Cari Artikel

Thursday, January 29, 2015

Peguam Muslim Menulis: Tingkat profesionalisme peguam syarie


Peguam Muslim Menulis: Tingkat profesionalisme peguam syarie Oleh Raja Mohamad Haziq Raja Mohamad Kamal


Mahkamah Syariah memberi keadilan dalam kes kekeluargaan dan menyelesaikan isu jenayah babitkan masyarakat Islam. - Gambar hiasan

Peguam syarie adalah satu bidang profesional dan setiap negeri di Malaysia mensyaratkan pengamal undang-undang syariah mempunyai kelayakan asas iaitu Ijazah Sarjana Muda Syariah dan sijil tambahan lain seperti Diploma Syariah dan Amalan Guaman (DSLP) atau Diploma Lepasan Ijazah dan Amalan (DLSA) dari universiti tempatan atau luar negara yang diiktiraf kerajaan.

Peguam syarie secara langsung membantu mahkamah dan hakim menyelesaikan pertikaian antara pihak-pihak. Peguam syarie yang bertanggungjawab harus memastikan keadilan ditegakkan berdasarkan lunas-lunas dan peruntukan undang-undang serta prosedur mahkamah.

Ini perlu bagi memastikan keputusan dicapai memberikan hak sewajarnya kepada pihak berkenaan. Namun, di sebalik kerjaya mulia itu tidak dinafikan wujud beberapa kelompongan sama ada dari sudut kaedah undang-undang, tatacara mahupun akta.

Contohnya, sehingga hari ini masih tidak ada peruntukan kaedah ataupun tatacara dalam pelaksanaan pelatih dalam kamar syariah. Sebagai perbandingan, seorang pelatih dalam kamar sivil akan terikat dengan kaedah dan garis panduan ditetapkan oleh Majlis Peguam.

Tempoh masa ditetapkan iaitu sembilan bulan, mata ganjaran dan pentauliahan ditetapkan dengan sebegitu teliti bagi memastikan pelatih dalam kamar mendapat pengetahuan sewajarnya dalam dunia amalan guaman.

Perkara itu tidak berlaku bagi pelatih dalam kamar syariah. Tidak ada garis panduan ditetapkan oleh mana-mana badan berkanun menyebabkan sesetengah pelatih masih tidak boleh beramal walaupun sudah setahun dalam kamar.

Ini sangat merugikan komuniti Mahkamah Syariah kerana pelanggannya kian bertambah. Justeru, jumlah peguam syarie harus sejajar dengan pertambahan itu.

Peguam syarie yang tidak boleh beramal di Mahkamah Sivil, mereka juga tidak ditadbir oleh mana-mana peraturan dalam beramal sebagai peguam syarie. Tiada syarat mengenai papan tanda iklan firma peguam syarie sahaja sudah melambangkan tahap tidak profesional pengamal undang-undang.

Rasulullah sebagai model profesionalisme

Sebagai pengamal undang-undang yang berasaskan wahyu dan syariah, sewajarnya profesion ini menjadikan Rasulullah SAW sebagai model profesionalisme yang wajib ditaati dan dicontohi.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya telah ada pada diri Rasulullah itu suri teladan yang baik iaitu bagi orang yang mengharap rahmat Allah, hari akhirat dan sentiasa menyebut Allah (berzikir)." (Surah al-Ahzab, ayat 21)

Rasulullah SAW seorang pekerja paling profesional dalam pelbagai lapangan baik bidang perniagaan, kepemimpinan dan panglima perang. Baginda sering memberi komitmen seratus peratus dalam melaksanakan tanggungjawabnya.

Ketika perang Khandak, Rasulullah menerima cadangan daripada Salman Al-Farisi melaksanakan strategi peperangan iaitu menggali parit bagi membuat pertahanan daripada diserang musuh. Cadangan daripada orang luar berbangsa Parsi itu tidak menjadi penghalang bagi Rasulullah SAW menerimanya.

Tentera Islam menang peperangan itu dan ia memberi kesan positif dari sudut moral serta jati diri umat Islam yang baru mula berkembang. Sebagai seorang Rasul yang dididik secara langsung oleh Allah SWT, Baginda tidak memerlukan sebarang pendapat daripada manusia lain, tetapi baginda tetap bertindak profesional.

