Cari Artikel

Saturday, January 31, 2015

Anuar Zain terbit buku istimewa untuk peminat


Anuar Zain terbit buku istimewa untuk peminat Oleh Serimah Mohd Sallehuddin

serima@bh.com.my


ANUAR Zain menunjukkan contoh buku istimewa yang bakal diterbitkan. - Foto NSTP

PETALING JAYA: Peminat penyanyi lagu Lelaki Ini boleh mendapatkan buku Anuar Zain sebagai koleksi peribadi apabila dilancarkan kelak.

Buku berjudul Konsert Anuar Zain - Tiga Dekad: Muzik, Cinta dan Sanubari yang bakal dilancarkan tidak lama lagi akan memuatkan koleksi foto sepanjang konsert termasuk foto di sebalik tabir konsert yang berlangsung dua tahun lalu.

Anuar yang ditemui pada majlis pelancaran CD, VCD dan DVD konsert berkenaan berkata, buku itu masih lagi dalam proses untuk disiapkan. Maklumat terkini mengenai buku berkenaan akan dikemaskini melalui laman Facebook, Anuar Zain Network.

"Buku ini adalah hadiah istimewa saya buat peminat kerana ia memuatkan gambar sepanjang konsert saya dua tahun lalu di Shah Alam. Selain itu foto yang diambil khusus untuk konsert itu yang turut dipaparkan sepanjang konsert saya juga akan dimuatkan dalam buku 'coffee table' itu.

"Setakat ini kita masih dalam proses untuk menyiapkan buku berkenaan justeru apa saja maklumat terkini mengenai buku itu akan kami maklumkan melalui Anuar Zain Network," katanya.

Sementara itu, peminat yang terlepas peluang menyaksikan konsert Anuar Zain boleh mendapatkan CD hari ini manakala VCD dan DVD yang akan berada di pasaran pada 15 Februari depan, manakala yang ingin menyaksikan konsert itu bersama Anuar Zain, majlis tayangan akan diadakan pada tarikh sama jam 3 petang di TGV Cinema One Utama.

Chordana Composer, aplikasi iPhone daripada Casio untuk menggubah lagu


Chordana Composer, aplikasi iPhone daripada Casio untuk menggubah lagu

KUALA LUMPUR: Casio Computer Co Ltd memperkenalkan Chordana Composer, aplikasi iPhone yang secara automatik menggubah sesebuah lagu berdasarkan melodi dua bar yang dibuat pengguna.

Aplikasi itu boleh didapati di Apple App Store mulai hari ini. Chordana Composer adalah aplikasi yang membolehkan sesiapa saja untuk dengan mudah menggubah muzik asal mereka sendiri, walaupun mereka tidak tahu bagaimana untuk mengarang muzik atau bermain instrumen.

Pengguna hanya perlu merekodkan dengan menyanyi atau bersiul lagu untuk dua bar muzik, dan aplikasi itu secara automatik menggubah keseluruhan muzik itu berdasarkan kepada melodi berkenaan.

Muzik yang dihasilkan itu bukan hanya boleh dimainkan semula untuk dinikmati pengguna, tetapi ia juga boleh di e-mel sebagai sebuah fail audio kepada rakan-rakan.

Untuk menggunakan Chordana Composer, pengguna hanya perlu memikirkan melodi dua bar dan merekodkannya di iPhone sendiri, sama ada dengan menyanyi atau bersiulkan motif berkenaan.

Kemudian pengguna memilih daripada lima aplikasi genre muzik yang berbeza dan tiga jenis melodi latar, dan akhirnya menekan butang Auto Compose untuk mewujudkan suatu bentuk asal muzik lengkap dengan intro dan nota akhir.

Dilengkapi dengan fungsi untuk memaksimumkan kemahiran muzik, pengguna juga boleh memasukkan motif dengan bermain antara muka papan kekunci aplikasi atau dengan membuat nota dalam skor pada antara muka input tatatanda.

Selain itu, melodi dalam muzik yang sudah siap boleh diedit dalam skor berkenaan.

Chordana Composer boleh disambungkan kepada alat muzik elektronik yang serasi dengan MIDI. Jika ia disambungkan ke satu daripada papan kekunci elektronik Casio dengan kekunci yang bercahaya, melodi yang dicipta oleh Chordana Composer akan bercahaya dengan alunan muzik itu.

Untuk meraikan pengeluaran baharu Chordana Composer, Casio menawarkan aplikasi itu pada harga diskaun 40 peratus daripada harga jualan biasa untuk satu tempoh masa yang terhad, dari 30 Januari hingga 5 Februari. - BERNAMA

Hanez Suraya-Romie nikah 14 Mac


Hanez Suraya-Romie nikah 14 Mac Oleh Zaidi Mohamad

zaidim@bh.com.my

Hanez Suraya (kanan) dan Romie Razin Adilha.

KUALA LUMPUR: Pelakon Hanez Suraya mengesahkan akan bernikah 14 Mac ini di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya.

Akad nikah Hanez atau nama sebenarnya Hanez Suraya Abdul Aziz dengan pasangannya, Romie Razin Adilha dilangsungkan pada sebelah pagi, manakala pada sebelah malamnya diadakan majlis berinai di kediaman keluarga beliau di Seremban.

Majlis menyambut menantu pula akan dilangsungkan pada 21 Mac di kediaman keluarga Romie di Andalas, Klang.

Seterusnya pasangan ini akan diraikan dalam satu majlis resepsi di Sime Darby Convention Centre pada 22 Mac

Hanez dan Romie sebaik mungkin cuba mempercepatkan perkara baik ini. Pasangan ini bertunang 3 Januari lalu di Seremban.

Ikuti temubual Hanez dan Romie kepada BH Online baru-baru ini.

"Asalnya memang keluarga masing-masing memberikan tempoh enam bulan selepas bertunang untuk ke fasa perkahwinan. Tapi tempoh itu umpama syarat ketika rundingan keluarga diadakan.

"Hakikatnya keluarga mahu kami mempercepatkan ia ke bulan Mac.

"Cuma ketika itu masih belum ada tarikh tetap. Konsep majlis kahwin saya nanti serba sederhana dan paling penting jemputan yang datang pulang dengan gembira selain menjamu selera dengan makanan sedap," kata Hanez.

Menurut Hanez untuk majlis perkahwinannya nanti tiada tajaan besar daripada mana-mana pihak. Seperti biasa Hanez turut mahu mengabadikan hari bahagiannya dengan sentuhan jurusolek kesayangan seperti Chomel dan Syed Dewa.

"Yang ada tajaan pun hanya tajaan kecil seperti bahagian inai. Kami juga menggunakan khidmat perancang perkahwinan sendiri untuk setiap majlis yang akan berlangsung. Saya juga akan memakai baju kahwin rekaan antaranya seperti Wanpa dan KuntumbyNajeeb.

"Saat ini memang saya sibuk membuat persiapan kahwin. Boleh kata sudah hampir 80 peratus sudah boleh lepas tangan kepada perancang perkahwinan. Saya juga akan edarkan kad kahwin tak lama lagi sejurus siap urusan cetakan kad itu," katanya.

Hanez memberitahu ketika beliau sedang sibuk merencana hari bahagia, ada tawaran berlakon yang bertandang.

"Saya kena bincang elok-elok dengan pihak produksi kerana takut bertindan dengan tarikh perkahwinan," katanya.

Wanita dakwa dirogol pemandu saman syarikat teksi


Wanita dakwa dirogol pemandu saman syarikat teksi

NEW DELHI: Seorang wanita yang mendakwa dirogol pemandu teksi syarikat Uber di ibu negara India menyaman syarikat perkhidmatan teksi dalam talian itu di mahkamah Amerika Syarikat kerana gagal memastikan keselamatan penumpang.

Dalam tuntutan mahkamahnya, wanita India itu menuduh Uber mendahulukan keuntungan daripada keselamatan, dia menggelar syarikat yang berpangkalan di Amerika Syarikat itu sebagai 'pengangkutan elektronik percuma di zaman moden'.

Dalam e-mel kepada AFP pada Khamis, peguam Amerika yang mewakili wanita berusia 25 tahun itu berkata, Uber disaman bagi ganti rugi yang tidak dinyatakan jumlahnya untuk 'kecederaan fizikal dan emosi'.

"Sekalipun komitmen menyediakan keselamatan, menggunakan aplikasi Uber dan menetapkan lokasi mengambil penumpang terbukti ia hanya 'pengangkutan elektronik percuma di zaman moden'," menurut tuntutan mahkamah yang difailkan di mahkamah California itu.

"Pengguna perlu berhati-hati - kita semua tahu bagaimana kisah dalam filem berakhir," butiran tuntutan mahkamah itu, menuduh kecuaian Uber .

Sementara itu, seorang peguam wanita, Douglas H. Wigdor, sebelum ini mewakili pembantu hotel yang menuduh bekas ketua Tabung Kewangan Antarabangsa Dominique Strauss-Kahn melakukan serangan seksual pada tahun 2012.

Syarikat yang berpangkalan di San Francisco itu tidak mengulas berhubung tuntutan mahkamah sebaliknya berkata "takziah yang tidak terhingga kepada mangsa jenayah ngeri ini".

Jurucakap syarikat itu juga berkata mereka 'bekerjasama sepenuhnya' dengan pihak berkuasa bagi memastikan orang yang bertanggungjawab bagi jenayah itu dibawa ke muka pengadilan.

