Cari Artikel

Wednesday, July 9, 2014

Anzalna Tak Mahu Dikatakan Syok Sendiri


Anzalna Tak Mahu Dikatakan Syok Sendiri


Mula aktif dalam lapangan seni semenjak tahun 2011, pelakon drama bersiri ‘Love You Mr. Arrogant’, Anzalna Nasir menyatakan yang pada mulanya, dia tidak mempunyai kelab peminat berbanding artis-artis lain yang seangkatan dengannya. Anzalna mengakui dirinya segan dan enggan dilabel sebagai syok sendiri jika mempunyai kelab peminat.

“Sewaktu awal kemunculan dalam bidang seni dahulu, ada yang mencadangkan supaya saya menubuhkan kelab peminat. Saya tidak mengambil endah perkara tersebut kerana saya sendiri rasa segan. Saya tidak mahu syok sendiri. Dalam hati saya berkata, adakah saya benar-benar punya peminat atau pun sebaliknya,” ujar Anzalna memulakan bicara.

Anzalna Tak Mahu Dikatakan Syok Sendiri


“Tetapi saya tetap mendapat permintaan untuk mengadakan majlis bertemu peminat menerusi laman sosial. Mereka sering memujuk saya untuk menubuhkan kelab peminat. Melihat kepada sokongan peminat semenjak awal kemunculan saya sehingga kini, tertubuhlah ‘Anzalna Nasir Lovers’ (ANL), hasil usaha peminat-peminat saya sendiri.

Mereka merancang mahu mengadakan pertemuan dengan saya semenjak beberapa bulan lalu. Akhirnya perancangan itu menjadi kenyataan pada bulan Ramadan ini,” katanya ketika ditemui di majlis berbuka puasa bersama ANL di Delicious St Mary Place, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Anzalna Tak Mahu Dikatakan Syok Sendiri


Mengakui yang majlis itu terjadi atas usaha kelab peminatnya, perancangan acara diuruskan sepenuhnya oleh ahli-ahli ANL. Pelakon filem ‘Kahwin 5’ ini juga menyatakan rasa terharunya atas usaha yang dilakukan oleh kelab peminatnya itu.

Buat Kerja Amal Sepanjang Ramadan


Bersempena dengan kedatangan bulan mulia ini, Anzalna mengurangkan aktiviti seninya. Pelakon drama bersiri ‘Ramadan Terakhir’ ini menumpukan fokusnya untuk menghadiri acara-acara seperti majlis berbuka puasa dan di samping itu, Anzalna juga merebut peluang untuk melakukan kerja-kerja amal.

“Sepanjang tahun saya sibuk dengan penggambaran, jadi pada bulan Ramadan ini adalah waktu untuk saya merehatkan diri. Saya sudah terlebih dahulu berjanji dengan diri sendiri, sempena datang bulan Ramadan, saya mahu kurangkan aktiviti seni dan saya mahu melakukan kerja-kerja amal,” katanya yang baru-baru ini turun padang melawat Rumah Orang Tua Al-Ikhlas Puchong bersama sebuah organisasi.

“Apabila saya masuk saja ke sana, hati saya rasa sayu melihatkan keadaan penghuni di sana dan saya terus terfikirkan ibu bapa saya. Saya terfikir mengenai warga emas yang tidak di jaga oleh anak-anak mereka dan saya membayangkan perkara yang sama berlaku kepada ibu bapa saya. Saya sebak bila terfikirkan perkara itu dan saya sendiri takkan benarkan perkara itu berlaku,” katanya.

“Walaupun sumbangan saya kecil sahaja, apa yang saya boleh buat adalah dengan melawat mereka dan membuatkan mereka rasa gembira, walaupun sekejap. Ada seorang mak cik yang membuatkan saya menangis. Dia sakit dan terlantar, tetapi dia sempat berpesan kepada saya untuk menemuinya terlebih dahulu pulang. Jadi, sebelum saya pulang, saya bertemunya dan dia memandang saya dengan perasaan sedih lalu menangis. Saya pun gagal mengawal sebak lantas saya juga turut sama menangis,” ceritanya lagi.

Bakal meneruskan aktiviti seumpama ini, Anzalna mempunyai perancangan untuk melawat kanak-kanak pesakit kanser dalam usahanya untuk meneruskan aktiviti amal sepanjang Ramadan. Mengenai perkembangan terbaru, drama lakonan Anzalna bersama Kamal Adli dan Shukri Yahaya, ‘Yang Mana Satu’ akan bersiaran di TV3 pada Syawal ini.


Amar Asyraf Dah Jadi Bapa


Amar Asyraf Dah Jadi Bapa


Pelakon yang mencipta nama melalui drama bersiri 'Setia Hujung Nyawa', Amar Asyraf kini bergelar bapa. Amar berkongsi berita gembira ini menerusi akaun Instagramnya apabila memuat naik fotonya sedang mendukung bayi lelakinya.

Amar Asyraf Dah Jadi Bapa


Berdasarkan waktu yang tertera di foto terbabit, berkemungkinan isteri Amar, Arna Salleh selamat bersalin pada tengah malam tadi di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur. Tahniah GUA ucapkan kepada Amar dan isteri!

Amar Asyraf Dah Jadi Bapa


Kredit foto : Instagram Amar Asyraf

Ziana Zain Berhijab Hanya di Bulan Ramadan


Ziana Zain Berhijab Hanya di Bulan Ramadan


Sebaik bermula Ramadan tahun ini, peminat dunia hiburan dikhabarkan dengan perubahan imej Neelofa. Tidak lama selepas itu, Datin Paduka Umie Aida pula mengumumkan dia telah berhijab.

Baru-baru ini penyanyi popular Ziana Zain pula dikatakan telah mengenakan hijab setelah beberapa gambarnya tersebar di internet. Bagaimanapun, GUA gagal menghubungi penyanyi ini untuk mendapatkan komen lanjut.

Ziana Zain Berhijab Hanya di Bulan Ramadan


Hari ini sebuah portal hiburan menyiarkan komen Ziana berhubung imej barunya itu. Jelas penyanyi bersuara lantang ini, sudah menjadi kebiasaannya mengenakan hijab bagi menghormati bulan Ramadan. Sebelum ini,Ziana juga pernah berkongsi bahawa setiap kali dia menghantar atau menjenguk anak sulungnya yang bersekolah di sekolah agama, dia pasti akan mengenakan tudung atau selendang.

