Cari Artikel

Tuesday, April 29, 2014

25 maut serangan pengebom nekad di Baghdad


25 maut serangan pengebom nekad di Baghdad

25 maut serangan pengebom nekad di Baghdad


BAGHDAD: Pegawai Polis Iraq mengesahkan seorang pengebom nekad meletupkan dirinya di pinggir Bandar Kurdish, di timur laut Baghdad hari ini menyebabkan sekurang-kurangnya 25 maut. 

Dalam serangan di Pekan Khanaqin di Wilayah Diyala itu, 35 orang dilaporkan cedera dan ramai yang kritikal.

Setakat ini lebih 50 orang dilaporkan terkorban dalam beberapa kejadian keganasan di seluruh Iraq menjelang pilihan raya Parlimen, hujung minggu ini.

Polis berkata, pengebom berani mati itu memetupkan dirinya berdekatan sekumpulan pengikut Kurdis ketika sedang menonton klip video yang disiarkan stesen televisyen mengenai Presiden Jalal Talabani, yang kini berada di Jerman untuk membuat rawatan sejak 2012. - AP

Pekerja kereta api bawah tanah London lancar mogok 48 jam


Pekerja kereta api bawah tanah London lancar mogok 48 jam

Pekerja kereta api bawah tanah London lancar mogok 48 jam


LONDON: Pekerja sistem kereta api bawah tanah London mula melancarkan mogok 48 jam bermula 9 malam waktu tempatan, menyebabkan perjalanan pengguna tersekat dan kelam-kabut termasuk ribuan penyokong yang menyaksikan perlawanan Arsenal dengan Newcastle.

Tindakan itu dianjurkan Kesatuan Pekerja Kereta Api, Maritim dan Pengangkutan (RMT) sebagai protes dan merancang untuk menutup semua pejabat jualan tiket sistem kereta api “Tube”.


Mogok itu dilancarkan selepas rundingan antara kesatuan dengan syarikat pengangkutan kereta api bawah tanah London menemui kegagalan.

Papan tanda diletakkan di luar stesen kereta api menasihati peminat dan penyokong bola sepak yang keluar dari Stadium Emirates bagaimana untuk melakukan perjalanan balik ke rumah masing-masing.

Bagaimanapun, keadaan dijangka bertamhah buruk apabila pengguna bergegas keluar untuk bekerja pada pagi esok dan Rabu.

Sistem pengangkutan bawah tanah London, iaitu yang tertua di dunia menguruskan lebih tiga juga penumpang setiap hari. - AFP

5 rakyat Malaysia ditahan di Songkhla larikan wang guna kad ATM palsu


5 rakyat Malaysia ditahan di Songkhla larikan wang guna kad ATM palsu

5 rakyat Malaysia ditahan di Songkhla larikan wang guna kad ATM palsu


Kangar: Lima rakyat Malaysia ditahan pihak berkuasa Thailand selepas dikesan melarikan wang berjumlah lebih 5 juta baht (kira-kira RM500,000) menggunakan kad mesin juruwang automatik (ATM) yang dipalsukan menggunakan data curi. 

Kelima-lima suspek berusia antara 22 dan 35 tahun ditahan secara berasingan dalam beberapa serbuan sekitar Songkhla di Thailand, sehingga semalam.


Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla , Mohd Faizal Razali, ketika dihubungi mengesahkan penahanan kelima-lima rakyat Malaysia terbabit, bagaimanapun enggan mengulas lanjut kerana siasatan lanjut masih dijalankan pihak berkuasa Thailand.

Berdasarkan maklumat, katanya mereka dipercayai menjalankan kegiatan pemalsuan kad ATM di Thailand, sebelum memindahkan wang kepada rakan mereka di Malaysia dengan mendapat upah 10 peratus daripada hasil wang curi itu. "Kebanyakan mangsa mereka sebahagian besarnya terdiri daripada pelancong warga Perancis," katanya ketika dihubungi di sini.

Mohd Faizal berkata, serbuan yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Polis Thailand itu dilakukan selepas mendapat maklumat daripada Kedutaan Perancis mengenai aduan kehilangan kad kredit milik warganya di Hatyai sejak beberapa bulan lalu.

Katanya, hasil serbuan, polis merampas 732 kad kredit palsu, kad debit, komputer riba, 'skimmer' serta wang tunai yang dicuri.

Beliau berkata, polis juga sedang memburu tiga lagi rakan suspek yang melakukan kegiatan itu selepas masuk ke Thailand 2 April lalu.

Esscom Tekad Pastikan Kawasan Pantai Timur Sabah Selamat


Esscom Tekad Pastikan Kawasan Pantai Timur Sabah Selamat

Esscom Tekad Pastikan Kawasan Pantai Timur Sabah Selamat


Oleh Erda Khursiah Basir dan Norshazlina Nor'azman

Fokus berita ini merupakan bahagian pertama daripada dua siri, yang bertujuan menjelaskan peranan agensi penyelaras, Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan di pantai timur Sabah.

KUALA LUMPUR, (Bernama) -- Insiden penculikan di Singamata Adventures and Reef Resort Semporna awal bulan ini memberi mesej jelas kepada Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) bahawa masih banyak perlu dilakukan untuk meningkatkan tahap keselamatan di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE).

Ancaman keselamatan berikutan pencerobohan pengganas Sulu dan kes penculikan menuntut Esscom mengambil tindakan drastik dan langkah proaktif bagi menjaga kedaulatan dan keselamatan kawasan pantai timur Sabah ekoran krisis di Tanduo, Lahad Datu pada tahun lepas.

Jenayah rentas sempadan di perairan timur Sabah, yang tujuh daripada 362 pulau di kawasan itu menempatkan pusat peranginan dan aktiviti marin, boleh mencemarkan imej Malaysia dan memberi kesan kepada industri pelancongan negara serta aktiviti ekonomi.

