Cari Artikel

Monday, July 7, 2014

Almy Nadia Kini Hamil


Almy Nadia Kini Hamil


Menerusi akaun Instagram pemenang pencarian program realiti Gadis Melayu TV9 musim pertama, Khairul Noormaaidah Zali atau lebih dikenali sebagai Aida, dia ada memuat naik satu entri ucapan tahniah kepada pasangan pelakon Almy Nadia atas kehamilan pertamanya hasil perkahwinan dengan aktor Fizz Fairuz. GUA menghubungi Almy sendiri untuk mendapatkan komen lanjut.

“Alhamdulillah. Kehamilan saya masih di peringkat awal. Sepatutnya berita gembira tersebut saya tak mahu dedahkan dahulu kepada semua kerana kandungan masih baru.Tapi Aida adalah rakan baik saya, dan saya berkongsi berita ini dengan dia.

Saya faham, dia sebagai kawan turut rasa gembira dengan berita ini dan berkongsi kegembiraannya menerusi Instagram. Kalau boleh, saya enggan hebohkan berita ini, tapi perkara sudah berlaku. Jadi kini saya hanya berharap agar peminat-peminat di luar sana dapat mendoakan agar saya dan kandungan saya selamat dan baik-baik sahaja, Insya-Allah,” kata pelakon drama bersiri ‘Dunia Baru’ ini.

Almy Nadia Kini Hamil


Enggan mendedahkan usia sebenar kandungannya, Almy menganggap ini sebagai rezeki sempena kedatangan bulan Ramadan. Kongsi Almy, setakat ini dia tidak mengalami apa-apa alahan seperti mana yang dialami oleh ibu-ibu hamil yang lain. Namun begitu, pelakon drama bersiri ‘Cinta Buat Emelda’ ini merasakan badannya sedikit lesu tetapi ianya tidak menghalang Almy untuk meneruskan ibadah puasa.

“Saya tak alami apa-apa alahan, cuma badan saya rasa tak larat sahaja. Namun begitu, saya bersyukur kerana saya masih lagi boleh berpuasa. Walaupun hamil, azam saya tahun ini adalah untuk berpuasa penuh. Saya berharap agar Allah makbulkan impian saya,” ujar Almy lagi.

Almy atau nama sebenarnya Almy Nadia Aminuddin Shah, 28, selamat bergelar isteri kepada Fizz atau nama sebenarnya Mohd Fairuz Zainal Abidin, 34, pada 26 April 2014. Mereka diijabkabulkan di Masjid Daerah Barat Daya, Balik Pulau, Pulau Pinang selepas solat Asar oleh Pendaftar Kanan Perkahwinan, Penceraian dan Rujuk Negeri Pulau Pinang, Norzli Mat.


Tasha Shilla & Ajak Shiro Pengacara Baru Galaksi TV9


Tasha Shilla & Ajak Shiro Pengacara Baru Galaksi TV9


Galaksi, program informasi hiburan sensasi di TV9 kini akan menampilkan dua pengacara baru pada hari ini (4 Julai) bagi menggamatkan malam Jumaat anda. Setelah empat tahun bersama Galaksi, tempat Ikhwan Hot FM kini digantikan dengan pelakon jelita dan sensasi, Tasha Shilla dan juga pelawak terkenal tanah air, Ajak Shiro.

Walaupun pengacara silih berganti, Galaksi yang disiarkan setiap Jumaat, pada jam 8.30 malam akan tetap memberikan liputan dunia hiburan secara telus dan profesional lebih daripada sekadar mensensasikan isu-isu menarik yang menggegar dunia hiburan tanahair.

Malahan, pembaharuan perlu sentiasa dilakukan agar sesebuah program itu sentiasa tampil menarik dan kekal mantap.  Suntikan pengisian adalah bersesuaian dengan tagline program iaitu ‘Ini bukan program sepi, Ini Galaksi - medan sensasi!’

Tasha Shilla & Ajak Shiro Pengacara Baru Galaksi TV9


Tentu ramai tertanya tentang keserasian kedua pengacara baru ini. Jika dahulu Ikhwan seorang sahaja mengemudikan program siaran langsung selama sejam, bagaimana pula kali ini? Sebenarnya, pihak pengurusan termasuk penerbitan telahpun mengadakan ujibakat secara tidak langsung apabila menjemput beberapa artis tanahair menjadi tetamu studio.

Jika diimbas semula, Ajak Shiro dan Tasha Shilla pernah beraksi sebagai artis tamu hos Galaksi sekitar bulan Mac hingga Mei lepas. Penerbit sememangnya telah menjemput silih berganti artis sebagai tetamu studio. Mereka juga bukan sekadar tetamu, malahan secara tidak langsungnya pihak penerbitan mengendalikan juga ‘ujibakat live’ terhadap mereka dalam memilih siapa yang sesuai diambil sebagai hos baru Galaksi.

Memang ramai yang layak dan berbakat tapi ternyata rezeki lebih memihak kepada Ajak Shiro dan Tasha Shila. Pastikan anda semua tidak ketinggalan menyaksikan keletah dua pengacara baru Galaksi bermula hari ini, 4 Julai 2014 secara langsung pada jam 8.30 malam!

Awie Tak Sangka Kes Jadi Besar


Awie Tak Sangka Kes Jadi Besar


"Saya tidak mahu mengulas lanjut mengenai kes ini. Saya menyerahkan semuanya kepada peguam saya. Kes ini sudah menjadi kes mahkamah, jadi saya tidak mahu ganggu proses perbicaraan mahkamah," kata Awie ketika ditemui di Mahkamah Seksyen / Majistret Ampang pada Jumaat.

Dalam masa yang sama, penyanyi dan pelakon ini turut memberitahu bahawa dia akan menerima risiko sekiranya kes ini menjejaskan kariernya pada masa hadapan.

"Kerjaya saya berlangsung macam biasa. Tapi jika selepas ini ditakdirkan yang rezeki saya dalam bidang hiburan sudah terhenti, saya terima perkara tersebut," kata pelakon filem 'Tragedi Oktober' ini.

Awie Tak Sangka Kes Jadi Besar


Selepas penyebaran gambar wanita tersebut, ramai pihak melemparkan komen berbaur negatif terhadap Awie. Apa komen Awie mengenai perkara ini?

"Biarlah apa yang ingin orang katakan. Saya tak kisah dengan apa yang orang ingin cakap. Biarkan sahaja. Tapi saya tak sangka kes ini jadi sebesar ini," ujar Awie lagi.

Awie Tak Sangka Kes Jadi Besar


Awie atau nama sebenarnya, Ahmad Azhar Othman, 46, mengaku tidak bersalah atas tuduhan memukul isterinya, Rozana Misbun di Mahkamah Seksyen / Majistret Ampang dan minta dibicarakan. Pengakuan pelakon filem 'Maria Mariana' itu dibuat di hadapan Majistret Ayuni Izzati Sulaiman.

Diana Amir Kongsi Kisah Kanak-Kanak


Diana Amir Kongsi Kisah Kanak-Kanak


Memandangkan masyarakat Islam seluruh dunia menyambut Ramadan pada bulan ini, GUA telah memilih pelakon dan pengacara, Diana Amir sebagai artis bulanan. Diana yang berpenampilan Islamik sangat bersesuaian dengan bulan yang penuh keberkatan ini. Minggu ini, GUA ingin kongsikan siapa Diana Amir ketika zaman kanak-kanaknya.

Nurdiyana Amir Hashim, 28, merupakan seorang gadis yang aktif bersukan ketika zaman persekolahannya. Menurut Diana, dia sudah terbiasa tinggal di asrama dan sering menyibukkan dirinya dengan pelbagai aktiviti supaya tidak bosan.

