Cari Artikel

Wednesday, April 2, 2014

Anzalna Bingung Dikatakan Gedik, Lega Dapat Habiskan Shooting


Anzalna Bingung Dikatakan Gedik, Lega Dapat Habiskan Shooting

Anzalna Bingung Dikatakan Gedik, Lega Dapat Habiskan Shooting


Laporan media tidak lama dulu ada mengaitkan yang aktres Anzalna Nasir dan Izzue Islam dikatakan mula bermasam muka apabila Izzue dikatakan menegur cara lakonan aktres itu yang disifatkan berlebihan atau over menjiwai watak.

Kedua-dua mereka adalah watak utama bagi drama bersiri Akulah Isterinya di mana Anzalna memegang watak sebagai Mya Arlissa.

Tindakan Izzue tersebut didorong oleh perasaan bimbang yang isterinya bakal cemburu melihat adegan atau babak lakonannya bersama Anzalna.

Isteri yang juga pengurus penyanyi kumpulan Forteen ini dikatakan sering berada dilokasi selepas wujudnya konflik tersebut.

Mencari rezeki dalam dunia seni mengajar Anzalna untuk menjadi lebih professional dan sebagai seorang dewasa, hal seperti ini padanya sepatutnya tidak berlaku.

Dia juga memberitahu bahawa isu tersebut tidak pernah diperbesarkan olehnya kerana ia bukan pertama kali Anzalna berlakon disisi aktor berstatus suami orang.

“Isu ini sebenarnya saya pun tak tahu bagaimana ia tercetus. Walaupun ada pihak yang membangkitkan hal ini, tetapi sebagai seorang yang professional saya tidak mahu memanjangkan hal ini dengan mengulas lanjut mengenainya.

“Memang benar wujud permasalahan di antara saya dan Izzue Islam tetapi isu tersebut tidak pernah datang dari pihak saya. Sehingga habis penggambaran saya tetap menjiwai watak saya yang memang digambarkan gedik dan mengada-ngada oleh skrip yang diadaptasi dari novel Aku Bukan Mistress itu.

“Izzue bukanlah pelakon pertama berstatus suami orang digandingkan dengan saya. Saya dah bekerja dengan beberapa orang aktor namun tidak wujud sebarang permasalahan kerana saya tahu batas – batas yang harus dijaga.

“Saya pun ada teman lelaki, tetapi mujur dia seorang yang memahami,” tuturnya yang turut menegaskan bahawa tidak pernah mencampurkan emosi dengan kerjaya dan kerana itu Anzalna bingung bila isu ini timbul.

Di sidang akhbar tersebut yang berlangsung di Sri Pentas, Bandar Utama, semalam, Isnin turut dihadiri pelakon lain seperti Eizlan Yusof, Syazwan Zulkifly, Shakilla Khoriri, Marissa Yasmin dan Syatila Melvin namun kelibat Izzue Islam tidak kelihatan.

Drama bersiri adaptasi daripada novel nukilan Acik Lana ini menuntut Anzalna untuk melakonkan watak perempuan penggoda yang akur dengan perjalanan hidup yang sukar serta dibelenggu dengan penderitaan menjadi mangsa kerakusan nafsu lelaki.

Bermula tanpa sebarang isu berbangkit, penggambaran untuk drama bersiri terbital Global Station ini diarahkan oleh Fairuz Loy dan Anzalna mengakui keserasiannya dan Izzue tidak sukar dicari. Ia ditambah dengan inisiatif Anzalna sendiri untuk membaca dahulu novel Aku Bukan Mistress ini bagi menjayakan watak Mya Arlissa.

“Tetapi selepas beberapa ketika saya rasa macam ada yang tidak kena dan bermula dengan itu saya sering menanti saat untuk menghabiskan komitmen saya bagi drama ini. Bila habis sahaja semua memang lega sampai rasa macam nak buat kenduri kesyukuran sahaja,”ujarnya berseloroh.

Belajar daripada pengalaman ketika mula meniti nama di dalam dunia seni ini, Anzalna yang kini berusia 26 tahun sentiasa bersikap positif dalam menilai dugaan dan kontroversi yang mengaitkan dirinya . Berkat sokongan daripada teman lelaki, keluarga dan peminat, aktres ini akan terus bertahan demi karier dan profesion yang dipilihnya ini.

Aku Isterinya akan disiarkan di slot pujaan ramai, Akasia bermula 31 Mac 2014 ini, setiap hari Isnin hingga Khamis pada jam 7.00 malam di TV3.

