Cari Artikel

Friday, May 30, 2014

Penulis Skrip Martias Mohd Ali Kembali Ke Rahmatullah


Penulis Skrip Martias Mohd Ali Kembali Ke Rahmatullah

Penulis Skrip Martias Mohd Ali Kembali Ke Rahmatullah


KUALA LUMPUR, 30 MEI 2014: Pengarah filem kapsul yang juga penulis skrip, Martias Mohd Ali telah menghembuskan nafasnya yang terakhir pada jam 10:43 malam Khamis di Hospital Ampang akibat komplikasi dari kanser Lymphoma atau kanser darah tahap keempat.

Martias Mohd Ali dilahirkan pada 1968 dan telah bergiat di dalam bidang penulisan skrip drama TV dan filem semenjak tahun 1990. Pernah memegang jawatan sebagai penulis senior di Astro Ria. Beliau juga merupakan salah seorang dari panel skrip penilai FINAS.

Di antara judul drama pernah mendapat tempat di hati peminat adalah seperti drama Hari-hari Terakhir Seorang Perempuan, Zaharul VS Zarina, Drama bersiri Idris Beca, Sitkom Suasana, Air Mata Papa, Aidilfitri Dibulan Syaban, Manaf Astro, Nek Nak, Fobia, Merdeka Ajit Merdeka Ajis, Merahnya Biru, Buku Lama Diari Baru dan banyak lagi.

Dramanya yang berjudul Hari-hari Terakhir Seorang Perempuan juga berjaya memenangi Anugerah drama Terbaik Anugerah Seri Angkasa dan juga calon finalist di anugerah Skrin TV3. Jenazah Allahyarham Martias Mohd Ali akan di sembahyangkan di Masjid Al Sobirrin , Keramat AU5 selepas Solat Jumaat nanti dan akan di kebumikan di Tanah Perkuburan Orang Islam di Keramat AU5.

Marilah kita sedekahkan Al-Fatihah dan berdoa agar rohnya ditempatkan dikalangan mereka yang beriman.


Aura Saloma Hidup & Bernafas Dalam Nabila Huda


Aura Saloma Hidup & Bernafas Dalam Nabila Huda

Aura Saloma Hidup & Bernafas Dalam Nabila Huda


KUALA LUMPUR, 30 MEI 2014: Sudah lebih 30 tahun, Salmah Ismail atau lebih dikenali dengan nama Saloma meninggalkan kita semua.

Namun, pemergian biduanita negara ini seakan dipandang sepi dan dilupakan semua terutama di kalangan penggiat seni tanah air.

Tidak seperti pemergian suaminya, Tan Sri P. Ramlee setiap pada 27 Mei 1973, ia akan sentiasa diingati semua pihak saban tahun.

Sehubungan dengan itu, syarikat produksi Kus Semangat Aktor membawakan sebuah filem biopic biduanita negara, Saloma sebagai mengiktiraf sumbangan bintang lagenda itu yang tiada tolok bandingnya.

Filem kisah hidup Saloma ini, diarahkan sendiri oleh anak saudara Saloma iaitu Melissa Saila.

Kata Melissa, idea penghasilan filem ini tercetus dari ibunya, Seniwati Mariani yang mahukan agar semua tahu siapa itu Saloma yang dikenalinya.

“Ia merupakan idea asal ibu saya yang ingin melihat kisah hidup adiknya difilemkan dan ditonton semua” kata Melissa ketika dihubungi Astro AWANI.

Selain itu, Melissa turut berpuas hati dengan lakonan pelakon watak utama filem ini, Nabila Huda kerana berjaya membawakan watak Saloma dari muda hingga ke akhir hayatnya dengan baik.

“Nabila telah melalui satu proses ujibakat tertutup yang dijalankan oleh produksi.Dia terpilih kerana menepati ciri-ciri yang dikehendaki produksi dan Nabila jelas dapat membawa watak dengan baik sekali” jelas Melissa lagi.

Selain Nabila, turut membintangi filem ini adalah Tony Eusof, Sazzy Falak, Hasnul Rahmat, Julia Ziegler, Sharifah Amani dan ramai lagi.

Filem yang berdurasi empat jam ini akan ditayangkan dalam dua bahagian di saluran Astro First Ekslusif pada 21 Ogos nanti.