Ziana Zain Berhijab Hanya di Bulan Ramadan

Neelofa Mohon Allah Kuatkan Semangat


Neelofa Mohon Allah Kuatkan Semangat


Perubahan Neelofa memang mengejutkan ramai pihak. Pada mulanya ramai yang tidak percaya dengan berita yang tersebar. Maklumlah, Neelofa atau panggilan mesranya Lofa sedang mengecapi nikmat populariti ketika ini. Bagaimanapun, kemunculannya dalam program Meletop akhirnya meyakin peminat-peminat bahawa Neelofa memang sudah mengenakan hijab.

Dalam satu kenyataannya kepada pihak media, Neelofa ada menjelaskan yang dia mengambil keputusan memakai tudung atas kerelaannya sendiri, bukan kerana desakan sesiapa. Namun, heroin 'Lemak Kampung Santan' ini enggan mendedahkan sebab sebenar dia memakai tudung.  

Neelofa Mohon Allah Kuatkan Semangat


Setelah seminggu dengan imej baru, Lofa akhirnya tampil berkongsi cerita tentang penghijrahannya dalam satu program di Radio Ikim FM. GUA pasti ramai yang sudah mendengar rakaman program ini, tetapi bagi anda yang belum berkesempatan mendengar apa yang diperkatakan oleh Lofa, di sini GUA petik beberapa fakta yang Lofa kongsikan.

Jelas pengacara Nona ini, dia sebenarnya merasakan hidupnya tidak lengkap biarpun sudah memiliki segalanya seperti kerjaya, kawan-kawan dan juga keluarga.

Neelofa Mohon Allah Kuatkan Semangat


"Mula tahun lepas apabila saya merasa ada yang tidak lengkap dalam hidup saya. Saya ada semua, kerjaya, kawan-kawan dan family. Tapi rasa tidak lengkap. Saya tidak menemui kebahagiaan. Jadi saya mula menghubungi rakan-rakan artis yang sudah menutup aurat seperti Natasha Hudson dan Catriona Ross. Saya juga hubungi Heliza Helmi dan katakan padanya saya nak dekatkan diri dengan ilmu-ilmu agama. Masa tu Heliza berada di Mekah dan saya minta dia doakan untuk saya.

Bila Heliza balik, saya pegi kelas-kelas agama Usrah Fitrah. Tapi memang banyak dugaan. Proses yang saya lalui sangat perlahan. Saya pergi kelas agama on and off. Saya tak pernah war-warkan pada publik yang saya pergi kelas agama sebab saya malu," cerita Lofa.

Dedah Lofa lagi, Nisfu Syaaban baru-baru ini dia bertekad untuk menjaga Sholat setiap waktu. Biarpun terlibat dengan penggambaran, dia tidak kisah jika perlu mengenakan mekap beberapa kali. Dia juga banyak berdoa kepada Allah supaya kuatkan semangat dan imannya. Ini kerana dia mahu menikmati kemanisan hidup seperti yang dirasai oleh orang -orang yang beriman.

Satu perkara yang menarik perhatian GUA ialah apabila Neelofa menceritakan bagaimana Allah S.W.T memberinya petunjuk ketika dia sedang berkira-kira untuk menutup aurat. Sebaik sahaja dia membuka tafsir Al-Quran yang ingin dibacanya, ayat yang terlihat kepadanya ialah surah An-Nur yang bercerita tentang aurat wanita.



Kredit foto:

www.naelofar.com

Neelofa Kongsi Kisah Penghijrahannya


Neelofa Kongsi Kisah Penghijrahannya


Sebelum ini bila ditemubual GUA, pelakon jelita ini mengambil pendirian untuk menyimpan erat sebab dia berhijab kerana mahu ianya kekal sebagai cerita peribadinya. Bagaimanapun, dia sempat memberitahu bahawa apa yang berlaku adalah atas doa dan sokongan peminat-peminat, keluarga terutama ibu.

Namun akhirnya, Neelofa terbuka hati untuk berkongsi cerita penghijrahannya di IKIMfm dengan harapan kisahnya dapat membantu "kawan-kawan di luar sana yang masih dalam dilema dalam membuat keputusan".



Kredit kepada layan samsudin & IKIMfm


Ramona Zamzam Gelak Macam Hantu


Ramona Zamzam Gelak Macam Hantu


Ramona Zamzam, pemilik nama ini memang tidak sepopular Neelofa atau Anzalna Nasir. Namun, dia juga punya pakej lengkap sebagai seorang pelakon. Cantik, berbakat dan punya personaliti menyenangkan.

Jom semak 12 perkara menarik tentang pelakon drama 'Cinta Jangan Pergi' ini.

Ramona Zamzam Gelak Macam Hantu


1. Walaupun selalu memegang watak antagonis, namun realitinya Ramona tidak sebegitu. Dia seorang pencinta haiwan dan pernah menangis apabila terjumpa tikus mati di tepi jalan.

2. Ketagih dengan benda ekstrem seperti permainan roller coaster sejak zaman kanak-kanak lagi. Mengakui gilakan taman tema, Ramona memberitahu dia pernah naik roller coaster sebanyak 17 kali dalam satu hari ketika usianya 10 tahun.

3. Jika tidak menjadi artis, Ramona mungkin akan berada dalam bidang hartanah, pelaburan atau perbankan kerana mempunyai kebolehan berkomunikasi dengan baik dan sukakan subjek Matematik.

4. Anda mungkin akan terkejut apabila pertama kali mendengar pelakon ini ketawa kerana dia seorang yang kuat ketawa. Apabila ketawa habis satu bangunan akan dengar dan mengakui dia gelak macam hantu.

5. Selain ketawa macam hantu, Ramona juga merupakan 'hantu makan'. Mengakui 100% tak diet, Ramona akan makan ikut suka hati dan sanggup merealisasikan keinginannya untuk makan apa saja walaupun pada jam 2.00 pagi.

6. Boleh bercakap, membaca dan menulis Mandarin kerana bersekolah di sekolah jenis kebangsaan Cina sejak tadika sehingga sekolah menengah. Selain itu, Ramona juga boleh bertutur dalam bahasa Kantonis.

Ramona Zamzam Gelak Macam Hantu


7. Gara-gara belajar di sekolah Cina dulu, Ramona mengakui dia pelat untuk menyebut huruf S & D.

8. Trauma apabila nampak ada haiwan atas jalan raya sebab pernah terlanggar kucing pada 10 tahun lepas.

9. Ketika pergi bercuti, Ramona tak kisah sama ada backpackers atau pun hotel lima bintang kerana mengakui dia seorang extreme traveler.