Menyedari impak negatif ancaman keselamatan di kawasan sepanjang 1,733.7 kilometer itu, Esscom mengambil beberapa langkah drastik bagi memastikan keadaan di kawasan pantai timur Sabah adalah selamat dan terkawal kepada penduduk dan pelancong.

Ketua Pengarah Esscom Datuk Mohammad Mentek berkata Esscom kini melarang pergerakan keluar masuk ke kawasan resort selepas pukul 6 petang bagi mengelakkan insiden penculikan yang modus operandinya dilakukan pada waktu malam dan awal pagi daripada berulang.

"Esscom memutuskan tiada sebarang aktiviti di laut dan sungai selepas matahari terbenam (semua aktiviti hanya dilakukan pada waktu siang). Pengusaha resort yang mempunyai aktiviti unik pada waktu malam hendaklah memohon kebenaran daripada Esscom terlebih dahulu," katanya kepada Bernama.

Selain itu, pasukan keselamatan akan mengadakan rondaan dan pemeriksaan dari semasa ke semasa di setiap resort dan pengusaha yang gagal mematuhi arahan berkenaan akan dirujuk kepada Kementerian Pelancongan dan pihak berkuasa tempatan untuk tujuan digantung lesen perniagaannya.

Tambah Aset Keselamatan

Mohammad berkata insiden penculikan seorang pelancong China dan seorang pekerja resort berasal dari Filipina mengejutkan banyak pihak kerana ia berlaku selang hanya empat bulan daripada insiden pembunuhan dan penculikan pelancong di Pulau Pom-Pom.

Katanya insiden penculikan itu adalah kes jenayah rentas sempadan atau kes penculikan dan ia bukan kejadian yang pertama kerana beberapa penculikan sedemikian pernah berlaku di kawasan Semporna dan Lahad Datu.

"Esscom tidak menolak kegiatan penculikan yang dilakukan oleh kumpulan pengganas dari selatan Filipina sejak tahun 2000 itu bertujuan mendapatkan sumber kewangan," katanya.

Bagi membanteras kegiatan penculikan berleluasa khususnya di kawasan perairan Semporna dan Lahad Datu yang terletak hampir dengan sempadan Filipina, pasukan keselamatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) menambah 30 peratus bilangan aset seperti bot dan kapal di kawasan perairan Semporna tanpa menjejaskan kawalan rondaan di kawasan lain.

Perbaiki Kelemahan

Tidak menafikan masih banyak penambahbaikkan yang perlu dilakukan Esscom untuk memastikan sektor pelancongan tidak terjejas akibat aspek keselamatan, Mohammad berkata Esscom mampu memperbaikinya dan yakin berupaya membentuk persefahaman lebih mantap pada masa akan datang.

Beliau mengakui bahawa agak sukar untuk Esscom memberi jaminan bahawa penculikan tidak akan berlaku di ESSZONE memandangkan beberapa faktor dikenal pasti mendorong berlakunya kes penculikan.

"Dari awal, kita tidak boleh menyamakan Rascom (Rajang Area Security Command) dengan Esscom. Rascom diwujudkan untuk memerangi komunis di Sarawak pada awal tahun 70an sehingga 90an sementara Esscom berperanan menjaga dan mengawal kawasan yang jauh lebih luas meliputi laut dan daratan.

"Tambahan lagi pantai yang panjang sejauh 1,733.7km dari Kudat sehingga ke Tawau membuatkan kita sukar mengenal pasti musuh memandangkan mereka mempunyai hubungan kekeluargaan dengan penduduk negeri ini di samping mengamalkan budaya hidup yang sama dengan penduduk Sabah," katanya.

Mohammad berkata ada di antara mereka yang terlibat dengan jenayah penculikan sudah tinggal di Sabah bertahun-tahun lamanya dan hal itu adalah satu cabaran besar Esscom untuk mengatasinya.

Kerjasama Esscom Dan Pengusaha Pelancongan

Justeru bagi tujuan menjaga keselamatan pelancong dan pelanggan, Esscom menetapkan beberapa syarat penting untuk dipatuhi semua pengusaha pusat peranginan di ESSZONE.

Antara inisiatif itu ialah menggaji pengawal keselamatan terlatih yang akan mengawal premis perniagaan 24 jam sehari selain menugaskan seorang pegawai bertanggungjawab untuk melapor terus kepada polis atau Esscom sekiranya berlaku sesuatu kejadian yang mendatangkan ancaman terhadap keselamatan pelanggan resort.

Mohammad berkata langkah itu membolehkan tindakan segera diambil kerana sebelum ini pekerja resort terlebih dahulu memaklumkan kejadian kepada pengurus resort dan kemudian barulah pengurus melaporkannya kepada polis.

"Setiap resort di ESSZONE hendaklah memasang peralatan keselamatan seperti CCTV (kamera litar tertutup), menara tinjau, lampu sorot dan peralatan komunikasi.

"Semua pengusaha resort juga dikehendaki memberi kerjasama kepada pasukan keselamatan dengan membenarkan anggota keselamatan membuat rondaan di kawasan resort. Mereka juga boleh melaporkan kepada Esscom sekiranya ada anggota keselamatan yang tidak serius ketika menjalankan tugas di resort," katanya.

Pada masa ini terdapat 362 buah pulau di ESSZONE. Daripada jumlah itu, tujuh pulau mempunyai pusat peranginan iaitu Kapalai, Mabul, Pulau Bum-Bum, Pom-Pom, Mataking, Langkayan dan Billean.