Misteri MH370 Beri Peluang Riz Zaizizi Menjelma


Misteri MH370 Beri Peluang Riz Zaizizi Menjelma

Misteri MH370 Beri Peluang Riz Zaizizi Menjelma


Kemunculan lagu Singkapkan Doa Kami yang diilhamkan pasangan suami isteri LY dan Baiduri sempena misteri kehilangan pesawat MH370 telah memberi peluang keemasan buat penyanyi lagu berkenaan iaitu Riz Zaizizi.

Apatah lagi, Riz yang mula dikenali menerusi program realiti Akademi Fantasia 6, seakan menghilangkan diri hampir empat tahun daripada terbit dalam mana-mana program berteraskan hiburan, baik di TV mahupun corong radio tempatan.

Namun rezeki nampaknya menyebelahi anak muda berusia 28 tahun itu apabila LY dan Baiduri menganjurkan sesi uji bakat bagi mencari penyanyi baru yang bakal bernaung di bawah label Kelarai Sakti Sdn Bhd.

Daripada terus bergerak sendirian, kini Riz boleh menarik nafas lega apabila syarikat berkenaan telah bersetuju mengambilnya dan sebagai permulaan maka lahirlah Singkapkan Doa Kami yang semakin menjadi bualan hangat.

Dihubungi portal murai.com.my, Riz Zaizizi berkata, dia tidak pernah menghilang atau menyembunyikan diri daripada dunia seni sebaliknya masih aktif menyanyi, meskipun tidaklah sehebat seperti mana di awal kemunculannya dahulu.

“Saya tidak menghilang kerana selepas lagu duet bersama Alyah (Ku Pinjam Satu Bintang), saya mula bergerak sendiri dan telah melahirkan single berjudul Aku Yang Terbaik yang mendapat sentuhan komposer dari Indonesia.

“Saya cuba untuk menembusi pasaran di Indonesia, tetapi ia bukanlah satu kerja yang mudah. Banyak politiknya.

“Tetapi  dalam masa yang sama, saya turut mencuba untuk memperkenalkan lagu berkenaan di corong radio tempatan, tapi tak berjaya juga. Kemunculan dan lagu saya tidak diterima.

“Namun, dalam masa yang sama, saya turut membuat persembahan pentas, meskipun tak banyak tetapi cukuplah untuk belanja makan minum saya seorang diri,” katanya.

Ditanya adakah dia melahirkan perasaan kesal dengan sambutan dingin stesen radio tempatan yang enggan memainkan lagunya, Riz mengakui perasaan itu wujud dan masih tidak mengertai mengapa situasi itu harus berlaku.

Apatah lagi kata Riz, lagu Aku Yang Terbaik telah mendapat sambutan positif daripada kebanyakan peminatnya di laman YouTube bagaimanapun masih tidak  dimainkan di beberapa corong radio utama tanah air.

“Kesal itu memang kesal. Tapi saya bukannya kesal dengan industri muzik kita tetapi dengan stesen radio. Mungkin kerana saya bukan artis di bawah naungan mereka, maka saya tidak mempunyai kepentingan untuk mereka memainkan lagu saya.

“Mungkin sudah menjadi lumrah, peminat sering diberikan dengan lagu-lagu yang popular di corong radio, sedangkan ada banyak lagi lagu yang bagus yang tak popular tetapi boleh dipopularkan sekiranya kerap dimainkan di radio,” katanya.

Jelas Riz, dia bersyukur apabila pihak Kelarai Saksi telah mengambilnya untuk bernaung di bawah syarikat berkenaan dan dalam masa yang sama dia turut dapat mengeksploitasi peluang yang lebih menarik untuk dijelajahi.

Katanya, selain mula berjinak-jinak dalam dunia pengacaraan TV, dia juga kini sedang sibuk mengusahakan perniagaan jubah serta kurta di bawah syarikatnya sendiri yang dijual menerusi laman sosial pada harga berpatutan.

Bercerita mengenai lagu Singkapkan Doa Kami, kata Riz lagu berkenaan hanya dirakamkan selama tiga jam iaitu pada Khamis lepas sebelum diperdengarkan dihadapan orang ramai ketika majlis ramah mesra LY dan Baiduri bersama-sama peminat dan pihak media di taman tema Wet World, Shah Alam.

“Kalau nak ikutkan proses rakamannya memang agak singkat, tetapi bagi saya menyanyikan lagu ini bagaikan kita sedang berdoa dan mengharapkan sesuatu yang baik.

“Apatah lagi lagu ini diilhamkan khusus sempena misteri kehilangan MH370 dan ia adalah satu kejadian yang betul, bukan dongeng dan sedang dialami oleh kita semua termasuklah saya. Jadi agak mudah untuk saya mengaitkan lagu ini dengan nyanyian saya,” katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Rujukan