10. Destinasi pilihan yang teringin untuk pergi ialah Bermuda.

11. Sangat mengharapkan watak pembunuh psiko.

12. Mengakui tak sikat rambut selepas mandi dan hanya biarkan rambutnya macam itu saja. Menurut Ramona, kalau rambutnya disikat, ia kelihatan tak lawa.


Shah Iskandar Jarang Balik Kampung


Shah Iskandar Jarang Balik Kampung


Setelah meraih trofi Pelakon TV Lelaki Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2013 baru-baru ini, perjalanan seni aktor asal Singapura, Shah Iskandar Mahfuz, 32 dilihat semakin lancar. Boleh dikatakan wajahnya sentiasa menghiasi kaca televisyen. 

Dengan perkembangan positif ini, adakah Shah mempunyai perancangan untuk memohon status penduduk tetap seperti yang dilakukan oleh teman-teman senegara yang lain iaitu Aaron Aziz dan Adi Putra?

“Kalau saya diberi status tersebut, saya anggap rezeki saya. Saya tidak kisah. Tetapi, buat masa ini, sejujurnya, saya mahu fokus dengan kerjaya saya sebagai seorang pelakon terlebih dahulu. Biar peminat-peminat di luar saya mengenali saya dan tahu hasil karya saya sebagai seorang pelakon. Saya mahu kekal dan dikenali dalam industri hiburan Malaysia berdasarkan bakat saya,” ujar pelakon teater ‘Projek Kahwin’ ini.

Shah Iskandar Jarang Balik Kampung


Mengulas mengenai persaingan dalam bidang lakonan yang saban hari menawarkan kehadiran wajah-wajah baru, pelakon drama bersiri ‘Jika Itu Takdirku’ percaya dengan aturan rezeki yang telah pun ditentukan oleh Tuhan. Shah juga menyatakan keinginan untuk mencuba watak lelaki buta dan psiko

 “Mengulas mengenai persaingan, saya kira itu adalah rezeki masing-masing. Peluang yang ada sama rata, jadi saya rasakan semuanya adalah aturan rezeki. Bercakap mengenai kerjaya saya pula, saya sendiri mahu perkembangan lakonan saya mempunyai graf dan mahu melakonkan banyak watak. Tidak selamanya saya mahu membawakan watak sebagai seorang pelajar kolej, saya mahu cuba membawa watak seorang buta atau psiko,” kata Shah ketika ditemui di Majlis Berbuka Puasa Bersama Warga Emas anjuran The Curve baru-baru ini.

Shah Iskandar Jarang Balik Kampung


Terkenang Ayah

Sempena kehadiran bulan Ramadan, Shah mengambil kesempatan melibatkan diri dalam program-program amal seperti Majlis Berbuka Puasa Bersama Warga Emas anjuran The Curve baru-baru ini. Shah mendedahkan dia terasa sayu apabila melibatkan diri dengan aktiviti seperti ini.

“Apabila melibatkan diri dengan aktiviti amal yang membabitkan warga emas, saya rasa sayu. Saya terkenang arwah saya sewaktu dia sakit. Saya juga terkenangkan ibu dan keluarga yang jauh di mata. Apabila saya terfikirkan mereka, sebenarnya saya tidak boleh buat apa-apa kerana jarak yang memisahkan. Saya hanya boleh terkenangkan mereka dan berdoa agar mereka semua sihat sejahtera sahaja.

Saya balik cuti ke Singapura pun sekali sekala dan apabila pulang ke sana, itu sahaja masa yang saya ada untuk keluarga kerana saya harus kembali merantau ke sini mencari rezeki. Jadi apabila saya mempunyai masa terluang bersama keluarga, saya amat menghargai momen-momen indah itu,” jelas pelakon drama ‘Teduhan Kasih’ ini.

 Bakal menyambut Hari Raya di Singapura selama sepuluh hari, Shah kini sedang giat menjalani penggambaran drama adaptasi novel ‘Dan Hati Pun Berkata’ di samping Uqasha Senrose, Syatilla Melvin dan Aidil Aziz bagi siaran RTM.



Sesal Separuh Nyawa Luahan Hati Alyah


Sesal Separuh Nyawa Luahan Hati Alyah


Bekas pemenang Bintang RTM, Alyah kini tampil dengan single terbaru, ‘Sesal Separuh Nyawa’. Lagu tersebut merupakan ciptaan Alfie Tiga dan Aidil manakala liriknya pula hasil nukilan Alyah sendiri bersama dengan Shah Shamshiri. Meneliti bait-bait lirik lagu tersebut, kedengaran seperti keluhan kesal seorang insan yang bernama kekasih. Adakah lagu ini merupakan kisah hidup Alyah sendiri yang dizahirkannya menerusi nukilan lirik?

“Saya rasakan semua orang mempunyai kekesalan dalam hidup mereka. Apa yang dicoretkan oleh Shah Shamshiri dan saya dalam lagu ini pastinya ada kena mengena dengan semua orang. Saya akui, kisah lagu ini ada kena mengena dengan saya, tapi tidaklah 100 peratus. Lagipun, sebagai manusia biasa, saya kira semua orang pun pastinya akan rasa kekesalan yang mereka akan ingat sehingga kini,” kata pelantun lagu ‘Realiti Dewi’ ini.

Sesal Separuh Nyawa Luahan Hati Alyah


Muzik video 'Sesal Separuh Nyawa' juga sudah telah disiapkan. Jika dulu Alyah bekerjasama dengan Remy Ishak untuk lagu 'Kisah Hati', kali ini Alyah menampilkan pula pelakon Singapura yang semakin mendapat perhatian iaitu Hisyam Hamid. Agak-agaknya mengapa Alyah menampilkan aktor-aktor popular dalam muzik videonya?

Sesal Separuh Nyawa Luahan Hati Alyah


“Keputusan untuk memilih Hisyam bukan keputusan saya seorang diri. Saya mempunyai pihak pengurusan dan kami bekerja secara dalam kumpulan. Sebelum merakamkan muzik video, kami terlebih dahulu duduk berbincang dengan pengarah, Ghaz Abu Bakar dan tenaga produksi untuk menentukan apa yang bakal dipaparkan dalam muzik video,” ujar Alyah.

