasi saya. Saya cuba kekalkan karakter sebegitu sekalipun watak jahat sering kali dibenci," katanya yang terbuka dengan apa saja tawaran atau karakter jika bersesuaian.

Syazwan turut menjelaskan, beliau mengambil pendekatan tidak terlalu ambil pusing kritikan atau pujian yang diterimanya di laman sosial. Bagi Syazwan, beliau tidak mahu pantas selesa dengan apa yang diraihnya.

"Saya tiada asas lakonan. Cuma saya bertuah kerana pada awal kerjaya seni, saya diberi peluang berdampingan dengan orang yang betul. Saya berpeluang berkongsi pengalaman dengan Beto Khusairy, Bront Palarae dan Zaharil Adzim. Saya juga dapat bekerja dengan produksi yang mementingkan kualiti.

"Saya bermula dari bawah. Saya tidak mahu terus lalai dengan pujian, malah tidak membenarkan kritikan memusnahkan impian. Tetapi itu bukan bererti, saya tidak menghargai pujian orang. Di laman sosial contohnya Twitter, saya suka jika peminat memuji lakonan tanpa menyebut nama saya. Ia lebih jujur," katanya.

Ditanya mengenai pembabitannya dalam filem Suamiku, Encik Perfect 10! terbitan Astro Shaw dan Global Station di pawagam sejak 22 Januari lalu, Syazwan mengakui menerima maklum balas positif terhadap filem itu.

"Banyak babak saya bersama Lisa Surihani ketika di London terpaksa dipotong untuk memenuhi durasi tayangan filem, tetapi ia tidak menjejaskan keseluruhan cinta. Secara jujur, saya suka karya ini yang pada asalnya dihasilkan dalam format super telefilem," katanya yang kini membintangi drama Istikharah Cinta menerusi slot Akasia TV3.

Penghargaan

*Solekan: Instagram @eijaharumhassan

Semua pihak perlu ambil positif kenyataan menteri


Semua pihak perlu ambil positif kenyataan menteri

KUALA LUMPUR: Kenyataan memboikot pemborong dan peniaga Cina yang enggan menurunkan harga barangan seperti disaran seorang menteri Kabinet sebelum ini tidak seharusnya diheret sehingga ke kancah perkauman.

Sebaliknya, pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) yang tampil menyokong gesaan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan kenyataan itu bukan saja bersifat realiti, malah jika diambil serius, boleh memberi manfaat kepada seluruh rakyat.

Bagi Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Mohd Razlan Muhammad Rafii, melihat gesaan menteri terbabit sebenarnya berfokus kepada kempen memerangi orang tengah dan peniaga yang masih berdegil tidak mahu menurunkan harga barang.

Malah katanya, tidak timbul soal perkauman dan apa yang dikatakan olehnya adalah menjelaskan bahawa kaum Cina di Malaysia kini adalah kumpulan majoriti yang berperanan sebagai orang tengah dan peniaga.

"Banyak peniaga Cina marah dengan kenyataan itu. Peniaga Cina merasa terancam kerana terdapat gerakan melindungi kepentingan pengguna secara besar-besaran. Tidak kurang juga yang menganggap kenyataan tersebut berbaur perkauman.

"Namun tindakan sesetengah pihak yang dilihat bergabung atas dasar kepentingan kaum Cina sebagai orang tengah dan peniaga adalah sangat tidak bijak," katanya dalam kenyataan di sini.

Katanya, tidak menjadi kesalahan jika pengguna Cina juga memboikot orang tengah dan peniaga kerana isu barangan mahal adalah perkara yang membabitkan kepentingan semua pihak.

"Persatuan peniaga Cina harus bersama mengambil positif saranan menteri untuk menyarankan ahli-ahli mereka supaya menurunkan harga barangan berikutan penurunan harga minyak semasa tempatan," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu, Datuk Dr Hasan Mad menyifatkan saranan Ismail itu satu yang berasas.

"Sebagai Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, beliau mengetahui apa yang berlaku terutama barangan makanan yang di bawah kawalan dan portfolio kementeriannya iaitu eksploitasi harga yang berleluasa sekian lama, macam tidak terkawal langsung.

"Itu sebabnya sejak beliau menjadi menteri di kementeriannya sekarang, salah satu agenda besar yang beliau laksanakan ialah kempen Jihad Perangi Orang Tengah," katanya.

Katanya, saranan itu sepatutnya disambut baik oleh peniaga-peniaga Cina seperti dimaksudkan Ismail agar lebih bertanggungjawab dan patriotik dalam berniaga, bukan sebaliknya.

"Ya, orang Melayu akui sumbangan perniagaan komuniti Cina kepada pembangunan negara ini, tetapi tidak bermakna mereka boleh menindas pengguna sewenang-wenangnya," katanya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Rujukan