Hubungan Kerjasama Antara Agensi

Mohammad berkata Esscom, sebagai agensi penyelaras, menempatkan pasukan keselamatan dan aset pertahanan di kawasan-kawasan strategik yang menjadi laluan masuk di kawasan perairan melibatkan semua komponen keselamatan dan tugas-tugas pertahanan secara holistik dan bersepadu.

"Arahan penugasan masih terletak di bawah ketua perkhidmatan dan agensi masing-masing. Bagi mencapai matlamat penubuhannya, Esscom dari semasa ke semasa meningkatkan kerjasama dengan agensi penguatkuasa yang lain antaranya Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, pihak berkuasa tempatan dan agensi Persekutuan dan negeri yang berkaitan," katanya.

Berpuas hati dengan kerjasama dan komitmen yang diberikan oleh semua pasukan dalam Esscom, beliau berkata persefahaman itu menjadi asas kekuatan Esscom untuk menghadapi ancaman jenayah rentas sempadan atau jenayah penculikan.

"Walaupun baru setahun jagung ditubuhkan, saya menyifatkan Esscom sebagai entiti yang berjaya merealisasikan program Strategi Lautan Biru Kebangsaan hasil penggabungan komponen pertahanan, keselamatan dan awam," katanya.

Selain itu, ia turut mengukuhkan pelaksanaan program peningkatan semangat patriotisme masyarakat di ESSZONE serta menyelaras dan memantapkan program pembangunan sosial ekonomi berteraskan keselamatan kepada kumpulan sasar di ESSZON.

Esscom ditubuhkan pada 1 April 2013 di bawah Peraturan-Peraturan Pemeliharaan Keselamatan Awam 2013 selepas insiden pencerobohan pengganas Sulu di Kampung Tanduao, Lahad Datu Sabah pada awal Mac 2013.

Dianggotai empat komponen utama iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Pegawai Awam, asas penubuhannya ialah mempertahankan kedaulatan dan keselamatan rakyat Sabah susulan pencerobohan pengganas Sulu di Tanduo, Lahad Datu.

Matlamat Esscom antaranya memastikan dan mempertingkatkan keselamatan dan kesejahteraan rakyat, memastikan kesejahteraan hidup, kesihatan awam dan kewujudan bersama, memastikan, memelihara dan memudahkan penjalanan secara bebas serta melaksanakan tindakan yang sewajarnya untuk menempatkan semula orang atau kumpulan orang di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE).

ESSZONE meliputi 10 daerah iaitu Kudat, Pitas, Kota Marudu, Sandakan, Kinabatangan, Beluran, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau.

-- BERNAMA

Lawatan Obama Tingkat Hubungan AS-Malaysia Kepada Perkongsian Komprehensif


Lawatan Obama Tingkat Hubungan AS-Malaysia Kepada Perkongsian Komprehensif

Lawatan Obama Tingkat Hubungan AS-Malaysia Kepada Perkongsian Komprehensif


KUALA LUMPUR, (Bernama) -- Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama mengakhiri lawatan bersejarah beliau di Malaysia Isnin, dengan pemimpin kedua-dua negara beriltizam meningkatkan hubungan dua hala kepada perkongsian komprehensif yang berobjektif memperkukuh kepentingan bersama dan nilai bersama rakyat.

Bagi menandakan fasa baharu perkongsian komprehensif itu, kedua-dua negara komited untuk memperkukuh mekanisme dialog dalam bidang utama termasuk kerjasama politik dan diplomatik, perdagangan dan pelaburan, pendidikan dan hubungan rakyat dengan rakyat, keselamatan dan pertahanan serta alam sekitar, sains, teknologi dan tenaga.

Komitmen itu diperluaskan kepada usaha meningkatkan lagi peranan Dialog Pegawai Kanan Malaysia-AS sebagai forum utama bagi pelaksanaan perkongsian komprehensif menerusi rundingan tetap.

Lawatan Obama ke Malaysia adalah yang pertama oleh presiden Amerika sejak lawatan Lyndon B. Johnson pada 1966.

Obama diberikan sambutan permaidani merah di Bangunan Parlimen pada Sabtu, diraikan pada jamuan negara pada Sabtu malam dan pada Ahad mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak dan menghadiri sesi perjumpaan tidak formal dengan pemimpin muda Asia Tenggara.

Presiden AS itu juga melawat Masjid Negara di ibu negara Malaysia ini pada Sabtu dan bersama-sama Najib melancarkan Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC) di Cyberjaya, bandaraya pintar yang menempatkan kira-kira 800 firma ICT dan bukan ICT, termasuk 43 perbadanan multinasional.

Malaysia merupakan hentian ketiga dalam siri lawatan Obama ke empat negara Asia, bermula di Jepun dan diikuti Korea Selatan. Presiden berlepas ke Filipina pada Isnin.

Najib berkata kehadiran Obama di Malaysia menandakan "permulaan fasa baharu perkongsian kami - dengan persahabatan dipererat dan perkongsian komprehensif."

Obama dan Najib turut memuji kemajuan rundingan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) setakat ini dan mengulangi komitmen mereka untuk menyelesaikan isu tertangguh dan memuktamadkan perjanjian peringkat tinggi secepat mungkin.

Pada mesyuarat itu, Obama dan Najib mengakui akan pentingnya keamanan dan kestabilan bagi keselamatan dan kemakmuran ekonomi bersama.

Mereka turut bertukar-tukar pandangan berhubung perkembangan terbaru di Laut China Selatan dan sedar kepentingan melindungi keselamatan maritim dan memastikan kebebasan navigasi dan penerbangan di rantau itu, termasuk laluan kritikal di Laut China Selatan.

Kedua-dua pemimpin juga mengiktiraf pentingnya menyelesaikan semua pertikaian wilayah dan maritim oleh semua pihak terlibat secara aman, termasuk timbang tara antarabangsa mengikut prinsip undang-undang antarabangsa termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa Bersatu bagi Undang-Undang Laut.

