Cari Artikel

Friday, January 9, 2015

Harga minyak naik dalam dagangan Asia


Harga minyak naik dalam dagangan Asia

SINGAPURA: Harga minyak dalam dagangan Asia naik sedikit hari ini tetapi penganalisis tidak menjangkakan kenaikan itu akan berterusan kerana bekalan masih berlebihan.

Kontrak penanda aras Amerika Syarikat (AS), West Texas Intermediate (WTI) untuk penghantaran Februari naik 44 cents kepada AS$49.23 (RM173) pada dagangan pertengahan sesi pagi ini manakala Brent naik 31 cents kepada AS$51.27 (RM180). Brent semalam sudah turun bawah AS$50 (RM176), terendah sejak 2009.

Peningkatan kecil harga minyak sebahagian besarnya didorong sentimen positif berikutan pengumuman Rizab Persekutuan AS bahawa bank pusat itu tidak akan menaikkan kadar faedah hingga April ini.

Penganalisis bagaimanapun berpendapat lebihan penawaran dan permintaan rendah daripada beberapa ekonomi utama termasuk India dan China akan terus menekan turun harga minyak.

"Belum ada petunjuk pengeluaran minyak shal dari AS akan berkurangan atau akan ada peningkatan mendadak permintaan minyak dunia," kata Shailaja Nair, pengarah bersekutu editorial di Platts, firma penyedia maklumat mengenai sektor tenaga.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi IHS, Rajiv Biswas, berkata penurunan harga minyak dianggar membabitkan pemindahan sejumlah AS$1.5 trilion (RM5.27 trilion) daripada negara pengeksport minyak kepada kalangan negara pengimport.

"Negara pengimport minyak dari Asia adalah antara yang paling mendapat manfaat terbesar," katanya. - AFP

SGIA milik MAHB jangka kendali 33 juta penumpang menjelang 2018


SGIA milik MAHB jangka kendali 33 juta penumpang menjelang 2018


Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen (SGIA)

ISTANBUL: Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen (SGIA) yang baru diambil alih pengendali lapangan terbang Malaysia, Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), dijangka mencatatkan pertumbuhan aliran penumpang yang kukuh dengan kira-kira 33 juta penumpang menjelang 2018.

Ketua Pegawai Eksekutif SGIA Gokhan Bugday berkata lapangan terbang itu, aset luar negara terkini MAHB, mencatat pertumbuhan 29 peratus dalam sembilan bulan pertama 2014 dan mencatat aliran penumpang lebih 23 juta dalam 12 bulan lalu.

"SGIA dijangka mencatat peningkatan dalam jumlah penumpang udara negara disokong oleh pengembangan kumpulan pesawat syarikat penerbangan kebangsaan, Turkish Airlines dan syarikat penerbangan tambang rendah, Pegasus, serta minat syarikat penerbangan asing lain," kata Bugday pada sidang media di sini hari ini.

Selain Turkish Airlines dan Pegasus, SGIA kini mengendalikan empat syarikat penerbangan domestik lain dan 50 syarikat penerbangan asing ke 34 destinasi domestik dan 97 destinasi antarabangsa.

Pada masa depan, rangkaian laluan antarabangsa dijangka menjadi antara pemacu pertumbuhan utama bagi SGIA yang menerima tiga syarikat penerbangan baharu dan 19 laluan antarabangsa baharu.

Selain itu, landasan kedua, yang dibiayai kerajaan Turki, yang kini dikeluarkan tender, akan meningkatkan lagi keupayaan SGIA untuk mengendalikan lebih banyak pergerakan pesawat.

Bugday berkata, prospek pertumbuhan akan terus ditingkatkan lagi menerusi pelaksanaan pembangunan serantau oleh kerajaan Turki dan sektor swastanya yang termasuk antara lain kediaman, sekolah, hospital, pusat kewangan di bahagian Asia Istanbul dan sistem kereta api bawah tanah yang memudahkan akses ke SGIA.

SGIA juga berpotensi menjadi lapangan terbang yang pantas berkembang di Eropah dari segi kadar pertumbuhan tahunan bagi aliran penumpang sejak membuka terminal baharu pada November 2009.

Pembabitan MAHB dalam SGIA bermula pada 2007 dalam perancangan lapangan terbang dan reka bentuk, pembangunan lapangan terbang serta kesediaan operasi dan pemindahan lapangan terbang yang membawa kepada kejayaan pembukaan SGIA pada 2009. - BERNAMA

Enjin feri berasap, 300 penumpang diarah turun


Enjin feri berasap, 300 penumpang diarah turun

BUTTERWORTH: Kira-kira 300 penumpang diarahkan keluar selepas bahagian enjin feri Pulau Payar tiba-tiba berasap ketika baru berlepas dari Pangkalan Sultan Abdul Halim, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian itu pada jam 8.30 pagi, feri yang dalam perjalanan ke terminal Raja Tun Uda di bahagian pulau, terpaksa berpatah balik ke jeti selepas bahagian belakang feri itu dipenuhi kepulan asap hitam dipercayai berpunca daripada kerosakan enjin.

Jurucakap feri berkata, semua penumpang selamat dan tidak cedera.

"Berdasarkan pemeriksaan awal, kerosakan enjin menyebabkan kepulan asap hitam keluar dari bahagian belakang feri.

"Bagaimanapun, tiada kebakaran berlaku dan keadaan dapat dikawal kru feri yang terlatih bagi menghadapi sebarang kecemasan dalam pelayaran," katanya.

TV Samsung guna perisian Tizen


TV Samsung guna perisian Tizen

SEOUL: Samsung Electronics Co Ltd berkata, semua produk televisyen pintar baharunya yang dilancarkan tahun ini akan dikuasakan oleh sistem operasi Tizen.

Langkah itu adalah usaha terbaharu syarikat meningkatkan penggunaan platform perisian.

Televisyen pintar menawarkan tambahan perisian dan sambungan fungsi, streaming video dan keupayaan melayari web.

Samsung mempamerkan set TV dikuasakan oleh Tizen pada persidangan pemaju teknologi tahun lalu.

"Kami kini menumpukan usaha terhadap Tizen.

"Kami berharap bahawa pembuat TV lain juga akan menggunakannya dan membantu membangunkan ekosistem yang akan membantu platform berkembang.," kata Presiden Perniagaan Paparan Samsung, Kim Hyun-suk, dalam satu temubual.

Televisyen akan menjadi tambahan kepada rangkaian produk perisian Tizen yang sederhana, terdiri daripada beberapa jam tangan pintar dan kamera walaupun pembangunannya sudah dilakukan bertahun-tahun dan disokong pembuat telefon pintar serta TV terkemuka di dunia.

Platform itu usaha yang kelihatan paling berjaya membabitkan pembangunan perisian oleh Samsung, yang berusaha membebaskan dirinya daripada platform Android Google Inc.

Namun, Tizen setakat ini gagal dilaksanakan, sebahagiannya disebabkan kegagalan Samsung melancarkan telefon pintar yang dikuasakan oleh sistem perisian itu.

Beberapa penganalisis ragu-ragu mengenai daya maju platform itu walaupun Samsung adalah pembuat telefon pintar terkemuka, terutama tatkala Android dan IOS Apple Inc mengukuhkan lagi cengkaman mereka dalam sektor telefon pintar.

Pemaju perisian berkata, sehingga terdapat pangkalan pengguna yang boleh dianggap bermakna untuk Tizen, mereka tidak begitu berminat membuat aplikasi perisian inovatif untuk sistem itu, yang disifatkan penting sekiranya Samsung mahu meyakinkan pengguna untuk mencubanya.

Walaupun pelancaran TV berasaskan Tizen meningkatkan asas platform pengguna, adalah tidak jelas jika produk itu sahaja memadai untuk menarik perhatian pemaju perisian.

Pengguna TV pintar cenderung menggunakan aplikasi yang kurang berbanding pada telefon pintar.

Namun, sistem operasi dijangka masih memainkan peranan penting dalam perniagaan rumah pintar Samsung.

Tizen juga boleh digunakan pada peranti dengan kuasa pengkomputeran rendah seperti peti sejuk dan mesin basuh, menawarkan kaedah bagi pengguna untuk memantau dan mengawal peranti dari jauh.

Samsung tidak memberikan sasaran jualan untuk TV yang dikuasakan menggunakan perisian Tizen. - REUTERS

Baki Zainal gandingan baharu Adibah Noor di Suria FM


Baki Zainal gandingan baharu Adibah Noor di Suria FM Oleh Zaidi Mohamad

zaidim@bh.com.my

Adibah Noor dan Baki Zainal.

KUALA LUMPUR: Suria FM memulakan tahun 2015 dengan memperkenalkan seorang penyampai terbaharu segmen Ceria Pagi iaitu Baki Zainal.