“Semestinya kami meneliti apa yang sedang menjadi trend dan apa yang sedang ‘in’ dengan situasi dunia hiburan sekarang untuk dimuatkan dalam muzik video. Jadi selepas kami berbincang, Hisyam menjadi pilihan. Memandangkan ini muzik video pertama yang menampilkan saya dengan imej berhijab, saya mahu memberikan yang terbaik kepada semua peminat di luar sana,” kata Alyah berkongsi cerita.

- See more at: http://www.gua.com.my/berita-artis/Sesal_Separuh_Nyawa_Luahan_Hati_Alyah.html#sthash.md426HRo.dpuf

Zulin & Sherry Tak Sangka Terpilih


Zulin & Sherry Tak Sangka Terpilih


Zulin Aziz dan Sherry Al Hadad memberitahu pemilihan mereka sebagai pengacara Melodi adalah sesuatu yang cukup mengejutkan. Ia bagaikan angan-angan Mat Jenin menjadi kenyataan. Namun begitu, mereka mengakui masih baru dan menyedari hakikat yang bukan mudah untuk orang ramai menerima kehadiran orang baru.

“Walaupun kami telah dipanggil untuk menjadi pengacara jemputan selama tiga minggu menggantikan Zizan yang ke Jepun atas urusan kerja. Kami sama sekali tidak menyangka yang kami akan menggantikan tempat Zizan sebagai pengacara Melodi.

Zulin & Sherry Tak Sangka Terpilih


Kami masih lagi baru dan kami menyedari hakikat yang bukan semua orang boleh menerima benda baru. Namun tipulah jika saya kata tidak gembira apabila diambil menjadi pengacara Melodi kerana ia merupakan impian kami sejak kecil lagi. Perkara ini boleh dianggap seperti angan-angan Mat Jenin kami menjadi kenyataan,” kata Zulin ketika ditemui selepas siaran langsung Melodi bertempat di Studio B, Sri Pentas Persiaran Utama, Kuala Lumpur pada Ahad.

Zulin & Sherry Tak Sangka Terpilih


Manakala Sherry yang turut berada di samping Zulin mengakui perasaan gementar dan berdebar begitu terasa ketika episod memperkenalkan mereka sebagai pengacara kelmarin. Bagi Sherry setiap nama besar yang mengacarakan Melodi meletakkan penanda aras masing-masing yang mana dia dan Zulin masih lagi mencari stail penyampaian mereka sendiri.

“Antara cabarannya adalah untuk mewujudkan keserasian antara kami berdua dan Awal. Ini kerana saya dan Zulin sudah biasa dengan satu sama lain, tetapi pertama kali bergandingan dengan Awal atas dasar kerja.

Namun yang bagusnya adalah kami melakukan sesi latihan terlebih dahulu sebelum bersiaran secara langsung. Kami masih baru dan dalam proses untuk memperbaiki cara kami sebagai pengacara. Sejajar dengan pembaharuan yang dibuat oleh Melodi, kami juga mengambil pendekatan untuk menggunakan ‘role play’ sebagai cara penyampaian terbaru kami,” ujar Sherry ketika ditemui di majlis yang sama.

Zulin & Sherry Tak Sangka Terpilih


Subculture Wakili Malaysia ke Baybeats 2014


Subculture Wakili Malaysia ke Baybeats 2014


Kumpulan punk rock veteran tanah air, Subculture, sekali lagi mencipta sejarah apabila dijemput untuk menyertai festival rock dan indie terbesar di rantau ini, Baybeats 2014 yang berlangsung di Singapura pada 27 hingga 29 Jun lalu.

Festival Baybeats yang bertempat di Esplanade Singapura merupakan antara festival rock terbesar dan paling dinantikan oleh peminat muzik rock dan indie di Asia. Festival ini menggabungkan nama-nama besar dari pelbagai negara termasuklah dari Jepun, Filipina, Thailand, Indonesia dan juga dari Singapura sendiri. 

Festival yang bermula sejak tahun 2002 ini berjaya menarik puluhan ribu peminat dan pengunjung sepanjang tiga hari ia berlangsung.

Subculture Wakili Malaysia ke Baybeats 2014


“Jemputan menyertai festival ini merupakan satu perhormatan tertinggi untuk Subculture kerana kami sudah memperjuangkan muzik punk rock semenjak tahun 1992 lagi. Lebih mengujakan, kami diberikan slot utama iaitu pada 28 Jun jam 9.45 malam dan ia sudah cukup membuatkan kami teruja untuk membawa nama Malaysia,” ujar vokalis Subculture, Azreen kepada GUA.

Subculture Wakili Malaysia ke Baybeats 2014


Menariknya, Subculture mempersembahkan lagu-lagu original mereka sendiri yang dipetik daripada empat album penuh terdahulu. Biarpun berita mengenai festival Baybeats 2014 ini tidak mendapat liputan meluas daripada media tempatan, Subculture tetap bersemangat untuk memberikan persembahan yang terbaik dan istimewa. 

Ini kerana dengan menyertai dan membuat persembahan di Baybeats 2014, Subculture sebenarnya secara tidak langsung menjadi wakil Malaysia ke festival yang berprestij itu. Bagi mengikuti perkembangan mengenai Subculture, anda boleh melayari Facebook, subculturemalaysia atau ikuti mereka di Instagram, Subs365 dan Twitter, Subs_Satellite.


Instagram Selebriti : Intai Artis Berbuka Puasa


Instagram Selebriti : Intai Artis Berbuka Puasa


Hari ini genap 9 hari umat Islam menjalani ibadah puasa. Ada yang memilih untuk berbuka puasa bersama keluarga di rumah, tidak kurang juga ada yang memilih untuk makan di luar sahaja. 

Bukan itu saja, setiap kali bulan Ramadan, selebriti tanah air juga banyak memenuhi jemputan majlis berbuka puasa bersama mereka yang kurang bernasib baik. 

Nak tahu apa aktiviti berbuka puasa selebriti pada hujung minggu lalu, jom lihat gambar yang mereka kongsi di laman sosial Instagram masing-masing.

Instagram Selebriti : Intai Artis Berbuka Puasa


Erra Fazira

Ibu kepada Aleesya ini berbuka puasa bersama rakan-rakan industrinya di rumah.

Erra Fazira berbuka puasa


Mark Adam

Penyanyi lagu ‘Si Katak’ ini meluangkan masa bersama peminat di Plaza Shah Alam selepas waktu berbuka.

Mark Adam berbuka puasa


Raja Azura

Selepas menunaikan solat Tarawih, Kak Engku sempat makan buah mangga dan durian sebagai pencuci mulut.