Uber diharamkan beroperasi di Delhi selepas kejadian serangan ke atas wanita terbabit pada 5 Disember lalu, yang mencetuskan kebimbangan keselamatan baru di bandar yang mempunyai rekod yang tinggi membabitkan keganasan seksual.

Perbicaraan membabitkan pemandu syarikat terbabit yang didakwa menyerang wanita itu ketika dia dalam perjalanan pulang dari makan malam, sedang berjalan. Beliau mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan merogol, penculikan dan ugutan jenayah.

Uber, yang menghubungkan penumpang kepada pemandu melalui aplikasi telefon pintar, minggu lalu berkata ia memulakan operasi di Delhi, tetapi pihak berkuasa menolak permohonan untuk mendapatkan lesen beroperasi sebagai sebuah syarikat radio-teksi.

Uber berkata ia komited untuk melindungi penumpang di India dan di seluruh dunia.

India adalah salah satu pasaran utama syarikat di luar Amerika Syarikat dan beroperasi di keseluruhan bandar-bandar utama di India. - AFP

MDeC sedia mempercepatkan penerimaan dan inovasi BDA


MDeC sedia mempercepatkan penerimaan dan inovasi BDA


DATUK Yasmin Mahmood (kiri) dan Presiden dan Ketua Eksekutif MIMOS Datuk Abdul Wahab Abdullah pada sidang media selepas pelancaran Pusat Inovasi dan Kecemerlangan BDA di sini hari ini. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

CYBERJAYA: Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) sudah bersedia untuk mempercepatkan penerimaan dan inovasi Analisis Data Besar (BDA) dalam kalangan syarikat Malaysia dengan mewujudkan satu rangkaian Pusat Inovasi dan Kecemerlangan BDA.

Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Yasmin Mahmood, berkata inisiatif itu menumpukan usaha untuk menjalinkan perkongsian swasta dan awam sebagai saluran untuk mewujudkan pengguna utama dalam penerimaan dan inovasi BDA.

Ia juga menjadi langkah terpenting dalam merealisasikan wawasan MDeC untuk menjadikan Malaysia sebagai hab BDA dalam ASEAN, katanya pada pelancaran Pusat Inovasi dan Kecemerlangan BDA di sini hari ini.

Pada majlis itu juga, tiga Perjanjian Persefahaman dimeterai antara peneraju industri yang diketuai MDeC dengan rakan kongsi utama daripada sektor kerajaan bagi penubuhan tiga Pusat Kecemerlangan (CoE).

Mengikut MoU berkenaan, Fusionex International dan Teradata Corporation Malaysia Sdn Bhd akan membina pusat-pusat kecemerlangan yang bertujuan memacu bidang industri, manakala Unit Permodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) dan MIMOS pula akan menubuhkan makmal Kerajaan Digital BDA untuk menjadi sebahagian daripada rangkaian kebangsaan yang lebih luas.

Yasmin berkata Mou itu akan mengukuhkan usaha dalam penstrukturan rangkaian pusat kecemerlangan kebangsaan dan membantu menggerakkan pakar BDA terbaik negara ini untuk membangunkan projek berimpak tinggi serta pembuktian konsep dalam memacu penerimaan dan inovasi.

"Kami mempunyai matlamat untuk pusat berkenaan mewujudkan ekosistem BDA yang mapan dan meletakkan Malaysia sebagai hab ASEAN melalui penggunaan kepakaran daripada sektor awam dan swasta.

"MDeC akan menyelia keseluruhan program dengan menilai dan meluluskan projek-projek berimpak tinggi selain daripada membantu dan memberi sokongan," katanya. - BERNAMA

Sukree dahului pusingan ketiga PGM Sime Darby Harvard


Sukree dahului pusingan ketiga PGM Sime Darby Harvard

SUNGAI PETANI: Pemain negara, Sukree Othman menyalakan impian besar dalam kejohanan golf Jelajah Pembangunan Asia (ADT) selepas mendahului pusingan ketiga, Kejuaraan PGM Sime Darby Harvard di sini, hari ini.

Dia melakukan enam bawah par 66 pukulan dalam kejohanan bernilai RM200,000 untuk membuat satu langkahan ketika pendahulu hari kedua, Arie Irawan - juga dari Malaysia - tercicir satu pukulan di tempat kedua selepas pulang dengan 68 pukulan.

Sementara itu, rakan senegara, Kemarol Baharin merakamkan catatan terendah dengan 64 untuk menghuni tangga ketiga pada pembuka musim ADT.

KEPUTUSAN PUSINGAN KETIGA

201 - Sukree OTHMAN (MAS) 70-65-66

202 - Arie IRAWAN (MAS) 63-71-68

203 - Kemarol BAHARIN (MAS) 70-69-64

204 - Sean RIORDAN (NZL) 70-68-66, Danny CHIA (MAS) 69-68-67, Mathiam KEYSER (RSA) 70-65-69

205 - Steve HAN (USA) 71-68-66, Masaru TAKAHASHI (JPN) 69-69-67, Oskar ARVIDSSON (SWE) 69-66-70

ABPBH: Pencalonan awal Kategori Artis Baharu Wanita turut sengit


ABPBH: Pencalonan awal Kategori Artis Baharu Wanita turut sengit Oleh Zaidi Mohamad

zaidim@bh.com.my


KUALA LUMPUR 30 Disember 2014.Pelakon,Puteri Balqis . NSTP/Nur Adibah Ahmad Izam
KUALA LUMPUR 23 December 2014. (UNTUK YATI/RAP SHJ) Penyanyi dan pelakon, Ayda jebat. NSTP/Munira Abdul Ghani

KUALA LUMPUR: Selain kategori Artis Baharu Lelaki Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2014, calon kategori Artis Baharu Wanita juga jelas menampakkan persaingan sengit untuk merebut kelompok lima popular.

Calon cilik Puteri Balqis dilihat mempunyai peluang cerah untuk bolos sebagai calon top 5 jika peminatnya terus memperkasa sokongan dengan mengundinya menerusi akhbar. Balqis sangat cemerlang tahun lalu.

Baru saja memenangi kategori Pelakon Wanita Terbaik pada Anugerah Skrin (ASK) 2014 di TV3, Puteri Balqis menerusi drama yang membawa kejayaan sulung kepadanya iaitu Balqis turut menang kategori yang sama di Asian Television Award 2014.

Dia baru berusia tujuh tahun tetapi peluang yang diberikan sutradara Erma Fatima dimanfaatkan sebaik mungkin baginya menyerlahkan bakat yang ada.

Adya Jebat juga turut menonjol tahun lalu hanya menerusi drama Rindu Awak 200 %. Pernah menyertai Akademi Fantasia musim kesembilan, namanya ketika itu masih belum mekar. Kehangatan drama adaptasi novel popular ini yang bersiaran menerusi slot Akasia TV3 ternyata memberi tempias yang besar buatnya.


KUALA LUMPUR 08 August 2014. (Untuk Yanie - RAP) Pelakon, Amyra Rosli. NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman
KUALA LUMPUR 22 December 2014.Indah Ruhaila di sidang akhbar Anugerah Juara Lagu ke 29 di Nu Sentral. NSTP/Nik Hariff Hassan

Tidak ketinggalan Amyra Rosli juga terbang tinggi tahun 2014. Namanya hangat dek cinta yang putus tengah jalan dengan Dazrin. Beberapa nama pelakon lain seperti Amar Baharin dan Shahz Jaszle turut dikaitkan dengannya. Amyra kini hangat menerusi drama Suamiku Encik Sotong.

Indah Ruhaila juga bertuah kerana perjalanan seninya terus mendapat perhatian ramai. Siapa sangka, dia pernah menyangka perjalanan seninya selepas mengikat kontrak bersama syarikat Suria Records (SRC) dari 2006 hingga 2010 akan bernoktah begitu saja.

Tetapi lain pula jadinya selepas Indah Ruhaila menyertai Akademi Fantasia 2013. Rezekinya kian murah. Peluang Indah menyertai siri jelajah dan malam kemuncak (ABPBH) 2013 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 24 Mei lalu membuka jalan untuk Indah terus bernyawa. Lebih bermakna single dendangannya Percayalah turut mara ke peringkat akhir Anugerah Juara Lagu ke-29.

Sherry Alhadad dan Zulin Aziz juga dilihat mempunyai potensi untuk ke top 5 berdasarkan populariti yang diraih. Daripada hanya muncul ketika Anugerah Skrin di Stadium Malawati, Shah Alam berehat seketika untuk memberi laluan kepada iklan, Sherry dan Zulin ditawarkan stesen radio Hot FM untuk muncul dalam segmen Diva@Am Krew untuk beberapa minggu.


KUALA LUMPUR 29 June 2014. (UNTUK ZULHUSNI/BIPOP SAHAJA) Pengacara, Sherry Alhadad. NSTP/Munira Abdul Ghani
KUALA LUMPUR 10 December 2014. (UNTUK RUDY IMRAN/METRO AHAD SHJ) Pengacara dan pelakon, Zulin Aziz. NSTP/Munira Abdul Ghani

Seterusnya mereka ditampilkan sebagai hos utama Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) dan bergandingan dengan Awal Ashaari untuk Melodi 2014. Kini kedua-duanya rancak menerima tawaran seni.