Obama juga menyambut baik komitmen Malaysia untuk memerangi percambahan senjata pemusnah besar-besaran dengan menyertai Inisiatif Keselamatan Pengawalan Senjata (PSI) di bawah Pernyataan Prinsip Perintah Larangan.

Mengenai Malaysia akan memegang jawatan pengerusi Asean pada 2015, Obama menyatakan keyakinan bahawa di bawah pimpinan Malaysia, hasrat perkumpulan serantau itu untuk meningkatkan intergrasi ekonomi mampu direalisasikan.

Presiden AS itu juga memuji peranan Malaysia mengusahakan proses damai di selatan Filipina yang membawa kepada pemeteraian Perjanjian Komprehensif mengenai Bangsamoro baru-baru ini.

Sebagai mencerminkan hasrat Obama dan Najib untuk meningkatkan hubungan rakyat dengan rakyat yang pertama kali dibincangkan pada 2010, kedua-dua pemimpin yang gembira dengan kejayaan Program Bantuan Pengajaran Bahasa Inggeris (ETA) Fullbright, memutuskan program itu dilanjutkan tiga tahun lagi.

Najib dalam pada itu turut berterima kasih kepada Obama yang bersetuju untuk menimbangkan penyertaan Malaysia dalam Program Pengecualian Visa, membolehkan warganegara negara yang menyertai program itu memasuki AS tanpa visa selama 90 hari atau kurang.

Sebagai langkah pertama, AS komited untuk menyediakan taklimat teknikal tentang syarat keselamatan dan perjanjian perkongsian maklumat pada tahun ini.

Kini terdapat 37 negara menyertai program itu termasuk Brunei Darussalam, Singapura, Taiwan dan Jepun.

Pada sidang akhbar bersama pada Ahad, Najib turut menyatakan penghargaan kepada AS atas sokongan berterusan diberikan dalam operasi mencari pesawat Malaysia Airline MH370 yang hilang manakala Obama berjanji akan menghulurkan segala bantuan yang termampu bagi misi itu.

Mengakui operasi itu berdepan cabaran besar, Obama berkata pihak berkuasa Malaysia telah berusaha tanpa mengenal penat lelah untuk mencari pesawat itu.

"Saya tidak boleh bercakap bagi pihak negara lain di rantau ini tetapi saya boleh nyatakan bahawa AS dan rakan-rakan yang lain mendapati kerajaan Malaysia memerlukan bantuan, dan telah memberikan kerjasama penuh dari segi maklumat yang mereka ada," katanya.

Penerbangan MH370 bersama-sama 239 orang hilang daripada imbasan radar ketika terbang di ruang udara Laut China Selatan pada 8 Mac setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam.

Ia sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari sama.

Gerakan mencari melibatkan pelbagai negara dilancarkan untuk mengesan pesawat Boeing 777-200ER itu, mula-mula di Laut China Selatan dan kemudian di selatan Lautan Hindi apabila ia dikatakan melencong daripada laluan asalnya.

Selepas analisis terhadap data satelit menunjukkan kedudukan terakhir pesawat itu adalah di Lautan Hindi, di barat Perth, Australia, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pada 24 Mac bahawa Penerbangan MH370 'berakhir di selatan Lautan Hindi'.

Operasi mencari sedang giat dilakukan di selatan Lautan Hindi.

-- BERNAMA

Mampukah MCA Raih Sokongan Pengundi Cina


Mampukah MCA Raih Sokongan Pengundi Cina
Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai
bersama barisan kepimpinan parti

Mampukah MCA Raih Sokongan Pengundi Cina

Fokus Berita Oleh Mohd Hisham Abdul Rafar

KUALA LUMPUR, (Bernama) -- Barisan Nasional (BN), khususnya MCA, sekali lagi menggalas tugas berat dalam usaha meyakinkan pengundi, khususnya kaum Cina, untuk berpihak kepada parti itu dalam pilihan raya kecil kerusi Parlimen Bukit Gelugor, 25 Mei depan.

Mengikut agihan kerusi di dalam BN, kerusi Parlimen Bukit Gelugor adalah milik MCA, menjadikan ini pembabitan kedua MCA dalam pilihan raya kecil selepas yang pertama dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang, Selangor pada 23 Mac lepas.

Semasa pilihan raya kecil Kajang, MCA di bawah pimpinan Datuk Seri Liow Tiong Lai terpaksa bekerja keras dalam usahanya mendapatkan pengundi Cina yang berjumlah 15,823 orang atau 40 peratus mengalih sokongan mereka kepada BN.

Hasilnya, MCA memperoleh peningkatan sebanyak tujuh peratus kepada 25 peratus berbanding keputusan pilihan raya umum ke-13 (PRU13) iaitu sekitar 18 peratus.

Melihat pilihan raya kecil kali ini adalah kerusi Parlimen, sudah tentu tugas MCA selaku parti komponen kedua terbesar BN, semakin berat kerana bakal berhadapan dengan saiz pengundi Cina yang bilangannya tiga kali ganda lagi besar daripada DUN Kajang.

Pilihan raya kecil kerusi Parlimen Bukit Gelugor, yang mempunyai 61,112 pengundi Cina atau 74.49 peratus, diadakan berikutan kematian penyandangnya Karpal Singh, 74, dalam satu kemalangan jalan raya pada 17 April lepas.

Karpal Singh, bekas pengerusi DAP, meraih majoriti 42,706 undi, ketiga tertinggi selepas Anggota Parlimen Seputeh Teresa Kok dari DAP yang memperoleh 51,552 majoriti undi dan Anggota Parlimen Bukit Mertajam Sim Chee Keong, juga dari DAP, sebanyak 43,063 majoriti undi.