“Masa sekolah dulu, saya sangat aktif. Semua benda saya nak masuk. Saya duduk di asrama. Kalau tak ada aktiviti, nanti bosan. Saya aktif main bola jaring dan olahraga,” kongsi Diana yang terpaksa berpindah ke sekolah lain ketika di tingkatan lima semata-mata untuk memberi sepenuh tumpuan kepada peperiksaan penting, Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Diana Amir Kongsi Kisah Kanak-Kanak


“Saya pikul terlalu banyak tanggungjawab ketika di asrama. Saya jadi biro pelajaran dan presiden untuk beberapa kelab. Sebab tu saya buat keputusan untuk pindah sekolah dan tinggal di rumah. Waktu itu saya fikir, kalau tinggal di rumah boleh belajar dengan ayah dan fokus pada SPM,” kata Diana yang kemudian melanjutkan pelajaran dalam bidang Perdagangan Antarabangsa di Universiti Sains Malaysia (USM).

Diana Amir Kongsi Kisah Kanak-Kanak


Jelas pelakon filem ‘Salam Cinta’ ini, dia mula berjinak-jinak dalam dunia lakonan apabila berkawan dengan pelajar-pelajar jurusan Komunikasi Media (Masscom) di USM. Kata Diana, rakan-rakannya itu sanggup menyewakan sebuah kereta untuk memudahkan Diana menghadiri ujibakat yang dianjurkan oleh syarikat produksi Red Communications untuk rancangan ‘Impian Sunsilk’.

“Di USM pula, saya aktif menari. Dari situ, saya kenal dengan kawan-kawan Masscom. Mereka yang galakkan saya untuk pergi ujibakat. Padahal saya tak tahu berlakon langsung. Tapi mungkin sebab saya ada minat, akhirnya saya dapat tawaran itu. Dari situlah permulaan kerjaya seni saya,” ujar Diana.

Walaupun mempelajari bidang Perdagangan Antarabangsa, namun kata Diana dia tidak berminat berkerja dalam pejabat. Jika tidak ditakdirkan menjadi seorang pelakon, Diana mungkin terlibat dalam bidang media seperti Perhubungan Awam dan Pemasaran.

“Saya ambil Masscom sebagai subjek elektif sewaktu di USM dulu. Jadi jika tidak menjadi artis, saya mungkin masih berada dalam bidang yang lebih kurang sama iaitu media. Saya suka jumpa orang baru,” katanya.



Kredit:

Solekan : Ayu Wahyu

Busana : Desa Murni Batik

Foto : Shareza Shafiee

Awie Mengaku Tidak Bersalah Pukul Isteri


Awie Mengaku Tidak Bersalah Pukul Isteri


Vokalis Wings, Ahmad Azhar Othman, 46, mengaku tidak bersalah atas tuduhan memukul isterinya, Rozana Misbun dan minta dibicarakan. Pengakuan penyanyi yang dikenali dengan nama Awie itu dibuat dihadapan Majistret Ayuni Izzati Sulaiman di Mahkamah Seksyen / Majistret Ampang sebentar tadi.

Pada 2 Jun 2014, kira-kira jam 1.30 petang, pelakon filem 'Sembilu' itu didakwa dengan sengaja mengasari Rozana sehingga menyebabkan kecederaan parah dalam satu kejadian di Taman Ukay Bistari, Ukay Perdana, Hulu Klang.

Pelakon filem 'Cuci' itu sebelum ini disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.

Awie Mengaku Tidak Bersalah Pukul Isteri


Sebelum ini, media mendedahkan berita mengenai seorang penyanyi kumpulan rock yang didakwa memukul isteri sendiri dalam satu kejadian di sebuah bank di Ampang, Selangor awal Jun lalu dan berdasarkan laporan itu, ramai pihak yang menyimpulkan individu yang dimaksudkan adalah Awie.

Namun begitu, Awie yang ditemubual GUA selepas berita itu tersebar enggan mengulas lanjut mengenai kes tersebut dan Awie tidak mahu mengiyakan dan menidakkan dakwaan tersebut.

Baru-baru ini pula terdapat beberapa keping gambar wanita yang wajahnya cedera, dipercayai akibat dipukul. Gambar tersebut didakwa merupakan gambar Rozana.

Sementara itu, mahkamah telah memerintahkan Awie membayar wang ikat jamin sebanyak RM9000 dengan dua orang penjamin dan kes Awie akan disebut semula pada 11 Ogos 2014.

Awie mempunyai lima orang cahaya mata iaitu Puteri Aleeya Antasha, 14 dan Puteri Aleefa Antasha, 12, menerusi perkahwinan pertama Awie bersama penyanyi Arni Nazira, manakala tiga lagi anak, Putra Ahmad Merah, 7, Putra Ahmad Rezkki, 6 dan Puteri Qasseh Antasha, 4, adalah menerusi perkahwinan kedua Awie bersama Rozana.

Nana Mahazan Bekerja Untuk Duit Poket


Nana Mahazan Bekerja Untuk Duit Poket


Jika anda mengikuti akaun Instagram bekas pelajar Akademi Fantasia musim pertama, Nana Mahazan, pasti anda dapat melihat betapa dia sedang menikmati kehidupannya sebagai seorang ibu. Dalam sehari pasti ada sahaja gambar-gambar Thea dan Aaqib yang dimuat naik olehnya. 

Ketika ditemui baru-baru ini, bekas penyampai radio Era FM itu mengakui yang dia kini memberi tumpuan kepada keluarga berbanding aktiviti-aktiviti seninya. 

“Semenjak bergelar ibu, saya memang memberi sepenuh perhatian kepada anak-anak. Rasanya sifat keibuan sangat tebal dalam diri saya. Ke mana sahaja saya pergi, pasti saya memikirkan tentang tentang mereka. Lagipun, saya tidak mempunyai orang gaji sebab saya mahu besarkan anak-anak saya dengan sendiri,” ujar Nana berkongsi cerita. 

Nana Mahazan Bekerja Untuk Duit Poket


Dalam masa yang sama, personaliti ini juga mengakui dia kini sudah melupakan dunia nyanyian kerana berpendapat sudah terlalu ramai penyanyi-penyanyi bagus ketika ini. 

“Menyanyi adalah hobi saya. Untuk menjadikan bidang nyanyian sebagai karier saya, itu tidak mungkin berlaku. Saya tahu, saya bukanlah seorang penyanyi yang baik. Jadi, biarlah mereka yang betul-betul bagus menyanyi mewarnai industri muzik kita. Saya lebih suka buat tugas-tugas pengacaraan. Sekali-sekala saya akan bertugas di konti radio Hot FM sebagai penyampai radio. Bidang lakonan saya tak minat sebab ia memerlukan komitmen tinggi. Jadual penggambaran pula bukannya sekejap,” ujar Nana lagi.

Melihatkan gaya hidupnya yang agak mewah, Nana turut ditebak mengapa tidak meninggalkan terus dunia seni kerana ramai yang maklum, suaminya Pengurus Rangkaian Kandungan Astro Radio, Mohamed Raqeem Brian mampu menanggung kehidupan mereka sekeluarga.

“Suami saya biasa-biasa sahaja. Kami tidaklah hidup bermewah-mewah, tapi saya akui kehidupan kami selesa. Kalau boleh saya tidak mahu membebankan suami dengan mengharapkan segala-gala daripada dia. Dia pun sudah banyak komitmen. Duit shopping saya, baik saya cari sendiri. Seganlah nak mintak semua daripada suami. Takkan nak beli beg tangan pun nak tunggu duit suami kan? Jadi, lebih baik saya kerja jika ada kelapangan. Ada juga duit poket untuk perbelanjaan sendiri,” ujar Nana.