Aisya Hasnaa juga mempunyai bakat lakonan yang wajar diberi perhatian. Bermula sebagai penyanyi hingga pernah menghasilkan album mini, tetapi tuahnya dalam bidang nyanyian masih belum menjelma. Aisya adalah adik kepada chef selebriti, Anis Nabilah.

Artis sensasi Youtube, Elizabeth Tan juga bagai dirahmati perjalanan seninya. Single Knock Knock yang dihasilkan September lalu membuatkan popularitinya pantas meledak hanya dengan single berkenaan. Selain nyanyian, Elizabeth juga bakal muncul dalam filem Usop Wilcha Menghonjang Makhluk Muzium.


KUALA LUMPUR 16 January 2015. (Untuk Syanty Octavia - RAP) Penyanyi, Elizabeth Tan. NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman
KUALA LUMPUR 14 July 2014. (UNTUK YANIE/RAP SAHAJA) Penyanyi, Hanie Soraya. NSTP/Munira Abdul Ghani

Dalam dunia nyanyian, Hanie Soraya turut tampil mewarnai seni menerusi satu single berjudul Hujung Nyawa. Lagu itu ciptaan Faizal Tahir dan lirik oleh Omar K serta Mike Chan. Hanie menjadi anak didik Faizal Tahir dan menjadi artis pertama di bawah label Faithful Music milik penyanyi itu. Hanie pernah menghadiri uji bakat Mentor musim keenam tetapi ketika itu tuah belum menyebelahinya.

Fynn Jamal juga popular dengan cara tersendiri. Hanya berpaksi pada bentuk tulisan, luahan rasa dan eksperimen seni puisi juga permainan bahasa bermula dari laman 'Life Jurnal' dan kemudiannya ke blog, Myspace, Facebook, Twitter dan kini di Instagram, Fynn Jamal cukup popular di laman maya. Lagu Arjuna Betanya juga pernah mara separuh akhir Muzik Muzik 29 tahun lalu.


KUALA LUMPUR 17 November 2014. Artis Fantasia Music City (FMC), Fynn Jamal di Hotel Cititel, Kuala Lumpur. NSTP/Aziah Azmee

Anak Ratu Jazz Negara, Datuk Sheila Majid, Kayda juga mara dalam pencalonan awal kategori ini iaitu Kayda. Kayda memilih muzik hip hop dan rap biarpun dibesarkan dalam pelbagai jenis muzik.

Akhir sekali Syatilla Melvin juga tidak boleh dipandang sebelah mata. Deretan drama mahupun telefilem lakonannya seperti Esah Pajero, Lara Hati, Rindu Bertamu di Abu Dhabi, Rentas Samudera, Ariana Rose dan Aku Isterinya mengaitkannya dengan watak antagonis.

Kerjaya seninya turut memalit nama Syatilla dengan pelakon popular Shaheizy Sam.

Taliban mengaku bertanggungjawab 'serangan dalam' di lapangan terbang Kabul


Taliban mengaku bertanggungjawab 'serangan dalam' di lapangan terbang Kabul

KABUL: Taliban hari ini mengaku bertanggungjawab bagi satu 'serangan dalam' di lapangan terbang Kabul yang mengakibatkan tiga kontraktor Amerika Syarikat dan seorang rakyat Afghanistan terbunuh.

Maklumat lanjut kejadian malam semalam itu masih belum jelas, di mana seorang jurucakap misi NATO berkata insiden itu masih lagi dalam siasatan.

Seorang pegawai pertahanan Amerika Syarikat di Washington memberitahu AFP bahawa mangsa rakyat Amerika Syarikat itu adalah di bawah kontrak Jabatan Pertahanan negara terbabit bagi membantu latihan tentera udara Afghanistan.

"Seorang mujahid Afghanistan bekerja di pihak tentera di lapangan terbang Kabul itu melepaskan tembakan terhadap askar Amerika Syarikat dan menyebabkan tiga rakyat Amerika Syarikat terbunuh," katanya dalam satu kenyataan kepada media.

Tentera Barat dan rakyat awam yang menjalani latihan pasukan keselamatan Afghanistan sentiasa berhadapan dengan serangan maut dari rakyat Afghanistan yang berseragam yang melepaskan tembakan ke arah rakan mereka.

Tentera NATO mengambil langkah keselamatan khas sejak beberapa tahun lalu untuk berhadapan dengan ancaman seperti itu.

Lapangan terbang di ibu negara Afghanistan itu dikawal ketat dengan satu bahagian dikhaskan untuk pesawat komersial manakala bahagian lain adalah untuk kontinjen NATO.

Serangan kelmarin berlaku berikutan keganasan Taliban yang kembali memuncak sejak tahun lalu.

Sementara itu, sekurang-kurangnya sembilan terbunuh dalam kejadian berasingan semalam di timur negara itu apabila seorang pengebom bunuh diri meletupkan bom di sebuah majlis pengebumian mangsa satu serangan bom tepi jalan.

Kebanyakan tentera NATO berundur dari Afghanistan sejak tahun lalu meninggalkan hanya sebilangan kecil kira-kira 12,000 yang masih berada di negara itu bersama 10,600 tentera Amerika Syarikat.

Tentera Amerika Syarikat, bersama tentera NATO yang lain dan kontraktor persendirian membantu Afghanistan untuk meningkatkan logistik dan membina sebuah angkatan tentera yang baharu. - AFP

'Facebook Lite' akan bolehkan Facebook diakses dengan sambungan 2G


'Facebook Lite' akan bolehkan Facebook diakses dengan sambungan 2G

Facebook catat untung 2014 lebih tinggi daripada jangkaan

SAN FRANCISCO: Facebook mencatat untung lebih tinggi berikutan peningkatan pendapatan daripada iklan menerusi medium mudah alih.

Syarikat itu bagaimanapun menjelaskan ia akan membuat lebih banyak pelaburan untuk menjamin aliran pendapatan masa depan daripada terlalu menumpukan kepada keuntungan tinggi yang segera.

Pengasas bersama, Mark Zuckerberg menganggap 2014 sebagai tahun melabur dengan 'pertaruhan besar' disalurkan kepada komunikasi mudah alih dan perkomputeran generasi akan datang yang diterjemahkan menerusi pembelian WhatsApp dan Oculus, firma pemula mengkhusus dalam realiti maya.

Dalam suku keempat berakhir 31 Disember 2014, untung Facebook naik kepada AS$696 juta (RM2.5 bilion) yang disandarkan kepada lonjakan pendapatan sebanyak AS$3.85 bilion (RM13.9 bilion).

Bagi tahun kewangan 2014, untung Facebook naik hampir sekali ganda kepada AS$2.9 bilion (RM10.5 bilion) yang disandarkan kepada pendapatan yang meningkat 58 peratus kepada AS$12.8 bilion (RM46.12 bilion).

Bagaimanapun, pelabur agak bimbang dengan peningkatan 87 peratus kos dan perbelanjaan syarikat media sosial terbesar itu.

Dengan itu, saham syarikat itu susut sedikit kepada AS$75.05 (RM270) dalam urus niaga selepas sesi dagangan semalam.

Walaupun banyak pesaing mendakwa semakin ramai yang hilang minat terhadap Facebook terutama dalam kalangan pengguna muda, bilangan pengguna media sosial itu meningkat kepada 1.39 bilion.

Zuckerberg dalam taklimat kepada penganalisis kewangan berkata syarikat itu kini fokus untuk memberi khidmat kepada seluruh dunia menerusi projek seperti Internet.org yang memerlukan Facebook membuat pelaburan besar dalam beberapa tahun akan datang.

Dalam usaha Zuckerberg menjadikan Facebook sebagai wadah interaksi penduduk dunia, syarikat itu dikatakan sedang menguji aplikasi mudah versi resolusi rendah untuk digunakan telefon mudah alih dengan sambungan internet berkualiti rendah seperti di negara yang sedang membangun.

Seorang jurucakap syarikat itu memberitahu, 'Facebook Lite' menerusi aplikasi Android umpamanya disasarkan kepada pengguna yang hanya sekadar mempunyai sambungan 2G atau di kawasan yang mana sambungan internet adalah terhad.

Facebook juga mengumumkan aplikasi miliknya seperti Instagram, Messenger dan WhatsApp kini masing-masing mempunyai pengguna aktif sebanyak 300 juta, 500 juta dan 700 juta sebulan. - AFP

Pengisytiharan MH370 satu kemalangan mengikut ketetapan ICAO - Liow


Pengisytiharan MH370 satu kemalangan mengikut ketetapan ICAO - Liow

KUALA LUMPUR: Pengisytiharan rasmi bahawa pesawat Malaysia Airlines MH370 sebagai satu kemalangan dibuat berdasarkan ketetapan dan definisi yang ditetapkan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO), kata Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Menurutnya, hakikat bahawa pesawat Boeing 777 itu tidak mendarat di mana-mana lapangan terbang selepas berlepas dan tidak sampai ke destinasi dituju dan misi mencari pesawat itu tidak mencapai matlamatnya, menjadi antara faktor insiden itu dianggap sebagai satu kemalangan.

"Dengan itu apa yang berlaku kepada MH370 boleh dinyatakan sebagai kemalangan mengikut ketetapan ICAO.

"Kita tak reka ayat tersebut (kemalangan) sesuka hati," katanya dalam satu program yang disiarkan RTM1 malam ini.