Di atas kertas, ramai pihak meramalkan bahawa BN-MCA sukar mendapat sokongan pengundi Bukit Gelugor khususnya masyarakat Cina berdasarkan sentimen PRU13.

Biar pun tersungkur di Kajang, formula mengurangkan majoriti pihak lawan sebanyak 14.4 peratus seharusnya dijadikan panduan untuk memperkasakan gerak kerja dan strategi parti bagi meraih seberapa banyak sokongan pengundi.

Menyedari Parlimen Bukit Gelugor merupakan kubu kuat DAP, timbul persoalan, mampukah MCA 'mencuri' sedikit undi daripada jumlah keseluruhan pengundi Cina di kawasan Parlimen itu?

Penganalisis politik meramalkan bahawa majoriti 42,706 undi yang diperoleh Karpal Singh ketika PRU13 berkemungkinan kekal berdasarkan sentimen semasa di kawasan itu.

Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa Majlis Profesor Negara (MPN) Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak berkata BN sama ada menerusi MCA atau pun Gerakan akan mempunyai laluan berliku memandangkan kerusi Parlimen Bukit Gelugor adalah milik tokoh besar DAP.

"Tambahan pula kerajaan negerinya adalah pimpinan DAP dan sentimen pemergian Karpal Singh sangat terkesan di hati pengundi selain ia adalah kubu kuat DAP," katanya kepada Bernama di sini.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan MCA Pulau Pinang Tan Teik Cheng berkata keyakinan tinggi akan menjadi faktor yang mampu mendorong parti itu berusaha keras untuk meraih sokongan pengundi.

"Kalau kita bertanding, laluannya sukar. Bagaimanapun kita ada keyakinan. Keyakinan itu penting untuk kita cuba kurangkan majoriti lawan," katanya kepada Bernama.

Pun begitu, MCA yang kini giat mengadakan transformasi parti diingatkan supaya tidak menjadikan pilihan raya kecil ini medan untuk menguji pengaruh sebaliknya platform mempamerkan kesediaan dan iltizam kuat untuk berkhidmat kepada rakyat.

"Saya fikir BN tidak boleh memberi kemenangan mudah kepada DAP dan saya yakin BN akan beri tentangan dan bertanding sebagai 'underdog' (bukan pilihan). Ini bukanlah masa yang sesuai untuk MCA menguji pengaruh mereka," kata Mohamed Mustafa.

Beliau berkata sentimen ketika pilihan raya kecil Kajang amat berlainan daripada sentimen di Bukit Gelugor.

"Di Kajang, wakil rakyat letak jawatan, jadi ia lain sekali manakala di Bukit Gelugor, ia melibatkan kematian wakil rakyat. Pulau Pinang bukan tapak yang kuat untuk MCA berbanding Gerakan. Jadi tak sesuai untuk ukur kemampuan," katanya.

Selepas dilanda prestasi buruk pada PRU13, MCA kini berdepan dengan perang persepsi di kalangan rakyat khususnya masyarakat Cina yang masih meragui sama ada parti yang kini dibarisi kepimpinan baharu telah pulih daripada segala masalah dalaman.

Mohamed Mustafa berpendapat masyarakat Cina khususnya di Parlimen Bukit Gelugor sukar untuk memberikan undi kepada MCA ditambah dengan sentimen politik negeri yang memihak kepada DAP.

"Dalam sejarah Bukit Gelugor, MCA tidak ada pengaruh yang kuat. Pengundi akan memberikan undi kepada DAP kerana faktor simpati dan faktor mengenang budi Karpal Singh," katanya.

Namun bagi Tan, walau apapun keadaan, MCA bersedia menggalas cabaran berat itu dan menambah kata bahawa parti itu sudah membuat persiapan menghadapinya.

Selain 61,112 pengundi Cina atau 74.49 peratus, kawasan Parlimen Bukit Gelugor mempunyai 14.48 peratus atau 11,880 orang pengundi Melayu, 8,660 atau 10.56 pengundi India dan 0.48 peratus atau 390 lain-lain kaum.



-- BERNAMA

'Gali Lubang Tutup Lubang' Antara Punca Utama Muflis


'Gali Lubang Tutup Lubang' Antara Punca Utama Muflis

'Gali Lubang Tutup Lubang' Antara Punca Utama Muflis


Oleh Rosmalis Anuar

KUALA LUMPUR, (Bernama) -- Perbuatan 'gali lubang tutup lubang' atau membuat pinjaman lain untuk menyelesaikan hutang sedia ada antara penyebab utama peningkatan golongan muflis di negara ini.

Ketua Jabatan Pendidikan Kewangan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) Mohd Adnan Anan Abdullah berkata ramai individu yang merujuk agensi itu untuk mendapatkan khidmat nasihat apabila tidak mampu menyelesaikan hutang akibat perbuatan itu.

"Sebagai contoh, graduan yang baru bekerja mendapat gaji RM2,000 sebulan dan membeli kereta dengan ansuran bulanan RM500 hingga RM600, tanpa mengambil kira kos lain yang perlu ditanggung seperti minyak, penyelenggaraan dan insurans. Jadi mereka akan guna kad kredit untuk tampung kos tersebut.

"Apabila hutang kad kredit meningkat, ada pula yang buat pinjaman peribadi ekspres yang mempunyai kadar faedah tinggi untuk selesaikan hutang kad kredit.

Inilah yang dikatakan 'gali lubang tutup lubang' yang akhirnya tiada kesudahan," katanya kepada Bernama.

Sejak ditubuhkan pada April 2006 hingga 28 Feb lalu, 256,624 individu telah mendapatkan khidmat kaunseling daripada AKPK, dengan 103,768 daripadanya mendaftar untuk Pelan Pengurusan Kredit (PPK).