Awi Rafael Jawab Status Hubungan Dengan Gadis Singapura


Awi Rafael Jawab Status Hubungan Dengan Gadis Singapura


“Saya tidak ada komen apa-apa mengenai perkara itu,” tutur penyanyi Awi Rafael apabila diajukan mengenai kisah kononnya dia kini bercinta dengan seorang gadis berasal dari Singapura.

“Saya datang sini untuk berkarier dan tidak suka cakap pasal benda privasi. Kawan-kawan saya juga tahu yang saya memang tak suka bercakap pasal perkara peribadi. Alhamdulillah kerana kisah mengenai kerjaya saya lebih banyak dari gosip, jadi lebih baik dikekalkan sebegitu,” ujar Awi.

Awi ketika ditemui pada majlis berbuka puasa anjuran Hotel Royale Chulan Damansara pada Rabu turut menafikan dia berahsia mengenai perhubungannya sekarang kerana serik dengan pengalaman percintaannya yang lepas.

Awi Rafael Jawab Status Hubungan Dengan Gadis Singapura


“Bagi saya setiap benda yang berlaku itu ada hikmahnya. Saya memang tak ada apa-apa hubungan dengan gadis Singapura seperti yang dimaksudkan. Kalau ada apa-apa, saya akan cerita tapi buat masa sekarang, saya ‘single’ dan ‘private’.

Awi Tidak Berdisiplin?


Ketika ditemui, pelantun lagu ‘Kalau Aku Kaya’ ini turut ditanya tentang isu kononnya dia tidak berdisiplin apabila gagal menghadiri ke sesi program segmen pagi bersama sebuah stesen radio baru-baru ini.

“Selepas empat tahun dalam industri, di mana setahun ada 365 hari dan bayangkan setahun ada 80 sesi temubual. Jika dikalikan dengan empat tahun, kesemuanya ada 320 sesi temubual dan hanya sekali itu saja insiden tersebut terjadi. Saya tak pernah lambat sebelum ini,” ujar Awi kepada GUA.

Saya juga manusia biasa, kadang-kadang tidur lambat dan ada kalanya bangun lambat. Saya bangun lambat kerana ada rakaman dan sudah tentu saya rasa bersalah mengenai perkara ini. Tapi masalah itu sudah pun diselesaikan  dengan pihak yang terlibat dan semuanya berjalan dengan lancar.

Stesen radio tersebut pun masih lagi menyokong saya, begitu juga sebaliknya di mana saya juga menyokong mereka. Bagi saya, apa yang berlaku hanyalah masalah komunikasi sahaja,” ulas Awi mengakhiri perbualan.

Istimewa Ramadan : Eina Azman & Ramona Zamzam Punya Niat Sama


Istimewa Ramadan : Eina Azman & Ramona Zamzam Punya Niat Sama


Bulan yang penuh keberkatan, bulan Ramadan, tiba lagi dan seperti biasa umat Islam seluruh dunia berlumba-lumba untuk mempertingkatkan ibadah. Selain mendekatkan diri dengan Allah, ada juga yang mengambil kesempatan bulan puasa untuk menjaga pemakanan dan kesihatan mereka. 

Bagi dua pelakon kontroversi, Eina Azman dan Ramona Zamzam, mereka begitu teruja setiap kali menjelangnya bulan Ramadan. 

Menurut Eina, Ramadan sangat bermakna kerana waktu itu dapat digunakan untuk mengeratkan tali kekeluargaan. Selain memperbanyakkan amal ibadah, gadis ini tidak mahu melepaskan peluang untuk meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga.

Istimewa Ramadan : Eina Azman & Ramona Zamzam Punya Niat Sama


“Saya akan kurangkan aktiviti lakonan sepanjang bulan puasa kerana saya mahu meluangkan lebih banyak masa dengan keluarga. Biasanya bila dah terlalu sibuk dengan kerja, saya sampai tak sempat nak jumpa mak. Jadi saya mahu gunakan bulan Ramadan  sehabis baik untuk diluangkan bersama mereka,” jelas Eina sewaktu sesi fotografi bersama GUA.

Istimewa Ramadan : Eina Azman & Ramona Zamzam Punya Niat Sama


Tambah Eina, bulan puasa yang paling ditunggu-tunggunya kerana ia dapat mempertingkatkan kualiti kesihatannya sambil berdiet.

“Saya suka makan. Jadi bulan puasa ni lah waktunya untuk saya berdiet. Selain mensucikan jiwa, dapat juga menguruskan badan,” selorohnya.

Eina Azman Simpan Niat Bertudung


Istimewa Ramadan : Eina Azman & Ramona Zamzam Punya Niat Sama


Sebut saja nama Eina Azman ada saja cerita-cerita yang tidak begitu manis dikaitkan dengan gadis berusia 19 tahun ini. Seorang pelakon yang tak pernah sunyi daripada kontroversi, namun begitu Eina mengakui tuntutan agama dan ibadah masih kuat terpahat dalam hatinya.

Eina yang kini sedang menjalin hubungan dengan seorang ahli perniagaan, Dato’ GMix, lebih teruja meyambut Ramadan pada tahun ini kerana kekasihnya itu bakal menjadi saudara baru tak lama lagi. Kata Eina, dia dan kekasihnya akan sama-sama mempelajari ilmu agama dan memperbaiki diri.

“Tanggungjawab untuk membawa GMix mendalami Islam sangat berat sebab ilmu agama saya juga tak banyak. Saya baru 19 tahun, apa sangat yang saya tahu. Tapi Alhamdulillah, keluarga saya banyak membantu GMix mempelajari Islam. Secara tak langsung, saya juga dapat mempertingkatkan ilmu agama saya,” kata Eina yang ada menyimpan niat untuk bertudung tak lama lagi.

“Setiap orang pasti ada menyimpan niat untuk bertudung. Saya pun tak terkecuali. Tapi saya masih menanti waktunya sehingga saya benar-benar bersedia. Lagipun, saya pernah juga cuba-cuba pakai tudung bila balik kampung. InsyaAllah bila tiba masanya, saya pasti akan bertudung,” kata Eina.

Ramona Zamzam Jaga Pemakaian Ketika Ramadan


Istimewa Ramadan : Eina Azman & Ramona Zamzam Punya Niat Sama


Memulakan kerjaya seni seawal usia 14 tahun, pemilik nama Ramona Zamzam cukup terkenal menerusi watak antagonis yang dibawanya. Biarpun namanya kurang dikenali, namun bakat lakonan yang ada pada diri gadis berusia 24 tahun ini sudah cukup untuk membuatkan namanya konsisten dalam industri lakonan tanah air.

“Walaupun ‘exposure’ yang diterima tak sebesar mana, namun Alhamdulillah tawaran lakonan sentiasa ada. Saya tak kisah jika tidak popular kerana saya sangat bahagia dengan apa yang saya kecapi sekarang. Bagi saya, penonton sekarang sudah bijak kerana kualiti yang mereka cari adalah bakat. Jika tidak ada bakat, pada akhirnya orang tak akan pandang pun kepada kita kelak. 

Soal watak pula, Alhamdulillah tawaran yang diterima sekarang sudah semakin seimbang. Kalau dulu saya asyik mendapat watak antagonis sahaja, tapi sekarang sudah ada watak baik. Tidak dinafikan pernah satu ketika apabila melihat pada tawaran yang lebih banyak ke arah antagonis, ikutkan hati mahu saja saya kekal dengan watak yang sama. Namun, saya tidak mahu jadi pelakon yang stereotaip dan mahu memperkembangkan bakat lakonan saya lagi,” tutur Ramona yang ayu mengenakan busana dari Azura Couture.