Baki, satu nama yang tidak asing lagi dalam industri akan menemani Adibah Noor pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, bermula jam 6 hingga 10 pagi.

Baki pernah menjalankan tugas pertamanya sebagai penyampai radio pada tahun 2014 ketika bersama Adibah Noor selama sebulan di segmen Ceria Pagi bagi menggantikan Halim Othman yang mengikuti Kamilah Malaysia Tour ketika itu.

Halim yang sebelum ini mengemudi segmen pagi di Suria FM kini beralih tumpuan untuk ke segmen sukan, Grandstand Suria pada setiap hujung minggu.

Menurut Pengurus Program Suria FM, Adiwati Zainuddin, Baki dan Adibah menjadi kombinasi terbaik untuk Ceria Pagi.

"Pengalaman dan personaliti mereka bersesuaian dengan sasaran pendengar yang berumur 25 hingga 39 tahun. Selain itu, keserasian di antara kedua-duanya adalah permulaan pagi yang baik buat semua pendengar," kata Adiwati.

Baki pula berkata, peluang bekerja dengan Adibah dan menyertai keluarga Suria FM memberikan impak baharu dalam hidupnya.

"Kami akan berkongsi kegembiraan bersama dengan pendengar dan itu membuatkan saya cukup teruja. Ceria Pagi adalah segmen pagi yang tidak mungkin anda lepaskan," kata Baki.

Di samping mempunyai penyampai radio terbaharu, Suria FM juga memperkenalkan beberapa segmen terbaharu di mana ia pastinya menghiburkan. Antaranya ialah Suria The Musical yang mengajak pendengar untuk mencipta lagu mereka sendiri dan akan dikongsi di Suria FM.

Selain itu, ada juga segmen Bunyi Gitar Suria yang bakal menguji ketangkasan pendengar meneka lagu kegemaran mereka dengan hanya petikan gitar.

Pendengar juga boleh berinteraksi bersama dengan Adibah dan Baki menerusi segmen Tajuk Utama Anda, di mana mereka akan berkongsi perkara-perkara menarik ke udara.

Untuk pelbagai maklumat menarik, layari www.suriafm.com.my dan juga www.facebook.com/SuriaFMMalaysia.

QZ8501: Pasukan SAR kesan isyarat ping dipercayai dari kotak hitam


QZ8501: Pasukan SAR kesan isyarat ping dipercayai dari kotak hitam


Kapal USS Fort Worth (LCS 3) milik Amerika Syarikat ketika menjalankan operasi Mencari dan Menyelamat berdekatan lokasi penemuan bahagian ekor pesawat AirAsia Indonesia QZ8501. - Foto AFP

JAKARTA: Pasukan SAR kesan isyarat "ping" di Laut Jawa, kemungkinan dari kotak hitam pesawat QZ8501 AirAsia Indonesia.

"Sebuah kapal mengesan isyarat ping itu. Para penyelam sedang berusaha untuk sampai ke punca isyarat itu," kata S B Supriyadi, seorang pegawai pasukan SAR yang beroperasi dari Pangkalan Bun.

"Lokasi isyarat ping itu dilaporkan hampir dengan bahagian ekor yang ditemui," katanya. - AFP

Semua perkakasan Samsung akan dilengkapi IOT menjelang 2017


Semua perkakasan Samsung akan dilengkapi IOT menjelang 2017


TV UHD Samsung antara produk yang dipamerkan di Pameran Antarabangsa Elektronik Pengguna 2015 (CES), di Las Vegas, Nevada, Amerika Syarikat, bermula semalam sehingga Jumaat ini. - Foto EPA

KUALA LUMPUR: Samsung Electronics Co Ltd menyasarkan semua perantinya akan dilengkapi kemudahan sistem Internet-of-Things (IoT) menjelang 2017.

Menerusi kemudahan IoT, data boleh dihantar menerusi satu rangkaian tanpa memerlukan interaksi sesama manusia atau pun antara manusia dengan komputer.

Ketua Pegawai Eksekutif Samsung Electronics, BK Yoon, dalam satu kenyataan hari ini, turut menjangkakan dalam tempoh dua tahun, semua televisyen Samsung akan dilengkapi peranti IoT.

Malah, dalam tempoh lima tahun, semua perkakasan Samsung turut dilengkapi IoT, sekali gus mempercepatkan lagi penawaran peranti berasaskan IoT dalam pasaran.

"Samsung sememangnya memiliki pelbagai peranti berasaskan IoT. Tahun lalu misalnya, Samsung telah menyerahkan lebih 665 juta produk dan angka itu dijangkakan terus meningkat.

"Syarikat ini sudah mula menawarkan kelebihan yang ada dalam peranti itu serta kemudahannya untuk kegunaan seharian serta ada di sekitar kita," katanya berucap merasmikan Pameran Elektronik Pengguna Antarabangsa (CES) di Amerika Syarikat.

Acara tiga hari itu bermula semalam, diadakan di Las Vegas.

Yoon turut menekankan kepentingan bagi kalangan pemaju sistem komputer membangunkan IoT berkenaan.

Samsung juga, katanya, akan melabur lebih AS$100 (RM352) juta bagi komuniti pemaju sistem seumpamanya, tahun ini.

"IoT ini berpotensi untuk transformasi masyarakat, ekonomi serta cara kehidupan kita," katanya. - BERNAMA

Hishamuddin Rais didenda RM5,000 kerana menghasut


Hishamuddin Rais didenda RM5,000 kerana menghasut

KUALA LUMPUR: Aktivis Hishamuddin Md Rais dihukum denda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas tuduhan memberi ucapan berbaur hasutan dalam satu ceramah politik pada 13 Mei 2013.

Hakim Azman Mustapha menjatuhkan hukuman itu terhadap Hishamuddin, 64, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap tertuduh.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menyebut perkataan menghasut yang cenderung untuk membangkitkan rakyat negara ini bagi mengubah kerajaan yang tertubuh menurut undang-undang, dengan cara yang tidak sah.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor di Nombor 1, Jalan Maharajalela di sini antara jam 8.55 malam dan jam 11.15 malam, pada 13 Mei 2013.

Pendakwaan terhadap tertuduh dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama, yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.

Samsung penuhi minat terhadap selfie menerusi Galaxy A5, A3


Samsung penuhi minat terhadap selfie menerusi Galaxy A5, A3 Oleh Che Wan Badrul Alias

chewan@bh.com.my


Samsung Malaysia Electronics (SME) melancarkan Samsung Galaxy A3 dan Galaxy A5 yang disasarkan untuk golongan muda yang minat selfie. - Foto Yazit Razali

KUALA LUMPUR: Samsung Malaysia Electronics (SME) melancarkan Samsung Galaxy A3 dan Galaxy A5 yang disasarkan untuk golongan muda yang minat selfie.

Naib Presiden Mudah Alih, IT dan Pengimejan Digital SME, Lee Jui Siang, berkata Malaysia dilaporkan berada dalam kalangan 10 negara tertinggi di dunia dengan aktiviti selfie sekali gus menunjukkan corak penggunaan terkini bagi telefon pintar oleh golongan muda.

Justeru, katanya, Samsung melihat minat itu sebagai permintaan baharu pasaran dan menggunakan kekuatan syarikat untuk segera membangunkan produk yang mampu mengoptimumkan keseronokan aktiviti selfie dan wefie pengguna.

"Kehadiran kami cukup dekat dengan pengguna di negara ini maka ia membolehkan kami memahami keperluan pengguna dan mempertingkatkan peranti mudah alih serta perisian supaya dapat menawarkan produk yang mereka mahukan.

"Maka kami memperkenalkan Galaxy A5 dan Galaxy A3 yang dibangunkan dengan ciri selfie yang lebih luas sejajar dengan peningkatan akses digital dan perkongsian gambar selfie di media sosial," katanya pada pelancaran Galaxy A5 dan Galaxy A3 di sini hari ini.

Model terbaharu Galaxy A5 ditawarkan pada harga RM1,199 dan Galaxy A3 pada RM899. Galaxy A7 pula hanya akan dipasarkan di Malaysia bermula bulan depan.

Galaxy A5 memuatkan pemproses empat teras berkeupayaan 1.2GHz, sokongan rangkaian 4G dan 3G, kamera belakang 13 megapiksel serta kamera depan 5.0 megapiksel, platform sistem operasi android 4.4 KitKat, skrin sesentuh HD Super AMOLED 5.0 inci.

Galaxy A3 pula dijana prosesor empat teras berkeupayaan 1.2GHz, sokongan rangkaian 4G dan 3G, kamera belakang 8.0 megapiksel serta kamera depan 5.0 megapiksel, platform sistem operasi android 4.4 KitKat, skrin sesentuh HD Super AMOLED 4.5 inci.