Daripada jumlah itu, 82.8 peratus menyertai PPK akibat kombinasi beberapa jenis hutang, kad kredit (5.6 peratus), pinjaman peribadi (2 peratus), pinjaman perumahan (1.7 peratus), sewa beli (0.4 peratus) dan lain-lain (7.5 peratus).

Pada 9 April, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri berkata, 122,169 rakyat Malaysia diisytihar muflis bagi tempoh 2007 hingga tahun lalu berdasarkan rekod Jabatan Insolvensi Malaysia (MDI).

Daripada jumlah itu, 33,570 orang atau 26.54 peratus diisytihar muflis dalam tempoh berkenaan kerana masalah sewa beli kenderaan.

Mengulas perkara itu, Mohd Adnan berkata, perjanjian sewa beli kenderaan tertakluk kepada Akta Sewa Beli 1967 (Pindaan 2010) yang berbeza dengan hutang lain, yang juga antara penyebab utama kepada peningkatan golongan muflis.

"Kalau seseorang tak bayar ansuran dua bulan berturut-turut, dia disifatkan telah ingkar dan notis pertama akan keluar. Jika dalam tempoh dua minggu selepas itu hutang tidak dibayar maka kereta boleh ditarik dan dilelong," ujarnya.

Tambahnya, gaya hidup di luar kemampuan seperti membeli kenderaan mewah dan menjual kenderaan menggunakan kaedah 'sambung bayar' juga antara punca peningkatan jumlah golongan muflis.

Bagaimanapun, katanya masih ada harapan untuk individu muflis kembali menjalani kehidupan seperti biasa dengan bantuan AKPK.

Sehingga Februari lalu, 1,943 individu berjaya keluar daripada senarai PPK dengan jumlah portfolio RM194.1 juta, manakala 64,037 masih mempunyai akaun aktif dengan jumlah portfolio RM4.7 bilion.

Seorang pekerja swasta Kamaruzaman Abdul Ghani, 56, antara individu yang berjaya keluar daripada belenggu hutang setelah menyertai PPK.

Menceritakan kembali pengalamannya, katanya beliau merujuk kepada AKPK pada tahun 2008 setelah hutangnya mencecah puluhan ribu ringgit merangkumi hutang kad kredit, pinjaman perumahan, sewa beli kenderaan dan pinjaman peribadi.

"Di AKPK, hutang kad kredit dan pinjaman peribadi saya distruktur semula, dan dalam tempoh lima tahun kesemua hutang itu berjaya diselesaikan. Selepas itu, saya lebih berhati-hati dalam mengurus kewangan agar tidak terjerumus semula ke dalam masalah itu," katanya kepada Bernama.

Seorang lagi bekas peserta PPK, Mohd Najib Hashim, 60, menggunakan kad kredit sejak tahun 80-an bermula dengan hanya satu kad.

Namun, masalah mula berlaku apabila beliau menerima tawaran kad kredit daripada beberapa bank lain.

"Daripada satu kad, jadi enam kad. Apabila satu kad sudah mencecah tahap maksimum, saya guna pula kad yang lain sehingga akhirnya hutang jadi 'snowball' dan saya tak mampu tampung semua, ditambah pula dengan pinjaman perumahan", katanya.

Mohd Najib berjaya menyelesaikan masalah itu dalam tempoh tiga tahun setelah menyertai PPK pada 2010.

Orang ramai yang ingin mendapatkan sebarang maklumat mengenai perkhidmatan yang disediakan AKPK, hubungi talian 1800 88 2575.

-- BERNAMA

Anggota PKR Mulai Memilih Sabtu Ini


Anggota PKR Mulai Memilih Sabtu Ini

Anggota PKR Mulai Memilih Sabtu Ini


Fokus Berita Oleh Mohd Hisham Abdul Rafar

KUALA LUMPUR, (Bernama) -- Anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan mengundi mulai esok untuk memilih barisan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dan Jawatankuasa Cabang parti bagi penggal 2014-2017.

Pengundian yang diadakan mengikut zon negeri itu akan memilih Timbalan Presiden, empat Naib Presiden, 20 anggota MPP serta kepimpinan di peringkat sayap Angkatan Muda Keadilan dan Wanita Keadilan.

Jawatan Presiden PKR dimenangi Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang menang tanpa bertanding, selepas suaminya Datuk Seri Anwar Ibrahim menarik diri daripada bertanding jawatan itu, Selasa lepas.

Seramai 247 calon sah bertanding merebut pelbagai jawatan parti.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan parti Datuk Johari Abdul dipetik sebagai berkata seramai 496,923 anggota parti layak mengundi barisan kepimpinan parti yang diadakan secara berperingkat mengikut negeri sehingga 11 Mei ini.

Daripada 222 cabang seluruh negara, anggota PKR di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Sarawak menjadi negeri terawal yang akan mengundi.

Bagi jawatan Timbalan Presiden, empat calon menawarkan diri merebut jawatan itu termasuk penyandangnya Mohamed Azmin Ali. Tiga calon lain ialah Setiausaha Agung Datuk Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan anggota cabang Hulu Selangor Datuk K. Ramachandran.

Perebutan bagi jawatan nombor dua parti dilihat sengit antara Mohamed Azmin dan Abdul Khalid.

Siapakah yang bakal mengisi kerusi timbalan presiden, dilihat sangat penting bagi menyokong dan membantu presiden dalam menjayakan misi serta visi parti, yang sudah 15 tahun berada dalam arus perdana politik sejak ditubuhkan pada 1999.

Bagi jawatan Naib Presiden, 14 calon layak bertanding termasuk penyandangnya Nurul Izzah Anwar, Fuziah Salleh, Tian Chua dan Datuk Dr Mansor Othman.