Mengikuti perkembangan seni Ramona, pasti umum mengetahui dengan kisah kontroversi yang pernah terpalit dalam diari seninya mengenai gaya hidupnya yang sosial serta penampilan seksinya. Seperti Eina, Ramona juga turut menyimpan hasrat untuk bertudung, namun menurut pelakon ‘Cinta Jangan Pergi’ ini, penghijrahannya itu nanti biarlah datang dari hati yang ikhlas.

“Secara jujur, Ramona tidak mahu berhijab hanya kerana ingin mengikut trend atau desakan mana-mana pihak. Jika betul nak pakai tudung, biarlah terbuka dari hati sendiri dan jangan disebabkan teman lelaki atau orang sekeliling yang suruh. Jadikanlah perubahan yang dilakukan itu sebagai ikhlas dan jangan hipokrit.

Istimewa Ramadan : Eina Azman & Ramona Zamzam Punya Niat Sama


Semua orang menyimpan hasrat untuk bertudung tapi secara jujur, buat masa ini perancangan ke arah itu terus-terang belum lagi. Namun, InsyaAllah jika pada masa hadapan terbuka hati, saya tak akan henti atau halang diri saya kerana saya tak nampak sebarang masalah pun mengenai perkara ini,” ujar Ramona yang turut mengikuti fesyen hijab.

“Kalau dilihat trend artis sekarang yang dah makin ramai berhijab, saya gembira sangat. Alhamdulillah hati mereka terbuka awal di mana ia satu perkara yang sangat bagus. Lagipun fesyen hijab sekarang pun dah semakin berkembang dan saya sendiri tertarik dengan stail tudung yang ada.”

Sering mendapat watak yang memerlukannya bertudung, Ramona memberitahu dia tidak mempunyai masalah serta tidak kisah dengan mentaliti atau persepsi masyarakat terhadap gaya pemakaian seksinya lebih-lebih lagi ketika bulan Ramadan. Sebagai seorang gadis Muslim, dia akui akan sentiasa peka dan tahu menjaga batasnya bagi menghormati bulan Ramadan.

“Sudah tentu apabila tibanya bulan Ramadan, pemakaian saya tidak sama seperti hari-hari lain kerana jika saya tidak memakai tudung pun, saya kenalah menghormati bulan Ramadhan. Dari segi pakaian, saya kena jaga lebih ekstra lagi dan mak juga selalu menasihati saya agar memakai lebih banyak pakaian yang menutup aurat,” kata Ramona mengakhiri perbualan.

Istimewa Ramadan : Eina Azman & Ramona Zamzam Punya Niat Sama




Kredit:

Foto : Farid Md Noh

Solekan Eina Azman : Ayu Wahyu

Solekan Ramona Zam Zam : Lyana Dee

Busana : Azura Couture

Amy Search Akui Hilang Akal Tulis Kata Kesat Kepada Nabila Huda


Amy Search Akui Hilang Akal Tulis Kata Kesat Kepada Nabila Huda


Rentetan komen berbaur makian yang ditulis Amy Search di laman Instagram milik anaknya, Nabila Huda beberapa minggu lalu, ramai yang terkejut dan tidak percaya komen tersebut ditulis oleh penyanyi rock terkenal tanah air itu.

Tidak semena-mena, nama isterinya, Norish dituduh sebagai individu yang melemparkan komen kesat terhadap pelakon drama ‘Julia’ itu. Justeru, GUA menemubual pelantun lagu ‘Isabella’ ini bagi mendapatkan pengesahannya mengenai perkara tersebut.

“Saya yang tulis, memang saya dan bukannya isteri saya. Sama ada orang luar suka atau tidak dengan tindakan saya itu, terpulang. Saya akan bertanggungjawab dengan apa yang saya tulis,” ujar Amy atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman ketika ditemui pada majlis berbuka bersama anak yatim dan keluarga miskin anjuran Hotel The Royale Chulan Damansara, pada Rabu.

Amy Search Akui Hilang Akal Tulis Kata Kesat Kepada Nabila Huda


Menurut Amy, tindakannya menulis komen sebegitu bukan disebabkan pengaruh daripada sesiapa dan mengakui menulis komen sebegitu kerana terkejut dengan soalan yang diajukan pihak media perihal kontroversi terbaru membabitkan anaknya itu.

“Apabila ada wartawan yang menghubungi saya bertanyakan isu tukar agama dan pergi bercuti, saya rasa seperti jantung saya terhenti sekejap. Soalan itu buat saya hilang pertimbangan seketika sehingga menyebabkan saya menulis status seperti itu. Ditambah pula pertanyaan mengenai teman lelaki, terus saya hilang akal.

Amy Search Akui Hilang Akal Tulis Kata Kesat Kepada Nabila Huda


Saya bukan geram dengan soalan daripada pihak media tapi bila ia menyentuh soal agama, ia memang sangat sensitif. Saya memang tidak boleh bertoleransi jika ia membabitkan agama,” tutur Amy sambil menegaskan tidak mahu lagi memberi sebarang komen mengenai Nabila.

“Selepas ini tak akan ada kenyataan daripada saya lagi jika ada isu berkaitan Nabila Huda. Lebih baik tanya pada tuan punya badan sendiri sebab saya tak nak jawab. Saya lebih suka jika orang bertanya saya tentang perkara lain. 
Bukan bermaksud saya tidak peduli, tapi saya rasa Nabila dah besar untuk menjawab mengenai isu yang dicetuskan olehnya sendiri. Bagi saya, dia seorang yang berbakat, jadi jagalah bakat yang ada dan janganlah asyik timbulkan isu sehingga membolehkan orang bercakap buruk pasal dirinya,” kata Amy mengakui sudah lama tidak bertemu dengan anaknya itu.

“Kali terakhir saya bertemu Abil adalah pada awal Muharam lepas. Selepas timbul isu ini pun dia tidak ada menghubungi saya. Saya hanya ada bertemu dengan anaknya, Keisha dan membawanya pergi bercuti baru-baru ini,” ujar Amy lagi.

Norish Sebak


Sementara itu, Norish ketika ditemui turut memberitahu terkejut dengan kontroversi yang timbul dan mengakui berasa kasihan dengan suaminya itu kerana perlu berhadapan dengan isu-isu yang dicetuskan oleh Nabila.

“Sebagai isteri, saya berasa kasihan pada abang. Dalam usianya 56 tahun, dia tidak sepatutnya berdepan dengan isu-isu sebegini lagi. Dulu abang selalu diam bila orang bercakap pasal anaknya, tapi sejak akhir-akhir ini dia banyak meluahkan perasaannya. Saya cakap pada abang yang Abil dah dewasa serta sudah ada kehidupan sendiri dan kita sebagai ibu bapa hanya boleh mendoakannya sahaja,” ujar Norish tidak dapat menahan sebak.

Menjawab mengenai tuduhan orang luar yang mengatakan dia yang menulis komen tersebut, Norish atau nama sebenarnya Norhasniza Hassan memberitahu dia sendiri tidak tahu mengenai isu yang timbul dan mengakui terkejut dengan tindakan suaminya itu.

“Ketika itu saya tidak bersama abang kerana saya mempunyai satu seminar, manakala abang berada di Raub, Pahang. Apabila pulang ke rumah, abang memberitahu ada media menghubunginya bertanyakan soal Nabila dan mengakui marah serta bengang dengan isu tersebut. Saya cuba tenangkan dia dan berpesan supaya jangan komen apa-apa kerana tak nak memburukkan lagi keadaan.

Tak tahu pula dia sudah komen sebegitu di laman sosial Abil dan bila ada kawan saya kirimkan ‘screen caption’ yang ditulis abang kepada saya, saya sendiri terkejut melihat statusnya,” kata Norish mengakhiri perbualan.