Liow menegaskan bahawa kerajaan begitu berhati-hati dalam penggunaan perkataan "kemalangan" atau "insiden" yang mana apa yang berlaku kepada MH370 disifatkan sebagai kemalangan.

Semalam, Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Datuk Azharuddin Abdul Rahman dalam satu pengumuman khas mengisytiharkan penerbangan MH370 sebagai satu kemalangan dan semua penumpang dan anak kapalnya dianggap telah terkorban.

Pesawat yang menuju ke Beijing itu hilang daripada imbasan radar selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 8 Mac 2014.

Liow seterusnya berkata misi pencarian pesawat yang membawa 239 penumpang dan anak kapal ketika ia hilang itu, akan diteruskan dan sekali gus mendapatkan jawapan berhubung punca kemalangan berkenaan.

Katanya penentuan punca kemalangan itu akan membantu meningkatkan kemampuan sistem radar dan kapasiti kotak hitam dalam sesuatu penerbangan.

Selain itu, Liow menarik perhatian bahawa pengisytiharan itu dibuat dengan mengambil kira kepentingan keluarga dan waris penumpang dan anak kapal MH370.

"Kita tidak buat sesuatu untuk (sengaja) menyedihkan hati mereka. Adalah tidak benar kita tidak berhubung atau berbincang dengan NOK (waris)," katanya.

Menyentuh soal pampasan kepada waris dan keluarga mangsa, katanya Malaysia Airlines perlu mematuhi apa-apa undang-undang berkaitan.

Namun beliau berkata walaupun pampasan ditawarkan, terpulang kepada waris dan keluarga untuk membuat keputusan mengenainya.

"Kita tidak memaksa anggota keluarga untuk menerima pampasan yang ditawarkan," katanya sambil menambah perbincangan boleh dilakukan dengan pihak Malaysia Airlines dalam soal pampasan. - BERNAMA

Militan Mesir mengaku lancar serangan


Militan Mesir mengaku lancar serangan

EL-ARISH: Kumpulan militan Mesir yang mempunyai hubungan dengan Negara Islam (IS) mendakwa bertanggungjawab merancang dan melakukan serangan serentak ke atas sekumpulan tentera dan polis di tiga bandar di Semenanjung Sinai yang mengorbankan sekurang-kurangnya 26 pegawai keselamatan.

Pihak berkuasa melaporkan, serangan besar-besaran semalam, adalah hasil perancangan teliti yang sukar dikesan.

Sekurang-kurangnya sebuah bom kereta diletupkan di luar pangkalan tentera, serentak dengan itu tembakan mortar dilepaskan ke arah pangkalan terbabit menyebabkan ada di antara bangunan musnah dan menyebabkan beberapa anggota tentera tertimbus di bawah serpihan bangunan.

Jurucakap tentera menyalahkan pergerakan bekas Presiden Mohamed Morsi Ikhwan Muslimin mendalangi serangan terbabit. Dua puluh lima tentera dan askar antara yang terbunuh.

Pihak berkuasa melaporkan, selain serangan di kawasan pangkalan tentera, serangan mortar dilakukan di sekitar hotel, kelab polis dan beberapa pusat pemeriksaan.

Setakat ini kumpulan militan sudah menyerang di Utara Sinai ibu wilayah el-Arish, bandar berhampiran Sheik Zuwayid dan Rafah bersempadan dengan Gaza.

Beberapa jam sebelum serangan itu, sekutu IS di Mesir memaparkan gambar di akaun Twitter rasmi mereka, militan bertopeng berpakaian hitam. Mereka membawa bom tangan roket sambil mengibarkan bendera hitam IS.

Menerusi laman yang sama, kumpulan militan mendakwa bertanggungjawab terhadap serangan, serangan membabitkan dua pengebom berani mati dan tiga bom kereta menghala ke arah pangkalan tentera dan bangunan keselamatan bersebelahan el-Arish - serangan terbesar dalam semua serangan.

Mereka menggelarnya 'serangan banyak serentak untuk tentera khalifa' dan menyenaraikan sekurang-kurangnya lapan pusat pemeriksaan yang juga diserang di tiga lokasi.

Kumpulan itu, yang sebelum ini dikenali sebagai Ansar Beit al-Maqdis, melancarkan beberapa serangan terhadap polis dan tentera di Sinai beberapa tahun kebelakangan ini.

Pada awalnya diilhamkan oleh al-Qaeda, tetapi pada tahun lepas, ia berikrar taat setia kepada IS yang mengawal beberapa kawasan Syria dan Iraq.

Pada November tahun lalu, ia menukar namanya kepada Wilayah Sinai, atau Waliyat Sinai, mencerminkan kesetiaan dan subordinasi kepada IS, yang sudah menawan satu pertiga daripada kedua-dua kawasan di Syria dan Iraq. - AP

Hoki: Thunderbolt gagal sambung rekod menang


Hoki: Thunderbolt gagal sambung rekod menang

KUALA LUMPUR: Juara bertahan Sekolah Sukan Tengku Mahkota Ismail (SSTMI) Thunderbolt gagal meneruskan rekod kemenangan 100 peratus apabila sekadar seri 2-2 ketika menentang MBPJ pada pertemuan tumpuan Liga Hoki Remaja Malaysia (MJHL) 2015, di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini.

Awang Alias membuka tirai jaringan buat SSTMI menerusi gol padang pada minit ke-12 sebelum Husaini Mohd Husin meledak gol kedua pada minit ke-40.

Namun, MBPJ memberi persembahan lebih berselera selepas rehat dan berjaya menyumbat dua gol menerusi pukulan sudut penalti, Husaini Abu Bakar pada minit ke-60 dan ke-69.

Keputusan ini sekali gus menyaksikan SSTMI turun ke tangga kedua MJHL terikat tujuh mata bersama MBPJ dengan UniKL yang menewaskan Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) 6-1 menguasai persada liga.

Microsoft CRM pemudah PKS urus kecekapan perniagaan


Microsoft CRM pemudah PKS urus kecekapan perniagaan


Pengarah Penyelesaian Microsoft Dynamics Asia, John Chan. - Foto Halim Salleh

KUALA LUMPUR: Sudah tiba masa untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menukar kaedah mengurus kecekapan perniagaan daripada penggunaan kertas kerja kepada versi dalam talian Dynamics Customer Relation Management (CRM) untuk menyimpan rekod pelanggan.

Pengarah Penyelesaian Microsoft Dynamics Asia, John Chan berkata versi CRM dalam talian bagi perniagaan ini menyediakan penyelesaian lengkap untuk pengurusan pelanggan dan pemasaran di samping mempermudah syarikat dalam memuktamadkan lebih banyak perjanjian.

"Sebab utama perniagaan perlu mendapatkan sistem CRM ialah ketidakcekapan proses manual dalam menyimpan rekod pelanggan," katanya dalam taklimat media mengenai 'Mempertingkat Pengalaman dan Penglibatan Pelanggan dalam Dunia Digital Baharu', di sini hari ini.

Versi dalam talian CRM Microsoft yang dilancarkan pada Disember 2014 boleh dimuat turun dalam 'cloud' dan diguna untuk menguruskan interaksi syarikat dengan pelanggan, katanya.

"Ia menggembleng aspek seperti pemasaran, pengurusan pasukan jualan, sokongan pelanggan dan fungsi e-dagang.

"Kami yakin ia akan menarik banyak perhatian daripada pasaran penyelesaian Malaysia," katanya.

Microsoft mempunyai 45,000 pelanggan di seluruh dunia dan 40,000 daripadanya menggunakan penyelesaian CRM, katanya.

Harga penyelesaian CRM ialah AS$15 sebulan bagi yang baharu belajar dan AS$65 untuk profesional. - BERNAMA

Siapa yang tidak mahu dihargai? - Raja Ilya


Siapa yang tidak mahu dihargai? - Raja Ilya Oleh Zaidi Mohamad

zaidim@bh.com.my


Raja Ilya

KUALA LUMPUR: Raja Ilya antara pelakon yang laris di pasaran ketika ini dan dramanya sedang berderet disiarkan. Jadi tidak hairan namanya tidak tercicir lagi tahun ini untuk pencalonan awal kategori Pelakon TV Wanita, Anugerah Bintang Popular (ABP) BH 2014.

Tahun lalu, dia mara sebagai calon Top 5 kategori berkenaan. Untuk tahun ini, pelakon kacukan Melayu, Malayalam, Arab dan Pakistan ini tidak meletakkan harapan melangit. Namun jauh di sudut hatinya, pelakon mana yang tidak mahu diiktiraf bakat seninya.

Hingga kini dia belum memenangi trofi mana-mana anugerah arus perdana. Tetapi pernah diangkat menerusi Anugerah Filem Malaysia Tamil dua tahun lalu apabila merangkul trofi Pelakon Wanita Terbaik menerusi filem Appalam arahan Afdlin Shauki.

Bagi pelakon yang membintangi filem Suamiku, Encik Perfect 10! itu, dia tidak pernah rasa terpinggir sekalipun belum pernah mendapat pengiktirafan dalam anugerah anjuran komuniti penggiat seni Melayu.

"Saya tak rasa begitu (terpinggir) kerana tanpa sedar ramai sebenarnya yang menghargai bakat saya. Cuma segelintir pihak saja yang memperkecil-kecilkan bakat saya. Saya percaya suatu hari nanti, mungkin tuah akan berpihak kepada saya untuk diiktiraf.