Raja Azura bebuka puasa


Nora Danish

Nora bersama Farid Kamil berbuka puasa di Singapura sempena promosi filem 'Pengantin Malam' pada Sabtu lalu.

Nora Danish berbuka puasa


Daphne Iking

Daphne sempat menghadiri jemputan berbuka puasa Azwan Ali bersama keluarganya.

Daphne Iking berbuka puasa


Rebecca Nur Al Islam

Rebecca berbuka puasa bersama ahli keluarganya di luar pada hujung minggu lalu.

Rebecca Nur Al Islam berbuka puasa


Yasmin Hani

Yasmin Hani meraikan ‘birthday girl’ Daphne Iking dengan berbuka puasa di sebuah restoran.

Yasmin Hani berbuka puasa


Sasha Saidin

Anggota kumpulan Elite ini memilih restoran Korea untuk berbuka puasa.

Sasha Saidin berbuka puasa


Azwan Kombos Enggan Nad Zainal Tunjuk Bukti


Azwan Kombos Enggan Nad Zainal Tunjuk Bukti


Kontroversi pasangan pelakon Azwan Kombos dan Nad Zainal bagaikan tiada kesudahan. Dari kisah percintaan mereka kononnya mereka dituduh bersekedudukan, Nad dikaitkan dengan Shah Iskandar sehinggalah kisah Azwan dibela kekasih. Kini setelah putus cinta, kisah mereka masih lagi hangat diperkatakan.

Kisah keretakan hubungan pasangan ini bukan sahaja mengejutkan peminat, malah Azwan sendiri mengakui terkejut apabila Nad mendedahkan hubungan mereka sudah berakhir. Tidak cukup dengan itu, Nad mengakui Azwan menganggunya di lokasi penggambaran dan paling mengejutkan, punca perpisahan mereka disebabkan pelakon serta pengacara Hefny Sahad.

Azwan Kombos Enggan Nad Zainal Tunjuk Bukti


Bukan itu sahaja, baru-baru ini Nad turut membuat laporan polis kerana diugut serta diancam oleh seorang wanita yang mahu membuka aibnya jika dia tidak kembali bersama Azwan. Nad turut memberitahu bekas kekasihnya itu masih menganggunya walaupun masing-masing sudah membawa haluan sendiri. 

Azwan bagaimanapun menafikan dia ada kena mengena dengan wanita yang mengugut Nad dan memberitahu akan membawa sendiri wanita itu ke depan jika mengetahui siapa individu tersebut. 

Azwan Kombos Enggan Nad Zainal Tunjuk Bukti


“Saya memang tak ada kena mengena dengan wanita mahupun ugutan yang diterima Nad. Benda ini dah jadi kes polis jadi banyak pihak yang menasihati saya supaya mendiamkan diri. Namun jika saya tahu siapa wanita yang melakukan ugutan itu, saya sendiri akan membuat laporan polis,” ujar pelakon filem ‘Sniper’ ini kepada GUA.

Ditanya mengenai kenyataan Nad kononnya Azwan masih menghubungi serta merayu dan memujuknya melalui mesej, Azwan tidak menafikan, tetapi menganggap ia lumrah bagi individu yang ditinggalkan kekasih.

“Dia sendiri cakap saya merayu dan pujuk, namun saya tak akan bagi kenyataan balas. Apapun, saya tak nak dia keluarkan bukti mesej yang saya hantar kerana ia terlalu peribadi dan sangat jiwang. Lagipun saya hormati dia serta siasatan polis yang sedang dijalankan, jadi lebih baik saya mendiamkan diri. Lagipun, benda ini sangat mengarut untuk dibicarakan,” tutur Azwan sambil berharap semua pihak dapat menghormati kehidupannya sekarang.

“Saya mahu menutup buku kisah hubungan kami kerana masing-masing sudah membawa haluan sendiri. Dia pun dah ada kehidupan baru jadi tak guna saya merintih lagi. Bulan puasa ini lebih baik tingkatkan amalan serta dekatkan diri dengan Allah,” katanya mengakhiri perbualan.


AC Mizal Yakin Tak Kecilkan Hati 4U2C


AC Mizal Yakin Tak Kecilkan Hati 4U2C


Pengacara TV Lelaki Popular Anugerah Bintang Popular 2013, Datuk AC Mizal memberitahu sambutan Ramadan dan Syawal tahun ini berbeza bagi dirinya dan keluarga kerana kehilangan bapanya, Allahyarham Datuk Zaini Md Hasim pada 29 Mac yang lalu.

“Sambutan Ramadan kali ini terasa lain bagi saya dan keluarga kerana baru sahaja kehilangan dia (bapa) pada penghujung Mac yang lalu. Sambutan Syawal juga pastinya tidak akan sama tanpa ayah,” jelas AC.

Ayah saya adalah seorang yang tegas, maklumlah dia merupakan bekas seorang anggota polis. Jadi untuk tahun ini, pertama kali kami sekeluarga akan berhari raya dengan menziarah dua pusara iaitu pusara ayah saya dan ayah mertua saya,” kongsi AC ketika ditemui di Majlis Pelancaran Album Havoc Raya dan Al Nuraa di Pusat Konvensyen TM, Lembah Pantai baru-baru ini.

AC Mizal Yakin Tak Kecilkan Hati 4U2C


Menerusi pelancaran album Havoc Raya, AC muncul bersama ahli baru kumpulan ForUToC (4U2C) mendendangkan lagu Gema Takbir Di Pagi Raya dalam album tersebut. Penubuhan semula kumpulan ForUToC adalah bukan sebagai pengganti kumpulan lamanya, sebaliknya ForUToC adalah sebuah projek khas yang diadakan sempena sambutan Syawal ini.

AC Mizal Yakin Tak Kecilkan Hati 4U2C


"Rakaman semula lagu itu bersama dengan anggota baru ForUToC adalah merupakan projek khas sempena Aidilfitri tahun ini. Ahli baru kumpulan ini yang merupakan pelawak-pelawak popular seperti Shuib dan Rahim daripada kumpulan Sepahtu, Ajak dari kumpulan Shiro dan Achey, Abam dan Fad dari kumpulan Bocey. Penubuhan semula kumpulan ini adalah untuk mengimbau memori dan mengubati kerinduan peminat-peminat terhadap kumpulan 4U2C,” jelas AC lagi.