Jawatan naib presiden yang memperuntukkan secara keseluruhannya tujuh kerusi, empat kerusi diisi oleh mereka yang dipilih menerusi proses pemilihan manakala tiga lagi secara lantikan oleh presiden parti.

Ramai pihak menjangkakan bahawa kesemua penyandang akan menerima saingan sengit apabila persaingan untuk jawatan nombor tiga parti turut ditandingi beberapa pemimpin lama dan mereka yang kian meningkat naik.

Antara mereka yang disebut-sebut ialah Pengarah Strategi Mohd Rafizi Ramli, Pengerusi PKR Perak Mustaffa Kamil Ayub, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Andalas, Selangor Dr Xavier Jayakumar dan juga N. Surendran, yang sebelum ini adalah naib presiden secara lantikan.

Bagi penggal 2010-2013, dua lagi naib presiden dilantik ialah Pengerusi PKR Johor Datuk Chua Jui Meng dan Datuk John Tenewi Nuek dari Sarawak.

Menurut Fasal 21.7 perlembagaan PKR yang baharu, seorang daripada tiga Naib Presiden yang dilantik mestilah dari Sabah dan Sarawak. Fasal 24.3 pula menyebut Pengerusi Majlis Pimpinan Sabah dan Sarawak secara automatik menjadi ahli biro politik parti.

Meneliti perebutan jawatan naib presiden, agak menarik diperhatikan ialah calon dari Sarawak iaitu Baru Bian turut bertanding jawatan itu meskipun secara dasarnya presiden parti boleh melantiknya sebagai naib presiden apatah lagi beliau adalah Pengerusi PKR Sarawak.

Apakah hasrat Baru Bian bertanding ingin menguji penerimaan dan popularitinya di kalangan anggota akar umbi di Semenanjung?

Baru Bian dilapor sebagai berkata hasratnya menawarkan diri untuk jawatan naib presiden adalah bagi mewakili 'suara rakyat' di Sabah dan Sarawak selain meletak harapan tinggi untuk dipilih, memandangkan dalam saingan itu, hanya beliau wakil tunggal Bumi Kenyalang manakala Negeri di Bawah Bayu pula tiada calon.

Bagi penganalisis politik, kesediaan Baru Bian bertanding memberi isyarat kepada kepimpinan parti bahawa kemasukan wakil dari Sabah dan Sarawak bukanlah hanya pelengkap kepada jumlah keanggotaan parti.

"Baru Bian perlu bertanding bagi menunjukkan pengaruhnya selain sebagai isyarat kepada kepimpinan bahawa mereka bukan hanya tempelan," kata Che Hamdan Che Mohd Razali, Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dungun, Terengganu kepada Bernama.

Che Hamdan berkata kewujudan kem-kem tertentu di dalam PKR seperti Saifuddin yang membentuk pasukan bersama Nurul Izzah dan Mohd Rafizi menyajikan elemen kejutan terhadap keputusan pemilihan Mei nanti.

Tidak kurang juga yang memandang sinis pembentukan pasukan tertentu dalam saingan pemilihan parti, dan menganggapnya lebih sebagai usaha mempromosikan kem-kem di dalam parti.

"Untuk jawatan naib presiden, pemimpin muda seperti (Mohd) Rafizi dan Nurul Izzah dilihat mempunyai harapan," kata Che Hamdan.

Keputusan barisan kepimpinan baharu PKR dijangka diumumkan pada 13 Mei.

-- BERNAMA

Tabiat Penggunaan Air Penduduk Malaysia Perlu Diubah Untuk Elak Catuan



Tabiat Penggunaan Air Penduduk Malaysia Perlu Diubah Untuk Elak Catuan

- Oleh Syed Iylia Hariz Al-Qadri Syed Izman dan Mohd Fakri Awang Lah

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Di sebalik langkah pencatuan yang dikenakan pihak berkuasa, penduduk Malaysia masih menggunakan purata 250 liter air atau kira-kira 160 botol 1.5 liter air seorang, setiap hari.

Melainkan mereka mengubah tabiat ini, pencatuan air tidak akan berkesan untuk mengatasi krisis air semasa, kata Presiden Persatuan Air Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya Aldric Loong Kim Yew.

Beliau berkata pada masa ini penduduk Malaysia mencatatkan kadar penggunaan air tertinggi di Asia Tenggara, dengan purata penggunaan antara 220 hingga 250 liter sehari setiap orang.

"Daripada 220 hingga 250 liter yang kita gunakan setiap hari, hanya 30 untuk penggunaan sebenar seperti memasak dan minum, manakala bakinya pula digunakan untuk perkara misalnya mencuci kereta dan pakaian serta membasuh kolam setiap hari.

"Kadar ini tinggi berbanding negara jiran kita seperti Thailand dengan kadar penggunaan biasa kira-kira 160 hingga 170 sehari liter, Singapura antara 130 hingga 150 liter dan Indonesia 140 hingga 160 liter," katanya kepada Bernama di sini baru-baru ini.

Loong percaya jika penduduk Malaysia dapat mengurangkan penggunaan air sebanyak 30 peratus secara beransur-ansur, kesannya boleh mengatasi krisis air.

Beliau juga percaya air yang boleh diperoleh dengan begitu mudah dan murah menjadikan penduduk Malaysia lalai dalam menghargai dan bersyukur dengan apa yang mereka ada.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia (WECAM) Foon Weng Lian menggesa kerajaan Pusat dan Negeri supaya mencari penyelesaian untuk mengubah tabiat pengguna yang membazirkan air.

Foon berkata sungguhpun kerajaan berusaha untuk meningkatkan bekalan air dengan membina loji rawatan air Langat 2, ia masih bukan merupakan penyelesaian kepada krisis air di Lembah Klang.