Pelbagai cerita tidak enak didengar mengenai tingkah laku sesetengah peguam syarie. Terdapat peguam syarie yang sangat lemah dalam kemahiran berkomunikasi dengan anak guam menyebabkan berlaku salah faham dan tuduh menuduh antara satu sama lain.

Menjadi kewajipan dan tugas hakiki peguam syarie sebagai pemudah cara serta pembantu mahkamah untuk menyelesaikan kes berdasarkan peruntukan undang-undang. Tanpa komunikasi yang baik, input maksimum tidak dapat diperoleh dan akan menyebabkan pelbagai prosiding tergendala.

Kurang pemantauan oleh badan berbidang kuasa terhadap peguam syarie menyebabkan sesetengah peguam syarie terbabit isu yang akan menimbulkan konflik kepentingan seperti memberi nasihat guaman yang tidak tepat dan lebih malang menyebabkan anak guam terbabit aktiviti menyalahi undang-undang.

Kesungguhan junjung keadilan

Seorang anak guam mungkin boleh menyelesaikan pertikaian dengan pasangannya melalui perceraian secara damai mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam dan dinasihatkan oleh peguam syarie untuk menuntut fasakh.

Tuntutan nafkah yang mungkin sebenarnya wajar diterima seorang suri rumah, tetapi telah dinasihatkan untuk menuntut lebih daripada itu dengan alasan memberi pengajaran kepada bekas suami. Perlakuan seperti itu tidak melambangkan profesionalisme sebenar dan tidak ada kesungguhan menjunjung keadilan.

Kerajaan melalui Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Jabatan Peguam Negara sudah beberapa kali memaklumkan mengenai penambahbaikan bidang kehakiman dan kepeguaman syarie seperti penambahan hierraki Mahkamah Syariah daripada tiga kepada lima peringkat dan cadangan mewujudkan Akta Guaman Syarie.

Cadangan itu walaupun sudah acap kali disebut, tidak bergerak dengan kadar yang sama pada tahap profesionalisme peguam syarie. Diharap cadangan itu dapat dilaksanakan segera dan peguam syarie perlu mempersiapkan diri bagi memastikan tahap profesionalisme yang tinggi.

Penulis ialah ahli Persatuan Peguam Muslim Malaysia

Keputusan Piala Raja Sepanyol


Keputusan Piala Raja Sepanyol

MADRID: Berikut keputusan perlawanan suku akhir kedua Piala Raja Sepanyol, awal pagi tadi.

- Atletico Madrid 2 Barcelona 3

Gol: AM - Fernando Torres (m1) Raul Garcia (m30-Pen), Neymar (m9/41) Miranda (m38-OG)

(Barcelona layak ke separuh akhir dengan keputusan agregat 4-2).

Warga emas dikhuatiri lemas di Sungai Perak


Warga emas dikhuatiri lemas di Sungai Perak


ANGGOTA Bomba dan Penyelamat melakukan operasi mencari seorang lelaki berusia 55 tahun yang dilaporkan hilang dan dikhuatiri lemas di tebing Sungai Perak berhampiran Lubuk Kawah, Lenggong. - Foto Jabatan Bomba dan Penyelamat

LENGGONG: Seorang lelaki berusia 55 tahun dilaporkan hilang dan dikhuatiri lemas di tebing Sungai Perak berhampiran Lubuk Kawah dekat sini.

Mangsa yang dikenali sebagai Mohd Rashid Mohd Hussin berasal dari Lubuk Kawah dilaporkan hilang sejak jam 11 malam kelmarin.

Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Lenggong berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 3.10 petang semalam.


ANGGOTA Bomba dan Penyelamat melakukan operasi mencari seorang lelaki berusia 55 tahun yang dilaporkan hilang dan dikhuatiri lemas di tebing Sungai Perak berhampiran Lubuk Kawah, Lenggong. - Foto Jabatan Bomba dan Penyelamat

Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Lenggong kemudian ke lokasi kejadian dan menjalankan operasi pencarian di permukaan air serta di kawasan sekitar tebing sungai.