"Lagipun soal pengiktirafan ini jika ia membabitkan undi peminat macam ABPBH dan bermakna peminat berhak memilih sesiapapun yang mereka suka. Begitu juga anugerah membabitkan juri profesional, mereka ada sebab kenapa seseorang pelakon itu diangkat sebagai pemenang.

"Namun bercakap soal impian sudah tentulah saya atau sesiapa saja mahukan hasil kerja kita dihargai dengan kemenangan anugerah sebagai bukti," katanya.

Dalam filem terbarunya, Suamiku Encik Perfect 10! arahan Feroz Khan, Ilya mempamerkan lakonan hebat menerusi watak Azura Hanim di samping teraju utama Aaron Aziz sebagai Zarief Danial dan Lisa Surihani (Aleeya Azmeen). Sekali lagi watak antagonis diberikan kepadanya.

Dalam filem itu terbitan Astro Shaw yang kini sedang ditayangkan, Azura adalah tunang kepada Zarief yang jatuh hati kepada Aleeya selepas menyamar menjadi suami kepada wanita itu yang hamil gara-gara dirogol teman lelakinya, Syed Muzaffar lakonan Syazwan Zulkifly.

Azura yang menyambung pengajian di United Kingdom serta berjauhan dengan Zarief menjalin hubungan sulit dengan jurugambar, Akram lakonan Jehan Miskin sehingga hamil.

Menyedari dirinya hamil anak Akram, Azura tidak semena-mena mahu mempercepatkan majlis perkahwinannya dengan Zarief dan sengaja memerangkap Zarief dengan merakamkan foto-foto intim ketika lelaki itu tidak sedarkan diri akibat dadah yang dicampur ke dalam minumannya.

Sedari awal Romie mahu jadikan Hanez Suraya teman hidup


Sedari awal Romie mahu jadikan Hanez Suraya teman hidup Oleh Zaidi Mohamad

zaidim@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Jodoh memang kuat antara Hanez Suraya dan bakal suaminya, Romie Razin Adilha. Biar pernah diuji pelbagai rintangan termasuk kisah hubungan terputus di tengah jalan, cinta pasangan ini sedang menuju ke penamat yang indah serta membahagiakan.

Romie yang akan genap 35 tahun pada 29 Januari ini berkongsi cerita dengan BH. Mereka bertunang 3 Januari lalu di kediaman keluarga Hanez di Seremban.

"Syukur Alhamdulillah segala-galanya terus dipermudahkan. Niat saya dari awal mengenali Hanez memang nak jadikan dia sebagai teman hidup saya. Tetapi lumrah dalam mana-mana hubungan pasti ada rintangan yang melanda.

"Ia menjadi kayu pengukur sejauh mana hubungan ini akan bertahan. Dalam hubungan kami pun, kami pernah melalui fasa berantakan. Tetapi saya tak pernah putus asa untuk terus memilikinya sekali gus memperisterikannya.

"Ketika kami putus. Saya rasa kehilangan. Anak saya (dari perkahwinan terdahulu) pun sudah rapat dengannya. Jadi saya cuba memujuknya kembali. Tetapi bukan senang untuk memenangi semula hatinya," kata Romie.

Akan tetapi semuanya akui Romie seakan dipermudahkan.

"Kes perceraian saya dengan bekas isteri juga sudah berakhir. Tiada tekanan lagi. Ketika berdepan kes itu, Hanez pula dengan masalah kerjayanya yang dikatakan jatuh merudum," katanya.

Google Glass akan dipertahankan walaupun pelaburan dikaji semula


Google Glass akan dipertahankan walaupun pelaburan dikaji semula

SERGEY Brin memakai Google Glass pada demonstrasi Google I/O 2012 di San Francisco, California pada 27 Jun 2012. - Foto Reuters

SAN FRANCISCO: Google Inc rancang untuk meneruskan pembangunan produk futuristik walaupun membabitkan kos tinggi sehingga perlu menangguh atau mengurangkan pelaburan untuk beberapa projek sedia ada.

Gergasi pengiklanan internet dan enjin carian itu malam tadi mengakui buat kali pertama halangan yang dihadapinya dalam membangunkan komputer boleh dipakai, Google Glass dan mengakui perlu berehat sejenak untuk merumus semula strategi baharu.

Ulasan Ketua Pegawai Kewangan, Patrick Pichette pada majlis pengumuman keputusan kewangan suku keempat firma itu agak mengejutkan kerana sebelum ini Google mengumumkan Google Glass sudah selesai peringkat pembangunan dan kini memasuki fasa baharu.

Bagaimanapun, ramai juga penganalisis yang berpendapat pengakuan itu mungkin ada kaitan dengan hakikat bahawa pembangunan Google Glass selama ini diterajui pengasas bersama Google, Sergey Brin.

Berikutan pertumbuhan dalam pengiklanan internet semakin susut, syarikat itu perlu meyakinkan pelabur bahawa ia berupaya membuat keputusan tepat dalam pilihan pelaburannya.

"Mereka cuba yakinkan bahawa ia sedang membuat pelaburan dalam bidang yang akan membuahkan hasil," kata Colin Gillis, penganalisis di BGC Partner.

Bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2014, untung bersih Google naik 41 peratus kepada AS$4.76 bilion (RM17.15 bilion) atau AS$6.88 (RM25 sesaham), rendah daripada unjuran AS$7.11 sesaham.

Pendapatan naik 15 peratus pada suku keempat kepada AS$18.1 bilion (RM65.2 bilion).

Saham Google diniagakan pada AS$518.10 (RM1,866) sesaham selepas pengumuman keputusan kewangan itu. - Reuters

UMNO terima 4,995 permohonan keanggotaan baharu secara dalam talian - Najib


UMNO terima 4,995 permohonan keanggotaan baharu secara dalam talian - Najib


PERDANA Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak, ketika sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Tertinggi UMNO di Menara Datuk Onn di sini, hari ini. Turut hadir Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin (kiri). - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: UMNO menerima 4,995 permohonan keanggotaan baharu secara dalam talian sejak sistem baharu pendaftaran itu diperkenalkan pada Disember lepas, kata Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 2,993 permohonan lengkap berjaya diproses dan diserap ke dalam cawangan mengikut alamat pemohon, manakala 2,002 permohonan yang tidak lengkap akan dipadankan dengan data Jabatan Pendaftaran Negara untuk diproses.

"Pada umumnya, kita boleh katakan sambutan kepada keanggotaan UMNO secara dalam talian adalah baik dan positif dan harap ia akan terus meningkat," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO kali pertama bagi 2015 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Pada Perhimpunan Agung UMNO lepas, satu langkah peremajaan parti melalui sistem permohonan dalam talian diberi penekanan khususnya untuk menarik lebih banyak penyertaan dan merealisasikan aspirasi golongan muda.

Kelulusan untuk menerima keanggotaan baharu melalui dalam talian dibuat oleh ibu pejabat UMNO, berbanding sebelum ini yang perlu mendapat kelulusan di peringkat bahagian dan ini adalah bagi mengatasi beberapa masalah yang timbul sebelum ini, seperti kehilangan borang dan pendaftaran menjadi anggota ditolak.

Pada mesyuarat selama tiga jam itu, Najib berkata, persidangan cawangan UMNO tahun ini akan berlangsung dari 13 Mac hingga 2 Mei, manakala Mesyuarat Perwakilan Bahagian pada 27 Julai hingga 31 Ogos.

Dalam perkembangan lain, Najib berkata, Ketua UMNO Bahagian Hulu Selangor Mad Nadzari Ahmad Dahlan dilantik bagi mengisi kekosongan jawatan Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor.

Dalam pada itu, Najib turut melahirkan penghargaan terhadap semua peringkat kepimpinan dalam UMNO dan anggota parti itu di peringkat bahagian yang telah bersama-sama membantu mangsa banjir.

"Ini merupakan usaha berpasukan yang telah kita lakukan bersama antara pemimpin UMNO dan ia telah disambut begitu bersungguh-sungguh di setiap peringkat dalam kepimpinan UMNO.

"Usaha kita ini telah dapat mengurangkan tekanan yang dihadapi oleh mangsa banjir dan kita akan meneruskan usaha-usaha membantu dalam peringkat pasca banjir," katanya.

Terdahulu, Najib berkata, mesyuarat MT hari ini dimulakan dengan bacaan surah Al-Fatihah dan doa untuk disedekahkan kepada mangsa tragedi pesawat Malaysia Airlines MH370 yang diisytiharkan terkorban oleh Jabatan Penerbangan Awam, semalam. - BERNAMA

Puncak Semangat, IBM kerjasama tawar data besar


Puncak Semangat, IBM kerjasama tawar data besar

KUALA LUMPUR: Penyedia perkhidmatan IT, Puncak Semangat Sdn Bhd dan IBM, bekerjasama untuk menawarkan penyelesaian data besar kepada perniagaan dan perusahaan.

Pengerusi, Tuan Syed Azmin Syed Nor, berkata syarikat berada dalam kedudukan unik untuk menawarkan analitis dan penyelesaian dipacu data kepada rakan kongsi, sektor kerajaan dan pasaran.

Katanya, International Data Corp menjangka perbelanjaan IT di Malaysia akan melepasi AS$10 bilion tahun ini.