Telefon pintar Lamborghini bukan sekadar harga, tawar gaya


Telefon pintar Lamborghini bukan sekadar harga, tawar gaya

LAS VEGAS: Kepada pengguna yang pentingkan telefon pintar yang mampu memberi penampilan lebih bergaya, jenama Lamborghini mungkin penyelesaiannya.

Namun untuk memperoleh semua ini, anda perlu membayar AS$6,000 (kira-kira RM20,000), termasuk kos penghantaran.

Hari ini, Tonino Lamborghini Mobile mengumumkan pelancaran global telefon pintar keluli tahan karat dan kulit di Pameran Pengguna Elektronik di Las Vegas.

Meskipun dalam keadaan ekonomi tidak menentu serta penurunan harga untuk telefon bimbit, syarikat yang berpangkalan di Itali itu berkata, pihaknya mungkin tidak mampu memenuhi permintaan.

"Kemewahan bukan satu keperluan lagi, tapi ia melambang kehebatan," kata Ketua Eksekutif (CEO) Lamborghini Mobile, Bob Hatefi.

Syarikat berkenaan diasaskan oleh anak kepada pereka automotif terkenal, Ferruccio Lamborghini. "Kami menawarkan teknologi serentak dengan kemewahan. Kami tidak mengejar jumlah (jualan)," katanya.

Syarikat itu tiada hubung kait dengan kenderaan Lamborghini yang kini turut mengeluarkan Volkswagen, namun ia diwujudkan oleh Tonino Lamborghini, anak kepada Ferruccio Lamborghini. Telefon bimbit terbaharu itu mempunyai kemudahan dua kad SIM untuk keperluan pengembara antarabangsa, pemuka definasi tinggi lima inci, kamera 20 megapixel dan boleh dihubungkan dengan rangkaian telefon di seluruh dunia.

Telefon dikenali 88 Tauri ditawarkan dengan warga hitam, emas dan perak serta sarung kulit bergred tinggi dengan lima jenis pilihan warna.

Setiap unit telefon dipasang dengan tangan dan mempunyai nombor perisian yang unik. - AFP

Samsung sasar IoT dorong segmen mudah alih jadi peneraju


Samsung sasar IoT dorong segmen mudah alih jadi peneraju

KUALA LUMPUR: Segmen mudah alih akan menjadi peneraju apabila 'Internet-of-Things' (IoT) mula dilaksanakan menjelang 2017, kata Pengurus Produk Bahagian Mudah Alih Samsung Malaysia Electonics Sdn Bhd, Au Kuan Yew.

Semalam, Samsung Electonics Co Ltd (Samsung Global) mengumumkan semua perantinya akan dilengkapi sistem IoT dan syarikat akan melabur lebih AS$100 juta (RM352 juta) bagi komuniti pemajunya tahun ini.

"Kami mengalu-alukan pengumuman itu dan saya yakin Malaysia akan menerima lebih banyak pelaburan dengan apa saja angka yang disebut pemimpin kami," katanya pada majlis pelancaran model Samsung Galaxy A5 dan A3 hari ini.

Samsung Global menyedari dan mengiktiraf sumbangan Malaysia kepada kumpulan itu, tambahnya.

Menerusi kemudahan IoT, data boleh dipindahkan melalui rangkaian tanpa memerlukan interaksi sesama manusia atau antara manusia dengan komputer.

Mengenai Samsung A5 dan A3, Kuan Yew berkata peranti yang baru dilancarkan itu disasarkan kepada segmen golongan muda.

"Ciri seperti mod selfie yang luas, reka bentuk yang bergaya dan anggun dengan fungsi yang lebih maju untuk memaksimumkan pengalaman menerusi rangkaian sosial akan menarik golongan sasaran," katanya.

Model A3 dan A5 masing-masing pada harga RM899 dan RM1,999 boleh didapati dengan empat warna iaitu Putih Mutiara, Hitam, Perak Platinum dan Kuning Keemasan. - BERNAMA

Daun khat, jenis dadah baharu diseludup masuk sindiket


Daun khat, jenis dadah baharu diseludup masuk sindiket

KUALA LUMPUR: Daun khat, dadah jenis cathinone kini dipercayai menjadi bahan terlarang baharu yang mula diseludup masuk sindiket pengedaran dadah tempatan dan antarabangsa ke negara ini.

Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) Polis Diraja Malaysia (PDRM) merampas 90.78 kilogram daun khat dan menahan empat individu dalam operasi berasingan di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur, kelmarin dan semalam.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim, berkata dua suspek yang ditahan adalah rakyat Malaysia manakala dua lagi masing-masing seorang warga Yaman dan Emeriah Arab Bersatu (UAE).

Hasil pemeriksaan terhadap sebuah parcel kargo di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 10.30 pagi kelmarin, pasukan itu menemui dan merampas sejumlah 90.01 kilogram daun khat yang diseludup dari Afrika Timur.

"Rampasan itu membawa kepada penahanan empat suspek terbabit di lokasi berasingan sekitar jam 10.30 pagi hingga 7.40 malam, semalam.

"Polis turut merampas 770 gram daut khat yang disimpan dalam sebuah premis yang didiami suspek warga Yaman," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Siasatan awal juga mendapati warga Yaman menggunakan pas pelawat bagi memasuki negara ini, sementara suspek warga UAE pula adalah penuntut di sebuah kolej.

Noor Rashid berkata, semua suspek berusia 19 hingga 54 tahun kini ditahan reman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Daun khat yang berasal dari Afrika Timur dan Arab, mampu memberi kesan khayal dan ketagihan seperti ketum. Ia mempunyai ciri fizikal berwarna hijau dan akan bertukar kehitaman selepas seminggu.

Samsung lancar produk guna perisian sendiri


Samsung lancar produk guna perisian sendiri

SEOUL: Peneraju telefon pintar global, Samsung Electronics Co Ltd merancang melancarkan produk baharu tahun depan yang berasaskan sistem operasinya sendiri, Tizen.

Langkah itu adalah tindakan strategik firma gergasi Korea Selatan itu untuk membebaskan dirinya daripada Android.

Bagaimanapun, selepas pembangunan selama beberapa tahun membabitkan jam tangan pintar dan kamera menggunakan perisian Tizen, satu-satunya produk yang disahkan akan dilancarkan pada 2015 adalah set televisyen.

Walaupun perkembangan itu akan mengagumkan pereka bentuk rumah pintar, kegagalan Samsung untuk mengeluarkan telefon pintar berasaskan sistem operasinya sendiri mencetuskan pandangan skeptikal mengenai keupayaannya untuk membina perisian alternatif yang bermakna untuk mencabar iOS keluaran Apple Inc serta Android oleh Google Inc.

"Secara jujurnya, perisian yang dibuat sendiri oleh Samsung tidak begitu bagus. Saya belum melihat ada sesuatu yang boleh membayangkan Samsung menjadi berdaya saing dalam sektor perisian," kata penganalisis IM Investment and Securities, Lee Min-hee.

Pemaju aplikasi pula berkata, selagi belum ada asas pengguna yang bermakna bagi Tizen, selagi itulah mereka tidak mempunyai insentif untuk membuat aplikasi khusus untuk sistem berkenaan.

"Saya melihatnya (Tizen) hampir serupa dengan Android, namun tiada asas pengguna yang besar," kata pemaju aplikasi Kazoowa.com yang berpangkalan di Brazil, Eduardo Ribeiro.

Dengan itu, sukar menemui sebarang manfaat membangunkan aplikasi untuk Tizen.

Komunikasi Samsung berhubung sistem baharu itu pula hanya menambahkan lagi keraguan.

Syarikat itu mengumumkan sebelum membatalkan rancangan pelancaran telefon Tizen pada suku ketiga dengan memetik 'adanya keperluan untuk meningkatkan ekosistem Tizen'.

Sementara itu, laporan media memetik sumber memberikan bayangan pelancaran telefon Tizen di India akan berlaku tidak lama lagi.

Akhbar Korea Economic Daily semalam melaporkan, telefon pintar murah Tizen akan membuat kemunculan sulung di India pada 18 Januari ini, memetik seorang sumber syarikat itu yang tidak dinamakan.

Samsung bagaimanapun enggan memberikan komen berhubung laporan itu. - REUTERS

Android akan memacu sistem operasi TV pintar baharu


Android akan memacu sistem operasi TV pintar baharu

LAS VEGAS: Perisian Android, keluaran Google yang menjadi sistem operasi lebih satu bilion telefon pintar dunia, akan turut menjadi penggerak kepada generasi baharu televisyen (TV) pintar.

Selain pengenalan pelbagai model TV ultra defisini tinggi (UHD) pada Pameran Elektronik Pengguna (CES) di sini minggu ini, turut hangat diperkatakan ialah hala tuju menjadikan Android sebagai pemacu internet TV pintar UHD daripada pelbagai pengeluar.