Membuat keputusan untuk memilih mereka ketika melihat kebolehan mereka menyanyi sewaktu minggu muzikal pertandingan realiti Maharaja Lawak Mega 2013, AC mengakui yang versi baru lagu Gema Takbir Di Pagi Raya adalah hasil nyanyian pelawak-pelawak itu dan dia hanya menyanyikan bahagian rap lagu itu sahaja. AC juga menjelaskan yang ahli-ahli lama kumpulan 4U2C tidak akan berkecil hati dengan penubuhan semula kumpulan ini.

“Mereka semuanya sudah ada haluan hidup masing-masing. Cuma saya seorang sahaja yang sehingga kini masih aktif dalam bidang hiburan. Saya rasakan mereka tidak akan terasa dengan penubuhan kumpulan ini kerana mereka sudah ada komitmen lain,” ujar AC mengakhiri perbualan.

Sherry & Zulin Diyakini Mampu Gamatkan Melodi


Sherry & Zulin Diyakini Mampu Gamatkan Melodi


Setelah Zizan Razak telah menamatkan perkhidmatannya sebagai pengacara program hiburan sensasi nombor satu negara, Melodi memperkenalkan dua orang pengacara baru, Sherry Al-Hadad dan Zulin Aziz.

Mereka berdua bergandingan dengan Awal Ashaari untuk meneruskan legasi Melodi bagi menyampaikan informasi hiburan kepada peminat-peminat program sensasi ini.

Pengurus Besar Kumpulan TV3 & TV9, Sherina Nordin berkata, pertukaran perantara program Melodi adalah wajar bagi menyuntik elemen segar dan baharu. Melodi yang sudah bersiaran melebihi dua dekad ini sejajar dengan perubahan dengan memperkenalkan wajah dan set studio baharu.

Sherry & Zulin Diyakini Mampu Gamatkan Melodi


"Duo yang sedang meningkat naik, Sherry dan Zulin telah membuktikan kebolehan mereka sebagai pengacara dengan mengendalikan Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur.

Personaliti dan celoteh mereka mempunyai keunikan dan stail tersendiri. Kami yakin dengan gandingan baharu Sherry, Zulin dan Awal dapat menggamatkan lagi program Melodi yang sarat dengan isu hangat serta sensasi hiburan tanah air," ujar Sherina.

Tenaga produksi Melodi diterajui oleh Jamil Hassan selaku Penerbit Eksekutif, Michelle Wee selaku penerbit serta dibantu oleh Azwan Azmi, Nurul Izza Safar, Nik Shafiq Hadari, Suhairiyah Zahrih, Muhammad Fared Syauky dan Farhan Ikram.

"Kami ingin membuat eksperimen untuk tidak bergantung kepada populariti pengacara semata-mata tetapi fokus kepada kekuatan kandungan program yang diperbaharui bagi menepati kehendak cita rasa jutaan penonton.

Sekali gus saya juga ingin menepis dakwaan yang mengatakan kontrak Zizan dibatalkan kerana kontroversi yang melandanya, sebaliknya kerana kontraknya sudah tamat. Manakala Awal masih lagi dikekalkan dan akan berganding bahu bersama Sherry dan Zulin mengacarakan Melodi," ujar Michelle ketika ditemui selepas siaran langsung rancangan tersebut di Studio B, Sri Pentas Persiaran Utama, Kuala Lumpur pada Ahad.

Mengulas mengenai rancangan hiburan yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan, Michelle menegaskan yang perkara ini memberikan persaingan sihat kepada semua pihak.

"Tidak semestinya Melodi yang merupakan antara program hiburan terawal dan sudah menapak selama 22 tahun perlu berada pada takat yang sama saja.

Kami sudah lama mempertimbangkan untuk menukar konsep seminggu sekali kepada setiap hari, namun Melodi terdiri daripada kumpulan kecil namun kandungan yang cuma kami tonjolkan pula begitu banyak. Semuanya masih berada dalam perancangan," ujar Michelle mengakhiri perbualan.

Kehilangan Kak Pah Dirasai


Kehilangan Kak Pah Dirasai


Pemergian Biduanita Negara, Dato' Sharifah Aini pada Sabtu memberi tamparan yang cukup besar dalam industri hiburan negara. Ramai bagaikan tidak percaya dengan berita yang tersebar.

Bagaimanapun, penyanyi pujaan ramai ini kini telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Kiara, Kuala Lumpur. 

Sebagai ikon hiburan yang menjadi idola ramai peminat, Allahyarham juga disegani oleh rakan-rakan seperjuangan serta artis-artis generasi baru. Berikut reaksi beberapa artis tentang pemergian penyanyi lagu 'Seri Dewi Malam' ini.

Kehilangan Kak Pah Dirasai


Nabila Huda



“Saya begitu terkejut apabila membaca berita tersebut. Timbul perasaan sebak kerana dia merupakan salah seorang biduanita hebat negara ini yang telah pergi meninggalkan kita. Sama-sama kita sedekahkan Al-Fatihah semoga rohnya ditempatkan di kalangan orang-orang beriman,” ujar Abil.

Dafi

“Saya pernah bekerja bersama Dato' Sharifah Aini beberapa kali. Bagi saya, beliau merupakan seorang yang baik hati serta begitu berbakat sekali. Beliau merupakan seorang lagenda negara yang banyak menyumbang kepada industri serta menghasilkan produk berkualiti serta dijadikan contoh untuk generasi baru,” kata Dafi.

Nad Zainal

“Datuk Sharifah Aini adalah seorang penyanyi yang mempunyai vokal yang tidak dapat dinafikan kehebatannya. Beliau merupakan antara artis yang berada dalam kelasnya tersendiri melalui lagu-lagu evergreennya serta mampu menyanyikan lagu tradisional dengan baik sekali.

Kehilangannya amat saya rasai kerana tidak mungkin kita akan temui penyanyi yang begitu hebat dan mempunyai gaya serta aura tersendiri. Kak Pah adalah seorang ikon sejati, penyanyi, pelakon dan penghibur yang hebat. Beliau adalah seorang artis yang patut dicontohi dan masih diminati oleh semua generasi,” kata Nad.

Ayu Damit



"Bagi saya, ia satu kehilangan yang sangat besar untuk industri seni Malaysia. Lagi-lagi dalam tiga minggu saja lagi kita nak menyambut Syawal dan waktu itu akan berkumandang lagu-lagu Raya arwah. Walaupun saya tak pernah berjumpa dan sepentas dengan arwah, namun arwah tetap ikon wanita yang saya sanjung. Salam takziah buat keluarga arwah. Semoga arwah ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman. Al-Fatihah."