Aizat Amdan Cari Kelainan Terbitkan Piring Hitam


Aizat Amdan Cari Kelainan Terbitkan Piring Hitam

Aizat Amdan Cari Kelainan Terbitkan Piring Hitam


KUALA LUMPUR, 30 MEI 2014: Mencari kelainan dalam berkarya, Aizat Amdan atau Aizat memilih piring hitam sebagai medium buatnya mendekati para peminatnya. Walaupun sedikit mengenakan kos yang tinggi, tapi ia berbaloi dengan nilai seni yang dimiliki.

Dalam unit terhad, piring-piring hitam ini sama seperti piring-piring hitam yang menjadi koleksi daripada tahun 1950-an  tersebut. Pelancaran album istimewa, Legasi ini telah berlangsung di Coliseum Café, Jalan Tuanku Abdul Rahman, baru-baru ini.

"Kita mula buka bidaan pada hari ini (Selasa) dengan harga bermula RM150 yang mana itu merupakan harga kos pembikinan piring hitan itu.

"Bukan itu sahaja, malah kita juga sertakan dengan beberapa item dalam bungkusan istimewa yang pasti membuat pembeli berpuas hati," ujarnya.

Sementara itu, Aizat berkata bagi peminat yang tidak berjaya mendapatkan piring hitam itu, mereka masih boleh membelinya dalam bentuk digital di Itunes.

Dalam pada itu, Aizat mengakui proses pembikinan piring hitam yang dilakukan di German mengambil masa yang lama dengan kos yang agak tinggi membataskannya untuk mencetak dengan jumlah yang banyak.

"Kita hantar proses pembikinan piring hitam di German dan ia mengambil masa agak lama dengan melibatkan kos yang tinggi.

"Disebabkan itu kita hanya buat sebanyak 250 cetakan sahaja dan jual 220 sementara selebihnya sebagai simpanan," ujarnya.

Album Legasi turut memuatkan lagu Dwihati bersama Yuna, We'll Be Happy bersama Zee Avi dan In Love With You bersama Noh Salleh


Diana Amir Mahu Fokus Bidang Pengacaraan?


Diana Amir Mahu Fokus Bidang Pengacaraan?

Diana Amir Mahu Fokus Bidang Pengacaraan?


KUALA LUMPUR, 30 MEI 2014: Pelakon Diana Amir yang dahulunya lebih dikenali di bidang lakonan filem kini lebih selesa memberi tumpuan kepada bidang pengacaraan.

Imej berhijab dan kisah penghijrahanya menjadi inspirasi kepada anak muda terutama para pelajar di institusi pengajian tinggi awam.

“Buat masa sekarang memang saya memberi tumpuan kepada pengacaraan sama ada di kaca tv mahupun di majlis-majlis ilmu . Lagipun  banyak yang tawarkan saya untuk jadi pengacara dalam majlis-majlis yang seumpama ini ” katanya dalam sidang media pelancaran saluran terbaru Hypp TV di Menara KL.

Menurutnya, setiap kali memberi ceramah beliau sentiasa ditemani suaminya Mohd Habibbullah A Rahman bagi mengelakkan fitnah.

“Sebelum bergelar isteri, saya sering memandu kereta seorang diri untuk pergi ke mana-mana, sekarang tanggungjawab saya sudah berubah perintah suami saya perlu akur,” katanya kepada portal Murai.

Walaupun Diana lebih sibuk di bidang pengacaraan, tawaran untuk berlakon beliau tidak menolak tetapi tidak sekerap dahulu.

Diana baru sahaja selesai sesi rakaman program Titian Ombak untuk TV Al Hijrah yang akan disiarkan pada bulan Ramadan akan datang.


Reda Ketentuan Allah, Kak Pah Mohon Peminat Terus Doakannya


Reda Ketentuan Allah, Kak Pah Mohon Peminat Terus Doakannya

Reda Ketentuan Allah, Kak Pah Mohon Peminat Terus Doakannya


KUALA LUMPUR, 29 MEI 2014: Biduanita negara, Dato' Sharifah Aini memohon agar semua peminat yang selama ini menyokong kerjaya seninya supaya terus mendoakan kesihatan dirinya agar dia dapat pulih semula seperti sediakala.

Shahrifah Aini yang mesra disapa sebagai Kak Pah berkata demikian menerusi posting yang dimuatkan sahabat baiknya, Datuk Khalilah Mohd Talh menerusi akaun facebook peribadinya pada 27 Mei 2014 yang lalu.