Fizz Fairuz & Izzue Islam Berkomplot?


Fizz Fairuz & Izzue Islam Berkomplot?


Rancak sungguh perbualan Fizz Fairuz dan Izzue Islam. Apa yang diborakkan sehingga Fizz terangkat tangan, Izzue pula jauh melopong. Macam ada masalah besar je. Kalau nak tahu apa yang dibincangkan, jangan lupa menonton 'Mat Tudung' di pawagam berdekatan anda pada 28 Julai.

Terbitan Showbiz Productions, filem komedi arahan Waan Hafiz yang sebelum ini mengarah 'Hantu Tok Mudim' turut menampilkan Nelydia Senrose dan Izzue Islam selain Fizz sebagai pelakon utama.

Fizz Fairuz & Izzue Islam Berkomplot?


'Mat Tudung' mengisahkan seorang mat rempit bernama Johari yang telah jatuh cinta pandang pertama pada Zizie. Zizie bukanlah seperti gadis-gadis lain yang mudah untuk didampingi. Sebaliknya, dia seorang gadis berhijab yang terkenal dengan sifatnya yang dingin terhadap lelaki.

Johari terpaksa mencari apa saja helah untuk mendekati Zizie. Cara yang difikirkannya paling berkesan ialah dengan menyamar sebagai gadis bertudung iaitu Johanna, ‘adik perempuan’ kepada Johari.

Menggunakan pengaruh Johanna, Zizie mula terbuka untuk mengenali Johari dan pada masa yang sama, Johari juga berjaya menyelami hati Zizie melalui keintiman Johanna dan Zizie. Tapi siapa sangka, Johanna turut digilai seluruh ahli keluarga Zizie yang gila-gila termasuk bapa Zizie yang sukakan Johanna yang kelihatan ayu dengan tudungnya. Sebagai dirinya sebenar, Johari turut menarik perhatian ibu Zizie yang kesepian dan abang Zizie yang 'confuse'.

Mampukah Johari menepis semua godaan ini dan memenangi hati Zizie? Saksikan semuanya dalam 'Mat Tudung' yang pastinya membuat anda pecah perut di pawagam pada 28 Julai ini.

Program-Program Menarik Sepanjang Ramadan di TV3


Program-Program Menarik Sepanjang Ramadan di TV3


Sempena Ramadan ini, stesen televisyen nombor satu Malaysia, TV3 telah merangka dan menyediakan pelbagai rancangan untuk tontonan anda. Seperti kebiasaannya, TV3 mengekalkan program yang menjadi identiti mereka seperti rancangan berbentuk dokumentari, 'Jejak Rasul'. 

Memasuki musim yang ke 20 tahun ini, 'Jejak Rasul: Rehlah Dua Da'i' akan bersiaran setiap Jumaat hingga Ahad, jam 5.30 petang dan menampilkan Zainal Ariffin Ismail sebagai hos. Program kelolaan Ahmad Fedtri Yahya, 'Madrasah' yang kini telah memasuki musim ketiga akan bersiaran setiap hari Sabtu pada jam 7.00 malam.

TV3 juga tidak ketinggalan menampilkan rancangan berbentuk muzikal sempena bulan yang penuh keberkatan ini. Jangan lupa saksikan 'Akustika Ramadan' musim ketiga, setiap hari Khamis pada pukul 11.00 malam sepanjang bulan Ramadan ini. Tahun ini, Akustika Ramadan menampilkan artis-artis hebat seperti Mawi, Datuk AC Mizal, Datuk Siti Nurhaliza, Ella dan ramai lagi.

Program-Program Menarik Sepanjang Ramadan di TV3


Tidak ketinggalan, TV3 juga menyiarkan drama-drama terbaik sepanjang bulan Ramadan ini. Saksikan gandingan hebat Rita Rudaini dan Faizal Hussein dalam drama bersiri 'Azam Ramadan Su' setiap hari Isnin hingga Khamis, jam 12.30 tengah hari.

Program-Program Menarik Sepanjang Ramadan di TV3


Bergelak ketawa dengan drama bersiri komedi lakonan Nina Iskandar, Kamal Adli, Azlee Khairi dan Amar Asyraf, 'Raya Ini Mesti Kahwin'. Drama ini akan bersiaran setiap Sabtu dan Ahad jam 9.30 malam. Setelah berjaya dengan siri pertama yang disiarkan pada Ramadan tahun lalu, 'Geng Kampung Pisang' kembali untuk musim kedua. Saksikan lakonan AG Hot FM, Idzham Ismail, Azwan Kombos dan ramai lagi pada setiap hari Ahad pada jam 10.00 malam.

Slot Samarinda yang saban tahun akan mengundang air mata penonton pula menampilkan drama bersiri lakonan Siti Saleha, Fir Rahman dan Lufya, 'Ramadan Jangan Pergi'. Drama ini akan bersiaran setiap Selasa hingga Khamis jam 10.00 malam.

Program-Program Menarik Sepanjang Ramadan di TV3


Untuk slot Akasia pula, saksikan lakonan Zul Ariffin dan Ayda Jebat dalam drama bersiri adaptasi novel, Rindu Awak 200%, setiap Isnin hingga Khamis jam 7.00 malam. 

Bagi duta untuk kempen Ramadan dan Raya, TV3 melantik Fiza Sabjahan dan Tajdid Hadhari sebagai Duta Seindah Ramadan TV3 manakala selebriti terkemuka seperti Siti Saleha, Anzalna Nasir, Izzue Islam, Zul Ariffin, Azlee Khairi dan Fara Fauzana terpilih sebagai Duta Anugerah Syawal TV3.

Jangan lupa untuk terus setia bersama TV3 dan jangan ketinggalan untuk saksikan program-program menarik sepanjang bulan Ramadan ini. Untuk keterangan lanjut, layari laman web www.tv3.com.my atau www.ramadanraya.com.my mengenai informasi terkini berkenaan dengan program-program Ramadan TV3!

Noraniza Idris Menyepi Kerana Pelajari Ilmu Agama


Noraniza Idris Menyepi Kerana Pelajari Ilmu Agama


Sekian lama menyepi, penyanyi lagu tradisional, Noraniza Idris akui mahu memperlahankan kerjaya seni demi mendekatkan diri dengan Allah dan mempelajari agama.

Jelas Noraniza, suaminya, Jeffri Hudi, sudah lama mengharapkan dia tidak lagi terlibat dalam dunia seni, namun wanita ini masih merasa bertanggungjawab mendidik anak-anak muda tentang warisan dan kebudayaan melayu.

"Saya akan lebih aktif di belakang tabir seperti terlibat dengan produksi dan pembikinan album artis di bawah naungan syarikat saya dan sebagainya. Tapi saya bukanlah bersara dari bidang nyanyian. Cuma saya akan lebih beri tumpuan dalam mendalami ilmu agama. Ini permintaan suami dan saya rasa dah tiba masanya saya ikut haluan dia pula," jelas Noraniza.

Noraniza Idris Menyepi Kerana Pelajari Ilmu Agama


Tambah Noraniza, buat masa ini dia mahu memastikan siri 'Jelajah Empayar Akar Kita Zapin Nusantara' yang sudah bermula sejak 12 Mei lepas berjaya terlebih dahulu dan kemudian dia akan perlahan-lahan menunaikan permintaan suami.