Afdlin Shauki

"Satu kehilangan yang besar bagi industri seni, tapi saya bersyukur beliau telah pergi di dalam bulan Ramadan yang penuh berkat dan marilah kita mengingati beliau untuk semua amal dan kebaikan yang pernah beliau buat. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama roh-roh orang yang beriman."

Alyah

"Saya terkejut dan rasa ini satu berita yang sukar untuk diterima. Tapi Allah SWT lebih mengerti dan berkehendak. Sebagai kenalan, sedekahkan doa supaya dia tenang di sana."

Arja Lee



"Walaupun saya tidak mengenalinya secara peribadi, arwah merupakan salah seorang idola saya. Saya meminati lagu-lagu nyanyian arwah. Arwah ibu saya juga minat pada dia. Boleh dikatakan, saya membesar dengan lagu-lagu dendangan arwah. Saya rasakan kehilangan arwah semestinya dirasai kerana dia adalah seorang Biduanita Negara. Jika ada persembahan, saya juga seringkali menyanyikan lagu-lagu arwah seperti lagu 'Burung Pungguk' dan 'Seiring Sejalan'."

Sasha Saidin

"Ibu saya meminati arwah. Walaupun ibu saya tidak tahu berbahasa Melayu, tetapi ibu saya suka dengar lagu dendangan arwah. Semenjak kecil saya sering mendengar lagu arwah. Ketika di awal kemunculan kumpulan Elite, kami bernaung di bawah payung pengurusan yang sama iaitu EMI.

Ketika itu, arwah masih lagi aktif mengadakan persembahan dan kami sering mengadakan persembahan bersama. Saya rasa bangga kerana berpeluang mengadakan persembahan di satu pentas yang sama dengan arwah yang juga merupakan bintang pujaan saya. Dia relaks orangnya, dia juga sangat profesional dan murah senyuman."

Anzalna Nasir



"Saya terkejut mendengar berita mengenai permergian arwah. Malaysia kehilangan seorang penyanyi yang bertaraf Biduanita Negara. Walaupun saya tidak mengenalinya secara peribadi, saya suka mendengar lagu-lagu dendangan arwah, terutamanya lagu berkenaan sambutan Hari Raya yang pastinya mengimbau seribu satu kenangan. Takziah saya ucapkan untuk keluarga arwah atas pemergian Dato' Sharifah Aini."

Shiha Mentor

"Shiha masih tak percaya dengan pemergian arwah ummi. Shiha ralat sebab tak sempat nak tunaikan hajat arwah makan kari ikan. Shiha agak sibuk masa itu dan keadaan kesihatan ummi ketika itu juga tidak mengizinkan. Apapun Shiha redha dengan pemergian seorang insan yang sangat Shiha kagumi, seorang mentor yang mengajar Shiha bukan sekadar nyanyian malah hampir semua aspek kehidupan."

Misha Omar



"Satu kehilangan besar kerana arwah seorang lagenda yang begitu dekat dengan hati rakyat Malaysia. Arwah sangat hebat serta berbakat dan pemergiannya sudah pasti meninggalkan kesan besar buat industri muzik tempatan. Kepada keluarga Allahyarhamah, saya doakan mudah-mudahan mereka terus diberikan kesabaran melalui ujian ini. Harus diingat, hanya mereka yang terpilih saja dijemput oleh Allah SWT untuk bertemu denganNya pada bulan Ramadhan ini. Saya juga menyeru kepada semua peminat muzik terutamanya golongan muda supaya sama-samalah sedekahkan Al Fatihah agar arwah ditempatkan dalam golongan orang yang beriman.

Jamal Abdillah

"Pemergian arwah merupakan satu kehilangan yang besar buat industri seni tanah air. Arwah bagaikan sebutir bintang yang menyinari dunia seni Melayu di mana suaranya telah membesarkan rakyat Malaysia serta mengiringi saat suka duka kehidupan kita semua. Tidak keterlaluan dikatakan suaranya telah menjadi darah daging kita semua. Al-Fatihah."

Ogy Ahmad Daud

"Saya mengenali Kak Pah sejak saya di zaman remaja lagi, maka itu saya amat-amat terpukul dengan pemergiannya. Saya sangat sedih dan sampai sekarang saya masih lagi sukar untuk percaya yang Kak Pah sudah tiada. Perginya tiada pengganti dan dia sungguh beruntung kerana dijemput Allah di bulan yang penuh baroqah ini.

Dia pernah menghubungi saya secara peribadi menceritakan tentang penyakit yang dihadapi dan suruh saya berjanji jangan bercerita kepada sesiapa. Jadi, saya akur dengan amanah itu. Arwah juga ada pernah nak berjumpa saya dua hari selepas Allahyarhamah Azean Irdawaty meninggal, tapi saya tak dapat kerana saya mengajar seni lakon waktu itu.

Saya sangat menyesal kerana tidak dapat bertemu dengan Kak Pah ketika dia ingin bertemu. Dan menyedihkan lagi apabila saya tak dapat menatap wajah terakhir Kak Pah yang saya anggap sebagai seorang kakak kerana saya ada urusan keluarga yang wajib diuruskan.

Hanya doa agar rohnya ditempatkan di dalam golongan para-para syuhada dan golongan hambaNya yang beriman yang saya panjatkan kepada Allah SWT. Al Fatihah buat hamba Allah yang berhati mulia Almarhumah Hajah Sharifah Aini. Ogy sayang dan akan rindu sangat pada Kak Pah."

Dato’ Sharifah Aini Sering Berkongsi Nasihat


Dato’ Sharifah Aini Sering Berkongsi Nasihat


Kehilangannya amat dirasai. Mana tidaknya, beliau ibarat sebutir permata di dalam industri seni tanahair. Suaranya yang lunak telah menghiburkan begitu banyak telinga. Tak kurang juga, nasihat yang tak putus-putus dikongsi di laman sosial Facebook, pastinya telah menenangkan banyak hati. Mengharumkan nama negara apabila meraih pelbagai kejayaan di dalam dan luar negara. Itulah Dato' Sharifah Aini binti Syed Jaafar yang disayangi seluruh rakyat Malaysia. 

Menghembuskan nafas terakhir sekitar jam 1.26 pagi tadi (Sabtu) akibat fibrosis paru-paru, buat pelantun lagu ‘Hapuslah Airmata Mu’ ini yang lebih mesra disapa dengan panggilan Kak Pah, pemergiannya seperti sudah dijangka olehnya.