"Alhamdulilah, Allah SWT mendengar dan menjawab segala doa-doa anda. Walaupun saya reda dengan apa juga kemungkinan dan ketentuan yang telah ditetapkan ALLAH, namun saya juga seorang yang amat positif dan tidak pernah berputus asa.

"Selagi ada usaha dan cara untuk mengembalikan kesihatan saya, selagi ada yang ingin membantu, selagi ada yang sudi mendoakan...selagi itulah saya tidak akan berputus harap. (Allahyang memberi penyakit, hanya dengan izin Allahsahaja yang akan membaikkan semula penyakit. Kita hanya mampu berikhtiar).

"Saya ingin anda semua tahu bahawa kata-kata perangsang, kasih sayang dan ingatan ikhlas anda, telah memberi suntikan semangat, harapan dan kekuatan untuk saya melalui ujian Allah ini dengan begitu tenang.

"Diharap, anda keluarga FB akan terus mengiringi saya dengan doa-doa anda sehingga saya pulih sepenuhnya. Alhamdulilah, saya amat bertuah dikelilingi dengan kasih sayang.

"Insya Allah, setelah berehat, saya akan kembali ke Facebook (FB untuk kita berkomunikasi. Mudah-mudahan, ALLAH sahaja yang membalas segala budi baik keluarga FB dan peminat-peminat yang teramat saya hargai & rindui," katanya.


Faktor Usia, Perselisihan Faham Antara Punca Abby Abadi-Farhan Cerai


Faktor Usia, Perselisihan Faham Antara Punca Abby Abadi-Farhan Cerai

Faktor Usia, Perselisihan Faham Antara Punca Abby Abadi-Farhan Cerai


KUALA LUMPUR, 29 MEI 2014: Pelakon Abby Abadi akui umur Farhan yang jauh lebih muda daripadanya adalah antara faktor perpecahan rumahtangga mereka.

Abby atau nama sebenarnya Arbaiyah Abdul Manan, 37 tahun membuat permohonan pengesahan lafaz cerai sebagai plaintif terhadap Noor Farhan Che Bakar 24 tahun sebagai defendan. Kes dibicarakan di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur jam 9.30 pagi tadi.


Dari Dalam Dewan Perbicaraan
Kes yang dibicarakan oleh Tuan Hakim Shaiful Azli Bin Jamaludin itu diadakan kerana Farhan telah menghantar sistem pesanan ringkas (SMS) pada 9 Mei 2014 jam sekitar 10:25 pagi. Abby ketika itu sedang berada di dalam kereta.

“Aku ceraikan kau” adalah mesej yang dihantar Farhan, diikuti rantaian berbalas mesej antara mereka berdua. Dibicarakan juga di mahkamah adalah mesej kedua Farhan, “Mulai hari ini kau dah tidak ada apa-apa hubungan dengan aku”.

Di dalam perbicaraan mahkamah telah berlaku perselisihan faham di antara mereka pada malam sebelumnya. Hal itu berlarutan kerana menurut Abby, Farhan tidak pulang ke rumah untuk menyelesaikan masalah mereka. Bila ditanyakan tentang detail-detail perselisihan faham yang dimaksudkan, Abby bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

“Tidak apa lah, saya rasa itu tidak ada kepentingan untuk orang lain tahu,” ujar Abby yang hadir ke mahkamah dengan anak perempuannya.

“Saya cuba untuk betulkan keadaan apa lah daya saya kalau dah takdir berakhir begini. Saya mengharapkan doa dari orang lain sebab saya tahu bukan saya seorang sahaja yang sayangkan hubungan ini,” kata Abby lagi.

Ketika menghantar lafaz talak di antara mereka, Farhan mengesahkan yang dia berada dalam keadaan waras dan mereka masih lagi tinggal berasingan sejak insiden itu.

“Tiba-tiba sahaja dia berubah. Sejak kejadian berselisih faham itu, dia hilang. Ikutkan dalam masa 3 minggu tidak berjumpa ini tidak balik lagi. Sekejap okay sekejap tidak okay di dalam mesej,”jelas Abby.

Lafaz Talak Terdahulu
Mahkamah bagaimanapun tidak dapat mengesahkan keputusan atas dasar pemfailan tidak lengkap. Ini kerana masih ada lafaz talak terdahulu dari Farhan yang tidak difail dan disahkan mahkamah. Menurut Abby, lafaz talak sebelum ini adalah dalam bentuk perbualan mulut ke mulut.