Noraniza Idris Menyepi Kerana Pelajari Ilmu Agama


"'Jelajah Empayar Akar Kita Zapin Nusantara' ini merupakan satu pertandingan menyanyikan lagu zapin di kalangan anak-anak muda. Alhamdulillah setaķat ini, saya lihat anak muda masih boleh menerima zapin sebagai alternatif muzik pilihan mereka. Cuma saya nampak mereka sedikit kekurangan dalam mengenali pelbagai jenis zapin. Oleh itu di setiap lokasi siri jelajah ini, kami akan adakan satu bengkel agar mereka lebih memahami tentang warisan melayu terutamanya zapin," kongsi Noraniza.

Pilih Shila Amzah


Sementara itu, Noraniza berkongsi dia mahu menghasilkan sebuah album tradisional dan menyelitkan elemen moden dalam album tersebut. Kata Noraniza, dia berharap dapat berkerjasama dengan penyanyi Shila Amzah.

"Untuk hasilkan album tradisional, kita harus lakukan pembaharuan dalam industri muzik iaitu dengan memasukkan idea-idea orang muda. Saya dah menyuarakan hasrat kepada ND Lala untuk berkerjasama dengan Shila Amzah, namun kerjayanya di luar negara sedang rancak berkembang. Jadi saya rasa biarlah Shila tumpukan perhatian di China terlebih dahulu. Mudah-mudahan satu hari nanti, dia mampu bawa muzik tradisional ke peringkat antarabangsa," kongsi Noraniza yang turut berbangga dengan pencapaian anak angkatnya itu.

Tempat Zizan Razak Digantikan Dengan Dua Pengacara Wanita


Tempat Zizan Razak Digantikan Dengan Dua Pengacara Wanita


Umum mengetahui pelakon serta pelawak Zizan Rizak kini tidak lagi mengacara program hiburan nombor satu Malaysia, Melodi. Menerusi siaran pada Ahad lalu, Zizan mengumumkan episod tersebut merupakan hari terakhir dia bersama Melodi setelah hampir empat tahun mengendalikan program tersebut.

Namun, ada khabar angin sampai ke telinga GUA kononnya duta jenama 'Kit Kat' itu diberhentikan gara-gara kontroversi yang melanda namanya sejak akhir-akhir ini. Bagi mendapatkan pengesahan mengenai perkara tersebut, GUA menghubungi penerbit Melodi, Michelle Wee untuk bertanyakan mengenai isu yang timbul.


Tempat Zizan Razak Digantikan Dengan Dua Pengacara Wanita


“Zizan tidak lagi mengacara Melodi bukan sebab dia dibuang atau digugurkan, namun kerana kontraknya bersama Melodi memang sudah tamat. Mengenai isu diberhentikan kerana kontroversi, itu tidak benar sama sekali,” ujar Michelle ketika dihubungi GUA sebentar tadi.

GUA turut bertanya kepada Michelle sama ada benarkah ura-ura kononnya pasangan pengacara Zizan dalam Melodi, Awal Ashaari juga turut bakal ditamatkan kontraknya, Michelle menafikan perkara tersebut.


Tempat Zizan Razak Digantikan Dengan Dua Pengacara Wanita


“Khabar angin tersebut tidak betul kerana Awal masih lagi akan bersama dengan produksi Melodi. Malah, Awal juga akan bergandingan bersama dua orang pengacara baru bermula Ahad ini,” tutur Michelle lagi.

Ditanya adakah dua pengacara yang dimaksudkan adalah Sherry Al Hadad dan Zulin Aziz, ini jawapan Michelle.

“Jika nak tahu siapa dua pengacara tersebut yang akan menggantikan tempat Zizan, nantikan saja program Melodi pada Ahad ini,” katanya mengakhiri perbualan.


Zizan Razak Minta Diberi Masa Selesai Kemelut



Sementara itu, Zizan yang dihubungi memohon agar semua pihak memberikannya sedikit masa dan ruang bagi menyelesaikan kemelut yang dihadapi bersama syarikat pengurusan miliknya, Wire Fame Entertainment Sd Bhd (WFE).

Pelakon ‘Hantu Kapcai’ ini menerusi mesejnya di aplikasi Whatsapp memberitahu, isu ini melibatkan dirinya bersama rakan kongsi, Marina Juki dan ia perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum memberikan sebarang kenyataan kepada pihak luar.

“Saya berharap semua pihak termasuk media dapat memberikan saya sedikit masa untuk menyelesaikan isu ini kerana ia turut melibatkan rakan niaga saya. Ini merupakan isu peribadi berkenaan syarikat jadi ia agak sulit untuk diperkatakan kepada umum,” ulas Zizan kepada GUA.

Baru-baru ini, rakan kongsi Zizan yang juga bekas pengurusnya, Marina Juki menerusi satu sidang media yang diadakan mahu Zizan mengemukan bukti yang kononnya berlaku penyelewangan dalam syarikat tersebut. Marina turut meminta agar Zizan atau nama sebenarnya Razizan Abdul Razak menjelaskan mengenai tindakannya membekukan dua akaun milik syarikat WFE.

“Saya akan menghubungi pihak media untuk memberikan penjelasan selanjutnya apabila keadaan membolehkan saya berbuat demikian,” ujarnya sambil memberitahu itu sahaja jawapan yang dapat diberikannya buat masa ini.



Kredit foto Zizan & Awal : www.abpbh.com.my

Sharifah Aleya Hamil 3 Bulan


Sharifah Aleya Hamil 3 Bulan


Penyampai radio, Sharifah Aleya Syed Zainal Rashid yang melangsungkan perkahwinan bersama jejaka pilihannya, Mohammed Azam Abdullah atau lebih dikenali dengan nama Miko pada 11 Januari lalu berkongsi berita gembira yang dia kini sedang hamil tiga bulan.

“Alhamdulillah buat setakat ini saya tidak mengalami sebarang alahan yang teruk. Cuma saya kerap mengidam burger daging yang mempunyai isi yang tebal. Boleh dikatakan pernah satu ketika hampir setiap hari saya akan mengajak suami saya untuk menemankan saya makan burger.

Sharifah Aleya Hamil 3 Bulan


Malah anak-anak saya juga begitu teruja menanti kelahiran adik baru mereka ini. Boleh dikatakan hampir setiap hari mereka bertanya mengapa kandungan saya masih belum besar lagi. Tapi saya menjelaskan yang kandungan saya ini tidak akan membesar sekelip mata,” ujar Aleya sambil tergelak ketika ditemui di majlis iftar bersama media anjuran Hot FM di Flora Terrace Hampshire Place, Kuala Lumpur pada Selasa.

Gembira dengan kehidupannya kini, Aleya menggambarkan Miko sebagai seorang yang begitu penyabar. Dia berkongsi yang suaminya itu melayannya seperti seorang puteri sejak dari awal perkenalan lagi dan layanan istimewa bukan hanya diberikan ketika dia mengandung sahaja.

“Miko merupakan seorang yang tenang dan penyabar yang mana saya merasakan saya telah membuat keputusan yang tepat untuk menerimanya sebagai suami. Saya juga berterima kasih kepada Miko kerana turut membuat keputusan untuk memilih saya menjadi isterinya.

Dia tidak cerewet hal makan dan tidak membuatkan saya merasa seperti terpaksa untuk melakukan sesuatu kerja itu. Jadi, sebagai isteri saya merasa gembira untuk menjalankan tanggungjawab sebagai isteri serta tidak merasa terbeban untuk melakukan sebarang kerja,” ujar Aleya lagi.

Selain itu, Aleya turut melahirkan rasa gembiranya kerana dia baru sahaja berpindah ke rumah yang dibeli dengan hasil titik peluhnya sendiri. Menurut Aleya, dia sudah mempunyai konsep untuk menghias rumah tersebut mengikut ideanya sendiri.