Kajian oleh Perbadanan Pembangunan Multimedia juga menunjukkan perbelanjaan data besar akan meningkat sebanyak 25 peratus tahun depan, katanya dalam satu kenyataan.

"Analitis dipacu data akan membantu dalam membuat keputusan yang baik," katanya.

Syarikat itu dan IBM akan menganjurkan seminar, bengkel dan siri jelajah bagi meningkatkan kesedaran dan mendidik mereka yang berkepentingan serta rakan kongsi mengenai analitis data besar.

Ditubuhkan pada 2010, Puncak Semangat Group menawarkan perkhidmatan IT terurus dan fungsi perkhidmatan terkongsi. - BERNAMA

Facebook tergendala, jejaskan pengguna seluruh dunia


Facebook tergendala, jejaskan pengguna seluruh dunia

SEOUL: Facebook tergendala selama kira-kira 40 minit, menjejaskan pengguna di Amerika Syarikat (AS), Asia, United Kingdom dan Australia.

Pengguna di AS dan India melaporkan tidak dapat log masuk media sosial itu.

Instagram milik gergasi media sosial itu juga tidak dapat diakses buat seketika.

Instagram dalam akaun Twitter menjelaskan sedar mengenai gangguan servis itu dan berharap mengatasinya.

Facebook mempunyai 1.25 bilion pengguna aktif manakala Instagram kira-kira 300 juta. - AP

Zarra Sinar Puteri penaja platinum ABPBH 2014


Zarra Sinar Puteri penaja platinum ABPBH 2014 Oleh Rozdan Mazalan

rozdan@bh.com.my


PENGARANG Kumpulan BH merangkap penaung ABPBH 2014, Datuk Mahfar Ali (empat dari kanan) bertukar dokumen dengan Pengarah Urusan Harmony Mall Sdn Bhd, Datin Zamzarina Zambri (empat dari kiri) sambil diperhatikan Pengurus Besar Kumpulan Khidmat Pelanggan Media Prima Television Network, Nini Yusuf (tiga dari kiri ) serta Pengarang Hiburan BH merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengelola ABPH 2014, Shamsul Azree Shamshir (kanan) selepas menandatangani kontrak penajaan ABPBH 2014 di Balai Berita, Bangsar hari ini. - Foto Hasriyasyah Sabudin

KUALA LUMPUR: Kecantikan dan industri hiburan yang dilihat sinonim, terutama dalam mempertingkatkan jenama barangan mendorong produk kosmetik, Zarra Sinar Puteri keluaran syarikat Harmony Mall Sdn Bhd bekerjasama dengan Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2014.

Kredibiliti ABPBH sebagai anugerah hiburan pilihan peminat paling lama bertahan di Malaysia dijadikan platform oleh Zarra Sinar Puteri dalam memperkukuhkan jenama itu di pasaran apabila bertindak sebagai penaja platinum acara yang memasuki edisi ke-28, tahun ini.

Pengarah Urusannya, Datin Zamzarina Zambri, berkata ABPBH mencapai tahap prestij dan dianjurkan secara konsisten serta menghimpunkan penggiat pelbagai disiplin dan bidang seni tempatan.

"ABPBH 2014 berupaya menjadi batu loncatan bagi lebih memperkenalkan produk Zarra Sinar Puteri kepada masyarakat," katanya pada majlis menandatangani perjanjian penajaan antara Harmony Mall Sdn Bhd, BH dan TV3 di Balai Berita, hari ini.

Turut hadir, Pengarang Kumpulan BH, Datuk Mahfar Ali; Pengarang Hiburan BH merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengelola ABPBH 2014, Shamshul Azree Samshir dan Pengurus Besar Kumpulan Khidmat Pelanggan Media Prima Televisyen Network, Nini Yusuf.

Majlis menandatangani perjanjian penajaan itu turut diserikan kehadiran artis popular seperti Nora Danish, Shaheizy Sam, Tasha Shila, Keith Foo, Ayda Jebat, Pekin Ibrahim dan Shima Anuar.

Microsoft catat untung lebih rendah, walaupun pendapatan naik


Microsoft catat untung lebih rendah, walaupun pendapatan naik

SAN FRANCISCO: Microsoft mengumumkan untung bagi suku berakhir 31 Disember 2014 susut walaupun pendapatan naik daripada penjualan tablet Surface, konsol Xbox One dan servis perkomputeran awan.

Untung jatuh 10 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu kepada AS$5.9 bilion (RM23.3 bilion) tetapi pendapatan mencecah AS$26.5 (RM95.5) bilion, kata ketua pegawai eksekutif Satya Nadela sambil menambah transformasi syarikat berada di landasan betul.

"Kami mengambil langkah berani di semua platform perniagaan terutama menerusi Windows 10, untuk memberikan pengalaman baharu, kategori baharu dan peluang baharu kepada para pelanggan," kata Nadella.

Saham Microsoft susut tiga peratus kepada AS$45.53 (RM164) seunit dalam sesi selepas dagangan berikutan pengumuman keputusan kewangan itu.

Pada suku ketiga, pendapatan daripada khidmat perkomputeran awam termasuk Office 365 dan Azure naik lebih sekali ganda untuk mencecah paras tahunan sebanyak AS$5.5 bilion.

Sementara itu, langganan bagi versi kegunaan peribadi Office 365 naik lebih 30 peratus kepada 9.2 juta apabila Micorosoft kini lebih peka kepada perubahan gaya hidup yang mana perisian itu disewa secara online berbanding dibeli dan dipasang sendiri oleh pengguna seperti sebelum ini.

Ketua Pegawai Operasi, Kevin Turner pula berkata syarikat kini melihat lonjakan permintaan terhadap khidmat awan seperti Office 365, Dynamics CRM Online dan Azure serta Surface Pro 3.

"Gerak kerja pemasaran kami di seluruh dunia terus menumpukan kepada usaha membantu pelanggan berubah kepada awan," katanya.

Microsoft Bing pula berkembang 20 peratus dalam segmen pemasaran secara online di AS manakala jualan konsol permainan video Xbox naik kepada 6.6 juta unit berikutan lonjakan permintaan pada musim perayaan dan hujung tahun.

Mengikut syarikat itu, pendapatan daripada jualan tablet Surface dan aksesorinya naik 24 peratus kepada AS$1.1 bilion pada suku dikaji.

Peningkatan itu membantu menampung penyusutan 13 peratus pendapatan daripada pelesenan sistem operasi Windows yang selama ini menjadi produk teras Microsoft. - AFP

Hak penjagaan sementara tiga anak diperoleh Rozana Misbun


Hak penjagaan sementara tiga anak diperoleh Rozana Misbun Oleh Zaidi Mohamad

zaidim@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Hak penjagaan sementara Putra Ahmad Merrah, 8, Putra Ahmad Rezzki, 7, dan Puteri Qasseh Antasha, 5, akhirnya berpihak kepada ibu mereka sendiri iaitu Rozana Misbun.

Ia diputuskan di dalam kamar Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan hari ini.

Mahkamah memutuskan hak berkenaan diserahkan kepada Rozana sehingga perintah kekal hak jagaan anak dikeluarkan kelak.

Rozana memberitahu BH Online menerusi emel yang dihantar sendiri oleh beliau menyatakan keputusan itu.

Responden iaitu penyanyi Awie diberikan hak melawat kediaman anak selama dua jam sebanyak dua kali iaitu hari Sabtu dan Ahad minggu pertama serta ketiga.

Awie hanya perlu memaklumkan Rozana terlebih dulu sebelum berjumpa anak mereka.

Mahkamah turut memerintahkan Awie termasuk ahli keluarganya mahupun wakilnya dilarang serta ditegah sama sekali daripada mengambil dan mengacau anak mereka di kediaman mahupun di sekolah.

Selain itu, Awie dan pihaknya juga dilarang mengulas atau mengaibkan Rozana dengan apa cara sekalipun di media elektronik, laman sosial dan media cetak sepanjang prosiding kes hadhanah berjalan.

Rozana hari ini hadir ke mahkamah bersama peguam syarienya, Tuan Jamal Mohd Lokman Sulaiman dari Tetuan Jamal Lokman & Partners.

Penyokong Pahang diminta elak kecoh temu JDT di Larkin


Penyokong Pahang diminta elak kecoh temu JDT di Larkin

RAUB: Penyokong skuad Pahang diminta tidak mencetuskan kekecohan ketika memberi sokongan kepada pasukan pada perlawanan Sumbangsih merebut Piala Sultan Ahmad Shah menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam esok.

Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah berkata penyokong skuad Tok Gajah perlu menunjukkan contoh baik serta tidak emosional dan terikut-ikut mencetuskan kekecohan, yang sering berlaku sejak akhir-akhir ini.

"Seperti biasa apabila kita pergi menyokong di tempat lawan kita harus menghormati tuan rumah dan kalau mereka tidak menghormati tetamu, kita jangan terikut-ikut, kita kena jadi lebih baik bersabar, rasional dan jaga kelakuan kita.

"Umpamanya, pada tahun lalu penonton menunjukkan satu contoh yang baik apabila berkunjung ke Kedah dan apabila Kedah bertandang ke Pahang, kita sama-sama mempunyai semangat kesukanan yang tinggi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyampaian bantuan kepada pelajar beberapa buah sekolah daerah Raub, di sini hari ini.