Menurut Abby, Farhan telah memberitahu rakannya yang status dia dan Abby sudah pun bercerai. Abby kemudian telah mendapat tahu hal tersebut dari rakan yang sama.

“Sebenarnya dia bercerita dengan kawan (yang mereka telah bercerai), kemudian saya rujuk dengan ayah saudaranya yang juga Imam masjid dan dia kata (perbuatan itu) jatuh (talak). Saya juga kurang pasti kerana saya pun tidak arif tentang perkara ini”

Mahkamah menangguh dahulu keputusan sehingga lafaz talak yang pertama itu difailkan dan disahkan supaya tahap jatuh talak boleh ditentukan. Tarikh perbicaraan yang baru adalah pada 11 Jun 2013, 11 pagi.

Punca  Penceraian
Menurut Abby, jarak umur yang jauh dan respon kurang matang oleh Farhan adalah antara sebab keruntuhan rumahtangga mereka. Selain itu Farhan juga tidak pulang ke rumah selama 3 minggu selepas perselisihan itu untuk memperbaiki hubungan mereka.

“Dia terlalu muda untuk diletakkan bersama saya, itu yang saya rasa. Pada saya ketika saya berusia semuda dia, banyak perkara lagi yang saya tak faham. Saya juga nampak lelaki ni lambat matang kan?”

Abby bagaimanapun tidak mahu hubungan mereka berakhir dan menyerahkan pada kuasa Allah. Dia juga menyifatkan hubungan mereka di tahap yang sukar kerana tiada usaha dari Farhan. Dia juga sedar, kemungkinan bercinta selepas berkahwin adalah juga salah satu punca keretakan rumahtangga mereka.

“Saya sayang sangat dengan dia, tapi saya tak nampak jalannya. Jadi pada siapa-siapa di luar sana yang sudah berkahwin dan kalau bergaduh jangan lah berpisah,” kata Abby kepada wartawan.

“Saya tidak tahu pendirian dia. Kami kenal pun selepas kahwinkan? Jadi dalam masa 10 bulan perkahwinan itu, masih banyak lagi yang saya tidak tahu tentang dia. Begitu juga dia yang tak faham dengan saya. Kalaulah ditakdirkan tidak ada jodoh lagi saya pun saya pun tidak mahu bebankan hidup dia.

"Kalau boleh kalau berlaku pada orang lain, janganlah tinggal begitu sahaja. Sebab saya rasa sedikit teraniaya. Saya akan terus berusaha semampunya. Saya pun tidak pasti apa yang saya boleh buat selepas ini. Kalau nampak dia dah terlalu tidak mahu saya pun tidak mahu memaksa," katanya.

Farhan bagaimanapun tidak memberi sebarang komen kepada wartawan. Mereka berkahwin pada 9 Julai 2013 di Selatan Thailand yang kemudian disahkan di Kelantan.

Selain Farhan, Abby juga pernah berkahwin dengan pelakon Norman Hakim sebelum bercerai pada tahun 2008. Norman dan Abby dikurniakan tiga orang anak sepanjang tempoh perkahwinan mereka iaitu Mohamed Danish Hakim, 14 tahun, Marissa Dania Hakim,12 tahun, dan Maria Danisha Hakim, 9 tahun.

Mereka disahkan bercerai talak satu di dewan perbicaraan yang sama di Mahkamah Syariah Gombak Timur pada tahun yang sama.


Hormat Sultan Azlan Shah Mangkat, Adira Tangguh Lancar Album


Hormat Sultan Azlan Shah Mangkat, Adira Tangguh Lancar Album

Hormat Sultan Azlan Shah Mangkat, Adira Tangguh Lancar Album


KUALA LUMPUR, 29 MEI 2014: Majlis pelancaran album terbaru Adira, Dewi Cinta beserta pengumuman mini showcasenya yang sepatutnya berlangsung hari ini terpaksa ditunda ke satu tarikh yang baru.

Penundaan tersebut dilakukan bagi menghormati kemangkatan DYMM Sultan Perak, Sultan Azlan Muhibbuddin Shah ibni almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah yang mangkat pada jam 1.30 petang semalam.

Tarikh baru bagi majlis pelancaran album terbaru Adira, Dewi Cinta beserta pengumuman mini showcasenya itu akan diumumkan dalam masa yang terdekat ini.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Rujukan