"Sebagai contoh jika anda mahu menyimpan lebih banyak air seperti Langat 2, pengguna perlu tahu cara untuk menjimatkan air. Kalau kita ada 100 projek sekalipun, ia tidak akan cukup bagi masa depan," katanya.

Peringkat pertama catuan di Lembah Klang bermula pada 2 Mac melibatkan enam daerah iaitu Gombak, Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor dan Hulu Selangor, dan kini memasuki peringkat keempat melibatkan 6.7 juta pengguna.

Sementara itu, paras air di empangan Sungai Selangor yang membekalkan 62 peratus keperluan air Selangor adalah 38.9 peratus pada Selasa, menunjukkan sedikit peningkatan berbanding minggu lepas.

Selasa lepas, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata langkah pencatuan air di Selangor akan diteruskan memandangkan air di empangan Sungai Selangor berada pada paras kritikal dan hanya mampu bertahan 29 hari.

Pada Ahad, paras air di empangan itu adalah 89.29 juta meter padu atau hanya 38.82 peratus daripada kapasiti penuh 235.32 juta meter padu.

Beliau turut berkata catuan air berjadual akan disemak semula jika paras air di empangan Sungai Selangor meningkat kepada 55 peratus minggu depan.

-- BERNAMA

Forum Palestin Tarik Minat 400 Peserta


Forum Palestin Tarik Minat 400 Peserta
Gambar Sekadar Hiasan

Forum Palestin Tarik Minat 400 Peserta
- Daripada Nor Faridah Abd Rashid

ISTANBUL (Bernama) -- Menganjurkan forum untuk media adalah sesuatu perkara yang biasa, namun bagi Forum Antarabangsa Palestin untuk Media dan Komunikasi, ia dianggap unik kerana berjaya menarik kira-kira 400 peserta dari dunia Islam dan negara lain untuk berkumpul di bawah satu bumbung dan merungkai isu-isu mengenai laporan perjuangan rakyat Palestin.

Peserta bukan sahaja didedahkan dengan ceramah, bengkel dan seminar tetapi juga sesi latihan untuk membolehkan mereka lebih bersedia dengan media baharu dan bagaimana mengendalikan dengan lebih berkesan demi memastikan penggunaan dan pengaruh yang maksimum dalam menangkis laporan media barat, yang disifatkan penceramah, tidak melaporkan kebenaran tentang perjuangan rakyat Palestin.

Forum dua hari yang berakhir di sini Jumaat, membuka peluang untuk mengadakan dialog yang bermanfaat, penilaian objektif dan kritikan membina mengenai pelbagai pengalaman media yang membantu memperbaiki dan membimbing prestasi media berkaitan Palestin.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Persiapan Fayed Abu Shammala ia mengambil masa yang lama untuk menyediakan acara itu dari segi membina data dan cubaan untuk mendapatkan semua peserta serta pertubuhan dan tokoh-tokoh media untuk bercakap mengenai isu Palestin, namun ia adalah berbaloi.

Beliau berkata dalam beberapa tahun kebelakangan ini disebabkan beberapa isu lain rantau ini, mesej mengenai perjuangan Palestin tidak dapat "disampaikan", dengan menyatakan bahawa media antarabangsa berpuas hati dengan apa yang berlaku dan tidak melakukan secukupnya untuk menyampaikan mesej kepada masyarakat antarabangsa.

"Kita perlu membina rangkaian ini untuk memulakan secepat mungkin. Mesej rakyat Palestin berada di bawah sekatan antarabangsa dan orang ramai tidak tahu apa yang sedang berlaku, terdapat kematian, kebuluran di Palestin. Palestin dikepung untuk bertahun-tahun lamanya," katanya kepada wartawan Malaysia di sini.

Beliau berkata forum itu menyediakan platform kepada peserta untuk berkomunikasi dan membina hubungan antara media atau pertukaran idea bagi meningkatkan profesion dan organisasi mereka.

"Tetapi apa yang paling penting adalah para peserta perlu berkomunikasi walaupun selepas berakhirnya forum. Mereka harus mengikuti dan melakukan dengan terbaik untuk membina hubungan peribadi atau dua hala," katanya.

Mengenai pemilihan Istanbul sebagai lokasi forum itu, beliau berkata ini kerana Istanbul adalah tempat yang mudah untuk diakses bagi kebanyakan peserta.

"Ia adalah tempat yang baik untuk permulaan forum ini kerana kami mahu ramai orang mengambil bahagian sama ada dari barat dan juga timur. Kami mahu peserta dari dunia Arab, Eropah dan Amerika. Kami tidak mahu hanya peserta dari satu tempat yang datang," katanya.

"Kami percaya bahawa Palestin adalah isu untuk perpaduan, terutama di negara Arab dan Dunia Islam. Kami berharap dengan membawa masuk ramai orang luar, ia akan membantu kami mendapat akses kepada masyarakat antarabangsa, memberitahu mereka mengenai ketidakadilan di Palestin," katanya.

Abu Shammala turut berharap agar forum itu yang dianjurkan Kelab Media Palestin, asas bagi penyelidikan politik, ekonomi dan sosial; dan Middle East Monitor (MEMO) pertubuhan yang memberi liputan yang fokus dan komprehensif mengenai Palestin dan negara jiran serantau, boleh diadakan setiap tahun.

Peserta dan penceramah berasal dari pelbagai negara seperti Mesir, Palestin, Amerika Syarikat, United Kingdom, Turki, Jordan, Perancis dan Malaysia manakala tajuk yang dibentangkan termasuk "The Palestinian Cause in the Western Media; Working Towards a New Palestinian Strategy and Investigative Journalism.

-- BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Rujukan