Turut hadir, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong, Datuk Seri Shahirudin Ab Moin dan ADUN Batu Talam Datuk Aziz Mat Kiram.

Sementara itu, Tengku Abdul Rahman berkata PBNP menaruh keyakinan sepenuhnya terhadap kemampuan Zainal Abidin Hassan dalam membimbing pasukan Tok Gajah pada musim ini.

Katanya, beliau berpuas hati dengan persediaan yang dilakukan oleh Pahang bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini, termasuk untuk berdepan JDT esok.

"Saya yakin pasukan kita akan bermain bermati-matian dan dari segi latihan saya memang serahkan segalanya kepada Zainal dan penolong jurulatih," katanya.

Insya-Allah Tuhan akan tolong anak saya - Rita Rudaini


Insya-Allah Tuhan akan tolong anak saya - Rita Rudaini Oleh Zaidi Mohamad

zaidim@bh.com.my


Rita Rudaini hadir perbicaraan kes tuntutan nafkah anak di Mahkamah Syariah, Subang, hari ini. - Foto Saddam Yusoff

KUALA LUMPUR: Minggu lalu Rita Rudaini memberitahu dia baru saja selesai menjalani penggambaran sebuah telefilem dan sekarang fokusnya pada perbicaraan di mahkamah membabitkan tiga lagi kes rumah tangganya.

Ia termasuk kes tuntutan nafkah tertunggak, mutaah dan nafkah edah. Semalam mahkamah memutuskan bekas suaminya Aidil Zafuan perlu membayar RM3,000 sebulan untuk nafkah dua anaknya Airit Rayyan Rizqin, 6, dan Airit Qaqa Arjuna, 4.

Rita membuat tuntutan nafkah anak sejak 2012 dan baru tahun ini perjuangannya itu bernoktah sekalipun awalnya beliau menuntut RM5,392 sebulan.

"Saya bersyukur dengan keputusan mahkamah ini dan setakat itu rezeki anak. Tapi jumlah RM3,000 itu berdasarkan tiga tahun lalu. Jadi ia memadailah, cuma ia diputuskan pada tahun ini di saat anak saya kian membesar.

"Jadi perbelanjaan sekarang makin bertambah dengan kos sara hidup di ibu kota yang diketahui cukup tinggi. Yuran tahunan sekolah dua anak saja sudah RM2,090. Itu belum lagi yuran yang perlu dibayar setiap bulan.

"Itu belum termasuk lagi yuran bulanan kelas fardu ain dan kelas tuisyen. Kos lebih daripada nilai yang diputuskan dan saya tanggung sendiri selama ini. Apa-apapun saya terima dengan hati lapang terhadap keputusan ini dan insya-Allah Tuhan akan tolong anak saya," katanya.

China ikrar haram 'nilai barat' di universiti


China ikrar haram 'nilai barat' di universiti


Menteri Pendidikan China, Yuan Guiren.

BEIJING: Menteri Pendidikan China, Yuan Guiren berikrar mengharamkan buku teks universiti yang menerapkan 'nilai barat' lapor media tempatan dalam usaha mengawal ideologi di bawah pemerintahan Presiden Xi Jinping.

"Jangan biarkan buku teks mempromosikan nilai-nilai Barat berada dalam kelas kita. Kata-kata yang menuduh kepimpinan Parti Komunis China dan 'mencemar sosialisma' tidak perlu wujud di dalam kelas," katanya lapor agensi berita rasmi China, Xinhua.

Kebanyakan universiti di China dikendalikan oleh Parti Komunis yang memerintah dan ia mengawal ketat perbincangan sejarah dan topik yang boleh disalah tafsir sehingga boleh mengancam pemerintahan 'kuku besi' parti itu.

Mereka juga sering melabelkan konsep seperti pilihan raya pelbagai parti dan pemisahan kuasa sebagai 'Barat', di sebalik penyertaan dan rayuan mereka di peringkat global.

China mengetatkan kawalan ke atas ahli akademik sejak Xi mengambil alih kepimpinan parti pada tahun 2012, dan dikatakan beberapa profesor lantang dipecat atau penjara.

Antaranya, Profesor Ekonomi di Universiti Peking, Xia Yeliang yang dipecat daripada jawatannya pada 2013 selepas 13 tahun beliau mendesak secara berterusan perubahan politik di China.

Xia adalah salah seorang penandatangan asal petisyen reformis Piagam 08, manakala penulis utamanya, Liu Xiaobo kekal dalam penjara walaupun selepas memenangi Hadiah Nobel Keamanan.

Beliau dipecat dengan alasan gagal mengajar dengan baik dan akhirnya memilih berpindah ke Amerika Syarikat, tahun lepas.

Sementara itu, sebuah wilayah China bulan lalu mengumumkan rancangan untuk memasang kamera CCTV di dalam kelas universiti, mencetuskan bantahan daripada seorang peguam yang berkata langkah itu akan terus mengekang kebebasan akademik.

Selain itu, pihak berkuasa juga bertindak memasang perakam video di dalam bilik kuliah yang diajar seorang ahli akademi berbangsa Uighur, Profesor Ekonomi, Ilham Tohti. Beliau dijatuhi hukuman penjara seumur kerana dikatakan terbabit dengan kumpulan pemisah.

Sistem pendidikan China kian berkembang seiring dengan ekonomi negara terbabit. Jumlah universiti dan kolej juga kian bertambah dua kali ganda dalam dekad lalu.

Bagaimanapun, ramai pelajar yang terdiri daripada anak golongan elit politik dan perniagaan lebih suka menghantar anak mereka untuk melanjutkan pelajaran ke institusi di Amerika Syarikat dan Eropah, ia termasuk anak perempuan Xi yang dikatakan sedang melanjutkan pelajaran di Universiti Harvard sejak tahun 2010. - AFP

Penjenayah maut selepas samun pejabat peraih kelapa sawit


Penjenayah maut selepas samun pejabat peraih kelapa sawit


KERETA yang dinaiki dua suspek terbabas sebelum terbalik hingga menyebabkan seorang daripada mereka maut selepas merompak sebuah premis jual beli kelapa sawit di Kampung Awah, hari ini. - Foto Syazwan Msar

KUANTAN: Gara-gara cuba melarikan diri selepas menyamun pejabat peraih kelapa sawit, seorang lelaki maut apabila kereta dipandunya terbabas sebelum terbalik di Kilometer 110 Jalan Kuantan-Kuala Lumpur dekat Maran pagi tadi.

Mangsa, Muhammad Faizal Zaini, 25, berasal dari Felda Sungai Nerak, Temerloh yang cedera parah, mati di tempat kejadian.

Pemangku Ketua Polis Daerah Maran, Asisten Komisioner Razak Majid berkata, dalam kejadian pukul 9.40 pagi itu, mangsa bersama seorang lagi suspek sedang melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta jenis Nissan Bluebird menuju ke arah Pekan Kampung Awah, Temerloh kira-kira 15 kilometer dari lokasi kejadian.

"Sebaik tiba di tempat kejadian, kenderaan yang dinaiki suspek tiba-tiba hilang kawalan sebelum terbabas ke kiri jalan.

Akibatnya kereta milik suspek berpusing sebanyak dua kali menyebabkan Muhammad Faizal tercampak keluar sebelum kenderaannya terbalik dan seorang lagi suspek telah melarikan diri ke hutan berhampiran," katanya ketika dihubungi di sini pada.

Katanya, kedua-dua suspek yang berusia 20-an sebelum itu telah melakukan rompakan bersenjata parang di sebuah premis menjual beli kelapa sawit di Kampung Umul Luas dekat Maran pada pukul 9.30 pagi tadi.

"Kedua-dua suspek yang berusia lingkungan 20-an dan bersenjatakan parang bertindak menyerbu ke premis berkenaan sebelum meminta semua pekerja masuk ke dalam pejabat.

Mereka yang berasal dari daerah ini terus mengambil sejumlah wang tunai di dalam laci selain merampas telefon bimbit serta jam tangan milik pengurus premis itu dan melarikan diri sebelum dikejar oleh pemilik premis berkenaan," katanya.

Hasil pemeriksaan lanjut ke atas kereta suspek, katanya polis menemui sebilah parang yang dipercayai digunakan untuk merompak premis jual beli kelapa sawit itu

"Pada masa sama, kita akan melakukan operasi khas bagi mengesan seorang lagi suspek yang dipercayai masih berada di daerah ini dan polis percaya akan mampu menahan suspek dalam masa terdekat ini," katanya.

Menurutnya, kes akan disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana menyamun secara berkawan menggunakan senjata. - BERNAMA

Hati-hati beli telefon pintar


Hati-hati beli telefon pintar Oleh Bennie Zie Fauzi

bennie@bh.com.my

Telefon pintar menjadi kegilaan generasi baru. Satu demi satu model dikeluarkan, namun tetap menerima sambutan hangat dan laris seperti pisang goreng panas.

Namun, pengguna perlu tahu hayat telefon pintar kebanyakannya tidak panjang seperti telefon genggam awal pengeluaran dulu. Selain aplikasi yang membebankan penggunaan bateri, telefon pintar dikatakan mudah terdedah kepada virus diperoleh ketika melayari internet.