"Operasi diketuai Penolong Penguasa Bomba Ahmad Izuwan Zakarian dan turut disertai polis dan orang awam," katanya ketika dihubungi.

Katanya ketika ini operasi pencarian masih diteruskan.

IS keluarkan ugutan terbaharu bunuh juruterbang Jordan


IS keluarkan ugutan terbaharu bunuh juruterbang Jordan


SEORANG wanita tempatan menonton siaran berita tv yang menunjukkan foto tebusan Jepun, Kenji Goto di Tokyo. - Foto AP

BAITULMAQDIS: Kumpulan Negara Islam (IS) menggunakan tebusan Jepun, Kenji Goto untuk meletakkan ugutan terbaharu membunuh seorang juruterbang Jordan sekiranya Amman tidak melakukan pertukaran dengan seorang tebusan wanita.

"Jika Sajida al-Rishawi tidak bersedia untuk pertukaran dengan saya di sempadan Turki pada terbit matahari esok (hari ini), 29 Januari waktu Mosul, maka juruterbang Jordan, Mia'dh al-Jasaben akan segera dibunuh," kata Goto dalam satu mesej suara yang disebarkan menerusi akaun Twitter rangkaian IS. - AFP

Keputusan Piala Liga Inggeris


Keputusan Piala Liga Inggeris

SHEFFIELD: Berikut keputusan Piala Liga Inggeris awal pagi tadi:

Separuh akhir kedua:

Sheffield United 2 Tottenham Hotspur 2 (Agregat 2-3)

Bahasa Melayu bukan sekadar alat komunikasi


Bahasa Melayu bukan sekadar alat komunikasi Oleh Teo Kok Seong

Kenyataan sesetengah pihak, khususnya daripada kalangan bukan Melayu, bahawa peranan bahasa Melayu di negara ini adalah semata-mata untuk tujuan komunikasi antara rakyat, bukan sahaja dangkal. Ia juga memperlihat betapa jahilnya beberapa pihak tertentu mengenai hubungan antara nasionalisme dan patriotisme dengan bahasa negara.

Sehubungan ini, mereka ini menolak kaitan antara semangat kebangsaan dan patriotik dengan kecekapan berbahasa Melayu. Bagi mereka ini, peranan bahasa Melayu adalah cuma untuk membolehkan rakyat berhubungan antara satu sama lain. Itu pun untuk mereka yang ingin menggunakannya.

Dalam hal ini, bagi mereka, kecekapan dalam bahasa Melayu tidak penting. Asal sahaja bahasa Melayu yang digunakan itu berjaya memenuhi tujuan komunikasi, peranannya bukan sahaja disifatkan sudah terlaksana dari segi berkongsi mesej antara penyampai dan penerima. Tetapi ia juga dianggap berjaya menjadi wahana interaksi antara kaum apabila digunakan antara penutur Melayu dengan yang bukan Melayu.

Tidak dapat dinafikan semua ini penting. Bagaimanapun, menjadi kesalahan besar kalau itu saja peranan penting yang difikirkan dapat dimainkan bahasa, lebih-lebih lagi apabila bahasa berkenaan adalah bahasa negara.

Wajib kuasai bahasa Melayu

Sebagai bahasa negara, bahasa Melayu hendaklah dikuasai dengan baik oleh setiap warga negara Malaysia. Hal ini wajib bukan saja kerana ia dituntut dalam Perlembagaan Persekutuan pada Bahagian Kerakyatan. Ia juga penting kerana ia mempunyai kaitan dengan sikap rakyat mengenai jati diri negara dan cara mereka sebagai warganegara mendukungnya selain memeliharanya pada setiap masa.

Sebagai warganegara Malaysia, kita wajib mempunyai pengetahuan yang baik mengenai bahasa Melayu, iaitu bahasa negara kita. Selain ini, kita juga harus fasih menuturnya. Dari segi kenegaraan pula, kita selaku warga negara wajib membantu dalam menegas dan menegakkan kedaulatan Malaysia, khususnya dari segi budaya. Antaranya dengan memperlihat perasaan bangga, sayang dan setia kepada bahasa negara.