"Semua model 2015 TV kami akan menggunakan platform baharu Android TV," kata ketua pegawai operasi Sony Electronics, Mike Fasulo.

"Android adalah sistem operasi (OS) yang diterima meluas dalam bidang telefon pintar, justeru kini pengguna boleh menikmati isi kandungan secara tanpa batasan menerusi pelbagai peranti termasuk telefon pintar, tablet dan TV," tambahnya.

TV Sony yang menggunakan OS Android akan mempunyai akses kepada permainan dalam talian, aplikasi dan pelbagai isi kandungan digital menerusi Google Play dan pengguna juga boleh mengawal TV mereka menggunakan jam pintar Sony.

Sony, Sharp dan Philips akan mula menjual TV pintar masing-masing yang menggunakan Android mulai pertengahan tahun ini, kata naib Presiden bahagian kejuruteraan Google, Hiroshi Lockheimer.

"Ketika kami memperkenalkan Android menerusi satu telefon pintar pada 2008, kami tidak jangka ia akan berkembang hingga kini menjadi medan penghubung kepada lebih satu bilion pengguna.

"...dan kini kami sedang bekerjasama rapat dengan keseluruhan ekosistem merangkumi pengeluar TV, pengeluar perkakasan, penyedia perkhidmatan dan cip untuk menterjemahkan semula bagaimana sepatutnya sebuah ruang tamu rumah," kata Lockheimer.

Google memperkenalkan Android TV hujung tahun lalu tetapi menerusi sebuah kotak berasingan yang disambung kepada TV. Bagaimanapun, kini Android adalah sistem yang terbina dalam TV, jadi pengguna hanya perlukan satu saja alat kawalan jauh.

Android TV membolehkan carian menggunakan suara dan melaras secara automatik dengan Google Cast yang akan menyalurkan isi kandungan daripada telefon pintar dan tablet kepada skrin besar TV.

Bagaimanapun, Android akan berdepan saingan daripada Samsung yang mana mulai tahun ini akan menggunakan OS Tizen untuk TV pintar keluarannya. Langkah itu juga dilihat sebagai usaha Samsung untuk mengurangkan kebergantungan kepada Android yang kini digunakan dengan meluas pada peranti telefon pintar dan tablet.

Penganalisis di Forrester Thomas Husson, berkata hingga kini Samsung masih gagal mengurangkan kebergantungan kepada Android Google.

"Dengan memperkenalkan Tizen, Samsung berharap dapat menggunakan jalan pintas untuk menguasai pasaran dalam OS sebegitu. Untuk berjaya, Samsung bagaimanapun perlukan lebih banyak isi kandungan, usaha sama dan pembangun untuk mewujudkan isi kandungan dan perkhidmatan bagi mempertingkat ekosistem Tizen," katanya.

Dalam pada itu, LG pula mengumumkan akan menggunakan webOS untuk TV pintar keluarannya manakala Panasonic akan menggunakan Firefox Mozilla. - AFP

Kenapa Awie nak terus berdolak-dalik kalau sudah tahu ditipu ejen - Rozana Misbun


Kenapa Awie nak terus berdolak-dalik kalau sudah tahu ditipu ejen - Rozana Misbun Oleh Zaidi Mohamad

zaidim@bh.com.my


Awie bersama Rozana Misbun pada sesi fotografi BH, September 2013. - Foto Nashairi Mohd Nawi

KUALA LUMPUR: Rentetan komen Awie di BH Online sebelum ini, Rozana Misbun bersedia memberi kenyataan balik.

Namun beliau yang dihubungi sebentar tadi bukan bermaksud untuk mengeruhkan keadaan tetapi hanya menegakkan keadilan buat dirinya selama ini.

Lumrah dalam hal perdebatan sebegitu termasuk yang membabitkan masalah rumah tangga, masing-masing akan mempertahankan diri sekali gus cenderung memburukkan pihak yang satu lagi.

Rozana sudah tujuh bulan hidup tanpa nafkah seorang insan bernama suami. Hidupnya ibarat digantung tak bertali. Ikuti komen Rozana.

"Selepas kes saya dipukul Awie sekitar Jun lalu, saya ke pejabat agama di Kuala Lumpur untuk memfailkan perceraian sekitar Julai selepas hak saya sebagai ibu dinafikan untuk berjumpa dan menghubungi anak di sekolah melalui ex parte yang dia sendiri mulakan.

"Bertitik tolak untuk mendapatkan salinan surat nikah bagi urusan naik mahkamah lain pula cerita yang timbul apabila saya mendapat tahu perkahwinan kami tak didaftarkan secara sah. "Berpandukan surat nikah yang didaftarkan di Pulau Pinang, selepas siasatan dilakukan memang surat nikah perkahwinan saya dan Awie palsu.

"Nombor siri surat nikah itu turut digunakan pasangan lain. Ia memang bertindan. Tapi menurut kenyataannya sebelum ini jika dia sudah tahu sijil nikah itu palsu, takkan tak ada usaha untuk daftar pernikahan.

"Kenapa dia terus memperbodohkan mahkamah dan tidak mengaku saja sudah ditipu ejen. Kenapa nak terus berdolak dalik kalau sudah tahu sejak bulan lalu," kata Rozana.

Akui Rozana, beliau sendiri pelik kenapa Awie tidak mahu mendaftar surat nikah mereka secara sah selepas mengetahui yang sijil itu palsu.

"Saya tak nafikan memang pada awalnya saya takut untuk mendaftar perkahwinan kami secara sah. Tetapi lepas setahun kahwin dan kami siap bersanding bagai. Keluarga masing-masing pun datang memeriahkan majlis.

"Cuma apabila isu sijil nikah ini berbangkit, dia terus-terusan pusing sana pusing sini berlagak baik dan menuduh saya yang cuba mengaibkan anak.

"Kalau sudah sedar diri ditipu ejen belum terlewat lagi untuk memperbetulkan mengikut undang-undang dan tak perlu nak tuding jari salahkan orang.

"Kalau benar sayangkan anak bawa bincang elok-elok. Tapi tak ada usaha daripada pihaknya untuk bawa berbincang secara baik," katanya.

Rozana mempersoalkan komen Awie yang mengatakan dirinya tidak bertanggung jawab terhadap anak mereka sedangkan beliau sendiri yang disekat berhubung dengan anak-anak oleh penyanyi itu sendiri.

"Komunikasi saya dan anak-anak memang dihalang. Dia (Awie) buat undang-undang hanya dua jam saja masa saya dengan anak-anak untuk setiap Sabtu minggu pertama dan minggu ketiga. Berjumpa anak pula di rumahnya yang disewa sejak dulu.

"Orang gila saja sanggup serah nyawa ke tempat di mana dia pernah kena pukul. Siapa yang nak pisahkan anak sebenarnya. Kalau dia pertikai saya keluar rumah, saya keluar bukan suka-suka tapi atas faktor keselamatan diri," katanya.

Mengenai dakwaan Awie mengatakan beliau berlaku curang, Rozana enggan memberi komen lanjut.

"Biar satu hari nanti, kuasa Tuhan akan menunjukkan siapa yang curang sebenarnya. Jangan terlalu membuka aib dan menuduh orang kerana kelak aib dan segala tuduhan itu timpa balik kepada diri sendiri," katanya.

ABPBH 2014 kembali ke Arena Of Stars, Genting Highlands


ABPBH 2014 kembali ke Arena Of Stars, Genting Highlands Oleh Zaidi Mohamad

zaidim@bh.com.my


DATUK Mahfar Ali bersama barisan penaja ABPBH 2014. - Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Kehangatan Anugerah Bintang Popular (ABPBH) 2014 yang juga edisi ke-28 sudah mula dirasai.

Lebih bermakna anugerah kebanggaan akhbar kompak BH itu akan kembali berlangsung di lokasi yang sudah sinonim dengan acara berkenaan iaitu di Genting Highlands.

Selepas ABPBH 2012 dan 2013 masing-masing diadakan di Stadium Putra Bukit Jalil dan Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), acara yang dinanti-nantikan ramai itu kembali ke kedinginan kota keriangan berkenaan di Arena Of Stars.

Hal berkenaan diumumkan sebentar tadi di Balai Berita oleh Pengarang Kumpulan BH merangkap Penaung ABPBH 2014, Datuk Mahfar Ali. Elemen Cinta turut dipilih sebagai tema acara anugerah ini yang dijadualkan berlangsung pada 5 April depan.

"Kita tak pernah terfikir untuk menukar lokasi memandangkan Genting Highlands sudah 12 tahun dianjurkan di sana. Ternyata ramai yang mengakui prestij acara itu kebiasaannya terus dirasai ketika dilangsungkan di sana.

"Kebanyakan artis tak kira yang bertanding atau memeriahkan acara pun gemar naik ke Genting Highlands. Ia bagaikan sudah sebati dengan kita dan Alhamdulillah ABPBH 2014 akan kembali menghangatkan kedinginan kota keriangan tumpuan ramai itu," katanya kepada BH Online.