Sebelum membeli, pastikan wang dilaburkan setimpal dengan fungsi, kegunaan, kualiti seterusnya pakej pelan ditawarkan telefon berkenaan. Pembelian berbaloi serta mengambil kira bajet ditetapkan didapati melalui:

1. Tawar-menawar

Keghairahan memiliki telefon pintar seperti mana diiklankan membawa kerugian jika tidak menepati selera dan keperluan.

Lebih dikesalkan, ia dibeli dengan harga mahal sedangkan nilai di pasaran menunjukkan penurunan. Sebab itu, jangan terus beli sebaliknya kunjungi dua tiga kedai yang menawarkan telefon berserta aksesori terlebih dulu bagi membuat perbandingan harga.

Pilih yang menawarkan harga paling rendah dan sebolehnya, cuba tawar-menawar untuk mendapatkan pembelian bernilai.

Anda dinasihatkan tidak membeli telefon yang baharu saja dilancarkan di pasaran tetapi tunggu sehingga enam bulan. Biasanya harga telefon bimbit akan turun sebaik model baru dilancarkan.

2. Elak pembelian secara ansuran

Aliran telefon pintar berubah saban minggu. Persaingan sengit dalam kalangan pelbagai jenama dan syarikat pengeluar gajet itu memungkinkan kemunculan model baru dalam tempoh singkat.

Kecenderungan memiliki model telefon pintar terkini bukan saja mendorong pembeli berbelanja besar tetapi lebih parah, kerap menukar telefon demi mengejar aliran baharu.

Ia mendatangkan kerugian terutama jika ia dibeli secara ansuran dengan tempoh penggunaan belum mencecah setahun. Sebaiknya, lakukan pembelian tunai manakala jika berkenan dengan model tertentu, tunggu sehingga harganya jatuh. Harga boleh turun sehingga RM300 dan lebih sebaik muncul model baharu yang menawarkan aplikasi lebih canggih.

3. Hindari pakej pasca bayar mahal

Telefon pintar menawarkan sambungan data yang membolehkan penggunanya melayari internet, laman sosial seperti Facebook dan Twitter selain berhubung menerusi aplikasi Whatsapp, Telegram, Line dan sebagainya.

Pakej pelan internet itu meliputi 1MB (megabit), 2MB, 5MB dan seterusnya, namun semakin tinggi MB, semakin besar jumlah bil perlu dilunaskan.

Memilih pelan paling mahal menyebabkan anda perlu membayar bil bulanan hingga mencecah ratusan ringgit sedangkan kadar penggunaan mungkin hanya separuh daripada pelan dipilih.

Untuk lebih penjimatan, anda disarankan memilih pelan prabayar yang membolehkan anda melayari internet selama sebulan dengan harga belasan ringgit.

4. Utamakan aksesori penting

Telefon pintar memerlukan pelindung skrin bagi melindungi skrin daripada calar, comot, malah retak. Namun, elakkan terpedaya dengan tawaran harga pelindung skrin yang ada kalanya tidak masuk akal.

Berbanding memasang pelindung skrin berharga puluhan ringgit, rajinkan diri mencari kedai aksesori menawarkan harga berpatutan, misalnya tidak lebih RM30 berserta upah memasangnya.

Aksesori lain wajib ada termasuk alat bebas tangan (handsfree), alat pengecas kuasa tambahan (power bank), sarung (casing) dan sebagainya yang amat diperlukan bagi telefon berbilang kegunaan seperti ini.

Rozita Rohaizad alunkan 'Rasa Malaysia' di Canberra


Rozita Rohaizad alunkan 'Rasa Malaysia' di Canberra Oleh Zaidi Mohamad

zaidim@bh.com.my


Rozita Rohaizad

KUALA LUMPUR: Anak seniwati veteran Mariani, Rozita Rohaizad akan mewakili Malaysia ke Australia menyertai Canberra National Multicultural Festival mulai 13 hingga 15 Februari depan.

Pemergian Rozita ke sana turut disokong Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) selain pereka fesyen Salikin Sidek yang akan menaja persalinannya sepanjang di sana.

"Memang teruja dengan peluang ini. Perasaan jadi bercampur baur, ..gementar dan takut semua ada. Yang penting saya gembira membawa nama negara ke sana.

"Sepanjang tiga hari di sana saya dijadual membuat persembahan selama 30 minit setiap hari. Saya akan menyanyi lagu antaranya seperti Joget Budaya, Jelingan Mata dan Kenek-Kenek," katanya yang akan membuat persembahan bertemakan Rasa Malaysia daripada genre tradisional, jazz serta elektro pop.

Rozita mula membabitkan diri dalam arena seni pada tahun 1978 menerusi syarikat rakaman EMI dan komposer Ahmad Nawab antara individu penting menyerlahkan bakatnya.

Dia pernah berkahwin dan memperlahankan kerjaya seninya. Namun selepas kematian suami pada 2006, dia kembali aktif dua tahun kemudian.

Selain nyanyian, Rozita juga aktif dalam bidang lakonan.

Sah Lisa Surihani mengandung


Sah Lisa Surihani mengandung Oleh Zaidi Mohamad

zaidim@bharian.com.my


SELEPAS tiga tahun menunggu akhirnya Yusry bakal bergelar bapa kepada anak yang bakal dilahirkan Lisa kelak. - Foto BH Online

KUALA LUMPUR: Spekulasi dan teka teki mengenai diri Lisa Surihani yang dikatakan sudah berbadan dua terjawab sebentar tadi apabila suaminya, Yusry Abdul Halim mengesahkan kebenarannya.

"Kami sudah berbincang mengenai perkara ini dan ya, dia sudah mengandung. Cuma ia masih terlalu awal dan sebab itu kami tidak mahu kecoh," kata Yusry yang duduk bersebelahan Lisa ketika temubual ini berlangsung.

Tambah Pengarah Cicakman 3 itu, ketika bertebaran cerita mengandung ini pelbagai teori muncul.

"Ada yang cakap itu dan inilah termasuk kononnya kami berdiam diri kerana akan terikat kontrak eksklusif dengan stesen TV.

"Tak ada eksklusif mana mana pun. Nanti bila kami bersedia bercerita lanjut, ia akan dikongsi bersama sama," katanya.

Lisa yang tersipu malu di sebelah Yusry mengakui bukan niat beliau untuk berselindung.

"Saya hanya ikut pandangan orang tua supaya tidak uar-uarkan hal ini kerana masih baru. Apa apapun terima kasih atas doa semua yang baik baik untuk saya," katanya.

24 Februari depan akan genap tiga tahun usia perkahwinan mereka.

Apple untung besar didorong jualan luar biasa iPhone


Apple untung besar didorong jualan luar biasa iPhone

SAN FRANCISCO: Apple Inc mencatat rekod baharu dengan untung sebanyak AS$18 bilion (RM65 bilion) bagi suku pertama tahun kewangan 2015 berikutan sambutan luar biasa terhadap iPhone terutama di China.

Mengikut syarikat teknologi itu, hingga kini ia sudah menjual satu bilion peranti yang menggunakan sistem operasi (OS) iOS.

Apple juga mengumumkan peranti pintar boleh dipakai, Apple Watch yang diperkenalkan tahun lalu akan mula dijual April ini.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tim Cook, berkata syarikat berterima kasih kepada pengguna yang memberi sambutan luar biasa kepada produk Apple.

"Permintaan bagi iPhone sangat menakjubkan, jauh lebih tinggi daripada jangkaan kami," katanya.

Penganalisis di Forrester, Frank Gillet, berkata permintaan luar biasa kepada iPhone adalah petunjuk peningkatan minat pengguna terhadap telefon pintar dengan skrin lebih besar.

"Saya jangkakan peningkatan jualan di China dan seluruh dunia akan bertahan buat beberapa lama lagi," katanya.

Rekod untung pada suku pertama berakhir 27 Disember 2014 itu disandarkan kepada pendapatan AS$74.6 bilion (RM269 bilion), didorong jualan 74.5 juta iPhone, jauh lebih tinggi daripada unjuran penganalisis.

Paras untung yang dicatatkan Apple itu lebih besar daripada rekod sebuah perbadanan korporat di AS ketika ini, iaitu AS$15.9 bilion (RM57.3 bilion) yang pernah dicatat ExxonMobil pada suku kedua 2012.

Jualan iPhone meningkat sekali ganda di China, pasaran telefon pintar kedua terbesar Apple, kata ketua pegawai kewangan, Luca Maestri.

Dalam pada itu, jualan iPad jatuh pada suku dikaji, tetapi Apple mencatat rekod baharu jualan komputer Macintosh dan pendapatan yang diraih daripada pembelian menerusi App Store.

Begitupun Cook menzahirkan keyakinannya terhadap potensi jangka panjang iPad. Bilangan pembeli kali pertama peranti itu kekal kukuh di China, Britain dan Amerika Syarikat (AS), tambahnya.

Cook turut akui bahawa iPhone skrin besar mungkin menjejaskan pasaran iPad dan komputer Macintosh. Lantaran itu, beliau yakin kerjasama dengan IBM akan menjadikan iPad lebih menarik kepada syarikat, sebagai peranti di tempat kerja.

Dengan mengambil kira prestasi kewangan semasa, lembaga pengarah Apple mengumumkan dividen tunai 47 cents (RM1.70) sesaham yang akan dibayar pada 12 Februari ini.

Saham Apple naik lima peratus kepada AS$115.20 (RM415) dalam sesi selepas dagangan malam tadi. - AFP

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Rujukan