Sebenarnya mereka ini menyedari peri pentingnya bahasa dari segi lain dan ia bukan hanya untuk tujuan komunikasi. Ini dapat dilihat pada cara mereka ini mempertahan bahasa etnik masing-masing dalam sistem pendidikan negara. Ini menunjukkan mereka mengetahui peranan bahasa, khususnya dari segi jati diri.

Bahasa adalah lambang terpenting untuk mengekalkan jati diri sesuatu kelompok itu. Akan tetapi oleh sebab sikap buruk mereka, hal sepenting ini mahu dikesamping untuk bahasa Melayu yang menjadi bahasa negara, dengan mengatakan peranannya adalah untuk tujuan komunikasi sahaja.

Sikap sebegini perlu diperbetul segera agar tingkah laku mereka ini yang tidak mempedulikan bahasa Melayu dapat dibanteras. Ia ikut mencakupi dua persoalan besar dan serius, iaitu keterikatan dengan dan kepedulian terhadap negara ini.

Dua perkara ini pula mempunyai kaitan rapat dengan nasionalisme, iaitu perasaan bangga yang amat sangat terhadap negara. Ini sudah tentu akan membawa kepada patriotisme, iaitu perasaan cinta yang kuat sekali kepada negara sehingga sanggup mempertahannya.

Perjelas konsep kenegaraan

Sehubungan ini, mungkin kita memerlukan satu fahaman tuntas tentang bahasa negara. Dalam hal ini, beberapa konsep kenegaraan perlu dijelaskan kepada rakyat. Pertama ialah apa itu 'nation', iaitu negara yang terdiri daripada rakyat yang berkongsi bahasa dan budaya yang sama. Kedua ialah jati diri negara, iaitu perasaan kesatuan yang utuh sebagai rakyat yang bersatu padu, dalam bentuk pendukungan dan pengamalan bahasa dan budaya yang sama.

Ketiga ialah perasaan bangga, sayang dan setia selepas lahirnya kalbu keterikatan dan kebersamaan dalam kalangan rakyat kepada negara, melalui bahasa dan budaya yang sama. Keempat ialah ciri sikap nasionalistik dan patriotik, dalam kaitan nasionalisme dan patriotisme linguistik bahasa Melayu dan kebudayaan kebangsaan.

Walaupun fahamannya sebegini, ia tetap mempertahan prinsip kemajmukan etnik dan kepelbagaian budaya yang menjadi asas pembentukan negara ini. Ini bermakna bahasa dan budaya kaum bukan Melayu tidak sesekali disekat dari segi penggunaan dan pengamalannya, terutama dalam lingkungan etnisiti masing-masing.

Akan tetapi, pada peringkat negara, bahasa Melayu hendaklah diberi keutamaan. Begitu juga dengan budaya Melayu yang menjadi teras kebudayaan kebangsaan. Ini sepatutnya sudah lama menjadi naluri kita sebagai rakyat.

Castro tuntut AS tamatkan sekatan lancarkan hubungan baru


Castro tuntut AS tamatkan sekatan lancarkan hubungan baru


Presiden Cuba, Raul Castro. - Foto AP

BELEN (Costa Rica): Presiden Cuba, Raul Castro hari ini menuntut agar Amerika Syarikat (AS) menamatkan sekatan yang dikenakan terhadap negaranya bagi memastikan kelancaran proses menjalin semua hubungan dua negara.

"Masalah utama masih belum diselesaikan lagi - ekonomi, komersial, sekatan kewangan - yang menjadi punca terbesar kepada kepincangan ekonomi dan kesan buruk kepada rakyat serta ia melanggar hak antarabangsa," kata Castro pada Sidang Kemuncak Amerika Latin di Costa Rica hari ini.

Kenyataan Castro itu muncul selepas seminggu Washington dan Havana mengadakan rundingan bersejarah bagi menamatkan hubungan keruh sejak sekian lama. - AFP

Majlis Keselamatan panggil sidang tergempar bincang konflik Lubnan-Israel


Majlis Keselamatan panggil sidang tergempar bincang konflik Lubnan-Israel

NEW YORK: Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memanggil satu sidang tergempar lewat hari ini untuk membincangkan keganasan yang semakin merebak di sempadan Israel-Lubnan.