“Saya menyimpan angan-angan ketika mula berpindah dulu untuk menyediakan ruang khas untuk berpantang jika bersalin dan macam-macam lagi. Saya juga gemar memasak yang mana benda yang paling penting untuk saya adalah dapur,” ujar Aleya sambil tertawa mengakhiri perbualan.

Neelofa Enggan Dedah Sebab Berhijab


Neelofa Enggan Dedah Sebab Berhijab


Pelakon filem 'Hantu Kapcai', Noor Neelofa Mohd Noor, 25, enggan mendedahkan sebab dia memilih untuk mengenakan hijab dan mahu perkara itu kekal sebagai cerita peribadinya.

Pemenang bagi kategori Pengacara TV Wanita Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2013 itu kini tampil anggun dengan imej bertudung dan membuat penampilan sulung menerusi rancangan 'Meletop' pada malam Selasa.

Neelofa Enggan Dedah Sebab Berhijab


"Memang betul ini adalah imej dan penampilan terbaru saya. Mengenai soalan mengapa saya pilih untuk berhijab, biarlah ianya kekal sebagai cerita peribadi saya," ujar Neelofa menerusi kiriman Whatsapp kepada GUA.

Menganggap perubahan yang datang adalah hasil doa semua pihak, Neelofa nekad untuk terus kekal dengan imej sebegini.

Neelofa Enggan Dedah Sebab Berhijab


"Perkara ini terjadi atas doa dan sokongan orang di luar sana, peminat-peminat saya, keluarga saya, terutamanya ibu saya. Saya mula mengenakan hijab pada hari kedua Ramadan dan saya nekad untuk bertudung setelah sekian lama berdoa kepada Allah untuk diberikan petunjuk dan jalan yang terbaik buat diri saya," kata duta produk kecantikan Airish Miracle ini.

Apabila ditanya apa yang dirasakan oleh Neelofa kini setelah tampil dengan imej baru, pelakon filem 'Azura' itu merasakan penampilan terbaru melengkapkan dirinya.

"I feel like it completes me. Saya mengharapkan orang di luar sana untuk terus mendoakan dan menyokong saya. Sesungguhnya, saya amat menghargai setiap sokongan yang diberikan," ujar Neelofa mengakhiri perbualan.

Istimewa Ramadan : Bella Dally Anggap Diri Belum Sempurna


Istimewa Ramadan : Bella Dally Anggap Diri Belum Sempurna


Membuat keputusan untuk berhijab bukanlah pilihan yang mudah untuk dibuat oleh pelakon, Bella Dally. Gadis kelahiran Sabah itu tidak tidur semalaman memikirkan mengenai perubahan imejnya itu yang mana sedikit sebanyak pasti memberi impak terhadap kehidupan peribadi serta kerjayanya.

Namun kini, Bella berkongsi yang dia merasa begitu tenang dengan kehidupannya yang mana tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata. Menurut Bella, pengikutnya di akaun Instagram telah bertambah lebih kurang 15,000 orang apabila dia memuat naik gambarnya berhijab.

Istimewa Ramadan : Bella Dally Anggap Diri Belum Sempurna


“Saya tidak dapat tidur malam kerana tidak dapat membayangkan langsung imej saya apabila saya bertudung. Pada hari pertama muat naik gambar berhijab, saya sama sekali tidak menyangka begitu banyak komen positif yang diberikan oleh peminat-peminat. Malah dengan tidak disangka pengikut di Instagram juga naik sebanyak lebih kurang 15,000.

Istimewa Ramadan : Bella Dally Anggap Diri Belum Sempurna


Saya juga tidak menafikan yang sememangnya berhijab ini memberi impak terhadap kerjaya lakonan saya. Watak-watak yang ditawarkan juga terbatas kerana ia perlu sesuai dengan penampilan wanita muslimah.

Bagaimanapun, ada juga yang tidak mengetahui bahawa saya sudah berhijab dan meminta saya untuk memakai rambut palsu. Namun saya terpaksa menolak baik tawaran tersebut kerana bertentangan dengan prinsip saya,” ujar Bella ketika sesi fotografi bersama GUA di Pusat Karaoke Red Box Gardens, Kuala Lumpur, baru-baru.

Mengulas sama ada nawaitunya untuk berhijab adalah sekadar mengikut trend masa kini, Bella tidak menyangka ada pihak yang menggangap perubahan imej ini sebagai salah satu trend. Bagi Bella, semuanya bergantung kepada prinsip serta niat masing-masing. Namun, Bella menjelaskan yang dia masih baru dan perlu mendalami lebih banyak lagi mengenai agama secara perlahan-lahan.

Istimewa Ramadan : Bella Dally Anggap Diri Belum Sempurna


“Kadang kala saya takut kerana ada yang menjadikan saya sebagai rujukan untuk bergaya. Ini kerana saya merasakan penampilan saya masih belum sempurna kerana saya masih lagi memakai 'skinny' jeans dan tidak memakai tudung labuh. Walaupun masih menggayakan skinny jeans, saya pastikan memadankannya dengan baju labuh.

Sepupu saya menyarankan kepada saya untuk menjadikan blogger, Vivy Yusof sebagai rujukan kerana kami mempunyai gaya yang lebih kurang sama. Malah, dia juga turut meminati warna 'pastel' seperti saya. Boleh dikatakan saya menjadikan Vivy sebagai inspirasi sejak berhijab ini,” ujar Bella lagi.

Padam Gambar-gambar Di Instagram


Sementara itu, Bella turut mendedahkan dia mengambil masa dua hari untuk memadam gambar-gambarnya sebelum berhijab di laman sosial Instagram, Twitter dan Facebook. Kini dia berdebar menantikan reaksi peminat melalui penampilannya dalam drama bersiri 'Kusinero Cinta' yang mana penggambaran dijalankan sebelum dia berhijrah.

“Saya agak risau menantikan reaksi penonton kerana dalam 'Kusinero Cinta' saya belum lagi berhijab. Akan tetapi, saya tahu peminat bijak menilai yang mana perkara itu semua adalah kisah lampau saya. Kita tidak dapat meneka masa depan, dan kita juga tidak dapat mengubah kisah lampau kita,” ujarnya.

Istimewa Ramadan : Bella Dally Anggap Diri Belum Sempurna


Bercerita tentang aktivitinya sepanjang Ramadan ini, Bella memberitahu pada tahun ini dia memilih untuk berehat bagi memberi sepenuh tumpuan untuk beribadat. Ini kerana Ramadan tahun lalu dia langsung tidak berkesempatan untuk menunaikan Solat Tarawikh kerana komitmen kerja.

Biarpun Aidilfitri masih jauh lagi, Bella sempat juga bercerita tentang persiapan Hari Rayanya nanti. 

"Tahun ini saya menginginkan sesuatu yang berbeza, yang mana baju raya saya merangkumi warna gelap serta 'lace' yang lebih tebal ciptaan Melinda Looi. Tetapi, saya juga masih setia dengan warna pastel yang merupakan warna kegemaran,” ujar Bella yang akan pulang ke Sabah setiap kali menyambut Lebaran.

Dalam perkembangan terkini, Bella juga sedang berjinak-jinak untuk menceburi bidang pengacaraan. Sebagai permulaan, dia mengacarakan sebuah program masakan. Bella juga sedang merancang untuk menembusi bidang perniagaan, namun belum bersedia untuk bercerita lanjut kerana semuanya masih dalam perbincangan.


Kredit :

Solekan : Siti Halijah (Dieja) 012-6074309

Jurugambar : Farid Mad Noh

Pakaian : Samantha Sherina by Thian

Program-Program Menarik Sepanjang Ramadan di TV9


Program-Program Menarik Sepanjang Ramadan di TV9


Sebagai stesen televisyen nombor dua Malaysia, TV9 sentiasa menjanjikan program-program menarik untuk sajian penonton-penonton di luar sana. Bagi meraikan kemuliaan bulan Ramadan, TV9 juga tidak ketinggalan dalam menyediakan program-program menarik sepanjang bulan Ramadan.