Perubahan lokasi yang berlaku katanya bersebab. Seperti ABPBH 2013, sepatutnya ia memang diadakan di Genting Highlands. Tiga siri jelajah ABPBH juga akan diadakan di tiga tempat dan pendekatan yang akan dilakukan turut menerap skop Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR).

"Seperti kita sedia maklum tahun lalu tragedi malang pesawat Penerbangan Malaysia (MAS), MH370 mengejutkan rakyat Malaysia dan kita sepakat untuk menunda ABPBH 2013 ke tarikh yang lain. Penundaan itu akhirnya memaksa kita mengubah lokasi acara.

"Tambahan pula slot di kota keriangan itu sudah penuh pada tarikh baharu dan pada masa yang sama dewan di sana dilakukan pengubahsuaian. Kita hanya mampu merancang," katanya.

Pada pertemuan di Balai Berita itu, Mahfar turut mengumumkan kerjasama kali kedua ABPBH dengan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA), Alam Flora, SWM Environment dan Environment Idaman.

Seperti tahun lalu tema Magis Alam bersesuaian dengan kerjasama yang terjalin. Bahkan tema Cinta yang dipilih pada tahun ini turut dilihat bertepatan dengan kerjasama kali kedua bersama empat syarikat berkenaan kerana cinta itu bersifat simbolik termasuklah cinta pada alam sekitar.

"Dengan bencana banjir yang dialami di beberapa negeri di Malaysia, kita percaya elemen cinta menerusi tema ABPBH ini dapat menerapkan lagi kasih sayang kita terhadap alam sekitar. Diharap apa yang berlaku tak akan berulang lagi dan menjejaskan lagi alam sekitar," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PPSPPA, Datuk Ab. Rahim Md. Noor berkata, kerjasama yang terjalin tahun lalu menerusi ABPBH 2013 meninggalkan impak yang besar terhadap masyarakat dalam memartabatkan kepentingan alam sekitar.

"Pihak kami tidak teragak-agak untuk menjalinkan kerjasama kali kedua ini dengan ABPBH kerana peluang untuk syarikat konsesi seperti kami mendekatkan diri dengan masyarakat sekali gus mendidik mereka mengenai kepentingan menjaga alam sekitar dapat dilaksanakan.

"Bahkan peranan media yang kita lihat dimainkan selama ini termasuk di Media Prima dalam menyedarkan masyarakat untuk mencintai alam sekitar juga jelas. Lihat saja acara CSR yang diadakan di beberapa tempat ketika jelajah berlangsung, ia sangat membanggakan.

"Malah menerusi pengaruh artis, usaha dan perjuangan kita itu juga jadi lebih berkesan. Ternyata impak artis dengan masyarakat itu cukup pantas," katanya.

PPSPPA pada masa yang sama turut menzahirkan rasa prihatin terhadap musibah banjir yang melanda di beberapa negeri.

Menerusi Persatuan Mata Hati Malaysia dengan kerjasama SWCorp dan Kolej Komuniti Kuantan, Paya Besar dan Pekan menganjurkan Program Recover Mata Hati bertempat di Pekan Pahang.

Fokus utama program ini bertujuan mengumpul barangan elektrik terpakai dan baru untuk didermakan kepada mangsa banjir.

Persatuan Mata Hati Malaysia ditubuhkan pada 20 November tahun lalu bagi menjelaskan konsep mata hati serta melihat semua kejadian serta peristiwa dengan hati yang insaf serta penuh kesedaran.

Untuk info lanjut mengenai program ini boleh e-mel ke matahatimalaysia@gmail.com

Sijil Nikah Palsu - Awie kesal Rozana sanggup aibkan anak


Sijil Nikah Palsu - Awie kesal Rozana sanggup aibkan anak Oleh Zaidi Mohamad

zaidim@bh.com.my


Awie

KUALA LUMPUR: "Jika tahu rumah saya sudah bocor, takkan saya nak biarkan sampai air masuk," demikian perumpamaan Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman saat mengulas isu sijil pernikahannya dengan Rozana Misbun yang dikatakan palsu.

Malah Awie turut mempersoalkan motif Rozana menimbulkan hal sijil pernikahan itu selepas sekian lama tanpa memikirkan kesan itu kepada tiga anak hasil perkongsian hidup mereka iaitu Putra Ahmad Merrah, 8, Putra Ahmad Rezzki, 7, dan Puteri Qasseh Antasha, 5.

Kata Awie, isu sijil pernikahan itu terpalit kepada anaknya yang tidak berdosa hingga ada yang mempersoalkan status kelahiran mereka.

"Kalau dia (Rozana) nak aibkan diri ini... saya tak kisah. Saya sudah terbiasa. Tapi jangan sentuh bab anak. Ibu apa yang sanggup mengaibkan anaknya sebegini rupa di saat mereka memerlukan kasih sayang daripada insan bergelar ibu dan bapa.

"Daripada hukum syarak perkahwinan saya dengannya di Songkhla, Thailand pada 20 Jun 2005 sah dan hanya sijil nikah saja yang palsu. Sebelum ini, saya yakin surat nikah itu sah kerana sepanjang berkahwin tidak pernah ada masalah mendapatkan sijil kelahiran tiga anak kami.

"Tapi tak sangka pula ejen yang menguruskan pendaftaran nikah kami itu menipu kami. Awalan perkahwinan kami memang saya tidak boleh pergi ke pejabat agama untuk menguruskan hal berkenaan kerana mengelak perkahwinan kami diketahui orang lain termasuk Arni Nazira (bekas isterinya). Tapi saya memang tertipu," katanya.

Tambah Awie lagi, sebelum Rozana pergi memeriksa sijil kahwin kami palsu atau tak, Awie terlebih dulu sudah memeriksanya dengan ke Pulau Pinang kerana ejen yang terbabit menguruskan pendaftaran kahwin mereka melakukan urusan berkenaan di sana.

"Cop sijil perkahwinan kami memang di Malaysia cuma nombor siri saja bertindan dengan pasangan kahwin lain. Jika saya tahu akan masalah ini dari awal kenapa perlu saya sorok. Bahkan sejak awal lagi saya ingin buat pengesahan dan mendaftarkan pernikahan kami.

"Tetapi dia halang kerana bimbang berita berkenaan akan diketahui umum sekali gus sampai kepada pengetahuan keluarganya. Dia siap pernah minta supaya diceraikan selepas berita perkahwinan rahsia kami terbongkar di Internet menimbulkan kekecohan," katanya.

Jelas Awie soal untuk menceraikan Rozana tidak pernah terlintas langsung pada fikirannya hingga saat ini sekalipun hatinya sudah bengkak. Bagi Awie apa yang lebih penting ketika ini ialah kebajikan anak mereka terjaga selain mempertahankan haknya sebagai bapa.

"Selama sembilan tahun saya boleh bertahan dengannya biarpun tahu dia wanita yang bagaimana. Sudahlah merampas kebahagiaan bekas isteri saya dan melakukan perkara yang banyak menundukkan diri saya seperti orang bodoh jadinya, dia masih tak sedar diri.

"Dia selalu cakap rindukan tiga anak kami sedangkan sepanjang enam bulan lalu dia langsung tak melawat mereka apatah lagi menghubungi. Ibu jenis apa gamaknya dia ini," kata Awie yang ditemui malam semalam ketika pementasan Sirah Rasulullah Tahajjud Cinta di Panggung Sari Istana Budaya.

Xiaomi mahu atasi Apple, sasar jadi pemain nombor satu global


Xiaomi mahu atasi Apple, sasar jadi pemain nombor satu global

SHANGHAI: Xiaomi, pengeluar telefon pintar dari China menyasarkan menjadi pemain utama dunia dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.

Pengasas syarikat, Lei Jun, berkata dalam tempoh itu Xiaomi akan berpeluang menjadi pengeluar telefon pintar nombor satu dunia.

Kini, Xiaomi adalah antara pemain utama dalam pengeluaran telefon pintar China menerusi produk berprestasi tinggi pada harga murah.

Dalam tempoh kurang lima tahun, Xiaomi kini adalah pengeluar telefon pintar ketiga terbesar dunia di belakang Apple dan Samsung, menerusi jualan 17.3 juta telefon pintar pada suku ketiga 2014, mengikut data dikumpul International Data Corp (IDC).

Xiaomi mengumumkan jualan lebih 61 juta telefon pintar tahun lalu, naik 227 peratus daripada 2014 dengan pendapatan meningkat lebih sekali ganda kepada AS$12 (RM42.2) bilion.

Bagaimanapun, pengkritik mendakwa Xiaomi sekadar meniru iPhone Apple kerana perundangan mengenai perlindungan harga intelek masih agak lemah di China.