Perkara ini boleh dijelaskan menerusi penulisan Kak Pah di Facebooknya setelah beliau dikejarkan ke hospital akibat penyakit H1N1 Influanza dan Pneumonia (radang paru-paru) sekitar bulan Mei. Dalam penulisan tersebut, Kak Pah menjelaskan beliau redha jika dijemput Yang Maha Esa dan mengharapkan doa daripada peminat semoga usia beliau berakhir dengan Husnul Khotimah. 

Dato’ Sharifah Aini Sering Berkongsi Nasihat


Meninggal dunia pada usia 61 tahun, Biduanita ini sudah menderita penyakit fibrosis paru-paru sejak dua tahun lalu. Namun beliau sentiasa tabah dan bertahan melawan penyakitnya agar beliau masih boleh terus menyampaikan dakwah menerusi Facebook sebagai bekalan akhirat.

Nasihat Kak Pah, jika beliau sudah pergi, gunakanlah laman sosial Facebooknya ke arah kebaikan untuk menjaga silaturrahim dan saling mengingati.

Dato’ Sharifah Aini Sering Berkongsi Nasihat


Mengimbas kembali kejayaan yang diraih oleh wanita ini, Kak Pah pernah menerima pelbagai anugerah termasuk Anugerah Penghibur Terbaik (Anugerah Sri Angkasa 1972-1977), Anugerah Penghibur Wanita Popular 1970-1976, 1979 (Persatuan Pencipta Lagu, Penyanyi Dan Penghibur Tanah Air), Anugerah Aktres Terbaik (Hapuslah Airmatamu-Festival Filem Asia Pasifik 1977), Anugerah Seri Wirama (Anugerah Industri Muzik 2000), Anugerah Biduanita Sepanjang Zaman (Darjah Kebesaran Sultanah Kedah), Anugerah Emas Era (Anugerah Era 2002), Anugerah Khas Bintang Popular (Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2003), Anugerah Tertinggi Biduanita Negara (Anugerah Kecapi 2006). 

Malah, Kak Pah merupakan satu-satunya penyanyi yang menyambung legasi Allahyarhamah Puan Sri Saloma apabila beliau memegang gelaran Biduanita Negara. 
Peranannya sebagai seorang ibu juga sangat membanggakan. Sejuk perut wanita ini mengandungkan anak tunggalnya, Aliff Omar yang masih menuntut ilmu agama dan tahfiz Quran di Madinah. Aliff jugalah yang mengimamkan solat jenazah Kak Pah dan menguruskan hal-hal pengebumian.

Pastinya kehilangan wanita hebat ini meninggalkan kesan yang sangat mendalam pada setiap hati yang mengenali wanita ini secara peribadi mahupun tidak. Semoga roh Allahyarhamah tergolong di kalangan orang-orang yang beriman dan sentiasa dicucuri rahmat.

Datuk Sharifah Aini Meninggal Dunia


Datuk Sharifah Aini Meninggal Dunia


Biduanita Negara, Datuk Sharifah Aini atau Kak Pah meninggal dunia pada jam 1.26 pagi tadi (Sabtu) akibat fibrosis paru-paru.

Allahyarhamah menghembuskan nafas terakhir di Pusat Perubatan Pakar Damansara pada usia 61 tahun.

Datuk Sharifah Aini Meninggal Dunia


Pada Isnin, Kak Pah telah dibawa ke hospital oleh anaknya, Aliff Omar apabila mengalami kesukaran bernafas. Bagaimanapun, pada Selasa dia dimasukkan ke unit rawatan rapi apabila tahap kesihatannya semakin merosot.

Jenazah Allahyarhamah akan dibawa ke Masjid At-Taqwa, Taman Tun Dr. Ismail selepas Subuh ini untuk urusan pengebumian.


RM15@Param : Azwan Kombos Dapat 6 Biji Samosa Dengan RM2


RM15@Param : Azwan Kombos Dapat 6 Biji Samosa Dengan RM2


Bersempena bulan Ramadan ini, GUA akan tampil dengan segmen RM15@Param di mana setiap minggu, artis terpilih diberi cabaran RM15 setiap seorang untuk membeli juadah berbuka mereka di Pasar Ramadan (Param).

Bagi mengisi slot pertama edisi ‘RM15@Param’ ini, GUA tampilkan pelakon yang kini sedang meningkat naik, Azwan Kombos. Bagi cabaran ini, Azwan memilih Pasar Ramadhan yang terletak di Taman Tun Dr Ismail untuk membelanjakan wang RM15 yang diberi. Nak tahu apa yang berjaya dibeli oleh pelakon filem ‘Sniper’ ini dengan wang sebanyak itu, jom lihat gambar di bawah.

RM15@Param : Azwan Kombos Dapat 6 Biji Samosa Dengan RM2


Di akhir cabaran, Azwan berjaya membeli sebungkus Air Tembikai Susu dengan harga RM2, empat biji kuih Cara Manis dan Karipap Kentang (RM2), Roti John Daging (RM2) di mana harga asalnya RM4, 15 biji Keropok Lekor (RM2), Nasi Kerabu Lauk Daging (RM3) – harga asal RM6 dan yang terakhir 6 biji Samosa Ayam (RM2) di mana harga sebiji adalah RM1. Namun kerana kelebihan sebagai artis, Azwan berjaya mendapat Samosa Ayam sebanyak enam biji dengan hanya RM2.

RM15@Param : Azwan Kombos Dapat 6 Biji Samosa Dengan RM2


Ketika ditemui, Azwan turut berkongsi sebagai orang bujang, menjadi kebiasaannya untuk pergi ke Pasar Ramadhan dan lokasi yang selalu dikunjunginya ialah di Desa Pandan. Walaupun dilahirkan di Sabah, namun Azwan memberitahu makanan kegemarannya adalah Nasi Kerabu kerana juadah tersebut sangat unik dengan kombinasi pelbagai lauk dalam satu hidangan.

RM15@Param : Azwan Kombos Dapat 6 Biji Samosa Dengan RM2


Berkongsi mengenai karier seninya, Azwan kini sedang menjalani penggambaran sebuah super telemovie bertajuk, ‘Man Rider’ bersama Zara Zya. Selain itu, Azwan turut bakal muncul dengan filem ‘Nasi Tangas (Nasi Kangkang)’ terbitan MIG pada 18 September depan.

RM15@Param : Azwan Kombos Dapat 6 Biji Samosa Dengan RM2

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Rujukan