Wakil Perancis mencadangkan agar rundingan segera itu diadakan membabitkan semua 15 anggota Majlis Keselamatan selepas dua askar Israel dan seorang tentera misi pengaman Sepanyol terbunuh apabila berbalas tembakan antara tentera Israel dan pejuang Hezbollah. - AFP

Imigresen patah sindiket palsukan PLKS


Imigresen patah sindiket palsukan PLKS


Sebuah premis yang dijadikan pejabat sindiket pemalsuan PLKS yang diserbu Jabatan Imigresen di Brickfields semalam. - Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen menumpaskan satu sindiket pemalsuan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dengan penahanan seorang warga India di Brickfields di sini, semalam.

Suspek berusia 30-an yang dipercayai dalang sindiket itu, dikesan berikutan penemuan pelekat PLKS palsu dalam beberapa operasi di Seremban, Negeri Sembilan, sebelum ini.

Pengarah Jabatan Imigresen Negeri Sembilan, Faizal Fazri Othman, berkata pihaknya turut merampas beberapa komputer dan mesin pencetak dalam operasi bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bermula jam 3 petang itu.

"Turut ditemui adalah beberapa salinan PLKS palsu yang sudah diubahsuai dipercayai sudah ditempah pendatang tanpa izin.

"Suspek yang berkahwin dengan seorang guru warga Malaysia berusia 30-an disiasat mengikut Seksyen 55(D) kerana memalsukan pas, permit atau permit masuk," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, dua lelaki tempatan dan seorang warga India turut ditahan SPRM kerana cuba menawarkan rasuah kepada penguatkuasa Imigresen.

Gantung dua perlawanan untuk Ronaldo


Gantung dua perlawanan untuk Ronaldo



REAKSI penyerang Real Madrid, Cristiano Ronaldo selepas diarah keluar padang oleh pengadil ketika perlawanan La Liga menentang Cordoba di Nuevo Arcangel. - Foto EPA

MADRID: Pemain terbaik dunia, Cristiano Ronaldo digantung dua perlawanan atas kesalahan kad merah kerana menyepak pertahanan Cordoba, Edimar ketika kemenangan 2-1 Real Madrid dalam aksi La Liga, Sabtu lepas.


Penggantungan menyaksikan bintang kelahiran Sepanyol itu terlepas perlawanan di laman sendiri menentang Real Sociedad dan Sevilla, minggu depan namun masih boleh diturunkan ketika bertemu juara Sepanyol, Atletico Madrid pada 7 Februari.


Real ketika ini mengungguli carta La Liga dengan kelebihan satu mata di depan Barcelona namun masih memiliki kelebihan kurang satu perlawanan.


Januari dianggap bulan penuh emosi buat, Ronaldo selepas penyerang bintang itu memenangi anugerah Ballon d'Or ketiga di Zurich, Switzerland namun pada masa sama berpisah dengan teman wanitanya yang juga super model, Irina Shayk.


Emosinya jelas terganggu di atas padang dan kekecewaan itu dilepaskan dengan menendang pertahanan kelahiran Brazil, Edimar ketika perlawanan masih di kedudukan 1-1 yang sekaligus mengumpul kad merah kesembilan sepanjang kariernya.


Bintang Wales, Gareth Bale menjadi penyelamat Real dengan meledak gol kemenangan ketika permainan berbaki tujuh minit menerusi sepakan penalti.


Bekas penyerang Manchester United, Ronaldo juga boleh berdepan hukuman lebih berat kerana turut dilihat mengasari seorang lagi pemain Cordoba, Jose Crespo sebelum dikenakan kad merah.


Malah selepas kemenangan Real, dia kemudian seakan cuba membangkitkan kemarahan penyokong Cordoba dengan menunjukkan logo kelab gergasi itu ke arah mereka sebelum beredar.


Begitupun, pemain berusia 29 tahun sudah pun meminta maaf atas tindakannya dalam laman sosial Twitter peribadinya. - AFP


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Rujukan