Apple tidak pernah mengambil tindakan undang-undang terhadap Xiaomi tetapi naib presiden bahagian rekaan Apple, Jony Ive, dalam temuramah dengan Wall Street Journal ada menyebut sedikit mengenai persamaan itu dan menganggapnya sebagai 'mencuri'.

Xiaomi yang berpangkalan di Beijing, hanyalah sebuah syarikat pemula pada 2010 di Zhongguancun iaitu Lembah Silikon China dan kini menjadi sebuah firma gergasi bernilai AS$45 (RM158) bilion selepas meraih modal baharu bulan lalu, yang mana antara pelaburnya adalah Jack Ma, pengasas Alibaba, firma e-dagang China.

Sebagai usahawan dan pelabur budiman, Lei mempunyai beberapa syarikat dan pelaburan yang berjaya termasuk pembangun perisian Kingsoft dan perucit online, Joyo.com yang dibeli oleh Amazon.

Dalam usahanya menjadi pemain utama global, Xiaomi kini menggajikan kakitangan daripada syarikat terkemuka dunia termasuk Microsoft, Motorola dan Yahoo, yang mana presiden syarikat, Lin Bin dan naib presiden operasi global, Hugo Barra daripada Google.

Di China, Xiaomi di tangga kedua dengan 13.5 peratus bahagian pasaran telefon pintar domestik, mengikut firma perunding Analysys International. Samsung di nombor satu dengan 15.4 peratus bahagian pasaran dan Apple (6.9 peratus).

Telefon pintar Xiaomi secara asasnya hampir separuh lebih murah berbanding iPhone. Model spesifikasi tertingginya, Mi 4 dengan 64G memori dijual pada AS$410 (RM1,441), hampir separuh kurang daripada AS$998 (RM3,508) iPhone 6 dengan spesifikasi sama. Model asas Xiaomi Redmi 2 pula hanya dijual pada AS$115 (RM404).

Walaupun Xiaomi adalah pemain utama di China, penganalisis berpendapat isu paten dan jenama yang tidak kuat di luar China adalah antara halangan untuk Lei mencapai impiannya menjadikan Xiaomi, pemain nombor satu dunia. - AFP

DLP InfoWatch bantu organisasi lindungi data peribadi pengguna


DLP InfoWatch bantu organisasi lindungi data peribadi pengguna Oleh Mohd Zaky Zainuddin

zaky@bh.com.my


Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan InfoWatch, Natalya Kaspersky.

InfoWatch, pengeluar produk Pencegahan Kebocoran Data (DLP) menutup tirai 2014 dengan tiga pelanggan baharu termasuk sebuah firma telekomunikasi manakala 15 lagi projek perintis yang sedang dilaksanakan mendapat maklum balas positif daripada bakal pelanggan.

Firma itu yang memasuki pasaran Malaysia pada 2013, mencatat peningkatan permintaan yang mendadak terhadap produk DLP berikutan pelaksanaan Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA) di Malaysia.

Pasaran keselamatan teknologi maklumat menunjukkan pertumbuhan stabil pada 2014 terutama dalam segmen keselamatan mudah alih, perkomputeran awan dan DLP.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan InfoWatch, Natalya Kaspersky, berkata masalah pengintipan menerusi peranti elektronik dan pengumpulan maklumat pengguna tanpa izin untuk kegunaan tertentu akan terus menjadi isu yang tiada berkesudahan selain peningkatan serangan terhadap peranti mudah alih.

InfoWatch kini sedang membangunkan teknologi baharu untuk perlindungan data pada peranti mudah alih yang diharap dapat dipasarkan tahun ini. Ujian ke atas penyelesaian baharu itu, InfoWatch Targeted Attack Detector, turut dibangunkan untuk memberikan amaran awal.

"Bagi InfoWatch, 2014 adalah tahun pertumbuhan dan kejayaan. Kami berjaya menembusi beberapa pasaran antarabangsa baharu seperti Amerika Latin, beberapa bahagian Afrika dan Turki.

"Pertumbuhan dan penerimaan produk kami di Malaysia memang di luar jangkaan dan kami memperoleh pelanggan dalam industri penting yang menyimpan data peribadi dalam jumlah besar iaitu telekomunikasi, kewangan dan penyedia perkhidmatan teknologi maklumat," katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Ketua Rantau Asia Pasifik InfoWatch, Renga Nathan, berkata produk DLP InfoWatch terbukti dapat meningkatkan kesedaran mengenai isu DLP, sejajar penerimaan Malaysia terhadap undang-undang Perlindungan Data Peribadi yang lebih ketat pada 2013.

"Sebagai pemain baharu di negara ini, kami bergerak dengan agresif dan pantas dalam sektor swasta iaitu telekomunikasi dan kewangan. Kini, kami sedang bekerjasama erat dengan sektor awam dan yakin akan memperoleh pelanggan daripada pihak kerajaan pada tahun ini.

"PDPA membawa manfaat besar kepada seluruh rakyat Malaysia kerana ia meletakkan beban kepada organisasi supaya menjaga hak privasi dan data peribadi dengan lebih baik. Kami dapati banyak organisasi sekarang mula mengambil langkah proaktif mencari penyelesaian seperti produk kami bagi memelihara data peribadi pelanggan mereka," katanya.

Zizan Razak akui banyak silap dengan Emma Maembong


Zizan Razak akui banyak silap dengan Emma Maembong Oleh Zaidi Mohamad

zaidim@bh.com.my


Emma Maembong dan Zizan Razak.

KUALA LUMPUR: Akhirnya Zizan bersuara mengenai punca perpisahannya dengan Emma Maembong yang mencuri perhatian ramai beberapa hari lalu.

Emma sebelum ini mengakui banyak memendam rasa dan makan hati dengan sikap Zizan.

Percintaan mereka selama dua tahun akhirnya berakhir kerana Emma tidak mampu lagi bertolerasi dengan Zizan. Zizan turut menjelaskan punca perpisahan mereka bukan semata-mata kerana keinginannya untuk membeli kereta sport tetapi berbalik kepada sikap dirinya sendiri.

Zizan yang dihubungi sebentar tadi menjelaskan apa yang terjadi berpunca daripada kekhilafan sikapnya sendiri.

"Saya banyak buat silap dengannya dan ada kala terabai perhatian hingga membuatkan dia memendam rasa. Kesibukan kerja membuatkan saya ada kalanya tak dapat berjumpa dengannya. Biasalah wanita memang nak perhatian.

"Sebab itu juga Islam letak kuasa perceraian kepada lelaki bernama suami. Jadi ia jelas menggambarkan situasi kami. Cuma kami belum berkahwin. Tapi saya mahu minta maaf banyak banyak kepada dia kerana kesilapan semua berpunca dari diri ini.

"Saya berharap untuk kembali kepadanya. Insya-Allah akan cuba memenangi hatinya semula. Dan saya berharap orang di luar sana termasuk peminat mendoakan hubungan kami kembali bersatu," katanya.

Tambah Zizan lagi salah satu sikap Emma yang membuatkan beliau tertawan ialah sikap kesederhanaan.

"Saya puji sikapnya itu. Kami sebenarnya ada berborak dan saya menyatakan keinginan untuk membeli kereta sporty. Tetapi dia tak suka saya membazir dan bermewah. Saya ini memang bab kereta akan tewas," katanya.

Sirah Rasulullah Tahajjud Cinta kumpul RM80,000 untuk mangsa banjir


Sirah Rasulullah Tahajjud Cinta kumpul RM80,000 untuk mangsa banjir Oleh Zaidi Mohamad

zaidim@bharian.com.my


Pengarah teater Sirah Rasulullah Tahajjud Cinta, Erma Fatima pada sidang akhbar mengumumkan kutipan hasil jualan tiket yang akan disumbangkan untuk Tabung Bencana Banjir NSTP - Media Prima di Istana Budaya. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

KUALA LUMPUR: Usaha murni produksi pementasan teater drama muzikal, Sirah Rasulullah Tahajjud Cinta arahan Erma Fatima membantu mangsa bencana banjir yang melanda di beberapa negeri tercapai malam tadi dan berjaya mengutip RM80,000.

Jumlah itu diperoleh menerusi jualan tiket pementasan teater Islamik berkenaan untuk malam akhir yang dipentaskan malam tadi di Panggung Sari Istana Budaya.

Malah hari yang sama pada sebelah siang di Istana Budaya turut dianjurkan sesi menderma wang tunai dan pengumpulan barangan keperluan untuk mangsa banjir.

"Alhamdulillah biarpun kita mensasarkan RM100,000 ke RM120,000, jumlah RM80,000 itu sudah cukup besar untuk membantu mangsa banjir.