Bagi program yang bercirikan kerohanian, setiap tahun, TV9 tidak akan ketinggalan menyiarkan siaran langsung yang dinanti-nantikan oleh penonton iaitu 'Solat Terawih' dari Masjidil Haram. 

Bermula Ramadan pertama, TV9 akan menyiarkan siaran langsung ini pada jam 2.00 pagi. Program 'Tanyalah Ustaz' akan bersiaran secara langsung pada jam 7.00 setiap hari, manakala program 'Tanyalah Ustazah' pula akan bersiaran secara langsung pada setiap Rabu, jam 11.30 pagi.


Program-Program Menarik Sepanjang Ramadan di TV9


Untuk mereka yang meminati program masakan, TV9 menyediakan program 'Makmal Masak' yang menampilkan adik-adik peserta Idola Kecil berganding bahu bersama Chef Nik Michael untuk mencuba pelbagai resipi menarik setiap Ahad jam 6.00 petang.


Program-Program Menarik Sepanjang Ramadan di TV9


'Menu Kalimah' pula menampilkan Ustaz Safwan Syafiq dan Chef Fikree bergabung berkongsi resipi masakan berdasarkan bahan-bahan yang tercatat kehebatannya dalam Al-Quran pada setiap Rabu jam 6.30 petang. 

'Bila Bujang Masuk' Dapur pula menampilkan Aiman Hakim Ridza dan Shah Iskandar dalam membuktikan lelaki bujang yang kacak seperti mereka juga pandai memasak dan rancangan ini akan bersiaran pada Khamis jam 6.30 petang.


Program-Program Menarik Sepanjang Ramadan di TV9


TV9 juga tidak lupa untuk menyediakan seleksi telefilem terbaik pada setiap Khamis jam 10.30 malam bersempena dengan kedatangan bulan Ramadan ini. Saksikan lakonan hebat Fouziah Gous dan Heryanto Hassan dalam 'Ampunkan Dosaku Mak' pada 3 Julai. Pada 10 Julai pula, saksikan lakonan penyanyi lagu ‘Bunga Bunga Cinta’, Misha Omar bergandingan dengan Zul Ariffin dalam telefilem 'Antara Dua'. 

Zamarul Hisham dan Jue Aziz pula menyusul dengan telefilem 'Helah Berbisa' pada 17 Julai dan Layar 9 Ramadan akan diakhiri dengan telefilem berjudul 'Antara Takbir dan Kompang' lakonan Fauzi Nawawi dan Liza Abdullah pada 24 Julai.

Bagi duta untuk kempen Seindah Ramadan, TV9 melantik Luqman Hakim, Zuhairah Mustafa Al Hussein dan Ustaz Safwan sebagai Duta Seindah Ramadan TV9 manakala finalis-filnalis Idola Kecil Ultra, Daniel, Azzam, Harris, Eeqah, Balqis dan Afiq sebagai Duta Anugerah Syawal TV9.

Jangan lupa untuk terus setia bersama TV9 dan  jangan ketinggalan untuk saksikan program-program menarik sepanjang bulan Ramadan ini. Untuk keterangan lanjut, layari laman web www.tv9.com.my atau www.ramadanraya.com.my mengenai informasi terkini berkenaan dengan program-program Ramadan TV9!

Hanez Suraya Berjaya Mendapat Penghakiman Ingkar Terhadap MAS


Hanez Suraya Berjaya Mendapat Penghakiman Ingkar Terhadap MAS


Pelakon drama 'Love You Mr. Arrogant', Hanez Suraya Abdul Aziz, 29, telah berjaya memperoleh penghakiman ingkar terhadap pihak Sistem Pernerbangan Malaysia (MAS) pada Selasa (1 Julai 2014) memandangkan pihak MAS telah gagal memfailkan pembelaan mereka dalam masa yang ditetapkan.

“Selepas pihak Hanez memfailkan saman, MAS memasukkan kehadiran mereka pada 30 Mei 2014. Mereka ada 14 hari untuk memfailkan pembelaan. Namun begitu, MAS tidak melakukan perkara itu dan atas kegagalan tersebut, pihak Hanez memfailkan penghakiman ingkar pembelaan pada 23 Jun 2014,” jelas peguam Hanez, Wan Nurliyana Abdul Rahman ketika dihubungi oleh GUA.

Hanez Suraya Berjaya Mendapat Penghakiman Ingkar Terhadap MAS


“Namun begitu, pada 24 Jun pula, pihak MAS telah memfailkan pembelaan mereka. Pada Selasa, (1 Julai 2014), ada pengurusan kes dan pihak Hakim memberikan penghakiman ingkar kepada Hanez terhadap MAS. Namun begitu, difahamkan yang pihak MAS akan memfailkan satu permohonan untuk mengenepikan penghakiman ingkar tersebut dan tarikh pengurusan kes seterusnya adalah pada 7 Julai 2014,” kata Nurliyana lagi.

Terdahulu, Hanez memfailkan saman terhadap MAS pada 22 Mei 2014 atas dakwaan mendedahkan tiket penerbangannya bersama Romie Razin Adilha ke Bangkok, Thailand di laman sosial pada April lalu.

"Saya memfailkan saman kerana hak peribadi dan keselamatan telah diceroboh. Saya kecewa perkara ini terjadi. Saya tak sangka pihak tersebut bertindak sedemikian rupa. Saya juga manusia biasa, mahukan privasi dan ruang sendiri. Apabila ini berlaku, saya rasa hak peribadi saya diceroboh. 

Saya ambil tindakan atas dasar privasi. Perkara ini tidak patut berlaku kerana pihak tersebut merupakan sebuah syarikat penerbangan gergasi. Pihak mereka tertakluk kepada Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 dan tidak boleh melakukan perkara tersebut," jelas Hanez kepada GUA ketika ditemubual sewaktu dia memfailkan saman terhadap MAS pada Mei lalu.

Neelofa Bertudung Bermula Ramadhan


Neelofa Bertudung Bermula Ramadhan


Pelakon dan pengacara, Neelofa kini sudah berhijrah dan berhijab. Berita gembira ini disahkan sendiri oleh pengurus Lofa, Mohd Amer Syafiq Khalip. Ketika dihubungi, Amer menjelaskan Lofa sudah bertudung secara rasmi mulai hari ini.

“Ini merupakan satu perkara positif dan disahkan oleh keluarga Lofa. Sebagai pengurus, saya lihat perubahan pada diri Lofa sebelum dia membuat keputusan untuk bertudung. Saya nampak Lofa lebih positif dalam banyak hal. Jujur, saya terkejut dan gembira dengan keputusan yang dibuat oleh Lofa,” kata Amer.

Neelofa Bertudung Bermula Ramadhan


Sementara itu, Amer turut berkongsi perjalanan kerjaya Lofa sebagai pengacara dan pelakon berjalan seperti biasa walaupun dia kini sudah berhijab.

“Kerjaya Lofa berjalan seperti biasa dan saya anggap keputusan dia untuk bertudung bukan satu halangan untuk dia meneruskan kerjaya seninya. InsyaAllah, semuanya baik-baik saja,” katanya.

Berita gembira ini mula tersebar apabila jurugambar Annas Easkay memuatnaik di Instagram gambar ‘screenshot’ perbualannya dengan gadis itu.

Menerusi perbualan tersebut, Lofa menjelaskan dia sudah berdoa untuk diberikan petunjuk dan akhirnya terbuka hati untuk bertudung.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Rujukan