"Terima kasih kepada yang datang menonton dan menderma pada pementasan malam akhir. Kita akan serahkan kutipan Tabung Mangsa Banjir itu secepat mungkin. Sasaran kita ialah untuk mangsa banjir di Pahang," kata Datin Seri Umie Aida.

Ditanya mengenai pementasan teater Islamik berkenaan, Umie menyifatkan ia masih berjaya biarpun mendapat sambutan skala sederhana saja daripada peminat teater.

"Sejak tiga tahun berturut turut pementasan ini diadakan, sambutan yang diterima pada tahap biasa saja. Tak begitu menyerlah.

"Mungkin dengan pelbagai masalah yang melanda negara selain awal tahun banyak perbelanjaan perlu digunakan untuk persekolahan, ia sedikit sebanyak menjejaskan sambutan.

"Apapun terima kasih kepada semua pelakon dan penyanyi yang terbabit untuk pementasan malam akhir kerana dengan rela hati melakukannya kerja mereka tanpa bayaran. Satu sen pun tak dibayar untuk mereka pada malam akhir," katanya.

Turut hadir pementasan akhir teater berkenaan ialah bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Konsert Wings Menakluk Kosmos di Terengganu ditunda


Konsert Wings Menakluk Kosmos di Terengganu ditunda


KUALA LUMPUR 10 December 2014. Kumpulan Wings pada sidang media Konsert Wings Menakluk Kosmos di Hotel Premiera. NSTP/Nur Adibah Ahmad Izam

KUALA LUMPUR: Lokasi kedua konsert Wings Menakluk Kosmos yang dijadualkan berlangsung di Stadium Tertutup Kuala Terengganu, pada 9 Januari ini ditunda ke 6 Mac depan.

Ia diputuskan sendiri oleh Anggerik Event, penganjur konsert berkenaan.

Penangguhan itu tidak dapat dielakkan kerana Terengganu antara negeri yang teruk dilanda banjir.

Pihak produksi konsert dan kumpulan Wings berharap keadaan banjir akan kembali pulih dengan segera dan mangsa banjir akan terus kuat menempuhi dugaan ini.

Terdahulu lokasi pertama konsert di Tapak Ekspo Seberang Jaya, Pulau Pinang berlangsung seperti biasa biarpun timbul khabar angin konsert itu dibatalkan.

Ini berikutan gesaan pihak tertentu yang tidak mahu sebarang acara hiburan dilangsungkan bagi menghormati mangsa bencana banjir yang melanda di beberapa negeri ketika ini.

Beri saya ruang sekejap - Zizan Razak


Beri saya ruang sekejap - Zizan Razak Oleh Zaidi Mohamad

zaidim@bh.com.my


Zizan Razak. - Foto Syaharim Abidin

KUALA LUMPUR: Usaha mendapatkan reaksi Zizan Razak mengenai perpisahannya dengan Emma Maembong berjaya diperoleh malam tadi.

Beliau hadir menonton pementasan malam akhir Sirah Rasulullah Tahajjud Cinta di Istana Budaya.

Sebelum itu usaha mendapatkan kenyataannya menerusi telefon tidak berjawab. Ruang pertemuan empat mata di Istana Budaya dimanfaatkan sebaik mungkin.

"Saya tak nak komen apa-apa. Saya tak selesa lagi memberi kenyataan. Beri saya ruang sekejap.

"Apa-apa saya akan beritahu kemudian. Cuma buat masa sekarang saya tak merancang untuk memberi apa-apa komen.

"Saya tahu awak buat kerja (merujuk kepada wartawan). Setakat ini memang saya tak boleh jawab apa-apa. Saya ok," katanya yang ternyata mahu mengelak memberikan reaksi perpisahan yang diumumkan Emma Maembong.

Di saat kisah peribadinya menjadi perhatian pada awal tahun baharu 2015, kesnya dengan bekas syarikat turut berjalan saat ini di mahkamah.

Ibarat jatuh ditimpa tangga, Zizan diuji dengan dugaan demi dugaan. Akuinya beliau percaya semua ini aturan daripada Yang Maha Esa.

"Saya percaya semua ini terjadi ada hikmah tertentu. Apa yang baik atau sebaliknya semua kehendak-Nya.

"Yang buruk itu datangnya daripada saya dan baik itu daripada-Nya. Kita manusia harus kuat melaluinya," katanya.

Mengenai kes mahkamahnya dengan bekas syarikat pengurusan, beliau memberitahu mahu cari jalan penyelesaian terbaik.

"Kalau boleh saya tak nak panjangkan cerita. Kita nak selesai cari baik tapi pihaknya (bekas pengurusan) masih nak bawa hal ini ke mahkamah.

"Ada perkara sulit dan peribadi yang tak boleh saya cerita. Dulu masa buka syarikat bersama sama tak heboh pun jadi kenapa timbul hal begini perlu dikecohkan.

"Saya tak berhak cakap lebih. Ikut saja cakap yang lebih arif iaitu pihak peguam," katanya.

Dua pengguna saman Apple jutaan dolar


Dua pengguna saman Apple jutaan dolar

SAN JOSE: Dua pengguna menyaman Apple Inc atas dakwaan mengelirukan mereka mengenai jumlah ruang simpanan yang digunakan oleh sistem operasi iOS 8 dalam iPhone, iPod dan iPad.

Keadaan itu menambah lagi masalah terhadap produk baharu itu yang pengenalannya dipenuhi pelbagai rintangan dan masalah.

"Apple, syarikat teknologi paling bernilai di dunia tidak memberitahu pengguna bahawa '23.1 peratus daripada kapasiti simpanan yang diiklankan di peranti yang akan digunakan oleh iOS 8," kata kedua-dua lelaki dari Florida, Amerika Syarikat (AS) dalam tuntutan saman yang difailkan di Mahkamah Persekutuan San Jose, California.

Mereka berkata, Apple menggunakan kekurangan ruang simpanan itu untuk menggalakkan pengguna menggunakan sistem penyimpanan iCloud yang dikenakan bayaran.

"Apple memberikan kapasiti simpanan kurang daripada diiklankan, bertujuan menjual kapasiti simpanan itu dalam situasi terdesak, contohnya, apabila pengguna cuba merakam atau mengambil gambar kanak-kanak atau ketika bacaan doa untuk cucu, permainan bola keranjang atau perkahwinan," kata Paul Orshan dan Christopher Endara dalam aduan mereka.

Kedua-duanya meminta untuk mendapatkan ganti rugi jutaan dolar bagi pihak pengguna peranti mudah alih Apple di seluruh negara.

Apple dikatakan mencatat rekod jualan 10 juta iPhone pada hujung minggu pelancaran model terbaharunya September lalu, tetapi kejayaan itu terjejas oleh perisian iOS terkini yang menyebabkan perkhidmatan selular kurang upaya.

Pengguna juga mengadu ciri bacaan cap jari tidak berfungsi selepas kemas kini dan sistem operasi itu didapati menyebabkan aplikasi popular lebih kerap bermasalah berbanding sistem operasi sebelumnya.

Apple telah menarik balik kemas kini itu dan menggantikannya pada 25 September. - BLOOMBERG

Kanak-kanak hilang ditemui mati


Kanak-kanak hilang ditemui mati

PANTAI REMIS: Seorang kanak-kanak berusia setahun yang dilaporkan hilang dari rumah neneknya di Kampung Pulau Kabung, Batu 36, Jalan Sitiawan dekat sini petang semalam, ditemui sudah meninggal dunia pagi tadi.

Mayat Mohammad Aqeef Darus Haraz Gilbert yang berusia setahun enam bulan, ditemui kira-kira jam 10.30 pagi oleh orang ramai, lebih kurang 50 meter dari rumah neneknya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pantai Remis, Amir Ahmad berkata, mangsa sebelum itu disedari hilang oleh ahli keluarganya kira-kira jam 5 petang sebelum menghubungi talian kecemasan bagi memaklumkan kejadian itu.

Katanya, pihaknya menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) petang semalam hingga malam tadi tetapi tidak menemui mangsa.

"Operasi SAR diteruskan pagi ini dengan sepasukan anggota melakukan pencarian di sepanjang permukaan Sungai Beruas Kampung Pulau Kabung hingga ke Pantai Remis," katanya.

Beliau berkata, operasi itu turut disertai pasukan unit anjing pengesan (K-9) selain meneruskan pencarian di kawasan hutan berhampiran dan sepanjang pesisiran sungai.

Katanya, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Saya takkan kahwin senyap-senyap - Shahir


Saya takkan kahwin senyap-senyap - Shahir Oleh Zaidi Mohamad

zaidim@bh.com.my

Ahmad Shahir Zawawi. - Foto Aziah Azmee

KUALA LUMPUR: Istilah 'menghilangkan diri' sudah agak sinonim dengan empunya badan, Shahir.

Juara Akademi Fantasia musim kelapan itu sebenarnya mempunyai bakat dan peminat yang ramai tetapi sayang apa yang dilakukannya seakan-akan mempersiakan apa yang dimilikinya.

Hampir dua tahun menghilang, Shahir pernah membuat kemunculan semula pada Oktober 2013 apabila menjayakan acara sukan di Sports Planet Ampang.

Tahun lalu juga namanya bolos untuk kategori Penyanyi Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH 2013.

Kehilangannya dulu menimbulkan pelbagai spekulasi. Antara cerita yang timbul ialah beliau tidak diberi perhatian oleh syarikat pengurusan, sikap Shahir sendiri yang kurang berdisiplin, dirinya terkena buatan orang dan membabitkan diri dengan kumpulan keagamaan.

Turut sama menyokong kehilangan beliau ialah kononnya membawa diri kerana kecewa apabila cintanya dengan seorang pelakon yang kini sudah bergelar isteri dan ibu. November tahun lalu, Shahir dikatakan mengulangi lagi perkara yang sama.

Lagu dendangan Shahir yang mara ke separuh akhir Muzik Muzik 2014, Dia Yang Kau Pilih tidak dinyanyikan beliau sendiri tetapi juara Akademi Fantasia 2013 (AF 2013), Faizul Sany mengambil alih tempatnya.

Malam semalam, BH Online berjaya menghubungi penyanyi lagu Kebahagiaan Dalam Perpisahan itu menerusi aplikasi WhatsApp. Shahir berada di kampung halamannya, Perak selain sibuk dengan perniagaan yang diceburi.

Bagaimanapun Shahir enggan mendedahkan skop perniagaannya.

"Saya tak pernah menghilang pun. Cuma sibuk dengan perniagaan dan apabila saya tidak aktif menyanyi... itu yang buat orang menyangka saya tak aktif. Ibaratnya... hilang lagi. Saya masih wujud dan kebiasaannya ada di Perak bersama keluarga.

"Mungkin orang tak faham. Mungkin bagi mereka di luar sana sangkakan saya bekerja dalam industri seni semata-mata. Sedangkan saya punya tanggungjawab lain di luar dunia seni. Saya buat semua ini bukan sekadar ala kadar.

"Saya tak mahu nanti yang dikejar tak dapat yang dikendong berciciran. Jadi saya fokus satu persatu.

"Saya sudah terbabit dalam dunia perniagaan ini dan tak boleh nak tinggal atau bersikap sambil lewa. Biarlah perniagaan ini benar-benar stabil dulu," katanya yang menekankan selama 'menghilangkan diri' itu bidang perniagaanlah yang diusahakan.

Menurut Shahir, beliau tak boleh meletakkan 100 peratus dalam bidang seni semata-mata.

"Suara ini hanya pinjaman. Kalau Tuhan nak tarik bila-bila masa saja ia boleh terjadi. Tuhan beri nikmat itu ada sebabnya dan saya harus sentiasa beringat. Sebelum Tuhan tarik nikmat itu pandai-pandailah kita jaga pemberian-Nya. Lalu saya ceburi bidang perniagaan sebagai jaminan," katanya sambil menegaskan perniagaan itu sunnah Rasulullah.

Terlanjur berbual dengannya, Shahir turut ditanya mengenai isi hatinya kini. Beberapa bulan kebelakangan ini, Shahir pernah dikaitkan dengan Erra. Tetapi jelas hubungan mereka hanya atas paksi kawan.

"Saya belum berpunya. Insya-Allah kalau ada jodoh, saya tak akan kahwin senyap-senyap. Saya takkan buat begitu... Insya-Allah. Ada rezeki, saya akan jemput Jaydee (merujuk kepada penulis)," katanya.

Sampai bila nak makan hati - Emma Maembong


Sampai bila nak makan hati - Emma Maembong Oleh Zaidi Mohamad

zaidim@bh.com.my


Saat bahagia Zizan Razak dan Emma Maembong. - Foto Syaharim Abidin

KUALA LUMPUR: Hikayat cinta Zizan Razak dan Emma Maembong yang terlerai baru-baru ini mengejutkan ramai pihak.

Di saat ramai yang menanti tarikh hari bahagia mereka, kebahagiaan yang diharap terus berpanjangan berakhir juga.

Usaha menghubungi Emma beberapa kali sejak pagi tadi hanya berjawab petang ini. Namun Zizan yang dihubungi tidak langsung memberi maklum balas.

Ikuti komen Emma mengenai perpisahannya dengan Zizan. Mereka menjalinkan cinta sejak dua tahun lalu.

"Saya reda dengan apa yang terjadi. Keluarga saya sendiri tidak tahu mengenai berita ini dan mungkin hanya tahu melalui berita yang dikeluarkan wartawan saja.

"Mungkin selama ini orang melihat kami sebagai pasangan yang 'sweet' tetapi mereka tak tahu apa yang saya lalui.

"Jika asyik berendam air mata saja buat apa diteruskan hubungan ini. Sampai bila saya nak makan hati," kata Emma.

Menurut Emma, hubungan beliau dengan Zizan sudah lama goyang. Cuma baru-baru ini saja beliau nekad membulatkan keputusan meninggalkan Zizan.

Muat turun klip lagu Kelly Clarkson berjudul Already Gone di laman Instagram miliknya jelas membuktikan apa yang diharap tidak berkesudahan dengan baik.

"Saya tak benci atau mahu memusuhi Zizan. Malah saya akan terus menyokongnya sebagai kawan. Mungkin perpisahan ini akan ada yang menyalahkan saya sebagai punca. Terpulang. Ada benda yang saya sudah tidak mampu lagi bertoleransi dengannya

"Tak apalah orang tak tahu apa yang saya lalui. Biarlah. Dunia seni ini pun kecil dan pusing pusing akan jumpa dia juga," katanya.

Emma juga menyangkal jika ada yang menuduh dia sudah mengikis duit Zizan dan kemudian tergamak meninggalkan lelaki itu

"Saya berani bersumpah selama kenal dia, saya tak pernah guna atau kikis duit dia. Saya sendiri bekerja dan ada pendapatan. Kalau dari awal saya nak kikis duit orang lebih baik saya cari lelaki yang lebih kaya.

"Tapi saya cintai dia selama ini ikhlas dan pada satu tahap saya sudah tak mampu bertahan lagi dengan sikapnya;" katanya.

Khairy minta MOM, KOM bincang segera selesai isu maraton


Khairy minta MOM, KOM bincang segera selesai isu maraton


Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar

SEREMBAN: Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar meminta Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) agar mengadakan perbincangan bersama dengan segera mengenai penganjuran Maraton Antarabangsa Malaysia (MIM) 2015.

Katanya, ini kerana KOM berada di bawah MOM dan tidak semestinya kedua-dua badan itu bermasalah disebabkan oleh satu acara sukan.

"Jadi, saya minta mereka berbincang dengan baik dan dapat penyelesaian 'winwin situation'. Tak perlu saya selesaikan masalah yang agak kecil ini.

"Ini lebih kepada masalah personaliti. Saya minta mereka mengetepikan apa sahaja masalah personaliti dan mereka bincang untuk menjayakan acara ini," katanya kepada pemberita selepas majlis pelepasan konvoi bantuan mangsa banjir pantai timur oleh Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan di sini, hari ini.

Konvoi berkenaan disertai lebih 300 sukarelawan terdiri daripada anggota Kerajaan Negeri Sembilan di bawah Persatuan Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PPTD), Umno Negeri Sembilan dan anggota Askar Wataniah 508 Kem Rasah.

Khairy berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan MOM yang akan meneruskan rancangan menganjurkan MIM 2015 pada 23 dan 24 Mei di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang, walaupun tidak mendapat pengiktirafan KOM.

KOM dikatakan meminta RM3 juta daripada MOM untuk dibayar kepada Persekutuan Olahraga Antarabangsa sebagai kos menganjurkan acara bersempena sambutan ulangtahun ke-60 MOM itu.

Sebaliknya, Naib Presiden MOM Datuk Danyal Balagopal Abdullah berkata mereka tidak memerlukan persetujuan KOM untuk menganjurkan acara itu kerana mendapat kelulusan Kementerian Belia dan Sukan, Persatuan Olahraga Pulau Pinang dan Kerajaan Pulau Pinang.

Dalam perkembangan lain, Khairy yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO berkata keadaan pasca banjir di Kelantan masih tidak menentu dari segi tahap kesihatan dan kebersihan.

Beliau yang baru pulang dari Kelantan semalam bagi lawatan kedua berkata, ini kerana banyak kawasan yang terjejas banjir masih tidak mempunyai bekalan air dan elektrik sekali gus membantutkan usaha pembersihan.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan sukarelawan yang terbabit dengan kerja pembersihan pasca banjir agar mengambil langkah berjaga-jaga yang serius bagi mengelak penyakit berjangkit. - BERNAMA

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Rujukan